Search This Blog

Monday, October 15, 2012

Buru penyamun dapat 8 berpesta dadah




         
BRICKFIELDS: Polis yang menyerbu sebuah hotel di Jalan Kuchai Maju, di sini, minggu lalu, bagi menahan seorang lelaki yang terbabit kes pecah rumah, turut menahan lapan lagi, termasuk dua wanita ketika semua mereka asyik berpesta dadah dalam bilik hotel berkenaan.

Berikutan penahanan itu, seorang lagi wanita ditahan di rumahnya di Keramat, dekat sini, kerana dipercayai menyimpan barang curi hasil pecah rumah lelaki terbabit yang disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan, sehari kemudian.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis menyerbu bilik hotel berkenaan jam 3 pagi, 10 Oktober lalu, bagi menahan seorang lelaki yang dikehendaki kerana kes pecah rumah di Taman Desa, di sini, pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, ketika serbuan, ada enam orang lagi termasuk dua wanita yang semua mereka asyik berpesta dadah.


“Selain menahan mereka termasuk penjenayah pecah rumah itu, polis merampas satu bekas plastik dipercayai berisi dadah jenis ketamin dan Eramin 5. Pemeriksaan lanjut menemui kereta Toyota Camry yang dilarikan dalam kejadian pecah rumah Taman Desa, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, semalam

5 penyamun kilang tembaga ditahan




         
SHAH ALAM: Polis sudah menahan lima lelaki yang dipercayai terbabit kes samun sebuah kilang tembaga di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam, di sini, Khamis lalu.

Semua suspek berusia 22 hingga 47 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota ‘Team Kargo’ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor petang Jumaat dan awal pagi Sabtu lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, tiga suspek ditahan di tepi Jalan Batu 4 1/2, Jalan Kebun, di sini, selepas polis mengesan suspek menaiki kereta dalam keadaan mencurigakan.

Mohd Adnan berkata, hasil soal siasat, polis menahan dua lagi lelaki yang juga pemilik kedai besi buruk di Kampung Batu Muda dan Salak Selatan beberapa jam kemudian.


Menurutnya, penahanan mereka membawa kepada penemuan tembaga seberat satu tan dianggar bernilai RM100,000 yang dilarikan suspek dalam keadaan yang sudah dipotong di kedai besi buruk berkenaan.

Umpan bakso cabul budak




         
SUBANG JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang mahu membeli makanan kegemarannya terpaksa menghadapi detik hitam dalam hidupnya apabila dicabul warga asing menjual makanan itu di rumah lelaki terbabit di Batu 13, di Bukit Puchong di sini, Khamis lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan mengumpan kanak-kanak berkenaan menggunakan bakso yang dijualnya dan membawa budak itu pulang ke rumahnya untuk dicabul.


Menurut sumber, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kanak-kanak itu ke gerai menjual bakso di depan rumah seorang diri.

“Ketika di rumah selepas kejadian itu, dia memberitahu ibunya mengenai suspek, seorang warga asing, mengajaknya makan bakso di rumah.


“Mangsa turut menceritakan perbuatan suspek ‘mengusik’ kemaluannya beberapa kali sehingga sakit sebelum menyerahkan bakso dibelinya untuk dibawa pulang,” katanya.


Terkejut mendengar cerita anaknya, ibu mangsa membawa anaknya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Puchong.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua yang mengesahkan kejadian, berkata hasil maklumat ibu mangsa, polis ke rumah suspek dan menahannya sehari selepas laporan dibuat.

Tiga beranak maut, 2 parah

Berita Harian | Tiga beranak maut, 2 parah:

Keadaan kereta Kancil yang meragut nyawa Mohd Azhar serta dua anaknya dalam kemalangan 
di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, semalam. - Foto Shaiffulazhar MisriKeadaan kereta Kancil yang meragut nyawa Mohd Azhar serta dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, semalam. - Foto Shaiffulazhar Misri
Ledang: Seorang bapa dan dua anaknya maut, manakala dua lagi anggota keluarganya parah, selepas Perodua Kancil dinaiki merempuh lori membawa muatan tong gas, di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, dekat sini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, Mohd Wahyu Mohd Azhar, 3, meninggal dunia selepas dua jam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF). 

Adiknya, Nursyifa Qistina, meninggal jam 9 malam diikuti bapa mereka, Mohd Azhar Abu Bakar, 29, jam 3 pagi semalam ketika dirawat di hospital sama. 


Selain itu isteri Azhar, Salasiah Abd Malik, 29, yang memandu kereta dan adiknya, Safawi Abdul Malik, 20-an, dilaporkan parah dan dirawat di HPSF, manakala pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 24, hanya cedera ringan di kaki serta tangan.

Difahamkan kejadian berlaku ketika Azhar yang juga peniaga jambu batu bersama keluarganya dalam perjalanan ke Bukit Pasir, Muar untuk mengambil barang jualan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Kancil itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori daripada arah bertentangan.

“Siasatan awal menunjukkan kemungkinan pemandu kereta itu mengantuk menyebabkan keretanya memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori berkenaan. Rempuhan kuat menyebabkan kereta mangsa remuk teruk,” katanya. 
Harun berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mohd Shahril, berkata, kejadian berlaku sekelip mata apabila Perodua Kancil berkenaan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori dipandunya.

“Saya bersyukur kerana 20 tong gas yang dibawa tidak meletup dan jika ia berlaku, pasti lebih ramai lagi terkorban dalam nahas ini,” katanya.

Suspek kes bunuh peniaga ditembak mati

Berita Harian | Suspek kes bunuh peniaga ditembak mati:Temerloh: Seorang penjenayah sangat dikehendaki polis ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan ladang sawit berhampiran Sanggang, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Abd Ghani, berkata suspek dikenali Muhamad Azirywan Mohd Azlan, 21, dari Perkampungan Cenderawasih, Kuantan yang tidak bekerja dan mempunyai lapan rekod jenayah berhubung kes samun bersenjata di Temerloh, Kuala Krau, Bentong dan Gambang.

Sepasukan polis dari cawangan jenayah berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mengekori kereta dipandu suspek kira-kira jam 1.30 pagi di persimpangan lampu isyarat susur keluar Plaza Tol Temerloh. Dia kemudian memecut kereta menghala ke arah Jerantut sebelum terbabas di kawasan ladang sawit berhampiran Sanggang.
Suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah polis, memaksa polis membalas tembakan. Pemeriksaan ke atas suspek dan kereta itu menemui sepucuk revolver jenis .38, sebilah parang, ketulan mampat dipercayai ganja, sebuah komputer riba dipercayai hasil samun. Kereta itu juga sebelum ini dilaporkan hilang di Sungai Buloh, Selangor, katanya pada sidang media, semalam.

Lelaki berkenaan dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang peniaga di Kampung Baru Simpang Sanggang, Temerloh, pertengahan bulan lalu. Seorang lagi suspek dikehendaki bagi kes sama berjaya diberkas 7 Oktober lalu, manakala dua lagi masih diburu.

Mereka yang dipercayai dari kumpulan bergelar KK Merah, diburu polis selepas menyamun dan membunuh seorang peniaga, Abdul Talib Yadin, 56, dan mencederakan isterinya, Siti Rohani Salleh, 48, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, 14 September lalu.

Talib maut ditikam suspek menggunakan pisau, manakala Rohani luka di perut dan dada sehingga terpaksa merangkak sejauh 200 meter ke rumah penduduk bagi meminta bantuan.
Dua suspek yang masih diburu adalah penganggur, Mohd Hairie Abdul Jalil, 28, di alamat terakhir Kampung Tebing Tinggi, Temerloh serta Mohd Ridzuan Khaidir, 22.

Sementara itu di Kuantan, sumber polis berkata, seorang suspek yang diberkas 7 Oktober lalu di pekan Awah, Temerloh, berasal dari Kampung Sungai Dingin, Mentakab adalah penganggur berusia 16 tahun dan memiliki lapan rekod jenayah membabitkan kes samun.

Bilik sewa lengkap alat hisap syabu

Berita Harian | Bilik sewa lengkap alat hisap syabu:Kuala Lumpur: Jika kebiasaannya bilik tidur dilengkapi tilam dan bantal namun sebaliknya berlaku di sekitar Jalan Chow Kit, di sini, apabila setiap bilik dilengkapi peralatan menghisap dadah syabu.

Itulah senario dikesan sekitar Lorong Haji Taib dalam operasi Polis Daerah Dang Wangi, apabila menemui dan merampas peralatan menghisap dadah dalam 20 bilik sewa yang diperiksa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata operasi berkenaan dilakukan bagi menghapuskan aktiviti penagihan dadah dan gejala sosial di sekitar kawasan itu bagi mengelak kegiatan jenayah ragut, samun, curi dan peras ugut.
Berdasarkan pemeriksaan hampir keseluruhan penghuni bilik di Chow Kit terbabit dalam aktiviti penagihan dadah syabu, heroin dan ganja dan mereka sanggup melakukan apa saja jenayah bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Kita tidak terkejut sekiranya kita memeriksa hampir kesemua kediaman di sini, kita akan menemui dadah dan peralatan menghisap dengan jumlah lebih besar, katanya sejurus operasi berkenaan selesai dijalankan, semalam.

Katanya, dengan kekerapan melakukan operasi dan serbuan seperti itu, pihaknya yakin dapat mengurangkan aktiviti jenayah jalanan di sekitar kawasan daerah Dang Wangi.

Lebih 100 individu diperiksa dalam operasi berkenaan dan seramai lima lelaki ditahan kerana memiliki dadah, tujuh ditahan mengikut Akta Imigresen, manakala tiga lagi ditahan selepas didapati dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes jenayah sejak dua tahun lalu.
Selain Chow Kit, pemeriksaan turut dilakukan di sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu, Dataran Merdeka, Jalan Imbi dan Jalan P Ramlee, oleh 150 pegawai dan anggota polis serta dibantu pasukan RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan merangkumi kesalahan jenayah seperti kes dadah, pelacuran, samun dan ragut, parkir haram, pusat hiburan lebih masa dan kesalahan lalu-lintas.

Zainuddin memberitahu, sejak operasi berkala pada setiap hujung minggu diadakan, pihaknya mendapati indeks kes jenayah mencatatkan penurunan yang membanggakan.

Kita akan terus melakukan pemeriksaan dan operasi seperti ini bagi memberi keyakinan kepada masyarakat khususnya warga kota bahawa Polis Dang Wangi komited dalam membanteras dadah, maksiat dan jenayah lain amnya, katanya.

Tiga remaja ditahan bersama parang, pisau dan buku lima

Tiga remaja ditahan bersama parang, pisau dan buku lima - Semasa - Sinar Harian:

KUALA TERENGGANU - Tiga remaja ditahan bersama sebilah parang, pisau dan senjata buku lima di persimpangan Batu Bersurat di Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.
   
Mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun itu ditahan kira-kira 4.20 pagi oleh anggota polis yang sedang meronda, di dalam sebuah Proton Wira kerana didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
   
"Curiga dengan tindak-tanduk mereka, polis terus menahan mereka dan meggeledah kereta berkenaan sebelum menemui beberapa peralatan tajam," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan.
   
Beliau berkata polis juga menemui 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama serta duit syiling bernilai RM141 di dalam sebuah beg plastik.
   
Kesemua suspek yang berasal dari Dungun itu dibawa ke Balai Polis Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut termasuk sama ada mereka terbabit dalam kegiatan jenayah.
   
"Kita percaya mereka terlibat dalam beberapa kes jenayah dan hasil siasatan ke atas nombor casis kenderaan juga mendapati kenderaan yang digunakan itu adalah kenderaan curi," katanya.
   
Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama

4 penunggang, pembonceng motosikal maut nahas jalan

4 penunggang, pembonceng motosikal maut nahas jalan - Semasa - Sinar Harian:

JOHOR BAHRU - Empat penunggang dan pembonceng motosikal, termasuk seorang pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini, terbunuh setelah motosikal yang dinaiki bertembung dalam satu kemalangan di Jalan Masai-Kong-Kong di sini hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Roslan Zainudin berkata, kejadian yang berlaku pada kira-kira 3 pagi itu turut melibatkan seorang pelajar politeknik serta dua pekerja syarikat swasta.
   
Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia ialah K.Thinakaran, 18, Nur Natasya Ashiqin Zulkifli, Mohamad Aufa Arshad, dan S.Suthan yang masing masing berumur 20 tahun.
   
"Kemalangan membabitkan motosikal jenis Kawasaki 250 dan Yamaha RXZ apabila salah sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan memasuki arah bertentangan menyebabkan berlaku pelanggaran.
   
"Pertembungan itu menyebabkan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing," katanya ketika dihubungi.
   
Roslan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis. - Bernama

Curi seguni rambai: Buruh berdepan penjara 7 tahun, denda

Curi seguni rambai: Buruh berdepan penjara 7 tahun, denda - Terengganu - Sinar Harian:


Curi seguni rambai: Buruh berdepan penjara 7 tahun, denda
Rosli mengaku mencuri seguni buah rambai milik peneroka warga emas di Felda Belara, di sini, 10 Oktober lalu.
KUALA TERENGGANU - Gara-gara 'merembat' seguni buah rambai di sebuah kebun milik seorang peneroka di Felda Belara, di sini, seorang buruh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Rosli Abd Malek, 41, yang juga anak jati Felda tersebut boleh dikenakan hukuman itu selepas dia mengaku mencuri seguni buah rambai milik Bek Jusoh, 76, pada Rabu lalu.

Dengan itu, Rosli atau lebih dikenali dengan nama Jamsari oleh penduduk di Felda berkenaan mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu.
Dia mengaku mencuri seguni buah rambai bernilai RM25 dengan seorang lagi rakannya yang masih bebas, dikenali ‘Muda’ di dalam kebun milik warga emas berkenaan pada 10 Oktober lalu kira-kira jam 7 petang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, di sini, Rosli Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, selepas pengakuannya direkodkan, Rosli menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum yang akan diputuskan di Mahkamah Majistret, di sini dan membenarkan dia diikat jamin RM2,500 oleh seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemilik kebun, Bek sedang berada di rumahnya sebelum ternampak dua lelaki dikenali iaitu Rosli bersama rakannya sedang menunggang motosikal masuk ke dalam kawasan kebun buah rambai miliknya.
Hampir sejam kemudian, kedua-duanya keluar sambil membawa seguni berisi penuh buah rambai dan melihatkan situasi itu, Bek yakin buah rambai di dalam guni dibawa adalah hasil curi dari kebunnya.
Tanpa membuang masa, Bek terus memaklumkan kepada penduduk sebelum berjaya menangkap Rosli manakala rakannya berjaya melarikan diri.

Penyamun kebas RM100,000 dari kedai emas

Penyamun kebas RM100,000 dari kedai emas - Pahang - Sinar Harian:

Penyamun kebas RM100,000 dari kedai emas
Sekitar kawasan kedai emas milik Azmi yang dirompak empat lelaki bertopeng bersenjatakan pistol kira-kira jam 5.30 petang, semalam.
KUALA LIPIS - Empat lelaki bertopeng  bersenjatakan pistol  melarikan pelbagai jenis barang kemas  bernilai RM100,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di Merapoh, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian itu, kumpulan terbabit turut melepaskan dua das tembakan untuk memecahkan cermin kaca pameran barang kemas di kedai berkenaan sebelum seorang lagi menghentak cermin terbabit dengan menggunakan sebilah kapak.   
Menurutnya, keempat-empat suspek dipercayai ke kedai berkenaan empat jam sebelum kejadian itu dengan berpura-pura menjadi pelanggan.   
“Empat suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki  sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan  tidak jauh dari premis itu.
“Hasil pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kedai emas berkenaan, polis mendapati empat penyamun bertopeng berkenaan melepaskan dua das tembakan pada rak cermin kaca sebelum menetak cermin itu dengan menggunakan sebilah kapak,” katanya di sini, semalam.
Abdul Razak berkata, buat masa ini pihak polis sedang meneliti rakaman CCTV di kedai itu.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit supaya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya.
Sementara itu pemilik kedai emas, Azmi Mohamed, 41, berkata ketika kejadian, dia dan isterinya, Manih Mamat, 36, bersama empat anaknya yang berusia tiga hingga 13 tahun berada di dalam premis berkenaan.
“Empat suspek  masuk secara tiba-tiba, salah seorang daripada suspek mengacukan  sepucuk pistol kepada saya..
“Suspek kemudiannya melepaskan dua  das tembakan pada cermin kaca.  

“Dalam tempoh kira-kira dua minit, mereka kemudiannya melarikan barangan kemas, kerugian dianggarkan RM100,00,” katanya yang berniaga emas sejak 11 tahun lepas.

Bas rempuh rumah kedai

Bas rempuh rumah kedai - Melaka & NS - Sinar Harian:

Bas rempuh rumah kedai
Bas henti-henti yang merempuh tembok bangunan lama sehingga menggemparkan orang ramai, semalam
TAMPIN - Orang awam yang berada di deretan rumah kedai berusia puluhan tahun di sempadan Tampin, Negeri Sembilan dan Tampin, Alor Gajah gempar seketika apabila sebuah bas henti-henti merempuh bangunan berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, lokasi terletak di sempadan dua negeri yang juga merupakan lokasi lampu isyarat di tengah-tengah bandar Tampin itu menyebabkan aliran trafik sesak seketika.

Menurut saksi, Ng Siew Fah, 55, berkata, ketika kejadian, dia sedang melayan pelanggan terkejut mendengar bunyi dentuman kuat sehingga menyebabkan premis kedainya bergegar.

“Akibat dentuman itu juga, batu bata terpelanting sehingga ke kaki lima bangunan dan saya terus keluar kedai sebelum mendapati bas itu terperosok ke dalam premis bersebelahan.
“Disebabkan bimbang rumah kedai berusia 80 tahun ini runtuh, saya menutup kedai selama kira-kira sejam,” katanya, semalam.

Sementara itu, Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas berusia 40-an gagal kawal kenderaan, lalu merempuh bangunan kedai hingga menyebabkan pintu dan tembok premis itu pecah.

“Bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari perhentian bas di pekan ini ke pejabat syarikat yang terletak di kawasan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Kuala Ina, Alor Gajah.

“Sebaik sahaja tiba di lampu isyarat di persimpangan Pulau Sebang-Tampin iaitu di tengah-tengah bandar Tampin, pemandu bas terbabit yang ingin membelok ke kanan hilang kawalan lalu merempuh kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dua maut kenderaan bertembung

Dua maut kenderaan bertembung - Utara - Sinar Harian:

Padah memotong: 2 maut kenderaan bertembung
Keadaan kereta yang remuk teruk dalam nahas sehingga menyebabkan dua pemandu maut.
BALING - Dua pemandu maut ketika dalam perjalanan ke hospital setelah kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa bertembung di Kampung Kembai dekat sini kira-kira 3.15 petang, kelmarin.
Mangsa, Muhamad Khusani Abdul Majid, 43, dari Kampung Kemelong, Sik manakala Mujahid Sallehuddin, 23, dari Kampung Parit Panjang maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, Mujahid Sallehuddin yang memandu kereta jenis Satria cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung kereta jenis Waja yang dipandu Khusani.
Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, dalam kejadian lain, seorang penunggang motosikal turut maut di tempat dan hari yang sama pada jam kira-kira 8.50 malam selepas merempuh sebuah motosikal di hadapannya.
Mohd Nizam Idris, 18, dari Kampung Guar Tinggi maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala penunggang motosikal yang dirempuh itu mengalami kecederaan ringan.
Mat Daud berkata, rempuhan itu mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum terhantuk di atas jalan raya.

Mangsa yang tidak menggunakan topi keledar itu mengalami kecederaan teruk iaitu keretakan di bahagian kepala sehingga mengakibatkan kematian.

Mat Daud berkata, mayat Mohd Nizam dan Mujahid dihantar ke Hospital Baling, manakala Muhamad Khusani dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk dibedah siasat sebelum jenazah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.

Deretan 20 kedai terbakar

Deretan 20 kedai terbakar - Selangor & KL - Sinar Harian:

Deretan 20 kedai terbakar
20 kedai musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 4 pagi itu.
RAWANG - Peniaga terlibat mengalami kerugian antara RM10,000 sehingga RM80,000 selepas deretan 20 kedai di Matang Pagar di sini hangus dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 4 pagi, Jumaat lalu.
Peniaga kedai runcit, Amran Omar berkata, dia yang tinggal di kedainya terdengar bunyi mencurigakan dan menyangka terdapat pencuri cuba memecah masuk kedai.

Bagaimanapun katanya, ketika keluar daripada kedainya, dia melihat kepulan asap dan api sedang marak dalam sebuah premis makan di deretan kedainya.

“Dalam keadaan kalut, saya mengejutkan beberapa rakan yang juga tinggal di deretan kedai ini sebelum cuba menyelamatkan barangan perniagaan.

“Saya anggarkan kerugian hampir RM10,000 apabila banyak barang dan beberapa peralatan lain hangus dalam kebakaran itu,” katanya ketika ditemui pada majlis dialog peniaga bersama Pegawai Pejabat Tanah Daerah
Gombak (PTDG) di lokasi kejadian.

Turut hadir meninjau tapak kejadian adalah Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Seorang lagi peniaga, Yusof Jidil berkata, dia kerugian RM80,000 selepas kedai menjual telefon bimbit dan kedai makannya hangus dalam kebakaran tersebut.
“Saya pulang ke rumah sekitar jam 2 pagi selepas selesai menutup kedai sebelum menerima panggilan memaklumkan gerai hangus terbakar.

“Ini kejadian pertama membabitkan deretan kedai yang dibuka hampir 16 tahun dan telah berniaga di sini lebih 11 tahun,” katanya.
Peniaga kedai makan, Mohd Narizan Badri meminta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) campur tangan dan segera membina semula deretan kedai terbabit.

“Daripada 24 kedai, hanya empat terselamat dan kita minta supaya kedai dibina semula kerana majoriti peniaga adalah Melayu dan bergantung sepenuhnya kepada perniagaan di kawasan itu.

“Kita juga berharap supaya sistem keselamatan terutamanya kemudahan air dan elektrik dapat dipertingkatkan supaya insiden sama tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai PTDG merangkap Pengerusi Bencana Daerah Gombak, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya akan memanjangkan permintaan peniaga pihak berkaitan termasuk MPS yang juga urus setia bahagian bangunan.

“Peniaga memohon supaya bangunan baru dibina di kawasan sama kerana lokasinya strategik dan meminta supaya pembinaannya itu diseragamkan.

“Kita turut meminta supaya peniaga melantik wakil bagi memudahkan mereka berurusan dengan PTD termasuk berhubung pampasan saguhati dan lain-lain perkara,” katanya.

Kerenah elak dicekup

Kerenah elak dicekup - Perak - Sinar Harian:

Kerenah elak dicekup
Beberapa kereta yang ditahan dalam operasi tersebut akibat kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan JPJ.
IPOH - Panik melihat sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa semasa Operasi Bersepadu Cegah Lumba Haram dan Kenderaan Curi, seorang lelaki yang menunggang motosikal mengelilingi Bulatan Hospital, di sini, berulang kali bagi mengelak dicekup pihak berkuasa, semalam.

Selepas tiga pusingan, lelaki yang membawa adik perempuannya mengalah dan berdepan dengan pihak berkuasa.
Selepas ditanya anggota trafik lelaki tersebut memberi alasan takut dikenakan tindakan undang-undang kerana tertinggal MyKad ekoran bergegas ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk melihat bapa saudara yang dimasukkan ke wad kecemasan.
Lelaki berkenaan bernasib kerana membawa bersama lesen memandu dan dilepaskan selepas diperiksa serta disoal siasat oleh anggota polis bertugas.

Dalam perkembangan sama, tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa penunggang motosikal berjaya melarikan diri dengan menunggang melawan arus bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa.

Aksi ‘berani mati’ itu menunjukkan penunggang motosikal sanggup ‘bergadai nyawa’ daripada ditahan polis.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Wan Sharudddin Wan Omar berkata, sebanyak 125 kesalahan lalu lintas dikesan dengan 101 saman dikeluarkan dalam operasi yang bermula jam 11 malam hingga 5 pagi itu.
Menurutnya, operasi itu melibatkan empat pegawai dan 76 anggota daripada Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan anggota polis sukarelawan (PVR).
“Kali ini, kami guna kaedah sekatan jalan raya di sekitar Bulatan Hospital, Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Hospital dan Jalan Sultan Idris,” katanya.
Katanya, antara kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, ubah suai ekzos dan lesen memandu tamat tempoh.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan mereka terbabit dalam kemalangan yang boleh membawa maut.

Sembunyi pelanggan bawah selimut

Sembunyi pelanggan bawah selimut - Kelantan - Sinar Harian:


Sembunyi bawah selimut
Tukang urut wanita yang ditahan bersama pelanggannya dalam serbuan Khamis lalu.
KOTA BHARU-Tindakan seorang tukang urut wanita yang menyembunyikan pelanggan lelaki di bawah selimut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, berjaya dihidu anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dalam serbuan di sebuah pusat spa, di sini, petang Khamis lalu.
Dalam operasi terbabit, wanita berusia lingkungan 20-an itu pada mulanya tidak mahu membuka pintu bilik yang menempatkan pelanggan itu bersamanya, yang dikunci dari dalam sehingga menyebabkan pihak terbabit terpaksa menunggu hampir 20 minit di luar pintu bilik.

Serbuan yang diketuai oleh Pegawai penguat kuasa MKPB-BRI Inspektor Roslan Yusof, bersama 20 penguat kuasa MPKB dan JHEAIK yang dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Ramly Che Hussin berkata, dalam operasi yang dilakukan itu, pihaknya turut berjaya menahan wanita berkenaan serta lelaki itu yang sedang mendapatkan perkhidmatan mengurut.

“Kita mengeluarkan tiga kompaun terhadap kesalahan menjalankan operasi spa tanpa lesen, di samping kompaun kepada tukang urut wanita yang tidak menutup aurat di bawah Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 serta menahan pelanggan berkenaan yang diserahkan kepada pihak jabatan agama.

“Aktiviti terbabit merupakan perlakuan yang memalukan dan menjatuhkan moral umat Islam memandangkan wanita itu beragama Islam yang menjalankan perkhidmatan mengurut kepada pelanggan lelaki.
"Pihak kami memandang serius aktiviti seumpama ini dan diharapkan agar peniaga yang menjalankan perniagaan spa, tidak menjalankan aktiviti seumpama ini. Perbuatan ini salah di sisi agama Islam memandangkan agama Islam menyuruh umatnya menjaga batasan perlakuan dengan lelaki bukan muhrim," katanya.

Barang kemas RM100,000 dilarikan

Barang kemas RM100,000 dilarikan - Semasa - Sinar Harian:

KUANTAN - Empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol melarikan barang kemas bernilai RM100,000 dari sebuah kedai emas di Merapoh dekat Kuala Lipis semalam.
   
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kumpulan terbabit dipercayai melepaskan dua das tembakan untuk memecah cermin kaca tempat pameran barang kemas sebelum seorang lagi suspek menghentak cermin itu dengan sebilah kapak.  
   
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan berkata keempat-empat suspek ke kedai berkenaan empat jam sebelum itu dengan berpura-pura menjadi pelanggan.
   
"Setelah merompak, mereka melarikan diri dengan sebuah Proton Waja yang diletakkan tidak jauh dari premis itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
   
Beliau berkata pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut di samping meminta orang ramai tampil memberi maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis.
 
Kes diklasifikasi sebagai samun bersenjata. - Bernama

Dirasuk jin, peserta cabar berlawan

Dirasuk jin, peserta cabar berlawan - Selangor & KL - Sinar Harian:


Seorang peserta wanita yang dirasuki jin cuba berlawan dengan Pak Engku (kiri).
Seorang peserta wanita yang dirasuki jin cuba berlawan dengan Pak Engku (kiri).
AMPANG – Sesi kedua Seminar Pembinaan Ketahanan Dalaman anjuran Pengasas Rawatan Komplimentari Yashfien, Datuk Engku Ansaruddin Agus (Pak Engku) yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan, semalam tergendala selama lebih kurang sejam apabila tiga peserta dipercayai dirasuk jin.

Kejadian itu berlaku apabila seorang remaja lelaki tiba-tiba bangun dan mencabar ahli panel untuk berlawan diikuti selang 10 minit kemudian seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an dan seorang wanita warga emas bangun turut memperkatakan hal sama.
Perkara aneh itu disaksikan lebih 100 peserta yang sedang mengikuti tajuk kedua program ‘Apa Itu Sihir’ bersama Imam Masjid Putra Perdana Puchong, Dr Abdullah Qurtubi.

Pak Engku ketika ditemui tidak terkejut dengan apa yang berlaku kerana perkara itu sudah diduganya sejak awal lagi.
“Perkara ini dilakukan oleh jin, jin sememangnya mahu menggagalkan seminar ini, jadi dia akan gunakan apa cara sekalipun untuk membuat tumpuan peserta dan ahli panel terganggu,” katanya yang sudah mengendalikan tiga siri seminar sebelum ini.
Menurutnya, peristiwa yang berlaku semalam adalah kali pertama sepanjang penganjuran seminar itu.
“Saya memang sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan seperti ini, ini semua kuasa ALLAH SWT, kita hanya berikhtiar untuk menyembuhkan sahaja,” katanya.  
Beliau berkata, kesemua peserta dibacakan ayat suci al-Quran sebelum masing-masing beransur pulih.

Mengulas lanjut mengenai seminar diadakan, beliau berkata, ia lebih kepada aspek teknikal untuk menghalang sihir termasuk gangguan jin melalui kekuatan yang ada pada diri setiap orang.
“Setiap orang mempunyai kelebihan cuma ramai yang tidak tahu gunakan, jadi melalui seminar ini kita terangkan menerusi teori dan praktikal bagaimana tenaga dalaman yang kita ada ini boleh digunakan untuk mengelakkan diri daripada gangguan halus,” katanya.

Tiga sekeluarga maut

Tiga sekeluarga maut - Johor - Sinar Harian:

Tiga sekeluarga maut
Keadaan kereta remuk setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Jalan Muar-Tangkak, dekat sini kelmarin.
LEDANG – Hasrat seorang lelaki pulang ke kampung keluarganya di Bukit Pasir, Muar untuk mengambil buah jambu bersama serbuk asam, tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Jalan Muar-Tangkak, dekat sini kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang membabitkan sebuah kereta dengan lori yang sarat membawa muatan tong gas menyebabkan tiga daripada lima penumpang kereta Perodua Kancil iaitu Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina yang berusia dua tahun mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kesemua mangsa dilaporkan kritikal dan disahkan meninggal dunia beberapa jam ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Menurutnya, Mohd Wahyu meninggal dunia jam 6 petang, diikuti Nursyifa Qistina jam 9 malam dan Mohd Adzhar meninggal dunia pada jam 3 pagi semalam.

“Pemandu kereta merupakan isteri kepada Mohd Adzhar, Shahlasiah Abd Malik, 29, kini dirawat di HPSF dan keadaannya stabil. Manakala adik pemandu, Safawi Abd Malik, 20an, dilaporkan kritikal.

“Siasatan awal dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu hilang kawalan lalu memasuki laluan lori dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan sebelum terbabas di bahagian kanan jalan.
“Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan kereta Kancil remuk teruk di bahagian hadapan dan Mohd Adzhar tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.
“Kita meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shahril berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata apabila kereta kancil tersebut tiba-tiba masuk ke laluannya sebelum merempuh lorinya secara berdepan.

“Mujur lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup dan hanya bahagian depan dan tepi lori  remuk,” katanya.

Difahamkan, kemalangan tersebut membuatkan jalan berdekatan Parit Bunga itu sesak sepanjang hampir satu kilometer.

Remaja dituduh rogol bekas kekasih

Remaja dituduh rogol bekas kekasih - Kelantan - Sinar Harian:


Remaja dituduh rogol bekas kekasih
Muhamad Azroy tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU- Akibat merogol bekas kekasih tiga tahun lalu di Machang, seorang remaja menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Bagaimanapun tertuduh, Muhamad Azroy Azhar, 21,membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan hakim, Azman Mustapha selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.
Muhamad Azroy yang berasal dari Machang itu, dituduh merogol bekas kekasihnya yang ketika itu berusia 15 tahun lapan bulan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Burok, Batu 30, Machang kira-kira jam 8 malam pada 8 Februari 2009.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Muhamad Azroy yang mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan itu, hadir ke mahkamah tanpa melantik peguam semalam .

Turut hadir ke mahkamah adalah ahli keluarganya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Ahmad Salam Yusof yang mengendalikan kes tersebut memohon tarikh untuk sebutan pengurusan kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 19 November ini untuk sebutan pengurusan kes.

Ibu 9 anak kerugian RM73,000

Ibu 9 anak kerugian RM73,000 - Semasa - Sinar Harian:

Norizan
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di rumah Norizan, turut terbakar kereta dan motosikal miliknya. Gambar kecil : Noraizan.
TUMPAT – Sebelas sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Kok Keli dekat sini, hangus dalam kebakaran tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal milik keluarga terbabit.

Mangsa, Noraizan Abdullah, 38, berkata, dia menyedari rumahnya terbakar apabila terlihat asap tebal dari salah satu  bilik tidur anaknya, selepas dia selesai membasuh pakaian di bilik air.

“Selesai membasuh, saya naik ke atas rumah tetapi dikejutkan dengan kepulan asap tebal dari bilik tidur anak.

“Pada masa sama saya nampak api mulai marak membakar kelambu dan dinding rumah,” katanya yang mempunyai sembilan anak.

Menurutnya, dia yang dalam keadaan panik cuba memadamkan api di bilik tersebut dengan menyimbah air yang diangkut dengan baldi.

Katanya, sambil cuba memadamkan kebakaran dia juga sempat memeriksa semua empat bilik tidur khuatir ada yang terperangkap kerana seorang anaknya, Mohd Hisyam, 12, tidak ke sekolah.

“Mujur ketika kebakaran itu Mohd Hisyam keluar ke rumah kawannya, manakala tiga anak saya yang berusia tiga tahun, enam dan 16 bulan sedang bermain di halaman rumah.

“Lima anak yang lain berusia 17 hingga lapan tahun ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, apabila api semakin marak dia terpaksa keluar menyelamatkan diri sehelai sepinggang bersama anak-anaknya.

Noraizan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan kereta yang di parkir di halaman rumah kerana ketika kejadian itu, suaminya, Che Ibrahim Abah, 49, keluar ke kolam itiknya di Kampung Kutan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Zakaria Hussien berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari.

“Tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Pengkalan Kubor ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.20 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan kira-kira RM73,000, apabila motosikal dan kereta mangsa turut terbakar,” katanya.

Tukang masak, nelayan mengaku salah bunuh rakan

Tukang masak, nelayan mengaku salah bunuh rakan - Kelantan - Sinar Harian:

KOTA BHARU-Dua warga Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap tuduhan menyebabkan kematian dua rakan senegaranya dalam dua kejadian berasingan.
Tertuduh, tukang masak, Lee Binh Tay, 49, dan nelayan, Luong Van Cuong, 33, membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim Azman Mustapha selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Lee Binh didakwa menyebabkan kematian Nguyen Trong Nhan, 20, di atas bot bernombor KNF 7885 di Jeti 98 Kampung Pak Mayong, Pasir Puteh pada jam 5.30 petang, 16 November 2011.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan yang didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 30 tahun dan denda jika disabit kesalahan.
Manakala, Luong Van didakwa menyebabkan kematian Trun Van To’i Seamans Books, 23, di Jeti Tari Agro, Tok Bali, Pasir Puteh pada jam 2 pagi, 26 Mac 2012. Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda jika didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh. Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan terhadap jaminan itu.

Padah jual VCD, DVD cetak rompak

Padah jual VCD, DVD cetak rompak - Terengganu - Sinar Harian:

Padah jual VCD, DVD cetak rompak
Syed Razman mengaku salah menjual VCD dan DVD yang belum diluluskan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Seysen,Rosli Ahmad, di sini,
KUALA TERENGGANU - Hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, menanti seorang peniaga pasar malam, Syed Razman Syed Abd Rashid, 36.

Hukuman itu boleh dijatuhkan kepadanya yang berasal dari Kampung Gong Kiat, di sini, selepas mengaku salah menjual cakera padat digital (VCD) dan cakera video digital (DVD) pelbagai tajuk cetak rompak di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, Rosli Ahmad, di sini, semalam.
Syed Razman mengaku salah menjual sebanyak 76 keping VCD pelbagai tajuk dan 65 DVD pelbagai tajuk atau bahan publisiti yang belum diluluskan Lembaga Penapisan Filem.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi rakannya yang sudah pun dihukum pada 9 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret, Jaafar Mamat, 47, di tapak pasar malam Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, pada 9 November 2008 jam 8.45 malam.

Dengan itu, Syed Razman mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (2) (a) Akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan Syed Razman direkodkan, Rosli menetapkan 24 Oktober depan untuk jatuh hukum yang akan disebut di Mahkamah Majistret, di sini, dan membenarkan dia diikat jamin RM3,500 oleh seorang penjamin.

Sinar Harian keluaran 10 Oktober melaporkan rakannya, Jaafar dikenakan denda RM6,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Jaafar mengaku salah menjual VCD dan DVD cetak rompak bersama Syed Razman yang semasa itu masih bebas dan sedang diburu.

Budak 2 tahun maut dihempap TV

Kosmo! Online - Negara: "AMPANG JAYA – Sepasang suami isteri menyesal tidak sudah apabila anak bongsu mereka maut dihempap sebuah televisyen (TV) bersaiz 29 inci yang terjatuh dari atas almari sebelum menghempap mangsa di Taman Ampang Saujana di sini semalam.

Keluarga tersebut sebelum ini dikatakan bercadang untuk mengalihkan TV dan almari tersebut namun belum sempat perkara itu dilakukan TV tersebut terlebih dahulu mengundang tragedi.

Semasa kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa Halif Hariz Khairil Anuar, dua tahun, ibu bapanya dan dua abang mangsa yang berusia lima dan lapan tahun berada di dalam bilik tidur utama rumah teres itu.

Bapa mangsa, Khairil Anuar Mohamed, 36, yang bekerja sebagai Inspektor Kesihatan di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) manakala ibunya, Nur Azlin Mohd. Ali, 31, yang berniaga sendiri sedang berehat di dalam bilik sama.

Halif dan dua abangnya semasa itu bermain-main di dalam bilik tersebut.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu terkejut apabila mereka mendengar bunyi dentuman kuat di dalam bilik sebelum diikuti tangisan Halif.

Halif kemudian dilihat sudah berada di bawah TV dengan darah mengalir tanpa henti dari telinga, mulut dan hidungnya."

'via Blog this'

Kedai emas rugi RM100,000 disamun


KUANTAN – Empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol melarikan barang kemas bernilai RM100,000 dari sebuah kedai emas di Merapoh dekat Kuala Lipis kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, perompak terbabit dipercayai melepaskan dua das tembakan untuk memecah cermin pameran barang kemas sebelum seorang lagi suspek menghentak cermin itu dengan sebilah kapak.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, keempat-empat suspek memasuki ke kedai tersebut empat jam sebelum itu dengan berpura-pura menjadi pelanggan.
Setelah merompak, mereka melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan tidak jauh dari premis itu,” kata beliau ketika dihubungi.

Derita hidup peniaga daging

Kosmo! Online - Negara:




MUTUKRISHNAN menunjukkan ibu jari tangan kanan yang didakwa dikerat ah long di Selayang, Selangor semalam.



SELAYANG – Seorang peniaga daging kambing tidak menyangka kehidupannya tidak pernah sunyi daripada penderitaan setelah membuat pinjaman sebanyak RM50,000 dengan sebuah syarikat kewangan berlesen pada tahun 2006 untuk tujuan menjalankan perniagaan.
Deritanya bermula apabila dia gagal menjelaskan baki pinjaman berkenaan sebanyak RM13,000 tahun lalu.
Akibatnya kepala dia ditetak dengan senjata tajam, telinga kanannya dihiris manakala dan ibu jari tangan kanannya dipotong tahun lalu.
Bagaimanapun mangsa, A. Mutukrishnan menerima satu lagi kejutan apabila dia dihalau dari rumahnya di Selayang di sini oleh pekerja syarikat kewangan berlesen itu baru-baru ini.
Alasan yang diberikan ialah rumah tersebut sudah digadai kepada bank.
“Disebabkan rasa tidak puas hati dengan tindakan itu, saya telah merujuk perkara tersebut ke bank berkenaan.
“Saya cukup terkejut apabila bank mengakui kelalaian mereka meluluskan proses tukar hak milik rumah tersebut kepada syarikat terbabit tanpa pengetahuan saya,” dakwanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Warga Jerman ditahan kerana cuba seludup dadah RM2.2j

Kosmo! Online - Dunia:




SCHWEIKERT (kiri) yang memakai penutup kepala dikawal oleh seorang pegawai kastam di Mataram semalam.- AFP



MATARAM, Indonesia - Seorang warga Jerman ditahan di sebuah resort di Lombok kerana cuba menyeludup 3.7 kilogram (kg) dadah jenis kanabis yang bernilai kira-kira AS$739,000 (RM2.2 juta), kata beberapa pegawai semalam.
Seorang ketua pegawai kastam wilayah, Listrijono memberitahu, warga Jerman itu, Rolf Oskar Josef Schweikert, 57, ditahan selepas dia mendarat di sebuah lapangan terbang di Lombok kelmarin.
Dia menaiki pesawat penumpang Silk Air dari Singapura.
"Kami menahan lagi seorang warga asing yang cuba menyeludup dadah ke Pulau Lombok," katanya.
Listrijono berkata, dadah itu disembunyikan di dalam beg pakaiannya.
"Suspek mungkin dikenakan hukuman mati berdasarkan undang-undang Indonesia," kata seorang ketua detektif polis wilayah, Ricky Simon Paays.
Pada Khamis lalu, pihak berkuasa Indonesia memberkas seorang wanita warga Afrika Selatan kerana cuba menyeludup dadah methamphetamine seberat 2.6kg bernilai kira-kira AS$500,000 (RM1.5 juta). - AFP

Lelaki warga Vietnam cuba beri rasuah ditahan

Lelaki warga Vietnam cuba beri rasuah ditahan:


Lelaki warga Vietnam (kanan) yang ditahan kerana memandu tanpa lesen yang sah dan cuba merasuah anggota penguat kuasa di Johor Bahru, kelmarin
JOHOR BAHRU 12 Okt. - Seorang lelaki warga Vietnam ditahan selepas cuba merasuah anggota penguat kuasa yang menahannya kerana memandu tanpa lesen dalam Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Johari Yusof berkata, lelaki tersebut yang memandu kereta bersama tiga rakan senegaranya ditahan pukul 11 malam.
"Lelaki berusia 28 tahun itu cuba merasuah anggota penguat kuasa sebanyak RM200 sebagai sogokan bagi melepaskannya kerana memandu tanpa lesen yang sah.
"Anggota terbabit kemudian memaklumkan kejadian kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut serta dalam operasi itu sebelum lelaki tersebut ditahan," katanya kepada pemberita semasa menyertai operasi berkenaan.
Menurutnya, pemandu tersebut mendakwa dia dan tiga rakannya bekerja di tapak pembinaan dan kereta tersebut adalah milik majikan mereka.
Beliau berkata, tiga rakannya bagaimanapun dibebaskan kerana mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Mengulas operasi selama empat jam bermula pukul 8 malam itu, Johari berkata, ia dijalankan secara serentak di seluruh daerah membabitkan 241 anggota daripada tujuh agensi penguatkuasaan termasuk polis, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Sebanyak 1,431 kenderaan telah diperiksa dan kita telah mengeluarkan 105 saman dan menyita 14 kenderaan atas pelbagai kesalahan.
"Seramai 21 orang turut ditahan selepas ujian air kencing mendapati mereka positif mengambil dadah jenis ganja dan methamphetamine," katanya.
Menurutnya, hingga bulan lalu, sebanyak 46,755 kemalangan dicatatkan di negeri ini mengakibatkan 775 kematian dengan 60 peratus daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121013/wj_02/Lelaki-warga-Vietnam-cuba-beri-rasuah-ditahan#ixzz29Li65NfR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Teksi didakwa tak guna meter

Teksi didakwa tak guna meter:


SEBAHAGIAN pemandu teksi yang mengambil penumpang di Stesen LRT Taman Melati didakwa mengenakan tambang RM4 kepada pengguna dari Kondominium Platinum Victory 3 dan 5 serta Melati Utama, Gombak.
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Pengguna sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang turun dan naik di Stesen Taman Melati mendakwa terdapat pemandu teksi di kawasan itu yang mengambil penumpang tanpa menggunakan meter.
Pada awalnya, Utusan Malaysia yang menerima aduan tersebut melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam ruangan SMS MMS Anda telah mengadakan tinjauan selama dua jam di stesen LRT tersebut tetapi mendapati semua pemandu teksi menggunakan meter.
Bagaimanapun, perkara itu diakui berlaku oleh orang ramai, malah sebilangan pemandu teksi yang ditemui Utusan Malaysia di situ.
Ada di antara mereka memberitahu, terdapat pemandu teksi yang terus mengenakan tambang sebanyak RM4 kepada penumpang dari Kondominium Platinum Victory 3 dan 5 serta Melati Utama.
Seorang pelajar, Airisya Abdullah, 20, berkata, pemandu teksi yang mengambil penumpang dari kondominium tersebut ke Stesen LRT Taman Melati tidak menggunakan meter.
Katanya, penumpang sebaliknya terus dikenakan tambang 'automatik' sebanyak RM4.
"Bagaimanapun, teksi dari stesen LRT ini semua menggunakan meter. Kalau ada yang tidak menggunakan meter hanya dari kondominium itu sahaja," katanya.
Sementara itu, seorang pemandu teksi, Shuhairi Halim, 41, turut menyatakan perkara yang sama dan menambah bahawa kegiatan pemandu teksi yang tidak menggunakan meter turut berlaku di stesen LRT itu.
"Teksi yang tidak menggunakan meter tersebut juga mengambil penumpang di stesen LRT ini tetapi mereka mengambil penumpang di sebelah belakang stesen dan bukannya di hadapan tempat menunggu teksi.
"Selalunya, mereka akan menunggu penumpang dalam pukul 5.30 petang. Penumpang mereka terdiri daripada penghuni di Kondominium Platinum Victory 3 dan 5," ujarnya.
Tambahnya, penumpang memilih untuk menaiki teksi itu kerana ia mengenakan tambang RM1.20 bagi setiap penumpang, tetapi perlu tunggu penuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20121013/wk_01/Teksi-didakwa-tak-guna-meter#ixzz29LhtbwQi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis mohon bantuan kesan penjenayah seret mangsa

Polis mohon bantuan kesan penjenayah seret mangsa:

'SHAH ALAM 13 Okt. - Polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kes seorang lelaki melarikan sebuah kereta jenis Toyota Altis sehingga menyebabkan kematian pemiliknya di Jalan Kapar, Klang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, Toyota Altis berwarna perak yang dilarikan suspek adalah model terbaharu yang dikeluarkan pada tahun 2010 dengan nombor pendaftaran BKV 8332.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kereta berkenaan diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini
Dalam kejadian itu, pemilik kereta tersebut, Teoh Moy Lay, 52, maut setelah dilanggar dan diseret sejauh 70 meter oleh suspek yang melarikan kenderaannya.
Kejadian berlaku pukul 7.30 petang ketika mangsa keluar dari kereta untuk membuka pintu pagar rumah sebelum dilarikan penjenayah terlibat.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukor berkata, polis masih memburu dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Berdasarkan siasatan awal, kata beliau, suspek datang berdua dan mengekori mangsa dengan menaiki sebuah kereta Toyota Altis model tahun 2000.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20121014/wk_04/Polis-mohon-bantuan-kesan-penjenayah-seret-mangsa#ixzz29LhlueY3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 maut, seorang kritikal dalam kemalangan di Muar

3 maut, seorang kritikal dalam kemalangan di Muar:

LEDANG 14 Okt. - Tiga beranak maut dan seorang lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, mangsa, Mohd. Adzhar Abu Bakar, 29, dua anaknya, Mohd. Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina, 2, terbunuh akibat kecederaan parah.
Mohd. Wahyu disahkan meninggal dunia pada pukul 6 petang diikuti Nursyifa Qistina tiga jam kemudian manakala Mohd. Adzhar pada pukul 3 pagi ini ketika kesemua mereka dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Adik ipar Mohd. Adzhar iaitu Safawi Abd. Malik, 20-an, dilaporkan kritikal, manakala isteri Mohd. Adzhar yang memandu kereta tersebut, Salasiah Abd. Malik, 29, dalam keadaan stabil dan masih dirawat di HPSF.
Sementara itu, pemandu lori, Mohd. Shahril Abu, 27, yang berasal dari Tangkak hanya mengalami cedera ringan di kaki dan tangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121014/dn_17/3-maut-seorang-kritikal-dalam-kemalangan-di-Muar#ixzz29Lh0xYqo
© Utusan Melayu (M) Bhd