Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Ahli perniagaan wanita didakwa bunuh suami dan model sambilan

Ahli perniagaan wanita didakwa bunuh suami dan model sambilan - Semasa - Sinar Harian: "KAJANG - Seorang ahli perniagaan wanita hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh suaminya dan seorang model sambilan, bulan lepas.
  
Yau Chooi Thin, 29, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap suaminya Leong Kian Sheong, 37, seorang pengusaha kedai tayar dan Vivien Wong, 20, yang juga seorang pelajar, bersama-sama dua orang yang masih bebas dan empat orang yang telah dituduh di No. 1 Jalan SP6/3, Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras, di sini antara 6.10 pagi hingga 6.45 pagi, pada 13 Sept lalu.
  
Bagi kesalahan itu, Yau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
  
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
     
Majistret Aina Azahra Arifin menetapkan 5 Dis untuk sebutan semula kes.
     
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamala, manakala Yau diwakili peguam Geethan Ram Vincent. - Bernama"

'via Blog this'

Pelajar SPM antara 2 didakwa rompak DJ Best 104 -

Pelajar SPM antara 2 didakwa rompak DJ Best 104 - Semasa - Sinar Harian:

DJ - Best 104
Remaja berusia 17 tahun dan tukang cuci, Muhamat Arafi Amin Wong, 21, dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen hari ini - Foto Bernama
JOHOR BAHARU - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan antara dua lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan merompak seorang juruhebah radio Best 104, bulan lepas.
  
Pelajar berusia 17 tahun itu dan Muhamat Arafi Amin Wong, 21, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dibacakan di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani.
  
Pelajar dari Saleng, Kulaijaya itu dan Muhamat Arafi dari Senai bersama beberapa lagi yang masih bebas didakwa merompak Julie Diana Omar Shariff, 34, dengan menggunakan pisau di No. 53, Jalan Kasim Nor, Kampung Sungai Danga, Taman Perling, pada 1 pagi, 29 Sept lalu.
  
Mereka didakwa merampas dua utas rantai leher, sebentuk cincin, sepasang anting-anting, wang tunai RM6,000, kad ATM, kad pengenalan dan telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM10,000.
  
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
  
Mahkamah membenarkan pelajar itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Muhamat Arafi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
  
Hakim menetapkan 24 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

'via Blog this'

Gudang simpan minyak pelincir hangus terbakar, kerugian dianggar RM1 juta

Gudang simpan minyak pelincir hangus terbakar, kerugian dianggar RM1 juta - Semasa - Sinar Harian:
BUTTERWORTH - Sebuah gudang menyimpan minyak pelincir di Lengkok Kapal, Jalan Chain Ferry di sini kerugian lebih RM1 juta selepas musnah dalam satu kebakaran hari ini.
   
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.34 petang dan jentera pertama tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.
   
"Sebaik jentera kita sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan berlaku dua kali letupan kuat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kebakaran.
   
Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
   
Azmi berkata tujuh jentera dengan kekuatan 47 pegawai dan anggota serta empat jentera bomba sukarela terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pukul 6 petang, dan pasukan bomba mengambil masa hampir dua jam untuk memadamkan api secara keseluruhan.
   
Azmi berkata ketika kejadian, terdapat beberapa pekerja dalam gudang itu. Bagaimanapun, mereka berjaya menyelamatkan diri.
   
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - Bernama
'via Blog this'

Pembunuh kekasih isteri rakyat Malaysia dakwa 'dirasuk syaitan'

Pembunuh kekasih isteri rakyat Malaysia dakwa 'dirasuk syaitan' - Semasa - Sinar Harian:
MELBOURNE – Seorang lelaki Indonesia yang membunuh kekasih isterinya dengan kejam, mendakwa 'dirasuk syaitan' ketika kejadian.

Hazairin Iskandar, yang didapati bersalah membunuh rakyat Malaysia Mohd Shah Saemin, memberitahu Mahkamah Agung New South Wales hari ini bahawa dia sedar telah melakukan 'satu dosa yang tidak terampun dalam Islam', lapor Australian Associated Press (AAP).

Hazairin turut memohon kemaafan daripada keluarga mangsa yang berasal dari Melaka, pada pendengaran hukuman di depan Hakim David Davies hari ini.

Mohd Shah, 43, seorang pemandu di Konsulat Malaysia, meninggal dunia selepas diserang Hazairin dan anak lelaki tertuduh, Andrew di luar pangsapuri mangsa di Leichhardt, Sydney pada malam 21 Feb 2010.
   
Andrew telah dihukum penjara 18 tahun kerana pembabitannya dalam pembunuhan itu.

Hazairin juga memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia memaksa anaknya membunuh Mohd Shah.

Peguam James Trevallion kemudian menyoal sama ada Hazairin berbohong untuk menyelamatkan anaknya, yang mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Hazairin berkata Andrew, yang gemar bersendirian serta tidak mempunyai rakan, marah kerana melibatkan anaknya itu dalam jenayah tersebut.

"Saya mencium kakinya dan memohon ampun kepadanya," katanya.

Pada perbicaraan kes itu, mahkamah mendengar keterangan bahawa Hazairin menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali pada bahagian atas badan dengan sebilah pisau manakala anaknya membelasah mangsa berulang kali dengan tukul.

Dua beranak itu menyerang Mohd Shah selepas mengetahui isteri Hazairin iaitu Nita Iskander mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Pendengaran hukuman bersambung esok.- Bernama
'via Blog this'

Disamun tiga warga asing, diacu parang

Disamun tiga warga asing, diacu parang - Semasa - Sinar Harian:

Disamun tiga warga asing, diacu parang
Mohd Sohud melakonkan semula cara penyamun itu mengugut isterinya.
Disamun tiga warga asing, diacu parang
Mohd Sohud menunjukkan tempat persembuyian perompak selepas menyamun rumahnya.
Disamun tiga warga asing, diacu parang
Mohd Sohud menunjukkan kayu yang digunakannya semasa memukul suspek yang cuba bertindak melarikan diri.
Disamun tiga warga asing, diacu parang
Mohd Johari (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan dalam kejadian samun dan pecah rumah, pagi kelmarin.
ROMPIN -  “Mak cik, senyap ya, kalau tak saya cederakan cucu mak cik,” demikian suara ugutan dipercayai seorang lelaki warga asing yang menyamun sebuah rumah di Kampung Bangkong dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan Rokiah Harun, 50, diselubungi perasaan takut, apatah lagi perompak terbabit turut mengacu parang ke arahnya, sementara mulut wanita itu ditampal dengan pita pelekat dan kedua-dua belah tangannya diikat.

Rokiah berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu mendatangkan kesan trauma kepadanya, malah sehingga kini, dia masih terbayang-bayang saat parang tajam itu dituju ke arah lehernya.

“Hanya perasaan takut saja yang ada pada masa itu. Saya bimbang nyawa saya dan cucu tidak selamat, apatah lagi perompak terbabit bersenjatakan parang,” katanya kepada Sinar Harian.

Rokiah berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga perompak itu juga mengenakan topeng muka bagi menyukarkan identiti mereka dikenal pasti.

“Mulanya saya tak sedar rumah dimasuki pencuri kerana masih tidur pada waktu itu sehinggalah terdengar suara orang sedang bercakap. Sebaik saja saya membuka mata, seorang lelaki menyuruh saya diam.

“Seorang lelaki menghampiri saya dan mengambil rantai leher yang saya pakai serta gelang tangan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek dipercayai melarikan diri sebaik saja mengambil barang kemasnya sebelum dia pergi mendapatkan suami di bilik sebelah untuk meminta pertolongan.

Seorang suspek ditangkap

Suaminya, Mohd Sohud Md Amin, 53, berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang cucunya pula tidur di bilik berasingan dan tidak menyedari kejadian terbabit.

Bagaimanapun, katanya, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi salakan anjing dari arah jalan raya dan ketika itu juga isterinya masuk ke dalam biliknya sambil kedua-dua tangannya masih berikat.

“Isteri menyatakan rumah kami dimasuki pencuri dan barang kemasnya juga dikebas tiga perompak terbabit.

“Selepas membuka ikatan tangan isteri, saya terus berjumpa dengan seorang saudara yang tinggal berhampiran untuk jejak penyamun itu dalam ladang sawit berhampiran,” katanya.

Katanya, hatinya kuat mengatakan perompak itu berada dalam ladang sawit kerana terdengar bunyi salakan anjing, selain terdapat kesan tapak kaki atas jalan menuju ladang sawit.

“Mulanya saya masuk bersama seorang saudara saya, tetapi masih tidak dapat menjejaki perompak itu, kami mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit,” katanya.

Katanya, sebaik saja anggota peronda polis (MPV) tiba, dia bersama lima penduduk kampung dan dua anggota keselamatan masuk ke ladang itu.

Mohd Sohud berkata, setelah masuk ke ladang itu, polis berjaya mengesan kelambu putih yang disangkut dengan daun pelepah sawit.

“Sebaik saja menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga lelaki cuba meloloskan diri, namun hanya seorang sahaja yang berjaya ditangkap manakala selebihnya lari bertempiaran,” katanya.

Katanya, seorang suspek yang cuba melarikan diri itu terjatuh selepas dia yang memegang kayu bertindak memukul bahagian muka mangsa.

“Dua lagi penyamun lari lintang pukang manakala seorang lelaki yang cuba lari di hadapan saya pula dihembat mukanya dengan kayu sebelum dia terjatuh,” katanya.


Perompak dipercayai  warga Indonesia

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, polis kini giat mencari dua lagi suspek dipercayai warga Indonesia selepas dipercayai terlibat dalam dua kes berasingan di tempat yang sama.

Johari berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu di sebuah rumah di Kampung Bangkong pada jam 3.35 pagi dengan mengumpil tingkap rumah mangsa sebelum mencuri wang ringgit dan barangan berharga.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa tidak menyedari rumahnya dimasuki pencuri, namun setelah terjaga daripada tidur, mangsa terkejut apabila rumahnya digeledah suspek dan beberapa barangan berharga mangsa hilang.

“Curiga dengan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, pagi kelmarin,” katanya.

Katanya, polis juga percaya suspek turut menyamun sebuah rumah di kampung yang sama sejam selepas itu dan turut mengugut seorang wanita agar tidak ‘membuka mulut’ berhubung peristiwa tersebut.

“Suspek dipercayai masuk ke rumah itu dengan mengumpil tingkap besi cermin di bahagian tengah rumah dan menyelinap masuk ke dalam sebelum mengugut seorang wanita dalam bilik.

“Suspek dipercayai mengambil seutas rantai leher bernilai RM6,000 dan gelang tangan RM2,000 selain jam tangan,” katanya.

Katanya, Inspektor Khaliq Mostapa dan pasukan MPV serta penduduk setempat akhirnya berjaya menahan seorang suspek di sebuah ladang manakala dua lagi sempat melarikan diri.

“Semasa serbuan, ketiga-tiga suspek dipercayai sedang tidur dalam kelambu di sebuah ladang, namun mereka terjaga setelah tersedar didatangi sepasukan polis.

“Dua daripada suspek kini bebas dan meminta orang ramai yang melihat seorang lelaki mencurigakan tampil membantu siasatan,” katanya.

'via Blog this'

Helah pukau tak menjadi

Helah pukau tak menjadi - Johor - Sinar Harian:

Helah pukau tak menjadi
Tiga daripada empat suspek yang berjaya ditahan polis. Gambar kecil: Zainuddin
JOHOR BAHRU - Empat rakyat Yemen ditahan polis kerana cuba memperdayakan seorang pengurup wang dalam kejadian di Jalan Ibrahim, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi dengan keempat-empat mereka cuba memperdaya pengurup berkenaan menerusi penukaran wang dolar Amerika (AS$) kepada Ringgit Malaysia (RM).

“Pengurup wang tersebut menerusi laporan polis yang dibuat, mendakwa dia seolah-olah dipukau oleh kesemua lelaki itu. Kesemua mereka yang bertutur bahasa Arab itu pada mulanya cuba untuk menukar AS$7000 kepada mata wang Malaysia.

“Bagaimanapun, mereka kemudian meminta mata wang dolar Amerika tersebut ditukar kepada Euro selepas diminta menunjukkan pasport,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Zainuddin berkata, pengurup wang berusia 65 tahun itu yang menyedari dia sedang diperdaya terus bertindak menghubungi polis untuk bantuan lanjut.

Beliau berkata, anggota polis peronda yang berada tidak jauh dari premis terbabit berjaya menahan keempat-empat lelaki berusia 30an itu dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita percaya mereka menggunakan taktik pukau yang sama, yang biasanya berlaku di Lembah Klang. Polis kini sedang menyiasat latar belakang mereka termasuk tarikh kemasukan ke negara ini,” katanya.

Katanya, sehubungan kejadian itu, polis kini meminta pengurup wang dan orang ramai di bandar raya ini supaya berhati-hati dengan kejadian seumpama itu bagi mengelakkan mereka kerugian.

'via Blog this'

Lori diubah suai beli diesel dirampas

Lori diubah suai beli diesel dirampas - Johor - Sinar Harian:


Lori diubah suai beli diesel dirampas
Lori diubah suai yang berjaya dirampas, semalam.
SENAI – Cubaan pemandu sebuah lori yang diubah suai untuk membeli diesel subsidi di sebuah stesen minyak di Sutera Danga, Skudai gagal apabila ditahan sepasukan Polis Marin Wilayah Dua dekat sini, pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Superintendan Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam operasi bersama lima anggota pada jam 9.10 pagi itu, pihaknya berjaya merampas sebuah lori yang telah diubah suai pada bahagian tangki.

“Bertindak atas maklumat risikan berkaitan aktiviti penyelewengan diesel subsidi, pasukan operasi telah menahan sebuah lori berkanvas dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan ke atas lori tersebut dan menjumpai lima tangki yang setiap satunya boleh memuatkan 1,000 liter diesel dan tangki tambahan yang telah berisi lebih kurang 600 liter diesel yang disyaki subsidi kerajaan.

“Kesemua barang tersebut dirampas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Seksyen  21 kerana membawa atau memiliki barangan kawalan tanpa dokumen yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pemandu bersama lori tersebut diserah kepada KPDNKK Johor Bahru untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata, pihaknya amat mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan yang menyalahi undang- undang khasnya penyeludupan manusia dan barangan bercukai serta jenayah maritim bagi tujuan pembanterasan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) Johor di talian 07–2372222 atau 07–2376122,” katanya.

2 ditahan rogol kanak-kanak 6, 10 tahun

2 ditahan rogol kanak-kanak 6, 10 tahun - Johor - Sinar Harian:
LEDANG - Tidak sedar diri, tepat buat seorang warga emas berusia 66 tahun apabila tergamak menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebagai pemuas nafsu serakahnya, sejak kira-kira enam bulan lalu.

Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar selepas adik mangsa melihat mangsa ditindih suspek dengan kedua-duanya berbogel, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu, di belakang kedai makan dan minuman di Jalan Panggung Lama, Tangkak.

Menurutnya, suspek adalah pelanggan tetap kedai milik bapa mangsa dan kenalan bapanya sejak sekian lama.

“Suspek ditangkap jam enam petang, hari sama dan direman sehingga Ahad ini.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, semalam.

Dalam kes berlainan pada hari sama, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dirogol sepupunya berumur 24 tahun dalam kebun getah belakang rumah  mangsa di Kampung Anjung Batu, Tangkak.

Harun berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, kanak-kanak berkenaan sedang tidur atas sofa di beranda rumah, dan suspek yang kebetulan lalu di situ terangsang apabila melihat pakaian mangsa tersingkap.

“Semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan suspek mendukungnya ke kebun getah lalu merogolnya,” katanya.

Jelasnya, ekoran itu pihaknya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di kampung yang sama kira-kira jam 4.50 petang dan ditahan  direman sehingga Ahad ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
'via Blog this'

Marah produk ditiru

Marah produk ditiru - Perak - Sinar Harian:

Marah produk ditiru
Hok Leong menunjukkan perbezaan antara produk tiruan (bawah) dan asli pada sidang media di sini, semalam.
IPOH - Sebuah syarikat menjual plastik pembungkus makanan mendakwa barangan barangan jualannya ditiru oleh sebuah syarikat lain yang dipercayai beroperasi secara haram dan memasarkan produk berkenaan di sekitar negeri ini.

Produk tiruan itu turut didakwa mengandungi bahan tambahan berbahaya, dikenali sebagai 'plasticisers’ yang boleh memudaratkan sistem badan manusia sehingga menjurus kepada penyakit kanser jika kerap dugunakan.

Plastik pembungkus makanan itu dipercayai diimport dari negara China dan kemudiannya dibungkus dan dipasarkan di negeri ini.

Pengurus Pemasarannya, Chong Hok Leong berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelanggan berhubung masalah tersebut pada pertengahan Ogos lalu.

Menurutnya, pelanggan terbabit mendakwa plastik pembungkusan makanan yang dijual semakin tidak berkualiti malah ia semakin menipis.

“Selain itu, dia (pelanggan) turut memaklumkan pemotong yang digunakan dibuat daripada logam mudah karat dan ia amat membahayakan pengguna,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Negeri, Mohd Rawi Abdullah.

Dalam perkembangan berkaitan, Hok Leong berkata, selepas mendapat aduan, pihaknya segera membuat tinjauan ke semua premis yang menjual produk tersebut.

“Melalui tinjauan yang dijalankan, kami dapat mengesan sebuah pasar mini yang menjual produk tiruan menggunakan jenama yang sama.

“Malah, cara pembungkusannya hampir sama dengan produk asli sehingga menyebabkan pengguna terpedaya dan membeli barangan tersebut tanpa memeriksanya terlebih dahulu,” katanya yang sudah lebih 20 tahun terbabit dalam perniagaan itu.

Seterusnya, dia meminta bantuan Mohd Rawi untuk membawa perkara ini kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri untuk tindakan lanjut.

“Berikutan itu, pada 6 September lalu, saya dengan bantuan Mohd Rawi telah membuat aduan di PPDNKK Negeri mengenai perkara itu.

“Dalam tempoh beberapa hari sahaja PPDNKK Negeri berjaya mengesan penjualan produk tiruan menggunakan jenama kami di sekitar Ipoh, Taiping dan Parit Buntar.  Kami diberitahu semua barangan berkenaan disita dalam operasi tersebut,” katanya.

Hok Leong berkata, perbezaan antara produk asli dan tiruan mungkin tidak dapat dikesan hanya dengan sekali imbas.

Sehubungan itu, dia menasihati pengguna supaya memeriksa terlebih dahulu kandungan produk yang dijual sebelum membeli.

'via Blog this'

Bebas tuduhan menembak

Bebas tuduhan menembak - Perak - Sinar Harian:

Bebas tuduhan menembak
Keempat- empat Orang Asli Semai meraikan 'kebebasan' mereka bersama peguam Augustine Anthony dan Amani Williams-Hunt.
TAPAH - Mahkamah Majistret Tapah membebaskan dan melepaskan tanpa dipanggil membela diri kepada empat Orang Asli dari suku kaum Semai daripada tuduhan menembak Harimau Belang (Panthera Tigirs) di Hutan Rezab Bukit Tapah, dua tahun lalu.

Yok Rayau a/l Yok Senian, 50 dan Yok Kalong Bah Papee, 51, dari Kampung Gamus, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Jernang manakala Yok Mat a/l Bah Chong, 48, dari Penempatan Orang Asli (Pos) Jernang dan Hassan a/l Bah Ong, 33, yang tinggal Kampung Ras, RPS Jernang dituduh menembak binatang liar yang dilindungi itu menggunakan senapang patah.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nazratul Natrah Mohd Yusof terhadap empat Orang Asli berkenaan yang diwakili peguam bela, Augustine Anthony dan Amani Williams-Hunt.

Setelah mendengar hujah dan bukti-bukti yang dikemukakan oleh peguam bela, Majistret Fairuz Adiba mendapati pihak peguam bela berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan Prima Facie ke atas empat-empat tertuduh itu dalam kes ini,” katanya.

Sebelum itu, peguam bela, Augustine Anthony yang mewakili kesemua tertuduh, berhujah ada beberapa percanggahan fakta antaranya laporan ujian balistik mengatakan senjata yang diperiksa oleh pakar adalah daripada jenis Steven sedangkan nota serah senjata mengatakan senjata api yang dirujuk secara spesifik itu adalah jenis Stevens.

“Selain itu, mereka dituduh menggunakan senapang, jelas senapang itu diambil secara haram, mereka tidak ada kebenaran atau lesen untuk memiliki.

“Pendakwa mendakwa mereka tembak sedangkan pendakwaan tidak membuktikan mereka memiliki senjata api,” katanya.

Keempat-empat Orang Asli itu dituduh kali pertama di Mahkamah Majistret Tapah pada 27 Oktober 2010.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 8 pagi hingga 1 petang di Hutan Rizab Bukit Tapah, pada 4 Februari 2010.

Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 64A Akta Perlindungan Hidupan Liar (Pindaan) 1988, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Harimau Belang merupakan sejenis binatang yang dilindungi sepenuhnya di bawah senarai Jadual Satu, Butiran 35, Akta Perlindungan Hidupan Liar (Akta 76) 1972.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM15,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun.

'via Blog this'

Ribut aneh jejas 10 rumah

Ribut aneh jejas 10 rumah - Perak - Sinar Harian:

Ribut aneh jejas 10 rumah
Penduduk menunjukkan bumbung kediaman mereka yang tercabut akibat ribut berlaku di Taman Kerian, Parit Buntar.
PARIT BUNTAR - Kejadian ribut aneh yang melanda Taman Kerian, di sini menyebabkan 10 rumah rosak di bahagian bumbung dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.15 tengah hari, semalam.

Mangsa, T Puspa, 42, berkata, kejadian itu mengejutkannya kerana tiada sebarang tanda berlaku ribut memandangkan keadaan cuaca ketika itu dalam keadaan  baik.

Bagaimanapun, dia yang berseorangan di rumah ketika itu, terkejut apabila terdengar bunyi letupan kuat berkali-kali sehingga menyebabkannya berlari keluar kerana ketakutan.

“Setelah keluar, saya melihat kelibat ramai jiran yang turut berlari keluar dari kediaman masing-masing susulan bunyi letupan itu.

"Kami baru sedar rumah kami dilanda bencana alam apabila melihat beberapa keping bumbung bersepah di atas jalan akibat diterbangkan ribut,” katanya sewaktu ditemui media di sini semalam.

Bunyi letupan itu turut didengari pemandu lori, Sani Mansor, 56, yang menyangka ia terjadi disebabkan kucing berjalan atas bumbung.

“Bagaimanapun, saya terkejut melihat ramai jiran berlari keluar dari rumah dan apabila saya keluar untuk meninjau keadaan, saya menyedari hampir 70 peratus bumbung rumah terjejas,” katanya.

Seorang penduduk, S Devi, 36, menyatakan kejadian ribut yang berlaku selama lima minit itu menjejaskan hampir keseluruhan bumbung rumahnya.

Jelasnya, akibat bencana itu dia kerugian hampir RM1,000 dan  berharap kejadian malang menimpanya mendapat perhatian pihak berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk, Mokhtar Ghosali, 37, menyaksikan puting beliung yang terbentuk secara tiba-tiba dan ‘menyapu’ sebahagian kecil rumah di taman  itu dalam masa lima minit.

“Kejadian ribut aneh ini kerap berlaku di Taman Kerian walaupun keadaan cuaca baik dan Difahamkan, sebanyak tiga kes seperti itu dilaporkan di sini sepanjang tahun ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan punca kejadian ribut aneh berlaku di taman ini disebabkan faktor geografi perumahan yang menjadi laluan angin lintang,” katanya.

Kejadian malang itu mendapat perhatian Umno dan Pas bahagian Parit Buntar yang hadir meninjau keadaan mangsa ribut di Taman Kerian.

Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussin berkata, pihaknya akan meninjau kadar kerosakan yang ditanggung penduduk dan bersedia menyalurkan bantuan membaik pulih bumbung rosak mengikut keperluan.

Bagi Penyelaras Dun Titi Serong, Abu Bakar Md Ali, pihaknya menyerahkan sumbangan wang dan bantuan makanan kepada mangsa serta mempertimbangkan pemberian bantuan Tabung Khas Bencana Alam dari Pejabat Tanah dan Daerah Kerian.

'via Blog this'

Ibu rayu anak segera pulang

Ibu rayu anak segera pulang - Selangor & KL - Sinar Harian:

Ibu rayu anak segera pulang
Salbiah (tengah) menunjukkan salinan laporan polis dan gambar anak yang menghilangkan diri sejak 28 September lalu.
KUALA LANGAT - Seorang wanita yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 11 November depan menghilangkan diri dan dipercayai mengikut tunangnya sejak 28 September lalu.

Ibunya, Salbiah Mat Piah, 57, berkata, anaknya, Nor Hayati Mohd Kormib, 29, yang bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Raja, Klang keluar dari rumah tanpa memaklumkan sesiapa dan memberitahu hala tujunya.

Menurutnya, sebelum ini tunang Nor Hayati menghubunginya dan meminta kebenaran untuk membawa anak perempuannya itu ke Johor selama tiga hari.

"Saya ragu dengan tindakan tunang anak saya itu dan sejak hari pertama Nor Hayati hilang, tiada panggilan telefon diterima daripada mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Salbiah berkata, keluarganya juga gagal menghubungi pasangan itu kerana talian telefon mereka ditamatkan perkhidmatan.

Katanya, dia bimbangkan keselamatan anak ketiga daripada enam adik beradik terbabit dan tindakan Nor Hayati itu juga menyedihkannya.

“Nor Hayati tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada keluarga malah tiada sebarang pertengkaran atau pergaduhan berlaku di antara kami.

"Bagaimanapun sejak akhir-akhir saya dapati sikapnya berubah kerana banyak mendiamkan diri," katanya.

Salbiah berkata, keluarganya sudah puas mencari Nor Hayati tetapi tidak berjumpa walaupun pelbagai cara dilakukan termasuk meminta pandangan tokoh agama.

Katanya, dia percaya Nor Hayati mengikut tunangnya dan merayu anak perempuannya itu segera pulang ke rumah kerana semua ahli keluarga merinduinya.

Dia yang bekerja sebagai tukang urut dan membuka kedai makan di hadapan rumahnya di Jalan Pusara, Kampung Sijangkang berkata, kehilangannya Nor Hayati benar-benar merunsingkannya memandangkan suaminya kini tidak sihat.

Sementara itu, menantu Salbiah, Farid Fahmi Samsuddin berkata, sehingga kini adik ipar menghilangkan diri hampir 13 hari dan mereka sekeluarga risau sesuatu yang buruk berlaku kepada Nor Hayati.

“Saya yakin Hayati turut menjadi mangsa kepada lelaki yang baru dikenalinya tidak sampai lima bulan itu,” katanya.

Farid Fahmi berkata,  dia meminta kerjasama orang ramai yang mengenali dan terserempak dengan Nor Hayati supaya menghubungi keluarganya di talian 03-31228102 dan 017-2754645 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan laporan kehilangan Nor Hayati telah dibuat di Balai Polis Telok Panglima Garang.

'via Blog this'

Dipukul gara-gara teman wanita

Dipukul gara-gara teman wanita - Utara - Sinar Harian:

Dipukul gara-gara teman wanita
Romah dan Mohd Alif menunjukkan laporan polis yang dibuat.
ALOR SETAR - Seorang ibu kesal apabila anak bongsunya dipukul rakan sekolah dengan menggunakan kayu cota dengan alasan anaknya mengganggu teman wanita pelajar lelaki itu.

Ibu mangsa, Romah Hashim, 53, berkata, kejadian yang berlaku Ahad lalu di sebuah sekolah agama swasta di Derga diketahui setelah dimaklumkan oleh anaknya, Mohd Alif Sharif, 15, yang menerusi panggilan telefon yang dibuat anaknya.

Mohd Alif yang kini sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendakwa dia dipukul pelajar itu di bahagian perut, lengan, kaki dan belakang badan.

Menurutnya, akibat daripada kejadian terbabit anaknya terpaksa menjawab kertas soalan dalam keadaan tidak selesa kerana masih berasa sakit akibat daripada kejadian itu.

“Sewaktu menerima panggilan saya hanya menyangka tiada apa-apa kesan dan hanya bergaduh biasa namun apabila diperiksa saya mendapati terdapat kesan lebam di beberapa bahagian.

“Saya segera memaklumkan pada guru sekolah itu dan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar,” katanya.

Romah berkata, sebagai ibu dia kesal kerana dengan kejadian yang berlaku kerana kayu cota merupakan barangan larangan yang tidak sepatutnya dibawa oleh pelajar ke sekolah.

Dia berkata, pihak sekolah sepatutnya memeriksa pelajar terlebih dahulu sebelum sesi persekolahan bermula kerana bimbang sekiranya mereka membawa barang larangan sehingga boleh menimbulkan kejadian yang berlaku terhadap anaknya.

Mohd Alif ketika menceritakan kejadian itu berkata, sehari sebelum kejadian dia telah berjumpa dengan rakannya itu di sebuah kafe siber di Simpang Kuala, dekat sini dan remaja itu telah mengugut akan memukulnya di sekolah.

Dia yang langsung tidak mengenali teman wanita rakannya itu tidak menyangka akan dipukul sehingga mengganggu konsentrasinya untuk menjawab peperiksaan.

“Walaupun masih berasa sakit di beberapa bahagian yang dipukul namun saya terpaksa habiskan menjawab kertas soalan.

“Selepas kejadian itu, saya tidak menerima ugutan daripada pelajar berkenaan dan berharap kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.

Jurucakap sekolah memaklumkan kes yang berlaku adalah kes terpencil dan telah pun diselesaikan oleh pihak sekolah dengan memanggil kedua-dua pelajar untuk meminta maaf agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu.

Adzaman berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai ROA (Refer To Order) yang merujuk semula kepada sekolah.

'via Blog this'

Sindiket minyak subsidi tumpas

Sindiket minyak subsidi tumpas - Pahang - Sinar Harian:

Sindiket minyak subsidi tumpas
Md Nawawi menunjukkan stor yang digunakan untuk menyimpan minyak petrol yang ‘dikencing’ pemandu lori.
KUANTAN - Tanda tanya berhubung kehadiran lori minyak yang sarat dengan muatan diesel dan petrol keluar masuk ke sebuah bengkel haram di Kilometer 27, Jalan Kuantan- Kemaman dekat sini  terjawab selepas ‘port’ tersebut dikesan dijadikan  transit  mengumpul dan mengedar bahan api bersubsidi yang ‘dikencing’ pemandu lori secara haram.

Kegiatan sindiket yang berselindung di sebuah lokasi tersorok di belakang deretan bengkel itu berjaya dihidu pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang hasil risikan sejak sebulan lalu sebelum serbuan dilakukan semalam.

Hasil serbuan kira-kira jam 9.30 pagi ke atas ‘port’ tersebut, dua pemandu lori dari sebuah syarikat pengangkutan dan dua pekerja stor simpanan minyak haram berusia dalam lingkungan 40-an ditahan ketika sibuk menyedut minyak dari tangki dua buah lori ke tangki simpanan yang disediakan.

Pakai istilah pemandu 'kencing'

Ketua Seksyen Penguat kuasa PPDNKK Pahang, Md. Nawawi Ab.Rahman berkata, berikutan pembongkaran itu, sebanyak 64,000 liter bahan api bersubsidi membabitkan diesel dan petrol dianggarkan bernilai RM118,300 dirampas.

Menurutnya, turut disita dua buah lori tangki milik sebuah syarikat pengangkutan yang mendapat kontrak penghantaran minyak dari depoh di Kuantan ke beberapa stesen minyak sekitar Pahang dan Terengganu.

“Kita istilahkan kegiatan ini sebagai ‘kencing’ melibatkan pemandu lori apabila cuba mencuri bahan api yang sepatutnya dibawa ke stesen minyak untuk kepentingan peribadi dengan menyedut sebahagian kecil bahan bakar itu secara haram di pusat pengumpulan seperti di sini.

“Dalam kes ini, kedua-dua lori yang ditahan  sepatutnya menghantar bekalan diesel dan petrol ke sebuah stesen minyak di Triang dan stesen minyak milik Koperasi Felda Neram 1 bagaimana pun pemandunya mengambil kesempatan singgah ‘kencing’ sebahagian minyak yang dibawa di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan dekat sini, semalam.

Pemilik stesen minyak tak sedar

Md Nawawi berkata, modus operandi ahli sindiket ini agak licik memandangkan ketirisan bekalan minyak itu seolah-olah tidak disedari pemilik stesen minyak kerana prosedur penghantaran termasuk  tag khas yang dipasang pada hos keluar masuk pada tangki tidak terusik.

“Mereka ada cara tersendiri untuk menyedut keluar kira-kira 200 liter diesel atau petrol dari setiap petak isian pada tangki menggunakan pam khas yang mampu menyedut jumlah yang dikehendaki dalam masa hanya lima minit,” katanya.

Beliau berkata, selepas selesai minyak disedut, pemandu terlibat akan meneruskan perjalanan ke stesen minyak yang sepatutnya sebelum aktiviti itu diteruskan pemandu tidak bertanggung jawab yang lain.

“Setelah bekalan mencukupi, pengusaha pusat mengumpul minyak haram ini akan menghubungi pelanggan mereka untuk membawa bekalan minyak subsidi itu kepada pengusaha industri dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, bagi setiap liter minyak diesel bersubsidi, sindiket memperoleh keuntungan kira-kira RM0.90 sekiranya dijual kepada pihak industri manakala bagi petrol pulangannya mencecah RM1.10.

“Selalunya, pemandu lori akan mencuri kira-kira 1,200 liter daripada 30,000 liter yang dibawa dan keuntungan mereka mencecah sehingga RM1,000,”katanya.

Kegiatan didalangi beberapa pihak

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi beberapa pihak bagaimana pun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu  terlibat termasuk pemilik tapak bengkel haram itu.

Menurutnya, berikutan kejayaan itu, gejala ketirisan dan penyalahgunaan bahan api bersubsidi itu dapat dibanteras.

“Kes hari ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau tidak lebih tiga tahun penjara bagi individu dan denda sehingga RM250,000 bagi syarikat atau perbadanan jika disabitkan kesalahan.

Md Nawawi berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya berjaya menyita 2 juta liter diesel bersubsidi  bernilai RM3.5 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM2.06 juta subsidi yang ditanggung kerajaan berjaya diselamatkan manakala 19 individu diambil tindakan.

'via Blog this'

Ribuan ikan mati dituba

Ribuan ikan mati dituba - Terengganu - Sinar Harian:

Ribuan ikan mati dituba
Sebahagian ikan yang mati telah dipungut untuk ditanam bagi mengelak bau busuk di Sungai Jertih.
BESUT – Orang ramai gempar apabila ribuan pelbagai spesies ikan termasuk kelah ditemui mati di dalam Sungai Jertih berhampiran Masjid  Hadhari Jertih, di sini kelmarin.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kejadian itu disedari salah seorang kakitangannya ketika bertugas membersihkan kawasan Taman Rekreasi Sungai Jertih itu.

Menurutnya, kakitangannya menyedari kejadian itu kira-kira jam 9 pagi apabila melihat ribuan ikan mati terapung di atas permukaan air sungai.

“Punca ikan tersebut mati dipercayai akibat dituba oleh pihak tidak bertanggungjawab di bahagian hulu sungai kerana sifat tamat dan mahu tangkapan ikan dalam jumlah banyak serta mudah,” katanya.

Tengku Zaihan berkata lagi, akibat perbuatan tersebut menyebabkan pelbagai spesies ikan di situ seperti lampan, baung termasuk kelah dan kelisa serta ikan kecil lain mati.

Menurutnya, perbuatan menuba bukan sahaja menyebabkan pencemaran air sungai malah akan menyebabkan kepupusan ikan di sungai itu.

“Penuba hanya memungut ikan bersaiz besar sahaja dan membiarkan ikan yang kecil mati terapung di permukaan air,” katanya.

Kata beliau, Sungai Jertih adalah salah sebuah sungai di daerah ini yang diberi perhatian khusus untuk pemulihan daripada pencemaran air buangan termasuk mengalirkan air buangan melalui saluran paip khas ke kawasan pembetungan sebelum dirawat.

Menurutnya, usahanya pihaknya memulihkan sungai tersebut telah berjaya kerana terdapat ikan kelah yang boleh hidup di dalam sungai tersebut memandangkan ikan kelah hanya boleh hidup di dalam air sungai yang bersih atau kelas 1 sahaja.

“Saya akan maklumkan perbuatan menuba itu kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

'via Blog this'

Kedai makan terbakar, pelanggan panik menyelamatkan diri

Kedai makan terbakar, pelanggan panik menyelamatkan diri - Terengganu - Sinar Harian: "KUALA TERENGGANU - Kira-kira 100 pelanggan sedang menjamu selera panik lari menyelamatkan diri apabila sebuah kedai makan di deretan Medan Selera Tanjung, di sini terbakar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu hampir kesemua pelanggan dalam deretan lapan buah kedai makan itu lari keluar takut kemungkinan berlakunya letupan tabung gas.

Seorang peniaga, Yusniza Yusoff, 32, berkata beliau sedang menyiapkan hidangan makanan, tiba-tiba terdengar jeritan kebakaran dan orang ramai dalam kedai menjadi cemas berebut-rebut keluar.

Sambil berlari keluar beliau melihat api kebakaran dalam kedai sebelah dan beberapa peniaga lain menolong memadamkan api supaya tidak merebak.

Komandan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat di sini, Ab Halim Adam berkata sebaik menerima panggilan enam anggota penyelamat bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian memadamkan kebakaran.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak. - Bernama"

'via Blog this'

Kampung ditenggelami ombak

Kampung ditenggelami ombak - Terengganu - Sinar Harian:

Kampung ditenggelami ombak
Busu (dua kiri) menjadikan pondok di bawah pokok ketapang di tepi pantai tempat berkumpul dengan kawan-kawannya mengenang kembali kisah silam.
Kuala Terengganu – Siapa sangka kampung kecil yang indah di tepi laut ini pernah ditenggelami ombak besar setinggi pokok kelapa sehingga ratusan penduduknya terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

Tragedi yang berlaku tahun 1986 itu bagaimanapun masih kukuh dalam ingatan penduduk Kampung Tanjung Pantai di Kuala Terengganu.

Rata-rata penduduk yang ditemui mengakui, mereka sangat terkejut dan panik kerana tidak menyangka cuaca buruk yang berselang ribut petir itu akhirnya membuatkan kampung halaman mereka tenggelam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pantai, Busu Yaakub berkata, dalam suasana kelam kabut itu, dia sempat keluar dari rumah dan menuju ke tepi pantai sambil melaungkan azan sekuat hati.

“Pada masa itu, saya tidak dapat berfikir banyak dan melakukan apa sahaja yang terlintas sambil mendoakan keselamatan penduduk.

"Saya lihat penduduk lari bertempiaran menyelamatkan diri, ibu bapa menggendong anak kiri dan kanan dan melarikan diri sekuat hati, kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana kejadian berlaku begitu pantas," katanya.

Kata Busu, mereka berlari menyelamatkan diri ke kawasan pembinaan Astaka yang kini menjadi salah satu pusat membeli belah terkenal di Kuala Terengganu sebelum dipindahkan ke Chendering.

"Ratusan rumah di kampung ini yang dulunya  hanya berlantaikan kayu nibong, berdindingkan buluh dan berbumbung nipah lenyap sekelip mata, semuanya musnah dan tidak ada apa yang tinggal, kami tinggal sehelai sepinggang," katanya.

Penduduk tinggal di tapak pembinaan pusat beli-belah Astaka  sementara menunggu  kerajaan menyiapkan  rumah panjang yang terletak di Pantai Pandak, Chendering.

Kampung Pantai Teluk 'berkubur'

Kini penduduk asal Kampung Tanjung Pantai hanya tinggal 20 peratus sahaja kerana tanah tapak rumah digunakan bagi tujuan pembangunan.

Dahulunya, kawasan Taman Selera Tanjung yang ada kini juga sebuah perkampungan namun telah terhapus dek pembangunan yang kian pesat di pusat bandar raya ini.

“Kampung Pantai Teluk juga sudah 'berkubur' yang kini diganti dengan Dataran Shahbandar,” katanya.

Katanya, kebanyakan penduduk Kampung Pantai Teluk berpindah ke Gong Kapas, Durian Burung, Seberang Takir dan Padang Nenas setelah kediaman masing-masing terpaksa dirobohkan bagi tujuan pembangunan selari dengan pengiktirafan Kuala Terengganu sebagai bandar raya.

Biarpun dahulu kampung tersebut tidak mempunyai pembangunan sepesat sekarang, namun kata Busu, Kampung Pantai Teluk pernah menjadi lokasi persinggahan pesawat mengisi minyak untuk ke kawasan tertentu.

Aktiviti utama penduduk kampung ketika itu ialah nelayan, tidak kira tua atau muda, semuanya meredah ombak untuk menangkap ikan.

"Kampung ini terkenal dengan perahu panjang kerana banyak digunakan penduduk untuk menangkap ikan, disebabkan saiznya yang panjang, perahu itu menjadi tarikan ramai," katanya.

Namun kini, pekerjaan itu hanya tinggal sejarah, penduduk kampung kini sudah bergelar orang bandar.

"Tidak ada lagi nelayan di Kuala Terengganu kerana kebanyakan penduduk bandar kini bekerja sendiri mahupun makan gaji dengan kerajaan dan sektor swasta," katanya.

Bimbang rumah bakal dirobohkan

Biarpun banyak pembangunan dilakukan di Kuala Terengganu tetapi kehilang satu demi satu kampung di dalam bandar raya ini meninggalkan kesan duka di hati penduduk.

Kata Busu, penduduk kampung bukan menolak pembangunan namun biarlah perkampungan di dalam bandar raya ini dikekalkan.

"Mungkin kita boleh jadikan ia sebagai tarikan pelancong dengan adanya imej tradisi di tengah pusat bandar raya.

"Pelancong mahu melihat sesuatu yang unik dan lain daripada apa yang ada di tempat mereka, mungkin ini salah satu cara yang unik untuk membuatkan mereka lebih kagum dengan negeri kita," katanya.

Penduduk kini dilanda kebimbangan apabila kediaman yang ada pun bakal dirobohkan untuk pembangunan.

"Biarpun ada pampasan yang diberikan namun, kenangan di kampung ini amat bernilai buat kami," katanya.

Kata Busu, pembinaan jambatan dari Kampung Tanjung Pantai ke Seberang Takir juga memberi kesan kepada penduduk di kampungnya.

'via Blog this'

Maut dihempap pokok

Maut dihempap pokok - Kelantan - Sinar Harian:

Maut dihempap pokok
Mohamad Fadil ditemui terperangkap di bawah keratan pokok rambutan yang ditebangnya di Kampung Alor Hijau, Selising. Gambar kecil : Mohamad Fadil
Maut dihempap pokok
Mayat Mohamad Fadil terperangkap di bawah keratan pokok rambutan dalam kejadian di Kampung Alor Hijau, Selising malam kelmarin. Gambar kecil: Yaakob Kadir
PASIR PUTEH - Seorang penebang pokok menemui ajal selepas ditimpa keratan pokok rambutan yang ditebangnya di Kampung Alor Hijau, Selising dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Mohamad Fadil Mohamad, 40, dari Kampung Padang Pak Omar di sini, yang dikatakan keluar dari rumah jam 4 petang kelmarin untuk mengambil upah menebang pokok rambutan tua tidak pulang ke rumahnya sehingga pukul 12 malam tadi.

Keadaan itu menyebabkan isteri mangsa, Rosnani Yaakob, 38, meminta pertolongan saudaranya untuk mencari Mohamad Fadil yang keluar rumah tanpa memberitau tujuannya.

Abang Ipar mangsa, Yaakub  Kadir, 53, berkata, dia bersama empat kawan mencarinya di kawasan sekitar dan menjumpai kereta milik Proton Iswara milik mangsa kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Yaakob berkata, dia mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa Mohamad Fadil apabila berpuluh-puluh panggilan ke telefon bimbit mangsa tidak berjawab.

“Saya menggunakan lampu suluh untuk mencarinya kerana kawasan itu agak gelap dan kami terkejut mendapati dia (Mohamad Fadil) terperangkap di bawah batang pokok rambutan yang ditebangnya dalam keadaan kaku.

“Ketika itu gergaji pemotong berada berham-piran dengannya dan saya kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Selising sementara menunggu anggota Bomba dan Penyelamat tiba untuk mengeluarkan arwah,” katanya.

Yaakob berkata, tempat kejadian tidak jauh daripada rumah orang kampung tetapi kejadian menimpa Mohamad Fadil tidak disedari mungkin disebabkan ketika itu hujan lebat.

Selain mengambil upah menebang pokok, arwah turut mengusahakan nira kelapa di hadapan rumahnya dan sebelum ini, dia dikatakan memberitahu keluarga hasratnya untuk menunaikan ibadat haji.

Mangsa yang mening-galkan seorang balu dan seorang anak lelaki, Mohd Aiman Mohamad fadil, 4, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jawa, dekat sini jam 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku di antara pukul 4 petang hingga 1.30 pagi dan mangsa mati akibat ditimpa pokok yang ditebang.

“Polis mengesahkan mangsa ditemui di bawah pokok yang di tebangnya sendiri dan pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Mohd Kamal berkata, hasil siasatan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala dan tiada kesan perbuatan jenayah.

'via Blog this'

Jualan dadah melalui internet jerat mahasiswa di Yogyakarta

Jualan dadah melalui internet jerat mahasiswa di Yogyakarta - Global - Sinar Harian:
YOGYAKARTA - Strategi pengedar dadah di sini menjual dadah menerusi Internet bukan sahaja menjerat seorang pelajar Malaysia yang kini ditahan polis Indonesia, tetapi juga memerangkap sejumlah mahasiswa dari beberapa universiti lain.
   
Modus operandi mereka sama iaitu menawarkan dadah melalui Internet, transaksi pembayaran ke akaun bank melalui mesin teler automatik (ATM) dan pembeli mengambil dadah yang ditinggalkan di satu lokasi yang dinyatakan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).
 
Berkongsi satu sel dengan pelajar Malaysia itu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sleman pada Jumaat ialah lima lagi mahasiswa universiti lain yang ditangkap kerana kesalahan dadah.
   
Menurut polis, dalam operasi tidak lama dahulu, mereka pernah menangkap 46 orang kerana kesalahan dadah dan 34 daripada mereka ialah pelajar universiti.
   
Ketua Cawangan Narkotik IPD Sleman ASP Heri Yugo berkata modus operandi pengedaran dadah di Yogyakarta menyulitkan polis untuk mengesan jaringan pengedar dadah terbabit, namun mereka tidak patah semangat untuk bekerja keras bagi membongkar kegiatan itu sehingga ke akarnya.

Setakat ini, polis hanya berjaya menangkap keldai dadah di lapangan terbang selain yang pembeli yang mengambil pesanan dadah yang ditinggal pengedar di satu lokasi.
   
Semua yang ditangkap setakat ini juga tidak dapat membantu polis menjejaki pengedar kerana mereka tidak pernah berjumpa atau mengenali pihak yang terbabit dalam penjualan dadah berkenaan.
   
Nombor telefon penjual tidak dapat dihubungi lagi selepas transaksi selesai, manakala akaun bank pula didaftar di tempat yang jauh seperti Jayapura, Papua berdasarkan satu daripada kes yang disiasat polis.
   
Semasa ditemui di IPD Sleman pada Rabu, pelajar Malaysia berumur 22 tahun yang ditangkap polis kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 68.93 gram itu berkata beliau belum pernah menggunakan dadah dan hanya memesan dadah berkenaan kerana terdorong perasaan ingin tahu.
   
Katanya jualan ganja itu ditawar menerusi laman sembang Internet MIRC.
   
Katanya beliau hanya sempat memegang bungkusan kertas surat khabar mengandungi ganja itu selama lima minit dan belum melihat kandungannya apabila dicekup pihak berkuasa pada petang hari kejadian.
   
Ditanya sama ada pengedar menyasarkan pelajar universiti memandangkan bilangan yang ditangkap ramai, Heri berkata sindiket itu tidak peduli siapa pembelinya asalkan mereka boleh mengaut keuntungan.                   - Bernama
'via Blog this'

Rayu tunang pulang

Rayu tunang pulang - Melaka & NS - Sinar Harian:

Rayu tunang pulang
MOHD NUR NAZRI
PORT DICKSON – Seorang lelaki merayu tunangnya pulang semula ke pangkuan keluarga setelah lebih tiga minggu keluar dari rumahnya di Felda Serting Hilir, Bahau.

Mohd Nor Nazri Paie, 24, berkata, tunangnya, Norhatiqah Rasli, 18, meninggalkan rumahnya awal pagi pada 26 September lalu secara senyap melalui pintu belakang rumahnya.

Menurutnya, tindakan tunangnya itu disedari ibunya selepas mendengar bunyi kereta berhampiran rumah.

"Sejurus itu, ibunya meninjau di tingkap dan melihat Norhatiqah masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum dipandu laju meninggalkan rumah.

"Ketika itu, Norhatiqah turut membawa beberapa helai pakaian dan barang peribadi serta wang tunai miliknya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Nor Nazri berkata, seminggu sebelum kejadian itu, dia ada bertemu Norhatiqah di rumahnya di Bahau.

“Kami berbual seperti biasa dan tiada sebarang tingkah laku ataupun perbualan yang menunjukkan dia tidak berpuas hati.

“Kami juga ada berbincang mengenai hal perkahwinan dan dia kelihatan gembira sepanjang pertemuan kami,” katanya.

Menurutnya, dia mengikat tali pertunangan dengan Norhatiqah pada Julai lalu dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada bulan ini.

“Wang hantaran dan persiapan perkahwinan sudah disiapkan, hanya  menunggu tarikhnya sahaja. Saya tidak menyangka dia akan lari dari rumah.

“Saya tidak mempunyai masalah dengannya kerana selama dalam tempoh bertunang ini hubungan kami rapat serta mendapat restu seluruh ahli keluarganya,” katanya.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan Nuhatiqah melarikan diri, dia cuba menghubungi nombor telefonnya beberapa kali, namun gagal.

“Sepanjang hampir tiga minggu ini, ada juga beberapa kali saya menerima panggilan telefon yang mengarahkan saya agar memutuskan tali pertunangan dengan Nurhatiqah.

“Namun pemanggil tersebut tidak dapat dikenal pasti kerana dia hanya akan bercakap beberapa saat sahaja sebelum memutuskan talian. Beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) dari nombor sama juga diterima dan bila ditanya di mana tunang saya, SMS tersebut tidak dibalas,” katanya.

Mohd Nor Nazri berkata, dia mengenali tunangnya itu ketika Nurhatiqah tinggal dan membantu neneknya di sebuah kedai makan di Pasir Panjang.

“Kami berkenalan dan berkawan hampir setahun sebelum sama-sama bersetuju untuk bertunang.

“Saya akui sebelum bertunang, Nurhatiqah mempunyai ramai rakan lelaki, namun dia sudah berubah malah ia diakui oleh nenek dan ahli keluarganya,” katanya.

Mohd Nur Nazri berharap Nurhatiqah akan pulang dan dia sedia memaafkan tindakan tunangnya itu.

'via Blog this'

Beranda rumah terangkat

Beranda rumah terangkat - Pahang - Sinar Harian:

Beranda rumah terangkat
Kelihatan empat tiang beranda masih kukuh sementara bahagian bumbung rosak dalam kejadian ribut itu.
BERA – Ketika berehat di kerusi malas di beranda rumah, seorang warga emas, Umar Usah, 79, terkejut apabila beranda rumahnya terangkat ekoran ribut, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, pada waktu terluang, dia memang suka berehat di beranda, namun tidak menyangka perkara itu berlaku di depan matanya.

“Pada mulanya, hujan tidak lebat namun tiba-tiba cuaca bertukar ribut menyebabkan beranda terangkat dan tercampak ke belakang rumah.

“Ada juga bahagian tiang dan beberapa atap zink mengenai bumbung dapur jiran sebelah,” katanya.

Katanya, mujur ketika kejadian, dia tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, sejurus kejadian, dia segera masuk dalam rumah kerana bimbang jika ada bumbung di bahagian lain pula yang terangkat dan diterbangkan angin kencang.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sebahagian bumbung di hadapan depan dan bilik diterbangkan ribut manakala peralatan dalam rumah pula basah dan rosak.

Kejadian kali ketiga

Umar berkata, ini adalah kejadian kali ketiga rumahnya dipukul ribut dan kali ini paling teruk.

Katanya, walaupun struktur beranda kukuh, namun tidak sangka ia boleh diterbangkan angin kencang pada ketika itu.

“Sebelum ini, bumbung di bahagian bilik dan dapur pernah diterbangkan ribut, namun kali ini mungkin ribut terlalu kuat menyebabkan beranda pula terangkat.

“Sekarang ini pun masih ada lagi sisa-sisa kayu beranda di atas bumbung tetapi semua itu akan dialihkan hari ini juga,” katanya.

Beliau berkata, setelah tiga kali rumahnya dilanda ribut, mungkin dia akan cuba memohon pinjaman perumahan Felda setelah berbincang dengan anak-anaknya nanti.

Sementara itu, anaknya, Mohd Khairi, 33, berkata, anak-anak tidak kisah jika bapanya mahu membuat pinjaman perumahan itu memandangkan rumahnya rosak teruk akibat kejadian itu.

“Kami tidak kisah sekiranya dia mahu membuat pinjaman, tetapi mungkin sukar bagi dirinya berbuat demikian memandangkan usianya menjangkau 80 tahun.

“Tetapi bagus juga kalu boleh bina baru rumah demi keselamatan ayah dan kakak, Roslinda, 36, serta anaknya yang tinggal bersama di rumah ini,” katanya.

Felda baiki bumbung

Pengurus Rancangan, Azemim Mamat, ketika ditemui di Pejabat Felda Purun, berkata pihaknya sudah melihat keadaan rumah mangsa ribut itu dan melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja membaiki bumbung dan beranda yang diterbangkan ribut.

Menurutnya, berdasarkan penilaian yang dilakukan, anggaran kerosakan antara RM8,000 hingga RM10,000.

Katanya, memandangkan mangsa mendaftar insurans menerusi Felda, dia layak menuntut insurans atau menerima bantuan daripada Tabung Kebajikan Peneroka yang masing-masing tidak melebihi RM10,000.

“Kerja baik pulih itu akan dilakukan segera demi keselamatan dan keselesaan mereka,” katanya.
Muip hulur sumbangan

Pegawainya, Muhammad Assiya Ulhayat Jahidin berkata, walaupun sumbangan itu tidak besar namun sekurang-kurangnya dapat meringankan kesusahan mangsa.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab Muip untuk membantu mangsa bencana alam terutama mangsa kebakaran, banjir atau ribut.

“Bantuan itu bergantung kepada kerosakan yang dialami mangsa dan kita juga turut menyumbang sedikit bekalan makanan sebagai tanda keprihatinan Muip terhadap mangsa.

“Saya berharap jika masyarakat mempunyai maklumat berkaitan dengan bencana alam mahupun kemiskinan yang melanda jiran mereka, dapat menyalurkan kepada Muip untuk tindakan susulan,” katanya.

'via Blog this'

2 gerai makan musnah

2 gerai makan musnah - Perak - Sinar Harian:

D2 gerai makan musnah
Sebuah kenderaan milik orang awam yang turut terlibat dalam kejadian itu.
TAIPING – Dua gerai makan yang telah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu musnah 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Stesen di sini, semalam.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Rozahar, 39, berkata, beliau begitu terkejut apabila melihat ada percikan api dan tidak lama kemudian api mula marak.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.32 petang dan api mula merebak hingga ke gerai kedua.

“Tapi kami bersyukur kerana semua selamat dan hanya berlaku sedikit kecederaan di bahagian kepala, kaki dan tangan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, ketika kejadian semua begitu panik dan hanya terfikir untuk menyelamatkan diri serta ahli keluarga yang lain.

Rozahar berkata, beliau dan dua anaknya telah dibawa ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kami hanya mengalami sedikit kecederaan, namun gerai makan habis hangus terbakar dan jumlah kerugian yang dialami dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.

“Selain itu, mungkin disebabkan gerai makan ini dibina menggunakan papan menyebabkan api marak dengan begitu pantas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa Hasna Abd Rashid berkata, dalam kejadian itu seorang wanita berusia 39 tahun bersama dua kanak-kanak dipercayai anak wanita terbabit berada di dalam kedai berkenaan.

Katanya, akibat kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami cedera ringan serta dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Taiping.

Hasna berkata, pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan kejadian kira-kira jam 3.32 petang, daripada orang awam.

“Dalam kejadian itu, dua jentera bomba dan penyelamat dan tiga motosikal bomba dan penyelamat membabitkan sembilan anggota telah berkejar ke lokasi kejadian. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 5.18 petang.

“Sebuah kereta dipercayai milik orang awam juga menerima kesan bahang kebakaran dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

'via Blog this'

Masjid terbiar jadi sarang maksiat

Masjid terbiar jadi sarang maksiat - Terengganu - Sinar Harian:

Masjid terbiar jadi sarang maksiat
Keadaan dalam masjid lama yang terbiar dan kotor. Gambar kecil: Ismail
MARANG - Penduduk di sini merayu pihak berkaitan agar membaik pulih semula atau merobohkan sebuah masjid lama di sini, agar tidak disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab kerana keadaannya tidak terjaga.

Dakwa mereka, kemudahan lama di Binjai Rendah tidak lagi digunakan selepas masjid baru iaitu Masjid Haji Muda siap dibina lebih dua tahun lalu terletak bersebelahan masjid lama berkenaan  sekaligus kemudahan itu terbiar dan mereput.

“Hampir keseluruhan bahagian dalam dan luar masjid didapati rosak berpunca daripada serangan anai-anai kerana tidak dijaga manakala siling dan palangnya pula sudah mula mereput,” kata penduduk berdekatan dikenali sebagai Abdullah, 40-an.

Menurutnya, keadaan kotor dan tidak terjaga itu juga menarik perhatian golongan tidak bertanggungjawab untuk melakukan perkara negatif termasuk melakukan maksiat kerana masjid lama berdekatan dengan jalan utama Kuala Terengganu ke Kuala Berang.

"Terbaru, sekumpulan penduduk berjaya menangkap dua pasangan remaja yang dipercayai ingin melakukan maksiat tetapi berjaya dicegah dan ditahan orang kampung,” katanya kepada Sinar Harian.

Tinjauan Sinar Harian di dalam masjid lama juga mendapati, kesemua kabel elektrik terdapat di dalam masjid putus dipercayai akibat dicuri manakala keadaan sekelilingnya amat kotor dan beberapa tempat di luar masjid pula berbau busuk kerana air bertakung.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Mohamad berpendapat, masjid lama itu tidak wajar dirobohkan kerana kemudahan itu masih elok dan kukuh malah jika diperbaiki ia dapat dijadikan tempat untuk belajar fardu ain atau diubah suai menjadi dewan serba guna.

“Sayang jika ia dirobohkan kerana struktur bangunan masjid lama masih kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian menghubungi Pengerusi Masjid Haji Muda Binjai Rendah, Ismail Sulaiman, 67, yang mengesahkan perkara itu, berkata, keadaan itu sudah mula berlaku apabila penduduk di situ mula menggunakan kemudahan masjid baru.

Menurutnya, sebelum ini masalah itu telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Binjai Rendah dan dipanjangkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama kira-kira dua tahun lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini masalah ini masih belum dapat diselesaikan,” katanya.

'via Blog this'