 |
Mohd Yusoff dan isteri, Che Embun Ariffi n mengemas rumah mereka di Lintang Pondok Upeh yang dinaiki air, awal pagi semalam. |
BALIK PULAU - Sebanyak tujuh rumah di tiga lokasi berasingan di daerah ini, dilanda banjir kilat disebabkan hujan lebat sejak awal pagi semalam.
Enam rumah di Lintang Pondok Upeh dan taman perumahan Pondok Upeh serta sebuah rumah lagi di Kampung Sungai Burung ditenggelami air separas paha dan hanya mulai surut kira-kira jam 6 pagi.
Mangsa, Mohd Yusoff Ahmad, 74, berkata, dia dan ahli keluarganya tidak tidur sejak hujan turun pada jam 12 tengah malam sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kami bukan sahaja bersiap-sedia, malah telah menjangkakan banjir kilat akan berulang lagi, sedangkan ianya baru terjadi tiga minggu lalu.
"Saya, isteri dan cucu berusaha menyelamatkan kelengkapan yang ada, namun gagal.
"Televisyen, peti sejuk, radio dan mesin basuh habis terkena air, manakala kelengkapan perabot seperti almari pakaian turut rosak dalam kejadian itu," katanya.
Dia, yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM3,000 berkata, banjir kilat itu berpunca daripada air saluran perparitan yang melimpah dan mengalir terus ke rumahnya.
"Saluran perparitan itu agak tinggi, manakala permukaan jalan di hadapan rumah saya rendah, menyebabkan air terus membanjiri kawasan rumah setiap kali hujan.
"Dalam tempoh terdekat, sudah dua kali kami terpaksa membersihkan rumah yang berlumpur dan tidur dalam kebimbangan kerana takut banjir kilat berulang lagi," katanya yang sudah tinggal di situ sejak 13 tahun lalu.
Mohon bantuan Adun
Seorang lagi mangsa, Zulkefli Mohd Yusof, 50, yang tinggal bersebelahan berkata, masalah itu berlaku sejak dua tahun lalu tanpa ada jalan penyelesaian.
"Justeru, saya memohon bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad agar dapat membantu kami di sini.
"Ini kerana tiga rumah yang terletak berhadapan jalan ini dinaiki air setiap kali hujan lebat.
"Penat membersihkan rumah tiga minggu lalu, masih belum hilang dan hari ini (semalam), kami terpaksa melalui pengalaman perit ini sekali lagi," katanya.
Dia, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, kemalangan yang dialami setahun lalu menyukarkannya untuk melakukan kerja-kerja berat.
"Kasihan saya melihat isteri dan ibu bapa saya terpaksa membersihkan kawasan rumah yang berlumpur.
"Diharapkan masalah ini dapat diselesaikan segera dalam masa terdekat," katanya.
Tinggikan struktur jalan
Sementara itu, Muhamad Farid berkata, beliau akan memohon peruntukan daripada Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi meninggikan struktur jalan terbabit untuk mengelakkan limpahan.
"Itu merupakan salah satu jalan penyelesaian yang dapat membantu menangani masalah ini.
"Selain itu, perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Barat Daya turut akan dijalankan untuk mengkaji sistem perparitan sedia ada.
"Penghadang atau penahan parit itu mungkin boleh ditinggikan untuk menangani limpahan, terutamanya ketika aliran deras sewaktu musim hujan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan tersebut.
Wakil JPS, ICU JPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut sama menghadiri lawatan rumah mangsa untuk tindakan susulan.
Muhamad Farid berkata, banjir kilat yang berlaku di Sungai Burung adalah disebabkan sistem pintu air yang beroperasi secara automatik.
"Rumah yang terletak di hujung kampung akan dibanjiri setiap kali hujan dan diharapkan pihak JPS akan meneliti masalah ini untuk mengelak masalah sama berulang.
"Selain itu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) juga perlu meneliti sistem perparitan yang disediakan di kawasan perumahan supaya menepati peraturan ditetapkan untuk mengelakkan air melimpah ke kediaman penduduk kampung," katanya.