Search This Blog

Friday, October 5, 2012

Guna rakaman CCTV buru perompak


Keratan akhbar Utusan Malaysia 4 Oktober 2012.
SHAH ALAM 4 Okt. - Polis telah mengambil beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan kes rompakan sebuah van keselamatan yang membabitkan kehilangan wang tunai RM1 juta di hadapan sebuah kedai nombor ekor berhampiran pusat beli-belah di Klang Parade, Klang dekat sini semalam.
Rakaman CCTV tersebut antaranya diambil daripada kedai nombor ekor, pusat beli-belah Klang Parade dan rumah penduduk di Taman Eng Ann, Klang iaitu lokasi van tersebut yang masih berisi wang tunai RM500,000 dibakar oleh lima perompak terlibat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukur Sulong berkata, berdasarkan rakaman tersebut, pihaknya telah mengesan nombor pendaftaran kereta Proton Waja berwarna perak yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
"Selepas siasatan dibuat, didapati nombor pendaftaran kenderaan tersebut adalah palsu dan kita masih giat memburu kesemua suspek," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shukur, pihaknya juga mengesahkan jumlah wang yang ditemui di dalam van dan sebahagiannya lagi yang telah terbakar berjumlah RM500,000.
Semalam, selepas melarikan van keselamatan di hadapan kedai nombor ekor berhampiran Klang Parade, lima perompak terlibat membakar van tersebut yang di dalamnya terdapat dua pengawal dan beberapa karung wang tunai berjumlah kira-kira RM500,000 untuk menghapuskan bukti di Jalan Tiong off Taman Eng Ann.
Sebelum membakar van tersebut kira-kira pukul 6 petang, kesemua suspek yang bersenjatakan dua pucuk pistol terlebih dahulu membawa keluar tiga karung besar wang tunai berjumlah kira-kira RM1 juta dan merampas sepucuk revolver milik salah seorang pengawal keselamatan.
Mereka kemudian meninggalkan tempat kejadian di lorong kawasan perumahan teres setingkat bersama sebuah kereta Proton Waja berwarna perak.
Dua pengawal keselamatan terlibat berjaya keluar dari van tersebut yang terbakar teruk di bahagian hadapan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121005/je_01/Guna-rakaman-CCTV-buru-perompak#ixzz28QGQeG2O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Didakwa pelacur, Zhang Ziyi kemuka saman


Zhang


LOS ANGELES 4 Okt. - Aktres kelahiran China, Zhang Ziyi semalam, menyaman sebuah laman web berita berbahasa Cina atas dakwaan menuduhnya sebagai pelacur dan menjalin hubungan sulit dengan ahli politik terkenal, Bo Xilai.
Bintang filem Crouching Tiger, Hidden Dragon itu memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap laman web berita Boxun News yang berpangkalan di North Carolina, di sini.
“Laman web berita tersebut berulang kali menyatakan Zhang adalah seorang pelacur dan menjalin hubungan sulit dengan Xilai.
“Pelakon itu tidak pernah bertemu dengan Xilai dan dia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan ahli politik itu," kata peguam belanya, Adam LeBerton.
Dokumen tuntutan saman itu menyebut Zhang memperoleh AS$100 juta (RM310 juta) selepas melakukan hubungan seks dengan Xilai serta beberapa ahli politik yang lain.
Bintang berusia 33 tahun itu pada Jun lalu, menyaman akhbar Apple Daily dan majalah Next Magazine atas dakwaan yang sama.
Dalam satu artikel dalam Apple Daily pada 29 Mei lalu, Zhang disifatkan sebagai pelacur dan pernah melakukan hubungan seks beberapa kali dengan Xilai serta rakan-rakan jutawannya untuk mendapatkan wang. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121005/lu_06/Didakwa-pelacur-Zhang-Ziyi-kemuka-saman#ixzz28QG2DrIX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga ahli Parlimen Kyrgyzstan cuba rampas kuasa



BISHKEK 5 Okt. - Polis Kyrgyzstan semalam menahan tiga ahli Parlimen yang dipercayai mengetuai sekumpulan penunjuk perasaan dalam cubaan menyerbu bangunan ibu pejabat kerajaan sebagai bantahan terhadap isu lombong emas yang dimiliki oleh Kanada.
Tiga ahli Parlimen iaitu Kamchibek Tashiyev, Sadyr Zhaparov dan Talant Mamytov ditahan atas tuduhan cuba melakukan rampasan kuasa dan pihak pendakwa raya mempunyai masa 48 jam untuk memfailkan kes tersebut di mahkamah.
Pertempuran yang berlaku antara pihak polis dengan penyokong parti pembangkang, Parti Ata Zhurt merupakan yang terburuk sejak pemberontakan menggulingkan bekas Presiden Kurmanbek Bakiyev pada April 2010.
Demonstrasi kelmarin yang pada mulanya diadakan secara aman bertujuan mendesak kerajaan mengambil semula lombong emas Kumtor yang dimiliki oleh syarikat Kanada, Centerra Gold. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121005/lu_10/Tiga-ahli-Parlimen-Kyrgyzstan-cuba-rampas-kuasa#ixzz28QFFE3bD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

776 individu rugi RM15 juta ditipu sindiket wang pinjaman yang tidak wujud

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Seramai 776 individu mengalami kerugian berjumlah RM15 juta apabila menjadi mangsa penipuan sindiket peminjam wang yang tidak wujud sejak tahun lepas hingga sekarang.
Ketua Penolong Pengarah Siasatan I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Lim Char Boo berkata, mangsa terdiri dari kalangan yang ingin memulakan perniagaan, peniaga kecil-kecilan serta individu yang mahu mendapat pinjaman wang tunai segera tanpa kerenah birokrasi bank.
Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah mengiklankan perkhidmatan mereka melalui kad perniagaan yang ditampal di lokasi tumpuan ramai, mengedar risalah atau menghebahkannya melalui sistem pesanan ringkas yang dihantar secara rawak.
"Mangsa yang ingin membuat pinjaman akan menghubungi nombor yang tertera pada iklan itu dan mereka kemudiannya akan diarah oleh sindiket untuk memasukkan wang ke akaun tertentu pada kadar RM1,000 hingga RM5,000 sebagai wang proses," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Lim berkata bagi mengaburi mangsa, anggota sindiket berkenaan juga biasanya akan menyamar sebagai pegawai dari institusi kewangan yang kononnya boleh membantu menguruskan pinjaman dengan cepat sebelum bertindak menghilangkan diri setelah wang pemerosesan pinjaman diperolehi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121005/je_03/776-individu-rugi-RM15-juta-ditipu-sindiket-wang-pinjaman-yang-tidak-wujud#ixzz28QF4NSv6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ronda Tabung Haji “selamatkan" 186 jemaah sesat

MAKKAH 5 Okt. - Unit Khidmat Pelanggan Tabung Haji
“menyelamatkan" 186 jemaah haji Malaysia yang dilapor tersesat selepas menunaikan ibadat di Masjidil Haram.
Pengurus Unit Khidmat Pelanggan Tabung Haji Rahmat Baba berkata, jumlah itu dicatatkan sejak ketibaan kumpulan pertama jemaah di Mekah pada 26 Sept lepas sehingga 2 Okt.
Jemaah yang tersesat itu kebiasaannya merupakan mereka yang baru sampai ke Mekah atau melibatkan jemaah yang berusia 60 tahun ke atas, katanya kepada wakil media Malaysia, di sini pada Jumaat.
"Kita juga berterima kasih kepada jemaah haji Malaysia yang muda kerana membantu jemaah yang sudah berusia ini.
"Tabung Haji mempunyai pasukan peronda yang turut bekerjasama dengan pasukan peronda dari India, Indonesia dan dari negara lain untuk membantu jemaah haji negara masing-masing yang tersesat," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121005/lu_11/Ronda-Tabung-Haji-selamatkan-186-jemaah-sesat#ixzz28QEtPDOv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

12 lelaki yang aktif mencuri motosikal diberkas

MUAR 3 Okt. - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi 12 lelaki yang berjaya dicekup kelmarin kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes curi motosikal di daerah ini sejak Januari hingga September lalu.
Menerusi Op Lejang Khas itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan kumpulan lelaki itu yang berumur antara 17 hingga 25 tahun di rumah masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Shahadan Jaafar berkata, ahli kumpulan itu ditangkap di lokasi berasingan, antaranya di Jalan Junid dan Bukit Pasir termasuk di Sungai Rambai, Melaka yang bersempadan dengan daerah ini.
Katanya, polis turut merampas enam enjin motosikal termasuk komponen-komponennya.
"Dianggarkan nilai rampasan melebihi RM6,000 dan siasatan mendapati mereka meleraikan komponen untuk kegunaan sendiri selain untuk dijual. Ada antara enjin motosikal yang dirampas itu sudah pun diubah nombor pendaftarannya.
"Kesemua suspek tidak bekerja termasuk remaja berusia 17 tahun tersebut yang tidak bersekolah. Dua daripada mereka yang kedua-duanya berumur 23 tahun mempunyai rekod jenayah lampau iaitu juga kes curi motosikal," katanya pada sidang akhbar di IPD Muar di sini hari ini.
Menurutnya, sasaran kumpulan itu ialah di kampung dan tempat awam khususnya kenderaan yang tidak mempunyai kunci tambahan selain meninggalkan kunci di kenderaan tersebut.
Hasil siasatan mendapati suspek mencuri motosikal dengan cara menggunakan kunci pendua selain menghidupkan enjin dengan cara membuka lampu hadapan dan menyambung wayar utama.
Shahadan berkata, ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah dan dengan tangkapan itu polis percaya dapat menyelesaikan enam kes kecurian motosikal di sekitar Muar.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 37A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121004/wj_04/12-lelaki-yang-aktif-mencuri-motosikal-diberkas#ixzz28QEgeGzP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Buruh dipenjara 20 tahun



Buruh dipenjara 20 tahun
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman, semalam.
KOTA BHARU – Seorang buruh warga Indonesia dihukum 20 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah merompak dengan senjata pisau dan parang pada 2009 dan 2010 lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha terhadap Aziz Jamal, 47, dari Jawa Timur, Indonesia. Tertuduh turut memiliki taraf pemastautin tetap negara ini.

Dia didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas barang kemas kepunyaan Syarifah Nurri Abdul Kadir iaitu seutas rantai, dua gelang, sebentuk cincin dan empat telefon bimbit pelbagai jenama.

Kejadian berlaku pada jam 2.10 pagi di Desa Rebana, Machang, 9 Januari 2010. Turut dilarikan dalam rompakan itu, wang tunai berjumlah RM3,000.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi dentuman pada pintu rumah sebelum keluar meninjau keadaan.

Secara tiba-tiba, tiga lelaki menerpa masuk dan salah seorang daripadanya mengikat tangan Syarifah Nurri. Tidak cukup barang kemas yang diambil, rumah mangsa pula digeledah.

Manakala dalam kejadian lain sebelum itu, tertuduh bersama dua yang masih bebas merompak barang berharga termasuk wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM26,000 milik Razali Majid di Kampung Banggol Kulim, Machang pada jam 4 pagi, 17 Ogos 2009.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, Azman menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 10 tahun terhadap tertuduh dan mengarahkannya berkuat kuasa secara berturutan.

Tertuduh turut memiliki tiga rekod kesalahan lampau berkait kes sama di Terengganu dan kini menjalani hukuman penjara 24 tahun dan 19 sebat. 

Prosiding pendakwaan semalam dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin dan Mohd Hafiz Abd Rahman.

7 pati ditahan di Tanjung Ayam

JOHOR BAHARU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh pendatang tanpa izin (Pati) dari Indonesia di perairan Tanjung Ayam, Pengerang dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Rozali Mohd Said berkata Pati terbabit dipercayai cuba keluar dari negara ini secara haram dengan menggunakan bot pancung.

Beliau berkata mereka dipercayai hendak ke Batam, Indonesia tanpa melalui pangkalan yang diwartakan.

Beliau berkata ketika bot peronda APMM mengesan dan cuba menghampiri bot tersebut, ia memecut laju dan terpaksa dikejar selama 15 minit sehingga akhirnya berjaya dipintas dan ditahan kira-kira 0.8 batu nautika timur laut Tanjung Ayam.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot pancung itu mendapati tujuh Pati yang terdiri dari dua lelaki, tiga perempuan dan dua kanak-kanak, yang berumur antara setahun hingga 40 tahun.

"Mereka kemudian dibawa ke jeti Marina, Tanjung Pengelih untuk diambil tindakan lanjut, sementara tekong bot berjaya terjun ke laut dan menghilangkan diri di hutan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Rozali berkata penduduk kampung Tanjung Ayam turut menahan sepasang suami isteri warga Indonesia berumur lingkungan 30-an yang dipercayai cuba keluar secara haram dari negara ini.

Beliau berkata Pati yang ditahan boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 pindaan 2010.

Orang ramai dan komuniti maritim diseru menyalurkan maklumat mengenai kegiatan Pati melalui talian 24 jam 07-2199402 Pusat Operasi (PUSOP) APMM Wilayah Selatan. - Bernama

Peniaga miliki mercun didenda RM1,800



Peniaga miliki mercun didenda RM1,800
Tertuduh diiringi polis keluar dari mahkamah selepas mendengar hukuman diputuskan, kelmarin.
KOTA BHARU – Tindakan seorang peniaga memiliki enam kotak mercun pelbagai jenis 2 Ogos lalu membawa padah apabila dia didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.

Hanisah Mamat, 53, mengaku bersalah memiliki barang larangan itu di bazar Ramadan Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, jam 6.15 petang.

Antara yang berada dalam milikannya, dua kotak Disco Flash P5008 dan empat kotak Happy Boom Crackling Ground Blomm Flower. Pada prosiding kelmarin, tertuduh mengaku bersalah menyebabkan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor mengenakan denda itu.

Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sejurus selesai prosiding, tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan denda.

Isteri buat penyataan palsu, suami bersubahat

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan membuat pernyataan palsu dalam borang umpukan saham dan borang pelantikan pengarah syarikat itu manakala suaminya didakwa bersubahat dengannya.

Nik Maisarah Nik Omar, 44, pengarah syarikat Neutral Vest (M) Sdn Bhd yang menguruskan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Desaru, Johor dan suaminya Mejar (B) Anuwa Mohammad Daud, 61, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Nik Maisarah, didakwa membuat pernyataan palsu di dalam borang 24 bertarikh 14 Dis 2005, berkaitan dengan umpukan saham sebanyak 499,998 unit saham syarikat itu dan membuat pernyataan palsu di dalam borang 49  bertarikh 6 Mac 2007, berkaitan dengan pelantikan suaminya sebagai pengarah syarikat itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 364 (2) Akta  Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda RM250,000 atau  kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan bersubahat itu, Anuwa didakwa mengikut Seksyen 364 (2) Akta Syarikat 1965 dan dibaca bersama Seksyen 109, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tingkat 2, 10-18 Putra Place, 100 Jalan Putra di sini pada 6 Mac 2007.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Steve Chin Yun Cheong menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan mereka adalah serius dan membabitkan wang berjumlah hampir RM500,000.

Namun peguam Nathisha Zainul Rashid yang mewakili Anuwa memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana tertuduh masih menanggung dua daripada tiga anaknya serta ibu yang sudah tua manakala peguam M.Reza Hassan yang mewakili Nik Maisarah berkata jumlah jaminan itu akan membebankan anak guamnya.

Hakim Hasbi Hasan membenarkan Nik Maisarah dan Anuwa, masing-masing diikat jamin RM30,000 dan RM40,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 5 Nov untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. - Bernama

Anggota polis bantuan maut nahas jalan raya

KUANTAN - Seorang anggota polis bantuan maut selepas motosikalnya terlanggar sebongkah kayu yang secara tiba-tiba jatuh ke atas jalan raya di Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu, dekat bandar Raub semalam.

Dalam kejadian 10.05 malam itu, Wan Mohammad Ridzuan Wan Hassan, 20, yang berasal dari Kelantan dan bertugas di Genting Highlands, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raub.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

"Mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur, mangsa terlanggar satu bongkah kayu yang secara tiba-tiba jatuh dari kawasan berbukit dekat situ," katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang buruh warga Indonesia maut dihempap pacuan empat roda yang dinaiki selepas kenderaan itu terbalik ketika menuruni bukit di Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Kor Olu Cheka, Jerantut.

Mohamed Fauzi berkata dalam kejadian 5 petang semalam itu, mangsa, Imam Kharir, 27, disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Jerantut.

"Ketika kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakan sekerja dikatakan duduk di bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan, yang dalam perjalanan menghala ke Ulu Cheka dari tempat pembalakan," katanya.

Beliau berkata ketika menuruni bukit, pemandu pacuan empat roda dipercayai gagal mengawal kenderaan itu kerana permukaan jalan licin berikutan hujan sebelum terbabas dan terbalik menyebabkan mangsa bersama tiga rakannya bertindak melompat keluar untuk menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, mangsa dikatakan gagal menyelamatkan diri sebelum dihempap kenderaan berkenaan, yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di badan dan kepala," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

2 lelaki didakwa edar 520,000 biji pil Erimin 5

PETALING JAYA - Dua lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar 520,000 biji pil Erimin 5 bulan lepas.

Willmen Tiew, 28, dari Taman Jinjang Baru, dan Yee Ching Leong, 41, dari Rawang, didakwa melakukan kesalahan itu di premis No.26, Jalan D U5/D, Seksyen U5, Shah Alam, pada 7.45 malam, 23 Sept lepas.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan dicatat apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Surya Wati Shawal yang menetapkan 21 Nov untuk tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Rasuah: Bekas pegawai TLDM dipenjara sehari, didenda RM45,000

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat leftenan komander hari ini dihukum penjara sehari dan denda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan rasuah, tahun lepas.
 
Nor Fyadzillah Mohd Taha, 30, dilihat menangis teresak-esak ketika Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu terhadapnya.
 
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun, Nor Fyadzillah membayar denda itu.
 
Nor Fyadzillah, yang sebelum ini bertugas di Cawangan Pembangunan Manusia TLDM, didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai RM9,000 daripada seorang kontraktor, Mustafa Shah Abdul Hamid sebagai dorongan kerana memilih syarikat Mustafa untuk menjalankan kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak TLDM.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sekinchan Ikan Bakar, Centrum Setiawangsa, Jalan Setiawangsa 8, Taman Setiawangsa di sini pada 1.20 pagi, 22 Julai 2011.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.
 
Pegawai Pendakwa Wan Ahmad Nizam Wan Omar dari SPRM memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana walaupun mahkamah mengambil kira faktor pengakuan bersalahnya, hukuman yang termaktub adalah penjara dan denda.
 
Peguam Dir Kheizwan Kamaruddin yang mewakili Nor Fyadzillah, memohon hukuman ringan kerana anak guamnya kini tidak bekerja dan sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan selain mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun dan ibu yang menghidap penyakit diabetes. - Bernama

Kastam Johor gagal cubaan seludup masuk rokok, minum keras

JOHOR BAHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok putih dan minuman keras dianggarkan berharga RM831,702.75 termasuk cukai selepas menahan tiga buah van di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, Selasa lepas.
 
Pemangku Pengarahnya, Abdullah Sidik berkata ketiga-tiga van bernombor pendaftaran Malaysia itu ditahan sepasukan kastam dengan kerjasama polis bantuan dan anggota Rela ketika berada di lorong laluan masuk bas, antara pukul 2 hingga 2.10 pagi.
 
"Pemeriksaan terhadap van pertama dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun menemui 700,000 batang rokok putih jenama Luffman dianggarkan bernilai RM382,200 termasuk cukai.
 
"Van kedua yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun didapati membawa 140,000 batang rokok putih berjenama Canyon dan 1,788 botol minuman keras pelbagai jenama berharga RM260,215 termasuk cukai," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
 
Abdullah berkata pemeriksaan ke atas van ketiga pula yang dipandu lelaki berusia 29 tahun menemui 1,440 botol minuman keras pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM189,287.28 termasuk cukai.
 
Beliau berkata ketiga-tiga pemandu rakyat tempatan itu ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan. - Bernama

Suami isteri didakwa dera amah



Daeng Norulasyikin Bachok
Daeng Norulasyikin Bachok
Mohd Shukur Suradi
Mohd Shukur Suradi
JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan menggunakan pisau, kayu golf dan minyak panas, antara Julai hingga September lalu.
Tertuduh, Mohd Shukur Suradi, 28, dan bersama isteri, Daeng Norulasyikin Bachok, 27, turut didakwa memperdagangkan mangsa, Marsini, 21, di sebuah rumah di Taman D Utama Perling di sini.
Mohd Shukur, yang bekerja sebagai penjual kereta dan isterinya, seorang guru, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamri Bakar.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat yang sama antara bulan Julai hingga 23 September lalu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Marsini dengan menggunakan satu alat untuk menikam iaitu sebilah pisau, selain alat yang boleh menyebabkan kematian iaitu kayu golf, penyangkut baju, tali pinggang, serta menggunakan benda hangat dan melecur iaitu air panas, minyak panas, senduk dan sudu panas.
Atas kesalahan itu, dakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.
Di bawah tuduhan kedua pula, pasangan suami isteri itu didakwa memperdagangkan Marsini bagi tujuan mengeksploitasi wanita itu dengan cara memaksa bekerja sebagai pembantu rumah di alamat yang sama 23 September  lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikenakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Zamri membenarkan pasangan suami isteri tersebut diikat jamin RM20,000 dengan masing-masing seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 16 Oktober ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien, Norashikin Ibrahim dan Jasmee Hameeza Jaafar yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapi oleh Mohd Shukur dan Daeng Norulasyikin.
Peguam Noordin Hussin yang mewakili Mohd Shukur manakala Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Daeng Norulasyikin memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan pasangan tersebut mempunyai seorang anak berusia sembilan bulan.
Pada 26 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pembantu rumah dipukul majikannya dengan menggunakan kayu golf kerana hanya lambat membuat kerja rumah.
Mangsa, Marsini, 21 ditemui orang awam kira-kira jam 12.15, 23 September lalu ketika sedang merayau-rayau di sekitar kawasan kedai Taman Perling selepas melarikan diri dari rumah pasangan majikan guru dan penjual kereta itu.
Mangsa dikatakan datang ke Malaysia Januari lalu dan bekerja dengan kedua-dua mereka sejak Februari yang didakwanya telah dipukul di kepala, belakang badan dan diseterika di dada sehingga melecur.

18 murid maut tertimbus

Sekolah Rendah Youfangtai
Keadaan sekolah dan dua rumah ladang musnah
dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Yunnan

BEIJING - Seramai 18 murid sekolah rendah maut ditimbus tanah runtuh di wilayah barat daya China, yang sebelum ini, musnah akibat gempa bumi bulan lalu.
Media tempatan melaporkan, selain bilik darjah, insiden di perkampungan Zhenhe, wilayah Yunnan itu turut meranapkan dua rumah ladang menyebabkan seorang penghuni terperangkap.
Insiden di Sekolah Rendah Youfangtai itu menimbulkan tanda tanya kerana minggu ini musim cuti umum di negara itu..
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan bertindak memindahkan penduduk berhampiran kawasan bencana selepas pasukan mencari dan menyelamat tiba di lokasi kejadian.
Perkampungan Zhenhe merupakan satu daripada kawasan paling teruk terjejas apabila gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter melanda wilayah Yunnan awal bulan lalu.
Susulan itu, seramai 81 penduduk terbunuh, manakala 820 yang lain cedera dan lebih 200,000 orang terpaksa dipindahkan ke kawasan penempatan baru. - AFP
-SH

3 lagi suspek ditahan disyaki larikan muatan lori

SHAH ALAM - Polis menahan tiga lagi lelaki kerana disyaki mengambil kesempatan melarikan sebahagian barang muatan sebuah lori yang mengalami kemalangan berhampiran Ulu Bernam, dekat sini pada 22 Sept lepas.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata ketiga-tiga lelaki berumur 27 hingga 44 tahun itu diberkas di sekitar Bukit Sentosa antara pukul 11 malam tadi dan 1 pagi ini.
 
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata penahanan ketiga-tiga lelaki itu membawa kepada penemuan barangan seperti sebuah komputer riba, dua skrin monitor dan beberapa kotak ubat-ubatan dianggarkan bernilai RM10,000.
 
Katanya kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan.
 
Pada 23 Sept lepas, polis menahan dua lelaki berumur 31 dan 26 tahun di Hulu Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan sama.

Berikutan penahanan dua lelaki itu, polis menemui semula barang muatan lori bernilai kira-kira RM20,000.
 
Kecurian muatan lori itu berlaku semasa pemandu lori berumur 46 tahun itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu berikutan kecederaan yang dialami dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 2.15 pagi.
 
Akibat kemalangan itu, lori lima tan yang membawa pelbagai barangan termasuk komputer riba, makanan, barangan kosmetik dan alat ganti kenderaan yang kesemuanya bernilai kira-kira RM800,000, turut mengalami kerosakan teruk. - Bernama

Tabung masjid diumpil 3 kali



Tabung masjid diumpil 3 kali
Pak Do dan penduduk kampung berharap pihak yang prihatin sedia membantu mereka untuk mendapatkan tabung masjid yang baru dan kukuh.
PASIR MAS – Pada tahun ini sahaja, tabung Masjid Kampung Kubang Tembusu, Sungai Keladi dipecahkan sebanyak tiga kali.

Jawatankuasa Masjid, Mohd Senik berkata, pelbagai usaha dijalankan bagi mengelakkan kejadian ini berulang, namun pencuri akan menukar taktik dan mengambil semua wang di dalam tabung.

Menurutnya, kejadian ini sering berlaku di antara waktu Zohor dan Asar, iaitu ketika tiada sesiapa berada di dalam masjid.

“Kami mengesyaki kejadian ini dilakukan oleh orang luar, kerana sebelum ini, ada individu yang tidak dikenali, berpura-pura tidur dan berlegar-legar di dalam masjid.

“Dia mungkin menunggu semua jemaah keluar sebelum bertindak merosakkan tabung dan mencuri wang,” katanya, semalam.

Mohd yang juga dikenali Pak Do berkata, pihaknya cuba untuk mendapatkan tabung baru, memandangkan bekas sedia ada terlalu mudah diumpil.

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihaknya berharap dapat menyediakan peti besi yang lebih kukuh, namun ia menelan belanja yang tinggi.

Menurutnya, sebuah tabung berkenaan dijual pada harga RM1,800 sedangkan sumber yang ada, tidak mencukupi.

“Jika ada  rezeki, kita memerlukan dua tabung yang kukuh, untuk diletakkan di bahagian solat muslimin dan muslimat.

“Sumbangan orang ramai ini, akan melancarkan lagi urusan masjid untuk aktiviti pada masa depan,” katanya.

Anggota polis maut, dua cedera

Anggota polis maut, dua cedera
Anggota polis wanita yang menerima rawatan sebagai
pesakit luar sedang ditenteramkan rakan setugas.
BENTONG – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut dalam kemalangan di Jalan Lebu-Mempaga berhampiran Kampung Lebu kira-kira jam 9.45 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa, Wan Abdul Aziz Wan Nik,51, bersama dua lagi anggota menaiki kereta jenis Wira dalam perjalanan ke Penjara Bentong.

Abdul Aziz berkata, setibanya di tempat kejadian kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan kemudian masuk ke bawah tebing jalan.

“Ketiga-tiga anggota itu kemudiannya di bawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.

“Namun begitu, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengahari akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata, manakala dua lagi anggota termasuk seorang angngota wanita masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Menurutnya, jenazah mangsa kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Bentong sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian di Paka, Terengganu.

Ular sawa melingkar bawah jambatan

Ular sawa melingkar bawah jambatan
Ular sawa berjaya ditangkap pasukan JPAM
Alor Gajah kurang 10 minit.
ALOR GAJAH - Kebimbangan pekerja di sebuah tempat mencuci kereta reda selepas tiga ular sawa yang menghuni bahagian bawah sebuah jambatan berjaya ditangkap sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, dekat sini tengah hari semalam.

Difahamkan, kewujudan tiga ular berkenaan disedari pemilik bengkel mencuci kenderaan, M Skumaran, 33, kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia bekerja sebelum melihat sekumpulan remaja memancing ikan di bawah jambatan.

Menurutnya, ketika itu saya secara tidak sengaja terlihat ular sawa di bahagian bawah jambatan berkenaan.

"Setelah diamati lebih dekat, bukan seekor tetapi ada tiga ekor ular sawa dewasa sepanjang 1.5 meter sedang bergumpal di celahan kayu dan batu di bawah jambatan dipercayai dalam proses bersalin kulit.

"Terkejut melihat ular itu, saya terus menjerit mengarahkan lima remaja terbabit beredar dari kawasan berkenaan kerana dibimbangi mengganggut habitat reptilia itu yang dipercayai sudah beranak pinak melebih lima ekor," katanya.

Skumaran berkata, bimbang perkara buruk berlaku, dia terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah untuk menangkap ular berkenaan yang menghuni di bawah jambatan berkenaan.

"Lebih membimbangkan kawasan berkenaan yang lembap dan sejuk selain dipenuhi semak samun tidak mustahil menjadi tempat membiak utama reptilia berkenaan dan menjadikan jambatan sebagai tempat berlindung.

"Saya juga bimbang kerana berdekatan jambatan itu juga terdapat sebuah rumah didiami sepasang suami isteri warga emas yang uzur," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Daerah Alor Gajah, Ismail Zulkifli berkata, tiga anggota ditugaskan ke lokasi setelah menerima maklumat lengkap daripada pengadu kira-kira jam 12.05 tengah hari bagi melakukan kerja menangkap ular.

“Setibanya di tempat kejadian, kami sukar mengesan kedudukan ular berkenaan yang berada di satu sudut di bawah jambatan namun dengan kemahiran ada kami berjaya menangkap ular itu dalam tempoh kurang 10 minit,” katanya.

Geng curi motosikal tumpas

Geng curi motosikal tumpas
Abdul Aziz (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan
 Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Yusuf Unis
 (kanan) dan Nik Hamdan (kiri) melihat rangka
motosikal berjaya ditemui.
BENTONG – Polis berjaya menumpaskan geng curi motosikal dikenali sebagai ‘Geng Tam’ yang bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, sehingga semalam, polis berjaya menahan seramai 10 belia berusia dalam lingkungan 18 hingga 32 tahun untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan sepasukan anggota diketuai Ketua Balai Polis Karak, Sub Inspektor Nik Hamdan Mamat di Felda Lakum, kira-kira jam 2.30 pagi 27 September lalu, membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

“Hasil siasatan ke atas ketua geng dikenali sebagai Tam itu membawa kepada penangkapan sembilan lagi remaja lelaki yang kebanyakannya berasal dari Felda Lakum. Namun, dua daripada mereka dibebaskan semalam selepas siasatan selesai,” katanya dalam sidang media.

Abdul Aziz berkata, lapan suspek lain kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
Menurutnya, polis juga berjaya menemui sebanyak 30 rangka pelbagai jenis motosikal, komponen dileraikan dan empat motosikal.

“Kebanyakan rangka motosikal ditemui di dalam sungai dipercayai dibuang geng terbabit selepas komponen dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti. Ia dijual dengan harga lebih murah berbanding kedai motosikal,” katanya.

Abdul Aziz berkata, anggota kumpulan itu dipercayai menggunakan pemutar skru untuk mencuri motosikal dalam tempoh tidak kurang dua minit sebelum melarikannya.

Menurutnya, susulan kejayaan itu, polis bukan sahaja dapat menyelesaikan kes curi motosikal di daerah ini, malah membabitkan daerah berhampiran iaitu Temerloh dan Kuala Lumpur termasuk Petaling Jaya.

“Kami masih meneruskan siasatan untuk mengesan beberapa individu dipercayai terbabit dengan kumpulan ini. Kemungkinan besar, lebih banyak rangka atau motosikal akan ditemui dalam tempoh terdekat,” katanya.

Si bisu cuba pecah cermin kereta ditangkap

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang duda yang cuba memecahkan cermin kereta salah seorang pelanggan di sebuah pasar raya terkemuka di sini, tidak menjadi apabila dia ditangkap oleh orang awam kejadian malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suspek berusia 29 tahun dan juga seorang bisu, ditangkap orang awam selepas dipercayai baru sahaja memecahkan cermin kereta mangsa, 21, di kawasan parkir pasar raya berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang menyedari kejadian itu meminta bantuan orang awam yang berada dilokasi kejadian sebelum mengejar suspek dan dia ditahan tidak jauh dari lokasi tersebut.

Kemudian, suspek diserahkan kepada anggota yang melakukan ronda cegah jenayah sempena Ops Lejang kawasan pentadbiran Balai Polis Chabang Tiga, di sini kira-kira jam 10.10 malam, kelmarin.

Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Sementara itu, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membenarkan suspek direman selama empat  hari untuk siasatan lanjut.

2 rumah jadi sasaran tembak

2 rumah jadi sasaran tembak
Rumah mangsa di Kangkar Pulai yang jadi sasaran
 tembak, semalam.
SKUDAI - Dua keluarga yang sedang nyenyak tidur di kediaman masing-masing di kawasan Kangkar Pulai dan Pulai Perdana, di sini, dikejutkan dengan bunyi tembakan yang disasarkan ke kediaman mereka, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, dalam kejadian pertama, lebih kurang jam 4 pagi, di Jalan Limau Nipis, Kangkar Pulai, dekat sini, enam sekeluarga terbabit menyangka bunyi bising itu berpunca daripada letupan mercun sebelum menemui kesan tembakan di dinding rumah mereka.

“Sekumpulan pegawai serta anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan dan menemui lima kelongsong peluru selain kesan tembakan di bahagian dinding rumah berkenaan.

“Kita sudah ambil keterangan mangsa dan kelongsong peluru berkenaan sudah dihantar ke makmal untuk ujian balistik,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Hashim berkata, kejadian serupa turut berlaku di kawasan Pulai Perdana pada waktu dan modus operandi sama.

Kes kedua itu melibatkan dua sekeluarga.

“Kita menjumpai empat kesan tembakan di kawasan kediaman terbabit dan salah satunya mengenai kenderaan milik mangsa.

“Kita sedang menyiasat sama ada kedua-dua kes ini mempunyai kaitan atau sebaliknya memandangkan ia berlaku pada waktu yang hampir sama.

“Motif sebenar kejadian ini juga sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.-SH

Kesat air mata selepas jatuh hukum

 N Rajasheelan
Rajasheelan dibawa anggota polis keluar dari mahkamah
bersama adiknya Theeban (belakang) selepas disabitkan
bersalah kerana melakukan pergaduhan.
GEORGETOWN - Dua beradik lelaki didenda Mahkamah Majistret Georgetown akibat melakukan pergaduhan di tempat awam.
Kedua-duanya, N Rajasheelan, 24, dan adiknya, N Theeban, 22, dari Medan Lumba Kuda dituduh bergaduh dengan dengan tertuduh pertama yang gagal hadir ke mahkamah.
Rajasheelan yang bekerja sebagai pekerja kilang itu didakwa bersama adiknya yang juga pekerja sambilan di sebuah bank dituduh melakukan pergaduhan gempar di tempat awam.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh pada 7 Mei 2012 kira-kira jam 6.45 petang bersebelahan dengan Panthal Race Course, Jalan Kebun Bunga telah bergaduh sesama sendiri.
Atas kesalahan itu, ketiga-tiganya didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama satu bulan atau denda RM200 atau kedua-duanya sekali.
Rajasheelan dan Theeban bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan merayu supaya hukuman diringankan memandangkan mereka masih muda.
“Tolonglah rendahkan hukuman kami puan majistret, kami masih muda dan kami tidak akan lakukan kesalahan ini lagi pada masa akan datang,” kata Rajasheelan.
Rajsheelan dilihat beberapa kali mengesat air matanya kerana terlalu sedih selepas disabitkan bersalah atas pertuduhannya.
Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 kepada kedua-dua tertuduh dan sekiranya gagal bayar akan dikenakan satu bulan penjara.

Harimau Sumatera mati dalam penerbangan

BANDA ACEH: Seekor harimau Sumatera iaitu spesies terancam, mati ketika dalam penerbangan ke taman haiwan di sini.

Harimau itu dipindahkan ke pesawat lain selepas penumpang merungut sebab bau busuk, kata seorang pegawai.
Harimau berusia lapan tahun itu dihantar dengan haiwan lain menggunakan pesawat komersial dari Banda Aceh ke pusat perlindungan haiwan di Jawa Tengah, kelmarin.

Pesawat yang membawa haiwan itu berhenti di Medan, Sumatera seperti yang dijadualkan.


Ketua Agensi Perlindungan, Afan Absory semalamberkata, syarikat Penerbangan Garuda membuat keputusan untuk menurunkan semua haiwan itu di Banda Aceh selepas penumpang dikatakan merungut mengenai bau busuk.


“Apabila harimau itu tiba di Banda Aceh pada hari yang sama, kami mendapati ia telah mati.” katanya.

Harimau itu diterbangkan bersama unka dan dua ekor binturung (musang kecil) yang mengeluarkan sejenis bau kuat.

“Kami masih berusaha mendapatkan penjelasan syarikat penerbangan kerana mereka menerbangkan harimau itu ke Banda Aceh tanpa memberitahu pegawai kami yang berada dalam penerbangan itu.

Afan berkata, terdapat tompokan darah di hidung harimau itu.

Jurucakap syarikat penerbangan, Pudjobroto berkata, Garuda masih lagi menunggu keputusan siasatan kematian harimau itu.

Katanya, Garuda menggunakan “prosedur standard” untuk membawa haiwan.

Harimau jantan itu diselamatkan dari hutan di Aceh selepas habitatnya dicerobohi oleh manusia pada 2010.

Terdapat kurang daripada 400 ekor harimau spesies Sumatera yang tinggal di hutan dan aktivis haiwan berkata, sering berlaku konflik antara manusia dan haiwan itu kerana habitat mereka semakin diancam oleh pembangunan. - Jakarta Post

Lelaki Bangladesh menyorok dalam but bas ditahan di pusat imigresen

SINGAPURA: Pihak berkuasa Pusat Pemeriksaan Imigresen (ICA) Singapura menahan seorang lelaki Bangladesh yang cuba meninggalkan republik itu secara haram semalam.

Kira-kira jam 9.15 malam, pegawai ICA yang memeriksa sebuah bas yang didaftarkan di Malaysia di pusat pemeriksaan imigresen di Woodlands, menemui seorang lelaki bersembunyi dalam but di belakang kenderaan itu.


Kedua-duanya, pemandu warga Malaysia berusia 52 tahun dan rakyat Bangladesah berusia 33 tahun itu kemudian ditahan.

Mereka kini masih disiasat dan bas itu juga disita. Hukuman kerana tinggal melebihi tempoh atau kemasukan secara haram adalah penjara hingga enam bulan dan minimum tiga sebatan, manakala hukuman kerana meninggalkan republik itu secara haram ialah denda maksimum Sg$2,000 (RM4,977) atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.


Selasa lalu, seorang wanita rakyat China cuba meninggalkan Singapura dengan bersembunyi dalam bonet sebuah kereta.

Lindsay hadapi hukuman mati

DENPASAR: Seorang wanita Britain didakwa di sebuah mahkamah Indonesia semalam atas pelbagai tuduhan dadah, termasuk menyeludup kokain ke pulau peranginan Bali. Dia bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan bersalah.

Lindsay June Sandiford ditahan Mei lalu sejurus tiba dengan penerbangan dari Bangkok di Lapangan Terbang Denpasar selepas kastam menemui 4.79 kilogram kokain dalam beg pakaiannya. “Defendan melanggar undang-undang Indonesia dengan menyeludup dadah diklasifikasikan haram di bawah kategori pertama ke dalam negara ini,” kata pendakwa raya Lie Putra Setiawan kepada mahkamah daerah Denpasar.


Undang-undang Indonesia membahagikan dadah kepada tiga kategori. Kategori pertama menyenaraikan dadah yang disifatkan sangat bahaya, termasuk kokain, heroin dan methamphetamine.

“Kesalahan ini membawa kepada hukuman maksimum iaitu hukuman mati,” kata Lie Putra kepada wartawan selepas sidang mahkamah.


Lindsay June yang turut berdepan tuduhan memiliki dan menjual dadah menutup mukanya dengan sehelai kain ketika dia melepasi puluhan wartawan untuk memasuki kamar mahkamah.


Dia muncul bersama seorang penterjemah sambil berkata, dia tidak diberikan akses untuk mendapatkan peguam di penjara dan meminta lebih masa untuk mendapatkan seorang peguam.

Panel juri meneruskan sidang selepas menunda sesi pendakwaan minggu lalu atas sebab sama, tetapi berkata, mereka akan melantik seorang peguam bela untuk sesi berikutnya. Dadah yang ditemui dalam beg pakaian itu dianggar bernilai AS$2.5 juta (RM7.64 juta) di jalanan. - AFP

‘Usah risau, saya selamat’

SHAH ALAM: “Siapa yang tak sayang ibu? Dialah satu-satunya ibu saya di dunia dan akhirat. Bila sampai masanya nanti saya akan pulang ke pangkuannya. Saya harap ibu tak risau kerana saya berada dalam keadaan selamat bekerja bersama majikan baru.”

Itu kata Ramlah Khamis, 44, apabila diminta mengulas dakwaan ibunya Saodah Alang Abu Bakar, 74, bahawa dia ‘disembunyikan’ majikannya dan gagal dihubungi sejak lima bulan lalu.


Ramlah berkata, dia kini bekerja sebagai pembantu rumah di Pelabuhan Klang sejak beberapa bulan lalu dan enggan pulang ke kampung halamannya di Kampung Karai, Kuala Kangsar, Perak, disebabkan masalah keluarga yang dihadapinya.

Apabila ditanya masalah antara dia dan ibunya, Ramlah enggan mengulas, namun memberi jaminan dia tidak sesekali melupakan ibunya walaupun tidak pulang ke kampung sejak lima bulan lalu.


“Walaupun saya tidak pulang ke kampung, saya tidak pernah lupa mengirimkan sebahagian daripada gaji RM500 kepada emak di kampung.


“Saya gembira bekerja di sini kerana saya dilayan baik seperti keluarga sendiri oleh majikan kerana makan dan minum serta tempat tinggal dijaga,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan, seorang wanita warga emas tidak lena tidur hampir setiap malam apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang gagal dihubungi sejak lima bulan lalu dipercayai ‘disembunyikan’ majikannya.


Saodah mendakwa, Ramlah gagal dikesan apabila anaknya itu diserahkan majikan lamanya kepada pasangan suami isteri doktor dipercayai menetap di sekitar Lembah Klang sekitar April lalu.

Sebelum itu, anaknya pernah berkhidmat sebagai pembantu rumah selama 12 tahun di Shah Alam, Selangor sebelum diberhentikan apabila khidmatnya tidak lagi diperlukan.


Sementara itu, majikannya, Halimatun Ngah Ishak, 28, menafikan dakwaan ibu Ramlah dia menyembunyikan wanita itu, tetapi disebabkan beberapa masalah, Ramlah enggan pulang ke kampung bertemu ibunya. Katanya, sebelum ini Ramlah bekerja sebagai pembantu rumah dengan kakaknya selama 12 tahun sebelum dia berhenti bekerja berikutan anak kakaknya sudah dewasa dan tidak memerlukan pembantu rumah.


Menurutnya, dia dimaklumkan sebelum ini Ramlah memang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah di sini, namun disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, dia berhenti kerja.


“Disebabkan kasihan, saya mengambilnya sebagai pembantu rumah memandangkan saya mempunyai anak kecil yang perlu dijaga sewaktu saya keluar bekerja.


“Saya layan dia seperti kakak saya sendiri memandangkan saya sudah mengenalinya sejak dia bekerja sebagai pembantu rumah dengan kakak saya 12 tahun lalu dan kami sekeluarga menjaga makan, minum, pakaian serta menyediakan tempat tinggal untuknya,” katanya.


Halimatun berkata, dia berharap Saodah tidak bimbang dengan keadaan Ramlah dan dari semasa ke semasa dia akan cuba memujuk Ramlah pulang menjenguk ibunya dan memulihkan hubungan dua beranak itu.

Pemilik kereta mewah dituduh tenggelamkan Bugatti untuk insurans

AUSTIN (Texas): Ketika kereta mewah edisi terhad Bugatti Veyron milik Andy House terbabas dan terhumban ke laut tiga tahun lalu, dia tidak menyangka insiden itu dirakamkan.

House memberi tahu polis, ketika dia memandu di laluan jalan antara negeri di Texas untuk ke lagun La Marque, telefon bimbitnya terjatuh.


Apabila dia melihat ke jalan semula selepas mengambil telefon bimbit berkenaan, House mendakwa dia hampir melanggar seekor burung undan.

Tindakan itu menyebabkan dia terbabas. Namun, selepas memfailkan tuntutan bernilai AS$2 juta (RM6 juta) bagi kerosakan keretanya, House terkejut apabila dia disaman kerana menipu.


House dijadual hadir di mahkamah di Galveston minggu ini bagi menjelaskan bagaimana insiden itu sebenarnya berlaku.


Satu rakaman video menunjukkan tiada burung undan kelihatan di laluan House. Syarikat Insurans Philadelphia Indemnity berkata, mereka mengeluarkan polisi insuran bernilai AS$2.2 juta untuk kereta House pada 2006 - kira-kira tiga minggu sebelum kemalangan berlaku.

Rakaman video juga menunjukkan House tidak cuba menekan brek ketika kejadian, sebaliknya “sengaja” memandu kereta Bugatti itu ke arah lagun bagi merosakkannya sebelum membuat tuntutan dua kali ganda daripada nilai sebenar kenderaan berkenaan. Sebuah firma insurans lain juga berkata, mereka dimaklumkan pihak tertentu, House pernah menawarkan upah kepada seseorang supaya mencuri dan membakar keretanya. - DM

Lihat 3 sawa bergumpal

ALOR GAJAH: Suasana di sebuah tempat mencuci kereta di Kampung Paya Rumput, dekat sini, gempar apabila tiga ular sawa muncul dari bawah jambatan sebelum ditangkap sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah, tengah hari semalam.
Kewujudan ular sawa itu disedari pemilik tempat mencuci kenderaan, M Skumaran, 33, jam 12 tengah hari.

Menurut Skumaran, ketika leka memerhatikan gelagat lima remaja berusia belasan tahun memancing di bawah jambatan, dia terpandang bahagian hujung ekor ular sawa berlingkar.

“Mata saya bertumpu pada ekor reptilia itu yang bergerak perlahan lalu mendekatinya untuk mengesahkan ia tiga ular sawa sepanjang kira-kira 1.5 meter bergumpal di celah kayu dan batu dipercayai dalam proses bersalin kulit.

“Saya mengarahkan lima remaja yang asyik memancing itu beredar dari kawasan berkenaan sebelum menghubungi JPAM Alor Gajah,” katanya di sini, semalam.

Terhumban dalam gaung

REMBAU: Seorang pemandu lori terselamat selepas lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit dipandunya, hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke gaung sedalam lebih 15 meter di Kilometer 227.3 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Abdul Rahman Rais berusia 30-an dikatakan dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke Pelabuhan Klang, Selangor untuk menghantar muatan minyak kelapa sawit.


Rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Shahrul, lingkungan usia 30-an, berkata ketika dia dalam perjalanan dari Gemencheh ke Pelabuhan Klang, dia mendapat panggilan daripada seorang rakan yang lain memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa rakan sekampungnya itu.

“Saya baru keluar dari Tol Simpang Ampat tiba-tiba seorang rakan menelefon memberitahu Rahman terbabit kemalangan selepas susur keluar Hentian Rehat Pedas-Linggi.


“Sebaik sampai di tempat kejadian dia sudah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.


“Saya terus menghubungi ahli keluarga dan isterinya yang tinggal di Segamat, Johor serta memaklumkan kejadian yang menimpa Rahman,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 165/59 Peraturan Lalulintas 1959.


Katanya, mangsa hanya cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar.

19 murid tertimbus

BEIJING: Seramai 19 murid sekolah rendah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Yunnan, semalam, dan setakat malam tadi sembilan orang disahkan maut.
Agensi berita Xinhua melaporkan, turut tertimbus, seorang penduduk kampung.

Kejadian berlaku ketika murid sekolah terbabit mengikuti kelas dalam musim cuti bagi menggantikan sesi pembelajaran yang terganggu akibat bencana gempa bumi bulan lalu. Stesen televisyen kerajaan berkata, sebuah kelas dan dua rumah ladang di kawasan pergunungan itu dilanda tanah runtuh, tetapi tiada butiran lanjut diberikan. Sekolah di China kini bercuti seminggu tetapi murid di Sekolah Rendah Youfang itu masih hadir kerana pembelajaran mereka tergendala akibat gempa bumi di wilayah Yiliang pada 7 September lalu.

Seramai 81 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam bencana itu. Ekoran kejadian semalam, pengguna Internet mempertikaikan tindakan sekolah terbabit mengarahkan muridnya kembali ke situ. Isu keselamatan sekolah sangat sensitif di China selepas ribuan pelajar terbunuh apabila gempa bumi sekuat 8.0 magnitud melanda wilayah Sichuan dan sebahagian Shaanxi serta Gansu pada 2008. Sementara itu, pihak berkuasa berkata, insiden kira-kira jam 8 pagi itu berlaku selepas kawasan berkenaan dilanda hujan.

Kebanyakan bangunan di Yiliang dibina di kaki gunung yang mempunyai cerun curam. Pegawai pelajaran setempat berkata, sepatutnya 30 murid menghadiri kelas berkenaan yang diadakan di bangunan satu tingkat sekolah itu.

Yiliang adalah satu daripada kawasan paling teruk dilanda gempa bumi sekuat 5.6 magnitud pada bulan lalu. Satu keluarga membabitkan tiga orang sempat menyelamatkan diri sejurus sebelum rumah mereka musnah dilanda tanah runtuh di kawasan sama. - AFP

Terjun pinjam tangga

MELAKA: Seorang tukang rumah nekad terjun dari rumah teres dua tingkat didiami bagi menyelamatkan isteri dan tiga anaknya apabila kediaman itu di Taman Malim Jaya di sini, terbakar awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Gan Kim Hui, 57, dan isteri, Tay Li Ngoh, 52, bersama tiga anak berusia 16 hingga 31 tahun yang sedang tidur di dua bilik tingkat atas terperangkap selepas bahagian bawah rumah terbakar.

Keadaan itu memaksa Gan memecahkan cermin dan jeriji tingkap biliknya sebelum terjun menyebabkan dia cedera di tangan dan kaki, tetapi berusaha berlari ke rumah jiran bagi meminjam tangga untuk menyelamatkan isteri dan anaknya.

Menurut adik ipar Gan, Tay Kok Chang, 42, kejadian itu hanya disedari anak saudaranya berusia 31 tahun yang terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap.

“Apabila dia membuka pintu biliknya, asap tebal akibat kebakaran yang dipercayai bermula dari ruang tamu sudah menyelubungi ruang atas lalu mengejutkan semua ahli keluarga.

“Panik dengan keadaan itu, Gan memecahkan cermin dan jeriji tingkap biliknya yang terletak di tepi rumah sebelum nekad terjun,” katanya ketika ditemui di rumah itu, di sini semalam.


Menurutnya, semua lima sekeluarga itu dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut kerana cedera dan sesak nafas.

“Difahamkan Gan cedera di tangan dan kaki terkena serpihan kaca manakala kakak saya dan tiga anaknya menerima rawatan lanjut kerana sesak nafas,” katanya.

Jiran mangsa, Angela Song, 56, berkata ketika kejadian dia yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi guruh yang kuat sebelum disusuli jeritan meminta tolong.

Katanya, dia yang melihat ke luar rumah terkejut selepas mendapati suara itu dari rumah Gan yang terbakar dan dipenuhi asap tebal.

“Ketika itu orang ramai juga mula datang cuba membantu sebelum beberapa minit kemudian anggota bomba yang sampai, menyelamatkan seorang anaknya yang masih terperangkap,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba negeri, Kamarulzaman Mohd Din, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.07 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Tiga jentera masing-masing dua dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan sebuah dari Bukit Katil bersama 14 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Api dipadamkan selepas 20 minit dan anggota kami juga menyelamatkan seorang wanita. Bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,’’ katanya.

Remaja diculik tiga lelaki guna van putih

TRAUMA...mangsa menceritakan detik cemas kepada wartawan Harian Metro.
TRAUMA...mangsa menceritakan detik cemas
kepada wartawan Harian Metro.
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang remaja perempuan berpura-pura pengsan selepas dipukul tiga lelaki yang menculiknya dalam sebuah van menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol, bunuh dan bakar dalam kejadian di Bandar Sri Permaisuri, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 17 tahun berjalan keseorangan ke sebuah sekolah di kawasan berhampiran untuk menjemput sepupunya berusia lapan tahun pulang apabila tiba-tiba van putih berhenti dan terus menariknya masuk ke dalam kenderaan itu.
Bagaimanapun, selepas 500 meter perjalanan, mangsa berpura-pura pengsan sejurus dipukul sebelum berjaya melarikan diri ketika tiga lelaki terbabit keluar untuk menculik seorang lagi gadis berhampiran jambatan laluan komuter di Salak Selatan.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Iqa berkata, setiap hari dia menghantar sepupunya itu ke sekolah.

Pengedar dadah rebah ditembak

GEORGETOWN: Bagai adegan dalam filem, aksi kejar mengejar sepasukan anggota polis dengan seorang pengedar dadah warga asing sejauh satu kilometer berakhir selepas lelaki itu rebah ditembak polis dalam kejadian di Terminal Bas Sungai Nibong, di sini, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku jam 9 malam apabila lelaki berusia 30-an dari Aceh, Indonesia itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mat Nasir Hussien berkata, berdasarkan maklumat dan siasatan mendapati suspek dipercayai dalang utama sindiket dadah membabitkan rampasan 23 ketul dadah jenis ganja bernilai RM84,000 di Bukit Gedung, kelmarin.

Menurutnya, suspek cuba melarikan diri dari tempat kejadian ke satu lorong gelap sebelum mendapati ia laluan mati dan berpatah balik sebelum terserempak dengan anggota polis.

Katanya, suspek disyaki cuba mengambil sesuatu dalam bajunya dan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan yang terkena paha dan perut suspek selepas amaran supaya menyerah diri tidak diendahkan.

“Suspek dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut walaupun keadaannya dilaporkan serius tetapi agak stabil.


“Kami menjalankan siasatan berkaitan penahanan lelaki itu daripada pelbagai sudut bagi mengetahui sejauh mana pembabitannya dalam kes pengedaran dadah itu,” katanya.

Kelmarin, polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 50-an bersama ketulan dadah jenis ganja belum diproses yang dibalut padat seperti bola ragbi seberat 28 kilogram dalam but kereta.

Guna jengkaut rempuh bank, larikan ATM

LONDON: Sekumpulan perompak merempuh dinding sebuah bank menggunakan jengkaut curi, menyebabkan lubang sebesar kira-kira empat meter, sebelum mereka melarikan mesin teler automatik (ATM) di situ, semalam.

Polis kini memburu empat lelaki bertopeng kerana merempuh Bank Barclays cawangan Long Sutton di Lincolnshire.


Jurucakap polis berkata, perompak terbabit menggunakan jengkaut yang dicuri dari sebuah ladang di Gedney sebelum mengangkut ATM menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Walaupun sepatutnya insiden itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV), tiada bukti dapat digunakan polis pada alat berkenaan kerana ia tidak dihidupkan ketika itu. Ahli Majlis Tempatan, John Clarey, berkata dia amat terkejut insiden itu boleh berlaku di tengah bandar ketika dua CCTV terarah ke dinding bank berkenaan. “Apa guna membayar wang yang banyak untuk kamera CCTV jika tiada apa dapat dirakam?” katanya. Awal tahun ini, pihak berkuasa tempatan Clare Clarey menggantung pembiayaan skim kamera rasmi bagi membolehkan siasatan dibuat memastikan ia benar-benar berfungsi. Siasatan dibuat selepas sekumpulan pencuri melarikan hampir �700,000 (RM3.5 juta) dari mesin tunai pasar raya di seluruh Britain menggunakan mesin gergaji.


Mereka bagaimanapun didapati bersalah dan dipenjara bulan lalu. Sepanjang 14 bulan, mereka mencuri 33 pasar raya dan kediaman. - DM

7 ditahan kes pelanggaran

Hong Kong: Polis menahan tujuh kru dua boat yang berlanggar di Hong Kong menyebabkan 38 terbunuh.

Tetapi, pihak berkuasa tidak memberi penjelasan mengenai punca kemalangan itu yang berlaku dalam keadaan cuaca baik.
Kejadian malam Isnin itu adalah kemalangan terburuk Hong Kong dalam tempoh lebih 15 tahun dan nahas maritim terburuk dalam masa lebih 40 tahun.

Pesuruhjaya Polis, Tsang Wai-hung berkata enam orang ditahan kerana disyaki membahayakan penumpang dengan mengendali bot secara tidak selamat.

Tidak lama selepas itu, orang ketujuh ditahan. Tsang berkata, dua kru terbabit tidak berhati-hati dalam pengendalian kapal mengikut undang-undang.

Feri itu berlanggar dengan boat Lamma IV milik Hong Kong Electric Co. dan membawa lebih 100 pekerja dan keluarga mereka ke Victoria Harbor. - Agensi

RM1 juta disamun, van kena bakar

Anggota polis dan unit forensik melakukan siasatan pada van yang dibakar. - Foto Osman AdnanAnggota polis dan unit forensik melakukan siasatan pada van yang dibakar. - Foto Osman Adnan Klang: Sebuah van keselamatan membawa wang tunai hasil kutipan pertaruhan berjumlah RM1 juta dirompak sebelum dibakar di Taman Eng Ann, di sini petang semalam.

Tiga karung dilarikan
Bagaimanapun, penjenayah hanya sempat menyamun tiga karung berisi RM1 juta daripada wang pertaruhan yang dipungut dari beberapa kedai perjudian nombor ekor di daerah ini, manakala beberapa karung lagi dianggar mengisi wang tunai RM500,000, tidak dilarikan.

Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Shukor Sulong, berkata dalam kejadian jam 5.40 petang itu, van berkenaan dinaiki tiga pengawal keselamatan sebelum seorang turun memungut wang di sebuah kedai di Jalan Meru, di sini.

Katanya, dua lelaki masing-masing dipercayai bersenjatakan pistol kemudian menghampiri dua pengawal yang menunggu di dalam van dan memaksa mereka berpindah ke bahagian belakang kenderaan itu sebelum seorang daripada suspek memandu van berkenaan.

“Seorang lagi suspek duduk di ruang belakang van mengawasi dua pengawal keselamatan itu. Van dipandu sejauh 2.5 kilometer untuk ke Taman Eng Ann sebelum berhenti apabila tiba di Lorong Tiong. Sebuah Proton Waja perak kemudian berhenti berhampiran van berkenaan sebelum tiga lagi suspek datang.

Lima diburu
“Tiga suspek itu kemudian merampas karung duit di ruang belakang van dan selepas memindahkannya ke kereta Proton Waja itu, mereka mencurah cecair dipercayai petrol ke atas van berkenaan sebelum membakarnya. Mereka sebelum itu mengarahkan pengawal yang ditahan, keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya di sini semalam.

Katanya, sepucuk pistol jenis revolver milik pengawal keselamatan juga dilarikan suspek, manakala sebahagian duit yang tidak sempat dilarikan terbakar.

“Dua pengawal berkenaan hanya cedera ringan terkena serpihan kaca cermin van yang pecah. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan menggunakan senjata api. Polis sedang memburu lima lelaki dianggar berusia 20 hingga 30 tahun yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Suami isteri dipenjara kerana pecah amanah RM1.57 juta

GEORGE TOWN – Seorang bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat dan suaminya, seorang peguam, masing-masing dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah harta milik Bank Muamalat Bhd. cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) bernilai RM1.57 juta tiga tahun lepas.
Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Aishah Mohamed Rose dan suaminya, Johari Ahmad, masing-masing berusia 51 tahun, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu.
Selain itu, pasangan suami isteri itu masing-masing turut dikenakan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM183,702.63.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Aishah didapati bersalah ketika urusan penguasaan dan perjalanan ke atas harta berjumlah RM1,578,191 di Bank Muamalat di Bangunan D12, USM, Jalan Minden di sini antara 23 Februari dan 7 Disember 2009.
Bagi pertuduhan itu, Aishah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Johari pula disabit kesalahan bersubahat dengan isterinya untuk melakukan pecah amanah pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Johari didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

GRO, kekasih dijel seumur hidup

KHAN MEI (kanan) dan Bingju dijatuhi hukuman
penjara seumur hidup atas kesalahan menculik
di Mahkamah Tinggi George Town semalam.
GEORGE TOWN – Sepasang kekasih dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan memperoleh wang tebusan berjumlah RM200,000 tiga tahun lepas.
Lai Khan Mei, 35, dan teman wanitanya, Gao Bingju, 25, seorang warga China, didapati bersalah melarikan dan mengurung kanak-kanak itu di sebuah rumah di Taman Gemilang Ria, Bukit Mertajam dekat sini pada pukul 5.30 petang 19 Disember 2009.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Amin Firdaus Abdullah turut menjatuhkan hukuman 15 kali sebatan terhadap Khan Mei, seorang penjual alat mencuci kereta selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau berkata, mahkamah menolak keterangan Khan Mei yang mengatakan wang yang ditemui ketika dia dan Bingju ditangkap di Genting Highlands, Pahang adalah pemberian kawan-kawannya.
“Mahkamah mendapati keterangan dikemukakan pihak pendakwaan berjaya membuktikan identiti kedua-dua tertuduh terlibat dalam kes ini,” kata beliau.
Pasangan kekasih itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Dua dituduh bunuh warga emas

Kiri Kaswan, Chan Hong

PEKAN – Kes kematian seorang pekerja premis menjual alat binaan yang rangkanya ditemui ditanam di kawasan hutan di Jalan Pekan-Nenasi di sini 21 September lalu memasuki episod baharu apabila dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh mangsa.
Kaswan Raja Gopal, 26, dan Lam Chan Hong, 35, dituduh membunuh Sh. Othman Sh. Bakar, 72, selepas menculik warga emas tersebut pada 15 September lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Kaswan yang bekerja sebagai penjaga sangkar ikan dan Chan Hong yang menjalankan perniagaan bengkel cermin kenderaan di Kuantan di hadapan Majistret Nordiana Abd. Aziz.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hujung jalan kecil bertar di Kilometer 16 Jalan Pekan-Nenasi di sini pada pukul 1 petang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Nordiana kemudian menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar.
Pada 21 September lalu, Kosmo! melaporkan mengenai kerisauan seorang wanita, Siti Salamah Sheikh Abd. Rahman, 63, mengenai keselamatan suaminya, Sh. Othman yang didakwa diculik selepas disangka pemilik premis menjual alat binaan di Peramu Jaya di sini. Dia sebenarnya hanya pekerja biasa syarikat tersebut.

Polis tahan 25 lelaki leka berjudi

KEPALA BATAS - Polis menahan 25 orang lelaki termasuk seorang warga emas yang sedang asyik berjudi di sebuah bangsal di Kampung Setol, Pinang Tunggal di sini, malam kelmarin.
Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, pada kira-kira 10 malam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Pulau Pinang, Supt. Mat Nasir Hussein berkata, 25 lelaki berusia antara 25 hingga 75 tahun ditahan dalam serbuan itu.
"Sebaik menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sehingga ada yang cedera selepas terjatuh dan tercucuk duri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, bangsal tersebut dipercayai lokasi baharu kumpulan terbabit untuk berjudi kerana terletak di kawasan terpencil.
Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM22,050 termasuk wang pertaruhan daripada kesemua lelaki terbabit. - BERNAMA