Search This Blog

Tuesday, October 2, 2012

Feri terbakar, ratusan penumpang terkandas

LABUAN 2 Okt. - Sebuah feri penumpang terbakar di terminal feri Labuan di sini hari ini, menyebabkan beratus penumpang terkandas.
Ketika kejadian pada pukul 6.10 pagi itu, terdapat kurang daripada 10 krew di atas feri Wawasan Perdana yang ingin memulakan trip pertama ke Menumbok.
Tiada kecederaan dilapor.
Ketika kebakaran, difahamkan tiada penumpang dan kenderaan di atas feri itu.
Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata satu siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan sejurus kejadian, mengambil masa 15 minit untuk memadamkan kebakaran.
Berikutan kejadian itu, jadual perjalanan feri ke tanah besar dihentikan buat sementara.
Feri yang dikendalikan Labuan Ferry Corporation (LFC) itu telah beroperasi sejak lapan tahun lepas dan boleh membawa 600 penumpang serta 60 kenderaan pada satu-satu masa. Sebuah lagi feri LFC ialah Warisan Perdana.
Ketua Pegawai Eksekutif LFC Samsul Sahari memberitahu Bernama bahawa kejadian itu adalah di luar jangkaan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Satu-satunya cara untuk ke tanah besar buat masa ini ialah dengan Feri Kimanis yang dikendalikan Juta Bonus, sebuah syarikat berpangkalan di Sabah. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121002/dn_23/Feri-terbakar-ratusan-penumpang-terkandas#ixzz289idzDeJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sindiket jamin lulus tumpas

Oleh Wan Noorhayati Wan Alias
pengarang@utusan.com.my
BATU GAJAH 1 Okt. - Seramai tujuh 'orang tengah' sindiket jamin lulus yang menjalankan kegiatan memperbaharui cukai jalan kenderaan diseludup dan yang lebih tempoh setahun tanpa pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom, diberkas dalam satu operasi di sini hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya turut membongkar rahsia salah seorang daripada mereka yang mampu hidup mewah dengan memiliki sebuah rumah bernilai RM1.5 juta.
Dalam operasi itu, SPRM juga memperoleh pengakuan suspek bahawa ia telah menjalankan kegiatan tersebut sejak 15 tahun lalu.
Suspek berusia 50-an itu ditahan di sebuah stesen minyak di Taman Pusing Perdana di sini pukul 2.50 petang selepas dipercayai menerima sejumlah wang suapan daripada pelanggan.
Kesemua yang berusia 30 hingga 55 tahun itu ditahan dalam operasi di Manjung, Ipoh, Taiping dan Batu Gajah di sini bermula pukul 8.30 pagi hingga 2.50 petang. Mereka disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Hasil penahanan kesemua orang tengah tersebut, SPRM mendapati sindiket itu juga menawarkan khidmat memperbaharui cukai kenderaan kepada pemilik yang terlibat kemalangan, kereta potong, mengubah kapasiti enjin dan yang tidak memenuhi spesifikasi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.
Utusan Malaysia dalam laporan eksklusif hari ini melaporkan satu sindiket menjalankan kegiatan memperbaharui cukai jalan kenderaan yang diseludup sehingga mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit berjaya dibongkar SPRM.
Sindiket yang aktif sejak beberapa tahun lalu itu, turut dikesan menawarkan perkhidmatan bagi memperbaharui cukai kenderaan tamat tempoh melebihi setahun tanpa perlu pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121002/je_02/Sindiket-jamin-lulus-tumpas#ixzz289h0vVI2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Syarikat jongkong emas diserbu

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Sebuah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. yang dipercayai menjalankan urus niaga bernilai kira-kira RM4 bilion termasuk melibatkan pelaburan kerajaan negeri dan orang kenamaan (VIP) diserbu pihak berkuasa hari ini.
Serbuan itu dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Difahamkan, siasatan dan serbuan terhadap syarikat itu yang terletak di Jalan Kuchai Lama di sini dilakukan setelah beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis baru-baru ini.
Sumber memberitahu, syarikat berkenaan sebelum ini pernah terlibat memperdayakan pelabur melalui skim pelaburan berbentuk piramid.
Menurutnya, syarikat itu bagaimanapun ditutup dan pemiliknya menghilangkan diri selepas kegiatan mereka terbongkar.
"Bagaimanapun, pemilik syarikat sama dipercayai kembali menubuhkan syarikat pelaburan baru menggunakan nama lain untuk memperdayakan pelabur.
"Kali ini, syarikat berkenaan menawarkan pelaburan emas bagi menarik pelabur yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kerajaan negeri, VIP dan artis," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ada beberapa mangsa sanggup membuat pelaburan mencecah jutaan ringgit kerana dijanjikan pulangan yang lumayan.
Difahamkan, selain menawarkan pelaburan kepada rakyat tempatan, syarikat berkenaan turut mempunyai cawangan di Singapura dan memperdayakan pelabur di negara jiran itu.
Menurut sumber itu, aktiviti penipuan pelaburan emas itu berkembang luas di seluruh negara tetapi laporan polis paling banyak diterima daripada mangsa di Perak.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan di sini memaklumkan bahawa satu operasi serbuan telah dilakukan hari ini terhadap Genneva Malaysia Sdn. Bhd.
Menurut kenyataan itu, syarikat tersebut dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh agensi-agensi penguat kuasa berkenaan.
"Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura juga telah mengambil tindakan yang sama ke atas Genneva Pte. Ltd. di republik itu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melabur wang mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.
Pada Mei lalu, sebuah akhbar melaporkan transaksi jual beli dan pelaburan emas syarikat Genneva Malaysia didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan hukum syariah dan undang-undang negara.
Ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin.
Pada 1 Ogos lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis terhadap syarikat pelaburan emas itu yang didakwa menjalankan urus niaga syariah tidak mematuhi keputusan muzakarah itu.
Sementara itu, kira-kira 400 pelabur dan juru runding syarikat itu berkumpul di hadapan pejabat syarikat tersebut sejak petang ini selain terkejut dengan serbuan pihak berkuasa.
Mereka tidak berpuas hati dengan tindakan itu kerana mendakwa syarikat berkenaan beroperasi secara sah dan tidak pernah menipu pelanggan sejak ditubuhkan pada tahun 2010.
Seorang jururunding yang ditemui Mohd. Sani Royan, 52, berkata, urusan perniagaan di syarikat pelaburan tersebut berjalan lancar sejak dua tahun lalu sebaik sahaja dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, malah urus niaga pelaburan emas di syarikat tersebut adalah berdasarkan syariah supaya orang Islam boleh melabur emas dalam bentuk jongkong dan tablet.
"Saya yakin syarikat ini adalah betul dan membawa keuntungan berpatutan kepada pelabur termasuk saya yang merupakan seorang pesara kerajaan.
"Kami sebenarnya menjadi mangsa pesaing dari syarikat lain yang cemburu dengan kejayaan syarikat ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121002/je_01/Syarikat-jongkong-emas-diserbu#ixzz289gUF2Ug
© Utusan Melayu (M) Bhd 

36 maut nahas feri berlanggar di Hong Kong

HONG KONG 2 Okt. - Sekurang-kurangnya 36 maut manakala berpuluh-puluh lagi cedera apabila sebuah feri yang membawa 120 penumpang berlanggar dengan sebuah lagi feri sebelum ia karam berdekatan pulau selatan Hong Kong, malam tadi.
Feri milik Syarikat Elektrik Hong Kong itu membawa pekerja-pekerja dan ahli keluarga mereka yang sedang bercuti bagi menyaksikan persembahan bunga api sempena sambutan Hari Kebangsaan China dan festival pertengahan musim luruh sebelum ia berlanggar dengan sebuah lagi feri dan kemudian karam serta-merta berdekatan Pulau Lamma.
Menurut mangsa yang terselamat, feri itu karam dalam masa yang singkat iaitu kira-kira 10 minit, menyebabkan penumpang tidak sempat mengenakan jaket keselamatan dan terperangkap dalamnya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121002/ma_03/36-maut-nahas-feri-berlanggar-di-Hong-Kong#ixzz289fDpUJ1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mangsa jenayah Internet rugi RM421,248

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanktn@gmail.com
KUANTAN 1 Okt. - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang merekodkan sejumlah RM421,248 kerugian yang dialami mangsa akibat jenayah Internet di seluruh negeri ini bagi tempoh Januari hingga September lalu.
Menurut Pemangku Ketua JSJK Pahang, Deputi Superintendan Muhammad Rizal Kamarudin, jumlah berkenaan membabitkan 110 kes yang dilaporkan oleh mangsa penipuan Internet sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, tiga kes paling banyak mendapat aduan adalah penipuan pembelian barangan melalui laman sesawang dan 'Macau Scam'.
"Kes penipuan gores dan menang menduduki carta ketiga paling banyak dilaporkan di negeri ini dengan semua mangsa terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat usia," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, bagi kes penipuan pembelian barang melalui laman sesawang, pihaknya menerima 88 aduan daripada mangsa membabitkan kerugian sebanyak RM110,658.30 sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, kebanyakan individu yang menjadi mangsa sindiket berkenaan adalah mereka mahu membeli telefon pintar yang ditawarkan dengan harga murah.
"Dalam kebanyakan kes, sindiket terbabit menawarkan telefon pintar dengan harga semurah RM800 daripada harga sebenar kira-kira RM2,000 ke atas," katanya.
Katanya, bagi kes penipuan Macau Scam, pihaknya menerima 17 aduan membabitkan kerugian berjumlah RM310,590.50.
"Kebanyakan mangsa adalah mereka berusia 30 hingga 40 tahun terdiri daripada lelaki dan wanita bekerjaya.
"Dalam tempoh seminggu lalu, pihak kami menerima dua aduan mengenai kes seperti ini," katanya.
Menurutnya, bagi kes penipuan gores dan menang pula, setakat ini pihaknya membuka lima kertas siasatan.
Jelasnya, sepanjang tempoh itu juga, polis sudah menjalankan 23 tangkapan dan pelbagai barangan dirampas daripada sindiket terbabit.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran barangan diiklankan melalui laman sesawang.
"Jangan mudah terpedaya dengan sebarang panggilan yang mengaku sebagai pegawai bank dan jangan sesekali mendedahkan maklumat akaun peribadi kepada pihak tidak dikenali," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121002/wp_03/Mangsa-jenayah-Internet-rugi-RM421248#ixzz289eY7DXZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penarik kereta sembunyi kenderaan

Oleh HAMDAN TAWADI
pengarang@utusan.com.my
BATU PAHAT 1 Okt. - Establishmen Tribunal Timbangtara Malaysia (MATE) mendedahkan, wujud kes kenderaan yang ditarik akibat kegagalan pemilik melunaskan bayaran bulanan, disembunyikan di hutan sebelum digunakan sewenang-wenangnya oleh penarik kereta.
Presiden MATE, Prof. Datuk Dr. Munshi Muslim Yacob berkata, masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang melanggar peraturan tarik kereta yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"Bila tak bayar, mereka terus tarik. Lebih teruk, kereta yang ditarik disimpan dalam hutan dan samseng tukang tarik ini boleh sesuka hati menggunakan kenderaan tersebut.
"Amat menyedihkan juga kerana masalah hutang kereta ini menjadi antara punca utama menyebabkan golongan muda menjadi muflis," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jenama dan pejabat MATE di Pura Kencana di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi dan turut dihadiri Pengerusi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Labuan, Datuk Mohamed Zahari Awang dan Pengurus Besar MATE Cawangan Batu Pahat, Jamil Mustapha.
Timbang tara adalah mekanisme alternatif penyelesaian pertikaian di luar mahkamah meliputi pelbagai bidang kecuali jenayah seperti tertera dalam Akta Timbang Tara 2005.
Munsyi Muslim berkata, pihak yang berdepan masalah termasuk pinjaman kenderaan boleh mendapatkan khidmat MATE sebagai orang tengah untuk berunding dengan bank agar penyelesaian terbaik dapat dicapai dan mengelakkan mereka daripada muflis atau menjadi mangsa tukang tarik kereta.
Pada tahun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewajibkan ejen perolehan semula (EPS) atau lebih dikenali ejen tarik kereta mendapatkan permit sebelum melaksanakan tugas menarik kenderaan.
EPS disaring dan dipastikan tiada rekod jenayah, mematuhi tatacara penarikan semula kenderaan termasuk tempoh masa yang dibenarkan iaitu 9 pagi hingga 9 malam setiap hari dan tidak boleh menggunakan kekerasan dalam proses tersebut.
Turut ditetapkan adalah tidak boleh memecah masuk rumah kecuali dengan kebenaran mahkamah.
Sebarang penarikan kenderaan juga perlu dilaporkan ke balai polis terdekat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121002/ws_02/Penarik-kereta-sembunyi-kenderaan#ixzz289eAxj18
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bantah pesawat AS di Okinawa

TOKYO 1 Okt. - Enam pesawat MV-22 Osprey milik Amerika Syarikat (AS) mula ditempatkan di pangkalan tentera negara itu di selatan pulau Okinawa, Jepun hari ini, walaupun mendapat tentangan kuat daripada penduduk tempatan.
Tentera AS memindahkan pesawat itu ke Stesen Udara Marine Corp. Futenma di Okinawa dari pangkalan mereka di Iwakuni, di barat Jepun, tempat terletaknya baki enam lagi pesawat Ospreys selepas 12 buah dibawa dari AS pada Julai lalu, lapor agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Jepun.
Penempatan itu dibuat tiga minggu selepas kira-kira 100,000 penduduk Okinawa berhimpun bagi membantah dan menentang penempatan tersebut kerana bimbang dengan keselamatan pesawat-helikopter hibrid itu.
Okinawa menempatkan hampir 75 peratus kemudahan tentera AS di negara itu ekoran Perjanjian Keselamatan AS-Jepun.
Kerajaan Tokyo berkata, Osprey adalah selamat untuk beroperasi di pulau itu, tetapi Gabenor Okinawa, Hirokazu Nakaima menyuarakan pendapat yang berbeza dan memberi amaran bahawa Futenma terletak di kawasan penduduk.
Pesawat Osprey itu pernah mencetuskan tragedi apabila dua orang maut di Magribi manakala semua krew pesawat terbunuh di Florida dalam nahas melibatkan pesawat tersebut pada tahun ini.
Kipas pada Osprey boleh diubah kedudukannya kepada menegak atau melintang, sekali gus membolehkannya terbang seperti helikopter atau pesawat. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121002/lu_02/Bantah-pesawat-AS-di-Okinawa#ixzz289arzXTy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Inkuiri pembunuhan 34 pelombong Afrika Selatan bermula

RUSTENBURG 2 Okt. - Afrika Selatan semalam memulakan inkuiri terhadap pembunuhan 34 pelombong yang didakwa dilakukan oleh polis dan keganasan yang dikaitkan dengan insiden Ogos lalu, sekali gus mendedahkan kejadian berdarah negara itu sejak tamatnya era aparteid.
Suruhanjaya Inkuiri Marikana yang dilantik oleh Presiden Jacob Zuma memulakan proses inkuiri yang dijangka memakan masa selama empat bulan di Rustenburg Civic Centre.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Ian Farlam memulakan inkuiri dengan bertafakur selama satu minit bagi mengingati mangsa dan berjanji akan mendedahkan kebenaran.
``Negara kita menangisi kejadian ini dan kita berhutang kepada mereka yang prihatin akan kes ini yang mana kita akan melakukan kerja dengan seberapa segera yang mungkin,’’ katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121002/lu_08/Inkuiri-pembunuhan-34-pelombong-Afrika-Selatan-bermula#ixzz289aC8w2n
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi mati dipercayai tersedak susu

JOHOR BAHARU - Seorang bayi perempuan berusia sebulan meninggal dunia di rumah penjaganya ketika sedang tidur dipercayai tersedak susu.
 
Kejadian berlaku pada 8 pagi di Taman Perling di sini hari ini.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Supt Beh Eng Lai berkata kejadian disedari pengasuhnya yang memeriksa keadaan mangsa selepas mendapati berlaku pendarahan pada bahagian hidungnya.
 
"Bayi itu sedang tidur selepas diberikan susu dan pengasuhnya meneruskan tugas membuat kerja-kerja rumah seperti biasa.
 
"Pada kira-kira jam 8 pagi pengasuh menjenguk mangsa dan mendapati terdapat kesan darah pada bahagian hidung bayi itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beh berkata pengasuh itu kemudiannya bergegas membawa mangsa ke klinik berhampiran bagi merawatnya namun doktor klinik berkenaan memaklumkan bayi itu sudah meninggal dunia.
 
Pengasuh itu kemudiannya membawa bayi tersebut ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan lanjut.
 
Bayi berkenaan telah dihantar ke rumah pengasuhnya sejak 8 malam semalam oleh kedua ibu bapanya yang bekerja di Singapura.
 
Beh berkata punca kejadian masih disiasat dan pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital. - Bernama

Siasatan isu pendatang asing di Sabah bermula

KUALA LUMPUR - Pegawai penyiasat yang dilantik Suruhanjaya Siasatan bagi menangani isu berkaitan pendatang asing di Sabah, memulakan siasatan mereka semalam.
 
Perkara itu disahkan Setiausaha Suruhanjaya tersebut Datuk Saripuddin Kasim dalam satu kenyataan hari ini.
 
Beliau berkata ini berikutan pentauliahan anggota suruhanjaya oleh Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa 21 Sept lepas.
 
"Pendakwa Raya telah melantik pegawai penyiasat mengikut peruntukan Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat apa-apa perkara berkaitan terma rujukan suruhanjaya itu," katanya.
 
Media sebelum ini melaporkan terma rujukan suruhanjaya itu, antara lain, bermatlamat menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang diberi kad pengenalan atau kewarganegaraan.
 
Suruhanjaya itu juga akan menyiasat sama ada pendatang asing di Sabah, yang memegang kad pengenalan biru, resit  pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang, telah didaftarkan dalam daftar pemilih.
 
Ia diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan siasatan, bermula dari tarikh tauliah pelantikan pengerusi dan anggota suruhanjaya, iaitu pada 21 Sept lepas.
 
Laporan siasatan itu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. - Bernama

Polis: Litar pintas punca kebakaran feri

LABUAN - Siasatan awal mendapati kebakaran yang memusnahkan sebahagian feri Wawasan Perdana hari ini berpunca daripada litar pintas.
 
Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata litar pintas itu membabitkan pemanas air di kantin yang terletak di dek penumpang.
 
Kebakaran dikesan oleh seorang petugas yang hendak menghidupkan enjin feri tersebut yang kemudian melaporkannya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Feri Labuan (LFC) Samsul Sahari memberitahu Bernama, kebakaran yang berlaku pukul 6 pagi itu memusnahkan navigasi dan dek penumpang di aras dua feri, manakala enjinnnya tidak terjejas.
 
Dibina pada 1997, feri itu berkemampuan menampung sehingga 1,000 penumpang, 80 kereta dan 24 lori bagi setiap perjalanan. Feri yang dibeli dari Korea Selatan itu mula beroperasi sejak Ogos 2004 bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan.

Samsul berkata LFC akan menyegerakan kerja membaik pulih feri keduanya Warisan Perdana bagi menampung keperluan susulan kejadian ke atas Wawasan Perdana.
 
Susulan kejadian itu juga, penumpang dari tanah besar kini terpaksa bergantung kepada perkhidmatan feri Kimanis yang dikendali oleh Juta Bonus Sdn Bhd. Perkhidmatan feri itu beroperasi beberapa hari sebelum Aidilfitri yang lalu.
 
Sejak bertahun-tahun, penduduk bergantung kepada perkhidmatan feri untuk mengangkut barangan dari tanah besar Sabah ke Labuan.
 
Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal meluahkan harapan agar LFC mempercepatkan proses membaik pulih feri berkenaan.
 
"Kita semua tahu akan pentingnya perkhidmatan feri, tetapi tiada apa yang dapat kita lakukan kecuali membiarkan LFC menyelesaikannya," katanya sambil menasihati masyarakat agar bersabar dengan situasi itu. - Bernama

Ibu bapa buat laporan polis dakwa anak dirotan guru

BUTTERWORTH - Sekumpulan ibu bapa membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua di sini hari ini, mendakwa anak mereka dirotan guru atas kesalahan kecil.
 
Antara lain mereka mendakwa guru wanita berusia 40-an di sebuah sekolah di Sungai Dua itu bertindak merotan tapak tangan atau punggung anak mereka hingga lebam.
 
Chang Phei Phei, 33, ibu kepada murid tahun dua sekolah itu mendakwa anaknya dirotan di punggung pada Jumaat lepas kerana gagal mewarna tugasan dalam buku Matematik.
 
"Guru terbabit juga mengugut pelajar yang dirotannya agar tidak  memberitahu hukuman yang dikenakan ke atas mereka kepada ibu bapa dan akan bertindak lebih keras sekiranya ada ibu bapa datang ke sekolah," katanya pada sidang media, di sini.
 
Chang berkata beliau pernah membuat aduan kepada pihak sekolah beberapa bulan lepas susulan tindakan guru kelas bahasa Mandarin merotan anaknya kerana kesalahan kecil, namun tiada tindakan diambil.

"Kami mahu Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang mengambil tindakan tegas terhadap guru dan pihak sekolah terbabit kerana masalah terus berlaku walupun beberapa aduan telah dibuat,"  katanya.
 
Seorang suri rumah, Yu Choon Lan, 41, berkata anak perempuannya berusia 10 tahun pernah dirotan di tapak tangannya sebanyak tiga kali pada 28 Sept lepas kerana tulisan terlalu kecil.
 
"Anak saya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana bimbang akan terus dipukul di sekolah jikaa saya mengadu perkara itu kepada  pengurusan sekolah," katanya yang mendakwa urat tangan anaknya cedera akibat dipukul. - Bernama

TNC ditahan SPRM



sprm
SPRM
SENAI – Seorang Timbalan Naib Canselor universiti tempatan awam ditahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini, hari ini.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Mustafar Ali mengesahkan penahanan lelaki berusia 50-an itu kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

“Beliau telah dipanggil untuk hadir ke pejabat SPRM hari ini dan kita  menyiasat perkara ini dibawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dan pendakwaan akan dilakukan esok (hari ini),“ katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima barangan berharga dengan tiada balasan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mustafar berkata nilai yang terlibat berjumlah RM15,000.

Empat lagi suspek bunuh ahli perniagaan di Bangi ditahan polis

SHAH ALAM - Pihak polis menahan empat lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang ahli perniagaan yang ditemui mati dalam keadaan terbaring di sisi sebuah kereta mewah di tepi jalan di Batu 5 1/2, Bangi pada 9 Sept lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 22 tahun dan berasal dari Johor ditahan di beberapa lokasi berasingan Khamis lepas.

Keempat-empat suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor di sini hari ini.

Pada 9 Sept lepas, Wong Sing Keong, 42, dari Batu 9, Cheras ditemui mati dengan kesan lebam di muka dan mata sebelah kanan, serta terdapat kesan hentakan pada kepala oleh orang awam.

Sebelum ini, sepasang suami isteri ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan itu dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagaimanapun isterinya telah dibebaskan dengan ikat jamin polis, katanya.

Mengenai kes pembunuhan peniaga Leong Kian Sheong, 37, dan wanita kenalannya Vivien Wong, 20, di Taman Segar Perdana, Cheras pada 13 Sept lepas, Mohd Adnan berkata lima suspek berumur antara 27 dan 58 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata mereka ditangkap antara 19 Sept hingga 28 Sept di beberapa lokasi berasingan, iaitu di Kangar, Perlis; Sungai Buloh, Selangor; Taman Sentosa dan Segamat, Johor.

Tambahnya, salah seorang daripada mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin polis, manakala yang lain ditahan reman sehingga Jumaat ini. - Bernama

Jangan mudah terpedaya perniagaan atas talian



Sindiket gores dan menang
Sindiket gores dan menang semakin galak mencari mangsa di bandar untuk mengaut keuntungan mudah.- gambar hiasan
KUANTAN - Kerugian bernilai ratusan ribu ringgit dicatat melibatkan kes penipuan internet, peraduan gores dan menang serta penipuan Macau Scam dilaporkan berlaku di negeri ini bermula Januari hingga September lalu.

Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan tidak terlalu taksub dengan jualan langsung melalui lawan web yang cuba memperdaya mangsa dengan menawarkan barangan berjenama mewah pada harga lebih rendah, manakala lebih berhati-hati bagi mengelak sindiket gores dan menang serta Macau Scam.

Pemangku Ketua Jabatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Rizal Kamaruddin berkata, kes paling tinggi dilaporkan ialah penipuan melalui laman web iaitu hanya menggunakan modus operandi menawarkan barang dengan harga lebih rendah, pihak tidak bertanggungjawab dengan mudah memperdaya mangsa.

Menurutnya, tanpa membuat sebarang penyelidikan atau kesahihan, kebanyakan mangsa dengan mudah memasukkan wang pembelian ke dalam akaun suspek tanpa menyedari barang dijanjikan sebenarnya tidak wujud.

“Sebanyak RM110, 688.30 kerugian dilaporkan berlaku daripada 88 kes yang diterima dan paling popular buat masa sekarang ialah penjualan telefon bimbit berjenama.

“Jika harga pasaran mencecah RM2,000, suspek yang menawarkan barangan tersebut dengan harga sebanyak RM900 sahaja dan mangsa terlalu mudah mempercayainya.

“Selain telefon bimbit, kes penipuan juga melibatkan penjualan kereta, pakaian dan barangan lain. Suspek akan meletakkan nombor telefon untuk dihubungi dan persetujuan hanya dibuat melalui talian sahaja serta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun suspek," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.

Seterusnya Mohd Rizal berkata, suspek berjanji akan menghantar barangan melalui pos atau berjanji akan berjumpa di satu lokasi tetapi sebaik sahaja transaksi pemindahan wang dibuat, suspek terus gagal dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata, selain penipuan internet, kes melibatkan peraduan gores dan menang serta penipuan Macau Scam tidak kurang hebatnya serta kini semakin berleluasa.

“Pihak polis telah mengambil tindakan 23 tangkapan dan pelbagai barangan dirampas berkaitan ke penipuan gores dan menang.

“Kes ini kebanyakan berlaku di bandar-bandar besar dan suspek menawarkan kad gores menang tanpa bayaran serta mengatakan mangsa  memenangi hadiah lumayan. Mangsa diminta membuat bayaran atas barangan termasuk cukai kerajaan sedangkan barangan diterima tidak sepadan dengan bayaran dan lebih teruk ada yang tidak mendapat apa-apa barangan,” katanya.

Katanya, bagi kes penipuan Macau Scam ia membabitkan kerugian sehingga RM310,590 dan 17 aduan telah diterima.

“Melalui penipuan ini, mangsa akan dihubungi melalui telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh suspek yang mengaku pegawai bank dan menakut-nakutkan mangsa dengan mengatakan terdapat hutang kad kredit perlu dilunaskan.

“Apabila mangsa mengaku tidak pernah terlibat dengan permohonan kad kredit atau hutang, suspek memberitahu dokumen mangsa telah disalahgunakan dan meminta pindahan wang dilakukan melalui nombor akuan diberikan bagi jaminan keselamatan.

“Selepas wang dipindahkan, suspek gagal dihubungi dan sebahagian kes yang berlaku menyasarkan golongan peniaga berusia 30 hingga 40 tahun sebagai mangsa,” katanya.

Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah

KUANTAN - Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan kekasihnya yang berusia 23 tahun, ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di sekitar daerah Temerloh.
 
Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pukul 3 petang semalam, di Jalan Pintasan Perindustrian Mentakab.
 
Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, pasangan terbabit ditahan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva dipercayai sedang menunggu pelanggan di kawasan itu.
 
Hasil pemeriksaan polis ke atas kereta berkenaan, mereka menemui satu beg sandang yang mengandungi 17 peket serbuk putih dan hijau disyaki dadah jenis heroin, seberat 219.9 gram, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
 
"Polis turut menemui tiga peket plastik yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 9.90 gram dan semua bahan terlarang itu dibawa masuk dari negeri jiran untuk pasaran di daerah ini," katanya.

Zundin berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,280 dipercayai hasil kegiatan menjual dadah.
 
Lelaki berkenaan yang juga seorang duda dipercayai terbabit menjual dadah sejak beberapa bulan lepas setelah bercerai dengan isterinya, kata Zundin dan menambah pasangan itu baharu sahaja berpacaran.
 
Katanya pasangan terbabit direman selama dua minggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Pemungut hutang dipenjara 12 tahun, 25 sebatan

KUALA LUMPUR - Seorang pemungut hutang dihukum 22 tahun penjara dan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merompak seorang pemilik salun dan adik lelakinya Mac lepas.
 
Hakim S.M.Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Syed Mohd Nazrul Syed Zulkifli, 27, dari Setapak, selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
 
Komathy mengenakan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 12 tahun serta 15 sebatan bagi pertuduhan kedua, dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak mulai hari ini.
 
Oleh itu Syed Mohd Nazrul akan menjalani hukuman 12 tahun penjara.
 
Dalam penghakimannya Komathy berkata mahkamah tidak mempercayai keterangan tertuduh yang mendakwa dia salah dikenal pasti oleh kedua-dua mangsa dan menafikan kedua-dua telefon bimbit yang dijumpai dari begnya adalah milik mangsa, Cassandra D Silva, pemilik salun. 
 
Penjelasan tertuduh yang mendakwa kedua-dua telefon itu milik majikan dan diberi kebenaran untuk menggunakan telefon itu, dilihat tidak berasas kerana pegawai penyiasat dalam keterangannya berkata telefon itu milik Cassandra selepas mendapati terdapat gambar wanita itu di telefon ketika ianya dihidupkan.
 
"Keterangan tertuduh bahawa dia membawa kayu cota dalam beg bertujuan untuk melindungi dirinya yang sering menjadi mangsa rompakan juga dilihat tidak berasas dan tidak boleh dipercayai," kata hakim itu.
 
Bagi pertuduhan pertama, Syed Mohd Nazrul didakwa bersama lima lagi yang masih bebas, merompak dua telefon bimbit milik Cassandra, 26, dan wang tunai RM1,800 serta barang kemas milik Jeffery D Silva, 22 dan menumbuknya di Jalan Doraisamy, Dang Wangi, pada 4.05 pagi, 31 Mac lepas.
 
Sementara itu, bapa kedua-dua mangsa, Louis L. Edward ketika diberi peluang memberi kenyataan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana beliau berpendapat tertuduh kelihatan tidak menyesal atas perbuatan yang dilakukan selain anggota keluarga mangsa turut trauma berikutan kejadian itu.
 
Jeffery, yang menerima 27 jahitan akibat luka di pipi kirinya, pula berkata parut di mukanya akan kekal seumur hidup dan beliau takut untuk keluar malam selepas kejadian itu selain hilang pekerjaan sebagai pengendali cuci kereta.
 
Timbalan Pendakwa Raya Shashita Mohamed Hanifa memanggil enam saksi manakala peguam Bernard Francis memanggil seorang, iaitu tertuduh sendiri, untuk memberi keterangan. - Bernama

Aniaya ibu kerana dadah



Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Goh Kok Liang
$entry.content.caption.value
TELUK INTAN - Demi memenuhi kehendaknya terhadap najis dadah, seorang remaja berusia 16 tahun sanggup menganiaya ibu sendiri yang baru menjaminnya dari tahanan polis pada 27 September lalu setelah mangsa enggan memberi wang RM500 yang diminta, Sabtu lalu.

Kejadian berlaku di Kampung Bahagian, di sini dan suspek telah bertindak meragut rantai emas milik mangsa apabila gagal mendapatkan wang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang memaklumkan, suspek sebelum ini ditahan polis di Penjara Sungai Petani, Kedah, kerana terlibat dalam kes dadah di Kuala Selangor.

"Mangsa yang berusia 47 tahun telah menjamin suspek di Penjara Sungai Petani pada Khamis lalu dan terus pulang ke rumah mereka. Pada kira-kira jam 6 petang, di hari kejadian, suspek telah meminta wang daripada mangsa, namun tidak dipenuhi.

"Suspek kemudiannya naik berang dan telah bertindak meragut rantai leher yang dipakai mangsa. Mangsa cuba menghalang perbuatan suspek menyebabkan berlaku sedikit pergelutan sebelum suspek berjaya melarikan rantai leher ibu kandungnya itu," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, semalam.

Menurut Kok Liang, mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian dan dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM1,000 kerana kehilangan rantai leher berkenaan.

Kok Liang menambah, tarikh perbicaraan ke atas suspek berikutan rekod jenayah dalam kes dadah sebelum ini akan ditetapkan tidak lama lagi dan polis kini sedang giat mengesannya bagi membantu siasatan.

"Kes ini di siasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Terkejut rumah bertukar milik



bertukar milik
Chong Siang (kiri) dan Chong Iek menunjukkan surat penjualan serta pembelian rumahnya yang kini masih belum mendapat hak milik.
KUANTAN – Seorang pekerja kilang yang mengidamkan sebuah rumah dan boleh diduduki bersama keluarganya di Taman Tas, dekat sini, terkejut bila mengetahui status rumah yang dibeli lebih kurang 20 tahun lalu berada dalam keraguan apabila hak milik rumah berkenaan telah jatuh ke tangan anak bekas pemilik tersebut yang sudah meninggal dunia.

Chong Lek, 54, berkata, kerisauan mula melanda mereka sekeluarga memandangkan bila-bila masa sahaja anak bekas pemilik rumah yang diduduki sekarang boleh mengambil semula hak ibu mereka.

“Saya membeli rumah berkenaan dari seorang wanita dengan nilai sebanyak RM30,000 pada 1989 dengan pinjaman sebanyak RM27,000 selama 20 tahun.

“Setelah membuat pembayaran terakhir sekitar April lepas, saya ingin memohon untuk mengambil geran dan malangnya pihak bank memberitahu bahawa rumah tersebut telah ditukar nama kepada anak bekas pemiliknya," katanya ketika mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuantan.

Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang.

Mangsa terkejut dengan situasi itu kerana mendakwa dia membelinya sendiri daripada pemilik sebenar dan tinggal di sini sehingga sudah memiliki dua orang anak.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia menyangka mungkin hanya satu kesilapan teknikal yang kecil namun setelah gagal mendapat menunggu maklum balas daripada pihak peguam, dia bertindak ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci tentang pemilikannya.

“Saya masih boleh tersenyum apabila mendapati rekod yang tertera dalam surat simpanan PTG menunjukkan pemilik rumah berkenaan adalah nama saya dan isteri namun permasalahannya menjadi lebih rumit apabila ada surat yang dikeluarkan pihak mahkamah menyatakan pemilik sebenar adalah waris kepada bekas pemilik.

“Ada juga maklumat yang diperoleh mendakwa rumah berkenaan telah ditukar hak milik sekitar tahun lalu. Bukan saya saja yang keliru malah kakitangan PTG yang mengendalikan rekod kemasukan dan pengeluarannya juga pening,” katanya.

Kata Chong Lek , kelegaan yang dirasai selepas tamat tempoh pembayaran tidak kekal lama malah timbul rasa risau memandangkan status rumah yang masih dalam dilema.

“Dari September lepas hingga awal Oktober ini pihak PTG masih belum boleh memberi sebarang keputusan dan saya semakin tertekan memikirkan masalah ini.

“Maklumat yang diperoleh daripada PTG ada juga diberikan kepada peguam untuk mencari anak bekas pemilik rumah tersebut namun dia gagal untuk dikesan buat sementara waktu ini,” katanya.

Anggota Rela maut kereta bertembung lori

KOTA TINGGI - Seorang anggota Pertubuhan Ikatan Relawan (Rela) maut setelah kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 49 Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, berhampiran simpang Felda Air Tawar 1, di sini pagi tadi.
 
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, dalam kejadian 10.15 pagi itu, mangsa Mahat Salat, 64, dari Felda Sening sedang dalam perjalanan ke bandar Kota Tinggi.
 
Katanya, kereta Proton Wira yang dipandu mangsa telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Daihatsu.
 
"Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Pemandu lori berkenaan yang turut cedera dirawat di Hospital Daerah Kota Tinggi. - Bernama

Padah tipu bekas tunang



Ramli dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, semalam.
Ramli dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, semalam.
ALOR GAJAH - Seorang lelaki dipenjara empat tahun dan empat sebatan selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana memperdaya bekas tunang dengan melarikan kereta dan barangan bernilai lebih RM60,000.

Hukuman itu diputuskan Majistret Mohd Firdaus Salleh selepas Ramli Kamarudin, 30, mengaku bersalah atas empat pertuduhan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ramli dari Bachang didakwa menipu Rasyidah Muhamad Noor, 27, dengan mengambil kereta Proton Persona mangsa bernilai RM53,000 di Batu 16, Solok Duku, Masjid Tanah, kira-kira jam 2 petang pada 26 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Ramli didakwa melakukan perbuatan sama, iaitu  mengambil seutas gelang tangan emas bernilai RM5,000 dan sebuah komputer riba bernilai RM1,600 di lokasi sama, sekitar Januari lalu. 

Sementara itu, pertuduhan terakhir, Ramli didakwa menipu mangsa dengan mengambil sebuah telefon bimbit bernilai RM800 di lokasi sama, Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Meran Emai, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mayat dengan kesan terbakar ditemui di semak

KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar 60 peratus dijumpai di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Puchong di sini, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mayat itu ditemui seorang lelaki yang terhidu bau busuk ketika melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 6 petang.
 
"Dia menjejaki bau itu sebelum menemui mayat seorang lelaki yang hampir reput selain kesan pembakaran di kelilingnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Cheras di sini, hari ini.
 
Mohan Singh berkata polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain dan mayatnya dicampak di kawasan semak tersebut. Tiada senjata, kesan pergelutan atau kesan darah ditemui di lokasi itu.
 
Menurutnya, polis bagaimanapun menemui guni plastik yang dipercayai digunakan untuk mengangkat mayat mangsa sebelum dibakar.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui di sisi mayat yang dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap.
 
Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
 
Dalam perkembangan lain, seorang wartawan stesen televisyen swasta disamun tiga lelaki bersenjatakan gunting rumput di hadapan rumahnya di Jalan Perkasa 5, Taman Maluri, Cheras, awal hari ini.
 
Mohan Singh berkata dalam kejadian 2.40 pagi itu, beg tangan mangsa berumur 31 tahun itu dilarikan ketika dia dan suaminya pulang daripada majlis kenduri.
 
"Mangsa yang ketika itu masih dalam kereta tiba-tiba didatangi tiga lelaki bermotosikal yang terus membuka pintu kereta dan menyentap beg tangan wanita itu," katanya.

Menurutnya, suami mangsa mengejar kesemua suspek dengan kereta bersama dua anggota unit peronda polis menaiki motosikal yang kebetulan berada di kawasan kejadian selepas terdengar jeritan mangsa," katanya.
 
Mohan Singh berkata suami mangsa tekad melanggar suspek-suspek itu selepas mengejar mereka sejauh dua kilometer hingga ke kawasan berhampiran Kompleks Maluri.
 
"Dua suspek berusia 18 dan 21 tahun berjaya diberkas manakala seorang lagi melarikan diri. Kedua-dua mereka yang cedera akibat terjatuh daripada motosikal menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia," katanya, sambil menambah, polis menemui beg tangan mangsa dan senjata yang digunakan suspek.
 
Siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam beberapa kes samun di Cheras dan beberapa daerah lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan melakukan samun berkumpulan. - Bernama

Nyaris ditipu pegawai Wong



Mei Yi (kiri), Tick Chong (kanan) dan Ben Liew (dua, kanan)
Mei Yi (kiri), Tick Chong (kanan) dan Ben Liew (dua, kanan) mendedahkan penipuan tersebut pada sidang media, baru-baru ini.
PANDAN PERDANA - Dua mangsa mendakwa menerima panggilan mencurigakan daripada seorang pegawai polis yang mendakwa kad kredit dan buku bank milik mereka disimpan dua individu di Hong Kong.

Mangsa pertama, Wong Mei Yi, 45, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai polis yang memperkenalkan dirinya sebagai Wong dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

Menurutnya, pegawai itu bertanyakan kepadanya sama ada mengenali dua individu kini ditahan di Hong Kong bernama Yam Choon Hong dan Lam Hong Heng yang memiliki kad kredit dan buka akaun banknya.

“Saya memberitahu tidak mengenali kedua-dua individu tersebut tetapi hairan apabila pegawai itu mengetahui nombor kad pengenalan dan nama saya.

"Apabila bertanya dimana dia memperoleh identiti saya, pegawai polis itu memberitahu memperolehnya dari bank Maybank dan Citibank sedangkan saya tidak mempunyai akaun dari bank tersebut," katanya pada sidang media bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Teratai, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media adalah Ketua Biro Aduan Awam Dun Teratai, Ben Liew.

Mei Yi berkata, pegawai itu seterusnya menyuruh dia menghubungi pegawai polis di Hong Kong di talian nombor 0085672246527 tetapi dia memberi alasan tidak mempunyai kredit untuk menelefon ke luar negara.

"Selepas itu, dia memberitahu polis Hong Kong akan menghubungi saya untuk mengambil keterangan tetapi saya memberi alasan bateri telefon sudah hendak habis.

“Selepas mencas bateri telefon bimbit, saya dapati terdapat 13 panggilan dari nombor 20319999 dan pada keesokan harinya pula, sekali lagi saya mendapat panggilan nombor  sama tetapi tidak menjawabnya kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Tong Tick Chong, 58, berkata, dia menerima panggilan dan taktik yang sama dengan mendakwa kad kredit dan buku akaun banknya dimiliki dua individu yang tidak dikenali dan ditahan di Hong Kong.

“Dalam kes ini, panggilan tersebut juga dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dan pegawai polis tersebut meminta memberi kerjasama kepada polis atau saya akan ditahan,” katanya.

Sementara itu, Ben Liew berkata, terdapat cubaan untuk menipu mangsa yang berkemungkinan adalah aktiviti penggubahan wang haram.

Katanya, dia menghubungi nombor yang diterima oleh kedua-dua mangsa dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dan nombor tersebut adalah betul tetapi tiada nama pegawai yang didakwa mangsa.

“Bagaimanapun, berdasarkan kes ini saya menasihatkan orang ramai agar tidak panik sekiranya menerima panggilan seperti ini dan segera membuat laporan kepada polis.

“Pada masa sama, memandangkan kes ini semakin kerap dilaporkan, Biro Aduan Awam akan menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan setelah mendapati banyak maklumat peribadi mudah diperoleh oleh orang lain,” katanya.

Rayuan wanita tahi judi



Tujuh kaki judi dan dua penjaga ditahan dalam serbuan di Kampung Tawas.
Tujuh kaki judi dan dua penjaga ditahan dalam serbuan di Kampung Tawas.
IPOH – “Tolong tuan, jangan tangkap, saya ada dua anak di rumah. Mereka belum makan lagi,” demikian alasan seorang wanita berusia 40-an ketika ditahan dalam satu serbuan judi komputer di Kampung Tawas di sini, petang kelmarin.

Wanita terbabit merupakan antara 11 kaki judi yang sedang leka bermain di premis yang menjadi tumpuan penduduk setempat dalam dua operasi berasingan di daerah ini.

Serbuan pada jam 5.30 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) yang diketuai oleh Inspektor Mohd Ashraf Shukor serta tujuh anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Pegawai Turus D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Deputi Superintendan Hasbullah Ali berkata, hasil serbuan itu, pihaknya turut menahan tiga penjaga termasuk dua antaranya adalah remaja berusia 17 tahun.

Menurutnya, serbuan pertama di Kampung Tawas, polis telah merampas 49 set komputer bernilai hampir RM80,000 yang digunakan dalam aktiviti perjudian berserta wang tunai berjumlah RM1,900.

Menurutnya, selain tidak memiliki lesen, premis itu juga dipercayai masih menjalankan aktiviti perjudian internet secara haram walaupun pernah diserbu sebelum ini.

“Premis berkenaan dilengkapi dengan rakaman litar tertutup (CCTV) dan mengaburi mata penguatkuasa dengan meletakkan tanda sebagai pusat snuker.

“Serbuan kedua di Taman Tawas Mewah juga melibatkan modus operandi sama dengan hanya pelanggan tetap boleh memasuki premis berkenaan. 30 set komputer dirampas beserta wang tunai berjumlah RM530, hasil aktiviti itu,” katanya.

Hasbullah berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dimana penjaga boleh disabitkan kesalahan.
“Kesemua mereka yang ditahan berusia 17 hingga 60 tahun termasuk barang rampasan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.
“Kejayaan operasi kali ini adalah hasil maklumat orang awam,” katanya.

Pekerja kilang terkejut jumpa buaya



Objek yang dipercayai seekor buaya di dalam Sungai Kangkar Tebrau.
Objek yang dipercayai seekor buaya di dalam Sungai Kangkar Tebrau.
SENAI – Perjalanan seorang pekerja kilang ke tempat kerjanya dikejutkan dengan penemuan objek yang dipercayai seekor buaya sepanjang lebih kurang empat meter di dalam Sungai Kangkar Tebrau, di sini, semalam.

Kejadian tersebut disedari oleh Lesti Anus, 31, ketika melalui jambatan berhampiran kawasan tersebut sekitar jam tujuh pagi.

“Saya tinggal di Jalan Rumbia dan bekerja di Taman Daya. Setiap hari saya akan lalu jambatan itu untuk ke tempat kerja dengan menaiki basikal. Ini adalah kali pertama kali saya melihat binatang berkenaan di dalam sungai tersebut.
“Saya jadi sangat terkejut dan agak takut biarpun saya berada di atas jambatan manakala buaya itu di dalam sungai. Maklumlah tidak pernah saya alami kejadian seperti ini ketika bekerja di Malaysia sejak empat tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Lesti yang merupakan warga Indonesia memberitahu, dia yakin objek tersebut adalah benar-benar buaya kerana kampung kawasan asalnya juga berdekatan dengan sungai dan dia sudah biasa melihat reptilia tersebut sebelum ini.

“Saya nampak jelas buaya itu, lebih-lebih lagi keadaan air sungai tengah surut. Saya dapat lihat kepalanya yang agak muncung, jadi saya pasti itu adalah buaya. Lagipun saya sudah biasa melihat binatang berkenaan di kampung kelahiran saya,” katanya.

Dalam keadaan panik dan ketakutan, Lesti sempat mengeluarkan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar reptilia tersebut dan ditunjukkan kepada rakan.

“Peliklah juga bila berhadapan keadaan ini. Tetapi saya sempat ambil gambar buaya itu. Sampai di tempat kerja, saya menceritakan perkara tersebut kepada kawan-kawan. Setelah mereka lihat gambar di telefon bimbit saya, mereka percaya dan turut yakin objek itu adalah buaya,” katanya.

4 beranak belasah perompak



Polis melakukan siasatan terhadap kereta mewah milik mangsa.
Polis melakukan siasatan terhadap kereta mewah milik mangsa.
Kejadian rompak di seremban
Kejadian rompak di seremban.
Kepala anak sulung mangsa yang cedera akibat dihentak dengan pistol.
Kepala anak sulung mangsa yang cedera akibat dihentak dengan pistol.
SEREMBAN – Enggan berputih mata, empat beranak nekad membelasah seorang perompak yang cuba melarikan kereta mewah milik mereka di Taman Kwang Tong, Templer, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, tujuh sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia 2 tahun dan sebulan, berdepan detik mencemaskan apabila diserang dua lelaki bersenjatakan pistol.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ho, 58, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga mahu menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga di bandar ini.

Menurutnya, dia bersama isteri, dua anak berusia 38 dan 24 tahun termasuk dua cucunya berada di dalam kereta, sedang menunggu menantunya yang masih berada di dalam rumah.

Bagaimanapun katanya, ketika berada di dalam kereta, seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arah mereka dan mengugut menggunakan sepucuk pistol.

"Dia ugut akan melepaskan tembakan sambil mengarahkan kami keluar.

"Perompak mungkin meletakkan kereta tidak jauh dari kawasan kediaman kami sebelum bertindak," katanya.

Ho berkata, mereka mengikut arahan suspek kerana takut dicederakan dan dia turut mengarahkan isteri membawa dua cucu mereka masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, suspek memintanya menyerahkan kunci kereta atau memilih menyerahkan wang sebanyak RM30,000.

Namun katanya, disebabkan dia enggan menyebabkan suspek mula berang lalu menghentak kepala anak sulungnya menggunakan pistol.

“Jadi saya serahkan sahaja kunci kereta kerana tidak mahu anak sulung terus dicederakan. Suspek terus meluru ke dalam kereta dan cuba menghidupkan enjin.

 “Namun, kami tidak mahu terus mengalah dan kedua-dua anak saya yang tidak berpuas hati cuba mematahkan usaha suspek melarikan kereta kami dengan salah seorang anak saya mencekik leher suspek.

“Jadi, saya mengambil peluang memukul tangan suspek menyebabkan pistol yang dipegangnya terjatuh sebelum saya mengambil dan menyimpan pistol tersebut ke dalam poket seluar,” katanya.

Ho yang bekerja sebagai subkontraktor berkata, seorang rakan suspek yang menunggu di dalam kereta menyedari rakannya diserang, bertindak melanggarnya anak beranak.

Katanya, dia dan anaknya menolak suspek keluar dari kereta menyebabkannya terjatuh sebelum nyaris dilanggar rakannya sendiri.

“Insiden menakutkan ini tidak berhenti setakat ini sahaja kerana rakan suspek yang mula naik angin turun dari kereta sambil membawa sebatang besi dan memukul anak sulung saya.

“Ketika itulah, saya dan seorang lagi anak cuba melawan mangsa. Isteri saya juga turut membantu memukul mangsa menggunakan kayu menyebabkan berlaku pergelutan beberapa minit,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek yang cedera dipukul segera melarikan diri dengan menaiki kereta mereka.

“Saya percaya suspek mahukan kereta mewah milik anak sulung saya yang baru beberapa bulan dibeli,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai lingkungan 20-an.

“Ketika kejadian, mereka tidak memakai topeng dan menaiki kereta jenis Mercedes menggunakan nombor pendaftaran WVY9188.

“Kita percaya suspek mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan. Jadi, saya minta kepada semua klinik atau hospital untuk menghubungi segera mana-mana balai polis berhampiran jika suspek terbabit cuba mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971.

Percutian kali terakhir



Jenazah mangsa dibawa keluar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sening.
Jenazah mangsa dibawa keluar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sening.
Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk.
Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk.
Keadaan lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Keadaan lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
KOTA TINGGI – Seorang peneroka Felda maut selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya merempuh sebuah lori di Kilometer 49, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, mangsa Mahat Salat, 64, yang tinggal di Felda Adela maut di tempat kejadian manakala pemandu lori mengalami kecederaan parah.

Menurut anak mangsa, Mahyudin, 24, ketika nahas terbabit, ayahnya yang baru pulang bercuti dari Kelantan itu dalam perjalanan ke bandar Kota Tinggi untuk mencuci gambar percutiannya.

Mahyudin yang bekerja kilang di Pasir Gudang berkata, dia berada di rumah pada Sabtu dan Ahad lalu untuk menjaga rumah, sementara ketiadaan ibu dan ayahnya yang pergi mengikuti rombongan percutian.

“Mak dan ayah tiba di rumah kira-kira jam 4 pagi dari Kelantan. Kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) ayah pula mengejutkan saya untuk pergi bekerja. Kebetulan pada hari ini saya masuk kerja pada waktu malam, kemudian saya terus sambung tidur.

“Bangun… nanti dah tak ada orang nak kejutkan lagi, itulah kata-kata terakhir yang saya dengar daripada ayah sebelum mendapat berita kemalangan ini daripada jiran,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT).

Katanya, kira-kira jam 10 pagi, dia menerima panggilan yang mengatakan ayahnya terlibat dalam kemalangan lalu bergegas ke tempat kejadian bersama emaknya.

“Sampai sahaja di tempat kejadian, saya dapat lihat mayat ayah dikeluarkan dari kereta. Ketika itu kami tidak dapat menahan sebak dan mak yang terkejut hampir pengsan di tempat kejadian,” katanya.


Arwah kurang bercakap

Sementara itu, adik ipar mangsa, Jumaah Sulong, 53, yang turut bersama-sama arwah mengikuti rombongan ke Kelantan itu berkata, selama dua hari berada di sana arwah kelihatan sangat gembira.

Katanya, pada percutian itu arwah juga tidak berkelakuan seperti selalu kerana sepanjang dua hari itu arwah kurang bercakap.

“Kami bertolak ke Kelantan menaiki bas bersama rakan-rakan peneroka dan penerokawati lain pada malam Jumaat. Setiba di sana, arwah kelihatan begitu seronok merakam gambar bersama isteri dan rakan-rakannya.

“Malah arwah juga berkata akan mencuci gambar tersebut sebaik sampai untuk disimpan sebagai kenang-kenangan. Namun, kami merasa terkilan kerana hajatnya tidak kesampaian,” katanya yang tinggal di Felda Sungai Mas.


Polis siasat punca kejadian

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Pemandu Proton Wira dari arah Sungai Rengit dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lori jenis Daihatsu dari arah Kota Tinggi.

“Akibat kemalangan, pemandu kereta tersebut maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori berbangsa Melayu dari Kulai itu dikejarkan ke hospital kerana cedera parah,” katanya.  
Katanya, mayat mangsa yang dibawa ke Unit Forensik HKT telah dituntut oleh warisnya dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Sening untuk dikebumikan petang semalam.

PAYM nafi terlibat ajaran sesat Juruzon

KUALA LUMPUR - Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia (PAYM) hari ini menafikan terlibat dengan ajaran sesat "Juruzon" seperti yang dilaporkan sesetengah pihak sebelum ini.
 
Yang Dipertua persatuan tersebut, Dr Idris Musa dalam satu kenyataan turut menegaskan, Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah At-Taqwa yang berada di bawah naungan PAYM juga tidak terlibat dengan ajaran sesat sejak penubuhannya pada 2008.
 
Beliau berkata anak-anak yatim tersebut telah dididik oleh pengetua yang ditauliahkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri dan pendidikan sekolah harian serta silibus agama juga mengikut silibus KAFA.
 
"Mereka juga mengikut jadual harian yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbir dan diselia oleh warden-warden bertugas," katanya.
 
Sebelum ini, risalah ajaran sesat Juruzon terbitan Jabatan Mufti Selangor, akhbar Sinar Harian, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo melaporkan persatuan tersebut terlibat dengan ajaran sesat Juruzon. - Bernama

Mohon maaf secara terbuka



Ainol dan Muhammad Daniel memegang keratan akhbar berhubung kejadian terbabit.
Ainol dan Muhammad Daniel memegang keratan akhbar berhubung kejadian terbabit.
JITRA - Seorang anggota polis bertindak memohon maaf secara terbuka dan mengakui kesalahannya menampar muka seorang pelajar di Sekolah Menengah Tanjung Pauh kepada bapa mangsa di sini, semalam.

Dalam laporan Sinar Harian 12 Mac 2011 lalu, pelajar berkenaan ditampar anggota polis itu gara-gara ingin menyelamatkan seorang rakan dari dituduh melakukan kesalahan.

Dalam kejadian yang berlaku di tempat letak kenderaan selepas tamat waktu persekolahan kira-kira 1.30 petang, bapa pelajar Ainol Anwar Ahmad, 42, mendakwa anaknya Muhammad Danial, 17, ditampar seorang anggota polis yang lengkap beruniform tanpa sebarang sebab.

Ainol yang juga guru kaunselor di sekolah berkenaan berkata, sebelum ditampar, Muhammad Danial sempat menghubunginya memaklumkan hasrat bagi menyelamatkan rakannya itu.

“Saya sedia menerima permohonan maaf itu atas dasar perikemanusiaan kerana dia mengakui kesalahannya.
“Bukan berniat untuk memalukannya tetapi saya ingin menebus kembali maruah anak saya selain ia juga  menjejaskan reputasi saya sebagai seorang kaunselor di sekolah itu,” katanya dalam sidang media yang diadakan di hadapan sekolah berkenaan.

Menurutnya, permohonan maaf itu dilihat adalah jalan penyelesaian sebaik-baiknya.

“Saya berasa lega selepas dihubungi rakan mengenai hasrat anggota polis itu yang ingin memohon maaf secara terbuka dan menyambut baik hasratnya untuk berdamai.

“Saya harap perkara seumpama itu tidak berulang memandangkan kami menghormati tanggungjawab anggota polis. Lokasi itu dipilih berikutan kejadian turut berlaku di tempat yang sama,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Danial berkata, kejadian itu memberikan kesan buruk kepadanya kerana sering diejek oleh rakan-rakan yang melihat kejadian pada waktu itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama rakan baru selesai menghadiri latihan bola sepak dan dia ditampar ketika cuba menerangkan perkara sebenar kepada seorang guru bagi menyelamat rakannya daripada dituduh melakukan kesalahan.
"Pada mulanya, saya agak trauma dan malu apabila ditampar kerana pada waktu itu ramai waris yang hadir untuk menghantar anak mereka ke sekolah.
“Bagaimanapun, saya berasa lega dengan permohonan maaf terbabit, saya yakin jika kita tidak melakukan sebarang kesalahan, satu hari kebenaran itu akan terbukti juga,” katanya.

Bas ekspres terbalik



Bas ekspres terbalik
Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
REMBAU - Sembilan penumpang cedera parah, sementara 19 lagi cedera ringan selepas bas ekspres dinaiki terbalik dan terseret sejauh 30 meter di Kilometer 233.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas ekspres yang bertolak dari Johor Bahru dalam perjalanan ke Kuala Perlis itu hilang kawalan selepas dihalang sebuah kereta di hadapannya sebelum terbabas.

Pemandu bas terbabit, Mazlan Mohd Salleh, 51, berkata, dia memulakan perjalanan kira-kira jam 10 malam.

"Bagaimanapun, ketika memandu, ada sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam seolah-olah cuba menghalang perjalanan saya.

“Saya memandu di laluan kiri dan kereta berkenaan juga dipandu perlahan di laluan sama. Saya cuba memotongnya tetapi pemandu kereta terbabit bertindak memasuki laluan saya menyebabkan saya tidak dapat memintasnya," katanya.

Menurutnya, cubaannya untuk memotong kereta dinaiki dua lelaki itu sekali lagi gagal apabila dihalang, malah kereta terbabit secara tiba-tiba menekan brek.

"Saya terpaksa menekan brek mengejut sehingga menyebabkan bas hilang kawalan dan terhuyung-hayang, sebelum terbalik dan terseret kira-kira 30 meter.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata dan saya dengar jeritan penumpang yang ketakutan," katanya yang berpengalaman memandu bas selama 29 tahun.

Mazlan berkata, dia segera memecahkan cermin hadapan bas dan membantu mengeluarkan penumpang yang mengalami kecederaan terlebih dahulu termasuk pemandu keduanya, K Arumugam, 38.

Sementara itu, seorang penumpang, Nurul Rozaima Rolan, 24, berkata, dia terkejut apabila berasakan bas terhuyung-hayang kerana mengelak sesuatu sebelum terbalik.

“Semasa dalam perjalanan, saya tertidur, tetapi terjaga apabila menyedari bas bergegar kuat sebelum terbalik, menyebabkan saya tercampak ke tempat duduk penumpang sebelah kanan dan bertindih dengan penumpang lain.” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pemangku Penguasa Bomba, Hairuddin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.12 pagi.

Menurutnya, enam anggotanya dikerah ke lokasi kejadian dan turut dibantu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dan Rembau.

“Tiba di lokasi kejadian, sebahagian penumpang masih terperangkap di dalam bas sebelum dibantu keluar menerusi cermin hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd Farid Hasan berkata, sembilan penumpang cedera dan menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian.

“Mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban untuk rawatan lanjut menggunakan lima ambulans," katanya.

Mengamuk ibu ditembak



Mengamuk ibu ditembak
Empat tertuduh, termasuk tiga beradik dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
SUNGAI PETANI - Empat individu termasuk tiga beradik mengaku salah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam, berhubung kes rusuhan sehingga menyebabkan kematian seorang penoreh getah, 17 September lalu.

Bagi pertuduhan pertama, keempat- empat mereka mengaku salah kerana menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang, selain menggunakan senjata merupakan satu kesalahan yang mungkin boleh menyebabkan kematian.

N Yogaraj, 27, T Kathiravan, 23, T Cheran, 18, bersama seorang suspek masih di bawah umur mengaku salah menggunakan senjata yang boleh mengakibatkan kematian mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, empat mereka bersama seorang lagi  yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang Bukit Lembu, Bedong jam 11.30 malam, 17 September lalu.

Sementara itu, ketiga-tiga beradik itu turut mengaku salah atas pertuduhan kedua iaitu melakukan bencana terhadap harta dengan merosakkan cermin tingkap rumah dan beberapa kenderaan.

Kerosakan membabitkan sebuah van, sebuah kereta Honda City dan tiga motosikal di hadapan rumah mangsa, Ananthi Subramaniam, 32, yang mengakibatkan kerugian lebih kurang RM8,000.

Ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mengikuit Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Cheran turut mengaku bersalah atas pertuduhan ketiga iaitu memecahkan cermin tingkap rumah dan merosakkan dua motosikal hingga menyebabkan pengadu terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM4,000.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi masih bebas melakukan bencana itu di hadapan rumah mangsa, Rubawathy Manogaran, 26, yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 427.

Majistret, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menetapkan ter-tuduh yang masih dibawah umur diberi jaminan RM4,000 untuk sebutan semula kes pada 11 November depan bagi mendapatkan laporan akhlak.

Sementara, denda RM2,000 atau empat bulan penjara dikenakan bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didenda RM4,000 atau empat bulan penjara.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur.

Kejadian rusuhan berlaku pada 17 September itu tercetus apabila sekumpulan penjenayah menyerang penduduk Ladang Bukit Lembu sehingga menyebabkan kematian Kalyani Krishnan, 57, yang juga merupakan ibu kepada tiga tertuduh.

Berikutan rasa tidak puas hati akibat kematian ibu mereka, tiga beradik itu kemudian merosakkan harta benda awam milik jiran kerana dikatakan tidak membantu sehingga menyebabkan ibu mereka ditembak penjenayah.