Search This Blog

Monday, October 1, 2012

Polis lumpuh kumpulan curi kereta Toyota Estima

IPOH - Polis di sini percaya mereka dapat melumpuhkan "Geng Estima", yang melakukan kegiatan mencuri kereta mewah di bandar raya ini berikutan tertangkapnya empat lelaki termasuk seorang anggota polis baru-baru ini.
 
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, mereka yang berumur 30-an itu ditahan Khamis lalu di sebuah restoran di Taman Ipoh dekat sini.
 
Polis turut merampas dua buah kereta jenis Toyota Estima yang dipercayai baru dicuri oleh kumpulan itu dalam satu serbuan hasil maklumat orang ramai.
 
Mereka ditahan reman sehingga Rabu ini, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi) Supt Anuar Othman dengan DSP Teoh Ching Kee di sini, hari ini.
 
Supt Anuar sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim manakala DSP Teoh Ching Kee memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh.
 
Azisman berkata, siasatan polis mendapati kumpulan itu bergiat aktif mencuri kereta jenis Toyota Estima sejak tiga tahun lalu bukan sahaja di Ipoh malah di beberapa negeri lain.
 
Polis juga sedang menyiasat hubungan anggota polis terbabit dengan tiga lelaki tersebut, katanya.
 
Tiga lelaki terbabit turut mempunyai beberapa kes jenayah lampau sebelum ini, katanya. - Bernama

Eksekutif Perkeso minta komisen dijel, denda RM10,000

SIBU - Seorang bekas eksekutif di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarikei dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini setelah mengaku bersalah menerima suapan RM1,000 daripada seorang petani, tahun lepas.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid juga memerintahkan tertuduh, Showpi Hashim, 48, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.
Showpi didakwa menerima RM1,000 daripada Gon anak Anggun, sebagai habuan mempercepatkan proses Tuntutan Pencen Penakat atas kematian anaknya Jolly.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam kenderaan pejabat yang dinaikinya di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) di bandar Sarikei, pada pukul 1.20 tengah hari, 25 Feb 2011.
Dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, atau mana yang lebih tinggi.
Mengikut fakta kes, pada 13 Jan 2011, Gon menemui Showpi di pejabatnya bagi membuat tuntutan Perkeso dan tertuduh bersedia membantu mempercepatkan proses dengan syarat memerlukan bayaran.
Seminggu kemudian, Gon sekali lagi berjumpa dengan tertuduh yang meminta bayaran RM500 untuk memproses kos tuntutan pengebumian dan pada ketika itu meminta komisen 10 peratus selepas permohonan tuntutan  pencen penakat dilulus dan cek dikeluarkan.
Pada 28 Jan, 2011, Gon membuat aduan di pejabat SPRM Sibu mengenai bayaran yang diminta oleh Showpi.
Pada 23 Feb 2011, satu cek bernilai RM6,089.58 dimasukkan ke akaun Gon di Bank Simpanan Nasional (BSN) manakala satu lagi cek bernilai RM2,435.76 dimasukkan ke akaun isterinya, Melentan anak Gani, di bank yang sama.
Pada hari berikutnya, Showpi menghubungi Gon bagi meminta komisen 10 peratus dan sehari selepas itu pegawai SPRM memasang perangkap dengan merakamkan perbualan antara tertuduh dengan Gon.
Pegawai SPRM kemudian menahan Showpi sebaik sahaja menerima 10 keping not RM100 daripada Gon dalam kenderaan rasmi tertuduh.
Peguam tertuduh, Louis Jarrau, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya, yang mempunyai dua orang anak dan berkhidmat dengan Perkeso sejak 1987, akan hilang kerja sekiranya disabit kesalahan.
"Dia amat menyesal perbuatannya dan kini mengusahakan sebuah gerai makan di Kuching bagi menyara hidupnya," katanya.
Pendakwaan dijalankan oleh Othman Anyan daripada SPRM.- Bernama

173 kes penipuan guna nama Kastam dikesan

PUTRAJAYA - Sejumlah 173 kes penipuan menggunakan nama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah dikesan agensi itu bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Khazali Ahmad berkata ia termasuk kes membabitkan seorang wanita yang mengalami kerugian sebanyak RM350,000.
 
"JKDM tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk kutip cukai bagi pihak kami, segala bayaran harus dijelaskan di kaunter dan orang ramai diminta lebih berwaspada supaya tidak menjadi mangsa seterusnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini, JKDM berjaya mengutip hasil RM24.6 bilion iaitu peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
 
Khazali berkata jika ekonomi negara tidak mengalami perubahan besar, JKDM yakin dapat mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM33 bilion pada tahun ini.
 
Selain itu, beliau berkata JKDM memperkenal pelbagai inisiatif dalam usaha mencapai perkhidmatan bertaraf dunia menjelang 2015, termasuk melakukan transformasi melibatkan pindaan visi dan misi agar lebih relevan.
 
"Pelan Strategik JKDM juga telah dilancarkan, yang menyediakan hala tuju dan bidang fokus JKDM bagi melaksanakan agenda pemodenan dan transformasi sistem penyampaian untuk tempoh 2010 hingga 2014," katanya. - Bernama

Nirmala Bonat: Hukuman penjara 12 tahun kekal



Nirmala Bonat
Nirmala Bonat - Foto The Star Online
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkaamh Tinggi berhubung hukuman penjara 12 tahun terhadap suri rumah Yim Pek Ha, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan pembantu rumah Indonesianya, Nirmala Bonat, lapan tahun lepas.
   
Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Clement Allan Skinner, yang berpendapat tidak ada sebab untuk mahkamah tersebut mengganggu dapatan Mahkamah Tinggi.
  
Bagaimanapun, Hakim Skinner berkata Mahkamah Rayuan mengambil kira fakta perayu sudah menjalani hukuman penjara dua bulan ketika ditahan reman pada 2008. Oleh itu, Yim hanya perlu menjalani tempoh hukuman penjara selama 11 tahun 10 bulan.
  
Sejurus selepas keputusan, Yim, 44, kelihatan menangis dan memeluk suami, anggita keluarga serta rakan yang berada di galeri awam.
  
Dia akan menjalani hukuman di Penjara Kajang mulai hari ini.

Turut menganggotai panel itu ialah Datuk Linton Albert dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim.
  
Yim, 44, berdepan empat pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala di Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.
  
Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala dengan seterika panas serta air panas dan dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
  
Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada pertuduhan keempat iaitu mencederakan Nirmala dengan cawan logam.
  
Ketika merayu di Mahkamah Tinggi, hukuman penjara Yim dikurangkan kepada 12 tahun.

Dalam penghakimannya, antara lain, Hakim Skinner berkata Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi menggunakan prinsip yang betul dalam mejatuhkan hukuman, yang disifatkan panel Mahkamah Rayuan sebagai tidak berlebihan.
  
Beliau berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa hakim yang mendengar perbicaraan kes itu gagal mengambil kira keterangan pakar perubatan iaitu kecederaan Nirmala boleh dilakukan oleh mangsa sendiri.
  
Katanya, saksi pembelaan itu bergantung kepada andaian semata-mata dan tidak pernah memeriksa mangsa secara fizikal.
  
Mengulas isu lain yang dibangkitkan peguam Yim, panel itu berkata mereka bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas bahawa kes pendakwaan tidak terjejas berikutan kegagalan memanggil sepupu Nirmala, Fermina Anunut sebagai saksi.
  
Hakim Skinner juga berkata tidak ada merit dalam hujah pembelaan bahawa pertuduhan terhadap Yim adalah cacat kerana tidak menyatakan dengan tepat bila kesalahan dilakukan.
  
"Serangan dilakukan dalam situasi domestik dan sudah tentulah pengadu tidak dapat mengingati bila kejadian itu berlaku dengan tepat," katanya. - Bernama

Mati ketika buat OT



         
KUNDASANG: Seorang pekerja pusat tanaman kulat di sini terpelanting kira-kira 20 meter sebelum terbunuh apabila sebuah dandang di situ meletup dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa dikenali sebagai Leo Poullus, 42, dikatakan sibuk memproses benih cendawan.
Letupan kuat itu menyebabkan dia cedera parah di muka dan kepala akibat terkena serpihan dandang, sebelum mati di tempat kejadian.

Seorang wanita berusia 20-an turut parah dan kini menerima rawatan di Hospital Ranau di sini, akibat terkena serpihan dandang itu ketika melalui kawasan kejadian.


Difahamkan, ketika kejadian, Leo bekerja seorang diri kerana hari kejadian adalah hari cuti dan mangsa bekerja lebih masa.

Mati terbabas kejar konvoi 70 motosikal

NILAI: Kegembiraan seorang remaja menyertai konvoi bermotosikal bersama 70 penunggang berakhir tragedi memilukan apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 275.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Azlan Mohamad, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak, Cheras, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama 70 peserta konvoi dipercayai dari arah ibu kota menuju ke Melaka, menaiki motosikal jenis Kawasaki Ninja 150 RR.

Abang mangsa, Muhammad Faizal, 29, berkata, dia dimaklumkan jiran mengenai adik bongsunya itu terbabit dalam kemalangan, jam 12 tengah hari. “Saya terkejut apabila dimaklumkan adik meninggal dunia, malah tidak mengetahui arwah menyertai konvoi bersama rakan lain “Malah, saya dimaklumkan ketika kejadian, arwah ketinggalan di belakang dan ingin mengejar kumpulan konvoi itu sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya ketika ditemui di Bahagian Forensik, Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam. Jurucakap polis berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika berada di lorong paling kanan lebuh raya sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.


“Akibat rempuhan itu, mangsa dipercayai terpelanting di tengah lebuh raya dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepala.


“Sama ada kepala mangsa digilis kenderaan lain atau tidak, ia masih dalam siasatan polis,” katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Bandar Tun Razak,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu. Beliau meminta mereka yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7583222 untuk membantu siasatan.

Tonton kawan kena perkosa

KUALA LUMPUR: Termakan pujukan rakan ponteng sekolah, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dikurung dua hari dan dirogol dalam kedai mencuci kereta di Sungai Pelong, di sini.

Dalam kejadian jam 7 pagi, 24 September lalu, mangsa yang berjalan ke ke sekolahnya di Kundang dikatakan dipujuk rakan sebaya dengannya ponteng sekolah pada hari berkenaan.
Menurut sumber, mangsa dibawa ke kedai mencuci kereta sebelum dirogol dan dikurung di kawasan berkenaan hampir dua hari.

“Mangsa meloloskan diri dan tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong, di sini, jam 8 pagi (kelmarin),” kata sumber itu kepada Harian Metro semalam.


Menurutnya, di dalam aduannya mangsa mendakwa dia dibawa ke sebuah kedai mencuci kereta dengan motosikal dinaiki dua lelaki tidak dikenalinya berusia awal 20-an.

Petir masuk rumah



         
DUNGUN: “Panahan kilat itu menyambar begitu kuat sehingga membakar rumah jiran,” kata Tengku Hasmita Tengku Ismail, 38, menceritakan kejadian panahan petir sehingga rumah jirannya hangus dalam kebakaran di Kampung Paya, Balai Besar, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia duduk di atas sebuah sofa bermain dengan anak saudaranya yang berusia dua tahun di ruang tamu rumah jam 3.30 petang.
“Hujan lebat disusuli dua panahan petir sebelum itu tidaklah kuat. Tiba-tiba satu lagi panahan petir yang kuat sehingga cahayanya masuk ke rumah menyebabkan saya dan anak saudara tercampak dari kerusi sofa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, dia segera memeluk anak saudaranya yang menangis begitu kuat sebelum terpandang dinding rumah jirannya mula dibakar api.


“Saya yang cemas dan hanya mampu menjerit memberitahu jiran melalui tingkap rumah kerana bimbang turun dari rumah berikutan hujan lebat dan bimbang dipanah petir,” katanya.

Sembur lada curi RM448,000




         
KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki disembur dengan serbuk lada pada matanya oleh tiga lelaki yang memecah masuk rumah banglo milik keluarga di Bukit Damansara, di sini dan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM448,000, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 19 tahun yang tinggal berseorangan terkejut apabila tiga lelaki bersenjatakan parang dan penyembur lada masuk ke dalam kediamannya.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata selepas menyembur serbuk lada ke mata mangsa ketiga-tiga suspek menggeledah rumah.

“Mereka kemudian mengambil wang tunai RM6,000, barangan kemas, pelbagai jam tangan berjenama dan sebuah komputer. Turut dilarikan sebuah kereta Mercedes Benz milik keluarga mangsa menjadikan nilai keseluruhan hasil samun dianggarkan RM448,000,” katanya.


Wan Abdul Bari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 dan usaha mengesan suspek kini giat dijalankan.

Dua lelaki mati dibunuh dalam kes berasingan



LAHAD DATU 30 Sept. - Dua lelaki maut dipercayai dibunuh dalam dua kes berasingan di Kampung Air dan Ubi Jalan Dam di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Shamsudin Mat berkata, dalam kes pertama, pukul 12.40 tengah hari, seorang lelaki, Ibnu Sala, 56, yang mengalami kecederaan parah di leher, perut, badan dan kepala meninggal dunia di Hospital Lahad Datu setelah terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan 13 lelaki.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham dan dalam pergaduhan itu turut menyebabkan dua lagi ahli keluarga mangsa mengalami kecederaan parah.
"Suspek utama kejadian itu berjaya ditangkap kira-kira sejam selepas pergaduhan itu manakala 12 lagi suspek sedang dikesan. Kami menemui beberapa senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121001/je_04/Dua-lelaki-mati-dibunuh-dalam-kes-berasingan#ixzz282YFwd1C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pembaca berita Buletin Awani diragut



KUALA LUMPUR 1 Okt. - Pembaca berita Buletin Awani, Aida Mohamad berdepan detik mencemaskan apabila diragut sekumpulan lelaki bermotosikal di hadapan rumahnya di Jalan Perkasa 5, Taman Maluri, Cheras di sini awal pagi ini.
Difahamkan, Aida, 31, dan suaminya semasa kejadian baru sahaja sampai di rumah selepas menghadiri satu majlis kenduri kira-kira pukul 2.40 pagi.
Ketika turun dari kereta, tiga lelaki menaiki dua buah motosikal jenis Yahama 125 serta bersenjatakan sebilah gunting pemotong pokok tiba-tiba muncul dan cuba merampas beg tangan mangsa. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121001/je_08/Pembaca-berita-Buletin-Awani-diragut#ixzz282Y3MSHL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek tembak 2 polis, mati ditembak



KU Chin Wah (kanan) bersama dua anggotanya menunjukkan pistol yang dirampas dari seorang penjenayah yang ditembak mati pada sidang akhbar di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Polis hari ini menembak mati seorang daripada beberapa suspek yang dipercayai terlibat menembak dua anggota polis peronda di Jalan Kuchai Lama di sini Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, suspek berusia 32 tahun cuba meloloskan diri apabila kereta Proton Waja dipandunya ditahan untuk pemeriksaan berhampiran Pusat Beli-belah Mid Valley.
Suspek yang menaiki kereta itu seorang diri enggan berhenti sebaliknya memecut sebelum dikejar anggota pasukan itu sehingga terbabas di kawasan letak kenderaan Desa Water Park.
Lelaki tersebut kemudian melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan anggota polis membalas sehingga suspek terbunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121001/je_01/Suspek-tembak-2-polis-mati-ditembak#ixzz282XtyDR0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelakon drama maut nahas

KUALA LUMPUR: Dua penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan berasingan di lokasi sama di Kilometer (KM) 5.7, Lebuhraya Persekutuan, berhampiran bangunan Angkasapuri, semalam.

Dalam kejadian jam 7 dan 9 pagi itu, S Nathanraj, 19, dan Muhammad Amirul Mazlan, 19, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.


Dalam kejadian pertama, Nathanraj yang menunggang Honda Wave dari arah Petaling Jaya menghala ke ibu kota dikatakan dilanggar sebuah kenderaan yang melarikan diri sebelum sebuah kereta melanggarnya.

Jurucakap polis berkata, dalam satu lagi kejadian, Amirul yang juga seorang pelakon drama, menunggang Modenas Elite maut pada jam 9 pagi apabila dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya merempuh pembahagi jalan.

14 termasuk pegawai JPJ diberkas



KUALA LUMPUR 30 Sept. - Satu sindiket menjalankan kegiatan memperbaharui cukai jalan kenderaan yang diseludup sehingga mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit berjaya dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sindiket yang aktif sejak beberapa tahun lalu itu, turut dikesan menawarkan perkhidmatan bagi memperbaharui cukai kenderaan tamat tempoh melebihi setahun tanpa perlu pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).
Malah, sindiket itu juga licik kerana mampu menukar segala butiran lain berkaitan kenderaan, termasuk nama geran dan pemilik asal.
Bagaimanapun, kegiatan yang beroperasi di Pahang dan Perak serta didalangi 'orang dalam' agensi terlibat, tumpas ekoran penahanan 14 individu, termasuk dua pegawai penguat kuasa, orang tengah (runner) dan ejen insurans.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121001/je_03/14-termasuk-pegawai-JPJ-diberkas#ixzz282XIyTTy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kes culik selesai 48 jam



Ahmad Ibrahim (tengah) bersama dua lagi pegawai polis menunjukkan wang tebusan sebanyak RM349,700 yang disorokkan di sebuah kuil pada sidang media di Alor Setar, semalam. - Utusan/Kamal Basir
ALOR SETAR 30 Sept. - Polis berjaya menyelesaikan kes penculikan anak seorang doktor pakar kulit berusia 13 tahun pada Selasa lalu, dalam tempoh 48 jam dengan penahanan lima suspek di Alor Setar dan Sungai Petani pada Khamis dan Jumaat lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kesemua suspek yang ditahan melibatkan tiga warga tempatan dan dua rakyat asing dari India dan Myanmar.
Katanya, pihak polis juga menemukan semula wang tebusan sebanyak RM349,700 yang disorok kumpulan penculik itu di sebuah kuil di Taman Sutera, Sungai Petani dekat sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121001/je_06/Kes-culik-selesai-48-jam#ixzz282X4i2V4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja terlibat kes tembak polis serah diri



KUALA LUMPUR 1 Okt. - Seorang remaja yang sedang diburu pihak polis bagi membantu kes tembak yang mencederakan dua anggota polis peronda, Rabu lalu, menyerah diri di Balai Polis Kepong, di sini pagi tadi.
Suspek berusia 17 tahun yang dipercayai tinggal Taman Wahyu, Jinjang itu telah diedarkan gambar oleh pihak berkuasa, semalam.
Seorang lagi suspek, Wan Fadrulzaman Wan Mohamad Fadil, 30, yang beralamat terakhir di Mentakab, Pahang, masih lagi dikesan.
Semalam, polis menembak mati seorang daripada tiga suspek yang dipercayai terlibat menembak dua anggota polis peronda berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, suspek berusia 32 tahun cuba meloloskan diri apabila kereta Proton Waja dipandunya ditahan untuk pemeriksaan berhampiran Pusat Beli-belah Mid Valley. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121001/je_07/Remaja-terlibat-kes-tembak-polis-serah-diri#ixzz282WWZUwt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 maut nahas berbeza di lokasi sama



Polis menyiasat kes kemalangan maut yang meragut nyawa S. Nathanraj di Kilometer 5.7, Lebuh Raya Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Dua remaja lelaki berusia 19 tahun maut dalam kemalangan berasingan di lokasi yang sama dalam tempoh selang dua jam di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Persekutuan di sini hari ini.
Mangsa pertama, S. Nathanraj, terbunuh apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dirempuh oleh kenderaan lain ketika dalam perjalanan dari ibu negara menuju Petaling Jaya pada pukul 6.45 pagi.
Pada pukul 9 pagi iaitu kira-kira dua jam kemudian, seorang penuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Muhammad Amirul turut maut di lokasi sama setelah motosikal ditunggangnya terbabas melanggar tebing jalan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121001/dn_09/2-maut-nahas-berbeza-di-lokasi-sama#ixzz282WG9H00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki asing ditahan miliki 51.4 gram syabu




         
SANDAKAN: Seorang lelaki rakyat asing ditahan dan polis merampas 51.4 gram dadah jenis syabu daripadanya di kawasan Terminal Bas Ekspres dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata dadah yang dianggar bernilai RM15,000 itu ditemui dalam bungkusan plastik berisi komponen elektrik yang dibawa lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu.
"Lelaki itu cuba melarikan diri sambil membuang sebungkus beg plastik tetapi beg plastik mengandungi dadah yang dibuangnya itu berjaya ditemui dalam operasi yang dijalankan pada pukul 7.45 malam," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Daerah Sandakan di sini hari ini, beliau berkata ujian saringan awal terhadap lelaki itu mendapati dia positif dadah.


Pada perhimpunan itu, Rowell menyampaikan 12 sijil penghargaan kepada anggota polis dan seorang pengawal keselamatan atas sumbangan mereka dalam membanteras jenayah. - Bernama

Seorang maut, tiga cedera dalam kemalangan di Bukit Putus




         
SEREMBAN: Seorang wanita maut manakala tiga yang lain cedera apabila kereta yang mereka naiki bertembung di KM 13, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus dekat sini, malam tadi.

Nor Rosdianawati Mohd Nordin, 21, tersepit di tempat duduk sebelah pemandu dan mati di tempat kejadian.
Mereka yang cedera ialah rakan Nor Rosdianawati yang hanya dikenali sebagai 'Apek', 19, dan pasangan suami isteri sebuah lagi kereta yang bertembung dengan kereta itu.

Kesemua mereka yang cedera dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di sini, kata jurucakap polis.


Beliau berkata dalam kejadian pada jam 10.20 malam itu, kereta yang dinaiki Nor Rosdianawati dan rakannya dalam perjalanan dari Seremban ke arah Kuala Pilah bertembung dengan kereta yang dinaiki pasangan suami isteri itu. - Bernama

777 penuntut asing ditahan antara 2011 hingga Ogos 2012: Abu Seman




         
KUALA LUMPUR: Seramai 777 penuntut asing ditahan antara tahun 2011 hingga Ogos tahun ini atas pelbagai kesalahan jenayah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop.

Beliau berkata antara kesalahan melibatkan penuntut asing itu ialah mendatangkan kecederaan, mencuri, terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan jenayah komersial.

Abu Seman berkata mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2011, sebanyak 11 kes iaitu tiga mendatangkan kecederaan dan lapan kes curi direkod dengan 16 tangkapan.

"Pada tahun lepas juga, seramai 128 pelajar asing ditahan berkaitan penyalahgunaan, penyeludupan serta pengedaran dadah dan 305 orang pula ditahan membabitkan jenayah komersial.


"Manakala dalam tempoh lapan bulan tahun ini, seramai 101 pelajar asing ditahan atas kesalahan dadah dan 227 orang membabitkan jenayah komersial," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad (BN-Mukah) mengenai bilangan penuntut asing yang ditahan atas pembabitan jenayah pada 2011 dan 2012.

Abu Seman berkata sebelum meluluskan pas kepada penuntut asing, kementerian melalui Jabatan Imigresen akan memastikan penuntut berkenaan bukan dilarang memasuki negara ini, sebaliknya tulen dan tidak menyalahguna kemudahan pas pelajar.

Beliau berkata permohonan pelajar juga perlu melalui proses tapisan dan mendapat sokongan agensi kawal selia termasuk Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.

"Di samping itu, kementerian dan agensi kawal selia sedang dalam proses untuk mewujudkan garis panduan pengambilan dan pengurusan pelajar antarabangsa," katanya.

Mengenai pelajar tempatan dijadikan keldai dadah, Abu Seman berkata kementerian sentiasa menjalankan kempen dan publisiti bagi memastikan golongan itu tidak terpedaya dengan kemewahan yang dijanjikan.

Menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengenai penuntut asing menjalankan kegiatan membawa penumpang secara haram, Abu Seman berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk membanterasnya. - Bernama

Kereta terjunam dalam parit



RANTAU PANJANG – Seorang parah manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah Persona dan Myvi di Kilometer 6, Jalan Rantau Panjang Pasir Mas, malam kelmarin.

Mangsa yang parah, adalah penumpang bahagian hadapan kereta Proton Persona yang tersepit setelah kereta dinaikinya terjunam ke dalam parit.

Namun, atas kerjasama bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta orang awam, mangsa berjaya dikeluarkan.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Rantau Panjang, Lans Koperal Zulilawati Abdullah berkata, panggilan diterima daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira 10.23 malam.

Menurutnya, beliau bersama dua anggota JPAM ke tempat kejadian dan mendapati pemandu Persona, pemandu Myvi dan tiga penumpangnya dikeluarkan lebih awal oleh orang ramai.

“JPAM menghantar kesemua mangsa yang cedera ringan manakala mangsa yang tersepit dibawa ke Hospital Pasir Mas dengan ambulans,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang cedera ringan ialah Mohd Azlan Abd Wahab, 23; Mohd Rozmi Abdullah, 30; Shazrul Zamir Zulkifli, 28; Khaidir Abdullah, 39, dan Mohd Nurzul Hisham Ismail.

Kemalangan ini berlaku tidak jauh dari lokasi seorang wanita dirempuh sebuah lori ketika sedang berniaga buah, Ramadan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Psir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Ibu kendong tiga anak redah asap



Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
rumah terbakar
Ketua Cawangan Pas Alor Tembesu, Hassan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Umno Cawangan Alor Tembesu, Ramlee Abdul Rahman (dua,kiri) sepakat menyelesaikan masalah dihadapi Hasmah.
rumah terbakar
Anggota bomba dibantu orang awam bertungkus lumus memadamkan api yang turut memusnahkan sebahagian besar struktur kediaman banglo dua tingkat milik pasangan Mohd Nasir dan Norai
Dungun - Tindakan nekad seorang ibu mengendong tiga anaknya termasuk dua pasangan kembar meredah asap berjaya menyelamatkan diri daripada disambar api yang marak dengan cepat selepas rumah mereka terbakar, dalam satu tragedi kebakaran di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu dipercayai berlaku ketika Hasmah Kadmin, 48, bersama tiga anaknya, Putra Alis, 8, dan pasangan kembar, Putri Shalwani, 4, serta Putri Shalwana sedang berada di ruang tamu di rumah sewanya, dekat sini.

Seorang lagi anak lelakinya, Mohd Nor Hafiz Syekih,19, difahamkan berada di tempat kerjanya di Batu 48.

Menurut Hasmah yang bekerja sebagai pembantu kedai, ketika kejadian dia tidak bekerja dan sedang melihat anaknya melukis sebelum tiba-tiba melihat percikan api dari bahagian siling rumah.
Hasmah berkata, seketika kemudian, api tiba-tiba semakin besar lalu marak dengan cepat sehingga menyambar siling rumah menyebabkan dia bertindak memaut tiga anaknya meredah asap sebelum berlari keluar sambil menjerit meminta tolong jiran.

Katanya, biarpun menyedari bahaya yang bakal menimpa, namun demi keselamatan anaknya, dia sanggup meredah asap lalu berjaya keluar daripada kawasan rumah yang letaknya kira-kira 50 meter dari jalan berturap itu.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari keluar menyelamatkan diri sambil mengendong tiga anak saya.

“Masa itu, saya hanya ingat Tuhan yang boleh selamatkan anak-anak saya,” kata Hasmah yang masih hiba dengan tragedi berkenaan.

"Bagaimana nak ke mahkamah"

Hasmah berkata, lebih memeritkan apabila tugas menggalas tanggungjawab menyara keluarga kini terletak atas bahunya berikutan suaminya kini sedang menjalani tahanan di penjara atas kesalahannya mencederakan dan hampir membunuh seorang anaknya, dua minggu menjelang Aidilfitri lalu.

Menurutnya, keesokan harinya (hari ini) dia sepatutnya memberi keterangan di mahkamah Kuala Terengganu mengenai dakwaan ke atas suaminya itu.

“Saya hendak ke mahkamah macam mana? Semua dokumen termasuk kad pengenalan saya hangus.

“Pakaian pula tiada, duit apatah lagi,” kata Hasmah yang masih trauma dengan kejadian menimpa mereka tiga beranak itu.

Katanya, kehidupannya sekarang amat terhimpit kerana terpaksa memulakan hidup baru tanpa sebarang harta, apatah lagi dia terpaksa melaluinya seorang diri.
“Saya tak tahu hendak tinggal di mana, rumah sewa, pakaian kami semua hangus.

 “Ujian terhadap saya terlalu berat, saya tidak tahu bagaimana menghadapinya,” katanya.
Hasmah buat sementara waktu tinggal di rumah jiran sebelum pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Tembesu menguruskan tempat tinggalnya secara tetap.

Lari sebaik lihat api

“Sebaik terhidu bau asap, saya jenguk melalui tingkap lalu lihat api di rumah sebelah, saya terus menjerit mengarahkan anak-anak supaya menyelamatkan diri kerana ada kebakaran,” kata Noraini Zakaria, 46, mangsa yang terselamat dalam kebaka-ran melibatkan empat rumah di Alor Tembesu, dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian, Noraini bersama tiga anaknya, Mohd Arif Fitri Zakaria, 19, Nor Farah Nabihah, 14, Mohd Hazim, 5, seorang anak saudaranya, Mohd Mukhli Mahathir, 7, serta ibunya, Mek Ngah Mohd, 68, berada dalam rumah tersebut.
Noraini berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, dia sempat mendapatkan beg tangan yang mengandungi wang dan dokumen sebelum berlari keluar menyelamatkan diri bersama ahli keluarga termasuk ibunya, Mek Ngah yang uzur itu.

“Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat Zuhur, api dari rumah sebelah marak dengan cepat menyebabkan kami semua panik.

“Nasib baik semua dapat menyelamatkan diri, jika tidak mungkin kami akan terperangkap dalam api dan asap tebal,” katanya.
Ketika kebakaran, suami Noraini, Mohd Nasir Zakaria, 49, difahamkan berada di Johor Bahru atas urusan kerja.

Menurut anak perempuan Noraini, Nor Farah Nabihah, ketika kebakaran itu bermula, dia sedang berehat di ruang tamu sebelum terdengar jeritan abangnya selepas melihat api melalui tingkap rumah.

“Masa itu saya baru pulang dari sekolah dan sedang berehat.
“Tiba-tiba abang saya terpandang api lalu menjerit agar kami keluar menyelamatkan diri,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun.


Sebuah rumah gagal diselamatkan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan jam 3.40 petang sebelum mengarahkan dua jentera bersama anggota penyelamat bergegas ke lokasi dan tiba beberapa minit kemudian.
Sebuah rumah gagal diselamatkan manakala tiga lagi yang lain termasuk sebuah banglo dua tingkat hampir 60 peratus musnah.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba Paka turut dipanggil untuk membantu operasi memadam api.
“Punca kejadian dan nilai keseluruhan kerugian dialami empat keluarga mangsa terlibat masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Turut membantu memadam api termasuk unit kebakaran Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.

Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli dan Pembantu Khas Pegawai Pembangunan Dun Sura, Hafizu Din turut hadir menziarahi mangsa terlibat.

Nekad lari sekatan JPJ



Salah seorang remaja yang gagal melarikan diri dari sekatan jalan raya itu disoal penguat kuasa JPJ.
Salah seorang remaja yang gagal melarikan diri dari sekatan jalan raya itu disoal penguat kuasa JPJ.
KUANTAN - Seorang remaja nekad lari dari sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Polis Diraja Malaysia di Jalan Teluk Sisek, malam semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, remaja itu nekad meninggalkan motosikal jenis RXZ yang ditungganginya di tengah pembahagi jalan sebelum melarikan diri.

Namun, rakannya yang berumur 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha EX5 gagal berbuat demikian sebelum berjaya ditahan anggota bertugas.

Selepas pemeriksaan dilakukan, kedua-dua motosikal terbabit dikenal pasti tidak mempunyai cukai jalan yang sah selain kedua-dua penunggang tidak mempunyai lesen.

Bagaimana pun, remaja berusia 16 tahun itu yang turut menjalani ujian air kencing namun didapati negatif.
Remaja tersebut ketika ditemui berkata, dia bersama rakan menaiki dua motosikal berasingan dari Gambang untuk bertemu rakan di Tanjung Api.

“Saya terkejut dan takut  melihat ada sekatan jalan raya oleh polis  dan JPJ, tapi saya tidak sempat melarikan diri seperti rakan saya.
“Saya takut sebab tidak ada lesen dan cukai jalan, tolong jangan beritahu ayah saya,” demikian pengakuan remaja terbabit selepas ditahan pihak berkuasa dalam operasi itu.
Dalam operasi itu, 115 saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Khas JPJ antara polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPJ, Mohd Johari Mat Nor berkata, pelbagai kesalahan dikesan dan saman dikeluarkan dalam operasi membabitkan 50 anggota lima agensi.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 26 motosikal disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh manakala sebanyak 10 notis amaran cermin gelap turut dikeluarkan.
“Selain itu, melalui saringan ujian air kencing yang dilakukan AADK, sebanyak lima sampel didapati positif daripada 71 sampel yang diperiksa.
“Operasi sebegini akan diadakan secara berterusan iaitu sebanyak dua kali sebulan dengan memberi tumpuan di laluan utama,” katanya.

Maut sebelum dapat kerja



KUALA KRAI - Hasrat anak muda dari Kampung Sepuloh, Mukim Enggong, di sini, Mohamed Riduwan Azmi untuk bekerja dalam bidang marin dan perkapalan tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya, dekat sini, kelmarin.

Anak kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Enggong, Azmi Mat Kar itu sepatutnya dipanggil bekerja dalam masa terdekat, terbunuh selepas motosikal dinaikinya merempuh sebuah traktor, pagi kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Mohamed Riduwan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala bahu kirinya hampir putus dan kedua-dua kaki patah dipercayai akibat digilis traktor terbabit.

Azmi berkata, anak keenamnya daripada 12 beradik itu baru tamat kursus bidang marin dan perkapalan, Februari lalu dan sedang menunggu panggilan kerja daripada tenaga pengajarnya.

“Selepas tamat kursus di Negeri Sembilan dan Lumut, Perak, dia balik ke kampung sementara tunggu kerja kerana cikgunya janji akan carikan kerja malah sijil kursus pun masih di Lumut.

“Sambil menunggu, dia bantu kawannya buat kerja di Pahi dan sering ulang-alik serta bermalam di sana,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Kuala Krai (HKK), kelmarin.

Azmi berkata, ketika kejadian, Mohamed Riduwan yang tinggal bersamanya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas bermalam di Kampung Pahi.

“Selepas habis kursus dulu, dia selalu ulang-alik dan bermalam di rumah kawannya. Saya pun kenal kawan dia kerana ayahnya jiran sekampung di Kampung Sepuloh,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dengan berjumpa dengan Mohamed Riduwan kira-kira jam 6 petang, Jumaat lalu, sebelum anaknya keluar dari rumah untuk ke Kampung Pahi.

“Saya dapat tahu dia terlibat kemalangan ketika berada di kebun getah selepas diberitahu adik arwah kira-kira jam 11 pagi,” katanya yang bergegas ke hospital selepas diberitahu, jenazah anaknya dibawa ke bilik mayat.

Ditanya perubahan ditunjukkan Mohamed Riduwan sebelum kematiannya, Azmi berkata, tidak ada yang ketara kecuali anaknya itu banyak berada dalam bilik beberapa hari sebelum kejadian kerana kurang sihat.

“Dia seorang pendiam dan tidak banyak bercakap, bukan sahaja dengan ahli keluarga tetapi dengan kawan-kawan pun, dia memang bercakap lebih kurang sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, Inspektor Low Jo Han berkata, nahas berlaku di Kilometer 77, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini.

Katanya, kemalangan di hadapan Pejabat Ladang Lepan Kabu, Kampung Pahi itu membabitkan motosikal Yamaha 125 ditunggangi mangsa dan sebuah traktor pemunggah kelapa sawit kosong.

“Siasatan untuk kenal pasti bagaimana kemalangan ini berlaku masih diteruskan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bantu siasatan,” katanya.

Polis buru tiga beradik serang pembantu tadbir di Kuala Terengganu



KUALA TERENGGANU - Polis kini sedang giat memburu tiga beradik berusia 20an yang dipercayai menyerang dan memukul seorang Pembantu Tadbir berusia 50 tahun di Bukit Tunggal di sini, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu mangsa yang bertugas di Jabatan Pendidikan Marang itu sedang berada di sebuah kedai makan sebelum diserang kumpulan remaja itu.

"Ekoran kejadian itu mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, perut serta badan akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Siasatan awal mendapati kumpulan itu bertindak demikian kerana perselisihan faham dengan anak mangsa, namun kumpulan itu gagal mengesan anak mangsa berusia 20an itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kejadian itu hanya disedari oleh anak saudara mangsa selepas dimaklumkan oleh orang ramai sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Manoharan berkata mangsa sudah kembali stabil setelah menjalani pembedahan dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.-Bernama

827 hektar sawah dilanda banjir, petani rugi


827 hektar sawah dilanda banjir, petani rugi
Mohd Johari melihat padi yang rosak akibat ditenggelami air di Kampung Panchor, Guar Kepayang, Pendang.
PENDANG - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) memerlukan RM200 juta bagi membuat lencongan dari Sungai Pendang dan Sungai Tiang Gerap di sini, bagi mempercepatkan aliran air sungai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, jika lencongan sungai terbabit dan anak sungai lain tidak dilakukan segera ia akan menyebabkan berlakunya masalah banjir setiap kali hujan lebat gagal ditangani.

“Mada telah mengkaji masalah ini dan akan mengemukakan perkara tersebut kepada Kerajaan Persekutuan bagi memperoleh peruntukan sebanyak RM200 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat sawah padi rosak di Kampung Panchor, Kuar Kepayang, dekat sini, semalam.

Menurutnya, hujan lebat pada 25 hingga 27 September lalu telah merosakkan 827 hektar sawah padi kawasan Mada Pendang melibatkan 376 petani dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM4 juta.

Mohd Johari berkata, Mada akan membuat bancian secara menyeluruh bagi membolehkan mendapat maklumat lebih terperinci mengenai kerosakan dialami agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada petani yang mengalami kerugian akibat bencana alam.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Pasu turut menasihatkan petani agar tidak mengambil kesempatan terhadap bantuan yang bakal disampaikan oleh kerajaan, sedangkan sawah padi mereka tidak rosak akibat banjir.

“Kita akan bagi bantuan secepat mungkin kepada mereka yang terlibat bagi membolehkan mereka dapat melakukan proses tanaman padi pada musim seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, melalui belanjawan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lepas, sejumlah peruntukan turut disediakan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di Sungai Anak Bukit, Alor Setar.

Katanya, tidak bermakna jika Mada membelanjakan RM2.2 bilion meningkatkan kawasan sawah padi di negeri ini, tetapi projek tebatan banjir di Sungai Anak Bukit tidak dijalankan.

Menurutnya, projek yang dijangka bermula tahun hadapan itu akan memberi manfaat kepada tiga daerah iaitu di Kubang Pasu, Padang Terap dan juga Pokok Sena.

Nelayan bakal di jel seumur hidup

KUALA TERENGGANU- Seorang nelayan bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup dan wajib dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan rotan selepas mengaku salah memiliki dadah jenis heroin di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Baharudin Mohd Noor, 46, dari Kampung Gong Tengah Merang, Setiu, mengaku salah ada dalam milikannya dadah jenis heroin berat kasar 6 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Merang, Jalan Merang, Setiu, 23 September lalu kira-kira jam 10 malam.

Dengan itu, dia yang masih bujang itu mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Muhamad Nazri di hadapan hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, selepas pengakuannya direkodkan, Wan Fadhilah menetapkan 31 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan kimia dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Sebelum ini, tertuduh ditahan di kediaman itu dalam keadaan khayal dipercayai baru sahaja ‘pekena’ dadah.
Tertuduh pada awalnya cuba ingin melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis, bagaimanapun gagal kerana kediaman itu sudah dikepung.

Tiada sijil perakuan B, DVD haram dirampas



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Oktober 2012
Tiada sijil perakuan B, DVD haram dirampas
Zaki (kiri) bersama anggota KDN Perak menunjukkan DVD tiada sijil perakuan B yang dirampas dari sebuah premis di Parit Buntar, kelmarin.
BAGAN SERAI - Sebanyak 4,427 cakera video digital (DVD) yang dijual secara terbuka di Parit Buntar dirampas pasukan penguat kuasa Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri kelmarin.

Ketua Cawangannya, Zaki Mohamed berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan di sebuah premis menjual DVD di kawasan Pusat Bandar Parit Buntar kira-kira jam 6.15 petang.

Menurutnya, ketika diperiksa, pihaknya mendapati premis itu menjual DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B dan daripada jumlah itu, sebahagiannya didapati video lucah.

“Pada operasi yang disertai lima anggota dan pegawai dari KDN Kedah itu, kami turut menahan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dipercayai pemilik premis bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan yang dilakukan di dalam premisnya itu akhirnya menemui lima kotak berisi 4,427 DVD cetak rompak dengan anggaran nilai RM26,500 mengikut harga pasaran,” katanya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Zaki berkata, kesemua rampasan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 iaitu kesalahan menjual filem tanpa mempamerkan sijil Perakuan B.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun," katanya.

Hajat beriadah tak sampai



Hajat beriadah tak sampai
Keadaan van yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan tersebut.
Hajat beriadah tak sampai
Jenazah mangsa kemalangan dibawa keluar daripada Unit Forensik HKT.
KOTA TINGGI - Hasrat seorang anggota polis untuk beriadah bersama keluarganya di Tanjung Balau tidak kesampaian apabila rentung dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Lok Heng-Mawai, pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, anggota polis terbabit, Daud Talib, 46, yang menaiki sebuah van jenis Nissan bersama isteri, empat anak dan tiga anak saudaranya sedang dalam perjalanan dari Felda Lok Heng Barat menuju ke Tanjung Balau.

Menurutnya, tiba-tiba van yang dipandu hilang kawalan menyebabkan ia bertembung dengan sebuah Proton Saga yang masuk ke laluan bertentangan.

Kereta tersebut dipandu seorang wanita yang merupakan pekerja kilang elektronik bersama anak lelakinya berusia 12 tahun.

“Difahamkan van tersebut terbalik lalu terbakar, mangsa yang tersepit pula gagal diselamatkan dan rentung di tempat kejadian. Isteri, anak serta anak saudaranya berjaya menyelamatkan diri. Sementara itu, pemandu wanita terbabit Adibah Hashim, 48, juga meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Amirul Fahmi Mohd Amin hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Che Mahazan berkata, Adibah dikatakan baru sahaja mengambil anaknya di Felda Air Tawar 2 selepas pulang bekerja di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru. Menurutnya, difahamkan kedua-dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Lok Heng Selatan sebelum terbabit dalam kemalangan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Nampak ayah tersepit sebelum pengsan

Dalam pada itu, anak anggota polis terbabit, Noraini Shahira Daud, 17, yang turut berada di dalam van ketika kejadian berkata, dia sedang tidur dan hanya sedar apabila berlaku hentakan kuat sebelum melihat asap keluar dari dalam kenderaan.

“Kami dalam perjalanan dari rumah nenek di Felda Lok Heng Barat untuk mandi-manda di Tanjung Balau. Saya tidur ketika itu dan tidak menyedari apa-apa. Apabila sedar dan nampak asap, saya terus menyelamatkan diri bersama yang lain.

“Saya juga dapat melihat ayah dalam keadaan tersepit di dalam van, tetapi semuanya kabur apabila saya pengsan dan hanya sedar apabila tiba di hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini.

Menurut anak kedua dari lima beradik itu, mereka ke Felda Lok Heng Barat untuk melawat nenek yang sedang sakit.


Jumpa isteri satu jam sebelum kejadian

Sementara itu, suami Adibah, Mohd Amin Rahiman, 63, berkata, dia tidak menyangka pertemuan dengan isterinya satu jam sebelum kejadian adalah yang terakhir bagi mereka.

Menurutnya, rancangan untuk mengadakan majlis bacaan Yassin di rumah kedua mereka di Felda Lok Heng Selatan yang dijadual petang ini (semalam) juga terpaksa dibatalkan dan diganti dengan kenduri tahlil.

“Pada pagi kejadian, isteri saya baru pulang bekerja sebelum mengambil anak kami di rumah saya di Felda Air Tawar 2 untuk pulang ke Felda Lok Heng Selatan membuat persiapan kenduri. Dia memang beria-ia nak bawa anak.

“Kira-kira satu jam selepas mereka bergerak, saya menerima panggilan daripada anak saudara yang memberitahu isteri terlibat dengan kemalangan. Saya tidak menyangka yang dia akan pergi selamanya. Namun begitu saya bersyukur kerana anak tunggal kami terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kedua-dua jenazah telah dituntut oleh keluarga masing masing. Jenazah Daud dikebumikan di Kampung Usaha Jaya, Labis, manakala jenazah Adibah dikebumikan di Felda Bukit Ramun.

Bapa tiga anak dipenjara 4 tahun ragut beg

KUALA TERENGGANU- Seorang bapa kepada tiga anak dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, disini, semalam selepas mengaku bersalah meragut beg tangan seorang gadis, 18 September lalu.

Tertuduh, Muhamad Azmi Md Ghani, 40, dari Kampung Tok Ba, Tepoh, di sini, mengaku meragut beg tangan mangsa, Norsuzilamurni Mohamad, 21, di Kampung Paya Lima Amas kira-kira jam 10.30 malam.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Muhamad Nazri di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris, tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Muhamad Azmi merayu agar diringankan hukuman kerana mendakwa sudah insaf dan menyesal dengan perbuatannya selain mendakwa terpaksa menanggung tiga anak yang masih kecil selain seorang isteri dan ibu.

Sementara itu mangsa yang turut dipanggil mahkamah bagi menceritakan perasaannya kesan kejadian itu memberitahu dia masih dalam keadaan trauma terutama ketika pulang dari tempat kerja pada waktu malam.

Selain itu, mangsa turut menyuarakan perasaan amarah dan geram dengan perbuatan tertuduh terhadapnya sambil menjeling tajam ke arah tertuduh yang ketika itu berada di kandang pesalah.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan dua beranak iaitu mangsa bersama ibunya nekad mengejar tertuduh yang meragut beg tangannya yang diletakkan di dalam raga motosikal ditungganginya ketika dalam perjalanan pulang daripada membeli makanan.

Semasa kejadian, mangsa baru sahaja memberhentikan motosikalnya sebelum didatangi tertuduh yang secara pantas meragut beg tangan lalu melarikan diri.

Mangsa dan ibunya nekad mengejar tertuduh dengan motosikal sehingga ke Klinik Bukit Tunggal, di sini, sebelum meminta bantuan orang kampung dan tertuduh yang ketakutan terus bertindak mencampakkan beg mangsa di hadapan klinik itu.

Staf pejabat pelajaran parah dibelasah

KUALA TERENGGANU- Dipercayai motif dendam, seorang kakitangan Pejabat Pelajaran daerah Marang cedera parah di kepala dan badan selepas dibelasah oleh sekumpulan lelaki dalam satu kejadian gaduh di sebuah kedai makan di Bukit Tunggal, di sini, malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam, mangsa, 50, parah dan tidak sedarkan diri akibat dipukul objek tumpul.

“Kejadian yang menimpa mangsa hanya disedari anak saudaranya yang berusia 20 tahun selepas dimaklumkan orang ramai sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dan perut dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, dan kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, menurut Manoharan, mangsa yang sudah menjalani pembedahan dilaporkan stabil.

Katanya, berdasarkan kecederaan mangsa, pihaknya percaya berkemungkinan dia dipukul menggunakan kayu.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini bermotifkan dendam dan polis sudah mengenal pasti tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam keja-dian ini," katanya.

5 kenderaan dihempap tiang telefon



Kereta kelisa yang pecah cermin akibat dihempap tiang telefon di Jalan Sri Cemerlang semalam.
Kereta kelisa yang pecah cermin akibat dihempap tiang telefon di Jalan Sri Cemerlang semalam.
Deretan motosikal rosak akibat dihempap tiang telefon di Jalan Sri Cemerlang semalam.
Deretan motosikal rosak akibat dihempap tiang telefon di Jalan Sri Cemerlang semalam.
KOTA BHARU - Dua kereta dan tiga motosikal rosak teruk dihempap enam tiang telefon selepas sebuah lori treler muatan barang runcit merempuh kabel tiang terbabit, di Jalan Sri Cemerlang di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, dipercayai berlaku ketika sebuah lori yang melalui jalan terbabit  merempuh kabel telefon di kawasan berkenaan yang kendur dan akibat daripada perlanggaran itu menyebabkan tiang telefon terbabit jatuh menghempap beberapa kereta dan motosikal yang diparkir di kawasan itu.

Rempuhan itu juga menyebabkan, seorang mangsa, Wan Zakaria Wan Hamat, 39, turut mengalami kecederaan di bahagian leher, namun hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Saksi kejadian, Tengku Arif Azuan Long, 32, berkata sebelum rempuhan itu, dia berada di dalam pejabat syarikat telekomunikasi untuk menjelaskan bil telefon bimbitnya.

“Tidak sampai 10 minit berada di dalam bangunan itu, saya dengar bunyi dentuman kuat seperti sebuah pelanggaran dan ketika saya keluar dari pejabat itu, motosikal saya yang diparkir di luar bangunan serta beberapa motosikal lain serta kereta pecah di bahagian cermin sisi
dan remuk akibat dihempap tiang telefon," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Sembur gas pemedih mata sebelum samun

Sembur gas pemedih mata sebelum samun
Wan Abd Bari Wan Abd Khalid
KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah menggunakan gas pemedih mata sebelum menyamun sebuah rumah banglo di Bukit Damansara, petang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, remaja berusia 19 tahun yang bersendirian di dalam rumah tersebut disembur dengan gas pemedih mata oleh seorang daripada tiga penjenayah yang menyamun rumahnya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata, penjenayah menyembur gas tersebut bagi mengelakkan remaja lelaki itu mengenalinya.

Beliau berkata, penjenayah berjaya melarikan barang kemas, komputer riba, wang tunai RM6,000 dan sebuah kereta jenis Mercedes Benz.

Menurutnya, dipercayai penjenayah mengumpil pintu rumah dan bersenjatakan parang.

“Mangsa tidak alami kecederaan dan dianggar kerugian RM448,000,” katanya.

Gara-gara status Facebook




1 Oktober 2012
SAN JUAN - Seorang wanita berumur 27 tahun di Puerto Rico  disyaki membunuh teman lelakinya selepas tidak berpuas hati dengan status kekasihnya di Facebook.

Menurut polis, Wilinilia Sanchez Falcon dipercayai menikam Jesus Rivera Algarin, 25, hingga mati di bandar Comerio, kelmarin.

Hasil siasatan awal polis mendapati Sanchez berang selepas mangsa menghantar mesej di akaun Facebook miliknya yang didakwa sengaja untuk mencetuskan provokasi .- AP

Tak sempat hadir kenduri



Batu Pahat: Tiga termasuk seorang ibu yang dalam perjalanan ke majlis persandingan anak tirinya, maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kluang-Ayer Hitam, berhampiran Kampung Manong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengahari itu, Imam Masjid Taman Kasih Kluang, Osman Binti, 68, dan isterinya, Saleha Osman, serta kerani sekolah, Isnah Othman, 52, meninggal dunia di tempat kejadian. Suami Isnah, Jumat Talib, 52, yang juga pemandu kereta Proton Wira, kritikal dan dirawat di Hospital Batu Pahat (HBP), manakala dua anak saudaranya yang menaiki kenderaan sama turut parah.
Isnah bersama keluarganya dalam perjalanan ke Rengit bagi menghadiri persandingan anak tirinya, Mohd Ridwan Jumat, 25, dan pasangannya, Jamaliah Abdul Rahman, 18, yang bernikah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja dipandu Osman dari arah Ayer Hitam menuju ke Kluang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Wira, dipandu Jumat.

“Tiga mangsa yang menaiki Proton Wira itu turut cedera parah dan dirawat di HBP, termasuk seorang dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ridwan berkata, ayahnya menelefonnya kira-kira jam 12 tengahari memaklumkan mereka sekeluarga sudah bertolak dari rumah mereka di Taman Intan, Kluang untuk menghadiri persandingannya pada jam 2 petang.
“Sepatutnya, ayah berkonvoi bersama enam kenderaan saudara lain tetapi ayah menghubungi saya memaklumkan berlaku kelewatan menyebabkan saudara lain bertolak dulu.

“Bagaimanapun kira-kira 40 minit kemudian ketika saya dan isteri sedang bersiap untuk majlis persandingan kami, seorang rakan menelefon memaklumkan kereta dinaiki keluarga kami terbabit dalam kemalangan dekat Ayer Hitam,” katanya ketika ditemui di HBP.

Ridwan berkata, beliau terus membatalkan majlis persandingan dan bergegas ke HBP sebelum dimaklumkannya ibu tirinya meninggal dunia, manakala ayah dan dua lagi saudaranya cedera parah.

Polis rentung van rempuh kereta



Kota Tinggi: Anggota polis rentung dan seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan dinaiki mereka di Kilometer 11, Jalan Lok Heng-Mawai dekat sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 9.15 pagi itu, Koperal Daud Talib, 46, rentung selepas tersepit di tempat duduk van Nissan Vanette yang dipandunya. Kejadian berlaku ketika mangsa bersama isteri, empat anak dan tiga anak saudara mereka dalam perjalanan dari rumah di FELDA Lok Heng Barat menuju ke Tanjung Balau untuk beriadah.
PROTON Saga terbabas Ketika dalam perjalanan, kenderaan mereka bertembung dengan sebuah kereta PROTON Saga yang dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan van itu terbakar.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian berjaya mengeluarkan isteri, anak serta anak saudaranya tetapi mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu gagal diselamatkan dan rentung di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Mahazan Che Aik, berkata pemandu PROTON Saga, Adibah Hashim, 48, pekerja kilang elektronik turut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya, Amirul Fahmi Mohd Amin, 12, cedera ringan.

Mati di tempat kejadian Beliau berkata, Daud yang bertugas di Mahkamah Muar, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Salina Kadis, 44, parah, selain itu tujuh lagi anggota keluarga mereka hanya cedera ringan.

Petani rugi RM4j



Pendang: Sebanyak 827 hektar sawah milik 376 petani di 11 perkampungan ditenggelami air mengakibatkan kerugian bernilai RM4 juta berikutan banjir yang melanda daerah ini sejak Selasa lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata kejadian itu menyebabkan tanaman padi peringkat akhir berusia 70 hingga 120 hari, termasuk yang sudah boleh dituai, musnah sama sekali. Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk mengenal pasti kawasan sawah dan petani terbabit sebelum mengambil tindakan lanjut.
Bantuan disalur

“MADA akan membuat bancian dan pemantauan untuk pengesahan, seterusnya membuat laporan serta permohonan peruntukan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selepas itu, bantuan akan disalurkan secepat mungkin supaya petani dapat mengusahakan tanaman musim baru yang sepatutnya bermula pada 12 September lalu.

“Sejak 2008, kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta bantuan akibat banjir di daerah ini,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Kampung Bechah di sini, semalam.
Peruntukan RM200j

Dalam lawatan itu, Mohd Johari turut menyampaikan bantuan berjumlah RM27,000 kepada 52 keluarga mangsa banjir yang masih ditempatkan di Kompleks Rakan Sukan di sini.

Sementara itu, katanya, kementerian akan memohon peruntukan RM200 juta bagi membina lencongan selatan di Sungai Pendang ke Sungai Tiang Grap dan beberapa sungai lain di sini, bertujuan mempercepatkan aliran air.

Mati langgar tembok plaza tol



Jitra: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar tembok pembahagi kaunter di Plaza Tol Jitra di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Ng Hock Yong, 55, yang memandu kereta PROTON Saga dipercayai mengalami serangan sakit jantung ketika memandu sendirian dari arah Alor Setar menghala ke Jitra. Mangsa yang juga seorang mekanik gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh tembok yang terletak kira-kira tiga meter dari kaunter tol menyebabkan kecederaan parah di kepala dan kedua-dua kaki sebelum mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof, berkata mangsa yang menetap di Taman Gunung Ledang, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, berkata seorang jurutol yang tergamam apabila melihat kereta mangsa meluru laju ke arahnya bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

“Dia tidak mengalami sebarang kecederaan kerana kereta mangsa hanya merempuh tembok pada jarak tiga meter dari kaunter tol terbabit. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian,” katanya.

Serang pembantu tadbir: 3 beradik diburu polis

KUALA TERENGGANU — Polis kini sedang giat memburu tiga beradik berusia 20an yang dipercayai menyerang dan memukul seorang Pembantu Tadbir berusia 50 tahun di Bukit Tunggal di sini, Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu mangsa yang bertugas di Jabatan Pendidikan Marang itu sedang berada di sebuah kedai makan sebelum diserang kumpulan remaja itu.
"Ekoran kejadian itu mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, perut serta badan akibat dipukul dengan objek tumpul.
"Siasatan awal mendapati kumpulan itu bertindak demikian kerana perselisihan faham dengan anak mangsa, namun kumpulan itu gagal mengesan anak mangsa berusia 20an itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.- BERNAMA

Lelaki asing ditahan miliki 51.4 gram syabu

SANDAKAN — Seorang lelaki rakyat asing ditahan dan polis merampas 51.4 gram dadah jenis syabu daripadanya di kawasan Terminal Bas Ekspres dekat sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong berkata dadah, yang dianggar bernilai RM15,000 itu ditemui dalam bungkusan plastik berisi komponen elektrik yang dibawa lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu.
"Lelaki itu cuba melarikan diri sambil membuang sebungkus beg plastik tetapi beg plastik mengandungi dadah yang dibuangnya itu berjaya ditemui dalam operasi yang dijalankan pada pukul 7.45 malam," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Daerah Sandakan di sini hari ini, beliau berkata, ujian saringan awal terhadap lelaki itu mendapati dia positif dadah.— BERNAMA

Pengurus syarikat perabot dituduh terima suapan

JOHOR BAHRU -– Seorang pengurus bagi wilayah Johor, syarikat perabot terkemuka, didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini kerana menerima suapan sebanyak RM550.
C. Maheswaran, 42, didakwa menerima suapan daripada seorang bernama M.Gunalan sebagai dorongan untuk mengesahkan bayaran kerja pengedaran katalog bagi bulan Disember 2011 oleh Syarikat Sri Suria Movers.
Maheswaran yang mengaku tidak bersalah didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Setia Tropika pada pukul 5 petang, 12 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi —BERNAMA

Pengusaha butik didakwa cederakan isteri

IPOH — Seorang pengusaha butik aksesori dan pakaian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan melakukan serangan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.
Chik Foo Keong, 26, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Amanda Fong Kim Yen, 19, di Butik Amanda & Co, Ipoh Garden South di sini pada 4 petang, 23 Ogos lepas.
Majistret Haslinda Raof menetapkan 31 Oktober untuk kes itu disebut semula selepas tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Sebelum ini akhbar melaporkan pendedahan rakaman litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Amanda Fong menunjukkan seorang lelaki memukulnya.— BERNAMA