Search This Blog

Sunday, September 30, 2012

Ibu rayu gadis dua kali hilangkan diri pulang

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu yang bimbang dengan keselamatan anak perempuannya, yang menghilangkan diri buat kali kedua bulan lepas, merayu gadis berusia 17 tahun itu supaya segera pulang ke pangkuan keluarga.
 
Zakiah Abdul Majid, 49, berkata anaknya Noor Farah Hieza Mokhtar bertindak keluar daripada rumah pada Hari Raya kedua pada 20 Ogos lalu dengan memakai Baju-T dan seluar pada kira-kira 2 petang.
 
Menurutnya anaknya sudah berhenti sekolah semasa tingkatan tiga dan membantu keluarga menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
 
"Kami balik ke rumah kira-kira pukul 1 petang dan abangnya katanya dia adiknya keluar rumah sebelum itu. Abang dia ingat dia nak pergi ke rumah kawan dekat rumah kami tetapi kira-kira pukul 4 petang kami pergi cari tapi dia tiada.
 
Katanya pada sebelah pagi pada hari kejadian, anaknya bersama keluarga telah pergi menziarahi sanak saudara sempena Aidilfitri di Bukit Kecil di sini.
 
"Saya percaya Farah hanya membawa kad pengenalan sahaja kerana duit serta telefon bimbitnya ditinggalkan di rumah," katanya kepada Bernama di Chendering, dekat sini, hari ini.

Zakiah berkata anaknya pernah menghilangkan diri kali pertama pada Mei lepas dan berjaya ditemui semula di Johor Baharu, 17 hari kemudian.
 
Beliau berkata sebelum menghilangkan diri bulan lepas anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tidak mengetahui sama ada anaknya mempunyai
teman lelaki.
 
"Saya bersama suami sentiasa bimbang dengan keselamatan anak kami sampai jatuh sakit, maklumlah orang di luar itu macam-macam," katanya dengan nada sebak.
 
Sementara itu, bapa gadis itu, Mokhtar Harun merayu sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung anaknya supaya menghubunginya di talian 014-8324040 atau mana-mana balai polis. - Bernama

Mangsa banjir di Pendang meningkat kepada 206 orang



ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Pendang petang ini meningkat kepada 206 orang berbanding 182 orang sebelum ini.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Pendang, Mohd Izudin Inusneah berkata, mereka yang dipindahkan sehingga jam 4 petang ini membabitkan 57 keluarga dari 10 kampung. "Semua mangsa dipindahkan ke Pusat Rakan Sukan, Tanah Merah dekat sini, dan mereka adalah penduduk di Kampung Bonggol Kambing, Hampar Kanan, Pondok Hampar, Bonggol Besi, Sukamari, Alor Punti, Pondok Haji Husin, Tanjung Radin, Tanah Merah Dalam dan Lubuk Gajah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, walaupun cuaca semakin baik, air di kawasan tinggi turun ke kawasan rendah menyebabkan kampung yang berada di kawasan rendah dinaiki air.

"Paras air Sungai Pendang sudah menunjukkan penurunan iaitu daripada tiga meter kepada 2.85 meter tetapi masih melepasi paras amaran," katanya.

- BERNAMA

13 nelayan Vietnam cuba lari diri

13 nelayan cuba lari diri
Nelayan Vietnam ini ditahan kerana menceroboh dan mengutip hasil l
aut di taman laut perairan Pulau Perhentian.
BACHOK – Cubaan 13 nelayan Vietnam untuk melarikan diri ketika menangkap ikan di perairan Pulau Perhentian Khamis lalu, gagal apabila mereka ditahan anggota penguat kuasa Polis Di Raja Malaysia (69 Komando Pasukan Gerak Khas) bersama Pasukan Taman Laut (PTL) Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Dr Sukarno Wagiman berkata, vesel yang dinaiki 13 nelayan itu terpaksa dikejar kira- kira sejam sebelum berjaya ditahan pada jam 3 pagi 27 September lalu.

Menurutnya, hasil maklumat penduduk tempatan, PTL 24 dan PTL 11 dan PTL 1 keluar lebih awal untuk membuat rondaan di perairan Pulau Perhentian Besar dan mendapati sebuah vesel dengan nombor pendaftaran LNF 599 (C2) sedang menjalankan operasi selaman mengutip hidupan marin di taman laut.

Mereka juga melakukan kesalahan dalam kawasan taman laut iaitu berada 0.2 batu nautika dari Tanjung Pinang Seribu, Pulau Perhentian Besar.

“Apabila mereka mengetahui kehadiran pihak kami yang diketuai Zulkifli Mohd Jupri, mereka memecut vesel untuk melarikan diri dan disebabkan laut bergelora, kami menghadapi kesukaran untuk mendekati vesel tersebut.

“Selepas dua jam mengejar mereka dengan bantuan 69 Komando, barulah kami berjaya menahan mereka. Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 3,000 kilogram hasil marin ditemui termasuk pelbagai spesies ikan seperti Bumphead Parrotfish, siput turban, siput mata lembu, gewang, gamat dan pelbagai peralatan menyelam,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Perikanan Tawang, Bachok.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Perlesenan, Jabatan Taman Laut Malaysia, Abd Muntalib Juli dan Pegawai Latihan Skuba Pulau Perhentian, Inspektor Abu Ribon yang turut terlibat dalam operasi tersebut.

Dr Sukarno berkata, vesel tersebut  diketuai seorang tekong yang bernama Ngo Van Dong bersama 12 awak-awak.

Beliau percaya nelayan tersebut melakukan aktiviti selaman dan menangkap ikan menggunakan senjata seperti tempuling atau ‘spear gun’ berdasarkan kesan yang didapati pada badan ikan tersebut.

Katanya, memandangkan ikan yang ditangkap itu adalah spesies yang jarang ditemui dan dimakan oleh rakyat Malaysia, ia berkemungkinan besar adalah untuk pasaran luar negara seperti Hong Kong.

“Awal tahun ini terdapat satu kes dengan modus operandi yang sama dan kita berjaya menemui senjata yang digunakan untuk membunuh ikan ini. Tetapi kali ini kami masih gagal mengesan peralatan yang mungkin disembunyikan di lokasi rahsia," katanya.

Polis tahan lima lelaki culik remaja

ALOR SETAR - Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang disyaki terbabit menculik seorang remaja lelaki berumur 13 tahun di Jalan Kampung Pisang di sini, pada Selasa lepas.
 
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dua suspek diberkas di sini pada malam Khamis dan tiga lagi ditahan di sebuah kuil di Sungai Petani, dua malam lepas.
 
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek berumur 20-an hingga 50-an itu menculik remaja tersebut di Jalan Kampung Pisang ketika mangsa pulang dari pusat tuisyen kira-kira pukul 10 malam.
 
"Selepas menculik, suspek menghubungi keluarga remaja itu kira-kira pukul 11 malam hari yang sama menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.
 
"Penculik bagaimanapun bersetuju menerima RM350,000 setelah berunding dengan keluarga remaja tersebut dan membebaskannya pada Khamis lepas setelah menerima wang tebusan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ahmad berkata remaja tersebut kini masih dalam keadaan trauma.
 
Katanya hasil laporan yang dibuat keluarga remaja berkenaan, polis berjaya menahan kesemua suspek dan menemui wang tebusan sebanyak RM349,700.
 
Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman mulai semalam sehingga Khamis ini.
 
Katanya polis masih menyiasat sama ada kelima-lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan menganggap kes itu selesai dengan penahanan kesemua lelaki terbabit. - Bernama

Suspek tembak 2 anggota polis mati ditembak

R. Subramaniam

R. Subramaniam, 52, yang cedera ditembak sekumpulan penjenayah
 menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Polis hari ini menembak mati salah seorang daripada tiga suspek yang disyaki terbabit menembak dua anggota polis peronda di Jalan Kuchai Lama, di sini, Rabu lalu.
 
Dalam insiden kira-kira pukul 3 pagi, suspek berusia 32 tahun itu  melarikan diri apabila kereta jenis Proton Waja yang dipandunya cuba ditahan polis berhampiran pusat membeli-belah Mid Valley di sini.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata suspek yang menaiki kereta itu seorang diri enggan berhenti lalu dikejar anggota polis sehingga kenderaan suspek terbabas di kawasan parkir Taman Desa Water Park.
 
"Apabila anggota polis menghampiri kenderaan tersebut untuk membuat pemeriksaan, suspek keluar daripada keretanya dan melepaskan beberapa das tembakan," katanya pada sidang media di sini.
 
Ku berkata sebagai langkah mempertahankan diri, anggota polis terpaksa membalas tembakan sehingga suspek terbunuh di tempat kejadian.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol semi automatik berwarna silver mengandungi sebutir peluru hidup, satu kelopak mengandungi sebutir peluru hidup 9mm jenis Luger, dua butir kelongsong peluru jenis Luger dan sebuah kapak dalam kereta tersebut.
 
Beliau berkata kenderaan yang digunakan suspek dilaporkan hilang di Kelana Jaya pada Ogos lepas.
 
Katanya mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
 
Ku berkata pihak polis sedang mengesan dua lagi individu iaitu Wan Fadrulzaman Wan Mohamad Fadil, 30, berasal dari Lanchang Mentakab, Pahang dan seorang remaja berusia 17 tahun untuk membantu siasatan kes itu.
 
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang Rabu lalu, Koperal R. Subramanian, 52, dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di sini.
 
Subramaniam cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Nor Azlan  cedera di leher dan keadaan mereka dilaporkan stabil di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya. - Bernama

Monyet serang pengunjung



Monyet serang pengunjung
Sinar Harian sempat merakamkan dua ekor monyet liar ini yang merampas makanan dalam beg seorang warga emas di Taman Perbandaran.
TANJUNG – Segelintir pengunjung Taman Perbandaran dihantui rasa gelisah apabila tujuan untuk beristirahat dan beriadah bersama keluarga terganggu dengan kehadiran sekumpulan monyet di situ.

Tinjauan mendapati monyet-monyet liar berkenaan semakin aktif dan begitu banyak ketika jumlah pengunjung turut bertambah.

Terbaru seorang warga emas bersama dengan cucunya hampir diserang apabila meletakkan beg yang berisi makanan di sebuah bangku.

Dia yang enggan namanya dikenali berkata, dia tidak mengeluarkan makanan itu kerana tahu peraturan taman.

Namun, dia sendiri tidak menyangka bekas makanan ringan  dalam beg cuba ditarik tiga ekor monyet.

“Pada masa itu cucu saya duduk berhampiran dengan bekas makanan itu dan terkejut apabila monyet datang menyergahnya, dia terus menangis dan datang kepada saya.

“Monyet berkenaan dengan ganas menarik beg dan membawa ke atas pokok, habis bertaburan makanan itu. Saya anggap ini kenangan menakutkan, niat kami datang untuk beriadah terganggu dengan kehadiran monyet,” katanya kepada Sinar Harian.

Kumpulan monyet berkenaan seolah-olah dibiarkan tanpa dikawal sesiapa pun, lebih membahayakan apabila monyet berkenaan lebih suka berkumpul di kawasan permainan kanak-kanak.

Pengunjung, Zaleha Ayub berkata,  dia bersama suami dan tiga anaknya sudah bosan diganggu monyet setiap hari apabila membawa anak-anaknya bermain di taman berkenaan.

Menurutnya, lebih kesal apabila tiada penjaga taman ataupun pengawal keselamatan yang cuba memantau monyet liar dari terus mengganggu orang ramai.

“Kami tahu hidupan liar tidak boleh diganggu atau dibunuh sesuka hati, namun takkan kita hendak tunggu ada kecederaan atau kematian baru mengambil tindakan.

“Anak-anak kami dalam bahaya, kalau dulu kita boleh tengok mereka dengan ceria ke sana ke mari bermain permainan di taman tapi sekarang tidak lagi, kita kena lihat juga monyet yang berkeliaran supaya tidak menghampiri anak-anak.

“Bagi saya situasi ini amat berbahaya, saya mengharapkan tindakan daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kadar segera,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang pernah hampir diserang monyet, Laila Razali, 32, berkata, monyet liar itu bukan sahaja cuba menyerang apabila pengunjung membawa makanan, malah, beg yang dipegang juga cuba dirampas walaupun tiada sebarang makanan.

“Mungkin monyet ini sudah tahu biasanya dalam beg ada makanan, dan mereka cuba rampas beg kita, saya dan kawan pada mulanya menyangka monyet yang mengikut kami tidak menyerang, sebaliknya ia cuba menarik beg saya.

“Nasib baik ada kawan lelaki saya dan beberapa lelaki lain datang membantu. Kami berharap supaya ada pemantauan di taman ini, jika dibiarkan pasti monyet ini lebih bermaharajalela,” katanya.

Dua rakan diserang harimau, gajah

IPOH - Malang tidak berbau bagi seorang lelaki Orang Asli yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memburu haiwan di hutan apabila dipercayai diserang seekor harimau dalam kejadian yang berlaku di Sungai Tekam, berhampiran Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun, Khamis lalu.

Mangsa, Lambok a/l Bopel, 25, cedera parah akibat diterkam dan dicakar harimau berkenaan ketika dalam perjalanan balik ke rumahnya bersama seorang lagi rakannya.

Berikutan itu, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Gerik kira-kira jam 10 malam hari sama tetapi dipindahkan ke Hospital Taiping jam 9 pagi kelmarin (Jumaat) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing  di RPS Air Banun sebelum didatangi haiwan liar berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati haiwan itu muncul secara tiba-tiba dan mangsa yang gagal untuk menyelamatkan diri daripada diserang dan dicakar di bahagian belakang badan.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan harimau berkenaan terus lari ke hutan tebal. Rakan mangsa sempat memberikan pertolongan sebelum membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Terdahulu, pada Februari tahun lalu, kejadian yang hampir sama berlaku kepada Tambun Gediu, 60, dari Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum.

Dia mengalami kecederaan parah akibat diserang harimau belang seberat 80 kilogram ketika sedang memburu haiwan hutan.

Dalam kejadian berasingan, Abdul Manab berkata, seorang lelaki warga Indonesia maut dipercayai diserang gajah dalam kejadian yang berlaku di Felda Tawai Satu, Gerik, pada Jumaat lalu.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Ngatmin, 44, baru 15 hari bekerja secara kontrak di Felda tersebut ditemui mati kira-kira 200 meter dari rumah kongsi yang didiami.

“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke ladang getah untuk menjalankan kerja menoreh sebelum ditemui maut oleh rakannya pada jam 7.30 pagi.

“Selain itu, siasatan polis turut menemui beberapa kesan tapak kaki gajah di kawasan ladang getah berhampiran mayat mangsa.

“Mangsa yang maut kemudiannya dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat dan keputusan mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian dada.

“Kami akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian lelaki tersebut,” katanya.

Nelayan lemas, ditemui di celah pokok bakau



Nelayan lemas, ditemui di celah pokok bakau
Saodah tidak dapat menahan kesedihan ketika dikunjungi Md Othman, semalam.
Nelayan lemas, ditemui di celah pokok bakau
Anggota bomba dan penyelamat membawa keluar mayat Hisham yang ditemui di Sungai Solok Pulau Kukup, semalam.
PONTIAN - Seorang nelayan yang dikhuatiri hilang Khamis lalu, ditemui mati lemas di Sungai Solok Pulau Kukup, di sini semalam, selepas bot fiber yang dinaiki bersama seorang rakannya terbalik.

Mayat Hisham Mohd Johari, 46, ditemui kira-kira jam 10.50 pagi semalam, di celah pokok bakau oleh pasukan bomba dan penyelamat, sekitar 4.8 kilometer (km) dari lokasi kejadian bot mereka terbalik akibat ribut di Pantai Rambah.

Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan berpakaian lengkap, baju T berwarna merah dan seluar track berwarna hitam.


Mayat dikenal pasti ahli keluarga

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin mengesahkan penemuan mayat tersebut.

Menurutnya, gerakan mencari mangsa dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, dibantu Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim), Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Gerakan mencari mangsa yang dipukul ribut bersama rakannya. Khairul Kassim, 27, yang terselamat dalam kejadian tersebut disambung semula pada pagi ini (semalam), setelah dihentikan petang kelmarin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 8 malam Jumaat lalu, Hisham bersama Khairul sedang menaikkan hasil tangkapan, sebelum ribut melanda menyebabkan mereka terhumban ke dalam laut.

Katanya, bagaimanapun, Khairul terselamat dalam kejadian itu setelah mengapungkan diri selama tiga jam tanpa memakai pakaian, namun Hisham tidak dapat diselamatkan kerana dibawa arus yang begitu kuat pada ketika itu.

Zahaliman berkata, mayat Hisham yang dikenali pasti sendiri oleh ahli keluarganya yang berada di Jeti Kukup telah dihantar ke Hospital Pontian bagi bedah siasat sebelum dituntut bagi urusan pengebumian  petang ini (semalam).


Jasad ditemui di celah pokok bakau

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba Pontian Baru, Zulbahry Sulong berkata, operasi mencari yang dihentikan petang kelmarin disambung semula kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Menurutnya, ketika pasukan mencari sedang menyusuri kawasan di Pulau Kukup, tiba-tiba kelihatan satu objek seperti badan manusia di celah pokok bakau.

“Apabila dihampiri, didapati ia adalah mayat manusia dengan berpakaian lengkap,” katanya.


Iktibar buat nelayan lain

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kukup, Datuk Md Othman Yusof meluangkan masa mengunjungi keluarga mangsa di Kampung Penerok, petang semalam.

Beliau yang menemui ibu Hisham, Saodah Abdullah, 69, melahirkan rasa simpati dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.

“Diharap kejadian ini menjadi iktibar kepada nelayan lain supaya berhati-hati ketika turun ke laut dan sentisa mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan,” katanya.


Keluarga reda dengan pemergian

Bagi adik mangsa, Fatimah Mohd Johari, 41, berkata, dia diminta membuat pengesahan pengecaman mayat abangnya di kawasan pokok bakau di Pulau Kukup, semalam.

Menurutnya, dia diminta berbuat demikian setelah dihubungi pihak bomba dan penyelamat.

“Memang benar itu adalah mayat abang saya. Saya cam benar pakaiannya sama ada baju atau pun seluar yang dipakainya walaupun sudah tiga hari saya tidak bertemu dengan arwah sebelum kejadian,” katanya.

Fatimah berkata, bagaimana pun, dia reda dengan pemergian abangnya itu kerana sekurang-kurangnya mayatnya ditemui selepas hilang di laut sejak Khamis, lalu.

Seorang nelayan ditemui mati, seorang hilang



KOTA KINABALU - Seorang nelayan ditemui mati lemas manakala seorang lagi masih hilang di persisir pantai Kampung Lok Simpul, Pulau Balambangan, Kudat ketika berenang untuk memasuki gua tepi laut bagi mencari sarang burung.
 
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan berkata mayat Mohd Shah Ismail, 21, berasal dari Kampung Sim Sim Sandakan itu ditemui oleh pasukan Bot Maritim Penyelamat 10 setelah lebih 24 jam dilaporkan hilang.
 
"APMM telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat pada 12.34 tengah hari selepas menerima laporan daripada MRCC (Pusat Operasi dan Menyelamat Malaysia) Putrajaya dan MERS 999 RC Melaka pada Ahad lepas.
 
"Mangsa dilaporkan hilang sekitar 11.45 pagi di kawasan Perairan Kampung Batu Sireh, Pulau Balambangan pada 23 September," katanya dalam kenyataan di sini.
 
Kenyataan itu berkata usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan untuk mengesan mangsa yang dikenali Ismail Abdullah, 38, berasal dari kampung yang sama. - Bernama

Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa



Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa
Rakan mangsa menunjukkan kawasan mangsa lemas.
Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa
Noraini (kanan) dan Abd Raman tidak dapat menahan sedih sewaktu menunggu jenazah anaknya.
IPOH - “Saya hanya mampu melihat kawan saya hanyut dibawa arus deras sungai sambil terkapai-kapai meminta tolong supaya dia diselamatkan.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya sendiri hampir lemas dihanyutkan arus. Nasib baik saya sempat berpaut pada akar kayu yang terjuntai di tebing sungai,” kata Mohd Izuddin Shuid, 11.

Mohd Izuddin adalah salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas yang meragut nyawa rakannya, Mohd Aiman Izuddin Abd Raman, 12, di Sungai Perak berhampiran Kampung Temelong, Lenggong, semalam.

Menurutnya, dia bersama mangsa dan empat rakan lain berusia antara 8 hingga 15 tahun ke Sungai Perak selepas solat Jumaat untuk bermandi-manda di situ.

Katanya, dia yang baru pandai berenang turut cuba menyelamatkan mangsa namun gagal sebaliknya terus dibawa arus sungai.

Tambahnya, seorang lagi rakan mereka Taufik Mat Yunus, 12, yang mandi bersama cuba menarik tangan Mohd Aiman Izuddin tetapi tidak berjaya.

“Sebelum itu, saya serta rakan lain hanya mandi di air paras perut saja tetapi tidak menyangka boleh sampai ke kawasan yang berpasir jerlus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, ibu mangsa, Noraini Abdul Kadir, 47, berkata, Rabu lalu anaknya berselera menjamah sarapan pagi.

“Pagi Rabu lalu, anak saya makan tiga bungkus nasi lemak yang dibeli sedangkan sebelum ini dia jarang bersarapan. Bagaimanapun, saya tidak menyangka itu adalah petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Noraini berkata, dia dan suami, Abd Raman Adam, 62, sering menasihati  anaknya supaya tidak mandi sungai kerana arus sungai deras dan berbahaya berikutan musim hujan.

“Anak saya ada meminta izin untuk ke sungai bersama rakan-rakannya namun saya tidak membenarkannya.

“Namun, kira-kira jam 3.30 petang tadi (kelmarin) seorang penduduk kampung datang ke rumah dan memberitahu anak saya hilang ketika mandi sungai bersama rakannya,” katanya.

Jenazah murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Temelong itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temelong selepas solat Zohor, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan seramai 12 anggota termasuk enam Unit Selam Skuba dari balai tersebut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memulakan kerja mencari mangsa.

“Kami menjalankan operasi mencari dan menyelamat selama enam jam sebelum ia dihentikan pada jam 8 malam semalam (kelmarin). Operasi kemudiannya bersambung pada jam 7 pagi tadi (semalam).

“Mayat ditemui penduduk kampung lebih kurang jam 7.09 pagi tadi (semalam) di beting pasir berhampiran empangan Kenering selepas air surut berhampiran Pulau Cheri, Kampung Luat yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Temelong tempat di mana mangsa dipercayai lemas.

“Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 7.20 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat,” katanya.

Noraini (kanan) dan Abd Raman tidak dapat menahan sedih sewaktu menunggu jenazah anaknya. Gambar kanan: Rakan mangsa  menunjukkan kawasan mangsa lemas.

Kes curi motosikal meningkat

GUA MUSANG - Sebanyak 1,926 kes kecurian motosikal yang dianggap kes tertinggi berlaku di Kelantan tahun ini yang dipercayai dilakukan remaja yang terbabit dengan gejala dadah dan pil kuda.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, mahu orang ramai meningkatkan kerjasama dengan anggota polis bagi membantu menangani kes terbabit.

Beliau berkata, tanpa kerjasama orang ramai amat sukar bagi polis untuk bertindak yang bukan sahaja kes kecurian motosikal, tetapi kes jenayah yang lain termasuk pecah rumah, ragut dan rompak.

“Kita tahu sejak kebelakangan ini penjenayah semakin ganas dan bertindak kejam yang bukan sahaja ke atas mangsa, malah anggota polis yang menjalankan pemeriksaan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jom Ronda Peringkat Daerah Gua Musang di Pos Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Wangi, dekat sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan, Safidah Abu Samah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof dan Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah.

Mazlan berkata, pihaknya mengambil pelbagai pendekatan bagi mendapat bantuan orang ramai dalam menangani kes ini termasuk ronda bersama SRS.

“Kita benar-benar mengharapkan SRS boleh membantu menangani gejala itu, tetapi perlu saya ingatkan mereka jangan bertindak memukul suspek dan serah segera kepada polis,” katanya.

Dua maut dirempuh lori

KLANG SELATAN - Dua penunggang motosikal maut dalam kejadian berasingan setelah mereka dipercayai dirempuh lori dari arah belakang.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, kejadian pertama Muhamad Dzulqarnain Muhamad Jalaluddin, 18, dari Pangsapuri Sri Proton, Jalan Kebun menemui ajalnya kira-kira jam 7.30 di Batu 4 Jalan Kampung Jawa.

"Dalam insiden itu, mangsa dipercayai dari arah Kampung Jawa menghala Bulatan Jalan Kebun dalam perjalanan ke tempat kerja memintas lori di garisan berkembar sebelum masuk semula ke laluan asal.

"Lori yang dipintas kemudiannya dipercayai merempuh motosikal mangsa hingga ia hilang kawalan lalu tercampak. Mangsa cedera parah di perut meninggal dunia serta merta," katanya.

Menurutnya, satu lagi kemalangan maut berlaku lapan jam kemudian di Jalan Pelabuhan Utara sekitar jam 3.30 petang melibatkan penunggang motosikal, Mohd Sabri Nadzri, 35 dari Taman Putra Perdana Puchong.

"Mangsa dipercayai dari arah Pelabuhan Utara menghala ke Klang dipercayai dirempuh lori di laluan sama dari arah belakang.

"Rempuhan menyebabkan mangsa terseret kira-kira 10 meter dan cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Saksi dua kejadian itu diminta tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Naim Mohd Saufy menerusi 03-33722222 bagi membantu siasatan.

Stor, bengkel guna air curi

Stor, bengkel guna air curi
Anggota penguatkuasa melakukan serbuan di lokasi berkenaan.
SEREMBAN – Sebuah stor menyimpan barang dan bengkel perabot, di sini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) kerana disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Dalam serbuan pertama di Taman Rahang yang diketuai Pegawai Span, Mohadir Hid kira-kira 5 petang itu, sebuah stor menyimpan barang didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 25 milimeter (mm).

Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, siasatan mendapati bekalan air daripada penyambungan tersebut digunakan untuk kegunaan harian pekerja premis.

Menurutnya, serbuan kedua di Bandar Seremban Selatan mendapati penghuni premis melakukan kesalahan dengan membuat penyambungan tidak sah menggunakan paip HDPE bersaiz 20 mm.

“Kita dapat penghuni bengkel perabot telah membuat penyambungan air tersebut untuk disalurkan ke beberapa tempat seperti bilik air premis.

“Sains telah menjalankan ujian klorin pada kedua-dua lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains,” katanya.

Azlan berkata, sebagai tindakan pihak Span telah menyita paip HDPE tersebut sebagai bahan bukti dan telah mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan yang dilakukan pemilik penghuni premis.

Peragut terima padah

KUALA TERENGGANU- Padah meragut beg tangan seorang ibu beranak dua, seorang pembuat bara-ngan tembaga cedera dibelasah orang awam, dalam satu kejadian di hadapan sebuah restoran nasi ayam di Jalan Tengku Anum, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek yang berusia 26 tahun yang juga pembonceng motosikal Honda EX5, ditahan selepas terjatuh apabila motosikal ditunggangi rakannya, gagal dikawal sebelum terbabas ketika bergelut dengan mangsa sebelum dia dibelasah orang ramai yang membantu wanita berkenaan.

Mangsa yang merupakan pekerja salon, 30, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Plaza Perdana, Jalan Engku Sar, ke rumahnya di Jalan Sultan Ismail, sebelum didatangi sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dari arah belakang.

“Semasa sedang berjalan, saya tersentak apabila beg tangan saya tiba-tiba cuba direntap, namun saya bergelut dengan peragut itu mempertahankan beg tangan saya dan pada masa yang sama, menjerit meminta tolong.

“Orang awam yang menyedari kejadian itu kemudiannya membantu dan peragut berkenaan berjaya ditangkap selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran," katanya.

Namun, kata mangsa, dia terkilan dengan rakan peragut itu berjaya melarikan diri tetapi bersyukur kerana tiada perkara buruk yang berlaku.

Mangsa cuma cedera di lengan kanan sebab bergelut dengan peragut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, pihaknya telah menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Pondok judi dalam ladang

Pondok judi dalam ladang
Aktiviti perjudian dalam ladang di Ulu Tiram dapat dikesan polis.
JOHOR BAHRU - Taktik polis Johor menggunakan lori peraih lembu berjaya mengelirukan tonto sarang judi haram dalam satu serbuan di sebuah ladang di Ulu Tiram, awal pagi semalam.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Mohammad Abdul Hamid berkata, strategi itu digunakan selepas pihaknya mendapati menerusi risikan dibuat bahawa setiap kenderaan yang memasuki kawasan berkenaan mudah dicam seterusnya memberi peluang kaki judi melarikan diri.

Menurutnya, hasil daripada serbuan dibuat, pihaknya menemui wang tunai berjumlah RM24,925 dan S$500 dipercayai digunakan untuk pertaruhan oleh kaki judi.

“Polis terpaksa menggunakan taktik lain untuk mengelirukan tonto sarang judi haram terbabit dalam serbuan jam 1 pagi ini. Serbuan diketuai oleh Pegawai Operasi D7 IPK Johor, Asisten Superitendan Md Yazid Mohd Yew bersama empat pegawai dan 11 anggota.

“Mereka menjadikan sebuah pondok berhampiran kebun nenas dan orkid di lokasi ini sebagai sarang judi melibatkan taruhan ribuan ringgit setiap malam untuk bermain judi ‘See Go Lak’.

"Dengan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi pemain, pondok ini tidak ubah seperti sebuah kasino,” katanya, di sini, semalam.

Mohammad berkata, ketika serbuan dilakukan, kaki judi hanya sempat melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran sebelum berjaya dikesan anggota polis.

“Seorang wanita yang dikesan bersembunyi di celah tanaman nenas mendakwa berada di sarang judi berkenaan untuk menemani teman lelakinya. Seramai 19 kaki judi termasuk dua wanita berusia lingkungan 25 hingga 67 tahun ditahan dalam serbuan ini.

“Polis turut merampas peralatan berjudi termasuk tiga biji dadu dan sembilan keping cip plastik berwarna hijau,” katanya.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Samun lima minit guna parang

Samun lima minit guna parang
Hong Meng menunjukkan rokok dan wang tunai yang dicuri di kedai terbabit.
IPOH - Sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang nekad melarikan rokok dan wang tunai lebih RM1,000 di sebuah kedai serbaneka 24 jam dalam satu kejadian samun bersenjata yang berlaku di Taman Desa Pakatan, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, seorang wanita sarat mengandung yang sedang membeli barang di kedai berkenaan turut menjadi mangsa apabila kumpulan penjenayah terbabit melarikan telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM2,000 daripadanya.

Keadaan bertambah panik apabila penjenayah terbabit turut mengugut untuk mencederakan wanita mengandung dan dua pekerja di kedai itu menggunakan parang jika mereka cuba menyelamatkan diri.
Kumpulan itu hanya mengambil masa lima minit untuk menyamun kedai berkenaan sebelum melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Viva.

Ketua Persatuan Kepolisian Masyarakat Negeri, Liew Hong Meng berkata, sewaktu kejadian dia bersama beberapa anggota lain sedang melakukan rondaan di sekitar Taman Desa Pakatan.

“Ketika itu kami sedang melakukan rondaan sebelum mendapat maklumat berhubung kejadian samun di kedai berkenaan.

“Sewaktu tiba di kedai tersebut kami sempat melihat kelibat kumpulan penjenayah itu yang sedang melarikan diri menaiki kereta. Berikutan itu, kami bertindak mengejar mereka sejauh satu kilometer.

“Anggota polis yang tiba turut cuba membantu bagaimanapun, kereta tersebut lesap ketika menghala ke arah Taman Pinji Mewah,” katanya ketika ditemui semalam.

Hong Meng berkata, mengikut ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 22 ke 30 tahun itu, mereka melihat kumpulan penjenayah tersebut membawa dua beg untuk memasukkan hasil samun yang diperoleh dari premis itu.

“Tiga daripada mereka memakai topi dan masuk ke dalam kedai dengan membawa parang manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

“Ketiga-tiga mangsa amat bernasib baik kerana tidak dicederakan,” katanya yang memberitahu premis itu pernah mengalami kejadian sama pada tahun lalu.

Menurutnya, mereka berharap polis dapat mengesan kumpulan penjenayah terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam kedai serbaneka itu.

Katanya, mangsa membuat laporan polis dibuat pada hari yang sama di Balai Polis Simpang Pulai dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kesemua suspek.

Pelajar maut, rakan parah

Pelajar maut, rakan parah
Keadaan motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya
BENTONG - Seorang pelajar tingkatan lima maut manakala rakannya parah dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Baru Bentong-Raub, dekat sini, kira-kira jam 6.44 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki mangsa bersama rakannya yang juga berusia 17 tahun dari arah Bentong ke Raub dengan sebuah lori membawa muatan balak dari arah Raub ke Bentong.

Pelajar maut, rakan parah
Anggota polis memeriksa keadaan lori balak yang terbalik
Menurutnya, motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya itu dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan lori balak yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa, Mohamad Zaidi Ahmad, 17, yang beralamat di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Bentong.

“Manakala rakannya, Mohd Hafifi Jamaludin, 17, dari  Felda Tersang, Raub, dan pemandu lori balak cedera parah di bahagian badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata, kedua-duanya masih dirawat di Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.

Menurutnya, mayat mangsa yang meninggal dunia pula dituntut keluarga untuk dikebumikan selepas bedah siasat dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Saga remuk dirempuh Wira

Remuk selepas 15 minit
Proton Saga Zakaria rosak teruk di bahagian hadapan dan
belakang akibat dirempuh dalam kejadian di KM 4
Jalan Rantau Panjang, Pasir Mas, petang semalam.
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki tidak menduga dentuman kuat yang didengari ketika sedang minum di sebuah kedai di KM 4 Rantau Panjang Pasir Mas petang semalam, turut melibatkan kereta miliknya.

Ramli Zakaria, 62, berkata, 15 minit sebelum kejadian, dia meletakkan keretanya di bawah pokok kira-kira 10 meter dari kedai berkenaan.

Menurutnya, dia bergegas mendapatkan keretanya sejurus mendengar bunyi dentuman tersebut yang hanya terletak beberapa meter sahaja dari mejanya.

Remuk selepas 15 minit
Kedua-dua kenderaan rosak teruk akibat kemalangan jam 1.45 petang semalam.
“Sebaik mendengar bunyi kuat, saya memerhati ke arah jalan untuk mencari arah bunyi tersebut.

“Ketika melihat ke tempat letak kereta, saya baru sedar ada kereta Wira yang merempuhnya kerana rosak teruk dan berubah kedudukannya,” katanya kepada Sinar Harian, petang semalam.

Ramli berkata, akibat rempuhan tersebut, keretanya tersekat pada tiang kedai.

Menurutnya, bahagian hadapan dan belakang Proton Saganya remuk.

“Saya jangkakan perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih RM5,000 untuk membaikinya,” katanya.

Sementara itu, pemandu dipercayai merempuh kereta mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, Proton Wira yang terjatuh ke longkang, remuk pada bahagian hadapan.

Dua pelancong asing diselamat daripada diculik di Ecuador

QUITO: Pihak berkuasa Ecuador hari ini mengesahkan pihaknya berjaya menyelamatkan dua pelancong wanita, masing-masing dari Britain dan Australia yang diculik awal hari ini di sempadan Colombia.

Polis dan tentera berjaya mengesan lokasi serta menyelamatkan dua wanita yang diculik di Cuyabeno, kata Menteri Dalam Negeri Ecuador, Jose Serrano dalam mesej Twitter. Kegiatan penculikan adalah perkara biasa di jalangan kumpulan penjenayah di Colombia.
Kedua-dua wanita berkenaan yang belum dikenali identitinya, dilarikan ketika melawat Taman Negara Cuyabeno, di Wilayah Sucumbios.

Mereka diculik ketika menaiki perahu dalam kumpulan pelancong terdiri lima warga asing dan dua warga Ecuador serta seorang juru pandu pelancong. - AP

2 ditembak mati dalam perbalahan penyokong calon presiden

CARACAS: Dua orang ditembak mati ketika perbalahan di antara penyokong Presiden Hugo Chavez dan pencabarnya, Henrique Capriles menjelang pilihan raya
presiden, kata pegawai Venezuela.
Menteri Keadilan, Tarek El Aissami berkata, kejadian berkenaan berlaku ketika penyokong setia kedua-dua calon bersemuka di atas jalan raya di antara kawasan Barinas dan Barinitas kira-kira 450 kilometer badat daya Caracas. Ahli Parlimen Pembangkang, Julio Cesar Reyes berkata, kumpulan penyokong Chavez menyekat kenderaan penyokong Capriles dan kedua-dua kumpulan bertelagah
ketika seorang lelaki muncul dengan senapang dan mula melepaskan tembakan.

Polis masih menyiasat kejadian itu. - AP

Wanita mengaku menghendap Cotillard

Marion Cotillard
NEW YORK - Seorang wanita, Teresa Yuan mengaku bersalah menghendap aktres Marion Cotillard (gambar) yang pernah membintangi filem Batman, The Dark Knight Rises.
Yuan membuat pengakuan itu di sebuah mahkamah persekutuan di Brooklyn di sini kelmarin.
Pihak pendakwa raya menyatakan Yuan telah menghantar sebanyak 504 e-mel dan 120 rakaman video kepada sebuah laman web untuk para peminat Cotillard selama empat hari pada tahun lalu.
Sebahagian rakaman video yang disiarkan di mahkamah itu menunjukkan Yuan kelihatan berada dalam keadaan separuh bogel, berdesis seperti seekor kucing dan bercakap tentang permainan pistol.
Yuan boleh dihukum penjara sehingga 16 bulan. Hakim akan memutuskan hukuman terhadapnya. - Agensi

Helah sindiket kaut untung mudah




         
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa percaya ada sindiket pelacuran kini mempelbagaikan helah untuk mengaut keuntungan segera dalam tempoh singkat dengan memperkenalkan pakej tertentu, termasuk menawarkan perkhidmatan sewa teman wanita dikenali sebagai ‘kekasih kontrak’ seperti didedahkan Metro Ahad.

Tindakan itu dipercayai untuk mengurangkan risiko ditahan jika menjalankan kegiatan itu berikutan kekerapan penguatkuasaan menyebabkan mereka beralih arah dan membuat pengiklanan melalui laman sesawang di Internet.


Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, polis menyedari helah golongan berkenaan, malah sentiasa memantau pergerakan mereka.

Katanya, hasil pemantauan, banyak sindiket pelacuran berjaya ditumpaskan polis di seluruh negara sebelum ini.


“Kita juga tahu sindiket kini berusaha membawa masuk wanita dari Vietnam berikutan permintaan menggalakkan di pasaran gelap tempatan, malah hasil risikan juga mendapati golongan ini kini mendominasi kehadiran wanita asing di negara ini,” katanya.


“Selain sindiket, polis mendapati ada wanita asing ini menjalankan sendiri kegiatan seperti itu dan mereka sanggup berbuat demikian berikutan kemewahan yang ada di negara ini, selain rangkaian pengangkutan yang baik.” katanya.

Penculik ditahan




         
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditahan polis di sebuah kuil di Batu 2, Sungai Petani, kerana disyaki terbabit dalam kes penculikan remaja berusia 13 tahun, Selasa lalu.

Mangsa dikatakan diculik suspek yang berusia 30-an selepas mengikuti kelas tambahan sebelum disembunyikan di satu lokasi rahsia.


Difahamkan, suspek kemudian menghubungi keluarga mangsa bagi meminta wang tebusan RM500,000 namun selepas rundingan ia dikurangkan kepada RM350,000.

Suspek membebaskan mangsa pada Khamis lalu selepas mendapat wang tebusan itu sebelum ditahan di kuil, jam 11 malam kelmarin.


Polis turut menemui wang tunai berjumlah RM300,000 di dalam kuil manakala sebahagian wang tunai berjumlah RM30,000 ditemui berhampiran kediaman suspek.


Suspek direman empat hari mulai semalam di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Sumber polis berkata, suspek menyembunyikan diri di bahagian bumbung kuil bagi mengelak ditahan polis, namun tidak berjaya.


Polis mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat untuk memujuk suspek menyerah diri.

Polis temui petunjuk kes tembak



         
KUALA LUMPUR: Polis giat menjalankan siasatan berhubung kes tembak di Jalan Kuchai Lama, di sini, yang mencederakan dua anggota Unit Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis menemui beberapa petunjuk terhadap kes itu, namun proses siasatan masih terlalu awal untuk diperkatakan.


“Kami ada maklumat. Namun, saya tidak boleh dedahkan di sini kerana ia boleh mengganggu siasatan.

“Begitupun, saya ingin meminta saksi awam yang berada di tempat itu pada waktu kejadian tampil memberi keterangan dan maklumat kepada polis.


“Bantuan mereka sangat kami hargai. Ia untuk melengkapkan maklumat yang kami peroleh, lebih-lebih lagi saksi yang kebetulan melihat penjenayah terbabit melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan mereka,” katanya.


Menurut Abdul Bari, seorang anggotanya kini dibenarkan keluar manakala seorang lagi masih perlu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Koperal Nor Azlan Abu Bakar dibenarkan keluar pagi ini (semalam) tetapi Koperal R Subramaniam masih ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan dijangka dibenarkan keluar hospital beberapa hari lagi,” katanya.


Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang ditemani Abdul Bari dan beberapa exco MCPF semalam mengadakan lawatan ke PPUM bagi memberi sokongan moral kepada anggota polis terbabit.

Ketika sesi lawatan itu, MCPF memberi sedikit sumbangan kepada dua anggota terbabit bagi meringankan beban mereka.

Sarapan terakhir



         
LENGGONG: “Tiada perubahan pelik, sebaliknya saya terkejut apabila melihat dia menghabiskan tiga bungkus nasi lemak pagi semalam (kelmarin) biarpun sebelum ini jarang bersarapan pagi.

“Saya tidak menyangka perilaku itu menandakan arwah akan pergi buat selama-lamanya,” kata Noraini Abdul Kadir, 47, ibu kepada Mohd Aiman Izuddin Abd Raman, 12, yang lemas di Sungai Perak, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, Mohd Aiman bersama lima rakannya berusia antara lapan hingga 15 tahun mandi di sungai itu selepas solat Jumaat sebelum dihanyutkan arus deras.

Bagaimanapun, empat rakan mangsa menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing manakala seorang lagi, Mohd Izuddin Shuid, 11, sempat berpaut pada akar kayu di tebing sungai.


Mayat Mohd Aiman yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Temelong, di sini, ditemui terdampar di beting pasir di tengah-tengah Empangan Kenering berhampiran Kampung Pulau Cheri oleh seorang nelayan, jam 7 pagi semalam.


Anggota mencari dan penyelamat terpaksa menutup sementara empangan itu pagi semalam bagi memudahkan operasi mengesan mangsa.

Noraini yang ditemui semalam berkata, selepas selesai makan tengah hari kelmarin, arwah meminta izinnya untuk mandi di sungai bersama beberapa rakan.


Beliau berkata, dia dan suami, Abd Raman Adam, 62, tidak membenarkannya pergi kerana arwah tidak pandai berenang, selain keadaan arus sungai deras dan berbahaya sejak tiga hari lalu.

“Bagaimanapun, selang sejam kemudian, seorang penduduk datang ke rumah dan memaklumkan arwah lemas ketika mandi di sungai,” katanya.

Kenduri akikah tukar kenduri arwah



         
JASIN: “Dia (arwah) sepatutnya menghadiri majlis kenduri akikah dan cukur jambul cucunya malam esok (malam semalam), namun tidak menyangka kami turut membuat kenduri arwah sekali,” kata Mohamad Ali Sungip, 53, adik kepada seorang pemandu jengkaut yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 31.5 jalan Jasin-Merlimau, di sini, kelmarin.

Hasrat mangsa, Sukardi Sungip, 59, untuk meraikan kelahiran cucu pertamanya tidak menjadi kenyataan apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah treler pada jam 6.30 petang.


Difahamkan, bapa kepada dua anak yang menunggang motosikal Honda Wave bersendirian itu baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Parit Penghulu, di sini.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan dihimpit treler dipandu seorang lelaki berusia 30-an lalu terjatuh dan cedera di belakang badan serta kepala.


Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.


Menurut Ali yang juga Imam Masjid Merlimau Utara, kali terakhir dia menemui anak ketiga daripada enam beradik itu ketika menghadiri satu majlis kenduri minggu lalu.

“Pada waktu itu, saya mendapati dia tidak banyak bercakap dan kami kemudian tidak lagi bertemu sehingga dimaklumkan mengenai kejadian ini petang tadi (kelmarin).


“Lebih menyedihkan apabila saya juga baru tahu dia ingin membuat kenduri akikah untuk cucu pertamanya. Ternyata hasratnya tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jasin, di sini, malam kelmarin.

Katanya, dia bertambah terkilan apabila anak perempuan abangnya turut dijadualkan menghadiri majlis konvokesyen di Pahang.

Cemas kren terbalik



         
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki hampir maut selepas kren dikendalikannya tiba-tiba menyenget sebelum terbalik, menyebabkannya terperangkap di dalam jentera seberat 160 tan itu di Plaza Mentari, Jalan Kuning, di sini, jam 10 pagi semalam.

Berikutan kejadian itu, pengendali kren berusia 30-an itu luka di pipi dan dikeluarkan beberapa rakan setugas di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital.


Dalam kejadian itu, pemandu kren berkenaan memindahkan sebuah jengkaut ke tingkat atas sebuah bangunan yang dalam pengubahsuaian.

Seorang pekerja kontrak yang hanya dikenali sebagai Jack, 32, berkata, ketika sampai bagi memulakan kerja jam 9 pagi, dia melihat pengendali kren terbabit sibuk membuat persiapan untuk memindahkan jengkaut.


“Saya dan beberapa rakan yang bekerja dikejutkan dengan bunyi dentuman, diikuti gegaran. Kami dapati kren itu terbalik manakala jengkaut yang dipindahkan ke tingkat paling atas terhempas ke tanah.


“Kami terus berlari keluar kerana menyangka bangunan akan runtuh, namun sebaik keluar, kami dapati kren itu terbalik dan beberapa individu membantu pengendalinya keluar,” katanya.

Menurut Jack, lengan hidraulik kren terbabit turut menghempap jengkaut.


Sebelum kejadian, pengendali kren dikatakan membuat persiapan rapi, termasuk memasang lengan sokongan, untuk memastikan jentera berat itu sentiasa stabil, terutama ketika mengangkat jengkaut.

Bagaimanapun, ketika sampai di tingkat dua, kren tiba-tiba menyenget ke kiri sebelum terbalik.


Ia dikatakan berpunca daripada struktur tanah di kawasan berkenaan yang lembut serta tidak mampu menampung berat berlebihan kren yang ketika itu mengangkat jengkaut, menyebabkan ia hilang kestabilan sebelum terbalik.


Tayar belakang kren turut terjerlus ke dalam lubang yang terhasil akibat mendapan yang berlaku sejurus kejadian.


Sementara itu, sumber Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dalam insiden itu dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Terlanggar anak sendiri

DI SINI... Muhammad Uzair  menunjukkan tempat kejadian dia melanggar anaknya.
DI SINI... Muhammad Uzair menunjukkan tempat
kejadian dia melanggar anaknya.
PADANG TERAP: “Sedangkan kucing pun kalau boleh kita elak, ini kan pula anak sendiri,” kata Muhammad Uzair Zul, 22, bapa kepada Auni Iylia Aifa, 13 bulan, yang meninggal dunia selepas digilis kereta dipandu bapanya di pekarangan rumah mereka di Felda Lubuk Merbau, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang, kanak-kanak terbabit dikatakan bermain di luar kawasan rumahnya yang terletak bersebelahan stesen minyak milik keluarganya sebelum dilanggar oleh kereta dipandu bapanya yang tidak menyedari kehadiran anaknya.

Menceritakan semula kejadian itu, Muhammad Uzair berkata, dia baru pulang dari Sik ketika itu dan tidak menyangka akan melanggar anaknya sebaik selesai mengisi minyak di stesen minyak keluarganya.

“Sebaik mengisi minyak, saya terus memandu sebelum terdengar satu bunyi seperti terlanggar kerusi.

“Saya segera menoleh ke belakang bagi melihat apa yang dilanggar, namun tiada apa berlaku hinggalah terdetik melihat di bawah kereta lalu ternampak tubuh anak saya di bawah kereta dengan kesan darah yang banyak.

“Ketika itu, saya hanya mampu bertakbir dan menjerit namanya dan meminta tolong ahli keluarga yang berehat di rumah,” katanya di rumahnya, semalam.


Dia berkata, ibunya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah ketika kejadian, segera mendukung anaknya menuju ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau, 50 meter dari rumah mereka.

Katanya, anaknya tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu akibat cedera parah di muka dan kepala.

“Saya terkilan namun menerima takdir ini dengan tabah,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Diana Amira Saidin, 20, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu manja dan sentiasa berada dalam kawalannya jika bermain di luar rumah.

Namun, katanya, pada petang kejadian dia tidak menyedari anaknya bermain di luar tanpa dikawal dan kejadian yang berlaku benar-benar di luar dugaan serta menyedihkan mereka sekeluarga.

“Saya meraung bagaikan ‘dirasuk’ selama satu jam sebaik melihat keadaan anak saya yang berlumuran darah sebelum ditenangkan ahli keluarga lain,” katanya.

Cam pakaian abang

KUKUP: “Syukur Alhamdulillah, memang benar itu jenazah abang saya,” kata adik mangsa lemas, Fatimah Mohd Johari, 41, selepas diminta membuat pengecaman terhadap mayat yang ditemui di hutan bakau di Pulau Kukup, di sini, jam 10.50 pagi semalam.

Fatimah diminta hadir ke jeti Kukup Laut untuk membuat pengecaman selepas dihubungi bomba dan penyelamat yang menemui mayat seorang lelaki terapung di celahan hutan bakau itu.


Menurut Fatimah, dia cam pakaian yang dipakai Isham, 45, walaupun sudah tiga hari tidak bertemu abangnya.

“Sebelum kejadian, sudah tiga hari saya tidak bertemunya. Selalunya, setiap kali abang hendak ke laut, saya akan berjumpanya.


“Bagaimanapun, pada hari kejadian, saya tidak berbuat demikian kerana sibuk dengan kerja. Saya benar-benar kesal kerana tidak berjumpanya pada hari berkenaan,” katanya.


Menurut Fatimah, ibunya, Saodah Abdullah, 69, tidak dapat hadir ke jeti Kukup Laut kerana kurang sihat.

“Jenazah abang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penerok dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mengesan arwah selain memberi sokongan kepada kami sekeluarga,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Zulbahry Sulong berkata, jenazah Ihsam ditemui terapung oleh pihaknya di celah hutan bakau di Pulau Kukup.

“Mayat mangsa yang memakai baju T berwarna merah serta seluar berwarna gelap ditemui 4.8 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.


“Ketika menyusuri perairan Pulau Kukup, kami terlihat objek seperti badan manusia di celah pokok bakau dan apabila dihampiri, ia sah mayat manusia sebelum dicam sebagai Ihsam,” katanya di lokasi kejadian.


Menurut Zulbahry, selepas pengecaman, jenazah dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan operasi mencari dan menyelamat disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung itu ditamatkan secara rasmi pada jam 12 tengah hari.


Kelmarin, mangsa dan rakannya, Khairul Kassim, 27, pergi menjaring ikan di perairan Laut Rambah sebelum mengambil keputusan pulang selepas dilanda ribut.

Pelesit rempit menyorok di surau diminta berdoa




BEBERAPA pelesit rempit duduk di tepi jalan sambil membaca doa di Jalan Tok Adis, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Gara-gara ditangkap bersembunyi di dalam sebuah surau selepas cuba mengelak sekatan jalan raya, enam remaja berusia antara 18 hingga 21 tahun terpaksa akur dengan arahan pihak polis.
Mereka telah diminta membaca bacaan di dalam solat termasuk doa qunut di tepi Jalan Tok Adis, Kuala Ibai dekat sini kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Walaupun malu kerana insiden itu dilihat oleh orang ramai, mereka terpaksa mematuhinya selain berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut.

Amah penggal anak majikan


         
YANBU: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang memenggal kanak-kanak berusia empat tahun dengan pencincang dirujuk ke Hospital Sakit Jiwa Madinah, semalam.

Pakar jiwa di daerah ini membuat keputusan itu selepas memeriksa suspek.


Polis yang menahan suspek di rumah majikannya selepas menemui mayat kanak-kanak yang dikenali sebagai Tala, menghantar pembantu rumah berkenaan ke hospital selepas dia cuba membunuh diri dengan meminum peluntur.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan tetapi dikatakan masih trauma dengan pembunuhan anaknya. Dia pengsan selepas melihat mayat anak bongsunya dengan kepala terkulai di atas katil selepas pulang daripada mengajar.


Si ibu, guru yang mengajar di sebuah sekolah di Yanbu, Bandar Pelabuhan Laut Merah dalam wilayah Madinah di barat Arab Saudi, tidak sangka melihat anaknya kali terakhir sebelum meninggalkan rumah untuk mengajar pada hari kejadian. Dia dikatakan mempercayai pembantu rumah itu dan melayaninya dengan baik.


Amah dari Indonesia itu yang namanya tidak disiarkan media Arab Saudi sudah bekerja dengan keluarga berkenaan sejak tujuh tahun lalu dan dikatakan cekap dalam melakukan kerja rumah.

“Tingkah laku dan sikapnya amat memuaskan dan dipuji oleh sanak saudara, rakan serta jiran majikan. Dia sepatutnya pulang ke Indonesia minggu depan,” kata anak saudara mangsa.


Polis berkata,pembunuhan kanak-kanak itu terbongkar apabila ibu mangsa bersama anaknya yang lain. Bagaimanapun, mereka tidak dapat membuka pintu yang diselak dari dalam. Pembantu rumah itu enggan membuka pintu selepas diminta oleh majikannya, sebaliknya mengancam membunuh si anak yang di bawah jagaannya.

Ibu mangsa yang ketakutan menelefon suaminya. Si suami kemudian melaporkan kepada polis sebelum bergegas pulang.


Polis yang memecahkan pintu rumah berkenaan, menemui amah itu, duduk menonton televisyen. Tetapi anak sulung keluarga itu, Yara, meluru ke kamar tidur dan melihat mayat adiknya berlumuran darah dengan kepala terkulai.


Akhbar Al-Madinah memetik seorang anggota keluarga mangsa sebagai berkata, pembantu rumah itu kelihatan marah dan kecewa selepas menerima mesej menerusi sistem khidmat pesanan ringkas pada telefon bimbitnya, sehari sebelum kejadian. - SG

Buah berisi dadah


       
LONDON: Penyeludup menyumbatkan kokain seberat 7.5 kilogram bernilai RM3.8 juta ke dalam buah yang sudah dikorek isi dalam usaha menyeludupnya ke Britain dengan pesawat.

Pegawai kastam di Lapangan Terbang Heathrow menemui dadah itu tersembunyi di antara bungkusan buah dan sayur selepas memeriksa barangan yang tiba dengan pesawat dari Ghana, minggu lalu.


Kokain itu disembunyikan dalam buah berbentuk pusang (gambar). Isi buah itu dikorek keluar dan disumbat dengan dadah berkenaan sebelum ia dilekatkan semula dan dimasukkan ke dalam kotak bersama-sama buah lain.

Pegawai percaya kumpulan sama bertanggungjawab menyeludup 1.5 tan ganja yang disembunyikan dalam penghantaran buah dan sayur, juga dari Ghana, yang ditemui di lapangan terbang sama, sehari sebelumnya. - DM

Panahan asmara darling Betong




BEBERAPA orang pelacur menunggu pelanggan dari Malaysia di Betong, Thailand.


BETONG (Selatan Thailand) - Sekali pandang, pemandu teksi, Awan Taib sudah tahu niat rakyat Malaysia yang mahu menggunakan perkhidmatannya ketika berada di Betong, pekan paling selatan di Thailand dan hanya lima minit perjalanan dari sempadan Malaysia di Pengkalan Hulu, Perak.
Selepas lima tahun memandu teksi dan membawa ratusan penumpang pelbagai kaum dari Malaysia di pekan itu, Awan, 45, sudah hampir pasti niat mereka cuma satu iaitu mencari darling, gelaran untuk pelacur di Betong.
“Lelaki Malaysia yang datang ke Betong sama ada seorang atau ramai memang mencari pelacur. Kami sudah tahu dari saat mereka melambaikan tangan untuk menahan teksi,” kata Awan dalam loghat Kelantan kepada wartawan Kosmo! Ahad yang berada di pekan tersebut untuk meninjau kegiatan seks di kawasan itu.
Betong menjadi tumpuan rakyat Malaysia bukan sahaja kerana lokasinya berdekatan sempadan negara tetapi juga ia lebih aman berbanding Hatyai dan Golok yang kerap menjadi sasaran serangan puak pemisah Islam.
Nikmat keamanan itulah punca rezeki kepada ramai warga Betong termasuk Awan yang hampir tidak menang tangan melayan penumpang khususnya pada cuti umum dan hujung minggu.
Tugas Awan cukup mudah, dia hanya perlu membawa penumpang meronda di beberapa buah lorong yang menjadi pusat pelacuran di tengah-tengah pekan tersebut.

Polis tahan empat lelaki culik anak doktor




DUA daripada empat lelaki yang disyaki menculik seorang kanak-kanak berusia 13 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat menculik anak seorang doktor pakar kulit berusia 13 tahun dengan menuntut wang tebusan RM500,000 di sini Selasa lalu.
Kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang warga negara Myanmar itu ditahan dalam serbuan berasingan Khamis lalu dan awal pagi semalam.
Suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Kuala Kedah di sini malam Khamis lalu manakala tiga lagi rakannya dicekup di sebuah kuil yang dalam pembinaan di Taman Sutera, Sungai Petani pukul 2 pagi semalam.
Dalam serbuan di Taman Sutera, salah seorang suspek dikatakan cuba menyorok di dalam kuil itu selama hampir dua jam sebelum polis memberkasnya dengan kerjasama anggota bomba.
Menurut sumber, kanak-kanak lelaki itu diculik ketika pulang dari kelas tuisyen di sini kira-kira pukul 10 malam Selasa lalu.

Kanak-kanak 13 bulan mati digilis




MUHAMMAD UZAIR menunjukkan tempat kejadian Auni Iylia Aifa (gambar kiri) digilis di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang semalam.



KUALA NERANG - Sebuah keluarga di Felda Lubuk Merbau dekat sini diselubungi insiden menyayat hati apabila anak mereka berusia 13 bulan maut akibat digilis kereta yang dipandu bapa sendiri petang kelmarin.
Kejadian malang kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika Muhammad Uzair Zul, 22, memandu kereta Proton Persona miliknya selepas mengisi petrol di stesen minyak yang terletak bersebelahan rumahnya
Ketika menggerakkan kereta tersebut, Muhammad Uzair tidak menyedari Auni Iylia Aifa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik bermain di sebelah kanan kenderaan yang dipandunya.
Menurutnya, dia langsung tidak menyedari Auni Iylia berada di situ kerana ketika memasuki kawasan stesen minyak tersebut anaknya bermain bersama sepupunya di kedai membaiki motosikal bersebelahan rumahnya.
"Saya hanya sedar apabila terdengar sesuatu seperti terlanggar anak kucing. Apabila menjenguk kepala menerusi tingkap saya terkejut Auni Iylia berada di bawah kereta.
"Saya mengucap panjang melihat anak saya itu sudah tidak bermaya, saya berasa sebak dan sayu namun menerima kejadian itu sebagai takdir Tuhan," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Tambahnya, isterinya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah bergegas keluar selepas menyedari kejadian itu sebelum mendukung anaknya itu menuju ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Pesawat terhempas di Bandung



BEBERAPA anggota penyelamat memadamkan kebakaran pesawat ringan 202 Bravo yang terhempas di bangunan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia di Bandung semalam.


JAKARTA - Sebuah pesawat ringan 202 Bravo yang sedang mengadakan pertunjukan aerobatik di Bandung Air Show 2012 di Pangkalan Udara Husein Sastranegara, Bandung terhempas semalam mengakibatkan juruterbang dan pembantu juruterbangnya maut.
Pesawat itu jatuh di kawasan bangunan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU).
Mangsa yang terbunuh merupakan bekas pegawai TNI-AU.
Jurucakap Kementerian Perhubungan Indonesia berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.42 pagi, lima minit selepas pesawat itu berlepas untuk persembahan aerobatik.
Berikutan kejadian itu, pihak penganjur telah membatalkan acara pertunjukan udara seterusnya sebagai tanda berkabung.
Bandung Air Show 2012, satu daripada acara sambutan ulang tahun ke-202 Kota Bandung yang memasuki hari ketiga semalam diteruskan hanya dengan acara pameran.
Sejumlah 28 pesawat termasuk dari beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan Australia mengambil bahagian pada pertunjukan udara yang dijadual berlangsung selama empat hari mulai 27 September lalu. - Bernama

Maut dilanggar geng lumba

Maut dilanggar geng lumba
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang maut dalam
kemalangan di Jalan Batu 8, kelmarin
SABAK BERNAM - Seorang warga emas maut manakala cucu saudaranya parah setelah motosikal ditunggangi mereka bertembung sebuah motosikal lain dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di Jalan Batu 8, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa, Md Nor Husin, 60, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya,  warga emas itu yang dalam perjalanan menuju ke rumah anaknya berhampiran kawasan berkenaan bersama cucu saudaranya, Mohamad Aniq Naufal Ismail,6.

“Sebaik tiba di kawasan kejadian, sebuah motosikal lain jenis Yamaha SS ditunggang dua lelaki memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala manakala cucu saudaranya pula parah di kepala dan badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mushar berkata, dua lagi penunggang motosikal, Mohd Azri Asfar,14, dan Muhamad Azhan Hafizan Mohd Jurini,15, yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).

“Polis akan mengambil keterangan daripada semua mangsa selepas mereka menjalani rawatan bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Mushar berkata, siasatan awal menunjukkan penunggang bawah umur berkenaan dipercayai membonceng motosikal secara merbahaya sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

Sementara itu, anak mangsa kemalangan itu, Mohd Ezhar Md Noor, 31, berkata, dia mulanya tidak mempercayai mangsa kemalangan adalah bapanya berdasarkan maklumat penduduk.

“Penduduk datang memaklumkan mengenai kejadian dan mereka memberitahu nombor pendaftaran kenderaan salah dan membuatkan saya tidak percaya bahawa mangsa tersebut adalah bapa saya.

“Arwah dalam perjalanan ke rumah saya pada waktu itu mengikut beberapa penduduk, dia dipercayai dilanggar sekumpulan remaja yang sedang berlumba motosikal,” katanya kepada Sinar Harian.

Maut ditetak



         
KLANG: “Biasanya setiap hari adik menghubungi saya, namun hari ini (semalam) dia tidak berbuat demikian, menyebabkan saya berasa hairan.

“Namun pagi tadi (semalam) saya terkejut sebaik menerima panggilan daripada anak mangsa mengatakan mangsa ditemui mati di bilik utama rumahnya,” kata S Karuppanan, 67, abang kepada S Doraisamy, 58, yang ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala di rumahnya di Taman Telok Gadung, di sini, semalam.


Karuppanan berkata, biasanya mangsa berbual dengannya tetapi sehari sebelum kejadian, mangsa tidak berbuat demikian, malah cubaannya untuk menghubungi mangsa juga gagal.

Menurutnya, dua hari sebelum kejadian, mangsa menghubunginya dan tidak menyangka itu perbualan mereka yang terakhir sebelum ditemui mati.


Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang juga kontraktor tinggal di rumah berkenaan bersama dua anaknya sementara isteri dan dua lagi anak mangsa menetap di Kajang.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa berusia 22 tahun jam 8.20 pagi sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke rumah mangsa.

Katanya, sebaik tiba, polis mendapati mangsa dalam keadaan terlentang di dalam bilik utama rumahnya dengan kesan darah di lantai dan tangga.


“Siasatan polis mendapati ada kesan tetakan pada kepala mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam, menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa disamun sebelum dibunuh berikutan kehilangan wang RM2,500 yang disimpan di dalam dompet,” katanya.


Menurut Mohamad, polis tidak menemui kesan umpilan pada pintu rumah mangsa dan tidak menolak kemungkinan ia memudahkan suspek masuk kerana mangsa sering tidak mengunci pintu.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.