Search This Blog

Friday, September 28, 2012

Bomoh dijel, sebat kerana salah guna harta dan perdaya

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan menyalahgunakan harta dan 14 tuduhan memperdaya bagi penyerahan barang kemas antara Jun 2010 dan Mei lepas.

Omar Mohamad, 38, yang merupakan seorang bomoh membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan
Shah Mohd Allias.

Dia yang beralamat di Kampung Pekajang, Gelang Patah, dekat sini, dituduh menyalahgunakan harta berupa emas bagi bagi kegunaan sendiri dengan melupus dan memajaknya di Kedai Emas Golden Height di a 56, Kampung Paya Mengkuang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, kira-kira pukul 10 pagi, 1 Februari  tahun lepas.

Kesalahan terbabit dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh didenda.

Bagi 14 tuduhan memperdaya itu, empat daripadanya dituduh dilakukan oleh Omar terhadap Ibrahim Mohamed dengan memperdayanya supaya menyerahkan keseluruhan wang berjumlah RM9,700 yang kononnya bagi menggandakan wang tersebut dan barang kemas bernilai RM3,240 yang kononnya bagi mencucinya dari saka.

Keempat-empat tuduhan terbabit didakwa dilakukan di alamat bernombor 23, Jalan Manggis, Kampung Pasir, Tampoi, di sini, sejak 25 April 2011 sehingga 26 Jun 2011.

Bagi 10 tuduhan lagi, Omar yang masih bujang dituduh memperdaya Kalthom Mohamed, 57, dan Salbiah Sabtu, 51, dengan memperdaya kedua-dua wanita terbabit supaya menyerahkan wang tunai dan hasil jualan barang kemas yang keseluruhannya berjumlah RM140,538 yang kononnya bagi mengelakkan wang tersebut hilang disedut
mahkluk halus dan bagi mencuci barang kemas dari saka.

Kesalahan-kesalahan terbabit didakwa dilakukan depan Bank Simpanan Nasional di Bandar Baru Uda, Bank CIMB di Bandar Baru Uda, Plaza Angsana dan Batu 4 1/2 Jalan Skudai Kiri, di sini, antara 17 Jun 2010 dan 21 Mei lepas.

Kesemua 14 pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Mahkamah memutuskan Omar dipenjara tiga tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan menyalahgunakan harta terbabit serta tiga tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap 14 pertuduhan memperdaya tersebut.
Bagaimanapun, kesemua hukuman penjara tersebut diputuskan bermula serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu 19 September lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ashraff Mohd Diah manakala Omar tidak diwakili peguam.  - Bernama

11 Oktober dengar permohonan rujuk Muhdalena kepada pakar psikiatri


11 Oktober dengar permohonan rujuk Muhdalena kepada pakar psikiatri
Muhdalena Ahmad, 28, tanpa bertopeng ketika meninggalkan Mahkamah Sesyen, Putrajaya
11 Oktober dengar permohonan rujuk Muhdalena kepada pakar psikiatri
Wanita mengamuk bersama seorang lelaki dengan bersenjatakan pedang samurai di perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Muhdalena Ahmad, 28, bersama peguamnya.
PUTRAJAYA - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 11 Oktober depan bagi mendengar permohonan pihak pembelaan untuk merujuk Muhdalena Ahmad, yang didakwa melakukan jenayah ugutan dan memiliki sebilah pedang, kepada pakar psikiatri.
Hakim Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah menetapkan tarikh itu selepas peguam M. Visvanathan memberitahu mahkamah mengenai permohonannya untuk membawa anak guamnya menjalani pemeriksaan tahap kewarasan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Hakim Engku Ahmad Rashdi turut mengarahkan kedua-dua pihak menyelesaikan segala urusan penyerahan dokumen yang diperlukan sebelum perbicaraan bermula bagi mengelakkan proses perbicaraan terganggu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh memberitahu mahkamah bahawa 42 dokumen sudah diserahkan kepada pihak pembelaan namun pihaknya akan menyerahkan lima lagi dokumen lain kepada peguam sebelum perbicaraan.

Kalmizah berkata 35 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang ditetapkan dua hari bermula 11 Oktober. 

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Visvanathan berkata anak guamnya perlu dirujuk kepada pakar psikiatri untuk menilai sama ada dia waras ketika kejadian atau dia waras untuk dibicarakan.

Muhdalena, 28, dari Kota Damansara dekat sini dituduh pada 16 Julai lepas di katil rawatannya di Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan pada paha kanannya.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan anggota polis bantuan, Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri di sini pada kira-kira 2.30 petang 9 Julai lalu.

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh memiliki sebilah pedang pada masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 sementara menunggu perbicaraan. - Bernama

Jabatan Perikanan Terengganu tahan dua vesel Vietnam

KEMAMAN - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) menahan dua buah vesel laut dalam milik warga Vietnam kerana melakukan tangkapan secara bergandingan pada 7.10 pagi semalam, kira-kira 80 batu nautika dari
pantai Kuala Terengganu.
Pengarahnya Abdul Khalil Abdul Karim berkata hasil siasatan mendapati lesen bagi vesel dengan pendaftaran KNF 7787 itu sudah tamat tempoh tahun lepas manakala sebuah lagi vesel cuba melakukan penyamaran dengan menggunakan pendaftaran tempatan KNF 7790.
"Pihak kami telah membuat laporan polis di Kemaman dan vesel KNF 7790 akan disiasat oleh pihak polis mengikut Seksyen 8(A) Akta Perikanan kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa lesen.
"Manakala vesel KNF 7787 akan disiasat mengikut Seksyen 8(A) dan Seksyen 8(C) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen dan melanggar arahan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya kepada pemberita di Pusat Tahanan Vesel, Kuala Kemaman di sini, hari ini.
Beliau berkata 27 warga Vietnam berusia antara 20 hingga 55 tahun yang merupakan awak-awak dua vesel itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Abdul Khalil berkata kesemua awak-awak warga Vietnam itu akan ditahan reman bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut mengenai penahanan dua vesel itu, katanya tangkapan itu dilakukan ketika kakitangan jabatan sedang menjalankan operasi pemantauan vesel dan tangkapan ikan bagi siri empat tahun 2012.
"Dua vesel itu dipercayai menangkap ikan menggunakan pukat secara bergandingan dengan jumlah tangkapan kira-kira 10,000 kilogram ikan," katanya.- Bernama

Pendek Kent, Danny dan Carran dicari bantu siasatan serangan bom molotov

Pendek Kent, Danny dan Carran dicari bantu siasatan serangan bom molotov
Datuk Dr. Hashim Haron dan Asisten Komisioner, Mohd Akhir Ishak (kanan)
menunjukkan tiga gambar suspek yang dicari bagi membantu siasatan
serangan bom molotov. - Foto Bernama
Datuk Dr. Hashim Haron dan Asisten Komisioner, Mohd Akhir Ishak (kanan) menunjukkan tiga gambar suspek yang dicari bagi membantu siasatan serangan bom molotov. - Foto Bernama JOHOR BAHRU -  Polis sedang mencari dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes membaling bom molotov kepada kediaman dua pegawai kastam di Taman Pelangi dan Taman Sri Pulai Perdana di sini pada 12 September lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr Hashim Haron berkata ketiga-tiga mereka diminta tampil bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut kejadian tersebut.

"Lelaki yang dicari adalah Yip Soon Kent, 25, atau dikenali sebagai Pendek Kent yang memiliki kad pengenalan bernombor 870608-08-5313 dan alamat terakhir di Nombor 6, Jalan Harmonium 16, Taman Desa Tebrau di sini.

"Seorang lagi adalah Chuah Seong Khoon, 40, atau dikenali sebagai Danny yang memiliki kad pengenalan bernombor 720517-08-5197 dan alamat terakhir di nombor 37, Jalan Belibis 7, Taman Perling di sini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Hashim berkata wanita terbabit pula adalah Lee Sew Kian, 37, atau dikenali sebagai Carran yang memiliki kad pengenalan bernombor 750705-04-5202 dan alamat terakhir di nombor 5, Jalan Bukit Kempas 1/17, Taman Bukit Kempas di sini.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan kediaman dua pegawai kastam di Taman Pelangi dan Taman Sri Pulai Perdana dibaling bom molotov dipercayai didalangi sekumpulan lelaki.

Kejadian pukul 4 pagi itu turut menyebabkan Timbalan Pengarah Kastam Johor, Ahmad Hassan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika hendak menyelamatkan keretanya.

Beliau tinggal bersebelahan rumah pegawai kastam yang dilempar bom itu. Ekoran daripada kejadian terbabit, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di Gelang Patah di sini pada 13 September lalu bagi membantu siasatan kes tersebut, bagaimanapun dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.- Bernama

Pegawai polis dipenjara tiga tahun, didenda RM35,000 kerana rasuah

TAIPING -  Seorang anggota polis berpangkat C/Insp dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah melibatkan wang tunai berjumlah RM7,000, empat tahun lepas.
 
Hakim Azuar Che Yusof memerintahkan Ng Wei Boon, 37, menjalani hukuman penjara mulai hari ini dan denda juga perlu dijelaskan hari ini, jika gagal tertuduh boleh dihukum penjara 10 bulan.
 
Tertuduh yang bertugas di Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping itu didapati bersalah iaitu secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM7,000 daripada Ang Boon Kok supaya tidak mengambil tindakan ke atas Chew Seng Kok yang dikatakan menjalankan kegiatan menjual nombor ekor haram.
 
Ng didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta Gen 2 nombor pendaftaran PFY 8080 di seberang jalan hadapan sebuah kedai di Jalan Kampung Jambu 2 di sini pada 11.30 malam, 11 Jan 2008.
 
"Mahkamah mendapati pihak pembelaan tidak konsisten dalam hujah keterangan. Keterangan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan. Tertuduh bersalah dan disabit kesalahan," kata Azuar semasa menyampaikan penghakimannya.

Beliau juga berkata mahkamah mendapati keterangan saksi-saksi juga menyokong antara satu sama lain.
 
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan hukuman penjara kerana mahu mengemukakan rayuan dan Ng dilepaskan dengan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.
 
Sebelum itu, peguam A. Ashok yang mewakili tertuduh memohon satu hukuman ringan memandangkan Ng yang pada masa sekarang sedang ditahan kerja turut bekerjasama dengan SPRM, di samping mempunyai ibu bapa, isteri serta perlu menanggung empat orang anak.
 
Ashok juga memohon supaya tertuduh diberikan masa bagi menjelaskan denda itu. Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkannya.
 
Pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) M. Kathan yang mewakili pihak pendakwaan pula berhujah rasuah merupakan satu kesalahan serius dan jika tidak dibendung ia boleh merosakkan negara.
 
"Tertuduh merupakan seorang anggota polis jadi perbuatan ini menjejaskan imej pasukan itu. Saya mohon untuk hukuman seberat-beratnya supaya jadi pengajaran kepada bakal-bakal pesalah...isterinya tidak bekerja namun merupakan
seorang pemegang kepentingan dalam syarikat kereta terpakai," katanya.
 
Ng didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum lebih 20 tahun dan didenda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
 
Tertuduh didakwa pada 10 April 2009. Seramai 22 saksi dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan. - Bernama

Kanak-kanak 4 tahun rentung

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Lintah Tiong, Slim Village, Slim River hari ini.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, Muhammad Shahrizal Abdullah ditemui rentung di ruang tamu selepas anggota bomba selesai memadamkan kebakaran.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Zin berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.30 petang dan ketika itu mangsa berada di ruang tamu seorang diri.

Ibunya Norlia Zakaria, 51, dan lima lagi adik-beradiknya berada di bahagian dapur dan sempat menyelamatkan diri ketika api pantas merebak.

Beliau berkata, seramai 11 anggota bomba dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian belum diketahui. - Bernama

50 rumah di Baling, Kulim rosak dipukul ribut

ESAH Ismail bersama cucunya melihat bumbung rumah mereka yang diterbangkan angin
dalam kejadian ribut di Kampung Belakang Sekolah Weng, Baling, Kedah, kelmarin.
BALING 27 Sept. - Lebih 50 buah rumah di beberapa kampung di Baling dan Kulim rosak teruk dalam kejadian ribut yang berlaku semasa hujan lebat di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, bumbung 15 rumah di Taman Batu Pekaka dan 20 rumah di Taman Seri Gading, Kuala Ketil serta di Sungai Kob dan Padang Serai, Kulim diterbangkan angin.
Selain itu, lebih 20 rumah turut rosak dalam kejadian sama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu dan DUN Kupang iaitu di Kampung Rambong Batu 7, Kampung Sekolah Dalam Wang dan Kampung Becah Tok Bulan.
Seorang penduduk, Esah Ismail, 57, dari Kampung Sekolah Dalam Wang berkata, dia terkejut melihat angin kencang yang dalam sekelip mata telah menerbangkan bumbung rumahnya.

Dua tauke ‘download’ lagu tanpa kebenaran

Dua tauke ‘download’ lagu tanpa kebenaran
Ahmad menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam operasi
KPDNKK cawangan Dungun, kelmarin
PAKA – Tindakan dua tauke kedai menjual telefon bimbit dan aksesori telefon menjalankan aktiviti memuat turun lagu tanpa kebenaran hak cipta membawa padah apabila premis perniagaan mereka diserbu pihak berkuasa, di sini, petang kelmarin.

Operasi sepasukan pegawai dari Pejabat Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Dungun itu dilakukan berikutan aduan diterima mengatakan dua premis perniagaan itu menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan memuat turun lagu dari komputer kepada kad memori tanpa izin pemilik hak ciptanya.

Ketua Penguat kuasa KPDNKKK cawangan Dungun, Ahmad Mahmood berkata, peniaga terbabit dikatakan menjual lagu yang sudah dimuat turun dengan pakej kad memori kepada pengguna.

Hasil serbuan, pihaknya berjaya merampas beberapa kad memori, komputer riba, papan kekunci, ‘LCD monitor, tetikus dan ‘CPU’ dengan nilai rampasan dianggarkan RM5,000.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) (d) Akta Hak Cipta Terpelihara 1987 atas kesalahan memiliki salinan langganan lagu selain kegunaan sendiri atau domestik.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda satu salinan minimum RM2,000 sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Ahmad.

Berikutan itu, Ahmad menasihatkan peniaga yang terbabit dengan aktiviti berkenaan agar segera menghentikan operasi untuk mengelakkan sebarang tindakan oleh pihaknya.

Tauke rentung di awal pagi

Tauke rentung di awal pagi
Keadaan kereta mangsa yang rentung
MELAKA - Impian seorang usahawan mengadakan majlis pelancaran kedainya minggu depan, berkecai apabila dia maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Lebuh AMJ, di Jalan Cheng, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, Chan Yan Seng, 32, rentung apabila kereta jenis Toyota Innova dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok menyebabkan kenderaannya hangus terbakar.

Mangsa dari arah Cheng menuju Alor Gajah dijadualkan akan melancarkan kedai menjual kamera litar tertutup (CCTV) dan alat penggera miliknya, 6 Oktober depan.

Bapa mangsa, Chan Chee Keong, 58, berkata, kali terakhir dia melihat anaknya kira-kira 10.30 malam kelmarin, sebelum mangsa keluar.

Menurutnya, dia terkejut apabila anggota polis tiba di rumahnya di Taman Melaka Perdana, di sini, kira-kira 6 pagi.

“Sejak sembilan tahun lalu, anak saya bekerja sendiri membaiki dan menjual CCTV serta penggera di semua tempat di bandar raya Melaka, tanpa memiliki kedai.

“Sabtu minggu depan adalah hari gembiranya kerana dia akan buka kedai CCTV sendiri dengan menggunakan nama Sigma Six Venture di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Melaka, dekat sini, semalam.

Chee Keong berkata, lebih menyentuh hati, isteri Yan Seng, Soo Yen Ling, 29, kini sedang anak keenam mereka yang kini sudah masuk usia enam bulan.

Lima lagi anak mangsa berusia setahun hingga lapan tahun.

Sementara itu, Yen Ling ketika ditemui pemberita, enggan ditemubual kerana masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa suaminya.

Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dia bersama mangsa sedang menjamu selera di Taman Kota Laksamana.

“Kami berada di sana kira-kira jam 4 pagi sehingga dia meminta diri untuk pulang sejurus kemudian.

“Saya ada pelawa dia untuk tidur di rumah saya di Taman Bachang Baru, tetapi dia tetap berkeras untuk pulang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

APMM tahan bot bawa burung murai Batu di Pengerang



JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot yang membawa 150 ekor burung murai batu di Perairan Teluk Ramunia, Pengerang dekat Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata bot gentian yang dipandu seorang lelaki berumur 40-an itu dikesan bot ronda APMM yang melakukan rondaan di perairan berkenaan, kira-kira pukul 11.15 pagi.

"Bot itu pada mulanya memecut laju apabila cuba ditahan anggota APMM. Bagaimanapun, anggota APMM yang mengejar bot itu kira-kira 10 minit berjaya menahannya di kedudukan 1.5 batu nautika tenggara Teluk Ramunia,"  katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ibrahim berkata pemeriksaan pada bot berkenaan menemui 16 raga yang berisi 150 ekor burung tersebut dan lelaki terbabit mendakwa diarahkan membawa burung itu dari Pasir Gudang ke Pengerang.

Beliau berkata anggota APMM tidak menemui sebarang dokumen bagi membawa kesemua burung yang dianggarkan bernilai RM300 hingga RM600 seekor mengikut saiz itu dan lelaki terbabit bersama burung berkenaan kini  diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

"Burung murai batu adalah sejenis burung yang dilindungi. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen," katanya.     - Bernama

Pelajar tingkatan empat maut, motosikal terbabas



KUANTAN - Seorang pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tiang lampu jalan di Jalan Teluk Sisek dekat Pantai Teluk Chempedak, di sini hari ini.
 
Gabriel Rajiv Backer, 16, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu.
 
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata pelajar lelaki itu menetap di Taman Bukit Pelindung di sini dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Chempedak,
 
Mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini. - Bernama

Koperal polis didakwa terima rasuah RM2,500


MELAKA - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak  bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,500 pada Febuari lepas.

Mohd Darawi Abdul Rahman, 38, yang bertugas di Balai Polis Malim, didakwa menerima rasuah daripada Abu Bakar Ahmad sebagai dorongan tidak melakukan tangkapan bagi kesalahan memiliki dadah jenis Syabu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di sebuah premis menjual tayar dan bateri kereta di Jalan Batang Tiga, Tanjung Kling pada 16 Feb lepas mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Sazali Omar membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Okt depan untuk sebutan semula kes itu.  

Terdahulu, Mohd Darawi, yang diwakili peguam M.Saravanan,  memberitahu mahkamah dia telah berkhidmat selama 15 tahun dalam pasukan keselamatan dan isterinya juga seorang anggota polis serta mempunyai empat anak yang  masih bersekolah.          

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Heikal Ismail. - Bernama

Polis tahan 35 penagih dadah dalam Ops Tapis



KUANTAN - Polis menahan 35 lelaki dalam Ops Tapis selepas didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Thoon Khuan berkata dalam operasi bermula pukul 2 petang semalam sehingga 8 malam tadi, semua yang ditahan itu berusia antara 16 dan 45 tahun.

"Dalam Ops Tapis yang diadakan di Kampung Pantai Balok dan Tanjung Lumpur, Kuantan semalam, kita memeriksa 85 individu dan 35 daripadanya didapati positif dadah," katanya di sini hari ini.

Operasi berkenaan diketuai Insp Arman Ibrahim daripada Cawangan Risikan, Operasi dan Tahanan jabatan itu, bersama dua pegawai dan 35 anggota.

Kesemua penagih terbabit kini ditahan reman di lokap Balai Polis Kuantan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1982, Seksyen 15 (1)(a), Seksyen 39 A(2) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Wanita warga China jual DVD cetak rompak, lucah

IPOH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan seorang wanita warga China dan  merampas 1,865 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak termasuk DVD lucah dalam serbuan di pusat penjaja Lawan Kuda di Gopeng, dekat sini hari ini.

Ketua KDN Cawangan Perak, Zaki Mohamad berkata, wanita berusia 43 tahun itu ditahan pada pukul 12 tengah hari ketika sedang menjual DVD tersebut kepada orang ramai di pusat penjaja berkenaan.

"Apabila wanita terbabit menyedari kehadiran anggota KDN, dia cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 1,500 keping DVD cetak rompak pelbagai filem Inggeris dan China serta 365 keping DVD lucah disimpan dalam sebuah beg," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Zaki berkata siasatan juga mendapati wanita berkenaan memasuki negeri ini menggunakan pas lawatan sosial dan beliau masih ditahan untuk siasatan lanjut.
  
Serbuan dilakukan mengikut Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM30,000 bagi DVD filem manakala bagi video lucah, pengedar boleh didenda RM10,000 sehingga RM50,000 atau tidak lebih lima tahun penjara. - Bernama

Kes bunuh: Mayat warga Perancis ditemui dalam lubang gua

KUANTAN - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu mayat pelancong wanita warga Perancis Stephanie Foray ditemui dalam lubang sebuah gua yang terletak berdekatan rumah tertuduh di jeti Kampung Tekek, Pulau Tioman.
 
Pegawai di Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Inspektor Shuhada Salim berkata mayat serta sebuah beg milik wanita itu ditemui ketika beliau dan satu lagi pasukan polis dari IPK Johor, yang diketuai Inspektor Mohd Zairi Badderul, menjalankan siasatan di kawasan tertuduh dipercayai mencampakkan mayat mangsa.
 
"Saya yang menunggu di luar gua dipanggil oleh Inspektor Zairi untuk masuk ke dalam gua dan memaklumkan bahawa tertuduh (yang ketika itu ada bersama pasukan penyiasat) menunjukkan tempat mayat mangsa dibuang di dalam satu lubang.
 
"Inspektor Zairi juga selepas itu menunjukkan kepada saya satu beg galas yang berada dalam lubang kecil berhampiran pintu masuk gua tersebut," katanya pada perbicaraan kes Asni Omar, 37, yang didakwa membunuh Foray di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin antara 8 malam, 10 Mei dan 12 tengah hari pada 12 Mei tahun lepas.
 
Saksi ke-13 pendakwaan itu juga berkata selepas itu, mereka bergerak ke rumah tertuduh yang terletak kira-kira 250 langkah dari kawasan gua di mana mayat mangsa ditemui.

Beliau berkata Mohd Zairi kemudian menunjukkan sebuah almari dalam bilik di bahagian depan rumah tertuduh yang mengandungi tiga beg, dipercayai milik mangsa.
 
"Saya kemudian membuat pemeriksaan ke atas ketiga-tiga beg tersebut dan terdapat beberapa item kepunyaan mangsa di dalam beg berkenaan, dan menemui sebatang berus gigi berjenama Happy Morning, sebatang berus gigi Oral B, pencukur Willkinson Swort, beg plastik kosong warna hijau dan biru di dalam beg kain berbunga.
 
"Manakala dalam satu lagi beg berwarna hitam bernama Aguts H, terdapat beg kecil yang di dalamnya mengandungi tiga utas rantai warna perak, dua utas rantai tangan warna kuning dan sebentuk cincin berwarna perak," katanya.
 
Shuhada berkata Mohd Zairi juga meminta beliau memeriksa dinding berhampiran dapur, yang mempunyai kesan telah dilap, kerana disyaki mempunyai kesan darah.
 
Perbicaraan di depan Hakim Datuk Mariana Yahya disambung esok. - Bernama

Wanita disembelih mula sedar, stabil

ALOR SETAR - Ibu tunggal, Jamaliah Ali, 55, yang cedera parah akibat disembelih dengan parang oleh penyamun di rumahnya di Jalan Bukit, Teroi, Gurun di sini Selasa lalu kini mula sedar setelah menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Adik mangsa, Habsah Ali, 52, berkata, kakaknya mula sedar sejak semalam namun masih belum boleh bercakap seperti biasa.

“Semalam waktu dia (Jamaliah) mula membuka mata, dia boleh memberi tindak balas bila saya panggil namanya.

“Dia akan angkat tangan setiap kali namanya dipanggil. Selain itu balutan di lehernya juga dibuka oleh doktor dan dia dalam keadaan yang stabil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sinar Harian pada Rabu lalu, melaporkan dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, Jamaliah tinggal seorang diri di rumah kerana Habsah menghantar anak bongsunya ke sekolah dengan menaiki basikal.

Kejadian menimpa Jamaliah hanya disedari kira-kira 10 minit kemudian oleh ibu saudaranya, Rohani Omar, 54, apabila mangsa menggoncang jeriji pintu depan rumah Rohani yang terletak 30 meter dari rumah mangsa.

Sebaik ternampak Jamaliah di depan pintu, Rohani terkejut mendapati leher, kepala dan muka Jamaliah berlumuran darah manakala mata dan dagunya pula lebam.

Menurutnya, dia berdoa supaya penjenayah kejam itu dapat segera ditangkap.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, polis masih berusaha mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera tampil membantu polis.

“Sesiapa yang ternampak kejadian berkenaan, saya minta mereka ke balai polis berhampiran untuk memberi maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Bebas tuduhan membunuh, keluarga lega



Bebas tuduhan membunuh, keluarga lega
Anbu (tengah) dikelilingi ahli keluarganya sebaik dibebaskan daripada tuduhan melakukan pembunuhan tidak sengaja hingga menyebabkan kematian.
BUTTERWORTH - Seorang lelaki bekas pekerja kilang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan melakukan pembunuhan secara tidak sengaja hingga menyebabkan kematian seorang lelaki, dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputu-san itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu mempunyai keraguan munasabah.

J Anbu Selva, 25, yang mengenakan baju T berwarna putih kelihatan tenang ketika penghakiman dibaca di dalam Mahkamah Sesyen 3 yang dipenuhi oleh ahli keluarganya.

Lelaki itu turut dilihat menekapkan tangan ke mukanya sebaik hakim membebaskan dan melepaskannya daripada tuduhan itu sambil tersenyum dan memalingkan muka ke arah keluarganya yang berada di galeri awam.

Terdahulu, anak kelima daripada enam beradik itu dituduh membunuh M Chandra Segaran, 41, di hadapan sebuah kedai kopi di Simpang Tiga, Tasek Gelugor pada pukul 6.30 petang, 16 Mei 2010 lalu.

Dibawah pertuduhan itu Anbu boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Anbu diwakili peguam bela Simon Murali dan Sukhindarpal Singh, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhafizah Haron.

Sementara itu, keputusan pembebasan Anbu disambut gembira ahli keluarganya yang menunggu sejak awal pagi di pekarangan mahkamah apabila mereka saling berpelukan satu sama lain sebaik dia muncul di pintu lokap mahkamah selepas melalui prosiding sebelumnya.

Abangnya J Thinakaran, 34, berkata, mereka sekeluarga memang yakin Anbu tidak bersalah kerana hanya bertindak mempertahankan dirinya semasa diserang oleh si mati.

“Kami sekeluarga gembira dengan keputusan ini kerana selama dua tahun lalu kehidu-pan kami cukup perit dan tidak seperti orang lain apabila dipandang serong dan dicop keluarga bermasalah kerana salah seorangnya terdiri daripada 'pembunuh'.

“Banyak wang ringgit dan masa dihabiskan selama mengikuti kes ini. Pembebasan ini membersihkan kembali arang yang terpalit di muka keluarga kami,” katanya.

Sementara itu, bapa dan ibunya, W Jayabalan, 61, dan M Puspawathi, 51, tidak dapat berkata-kata dengan berita gembira itu sebaliknya dilihat asyik mendakap anak kesayangan mereka itu dan bergegas pulang.

“Kita akan raikan pembebasan ini dengan penuh meriah,” kata Jayabalan ringkas sebelum beredar meninggalkan pekarangan mahkamah.

Keluarga trauma diserang beruk



Keluarga trauma diserang beruk
Abdullah (kanan) melihat kecederaan Sumen sambil diperhatikan oleh Mustafal (kiri) dan Thevasurian (tengah).
MAHSAN - Kejadian diserang beruk awal Januari lalu di sebuah kuil di Jelai, dekat sini sememangnya memberikan kesan trauma terhadap keluarga I Thevasurian, 31, dan isteri, K Genggadavi, 30.

Akibat kejadian itu, anak mereka, Sumen Raj, 3, yang diserang beruk luka di tangan dan pahanya.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama anak dan keluarganya ke kuil berkenaan untuk bersembahyang.

"Ketika leka memberi beruk berkenaan makan, secara tiba-tiba haiwan itu menyerang Sumen yang berada di dalam dukungan saya.

"Saya tidak menjangka hal itu akan berlaku berikutan beruk berkenaan diikat," katanya.

Thevasurian berkata, ini adalah kejadian pertama berlaku membabitkan haiwan tersebut.

"Selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Walau bagaimanapun saya bersyukur anak saya selamat walaupun mengalami kecederaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahsan, dekat sini.

Dalam pada itu, nasib malang keluarga ini mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghulurkan bantuan bernilai RM2,000.

Pengarahnya, Abdullah Hanapi berkata, bantuan itu diberikan bagi meringankan beban mereka selepas kanak-kanak itu diserang binatang berkenaan.

Menurutnya, mereka mendapati kanak-kanak ini mengalami kecederaan pada kadar 10 peratus pada anggota badannya dan selepas siasatan dibuat, dia layak menerima bantuan ini.

“Namun, terdapat beberapa kategori yang membolehkan mana-mana individu lain memohon mendapatkan bantuan dalam tabung bantuan serangan buas.

“Antara binatang yang di klasifikasi sebagai buas dan liar ialah gajah, seladang, babi hutan, harimau, ular sawa, ular berbisa serta binatang primid seperti beruk, siamang, ungka dan buaya,” katanya yang datang melawat mangsa.

Hadir sama, Pegawai JKM daerah, Mustafal Bakri Muhammad Yusof.

Bapa tiga anak terlepas hukuman gantung



Khairunizam Mohamed
Khairunizam dibawa polis ke lokap selepas hakim menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan 10 sebatan, semalam.
IPOH – “Anda bernasib baik apabila pihak pendakwa raya menawar tuduhan pilihan yang tidak membawa hukuman mati tali gantung,” demikian kata Hakim Mahkamah Tinggi ketika membacakan keputusan kes dadah kepada tukang rumah, Khairunizam Mohamed, 36, di sini, semalam.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani turut mengingatkan tertuduh bahawa tawaran tuduhan pilihan itu sebagai peringanan hukuman dan diharap membawa pengajaran.
Khairunizam dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku salah terhadap tuduhan pilihan iaitu memiliki kanabis seberat 883.95 gram pada jam 2 petang, 29 September 2011.
Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu hanya dikenakan penjara sembilan tahun berikutan hukuman tersebut dilaksanakan dari tarikh ditangkap.
Tertuduh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang dari 10 sebatan berbanding dikenakan hukuman mengikut 39B akta yang sama dalam pertuduhan utama sebelum ini.
Pada masa sama, isterinya yang merupakan tertuduh kedua, Kisnawita Saad, 34, pula dilepaskan tanpa dibebaskan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama isterinya ditahan polis dalam satu serbuan di rumah berkenaan dan mendapati tertuduh pertama sedang memegang parang sambil membelah kanabis di ruang tamu.
Sementara itu, mengenai kewujudan seorang individu yang dikenali Maya yang ditimbulkan oleh peguam bela, Charan Singh dalam rayuannya turut ditolak oleh hakim kerana didapati tidak relevan berikutan ketika ditahan, tertuduh sedang memegang parang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iskandar Shah Ibrahim.

Tembelang 'juruteknik' pecah



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 September 2012
Mohamad Fakri
Mohamad Fakri(dua, kanan) bersama pegawai dan anggota menunjukkan kabel yang dijumpai di dalam kereta dinaiki dua suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel berkenan.
SERI ISKANDAR - Tembelang dua lelaki menyamar sebagai juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi akhirnya pecah apabila wakil syarikat berkenaan yang dihubungi menafikan kenyataan itu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, pada 17 September lalu, kira-kira jam 5.30 petang, sepasukan polis ronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah berjaya mengesan sebuah kereta Viva yang sarat dengan muatan kabel telekomunikasi dan kabel elektrik di sebuah taman perumahan, di sini.
Menurutnya, suspek berumur 27 dan 33 tahun pada mulanya menyatakan mereka adalah juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi dan sedang dalam kerja-kerja membaiki kabel.
“Namun, taktik mereka tidak menjadi, apabila wakil syarikat telekomunikasi yang dihubungi menyatakan bahawa suspek bukan kakitangan mereka dan telah melakukan kecurian kabel di pencawang berkenaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mohamad Fakri berkata, hasil siasatan kedua-dua suspek adalah penagih dadah yang dipercayai menjalankan kegiatan mencuri kabel untuk membeli dadah.
"Kabel berkenaan kemudiannya akan dijual kepada pembeli besi buruk," katanya.
Ditanya mengenai modus operandi, beliau menyatakan suspek melakukan kegiatan itu pada waktu siang hari bagi mengaburi mata orang ramai.
“Kedua-dua suspek akan memotong kunci pagar kawasan kabel telekomunikasi milik syarikat tertentu dan memasuki kawasan itu dengan menaiki kereta.
“Mereka akan berlagak sebagai juruteknik kerana melakukan kerja mencuri di siang hari supaya tidak ada yang mengesyaki kegiatan jenayah mereka,” katanya.
Dalam serbuan sama, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk memotong kabel dan juga kereta sewa dinaiki suspek.
“Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, salah seorang daripadanya bekas tahanan yang lari daripada sekatan dan memang dikehendaki polis manakala seorang lagi mempunyai rekod curi motor.
“Kita yakin dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, kes kecurian kabel di daerah ini dapat diatasi berikutan tiadanya laporan baru diterima sehingga kini,” katanya.
Katanya, kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 379 kerana melakukan kesalahan mencuri dan jika sabit kesalahan mereka boleh di penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

14 GRO warga Vietnam ditahan



Muhamad Zulkifli Abd Rahman
Antara GRO yang ditahan pihak Imigresen.
MUAR – Sebuah pusat karaoke yang baru setahun beroperasi di sini, diserbu penguat kuasa Jabatan Imigresen Cawangan Muar dalam Operasi 6P, awal pagi semalam.
Ketuanya, Muhamad Zulkifli Abd Rahman berkata, premis yang berselindung di sebalik aktiviti sebagai pusat karaoke, sebenarnya menyediakan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO).
Menurutnya, operasi berakhir kira-kira jam 1.30 pagi itu disertai 10 anggota jabatan berkenaan, berjaya menahan 14 wanita warganegara Vietnam yang dipercayai pelacur.
“Mereka tidak menjalankan kegiatan pelacuran di premis terbabit, tetapi segala urusan serta pemilihan pelacur dilakukan di situ dan apabila pelanggan setuju akan dibawa ke tempat lain
“Ketika serbuan, kesemua warga asing terbabit sedang sibuk melayan pelanggan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, wanita berusia antara 19 hingga 33 tahun ditahan kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan melakukan kegiatan tidak bermoral.
“Selain bekerja sebagai GRO, mereka juga menawarkan khidmat seks kepada pelanggan, tetapi aktiviti itu dilakukan di luar kawasan terbabit.
“Pemeriksaan awal mendapati kesemua yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan dan pas lawatan sosial, namun hasil pemeriksaan yang rapi mendapati empat daripada mereka memiliki pasport yang disyaki palsu.
“Kemungkinan mereka memperoleh pasport ini daripada sindiket yang menawarkan harga murah untuk memperoleh pasport dengan cara yang lebih mudah,” katanya.
Selain itu, dua lelaki yang merupakan pemilik premis tersebut iaitu seorang warganegara China dan tempatan, masing-masing berusia 37 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.
“Lelaki warga tempatan ini juga dipercayai menjadi orang tengah untuk mengatur pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan daripada warga asing berkenaan selepas selesai urusan tawar menawar selesai,” katanya.

Kena cekup dalam sekolah, cubaan lari gagal



Kena cekup dalam sekolah, cubaan lari gagal
Suspek (kanan) dibawa ke Balai Polis Padang serai sebelum dipindahkan ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut.
KULIM - Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ditahan di tempat meletak motosikal sekolahnya di sini dipercayai menaiki motosikal menggunakan enjin curi kira-kira jam 1.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika serbuan dibuat, suspek sedang menunggang motosikal dan cuba keluar dari kawasan sekolah.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis yang datang menghampirinya, suspek melarikan diri bagaimanapun polis yang turut menunggang motosikal berjaya memintas suspek sebelum ditahan.

"Dari pemeriksaan dijalankan mendapati rangka motosikal digunakan suspek adalah motosikal jenis lain manakala enjinnya pula dilaporkan hilang beberapa bulan lalu di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

“Suspek mengaku membeli casis motosikal itu dengan harga RM140 dari seorang pengusaha bengkel motosikal, manakala enjinnya dibeli dengan harga RM40 dari seorang kenalan," katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Padang Serai sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

"Polis sedang memantau beberapa sekolah di mana ada dalam kalangan pelajarnya menggunakan motosikal curi.

"Mencuri motosikal adalah satu perlakuan jenayah serius dan ia boleh dihukum dengan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya prihatin terhadap kenderaan digunakan anak mereka kerana kebanyakan remaja kini membeli alat ganti dipercayai barang curi.

Menurutnya, sehingga kini polis sudah menahan beberapa pelajar sekolah kerana terlibat dalam kegiatan mencuri dan menggunakan motosikal  curi di sekitar Kulim dan mereka sudah dihadapkan ke mahkamah.

“Pelajar sekolah bukanlah satu lesen untuk membolehkan mereka melakukan jenayah. Undang-undang tidak mengenal usia dan siapa mereka.

"Sekiranya mereka didapati memiliki motosikal atau alat ganti dikhuatiri dicuri, polis akan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Pelajar maut dirempuh guru



Pelajar maut dirempuh guru
Keadaan motosikal mangsa setelah bertembung dengan Toyota Innova, semalam.
SABAK BERNAM - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena menemui ajal setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung kenderaan dipandu seorang guru, di Jalan Lama Kuala Selangor, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal EX-5 dalam perjalanan ke sekolah, di Sungai Besar.

"Pemandu kereta Toyota Innova dari arah bertentangan menuju Simpang Lima gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.

"Mangsa, Muhammad Fiqri Mohd Kassim, 17, maut serta merta di tempat kejadian dipercayai cedera parah di kepala kerana hentakan di cermin hadapan kereta," katanya.

Menurut Mushar, pemandu yang bertugas di Sekolah Menengah Simpang Lima difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

"Pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan dan tampil membuat laporan sejurus kejadian tersebut.

Bagaimanapun, kita masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa yang maut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, guru berkenaan, Huwaibatul Aslamiah Khodari,34, berkata, dia dalam perjalanan ke sekolah terkejut apabila motosikal berkenaan memasuki laluannya secara tiba-tiba.

"saya cuba mengelak namun tidak sempat kerana jarak motosikal berkenaan begitu hampir menyebabkan kami bertembung," katanya.

"Saya bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya hanya bahagian hadapan kereta sahaja yang rosak," katanya.

Tawar ubat seks 2 dalam 1


Tawar ubat seks 2 dalam 1
Selain filem lucah, lambakan filem terkini cetak rompak yang dijual.
GOPENG – Medan selera di Pusat Penjaja Lawan Kuda di sini, menjadi tumpuan kepada golongan lelaki terutama warga emas untuk mendapatkan cakera padat digital (DVD) filem lucah bersama pil perancang seks.

Pakej jualan yang didalangi oleh seorang wanita warga China itu dibongkar selepas 12 pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan empat pegawai Jabatan Perkhidmatan Farmasi melakukan serbuan pada jam 12.30 tengah hari, semalam.

Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Cawangan Perak, Zaki Mohamed berkata, pihaknya menerima aduan dari orang awam berhubung kegiatan suspek yang menjual secara terbuka di kawasan itu.

Menurutnya, suspek wanita berusia 43 tahun itu melambakkan DVD lucah bersama pil seks haram di atas meja makan untuk dijual.

“Suspek akan duduk jauh dari meja jualan dengan menyamar salah seorang pelanggan makan digerai berkenaan sebelum menghampiri meja itu apabila ada pelanggan datang.

“Taktik itu memudahkan suspek melarikan diri sekiranya mendapat maklumat penjaga yang mengawal setiap penjuru pintu masuk ke medan selera itu. Hanya kedai itu menjual DVD berkenaan,” katanya.
Zaki berkata, wanita berkenaan cuba menggigit dan bergelut dengan pegawai dalam usaha melarikan diri ketika diberkas.

“Ketika serbuan, wanita terbabit bertindak lari sekuat hati dengan meninggal barang yang diniagakan itu. Anggota kami mengejar sejauh 50 meter sebelum menangkapnya.

“Berlaku pergelutan ketika memberkasnya walaupun tangannya bergari, dia berusaha melawan sebelum sekali lagi melarikan diri,” katanya. Katanya, hasil siasatan menemui 365 keping DVD filem lucah dan 1,500 filem cetak rompak yang dianggarkan bernilai RM17,475.

“Wanita berkenaan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 5 akta sama kerana menjual DVD tanpa sijil perakuan B dan menjual DVD lucah.

“Pemeriksaan pegawai penguatkuasa farmasi pula menemui lebih 100 kotak pelbagai pil rangsangan seks yang dijual pada harga RM10 sebiji. Kes disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Zaki berkata, Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Gopeng untuk laporan polis.

Sorok heroin, syabu dalam beg



Sorok heroin, syabu dalam beg
Abdul Aziz (tengah) menunjukkan barangan rampasan sambil diperhatikan Abdul Hamid (kiri) dan Abas.
Sorok heroin, syabu dalam beg
Antara barangan rampasan terbabit.
BENTONG – Seorang pengedar dadah yang menjalankan operasi kecil-kecilan di sekitar Pelangai berjaya ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Baris, dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, operasi itu diketuai Ketua Balai Polis Manchis, Sub Inspektor Abas Sheck Dawood bersama sepasukan anggota.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas lelaki berusia 26 tahun itu membawa kepada penemuan sepeket besar plastik lutsinar, lima peket kecil plastik lutsinar, dua keratan tiub berjalur kuning serta satu keratan berjalur kuning.

Katanya, semua barangan itu dipercayai mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis heroin.

“Berat keseluruhan heroin itu ialah 87.5 gram dengan harga pasaran RM4.375.

“Turut dirampas, satu peket plastik lutsinar di dalamnya terdapat satu keratan tiub mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.88 gram, dua jenis telefon bimbit dan RM1,118. Kesemuanya terdapat di dalam beg pinggang dipakai suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, dekat sini. Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Abdul Hamid Allah Bukksh.

Abdul Aziz berkata, hasil siasatan mendapati suspek juga merupakan penagih dadah dan pernah terbabit dengan beberapa kes jenayah termasuk pecah rumah, curi dalam bangunan serta penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, suspek masih bujang itu dipercayai sudah hampir setahun menjalankan operasi di sekitar Pelangai bersama seorang rakan dikenali sebagai ‘Ijan’.

“Polis kini giat mengesan rakannya. Suspek direman sehingga 3 Oktober ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ku Chin Wah: Empat gadis mangsa perogol bersiri



KUALA LUMPUR - Empat gadis dikenal pasti menjadi mangsa seorang lelaki, dipercayai perogol bersiri, yang ditahan polis semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah di sini hari ini.
 
Beliau berkata gadis berumur antara 17 dan 22 tahun itu dipercayai terpedaya dengan taktik lelaki itu yang menawarkan pekerjaan sebagai jurujual melalui beberapa laman web.
 
"Modus operandi lelaki itu adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan sebagai jurujual melalui beberapa laman web sebelum memujuk dan memperdaya mereka agar menghadiri 'temu duga' di bilik hotel bajet di ibu negara," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) malam ini.
 
Beliau berkata mangsa akan dihubungi suspek kononnya telah disenarai pendek untuk menjalani sesi temu duga dan menetapkan temu janji di hotel-hotel sekitar ibu kota sebelum meminta mangsa mendaftar masuk atas nama mereka sendiri.
 
Ku menasihat pencari kerja melalui laman web khususnya wanita supaya lebih berhati-hati agar tidak terpedaya dengan individu yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan.

Semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun, yang diklasifikasikan sebagai perogol bersiri dan amat dikehendaki polis sejak 2010, di sebuah rumah di Seksyen 27, Shah Alam, pada 2 pagi.
 
Suspek kini direman bagi membantu kes membabitkan samun dan rogol mengikut Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan, katanya.  - Bernama

Polis buru tujuh lelaki



KOTA BHARU - Polis Kelantan kini memburu tujuh lelaki dalam dua kes jenayah berasingan yang berlaku di Kota Bharu dan Kuala Krai.

Tiga lelaki diburu kerana disyaki terlibat dengan kejadian samun bersenjata berasingan termasuk melarikan sebuah kereta milik seorang doktor pakar yang sudah ditemui semula di Kampung Padang Enggang, Ahad lalu.

Lelaki terbabit yang disyaki melarikan kereta Mitsubishi Grandis, Mohd Amiruddin Deraman, 23, atau dikenali dengan panggilan ‘Butir’ yang beralamat di Kampung Pasir Kota, Pintu Geng, dipercayai sudah melarikan diri selepas polis berjaya mengesan kenderaan terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, lelaki terbabit amat dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Beliau berkata, polis juga sedang mengesan seorang lagi lelaki, Muhammad Irwan Shah Ibrahim, 20, beralamat di Kampung Paloh, Pintu Geng, kerana disyaki terbabit melakukan samun di beberapa kawasan di Kota Bharu.

Dalam perkembangan lain, polis turut memburu empat lelaki kerana disyaki menyamun seorang pemandu lori di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang, kelmarin.

Katanya, empat lelaki terbabit yang menaiki kereta jenis Proton Wira berjaya melarikan wang tunai RM5,000 milik syarikat mangsa terbabit selepas suspek menahan lori terbabit.

“Dalam kejadian itu, salah seorang daripada empat lelaki terbabit dikatakan berjaya naik ke atas lori sebelum meletakkan parang dileher mangsa selain daripada meminta wang.

“Pada masa sama juga, salah seorang suspek turut meletakkan parang di paha mangsa dan menyeluk saku mangsa dan mengambil wang berjumlah RM5,000,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat suspek kemudian melarikan diri dan salah seorang daripada mereka telah dikenal pasti.

Katanya, suspek yang sedang diburu dikenali dengan Mohd Fakhruldin Abdul Ghafar yang beralat di Lot 150-A, Depan Shell Batu 5 Kampung Chicha, Kota Bharu.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali suspek supaya menghubungi segera balai polis berdekatan atau menerusi talian 09-7450999.

Wanita hamil 8 bulan maut



Wanita hamil 8 bulan maut
Keadaan kereta Wira dipandu Mohd Romdan.
Wanita hamil 8 bulan maut
Jenazah Norazila Amira dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Bentong untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebu.
BENTONG – Hasrat pasangan suami isteri untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.5 Jalan Baru Bentong-Raub, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Ketika itu, Jefri Khusairi, 28, bersama isterinya, Norazila Amira Radzuan, 24, yang mengandung lapan bulan dalam perjalanan balik dari rumah keluarga mereka di Kampung Lebu ke Kuala Lumpur menaiki kereta jenis Persona.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, setibanya di tempat kejadian, sebuah kereta Wira dipandu anggota tentera, Mohd Romdan Ideris, 25, dari arah Bentong ke Raub dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

Menurutnya, kereta Wira itu dipercayai berpusing sebelum bertembung dengan kereta dinaiki pasangan suami isteri tersebut.

“Mohd Romdan yang memandu seorang diri, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala, Norazila Amira pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong bersama kandungannya.

"Jefri pula cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mayat kedua-dua mangsa dituntut keluarga masing-masing tengah hari semalam untuk dikebumikan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

43 mangsa banjir di Pendang dipindahkan sejak petang semalam


ALOR SETAR - Seramai 43 mangsa banjir dari 11 keluarga di Pendang dipindahkan sejak petang semalam, selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam satu hingga dua meter.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah Pendang, Mohd Izudin Inusneah berkata semua mangsa dipindahkan ke Pusat Rakan Sukan, Tanah Merah dekat sini, merupakan penduduk empat buah kampung, iaitu Kampung Bonggol Kambing, Hampar Kanan, Pondok Hampar dan Bonggol Besi.

"Kita pindahkan mereka sejak 6 petang semalam dan sehingga hari ini, operasi memindahkan mangsa banjir masih dijalankan dan jumlah mangsa mungkin akan meningkat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga 11 pagi tadi, paras air di Sungai Pendang meningkat kepada 3 meter dan beliau menasihatkan mangsa banjir yang belum berpindah supaya bersedia untuk dipindahkan, jika keadaan bertambah buruk. - Bernama

Pemandu bas mengaku tidak bersalah rogol budak 13 tahun


28 September 2012
KUANTAN - Seorang pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol seorang budak perempuan berusia 13 tahun pada Julai lalu.

Sauruddin Anuar Mohidin, 39, dari Endau, Rompin, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Bazilla, B 244, Jalan Bypass-Kuantan pada 9 pagi, 27 Julai lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika  sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar kemudian memohon wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Mohd Azhar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan empat anaknya masih bersekolah, isteri tidak bekerja dan  pendapatannya sebagai pemandu bas hanya RM1,000 sebulan.

Mohd Azhar menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

A Aida mohon cerai

TENANG...A Aida dan Zulkifli di mahkamah, semalam.
TENANG...A Aida dan Zulkifli di mahkamah, semalam.
KUALA LUMPUR: “No komen, sudah tiada jodoh,” kata penerbit dan dramatis, A Aida yang enggan mengulas lanjut mengenai kemelut rumah tangga sehingga menyebabkan dia memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Deputi Superintendan Suffian Sulaiman di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.
A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 41, selaku plaintif diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong memfailkan permohonan cerai itu pada jam 3.30 petang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah di sini. Penerbit drama bersiri kontroversi, Halimah Jongang itu memfailkan permohonan berkenaan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Ketika ditemui media, Zulkifli berkata, anak guamnya memohon Suffian, 44, yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman boleh mempertimbangkan untuk bercerai secara baik tanpa perlu mengungkit atau mendatangkan sebarang provokasi.

Menurutnya, mahkamah menetapkan 8 Oktober ini untuk anak guamnya dan suami hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan itu.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada suaminya mengetahui kedatangannya ke mahkamah untuk memfailkan permohonan cerai, Aida dengan tenang berkata suaminya tahu mengenai perkara itu.

“Dia tahu saya datang sini. Sebagai isteri kalau nak keluar rumah mesti beritahu suami. Keputusan yang saya buat ini juga dilakukan selepas berbincang dengan keluarga kedua-dua pihak.

“Sekarang saya sibuk dengan penggambaran drama bersiri untuk slot Samarinda, dan telefilem. Perkara ini memang mengganggu dan membebankan saya. Saya tak boleh fokus sebab itu kalau boleh saya nak selesaikan perkara ini cepat-cepat,” katanya.


Pemilik syarikat produksi A Aida Production itu hadir ke mahkamah memakai kaftan coklat dan bertudung kelabu ditemani kakak angkatnya. Aida dan Suffian masing-masing berstatus janda dan duda bernikah pada 20 April 2007 dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia empat tahun, Muhammad Rahul.

Berahi janda



         
KUALA LUMPUR: Akibat takut dicabul bapa saudara, seorang janda berusia 32 tahun menjadikan anak lelakinya yang berusia lapan tahun sebagai ‘pengawal peribadinya’ sejak Isnin lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 68 tahun itu buat pertama kali mencabul mangsa ketika wanita itu sedang mencuci pinggan di rumahnya di Sentul, di sini, sebelum mengulangi perbuatan sama ketika mangsa bersendirian di rumah.


Sumber polis berkata, lelaki terbabit yang juga seorang penganggur tinggal bersama mangsa, anak lelakinya dan ibu mangsa sejak setahun lalu. Beliau berkata, dalam kejadian itu, mangsa hanya tinggal bersama anak lelakinya manakala ibunya keluar bekerja. “Lelaki terbabit yang memerhatikan mangsa sedang mencuci pinggan dengan tiba-tiba menyelak pakaiannya dari belakang sebelum memeluk dan meramas buah dada mangsa.

Nyaris tembus dada




         
KUALA TERENGGANU: “Nasib baik saya sempat menepis mesin pencanai itu sebelum ia menembusi ke dalam dada dan menusuk ke jantung.

“Walaupun tangan kiri saya cedera parah ketika menepis mesin pencanai itu namun saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu,” kata Zahali Latif, 48, yang nyaris maut selepas mesin pencanai digunakan untuk memotong kayu terpelanting ke arah dada kirinya ketika membuat kandang lembu di Kampung Padang Ping, Dungun, Selasa lalu.


Bapa kepada dua anak ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu dia sedang menyiapkan kandang lembu barunya dan menggunakan mesin pencanai untuk memotong kayu.

Ajal lepas makan malam



Oleh Iman Firdaus
am@hmetro.com.my
         
BINTULU: Makan malam seorang pemandu traktor yang mengangkut sawit bersama isteri serta rakan berakhir dengan tragedi berdarah apabila dia maut dibelasah 10 lelaki dalam satu pergaduhan di depan pasar raya di bandar ini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Nual anak Mata, 38, mati di tempat kejadian akibat parah di muka dipercayai diserang menggunakan objek tumpul.


Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama isteri serta rakannya menikmati makan malam di sebuah kedai sebelum diserang sekumpulan lelaki.

“Berlaku pergaduhan antara mangsa dan beberapa suspek. Namun, beberapa minit kemudian, orang ramai yang sampai ke tempat kejadian mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan dengan berlumuran darah.


“Orang ramai cuba menghulurkan bantuan namun gagal kerana mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Madang Usat berkata, siasatan awal polis menemui batang penyapu dan pisau tidak jauh dari tempat kejadian. Beliau berkata, susulan kejadian terbabit, polis menahan enam suspek yang berusia antara 25 hingga 30-an di perkampungan berdekatan pusat bandar Bintulu.

“Suspek pertama ditahan pada jam 2.30 pagi (semalam) disusuli lima lagi suspek pada jam 2 petang,” katanya.

Operasi cari mayat pencari emas dihenti




         
BAU: Operasi mencari dan menyelamat seorang pemburu emas yang tertimbus batu ketika memasukan tanah ke dalam guni, terpaksa dihentikan serta-merta berikutan berlaku runtuhan sehingga membahayakan nyawa anggota bertugas dalam terowong di Gunung Tabai, Jalan Taiton, semalam.

Arahan dikeluarkan polis dalam operasi yang memasuki hari kedua berikutan beberapa bongkah batu mula runtuh ketika pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mengalihkan batu yang menimpa Lee Sze Chun, 33.


Sebelum itu, pasukan penyelamat dibantu penduduk kampung menggunakan pahat serta tukul untuk memecahkan batu seberat dua tan bagi mengeluarkan mayat seorang peniaga yang masih terbenam sedalam 12 meter dalam terowong berkenaan.

Penggunaan kaedah manual itu terpaksa dilakukan berikutan struktur tanah tidak stabil selain mengambil kira faktor keselamatan kepada pasukan penyelamat sekiranya menggunakan jentera atau peralatan lain yang mungkin mengundang bahaya.


Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd Sabri Zainol, berkata sehingga petang semalam, kerja mengeluarkan mayat Lee membabitkan Bomba dan Penyelamat Bau serta penduduk kampung terpaksa dihentikan akibat runtuhan baru berlaku.


Beliau berkata, faktor keselamatan anggota penyelamat perlu diambil kira kerana keadaan lokasi kejadian cukup berbahaya menyebabkan operasi itu dihentikan pada jam 4 petang.

“Ia mungkin mengambil masa agak lama kerana keadaan tidak mengizinkan. Kalau boleh kami mahu mayat Lee dikeluarkan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi semalam.


Dalam kejadian antara jam 2 hingga 3 pagi, menyebabkan Lee yang juga peniaga dari Kampung Buso, terbenam sedalam 12 meter berikutan dihempap satu lagi batu bersaiz sederhana.

Mangsa bersama beberapa rakan masuk ke kawasan Gunung Tabai kira-kira jam 12 tengah malam, bagi mengutip tanah untuk dijual pada harga antara RM90 hingga RM100 seguni.


Sebelum kejadian, mangsa bersama bapa saudara serta tiga lagi rakan sibuk mengisi tanah dipercayai mengandungi emas ke dalam guni sebelum dikejutkan bunyi seperti rekahan.

Curi di Dungun, buang di Johor


       
DUNGUN: “Saya pantas menghubungi seorang rakan sebaik menyedari kereta dilarikan,” kata Khairul Hafis Ameir, 26, menceritakan kejadian kereta Honda Ferio miliknya dilarikan seorang pencuri di rumahnya di Kampung Kuala Abang, di sini, pagi kelmarin.

Khairul Hafis berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terdengar enjin keretanya dihidupkan dan sebaik membuka tingkap dia mendapati seorang lelaki melarikan kenderaannya itu, kira-kira jam 4.30 pagi “Rakan saya ditemani seorang lagi kawan dimaklumkan kejadian itu kemudian menunggu di sebuah stesen minyak di Kampung Batu 5 dan terserempak dengan pencuri terbabit yang secara kebetulan berhenti di stesen itu untuk mengisi minyak.


“Suspek ditemani rakan menaiki sebuah Proton Waja dan pada masa sama kereta rakan mangsa menghalang pergerakan kereta itu sebelum suspek memecut melarikan diri,” katanya.

“Rakan saya mengejarnya sejauh 30 kilometer bagaimanapun, gagal selepas kereta dipandunya kehabisan minyak di bandar Paka dan suspek bersama sebuah lagi kereta yang dipandu rakannya itu memecut ke arah Jalan Santong,” katanya.


Menurutnya, dia kemudian menghubungi beberapa rakan yang tinggal jalan itu dan memaklumkan mereka terserempak dengan suspek sebelum mereka bertindak membaling batu ke atas cermin kereta yang dilarikan namun suspek terus memecut ke arah Bandar Al-Muktafi Billah Shah.


“Sepanjang mengejar kenderaan itu saya langsung tidak teringat menghubungi polis kerana panik dengan situasi itu sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun membuat laporan, kira-kira jam 9 pagi,” katanya.

Khairul Hafis berkata, keesokan harinya (semalam) dia menerima panggilan daripada polis memaklumkan keretanya itu yang sudah ditukar nombor pendaftaran ditemui ditinggalkan di tepi jalan di Pasir Gudang, Johor.


“Saya dimaklumkan semua tayar dan kusyen kenderaan termasuk komputer riba milik saya dalam kereta hilang dilarikan pencuri itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan menerima laporan kejadian.