Search This Blog

Thursday, September 27, 2012

Dadah: Warga Nigeria digantung



SHAH ALAM 26 Sept. - Seorang peniaga warganegara Nigeria dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 1,425.6 gram syabu pada pertengahan tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Hendry Igwebuike Nwaorah, 33, selepas mendapati tertuduh gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Tribunal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dekat sini pada 4 petang, 6 Jun 2011.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Menurut Hakim Noor Azian, pembelaan tertuduh mendakwa tidak mengetahui tentang dadah dibawanya itu ditolak mahkamah memandangkan lelaki itu membawa sebuah beg ketika ditangkap.

Pegawai bank hadapi 19 tuduhan pecah amanah



IPOH 26 Sept. - Seorang pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 tuduhan pecah amanah membabitkan kerugian berjumlah RM98,520.96, antara 2009 dan tahun lalu.
Syahrul Abdul Majid, 35, turut menghadapi lima tuduhan menipu seorang lelaki di Mahkamah Majistret di sini berhubung wang pelaburan simpanan tetap berjumlah RM50,000, pada tahun lalu.
Bapa kepada tiga anak itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.
Di Mahkamah Sesyen, Syahrul didakwa atas 11 tuduhan melakukan pecah amanah ke atas wang berjumlah RM64,000 bagi tujuan pelaburan di Ambank cawangan Jalan Yang Kalsom dan CIMB Bank cawangan Ipoh Garden antara 16 Disember 2009 dan 18 April 2011.
Tertuduh turut menghadapi tiga tuduhan sama di mahkamah berasingan membabitkan wang berjumlah RM34,520.96 di antara 1 Mac dan 20 April 2011 di Ambank cawangan Jalan Yang Kalsom.

Pekerja ladang bunuh peguam ke tali gantung



SHAH ALAM 26 Sept. - Akibat berang dipanggil anak pelacur, seorang pekerja ladang warganegara India bertindak mengelar majikannya yang juga seorang peguam, dengan sebilah parang sebanyak 18 kali sehingga mati di sebuah kuil pada tahun lalu.
Hari ini tertuduh, R. Narayanan, 25, menerima balasan atas perbuatannya itu apabila Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap lelaki tersebut.
Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh bersalah membunuh mangsa yang juga merupakan ahli perniagaan, Datuk R. Anpalagan, 56.
Narayanan didakwa membunuh Anpalagan dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221, Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, Kapar di sini pada pukul 9.30 malam, 13 Jun tahun lalu.

1,006 pengedar dadah ditahan

TAIPING 26 Sept. - Polis Perak menahan sebanyak 1,006 orang pesalah yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di seluruh negeri ini sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, kesemua mereka ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan sebahagian besarnya sudah dituduh di mahkamah.
Menurut beliau, jumlah itu tidak termasuk 71 pengedar yang ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas serta ditempatkan di pusat pemulihan akhlak atau dikenakan sekatan.
"Sepanjang bulan Ogos sahaja, kita berjaya menahan 18 pengedar di seluruh negeri ini dengan 16 daripadanya telah didakwa di mahkamah iaitu mewakili 90 peratus.
"Sejak mengambil alih tugas ini dua minggu lalu, saya sedang berusaha mengatur dan merancang pelbagai strategi bagi memerangi sindiket dadah yang berleluasa termasuk menutup laluan masuk dadah dari negeri berhampiran," katanya

8 terkorban feri karam



Sebahagian mangsa yang selamat dalam nahas feri karam, berehat di sebuah pusat penempatan sementara di Banten, Indonesia, semalam. - REUTERS
JAKARTA 26 Sept. - Sekurang-kurangnya lapan maut apabila sebuah feri membawa lebih 200 penumpang, karam di perairan Selat Sunda, pulau Sumatera, hari ini selepas feri itu berlanggar dengan sebuah kapal kargo.
Menurut jurucakap Agensi Pengawalan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho, feri KMP Bahuga Jaya karam kira-kira pukul 4.20 pagi ini.
Seramai 207 penumpang berjaya diselamatkan.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan berkata, selain penumpang, feri berkenaan turut membawa puluhan kenderaan termasuk trak, kereta dan motosikal.
Media tempatan melaporkan, feri milik syarikat PT ASDP Indonesia Ferry itu tenggelam setelah berlanggar dengan kapal tangki Norgas Canthika yang mengibarkan bendera Singapura.

Lori sarat muatan 15 tan ganja ditahan di Mesir



KAHERAH 27 Sept. - Polis Mesir semalam berjaya merampas sejumlah 15 tan ganja dari sebuah lori yang sarat dengan muatan, rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara ini.
Lori yang dikenali masyarakat tempatan sebagai `bango’ itu ditahan ketika cuba melalui sebuah terowong di bawah Terusan Suez dipercayai ia diseludup dari Semenanjung Sinai dan dibawa ke Lembah Nil.
``Pemandu lori itu ditahan bagi soal siasat pemilik dadah itu. Ia merupakan rampasan terbesar dalam sejarah negara ini,’’ kata ketua keselamatan wilayah Suez, Jeneral Adel Rifaat. - REUTERS

Suspek rompak RM1.23j ditemui keletihan

TAIPING 26 Sept. - Selepas lebih seminggu menjadi buruan polis, seorang pengawal keselamatan yang disyaki menembak mati rakan sekerjanya sebelum melarikan enam beg berisi wang RM1.23 juta, akhirnya berjaya diberkas malam tadi.
Suspek ditahan kira-kira pukul 11 malam di kawasan hutan berbukit di Kampung Syed Omar, Perlis oleh anggota pasukan khas Polis Perak dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Perlis.
Lelaki berusia 25 tahun itu ditemui keletihan dipercayai kelaparan dalam hutan tanpa sebarang bekalan makanan selepas bersembunyi sejak beberapa hari lalu.
Pemeriksaan polis turut menemui wang tunai RM7,250 dan mata wang Thailand 550 baht (RM54) bersama suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek dipercayai memasuki Thailand melalui laluan tikus di sempadan negara sebelum masuk semula ke Malaysia beberapa hari lalu.

Skim gores dan menang: Pensyarah universiti antara masuk perangkap

Pensyarah universiti antara masuk perangkap
Hock Sing bersama Asisten Superintendan Dzulkhairi Moktar
dan Inspektor Sabri Nasir menunjukkan barangan yang dirampas
dari sindiket penipuan cabutan bertuah.
BUKIT  BERUANG -  Pensyarah  universiti antara yang menjadi mangsa sindiket penipuan cabutan bertuah 'gores dan menang' di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, sindiket yang mula melakukan kegiatan itu sejak Ogos lalu menyasarkan kawasan tumpuan pelancong termasuk pasar raya sekitar bandar ini, selain universiti.

Menurutnya, hasil risikan dan kerjasama orang ramai, JSJK negeri melakukan serbuan di empat premis di Taman Melaka Raya dan di Jalan Munshi Abdullah, dekat sini, kira-kira 9.30 pagi kelmarin.

“Seramai enam suspek iaitu lima lelaki dan seorang perempuan berusia antara 19 hingga 30 tahun ditahan. Mereka berasal dari Selangor, Perak dan Melaka, serta dua daripada mereka positif dadah.

“Perniagaan yang dijalankan di atas sebuah syarikat tidak berdaftar ini menawarkan hadiah lumayan seperti barangan elektronik yang sebenarnya harganya jauh lebih rendah," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Hock Sing berkata, serbuan berkenaan melibatkan rampasan bara-ngan bernilai RM105,000.

Katanya, antara yang dirampas adalah 16 penapis air, selain Kenko Water System (9 unit), tilam jade (lima unit), Kochima Elektric Technology Of Japan (13 unit), Digital Sound System (satu unit) dan Nano Digital Stove (empat unit).

"Sindiket berkenaan memperdayakan mangsa dengan meminta menggores tiket yang memerlukan mereka membayar sehingga RM6,200 atau tidak mendapat apa-apa," katanya.

Menurutnya, ketika serbuan sebahagian besar suspek sedang tidur dan mereka berpengalaman seawal tiga bulan hingga dua tahun.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tiga pelajar Nigeria ditahan, syabu bernilai RM 40,000 dirampas

GEORGE TOWN - Polis menahan tiga pelajar Nigeria dan merampas dua kilogram syabu bernilai kira-kira RM400,000 di Pangsapuri Widuri, Butterworth Selasa lepas.

Turut dirampas ialah mata wang tempatan dan dolar Amerika yang keseluruhan bernilai RM34,000. Sebuah kereta Proton Saga juga disita.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata bertindak dari hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menyerbu rumah itu pada pukul 2.30 petang dan menahan tiga pelajar kolej swasta berkenaan yang berusia antara 24 dan 32 tahun.

"Dua dari mereka belajar di negeri ini dan seorang lagi belajar di Kuala Lumpur dan hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati salah seorang daripada mereka masuk negara ini sejak tujuh bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas program Polis Diraja Malaysia bersama pelanggan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan cara pembungkusan dadah itu, polis yakin ia telah diseludup dari luar negara dan dibawa masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan.
Abdul Rahim berkata menyalah guna visa pelajar untuk mengedar dadah didapati kembali popular di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu diminta menghubungi pihak polis.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mengenai program bertemu pelanggan itu, Abdul Rahim berkata ia dijadikan program bulanan dan terbahagi kepada peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen.
Katanya pelaksanaan program pada peringkat IPD akan dijalankan pada hari Khamis minggu pertama bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan setiap Sabtu minggu ketiga dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

Peringkat IPK pula akan mengadakan program ini setiap hari Khamis minggu keempat bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, katanya.- Bernama

Remaja maut rempuh kereta



Remaja maut rempuh kereta
Ab Hadi menunjukkan kawasan Mohd Alif merempuh kereta yang membuat pusingan U, petang kelmarin.
KOTA BHARU - “Semasa keluar untuk ke kelas tambahan, anak saya nampak seperti tergesa-gesa, namun kegelisahan saya menunggu kepulangannya di rumah terjawab, apabila menerima berita dia terlibat dalam kemalangan,” kata ibu mangsa kemalangan, Siti Subanu Deraman, 36.

Menurutnya, sebelum ini anak sulungnya itu, Mohd Alif Zubair, 15, sering menaiki motosikal milik datuknya yang digunakan untuk berulang-alik ke sekolah, namun nasibnya tidak baik pada hari itu apabila motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, Mohd Alif yang dipercayai dalam perjalanan balik ke rumahnya gagal mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan U di simpang jalan Kem Kijang di sini.

Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan.

Menurut saksi kejadian. Ab Hadi Derahman, 59, motosikal yang dinaiki mangsa dari arah Badang ke Kem Kijang, manakala kereta dari arah yang sama melakukan pusingan U.

“Saya terkejut bila mendengar bunyi hon motosikal yang nyaring dan dentuman yang kuat.

“Apabila keluar dari kedai runcit, saya lihat seorang remaja terbaring di samping kereta yang dilanggarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya siasatan di jalankan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Curi 35 unit meter air dalam satu malam



Curi 35 unit meter air dalam satu malam
Meter air yang dipercayai dicuri di kawasan daerah Perak Tengah, 21 September lalu.
SERI ISKANDAR - Hanya satu malam diperlukan seorang lelaki berusia 46 tahun untuk mencuri 35 unit meter air dari kediaman-kediaman penduduk di sekitar daerah Perak Tengah, sebelum dia diberkas pada 21 September lalu.

Kegiatan lelaki berkenaan disedari orang ramai yang memberkasnya pada hari berkenaan ketika sedang mencabut meter air di salah sebuah rumah penduduk di Kampung Durian Kudung, Bota, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 5.40 pagi yang mana lelaki berkenaan telah dikepung oleh penduduk yang kemudian menangkapnya sebelum menghubungi polis.

"Polis sememangnya sedang memburu suspek kerana pada malam kejadian, kita telah menerima sebanyak 14 laporan berhubung kes kecurian meter air daripada orang ramai.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek, kita berjaya menemui sejumlah unit meter air berkenaan dalam guni yang dibawa suspek untuk menjalankan kegiatannya," katanya.

Menurut Mohd Fakri, suspek menjalankan kegiatan berkenaan secara bersendirian dengan menggunakan motosikal dan dipercayai memilih lokasi dari Titi Gantong sehingga Kampung Nasaruddin, Bota.

Katanya, maklumat pada pengenalan diri suspek menunjukkan dia tinggal di Ayer Tawar dan dipercayai menjual meter berkenaan kepada pembeli besi buruk dengan harga RM50 setiap satu unit.

"Kita percaya penangkapan suspek telah berjaya menyelesaikan 16 kes kecurian meter air di kawasan ini dan polis berharap orang ramai melaporkan segera setiap kejadian jenayah yang berlaku di kawasan mereka agar tindakan segera dapat diambil.

"Ini merupakan kes pertama seumpamanya di daerah ini. Buat masa ini, kita dapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau turut memaklumkan, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Peniaga didakwa cabul anak jiran

AYER KEROH - Seorang peniaga makanan ringan mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas dakwaan mencabul seorang anak jirannya.

Hanafi Jojari, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif semalam.

Mengikut pertuduhan, Hanafi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memeluk, meraba punggung dan cuba membuka baju mangsa dengan niat mahu mencabul.

Perbuatan itu dilakukan di Bukit Rambai, kira-kira jam 4.30 petang pada 22 September lalu.

Hanafi dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dipenjara maksima 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhamad Juhari Haron, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad Juhari memohon mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ida Rahayu membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan  menetapkan 31 Oktober depan tarikh sebutan semula kes.

Tak mengaku salah rasuah kakitangan pejabat kadi



Tak mengaku salah rasuah kakitangan pejabat kadi
Lim (kemeja putih) ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah.
JOHOR BAHRU - Seorang ahli perniagaan tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan memberi suapan RM1,000 kepada seorang kakitangan Pejabat Kadi Daerah Kluang, bulan Februari lalu.

Tan Lim, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memberi rasuah kepada Pembantu Hal Ehwal Islam, Mohd Anuar Kosnin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya, seorang warga Indonesia yang dikenali Aksyah yang ditahan atas kesalahan berjudi.

Dia yang hadir ke mahkamah ditemani peguam bela, G Parameswaran dituduh melakukan perbuatan itu Pejabat Penguatkuasa, Pejabat Kadi Daerah Kluang 8 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, Lim didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mohamad Haidar membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd Faizal Sadri.

19 maut pesawat bawa pendaki Everest terhempas



KATHMANDU 28 Sept. - Sebuah pesawat yang membawa 19 orang turun dari Gunung Everest terhempas di dalam sungai di pedalaman ibu negara Nepal itu hari ini, mengorbankan kesemua penumpang dan krew termasuk tujuah rakyat Britain dan lima China.
Pesawat dua enjin Sita Air baru sahaja berlepas dari Kathmandu dan menunjuk ke bandar Lukla, pintu masuk untuk ke puncak tertinggi di dunia apabila terhumban di tebing sungai berhampiran bandar lapangan terbang di awal pagi.
Para saksi mendengar jeritan para penumpang dan nyalaan api keluar dari salah satu sayap pesawat tersebut sebelum ia terhempas.
Pihak berkuasa lapangan terbang berkata, juruterbang memaklumkan pesawat itu merempuh seekor burung beberapa saat sebelum nahas itu berlaku.
Ia adalah nahas udara keenam di Nepal dalam tempoh dua tahun, di mana 76 orang telah terkorban sebelum ini sehingga menimbulkan persoalan berhubung tahap keselamatan udara di negara kecil itu. - AFP

Kes bunuh warga emas: Reman dilanjut tujuh hari



Kes bunuh warga emas: Reman dilanjut tujuh hari
Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani untuk mendapatkan perintah reman.
SUNGAI PETANI – Perintah tahanan reman ke atas lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang penoreh getah warga emas dekat Bukit Lembu dilanjutkan sehingga 2 Oktober depan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang berkata, perintah reman dilanjutkan tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes bunuh itu.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

Bagaimanapun, katanya, seramai lapan lelaki yang ditahan sebelum ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dalam kejadian sama sudah dibebaskan.

“Polis menahan tiga lelaki lain dan kemudiannya menahan enam lagi semalam, yang disyaki terbabit dalam insiden rusuhan di lokasi sama mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kesemua sembilan lelaki diberi perintah reman sehingga 28 September ini.

Dalam kejadian 17 September lalu, kira-kira jam 11 malam, sekumpulan penjenayah terdiri daripada 15 hingga 20 orang merusuh ke ladang berkenaan bertindak menyerang beberapa individu sebelum menembak mangsa.

Mangsa, Kalyani Krishnan, 57, yang mempertahankan anaknya dari terus diserang maut terkena tembakan yang dilepaskan penjenayah, sementara tiga mangsa termasuk anaknya cedera ditetak dalam pergaduhan itu.

Dalam kejadian sama, beberapa kenderaan seperti motosikal, kereta dan van turut mengalami kerosakan apabila dibakar dan dirosakkan.

19 tuduhan pecah amanah, tipu



19 tuduhan pecah amanah, tipu
Syahrul dibawa keluar daripada mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas kesalahan pecah amanah dan menipu di sini, semalam.
IPOH - Seorang ejen pelaburan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 19 tuduhan pecah amanah dan menipu membabitkan wang lebih RM100,000 di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Syahrul Abdul Majid, 35, dari Desa Lang Indah di sini dituduh melakukan perbuatan tersebut antara Disember 2009 hingga Ogos tahun lalu.

Bagi 14 pertuduhan, Syahrul dihadapkan di dua kamar Mahkamah Sesyen berasingan iaitu sebanyak 11 kes disebut di depan Hakim Julie Lack Abdullah manakala tiga kes lagi di depan Hakim Madihah Harullah dengan jumlah terendah membabitkan wang RM4,000 untuk satu transaksi manakala tertinggi ialah RM15,000.

Syahrul dituduh melakukan semua kesalahan terbabit di Ambank Cawangan Jalan Yang Kalsom dan CIMB Cawangan Ipoh Garden membabitkan wang berjumlah RM98,520 antara 16 Disember 2009 dan 20 April tahun lalu.

Semua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda.

Bapa kepada tiga anak itu, turut didakwa di Mahkamah Majistret kerana melakukan lima kes penipuan terhadap seorang lelaki berusia 33 tahun dengan memintanya melabur dalam simpanan tetap yang tidak wujud di Ambank Cawangan Jalan Yang Kalsom.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu membabitkan nilai terendah RM5,000 dan tertinggi RM20,000 antara 1 Jun hingga 18 Ogos tahun lalu.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Tertuduh didakwa di depan Majistret Shamshol Azwa Martadza. 

Madihah dan Shamshol Azwa menetapkan 10 Oktober ini untuk kes disebut semula manakala Julie Lack menetapkan 30 Oktober untuk sebutan kes manakala dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dilakukan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof, Nadiah Isa, S Kavitha dan Siti Nora Shariff.

Peguam tertuduh, Khairilazwar Khalil memohon agar mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana keluarga tertuduh tidak mampu membayar jaminan yang dikenakan.

Bagaimanapun, keluarga tertuduh bersedia untuk menyerahkan geran tanah dan maklumat penilaian aset berkenaan sebagai cagaran menggantikan wang tunai.

Padah laju, pemandu maut kereta terbabas



Padah laju, pemandu maut kereta terbabas
Keadaan kenderaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Banting, BNO, semalam.
SABAK BERNAM - Seorang pemandu yang dalam perjalanan menghala ke Sungai Besar maut setelah kereta dipandunya terbabas sebelum bertembung kenderaan dipandu pasangan suami isteri dari arah Sabak Bernam di Jalan Kampung Banting, BNO, jam 8 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa, Mohd Syahmy Amran, 22, memandu seorang diri maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, kereta Proton Arena berwarna merah dipandu mangsa terbabas ketika melalui selekoh tajam di Jalan Kampung Banting sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Kenderaan mangsa kemudian berpusing sebelum bertembung  kereta  Perodua Kancil dipandu pasangan suami isteri berkenaan.

“Pasangan suami isteri yang sedang dalam perjalanan ke pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah hanya mengalami kecederaan ringan," katanya sambil memaklumkan kepada  Sinar  Harian  bahawa kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 atas kesalahan memandu kenderaan secara melulu.

Sementara itu,  pemandu Perodua Kancil berkenaan, Amirrudin Darusalam, 42, berkata,  ketika kejadian kereta mangsa dipandu dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan merempuh pembahagi jalan.

Menurut Amiruddin, dia cuba menggelakkan merempuh kenderaan mangsa, namun tidak berjaya kerana kereta mangsa dipandu laju.

“Saya dan isterinya mengalami luka kecil akibat pertembungan itu membuat laporan polis selepas kejadian itu.

“Isteri saya  kini masih berada dalam keadaan trauma akibat daripada kejadian itu," katanya.

Pegawai khas diugut tembak



SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
27 September 2012
Pegawai khas diugut tembak
Kim Kuang (duduk, paling kanan) dan rakannya Shium Chan Teck (berdiri, kanan) menunjukkan nombor talian telefon bimbit yang digunakan lelaki tidak dikenali untuk mengugutnya.
JOHOR BAHRU – Hanya kerana memberi nasihat dalam satu sidang media, pegawai khas kepada salah seorang wakil rakyat di negeri ini menerima ugutan bunuh  daripada seorang lelaki yang menghubunginya melalui telefon bimbit, kelmarin.

Lee Kim Kuang, 51 atau lebih dikenali sebagai Anthony mendakwa, dia menerima ugutan akan ditembak oleh seorang lelaki yang menghubunginya ketika sedang melawat sebuah keluarga di pangsapuri Taman Tasik, di sini, kelmarin.

“Saya terima panggilan daripada seorang lelaki pada kira-kira jam 11.17 pagi semalam (kelmarin) dan terkejut dia memanggil saya dengan nama penuh, sedangkan orang di sekeliling hanya memanggil saya dengan gelaran Anthony.

“Talian terputus sebaik sahaja dia memanggil nama saya, dan saya cuba menghubunginya semula kerana bimbang dia mungkin memerlukan pertolongan.

“Namun sebaliknya saya diugut akan ditembak oleh lelaki berkenaan kerana mendakwa telah menyinggung perasaan rakannya sewaktu saya berucap dalam satu sidang media dua hari lalu,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Kim Kuang berkata, dia yang bimbang mengenai keselamatan dirinya dan keluarga segera membuat laporan polis berhubung kejadian itu, selepas dinasihatkan beberapa rakan.

Menurutnya, dia tidak menyangka ucapannya dalam sidang media berkenaan menimbulkan rasa kurang senang kepada sesetengah pihak, sedangkan tujuan utamanya adalah untuk memberi nasihat selaku pegawai khas kepada wakil rakyat.

“Dalam sidang media itu saya hanya beri nasihat secara umum kepada masyarakat agar rujuk kepada wakil rakyat jika ada sebarang masalah dan tidak gunakan media atau pembangkang untuk bangkitkan sesuatu isu.

“Saya tidak berniat untuk menyindir atau menyinggung perasaan mana-mana pihak dan berharap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Kuang berkata, kejadian seumpama itu merupakan yang pertama dialaminya selepas berkhidmat lebih empat tahun sebagai pegawai khas wakil rakyat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Premis rosak dilanda ribut



Puad Yunus menunjukkan bumbung rumahnya yang tercabut akibat dilanda ribut di Telok Air Tawar, Pulau Pinang, semalam. - utusan/Norazlina Ismail
BUTTERWORTH 26 Sept. - Sebuah bangunan yang bakal dijadikan Balai Polis Teluk Air Tawar rosak teruk akibat dilanda ribut yang berlaku di kawasan itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi, bumbung bangunan kedai itu diterbangkan angin sejauh 100 meter serta bertaburan di atas jalan raya.
Menurut Baharom Kamis, 74, kejadian itu kali pertama berlaku di kawasan tersebut dan ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Bagan Belat dekat sini.
"Saya terdengar bunyi kuat melintasi bumbung rumah dan apabila keluar, saya nampak angin kencang menerbangkan bumbung bangunan kedai milik anak saya.
"Sebaik sahaja tiba di hadapan bangunan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah, saya dapati sebahagian besar bumbung bangunan itu tercabut dan ada di antaranya terjatuh di atas jalan," katanya ketika ditemui hari ini.
Tambahnya, sebuah kereta hampir terbabas kerana mengelak bumbung yang terjatuh namun tiada kemalangan atau kecederaan berlaku.
Selain bangunan itu, beberapa buah rumah di Kampung Teluk Air Tawar berhampiran turut mengalami kerosakan akibat bumbungnya diterbangkan angin ribut.
Kejadian sama turut menimpa beberapa rumah di Kampung Permatang Tok Gelam dan Kampung Pangkalan Batu, Tasek Gelugor yang menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.
Seorang penduduk, Puad Yunus, 55, berkata, kejadian ribut itu adalah yang terburuk pernah berlaku sejak dia berpindah ke kampung itu setahun lalu.
"Ketika kejadian saya sedang berehat di rumah dan terdengar bunyi kuat namun tak sangka bumbung rumah diterbangkan angin kerana dilindungi siling.
"Sebaik saja keluar, saya terkejut melihat separuh bumbung rumah saya diterbangkan ribut dan rumah kakak saya yang terletak bersebelahan juga mengalami nasib sama," ujarnya.
Sementara itu di Kampung Pengkalan Batu, seorang penduduk, Mohd. Johari Puteh,68, mendakwa kerugian hampir RM12,000 apabila bumbung rumahnya rosak teruk.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Rahim Mohd. Alif berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan segera dalam usaha meringankan beban mangsa ribut terbabit.

Isteri sakit rayu suami pulang



Isteri sakit rayu suami pulang
Azlina (tengah) dan dua anaknya menatap gambar Shari yang sehingga kini menghilangkan diri.
KLANG - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu gambaran sesuai bagi kehidupan seorang wanita yang digantung tidak bertali oleh suaminya yang sehingga kini hilang tanpa khabar berita.
Lebih menyedihkan, wanita malang itu dan dua anaknya kini berdepan masalah kesihatan dan kewangan.

Azlina Zainal Abidin, 36, berkata, kini dia terpaksa menggalas tanggungjawab besar demi membesarkan dua anaknya Muhammad Ikhram Shari, 13, dan Noor Iliza Izati Shari, 10.

Katanya, dia terpaksa berdikari mencari sumber pendapatan untuk menampung kehidupan mereka bertiga di samping membayar kos rawatan anaknya yang menghidap penyakit sawan, asma dan jantung.

Menambah lagi penderitaan keluarga itu, Azlina turut menghidap asma dan barah payu dara di tahap serius.

Disebabkan masalah kesihatan, mereka sekeluarga sering berulang alik ke klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan.

Lebih malang, pembedahan ke atas Azlina yang dijadualkan sebelum terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah kewangan.

Azlina berkata, kedua-dua anaknya sakit sejak kecil dan disebabkan itu mereka jarang dapat pergi ke sekolah sehingga diberikan amaran oleh pihak sekolah.

“Pernah satu hari, anak sulung saya, Muhammad Ikhram hampir maut kerana saya lewat menghantarnya ke hospital," katanya.

Menurutnya, ketika suaminya, Shari Amir@Amie, 43,  masih ada di sisinya, kehidupan mereka bahagia walaupun susah, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Katanya, ketika itu, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di premis rumah kedai lama usang dan turut menjadi sarang penagih dadah di Jalan Taman Kem.

"Untuk mencari sesuap nasi, suami mencari besi buruk dan barangan terpakai, sementara saya menjaga anak," katanya.

“Hampir setiap hari saya diganggu dan disebabkan tidak sanggup lagi tinggal di situ, kami berpindah ke Flat Samudera, di Pulau Indah tidak lama kemudian,” katanya.

Azlina berkata, nasib mereka bertambah baik selepas itu apabila menerima bantuan kewangan dan kediaman daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Wanita malang itu berkata, kebahagiaan tersebut disangkanya akan berpanjangan namun tiba-tiba suami menghilangkan diri sejak Oktober tahun lalu.

"Suami beri alasan ingin keluar menemani anak saudaranya dari Sabah menjalani pembedahan jantung di Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, mereka kini terpaksa mengharapkan belas ihsan jiran, justeru dia merayu suaminya pulang ke pangkuan mereka sekeluarga.

Katanya, dia mengharapkan sumbangan pihak yang prihatin dengan nasib mereka dan Azlina boleh dihubungi di talian 016-9475950.

Polis cari dua lelaki terlibat kes samun doktor



Amiruddin Deraman, Muhammad Irwan, Fakhruldin Abdul Ghafar
KOTA BHARU 27 Sept. - Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan melarikan sebuah kereta jenis Mitsubishi Grandis milik seorang doktor di Kampung Demit di sini 18 September lalu.
Polis berjaya mengesan kenderaan tersebut yang ditinggalkan di sebuah rumah di Kampung Padang Enggang pada Sabtu lalu selepas dikejar oleh sepasukan anggota unit peronda polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, lelaki terbabit ialah Mohd. Amiruddin Deraman, 23, atau dikenali dengan panggilan ‘Butir’ berasal di Kampung Pasir Kota, Pintu Geng.
Menurutnya, seorang lagi rakannya yang dicari ialah Muhammad Irwan Shah Ibrahim, 20, beralamat di Kampung Paloh, Pintu Geng dan dia dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar bandar ini.

Suami isteri ditahan reman

JOHOR BAHRU - Polis menahan suami isteri berusia lingkungan 20an bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, pihaknya menahan pasangan terbabit di Rengit, Batu Pahat, Isnin lalu.

“Selepas dua kali mengelak, polis berjaya menahan pasangan ini. Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku apabila polis tiba di rumah terbabit malah mereka menyerah diri kepada polis,” katanya, di sini, semalam.

Difahamkan, suami isteri itu bertindak meninggalkan kediamannya di Taman D’Utama, di sini, dan menetap di rumah saudara mereka di Batu Pahat bagi mengelak daripada ditahan polis.

Ruslan berkata, pasangan terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret, di sini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Selain itu, katanya, pembantu rumah itu kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pembantu rumah dikenali Marsini yang didakwa dipukul oleh majikannya dengan menggunakan kayu hoki, senduk panas dan air panas nekad melarikan diri dari kediaman majikannya sebelum ditemui merayau oleh orang awam di sekitar Taman Perling, sekitar jam 12.15 tengah hari, Isnin lalu.

Tiga termasuk seorang wanita dicari kes bom molotov

JOHOR BAHRU 28 Sept. - Polis mencari tiga individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes membaling bom molotov di kediaman dua pegawai kastam di Taman Pelangi dan Taman Sri Pulai Perdana di sini pada 12 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dr. Hashim Haron berkata, ketiga-tiga mereka ini yang bukan berasal dari negeri ini diminta tampil bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut kejadian tersebut.
Mereka ialah Yip Soon Kent, 25, beralamat terakhir di Nombor 6, Jalan Harmonium 16, Taman Desa Tebrau; Chuah Seong Khoon, 40, dari Nombor 37, Jalan Belibis 7, Taman Perling dan Lee Sew Kian, 37, beralamat di Nombor 5, Jalan Bukit Kempas 1/17, Taman Bukit Kempas. - UTUSAN

5 ditahan kes culik DJ radio



5 ditahan kes culik DJ radio
Lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam penculikan penyampai radio Best 104 Julie Diana Omar Shariff Sabtu lalu ditahan reman di Mahkamah Majistret hari ini - Foto Bernama
 DJ nyaris jadi mangsa culik, bunuh, bakar
Julie Diana menunjukkan kecederaan yang dialaminya.
SENAI – Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam penculikkan penyampai radio (Dj) Best 104 , Julie Diana Omar Shariff atau lebih dikenali sebagai JD, yang dilarikan lebih 10 lelaki, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dr Hashim Haron berkata, kesemua suspek berumur 15 hingga 21 tahun itu ditahan sekitar negeri ini, kira-kira jam 2 pagi, semalam, bagi membantu siasatan.
Penahanan lima lelaki itu menjadikan tujuh lelaki yang dicekup polis iaitu membabitkan teman rapat DJ berusia 34  itu yang berusia 40an kira-kira jam 4 petang Ahad lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Lima lelaki itu dipercayai adalah individu yang diupah membabitkan kes percintaan tidak berbalas.
Sementara itu JD yang popular dengan segmen Melodi Senja dan Variasi memberitahu Sinar Harian di masih trauma selepas kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.
“Saya diberikan cuti selama sebulan oleh doktor kerana trauma akibat kejadian itu..mungkin dua atau tiga minggu lagi, saya akan mampu kembali bekerja namun buat masa ini saya akan berehat untuk menenangkan fikiran," katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada keluarga, kenalan rakan termasuk pihak pengurusan dan rakan sekerjanya di Best 104 begitu mengambil berat mengenai keadaan dirinya malah tidak jemu-jemu memberi sokongan moral supaya JD pulih seperti biasa.
“Jika saya kembali bertugas pada masa terdekat, saya lebih selesa untuk bekerja di belakang tabir buat sementara waktu kerana masih belum bersedia untuk keudara, namun saya akan kembali ke konti semula,” katanya.

Hajat lepas gian terbantut, bertempiran elak dicekup



Hajat lepas gian terbantut, bertempiran elak dicekup
Lapan penagih yang ditahan dalam ‘Ops Tapis Bersepadu’ kelmarin.
ROMPIN - Hasrat sekumpulan penagih dadah melepaskan gian dalam ladang kelapa sawit terbantut, apabila mereka terpaksa lari lintang pukang selepas menyedari kehadiran polis di kawasan itu.

Itu yang dialami sekumpulan penagih yang menjadikan kawasan Ladang Kelapa Sawit Felda Keratong 1, di sini, sebagai tempat melepaskan gian pada waktu tengah hari dan petang kerana lokasinya yang sunyi dan tersorok.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan lapan individu lelaki dalam ‘Ops Tapis Bersepadu’ yang dijalankan bermula jam 1 petang dan berakhir jam 3.30 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, daripada lapan yang ditahan, lima individu dipercayai positif dadah jenis morfin selepas ujian urin dijalankan terhadap kesemua suspek.

“Polis menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan penagihan dadah di kawasan itu dan setelah beberapa kali intipan dibuat, kami menjalankan serbuan di ladang itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, operasi diketuai Inspektor Zulkarnain Hassan Ghazali itu dibantu lima polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, lima polis bantuan dan tiga Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Beliau berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 28 adalah rakyat tempatan dan menetap di kawasan berhampiran.

Lelaki maut kereta terhumban ke dalam cerun



Lelaki maut kereta terhumban ke dalam cerun
Keadaan kereta yang dipandu mangsa.
KULAIJAYA – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terhumban ke dalam cerun kira-kira empat meter sebelum ditemui orang ramai di Kilometer 2, Kulaijaya-Kota Tinggi, di sini, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Mangsa, Muhammad Fadzil Bakri, 27, yang memandu seorang diri menaiki Proton BLM sedang menghala ke Kota Tinggi apabila tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui sebuah selekoh lantas merempuh dua pokok di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya yang mengesahkan kejadian berkata, rempuhan kuat berkenaan menyebabkan bahagian hadapan dan sisi kereta remuk sehingga mangsa tersepit hampir dua jam di bahagian pemandu.

“Ketika ditemui, mangsa sudah meninggal dunia dalam keadaan tersepit sehingga pihak polis terpaksa memanggil Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu mengeluarkan mayat sebelum dihantar ke hospital Kulaijaya.

“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap kenderaan tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berlaku antara jam lima hingga enam pagi berikutan keadaan enjin kereta yang sudah sejuk,” katanya.

Zulkefly berkata, faktor jalan yang lengang di lokasi kejadian menyebabkan kemalangan itu hanya disedari pengguna jalan raya lain pada jam 7 pagi sebelum dilaporkan kepada pihak polis.

“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut hanya membabitkan sebuah kenderaan yang dipandu mangsa dan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar.

Dalam pada itu, Zulkefly turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan mematuhi had laju ditetapkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, mayat mangsa juga sudah dituntut keluarganya di unit Forensik Hospital Kulaijaya untuk urusan pengebumian petang semalam.

Polis giat buru suspek sembelih ibu tunggal



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2012
Polis giat buru suspek sembelih ibu tunggal
Ismail Abu
ALOR SETAR – Polis giat memburu suspek yang sanggup mengelar leher seorang ibu tunggal menggunakan senjata tajam dipercayai parang dalam satu insiden awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, pihak polis masih memburu suspek dan sedang mengenal pasti identitinya.
“Berdasarkan maklumat awal, kita mengesyaki mangsa mungkin mengenali suspek tersebut. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Ismail berkata, keadaan mangsa sehingga tengah hari tadi (semalam) masih belum sedarkan diri dan terpaksa dimasukkan ke dewan bedah kerana luka yang terdapat pada leher mangsa amat parah.

Katanya, kecederaan itu menyebabkan saluran pernafasan mangsa terjejas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, tindakan kejam penyamun tergamak mengelar leher seorang ibu tunggal menyebabkannya nyaris maut ketika tinggal sendirian di rumahnya di Jalan Bukit, Teroi, Gurun.

Menurut laporan itu, semasa kejadian, mangsa Jamaliah Ali, 55, tinggal seorang diri di rumah berkenaan setelah adiknya keluar menghantar anak ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

Jiran mangsa hanya menyedari kejadian berlaku setelah mangsa yang cedera parah itu datang meminta pertolongan.

Remaja ketua Geng Padang Tapong



Remaja ketua Geng Padang Tapong
Manoharan meninjau rangka motosikal menjadi sasaran dua kumpulan curi motosikal yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Besut.
BESUT – Seorang remaja dikatakan anak lelaki ketua kumpulan curi kereta ‘Hassan Budu’ berusia 14 tahun antara tujuh lelaki ditahan kerana dipercayai menjadi ketua sebuah kumpulan mencuri motosikal yang dianggotai remaja dan pelajar sekolah di daerah ini.

Dengan tertangkapnya anggota dua kumpulan berasingan itu di beberapa lokasi di daerah ini turut membawa kepada penemuan 39 buah rangka dan tiga kulit enjin motosikal dipercayai dicuri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Superintendan K Manoharan berkata, anak Hassan Budu dipercayai menjadi ketua  Geng Padang Tapong  yang aktif mencuri motosikal di daerah ini.

Menurutnya, kejayaan polis menangkap dua remaja terbabit di sekitar Kampung Tok Has, Jertih pada 9 September lalu telah membawa penahanan seorang lagi remaja menjadikan keseluruhan yang ditangkap daripada kumpulan itu seramai tiga orang termasuk pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah.

“Tiga suspek dari Geng Padang Tapong yang ditahan itu berusia 14 hingga 16 tahun dan berjaya merampas dua rangka motosikal yang dipercayai motosikal curi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Kamsani Hassan.

Manoharan berkata, polis masih lagi meneruskan siasatan ke atas kumpulan ini dan sedang mengesan tiga individu dikenal sebagai Kimie, Pop dan Nasa bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, sebuah kumpulan lagi dikenal Timur terdiri daripada empat remaja lelaki berjaya ditahan di sekitar Kuala Besut berikutan tertangkapnya salah seorang daripada mereka pada 12 September lalu.

“Hasil penahan suspek Geng Timur telah membawa kepada penemuan 36 rangka motosikal kebanyakannya dari jenis Honda EX-5 dan tiga kulit enjin motosikal yang dibuang di dalam Tali Air Sungai Besut dekat Ampangan Pengairan Pangkalan Nangka, dekat Kuala Besut di sini.

“Kesemua yang ditahan dalam kumpulan kedua ini berusia 18 hingga 20 tahun membabitkan masing-masing seorang pengawal keselamatan dan jurujual di sebuah pasar raya di Kuala Besut, seorang tukang rumah dan penganggur,” katanya.

Beliau berkata, daripada 36 rangka dipercayai motosikal curi termasuk dilaporkan hilang sejak 2006 hingga sekarang.

Kata beliau,  ada antara rangka motosikal yang ditemui itu bukan sahaja yang dilaporkan di negeri ini tetapi juga turut membabitkan yang dilaporkan hilang di Kelantan, Kuantan dan Kuala Lumpur.

Polis turut mengesan dua individu dicari bagi membantu siasatan kes kumpulan Timur itu yang dikenali Nuar dan Idi Semerak.

Menurutnya, modus operandi kedua-dua kumpulan ini adalah mencari sasaran di kawasan beli-belah atau pasar raya yang sibuk dengan pengunjung dan menjadi motosikal Honda EX-5 dan Yamaha RXZ yang tiada kunci tambahan atau tidak dikunci ‘handle’.

“Suspek kemudiannya akan memasukkan kunci pendua berbentuk T ke dalam lubang suis sebelum menghidupkan dan melarikan motosikal tersebut. Suspek hanya mengambil komponen motosikal untuk dijual atau diguna sendiri manakala rangkanya dibuang,” katanya.

Tukang urut ditahan



Tukang urut ditahan
Lima warga Vietnam dan seorang wanita tempatan yang ditahan di sebuah premis, semalam.
AYER KEROH - Lima wanita asing disyaki tukang urut dan seorang wanita tempatan ditahan dalam operasi khas kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial, petang kelmarin.

Mereka dipercayai warga Vietnam berusia antara 20 dan 30 tahun, dikatakan sedang menanti kehadiran pelanggan di dalam premis berkenaan apabila serbuan dilakukan.

Serbuan khas itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, diketuai Inspektor Salim Ahmad, kira-kira jam 3.45 petang.

Ketika serbuan dilakukan, seorang wanita tempatan dipercayai penjaga premis turut berada di bangunan berkenaan yang ketika itu tidak mempunyai pengunjung.

Bagaimanapun, keadaan terkawal berikutan mereka tidak meloloskan diri dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Pegawai Turus D7 negeri, Asisten Superintendan Azhar Abdul Rahim berkata, semua wanita asing itu dipercayai bekerja tanpa permit sah sebagai tukang urut, sekali gus menyalahgunakan pas lawatan sosial dimiliki mereka. 

“Dalam serbuan sama, kita turut menahan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an untuk tindakan lanjut,” katanya, semalam.

Tauke jadi mangsa fitnah dera, pukul pekerja



Tauke jadi mangsa fitnah dera, pukul pekerja
Salmidah menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kecewa dengan tindakan pekerja membuat fi tnah terhadapnya.
MELAKA - Pemilik sebuah restoran 24 jam di sini, menafikan dia menyeksa dan memukul sembilan pekerjanya sehingga menyebabkan mereka lari dan membuat kenyataan dalam sebuah akhbar tempatan Jumaat lalu.

Pemiliknya, Salmidah Palmaany, 40, turut menafikan dia membayar gaji kurang daripada jumlah sepatutnya dan mengarahkan kesemua pekerja warga negara India dan Pakistan berusia 25 hingga 35 tahun itu berhenti kerja dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, kejadian bermula selepas suaminya, Yusof Kasim, 41, menegur lima pekerja yang minum minuman keras di asrama disediakan di Taman Kerjasama, di sini berhampiran, sehingga tidak datang bekerja pada 19 September lalu.

“Pada 19 haribulan, suami minta pekerja menunjukkan sijil sakit selepas mereka tidak datang bekerja dengan alasan tidak sihat, mereka yang kemudian datang ke restoran bertindak lari selepas ditegur suami kerana minum arak menyebabkan mereka tidak boleh bekerja pada hari tersebut.

“Dua hari selepas itu, empat orang lagi pekerja kami pula tidak datang bekerja dipercayai dihasut oleh lima pekerja yang terdahulu,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.

Salmidah berkata, dia dan suami terkejut apabila dihubungi rakan-rakan dan memberitahu mengenai kenyataan dalam laporan akhbar (bukan Sinar Harian) dibuat pekerja terbabit pada 28 September lalu.

“Menurut laporan akhbar itu, kami sebagai majikan telah memukul, tidak membayar gaji dengan jumlah sebenar terhadap sembilan pekerja termasuk lima pekerja yang kini telah mula bekerja sebelum laporan itu dikeluarkan.

“Kami terkejut mengenai laporan itu yang menuduh kami berbuat sedemikian sedangkan ia tidak benar sama sekali,” katanya yang mempunyai 21 pekerja setakat ini.

Menurutnya, berikutan hal itu, dia dan suami membuat laporan terhadap fitnah pekerjanya di Balai Polis Melaka Tengah pada hari sama, selain membuat keputusan membatalkan permit empat pekerja sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Kami kesal dengan apa yang berlaku, sedangkan kami menyediakan kemudahan kepada pekerja termasuk rumah penginapan yang dipenuhi kelengkapan,” katanya.

Bekas pekerja kilang dibebaskan dari tuduhan membunuh



BUTTERWORTH - Seorang bekas pekerja kilang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan melakukan pembunuhan secara tidak sengaja hingga menyebabkan kematian seorang lelaki India, M. Chandra Segaran, (berusia 41 tahun ketika kejadian) dua tahun lepas.
 
Hakim Mahkamah Sesyen, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.
 
Tertuduh J. Anbu Selvaa, 25, dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah kedai kopi di Simpang Tiga, Tasek Gelugor pukul 6.30 petang 16 Mei 2010.
 
Anbu Selvaa dituduh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
 
Tertuduh diwakili peguam bela Simon Murali dan Sukhindarpal Singh, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhafizah Haron.
 
Keputusan pembebasan Anbu Selvaa itu disambut gembira oleh ahli keluarganya yang menunggu sejak awal pagi di perkarangan mahkamah.
 
Abangnya J.Thinakaran,34, yang ditemui pemberita berkata mereka sekeluarga memang yakin bahawa Anbu Selvaa tidak bersalah kerana dia bertindak mempertahankan dirinya semasa diserang oleh si mati dan adiknya ketika kejadian dua tahun lepas. - Bernama

Pelajar perempuan dibelasah rakan sekelas

KUALA LIPIS - Seorang pelajar lelaki tingkatan enam, di sini, ditahan selepas terbabit dalam kes pukul dan samun rakan sekelasnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang semalam, mangsa, pelajar perempuan berusia 18 tahun dipukul dengan helmet di kepala, selain ditendang berkali-kali oleh suspek.

Menurutnya, suspek turut bertindak melarikan rantai leher mangsa yang bernilai RM1,000 selepas membelasah mangsa.

“Kes itu dipercayai gara-gara rakan wanita suspek gagal menjelaskan hutang yang tidak diketahui jumlahnya,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, dalam kejadian di Rumah Rehat Tanjung Lipis itu, mangsa ditemani tiga rakannya bertemu suspek dipercayai bagi menyelesaikan kes hutang berkenaan.

“Tiba di tempat berkenaan, suspek terus melenting dan bertindak memukul mangsa. Mangsa yang cedera di kepala dan muka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Abdul Razak berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal, bagaimanapun berjaya ditahan polis pada jam 8 malam selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 6.10 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu kes jenayah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang akan dibicarakan Oktober ini.

“Suspek kini ditahan reman di lokap Balai Polis Kuala Lipis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Buaya muncul di Sungai Lembing



Buaya muncul di Sungai Lembing
Buaya muncul di Sungai Lembing
Buaya muncul di Sungai Lembing
Zainab bersama Niyamil menunjukkan tempat yang didakwa anaknya ternampak kelibat buaya jenis tembaga (gambar kiri) tersebut di Sungai Kuala Kenau.
KUANTAN – Belum reda kisah sekumpulan gajah yang menyerang kebun di Kampung Kuala Kenau di sini, kini penduduk digemparkan pula dengan kehadiran buaya di sungai ini menyebabkan mereka tidak lagi berani untuk ke sungai.

Penduduk, Zainab Chik, 52 mendakwa minggu lalu anaknya yang dikenali sebagai Kahar memberitahu melihat kelibat sang bedal itu di Sungai Pasir Kubur ketika sedang memasang pukat di kawasan tersebut.

Menurutnya, selepas dimaklumkan, dia terus pergi ke tempat tersebut namun buaya itu sudah tiada.

“Sebelum ini, kami memang selalu memasang pukat di sini, tetapi sejak anak saya terlihat kelibat buaya tersebut, kami sudah tidak berani lagi ke sungai. Buaya jenis tembaga itu dipercayai sepanjang dua meter panjang.

“Memang ada satu lubuk di sungai ini dikenali sebagai Lubuk Penaga, namun kami tidak pernah pula mendengar ada buaya di sungai ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Kenau, Niyamil Hassan berkata, kemungkinan buaya yang dilihat penduduk tersesat ke sungai ini.

Menurutnya, jika dilihat pada faktor keadaan semasa, air sungai di sini tidak sesuai dengan habitat buaya tersebut memandangkan ia lebih sejuk kerana berdekatan dengan air terjun.

“Pada tahun 1940an saya hanya mendengar cerita ada buaya di sungai, namun selepas itu tidak lagi timbul kisah tersebut.

“Bagaimanapun, kami masih juga bimbang keselamatan orang kampung dan juga pelancong dari luar yang tidak melepaskan peluang untuk bermandi manda di Pusat Perkelahan Pasir Kubur yang mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.

Niyamil berkata, setiap hujung minggu dan cuti sekolah, pusat perkelahan ini akan dipenuhi orang ramai dan bimbang ada kejadian yang tidak diingini menyebabkan keselamatan serta nyawa pengunjung terancam.

Beliau berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan dan melakukan pemantauan bagi mengesan akan kewujudan haiwan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan, Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya belum menerima aduan daripada penduduk, bagaimanapun akan memantau keadaan sungai di kawasan Sungai Lembing ini dan akan mengambil tindakan segera sekiranya reptilia itu ada di sungai tersebut.

Diserang sakit jantung ketika menunggang motosikal

Diserang sakit jantung ketika menunggang motosikal

Hamid mengadu sukar bernafas serta sakit di bahagian dada.
ALOR SETAR – "Tolong, tolong pakcik sesak nafas," teriak seorang warga emas dengan nada tersekat-sekat selepas mengalami serangan jantung ketika menunggang motosikal di Bulatan Telok Wanjah di sini, baru-baru ini.

Kejadian berlaku kira – kira jam 11.30 pagi ketika Hamid Saaid, 67, menunggang motosikal berseorangan dan setelah tiba di tempat kejadian mangsa dikatakan mengalami kesukaran bernafas serta sakit di bahagian dada sebelah kiri sebelum motosikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas.

Saksi yang enggan namanya disiarkan, berkata dia menunggang motosikal di belakang mangsa ketika kejadian.

“Saya melihat sebuah motosikal terbabas dan penunggangnya terjatuh. Saya segera mengangkat mangsa yang ketika itu mengadu sakit di dada sebelah kiri dan sukar bernafas," katanya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.