Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

'Saya tidak dapat memaafkan pembunuh suami saya'


Zanariah Mat Ramli
Zanariah Mat Ramli
KAMUNTING – "Saya tidak dapat memaafkan pembunuh yang telah menembak suami saya. Saya mahu pihak berkuasa mengenakan hukuman yang sewajarnya ke atas suspek yang telah menembak suami saya," luahan isteri mangsa tembak pegawai keselamatan, Hasnol Hafiz Saad, 28.
Zanariah Mat Ramli, 27, berkata, beliau tidak menyangka kejadian seumpama itu boleh menimpa arwah suaminya.
“Kini saya perlu terima ketentuanNya dengan tabah dan meneruskan hidup seperti biasa walaupun arwah telah tiada,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Kampung Sungai Relong, di sini semalam.
Beliau berkata, walaupun kini telah mengetahui enam suspek yang terlibat dalam kejadian itu berjaya ditahan pihak polis, namun hatinya masih tidak tenang kerana suspek utama masih belum dikesan.
“Saya memang harap sangat individu yang terlibat dan bertanggungjawab di atas kematian arwah segera diberkas supaya hukuman yang sepatutnya dijatuhkan kepadanya,” katanya.
Tambah beliau lagi, sejak kejadian itu berlaku, beliau banyak mendapat sokongan dan nasihat daripada ahli keluarga, kawan-kawan termasuk ibu mertua.
“Saya juga bersyukur kerana walaupun setelah ketiadaan arwah, ahli keluarga dan orang sekeliling sentiasa ada memberikan dorongan dan semangat supaya saya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Malah ibu mertua juga sentiasa memberikan nasihat supaya selepas ini dapat menjaga diri dengan baik,” katanya.
Sementara itu, bapa beliau, Mat Ramli Abd Hamid, 60, berkata, beliau bersyukur kerana telah ada suspek yang berjaya ditahan.
“Terima kasih kepada pihak polis kerana cepat menjalankan siasatan sehingga berjaya menahan enam suspek yang terlibat dalam kes tembakan Hasnol,” katanya.
Walaupun enam suspek yang terlibat telah ditahan, namun beliau tetap mahu suspek utama yang terlibat dalam kes tembakan menantunya 18 September lalu dihadapkan kemuka pengadilan.
“Saya rasa sangat tidak berpuas hati disebabkan kejadian itu kami sekeluarga telah kehilangan arwah buat selama-lamanya.
“Arwah juga adalah menantu lelaki pertama dalam keluarga dan kehilangannya memang begitu terasa,” katanya.
Mat Ramli berkata, beliau sekeluarga amat berharap agar pihak polis dapat meneruskan usaha mengesan suspek.

Warga India ke tali gantung kerana bunuh peguam



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga India selepas dia didapati bersalah membunuh majikannya, peguam Datuk R. Anpalagan di sebuah kuil di Kampung Perepat, Klang, dua tahun lepas.
 
Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap R. Narayanan, 25, melampaui keraguan munasabah.
 
Dalam penghakimannya, beliau menolak alasan pihak pembelaan bahawa provokasi merupakan punca berlakunya kejadian bunuh itu.
 
Sebaliknya, Mohd Sofian berkata tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan dan kematian mangsa.  

Sepanjang perbicaraan, 17 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun dan Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi sementara tertuduh diwakili peguam S. Selvam.
 
Peguam Datuk Salehuddin Saidin hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.
 
Narayanan didakwa membunuh Anpalagan, 56, dengan menetak mangsa menggunakan parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221 Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, pada 9.30 malam, 13 Jun tahun lepas.
 
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Mangsa meninggal dunia akibat 18 kesan tetakan di bahagian leher.
 
Sejurus hakim membuat keputusan, isteri mangsa yang juga seorang peguam, Toh Puan A. Thelagam membuat pernyataan mengenai impak perbuatan Narayanan terhadap keluarganya.

Thelagam berkata kematian Anpalagan atas perbuatan kejam tertuduh telah memberi banyak kesan fizikal, mental dan emosi kepada beliau dan anak perempuan tunggal mereka berusia 12 tahun.
 
Wanita itu berkata perbuatan tertuduh membunuh suaminya di kuil milik mangsa dan melarikan diri dengan barangan kemas juga tidak dapat diterima keluarganya.
 
"Saya sering menanam sikap kepercayaan dan keyakinan dalam kemanusiaan, dan awak, Rajangam Narayanan (tertuduh) telah merampas itu daripada saya. Kami tidak lagi akan berasa betul-betul selamat di dunia ini dan tidak lagi dapat mempercayai seperti sebelum ini.
 
"Dunia saya telah berubah selama-lamanya, saya telah kehilangan masa lalu dan masa depan saya, setiap hari saya berusaha untuk memberi tumpuan terhadap kerja saya dan tidak ada apa-apa yang dapat melupakan saya terhadap penyeksaan yang dihadapi oleh suami penyayang saya.
 
"Saya berharap kematian Datuk (Anpalagan) bukan sia-sia. Hukuman yang dijatuhkan terhadap Rajangam Narayanan mempunyai potensi untuk mempengaruhi pemikiran dan tindakan pekerja asing lain, yang boleh menyelamatkan nyawa. Saya akan sentiasa berbangga dengan suami saya yang merupakan seorang manusia luar biasa yang mempunyai jiwa yang suci," katanya sambil menangis.
 
Suasana hiba juga terasa apabila Thelagam dilihat memeluk rakan-rakan dan anggota keluarganya selepas prosiding berakhir. - Bernama

Suspek kes bunuh, samun RM1.2 juta ditahan

Suspek kes bunuh dan samun
Suspek utama kes bunuh dan samun wang tunai syarikat keselamatan berjumlah 
RM1.2 juta di Taiping minggu lalu direman tujuh hari bagi membantu siasatan polis - Foto Bernama
IPOH - Seorang pengawal keselamatan yang disyaki menembak mati rakan sekerjanya dan melarikan wang tunai RM1.2 juta di Aulong, Taiping, minggu lepas, ditahan di Bukit Kampung Syed Omar, Kangar, Perlis semalam.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 11 pagi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Perlis.
 
"Dengan tangkapan itu, kes itu dianggap selesai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau berkata polis turut merampas wang tunai RM7,250 dan mata wang Thai 550 Bath daripada lelaki terbabit.
 
Jumaat lepas, polis menahan enam suspek iaitu empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 dan 30-an bagi membantu siasatan kes itu.
 
Dalam kejadian 18 Sept lepas, pemandu van syarikat keselamatan, Hasnul Hafiz Saad, 28, mati di tembak empat das dari jarak dekat ketika mangsa dan rakan sekerjanya dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai di beberapa bank di bandar Taiping. - Bernama

Pengawal keselamatan kedai emas cedera ditembak



PETALING JAYA - Seorang pengawal keselamatan sebuah  kedai emas  cedera ditembak dalam rompakan di sebuah kedai Emas di Jalan Othman Old Town kira-kira 4 petang tadi.

Saksi kejadian yang berada berhampiran lokasi kejadian  berkata mangsa yang cedera ditemui terbaring berlumuran darah disudut pintu masuk kedai berkenaan.

"Saya terdengar bunyi letupan dari kedai emas dan nampak salah  seorang daripada perompak bertopi itu melarikan diri dengan sebuah  motorsikal," katanya.

Pengawal keselamatan yang cedera itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Polis Perak: Kes bunuh pemandu selesai

Hasnul Hafis Saad
Hasnul Hafis Saad

IPOH – Polis mengklasifikasikan kes bunuh membabitkan seorang pemandu kenderaan syarikat di Taiping, 18 September lalu selesai dengan penahanan seorang lelaki yang disyaki suspek utama dalam kes berkenaan, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, hasil maklumat dan kerjasama orang ramai, Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, berjaya ditahan di kawasan  bukit di Kampung Syed Omar, Kangar Perlis pada jam 11 pagi.

Menurutnya, dalam penahanan itu, polis turut merampas wang tunai RM7,250 dan mata wang Thailand bernilai 550bath.

“Ini merupakan kejayaan pasukan khas yang ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, kita juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberi kerjasama dan maklumat sehingga tertangkapnya suspek,” katanya.

Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini.

Sebelum ini, gerakan awal polis ke rumah lelaki berkenaan di Taman Kaya gagal apabila kediaman itu ditinggalkan kosong.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Hasnul Hafis Saad, 28, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan das tembakan di bahagian badan dan perut.

Mangsa yang menaiki van bersama suspek menghantar wang bernilai lebih RM1.2 juta, bagaimanapun Mohd Hafizuddin dilihat melarikan diri bersama wang rompakan bersama individu lagi dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic warna hitam.

64 cedera, 38 ditahan tunjuk perasaan di Sepanyol

MADRID: Polis Sepanyol berkata 38 ditahan manakala 64 yang lain cedera apabila pihak berkuasa negara itu bertempur dengan penunjuk perasaan yang berdemonstrasi menentang langkah pengurangan dan kenaikan harga cukai.

Ribuan penunjuk perasaan tertumpu di bangunan Parlimen Sepanyol di tengah-tengah Madrid hari ini, di mana lebih 1,000 anggota polis menghalang laluan ke bangunan berkenaan. Jurucakap polis Kebangsaan, berkata 27 yang tercedera terdiri daripada anggota polis. - AP

Pegawai kolej swasta didakwa pecah amanah


KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bahagian sumber manusia di sebuah kolej swasta hari ini mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pecah amanah membabitkan wang pembayaran gaji berjumlah RM495,000 tiga tahun lepas.
Nadiah Kamaruddin, 35, yang bekerja di syarikat Cosmopoint Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini melakukan kesalahan pertama hingga ketiga dengan cara memasukkan wang itu ke dalam dua akaun Maybank dan satu akaun CIMB Bank miliknya antara 29 Mei 2009 dan 10 Februari 2012, berjumlah RM367,746.01.
Bagi dua lagi pertuduhan, ibu kepada empat anak termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan itu didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan wang berjumlah RM127,263.78 dengan cara memasukkan wang itu ke akaun Ambank milik suaminya antara 31 Mei 2010 dan 30 Disember 2011.
Nadiah, yang kini digantung tugas, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Cosmopoint Sdn Bhd di Jalan Tiong Nam berdekatan (off) Jalan Raja Laut di sini dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, serta boleh didenda jika sabit kesalahan.
Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan yang memerlukan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Hakim juga menetapkan 29 Oktober untuk sebutan kes. – BERNAMA

Sembilan keluarga tinggal sehelai sepinggang lapan rumah terbakar di Kampar

IPOH: Sembilan keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas lapan kediaman termasuk sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Tronoh Mine, Kampar malam semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zainuddin Mat Daud berkata, kejadian berlaku jam 12.07 tengah malam membabitkan premis separuh batu dan kerugian dianggar RM400,000. Pihak bomba mengambil masa empat jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat. - BERNAMA

Pegawai khas ADUN lapor polis dakwa diugut


JOHOR BAHRU - Seorang pegawai khas kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh daripada seorang individu, semalam.
Anthony Lee Kim Kwang, 51, membuat laporan berkenaan petang semalam di Balai Polis Taman Johor Jaya, di sini selepas menerima ugutan menerusi panggilan telefon pada 11.17 pagi semalam.
"Panggilan itu diterima ketika saya sedang mengikuti satu program lawatan di Rumah Pangsa Laman Tasik Pandan, di sini. Ia adalah suara lelaki yang menjerit nama saya iaitu ‘Lee Kim Kwang’ sebelum panggilan itu kemudian terputus,” katanya kepada pemberita pada pertemuan yang diatur MCA Cawangan Permas Selatan, di sini hari ini.
Kim Kwang berkata, dia kemudian bertindak menghubungi semula nombor terbabit dan suara lelaki yang sama kemudian bertutur dalam loghat Hokkien dengan mengugut mengatakan akan mencari dan menembaknya. - BERNAMA

9 keluarga jadi mangsa selepas 8 rumah terbakar

IPOH – Sembilan keluarga tinggal sehelai sepinggang setelah lapan kediaman termasuk sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Tronoh Mine, Kampar malam semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zainuddin Mat Daud berkata, kejadian berlaku pukul 12.07 tengah malam membabitkan premis separuh batu dan kerugian dianggar RM400,000.
Pihak bomba mengambil masa empat jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA

Kelindan maut, pemandu parah


Keadaan salah sebuah lori yang remuk selepas melanggar dua lori lain di Kilometer 306 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Ipoh, semalam.
IPOH 25 Sept. - Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di Kilometer (Km) 306 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini awal pagi ini.
Dalam nahas pada pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Syahir Mohd., 24, dari Bukit Katil, Melaka yang tersepit maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat manakala pemandu lori yang masih belum dikenal pasti identitinya turut dirawat di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang membawa muatan barangan elektrik itu melanggar lori di hadapan sebelum kedua-duanya terbalik dan melintang di tengah jalan.

10 lelaki larikan 5 kereta dari bilik pameran


ANGGOTA polis menjalankan siasatan selepas lima kereta dilarikan 10 lelaki dari bilik pameran kereta Honda di Sungai Long, Hulu Langat pagi semalam.
HULU LANGAT 25 Sept. - Sekumpulan 10 lelaki bertindak nekad memecah masuk sebuah bilik pameran kereta Honda di Sungai Long di sini dan melarikan lima buah kereta yang diletakkan dalam premis itu awal pagi ini.
Selain itu, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi, penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang, kapak dan pisau turut mengikat dua pengawal keselamatan yang bertugas di pusat pameran itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob berkata, selepas mengikat kedua-dua mangsa, penjenayah berkenaan kemudian melarikan tiga kereta model Honda Accord serta sebuah Honda Civic dan Honda CRV.

Lima terkorban bangunan runtuh di timur India

NEW DELHI 25 Sept. - Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam kejadian bangunan runtuh di bandar Pune, di timur India, semalam.
Menurut Ketua Polis KS Takawale, bangunan empat tingkat itu masih dalam kerja-kerja pembinaan dan mangsa kejadian adalah pekerja di bangunan tersebut.
Katanya lagi, 15 pekerja lagi dikhuatiri terperangkap di bangunan tersebut dan operasi menyelamat masih diteruskan. - DPA

60 GRO Vietnam ditahan

HULU LANGAT 25 Sept. - Rahsia sebuah pusat hiburan di daerah Kajang berselindung di sebalik pusat latihan nyanyian terbongkar apabila diserbu polis di Batu 11, Cheras di sini malam tadi.
Serbuan yang dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pukul 11.40 malam itu mengesan kegiatan haram premis tersebut yang beroperasi sebagai pusat hiburan selain menyediakan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO).
Pegawai Turus Polis D7 IPK Selangor, Deputi Supritendan Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menahan 53 wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai GRO di pusat hiburan itu.
"Lesen pusat nyanyian yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan digunakan premis itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Janda cedera parah disembelih


Rohani Omar (dua dari kiri) menunjukkan lokasi di mana Jamaliah Ali disembelih dengan parang di Kampung Teroi, Jalan Bukit, Yan, Kedah, semalam.
YAN 25 Sept. - Seorang janda cedera parah akibat disembelih dengan parang oleh seorang lelaki yang dipercayai dikenali mangsa di rumahnya di Kampung Teroi, Jalan Bukit di sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Jamaliah Ali, 55, tinggal seorang diri di rumah kerana adiknya, Habsah Ali, 52, menghantar dua anaknya ke sekolah.
Suami Habsah, Shamsuri Osman, 41, pula keluar bekerja.
Kejadian yang menimpa Jamaliah hanya disedari kira-kira 10 minit kemudian oleh ibu saudaranya, Rohani Omar, 54, apabila mangsa menggoncang pintu depan rumah Rohani yang terletak 30 meter dari rumah mangsa.
Sebaik sahaja ternampak Jamaliah di depan pintu, Rohani terkejut mendapati leher, kepala dan muka Jamaliah berlumuran darah manakala mata dan dagunya pula lebam.
...

Lelaki rogol wanita selepas temuduga ditahan

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Seorang lelaki yang merogol dan merompak wanita selepas sesi "temuduga" yang dilakukan di dalam bilik hotel, ditahan polis awal hari ini di sebuah rumah di Seksyen 27, Shah Alam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata hasil risikan polis, lelaki berusia 29 tahun itu yang diklasifikasikan sebagai perogol bersiri dan amat dikehendaki polis sejak 2010, ditahan di rumahnya pada 2 pagi ketika sedang tidur.
Beliau berkata modus operandi lelaki itu ialah mengiklankan tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di internet, khas untuk golongan wanita sahaja.
Suspek akan menghubungi mangsa yang kononnya disenaraikan pendek bagi mengatur sesi temuduga di hotel-hotel mewah dengan meminta mangsa mendaftar masuk atas nama mangsa sendiri.
"Dia akan bagi alasan tak bawa kad pengenalan lah, duit tertinggal la. Ini semua bagi mengelakkan namanya direkod dan disyaki pihak berkuasa. Mangsa sebelum itu juga diminta membawa barangan berharga seperti I-Pad, telefon bimbit dan sebagainya," katanya.
Ku berkata selepas dirogol, barangan berharga milik mangsa juga dilarikan, namun, mangsa tidak dicederakan.
Beliau berkata suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes yang sama, yang dikesan sejak 2010 di Kuala Lumpur dan Selangor berdasarkan modus operandi yang digunakan.
"Namun kita percaya suspek terlibat dalam banyak lagi kes, (yang sama), namun tidak dilaporkan mangsa," katanya dan meminta kaum wanita yang pernah menjadi mangsa lelaki itu supaya tampil bagi membantu siasatan polis.
Beliau berkata suspek yang merupakan seorang jurujual direman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan rogol serta melakukan rompakan. - BERNAMA

Dua hadapi tuduhan kencing pada mayat pejuang Taliban

tentera as
Tentera Amerika Syarikat (AS) yang didakwa kencing
ke atas beberapa jenazah Taliban di Afghanistan.

WASHINGTON - Dua anggota Marin Amerika Syarikat (AS) dihadapkan ke Mahkamah Tentera bagi menghadapi tuduhan  membuang air kecil ke atas mayat pejuang Taliban di wilayah Helmand, Afghanistan, Julai tahun lalu.

Joseph W Chamblin dan Edward W Deptola turut dituduh membenarkan aksi mereka dirakam bersama mangsa korban, manakala dua lagi anggota dikenakan tindakan disiplin.

Video tersebut tersebar meluas awal tahun ini di internet dengan menyaksikan empat individu memakai seragam tentera AS, membuang air kecil ke atas tiga mayat dan sedar perbuatan mereka sedang dirakam.

Penyebaran video berkenaan turut mencetuskan kemarahan rakyat Afghanistan termasuk presidennya, Hamid Karzai yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan menjijikkan.

Pegawai penyiasat tentera berkata, Ogos lalu, kesemua mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan ke atas video terbabit.

“Mereka menghadapi hukuman dalam tentera seperti penurunan pangkat, penambahan beban kerja dan tidak boleh terlibat dengan tugasan di luar kem,” katanya. -AP


13 pelombong mati, 7 terperangkap

Penarik kabel keluli terputus di dalam lombong arang batu di Baiyin, Gansu.
Penarik kabel keluli terputus di dalam lombong arang batu di Baiyin, Gansu.

BEIJING  - Sekurang-kurangnya 13 pelombong terbunuh, manakala tujuh lagi terperangkap selepas kabel penarik keluli terputus di lombong arang batu di utara-barat China.

Agensi berita Xinhua melaporkan, kemalangan berlaku di dua gerabak lombong arang batu di Baiyin di wilayah Gansu ketika 34 pelombong berada di dalam lombong berkenaan.

Agensi berkenaan menyatakan, 14 pelombong berjaya dikeluarkan.

Kemalangan maut di lombong arang batu kerap berlaku di China berikutan peraturan keselamatan pekerja sering diabaikan.

Tahun lalu, seramai 1,973 pelombong maut dalam letupan arang batu di negara itu. -AP

Pengguna facebook hina Nabi

SHAH ALAM - Belum habis dengan isu filem Innocence of Muslims, negara dikejutkan sekali lagi dengan tindakan seorang pengguna facebook yang turut menghina Rasulullah SAW dan Islam.

Pengguna Facebook itu telah membangkitkan kemarahan apabila statusnya menghina Nabi mula disebarkan oleh blog-blog.

Antara statusnya ditulis, "Nabi Muhammad SAW mengadakan hubungan seks dengan ALLAH...".

Ekoran dari itu, nama, nombor kad pengenalan, alamat rumah, alamat tempat kerja dan nombor plat kereta juga telah disebarkan.

Namun individu dengan akaun nama yang sama juga telah memohon maaf selepas menyedari akaunnya menjadi perhatian sejak beberapa jam lalu.

Dia memohon maaf dengan mendakwa akaunnya itu digunakan orang lain kerana telah digodam.

"Saya sudah lama tidak aktif Facebook kerana sibuk belajar, saya tidak pernah berminat memaki mana-mana agama.

"Logiknya tidak mungkin saya sendiri duduk di Malaysia dan berani buat perkara terkutuk sebegini dengan akaun dan gambar saya sendiri," katanya.

Padah simpan parang, penganggur dipenjara 6 bulan


GEORGETOWN - Gara-gara memiliki sebilah parang di hadapan sebuah restoran, seorang penganggur diarahkan Mahkamah Majistret di sini, semalam supaya dipenjarakan selama enam bulan.
Majistret Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu ke atas Quah Khoon Tatt, 28, selepas dia mengaku bersalah melakukannya.
Mengikut pertuduhan pertama, Khoon Tatt didakwa memiliki sebilah parang berukuran 22 inci di hadapan Restoran Pelita, Sungai Dua, dekat sini, kira-kira jam 7.45 pagi, 15 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Khoo Tatt turut dijatuhkan hukuman penjara sebulan atas perbuatan gopoh cuba memecut kereta dipandu yang membahayakan diri Asisten Suprintendan Mohd Naim Aswani.
Untuk itu, dia disabitkan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sampai tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Noor Aini memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan dari tarikhnya ditangkap iaitu 15 Julai lalu.

Gadis terjebak dalam masalah moral


JOHOR BAHRU – Keseronokan melakukan seks kali pertama selepas terpengaruh dengan video lucah di Internet menyebabkan seorang gadis berusia 13 tahun sanggup meniduri tujuh lelaki, termasuk beberapa penjawat awam, sejak awal tahun ini.
Tanpa memikirkan risiko ke atas dirinya, gadis kecil ini rela bersama lelaki berkenaan di hotel bajet dan rumah sewa di bandar raya ini, meskipun baru berkenalan beberapa hari menerusi Internet tanpa mengenakan bayaran.
Gadis berkenaan juga bangga menceritakan pengalamannya kepada rakan sekolahnya, sebelum aktiviti sumbangnya itu terbongkar apabila ibunya mengesyaki anaknya kerap keletihan setiap kali pulang ke rumah, selain sering dipanggil guru kaunseling berikutan masalah ponteng sejak Julai lalu.
Membuat pendedahan tersebut, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, perkara itu telah dirujuk kepada pihak polis dan JKM untuk tindakan susulan berikutan mangsa di bawah umur.
“Bagi menyelamatkan gadis berkenaan, kami terpaksa menahannya selama 30 hari di pusat perlindungan JKM mengikut Seksyen 46 (2) (bb) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membantu menjalankan siasatan.
“Selepas dirujuk ke mahkamah, remaja berkenaan diarahkan menjalani perintah tahanan sementara selama tiga tahun di Batu Gajah, Perak dan dia akan dihantar ke sana hujung bulan ini untuk proses pemulihan.
“Diharapkan pendedahan ini menjadi pengajaran kepada semua ibu bapa, supaya mengawasi tingkah laku anak-anak mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik,” katanya kepada media semasa Majlis Penutup Seminar Keselamatan Kanak-kanak dan Keluarga di @Mart Kempas, di sini, semalam.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng yang merupakan wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Johor, Dr Robia Kosai.
Dalam pada itu, Song Cheng ketika membacakan teks ucapan Robia memberitahu, statistik JKM negeri merekodkan sebanyak 133 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan telah diselamatkan sehingga Ogos tahun ini.
“Manakala pada tahun lalu menunjukkan sebanyak 158 kes kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Berdasarkan statistik ini ianya amat menyedihkan dan mendatangkan kebimbangan kepada kita apabila memikirkan adakah anak-anak kita selamat berada di persekitaran.
“Masyarakat perlu sedar tanggungjawab sebagai ibu bapa, anggota keluarga dan anggota masyarakat untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak mereka selain perlu mengambil tahu dan peduli bagi memastikan keselamatan masyarakat sekeliling terjamin,” katanya.

Restoran disimbah cat, ada kaitan ah long

Saiful Azly Kamaruddin
Restoran yang disimbah cat merah, malam kelmarin.

SEREMBAN – Sebuah restoran di Taman Jasper Jaya, di sini, disimbah cat merah dalam  kejadian kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, hasil siasatan mendapati papan tanda, pintu gelongsor hadapan dan lantai restoran disimbah cat merah.
Menurutnya,  siasatan awal juga mendapati, kejadian itu mempunyai kaitan dengan kegagalan melunaskan hutang daripada ah long berdasarkan aduan diterima daripada mangsa.
“Mangsa ke restorannya tengah malam tadi (kelmarin) dan terkejut melihat simbahan cat merah di merata-rata bahagian di depan kedainya.
“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya.
Saiful Azly berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6033222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ibu maut langgar anak

Muhammad Ikram
Muhammad Ikram tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat ibunya.

KLEBANG - Seorang anak sempat memangku ibunya selama 20 minit dan mengajar syahadah di saat wanita itu menghembuskan nafas terakhir selepas terlibat kemalangan di Jalan Tunku Abd Rahman, Batu Berendam, di sini, petang kelmarin.
Kejadian berlaku selepas dua beranak itu baru pulang mengambil motosikal roda tiga di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Ayer Keroh,  kira-kira jam 5 petang, kelmarin.
Kegembiraan mangsa, Sapiah Md Said, 42, yang memperoleh motosikal berkenaan selepas menunggu kelulusan pinjaman sejak dua tahun tidak dapat dikongsi bersama suami dan anak apabila dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Sapiah dalam perjalanan ke pasar tani di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah di sini, dengan menunggang Honda EX5 untuk membantu suaminya, Laksemana Salim, 48.
Sementara anaknya, Muhammad Ikram Laksemana, 18, pula menunggang motosikal roda tiga dengan muatan barangan jualan berisi keledek dan ikan keli.
Namun, sebaik tiba di tempat kejadian, Sapiah yang hilang kawalan kemudian terjatuh setelah motosikalnya melanggar belakang motosikal ditunggang anak sulungnya itu.
Akibat kemalangan itu, Sapiah cedera parah di kepala, manakala Muhammad Ikram cedera ringan di tangan selepas motosikalnya terbalik akibat perlanggaran berkenaan.
Ibu tercampak tengah jalan
Muhammad Ikram berkata, ketika menunggang berasingan dari arah Sungai Putat menuju UTC dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum menoleh dan melihat ibunya tercampak di laluan kanan jalan.
“Pada masa sama, motosikal ditunggang ibu merempuh motosikal saya, menyebabkan saya hilang kawalan sebelum terbalik.
“Saya yang tidak mengalami kecederaan serius terus berlari ke arah ibu yang sudah tertiarap di tengah jalan” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Permatang, Klebang, di sini, semalam.
Menurutnya, melihat keadaan ibunya yang parah, dia segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
“Sementara tunggu ambulans sampai, seorang pengguna jalan raya berhenti dan menawarkan pertolonganmenghantar ibu ke hospital tetapi dinasihatkan orang ramai untuk menunggu sahaja ambulans tiba apabila melihat keadaan ibu yang parah.
“Kira-kira 20 minit kemudian, ibu nazak dan menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya selepas saya membisikkan dua kalimah syahadah di telinganya," katanya.
Muhammad Ikram yang sedang menunggu keputusan permohonan belajar di GiatMara di negeri ini berkata, pembantu perubatan yang tiba kemudian mengesahkan kematian ibunya.
“Saya benar-benar tidak sangka kegembiraan ibu yang baru memperoleh motosikal roda tiga berakhir tragedi namun saya reda dengan pemergiannya,” katanya.
Sempat bersarapan bersama Sementara itu, Laksemana berkata, dia sempat bersarapan pagi bersama isterinya di sebuah kedai sebelum ke UTC untuk berniaga.
“Kira-kira jam 1 petang, isteri pulang ke rumah menaiki kereta kami untuk mengambil anak dari sekolah sebelum ke pejabat Fama untuk mengambil motosikal.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 5.30 petang, saya dihubungi seorang lelaki tidak dikenali yang memaklumkan isteri dan anak terlibat kemalangan sebelum lelaki terbabit datang mengambil saya di UTC dan membawa saya ke tempat kejadian,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suami isteri nyaris maut

Suami isteri nyaris maut
Pasangan suami isteri yang dalam perjalanan ke Kuantan selepas pulang
bercuti di kampungnya dekat Bachok Kelantan berdepan detik cemas apabila
kereta dinaiki terhumban.

BATU TUJUH – Kegembiraan pasangan suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas menziarahi ahli keluarga di kampung bertukar cemas, apabila kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian lebih kurang jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku ketika, Ahmad Shahrizad Amran, 39, bersama isteri, Roziana Hasliza Sulaiman, 30, dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuantan, selepas pulang bercuti di kampung halaman Roziana dekat Bachok, Kelantan.

Sebaik sampai di lokasi kemalangan di hadapan Sekolah Menengah Teknik Dungun itu, kenderaan Perodua Viva dipandu Shahrizad dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan, lalu merempuh pokok pinang di kaki lima dan terhumban ke dalam longkang.

Akibat kemalangan itu, kenderaan milik mangsa rosak teruk di bahagian depan serta pintu.

Pasangan suami isteri yang terperangkap di dalam kereta itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Dungun dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ahmad Shahrizad yang berasal dari Ipoh, Perak dan isterinya hanya cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar sebelum membuat laporan di Balai Polis Dungun berhubung kemalangan tersebut.

Sementara itu, polis masih menjalankan siasatan berkaitan kemalangan itu.

Padah dera anak

Kamalruddin Mohamed Ghani
Kamalruddin dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh
selepas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun di sini, semalam.

IPOH - Seorang buruh kasar dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian anak kandungnya di Kampung Baru Sambungan, Kamunting antara 1 hingga 2 November empat tahun lalu.
Tertuduh, Kamalruddin Mohamed Ghani, 31, mengaku bersalah di atas pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh telah menyebabkan kematian anak kandungnya, Rizaudin Kamalruddin, 4 tahun, di Kampung Baru Sambungan, di Taiping antara jam 5 petang, 1 November hingga jam 2 petang, 2 November 2008.
Berikutan itu, Kamalruddin telah melakukan homisid ke atas kanak-kanak tersebut yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan yang menyebabkan kematian.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah membaling mangsa ke dinding rumah berulang kali sehingga menyebabkan mangsa sakit dan sukar tidur pada 1 November 2008.
Kemudian pada 2 November tahun yang sama, tertuduh memukul mangsa dengan menggunakan rotan sehingga menyebabkan mangsa pengsan.
Mangsa didapati maut akibat kecederaan parah di kepala sepertimana yang dikeluarkan dalam laporan bedah siasat.

Pemilik buntu kereta lesap

Yi Pak Leong
Jimmy (kiri) bersama Pak Leong (tengah).

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja kilang di Singapura resah mengenangkan nasibnya apabila kenderaan miliknya lesap sejak Februari lalu.
Yi Pak Leong, 30, berkata, kereta jenis Honda Stream yang dibeli pada harga RM105,000 sejak setahun lalu, bagaimanapun terpaksa dijual kerana dia memerlukan wang.
Namun, setelah dia menyerahkan keretanya kepada seorang broker untuk dijual pada 26 Februari lalu, dia tidak mendapat sebarang perkembangan malah gagal menghubungi broker berkenaan.
“Saya mengenali broker itu menerusi abang saya yang pernah berurusan membeli kenderaannya dengannya beberapa tahun lalu. Ketika menyerahkan kenderaan terbabit, saya juga memberikan RM5,000 bagi pembayaran tiga bulan ansuran kenderaan itu.
“Bagaimanapun sejak kereta diserahkan, saya gagal menghubungi broker terbabit malah difahamkan dia tidak bekerja di syarikat jual kenderaan itu sejak Mei lalu.
“Kenderaan terbabit masih didaftarkan atas nama saya dan kenderaan itu telah dua bulan tertunggak wang ansuran. Saya khuatir kenderaan itu digunakan untuk perkara yang tidak baik yang akan menjejaskan nama saya,” katanya kepada Sinar Harian di Kelab Media Cina Selatan, di sini, semalam.
Pak Leong berharap broker terbabit dapat mengembalikan kenderaannya sebelum dia mengambil tindakan undang-undang.
Sementara itu Biro Guaman PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kes seperti itu kerap terjadi kerana mangsa tidak mempunyai dokumen penyerahan.
“Saya nasihatkan, jangan sesekali mempercayai orang persendirian untuk kes seperti ini, sebaiknya menjual kenderaan kepada syarikat yang ditauliahkan yang mempunyai rekod dokumentasi bagi sebarang tuntutan.
“Kita juga akan membantu Pak Leong untuk mendapatkan kenderaannya semulanya,"  katanya.

Gigit polis, buruh dipenjara dua minggu

Gigit polis, buruh dipenjara dua minggu
Mohd Nizar dipenjara dua minggu dan denda RM1,000 oleh
 Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam selepas mengaku
salah menghalang anggota polis menjalankan tugasnya.
KUALA TERENGGANU - Padah gigit jari polis, seorang buruh terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua minggu dan dikenakan denda RM1,000 atau sebulan lagi penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan, selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Nizar Musa, 32, dari Kampung Batu Hampar, Manir, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan menggigit jari seorang anggota polis berpangkat Konstabel ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, Muhammad Sahal Saufi menjalankan tugasnya di Jalan Pulau Manis, di sini, kira-kira jam 4.15 petang, 21 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Nizar yang ketika itu menunggang motosikal Yamaha Lagenda ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Pulau Manis, Manir, di sini.

Bagaimanapun, Mohd Nizar yang ketakutan, cuba melarikan diri ketika polis meminta menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu sebelum berlaku pergelutan antara dia dan mangsa.

Dalam pergelutan itu, mangsa cedera di jari kelengkeng selepas digigit sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut.

Nekad terjun, patah pinggang

Patah pinggang, nekad terjun
Kebakaran membabitkan kerugian kira-kira RM200,000, selain
turut menyebabkan seorang daripada tujuh penyewa
patah pinggang selepas terjun dari tingkat satu.

KUALA LUMPUR - Seorang daripada tujuh penyewa sebuah hotel bajet, patah pinggang selepas terjun dari tingkat satu untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran di Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini, awal pagi semalam.

Ketika kejadian berlaku, terdapat tujuh penyewa dikatakan sedang tidur di lima daripada 10 bilik di premis dua tingkat itu.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira jam 7.14 pagi, sebelum empat jentera bersama 31 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar sebuah bilik di bahagian tengah premis terbabit.

Katanya, bomba mengambil kira-kira 20 minit untukmengawal dan memadamkan api sepenuhnya.

"Hanya sebuah bilik musnah teruk, manakala sembilan lagi tiada sebarang kerosakan.

"Seorang penyewa warga Vietnam, Do Thanh Trung, 24, patah pinggang ketika cuba menyelamatkan diri. Dia terperangkap dan terpaksa pecahkan jeriji tingkap dan terjun dari bilik hotel," katanya.

Beliau berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Azizan berkata, enam penyewa lain sempat menyelamatkan diri keluar menggunakan tangga kecemasan.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kerugian setakat ini dianggarkan  RM200,000.

Empat jentera bomba dari Balai Bomba Pusat, Hang Tuah dan Pudu bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi memadam dan menyelamat.

Seorang nelayan ditemui mati, seorang hilang

KOTA KINABALU - Seorang nelayan ditemui mati lemas manakala seorang lagi masih hilang di persisir pantai Kampung Lok Simpul, Pulau Balambangan, Kudat ketika berenang untuk memasuki gua tepi laut bagi mencari sarang burung.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan berkata mayat Mohd Shah Ismail, 21, berasal dari Kampung Sim Sim Sandakan itu ditemui oleh pasukan Bot Maritim Penyelamat 10 setelah lebih 24 jam dilaporkan hilang.

"APMM telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat pada 12.34 tengah hari selepas menerima laporan daripada MRCC (Pusat Operasi dan Menyelamat Malaysia) Putrajaya dan MERS 999 RC Melaka pada Ahad lepas.

"Mangsa dilaporkan hilang sekitar 11.45 pagi di kawasan Perairan Kampung Batu Sireh, Pulau Balambangan pada 23 September," katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu berkata usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan untuk mengesan mangsa yang dikenali Ismail Abdullah, 38, berasal dari kampung yang sama. - Bernama

3 keluarga mangsa puting beliung

3 keluarga mangsa puting beliung
Azizzuddin (tengah) bersama Bendahari Umno Dun Mengkebang, Nor Yakin
Che Ahmad (kiri) melihat kerosakan rumah mangsa ribut di RPT
Mengkebang, Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI - Sekurang-kurangnya tiga keluarga di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Mengkebang, dekat sini, berdepan cetik cemas selepas kediaman mereka rosak teruk akibat dipukul ribut, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu merosakkan dua rumah di Kampung Keroh dan sebuah rumah di Blok Pasir Puteh, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Mengkebang.

Mangsa dari Blok Pasir Puteh, Che Rogayah Che Mamat, 48, berkata, kejadian ketika azan Asar itu menyebabkan struktur bumbung bahagian hadapan rumahnya diterbangkan angin dipercayai puting beliung.

“Kejadian juga menyebabkan sebahagian besar bumbung rumah saya rosak termasuk akibat ditimpa kayu dan zink bumbung yang tercabut,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Che Rogayah berkata, pusaran angin kencang buat kali kedua menyebabkan sebahagian bumbung yang tercabut diterbangkan ke belakang rumah manakala sebahagian lagi melekat atas bumbung ruang tamu.

“Walaupun tidak diterbangkan angin, ada bahagian bumbung rumah tercabut dan banyak zink perlu diganti baru sebab rosak,” katanya yang tinggal di rumah itu bersama lapan ahli keluarga termasuk anak, cucu dan menantu.

Anak Che Rogayah yang ada di rumah ketika kejadian, Norma Mustafa pula berkata, dia melihat bumbung bahagian hadapan rumahnya terangkat-angkat sebelum tercabut dan diterbangkan angin kencang.

“Saya terus dukung anak berusia dua bulan masuk dalam bilik tetapi bumbung dalam bilik pun bergegar dilanda ribut, jadi saya hanya mampu menjerit sebab tak tahu nak buat apa.

“Waktu itu tidak hujan, hanya angin kencang sahaja dan bila angin berhenti, baru hujan,” katanya yang bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat dalam kejadian itu.

Dua mangsa ribut di Kampung Keroh, Siti Hawa Jusoh dan Ramli Mahmud turut mengalami nasib sama apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang dalam kejadian itu.

Sementara itu, Penyelaras Dun Mengkebang, Azizzuddin Hussein berkata, ketiga-tiga keluarga terbabit diberikan bantuan segera termasuk zink, kayu dan papan dinding bagi membaiki kerosakan rumah mereka.

“Selain zink dan kayu, kita beri papan dinding untuk Siti Hawa kerana di samping bumbung dan dinding rumah rosak, bilik airnya juga runtuh dalam kejadian sama,” katanya.

Menurut Azizzuddin, bantuan segera untuk mangsa bencana alam dapat disalurkan selepas prosedur baru Kerajaan Persekutuan membolehkan Penyelaras Dun sendiri meluluskannya.

“Kalau dulu ambil masa lama kerana perlu ada laporan polis dan kelulusan agensi kerajaan berkenaan terlebih dahulu tetapi sekarang, jika layak, saya sebagai Penyelaras Dun boleh luluskan bantuan ‘on the spot’.

“Terima kasih Kerajaan Persekutuan kerana dengan cara ini, kami selaku Penyelaras Dun dapat segera membantu ketika saat rakyat ditimpa kesusahan perlukan bantuan,” katanya.

Kelindan pecah rumah, mencuri

IPOH - Seorang kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tujuh pertuduhan pecah rumah dan curi di sekitar bandar raya ini sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, T Dinesh Kumar, 21, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Shamsol Azwa Martadza; Ahmad Feisal Mohd Azmi; Haslinda Raof dan Nur Melati Diana Abd Wahab di empat kamar berasingan, semalam.
Mengikut pertuduhan, Dinesh didakwa melakukan perbuatan tersebut di tujuh rumah berasingan di Bandar Seri Botani, Simpang Pulai; Taman Lapangan Ria; Medan Pengkalan Ria; Taman Kampar, Pasir Putih; Taman Cemerlang Ampang dan Taman Desa Bercham antara jam 11 malam sehingga 6.30 pagi.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut pada 23 dan 26 Mei 2010; 14 dan 25 Ogos 2010; 25 Mac dan 4 Disember 2012 dan 16 September tahun ini.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun,  majistret di keempat-empat kamar pertuduhan menetapkan sejumlah RM25,800 sebagai wang jaminan dengan tujuh penjamin bagi tujuh pertuduhan yang dikemukakan dan menetapkan 24 Oktober ini sebagai sebut semula kes.

Amah dakwa dipukul majikan

Kok Ming
Kok Ming menunjukkan bahagian belakang badan mangsa
yang turut mempunyai kesan lebam dan luka.
JOHOR BAHRU - Seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dipukul majikannya dengan menggunakan kayu hoki, gara-gara masakan mi yang dihidangkannya tidak sedap.
Mangsa yang ditemui ketika sedang menerima rawatan di salah sebuah hospital di sini, men- ceritakan pengalamannya dipukul ketika sedang tidur kerana memasak hidangan tidak mengikut cita rasa  majikannya itu.
“Akhirnya saya nekad melarikan diri setelah dipukul majikan meng-gunakan kayu hoki,” katanya.
Mangsa yang berusia 21 tahun itu, ditemui orang awam kira-kira jam 12.15 tengah hari kelmarin, ketika  sedang merayau di sekitar kawasan kedai taman perumahan di Perling, di sini,  selepas melarikan diri dari  rumah majikannya itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, dua serbuan telah dijalankan ke rumah majikan terbabit, namun mendapati tiada penghuni dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Kita telah mengenal pasti tempat kerja majikan terbabit dan yakin tangkapan akan dapat dibuat dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya, semalam.
Dalam pada itu, rakan senegara mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Wanti, 32, berkata, dia membawa mangsa membuat laporan polis setelah seorang rakan warga tempatan menemui mangsa.
“Dia ditemui ketika meminjam telefon bimbit rakan saya untuk menghubungi kakaknya. Rakan saya yang simpati dengan keadaan mangsa segera meminta bantuan saya untuk membawa mangsa ke balai polis terdekat.
“Mangsa memberitahu dia turut disimbah menggunakan air panas dan didera dengan sudip panas kerana lambat membuat kerja rumah.
“Dia juga tidak dibenarkan keluar rumah kerana majikannya bimbang kesan luka dan lebam pada badannya akan menimbulkan curiga orang sekeliling,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Ong Kow Ming menggesa tindakan tegas diambil bagi mengelakkan kes penderaan pembantu rumah terus berlaku.

Tukang masak tak mengaku merompak

Lim Jia Yong
Jia Yong (depan) dan Hun Lun (belakang) dibawa keluar dari mahkamah.

GEORGETOWN - Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan tiga bulan lalu.
Lim Jia Yong, 22, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Salwa Ja’afar.
Jia Yong menghadapi empat tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan bersenjatakan kayu di tempat letak kereta Kafe Goodall, Jalan DS Ramananthan, kira-kira jam 1.35 pagi, 18 Jun lalu.
Dia didakwa merompak beg tangan milik empat wanita yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, kad ATM, kad pelajar, kad insurans, kunci, tiket bas, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM1,160.
Untuk setiap pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheag Yit mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat.
Sementara itu, Jia Yong menghadapi satu lagi pertuduhan bersama dengan seorang kontraktor, Ong Hun Lun, 26, didakwa merompak beg tangan milik wanita berusia 26 yang mengandungi beberapa barangan berharganya dan wang tunai RM500 di hadapan Jalan Wright, Pulau Tikus, kira-kira jam 2.30 pagi, 9 Jun lalu.
Bagi pertuduhan itu, Jia Yong dan Hun Lun didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Siti Salwa membenarkan Jia Yong diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin manakala Hun Lun RM5,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan sebutan kes pada 29 September depan.

Tergamam lihat bumbung rumah diterbangkan

Noriza Johari
Keadaan bahagian bumbung rumah Noriza yang diterbangkan angin.
BALING - "Saya tergamam melihat bumbung rumah diterbangkan angin dengan sekelip mata. Kemudian, saya terus menjerit memanggil nama anak sebelum berlari keluar dari rumah," kata Noriza Johari, 46, dari Kampung Seberang Pekan yang terlibat dalam kejadian ribut kira-kira 4 petang, kelmarin.
Noriza yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera hanya mampu mengucap panjang setelah melihat sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin.
Ketika itu, hanya Noriza dan seorang anaknya yang berusia 13 tahun berada di dalam rumah.
“Sebelum kejadian, hujan memang lebat disertai bunyi angin yang menakutkan.
“Alhamdulillah, walaupun sebahagian bumbung rumah musnah, saya dan anak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, jiran-jiran turut melaungkan azan ketika menyaksikan kejadian yang pertama kali berlaku itu.
Kejadian ribut itu turut menerbangkan bumbung sebuah premis perniagaan berdekatan perhentian teksi Baling menyebabkan hampir keseluruhan bumbung premisnya tercabut sehingga merosakkan produk perniagaannya.
Selain itu, gerai serbaneka di sebuah stesen minyak di Pekan Baling ranap teruk selepas dihempap pokok setinggi 20 meter.
Namun begitu, pengurus stesen minyak berkenaan tidak membenarkan pihak media untuk mengambil gambar kejadian terbabit.
Pasukan penyelamat antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam termasuk penduduk setempat bertungkus lumus mengalihkan beberapa batang pokok yang tumpang di tengah jalan.
Baling antara daerah di Kedah yang sering dilanda ribut terutama di kawasan Parit Panjang, Kuala Ketil dan Lanai iaitu melibatkan lebih dari tiga kejadian ribut tahun ini.

Mahkamah kekal hukuman perogol

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mengekalkan hukuman 17 tahun penjara terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah merogol anaknya, dua tahun lalu.

Keputusan itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Hashim ke atas Mohd Man, 55, yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara 17 tahun dan 5 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, 30 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan hukuman lima sebatan yang dikenakan ke atas tertuduh kerana menurut Seksyen 289 C Kanun Tatacara Jenayah, pesalah berusia 50 tahun tidak dikenakan hukuman sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon agar mahkamah menambah hukuman penjara ke atas tertuduh kepada 20 tahun, oleh kerana tertuduh tidak dikenakan hukuman sebatan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan berkenaan.

Dalam hujahannya, Ahmad Akram berkata, sebagai ketua keluarga sepatutnya insaf, bukan  merogol anaknya sendiri di hadapan anak lain.

Menurut pendakwaan, Mohd turut mempunyai 18 rekod lampau sejak 1976, termasuk dua kes cabul dan beberapa kes jenayah lain.

“Dia sepatutnya mempertahan maruah anaknya, tetapi merosakkan masa depan gadis tersebut, ia satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa merogol gadis berusia 14 tahun 7 bulan yang juga salah seorang anaknya dalam sebuah bilik di Taman Sri Sentosa, Jalan Kelang Lama, sekitar jam 6.30 petang, 25 Mei lalu.

Ibu lima anak menangis dihukum penjara

Ibu lima anak menangis dihukum penjara
Rahani dibawa dua anggota untuk menjalani hukuman yang diputuskan, semalam.
KOTA BHARU – Seorang ibu hanya mampu mengalirkan air mata selepas Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara terhadapnya kerana kesalahan memiliki dadah.

Hukuman diputuskan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor ke atas Rahani Zali, 29, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rahani didakwa memiliki 20 pil mengandungi 0.58 dadah jenis metamphetamine pada jam 1 pagi, 22 Disember tahun lalu. Dia ditahan dalam serbuan Ops Tapis Bersepadu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Buloh Poh, Ketereh di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan. Sejurus prosiding selesai, Rahani bagaimanapun dilihat menangis ketika diiringi keluar dari mahkamah oleh dua anggota penjara.

Rahani turut mempunyai beberapa rekod lampau kesalahan membabitkan kesalahan sama.

Banjir di India, 1.7j penduduk dipindah

GUWAHATI - Banjir yang semakin buruk memaksa hampir 1.7 juta penduduk di timur laut India meninggalkan rumah mereka selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran bahaya terhadap kesihatan, kelmarin.

Agensi Pengurusan Bencana memaklumkan 19 dari 27 daerah di Assam kini telah ditenggelami banjir dan 13 mangsa dilaporkan mati lemas dalam beberapa insiden berasingan sejak minggu lalu.

Menteri Kesihatan Assam, Himanta Biswa Sarmah berkata, amaran bahaya itu dikeluarkan untuk menghindari wabak cirit-birit atau demam kepialu di zon bencana.

Pada masa ini, sekurang-kurangnya 2,200 kampung tenggelam berikutan air sungai Brahmaputra melimpah susulan hujan berterusan sejak minggu lalu.

Difahamkan, ia adalah banjir gelombang kedua yang melanda kawasan penduduk miskin tersebut dalam tempoh dua bulan.-AFP

Bogel depan rumah

SEREMBAN – Beberapa penduduk di Kampung Limbok, Temiang, di sini, rimas dengan gelagat warga asing yang selalu membuat bising dan mengganggu
ketenteraman awam.
Bukan sahaja membuat bising dan mabuk, malah ada warga asing yang menyewa rumah di sekitar Jalan Seng Meng Lee, di sini, sengaja berbogel di hadapan rumah.
Penduduk, Tang Kam Sing, 60, berkata, sejak setahun lalu kehidupan keluarganya tidak aman dengan kehadiran sekumpulan warga asing yang menyewa di hadapan rumahnya.
Menurutnya, paling merimaskan keluarganya ialah tindakan lelaki berusia 20- an itu yang dipercayai warga Bangladesh sengaja berbogel di hadapan pintu rumah.
“Setiap pagi isteri saya akan bersenam di hadapan rumah dan dia pula sengaja membuka pintu dan tingkap supaya isteri saya dapat melihatnya.
“Meskipun dia tidak mengganggu kami namun tindakannya yang berbogel amat merimaskan," katanya, semalam.
Kam Sing berkata, dia pernah menasihatkan rakan serumah lelaki terbabit supaya menasihati rakannya itu agar menjaga tingkah laku.
“Atas semangat kejiranan, saya sekadar mahu menegurnya dan tidak tergamak mahu menghalau mereka tetapi sehingga kini masih tiada perubahan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Low Chin Han, 45, berkata, hampir 100 warga asing di sekitar kampung itu sering berkeliaran setiap malam.
“Mereka buat bising setiap malam dan sentiasa dalam keadaan mabuk.
“Kami bimbang akan keselamatan anak perempuan kerana mereka juga selalu ganggu wanita yang berjalan kaki pulang ke rumah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temiang, Ng Chin Tsai berkata, aduan mengenai masalah itu telah diajukan kepada pihak berkenaan.
“Saya harap polis melakukan rondaan secara berkala di kawasan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Lapan maut dalam kejadian feri karam di Selat Sunda




26 September 2012
JAKARTA - Sekurang-kurangnya lapan maut apabila feri KMP Bahuga Jaya yang membawa puluhan kenderaan dan lebih 200 penumpang karam, setelah dipercayai berlanggar dengan sebuah kapal lain di perairan Selat Sunda hari ini.

Media tempatan memetik kenyataan penumpang yang terselamat bahawa feri itu tenggelam setelah berlanggar dengan sebuah kapal tangki, namun pihak berkuasa belum mengesahkan mengenai punca kemalangan.

Agensi berita Antara memetik Pengurus Operasi syarikat PT ASDP Indonesia Ferry cawangan Bakauheni, Heru Purwanto sebagai berkata bahawa sehingga kini lapan penumpang dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian pada pukul 4.20 pagi itu.

Feri itu tenggelam kira-kira empat batu dari Pelabuhan Bakauheni, Lampung Selatan ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Merak, Banten menuju Bakauheni.

"Kapal feri itu mengalami robek di bahagian sisinya," kata Heru.

Sementara itu portal berita okezonenews memetik Heru sebagai berkata feri malang berkenaan dipercayai membawa lebih 210 penumpang namun jumlah sebenar belum dapat dipastikan.

Operasi mencari dan menyelamat sedang berjalan dan sehingga kini puluhan penumpang berjaya diselamatkan.- Bernama