Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

Bahagian hadapan rumah dan kereta BMW milik Shuhaimi Mat Ali mengalamai kerosakan dalam kejadian pokok tumbang ke dalam kawasan rumahnya di Dataran Templer, Selayang, Selangor pada Khamis lalu.
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Kecuaian kontraktor yang melakukan kerja-kerja menebang pokok di kawasan bukit berdekatan Dataran Templer, Jalan 2/20C, Selayang dekat sini mendakwa menyebabkan seorang penduduk terpaksa menanggung kerugian besar.
Difahamkan, kerja-kerja tersebut dilakukan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebatang jalan baru merentas Bandar Baru Selayang ke Sungai Tua dan Bukit Boyan.
Projek yang dinamakan Laluan Hijau di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu bermula sejak Mac lalu dan dijangka siap pada September 2013 berdasarkan maklumat yang dipamerkan.
Mangsa, Shuhaimi Mat Ali, 44, mendakwa, sebatang pokok besar telah menghempap bumbung hadapan rumahnya serta tiga buah kereta miliknya yang diletakkan di kawasan rumah.
Dalam kejadian pada Khamis lalu, selain bumbung rumah lelaki itu, kereta jenis BMW, Toyota Wish dan Perodua Myvi miliknya turut rosak dan jumlah kerugiannya dianggarkan hampir RM100,000.
"Saya sudah beberapa kali membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebelum ini kerana melihat keadaan pokok tidak begitu selamat.
"Tetapi tiada maklum balas mengenainya sehingga berlaku kejadian tersebut," katanya ketika ditemui pada lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal di lokasi tersebut, di sini hari ini.
Tambahnya, selepas kejadian tersebut dia sekali lagi melaporkan kepada MPS, tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberitahu pokok tersebut berada di bawah tanggungjawab JKR.
"Saya tidak tahu apa pula jawapan JKR selepas ini tetapi cara mereka menebang pokok juga nampak tidak dilakukan dengan betul kerana mengorek terus tanah tanpa mencantas dahan-dahan terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, isterinya, Mazwin Haniza Mohamed Sani, 42, berkata, dua anaknya sedang nyenyak tidur ketika kejadian dan suaminya tidak berada di rumah kerana bertugas di luar daerah.
"Kabel elektrik juga mengalami kerosakan dan nasib baik saya tidak panik ketika itu dan segera melaporkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk diperbaiki.
"Projek ini juga menyebabkan kawasan rumah berdebu selain bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman kerana kerja-kerjanya bermula seawal pukul 5.30 pagi hingga 8 malam setiap hari," dakwanya.
Seorang lagi penduduk, M. Panirselvam, 58, berkata, penduduk juga tidak menerima sebarang notis sebelum kerja-kerja tersebut dijalankan.
"Pokok-pokok di kawasan bukit ini kebanyakan condong ke kawasan rumah dan ia amat membahayakan. Setiap kali hujan jalan-jalan akan dikotori dengan lumpur dari kawasan bukit," katanya.