Search This Blog

Monday, September 24, 2012

Bekas juara tinju dunia mati ditembak



JOHANNESBURG 24 Sept. - Bekas juara tinju dunia kategori 'heavyweight', Corrie Sanders meninggal dunia akibat ditembak dalam satu kejadian rompakan di sebuah restoran, di sini semalam.
Agensi berita SAPA yang memetik kenyataan polis berkata, tiga lelaki didakwa masuk ke dalam restoran Pretoria dan melepaskan tembakan rambang ketika Sanders, 46, serta keluarganya meraikan sambutan hari jadi anak perempuannya pada petang kelmarin.
"Sanders terkena tembakan di perut serta tangan dan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital," katanya. - AFP

Bekas Timbalan KP Imigresen bebas tuduhan rasuah



PUTRAJAYA 24 Sept. - Mahkamah Rayuan di sini hari ini membebaskan bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Yusof Abu Bakar dari 14 tuduhan rasuah melibatkan RM121,500.
Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang mempengerusikan panel tiga hakim memutuskan bahawa tidak wujud merit dalam rayuan pihak pendakwa untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Yusof dari tuduhan itu.
Ketika panel menolak rayuan itu dengan sebulat suara, Hakim Syed Ahmad Helmy berkata terdapat banyak kelemahan dalam kes pendakwaan.
Hakim Datuk Linton Albert dan Datuk Mohtarudin Baki dua lagi anggota panel.
Di luar mahkamah, Yusof, 58, yang menggunakan kerusi roda selepas serangan strok menjelang Aidilfitri tahun ini, berkata “Syukur kepada Allah".
Yusof dituduh menerima antara RM500 dan RM18,500 daripada seorang pengurus pemasaran dan pihak ketiga sebagai dorongan agar melanjutkan tempoh pas lawatan sosial bagi warganegara China antara 21 Mac dan 7 Julai, 2008.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan stesen petrol Caltex di Jalan Pudu.
Yusof dihukum penjara enam tahun dan denda lebih RM600,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Disember 2010 atas 14 tuduhan rasuah.
Pada 29 Feb tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuannya supaya dibatal sabitan dan hukuman penjara dan denda ke atasnya.
Terdahulu, peguam bagi Yusof, Mohammed Azmi Mohd Said memberitahu mahkamah bahawa walaupun anak guamnya sedang menjalani cuti perubatan hingga Oktober akibat dari serangan strok, beliau mahukan perbicaraan rayuan pendakwa diteruskan hari ini.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (MACC) Ahmad Sazilee Abdul Khairi. - BERNAMA

Anak jutawan Britain diugut



LONDON 23 Sept. - Anak perempuan jutawan Britain, Bernie Ecclestone, Tamara mengakui kehidupannya tidak tenang setelah menjadi mangsa ugut sebanyak dua kali.
Kali pertama pada April lalu, apabila dia menjadi mangsa sepasang kekasih dari London yang meminta sebanyak 200,000 pound (RM989,000) dengan mengugut untuk mendedahkan kisah cintanya dan kali kedua, daripada seorang lelaki yang mendakwa sebuah kumpulan samseng merancang untuk menculiknya.
"Menjadi mangsa penculikan adalah perkara yang paling menakutkan saya. Saya rasa penat dan sakit secara fizikal. Bayangkan bila seseorang memberitahu hidup saya dalam bahaya dan tindak tanduk saya juga sedang diperhatikan," katanya.
Segala-galanya bermula apabila lelaki tersebut, Martin Peckham, 41 (gambar), yang menyamar sebagai Marcus Black, menelefon bapanya dan meminta wang tunai sebanyak 200,000 pound.
Pemanggil tersebut memberitahu bahawa sebuah kumpulan samseng dari Asia Barat ingin menculik Tamara dan berkata, dia mampu mematahkan cubaan itu sekiranya Ecclestone menyerahkan wang tunai tersebut kepadanya.
Selepas menerima panggilan itu, lelaki keempat terkaya di Britain itu terus menghubungi anak perempuannya yang ketika itu sedang menikmati makan malam bersama teman lelakinya, Omar Khyami.
Jutawan Formula 1 itu mengambil keputusan untuk tidak menghubungi polis dan juga pengawal keselamatan peribadinya kerana lebih suka menyelesaikan sendiri masalah itu.
Bagaimanapun akhirnya mereka membuat keputusan melaporkannya kepada polis selepas ancaman tersebut berlarutan sehingga hari keempat sebelum lelaki tersebut berjaya diberkas.
Peckham, mengaku bersalah atas rancangan ugutan tersebut dan kini dipenjarakan di Penjara Southwark Crown.
Duda itu berkata, dia melakukan ugutan demikian selepas kehilangan wang deposit berjumlah 8,500 pound (RM32,000) pada satu majlis perkahwinan dan mengaku mendapat idea jahat itu selepas mengetahui mengenai cubaan ugutan pertama melibatkan Tamara. - AGENSI

Dua buruh maut jambatan runtuh



Anggota polis menyiasat lokasi jambatan runtuh yang merentasi Sungai Imjin di bandar Paju, utara Seoul, Korea Selatan, semalam. - AFP
SEOUL 22 Sept. - Dua buruh binaan maut, manakala 12 yang lain cedera apabila sebahagian daripada jambatan yang sedang dibina runtuh secara tiba-tiba di bandar Paju, di sini hari ini.
Agensi berita Yonhap melaporkan, struktur sepanjang 55 meter daripada 539 meter panjang jambatan tersebut yang merentasi Sungai Imjin runtuh, menyebabkan beberapa buruh jatuh dari ketinggian 15 meter ke dalam longgokan batu kelikir dan lumpur.
Kesemua buruh yang cedera dihantar ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan parah.
Sementara itu, polis menjalankan siasatan bagi mencari punca kejadian. - AGENSI

Tergerak hati tidur di ruang tamu



SITI KHAIRULNISAH MOHAMED BAJURI
24 September 2012
Tergerak hati tidur di ruang tamu
Siti Rubiah menunjukkan dinding rumah sewanya yang terjatuh dan menghempap katil tempat tidurnya.
BAGAN DATOH - Gerak hati seorang ibu tunggal yang tidak mahu tidur di bilik akhirnya menyelamatkannya daripada menjadi korban ribut di Kampung Bagan Pasir, di sini, Jumaat lalu.

Siti Rubiah Sulaiman, 51, berkata, sudah menjadi kebiasaan dia tidur di dalam bilik, namun pada malam kejadian dia mengambil keputusan tidur di ruang tamu yang terletak kira-kira satu meter dari biliknya.

Menurutnya, kira-kira jam 3.30 pagi, dia dikejutkan dengan bunyi kuat sebelum melihat dinding rumah sewanya runtuh menghempap katil yang berada di biliknya.

"Saya juga melihat sebahagian zink di bahagian dapur diterbangkan angin, ketika itu bekalan elektrik terputus. Saya kemudiannya bergegas ke dapur menyelamatkan barang berniaga, namun gagal kerana hujan lebat di tambah dengan angin kencang.

“Saya bersyukur kepada ALLAH kerana menggerakkan hati saya untuk tidur di ruang tamu dan bukan di katil seperti biasa. Jika tidak, saya sendiri tidak tahu apa akan terjadi,” ceritanya.

Dalam kejadian itu, 11 keluarga termasuk ibu tunggal, peniaga pasar malam dan pekebun kecil mengalami kerugian apabila kediaman masing-masing rosak dan  kerugian dianggarkan RM200,000.

Enam rumah termasuk kediaman Siti Rubiah mengalami rosak teruk.

Seorang lagi mangsa ribut, Umi Kalsom Mohd Bakir, 80, berkata, ketika kejadian, dia tidur di ruang tamu dan terkejut mendengar bunyi dentuman kuat dari atas bumbung serentak terkena tempias hujan.

Menurutnya, disebabkan terkena tempias air hujan, dia tersedar sebelum terlihat sebahagian besar zink rumahnya diterbangkan angin menyebabkan dia bergegas masuk ke dalam bilik anaknya.

“Ini adalah kejadian terburuk yang pernah berlaku, menyebabkan sebahagian besar zink rumah diterbangkan angin dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu dan bersyukur tiada yang cedera dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Hutan Melintang, Baharom Shaari, 56, berkata, selain 11 rumah, sebuah surau dan kedai kopi turut rosak.

"Kesemua mangsa ribut membuat laporan polis. Kini, pihak kami sedang mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan untuk baik pulih rumah yang rosak,” katanya.

Tanah runtuh makin serius



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Tanah runtuh makin serius
Sarawanan menunjukkan keadaan tanah runtuh yang semakin teruk akibat hujan berterusan.
BERA - Penduduk mendesak pengurusan Felda Tementi bertindak segera mengatasi masalah tanah runtuh berdekatan balai raya di tanah rancangan itu.

Wakil penduduk, P Sarawanan berkata, kejadian tanah runtuh berlaku kira-kira dua bulan lepas, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan susulan.

Menurutnya, walaupun kejadian itu berlaku agak jauh dari kawasan perumahan, tetapi ia berdekatan dengan beberapa bangunan penting seperti balai raya dan masjid.

“Jangan biarkan tanah runtuh berlarutan tanpa sebarang tindakan kerana ia akan menjejaskan struktur tanah di sini.

“Lagipun, sekarang kerap hujan menyebabkan tanah tidak stabil dan mungkin akan bertambah teruk,” katanya.

Beliau yang juga Naib AMK Malaysia berkata, dia menyuarakan  pandangan bukan untuk kepentingan politik, sebaliknya sebagai anak peneroka di sini.

Katanya, dia juga bertanggungjawab untuk memberi pandangan berkaitan keadaan kampung, lebih-lebih lagi apabila membabitkan keselamatan penduduk.

“Walaupun kejadian itu tidak terlalu merosakkan struktur jalan raya di sini, tetapi ia boleh memburukkan lagi keadaan jika tiada tindakan diambil.

“Sehubungan itu, saya minta pihak berkenaan menjalankan kerja baik pulih segera supaya keceriaan kampung dan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara,” katanya.

Tak makan saman, premis pelacur diserbu



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Tak makan saman, premis pelacur diserbu
Anggota penguatkuasa DBKL memusnahkan penghadang yang dibina secara haram dalam premis diserbu ketika Operasi Bersepadu Pusat Pelacuran di ibu negara, semalam.
KUALA LUMPUR - Walaupun sudah beberapa kali dipecahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam operasi sejak 2010, pemilik beberapa premis di Jalan Petaling dan kawasan Brickfields di sini terus ingkar dengan membina semula pengadang haram dalam premis mereka, dipercayai untuk kegiatan pelacuran.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu memaksa DBKL melaksanakan operasi secara berterusan mengelakkan aktiviti tidak bermoral itu terus berleluasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Muhamad Irwan Abdullah berkata, pihaknya mendapati sebanyak 10 hingga 15 unit dibina dalam satu-satu premis bertujuan untuk kegiatan pelacuran dipercayai melibatkan warga asing.

Menurutnya, kebiasaannya walaupun diserbu dan dipecahkan, pemilik mahupun penyewa premis berkenaan akan membina semula sekatan dalam premis dan kembali beroperasi.
“Berdasarkan rekod beberapa tahun lepas, operasi dijalankan ke atas premis sama yang kembali beroperasi selang beberapa minggu.

“Kerana itu, DBKL akan terus melakukan pemantauan berterusan dari segi kekerapan operasi kepada dua kali sebulan,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Pusat Pelacuran di Jalan Petaling, di sini, semalam.

Operasi dijalankan secara bersepadu dengan kekuatan 140 anggota dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM)  dan beberapa agensi lain.

Antara lokasi terlibat, Jalan Tun Tan Siew Sin Seng dan Brickfields dan16 premis diserbu. Bagaimanapun, ketika serbuan, semua premis dikosongkan sejak awal.

“Operasi dilaksanakan di sembilan premis di Jalan Petaling, manakala tujuh di Brickfields.

“Tindakan diambil di bawah peruntukan Akta jalan, parit dan bangunan 1974 (Akta 133),  ke atas sambungan membina halangan dan sekatan dalam bangunan yang dibuat tanpa kebenaran Datuk Bandar Kuala Lumpur, di mana kita akan pecah serta robohkan,” katanya.

DBKL juga akan menyiasat dan mengenal pasti pemilik premis bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka termasuk pemilik yang menyewakan premis mereka.

Surau sering dimasuki anjing



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Surau sering dimasuki anjing
Azmi (kiri) dan Sharif (dua, kanan) bersama guru sekolah menunjukan jaring yang terpaksa dipasang untuk menghalang kemasukan anjing ke dalam surau.
ALOR SETAR - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan (SMKKR) merayu sumbangan orang ramai untuk proses pembesaran dan membina dinding surau sekolah berkenaan, bagi mengelakkan dimasuki haiwan liar terutama anjing pada waktu malam.

Yang Dipertua PIBG SMKKR, Azmi Bakar, 53, berkata, pembesaran surau tersebut memerlukan perbelanjaan sehingga RM300,000.

Bagaimanapun, pihak jawatankuasa projek masih memerlukan sebanyak RM150,000 bagi kerja-kerja melantai, memasang siling, pendawaian elektrik dan pembinaan tempat wuduk.

Katanya, surau itu perlu diperbesarkan memandangkan saiz surau sebelum ini tidak boleh menampung bilangan pelajar seramai 714 orang dalam satu masa.

“Surau yang dibina bagi menggantikan surau lama hasil sumbangan daripada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain pada 2005 yang hanya mampu memuatkan 60 hingga 70 pelajar dalam satu masa.

“Pembesaran surau ini bertujuan memberi peluang kepada semua pelajar dan guru menunaikan solat Zuhur secara berjemaah sebelum pulang sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azmi berkata, proses mempercepatkan menyiapkan surau itu penting kerana ia sering dimasuki haiwan liar, termasuk anjing pada waktu malam, sekali gus menjejaskan kesucian dan kebersihan surau tersebut.

Dalam pada itu, pihak jawatankuasa projek terpaksa mengambil jalan alternatif dengan memasang jaring di sekeliling surau untuk mengelakkan daripada dicemari anjing.

“Kawasan surau ini tidak seharusnya terdedah tanpa dinding kerana boleh menimbulkan syak wasangka jemaah terhadap kebersihannya.

“Walaupun 50 peratus pembinaan surau itu sudah siap, namun dana yang tidak mencukupi memberi satu bebanan kepada pihak pengurusan projek untuk membina dinding surau berkenaan yang menjadi satu keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMKKR, Sharif Bahari berkata, pembesaran surau ini adalah untuk meningkatkan keharmonian pelajar berlandaskan ajaran Islam, di samping memberi peluang untuk pelajar mengulangkaji pelajaran di surau itu selepas sesi persekolahan.

Pembinaan surau juga melambangkan wujudnya syiar Islam di situ.
“Begitu juga halnya dengan SMKKR. Namun demikian, keadaan surau yang pada asalnya hanya mampu menampung sehingga 70 jemaah dalam satu masa, menyukarkan guru-guru khususnya guru pendidikan Islam untuk melaksanakan aktiviti berkaitan aspek penghayatan dan amali, sedangkan kedua-duanya adalah komponen utama dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

“Sebab  itu pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk membesarkan surau tersebut bagi menampung keperluan berkenaan.

“Usaha-usaha proaktif juga digerakkan bagi membolehkan pelajar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang yang beragama Islam, di samping melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di sekolah,” katanya.

Menurutnya, pembesaran surau tersebut mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah dalam satu masa.

Disamping itu, keadaan surau yang lebih sempurna juga amat diperlukan dalam proses memantapkan dan mengukuhkan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dalam kalangan pelajar.

“Hal ini kerana surau tersebut bakal berfungsi sebagai Makmal Pendidikan Rohani dalam semua aktiviti berasaskan kurikulum, Hal Ehwal Murid dan kokurikulum,” jelasnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui cek atau tunai ke akaun Tabung Pembangunan Surau SMK Kubang Rotan, Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun 020110010094832.

Polis tahan 21 lelaki, rampas 98 mesin judi




24 September 2012
TEMERLOH - Polis Temerloh merampas 98 buah mesin judi berkomputer dalam serbuan ke atas lapan buah premis di sekitar bandar Mentakab, di sini semalam.
  
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata dalam serbuan itu, polis menahan 21 lelaki berumur di antara 18 hingga 66 tahun termasuk lapan daripadanya adalah penjaga premis tersebut.
  
Menurutnya polis turut merampas 98 unit komputer yang kesemuanya bernilai RM30,000 daripada premis-premis berkenaan.
  
Beliau berkata premis-premis itu berselindung di sebalik nama kafe siber yang turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu khas bagi melarikan diri daripada pihak berkuasa.
  
"Premis-premis yang baharu dibuka seminggu itu masih belum sempat mengaut keuntungan dan ia merupakan kejayaan polis Temerloh dalam usaha membanteras kegiatan judi komputer di daerah ini, tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Zundin berkata kesemua yang ditangkap itu akan didakwa mengikut Seksyen 4(B)(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 4(1)(b) Enakmen Hiburan 1993 yang boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan. - Bernama

Sanggup cederakan diri, hantar gambar bogel



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Sanggup cederakan diri, hantar gambar bogel
Sim cuba mendapatkan maklumat daripada Caroline tentang kejadian yang menimpa dirinya.
KUANTAN – Seorang gadis sanggup mencederakan diri serta menghantar gambar bogelnya melalui Perkhidmatan Pesanan Multimedia (MMS) kononnya untuk mengubati teman lelaki yang diserang penyakit jantung.

Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Caroline, 16, berkata, dia mengenali lelaki itu sejak Februari tahun lalu selepas diperkenalkan oleh rakan sekolahnya.

Namun, sepanjang tempoh perkenalan dengan lelaki itu, mereka tidak pernah berjumpa, sebaliknya hanya berhubung melalui telefon.

“Lebih setahun saya berkenalan dengan lelaki itu tetapi belum pernah berjumpa. Saya hanya mengenalinya melalui gambar yang dihantarnya melalui MMS. Dalam tempoh perkenalan kami, dia memang seorang lelaki yang baik dan romantik,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, semalam.

Katanya, sebelum ini teman lelakinya pernah meminta dia menghantar gambar bogel dan akur terhadap permintaan itu kerana rasa sayang.

“Tanpa berfikir panjang, saya memberi gambar yang diminta kerana percaya permintaan itu sekadar suka-suka, tiada niat lain,” katanya.

Caroline berkata, peristiwa hitam hidupnya bermula apabila dia dimaklumkan oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai bapa saudara teman lelakinya bahawa kekasihnya itu terpaksa dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung.

“Ketika itu, pakcik teman lelaki saya yang turut bergelar ‘Datuk’ meminta supaya saya MMS gambar bogel bagi mengubati teman lelaki saya.

“Selain itu, dia turut memberikan syarat lain iaitu tidak boleh tidur selama enam hari kerana jika saya tidur, teman lelaki saya itu akan mati,” katanya.

Lebih berani, bapa saudara teman lelakinya itu turut menyuruh Caroline mencederakan diri kerana boleh memberikan alasan didera oleh ibu bapa jika dia keluar dari rumah nanti.

“Dia (pakcik) kata, ada makhluk halus yang memerhatikan saya setiap masa, jadi saya kena ikut segala kemahuannya jika mahu teman lelaki selamat. Dia juga ada menghantar MMS gambar lucah teman lelaki saya selepas saya menghantar gambar saya,” katanya.

Tingkah laku pelik Caroline bagaimanapun dapat dikesan oleh ibunnya yang menyedari dia tidak tidur pada waktu malam.

Menurut ibunya yang dikenali sebagai  Mei Ling, 35, dia mendapati anaknya tidak tidur dan duduk di biliknya sambil menangis ketakutan.

“Ketika ditanya, anak saya menunjukkan telefonnya dan menceritakan apa yang berlaku.

“Bimbang dengan keselamatan anak, saya membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan iaitu pada 18 September dan 20 September,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, mana-mana remaja yang mengalami masalah yang sama diminta tampil membuat laporan polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Ajal 2 sahabat, hasrat rai hari jadi kawan tidak kesampaian



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Ajal 2 sahabat, hasrat rai hari jadi kawan tidak kesampaian
Abang mangsa, Zulkifli Haffendi (kiri) tidak dapat menahan sebak selepas menatap mayat adiknya yang maut dalam kemalangan itu.
Ajal 2 sahabat, hasrat rai hari jadi kawan tidak kesampaian
Anggota polis dan kakitangan hospital membawa mayat Wan Muhammad Fahmee ke unit forensik selepas disahkan meninggal dunia jam 3.58 petang ketika menerima rawatan.
SERDANG – Hasrat dua sahabat untuk meraikan sambutan hari lahir seorang rakan tidak kesampaian, apabila mereka maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan, dekat sini, pagi kelmarin.

Difahamkan ketika kejadian, dua rakan karib berkenaan, Wan Muhammad Fahmie Wan Zamri, 17 dan rakannya Zulkil Haffizudin Mohamad, 17, dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Besi untuk ke Bandar Dungun, sebelum meneruskan perjalanan untuk bertemu seorang rakan di Mesra Mall, Kerteh.

Bagaimanapun, sampai di tempat kejadian di Kilometer 12, Jalan Dungun-Bukit Besi, penunggang, Wan Muhammad Fahmie yang bersama Zulkil, dikatakan telah membelok ke kanan dan masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga BLM yang datang dari arah Bukit Besi.

Kejadian itu difahamkan berlaku hanya beberapa meter dari rumah nenek kepada salah seorang mangsa terlibat.

Akibat kemalangan itu, motosikal ditunggang mangsa rosak teruk menyebabkan dua sahabat yang berasal dari Bukit Besi itu cedera parah lalu dikejarkan ke Hospital Dungun.

Zulkil Hafizuddin meninggal dunia sebaik sampai di Hospital Dungun manakala Fahmie meninggal dunia jam 3.58 petang ketika menerima rawatan kecemasan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.

Mayat kedua-dua remaja berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan jenazah mereka dituntut ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi.


Arwah teruja, sanggup redah perjalanan jauh

MENCERITAKAN detik sebelum tragedi, rakan mangsa, Tuan Shahrul Hafizan Tuan Azmi, 15, berkata, pagi sebelum kejadian dia sempat menemui arwah Zulkil yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi itu di rumah abangnya.

Shahrul berkata, ketika itu mangsa yang juga bekas atlit sekolahnya memberitahu, dia hendak ke pusat membeli belah Mesra Mall di Kerteh untuk meraikan sambutan hari lahir seorang bekas rakan perempuan sekolahnya.

Katanya, ketika itu arwah begitu beria-ia hendak meraikan hari jadi rakannya sehingga sanggup menunggang motosikal berpuluh kilometer untuk menemui rakan perempuannya itu.

“Walaupun hari ini (kelmarin) bukan hari jadinya, tapi dia kelihatan begitu gembira. Saya tak sangka kegembiraannya itu merupakan kali terakhir di kecapi sebelum dia menemui ajal dalam kemalangan itu,” katanya.


Kali akhir jumpa Aidilfitri lalu

SEMENTARA itu, abang arwah, Zulkif Haffendi, 20, yang ditemui ketika menuntut mayat adiknya berkata, kali terakhir dia bertemu adik lelakinya yang merupakan anak kesembilan daripada 12 beradik itu pada Aidilfitri lalu.

Menurut Haffendi yang kini sedang menjalani latihan amali di Pusat Automatif Hicom, Pekan Pahang, ketika bertemu arwah tempoh hari, dia sempat bertanya khabar dan berpesan kepada adik lelakinya itu agar menjaga kelakuan dan tidak bergaul dengan budak-budak nakal.

“Ketika itu saya pulang bercuti dan sempat meninggalkan motosikal saya untuk digunakannya di kampung. Tak sangka pula dia maut dengan motosikal milik saya,” katanya yang tidak dapat menahan sebak sebaik menatap mayat adiknya yang terbujur kaku di Unit Forensik Hospital Dungun itu.


Mangsa maut akibat cedera parah di seluruh badan

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa akibat kecederaan parah pada keseluruhan badan,” katanya.

Buruh dipenjara, ugut bapa guna kayu



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Buruh dipenjara, ugut bapa guna kayu
Noorisma tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam
KOTA BHARU - Seorang buruh menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mengugut untuk mencederakan bapanya menggunakan kayu.

Mohd Hafiz Mohd Noor menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Noorisma Ismail, 31, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut pada 1 Mei lalu di sebuah rumah tanpa nombor, di Ketereh.

Mengikut pertuduhan Noorisma melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Ismail Jusoh, 61, apabila mengacukan sebatang kayu bulat dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan dan kematian kepada pengadu.

Noorisma didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap bapanya, Ismail di rumah mereka di Kampung Kadok Dalam, Ketereh kira-kira jam 2 petang apabila permintaan untuk mendapatkan duit tidak dipenuhi bapanya yang juga seorang pesara.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sampai tujuh tahun.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Nizam meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh memandangkan dia melakukan ugutan terhadap bapanya sendiri dengan menggunakan sebatang kayu.

Mahkamah menetapkan hukuman tersebut berkuat kuasa bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 2 Mei lalu.

Polis Kelantan tahan 3 sekeluarga terbabit kegiatan jenayah




24 September 2012
PASIR PUTEH - Polis Kelantan berjaya menahan tiga penjenayah yang merupakan satu keluarga, dipercayai terbabit dalam melakukan 30 kes jenayah samun, ragut dan pecah rumah di empat jajahan di Kelantan sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata mereka yang ditahan itu seorang lelaki berumur 19 tahun, isterinya, 20 tahun dan ibu lelaki itu yang berumur 51 tahun.

"Ketiga-tiga suspek itu ditahan oleh sepasukan polis Pasir Puteh dan Bachok di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dipercayai cuba melarikan diri ke Sarawak, pukul 10.30 malam tadi.

"Kesemua kini ditahan reman bermula hari ini sehingga Ahad depan bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Kamal Zainal.Jalaluddin berkata dalam siasatan lanjut, polis menjumpai 131 barangan kes termasuk televisyen, telefon bimbit, kamera, wang tunai sebanyak RM1,800 serta peralatan bagi melakukan jenayah itu yang disembunyikan di rumah mereka di Kampung Gong Serapat di sini.

Beliau berkata polis percaya barangan itu hasil kegiatan jenayah yang dilakukan di Jajahan Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Tumpat.

Katanya polis sedang memburu abang lelaki itu yang berumur 29 tahun yang dipercayai perancang utama kegiatan itu bagi membantu siasatan.

Jalaluddin berkata modus operandi mereka ialah suspek iaitu si adik akan menggunakan parang ketika melakukan kegiatan itu sama ada di kedai dan di rumah manakala abangnya menunggu di dalam kereta untuk memudahkan mereka melarikan diri.

"Isteri dan emaknya pula membantu menjualkan barang-barang kes kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata dua bulan lepas mereka merempuh sekatan polis di Tumpat menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan, bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri. - Bernama

Terkejut pokok hempap dapur



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Terkejut pokok hempap dapur
Keadan bilik air rumah Suhaidi (tengah)yang dihempap pokok.Turut kelihatan Wan Yusof (kiri).
GUAL IPOH – Ribut yang melanda Kampung Bukit Pauh di sini, petang semalam, mengakibatkan 10 rumah penduduk mengalami kerosakan.

Penduduk, Mohd Suhaidi Shamsuddin, 35, berkata, kejadian ribut berlaku kira-kira jam 6 petang semalam, semasa dia sedang beristirehat bersama isteri dan anak-anak, terkejut mendengar bunyi kuat di mana pokok menghempap bilik air dan dapur rumahnya.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia kerugian RM2,000 dan kejadian ribut itu terburuk yang pernah berlaku sejak enam tahun tinggal di kampung tersebut.

“Akibat pokok menghempap dapur dan bilik air, habis kelengkapan dapur basah dan saya terpaksa menunggu hujan reda untuk mengambil barang yang masih boleh diguna.

“Saya sudah baiki sebahagian kerosakan di ruang itu, dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin memberi sumbangan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Mohd NawiSeman @ Ahmad, 55, berkata, kejadian tersebut menyebabkan bumbung di bahagian ruang tamunya diterbangkan angin ribut, menyebabkan barang dalam rumah basah.

“Sebelum kejadian saya berada di bendang kerana sedang mencangkul tanah, dan apabila mendung saya segera pulang ke rumah.

“Selepas itu saya lihat angin kencang berserta hujan lebat, sekali gus menerbangkan bumbung rumah. Sementara ini saya terpaksa menggunakan zink garaj kereta anak bagi membaiki bumbung yang rosak,” katanya.

Turut hadir menyampaikan bantuan kepada10 mangsa ribut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Gual Ipoh, Wang Yusof Wan Mustapa. Beliau menasihatkan mangsa ribut supaya tabah menghadapi dugaan ini.

“Sama-sama kita berdoa agar kejadian tersebut tidak lagi berlaku  di kampung ini,” katanya.

Rusuk tembus kena tanduk lembu



MOHD AZLIM ZAINURY
24 September 2012
Mohd Fazli (kiri) menunjukkan rusuk kiri mangsa (gambar kecil)
Mohd Fazli (kiri) menunjukkan rusuk kiri mangsa (gambar kecil) yang berlubang dipercayai terkena tanduk lembu selepas merempuh haiwan tersebut, sambil diperhatikan jiran mangsa,
MARANG – Gara-gara ternakan berkeliaran, seorang pemuda menjadi mangsa apabila menemui ajal dalam keadaan tragis, selepas terlanggar seekor lembu di Jalan Pengkalan Berangan ke Pulau Kerengga, di Kampung Alur Wan Syed malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan yang juga adik angkat mangsa, turut cedera.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Tuan Mohd Hazrie Tuan Ismail, 21, menunggang motosikal bersama adik angkatnya untuk keluar makan bersama.

Bagaimanapun, mangsa dan adik angkatnya yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dipercayai tidak sempat mengelak daripada melanggar lembu yang berada di tengah jalan.

Akibatnya, mereka tercampak namun hanya mangsa cedera teruk.

“Sejurus kemalangan, mangsa dan adik angkatnya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan oleh ahli keluarga mangsa yang tinggal berdekatan dengan lokasi kejadian,” kata anak saudara mangsa yang maut, Mohd Fazli Jaafar, 24.

Rusuk kiri mangsa tembus selepas terkena tanduk haiwan itu, manakala pembonceng pula tercampak ke atas jalan dan cedera bahu kanan sebelum mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan.

Bagaimanapun, akibat kecederaan parah, anak kelima daripada lapan beradik yang bekerja sendiri dan beralamat dari Kampung Alur Wan Syed itu dipercayai menghembuskan nafas terakhir ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan di sini.

“Mangsa juga tidak sempat menerima rawatan lanjut manakala adik angkatnya dikejarkan ke hospital besar menggunakan ambulan Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan,” katanya.


Trauma kes panah petir belum hilang

BAGI ibu saudara mangsa, Noor Hayati Mohd Noor, 37, dugaan yang dihadapi sungguh berat untuk ditanggung keluarga.

Sebelum ini dia sudah kehilangan seorang anak dan seorang anak saudara akibat dipanah petir di Kampung Felda Cador.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu itu, anaknya, Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan anak saudaranya, Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman, 9, maut disambar petir ketika menemani suaminya mencari lembu hilang di ladang ternakan Kampung Felda Cador.

“Hari ini (semalam) saya dikejutkan lagi dengan berita kematian seorang lagi anak saudara akibat nahas jalan raya. Sedih rasanya sebab belum cukup 40 hari, kami terpaksa hadapi sebuah lagi kematian berlaku dalam keluarga ini,” katanya.

Ibu bapa mangsa, Tuan Ismail Tuan Senik, 52, dan isterinya, Rohani Wahab, 49, redha dengan ketentuan ILAHI walaupun berat hati mereka untuk menerima kenyataan anak kelima mereka telah pergi buat selama-lamanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Berangan kira-kira jam 11 pagi, semalam. Turut hadir, Timbalan Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.


Waspada di kawasan gelap

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dipercayai mati di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan.
Beliau mengingatkan penternak tidak melepaskan haiwan peliharaan terutama lembu dan kerbau tanpa pengawasan kerana ia menyumbang kepada kemalangan apabila haiwan berkeliaran di jalan raya.

“Pengguna jalan raya juga perlu sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan gelap dan dekat kawasan kampung.

"Selain haiwan ternakan, binatang liar seperti babi hutan juga biasanya melintas pada waktu malam,” katanya.

'Saya hanya fikir rumah' - Mangsa kebakaran



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
'Saya hanya fikir rumah' - Mangsa kebakaran
Julisha (kanan) bersama anak dan ibu saudaranya menunjukkan kotak fius elektrik yang dipercayai tempat punca berlakunya kebakaran sehingga perabot dan dinding.
'Saya hanya fikir rumah' - Mangsa kebakaran
Dari kiri Mohd Faizal, Mohd Satti, Julisha, Zaini dan wakil Pejabat Dun Chukai melihat keadaan sofa musnah terbakar yang dikeluarkan dari bahagian ruang tamu rumah.
KEMAMAN – “Waktu api beralun di siling dan asap memenuhi ruang tamu rumah, saya berkejar ke tandas di bahagian dapur dan angkut air dengan baldi sebelum menyimbah air pada sofa yang marak,” kata suri rumah, Julisha Kasim, 38, yang nekad meredah asap sendirian demi mengelakkan keseluruhan rumahnya hangus dalam kebakaran semalam.

Tindakan pantas ibu lima anak ini nyata tidak sia-sia apabila api yang membakar sofa di bawah kotak fius elektrik di bahagian ruang tamu mulai reda dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Pandan, Chukai, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi.

Julisha berkata, saat keluar dari bilik tidurnya untuk mandi, dia terkejut melihat api membakar sofa dan lebih menakutkan, keadaan api yang menjulang mengakibatkan api beralun di permukaan siling rumahnya.

“Ketika itu timbul semangat luar biasa dalam diri saya untuk padamkan api tanpa saya fikir untuk keluar dari rumah dan menyelamatkan diri kerana apa yang saya fikirkan, hanya mahu selamatkan rumah kami. Saya redah asap dan simbah air ke atas sofa yang sedang marak.

“Sebanyak empat kali saya punggah air dan simbah, syukur api beransur reda dan sejurus itu ramai jiran datang bantu padamkan sisa kebakaran sebelum bomba tiba,” katanya kepada Sinar Harian menceritakan detik cemas dialaminya.

Julisha berkata, semasa kebakaran, kotak fius meletup menyebabkan percikan api merebak ke bahagian dinding setentang dengan tempat kotak fius hingga sebahagian dinding itu turut dimamah api.

Menurutnya, ketika kejadian suaminya yang bertugas sebagai pemandu di sebuah syarikat di Geliga, Mohd Faizal Mokhtar, 42, keluar bekerja dan hanya dia dan tiga anaknya, Siti Najihah, 17; Che Azwanita, 17 (anak angkat) dan Zulfahmi, 5, berada di rumah.

Kesemua anaknya selepas menyedari rumah mereka terbakar segera keluar dari rumah kerana panik dan Siti Najihah meminta pertolongan daripada jiran.

Kerugian yang ditanggungnya sekeluarga dianggarkan bernilai RM10,000 kerana selain dua set sofa musnah, sebahagian struktur dinding rumah dan siling dimamah api.

Sementara itu, ibu saudara Julisha, Zaini Putih, 60, yang tinggal bersebelahan berkata, dia melihat asap hitam keluar dari tingkap rumah anak saudaranya itu sejurus cucu saudaranya menjerit meminta tolong.

Musibah yang menimpa keluarga Julisha itu turut mendapat perhatian Pejabat Dun Chukai dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Pandan, Mohd Satti Said yang datang menziarah dan melihat keadaan rumah mangsa.

Bagi meringankan beban, Pejabat Dun Chukai akan menyalurkan bantuan baik pulih rumah termasuk pemasangan sistem pendawaian elektrik yang mana kerja-kerja baik pulih akan dilakukan segera iaitu bermula hari ini.

Mana-mana pihak yang turut sama mahu membantu boleh menghubungi Mohd Faizal menerusi talian 013-9673111.

Mat rempit kena tahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Mat rempit kena tahan
Motosikal yang ditahan di IPD Melaka Tengah bagi tujuan pemeriksaan, awal pagi kelmarin.
SEMABOK - Seorang remaja, antara yang ditahan dalam Operasi Mat Rempit oleh polis cawangan trafik dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, remaja berumur lingkungan 17 tahun itu ditahan kerana disyaki menunggang motosikal secara berbahaya dalam operasi di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Jambatan Semabok.

Menurutnya, remaja yang berasal dari Bachang itu akan didakwa di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

“Operasi ini diketuai Asisten Superintendan V Gunasegaran untuk mengesan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan lalu-lintas.

"Kita juga turut menyasarkan untuk mengesan motosikal curi,” katanya.

Sementara itu, Gunasegaran berkata, polis menahan hampir 70 motosikal atas pelbagai kesalahan.

“Kita telah mengarahkan penunggang motosikal berkenaan membawa motosikal masing-masing ke IPD Melaka Tengah untuk pemeriksaan.

“Hasilnya, kita telah mengeluarkan sebanyak 36 saman dan menyita lapan motosikal,” katanya.

Cubaan pecah mesin ATM gagal



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Cubaan pecah mesin ATM gagal
Anggota polis memeriksa mesin ATM yang cuba dipecahkan tiga penjenayah terbabit.
SABAK BERNAM – Tiga penjenayah didapati cuba merompak mesin juruwang automatik (ATM) di luar pintu masuk Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), di sini awal pagi semalam, namun usaha itu tidak berhasil selepas mereka gagal menebuk ATM itu menggunakan alat pengimpal dibawa.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, semua penjenayah bertopeng terbabit dipercayai menyerbu masuk ke dalam pondok pengawal keselamatan PSIS yang terletak kira-kira 10 meter dari ATM berkenaan.

Menurutnya,  mereka kemudiannya mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan yang ada di situ sebelum cuba memecahkan mesin ATM terbabit.

"Bagaimanapun selepas beberapa jam mencuba, mereka tidak berjaya melakukannya dan melarikan diri membawa alat yang digunakan itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, pengawal keselamatan diikat ditemui oleh rakan setugasnya yang pulang daripada meronda di kawasan PSIS kira-kira jam 6 pagi.

Noor Mushar berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Tawar sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mengesyaki bahawa rompakan itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang tidak profesional kerana cat yang disembur pada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak menyeluruh.

“Malah mereka juga tersalah menyembur cat pada alat penggera yang disangka CCTV dan ini jelas menunjukkan mereka bukan penjenayah profesional,” katanya.

Menurutnya, ATM berkenaan disediakan oleh pihak PSIS untuk kemudahan pelajar di institusi pengajian tinggi berkenaan memandangkan jarak untuk ke pekan agak jauh serta menyukarkan pelajar.

Beliau berkata, lokasi ATM yang jauh dari pekan menjadi faktor mesin itu menjadi sasaran penjenayah terbabit.

“Kita akan meneruskan usaha menjejaki kesemua suspek supaya mereka dapat dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Noor Mushar berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan lanjut dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan menyamun.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi  Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Besar di talian 03-32242222 atau berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superitendan Masri Md Hassan di talian 019-2050142.

“Kita mengharapkan supaya orang awam yang mempunyai maklumat dapat tampil untuk membantu siasatan kes ini,” katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan yang diikat semasa cubaan rompakan tersebut, Abdul Halim, 44, berkata, ketika kejadian, dia bertugas seorang diri dalam pondok pengawal PSIS sebelum tiga penjenayah terbabit datang.

"Saya cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri namun gagal selepas diikat menggunakan pita pelekat oleh tiga suspek berkenaan yang memakai baju berwarna hitam serta muka bertopeng.

“Jika sesuatu menimpa saya ketika itu, saya tidak dapat bayangkan macam mana isteri dan anak-anak saya hendak meneruskan kehidupan,” katanya.

Menurutnya, walaupun trauma, dia berasa amat bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan ketika kejadian yang tidak diduganya akan berlaku itu.

Bapa dakwa guru pukul anak kerana pinjam buku



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Bapa dakwa guru pukul anak kerana pinjam buku
Munisamy menunjukkan kesan kecederaan mata kanan anaknya.
RAUB – Seorang bapa kesal apabila anaknya cedera selepas dipercayai dipukul seorang guru menggunakan siku ketika waktu persekolahan.

R Munisamy, 49, berkata, kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi 7 September lalu ketika anaknya, M Ravivarma, 14, bersama 300 pelajar lain dalam dewan sebuah sekolah di sini.

Menurutnya, anaknya memaklumkan dia hanya cuba meminjam buku daripada seorang kawan, kemudiannya datang seorang guru lelaki dalam keadaan marah.

“Guru berkenaan bertindak menyiku mata kanan anak saya mengakibatkannya pengsan a lebih kurang setengah jam.

“Apabila dia tersedar, dia berasa sakit di bahagian mata, pening dan muntah-muntah,” katanya.

Munisamy berkata, dia hanya mengetahui insiden itu pada jam 1 petang hari yang sama, sedangkan kejadian berlaku pada sebelah pagi.

Katanya, dia bergegas membawa anaknya ke Hospital Raub bagi mendapatkan rawatan dan menerima cuti sakit selama satu hari.

“Pada 9 September pula, pihak hospital mengeluarkan surat untuk membawa anak saya menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultah Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pula.

“Pada 10 September pula isteri saya, M Parvathy, 48, dipanggil pihak sekolah untuk membincangkan perkara ini tetapi hasilnya tidak memuaskan kerana mereka mendakwa anak saya sering terlibat dengan masalah disiplin,” katanya.

Dia berkata, sebelum kejadian mengakibatkan kecederaan mata Ravivarma, pihak sekolah tidak pernah menimbulkan sebarang isu berkaitan disiplin dan salah laku anaknya itu, sebaliknya memaklumkan bahawa Ravivarma adalah pelajar yang baik.

“Kami tidak puas hati dengan penjelasan diberikan pihak sekolah sedangkan pada hari kejadian anak saya tidak melakukan sebarang kesalahan selain cuba meminjam buku daripada seorang kawan.

“Kami juga menunggu sehingga 20 September agar pihak sekolah melakukan tindakan yang wajar dan adil kerana kesan insiden itu mengakibatkan mata kanan anak saya mengalami kecederaan,” kata Munisamy.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) India Daerah Raub, K Temil Selvam berkata, isu itu dipandang serius kerana mengakibatkan pelajar berkenaan trauma untuk ke sekolah lagi.

Hilang kawalan, warga emas nyaris maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Hilang kawalan, warga emas nyaris maut
Keadaan kereta yang terbabas.
BANDARAYA MELAKA - Sepasang suami isteri warga emas nyaris maut apabila kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbabas di Jalan Gajah Berang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa yang berusia lingkungan 60-an dipercayai terbabas dan melanggar tebing longkang sebelum merempuh pokok di kiri jalan.

Difahamkan, mangsa yang memandu datang dari arah Jalan Hang Tuah, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di selekoh Jalan Gajah Berang.

Bagaimanapun, kedua-duanya yang tidak mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan.

Pegawai Operasi Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.08 daripada seorang anggotanya yang mahu pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

“Anggota terbabit kebetulan melalui kawasan tersebut dan segera mengeluarkan mangsa terlebih dahulu selepas menghubungi balai.

“Enam anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan membantu menebang pokok serta membersihkan lelehan petrol dan cecair lain akibat kemalangan berkenaan,” katanya, semalam.

Sementara itu, seorang saksi, Song Hai Min, 47, yang sedang makan di sebuah kedai berhampiran melihat asap keluar dari kereta sejurus terdengar bunyi dentuman.

“Selepas terdengar bunyi seperti sesuatu melanggar pokok, saya meninjau-ninjau ke arah luar kedai dan melihat asap, cuma ketika itu saya tidak pasti apa yang berlaku.

“Saya kemudian berlari ke tempat kejadian dan melihat seorang nenek bersama suaminya berdiri berhampiran sebuah kereta dalam keadaan mengiring di atas longkang,” katanya.

Katanya, orang ramai yang membantu turut mencabutkan kabel bateri bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku selepas melihat petrol mengalir keluar.

Pelajar dibelasah senior



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Pelajar dibelasah senior
Pandangan hadapan sekolah menengah yang dikesan berlakunya kes seorang pelajar tingkatan empat dibelasah lapan senior, malam Sabtu lalu.
TELOK AIR TAWAR - Gara-gara dikatakan bersikap kasar dan enggan mengikut arahan, seorang pelajar di sebuah sekolah asrama di sini, dibelasah sekumpulan senior sehingga hampir pengsan dan lebam seluruh badan, malam Sabtu lalu.

Pelajar tingkatan empat jurusan elektrik itu berkata, kejadian pada jam 10 malam itu bermula apabila dia enggan mengikut arahan beberapa pelajar senior yang mendiami asrama itu supaya lebih menghormati mereka.

“Saya sememangnya dikenali sebagai seorang pelajar yang tidak suka bercampur dengan pelajar lain melainkan dengan rakan rapat sahaja.

“Mungkin sikap saya itu tidak disenangi senior yang terdiri daripada pelajar tingkatan lima, termasuk kalangan mereka yang mendiami asrama menyebabkan saya ‘dibuli’ mereka,” katanya.

Menurut pelajar berkenaan, ketika tidur malam Jumaat lalu, dia didatangi lapan pelajar mengelilingi katilnya sebelum mereka bertindak membelasahnya.

Katanya, pada waktu itu, dia nekad mempertahankan diri dengan melawan balik, namun disebabkan bilangan mereka ramai, dia terpaksa menahan sakit apabila ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi.

“Akibat terkena pukulan di kepala dan pinggang, saya hampir pengsan dan mengalami kesakitan teramat, namun bernasib baik apabila rakan sebilik berjaya meleraikan mereka.

“Bimbang sesuatu lebih buruk, saya menghubungi ibu yang tinggal di Bertam, Kepala Batas memintanya datang ke sekolah dan membawa saya pulang,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, akibat kejadian berkenaan, beberapa bahagian badannya lebam dan mengalami kesakitan serta terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas.

“Saya bukan sahaja trauma dan sakit, tetapi juga tidak dapat hadir ke sekolah sejak semalam kerana bimbang keselamatan diri. Namun, hasil perbincangan dengan ahli keluarga, kami bersetuju tidak membuat laporan polis dan memanjangkan kes ini,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang dihubungi berkata, mereka sekeluarga enggan memanjangkan kes itu berikutan pelajar senior berkenaan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa terdekat.

“Kita tidak mahu menjejaskan persiapan mereka menduduki peperiksaan itu tetapi berharap kejadian ini tidak akan berulang lagi.

“Tambahan pula sebahagian besar daripada mereka menghubungi saya meminta maaf dan menyesali tindakan dilakukan terhadap anak saya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Seberang Perai Utara, Jamil Mohamed yang dihubungi mengakui kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana menyerahkan kepada pihak sekolah menanganinya, termasuk mengenakan hukuman setimpal jika pelajar senior terbabit didapati bersalah.

Penternak ikan berputih mata



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Penternak ikan berputih mata
Ikan tilapia yang diternak Surip mati sejak Selasa lalu.
GEMENCHEH – Seorang pengusaha kolam, Surip Saliman, 40, dari Kampung Geduk-Tenai terpaksa berputih mata apabila ternakan ikannya mati secara berperingkat sejak Selasa lalu.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakannya mengepam air sungai berdekatan yang berwarna kehijauan.

Surip berkata, dia baru sahaja mahu berjinak-jinak dalam aktiviti ternakan ikan dan mula mengusahakannya sejak tujuh bulan lalu.

Namun katanya, kini dia berasa sangat gusar melihat ternakan ikan tilapia merahnya mulai mati.

"Mujur saya hanya ingin membuat percubaan sahaja dengan mengepam air sungai ke dalam sebuah kolam dan tidak membuatnya secara serentak.

“Saya risau dengan keadaan ini. Jika saya tekan badan ikan yang mati, ada minyak keluar dan saya percaya berkemungkinan berpunca daripada air sungai tercemar," katanya ketika ditemui di kolamnya berhampiran Empang Batu Geduk-Tenai, dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya, jika keadaan itu berterusan, saya risau hasrat untuk menambah pendapatan melalui aktiviti penternakan tidak dapat direalisasikan kerana mempunyai kekangan termasuk punca air tercemar.

Akibat kejadian itu, Surip berkata, dia terpaksa menanggung kerugian termasuklah mengeluarkan modal hampir RM20,000.

"Kakitangan Jabatan Alam Sekitar sudah mengambil sampel air sungai berdekatan dan air kolam serta ikan yang mati.

"Diharap tindakan segera bagi mengatasi masalah ini diambil bagi memastikan saya dapat meneruskan aktiviti menternak ikan tilapia merah yang mempunyai pasaran baik," katanya.

Dalam pada itu, Surip berkata, dia tidak tahu bagaimana untuk menuntut ganti rugi.

“Saya harap pihak bertanggungjawab dapat melihat sendiri kesan pencemaran sungai ini dan mengambil tindakan sesuai bagi memastikan masalah ini tidak berpanjangan," katanya.