Search This Blog

Sunday, September 23, 2012

Tak sempat duduki PMR

SHAH ALAM: Seorang pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Persiaran Hulu Langat di Seksyen 27, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Muhamad Aliff Naim Zamary, 15, yang menunggang bersendirian maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Jurucakap polis berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2, di sini, itu dipercayai menunggang motosikal jenis Honda C100 dengan laju.

“Setibanya di selekoh, dia hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya.


Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

‘Tolong, saya diculik’

KUALA LUMPUR: “Tolong selamatkan saya, saya diculik,” itulah antara kandungan nota ditulis seorang lelaki berusia 30 tahun ketika dikurung sekumpulan empat lelaki di sebuah rumah di Batu 9, Cheras, di sini.

Tindakan mangsa yang menyerahkan nota berkenaan kepada orang awam kira-kira jam 7 pagi itu, berjaya menyelamatkannya selepas serbuan dilakukan pihak berkuasa di rumah berkenaan.
Menurut sumber, mangsa diculik sekumpulan empat lelaki kira-kira jam 7 pagi Selasa lalu ketika berada berhampiran sebuah kondominium di Setapak.

“Mangsa mendakwa melihat empat suspek berusia lingkungan 30-an turun dari sebuah kereta jenis Toyota Avanza. Mereka (suspek) menghampirinya lalu memaksanya masuk ke dalam kenderaan berkenaan,” katanya.

Mati ditetak

ALOR GAJAH: Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang mati mengerikan selepas diserang kumpulan lelaki dengan senjata tajam di Kawasan Perindustrian Kelemak, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, kira-kira jam 6.50 pagi, mangsa, M Hukentheran, 19, dari Tampin, Negeri Sembilan menunggang motosikal ke tempat kerjanya dihimpit kereta yang dinaiki suspek sehingga terjatuh di bahu jalan sebelum ditetak bertubi-tubi.


Mangsa yang sepatutnya melaporkan diri di kilang itu jam 7 pagi disahkan mati di Hospital Alor Gajah (HAG) kerana mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan hampir putus pergelangan kiri. Majikan mangsa, M Vinesh berkata, dia berjumpa mangsa bersarapan di sebuah kedai makan tidak jauh dari lokasi sebelum kejadian, namun 10 minit selepas itu dia yang mengambil pekerja di Pengkalan, di sini terkejut melihat kelibat polis peronda di lokasi bersama motosikal mangsa. “Saya sangka dia kemalangan jalan raya, namun saya lihat dia berlumuran darah sebelum dimaklumkan polis dia ditetak.

“Kepala dan mukanya berlumuran darah sambil tangan kanannya menekup perut yang hampir terburai, manakala kepalanya dialas dengan tangan kirinya yang terkulai,” katanya ketika ditemui di HAG, di sini, semalam.


Bapa mangsa, G Murugan, 44, berkata anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika keluar rumah jam 6.30 pagi semalam sebaliknya seperti kebiasaan hanya meminta wang untuk bersarapan.


“Sepanjang berada di rumah, anak saya tidak menunjukkan sebarang reaksi mencurigakan, pagi sebelum kejadian dia ada minta wang RM10 katanya untuk beli sarapan pagi dan ke tempat kerjanya.

“Kira-kira jam 7.20 pagi (semalam), majikannya hubungi saya dan maklumkan Hukentheran parah ditetak dengan senjata tajam sehingga mati oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali,” katanya ditemani isteri, K Waliyama, 40, di HAG.

Sorok bawah lantai

NUSAJAYA: Seorang lelaki warga asing nekad bersembunyi di bawah lantai rumah kongsi di Nusa Bayu di sini, bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen yang menjalankan pemeriksaan, kelmarin.

Dalam pemeriksaan pada jam 3 pagi itu, lelaki terbabit yang hanya berseluar pendek bersembunyi kira-kira 10 minit di bawah lantai berkenaan sebelum ditemui penguat kuasa imigresen.


Ketua Operasi, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen II, Amzari A Jalil berkata, lelaki terbabit antara 18 warga asing yang ditahan dalam Ops Sapu di tapak pembinaan berkenaan.

“Ada juga yang melarikan diri dengan hanya berseluar dalam untuk bersembunyi di dalam semak berhampiran selain di celah pintu serta kayu rumah kongsi terbabit.


“Pemeriksaan turut mendapati ada di kalangan warga asing terbabit memiliki pas kerja serta permit palsu,” katanya, semalam.


Menurut beliau, warga asing yang ditahan juga ada yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini.

Amzari berkata, seramai 290 pekerja asing diperiksa dalam operasi berkenaan dan 18 warga asing termasuk seorang perempuan berusia antara 22 hingga 58 tahun ditahan bagi membantu siasatan.


“Sepuluh daripada warga asing memiliki dokumen meragukan, tujuh tinggal melebihi masa sejak setahun lalu dan seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) akta sama,” katanya.


Warga asing terbabit dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nanas (DIPN) untuk tindakan selanjutnya.

‘Kaki kecil terjulur’

ALOR SETAR: “Saya ternampak sepasang kaki kecil terjulur keluar dari kain batik ketika mengorek tanah sebelum menghidu bau busuk daripada satu objek lembik sebesar tapak tangan lelaki dewasa,” kata seorang warga Myanmar, Ahmad Moghul Ahmad, 33.

Dia mendakwa menemui satu objek dipercayai janin bayi ketika melakukan kerja-kerja mengorek tanah untuk memasang pagar di Jalan Lumba Kuda, dekat sini, kira-kira jam 9.30 pagi.
Ketika itu, dia sedang bekerja bersama rakannya, Jamal, 20, selepas mereka diarahkan untuk mengorek tanah di kawasan berhampiran Tugu Pahlawan, di sini.

Ahmad berkata, dia sedang mengorek tanah di kawasan berkenaan sebelum batang penggali yang digunakan terkena satu objek lalu terpandang sepasang kaki kecil dalam sebuah lubang sedalam hanya kira-kira 0.3 meter.

Maut ditembak 4 das

BUKIT MERTAJAM: “Dalam beberapa hari lalu, kami jarang berjumpa disebabkan kesibukan masing-masing. Begitupun, ketika berjumpa, sikap bapa seperti biasa.

Saya masih teringat permintaan bapa sebelum ini yang mahu saya menguruskan gerai nasi ayam diusahakannya, tetapi saya beritahu mahu bekerja dalam bidang ini dulu,” kata Gary Yeap, 23, anak kepada Yeap Cheng Chye, 47, yang maut terkena empat das tembakan di Lorong Sejahtera Jaya 3, Taman Sejahtera Jaya, di sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.


Ketika kejadian, Yeap menghantar pinggan mangkuk yang tertinggal di gerainya di Medan Selera Alma ke rumah pekerjanya di Taman Sejahtera Jaya selepas habis berniaga.

Difahamkan, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota seorang diri dikatakan diekori dua suspek bermotosikal sehingga di hadapan kawasan perumahan berkenaan sebelum pembonceng turun dari motosikal lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa dari sisi kanan tingkap.


Tembakan menyebabkan peluru menembusi bahagian badan mangsa menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.


Pada masa sama, pekerja mangsa, Loh Seow Kee, 42, terlihat kejadian dan cuba melarikan diri, tetapi gagal apabila dia turut ditembak penjenayah yang menghilangkan diri sejurus kejadian.

Wanita terbabit yang cedera di perut dan bahu kiri dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.


Gary yang juga wartawan akhbar berbahasa Cina, Guan Ming Daily berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan terkejut apabila dimaklumkan Loh mengenai bapanya ditembak.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian sejurus dihubungi Loh. Saya tidak tahu apa punca kejadian ini kerana bapa seorang yang baik hati, peramah, selalu membantu orang terutama meminjamkan duit dan tegas.


“Saya yakin bapa tidak berhutang dengan sesiapa, mungkin ada yang tidak puas hati disebabkan ketegasannya ketika menjalankan tugas sebagai Ahli Pasukan Ronda Sukarela Bukit Mertajam,” katanya ditemui di Hospital Seberang Jaya, semalam.


Gary yang juga anak sulung daripada tiga beradik yang semuanya lelaki berkata, dia sedih kerana hasrat mereka sekeluarga untuk bercuti di Cameron Highlands pada bulan depan tidak kesampaian.


“Kami sekeluarga sudah merancang untuk bercuti di Cameron Highlands bulan depan dan tidak sabar menunggu saat itu, tetapi selepas kejadian ini ia mungkin dibatalkan,” katanya.

Goda beli DVD lucah

KLUANG: Seorang wanita berusia 33 tahun yang menjual cakera video digital (DVD) lucah di sekitar bandar ini menggunakan teknik godaan untuk melariskan jualannya.

Pada masa sama, wanita terbabit turut menjadikan lelaki yang sedang menunggu di dalam kereta atau mengisi minyak sebagai sasaran menjual DVD lucah.


Bagaimanapun, kegiatan wanita terbabit bersama lima lagi lelaki berakhir selepas mereka ditahan dalam ‘Ops Ostrich’ yang dijalankan selama dua hari itu di sekitar daerah berkenaan bermula 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya menyerbu lima premis di sekitar daerah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.


“Bertindak di atas maklumat awam, kami melakukan beberapa serbuan sebelum menahan enam individu termasuk seorang wanita dan lima lelaki berusia antara 18 hingga 39 tahun yang terbabit menjual pelbagai judul DVD cetak rompak,” katanya.

Cabul cucu

KUANTAN: Seorang datuk berusia 40 tahun ditahan selepas dipercayai menjadikan cucu perempuannya yang berusia sembilan tahun sebagai ‘mainan seks’ sejak tiga bulan lalu dengan mencabul kehormatan kanak-kanak berkenaan.

Lelaki berasal dari Indonesia bekerja sebagai penoreh getah itu ditahan di rumahnya di Felda Sungai Tekam, Jerantut, kira-kira jam 3 petang semalam selepas mangsa memaklumkan kejadian berkenaan kepada abangnya berusia 12 tahun yang kemudian memberitahu ibu mereka.


Difahamkan, mangsa dan abangnya menetap bersama nenek berusia 50 tahun serta datuk tiri mereka di Felda itu kerana ibu mereka yang berusia 32 tahun bekerja di Kelantan.

Kejadian itu terbongkar selepas abang mangsa memaklumkan perbuatan suspek kepada ibu mereka yang pulang ke rumah sebelum satu laporan polis dibuat semalam yang membawa kepada penahanan suspek.


Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.


Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, berdasarkan keterangan awal diperoleh daripada mangsa, kanak-kanak itu memaklumkan suspek mencabulnya dengan meraba buah dada serta kemaluan dan perbuatan itu sudah berlaku sejak Jun lalu.

“Namun siasatan lanjut masih dilakukan dan kanak-kanak itu mungkin akan dibawa menjalani pemeriksaan di hospital.


“Difahamkan, suspek sudah 13 tahun berkahwin dengan nenek mangsa dan menetap di Felda berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kertas siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul.

Pencuri motosikal kantoi

PARIT BUNTAR : Tindakan seorang penjenayah mencuri motosikal membawa padah apabila diberkas di hadapan Restoran Rahmat di Bandar Seri Tenggara, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, lelaki berusia 26 tahun berkenaan dipercayai mencuri motosikal jenis EX5 sebelum berhenti di restoran itu untuk makan.

Tindakan suspek bagaimanapun dikesan pemiliknya yang kebetulan lalu di restoran berkenaan.

Pemilik motosikal yang hanya mahu dikenali sebagai Yap, 26, berkata, dia hanya menyedari kehilangan motosikal ketika bergegas hendak pulang ke rumah.

“Selepas menyedari motosikal yang saya tinggalkan di hadapan kedai hilang saya segera meminta pertolongan pasukan sukarelawan keselamatan Kerian dan dengan bantuan rakan dan sukarelawan, saya berusaha mengesan motosikal berkenaan namun gagal. Selepas sejam mencari saya mengambil keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis Parit Buntar,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan untuk membuat laporan polis dia ternampak motosikal itu diletakkan di hadapan sebuah restoran. “Saya segera menghubungi anggota sukarelawan untuk menangkap pencuri terbabit,” katanya.

Padah sorok di bumbung

PARAH... anggota JPAM  memeriksa pendatang yang parah selepas terjatuh dari tingkat lima.
PARAH... anggota JPAM memeriksa pendatang yang parah selepas terjatuh dari tingkat lima. MELAKA: Seorang pekerja kontrak warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, dekat sini ketika cuba melarikan diri dalam Ops 6P, Jabatan Imigresen negeri.
Dalam kejadian jam 11.50 malam kelmarin, lelaki dikenali sebagai Mathoseh, 35, dari Jawa Timur itu sedang menyorok dengan meniarap di atas bumbung Pangsapuri Taman Tasik Utama sambil berpaut pada tembok batu di bumbung itu.

Bagaimanapun, ketika pegawai imigresen menyelamatkan seorang lagi wanita yang sedang duduk di tembok berkenaan, mangsa yang sedang berpaut itu tiba-tiba menggelongsor jatuh berhampiran kawasan tangga pangsapuri berkenaan.

Mangsa yang parah di muka, tangan dan kaki sempat diajar mengucap syahadah sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Namun, mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu disahkan meninggal dunia jam 12 tengah hari semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, sebelum kejadian lelaki yang dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen itu berada di dalam sebuah rumah bersama enam lagi rakannya.


Katanya, pegawainya terpaksa memecah pintu rumah di tingkat lima yang dihuni tujuh warga Indonesia itu ketika pemeriksaan kerana mereka enggan memberi kerjasama.

“Apabila pegawai kami memperkenalkan diri bagi melakukan pemeriksaan di rumah itu, mereka melarikan diri ke bumbung pangsapuri dengan memanjat siling.

“Pemeriksaan di bumbung mendapati enam orang masing-masing lima perempuan dan seorang lelaki sedang duduk di situ, manakala mangsa yang tidak disedari sedang berpaut tiba-tiba menggelongsor jatuh,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam operasi bermula jam 11 malam kelmarin hingga 3.30 pagi semalam, seramai 32 warga asing berusia 18 hingga 47 tahun termasuk seorang wanita berusia 31 tahun warga Kemboja yang sarat mengandung tujuh bulan ditahan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, operasi disertai 25 pegawai jabatan itu bersama dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan di tiga lokasi iaitu pangsapuri berkenaan, sebuah pusat hiburan di Melaka Raya dan sebuah rumah di Paya Rumput, dekat sini.

“Mereka yang ditahan adalah 21 wanita dan 11 lelaki terdiri daripada sembilan warga Indonesia, Thailand (6), Myanmar (1), China (14) dan Kemboja (2),” katanya.

Lelaki bunuh bapa ditangkap

AL-AHSA: Polis Arab Saudi semalam menangkap seorang lelaki yang didakwa membunuh bapanya.

Lelaki berkenaan ditahan dua jam selepas melakukan pembunuhan itu.


Menurut polis, lelaki itu menembak bapanya yang berusia 70 tahun di depan rumah mangsa.

Mangsa mati ketika dibawa beberapa rakan ke hospital.


Anaknya ditangkap di sebuah jalan raya ketika cuba melarikan diri.


Mangsa ialah pesara guru sementara anaknya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak baru saja berhenti dari perkhidmatan kerajaan. - SG

Penggodam Arab serang laman web Barat

RIYADH: Penggodam dari beberapa negara Arab yang menggelar diri mereka ‘Tentera Elektronik Arab’ menyerang beberapa laman web Barat, semalam kerana membantah filem anti-Islam, ‘Innocence of Muslims.’

Seorang penggodam dari Maghribi, Ridouan, memberitahu wartawan Al-Arabiya, tindakan itu dilakukan untuk membela Nabi Muhammad (SAW) dan Islam.
“Penggodaman itu ialah tindak balas terhadap penghinaan ke atas Rasulullah (SAW),” katanya.

Menurutnya, dia mendapat sokongan daripada penggodam muda Muslim, termasuk rakan senegara, Abdel Hak, Wesker Hacker dari dari Arab Saudi, Alaa dan Khaled dari Syria.


Penggodam berkenaan memasukkan ayat suci Al-Quran dan video berjudul ‘Kebenaran mutlak mengenai Muhammad (SAW)’ pada laman yang mereka godam. - Agensi

Majlis hari jadi tukar ganas

AMSTERDAM: Polis antirusuhan terpaksa dipanggil untuk menyuraikan remaja yang bertindak ganas di bandar Haren, semalam.

Keganasan meletus selepas beribu-ribu remaja berkumpul untuk menghadiri jemputan majlis hari jadi yang dimuatnaikkan dalam laman Facebook.


Menurut laporan, enam orang cedera, termasuk tiga parah selepas kekacauan berlaku.

Beberapa kedai dijarah, kereta dibakar dan tanda jalan dirosakkan sebelum polis bertindak menyuraikan remaja berkenaan dan menangkap 20 orang.


Media Belanda melaporkan, kira-kira 30,000 remaja menerima jemputan menerusi Facebook daripada seorang gadis untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-16.


Majlis itu sepatutnya diadakan secara kecil-kecilan tetapi gadis berkenaan tidak menetapkan acara itu kepada ‘peribadi’ dalam laman Facebooknya, menyebabkan ia tersebar secara meluas.

Kira-kira 3,000 remaja hadir ke majlis di bandar yang mempunyai 18,000 penduduk itu. - Reuters

Dipecat kerana senyuman

SHAANXI: Kerana tersenyum di tempat kemalangan sebuah bas yang meragut 36 nyawa, seorang pegawai keselamatan dipecat.

Pegawai wilayah Shaanxi berkata, mereka bertindak memecat Yang Dacai atas tuduhan salah laku selepas gambar menunjukkan dia tersenyum ketika melawat kawasan kemalangan di Yan’an, tersebar di Internet.


Menurut mereka, gambar yang dirakam pada 26 Ogos itu menunjukkan Yang tidak mempunyai perasaan simpati terhadap mangsa.

Gambar itu turut mencetuskan kemarahan orang ramai.


“Saya begitu sedih apabila tiba di tempat kejadian. Pegawai bawahan saya kelihatan gementar ketika meyampaikan butir kejadian kepada saya. “ Saya cuba mententeramkan mereka dan ketika cuba berbuat demikian, saya tersenyum,” katanya, cuba membela diri. - DM

Padah masuk kandang harimau

NEW YORK: Seorang lelaki cedera parah dibaham seekor harimau Siberia selepas dia melompat ke dalam kandang haiwan berkenaan di Zoo Bronx, di sini, semalam.

Harimau itu hanya melepaskan lelaki berkenaan selepas petugas kecemasan menggunakan pemadam api untuk menakutkanya.
Lelaki berusia 25 tahun itu menaiki monorel mengelilingi zoo berkenaan apabila dia melompat dari sebuah gerabak dan masuk ke dalam kandang harimau itu.

Dia dibawa ke sebuah hospital tempatan dan dilapor dalam keadaan kritikal.


Petugas zoo dan bomba berkata, lelaki itu cedera teruk pada lengan, kaki dan bahu selepas dibaham kira-kira 10 minit.


“Sebelah kakinya cedera teruk,” kata jurucakap Jabatan Bomba, Frank Dwyer.

Laporan awal menyatakan, sebelah kaki lelaki itu putus. - AFP

Semakin ramai ibu hamil diserang barah

Sydney: Wanita yang lewat menjadi ibu lebih berkemungkinan mendapat barah ketika hamil, lapor satu kajian.

Bilangan wanita hamil yang didiagnos dengan barah meningkat sejak 20 tahun lalu, menurut penyelidik Australia dan aliran itu disumbangkan dengan peningkatan usia wanita yang menjadi ibu buat kali pertama. Hasil kajian yang disiarkan dalam jurnal sakit puan, BJOG, menyatakan bahawa pada 2007, seramai 192 daripada setiap 100,000 wanita hamil dan selepas bersalin menerima diagnosis barah – meningkat daripada 112 setiap 100,000 wanita pada 1994.

Pada tempoh sama bilangan wanita hamil berusia lebih 35 tahun meningkat daripada 13 hingga 24 peratus.

Barah ketika hamil

Bagaimanapun, ketua penyelidik, Christine Roberts, dari Universiti Sydney, berkata: “Barah yang dikaitkan dengan kehamilan meningkat dan sebahagiannya dijelaskan dengan peningkatan usia kehamilan.

“Kehamilan menaikkan interaksi wanita dengan perkhidmatan kesihatan dan kemungkinan untuk diagnos tetapi ia mungkin mempengaruhi pertumbuhan tumor.”
Roberts berkata, sebahagian doktor di jabatannya melihat beberapa kes bakal ibu menghidap barah dan mahu mengenal pasti sama ada ia menunjukkan risiko peningkatan.

Kumpulannya mengumpulkan maklumat daripada tiga pangkalan data terbesar mengenai kelahiran, kes barah dan kemasukan ke hospital di New South Wales.

Ia termasuk data mengenai kira-kira 780,000 wanita yang bersalin lebih 1.3 juta kali antara 1994 hingga 2008.

Kes baru didiagnosis

Pada tempoh sama, ada kira-kira 1,800 barah baru didiagnos di kalangan bakal ibu dan mereka yang melahirkan anak tahun lalu.

Ketika diagnos menjadi lebih kerap sejak beberapa tahun ini, wanita hamil semakin berusia, kata penyelidik.

Pada 1994, 13 peratus wanita hamil berusia melebihi 35 tahun, berbanding hampir 24 peratus pada 2007. - Agensi

Wanita bijak sembunyi kecurangan

London: Lelaki sering dianggap tidak setia kepada pasangan tetapi tinjauan terbaru menunjukkan wanita lebih cenderung berlaku curang.

Hampir 100 peratus wanita yang curang mendakwa berjaya menyembunyikan jejak mereka, manakala 17 peratus lelaki mengaku kecurangan mereka diketahui pasangan masing-masing. Agensi mengatur temu janji internet, UndercoverLovers.com melakukan tinjauan ke atas 3,000 individu yang sudah berkahwin mendapati 95 peratus wanita dan 83 peratus lelaki mengaku kecurangan mereka tidak diketahui.

Berjaya rahsia perbuatan

Sebanyak 89 peratus peserta tinjauan itu yang curang mengaku berjaya merahsiakan perbuatan mereka daripada pasangan masing-masing.
Jurucakap agensi itu, Emily Pope, menyatakan wanita lebih pandai berbohong berbanding lelaki.

“Kebanyakan ahli laman sosial ini berlaku curang dalam jangka masa lama tanpa ditangkap” katanya.
Pakar psikologi dari Universiti Manchester Metropolitan, Dr David Holmes berpendapat bahawa wanita lebih cenderung untuk bersikap curang.

“Wanita memang bijak menipu kerana secara psikologinya mereka berada dalam kelas tersendiri, berbeza dengan lelaki. Mereka membuat penilaian dan keputusan secara emosional dalam merancang strategi manakala lelaki lebih impulsif.

Perbezaan paling besar adalah wanita lebih bijak menyembunyikan rahsia kecurangan mereka,” katanya.

4 daripada 10 tak setia

Kajian lain di United Kingdom juga mendapati, empat daripada 10 wanita mengaku tidak setia. Sementara cuma tiga daripada 10 lelaki mengaku tidak curang.

Tinjauan pendapat 3,000 orang dewasa mendapati dua perlima wanita yang curang mengatakan ia berlaku ketika mereka berada di kelab malam. Hampir satu daripada empat wanita sama curang dengan rakan sekerja.

Kira-kira 55 peratus wanita mengaku mereka suka mendapatkan perhatian lelaki dan satu pertiga daripadanya berkata lelaki sering salah anggap wanita berkenaan meminati mereka. - Agensi

Bapa wartawan ditembak


Anggota forensik memeriksa kereta Cheng Chye yang mati ditembak di Taman Sejahtera, Bukit Mertajam, semalam.Anggota forensik memeriksa kereta Cheng Chye yang mati ditembak di Taman Sejahtera, Bukit Mertajam, semalam.
Bukit Mertajam: Bapa kepada seorang wartawan akhbar Guan Ming Daily di sini maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di Lorong Sejahtera Jaya 3, Taman Sejahtera, di sini, malam kelmarin.

Hantar bekas makanan

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Yeap Cheng Chye, 47, bapa kepada Gary Yeap yang berniaga nasi ayam di sebuah gerai di Medan Selera Alma, di sini, dikatakan pergi ke tempat kejadian untuk menghantar pinggan mangkuk yang tertinggal di gerai berkenaan kepada seorang pekerjanya.
Bagaimanapun, sebaik sampai dengan menaiki kereta, sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki bertopi keledar dan memakai jaket tiba-tiba berhenti di sisi kanan kenderaan dipandu mangsa.

Sebaik turun daripada motosikal, pembonceng terbabit dikatakan melepaskan empat das tembakan yang mengenai bahagian badan mangsa, menyebabkan mangsa yang masih berada di tempat duduk mati di tempat kejadian.

Pekerja turut ditembak

Pekerja wanita mangsa, Loh Seow Kee, 42, yang terlihat kejadian dan cuba melarikan diri, turut ditembak dua das oleh penjenayah yang menghilangkan diri sejurus kemudian.
Wanita itu yang cedera di bahagian perut dan bahu kiri dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata motif serangan masih dalam siasatan tetapi menolak samun sebagai punca berikutan barangan milik mangsa, termasuk dompetnya tidak diusik penjenayah.

Katanya, suspek dan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan mengenainya masih dijalankan.

Masih siasat motif

“Apa yang pasti kejadian bukan bermotifkan samun kerana dompet mangsa tidak diusik dan kejadian berlaku begitu pantas. dan si mati juga seperti dalam keadaan terkejut.

“Bagaimanapun, kita akan siasat daripada pelbagai aspek yang boleh membantu menyelesaikan kes ini,” katanya.

Parah digilis peragut

Zura  Ashikin   menerima rawatan di HUSM,  Kubang Kerian.Zura Ashikin menerima rawatan di HUSM, Kubang Kerian.
Kota Bharu: Seorang guru wanita parah dilanggar dan digilis kereta dinaiki penjenayah yang cuba meragutnya dalam kejadian di Pasir Tumbuh, di sini kelmarin.
Menceritakan detik cemas itu, Zura berkata, dia sedang memasukkan barangan baru dibeli dari sebuah kedai ke dalam kereta sebelum tiba-tiba terasa beg sandang bahu kirinya ditarik dari belakang.

Guru Sekolah Kebangsaan Dato Hashim di Pengkalan Chepa itu berkata, kejadian berlaku begitu pantas, tetapi dia sempat melihat ada dua individu menunggu dalam kereta dan seorang lagi keluar untuk meragutnya.
“Beg sandang ditarik kuat ke sebuah kereta yang sedang menunggu sehingga saya pun turut terseret. Apabila peragut masuk keretanya, saya terjatuh di depan kereta yang kemudian menggilis pinggul kiri.
“Orang ramai memberi bantuan segera sebelum saya dibawa ke HUSM dengan ambulans. Saya anggarkan kerugian RM2,000,” katanya di HUSM, semalam.

Kamera automatik kesan pesalah di lokasi maut

Kuala Lumpur: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mula beroperasi tengah malam tadi di 14 ‘lokasi maut’ bagi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata bagi fasa pertama AES, sebanyak 14 kamera dipasang di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Perak, Selangor,Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Lebih banyak kamera akan dipasang di 817 lokasi dalam fasa kedua yang akan menyaksikan AES dilaksanakan secara menyeluruh.
AES mampu kurang kemalangan

Beliau berkata, pelaksanaan AES adalah tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

“Kamera AES dipasang di kawasan hitam atau lokasi dikenal pasti sebagai lokasi maut yang mencatatkan jumlah kematian tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Solah berkata, orang ramai boleh menyemak lokasi kamera AES menerusi laman sesawang JPJ di www.jpj.gov.my, dan boleh mengetahui mengenai zon operasi kamera AES melalui papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.
“Dengan mengetahui lokasi kamera AES, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan memandu mengikut undang-undang. Ini dapat mengurangkan jumlah kematian dan objektif kami adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tercapai dan bukan memberikan kuasa lebih besar kepada JPJ mengeluarkan saman,” katanya.

Papan tanda lokasi kamera AES yang mengesan had laju dapat dilihat antara jarak dua hingga tiga kilometer sebelum lokasi kamera, manakala kamera yang mengesan pesalah trafik lampu isyarat diletakkan antara 50 hingga 500 meter dari persimpangan lampu isyarat.

Solah berkata, imej yang dirakam kamera AES akan dihantar secara automatik ke pusat kawalan AES dan nombor pendaftaran kenderaan direkodkan pangkalan data JPJ, sebelum saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan. - BERNAMA

Buruh panik maut jatuh bangunan

Anggota penguat kuasa melihat Mathoseh yang terjatuh dari tingkat lima
Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh kelmarin.

MELAKA - Seorang buruh binaan dari Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapuri yang didiaminya di Ayer Keroh di sini ketika cuba mengelak serbuan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen dalam kejadian pada pukul 11.50 malam kelmarin.
Dikenali sebagai Mathoseh, 35, mangsa yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan baru 10 bulan berada di negara ini dipercayai panik apabila kediamannya di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh itu diserbu.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, penghuni rumah berkenaan enggan membuka pintu ketika diketuk anggotanya menyebabkan mereka terpaksa memotong mangga dan memecahkan pintu rumah itu untuk melarikan diri.
"Kami bagaimanapun berjaya menahan enam warga asing yang bersembunyi di dalam lubang pada siling namun salah seorang daripada mereka telah terjatuh ke lantai tingkat bawah sebelum berjaya ditahan.
"Mangsa dan keenam-enam lagi warga Indonesia terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Mathoseh dipercayai terlepas genggamannya menyebabkan dia menggelongsor ke tingkat paling bawah.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia setelah dikejarkan ke Hospital Melaka kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Sementara itu mengenai operasi berkenaan, Kamalludin berkata, pihaknya berjaya menahan 32 orang PATI.
Mereka terdiri daripada 14 wanita warga China, Indonesia (10), Thailand (6), warga Mynmar (1) dan sepasang suami isteri dari Kemboja.

Guru dilanggar kereta peragut

MANGSA ragut, Zura Ashikin Mustafa dirawat di Hospital Universiti Sains
Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan semalam.
 

KOTA BHARU - Seorang guru bukan sahaja kerugian RM2,000 akibat diragut malah dilanggar dua kali oleh kereta yang dinaiki peragut terbabit, mengakibatkan tulang pinggul kiri wanita berusia 48 tahun itu patah.
Kejadian berlaku ketika Zura Ashikin Mustafa memasukkan bekas makanan yang dibelinya untuk kegunaan sekolah ke dalam kereta Proton Waja miliknya di Pasir Tumboh dekat sini pukul 8 pagi kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd. Rafa berkata, dalam kejadian itu, peragut terbabit bertindak meragut beg tangan mangsa dari arah belakang menyebabkan mangsa terjatuh.
Mangsa kemudian diseret sejauh tiga meter sebelum dia terbaring di depan kereta suspek dipercayai jenis Nissan Sentra dan kemudian dilanggar.
Zura merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Dato Hashim, Pengkalan Chepa.
Idris berkata, mangsa dilanggar kereta yang dipercayai dinaiki tiga orang termasuk peragut berkenaan sebelum mereka melarikan diri ke arah Jalan Peringat.
"Mangsa yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian mengalami patah tulang pinggul kiri serta luka di sana sini," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Sementara itu Zura memberitahu, kejadian yang berlaku begitu pantas sejurus dia keluar dari bank berdekatan untuk mengeluarkan sejumlah wang.
Katanya, dia kemudian ke kedai berhampiran untuk membeli bekas makanan bagi kegunaan sekolah sebelum kemudian kembali ke keretanya.
"Ketika itulah saya diragut tetapi yang saya sedar badan diseret, kemudian terbaring di atas jalan sebelum dilanggar kereta itu," ujarnya.
Zura mendakwa dia dilanggar kereta itu dua kali.
Kosmo! pada 30 Ogos lalu melaporkan seorang wanita yang cuba menyelamatkan beg tangannya daripada diragut, hampir putus pergelangan tangan kirinya akibat ditetak dengan parang beberapa kali oleh penjenayah terbabit.

Ubat tiruan berleluasa

ANTARA pelbagai jenis ubat tiruan yang dijual di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Penjualan ubat-ubatan tiruan tetapi menggunakan jenama tulen yang dipercayai berleluasa di seluruh dunia kini amat membimbangkan apabila ia turut merebak di Malaysia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan jualan ubat palsu kini melebihi RM230 bilion, manakala Kementerian Kesihatan pula mengakui penjualan ubatan yang menjejaskan kesihatan pengguna itu turut semakin berleluasa.
Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail berkata, setakat ini pihaknya telah merampas ubat tiruan tidak berdaftar bernilai RM9.2 juta. Kebanyakan ubat tersebut dibawa masuk dari China dan Indonesia.
Menurutnya, lebih menakutkan, produk yang dirampas itu meliputi 23,839 jenis produk ubat tiruan dari seluruh negara sehingga Julai tahun ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, ubat perangsang seks dikenal pasti merupakan penyumbang terbesar dengan nilai rampasan berjumlah RM642,209 meliputi 1,069 jenis produk.
Katanya, senario itu berpunca daripada sikap pengguna yang gemar membeli produk murah sehingga meningkatkan penawaran produk berkenaan di pasaran.
"Trend penggunaan ubat perangsang dilihat semakin membimbangkan kerana masih ramai yang bergantung kepadanya.
"Situasi ini turut menjadi bukti kedegilan pengguna yang enggan mendapatkan nasihat doktor apabila berhadapan dengan masalah yang membabitkan kesihatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahadsemalam.
Beliau bagaimanapun memberitahu, setakat ini, tiada laporan membabitkan kes kematian yang dibuat berkenaan ubat palsu atau tidak berdaftar ini.
"Untuk mengekang penjualan ubat palsu atau tidak berdaftar ini daripada terus berleluasa, pelbagai langkah dijalankan termasuk kempen pendidikan kepada pengguna," jelasnya.
Sementara itu, Pakar Seksual Lelaki dan Perempuan Hospital Damai Service, Dr. Ismail Tambi berkata, pengambilan ubat perangsang seks yang tidak mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan boleh menimbulkan komplikasi kesihatan termasuk mengundang maut.
Katanya, kebanyakan ubat tersebut biasanya mengandungi sukatan bahan kimia berlebihan dos sekali gus boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Kru filem Johnny Depp mati lemas

LOS ANGELES - Seorang penyelam yang bertugas di set penggambaran filem Lone Ranger lakonan Johnny Depp mati lemas ketika membersihkan sebuah tangki, jelas pihak polis dan studio filem Walt Disney Co.
Lelaki yang belum dikenal pasti itu dikatakan memakai peralatan skuba untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di dalam sebuah kolam di sebuah rumah ladang di Palmdale, utara Los Angeles.
"Kami dengan dukacita mengesahkan bahawa seorang kru filem Lone Ranger meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Takziah buat ahli keluarga dan rakan-rakannya. Kami akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan berkaitan insiden ini," kata jurucakap Walt Disney Co., Paul Roeder dalam satu kenyataan.
Mangsa dikatakan sedang menyiapkan tangki tersebut untuk satu babak di dalam air. Punca kematian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan. - Reuters

Lelaki parah diserang harimau di Zoo Bronx

PONDOK menjual tiket kelihatan kosong berikutan pintu masuk Zoo
 Bronx ditutup selepas seorang lelaki cedera parah diserang harimau.


NEW YORK - Seorang lelaki yang melompat dari sebuah monorel dan masuk ke dalam kawasan harimau di Zoo Bronx di sini cedera parah apabila diserang oleh haiwan buas tersebut.
Menurut jurucakap Jabatan Polis New York, Leftenan Don Grimpel, lelaki berusia 25 tahun itu diserang selama hampir sepuluh minit oleh seekor harimau jantan berumur 12 tahun.
"Bahu dan kakinya patah. Kakinya juga berlubang kerana digigit," kata Grimpel. Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dibawa ke Pusat Perubatan Jacobi.
Pengarah Zoo Bronx, Jim Breheny memberitahu kakitangannya menggunakan pemadam api untuk menghalau harimau itu.
"Jika bukan kerana tindakan pantas dan kemampuan kakitangan bertindak dalam situasi kecemasan, insiden ini mungkin berakhir dengan kematian" tambah Breheny. - AFP