Search This Blog

Saturday, September 22, 2012

Peniaga nasi ayam mati ditembak

BUKIT MERTAJAM 22 Sept. - Seorang peniaga nasi ayam maut manakala seorang wanita cedera apabila suspek yang tidak dikenali melepaskan empat das tembakan di Lorong Sejahtera Jaya 3, Taman Sejahtera, di sini, malam tadi.
Mangsa yang maut iaitu Yeap Cheng Chye, 47.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan. - UTUSAN

Polis nafi tak maklum hasil siasatan kontraktor ditipu RM1 juta

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Polis menafikan pihaknya tidak menyiasat dakwaan seorang kontraktor yang ditipu RM1 juta oleh dua individu bergelar Datuk dan Datuk Seri dengan menyamar sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, pihaknya hairan apabila kontraktor berkenaan mendakwa tidak mengetahui status siasatan tersebut.
Katanya, siasatan kes itu telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Jun lalu malah salah seorang daripada suspek telah dilarang keluar dari negara ini.
"Sepanjang tempoh siasatan dilakukan, pengadu berulang-alik ke IPK Kuala Lumpur untuk bertemu pegawai penyiasat, malah pernah berjumpa dengan saya. Semua perkembangan siasatan kes juga telah dimaklumkan kepadanya.
"Polis ingin memaklumkan jenayah korporat bukan seperti jenayah lain kerana ia memerlukan kajian terhadap dokumen-dokumen yang dikemukakan dengan lebih mendalam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan dakwaan seorang kontraktor bahawa dia ditipu RM1 juta oleh dua individu tiga tahun lalu.

Madrasah At-Taqwa dipercayai pusat ajaran sesat Juruzon

SHAH ALAM 21 Sept. - Madrasah At-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat dekat sini yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada 21 Mei tahun lalu, dipercayai menjadi pusat penyebaran ajaran sesat yang dikenali sebagai Juruzon.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin (gambar) berkata, perkara itu terbongkar selepas kejadian tanah runtuh tersebut yang telah mengorbankan 16 pelajar madrasah berkenaan.
Menurutnya, selepas siasatan dilakukan, Juruzon juga telah difatwakan sebagai ajaran sesat di Selangor.
“JAIS juga telah bertindak menghentikan segala sumbangan kepada madrasah berkenaan dan pihak Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) jabatan masih membuat pemantauan ke atas ajaran itu dan kesemua bekas pelajar di madrasah berkenaan.
“Pihak penguat kuasa JAIS kini hanya menunggu laporan R&D bagi tindakan selanjutnya," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri hari ini yang mengingatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan sebuah kumpulan ajaran sesat yang boleh menggugat akidah mereka yang dikenali sebagai ‘ajaran Juruzon’.
Khutbah itu menyatakan ajaran berkenaan telah difatwakan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 23 Februari 2012 dan Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan pada 5 September 1996.
Pada masa yang sama, khutbah tersebut yang boleh dirujuk dan dimuat turun menerusi laman web http://www.jais.gov.my itu turut menyatakan ajaran berkenaan terbongkar susulan kejadian tanah runtuh yang melibatkan sebuah madrasah di Batu 14, Hulu Langat, Selangor yang telah mengorbankan seramai 16 orang pada 21 Mei 2011.
Berdasarkan siasatan, pihak berkuasa mendapati pengasas madrasah berkenaan adalah individu yang sama mengembangkan ajaran Juruzon di Wilayah Persekutuan sebelum ini.
Individu berkenaan telah membina Madrasah At-Taqwa yang bernaung di bawah Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia serta berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada 2002 sebagai tapak baru selain dikatakan menjadi pusat kegiatan ajaran Juruzon dan terdapat banyak penemuan serta bukti penyelewengan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Antara penyelewengan yang dilakukan ajaran tersebut ialah meyakini akan kehadiran ‘Guru Ghaib’ yang turun melalui badan Juruzon dan memberi pengajaran dan arahan kepada ahli kumpulan agar patuh dan setia melalui majlis yang dinamakan ‘Majlis Rabitah’.
Selain itu, ajaran Juruzon mendakwa mempunyai bacaan al-Qurannya sendiri yang turun daripada Arasy dan ia bukanlah bahasa Arab seperti bahasa al-Quran, malah, mereka mendakwa bahasa tersebut digunakan selepas mati.

Pekerja Myanmar jumpa objek dipercayai janin

ALOR SETAR 22 Sept. - Seorang pekerja warga Myanmar terkejut apabila menjumpai objek yang dipercayai janin bayi ketika menggali tanah untuk membina pagar bersebelahan Tugu Pahlawan, Jalan Lumba Kuda, di sini hari ini.
Ahmad Mogul Ahmad, 33, berkata, dia bersama rakannya yang dikenali sebagai Jamal, 30-an, pada mulanya sedang menggali tanah di kawasan itu kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
“Tiba-tiba saya ternampak satu bungkusan kain yang berwarna kuning yang berbau busuk lalu saya membuka bungkusannya.
“Saya nampak macam bentuk kaki bayi di dalam bungkusan itu dan kerana takut saya tanam semula bungkusan tersebut," katanya.
Ahmad Mogul memberitahu, dia kemudiannya memaklumkan kepada majikannya mengenai penemuan objek itu sebelum membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.30 pagi ini. - UTUSAN

Tiga kanak-kanak terbunuh, 13 cedera diserang lelaki berkapak

BEIJING 22 Sept. - Seorang lelaki yang mengalami masalah mental menyerang sebuah sekolah rendah dengan menggunakan sebilah kapak di selatan China semalam mengakibatkan tiga kanak-kanak terbunuh manakala 13 lagi cedera.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Wu bagaimanapun ditahan pihak berkuasa selepas serangan di daerah Pingnan, wilayah autonomi Guangxi.
Serangan itu memaksa pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah dan mahu supaya lebih banyak penyelidikan dilakukan bagi mengenalpasti punca serangan. - AFP

KPDNKK rampas 1,250 liter diesel di Kulim

KULIM - Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kulim, merampas 1,250 liter diesel subsidi daripada sebuah lori ketika pemandunya mengisi minyak di Taman Lobak dekat sini kelmarin.

Ketua Bahagian itu Roffa Mat berkata diesel bernilai lebih RM2,000 itu ditemui tersimpan dalam sebuah tangki kaca gentian yang dipasang dan diubahsuai pada sebuah lori tiga tan kira-kira pukul 10.30 pagi.

Roffa berkata pemeriksaan awal mendapati lori berkenaan dari Changlun dan pemandunya yang berusia 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Lori yang diubahsuai ini dilitupi rapi dengan kanvas bagi melindungi tangki kaca gentian itu. Selepas mengisi minyak pada tangki asal lori, mesin penyedut automatik digunakan untuk
menyedut minyak daripada tangki asal ke tangki besar yang diubahsuai,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya kini masih memantau kegiatan itu kerana daripada intipan yang dibuat, terdapat beberapa sindiket sama beroperasi sekitar Pulau Pinang dan Kedah Selatan.

Roffa memberitahu bahawa kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM250,000.-Bernama

Pemandu teksi biadap ditahan

SEREMBAN - Seorang pemandu teksi ditahan kerana bertindak biadap dengan melanggar seorang anggota polis trafik sehingga cedera di tangan di Jalan Lintang, Sungai Ujong, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, petugas trafik berusia 29 tahun melakukan rondaan di tempat kejadian sebelum meminta pemandu teksi berusia 65 tahun itu mengalihkan kenderaannya berikutan menghalang lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketika mahu mengalihkan keretanya, pemandu itu bertindak melanggar polis trafik berpangkat konstabel itu hingga menyebabkan tangan kanan mangsa cedera dipercayai terkena cermin sisi.

“Lelaki itu langsung tidak memberhentikan kenderaannya menyebabkan polis trafik bertindak mengejar sebelum menahannya di hadapan Terminal One, di sini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Saiful Azly berkata, sejurus selepas ditahan, suspek bersikap dingin dan enggan memberi kerjasama ketika diminta menunjukkan lesen dan MyKad untuk pemeriksaan.

“Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan mangsa terpaksa meminta bantuan rakan lain untuk menahan suspek.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Selamatkan diri guna baldi tutup muka, kepala

Kebakaran: Tutup muka, kepala dengan baldi
Keadaan bengkel besi di Jalan Pantai yang terbakar

PANTAI - "Saya terpaksa menutup muka dan kepala dengan baldi untuk keluar dari kawasan bengkel sebab takut terkena api," kata seorang pekerja bengkel besi yang terselamat dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengahari, semalam.

Mohd Al-Hafiz Baharuddin, 23, berkata, ketika itu,  dia berada di dalam tandas.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana bengkel boleh terbakar dan semasa keluar dari tandas, dia lihat api sudah menjulang tinggi.

“Selepas itu, saya berlari keluar untuk mendapatkan bantuan orang ramai sebelum menelefon pihak bomba dan bos saya,” katanya.

Sementara itu, pemilik bengkel besi itu, Mohd Razali Sharudin, 33, berkata, ketika kejadian, dia keluar untuk membeli barang dan mengetahuinya selepas dimaklumkan pekerjanya semasa dalam perjalanan pulang ke bengkel.

"Semasa tiba di bengkel, api sudah padam dan ketika kejadian hanya seorang  pekerja saya berada di bengkel.

"Semua mesin dan besi yang ada di dalam bengkel terbakar dan tidak ada apa dapat diselamatkan,” katanya.
Katanya, bengkel itu dibuka sejak awal 2011 dan kejadian  tersebut adalah yang pertama dialaminya.

"Anggaran kerugian yang dialami sekitar RM7,000 hingga RM8,000," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba Jalan Rahang, Mustaza Sairan berkata, sebanyak dua jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

“Semasa jentera pertama sampai, api sudah hampir padam dan hanya tinggal bara sahaja. Kita memadamkan sisa-sisa bara bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk.

“Siasatan awal tidak menolak putung rokok yang diletakkan di atas meja atau kerusi yang menjadi punca kebakaran," katanya.

Katanya, walau bagaimanapun, pihaknya perlu menunggu laporan penuh Unit Forensik dan Siasatan Jabatan Bomba untuk mengesahkannya.

3 didakwa miliki 453.5 kg dadah

3 didakwa miliki 453.5 kg dadah
Salah seorang daripada tiga ahli sindiket dadah didakwa
di Mahkamah Majistret, semalam dengan 26 pertuduhan
kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat 453.5 kilogram.

MUAR – Dua lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam  didakwa dengan 26 pertuduhan kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 453.5 kilogram, di sebuah pangsapuri dekat Jalan Junid pada 9 September lalu.

Kesemua pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah di hadapan Majistret, Suzana Mokhtar.

Tertuduh, Lim Kih Chong, 31, dari Yong Peng, Johor berdepan 10 pertuduhan, manakala rakannya, Chye Mei Chuan, 42, dari Taman Indah, dekat sini, dan Norizah Arpah, 24, dari Klang, Selangor, masing-masing dituduh melakukan lapan kesalahan membabitkan Seksyen 39B

Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Kih Chong menghadapi 10 pertuduhan termasuk dua pertuduhan berasingan iaitu mengedar dadah disyaki syabu seberat 1,015 gram (g) dan pil ekstasy dengan berat kasar 645g pada kira-kira jam 6.30 pagi di sebuah unit rumah di tingkat satu, Blok B, Pangsapuri Pemandangan Tanjung, Jalan Junid, dekat sini.

Pertuduhan lain membabitkan dengan niat bersama-sama Norizah dan Mei Chuan mengedar pil ekstasi seberat kira-kira 309,030g dan erimin 5 seberat 1,500g di sebuah rumah di tingkat tiga, pangsapuri yang sama pada kira-kira jam 6.30 pagi hari yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh turut didakwa secara bersama mengedar syabu seberat kira-kira 22,459g, pil ekstasi seberat 77,740g serta erimin 5 seberat  7,250g di sebuah unit rumah di tingkat dua pangsapuri sama.

Tiga tuduhan terakhir membabitkan secara bersama mengedar 10,611g syabu, heroin (21,745g) serta candu seberat 1,560g di sebuah rumah di tingkat tiga, pangsapuri yang sama.

Nor Hafizah menetapkan 9 November depan  untuk mendapatkan keputusan laporan daripada Jabatan Kimia bagi semua pertuduhan dan tidak membenarkan sebarang jaminan buat tertuduh.

Pada 9 September lalu, polis Johor berjaya menumpaskan sindiket dadah terbesar di negeri itu bernilai RM68 juta dengan menjadikan tiga rumah di Pangsapuri Pemandangan Tanjung, Jalan Junid sebagai makmal memproses dadah.

Lima rakan dibebaskan daripada tuduhan cederakan kontraktor

KUALA LUMPUR -  Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan lima rakan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang kontraktor, tahun lepas.

Hakim M.Nithiyanantham membuat keputusan itu terhadap Zukialfaro Zakaria, 38, Andri Kawarman Hassan, 29, Hanafi Rosli, 35, Mohammad Rithzuan Talib, 37, dan Rozuaimi Mohamad, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.

Zakaria, Andri, Hanafi, Mohammad Rithzuan, dan Rozuaimi, masing-masing bekerja sebagai pemandu teksi, jurujual telefon bimbit, juruteknik, pemandu pelancong dan juruteknik komputer.

Mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama menyebabkan kecederaan parah kepada Sayfol Fakhruddin Alias, 31, dengan memukulnya menggunakan rotan, topi keledar dan kayu 'baseball' di hadapan pondok pengawal, Pangsapuri Kasturi, Bandar Tasik Permaisuri, Cheras di sini pada 3.30 pagi 11 April 2011.

Mereka yang tinggal di kawasan perumahan yang sama itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mendengar keterangan enam saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu yang bermula 26 Mac lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izuddin Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Martin Tay Tze Chian dan Siti Rohaya Mohd Tajudin.

Sejurus selepas prosiding berakhir, kesemua tertuduh berpelukan, menitiskan air mata dan bersama-sama membaca doa kesyukuran ditemani isteri masing-masing. - Bernama

Calon PMR maut kemalangan

SHAH ALAM - Seorang calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) maut setelah motosikal ditungganginya terbabas di Persiaran Hulu Langat di Seksyen 27, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Muhamad Aliff Naim Zamary, 15, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sumber polis berkata, mangsa, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2, ketika itu menunggang motosikal jenis Honda C100.

“Mangsa dipercayai menunggang laju. Setibanya di selekoh, dia hilang kawalan dan terbabas,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mayat mangsa yang tidak mempunyai lesen menunggang itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051 untuk membantu siasatan.

Bapa wartawan akhbar Cina ditembak di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM - Bapa kepada wartawan akhbar Guang Ming Daily maut ditembak di halaman Pangsapuri Taman Sejahtera Jaya di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Mazlan Kesah berkata, dalam kejadian 11 malam itu, mangsa Yeap Cheng Chye, 47, baru pulang daripada berniaga nasi ayam telah datang ke pangsapuri berkenaan untuk menghantar pinggan mangkuk ke rumah pekerjanya.

"Semasa mangsa hendak menyerahkan barangan itu datang dua lelaki yang menaiki motosikal dan pemboncengnya turun melepaskan empat das tembakan ke arah Yeap.

"Penjenayah itu juga melepaskan dua das tembakan lagi ke arah pekerjanya yang berada berdekatan lokasi kejadian kerana cuba melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa yang mengalami pendarahan serius meninggal dunia di tempat kejadian sementara pekerja wanita berkenaan, Loh Siau Kee, 42, parah selepas tembakan itu mengenai bahu kiri dan perutnya.

Katanya, polis sedang meneliti modus operandi kes berkenaan dari pelbagai aspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

"Motif pembunuhan masih belum diketahui kerana barang berharga dan dompet milik mangsa tidak berusik," katanya.

Beliau berkata, kedua suspek terbabit dikatakan memakai jaket berwarna gelap serta topi keledar berpenutup penuh dan nombor pendaftaran motosikal mereka masih belum dapat dikesan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama

Didakwa 10 tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR- Bekas pembantu teknik Telekom Malaysia Bhd, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap sepuluh pertuduhan menerima rasuah daripada pengurus operasi sebuah syarikat kontraktor membabitkan lebih RM50,000, dua tahun lalu.

Mohd Ezzwan Mohd Arshad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dan minta dibicarakan. Dia berdepan tuduhan secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM53,370.50 melalui sepuluh transaksi akaun Maybank milik ahli keluarganya daripada Pengurus Operasi Syarikat Q Intell, Norhaizan Hassan.

Wang itu dikreditkan pegawai kewangan syarikat berkenaan, Norhafizan Hassan sebagai upah memberikan kerja-kerja pemasangan talian Internet Streamyx di Johor.

Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku antara 20 Mei hingga 9 November 2010 di Maybank Cawangan Desa Pandan, Cheras.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

2 lelaki nyaris maut dalam kemalangan di Lebuhraya Plus

BUTTERWORTH - Dua lelaki nyaris maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 137.7 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala ke Sungai Dua awal pagi tadi.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Wan Aziz Wan Husin berkata kemalangan pada 2 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu laju oleh seorang lelaki merempuh sebuah lori yang sedang mengiringi kerja pembersihan lori Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel).

Beliau berkata pertembungan ketiga-tiga kenderaan itu menyebabkan kereta berkenaan berpusing di jalan raya sebelum bertembung pula dengan sebuah kereta lain yang datang dari arah belakang.

"Kereta pertama itu melanggar lori yang sedang membuat pembersihan di laluan laju (kanan) dan pemandu kereta berkenaan parah sementara pemandu kereta kedua cedera ringan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut sementara pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu pemandu lori pengiring Propel, Syed Abdullah Syed Alwi, 49, berkata sewaktu kejadian beliau memandu kenderaannya dengan kelajuan minimum dan beliau tidak sempat mengelak kereta terbabit daripada melanggarnya.

"Rempuhan itu terlalu kuat dan saya tidak sempat elak daripada melanggar lori Propel yang berada di hadapan menyebabkan tangki minyak lori itu bocor dan melimpah ke atas jalan raya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya jalan yang licin dan tumpahan minyak menyebabkan kereta yang melanggarnya berpusing 180 darjah dan bertembung dengan kereta lain yang datang dari arah belakang sebelum terbakar.

Dua kereta berkenaan kemek teruk sementara dua lori yang turut terlibat dalam kemalangan itu hanya mengalami kerosakan kecil dan difahamkan anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa tersepit. - Bernama

Jurutera disamun ketika tidur

Jurutera disamun ketika tidur
Mohamad Mat Yusop
SHAH ALAM – Seorang jurutera berdepan saat mencemaskan apabila disamun dua penjenayah bersenjatakan pisau ketika sedang tidur di bilik utama di rumahnya di Bandar Parklands, Bukit Tinggi 3, Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, berumur 33 tahun, dikejutkan seorang penjenayah yang mengacukan pisau ke arahnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, penjenayah kemudiannya arahkan mangsa menutup kepala menggunakan selimut.

“Khuatir dengan keselamatan diri, lelaki itu terpaksa mendengar arahan penjenayah. Dia kemudiannya terdengar suara seorang lagi lelaki yang masuk ke bilik.

“Dua penjenayah itu terus menyelongkar bilik dan ruang tamu serta mencabut cincin emas yang dipakai mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, mangsa kerugian hampir RM1,000 setelah beberapa barang termasuk cincin, telefon bimbit dan wang tunai RM200 dilarikan penjenayah.

Menurutnya, ketika kejadian, penjenayah tidak memakai topeng dan memakai sarung tangan kain.

Katanya, mangsa hanya terlihat seorang penjenayah memakai seluar jean dan baju T berwarna merah jambu.

“Penjenayah dipercayai warga tempatan berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun. Mangsa tidak dapat mengecam muka penjenayah kerana keadaan gelap di dalam bilik selain mukanya ditutup dengan selimut,” katanya.

Mohamad berkata, siasatan mendapati penjenayah memecah masuk rumah mangsa dengan memotong dua batang gril pagar dan mengeluarkan pintu kaca dari landasannya.

Banjir jejaskan lebih 160,000 orang di 15 wilayah

BANGKOK - Lebih 160,000 orang terjejas berikutan banjir yang melanda beberapa bahagian di 15 wilayah di negara ini sekarang.
Menurut Pejabat Pengurusan Air dan Banjir Kebangsaan, wilayah yang terjejas terletak di bahagian utara, timur laut, timur dan wilayah tengah.
Kawasan itu ialah Srakaew, Angthong, Prajinburi, Pijit, Sukhothai, Supanburi, Pitsanulok, Chonburi, Nakorn Prathom, Pratumthani, Saraburi, Pranakorn Sriayuthaya, Chaiyaphum, Nakornsawan dan Nakornnayok, menurut laman webnya.
Menurut Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, bencana itu membabitkan 163,798 orang daripada 64,016 keluarga.
Sementara itu, Bangkok dilanda banjir kilat beberapa jam di sekitar 30 kawasan beberapa hari yang lepas.
Tahun lepas banjir terburuk dalam tempoh lima dekad melanda negara itu, kira-kira satu pertiga dari kawasan Thailand dilanda banjir, mengakibatkan 700 orang terkorban, tujuh zon perindustrian tenggelam dan menjejaskan lima juta orang.
Bank Dunia menganggarkan kerugian mencecah satu trilion Baht (kira-kira RM100 bilion) akibat bencana banjir pada tahun lepas. - Bernama

Tinggalkan barang seludup lepas terlibat kemalangan



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Tinggalkan barang seludup lepas terlibat kemalangan
Kenderaan membawa rokok rosak pada bahagian hadapan.
Tinggalkan barang seludup lepas terlibat kemalangan
Kastam memunggah rokok untuk untuk dibawa ke pejabatnya.
RANTAU PANJANG – Seorang pemandu pacuan empat roda terkejut apabila diberitahu kereta Kenari yang terlibat kemalangan dengan kenderaan dipandunya membawa rokok dipercayai diseludup berhampiran Pusat Tarbiyah, di sini, malam semalam.

Mangsa, Nik Mohd Amir Jali, 30, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari sebuah klinik di Pasir Mas.

Katanya, sebelum tiba di tempat kejadian, dia memberikan signal membelok ke Ladang Serongga untuk menghantar dua pekerja ladang tersebut.

Bagaimanapun katanya, Kenari yang berada di laluan sama dan dipercayai pada kedudukan ketiga di belakang pacuan empat roda dipandunya melanggar belakang kenderaannya.

Berikutan kejadian, pacuan emat roda dipandunya rosak pada bahagian belakang sementara Kenari remuk di bahagian hadapan.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan begitu juga dua pekerja ladang berkenaan.

“Selepas kejadian, pemandu kereta berkenaan tidak ada di tempat kejadian, saya percaya dia keluar melalui tingkap kereta.

“Saya difahamkan dia berada di kawasan berdekatan tempat kejadian dan dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian tangan,” katanya malam semalam.

Nik Mohd Amir berkata, dia tidak mengetahui punca pemandu Kenari menghilangkan diri sejurus kejadian sehinggalah anggota Kastam yang melalui tempat kemalangan singgah dan mendapati terdapat bungkusan rokok di dalam kenderaan itu.

Sementara itu, beberapa bungkusan rokok itu, dibawa kastam ke pejabatnya dan Kenari terlibat dihantar ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Rumah berusia 30 tahun hangus



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Rumah berusia 30 tahun hangus
Mahmood (dua, kanan) bersama jiran melihat serpihan kayu rumah yang kini jadi arang.
Rumah berusia 30 tahun hangus
Rumah Mahmood dan isteri tinggal rangka dalam masa 30 minit sahaja.
JERANGAU – Akibat terlalu panik, sepasang suami isteri warga emas di sini hampir terperangkap dalam kebakaran rumah mereka kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Namun, tindakan pantas jiran yang terkejut melihat api marak di rumah pasangan berkenaan berjaya menyelamatkan nyawa kedua mereka.

Walaupun begitu, tiada sebarang harta benda dapat diselamatkan memandangkan api marak dengan cepat.


Dengar letupan tiga kali

Kebakaran rumah papan itu berlaku ketika pasangan, Mahmood Mamat, 80, dan Siti Fatimah Zakaria, 60, sedang beristirahat di ruang tamu sambil menunggu waktu Zohor bagi menunaikan solat.

Siti Fatimah berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu manakala suaminya sedang tidur sebelum pergi menunaikan sembahyang Jumaat.

Menurutnya, terkejut mendengar letupan sebanyak tiga kali dari bahagian dapur dia terus mengejutkan suaminya, namun api marak dengan cepat.

“Dia bangun dan cuba menyelamatkan dokumen penting serta menyimbah air ke arah api yang sedang marak namun sia-sia.

“Panik dengan keadaan tersebut saya menjerit meminta tolong dan kemudian ada jiran datang menolong keluarkan kami dari kediaman tersebut,” katanya.

Dia turut berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tanah Merah yang pantas membantu memadam api secara keseluruhan.


Perabot baru hangus

Siti Fatimah juga terkilan abila barangan elektrik dan perabot yang dibelinya tidak sampai setahun hangus dalam insiden berkenaan.

“Kami baru beli kelengkapan tersebut memandangkan kelengkapan lama rosak disebabkan banjir tahun lalu.

“Memang fobia bila melihat api marak dalam sekelip mata membuatkan kediaman dibina lebih 30 tahun itu hangus dalam masa setengah jam sahaja,” katanya.

Katanya, bagi mereka, tempat penginapan tidak menjadi masalah kerana kesemua tiga anak mereka bekerja dan menetap di sekitar kawasan tersebut.


Segala usaha sia-sia

Sementara itu, Mahmood berkata, dia berputih mata apabila wang tunai miliknya yang disimpan dalam tiga tin, berjumlah RM5,500 tidak dapat diselamatkan.

Katanya, duit tersebut sudah lama disimpannya secara sembunyi tanpa pengetahuan sesiapa termasuk isterinya.

Selain itu, Mahmood berkata, keterujaannya untuk membina anjung di bahagian tepi rumah tidak kesampaian bila kerja yang dimulakan awal pagi semalam bersama seorang lagi tukang kayu sia-sia.

“Pagi tadi (semalam) baru mula kerja hendak bina anjung tepi rumah namun insiden tersebut mendahului dari segalanya. Mungkin tiada rezeki kami,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustapa menyampaikan sumbangan segera sebanyak RM1,000 kepada mangsa, malah berjanji akan memaklumkan kepada Kerajaan Negeri untuk bantuan selanjutnya.

“Takziah buat mereka, diharap pasrah jalani ujian. Insiden ini juga mendapat perhatian penduduk yang tidak putus beri bantuan dan kata-kata semangat,” katanya.

Dua beradik disangka hilang



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Dua beradik disangka hilang
Arbusamshimah (kiri) menceritakan kisah kedua anaknya yang tidak pulang malam kelmarin kepada Ismail (dua, kanan) dan Wan Salman (kanan).
Dua beradik disangka hilang
Penduduk kampung turut menanti kepulangan dua beradik yang dikhuatiri hilang ketika keluar memancing, kelmarin.
JENGKA 14 - Dua beradik yang disangka hilang ketika keluar memancing di sungai berdekatan akhirnya pulang ke pangkuan keluarga selepas gerakan mencari secara besar-besaran dilakukan pihak polis bersama bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk di hutan berhampiran, di sini, semalam.

Mohd Azman Bidin, 35, dan adiknya, Muhamad Juhari Bidin, 16, yang tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing pada jam 2 petang, kelmarin, menimbulkan kebimbangan kepada kedua ibu bapa mereka, Bidin Md Sam, 58, dan Arbusamshimah Awang, 56.

Muhamad Juhari berkata, dia tidak menyangka pemergian mereka berdua telah menimbulkan kekecohan di kampungnya.

“Saya dan abang pergi memancing seperti biasa, namun sempat menghantar pesanan ringkas kepada kakak supaya menghubungi saya bagi memaklumkan kami akan bermalam di hutan kerana saya kehabisan kredit, namun tiada maklum balas.

“Pada asalnya kami merancang untuk pulang, tetapi disebabkan hari sudah gelap, kami mengambil keputusan bermalam di hutan,” katanya yang mengakui tidak mengalami sebarang gangguan dan tidak sesat ketika berada di hutan.

Muhamad Juhari berkata, ketika berada di hutan, mereka memasang unggun api dan merancang pulang ke rumah setelah hari cerah.

Sementara itu, Bidin berkata, disebabkan bimbang dengan keselamatan dua anaknya yang disangka hilang itu, dia  meminta bantuan orang kampung termasuk menghubungi polis dan bomba bagi mencari mereka.

“Kebiasaannya selepas mereka ke hutan untuk memancing, mereka akan pulang pada sebelah petang sekitar jam 7 atau 8 malam.

“Namun disebabkan mereka tidak pulang malam tadi (kelmarin), ditambah pula dengan keadaan hujan lebat dan ribut, membuatkan kami tidak lena tidur memikirkan keselamatan mereka,” katanya.

Isterinya, Arbusamshimah berkata, dia bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini kepada anak-anaknya sepanjang mereka berada di dalam hutan.

“Pernah terjadi seorang penduduk kampung di sini ditemui mati di dalam hutan oleh keluarganya.

“Saya bimbang perkara sama berlaku kepada anak saya. Sebab itu kami ambil keputusan minta bantuan orang kampung cari anak kami,” katanya yang bersyukur kedua anaknya pulang dalam keadaan selamat.

Kedua beradik itu dilaporkan berada di dalam hutan selama 20 jam tanpa makanan dan minuman  sebelum ditemui penduduk pada jam 10 pagi, semalam.

Kira-kira 90 orang yang dibahagikan kepada tiga kumpulan menyertai gerakan mencari kedua beradik itu jam 9 pagi, semalam.

Turut mengikuti perkembangan dua beradik itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Penduduk tidak sanggup lagi hadapi banjir kilat



NORMAWATI ADNAN & NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
22 September 2012
Penduduk tidak sanggup lagi hadapi banjir kilat
Air setinggi paras lutut telah menyebabkan sebahagian rumah penduduk di Kampung Gabis dimasuki air
PADANG RENGAS - Hujan lebat selama lebih dua jam menyebabkan 13 rumah di Kampung Gapis, di sini dilanda banjir kilat, kelmarin.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang itu menyebabkan semua kediaman masing-masing terletak di kawasan rendah dinaiki air sedalam hampir satu setengah meter.

Penghulu Mukim Kampung Buaya, Zaini Abd Aziz berkata, kejadian itu sudah dijangka penduduk apabila kawasan sama kerap dinaiki air setiap kali hujan berlebihan berlaku.

Menurutnya, ia dipercayai berlaku akibat limpahan air dari Sungai Papan yang terletak hanya beberapa meter di kawasan penempatan itu.

“Ini bukan insiden pertama, dalam tahun ini sahaja, sudah beberapa kali banjir berlaku. Memang setiap kali hujan melebihi paras biasa, penduduk sudah bersiap sedia kemungkinan berlakunya banjir,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam tinjauan kelmarin, keadaan paras air kelihatan hampir surut, namun terdapat beberapa kawasan rumah yang masih digenangi air dan beberapa penduduk turut membersih kediaman masing-masing.

Zaini berkata, paras air di kawasan itu surut sekitar jam 4 petang selepas hujan lebat mulai reda.

Kata beliau, pihaknya bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah menjalankan bancian mangsa yang terlibat dan bantuan sewajarnya akan disalurkan melalui tabung bencana,” katanya.

 Setuju jika ada usaha pindah

Kekerapan banjir kilat yang berlaku di kawasan itu sejak berbelas tahun lalu mendorong mereka yang terbabit mengatur cadangan agar penempatan baru dilakukan.

Pengerusi JKKK Gapis, Omar Jidin berkata, rata-rata penduduk yang terlibat seakan sudah tidak sanggup menanggung risiko banjir lagi apabila beberapa barangan dan perkakas mereka mengalami kerosakan setiap kali banjir berlaku.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya sudah mengatur cadangan agar penempatan baru bagi rumah yang sering terlibat dalam banjir di dilakukan.

“Secara dasarnya penduduk setuju, tetapi perlulah kawasan yang sesuai dan terjamin dengan kemudahan infrastruktur yang baik, namun dalam usaha ini, perlu ada campur tangan
Kerajaan Negeri, barulah ia dapat dilakukan dengan teratur,” katanya.

Kampung Gapis yang mempunyai 95 rumah merupakan kampung tradisional, namun kebanyakan kediaman lain berada di kawasan tinggi.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan berikutan gerak kerja sebelum ini seperti pedalaman sungai dan meluruskan aliran sungai tidak mendatangkan sebarang kesan apabila banjir kilat masih berlaku terutama pada musim tengkujuh.

Beberapa projek mega seperti landasan kereta api berkembar elektrik dan sistem perparitan yang tidak terancang di sekitar kawasan itu turut menyumbang kepada insiden banjir kilat yang tidak berkesudahan.

Mahu penyelesaian bukan bantuan

Bagi seorang penduduk, Mohd Romi Hussin, 66, apa yang mereka mahukan hanyalah penyelesaian secara menyeluruh terhadap isu banjir di kawasan itu.

Menurutnya, bantuan kewangan yang diterima setiap kali banjir tidak memadai apabila masalah sama berulang saban tahun.

“Sudah beberapa kali aduan dibuat, ini bukan masalah baru, sudah lama tetapi sampai sekarang belum ada penyelesaian.

“Kami bukan mahu wang, tetapi nak tuntut penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Harisun Abd Hamid, 56, berharap agar masalah itu dapat diselesaikan segera supaya tiada lagi kebimbangan ketika musim tengkujuh.

Menurutnya, ini kejadian ketiga berlaku sejak awal tahun lalu dan kelmarin adalah kejadian terburuk kerana air lambat surut.

“Apabila banjir, air dari Sungai Papan melimpah ke kawasan rumah yang lebih rendah. Tambak tanah yang dibuat oleh pemaju projek berkenaan telah menghalang air mengalir keluar dan lambat surut.

“Kami rasa terbeban dengan keadaan ini selain mengalami kerugian setiap kali banjir kerana pelbagai kelengkapan rumah rosak dan berharap pelbagai pihak dapat memberi perhatian
sewajarnya untuk menyelesaikan masalah kami ini,” katanya.

Tragedi pulang dari kerja



NURULATIQ AHMAD BANDI
22 September 2012
Tragedi pulang dari kerja
Van dinaiki enam pekerja KLIA (kanan) remuk selepas bertembung dengan lori tangki berkenaan.
PORT DICKSON – Perjalanan pulang  enam pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) ke rumah masing-masing berakhir tragedi apabila van dinaiki mereka terbabit kemalangan menyebabkan seorang daripadanya maut, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 10.10 pagi di Kilometer 21 Jalan Lukut - Sepang, Tanah Merah, di sini, semalam apabila van yang membawa pulang kesemua enam pekerja terbabit bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dan gas.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mek Siti Mera Ibrahim, 53, yang merupakan pencuci kabin kapal terbang di KLIA.

Manakala, lima lagi penumpang van iaitu dua lelaki dan tiga wanita cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, siasatan awal mendapati van yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Sepang ke Lukut hilang kawalan  akibat mengantuk.

"Akibatnya, van berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Lukut ke Sepang," katanya.

Menurutnya, Mek Siti Mera tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat.

"Pemandu van itu hanya cedera ringan, manakala pemandu lori berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Pemintaan terakhir isteri

Suami Mek Siti Mera, Rosmin Sarkawi, 57, berkata, isterinya pergi kerja dengan menaiki van majikan mengikut syif.

“Semalam (kelmarin) isteri saya keluar rumah kira-kira 7.30 malam dengan menaiki van disediakan majikan.

“Pagi tadi (semalam) saya dapat panggilan dari adik ipar kira-kira 11 pagi memaklumkan mengenai kejadian ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Rumah Mayat Hospital Port Dickson (HPD), semalam.

Rosmin redha dengan pemergian isterinya itu, bagaimanapun tidak menyangka isterinya akan meninggalkan dia dan keluarga dengan keadaan menyayat hati.

Menurutnya, semalam (kelmarin) isterinya juga ada menyatakan hasrat mahu kawasan luar bilik air rumahnya yang kini sedang diubah suai turut dipasang mozek.

“Itulah permintaan terakhir isteri saya. Malam itu, saya dan isteri sempat keluar makan malam  bersama di sebuah kedai," katanya yang merupakan seorang pesara tentera.

Jenazah Mek Siti Mera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Kemang, di sini selepas solat Isyak, malam tadi.

Hasil perkahwinan dengan Rosmin, Mek Siti Mera meninggalkan empat orang anak  iaitu Khairul Emy, 33, Izham, 32, Dini Asyraf, 20, Shahir Azrin, 18, dan seorang anak angkat, Azwan Abdullah, 5.

Rakan tangisi pemergian

Pemergian Mek Siti Mera yang maut dalam kemalangan itu turut dirasai rakan-rakan baiknya.

Rohani Dollah, 42, berkata, dia terkilan kerana sepatutnya dia bertemu dengan arwah kira-kira 11 pagi semalam di rumahnya.

“Suami arwah mempelawa saya datang ke rumah pada 11 pagi untuk mengambil barang memandangkan rumahnya sedang diubah suai.

“Jam 11 pagi adalah waktu kebiasaan Mek Siti Mera sudah sampai rumah dari tempat kerja," katanya.

Sementara seorang lagi rakan baiknya, Endon Abdullah, 49, berkata, Mek Siti Mera merupakan seorang pekerja yang rajin dan sentiasa berusaha keras untuk menambah pendapatan keluarga.

Warga emas bertarung nyawa lawan perompak



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
22 September 2012
Warga emas bertarung nyawa lawan perompak
Sivappragasam menunjukkan cara dia melawan dua perompak dengan menggunakan kerusi ketika kejadian, semalam.
IPOH – Seorang warga emas cedera ringan di tangan selepas bergelut dengan dua lelaki bersenjatakan sabit dan parang yang melarikan barang kemas dan peralatan elektronik bernilai hampir RM7,000 di Taman Buntong Ria di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, dua perompak berkenaan mengumpil tingkap rumah di bahagian dapur sebelum masuk ke dalam bilik anak perempuan mereka.

Mangsa, P Sivappragasam, 64, berkata, anak perempuannya berusia 35 tahun diancam dengan mengacu sabit di leher sebelum mengarahkan ahli keluarga lain menyerahkan barang berharga.
“Perompak berkenaan mengancam anak perempuan supaya tidak menjerit jika tidak mahu dua anaknya berusia enam dan empat tahun cedera.

“Saya cuba menghalang tindakan perompak itu dengan menggunakan kerusi untuk melawan. Jiran-jiran yang sedar dengan kejadian itu mula sedar menyebabkan perompak itu melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, perompak berkenaan sempat melarikan komputer riba, telefon bimbit dan sempat melarikan cincin emas milik isterinya sebelum keluar melalui tingkap.

“Perompak melarikan diri menaiki motosikal sempat mengambil kerusi kereta dan rumah. Saya terpaksa tukar semua kunci untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Ini merupakan kejadian pertama dihadapi setelah 28 tahun menetap di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut 395 Kanun Keseksaan.

Dua kereta dipecah samseng



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Dua kereta dipecah samseng
Norzazlia menunjukkan cermin keretanya yang dipecahkan oleh dua lelaki tidak dikenali.
SUNGAI BULOH – Dua lelaki bersenjatakan parang bertindak ganas apabila memecahkan cermin dua kereta yang diletakkan di kawasan perindustrian SB Jaya 1, petang kelmarin.

Saksi kejadian, Abdullah Adam, 30, berkata, kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal tiba-tiba bertindak memecahkan dua kereta milik pekerja yang diletakkan di parkir hadapan pejabat menggunakan parang.

“Saya berlari keluar dan menjerit ke arah suspek supaya menghentikan perbuatannya namun mereka tidak endahkan dan terus memecahkan cermin kereta milik pekerja pejabat ini,” katanya.

Menurutnya, sehari sebelum itu pejabatnya menerima panggilan ugutan daripada individu yang tidak dikenali mengarah semua pekerja syarikat berkenaan berhenti kerja jika mahu selamat.

Sementara itu pemilik kereta yang dipecahkan, Norzazlia Mohd Zaid, 36, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kerugian hampir RM1,000.

“Ini kejadian pertama berlaku, sebelum ini ada beberapa samseng pernah naik ke pejabat dan mengugut kami selepas gagal menemui pengarah syarikat ini,” katanya.

Difahamkan, kejadian yang berlaku ada kaitan dengan persaingan perniagaan.

Susulan itu, tiga laporan dibuat di Balai Polis Kuang berhubung kejadian yang berlaku.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Pelajar melecur semakin stabil



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Pelajar melecur semakin stabil
Keadaan Muhammad Ameer yang melecur tahap empat, cedera teruk di bahagian muka, tangan dan badan yang kini dirawat di ICU HUKM.
KUALA LUMPUR - Tiga pelajar sebuah sekolah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini yang melecur dalam kejadian Jumaat lalu kini stabil, namun masih memerlukan rawatan rapi.

Salah seorang daripada pelajar tersebut, Muhammad Ameer Shah Azahan, 16, mengalami kesan lecur paling serius apabila disahkan melecur tahap empat.

Ibunya, Suzailee Yusoff Marecan, 47, berkata, dia dimaklumkan pihak hospital anaknya perlu dirawat paling kurang dalam tiga minggu lagi atau sehingga tiga bulan bagi memastikan keadaannya kembali pulih.

Menurutnya, anaknya yang cedera di bahagian muka, tangan dan badan kini bergantung dengan ubat penahan sakit bagi menahan kepedihan kesan lecur yang dialaminya.

“Apabila kesan ubat hilang, dia akan menangis kerana tidak tahan sakit. Sebagai ibu, saya tidak sampai hati melihat dia berkeadaan begitu namun reda dengan apa yang terjadi.

“Namun, dalam masa sama, saya tetap merasa terkilan memikirkan anak saya terpaksa menanggung kesakitan atas kecuaian orang lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas lawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Bandar Tun Razak, di sini, semalam.

Raja Nong Chik menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berjumlah RM1,000 dan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berupa wang RM300 serta barangan.

“Pihak YWP juga bersedia menyediakan tenaga pengajar peribadi bagi salah seorang mangsa yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November nanti,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli Mohd Noor, 52, bapa kepada mangsa, Mohd Fadzli Shah, 17, berkata, anaknya melecur tujuh peratus di bahagian badan dan kini dalam keadaan stabil.

Katanya, dia juga bimbang memikirkan anaknya perlu menduduki SPM, namun lega apabila pihak YWP bersedia menyediakan tenaga pengajar persendirian.

“Sayu bila lihat anak dalam keadaan begitu dan sejak kejadian, emosi saya agak terganggu,” katanya.

Lain pula ceritanya dengan Rahim Tahir, 53, bapa kepada Mohd Azrin Rahim, 16, apabila isterinya yang mengalami masalah jantung turut dimasukkan ke wad dua hari selepas kejadian yang menimpa anaknya.

Bagaimanapun, dia berharap agar ketiga-tiga mangsa sembuh cepat dan dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa.

“Anak saya seorang yang aktif dalam olahraga dan menjadi olahragawan sekolah dua tahun berturut-turut, jadi saya harap dia dapat sembuh seperti sediakala,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, kesemua mangsa sedang menyediakan makanan barbeku untuk jamuan Aidilfitri di sekolah mereka sebelum berlaku letupan dipercayai daripada tin ‘tinner’ yang dituang seorang guru lelaki untuk menyalakan api dan seterusnya menyambar mereka.

Dua polis nafi terima rasuah



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Dua polis nafi terima rasuah
Yang Ghazali (jaket hitam) dan Vathumalai (jaket biru) menutup muka dengan jaket sebaik keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Dua anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki pada 13 dan 14 Mei lalu.

Sarjan Yang Ghazali Abu Hanifah, 56, dan Lans Koperal M Vathumalai, 50, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.20 pagi di Loo Yee Fish Spa and Restoran di Jalan Madras di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa meminta suapan daripada Tan Seong Soon, 41, bagi melepaskan dua warga China iaitu Fan Qiyan dan Wei Youmei yang dikatakan tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di negara ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama memperolehi RM400 daripada Seong Soon bagi pihak sepupunya, Tan Seong Hooi pada jam 12.10 malam, 14 Mei 2012 di tempat yang sama sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap dua pekerja terbabit.

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, kedua-duanya yang diwakili peguam, Jannu Babjan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Salwa Ja’afar.

Siti Salwa membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd Firdaus Abdullah.

Dakwa terpaksa mencuri untuk beli nasi



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Dakwa terpaksa mencuri untuk beli nasi
Tertuduh kelihatan tenang dan sempat mengukir senyuman ketika diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 16 bulan kerana mencuri.
KUANTAN - Seorang lelaki yang mendakwa baru keluar wad kerana sakit mental sebelum ditangkap kerana mencuri minyak wangi dan sembilan berus gigi berjenama dalam sebuah pasar raya di sini mengaku terpaksa berbuat demikian kerana ketiadaan wang untuk membeli nasi.

Tertuduh, Mohd Khairulnizam Jaafar, 33, berasal dari Pasir Putih, Kelantan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencuri bagaimana pun gagal membuktikan status penyakitnya itu sebaliknya dia memaklumkan kad pengesahan sebagai pesakit mental sudah lama hilang.

Dalam rayuannya juga, tertuduh yang tidak bekerja memohon supaya hukuman diringankan memandangkan dia terpaksa menyara ibu saudara di kampung.

Ketika berada dalam kandang pesalah, tertuduh, mengadu tidak sihat dan sakit-sakit tubuh bagaimana pun tindak-tanduknya itu hanya satu alasan bagi mengelak menjawab pertanyaan Majistret Nurulnaim Abdullah berhubung rekod kesalahan lampau dan hukuman yang pernah dijalani sebelum ini.

“Saya tidak ingat semuanya puan,” jawabnya ringkas selepas mahkamah menyenaraikan rekod kesalahan lampaunya sejak 1993 hingga 2006 atas kesalahan mencuri, memiliki barang curi dan lari dari pusat serenti.

Tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail tetap merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan bagaimana pun mahkamah terpaksa menjatuhkan hukuman setimpal ke atasnya mengambil kira kesalahan berulang yang dilakukan lelaki itu.

Mohd Khairulnizam sempat mengucapkan terima kasih kepada mahkamah selepas dihukum penjara 16 bulan bermula dari tarikh hukuman semalam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebotol minyak wangi dan sembilan batang berus gigi bernilai RM132.74 dalam sebuah pasar raya di sini kira-kira jam 2.30  petang 19 September lalu bagaimana pun perbuatannya  disedari pengawal keselamatan premis tersebut dan dia berjaya ditangkap.

Kejadian samun setiap bulan



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Kejadian samun setiap bulan
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki bersenjatakan parang mengarahkan pekerja dan pelanggan kedai kek menyerahkan wang tunai dan barangan berharga.
SEGAMBUT – Peniaga di kawasan perniagaan Medan Putra, Bandar Manjalara dekat sini bimbang dengan kehadiran kumpulan penyamun yang menjadi punca mereka mengalami kerugian ribuan ringgit setiap bulan.

Pekerja kedai kek, Peggy Tee, 24, berkata, kejadian samun yang berlaku pada 5 September lalu itu cukup membuatkan dirinya trauma.

“Lelaki berparang itu bukan sahaja menyamun kedai malah pelanggan saya turut kerugian RM600 selepas wang dilarikan penyamun,” katanya.

Menurutnya, suspek dilihat seolah-olah sudah biasa menjalankan kerjanya apabila bertindak menyembunyikan parang di dalam payung dan berpura-pura menjadi pelanggan.

“Suspek melarikan diri menaiki kereta Proton Wira yang dipandu oleh rakannya yang siap sedia menunggu di luar,” katanya.

Pemilik syarikat jualan langsung, Jessi, 33, berkata, premisnya dipecah masuk pada Jun lalu.

“Mereka mencuri barangan perniagaan dan ini adalah kali kedua selepas kedai disamun pada 2010 lalu,” katanya.

Sementara itu pemilik salun, Chin Roy Xing, 32, berkata, premisnya hampir dimasuki penyamun dalam kejadian Jun lalu.

“Nasib baik pintu berkunci tetapi kumpulan itu yang terdiri daripada lima orang bersenjatakan parang sempat menyamun empat kedai lain dalam tempoh 15 minit,” katanya.

Menurutnya, peniaga di situ mahu polis mengadakan ops payung atau balai polis bergerak di kawasan itu bagi mencegah kejadian jenayah daripada terus berlaku.

Difahamkan, sebuah pasar mini turut menjadi sasaran selepas 10 kali kes kecurian dilaporkan berlaku di premis itu.

Lesap bersama jongkong emas



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Lesap bersama jongkong emas
Norhidayah menunjukkan gambar Mohd Shukri yang dipercayai hilang bersama jongkong emas milik arwah bapanya.
DUNGUN - “Saya harap adik lelaki saya segera pulang kerana ibu amat merindukannya,” kata Norhidayah Shaffee, 25, kakak kepada, Mohd Shukri, 23, seorang broker sambilan yang dilaporkan hilang setahun lalu selepas dipercayai melarikan jongkong emas milik arwah bapanya.

Norhidayah berkata, selepas bapanya meninggal dunia September 2011 lalu, adik lelakinya itu yang tinggal berasingan di rumah sewanya dekat Gong Gemia secara tiba-tiba menghilangkan diri menyebabkan Norhidayah dan 11 beradik yang lain hilang punca setelah menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka peninggalan arwah bapanya.

Kata Norhidayah, kehilangan adik lelakinya yang juga anak kesembilan daripada 12 beradik itu menjadi tanda tanya apabila Mohd Shukri dipercayai turut melarikan seketul jongkong emas bernilai kira-kira RM100,000 milik arwah bapa mereka yang diamanahkan kepadanya untuk menjaganya dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dibeli arwah bapa ketika hayatnya.

“Dia mungkin sudah menjual jongkong emas itu dan takut hendak pulang kerana pasti disoal kami adik beradik.

“Namun, itu bukan masalahnya, kalau dia tidak pulang, kami sukar menyelesaikan hal pusaka arwah,” katanya.

Menurut Norhidayah, mereka sudah puas mencari Mohd Shukri namun adik lelakinya itu yang turut bekerja sebagai kontraktor sambilan gagal dikesan.

"Kami sedia memaafkan kesalahan Mohd Shukri seandainya dia sudah menjual emas itu," katanya.

Katanya, paling penting dia mahu darah dagingnya itu pulang ke pangkuan keluarga kerana hubungan adik beradik tidak akan terputus walau apa yang berlaku sekalipun.

“Jika dia terbaca kisah ini, harap pulang segera,” katanya.

Norhidayah juga sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan Mohd Shukri dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Norhidayah menerusi ta-lian 013-279 9766.

Remaja maut motosikal berlanggar kereta di Tawau




21 September 2012
TAWAU - Seorang remaja terbunuh selepas motosikalnya berlanggar dengan sebuah kereta di Batu 24, Jalan Apas di sini tengah hari tadi.
Mohd Azlan Ibrahim, 16, meninggal di Hospital Tawau akibat cedera parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Keong Ho Eng berkata motosikal mangsa berlanggar dengan kereta tersebut yang keluar dari simpang SMK Balung. - Bernama

Sorok dadah bernilai RM2.09j dalam bagasi



NORSHIKIN MOHD SALLEH
22 September 2012
Sorok dadah dalam bagasi
Ramli (dua, kiri) menunjukkan dadah dan beg yang digunakan dalam cubaan menyeludup dadah oleh warga asing.
JOHOR BAHRU – Menggunakan modus operandi yang sama dengan menyorokkan dadah di ruangan terselindung dalam bagasi, nyata tidak dapat mengaburi cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke negara ini.

Taktik itu dapat dikesan Kastam Diraja Malaysia Johor, dalam dua cubaan berasingan oleh dua warganegara asing ketika melalui laluan Penumpang Pejalan Kaki (in-bound) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini pada 8 September dan 19 September lalu.

Pengarah Kastam Negeri, Datuk Ramli Johari berkata penangkapan dua individu warga Afrika Selatan dan Indonesia, pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah seberat 11 kilogram bernilai RM2.09 juta.

“Dalam kejadian pertama seorang lelaki warga asing yang baru pertama kali masuk ke Malaysia itu ditahan Unit pemeriksaan penumpang kira-kira jam 12.20 tengah hari di mana dia membawa satu bagasi dan beg sandang. Pemeriksaan pada beg mendapati ada objek yang meragukan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua plastik lutsinar yang didapati mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis metamphetamine seberat enam kilogram bernilai RM1.14
juta.

“Begitu juga dengan kes kedua pada 19 September yang dilakukan seorang wanita warga asing dipercayai membawa lima kilogram dadah yang sama bernilai RM950,000,” katanya kepada pemberita di Menara Kastam, di sini, semalam.

Ramli berkata kedua-dua mereka yang berusia 41 dan 24 tahun direman 14 hari disiasat di bawah Seksyen 39 B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Katanya dengan tertumpasnya dua cubaan menyeludup masuk dadah ke negara itu merupakan kejadian pertama yang direkodkan pihaknya sejak BSI itu mula beroperasi pada 2010.