Search This Blog

Friday, September 21, 2012

Bekas pembantu juruteknik TM didakwa 10 tuduhan rasuah lebih RM50,000




21 September 2012
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pembantu juruteknik Telekom Malaysia Berhad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 10 pertuduhan memperoleh suapan lebih RM50,000 daripada seorang pengurus operasi sebuah syarikat kontraktor, dua tahun lepas.
  
Bagi kesemua pertuduhan itu, Mohd Ezzwan Mohd Arshad, 36, didakwa memperoleh suapan wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM53,370.50, melalui akaun Maybank milik anggota keluarganya daripada pengurus Syarikat Q-Intell Sdn Bhd Norhaizan Hassan sebagai upah untuk memberikan kerja-kerja pemasangan talian internet Streamyx di Negeri Johor kepada syarikat berkenaan.
  
Wang itu diperoleh Mohd Ezzwan melalui pegawai kewangan syarikat Q-Intell, Norhafizan Hassan di Maybank Cawangan Desa Pandan, Cheras di sini antara 20 Mei hingga 9 November 2010.
  
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.
  
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusuf dari SPRM menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Amrit Par Singh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM6,000 dengan tiga orang penjamin kerana anak guamnya kini, tidak bekerja setelah diberhentikan daripada Telekom Malaysia sejak Julai lepas, selain memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan kes itu.
  
"Anak guam saya mempunyai tanggungan keluarga iaitu dua anak yang berumur 7 dan 2 tahun dan isterinya juga sarat mengandung lapan bulan," katanya.
  
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan tiga orang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
  
Mahkamah turut menetapkan 11 Oktober untuk sebutan kes. - BERNAMA

Penunggang motosikal maut selepas langgar forklift




21 September 2012
JOHOR BAHRU - Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah 'forklift' (jentera angkat susun) dalam kemalangan di Jalan Merbau 2, Bandar Putra, dekat Kulaijaya, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata kejadian berlaku pukul 11.30 malam dan menyebabkan Mohd Ridzuan Abdullah, 21, yang beralamat di Kampung Separa, Kulaijaya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Motosikal yang ditunggang Mohd Ridzuan telah melanggar bahagian hadapan besi sisi kiri forklift terbabit semasa kenderaan itu sedang menurunkan barang dari sebuah lori," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulkefly berkata pemandu jentera dan lori terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.- Bernama

Polis tahan lelaki dipercayai terlibat 9 kes pecah rumah, samun




21 September 2012
JOHOR BAHARU - Polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah dan samun di sekitar bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki di sekitar Tampoi, di sini minggu lepas.
  
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan selepas tiga jam dia dilaporkan memecah masuk dan menyamun sebuah rumah di Taman Bukit Mewah, Tampoi, di sini 17 Sept lepas.
  
"Polis yang menerima laporan pada kira-kira 12.30 tengah hari daripada orang awam mengesan lelaki terbabit tidak jauh dari tempat kejadian.
  
"Pelbagai barangan yang dipercayai hasil samun dirampas daripadanya termasuk sebuah tv plasma, dua alat pembesar suara, mesin pengadun, dua periuk nasi, periuk, mesin pencetak dan sebuah mesin basuh," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
  
Mohd Mokhtar berkata lelaki rakyat tempatan terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis turut percaya berjaya menyelesaikan dua kes samun, dua kes pecah rumah dan satu kes kecurian kereta di Seri Alam, di sini selepas menahan lima individu dalam beberapa serbuan di Taman Desa Cemerlang, di sini awal bulan ini.
  
Mohd Mokhtar berkata serbuan terhadap empat lelaki dan seorang wanita berumur 28 hingga 34 tahun itu dilakukan pada 2 petang, 6 Sept lepas selepas polis bertindak atas satu maklumat berkaitan jenayah terbabit.
  
"Polis merampas 17 jam tangan pelbagai jenis, 22 telefon bimbit pelbagai jenis, 20 utas rantai, empat loket, dua cincin, lapan pasport serta pelbagai alatan pecah rumah dalam serbuan itu," katanya.
  
Beliau berkata tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau. - Bernama

Penjamin hadapi risiko cagaran RM700,000 dirampas tertuduh tidak hadir ke mahkamah




21 September 2012
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan penjamin pada 11 Okt ini membawa perayu, Datuk Paiman Shakimon ke mahkamah yang dijatuhi hukuman penjara sejumlah 26 tahun kerana menipu dan memalsukan dokumen atau cagarannya bernilai RM700,000 dirampas.
Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah membenarkan penjamin Dr Norma Ahmad dari Subang Jaya, tempoh tiga minggu untuk mengesan perayu dan memujuknya menyerah diri ke mahkamah.
Dr Norma, 55, berkata Paiman adalah saudaranya sebab itu beliau bersetuju menjamin Paiman selepas dia merayu kepadanya sebaik Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman pada 19 April tahun lepas.
"Saya bergegas pulang pada hari itu dan kembali bersama geran rumah saya dan saya melakukannya dengan niat baik tanpa memahami terma dan syarat sebagai penjamin," kata Dr Norma sambil menahan air matanya.
Beliau juga memberitahu mahkamah telah berusaha menghubungi Paiman beberapa kali dan telah pergi ke rumahnya di Country Heights, Kajang tetapi gagal menemuinya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir memberitahu mahkamah pihak polis gagal menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah pada 20 Julai selepas Paiman gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan rayuannya.
Beliau berkata pihak polis juga telah pergi ke rumah Paiman dan anak lelakinya memaklumkan beliau tidak tahu di mana ayahnya.  
Syed Faisal juga berkata pasport perayu ditahan oleh Mahkamah Sesyen.
Tee berkata pihak pendakwaan harus lebih proaktif mengarahkan berjaga-jaga di semua entri keluar dan memeriksa transaksi akaun Paiman.
"Saya pasti dia memerlukan duit," katanya.
 
Syed Faisal memohon kepada mahkamah agar menolak rayuan Paiman dan waran dikeluarkan agar dia dipenjara.
Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo membuat permohonan kepada mahkamah untuk menarik diri daripada mewakili Paiman kerana beliau sendiri gagal menghubungi anak guamnya untuk mendapat arahan lanjut berhubung rayuannya.    
Tee membenarkan permohonan Gobind Singh dan menetapkan 11 Okt bagi membolehkan Dr Norma membawa Paiman ke mahkamah.
Paiman, 53, dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua 'Datuk' lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.
Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjut Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. - Bernama

Kedai kerap dipecah masuk



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Kedai kerap dipecah masuk
Peniaga di Hentian Raya Bentong bimbang berikutan kes kecurian kerap berlaku di kawasan itu.
Kedai kerap dipecah masuk
Seorang pembantu kedai menunjukkan kesan siling dipecahkan.
BENTONG – Peniaga di Hentian Raya Bentong bimbang berikutan premis perniagaan di kawasan itu kerap dipecah masuk pencuri sejak dua bulan lalu mengakibatkan mereka mengalami kerugian.

Peniaga buku, Aziah Abdul Aziz, 45, berkata, dia menjalankan perniagaan sejak 20 tahun lalu, namun sejak kebelakangan ini, kedai di kawasan itu sering dipecah masuk pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, walaupun tidak membabitkan kerugian besar, namun kejadian itu cukup membimbangkan sekali gus memberi impak kepada perniagaan mereka jika berlarutan.

“Setakat ini, kedai saya sudah tiga kali dipecah masuk dan kejadian terkini pada Sabtu lalu.

“Barang yang hilang antaranya sejumlah wang tunai diletakkan di dalam laci dan buku dijual,” katanya.


Pecah siling ceroboh kedai

Manakala penjual tiket bas, Halizan Haron, 32, berkata, kedainya pernah dipecah masuk beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM1,000, selain kehilangan beberapa karton rokok.

“Ketika memeriksa keadaan sekeliling, saya dapati terdapat siling dipecahkan dan digunakan pencuri untuk masuk ke dalam kedai.

“Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk tidur di kedai pada waktu malam bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Halizan berkata, kebanyakan kedai dicerobohi menggunakan cara sama menerusi siling memandangkan tiada pengadang di atas bumbung yang memisahkan antara kedai-kedai.


Lebih berhati-hati

Sementara itu, peniaga kedai makan, Norafidah Mohd Ariffin, 43, berkata, dia menyedari kedainya dipecah masuk pagi Selasa lalu kerana cuti berniaga selama tiga hari.

Menurutnya, dia tidak menyimpan sebarang barangan berharga melainkan peralatan memasak menyebabkannya tidak mengalami kerugian sebagaimana peniaga lain.

“Kejadian itu menyebabkan kami (peniaga) lebih berhati-hati untuk meninggalkan kedai masing-masing selepas tamat berniaga.

“Kami juga tidak menyimpan barangan berharga seperti wang tunai di dalam kedai untuk mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.


Gesa MPB bina pengadang

Menyedari perkara itu akan berlarutan sekiranya tidk mengambil tindakan sewajarnya, peniaga menggesa Majlis Perbandaran Bentong (MPB) membina pengadang di bahagian bumbung kedai.

Permintaan itu berikutan pencuri dipercayai menggunakan bumbung untuk memecah masuk ke dalam kedai.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati terdapat kira-kira lapan kedai dicerobohi menerusi siling dipecahkan.

Selain itu, mereka juga meminta pihak berkaitan memasang lebih banyak lampu di bahagian belakang premis perniagaan untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Ugut teman wanita sendiri



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
ALOR GAJAH - Kecewa dengan layanan teman wanitanya, seorang lelaki bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu teman wanitanya itu memaklumkan anaknya sedang hamil anak luar nikah.

Dalam kejadian malam kelmarin, lelaki berusia 20 tahun itu kecewa kerana teman wanitanya berusia 18 tahun itu enggan melayannya serta sering mendiamkan diri.

Menurut sumber, gadis yang tidak bekerja dan tinggal di sebuah taman perumahan di sekitar daerah ini mula mengenali teman lelakinya itu sejak Jun tahun lalu dan sering keluar bersama.

"Malah, lelaki berkenaan dikatakan sering membawa mangsa ke rumah dan beberapa kali melakukan hubungan seks," katanya.

Bagaimanapun, menurut sumber berkenaan, berlaku sesuatu di luar jangkaan apabila lelaki terbabit menghantar SMS kepada ibu mangsa mendakwa mangsa kini sedang hamil tiga bulan.

“Ibu mangsa yang terkejut setelah menerima SMS daripada lelaki berkenaan kemudian memaklumkannya kepada anak lelakinya iaitu abang kepada gadis berkenaan. Menurut ibunya, lelaki berkenaan berang dengan tindakan mangsa yang enggan membalas setiap SMS dikirim sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Menurut sumber, akibat berang, lelaki terbabit mengugut akan mencederakan mangsa serta membuat kecoh di rumah keluarga mangsa, sekiranya arahannya tidak dituruti.

“Bimbang adiknya dicederakan, abang mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” kata sumber berkenaan kepada Sinar Harian, semalam.

Berikutan laporan, lelaki yang bekerja di sebuah syarikat kurier ditahan beberapa jam selepas laporan polis dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kes berkenaan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Keganasan Rumahtangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Melaka untuk siasatan lanjut.” katanya di sini, semalam.

Stor simpan peralatan kokurikulum di SMK USJ13 musnah terbakar NUR FARHANA ABDUL MANAN



21 September 2012
Stor simpan peralatan kokurikulum di SMK USJ13 musnah terbakar
Notis pemberitahuan diletakkan di pagar sekolah bagi memaklumkan sesi persekolahan dibatalkan berikutan kejadian kebakaran.
SUBANG JAYA – Sesi petang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 13 dekat sini terpaksa dibatalkan apabila sebuah bilik stor yang menyimpan peralatan aktiviti kokurikulum pelajar terbakar pagi, semalam.

Difahamkan, pembelajaran pelajar sesi pagi turut dihentikan serta-merta dan kesemua 973 pelajar yang berada di dalam kelas masing-masing di arah ke tempat berkumpul dalam keadaan terkawal.

Sinar Harian dimaklumkan, kejadian terbabit disedari seorang guru yang terdengar bunyi cermin pecah dipercayai akibat bahang api yang membakar peralatan dalam bilik stor berkenaan.

Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.57 pagi sebelum anggotanya tiba di tempat kejadian lapan minit selepas itu.

Menurutnya, kebakaran membabitkan bilik kokurikulum terletak di tingkat 3 salah sebuah blok bangunan menyebabkan kesemua pakaian pasukan unit beruniform dan alatan kebudayaan yang ditempatkan di situ musnah sama sekali.

Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak ke bilik makmal sains terletak bersebelahan kira-kira 20 minit selepas itu.

Mohd Khairi berkata, seramai 21 anggota dan empat jentera dikejarkan ke tempat kejadian masing-masing dua dari Balai Bomba Subang Jaya, Sungai Penchala dan Puchong.

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang mengakibatkan kerugian hampir RM100,000 itu,” katanya punca kebakaran masih dalam siasatan dan akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta pihak sekolah berhubung dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang datang beberapa jam selepas itu untuk membuat pemeriksaan pendawaian.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekolah berkenaan semalam mendapati, beberapa guru ditempatkan di luar pintu pagar sekolah bertujuan mengawal situasi.

Guru berkenaan juga dilihat memaklumkan kepada ibu bapa penjaga yang menghantar anak mereka ke sekolah bahawa sesi petang sekolah dibatalkan.

Pasangan suami isteri temui tengkorak di celah pokok



ARZIANA MOHMAD AZAMAN
21 September 2012
KUALA SELANGOR - Hasrat pasangan suami isteri yang mahu membersihkan kebun pusaka milik keluarganya di Batu 18, Jeram dekat sini terbantut apabila mereka terkejut menemui bungkusan plastik merah berisi tengkorak manusia kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Seorang penduduk, Zailan Kamaruddin, 48, berkata, seperti biasa dia bersama isteri akan membersihkan kawasan kebun berhampiran jalan besar selepas Asar dan tidak menyangka akan menemui rangka tengkorak yang terletak di celah pokok pisang itu.

“Ketika isteri sedang leka menebas rumput di celah rimbunan pokok pisang, dia ternampak bungkusan pelik berwarna merah yang disangka berisi bola berikutan bentuknya bulat serta berwarna putih.

“Saya yang ketika itu pun turut membeleknya kerana menyangka ia hanya sampah biasa. Namun, saya terkejut apabila bungkusan itu rupa-rupanya tengkorak manusia,” katanya yang terus menghubungi Balai Polis Jeram untuk memaklumkan penemuan itu.

Zailan berkata, beberapa minit kemudian anggota polis datang dan mengambil keterangan mereka berdua sebelum kawasan itu ditutup untuk tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan tengkorak manusia dewasa di kawasan yang diadu penduduk dan turut memaklumkan kepada Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan skuad anjing pengesan (K9).

“Kita sehingga kini masih belum dapat memastikan sama ada ianya kes bunuh atau kes yang berkaitan sehingga siasatan lanjut dijalankan, bagaimanapun hasil siasat awal mendapati kes mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Sinar Harian difahamkan, tengkorak manusia dibawa ke Unit Patologi untuk siasatan lanjut manakala skuad anjing pengesan yang menjalankan gerakan mencari di sekitar jarak 100 meter di kawasan terbabit dilaporkan tidak menemui sebahagian lagi rangka itu.

Polis tahan 109 lelaki dipercayai terbabit pelbagai kesalahan jenayah



ADILA SHARINNI WAHID
21 September 2012
Polis tahan 109 lelaki dipercayai terbabit pelbagai kesalahan jenayah
Mereka yang ditahan dibawa ke IPD Kota Bharu untuk ditahan reman, semalam.
KOTA BHARU – Polis Kelantan berjaya menahan 109 lelaki dipercayai terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah di empat lokasi sekitar Kota Bharu di sini, awal pagi semalam.

Kesemua yang berusia antara 18 dan 35 tahun itu ditahan dalam tempoh sembilan jam Ops Tapis Bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner Azham Othman berkata, hasil operasi berkenaan, pihaknya merampas 461 dadah jenis pil kuda dan wang tunai berjumlah RM8,460 dipercayai hasil jualan barang larangan itu.

“Operasi bermula jam 12 tengah malam dan berakhir sekitar 9 pagi membabitkan 20 pegawai serta 113 anggota. Operasi melibatkan kawasan sekitar Kota Bharu, Badang, Binjai dan Kubang Kerian.

“Selain pil kuda, polis turut menjumpai 9.5 gram heroin dan ganja dengan tangkapan tertinggi dilakukan di Binjai,” katanya pada sidang media di IPD di sini, petang semalam.

Menurutnya, dalam operasi sama, 96 penagih berjaya diberkas dengan lapan daripadanya adalah penagih tegar.

“Dua kes turut membabitkan jenayah memiliki senjata pisau dan sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran palsu turut dirampas.

“Kesemua mereka akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2), 39A(1), 12(2) dan 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azham berkata, seorang suspek berusia 35 tahun sudah dikenal pasti dipercayai terbabit melarikan kereta jenis Nissan Grand Livina milik seorang doktor di Kampung Demit, Kubang Kerian di sini, Selasa lalu.

“Pihak kami dalam usaha menjejaki lelaki berkenaan dan saya percaya dengan kekuatan anggota yang ada, penjenayah itu akan dapat dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Ribut: OKU rugi ribuan ringgit



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Ribut: OKU rugi ribuan ringgit
Kerosakan dari luar rumah Pak Noh.
Ribut: OKU rugi ribuan ringgit
Begini keadaan dari dalam rumah Pak Noh (kiri) akibat ribut yang melanda Jumaat lalu.
BACHOK – Seorang warga emas kurang upaya (OKU) Ibrahim Mamat, 61, atau lebih dikenali Pak Noh terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit, apabila beberapa televisyen pelanggannya rosak akibat ribut yang melanda Jumaat lalu.

Pak Noh berkata, dalam kejadian Jumaat lalu semua ahli keluarganya tiada di rumah, dan dia sendiri keluar ke kedai berhampiran.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu apabila dihubungi jirannya sejurus selepas kejadian.

“Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 5 petang ketika hujan lebat. Isteri saya, Fatimah Sidi Ahmad, 41, ketika itu keluar menghantar makanan yang ditempah orang dan saya ke kedai berhampiran.

“Selepas dimaklumkan jiran mengenai kejadian itu, saya bergegas pulang dan mendapati hampir semua bumbung bahagian depan rumah diterbangkan angin,” katanya.


Tidur berhimpit di dapur

Menurutnya, sebahagian bumbung ruang tamu juga rosak, menyebabkan semua ahli keluarganya terpaksa tidur berhimpit di ruangan dapur dan kerja membaiki televisyen juga tergendala akibat ketiadaan bumbung di ruang tersebut.

Katanya, memandangkan pendapatannya membaiki televisyen tidak seberapa dan perlu menanggung kerosakan televisyen akibat ribut, kini dia masih belum mampu untuk menyediakan kos baik pulih bumbung rumahnya.

“Laporan polis sudah dibuat dan beberapa pihak sudah dimaklumkan mengenai perkara ini. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah menghulurkan sedikit bantuan.

“Dianggarkan kos yang diperlukan untuk membaiki keseluruhan bumbung ini ialah RM5,000 tidak termasuk kos upah dan sebagainya. Saya harap akan ada bantuan segera untuk membolehkan saya meneruskan kerja membaiki televisyen di ruangan ini,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Kini Pak Noh hanya bergantung kepada bantuan bulanan JKM RM300 sebulan yang mencukupi untuk menampung keperluan persekolahan dua anaknya.


Dinding rosak akibat dimakan anai- anai

Dia berkata, rumah berusia lebih 40 tahun itu juga semakin usang dengan keadaan dinding rosak akibat  dimakan anai-anai.

“Rumah ini kami beli dengan harga RM500 hampir 20 tahun lalu, kini ia semakin usang dengan banyak bahagian dinding dirosakkan anai-anai. Untuk memohon rumah mesra rakyat juga kami dikatakan tidak layak. Jadi kami terpaksa bertahan mendiami rumah ini sahaja,” katanya.

Difahamkan, Pak Noh lumpuh sejak 40 tahun lalu akibat terjatuh dari pokok kelapa. Justeru, mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Pak Noh menerusi nombor 013 9770854.

Manakala, Setiausaha Persatuan Insani Negeri Kelantan, Mohd Kufri Omar yang turut melawat Pak Noh berkata, pihak persatuan sudah menghulurkan sedikit bantuan untuk Pak Noh, dan berharap beliau akan mendapat bantuan segera untuk membaiki rumahnya.

Kutu rayau berani peras ugut



NOOR AZIANTY NORMAN
21 September 2012
Kutu rayau berani peras ugut
Lokasi ini yang menjadi tumpuan kutu rayau untuk meminta wang daripada orang ramai.
KUANTAN – Ahli Persatuan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Jalan Pasar Baru, di sini memohon kerjasama pihak berkuasa untuk meningkatkan rondaan di sekitar kawasan itu berikutan kehadiran sekumpulan remaja yang sering membuat kacau di situ.

Pengerusinya, Mohammad Jusoh, 63, berkata, sekumpulan remaja itu bukan sahaja berpelesiran di tempat gelap dan sunyi malah sudah berani meminta wang atau barangan berharga daripada orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu.

“Setiap hari, mereka akan datang ke sini sekitar jam 7.30 malam hingga 11 malam. Kerja mereka merayau tidak tentu arah dan mencari mangsa untuk mendapatkan wang,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohamad mendakwa, kumpulan remaja itu terdiri daripada 15 orang termasuk lelaki dan perempuan yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 21 tahun.

“Jika mangsa tidak memberikan wang atau barangan yang diminta, mereka akan bertindak kasar seolah-olah samseng. Kadangkala kami cuba menegur, namun teguran itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Sedikit pun mereka tidak berasa takut, malah lebih aktif melakukan perkara tidak bermoral itu,” katanya.

Tambahnya, dia bimbang sekiranya masalah ini tidak diselesaikan secepat mungkin, orang ramai takut untuk datang ke sini sekali gus menutup periuk nasi mereka.

“Bayangkanlah jika mereka terus membuat kacau di sini, tidak mustahil satu hari nanti tempat ini akan menjadi lebih sunyi pada waktu malam kerana tiada yang berani datang ke sini.

“Kami sudah membuat laporan polis tetapi agak kecewa kerana anggota yang datang sekadar membuat rondaan tanpa turun dari kereta untuk melihat sendiri kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman Abas, 66, berkata, selain meminta wang dan barang-barang berharga, kumpulan remaja terbabit turut didakwa menjalankan aktiviti menghisap gam di padang berhampiran stesen bas ketika lewat malam.

“Mereka menjadikan tempat-tempat gelap dan sunyi sebagai ‘port’ untuk menghisap gam dan salah satu tempatnya adalah di padang itu.

“Saya harap, pihak bertanggungjawab akan mengambil tindakan sewajarnya supaya aktiviti tidak sihat ini tidak terus melarat,” katanya.

Padah simpan barang curi



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Padah simpan barang curi
Harun menunjukkan barangan curi yang berjaya dirampas.
LEDANG – Tindakan berani dua wanita menyimpan barang curi milik rakannya yang terlibat dalam kegiatan  memecah masuk sebuah rumah mengundang padah apabila mereka ditahan polis pada 11 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, serbuan kira-kira jam 1 pagi itu berdasarkan satu laporan kejadian pecah rumah di Taman Tanjung Gading, Tanjung Agas, dekat Sungai Mati pada 26 Mei lalu.

Menurutnya, berikutan itu polis membuat risikan dan menyerbu sebuah rumah di Taman Tun Syed Nasir, Sungai Mati, dekat sini serta menahan dua wanita yang masing-masing berusia 23 tahun.
“Mereka ditahan ketika sedang beristirehat di rumah milik keluarga salah seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui beberapa barangan dipercayai milik mangsa dalam kejadian pecah rumah di Taman Tanjung Gading,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara barangan yang dijumpai sebuah komputer riba, pendrive, lima telefon bimbit pelbagai jenama, dua jam tangan dan kamera digital yang disembunyikan dalam sebuah bilik.
Katanya, kesemua barang tersebut kemudiannya dirampas serta dibawa ke IPD Ledang.

“Kedua-dua wanita yang tidak bekerja itu ditahan untuk membantu siasatan, dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat barangan curi yang sudah dijual.

“Mangsa seorang guru berusia 45 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk sekembalinya pulang bercuti dari kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Harun berkata, polis mencari seorang lelaki iaitu Khairul Azrul Abdul Latif, 20, dan alamat terakhirnya di Kampung Pulai, Merlimau, Melaka, untuk membantu kes siasatan.

“Kita percaya lelaki berkenaan masih berada di sekitar Melaka dan Ledang. Justeru pihak polis meminta kerjasama daripada orang ramai yang mengenali atau pernah melihatnya  supaya segera menghubungi IPD Ledang di talian 06-9781222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis percaya akan dapat menyelesaikan kes tersebut dengan segera,” katanya.

Penyamun berjaya dicekup, selepas dua jam motor hilang



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Penyamun berjaya dicekup, selepas dua jam motor hilang
Suspek curi motorsikal ditahan polis dengan bantuan anggota sukarelawan keselamatan Kerian dan orang ramai.
PARIT BUNTAR - Tidak sampai dua jam melakukan jenayah mencuri motorsikal, seorang penyamun menerima nasib malang apabila dia dicekup pemilik kenderaan itu di hadapan sebuah kedai makanan di Bandar Seri Tenggara, di sini, malam kelmarin.

Suspek berusia lingkungan 20an itu dicekup ketika pemilik motorsikal dalam perjalanan ke Balai Polis Parit Buntar untuk membuat laporan sebelum menyedari motorsikalnya diletakkan di hadapan sebuah restoran.

Pemilik motorsikal yang dikenali sebagai Yap, 26, berkata, dia menyedari kehilangan motorsikal jenis EX5 Dream yang diletakkan di hadapan sebuah kedai motorsikal pada jam 8.30 malam hari kejadian ketika bergegas hendak pulang ke rumah.

“Berikutan itu, saya terus memohon bantuan pasukan sukarelawan keselamatan Kerian untuk menjejaki motorsikal yang hilang dan mencarinya selama sejam tetapi tidak berhasil.

“Bagaimanapun, saya menyedari motorsikal saya diletakkan di hadapan sebuah restoran ketika dalam perjalanan hendak membuat laporan polis.

“Saya segera menghubungi anggota sukarelawan untuk menangkap pencuri terbabit dan suspek dicekup ketika dia hendak beredar dari premis berkenaan dengan motorsikal dicuri lebih kurang 15 minit kemudian dengan bantuan polis dan orang ramai,” katanya.

Di sebalik penangkapan suspek, Yap masih membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar pada hari kejadian.

Menurutnya, beberapa hari sebelum penangkapan suspek, Yap mendedahkan kejadian curi motorsikal turut berlaku di kawasan taman perumahan berdekatan.

“Saya berharap polis dapat meningkatkan pemantauan keselamatan di sekitar kawasan Pekan Baru Parit Buntar bagi memastikan kes kecurian motorsikal di kawasan sini dapat dibendung,” katanya.

Keluarga tunggu Sudin pulang



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Keluarga tunggu Sudin pulang
Rohaya menunjukkan laporan polis yang dibuat S Ramli pada 2005 dan kad pengenalan Sudin.
SEGAMAT - Kehilangan seorang warga emas, Sudin Jani, 78, sejak tujuh tahun lalu kekal misteri sehingga kini.

Anaknya, S Rohaya Sudin, 41, berkata, bapanya tidak pulang ke rumah pada kejadian 21 Mac 2005, selepas ke kediaman adiknya di Lubok Kepong, Batu Anam, di sini.

Menurutnya, ayahnya jarang pulang lewat meskipun dia suka berkunjung ke rumah adik-beradiknya dan kebiasaannya akan pulang semula ke rumah, sejam kemudian.

“Sekitar jam 2 pagi keesokan harinya, abang sulung saya, S Ramli Sudin, 45, membuat laporan di Balai Polis Batu Anam dan sejak itu, hampir seminggu rumah saya didatangi pelbagai pihak dalam usaha mengesan kehilangan ayah.

“Pelbagai usaha yang kami lakukan termasuk mendapatkan khidmat ustaz dan pengamal perubatan tradisional selain semua ahli keluarga dan pelbagai pihak giat mencari ayah namun tidak berhasil,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, kehilangan ayahnya juga pernah disiarkan di media elektronik namun tiada sebarang panggilan atau maklumat positif yang diterima daripada orang ramai, mahupun kenalannya.

Jelasnya, sekitar 2004, ayahnya pernah membuat permohonan untuk Rumah Mesra Rakyat dan ia lulus setahun kemudian tetapi tidak dapat dibina sehingga kini kerana memerlukan tandatangan ayahnya yang telah hilang ketika itu.

“Dalam permohonan untuk pertukaran hak milik tanah bagi melengkapkan salah satu prosedur yang ditetapkan, saya memerlukan tempoh tujuh tahun selepas tarikh kehilangan ayah sebelum ia disambung dengan beberapa maklumat tambahan lain.

“Sehingga kini, kami termasuk emak (Halimah Suboh, 65) yang menghidap pelbagai penyakit masih menanti kepulangan ayah dengan selamat,” katanya

Bawa anak lepas gian dadah



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Bawa anak lepas gian dadah
Abu (dalam bulatan) antara 39 yang ditahan di kawasan belukar Kampung Baru, Lesong.
POKOK SENA - Seorang bapa yang  bakal menyambut kelahiran anak kelima Disember ini sanggup membawa anak keempatnya bersama melepaskan gian di kawasan belukar di Kampung Baru, Lesong.

Lelaki berusia 34 tahun yang mahu dikenali dengan panggilan Abu berkata, dia membawa anak lelaki berusia empat tahun itu disebabkan tidak ada orang yang mahu mengasuh kanak-kanak itu di rumah.

Menurutnya, isterinya bertugas sebagai guru agama manakala dia pula hanya memperoleh pendapatan dengan bekerja sendiri.

Katanya lagi, dia mula mengambil dadah kira-kira dua tahun lalu dan sering ke kawasan itu untuk mendapatkan bekalan yang dijual dengan harga sekitar RM10 ke RM50 bergantung kepada saiz penyedut minuman.

“Harga yang dijual berdasarkan saiz, kalau RM50 saiznya lebih kurang pemetik api dan harga yang ditawarkan di sini lebih murah banding tempat lain.

“Kebiasaannya saya akan membeli menggunakan pendapatan yang saya peroleh daripada hasil menoreh getah,” katanya ketika ditemui sewaktu ditahan bersama 39 penagih lain, kelmarin.

Difahamkan, penagih yang ditahan memasuki kawasan belukar berhampiran kawasan sawah itu menggunakan motosikal masing-masing kira-kira jam 7 pagi.

Abu yang menghidap penyakit lelah mendakwa, dia tidak boleh membuang tabiat mengambil dadah itu walaupun baru sahaja keluar daripada wad tiga hari lalu.

Menurutnya, biarpun sering ditegur oleh isteri namun, dia masih meneruskan perbuatan itu dengan mendapatkan bekalan dari kawasan sekitar.

“Isteri tahu saya mengambil dadah, tetapi dia pun sudah letih untuk menasihatkan saya kerana saya tidak menghiraukannya.

“Lagipun saya tidak pernah minta wang dengan isteri untuk membeli dadah, saya gunakan pendapatan saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kesemua 39 penagih yang ditahan di kawasan yang dikenali dengan ‘port ayam’ kelmarin ditahan reman selama 12 hari.

Menyamar untuk rompak



NORAIZURA AHMAD
21 September 2012
Menyamar untuk rompak
Wan Ab Bari (dua, kanan) menunjukkan rambut palsu yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebelum merompak sebuah premis perniagaan.
KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan kegiatan dua penjenayah yang menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak merompak sebuah premis perniagaan dalam serbuan berasingan, Sabtu lalu.

Suspek lelaki yang berusia 29 tahun bersama rakannya, wanita berusia 26, ditahan di Taman Segar dan Cheras kira-kira jam 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Ab Bari Wan Ab Khalid berkata, pihaknya merampas cota, beg tangan, dompet, rambut palsu, serangkai anak kunci dan sebuah kereta Perodua Myvi.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan suspek adalah menyamar sebagai pelanggan untuk memasuki premis peniagaan dan menjalankan aktiviti ketika tiada pelanggan di dalam premis tersebut.

“Suspek akan mengambil pelbagai barangan yang mudah dibawa termasuk wang tunai, telefon bimbit dan komputer riba untuk dijual semula.

“Kedua-dua suspek yang tidak bekerja ini akan menjual barangan curi mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini, semalam.

Wan Ab Bari berkata, suspek ditahan reman sehingga 20 September ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, penahanan kedua-dua suspek hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis perniagaan kanak-kanak yang disamun pada 26 Ogos lalu.

Menurutnya, susulan daripada penahanan dua suspek tersebut, seorang jurujual telefon berusia 17 tahun ditahan di Taman Cahaya, Ampang kerana dipercayai membeli barangan curi daripada suspek.

“Polis turut menahan wanita berusia 53 tahun di Taman Segar, Cheras dan merampas satu Ipad dan sehelai seluar pendek dipercayai barangan curi.

“Mereka dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Wan Ab Bari berkata, dengan tangkapan tersebut, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes samun di Brickfields dan Kepong.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi.

Wanita ditangkap khalwat, dakwa sudah diceraikan



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Wanita ditangkap khalwat, dakwa diceraikan
Wanita tersebut sedang disoal siasat oleh bahagian penguat kuasa JAJ.
KLUANG - Seorang wanita yang menyangka dirinya telah sah diceraikan oleh suaminya kira-kira tiga bulan lalu dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Seri Impian, dekat sini, malam kelmarin.

Pasangan terbabit dicekup Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang kira-kira jam 5 pagi selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat pasangan terbabit.

Pegawai Tadbir Tadbir JAJ daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, selepas 10 minit pintu rumah diketuk, wanita berusia 27 tahun itu membuka pintu dalam keadaan baru bangun tidur dan kelihatan bersamanya seorang lelaki berusia 26 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai ikatan perkahwinan, manakala wanita yang mengaku dari Sabah itu mendakwa dirinya telah diceraikan kira-kira tiga bulan lalu.

“Namun, setelah semua dokumen tentang perceraian diperiksa, mendapati wanita tersebut masih dalam proses perceraian dan ianya belum diputuskan oleh Mahkamah Syariah lagi,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pasangan tersebut juga mengaku sebagai saudara sepupu.

“Walau bagaimanapun mereka tetap didakwa berkhalwat dan akan disiasat di bawah Seksyen 27(1) a&b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Apa yang menjadi kekeliruan kepada wanita itu adalah hanya berpandukan mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar suaminya dan surat arahan untuk datang ke Mahkamah Syariah bagi menentukan keputusan kes tersebut.

“Tetapi wanita tersebut tidak datang pada hari yang ditetapkan dan mempercayai apa yang dikatakan oleh suaminya itu menyebabkan dia yakin mereka telah bercerai,” katanya.

Nekad tangkap suspek, selepas lihat mangsa dibunuh



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Nekad tangkap suspek, selepas lihat warga emas dibunuh
Polis menjalankan siasatan terhadap mayat mangsa.
SEREMBAN - Tindakan nekad dua beranak menangkap salah seorang suspek kes bunuh seorang warga emas di lorong belakang antara Jalan Utam Singh dan Jalan Kong Sang, di sini,  berjaya apabila suspek yang terjatuh ditangkap orang ramai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, seorang warga emas ditemui mati dengan kesan tikaman di dada.

Bagaimanapun kejadian itu disedari remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmeng, 18, apabila dia yang sedang memasak di bahagian dapur terdengar jeritan mangsa.

Menurutnya, dia kemudiannya meninjau di luar kedai dan ternampak tiga suspek sedang mengerumuni mangsa yang sudah terbaring sambil mencari sesuatu pada mangsa.

“Saya menyergah mereka menyebabkan semua suspek melarikan diri.

“Seorang suspek berlari menuju ke tepi lorong kedai menyebabkan saya tanpa berfikir panjang mencampak besen ke arah suspek dan mengenai kepalanya,” katanya.

Ahmeng berkata, bapanya turut membantu dengan menendang kaki suspek terbabit yang cuba melarikan diri menyebabkannya terjatuh sebelum ditahan orang ramai.

"Suspek diikat dengan tali sebelum bapa menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam jam 5.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati lelaki berumur antara 55 dan 60 tahun itu dipercayai warga tempatan.

“Mangsa ditemui dengan keadaan lengkap berpakaian namun identitinya masih belum dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya.

Menurutnya, hanya wang tunai RM36 ditemui pada mangsa yang dipercayai pekerja kedai kopi di kawasan terbabit.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat,” katanya.

Saiful berkata, suspek berusia 40-an adalah warga asing dan polis masih mengesan dua lagi suspek yang berjaya melarikan diri.

Katanya, turut ditemui pemutar skru daripada suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersabit membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau hubungi talian 06-6014999 bagi membantu siasatan.

Bayi dalam masjid: Hasil sambutan tahun baru



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Bayi dalam masjid: Hasil sambutan tahun baru
Keratan akhbar Sinar Harian semalam.
Azman Ibrahim
Naib Yang Dipertua Pas Setiu, Dr Azman Ibrahim
MARANG - "Proses malam tahun baru dan merdeka, hasilnya... Mei dan September, demikian tajuk berita yang sesuai susulan penemuan bayi di ruang solat Masjid Saujana, Setiu,” kata Naib Yang Dipertua Pas Setiu, Dr Azman Ibrahim yang ditemui di sini, semalam.

Dr Azman berkata, imbas kembali kenyataan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Ghazali @ Suhaimi Muhammad menyebut sebagaimana dilaporkan media pada 26 Januari 2011 bahawa 623 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini sepanjang 2010.

“Kelahirannya pula bagaikan bermusim. Daripada jumlah itu, kadar tertinggi dicatatkan pada Mei dengan 72 kelahiran dan September 60 kelahiran yang dikaitkan dengan kemunculan ‘produk’ dibuat sembilan bulan sebelum itu iaitu pada Ogos dan Disember,” katanya.

Dr Azman berkata, hasil kelahiran dicatatkan dua bulan itu juga dikaitkan sebagai ‘musim mengawan’ pasangan muda-mudi yang ‘berpesta seks tanpa ikatan sah’ dipercayai berlaku pada malam sambutan hari kemerdekaan dan tahun baru sebelum itu.

“Walaupun berterima kasih atas kenyataan terus terang pengarah JPN itu, tetapi mohon diteliti, kenapa beliau menggunakan istilah ‘berpesta seks tanpa nikah’? Kenapa tidak digunakan saja istilah ‘berzina’ kalimah yang digunakan ALLAH SWT.

“Istilah ‘berzina’ nyata bunyinya saja sudah menggambarkan kedahsyatannya belum lagi disebut hukuman menunggu pelaku yang terbabit itu,” katanya.

Dr Azman berkata, ironinya, statistik yang menggerunkan itu tidak sama sekali mengubah agenda Kerajaan Negeri dan tidak pernah berubah selain kelihatan tidak mahu berubah melainkan diubah kerajaan memerintah.

Menurutnya, malam tahun baru dan malam merdeka biasanya bertukar menjadi malam pesta muda mudi, mat rempit bermaharajalela, pasangan kekasih memadu kasih, pondan dan khunsa berkeliaran, perzinaan dan sebagainya.

Menurutnya, kenyataan pengarah (JPN) itu juga ada menyebut, jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan warganegara dan bukan warganegara.

“Tetapi sebagaimana yang saya tegaskan, adalah tidak mengejutkan apabila dinyatakan bahawa majoritinya bayi tersebut dilahirkan daripada ibu yang beragama Islam.

“Dalam pada itu, sebelum ini sebuah agensi berita turut melaporkan Terengganu mencatatkan jumlah penagih dadah paling ramai di negara ini dengan 10,000 tangkapan dicatatkan sepanjang tahun 2009,” katanya.

Menurut nya, beliau tidak ingin mengulas lebih lanjut mengenai statistik tetapi ingin melontarkan suatu persoalan bahawa setelah meneliti semua ini, masih belum sampaikah lagi masanya untuk kita kembali kepada Islam.“Kegagalan
sistem manusia sudah jelas, ataupun kita ingin melihat berlakunya kerosakan yang lebih parah lagi?” katanya.

Dirogol rakan sekelas ketika ponteng bersama



RUBIAH OMAR
21 September 2012
KUALA TERENGGANU -  Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini, yang mengikut rakan lelaki sekelasnya ponteng sekolah membawa padah apabila menjadi mangsa rogol oleh rakannya itu.

Dalam kejadian pada 17 September lalu, mangsa, 14, dipercayai tidak mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa dan mengikut suspek, 14, bersiar-siar di kawasan bandar raya ini, sebelum dirogol di dalam kawasan semak.

Bagaimanapun, kejadian itu hanya terbongkar selepas mangsa dimarahi ibu bapanya setelah dimaklumkan pihak sekolah berhubung perbuatannya yang ponteng sekolah pada hari kejadian.

Ibu bapa mangsa yang tidak berpuas hati dengan masalah disiplin anak mereka akhirnya mengambil keputusan membawa mangsa berdepan dengan guru kaunseling sekolah berkenaan pada keesokan harinya, bagi mendapatkan sesi kaunseling.

Namun, selepas diberi kaunseling dan dipaksa menceritakan kejadian sebenar, mangsa baru membuka mulut memberitahu kejadian itu sebelum kedua ibu bapanya mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Susulan laporan dibuat, suspek yang berasal dari Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, ditangkap di kediamannya kira-kira jam 2.40 pagi semalam.

Sementara itu, Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, di sini, Mohd Rusli Ahmad, semalam membenarkan suspek direman empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mualaf dituduh rogol sepupu



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Mualaf dituduh rogol sepupu
Mohd Afandi Rosli mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dua pertuduhan merogol sepupunya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang mualaf dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan merogol sepupunya sebanyak dua kali, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Afandi Rosli Gunasegaran, 26, dari Paka, Dungun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun 11 bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa merogol mangsa pada 16 November 2009 lebih kurang jam 12.30 malam di sebuah rumah di Paka, Dungun.

Dia didakwa mengulangi perbuatan sama di lokasi sama pada dua hari selepas itu iaitu pada 18 November 2009 kira-kira jam 7 pagi.

Tertuduh yang masih bujang itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R.Azmi di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Noradila seterusnya membenarkan dia diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula yang akan disebut di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, tertuduh kini masih ditahan untuk membantu siasatan berhubung jenayah samun seorang mangsa warga Bangladesh yang melibatkan kerugian kira-kira RM4,000.

Tukang urut bebas tuduhan rogol



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012
Tukang urut bebas tuduhan rogol
Hamid (tengah) memeluk isteri dan Terrence (kiri) sebaik mahkamah memutuskan dia bebas tuduhan rogol.
TELUK INTAN  - Seorang tukang urut membuat sujud syukur selepas  bebas daripada dua pertuduhan merogol anak tiri berusia 13 tahun 9 bulan lebih setahun yang lalu, di sini, semalam.

Keputusan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Seksyen Teluk Intan,  Adli Abdul Ghalib ke atas Hamid Dollah, 65, dari Manjoi Baru Tambahan, Ipoh, apabila pihak pembela berjaya membawa bukti baru dan menimbulkan keraguan yang munasabah.

Hakim Adli Abdul Ghalib ketika membacakan keputusan kes itu menyatakan, pihak pembelaan diwakili Terrence Naidu berjaya membuktikan kepada mahkamah melalui satu laporan doktor dari Pusat Pakar Ipoh.

Laporan itu mengesahkan tertuduh tidak memiliki keupayaan untuk melakukan persetubuhan ke atas mangsa.

Sehubungan itu, Hakim Seksyen  Teluk Intan memerintahkan tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada dua pertuduhan merogol anak tirinya, lebih setahun lalu.

Sebelum itu, Hamid menghadapi tuduhan pertama iaitu melakukan persetubuhan dengan mangsa berusia 13 tahun 7 bulan kira-kira jam 9 pagi, di sebuah bilik tidur dalam sebuah rumah bernombor 87, Taman Cicely, Jalan Changkat Jong, pada Januari 2011 lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Hamid dituduh melakukan perkara yang sama pada 12 Mac 2011, kira-kira jam 3 pagi di alamat yang sama ketika mangsa berusia 13 tahun 9 bulan.

Hamid dituduh di bawah Seksyen 376B Akta Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Sementara itu, pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya, Suffian Jaafar.