Search This Blog

Thursday, September 20, 2012

Mangsa pukul maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
TAPAH - Seorang lelaki yang mengalami cedera parah akibat dipukul 17 September lalu meninggal dunia semalam setelah menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Tapah
Mangsa, C Vijayakumaran, 38, meninggal dunia kira-kira 5.30 petang akibat cedera parah di beberapa bahagian anggota.
Dalam insiden Isnin lalu, mangsa ditemui parah dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dipukul berhampiran simpang masuk Taman Bunga Raya, di sini.
Jurucakap polis memaklumkan bahawa buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa tiada rekod jenayah.

Jiran diburu dalam kes rogol, samun di Kuala Lipis




20 September 2012
KUANTAN - Polis kini memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian rogol dan samun di Kampung Gemunchor, Kuala Lipis, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata seorang daripada suspek merupakan jiran kepada mangsa.
"Rumah suspek yang berusia 30 tahun itu terletak tidak jauh dari rumah mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Mengulas kejadian pukul 10 malam itu, dua lelaki bersenjatakan parang menceroboh masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang yang tidak berkunci.
"Ketika berada dalam rumah mangsa, dua lelaki terbabit telah mengacukan parang dan memukul ibu mangsa sebelum mengikatnya dengan tali.
"Selepas mengikat suri rumah berusia 40 itu, iaitu ibu kepada mangsa, dua lelaki terbabit kemudian menarik mangsa yang berada di ruang tamu dan dibawa ke bilik air sebelum merogolnya," katanya.
Abdul Razak berkata selain merogol mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima, dua lelaki terbabit turut merampas gelang tangan ibu mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu atau mengenali suspek agar tampil di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Lipis bagi membantu siasatan.- Bernama

Mangsa luah hasrat berhenti kerja dua hari sebelum ditembak mati



NURUL MAZWANA HAMDAN & NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
20 September 2012
Mangsa luah hasrat berhenti kerja dua hari sebelum ditembak mati
Zanariah terpaksa dipapah ketika menaburkan bunga di kubur arwah suaminya.
Mangsa luah hasrat berhenti kerja dua hari sebelum ditembak mati
Tinggal kenangan... Hasnul Saad, 28 bersama isterinya, Zanariah Mat Ramli, 26, di dalam usia perkahwinan yang baru mencecah dua tahun
KAMUNTING – Pengawal keselamatan, Hasnul Saad, 28 maut dipercayai ditembak rakan sekerjanya dalam kes rompakan wang bernilai kira-kira RM1.2 juta di hadapan sebuah pasar raya, dekat sini, kelmarin, pernah meluahkan hasrat untuk berhenti kerja kepada isterinya, Zanariah Mat Ramli, 27.

Zanariah ketika ditemui memaklumkan, hasrat itu disuarakan oleh mangsa dua hari sebelum kejadian itu berlaku kerana menganggap pekerjaan sebagai pengawal keselamatan sangat merbahaya.
Menurutnya, mangsa sedang berusaha mencari kerja lain dan lebih menghibakan Zanariah, kejadian yang menimpa suaminya berlaku ketika dia sedang menjalani kursus di Kuala Lumpur.
"Saya selalu dengar kejadian sebegini berlaku dan tidak menyangka ia terjadi ke atas suami saya. Tiada apa yang dapat saya katakan kerana masih terkejut serta sedih kerana suami saya telah meninggalkan kami untuk selama-lamanya.
"Kali terakhir saya tatap wajah suami saya adalah pada pagi hari kejadian ketika dia menghantar saya ke pejabat untuk menjalani kursus," katanya ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham Hasnul, di Kampung Pinang, di sini, semalam.

Zanariah mengetahui kejadian setelah dihubungi ibu mertuanya pada jam 6 petang kelmarin dan menyifatkan Hasnul sebagai suami yang bertanggungjawab serta penyayang.

Pendiam dan baik

Bapa mertua mangsa, Mat Ramli Abd Hamid, 60, berkata, satu perkara yang dianggap pelik pada diri mangsa pada pagi hari kejadian adalah, menantunya itu tidak menegurnya ketika berselisih semasa mengambil wuduk untuk solat Subuh.
"Itu sahaja perubahan sikap yang nampak ketara pada diri arwah di mata saya kerana pada kebiasaannya, kami memang akan berborak," katanya.

Bagaimanapun, Mat Ramli berkata, mangsa sememangnya seorang yang pendiam dan dia juga tahu tentang hasrat mangsa mahu berhenti kerja berikutan sukar untuk solat dan makan.

Manakala, ibu mangsa, Latifah Omar, 52 memaklumkan mengetahui kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu daripada kakaknya.

"Pada mulanya saya tidak percaya Hasnul telah pergi untuk selamanya kerana ditembak dan saya pengsan sebaik sahaja menerima perkhabaran itu.
"Hasnul adalah seorang anak yang sangat rapat dengan saya dan sangat bertanggungjawab. Arwah tidak mahu tinggal berasingan selepas berkahwin kerana mahu menjaga saya," katanya.

Latifah menjelaskan, semasa hayatnya, mangsa bersama isteri akan tinggal bersamanya selama dua minggu dan bersama mertuanya juga untuk dua minggu.
"Hasnul memang sentiasa ambil berat tentang saya dan pernah berkata, bila duduk dekat, senang untuk dia menjaga saya," katanya.

Jenazah mangsa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pinang Seberang pada jam 3 petang semalam selepas proses bedah siasat selesai di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Polis cari suspek
Dalam kesedihan atas tragedi yang menimpa anaknya, Latifah sempat memaklumkan yang dia tidak mengenali suspek, namun difahamkan suspek hanya bekerja dalam pejabat, bukan di bahagian penghantaran.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai menaiki van bersama Hasnul. Kalau lain-lain rakan arwah memang saya kenal.

"Saya harap orang menembak anak saya itu dapat dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin dan berharap sangat polis dapat membantu menyelesaikan kes ini segera," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Md Diah memaklumkan, gerakan memburu suspek masih diteruskan, termasuk menyerbu tempat tinggal.

"Kita telah pergi ke rumah suspek di Taman Kaya, namun didapati kosong. Suspek telah melarikan diri bersama wang hasil rompakan bersama beberapa individu lain, menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna hitam.

"Polis difahamkan, kenderaan terbabit telah menuju ke arah bandar Taiping dan kita masih meneruskan pemantauan," katanya.

Mayat reput dalam tangki air, 337 penghuni saman RM100 juta




20 September 2012
mayat
Sebahagian penduduk Perumahan Taman Sri Titingan memfailkan saman terhadap Presiden Majlis Perbandaran Tawau dan Jurunila & Perunding Hartanah Sabah ekoran penemuan mayat.
mayat
Kelihatan peguam yang mewakili penduduk, Chong Kian Ming (memegang kertas) menerangkan sesuatu kepada pemberita selepas memfailkan saman mereka di Mahkamah Tinggai Tawau.
TAWAU - Sejumlah 337 penghuni perumahan Taman Titingan di sini hari ini memfailkan tuntutan saman berjumlah RM100 juta terhadap Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jurunilai & Perunding Hartanah Sabah (JPHS) atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan mayat hampir reput dijumpai di dalam tangki simpanan perumahan berkenaan.
Penduduk yang diwakili peguam Chong Kian Ming, memfailkan saman terhadap MPT sebagai defendan pertama dan JPHS selaku defendan kedua di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, di sini kira-kira 2.45 petang.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada 12 Mei 2012, selepas beberapa kali membuat aduan sejak 30 April 2012 berhubung bau air paip tidak menyenangkan di perumahan itu, seorang daripada pekerja defendan menjumpai mayat hampir reput di dalam satu daripada tangki simpanan air perumahan itu.
Plaintif juga mendakwa sejak 20 April 2012, mereka menyedari perubahan bau air tidak menyenangkan yang dibekalkan kepada mereka dari tangki simpanan berkenaan dan mereka telah meminum serta menggunakan air dari tangki yang dicemari mayat hampir reput itu.
Menurut plaintif, penemuan mayat hampir reput yang tidak diketahui identitinya dan bukan penghuni perumahan itu di dalam satu daripada tangki simpanan perumahan Taman Titingan, adalah disebabkan kecuaian defendan kedua yang merupakan ejen defendan pertama.
Plaintif mendakwa pihak defendan telah melakukan enam kecuaian termasuk membiarkan tangki simpanan berkenaan tidak dikawal sehingga memudahkan sesiapa sahaja memasukinya dan gagal menghalang si mati daripada memasuki kawasan perumahan seterusnya masuk ke dalam satu daripada tangki simpanan di situ.
Plaintif mendakwa pihak defendan telah cuai sehingga gagal mengambil langkah berkesan bagi menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki kawasan tangki simpanan air perumahan itu.
Defendan juga didakwa cuai dengan tidak mengambil langkah berkesan sama ada memeriksa dan menjalankan ujian bagi memastikan tidak ada dan tidak akan ada risiko pencemaran apabila plaintif membuat aduan kepada defendan kedua mengenai perubahan bau air berkenaan.
Plaintif mendakwa disebabkan kecuaian defendan berkenaan, mereka telah terminum air tercemar dalam tempoh tertentu dan akibatnya mereka sangat tertekan.
Selain menuntut RM100 juta, plantif juga menuntut supaya semua paip di dalam atau di luar rumah penghuni serta kesemua tangki simpanan air perumahan berkenaan diganti dengan yang baharu.- Bernama

Penduduk: Banduan minta gergaji untuk buka gari




20 September 2012
Banduan bergari terlepas
Keadaan kereta polis yang remuk selepas terbabit kemalangan di jalan Pintasan Kuantan dekat Taman Datuk Rashid, semalam.
KUANTAN -  "Dia ketuk pintu belakang rumah saya bertalu-talu dan minta diberi segelas air serta dibukakan gari," kata seorang pekerja swasta yang berhadapan dengan banduan yang melarikan diri selepas kereta polis yang dinaiki terlibat dalam kemalangan.

Lukman Hakim Mohd Ismail, 21, berkata banduan yang dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan itu mengetuk pintu rumahnya di Perumahan Taman Dato Rashid di sini, kira-kira pukul 10 malam ketika beliau dan isteri sedang tidur.

"Bila saya buka pintu, saya lihat seorang lelaki dengan tangan bergari berdiri di hadapan saya," katanya yang tidak menyangka akan berhadapan dengan banduan yang ketika itu sedang diburu polis.

Beliau berkata selepas diberi segelas air, banduan itu bertanya sama ada beliau mempunyai gergaji besi untuk memotong gari di tangannya, sebelum beredar apabila beliau mengatakan gergaji besi tidak boleh memotong gari.

Lukman Hakim yang ditemui di sini hari ini, berkata beliau pada mulanya menyangka banduan itu mahu meminta bantuan jiran untuk meminjam gergaji besi tetapi sebaliknya lelaki itu bertindak meniarap di bawah rimbunan pokok kadok berdekatan rumahnya.
 
"Saya kemudian memaklumkan kepada beberapa anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan taman ini dan mereka (polis) berjaya memberkasnya," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi Selasa, tiga anggota polis parah selepas kereta polis yang membawa banduan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Berang hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan dekat Taman Dato Rashid di sini.

Selepas kemalangan, banduan yang akan dihantar ke Penjara Penor itu melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan dia berjaya ditahan semula pada pukul 10.25 malam Selasa ketika meminta minuman dari penduduk Taman Dato Rashid. - Bernama

Kebakaran kilang petroleum Mexico, 26 maut




20 September 2012
Kebakaran kilang petroleum Mexico, 26 maut
Kawasan pemprosesan gas dan petrol Pemex meletup secara tiba-tiba.
REYNOSA - Letupan yang disusuli kebakaran di kilang pemprosesan gas asli Pemex, utara Mexico berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS), kelmarin menyebabkan sekurang-kurangnya 26 pekerja terbunuh.

Televisyen tempatan menyiarkan api yang sedang marak menjulang tinggi semasa letupan berlaku di stesen pemampatan gas berhampiran bandar Reynosa, iaitu lokasi utama aliran gas daripada AS ke Mexico.

Ini adalah insiden yang terburuk setakat ini, ketiga berlaku dalam tempoh lima minggu, melibat syarikat minyak Pemex di bawah kendalian kerajaan di Tamaulipas, sebuah kawasan terdedah kepada ancaman serangan kumpulan-kumpulan dadah.

Bagaimanapun, eksekutif tertinggi Pemex memberitahu pihaknya menganggap kebakaran yang berlaku berunsur kemalangan.

Subkontraktor tempatan, Victor Barrera berkata, semasa paip berkenaan meletup dia berada hanya 30 meter dari lokasi kejadian.

"Seorang rakan datang memaklumkan kepada saya kirakira 40 orang sedang bertugas semasa tangki itu meletup.

Saya hanya mampu lari untuk selamatkan diri dan tidak sempat membantu rakan-rakan," katanya.

Empat yang terbunuh adalah kakitangan Pemex, dan 22 yang lain adalah pekerja kontrak, selain tujuh pekerja lagi dilaporkan masih hilang.

Setakat ini, seramai 28 orang dimasukkan ke hospital dan dua daripada mereka dilaporkan kritikal. - Reuters

Remaja terpaksa tanggung kesakitan kaki terperosok dalam lubang



NURUL ZAILA MOHD TAHIIR
20 September 2012
Remaja terpaksa tanggung kesakitan kaki terperosok dalam lubang Norbaini
Norbaini (kanan) dan seorang lagi wakil Pejabat Parlimen Kuantan menunjukkan lantai yang pecah dan berlubang setelah dipijak remaja terbabit.
KUANTAN - Niat seorang remaja yang ingin bersiar-siar di sekitar kawasan India Town terbantut apabila dia cedera di bahagian lutut setelah lantai kaki lima bangunan kedai, di situ, pecah sebaik sahaja dipijak.

Remaja berkenaan, Lim Yu Xin, 19, berkata, kejadian berlaku Jumaat lalu semasa dia keluar berjalan-jalan melalui lorong pejalan kaki di kawasan terbabit.

Menurutnya, ketika melalui satu kawasan berhadapan sebuah anak tangga, secara tiba-tiba mozek yang dipijak pecah menyebabkan kakinya terperosok ke dalam lubang.

“Dari pandangan biasa, lantai mozek itu kelihatan elok dan tiada sebarang kerosakan, tetapi sebaik sahaja dipijak ia terus pecah. Sebelah kaki saya termasuk ke dalam lubang menyebabkan saya kesakitan dan cedera di lutut.

"Sepatutnya di bahagian bawah mozek itu ditampal dengan simen, tetapi saya tidak tahu kenapa ia kosong dan keadaan itu sangat berbahaya kepada orang awam. Tindakan segera perlu diambil oleh pihak berwajib," katanya kepada media ketika menunjukkan lokasi kejadian, di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis, termasuk memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Pahang, Norbaini Abu Bakar berkata, remaja terbabit ada membuat aduan kepada pihaknya dan berdasarkan tinjauan terdapat banyak lagi lantai yang rosak di kaki lima berkenaan.

“Mangsa ada membuat aduan kepada PBT, tetapi ia bukan tanggungjawab PBT kerana ia sebenarnya di bawah seliaan pemaju. Kami ada hubungi pemaju tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil bagi mengatasi  masalah itu.

“Kita dapati banyak lagi lantai yang hanya diletakkan mozek tetapi berlubang di bahagian bawah di kawasan itu dan ia boleh mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk dan lebih ramai  mangsa, pihak berwajib harus bertindak,” katanya. 

Lemas ketika bapa tidur



MOHD AZLIM ZAINURY
20 September 2012
Lemas ketika bapa tidur.
Walaupun kecil tetapi kolam terbiar ini telah meragut nyawa Mohd Amar.
MARANG – Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam terbiar terletak kira-kira lima meter dari rumahnya di Kampung Undang, dekat sini, sebelum mayat mangsa dijumpai bapanya kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Dalam kejadian antara jam 2.30 hingga 3.20 petang itu, bapa mangsa, Mohd Izat@ Jamali Zukardi Muda, 31, sedang tidur di rumah itu manakala ibu mangsa, Akmal Kamilah Mat Rani, 27, tiada di rumah kerana bekerja di sebuah kedai songket di Marang.

Mohd Amar Zakwan, 3, dipercayai keluar melalui pintu hadapan rumahnya tanpa disedari sesiapa malah sebaik sahaja tersedar dari tidur, bapanya menyangka anak sulungnya itu ke rumah neneknya, Kalsom Abdullah, 73, terletak tidak jauh dari rumah mereka.

Bagaimanapun, sangkaan Mohd Izat yang bekerja sebagai peniaga barangan runcit meleset apabila kira-kira jam 6.30 petang dia terlihat selipar kepunyaan anaknya terapung di permukaan kolam itu dan membawa kepada penemuan tubuh anaknya di dasar kolam.

“Apabila terlihat sahaja seliparnya terapung di permukaan kolam itu, tanpa berfikir panjang, saya terus membuka baju dan terjun ke dalam kolam separas dada lelaki dewasa itu sebelum menemui tubuhnya tetapi ketika itu kakinya sudah mengalami kekejangan.

“Saya pegang kakinya dan biarkan kepalanya ke bawah sambil menepuk-nepuk badannya namun ia sudah terlambat kerana Mohd Amar seperti sudah tidak lagi bernyawa,” kata Mohd Izat kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Mangsa tidak pernah bermain sendirian

SEJURUS selepas mangsa dijumpai, kanak-kanak malang tersebut kemudiannya segera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala  Terengganu apabila cubaan bapa mangsa untuk menyelamatkan anak sulungnya itu menemui jalan buntu.

Ibu mangsa juga bergegas ke hospital berkenaan selepas menerima berita malang itu dan terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu kerana Mohd Amar sebelum ini tidak pernah bermain seorang diri di kolam terbiar itu.

Mohd Izat berkata, anak sulungnya itu tidak pernah bermain di kolam terbiar itu kerana kebanyakan masa anaknya dihabiskan bersama neneknya juga merupakan moyang kepada anaknya itu yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka.

Apa yang dikesalkan katanya, sebelum ini sudah berulang kali dia meminta kebenaran ahli keluarganya untuk menimbus semula kolam terbiar itu agar perkara seumpama itu tidak berlaku, namun luahannya tidak pernah diendahkan.

“Sedih teringatkan perkara itu, sudah berbuih mulut saya meminta kebenaran mereka (ahli keluarga terbabit) untuk menimbus semula kolam terbiar yang dahulunya dijadikan kolam ternakan ikan keli.

Sudah beberapa tahun ia terbiar begitu,” katanya. Dia bagaimanapun tidak meletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada ahli keluarganya sebaliknya menerima hakikat dan ketentuan ALLAH kerana kejadian itu berpunca daripada  kecuaiannya yang menyebabkan anaknya keluar dari rumah.

Jenazah Mohd Amar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Atas Tol, Kuala Terengganu malam kelmarin, dan Mohd Izat mendakwa telah membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Chendering, Kuala  Terengganu dan tidak mahu ia diperbesarkan lagi.

Sementara itu, moyang mangsa, Kalsom berkata, arwah cicitnya itu manja sejak seminggu lalu dan kelihatan tidak sabar untuk ke sekolah dan perkara itu berulang kali dinyatakan walaupun dia masih belum cukup umur lagi seperti  sudah tahu ajalnya akan tiba.

“Dia (cicit) sudah menunjukkan perubahan agak pelik sejak seminggu ini malah dia juga tidak mahu berenggang langsung dengan saya, dia juga mahu diriba dan dibelai tetapi saya tidak menyangka ia akan berakhir dengan kejadian  seperti ini,” katanya. 

Pasangan khalwat beri alasan dihalau keluarga



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
Mohd Anuar ketika menyoal siasat pasangan yang dicekup.
Mohd Anuar ketika menyoal siasat pasangan yang dicekup.
KLUANG - Sepasang kekasih menggunakan alasan dihalau keluarga untuk meraih simpati Penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang agar mereka terselamat daripada ditangkap di sebuah bilik sewa di Pekan Simpang Renggam, di sini, awal pagi semalam.

Pasangan yang berusia di antara 22 hingga 24 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi dalam satu operasi Cegah Maksiat yang dijalankan.

Pegawai Tadbir Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, pasangan berkenaan memberikan alasan dihalau keluarga masing-masing kerana mempunyai masalah.

“Namun, bahagian penguat kuasa mengetahui bahawa semua alasan yang diberikan adalah sekadar untuk menagih simpati agar terlepas daripada ditahan.

“Ia dikukuhkan lagi apabila pasangan tersebut dibawa ke balai polis dan didapati mereka diikat jamin keluarga masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, operasi itu diketuai, Ketua Unit Penguatkuasa Agama Daerah Kluang, Mohd Anuar Kosnin dan enam anggota penguat kuasa serta tujuh anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohd Khalil berkata, pasangan tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 27(1) a & b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, di Dataran Tasek Putih Kluang, seramai empat pasangan remaja berusia lingkungan 17 hingga 21 tahun ditahan kerana duduk berdua-duaan di tempat gelap dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai ketika pemeriksaan dilakukan di sekitar tasik
tersebut.

Mohd Khalil berkata, semua pasangan terlibat akan didakwa di bawah Seksyen 29, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memantau pergaulan anak terutama yang perempuan kerana sewaktu pemeriksaan dijalankan mendapati ada pasangan yang ditahan adalah pasangan sama yang dicekup pada operasi yang dijalankan sebelum ini.

Jeritan jiran selamat warga emas



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
Anggota bomba berjaya mengawal keseluruhan kebakaran rumah sepasang warga emas di Kampung Dato’ Ngah
Anggota bomba berjaya mengawal keseluruhan kebakaran rumah sepasang warga emas di Kampung Dato’ Ngah, Batu 20 Sengkang, Bukit Gambir di sini, kelmarin.
LEDANG – Jeritan jiran telah menyelamatkan sepasang warga emas daripada menjadi mangsa kebakaran dalam kejadian di Kampung Dato’ Ngah, Batu 20 Sengkang, Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu disedari jiran mangsa apabila terlihat kepulan asap berserta api keluar dari bilik bahagian tengah rumah Bakar Mustapha, 85, dan Salimah Samin, 76.

Salimah berkata, ketika kejadian dia bersama suami sedang berehat di ruang beranda rumah, namun menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan jiran mengatakan rumahnya terbakar.

Menurutnya, walaupun terkejut melihat  api  marak membakar bahagian tengah rumah, dia  sempat memasuki bahagian hadapan rumah untuk   mematikan suis utama.

“Saya sempat halang suami yang cuba memasuki rumah untuk memadamkan api sebelum menyelamatkan diri ke kawasan kebun kelapa sawit di hadapan rumah.

“Semua barang-barang, pakaian termasuk dokumen penting hangus terbakar kerana api marak terlalu cepat,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia sedih kerana melihat sendiri rumah yang didudukinya sejak 37 tahun itu musnah terbakar dalam masa kurang 15 minit.

“Anak saudara yang turut sama menyedari kejadian itu bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir yang tiba kira-kira lima minit kemudian untuk memadamkan kebakaran.

“Berikutan kejadian ini, saya mengalami kerugian RM60,000 dan buat masa ini tinggal sementara di rumah anak saudara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Shazarul Afidz Hairudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.42 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 12 anggota.

“Kami tiba di lokasi kejadian kurang dari lima minit, tetapi rumah berkenaan sudah terbakar sebanyak 60 peratus.

“Struktur rumah papan ini menyebabkan api marak terlalu cepat, namun kami berjaya mengawal keseluruhan kebakaran pada jam 7.30 malam,” katanya  yang turut menjelaskan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Ditipu kerana permit kerja



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
Eddis menunjukkan pasport dan dokumen palsu yang diberikan ejen berkenaan kepadanya.
Eddis menunjukkan pasport dan dokumen palsu yang diberikan ejen berkenaan kepadanya.
IPOH – Usaha seorang warga Bangladesh mendapatkan permit kerja yang sah sejak setahun lalu terbantut apabila menjadi mangsa diperdaya sebuah syarikat hingga mengalami kerugian hampir RM4,000.

Eddis Miah, 40, yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat kontraktor di Cameron Highlands berkata, sejak tiba di negara ini, dia berusaha untuk memiliki permit kerja sah kerana tidak mahu disabit kesalahan dengan undang-undang Malaysia.

Bagaimanapun katanya, setelah hampir setahun proses pemilikan kerja yang dibuat melalui ejen tidak selesai, dia mula mengesyaki tertipu apatah lagi wakil ejen berkenaan memberi pelbagai alasan dengan memintanya menambah wang pembiayaan setiap masa.

“Bermula dengan bayaran pendahuluan RM635, saya diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM235 pula, kemudian mereka meminta saya buat lagi bayaran sebanyak RM2,000.

“Disebabkan saya bersungguh mahu permit kerja itu, saya ikutkan sahaja syarat yang mereka berikan, kononnya untuk mempercepatkan proses. Namun tidak sampai beberapa bulan selepas itu, mereka meminta tambahan bayaran RM1,000.

“Walaupun ketika itu saya tidak mempunyai wang yang cukup, saya cuba juga ikhtiarkan. Itu pun setelah mereka memberi jaminan ia akan siap dalam tempoh seminggu, namun dari ke sehari, sehingga kini, permit kerja saya tidak siap,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dia yang merasakan urusan berkenaan tidak akan selesai bertindak mendesak ejen berkenaan memulangkan semula dokumen termasuk pasport dan wang yang diberikan sebelum ini.

Katanya, kelebihannya fasih berbahasa Malaysia menjadikannya berani untuk membawa kes berkenaan ke pihak berkaitan.
“Saya cuma mahu kerja dan kirim wang kepada keluarga di kampung, bukan mahu buat kerja jahat di sini, saya akan buat laporan polis berhubung perkara ini,” katanya yang memaklumkan berjaya mendapatkan semula wang RM2,000.

Eddis berkata, dengan pendapatan RM50 sehari, dia akan kembali mengumpulkan wang semula untuk mengemukakan semula permohonan permit kerja melalui Kementerian dalam negeri (KDN).

Menurutnya, dia amat memerlukan permit kerja untuk meneruskan sumber pendapatannya di negara ini bagi membiayai kos sara hidup isteri serta dua anaknya yang masih bersekolah di negara asal.

Kereta warga emas dirosakkan



TUAN NUR SUHAILA RAJA MUHAMMAD
20 September 2012
Kereta warga emas dirosakkan
Kereta Kien Mun rosak apabila remaja yang berang selepas terlibat dalam 'kemalangan' dengannya bertindak memecahkan cermin kenderaannya itu.
CHERAS - Hasrat sepasang warga emas yang ingin membawa saudaranya yang datang dari Taiwan untuk bersiar-siar di Putrajaya terbantut apabila kenderaan mereka naiki terlibat dalam 'kemalangan' di Jalan Persiaran Utama Bandar Damai Perdana dekat sini.

Mangsa, Choy Kien Mun, 74, berkata, dia yang memandu kereta Mercedes membuat pusingan U di jalan tersebut sebelum tiba-tiba sebuah motosikal jatuh di belakang kenderaannya.

Menurutnya, dia kemudian berhenti di tepi jalan dan tidak sampai lima minit, penuggang motosikal terbabit meluru ke kenderaannya dan merosakkan cermin hadapan dan kedua- dua sisi keretanya menggunakan topi keledar.

“Dia memukul lebih daripada 15 kali menyebabkan saya terkejut dan takut untuk keluar kerana bimbang diri dicederakan.

"Kemudian tidak sampai dua minit, datang lagi tiga motosikal dengan enam remaja lingkungan umur 19 hingga 20 tahun.

“Dia bertindak luar kawalan dan seolah-olah di bawah pengaruh ubat apabila kelihatan seronok memukul cermin kereta saya sehingga pecah,” katanya kepada Sinar Harian ketika membuat aduan di Pejabat DAP, di sini.Hadir sama, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Evonne Lee Shim Moi serta Eddie Ng.

Kien Mun berkata, kira-kira 15 minit kemudian datang seorang lelaki Melayu yang cuba meleraikan keadaan dan meminta dia keluar untuk menyelesaikan keadaan tersebut dan ketika itu juga empat anggota polis yang sedang meronda di kawasan tersebut tiba.

Katanya, bagaimanapun enam rakan remaja tadi terus menghilangkan diri ketika anggota polis tiba dan dia mengesyaki mereka berpakat untuk memalsukan kemalangan bagi memeras ugut pemandu.

Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Damai Perdana dan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kajang namun kecewa apabila dituduh menjadi penyebab 'kemalangan' sedangkan mempunyai bukti tiada  perlanggaran berlaku.

Isteri mangsa, His Hsuen, 67, berkata, remaja terbabit tiada hak untuk menghukum dengan merosakkan kenderaan suaminya sehingga terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000.

Sementara itu, Nie Ching berkata, pihaknya berharap siasatan dijalankan bagi menjejak pesalah terbabit memandangkan mereka turut melakukan jenayah dengan merosakkan kenderaan mangsa.

Katanya, beliau percaya 'kemalangan' tersebut dirancang awak kerana pernah berlaku sebelum ini. “Pemandu diperas ugut kumpulan samseng itu selepas kemalangan.

Kita mohon pihak polis dapat meningkatkan rondaan di kawasan ini,” katanya. 

Kebakaran: Warga emas maut terhidu asap tebal



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
Kebakaran: Warga emas maut terhidu asap tebal
Api dipercayai marak dengan cepat menyebabkan mangsa gagal diselamatkan.
Kebakaran: Warga emas maut terhidu asap tebal
Rumah papan mangsa yang hangus
TEMERLOH - Seorang warga emas maut apabila rumahnya di Kampung Paya Taram, Kerdau, dekat sini, terbakar kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Anak bongsu mangsa, Hamdan Abdul Ghani berkata, dia difahamkan sebelum kejadian itu, kediaman ibunya, Kelesom Khatib Busu, 78, dan penduduk sekitar bermula dari Sanggang hingga Jenderak mengalami gangguan bekalan elektrik menyebabkan ibunya meminta pembantu rumah menyalakan lilin.

Menurutnya, kemudian mangsa meminta pula pembantu rumahnya mengambil minuman kerana haus. “Semasa pembantu rumah mengambil air, ketika itulah api marak dipercayai berpunca daripada api lilin yang menyambar langsir.

“Keadaan itu menyebabkan ibu menyuruh pembantu rumah mendapatkan bantuan jiran tetangga, tetapi mereka gagal membantu mengeluarkannya kerana api marak dengan cepat hingga menghasilkan asap hitam yang tebal,"  katanya.

Selepas itu pula katanya, kedengaran bunyi letupan sangat kuat berkemungkinan daripada tong gas di bahagian dapur. Menurutnya, setelah api berjaya dikawal, pihak bomba menemui mayat ibunya dalam keadaan bahagian kaki hingga perut melecur, manakala bahagian perut ke muka tidak mengalami kecederaan.


Jiran gagal membantu

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ketua Balai dan Penyelamat Temerloh, Hashnuddin Hussin berkata, pasukan bomba menerima panggilan kira-kira jam 10.27 malam kelmarin dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan dua  jentera dan seramai 14 anggota.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, rumah terbabit didapati 80 peratus hangus dan pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran itu sepenuhnya.

“Kemudian, pasukan bomba melaksanakan kerja-kerja gerakan mencari kerana kita mendapat maklumat mengatakan ada mangsa terperangkap di dalam rumah itu.

“Dalam operasi itu, kita menemui seorang warga emas wanita berusia 78 tahun. Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai hanya tinggal berdua bersama pembantu rumah.

Menurutnya, pihaknya juga difahamkan penduduk kawasan terbabit mengalami gangguan bekalan elektrik sebelum kejadian itu berlaku.

“Sebaik menyedari api mula marak, mangsa dikatakan mengarahkan pembantu rumahnya mendapatkan bantuan jiran berdekatan. Namun, api dan asap tebal menghalang mereka untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa yang tidak berdaya dipercayai cuba keluar melalui pintu belakang, namun terperangkap dan lemas dalam kepulan asap tebal,” katanya. 

Guru KAFA didakwa liwat murid tahun enam



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
Guru KAFA didakwa liwat murid tahun enam
Wan Mohd Shahrul Nizam mengaku tidak bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap murid tahun enam di Kem Telaga Batin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang peserta lelaki perkhemahan pengakap di kem Telaga Batin, di sini, April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Mohd Shahrul Nizam Wan Abdullah, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 377e Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima  tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa pada 22 April lalu lebih kurang jam 11 pagi di Kem Telaga Batin, di sini, telah merangsang seks terhadap mangsa, murid tahun enam untuk melakukan satu perbuatan kelucahan melampau.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh, bapa kepada dua anak itu direkodkan, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Polis P.Pinang tumpas geng curi motosikal




20 September 2012
NIBONG TEBAL - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri motosikal yang dikenali sebagai geng 'Mojad' selepas menahan empat anggotanya dan merampas pelbagai komponen alat ganti motosikal bernilai lebih RM50,000 dalam beberapa serbuan di sekitar sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata empat lelaki yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 19 tahun dan salah seorangnya adalah pelajar kolej.
"Hasil risikan sejak sebulan lepas oleh pasukan petugas, polis berjaya mengesan beberapa anggota geng berkenaan yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang sejak Mac lepas.
"Kumpulan Mojad ini bertindak mencuri motosikal untuk mendapatkan komponennya bagi dijual di pasaran gelap dan kepada kenalan-kenalan rapat anggotanya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya tangkapan pertama adalah pada 7 Sept lepas iaitu dua lelaki di Jalan Sentosa, Sungai Bakap selepas mereka mencuri sebuah motosikal di hadapan sebuah kafe siber.

Shafien berkata susulan tangkapan itu, pada 9 Sept lalu polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Permatang Ara dan menahan seorang lagi anggota geng berkenaan yang merupakan mekanik membaiki motosikal yang bertindak menukar alat ganti dan meleraikan motosikal yang mereka curi.
"Polis berjaya merampas pelbagai komponen alat ganti motosikal curi yang disimpan di sebuah pondok kecil di belakang rumah mekanik berkenaan dan antara barangan yang ditemui ialah tiga buah motosikal curi, lima buah rangka motosikal, 25 buah komponen enjin dan lima buah ekzos. Kesemuanya bernilai RM50,000," katanya.
Katanya selepas menahan mekanik itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki yang juga anggota geng berkenaan di Sungai Bakap pada hari yang sama.
Beliau berkata modus operandi kumpulan berkenaan ialah mereka bergerak dua orang dengan menaiki motosikal dan meronda di kawasan yang banyak motosikal seperti di kafe siber dan pusat snuker sebelum bertindak mencuri di situ.
"Mereka akan mematahkan kunci 'tengkuk' motosikal dengan menendang dan menghidupkan kenderaan berkenaan menggunakan 'allen key' yang telah diubah suai. Siasatan mendapati mereka geng terbabit terlibat lebih 15 kes curi motosikal di sekitar negeri ini," katanya.
Sementara itu, Shafien berkata pihaknya sedang mengesan empat lagi anggota berkenaan termasuk dalang utama iaitu Mojad yang melarikan diri selepas menyedari rakan-rakan mereka ditahan polis.
Katanya mereka ialah Mohd Muhaizad Azizan (Mojad), 22, dan Mohd Nazri Nasir, 20, berasal dari Kampung Permatang Ara, Sungai Bakap serta Mohd Alif Abdullah, 19, beralamat di Taman Kesumbar dan Nurfahim Akmal Azmi, 19, yang tinggal di Jalan Aman di sini.
"Polis telah pergi beberapa kali ke rumah mereka dan kolej tempat salah seorang daripada mereka belajar, tetapi gagal menemui mereka dan kita percaya mereka melarikan diri," katanya dan menambah polis percaya mereka masih berada di Pulau Pinang.
Orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat tentang empat lelaki berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah SPS di talian 04-5824222atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Laluan maut hampir ragut nyawa lagi



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
Laluan maut hampir ragut nyawa lagi
Proton Saga dipandu Rama yang terbabas ketika melalui persimpangan maut di Kampung Paya Lebar - Ayer Molek - Lubok Cina, malam kelmarin.
ALOR GAJAH - Persimpangan laluan maut Kampung Paya Lebar - Ayer Molek, di sini menyaksikan satu lagi kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa, Rama, 28, dari Rumah Rakyat Lubok China, dekat sini, nyaris maut apabila kereta jenis Proton Saga dipandunya hilang kawalan dan terbabas di persimpangan berkenaan.

Dia yang memandu sendirian ke tempat kerjanya di sebuah ladang sawit di Kuala Linggi bagaimanapun hanya cedera di badan dan dikatakan sering melalui jalan berkenaan sebelum ini.

Difahamkan, persimpangan berkenaan boleh dianggap sebagai laluan maut oleh penduduk sekitar berikutan sebelum ini pernah berlaku insiden sama sehingga meragut nyawa.

Sementara itu, Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Abd Karim Sulaiman berkata, persimpangan berkenaan merupakan laluan utama penduduk ke Lubok China - Kuala Sungai Baru - Masjid Tanah.

"Ketiadaan kemudahan lampu isyarat di persimpangan berkenaan dipercayai menjadi sebab beberapa kemalangan sering berlaku termasuk penunggang motosikal.

“Saya anggap simpang tiga Kampung Paya Lebar - Ayer Molek ini sebagai persimpangan maut dan tidak selamat kepada pengguna jalanraya yang terdedah kepada kemalangan bila-bila masa,” katanya. Lebih membimbangkan,  katanya, laluan  ergelap juga membuka peluang kepada penjenayah melakukan aktiviti jenayah mereka di kawasan itu pada waktu malam.

“Saya berharap Majlis perbandaranAlor Gajah (MPAG) dapat selesaikan masalah ini dengan segera," katanya.     

Suspek kes culik operator kilang ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
Suspek kes culik operator kilang ditahan
Abd Razak (kanan) menunjukkan barang dan wang tunai yang dirampas selepas penahanan dua lelaki terbabit.
SERDANG – Dua lelaki masing-masing seorang pengusaha kedai makan yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Selangor dan seorang warga Bangladesh antara suspek ditahan berhubung kes penculikan seorang operator kilang, di Klang Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada rakan mangsa yang mendakwa rakannya, warga Bangladesh berusia 20-an dilarikan dan menerima panggilan supaya sejumlah wang tebusan dimasukkan ke dalam satu akaun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, rakan mangsa yang juga warga Bangladesh memberitahu menerima panggilan telefon, memintanya memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam satu  akaun milik salah seorang suspek.

Katanya, setelah tawar menawar, suspek bersetuju mangsa dibebaskan sekiranya wang tebusan RM2,000 dimasukkan ke dalam akaunnya. Abd Razak berkata, mangsa kemudian dibebaskan di Seri Kembangan selepas dua hari dikurung dalam sebuah kontena di Pulau Indah Klang.

Katanya, mangsa membuat laporan dia turut dipukul menggunakan kayu di bahagian tangan dan belakang badan sehingga cedera dan lebam.

Bertindak atas laporan mangsa, beliau berkata, sepasukan anggota polis berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di sebuah kedai makan di tapak pembinaan di Klang dengan wang bernilai RM1,925, Ahad lalu.

Katanya, lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes pecah rumah pada 2011.

Menurutnya, sebuah kereta jenis Proton Saga, sebuah motosikal , kamera dan telefon bimbit dipercayai digunakan dalam aktiviti penculikan terbabit dirampas. “Hasil siasatan polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Bangladesh berusia 38 tahun yang merupakan rakan mangsa dipercayai terbabit dengan kes sama, keesokan harinya.

“Motif kes dipercayai bagi mendapatkan wang tunai dan kedua- dua lelaki itu direman sehingga Sabtu ini," katanya. 

Curi komputer riba adinda Sultan Kelantan



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2012
Curi komputer riba adinda Sultan Kelantan
Mahadi cuba menutup mukanya ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU – Tindakan seorang pengawal keselamatan istana mencuri komputer riba milik adinda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Ogos lalu mengundang padah apabila dia dihukum dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan selepas Mahadi Mahamad, 35, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Dia didakwa mencuri komputer riba berjenama Apple bernilai RM7,500 milik Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra.

Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku di Istana Mahkota Kubang Kerian di sini, antara jam 12 tengah hari, 29 Ogos dan 2 pagi, 30 Ogos.

Mengikut fakta, komputer riba yang diletakkan di bilik ruang tamu istana berkenaan disedari hilang sebelum laporan polis dibuat.

Hasil siasatan berjaya menahan tertuduh bersama barang kes.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly berkata, beliau bukan sahaja mempertimbangkan nilai barang dicuri malah turut mengambil kira keberanian tertuduh yang menceroboh kawasan larangan  untuk melakukan jenayah itu.

“Hukuman berat perlu dijatuhkan terhadap kamu supaya kamu mendapat pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Sepasang suami isteri dibelasah angkara dendam



RUBIAH OMAR
20 September 2012
Sepasang suami isteri dibelasah angkara dendam
Kedua-dua sahabat ini mengaku membelasah sepasang suami isteri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Angkara dendam lama, seorang penganggur nekad menjejaki semula ‘musuh’nya itu yang juga pasangan suami isteri bagi melangsaikan dendam yang terpendam sebelum ini.

Dendam yang dipercayai berpunca daripada masalah peribadi telah menyebabkan lelaki itu nekad memanggil ‘ahli kumpulannya’ membelasah pasangan terbabit sehingga mendatangkan kecederaan dalam satu kejadian di Jalan Cempaka 2, Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan penganggur itu, Mohd Azhar Yaacob, 26, dari Lot Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, menerima pembalasan apabila dijatuhkan hukuman denda RM2,400 oleh Mahkamah  Majistret di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Azhar mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, Hazwan Hashim, 27, dan isterinya Nurul Hamimi Ibrahim, 24.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan itu pada jam 6.30 petang.

Manakala seorang rakannya yang bekerja sebagai penjual ikan, Muhammad Amirudin Abd Wahab, 20, dari Kampung Telok Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, turut menerima nasib sama dengan dikenakan denda RM1,200 selepas mengaku salah membelasah mangsa, bapa kepada seorang anak itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala keduadua mereka tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak mereka  berada di dalam kereta Proton Satria sebelum secara tiba-tiba didatangi Mohd Azhar yang menaiki sebuah kereta Proton Viva.

Mohd Azhar telah merampas kunci kereta mangsa sebelum mengarahkan pasangan itu keluar dari kereta namun kedegilan pasangan itu menyebabkan Mohd Azhar naik angin lalu menerajang badan sebelah kiri mangsa menggunakan  kaki kanannya.

Isteri mangsa yang melihat kejadian itu cuba memarahi perbuatan Mohd Azhar dengan bertanyakan kenapa memukul suaminya, namun dia turut ditumbuk.

Mangsa yang tidak puas hati cuba menghalang Mohd Azhar yang seperti ‘dirasuk’ itu, bagaimanapun tanpa disedari secara tiba-tiba rakannya, Muhammad Amirudin datang dengan membawa bersama gergaji pokok dan mahu  memukul mangsa tetapi tidak sempat kerana dihalang oleh abang kepada rakan mangsa.

Disebabkan situasi yang agak tegang, mangsa terpaksa mengambil penyodok pasir yang secara kebetulan ada di lokasi kejadian bagi menakutnakutkan sebelum kesemua mereka beredar dari lokasi terbabit.

Berikutan kejadian itu, mangsa dan isteri mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, belakang badan dan luka di siku sebelah kanan.