Search This Blog

Wednesday, September 19, 2012

Polis cedera diserang guna parang



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 September 2012
Polis cedera diserang guna parang
Antara barang yang dirampas daripada seorang suspek dicekup, awal pagi semalam.
Polis cedera diserang guna parang
Suspek yang berjaya dicekup polis, awal pagi semalam.
SUBANG JAYA – Seorang anggota polis cedera di lengan dan lutut serta patah gigi ketika bergelut dengan seorang suspek yang bertindak menyerangnya dengan sebilah parang di SS14 di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 pagi itu, sepasukan anggota dari Balai Pollis Subang Jaya dikatakan membuat rondaan cegah jenayah memantau mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar SS15.
Ketika rondaan, anggota berkenaan dikatakan terserempak tiga lelaki menaiki dua motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, anggota kemudian menghampiri ketiga-tiga lelaki untuk membuat pemeriksaan namun kesemuanya bertindak memecut motosikal ditunggangi.

Menurutnya, suspek melarikan diri ke arah USJ dan membuat pusingan U menghala ke SS14.

Katanya, ketika membuat pusingan, pembonceng salah sebuah motosikal yang mengacukan parang ke arah polis terjatuh ke atas jalan.

“Anggota cuba memintas suspek yang bertindak mengeluarkan parang dan mengejar mereka sejauh beberapa meter di Persiaran Kewajipan.

“Ketika pergelutan berlaku, salah seorang  anggota terlepas satu das tembakan daripada pistol dipegang menyebabkan peluru tersasar mengenai sebuah kereta jenis Proton Wira yang kebetulan melalui laluan ke arah Bandar Sunway,” katanya.

Beliau berkata, peluru terkena bahagian depan kereta namun tidak menembusi cermin.

Menurutnya, ketika kejadian terdapat seorang lelaki dan seorang penumpang di dalam kereta namun tidak mengalami kecederaan serius.

Katanya, suspek yang cedera di dahi, mulut dan muka ditahan dan sebilah parang bersaiz 27 inci panjang berjaya dirampas.

Semakan mendapati suspek bersama rakan-rakannya dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah ragut dan samun tepi jalan. Suspek berusia 22 tahun itu tidak mempunyai kes lampau namun pemeriksaan mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

“Anggota yang cedera Lans Koperal Hafiz Ismail mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam. Kita memburu dua lagi rakan suspek yang dikenal pasti sebagai warga Indonesia,” katanya.

Mati terdampar atas batu



ROSDALILAH ZAHARI
19 September 2012
Mayat mangsa
Mayat mangsa yang dijumpai dalam keadaan separuh badan terdampar di atas batu di kawasan Air Terjun Buntong, kelmarin.
IPOH - Seorang pekerja kilang ditemui mati dalam keadaan berseluar dalam dengan kesan pukul di kepala dan beberapa bahagian badan di kawasan Air Terjun Buntong, Isnin lalu.

Mangsa, D Raymond Roy, 27, dari Taman Gamelan, Menglembu dijumpai dalam keadaan terdampar di atas batu dengan separuh badannya di dalam air oleh orang awam yang berada ditempat kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, selepas menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat tersebut anggota dari JSJ Ipoh dan Unit Forensik dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas mayat pihaknya menemui menemui dua kesan cedera di bahagian belakang dan kepala.

“Selain itu, anggota kami turut menemui pakaian, dompet dan motosikal dipercayai milik mangsa.

“Mengikut siasatan awal, kami mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Dzuraidi berkata, keputusan bedah siasat yang diperolehi dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam mendapati mangsa mati akibat diketuk dengan objek keras.

“Mangsa dipercayai dipukul di tempat lain sebelum dicampak ke kawasan air terjun tersebut berdasarkan kecederaan yang dialami.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak kami akan meneruskan siasatan bagi mengesan motif kejadian tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, D Kumar, 20, ketika ditemui di kelmarin masih terkejut dengan kematian abang sulungnya.

Katanya, beberapa jam sebelum kejadian, abangnya memberitahu dia mahu mengisi minyak motosikal.

“Kemudian saya dimaklumkan polis bahawa mayat abang ditemui di kawasan air terjun di sini,” katanya.

Kumar berkata, sepanjang pengetahuannya, abangnya tidak mempunyai sebarang musuh mahupun terbabit dalam mana-mana kumpulan samseng.

“Dia (abang) seorang yang pendiam dan tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa. Oleh itu, saya berharap mereka yang terbabit dalam kes kematian abang saya dapat ditangkap dengan segera,” katanya.

Ditangkap tak sampai 30 minit



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 September 2012
Anggota polis menunjukkan motosikal yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah ragut.
Anggota polis menunjukkan motosikal yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah ragut.
TELUK INTAN - Tidak sampai 30 minit melakukan jenayah ragut, dua remaja dicekup polis di sebuah kafe siber di sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek yang berusia 19 tahun itu ditangkap kerana didapati meragut beg tangan milik seorang tukang jahit di Jalan Kampung Banjar dekat Simpang Taman Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dalam kejadian jam kira-kira 10.45 malam itu, mangsa yang menunggang motosikalnya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah.

Menurutnya, mangsa berusia 38 tahun yang menunggang seorang diri tiba-tiba didatangi dua suspek dari arah belakang sebelum meragut beg tangan mengandungi RM140 yang diletakkan di dalam bakul motosikal.

"Suspek berjaya melarikan diri dengan memecut motosikal Honda Ex5 yang dinaiki mereka dan dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Selepas kejadian, mangsa terus membuat laporan berkenaan kejadian itu di Balai Polis Teluk Intan," katanya kepada Sinar Harian.

Kata Kok Liang, bertindak mengikut laporan yang dibuat, pihaknya mengerah sepasukan anggota polis untuk mengesan suspek hasil daripada maklumat yang diberi mangsa.

Jelasnya, kedua-dua suspek berjaya dikesan dan ditahan di sebuah kafe siber tidak sampai 30 minit selepas melakukan jenayah ragut.

"Pemeriksaan awal mendapati semua dokumen termasuk kad pengenalan ditemui semula melainkan wang yang dipercayai sudah digunakan suspek.

"Siasatan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan kedua-dua suspek untuk melakukan jenayah ragut adalah motosikal curi," katanya.

Kata beliau, tertangkapnya kedua-dua suspek tersebut, pihaknya percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes ragut yang dilaporkan di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

“Kedua-dua suspek ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen  305  Kanun Keseksaan,” katanya.

Rayuan sindiket gores, menang



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 September 2012
Rayuan sindiket gores, menang
Ejen giat memujuk mangsa di kalangan pemilik kereta dan orang ramai sebelum membawa sasaran ke pejabat mereka di Air Putih untuk proses selanjutnya.
Rayuan sindiket gores, menang
Chong Siang bertanyakan sesuatu kepada salah seorang remaja dipercayai agen sindiket gores dan menang ketika turun meninjau permasalahan itu di sini, semalam.
KUANTAN - Kegiatan sindiket gores dan menang yang didakwa kembali bergerak aktif memperdaya mangsa di sekitar tempat letak kereta sebuah kompleks membeli belah di sini menimbulkan keresahan orang ramai kerana kehadiran kira-kira 15 agen syarikat terbabit dianggap mengganggu pelanggan yang meletakkan kenderaan mereka di situ.

Berikutan aduan yang diterima, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang turun padang meninjau permasalahan itu dan ternyata dakwaan orang ramai berhubung kegiatan itu  ada asasnya.

Chong Siang berkata, beliau sendiri datang menemui kumpulan dipercayai agen  sindiket tersebut  berusia dalam lingkungan 20an  untuk mengesahkan dakwaan itu bagaimana pun mereka menafikan terlibat dalam kegiatan tersebut.

Menurutnya, bagaimana pun hasil pemerhatian ke atas kumpulan  yang mendakwa datang dari Batu Pahat, Johor,  itu jelas menunjukkan mereka giat mencari pelanggan dalam kalangan orang ramai di kawasan itu dengan menawarkan kad gores dan menang yang menjanjikan hadiah lumayan secara percuma.

“Saya menemui seorang agen dan minta mereka beredar serta menghentikan kegiatan itu bagaimana pun  kumpulan terbabit  berdegil dan meminta saya bercakap sendiri dengan ‘boss’ mereka berdasarkan nombor telefon yang diberikan.

“Ketika dihubungi, seorang lelaki mendakwa sebagai pengurus menjawab namun dia seolah-olah enggan melayan panggilan  dan menolak untuk datang berbincang dengan kami di sini,” katanya semalam.

Beliau berkata, jika dahulu, kebanyakan agen sindiket ini di kalangan remaja Cina namun hari ini terdapat beberapa agen berbangsa India dan Melayu berada di kawasan itu.

“Kita juga mengekori sebuah kereta dipercayai milik bakal mangsa yang terpedaya dengan helah kumpulan ini dan mendapati proses pujuk rayu serta  tuntutan hadiah berlangsung di sebuah premis di Air Putih,” katanya.

Chong Siang berkata, orang ramai diminta supaya tidak memberi peluang kepada agen-agen itu untuk ‘bersuara’ kerana mereka mempunyai kemahiran untuk memujuk.

“Penipuan sindiket ini sering kali didedahkan media malah tidak kurang mangsa yang tampil berkongsi pengalaman akibat terpedaya dengan kegiatan ini justeru orang ramai tidak sepatutnya terus memberikan peluang untuk menjadi mangsa seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, dia sendiri turut menerima aduan orang ramai yang ‘terkena’ dengan sindiket ini justeru mengambil kesempatan untuk turun meninjau sendiri permasalahan  yang seolah-olah tiada kesudahan itu.

“Kegiatan ini tidak akan berhenti selagi masih ada antara kita yang mudah gelap mata dengan tawaran luar biasa yang dijanjikan,” katanya.

Dituduh bunuh ibu saudara



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 September 2012
Dituduh bunuh ibu saudara
Raja Mohd Zulfahmi menundukkan kepala ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Pasir Puteh semalam.
PASIR PUTEH - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh ibu saudaranya dalam kejadian di Kampung Jebak, Jeram, dekat sini 4 September lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dalam pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwaraya Negeri, Wong Siew Mun di hadapan Majistret, Mohd Yusoff Yunus itu.

Raja Mohd Zulfahmi Raja Zainal Abedin, 27, dituduh membunuh ibu saudaranya, Wan Kel Thum Wan Hussain, 68, di antara jam 11 pagi hingga 1 petang.

Perbicaraan disambung semula pada 18 November depan selepas mendapat keputusan ujian makmal dan bedah siasat.

Tertuduh yang ditahan di rumahnya di kampung sama jam 1 pagi iaitu sehari selepas kejadian disiasat di bawah Seksyen 302 kanun Keseksaan.

Dalam kejadian tersebut, Wan Kel Thum yang juga guru al-Quran ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala selepas pulang mengambil sudip bagi membantu kerja-kerja memasak untuk majlis hari raya di rumah anaknya.

Anaknya yang mengesyaki sesuatu berlaku selepas Wan Kel Thum tidak muncul mengambil keputusan untuk memeriksa rumah tersebut dan terkejut mendapati mangsa tertiarap dalam keadaan kaku dan kepala berlumuran darah.

Wan Kel Thum tinggal bersendirian di rumahnya pada siang hari dan menumpang tidur di rumah anaknya yang jaraknya hanya 100 meter.

Lelaki warga Afrika cedera parah terjatuh dari tingkat tiga


Lelaki warga Afrika cedera parah terjatuh dari tingkat tiga
Pegawai Jabatan Imigresen sedang menahan sebahagian dari warganegara Afrika dalam satu operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Apartment Sri Jasmin, Mantin. - Foto Bernama


Lelaki warga Afrika cedera parah terjatuh dari tingkat tiga
Lelaki warganegara Afrika cedera parah setelah terjatuh dari tingkat tiga salah sebuah blok bangunan Apartment Sri Jasmin, Mantin. - Foto Bernama


NILAI - Seorang lelaki warganegara Afrika cedera parah setelah terjatuh dari tingkat tiga salah sebuah blok bangunan apartment Sri Jasmin, Mantin dekat sini ketika cuba melarikan diri dalam satu operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman berkata ketika serbuan dibuat pada kira-kira 12 tengah hari, dia cuba melarikan diri tetapi kakinya tersangkut dan jatuh ke tanah.

"Lelaki itu yang berumur 30-an mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban oleh sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Mantin.

Keadaannya bagaimanapun dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di sini.

Operasi empat jam bermula 11 pagi itu membabitkan 52 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.

Katanya 52 lelaki dan tujuh wanita membabitkan warganegara Afrika pelbagai negara kecuali seorang wanita warga Thailand ditahan dalam operasi itu.

Katanya kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 40 tahun dan kebanyakannya tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalah guna pas lawatan sosial mereka.

Kesemua mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.

"Ops 6P itu bertujuan mengesan pelajar warga Afrika yang didapati tidak menghadiri kelas. Kita tahan mereka untuk siasatan lanjut kerana kita hendak tahu sama ada pihak kolej akan membuat tuntutan atau pun tidak.

"Hasil tangkapan kita temui ramai warga Afrika yang mempunyai pas pelajar dan mereka ini didapati belajar di kolej dan pusat pengajian di luar negeri ini," katanya. - Bernama

Gadis dirogol lelaki kemaruk seks dalam bilik air


Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Mangsa diheret dari bilik tidurnya sebelum dirogol dalam bilik air.


Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Suspek turut menggeledah bilik tidur mangsa untuk mencari barang berharga.


Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Suspek dipercayai memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.


KUALA LIPIS - Berikutan tidak mampu mengawal nafsu serakah, seorang lelaki sanggup menceroboh rumah seorang gadis sunti di Kampung Gemunchor, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, suspek bersama dua rakan sanggup mengikat ibu gadis terbabit sebelum mengheret mangsa yang berusia 17 tahun ke dalam bilik air lalu merogolnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum kejadian berlaku, suspek bersama dua rakannya dipercayai pergi ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah kereta.

“Suspek dan dua rakannya menaiki sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.


“Suspek kemudiannya mengikat ibu mangsa di bahagian dapur sebelum mengheret mangsa yang ketika itu berada di rumah tamu ke bilik air untuk merogolnya,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, selepas merogol mangsa, suspek bertindak merampas gelang tangan emas milik ibu mangsa sebelum melarikan diri.

“Namun dalam keadaan tergesa-gesa, gelang tangan itu terjatuh di pekarangan rumah mangsa. Mangsa kemudiannya bertindak berlari ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira 500 meter untuk meminta pertolongan,” katanya.

Abdul Razak berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membuat laporan polis sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Berdasarkan siasatan awal daripada mangsa dan ibunya, polis percaya suspek mengenali keluarga terbabit. Ibu mangsa juga dipercayai dapat mengecam suspek berdasarkan bentuk tubuhnya.

“Polis giat mengesan suspek yang dipercayai tinggal berhampiran dengan rumah mangsa,” katanya.

Manakala, mangsa pula menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, akibat cedera selepas bergelut dengan suspek.


Acu parang

Sementara itu, nenek mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan ketika ditemui Sinar Harian memberitahu, dia turut berada dalam sebuah bilik di rumah sama ketika kajadian itu berlaku.

Wan berkata, anaknya berada di dapur, sementara cucunya pula sedang mengemas pakaian dalam bilik tidur kerana mahu kembali ke asrama sekolahnya, semalam.

Kemudian dia dikejutkan dengan kekecohan di ruang dapur sebelum mendengar anak dan cucunya meminta tolong.

"Saya keluar dari bilik selepas mendengar suasana kecoh di dapur sebelum melihat dua lelaki sedang mengacukan golok ke leher anak saya. Kemudian, saya nampak seorang lagi lelaki mengheret cucu keluar dari bilik dan dibawa ke bilik air," katanya.

Menurutnya, akibat ketakutan, dia masuk ke dalam bilik sebelum menolak katil ke pintu untuk menghalang penjenayah masuk.

"Penjenayah itu menendang pintu bilik, tapi tak dapat membukanya. Ketika itu, saya masih dengar jeritan anak dan cucu meminta tolong. Saya hanya mampu menangis sambil berdoa supaya keluarga tidak diapa-apakan penjenayah itu," katanya.


Mangsa pengsan

Wan berkata, lebih kurang 15 minit kemudian, keadaan kembali tenang apabila semua penjenayah melarikan diri. Menurutnya, dia memberanikan diri keluar dari bilik untuk melihat anak dan cucunya.

"Ketika keluar, saya dapati anak saya sedang menangis, manakala cucu sudah tiada dalam rumah kerana keluar meminta bantuan kakaknya yang tinggal berhampiran," katanya.

Manakala, kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya berlari dalam keadaan separuh bogel ke rumahnya untuk meminta pertolongan.

"Saya mendengar jeritan adik meminta tolong dan memberitahu dia bersama ibu jadi mangsa rompakan. Namun saya terkejut apabila melihat dia dalam keadaan separuh bogel dan memberikan sehelai kain batik untuk dipakai sebelum dia pengsan di rumah saya," katanya.

Sinar Harian difahamkan seorang daripada suspek adalah bekas banduan berusia dalam lingkungan 50-an yang pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan rogol. Lelaki itu dikatakan sudah mengamati pergerakan mangsa ketika bertemu di sebuah kenduri beberapa hari sebelum kejadian .

Kes pengawal keselamatan bunuh ejen hartanah sebutan 16 Okt.



Ishtiq Ahmad Khan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, semalam setelah mahkamah memutuskan sebutan semula kes bunuh seorang ejen hartanah pada 16 Oktober depan.
PETALING JAYA 18 Sept. - Mahkamah Majistret di sini menetapkan 16 Oktober ini sebutan semula kes seorang pengawal keselamatan warga Pakistan yang didakwa membunuh seorang ejen hartanah yang mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel di dalam semak berhampiran sebatang sungai di Ara Damansara, dua bulan lalu.
Majistret Nor Afidah Idris menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat hari ini memaklumkan pihak pendakwaan masih belum menerima laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Ishtiq Ahmad Khan, 25, bersama beberapa orang yang masih bebas didakwa membunuh Tang Yong Ching, 45, di F-2-2A. Blok F, kedai pejabat Taipan 1, Jalan PJU 1A/3N, Ara Damansara di sini antara pukul 4 petang dan 11 malam, 5 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, tertuduh turut menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas tiga tuduhan menipu bagi membeli sayuran dan dua buah komputer riba jenama Acer serta HP yang kesemuanya bernilai RM4,636.85 dengan menggunakan kad debit RHB Visa milik mangsa.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di pasar raya besar Tesco, Mutiara Damansara dan AEON Jusco, Bandar Utama Damansara di sini pada 6 dan 7 Julai lalu.
Pada tarikh sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah atas ketiga-tiga tuduhan menipu itu.
Mahkamah turut menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula pertuduhan menipu itu.

Lelaki beristeri dua dituduh sumbang mahram



KUALA TERENGGANU 18 Sept. - Seorang lelaki berusia 55 tahun yang mempunyai dua isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan persetubuhan haram bersama anak tirinya.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu tadbir mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Wan Fadzilah Nor Wan Idris.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tirinya berusia 18 tahun di dalam sebuah pejabat di bandar Kuala Berang di sini kira-kira pukul 5.55 petang, 25 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan anak tirinya itu yang ketika itu berusia 15 tahun kira-kira pukul 10 malam, 15 Jun 2009 di tempat yang sama.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Zulfazliah memohon agar mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana bimbang lelaki itu akan mengganggu anak tirinya.
Bagaimanapun, tertuduh yang mempunyai dua isteri dengan salah seorang daripadanya lumpuh merayu supaya dibenarkan diikat jamin kerana perlu menjaga isterinya itu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua serta disyarat tidak mengganggu atau menghampiri anak tirinya itu.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Oktober ini.

Karung wang berisi RM1.2 juta dilarikan



Anggota Unit Forensik polis memeriksa sebuah van keselamatan selepas seorang pengawal keselamatan mati ditembak dan wang berjumlah RM1.2 juta dilarikan di Kamunting, Taiping, Perak, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
TAIPING 18 Sept. - 'Kawan makan kawan', itulah istilah yang tepat bagi menggambarkan tindakan seorang pengawal keselamatan yang sanggup menembak rakan setugasnya sebelum melarikan enam beg plastik berisi wang tunai berjumlah kira-kira RM1.2 juta yang dibawa dalam sebuah van keselamatan di Jalan Tekah, Asam Kumbang di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa, Hasnul Hafis Saad, 28, dalam perjalanan pulang bersama suspek ke syarikat tempat mereka bekerja, Safeguard Securicor di Kampung Boyan selepas mengambil wang mesin deposit di beberapa bank berhampiran.
Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan empat kesan tembakan di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.
Sehingga pukul 8.30 malam ini, polis masih memburu rakan mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan ke atas van tersebut mendapati enam daripada 13 plastik hitam mengandungi wang bernilai RM1.2 juta telah hilang dalam kejadian itu.
"Kita masih siasat bagaimana van itu boleh berada di jalan tersebut sedangkan kita dimaklumkan oleh pihak syarikat bahawa ia bukan laluan van itu hari ini.
"Siasatan awal juga mendapati tiada kesan pergelutan dan kesan kekerasan dari luar van berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Yusof berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya sedang mengesan rakan mangsa yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, polis sedang mengesan seorang lelaki, Mohd. Hafizuddin Zainal Abidin (gambar), 25, yang dipercayai dapat membantu siasatan kes tersebut.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi 05-8291222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Polis jejaki suspek rogol, samun wanita cari kerja



KUALA LUMPUR 19 Sept. - Polis Kuala Lumpur sedang menjejaki seorang lelaki yang dipercayai merogol dan merompak siswazah wanita yang terpedaya dengan tawaran pekerjaan dan pendapatan lumayan daripada suspek.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata setakat ini polis menerima dua laporan membabitkan dua gadis, masing-masing berusia 23 dan 24 tahun.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an menggunakan Internet untuk mencari mangsa dan kemudian mengatur sesi "temu duga" di hotel bajet sekitar Lembah Klang, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Khairi berkata mangsa yang percaya dengan tawaran terbabit akan ke hotel berkenaan namun dirogol dan disamun.
Katanya kes terkini berlaku empat hari lepas membabitkan lulusan diploma berusia 24 tahun yang dirogol dan dirompak di sebuah hotel bajet di Cheras.
Polis bagaimanapun gagal mengesan suspek kerana namanya tidak didaftarkan di hotel terbabit, katanya.
Khairi berkata kes pertama berlaku bulan lepas, membabitkan gadis berusia 23 tahun.
Sehubungan itu polis menasihati golongan wanita yang mencari kerja agar berhati-hati, terutama jika diminta hadir temu duga di bilik hotel murah, katanya. - BERNAMA

Kes saman Lisdawati: Mahkamah tolak rayuan Nadia Mustafar



KUALA LUMPUR 18 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan pelakon Nadia Mustafar terhadap perintah membayar ganti rugi RM50,000 kepada rakan artis, Lisdawati berhubung satu kes saman fitnah.
Hakim Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan demikian dengan kos RM3,000 yang perlu dibayar oleh Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar kepada Lisdawati.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Yong Zarida Sazali pada 31 Oktober tahun lalu.
Menurut beliau, Yong Zarida telah membuat keputusan yang betul dengan mengguna pakai undang-undang yang sewajarnya terhadap fakta-fakta yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dalam perbicaraan kes itu.
Berikutan itu, menurut Hakim Abang Iskandar, tiada alasan untuk Mahkamah Tinggi meminda keputusan tersebut.
Pada prosiding hari ini, kedua-dua pelakon itu tidak hadir.
Peguam Siti Noor Julaini Shahar hadir bagi pihak Nadia dan peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Lisdawati.
Lisdawati, 34, atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin memfailkan saman fitnah terhadap Nadia, 36, pada 1 April 2010 kerana mendakwa Nadia telah memberi wawancara berunsur fitnah terhadapnya dalam artikel yang ditulis oleh wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.
Hanif telah meninggal dunia akibat penyakit tibi pada 18 Julai 2009 di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan.
Artikel yang bertajuk Hutang - Nadia Mustafar serang Lisdawati? disiarkan oleh majalah mingguan berkenaan bertarikh 8-14 Januari 2005.
Dalam tuntutannya itu, Lisdawati yang merupakan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi memohon ganti rugi RM250,000 serta faedah lapan peratus dan kos-kos lain ekoran penyiaran wawancara tersebut yang didakwa telah menyebabkan imej dan periuk nasi aktres itu terjejas.

Rasuah: Inspektor dipenjara 5 tahun, denda RM25,000



SHAH ALAM 19 Sept. - Seorang inspektor polis dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan RM5,000 daripada seorang suspek kes samun, tiga tahun lepas.
Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mat Ghani juga memerintahkan tertuduh, Mohd Firdaus Mohd Japar, 26, menjalani hukuman penjara 25 bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.
Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM8,000 kepada RM10,000.
Mohd Firdaus didakwa menerima RM5,000 daripada Mohd Noorsham Sapingai, 30, untuk menyelesaikan kes lelaki itu yang ditahan sebagai suspek kes samun dan rompak dengan bantuan Timbalan Pendakwa Raya di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur, 5 petang pada 21 Mac 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, atau mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Mat Ghani melepas dan membebaskan Mohd Firdaus daripada satu lagi tuduhan menerima rasuah RM3,000 daripada abang Mohd Noorsham, Norman Sapingai, 31, sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Mohd Noorsham di Balai Polis Sungai Buloh pada 11 malam, 23 Feb 2009.
Mat Ghani memutuskan sedemikian selepas berpuas hati Mohd Firdaus berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Nik Haslinie Hashim dan Yusliza Mohd Yusof sementara tertuduh diwakili peguam N. Satgurunathan. - BERNAMA

Bomoh bebas dengan ikat jamin RM15,000



Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan membawa tertuduh, Sombas Abdullah, ke Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban, semalam.
SEREMBAN 18 Sept. - Seorang lelaki yang disyaki mengamalkan nikah batin untuk mengubati pesakitnya dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM15,000 oleh dua Mahkamah Syariah di sini hari ini sementara menunggu siasatan selesai dijalankan terhadapnya.
Sombas Abdullah, 48, dibenarkan diikat jamin RM12,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah atas empat tuduhan yang disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
Bagi kes di Mahkamah Tinggi Syariah, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 49, 50 dan 52 enakmen tersebut atas tuduhan mencela agama Islam, mempermainkan ayat suci al-Quran dan hadis serta melakukan perbuatan ajaran salah.
Hakim Syarie, Abu Zaky Mohamad memerintahkan pengamal perubatan itu yang diberkas semalam, diikat jamin dengan enam penjamin kakitangan awam.
Di Mahkamah Rendah Syariah pula, kes terhadap lelaki itu adalah berkaitan tuduhan memperdaya dan melarikan wanita untuk seks iaitu kesalahan di bawah Seksyen 77 enakmen tersebut.
Hakim Syarie, Hamizan Mohd. Nor membenarkan lelaki itu diikat jamin dengan dua penjamin kakitangan awam.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 9 Oktober ini sebagai tarikh pertuduhan dikemukakan terhadap lelaki terbabit.
Kes tersebut dikendalikan oleh Pendakwa-Pendakwa Syarie Kanan, Wan Mohd. Helmi Masran dan Zulzaidi Mahmod manakala lelaki itu tidak diwakili peguam syarie.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang bomoh memperdaya pesakitnya yang terdiri daripada golongan wanita untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan.
Dia ditahan oleh Jabatan Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu di sini.

129 banduan di penjara Mexico meloloskan diri



MEXICO 19 Sept. - Seramai 129 banduan melarikan diri dari penjara Piedras Negras di utara negara itu semalam, melalui terowong berhampiran sempadan dengan Amerika Syarikat.
Pegawai berkuasa berkata, pihaknya mengurangkan jumlah tersebut daripada sebelum yang berjumlah 132 selepas menemui tiga orang wanita yang bersembunyi di dalam penjara.
“Kesemua mereka bersembunyi dengan niat mencari ruang untuk melarikan diri,’’ kata Menteri Pengawal Umum, Jorge Luis. - AGENSI

Lima rumah diserang kepala angin


Lima rumah diserang kepala angin
Robiah menunjukkan keadaan bumbung rumahnya tidak beratap kerana diterbangkan kepala angin dalam kejadian di Kampung Bukit Mentok kira-kira jam 4 petang kelmarin.
KEMAMAN – “Saya lihat depan mata pusaran angin menerbangkan atap zink rumah, waktu itu saya sedang berbaring di atas katil bersama kakak dalam bilik tidur,” kata Nor Hamizah Husin, 21, yang terkejut melihat musibah diserang kepala angin yang mengakibatkan atap di lima buah rumah musnah, di Kampung Bukit Mentok, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, sebahagian besar atap dan struktur kayu bumbung musnah hingga ruang dalam rumah dibanjiri air hujan kerana ketika kejadian cuaca hujan lebat.

Nor Hamizah yang bekerja di taska berkata, ketika itu apa yang terlintas di hatinya hanya mahu keluar dari bilik tidur dan menyelamatkan diri tanpa terfikir untuk menyelamatkan barang berharga mahupun dokumen penting.

“Bukan sahaja zink, malah kayu bumbung rumah juga terangkat. Terkejut dengan kejadian tanpa disangka itu saya dan kakak, Nor Hasiati, 25, bingkas bangun dari katil dan keluar dari bilik tidur.

"Waktu keluar kami sekali lagi terkejut kerana lihat keseluruhan atap di ruang tamu juga sudah tiada,” katanya sambil mengakui dia tidak keluar kelmarin sebaliknya rehat sahaja di rumah sempena cuti Hari Malaysia.

Rumah berkenaan dihuni Nor Hamizah  bersama kakak dan ibunya, Robiah Mohamad yang mana ketika itu ibunya sedang makan di ruang dapur.


Atap melayang bagai kertas

Sementara itu, Robiah yang juga ibu tunggal enam anak berkata, bencana itu berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira 10 minit kesemua atap di bahagian ruang tamu dan bilik tidur melayang bagaikan kepingan kertas.

“Semasa saya sedang makan nasi, secara tiba-tiba saya dengar bunyi angin kuat disertakan dengan hujan lebat. Saya cepat-cepat menjengah ruang tamu dan lihat atap zink melayang diterbangkan angin.

“Ada atap yang jatuh di belakang rumah dan ada yang diterbangkan lebih jauh sehingga ke kaki bukit kira-kira 10 meter di belakang rumah kami. Kemudian saya pergi bahagian depan rumah diikuti dua anak saya yang bergegas keluar dari bilik tidur apabila mereka sedar kejadian cemas itu,” katanya.

Panik dengan kejadian itu, mereka sekeluarga tidak sempat mengalihkan barang elektrik yang berada di ruang tamu dan ia dibasahi hujan sebelum jiran tetangga serta saudara mara datang membantu mengalihkan barangan berharga.

Pun begitu, Robiah yang tidak pernah berhadapan dengan situasi itu seumur hidupnya bersyukur kerana dia dan dua anaknya terselamat serta tidak mengalami apa-apa kecederaan selain cepat mendapat bantuan.


Rumah rosak dibaiki segera

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di rumah mangsa semalam mendapati, kerja memasang atap asbestos baru di rumah Robiah dan kesemua mangsa terlibat rancak dilakukan.

Terdahulu, Rofiah sekeluarga turut menerima kunjungan Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Mentok, Che Wan Daud Che Wan Sulaiman.

Dalam pada itu, Che Wan Daud memberitahu, rumah mangsa yang rosak dibaiki segera dan kesemuanya disiapkan semalam agar mangsa tidak mengalami kesulitan.

Nafi lulus roboh balai raya



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 September 2012
KUALA KRAI - Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Batu Jong, di sini, tidak pernah beri kelulusan kepada mana-mana pihak untuk merobohkan sebuah balai raya di kampung itu seperti didakwa.

Pengerusinya, Nuruldin Abdullah berkata, memang ada pemilik tanah di belakang balai raya itu datang berjumpa dengannya tetapi bukan untuk minta kelulusan merobohkan premis berkenaan.

“Dia datang jumpa saya kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin dan maklumkan, dia sebagai pemilik tanah nak bangunkan tanahnya itu dengan bangunan empat tingkat dan ada lapan rumah penduduk terlibat.

“Dia juga maklumkan kepada saya, benda (projek) ini ada kelulusan pejabat tanah, majlis daerah dan sudah dimaklumkan kepada polis, itu sahaja dan tidak ada sebut pun pasal (roboh) balai raya,” katanya, di sini, semalam.

Akhbar ini, semalam, melaporkan, kerja merobohkan balai raya di sebuah penempatan setinggan di kampung itu untuk dijadikan akses ke tanah milik persendirian terpaksa dihentikan separuh jalan apabila dibantah keras penduduk.

Mereka bagaimana pun terkejut apabila pemilik tanah itu dikatakan mendakwa sudah berbincang dan dapat kelulusan JKKKP Mukim Batu Jong bagi merobohkan balai raya berkenaan.

Nuruldin berkata, penjelasan itu serta perjumpaannya dengan penduduk terlibat bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Azizzuddin Hussein, malam kelmarin, diharap dapat membersihkan namanya yang tercemar akibat dakwaan tersebut.

“Pendirian JKKKP Mukim Batu Jong, sekiranya benar balai raya itu di atas tanah milik persendirian, perbincangan dengan pemimpin dan penduduk setempat perlu juga diadakan.

“Tetapi jika (balai raya) atas rezab jalan, mewakili penduduk, saya mohon supaya pihak terbabit baiki semula mana-mana bahagian yang sudah dirobohkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau minta pemimpin termasuk ketua cawangan atau ketua daerah mengundi agar merujuk dahulu kepadanya selaku Pengerusi JKKKP jika timbul sebarang masalah seumpama itu pada masa depan.

“Jika tidak, saya bimbang akan timbul salah faham seperti berlaku dalam isu balai raya ini sehingga saya dilempar pelbagai tuduhan liar selain dipandang serong oleh masyarakat dan pemimpin atasan,” katanya.

Sementara itu, pemilik tanah terbabit berkata, balai raya dipilih untuk dijadikan laluan masuk ke tanah miliknya kerana premis itu tempat awam dan tidak melibatkan penduduk jika dirobohkan.

Sedangkan katanya, dia boleh membabitkan kediaman penduduk kerana lapan rumah berhampiran balai raya itu didakwa dibina atas tanah miliknya tanpa kebenaran.

“Nak kacau rumah orang, nanti aniaya sebab kita fikir susah nak pindah dan kalau nak masuk ikut jalan belakang pun akan libatkan kebun orang, jadi saya ambil jalan tengah dan pilih balai raya.

“Bila timbul kontroversi begini, kita berhenti dulu (roboh balai raya) dan saya serahkan kepada peguam untuk ambil tindakan undang-undang mengikut Kanun Tanah Negara terhadap penduduk yang tinggal atas tanah saya tanpa kebenaran,” katanya.

Masalah hakisan, bimbang 'ditelan' sungai



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 September 2012
Masalah hakisan, bimbang 'ditelan' sungai
Ranyemah ketika menunjukkan kawasan tebing sungai yang berada di rumahnya dan baru sahaja mengalami runtuhan baru-baru ini akibat air deras.
BATU KURAU – Tempoh hampir sembilan tahun sudah cukup perit buat seorang warga emas, di sini, apabila terpaksa berdepan masalah tebing sungai berhampiran yang runtuh setiap kali hujan lebat melanda.

Ranyemah Md Said, 75, berkata, sudah 30 tahun dia mendiami rumah berkenaan dan masalah tebing terhakis semakin buruk dalam tempoh hampir sembilan tahun ini. Menurutnya, bukan hanya dia berdepan masalah itu malah beberapa penduduk lain turut menerima nasib sama, namun ada sebahagiannya telah selesai.

"Setiap kali hujan lebat, bahagian tebing sungai pasti runtuh sedikit demi sedikit. Kalau dulu jarak rumah dengan sungai 18 meter, kini hanya tinggal sembilan meter sahaja. Saya tidak sanggup kehilangan rumah ini," katanya.

Ranyemah berkata, bukan sahaja berdepan masalah itu, masalah banjir juga terpaksa diharungi dan ada ketikanya sehingga ke paras pinggang.

Sementara itu, katanya, dahulu rumah asal terletak di kawasan sungai sedia ada, namun nekad mengubah kedudukannya ke hadapan supaya jauh daripada sungai.

"Bagaimanapun, usaha tersebut nampaknya tidak berhasil kerana hari ini kedudukan sungai mula menghampiri rumah lagi.

“Kejadian terbaru pada Julai lalu, sebahagian besar tebing sungai di belakang rumah runtuh akibat hujan lebat. Lebih merugikan apabila kira-kira 30 pokok buah-buahan musnah akibat hakisan ini,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Normah Mat Isa, 50, berkata, masalah itu menjadi semakin rumit apabila semua pihak yang bertanggungjawab seolah-olah lepas tangan.

“Masalah telah berlarutan hampir sembilan tahun tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang penyelesaian.

“Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk beberapa kali berhubung dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun tetap tiada maklum balas,” katanya.

Bagaimanapun pada 2010 lalu pihak berkenaan cuba menyelesaikan masalah penduduk dengan meletakkan batu-batu besar di bahagian tepi tebing untuk mengelak hakisan.

“Namun, ternyata ia tidak berkesan apabila kini semuanya runtuh semula dan tebing sungai lebih kerap terhakis.

“Difahamkan projek ini telah menggunakan kos sebanyak RM60, 000,” katanya.

Tambahnya, difahamkan juga peruntukan untuk meluruskan dan membaik pulih sungai itu telah ada, namun hanya pada 2014 sahaja projek berkenaan boleh dilaksanakan. Normah berkata, terbaru dia pernah mengajukan masalah itu ke pengetahuan Menteri Besar, namun tetap tiada jalan penyelesaian.

“Penduduk di sini hanya mahu sungai ini diluruskan agar tidak berlaku hakisan dan sepatutnya ia tidak dilengah-lengahkan. Jika pihak yang berkenaan tidak mempunyai peruntukan yang banyak, cukup sekadar meluruskan sungai ini," katanya.

Katanya, apabila sungai itu diluruskan, potensi untuk hakisan berlaku akan berkurangan. “Oleh itu, saya berharap masalah ini diselesaikan segera kerana tidak mahu rumah ranap 'ditelan' sungai ," katanya.

Lima maut kemalangan jalan raya di Sepanggar




16 September 2012
KOTA KINABALU - Lima termasuk dua pasangan suami isteri maut dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanggar, berdekatan bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu di sini, malam tadi.
  
Kelima-lima mangsa dikenali sebagai Ramsin@Taminsin Pahang, 59, dan isterinya Siti Runi Tarawi, 55; Asan@Hassan Jimi, 55, dan isterinya Saimah Jamin, 51, serta Taripan Bintaman, 53.
  
Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tuaran menuju ke Beaufort menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Invader.
  
Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kereta Naza Ria yang datang dari arah lampu isyarat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sepanggar, terbabas dan memasuki laluan bertentangan akibat dirempuh sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dari arah belakang.
    
Kereta Naza Ria terbabit kemudian bertembung dengan kenderaan dinaiki mangsa yang datang dari arah bulatan Sepanggar menuju ke pusat bandar.
  
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun yang mengesahkan kejadian itu berkata polis masih mengesan pemandu dan penumpang kenderaan Mitsubishi Triton yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu. - Bernama

Kes buruh lemas timbulkan keraguan



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 September 2012
BATU GAJAH – Kehilangan seorang buruh ladang yang memancing ikan bersama tiga rakannya di sebuah lombong ternakan itik di Kampung Pisang, petang sabtu lalu, menimbulkan keraguan apabila pihak berkuasa gagal menemui sebarang petunjuk.

Empat penyelam Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Negeri meredah keseluruhan kawasan lombong seluas 0.8 hektar selama dua hari namun gagal menemui mangsa, M Tasan, 28.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan petang kelmarin apabila wujud keraguan.

Menurutnya, polis akan menyiasat kejadian itu sebagai kes orang hilang berikutan tiada apa-apa petunjuk mangsa lemas di lombong itu.

“Tiga rakan mangsa gagal membuktikan mangsa terjatuh dalam kolam itu walaupun mereka mencari di seluruh kawasan lombong.

“Mereka tidak melihat mangsa jatuh walaupun jarak memancing antara satu sama lain sekitar 100 meter,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Shaharon Anuar berkata, siasatan menyeluruh sedang dilakukan untuk menjejaki mangsa dengan memantau sekitar lokasi kehilangan mangsa.

“Mangsa juga tidak pulang ke pangkuan isteri selepas kehilangannya. Kita akan siasat dengan mengambil kira kemungkinan ada unsur jenayah dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Halid Md Zin berkata, pihaknya diarahkan polis supaya menghentikan usaha menjejak mangsa buat sementara waktu.

“Unit skuba yang ditugas mencari mangsa, semalam (kelmarin), direhatkan hari ini (semalam) sementara menunggu arahan seterusnya dari polis,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas keluar memancing di lombong berkenaan.

Dalam kejadian jam 6 petang Sabtu lalu, M Tasan, gagal dihubungi oleh tiga rakannya ketika berkumpul untuk pulang ke rumah mereka di Ladang Serapoh, Parit sebelum membuat laporan polis di Balai Polis batu Gajah.

Ayah, anak hilang



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 September 2012
IPOH – Dua beranak tidak pulang ke rumahnya di Felcra Changkat Lada dekat sini selepas meraikan sambutan ambang kemerdekaan di Ipoh pada 30 Ogos lalu.

Mohd Razali Bidin, 46, bersama anak tunggalnya, Mohd Izani, 7, dikatakan keluar rumah dengan menunggang motosikal jenis Honda 100cc tanpa memberitahu lokasi sebenar.

Anak saudaranya, Fariza Zubir, 30, bimbang dengan keadaan bapa saudaranya itu selepas kehilangan isterinya, Che Om Abdullah yang meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Menurutnya, Mohd Razali pernah memberitahu niatnya yang mahu menyambut detik 12 tengah malam di Dataran Bandaraya Ipoh sempena sambutan kemerdekaan.

“Kali terakhir saya bertemu di rumah nenek di Kampung Teluk Kepayang dan sehingga sekarang tiada berita mengenainya.

“Saya juga bimbang dengan anaknya yang tidak ke sekolah selepas mengikuti bapanya itu. Usaha mengesan termasuk menghubungi rakannya gagal,” katanya di sini, semalam.

Fariza berkata, setelah beberapa hari menunggu kepulangan bapa saudaranya itu, akhirnya satu laporan polis dibuat di Balai Polis Tambun, Ipoh.

Orang ramai yang mengetahui di  mana dua beranak itu berada boleh menghubunginya melalui talian 013-4657611 dan 013-5949530.

Disita gara-gara cetak rompak



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 September 2012
Disita gara-gara cetak rompak
Mohd Sakri (kiri) melihat komputer riba yang dirampas.
ALOR SETAR - Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah yang berlaku kepada dua kedai menjual komputer menggunakan perisian cetak rompak yang diserbu penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Alor Setar, Khamis lalu.

Pengarah KPDNKK negeri Kedah, Mohd Sakri Saleh berkata, serbuan yang dilakukan di premis bangunan City Plaza dan Plaza Putra itu melibatkan tujuh pegawai dan anggota pada jam 3 petang.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan setelah menerima aduan daripada pemilik perisian tersebut iaitu Microsoft.

“Kita telah menyita lima komputer riba dan sepuluh salinan yang dipercayai cetak rompak iaitu masing-masing lima program perisian Microsoft Office dan Microsoft Windows daripada kedua-dua premis tersebut yang dianggarkan bernilai RM12,000.

“Pada serbuan yang dilakukan di City Plaza, kita turut menahan seorang pekerja lelaki berusia lingkungan 20-an namun telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada pemberita, semalam.

Mohd Sakri berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan cetak rompak dan/atau penjara maksimum lima tahun atau dua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan sepanjang masa kerana tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan menggunakan perisian cetak rompak.

“Kita juga khuatir sekiranya peniaga mahu mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menjual komputer berjenama tanpa perisian.

“Komputer yang dijual tanpa perisian menyebabkan pengguna akan memuat turun perisian cetak rompak dari internet atau membeli perisian yang cetak rompak dan ia seperti membeli kereta tanpa enjin,” katanya.

Mohd Sakri berkata, kebanyakan pengguna mempercayai komputer berjenama yang dibeli dengan jaminan mendapat perisian berlesen dan tulen tanpa mengetahui penjual mungkin memasang semula komputer dengan perisian cetak rompak.

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan agar sentiasa menggunakan perisian komputer tulen dan berlesen kerana penggunaan perisian cetak rompak boleh mengundang pelbagai risiko keselamatan.

Beliau berkata, pengguna juga perlu memeriksa dokumen berkaitan pemasangan perisian terlebih dahulu sebelum membuat pembelian agar tidak ditipu oleh penjual yang tidak bertanggungjawab.

Tolak motosikal 5 kilometer



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 September 2012
Tolak motosikal 5 kilometer
Antara motosikal yang diperiksa.
ALOR SETAR - Gara-gara aksi merempit, seramai 132 remaja berusia lingkungan 14 hingga 21 tahun termasuk 15 remaja perempuan yang terlibat dalam aktiviti berkenaan ditahan dalam Ops Samseng Jalan Raya di Kampung Padang Garam, Kota Marina, Kuala Kedah, kelmarin.

Kesemua yang terlibat diarah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer.

Perjalanan berkenaan termasuk menaiki jambatan Tok Pasai ke Balai Polis Kuala Kedah untuk pemeriksaan lanjut dan semua dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripada mereka.

Operasi yang bermula jam 3 petang dan berakhir kira-kira 11 malam semalam dengan diketuai Ketua Polis Trafik Kota Setar Deputi Superintendan Jamil Ahamed turut menahan 111 motosikal yang terlibat dalam operasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, 86 motosikal disita kerana penunggangnya melakukan pelbagai kesalahan seperti pengubahsuaian kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Kita bebaskan 25 motosikal yang mempunyai lesen memandu, cukai jalan selain motosikal mereka tidak diubah suai, selain ujian air kencing negatif. Sementara sebanyak 175 kesalahan dicatatkan,” katanya.

Beliau berkata polis turut menahan empat remaja lelaki yang positif dadah.

Menurutnya, motosikal yang disita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Maut rempuh pengadang parit



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 September 2012
Maut rempuh pengadang parit
Mayat Zulkifli ditutup kain putih bersebelah motosikal miliknya selepas terbabas melanggar besi pengadang parit di Kampung Permatang Bertam, semalam.
KEPALA BATAS - Seorang penunggang maut apabila motosikalnya terbabas sebelum merempuh besi pengadang parit di Kampung Permatang Bertam dekat Pajak Song di sini,  awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, Zulkifli Saidin, 44, yang merupakan kakitangan sebuah firma guaman, di sini maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Ketenteraman Awam/Trafik,Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Superintendan Suhaimi Mohd Noor berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha CDI berseorangan dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah gerai makan untuk bersarapan.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai kurang sihat kerana mengidap penyakit diabetes, jantung dan darah gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh besi pengadang parit di situ.

“Kejadian itu sempat dilihat pengguna jalan raya kawasan berkenaan sebelum mereka cuba membantu mangsa yang tertiarap di tepi parit, namun meninggal dunia di situ juga.

“Hasil bedah siasat selepas mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas kemudiannya mendapati mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya.

Sementara itu suasana sedih menyelubungi rumah ibu Zulkifli di Kampung Permatang Bertam di sini semalam sebaik kejadian itu diketahui umum.

Ini kerana mangsa bukan sahaja merupakan seorang pekerja yang dedikasi tetapi merupakan antara aktivis yang cergas menjalankan kerja kebajikan dan mempunyai hubungan  baik dengan pemimpin Umno tempatan.   Isterinya, Fazilah Abdullah,41, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu pada jam 9.20 pagi semalam ketika sedang mengemas rumah di Kampung Permatang Berah, Penaga.

“Malam semalam, arwah tidur di rumah ibunya di kampung itu bersama anak bongsu kami, Mohd Firdaus, 13, manakala saya dan anak sulung, Norzalina, 18, berada di rumah.

“Arwah bermalam di rumah ibunya selepas memaklumkan dia letih seharian membantu masyarakat menganjurkan majlis rumah terbuka di Surau Kampung Permatang Bertam di sini malam tadi,” katanya.

Fazilah yang bekerja di sebuah kilang di Perai berkata, dia terkejut apabila ahli keluarganya memaklumkan kejadian itu kerana sebelum ini suaminya kelihatan sihat walaupun selepas dikesan mengidap penyakit tiga serangkai itu.

“Kali akhir saya dan Norzalina bertemu dengannya ialah pagi kelmarin sebelum dia keluar menuju ke Kepala Batas dari rumah kami di Penaga dan tidak menunjukkan sebarang keganjilan.

“Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini biarpun kehilangan orang tersayang,” katanya.

Menurutnya, jenazah suaminya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Bertam di sini sebaik selesai urusan bedah siasat dijalankan.