Search This Blog

Sunday, September 16, 2012

Diserang enam lanun

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berjaya mematahkan cubaan sekumpulan enam lanun warga asing merompak kapal dagang MT Scorpio di perairan Tanjung Piai, di sini, kelmarin.
Kumpulan lanun terbabit dipercayai merancang rompakan besar dengan merampas kapal dagang berkenaan selain menjual diesel kepada kapal lain di perairan itu.

Lanun terbabit turut dipercayai memiliki rangkaian sindiket besar untuk menyamun kapal di perairan Johor, terutama kapal dagang yang bersauh.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pada hari kejadian, pihaknya menerima maklumat bahawa sebuah bot kayu yang mencurigakan mendekati MT Scorpio.

“Pusat kawalan kemudian menghubungi kapal APMM yang melakukan rondaan di kawasan berhampiran dan sebaik tiba di lokasi, kami melihat sebuah bot kayu tergesa-gesa meninggalkan kapal sebelum melarikan diri ke perairan negara jiran.

“Anggota dan pegawai kami kemudian menaiki MT Scorpio yang didaftar di Tarawa Kiribati untuk melakukan pemeriksaan. Kami dapati 12 kru kapal iaitu 10 warga Indonesia, seorang China dan seorang Sri Lanka berusia antara 20 hingga 56 tahun dalam keadaan diikat.


“Pemeriksaan mendapati, tiga daripada mereka cedera ringan akibat dipukul menggunakan senjata tajam oleh kumpulan lanun,” katanya.

Menurut Adon, pemeriksaan turut menemui enam parang milik lanun terbabit ditinggalkan di sekitar kapal itu dan anggotanya mendapati seluruh ruang kapal digeledah dengan barang peribadi seperti wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit dilarikan.

Katanya, siasatan awal mendapati, enam lanun bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa parang memakai penutup muka dan menaiki kapal dagang itu sebelum menawan krunya, tengah malam Khamis lalu.

“Kami dapati sebuah kapal dagang yang berlabuh bersebelahan Mt Scorpio iaitu MT Sea Jade sibuk memindahkan diesel hasil rompakan berkenaan.

“Berikutan itu, kapten dan 12 kru kapal MT Sea Jade yang berdaftar Ulaan Batar membabitkan 10 warga Myanmar dan dua Indonesia berusia 27 hingga 47 tahun ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan selepas kami percaya mereka ada kaitan dengan lanun yang melarikan diri,” katanya.

Ajal dihempap traktor

LOKASI KEJADIAN... traktor yang meragut nyawa Azman  ketika bekerja di Jalan Lahar, Kampung Palas, dekat Jitra. Gambar kecil, Azman, maut
LOKASI KEJADIAN... traktor yang meragut nyawa Azman ketika bekerja di Jalan Lahar, Kampung Palas, dekat Jitra. Gambar kecil, Azman, maut
JITRA: “Arwah berkeras tidak mahu balik kerana ingin habiskan kerja menebas pokok walaupun ketika itu senja. Arwah beritahu adiknya, dia hendak cari duit lebih kerana dalam poketnya hanya ada RM3,” kata Abdul Majid Mohd Noh, 62, bapa kepada Nor Azman, 31, yang maut selepas traktor dipandunya terbalik dan menghempap mangsa di Jalan Lahar, Kampung Palas, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa yang bekerja sebagai Pembantu Am di Kolej Kejururawatan, Alor Setar terpaksa menanggung derita sejam sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di pinggang.

Abdul Majid yang juga terkenal dengan wayang kulit Seri Asun berkata, arwah pergi ke ladang itu jam 4 petang bersama adiknya, Shazwan Suhaili, 15, kerana mengambil upah membersihkan kawasan ladang.

“Arwah pergi berdua bersama adiknya untuk membersihkan kawasan hutan di situ dan dia memandu traktor. Sejam kemudian, arwah balik ke rumah untuk mengambil barang alat ganti mesin yang tertinggal sebelum pergi semula ke ladang.

“Ketika memandu traktor, arwah dipercayai mengundur beberapa kali untuk meratakan kawasan. Bagaimanapun, ketika mengundur, arwah gagal mengawal traktor itu lalu terjatuh ke parit sedalam satu meter.

“Selepas terjatuh ke parit, arwah cuba naikkan semula traktor, namun ia terus terbalik dan menghempapnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kunluang, Mukim Binjal, di sini, semalam.


Beliau berkata, adiknya yang berada di situ tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana arwah tersepit di tempat duduk traktor.

“Arwah masih bernafas ketika itu tetapi dalam keadaan tidak bermaya kerana kecederaan dialami. Shazwan kemudian meminta bantuan penduduk kampung berhampiran dan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun, anggota bomba menghadapi kesukaran kerana kenderaan mereka tidak boleh masuk ke hutan berikutan laluan kecil.

“Selepas sejam bertarung nyawa di atas traktor itu, akhirnya anak saya meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di pinggang,” katanya.

Abdul Majid berkata, anaknya dikeluarkan dengan menggunakan dua jentera ‘backhoe’ jam 11 malam sebelum dibawa ke Hospital Jitra (HJ), di sini, untuk bedah siasat.

“Arwah anak ketiga daripada lapan beradik meninggalkan isteri, Azizah Mohd Ali, 31, serta dua anak, Nor Hafifi, 13, dan Arfah, 7. Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kunluang, dekat sini, jam 10 pagi semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan mangsa mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

AS berjaga-jaga




         
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam berkata, ia mengerahkan tenteranya untuk menangani keganasan di 18 lokasi berbeza ketika kemarahan masyarakat Islam memuncak berhubung filem yang menghina Islam yang diterbitkan di negara itu.

Langkah itu diambil selepas dua anggota marin AS terbunuh dalam serangan di Afghanistan apabila pejuang yang bersenjatakan roket dan pistol menyerang sebuah pangkalan udara.


Kumpulan Taliban yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Kem Bastion di wilayah Helmand itu berkata, ia adalah tindak balas terhadap filem berkenaan.

Putera Harry, orang ketiga dalam senarai pewaris takhta Britain berada di kem berkenaan.


Ia berlaku selepas sekurang-kurangnya enam penunjuk perasaan di Mesir, Tunisia, Lubnan dan Sudan terbunuh ketika polis tempatan berusaha melindungi misi Amerika Syarikat daripada umat Islam yang membantah filem ‘Innocence of Muslims.’ Simbol pengaruh AS di bandar raya di dunia Islam menjadi sasaran serangan, termasuk kedutaan, sekolah dan juga rangkaian makanan segera apabila umat Islam meluahkan rasa marah mereka terhadap filem bajet rendah itu.


Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta berkata, Washington mahu memastikan tenteranya berupaya menangani keganasan yang semakin merebak itu, termasuk mengerahkan unit antikeganasan ke Libya dan Yaman serta menempatkan dua kapal pemusnah di pesisir pantai Afrika Utara.

“Kami perlu bersiap sedia berdepan dengan kemungkinan tunjuk perasaan itu tidak terkawal,” katanya kepada majalah Dasar Luar.


Beliau bagaimanapun tidak memberi butir lanjut. Bagaimanapun, menurut majalah itu, Washington merancang menghantar platun ketiga terdiri daripada 50 anggota marin yang dilatih khas bagi melindungi kedutaan negara itu di Khartoum.

Pengawal semalam melepaskan tembakan amaran apabila perkarangan kedutaan berkenaan diserbu penunjuk perasaan.


Kedutaan AS di Mesir dan Yaman juga diserbu sebelum ini. Di Sydney, polis menyerang ratusan umat Islam yang menunjuk perasaan membantah filem yang diterbitkan oleh kumpulan Yahudi dan Kristian di AS itu.


Tunjuk perasaan itu bermula dengan kira-kira 200 orang di luar konsulat AS, tetapi meningkat kepada sekali ganda tidak lama kemudian.


Sambil melaungkan slogan “Obama! Obama! Kami Sayangkan Osama,” penunjuk perasaan berarak di jalan raya sebelum diserbu polis yang lengkap dengan peralatan antirusuhan. Polis juga menggunakan bahan kimia untuk menyurai penunjuk perasaan.


Di Kaherah, pihak berkuasa Mesir mengerah pasukan tambahan untuk mengawal kedutaan AS. - Agensi

Saudi tangkap 4 tukang sihir

JEDDAH: Empat warga Asia, termasuk dua wanita, ditangkap atas tuduhan mengamalkan sihir dan menipu orang ramai.
Jurucakap polis Jeddah, Brigadier Misfer Al-Juaid berkata, seorang wanita Indonesia berusia 33 tahun ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz bersama-sama tangkal, beberapa kertas dan barangan berbau busuk.

Dalam kejadian lain, polis lapangan terbang menangkap seorang warga India yang cuba memasuki Arab Saudi dengan membawa barangan ilmu hitam dan tangkal yang didakwanya ubat.

Apabila disoal, lelaki itu mengaku merancang menggunakannya ke atas keluarga majikannya.

Pihak berkuasa lapangan terbang juga menahan seorang lelaki Pakistan yang membawa tangkal dan didakwa melakukan sihir.

Dalam pada itu, polis Jeddah menyerbu sebuah rumah di daerah Al-Rawabi selepas menerima maklumat mengenai seorang wanita Indonesia mengamalkan sihir.


Wanita itu dikatakan mengambil upah ‘menundukkan gadis’ untuk orang yang mengupahnya. Anggota dari Balai Polis Al-Jami’ah mengepung rumah itu sebelum menangkapnya ketika dia sedang melakukan sihir. - SG

Dadah RM68 juta: Polis cari 2 lelaki



Lim Wen Long, Wee Chong Sen
JOHOR BAHRU 15 Sept. - Polis sedang mengesan dua individu yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM68 juta di dua lokasi berasingan di Muar pada 9 September lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kedua-dua suspek yang dikehendaki itu ialah Lim Wen Long, 36, atau dikenali sebagai Siau Loong dan Wee Chong Sen, 44, yang juga dikenali sebagai Ah Weh.
Menurutnya, alamat terakhir Wen Long, pemegang kad pengenalan 760301-01-5807 (A3315077) adalah di Nombor 189, Jalan Jaya 10, Taman Jaya, Jalan Bakri, Muar, Johor.
Beliau berkata, alamat terakhir Chong Sen, pemegang kad bernombor 681031-01-5499 (A1150294) adalah di Nombor 14, Jalan Sentol, Taman Sri Aman, 83700 Yong Peng, Johor.
"Kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah terlihat mereka ini boleh memaklumkannya kepada pihak polis di talian 07-2212999 atau mana-mana balai berhampiran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 9 September lalu, sekumpulan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menyerbu dua lokasi berasingan yang dijadikan makmal memproses dadah.
Melalui serbuan pada pukul 6.30 pagi di tiga unit rumah di Pangsapuri Pemandang Tanjung, Jalan Junid dan dua buah rumah di sekitar bandar ini, polis turut menahan lima lelaki dan dua wanita berumur 24 hingga 50 tahun.
Polis menganggarkan nilai keseluruhan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan itu berjumlah RM68 juta, sekali gus mencatatkan angka tertinggi rampasan pernah dicatatkan di negeri ini.

Banduan tawan 10 pengawal keselamatan



BEIRUT 16 Sept. - Sekumpulan banduan menjadikan sekurang-kurangnya 10 pengawal keselamatan sebagai tebusan dalam satu rusuhan di sebuah penjara, di sini semalam.
Menurut sumber, rusuhan di Penjara Roumieh itu tercetus selepas banduan menggesa pihak berkuasa membebaskan mereka atas alasan sebagai tahanan politik.
"Beberapa banduan di tingkat dua bangunan membakar tilam dan menjadikan 10 pengawal keselamatan sebagai tebusan," katanya. - REUTERS

Cubaan kutip duit gagal



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2012
PASIR MAS –  Cubaan seorang lelaki untuk menipu mangsanya gagal, hasil ketangkasan anggota polis dari Balai Polis Meranti melalukan penyamaran untuk memerangkap suspek, petang Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, suspek seorang lelaki berusia 34 tahun ke rumah mangsa di Kampung Cherang Meranti kira-kira jam 7 petang.

Menurutnya, modus operandis suspek adalah mengutip hutang penapis air sedangkan dia sudah diberhentikan kerja dari syarikat terbabit.

“Hasil siasatan mendapati suspek meminjam kereta adik iparnya untuk ‘mengutip duit’, dan semakan rekod mendapati dia dipercayai sudah diberhenti kerja dan melakukan aktiviti sama sejak beberapa bulan lalu.

“Suspek ditahan dua jam selepas mangsa berusia 20 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Meranti,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohamed Zulmazi berkata, mangsa menyangkakan suspek adalah wakil sah dari syarikat terbabit untuk mengutip hutang.

Bagaimanapun perkara ini terbongkar setelah wakil sebenar daripada syarikat berkenaan ke rumah mangsa untuk mengutip hutang.

“Mangsa memberitahu pembayaran sudah dibuat kepada suspek, yang akhirnya membawa kepada terbongkarnya aktiviti lelaki berkenaan,”katanya.

Menurutnya, dua laporan diterima berhubung kes ini termasuk yang dibuat di Pulau Chondong.

Suspek dipercayai melakukan perkara serupa di sekitar Machang, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Menurutnya, berikutan itu suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah 420 kanun Keseksaan, bagi mengelak orang ramai ditipu, kita menasihati orang ramai supaya berhati-hati jika didatangi pengutip hutang, dan meminta mereka meminta resit bagi mengelak sebarang penipuan.

“Jika orang awam turut ditipu suspek sama, mereka boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat bagi membantu siasatan.

Kaki pancing dipercayai lemas di lombong



NOOR 'AINON MOHAMED YUSOF
16 September 2012
IPOH - Seorang kaki pancing dipercayai lemas di lombong Kampung Pisang, Batu Gajah dekat sini, malam tadi.

Sehingga berita ini ditulis, mangsa M. Tasan, 27, masih belum dijumpai.

Operasi menyelamat diteruskan oleh pihak bomba dengan bantuan polis.

Dicederakan kerana RM7



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2012
IPOH – Seorang penyamun bukan sahaja sanggup mencederakan seorang warga emas yang sedang berehat di hadapan rumah tetapi sempat melarikan wang tunai RM7 yang ada di meja berhampiran di Kampung Pasir Pinji di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa, Cheang Siew Lan@ Chang Siew Lan, 67, didatangi oleh seorang lelaki yang berpura-pura bertanya mengenai sebuah kuil untuk menilik nasib.

Menurutnya, lelaki berusia 20-an itu datang ke arahnya sambil bertanyakan kuil di kawasan berhampiran sebelum mencederakannya.

“Sebaik sahaja dia menghampiri saya, dia terus menumbuk mata kiri sehingga saya terjatuh.

“Lelaki itu merampas beg duit dan mengambil wang yang terletak di atas meja rumah sebelum melarikan diri,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pasir Pinji.

Katanya, ia merupakan kejadian pertama berlaku di kawasan berkenaan dan akan sentiasa berhati-hati dengan kehadiran orang yang tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Cubaan potong gagal, maut bertembung treler



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2012
Cubaan potong gagal, maut bertembung treler
Keadaan kereta mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan treler dan lori tangki.
RAUB – Seorang lelaki maut selepas terbabit kemalangan berhampiran persimpangan Kampung Sungai Pasu pada kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, mangsa, Raja Badrul Hisham Raja Shamsuddin, 49, memandu kereta jenis Proton Wira dari arah Raub.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa cuba memotong beberapa kenderaan lain, tetapi gagal berbuat demikian lalu bertembung dengan treler dari arah bertentangan.

“Treler itu cuba mengelak ke sebelah kiri jalan, tetapi kereta dipandu mangsa gagal dikawal lalu merempuh bahagian kanan lori tersebut.

“Kereta mangsa berpusing seketika sebelum melanggar lori tangki minyak sama arah dengan treler terbabit,” katanya.
Mohd Nazlan berkata, akibat perlanggaran itu, kereta Proton Wira terbabit remuk teruk di bahagian hadapan dan mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Kampung Kuala Gali.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca cerah dan laluan trafik tergendala lebih setengah jam,” katanya.

Tragedi Lubuk Payung, lemas ketika berenang



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2012
Tragedi Lubuk Payung, lemas ketika berenang
Mayat Mohd Norizwan sedia dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.
Tragedi Lubuk Payung, lemas ketika berenang
Mayat Mohd Norizwan ditemui anggota bomba berdekatan lokasi kejadian.
JERANTUT – Kegembiraan sekumpulan 21 remaja yang juga calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) beriadah di Sungai Tembeling di Kampung Lubuk Payung bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas dihanyutkan arus deras.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang kelmarin apabila mangsa, Mohd Norizwan Mohammad Nor, 15, gagal berenang ke tebing sungai, namun dua lagi rakannya yang dipercayai turut lemas berjaya diselamatkan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Retang itu dikatakan cuba menyeberangi Sungai Tembeling untuk mengikuti kumpulan rakan lain, namun gagal di pertengahan lalu cuba berpatah balik ke tebing sungai.

Rakan mangsa, Mohd Amirul Hafiz Md Zain, 15, berkata, sebelum kejadian, mereka pada mulanya bermotosikal ke kawasan Rekreasi Lata Puai, namun sebahagian rakan bergerak lebih awal menyebabkan mereka menukar fikiran lalu menuju ke Sungai Tembeling di Lubuk Payung.

Menurutnya, dia bersama dua lagi rakannya hanya duduk di tebing dan memerhatikan rakan-rakan lain melakukan aktiviti di sungai.

“Ketika itu, Iwan (mangsa) bersama lapan rakan lain cuba berenang menyeberangi sungai di kawasan lubuk berarus deras.

“Kami tidak menyangka kejadian ini berlaku kerana Iwan mengaku pandai berenang. Namun, Iwan gagal berpatah balik lalu lemas dan tenggelam di kawasan lubuk,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Mohd Amirul berkata, mereka meminta pertolongan seorang nelayan yang kebetulan berada di tebing, tetapi Iwan gagal diselamatkan.      


Kelakuan adik berubah 

Sementara itu, kakak mangsa, Kartini Mohammad Nor, 26, berkata, dia amat terkejut dan bergegas pulang dari tempat kerja apabila mengetahui insiden lemas tersebut.

Menurutnya, adiknya tidak menunjukkan perubahan ketara, namun rajin menyertai aktiviti sekolah termasuk solat hajat pada malam sebelum kejadian.

“Solat hajat itu berikutan mereka bakal menduduki peperiksaan PMR. Jika sebelum ini adik perlu disuruh berkali-kali untuk membuat sesuatu kerja, namun kali ini agak berbeza.

“Norizwan adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan amat menggemari kegiatan lasak. Dia mudah mesra dan rapat dengan keluarga. Kehilangannya amat kami rasai,” katanya.


Mayat tersangkut pada tali

Sementara itu, Ketua Operasi, Ahmad Najabah Zuel berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.50 petang kelmarin.

Menurutnya, mereka memulakan operasi sejam selepas itu membabitkan seramai empat anggota dari Balai Bomba Penyelamat Jerantut dan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air Zon Temerloh.

Katanya, operasi itu turut membabitkan seramai 14 anggota polis dan 14 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang dibantu penduduk kampung.

"Pencarian pada waktu malam hanya membabitkan tinjauan di permukaan air. Kita sambung operasi pada jam 8 pagi semalam membabitkan seramai tujuh anggota skuba. Manakala yang lain bergerak menggunakan bot untuk mencari di bahagian tebing dan permukaan sungai.

“Mangsa berjaya ditemui di dasar pada jam 10.43 pagi dalam keadaan tangannya tersangkut pada tali digunakan anggota skuba untuk menyelam, tidak jauh dari kawasan kejadian,” katanya.

Ahmad Najabah berkata, kejadian itu adalah kes kedua dicatatkan berlaku di Jerantut bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini.

Menurutnya, kejadian itu wajar ibu bapa dan pengurusan sekolah jadikan iktibar supaya kes sama tidak akan berulang lagi.

Rumah, kereta terbakar, rugi RM100,000

Rumah, kereta terbakar, rugi RM100,000
Wan Mohamad Zamiri meninjau keretanya yang musnah terbakar dalam kebakaran tengah hari, semalam.
BACHOK – Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku kira- kira jam 1 tengah hari semalam di Kampung Cherang Laut, Pantai Senak.

Pegawai Bomba Kanan, Azmi Ibrahim berkata, keseluruhan kerugian dianggarkan RM100,000 berikutan struktur rumah dan sebuah kereta proton Iswara turut musnah dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 1 tengah hari dan tiba di lokasi 13 minit kemudian.

“Api dapat dikawal dalam masa enam minit dan padam sepenuhnya pada jam 3.10 minit petang.
“Sebuah kereta turut rentung tidak dapat diselamatkan. Empat anggota dibawa dari Balai Bomba Pengkalan Chepa dan empat lagi dari Balai Bomba Bachok. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ketika kejadian, ketua keluarga,  Wan Mohamad Zamiri Wan Abdul Ahmad, 46, bersama isterinya, Wan Salmah Wan Hussin, 38, dan enam anak mereka berada di kedai mereka di Pantai Kemayang.

Katanya, kejadian itu hanya diketahui apabila dimaklumkan oleh seorang jiran menerusi telefon pada pukul 2 petang.

“Beberapa  barang kemas anak isteri dan wang tunai hasil perniagaan kecil-kecilan menjual air di Pantai Kemayang yang disimpan di bawah tikar getah turut terbakar.

“Selain itu, pakaian dan semua buku sekolah anak- anak juga musnah. Buat sementara waktu kami terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat,” katanya.

Namun, beliau tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa memandangkan  ketika itu semua anaknya, Wan Nurshuhada, 16, Wan Mohd. Rasul, 15, Wan Nur Farini, 13, Wan Nur Kasilah, 9,Wan Nur Azlina, 6, dan seorang anak kelainan upaya, Wan Mohd. Hikmat, 2, berada di kedainya.

Wan Mohamad Zamiri berkata, sebuah kereta Proton Iswara yang disimpan berhampiran bahagian dapur rumahnya turut terbakar apabila gagal diselamatkan oleh jiran kerana keadaan api yang terlalu marak.

Beliau berkata, punca kebakaran belum diketahui tetapi menurut jiran kebakaran mula disedari apabila kepulan asap dan api yang keluar melalui jendela bahagian depan rumah.

Bayi perempuan ditemui dipercayai dicampak

Bayi dicampak
Mayat bayi perempuan yang mengalami kecederaan parah di kepala akibat dicampak dari tempat tinggi ditemui di Pangsapuri Desa Mentari di sini hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA - Mayat bayi perempuan ditemui di kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya di sini hari ini dengan kecederaan parah di kepala akibat dicampak dari tempat tinggi.
  
Bayi dipercayai baru lahir dan berkulit cerah itu ditemui seorang penduduk di situ, Jundi Mat, 35, kira-kira pukul 11 pagi.
  
Jundi berkata ketika kejadian, beliau sedang mengambil motosikal kira-kira dua meter dari tempat bayi itu dicampak sebelum terdengar bunyi objek jatuh.
  
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti ada objek terjatuh di belakang saya dan setelah diperhati adalah seorang bayi," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
  
Beliau yang pada mulanya menyangka itu adalah patung permainan terus memanggil individu lain di situ untuk mengesahkan penemuan bayi malang tersebut.

"Semasa saya menjumpai bayi tersebut dia dalam keadaan tertiarap, tidak menangis dan tidak bergerak," katanya, yang menetap di tingkat tiga blok 11 di kawasan itu.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan seorang wanita berusia 20-an dipercayai terlibat dalam kes itu telah ditahan.
  
"Dipercayai bayi tersebut dicampak dari tingkat tiga blok itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh," katanya.
  
Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat bayi tersebut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. - Bernama

Suami Sri Wani rayu kos kes RM12,000 dikurang


Sri Wani Choo Abdullah
Sri Wani Choo Abdullah
SHAH ALAM - Peguam mewakili suami Sri Wani Choo Abdullah, mengesahkan pihaknya sudah memfailkan notis rayuan agar mahkamah mengurangkan kos kes yang perlu dibayar kepada pengusaha produk kecantikan itu.

Muhammad Hafiz Ab Rashid berkata, notis rayuan telah difailkan Isnin lalu bagi memohon agar kos yang perlu dibayar oleh anak guamnya, Prof Dr Baharom Sanugi seperti yang diarahkan oleh mahkamah sebelum ini, dikurangkan.

"Rayuan untuk meminimumkan kos bukan mengetepikan kos tersebut. Saya sudah memaklumkan kepada pihak Sri Wani melalui faks," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Berhubung tempoh yang hanya tinggal dua minggu untuk membayar kos itu, Hafiz berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan penggantungan keputusan tersebut.

"Dalam masa dua minggu, kami akan memfailkan permohonan penggantungan terhadap bayaran itu," jelasnya.

Tambah beliau, Baharom juga akan membuat permohonan faraq nikah (dipisahkan perkahwinan) dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, peguam Sri Wani, Boestamam Ahmad berkata, "saya tidak pasti tetapi jika benar, kami akan lawan."

Bagaimanapun beliau mengakui ada menerima makluman yang diterima secara tidak rasmi melalui pihak mahkamah bahawa pihak Baharom ada mengemukakan notis rayuan.

“Pihak kami masih belum menerima sebarang notis berhubung perkara tersebut. Saya hanya dapat maklumat melalui pihak mahkamah, jadi saya sendiri belum pasti tentang perkara ini.

“Jika pihak sana sudah memfailkan notis rayuan membatalkan kos RM12,000 itu, sepatutnya kami juga dimaklumkan,” katanya semalam.
Boestamam juga menyatakan bahawa Baharom hanya mempunyai tempoh dua minggu untuk membayar kos yang diperintahkan mahkamah.

“Setakat ini, pihak responden tidak memfailkan apa-apa perintah penggantungan terhadap pembayaran itu, jadi jika mereka gagal membayar dalam tempoh tersebut, kami akan ambil tindakan,” katanya semalam.

Jelas beliau, jika pihak Baharom benar sudah memfailkan notis rayuan membatalkan kos itu, Sri Wani bakal membuat rayuan balasan.

“Kami akan buat rayuan balasan dan jadikan kos itu kepada RM50,000 bukan RM12,000 kerana kes ini bukan saja sudah memalukan Sri Wani, malah seluruh anggota keluarganya,” katanya lagi.

Dua minggu lalu, Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan kesemua empat permohonan yang difailkan Baharom.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan membatalkan empat permohonan Baharom termasuk permohonan faraq nikah dan perintah mahkamah agar Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit.

Mahkamah turut menolak permohonan komital dan perintah menegah Sri Wani daripada mengeluarkan kenyataan kepada pihak media yang difailkan oleh Bahrom sebelum ini.

Berikutan itu, mahkamah mengarahkan Baharom membayar kos kepada plaintif sebanyak RM12,000.

Abdul Walid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti afidavit permohonan yang difailkan Sri Wani yang memohon untuk menggantung semua prosiding mahkamah kerana Baharom bukan seorang permastautin tetap dalam Wilayah Persekutuan.

Baharom, 61, yang mengesyaki Sri Wani  seorang lelaki, telah memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu.

Pasangan tersebut bernikah pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.

Beliau membuat aduan di Jabatan Agama Gombak dan telah diarah untuk berpisah sementara pada 23 November 2010.

Hasrat lihat adik jadi tragedi - Terengganu

Mohd Azharul Nizam Daud
Keadaan mayat mangsa sebelum dikeluarkan pasukan penyelamat, semalam.
HULU TERENGGANU - Hasrat seorang pemandu lori untuk melihat kerja mengambil tanah bukit daripada jengkaut dikendali adiknya untuk diisi  ke dalam lori bertukar tragedi apabila dia maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Kuala Ping, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang di kawasan pembinaan menara Telekom itu, mangsa, Mohd Azharul Nizam Daud, 24, dari Kampung Tapah bersama kelindannya, Mohd Hanifah Mohd Nawi, 19 turun daripada lori untuk melihat kerja mengambil tanah dilakukan.
Malangnya, secara tiba-tiba tanah tersebut runtuh hingga menyebabkan mangsa tertimbus dan Mohd Hanifah tertimbus lebih separuh badan, manakala adik mangsa, Mohd Zuraime  yang berada di atas jengkaut sempat terjun menyelamatkan diri.
Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK I Mohd Harun berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian  jam 4.58 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kelindan lori berkenaan telahpun berjaya dikeluarkan oleh orang awam termasuk pekerja yang masih belum pulang.
"Kejadian itu menarik perhatian orang ramai kerana lokasi kejadian terletak berhampiran  kawasan kampung.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan jam 5.20 petang dengan menggunakan  jengkaut. Mangsa berjaya ditemui 25 minit kemudian dengan keadaan tertiarap  dalam timbunan tanah sedalam kira-kira satu meter,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Difahamkan, kelindan lori yang juga berasal dari Kampung Tapah mengalami kecederaan dengan patah tangan kiri dan dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan, manakala adik mangsa tidak mengalami kecederaan.

2 beradik perempuan dilanggar kereta api, seorang maut



SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
16 September 2012
SUNGAI PETANI - Dua beradik yang menaiki motosikal dirempuh kereta api, berhampiran Balai Polis Sungai Petani awal pagi tadi, mengakibatkan seorang maut.
Difahamkan kedua-dua beradik itu cuba melintasi landasan kereta api, yang sudah pun ditutup bagi membolehkan kereta api lalu, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka kira-kira jam 2 pagi.

Peniaga kecewa kedai sering diganggu



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2012
Peniaga kecewa kedai sering diganggu
Pagar besi yang dipasang sehingga menghalang laluan orang ramai.
ALOR GAJAH - Sepanjang berniaga empat tahun lalu, pelbagai rintangan yang terpaksa ditempuhi oleh seorang peniaga apabila ada pihak tertentu cuba menghalangnya dari menjalankan perniagaan di sini.

Rohani Lajis, 47, yang menyewa sebuah kedai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Tambak Paya, Melaka berkata, pada penghujung tahun lalu, pihak penguat kuasa MBMB kerap menyerbu kedai saya disewanya atas dakwaan tiada lesen perniagaan.

"Kemudiannya, Mei lalu pentas karaoke kedai saya pula terbakar.

"Kejadian  tidak berakhir di situ, malah kedai bersebelahan turut memagar dengan tirai besi selain menutup laluan pelanggan kedai ke tandas awam dengan beberapa meja makan," katanya ketika ditemui di Dataran Keris Alor Gajah, dekat sini.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk memajukan perniagaan yang beroperasi pada waktu malam, namun usahanya itu seperti terhalang apabila ada pihak cuba menjatuhkannya.

“Saya hairan apabila ada pihak sengaja merosakkan perniagaan yang cukup-cukup makan ini dengan mencari kesalahan saya sedangkan untung tidaklah sebesar mana,” katanya.

Rohana dibantu suami, Nafi Md Deris, 55, dan anak, Khairul Abu Bakar, 23 serta bapanya, Lajis Md Lazim, 71, selain dibantu tiga pekerja.

Katanya, ia benar-benar menguji kesabarannya apabila hampir RM10,000 kos dikeluarkan untuk menghidupkan suasana kedai yang disewa dari MBMB ini dengan sewaan sebanyak RM130 sebulan.

"Namun sejak berniaga pelbagai dugaan saya terima apatah lagi ramai pelanggan lari.

"Bimbang berlaku perkara tidak diingini kami sekeluarga bertindak membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua kira-kira 7 petang kelmarin," katanya.

Rohana berkata, dia tidak tahu apa yang akan berlaku lagi di kedainya itu sehinggakan dia sentiasa rasa bimbang jika berniaga.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu ketika dihubungi terkejut dengan perkembangan itu dan menegaskan ia melanggar peraturan serta garis panduan MBMB.

Menurutnya, pihak MBMB tidak pernah meluluskan mana-mana permohonan bagi mengubahsuai apa jua bentuk kedai milik MBMB tanpa pengetahuan dan ia jelas satu kesalahan.

“Memagar atau memisahkan gerai yang dibina oleh MBMB adalah melanggar konsep ‘kedai kemakmuran’ dan pihak kami tidak pernah dimaklumkan perkara itu sehingga kami diberitahu. 

“Berhubung dakwaan pengadu, pihak kami akan melakukan siasatan terhadap kedai berkenaan yang didakwa turut disewa oleh seorang remaja bawah umur tanpa pengetahuan.

“Kami akan hantar pegawai penguat kuasa untuk menyiasat dakwaan itu supaya tindakan tegas terhadap peniaga terbabit dapat diatasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Perkahwinan tidak lama jika ragu-ragu



 
California: Hampir seorang setiap lima wanita yang ragu-ragu untuk berkahwin menjelang hari pernikahan mereka biasanya akan bercerai empat tahun kemudian, menurut satu kajian.

Meskipun ada laporan mengatakan sebaliknya, penyelidikan baru mendedahkan pengantin baru yang was-was untuk mendirikan rumah tangga didapati menghadapi dua setengah kali kemungkinan untuk berpisah beberapa tahun kemudian. Penyelidik mengkaji 464 pengantin baru dalam tempoh beberapa bulan perkahwinan dan menjalankan kaji selidik susulan setiap enam bulan sekali hingga empat tahun.
Mereka mendapati, purata usia ketika perkahwinan itu ialah 27 tahun bagi lelaki dan 25 bagi wanita.

Ragu petanda awal cerai

Apabila ditanya sama ada mereka pernah meragui atau berat hati untuk berkahwin pada wawancara pertama, 47 peratus suami dan 38 peratus isteri berkata ya.

Meskipun tidak rasmi wanita daripada lelaki yang ada keraguan, penyelidik di Universiti California, Los Angeles, mendapati keraguan itu sebenarnya menjadi petanda bahawa perkahwinan berkenaan akan menghadapi masalah tidak lama selepas itu.
Di kalangan wanita, 19 peratus daripada mereka yang memberitahu bahawa mereka ada rasa was-was bercerai empat tahun kemudian, berbanding lapan peratus yang tidak ada perasaan itu, lapor Journal of Family Psychology.

Bagi lelaki, 14 peratus yang mengakui keberatan, berpisah empat tahun kemudian, berbanding sembilan peratus bagi yang tidak ada perasaan itu.

Seorang penyelidik, Justin Lavner berkata: “Ada yang menganggap semua orang ada perasaan itu tetapi tidak perlu risau. Kami dapati, ia sesuatu yang biasa.

“Wanita baru kahwin yang meragui perkahwinan mereka juga berkemungkinan dua kali ganda dan setengah berpisah empat tahun selepas itu daripada yang tidak berperasaan begitu.”

Agensi

Guna nama palsu

Presiden Barack Obama diiringi Setiausaha Negara, Hillary Clinton berucap di Pangkalan Tentera Udara Andrews, memberi penghormatan kepada empat warganya yang terbunuh termasuk 
Duta Amerika ke Libya, Chris Stevens di Benghazi kerana protes terhadap filem anti-Islam. - Foto APPresiden Barack Obama diiringi Setiausaha Negara, Hillary Clinton berucap di Pangkalan Tentera Udara Andrews, memberi penghormatan kepada empat warganya yang terbunuh termasuk Duta Amerika ke Libya, Chris Stevens di Benghazi kerana protes terhadap filem anti-Islam. - Foto AP
Los Angeles: Seorang penerbit filem yang terbabit dalam menghasilkan filem menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW menyerah diri untuk disoal siasat pegawai persekutuan di balai polis Cerritos, di sini semalam.

Pegawai berkata, mereka menyiasat aktiviti Nakoula, 55, yang didapati bersalah melakukan jenayah kewangan dan boleh dipenjara semula jika didapati bersalah melanggar syarat pembebasannya.
“Dia pergi ke balai polis Cerritos dengan pegawai pusat tahanan. Dia tidak ditahan,” kata pegawai polis, Don Walker yang tidak dapat memberitahu berapa lama Nakoula disoal.

Pihak berkuasa mengenal pasti Nakoula sebagai seorang Kristian Koptik dan bertanggungjawab dalam pembikinan filem ‘Innocence of Muslims’ yang menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Ia mencetuskan keganasan terhadap kedutaan Amerika Syarikat di seluruh negara Arab hingga menyebabkan kematian duta Amerika di Libya, Chris Stevens dan tiga kakitangan lain. Protes juga merebak hingga ke 20 negara setakat ini.

Seorang pegawai berkata, pihak berkuasa mengaitkan Nakoula dengan seorang lelaki menggunakan nama Sam Bacile yang mendakwa pada awalnya sebagai penulis dan pengarah filem itu.

Menipu bank
Nakoula mengaku bersalah pada 2010 atas tuduhan menipu bank di California dan diarah membayar lebih AS$790,000 (RM2.4 juta) serta dihukum penjara 21 bulan selain diarah tidak menggunakan komputer atau internet selama lima tahun tanpa kelulusan pegawai.

Jabatan Tahanan kini mengkaji semula kes Nakoula sama ada dia melanggar arahan berkenaan selepas dibebaskan dengan diberi syarat itu.

Jurucakap pejabat pentadbiran mahkamah Amerika, Karen Redmond, mengesahkan kes Nakoula sedang dikaji semula.

Nama palsu

Penggunaan nama palsu dan akses kepada internet mungkin isu sebenar dia disoal siasat, kata pakar undang-undang siber dan pegawai.

Nakoula memberitahu agensi berita bahawa dia adalah pengurus logistik sebuah filem perlu mendedahkan rekod bank dan akaun perniagaan kepada pihak berkuasa.
Pembebasan bersyarat pada Jun 2010 memberi amaran kepada Nakoula supaya tidak menggunakan nama palsu tidak kira untuk apa jua perkara.

Pendakwa menuduh Nakoula menggunakan beberapa nama untuk membuka akaun palsu termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh, Ahmed Hamdy, P.J Tobacco dan Sam Bacile, nama yang digunakan untuk membuka akaun YouTube bagi menyiarkan filem menghina Islam.
AP 

Isteri kena tumbuk nekad terjun kereta



 
Sibu: Seorang wanita cedera selepas terjun dari kereta dipandu suaminya di Jalan Hua Kew, di sini, semalam kerana bergaduh.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, wanita berusia lewat 30-an cedera di dahi kiri akibat terhentak di jalan raya. Pipi kanan mangsa turut lebam selepas ditumbuk suaminya yang juga berusia lewat 30-an ketika mereka bertengkar di dalam kereta. Dia yang terbaring di atas jalan diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu. Suaminya turut menghentikan kenderaan dan cuba memujuk namun wanita itu enggan mengikutnya.
Laporan polis

Wanita itu menghubungi saudaranya yang kemudian membawanya ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan.

Mangsa yang ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini semalam berkata dia nekad terjun dari kenderaan yang sedang bergerak kerana tidak tahan dipukul suaminya.

“Saya dipukul hanya kerana minta wang perbelanjaan lebih sikit untuk menampung keperluan harian keluarga,”katanya.

Rampas pil tiruan RM1j



 
Johor Bahru: Polis membongkar sindiket dadah mencampurkan pil pelangsing dengan serbuk ecstasy yang diproses menjadi pil tiruan, susulan rampasan pelbagai pil larangan bernilai hampir RM1 juta dekat Taman Desa Harmoni di sini.

Dalam serbuan jam 1.30 pagi Khamis lalu, polis turut merampas pelbagai peralatan menghasil dan membungkus pil serta pil khayal yang siap dibungkus di rumah berkenaan yang dijadikan makmal mini memproses dadah. Turut dirampas sebanyak 2.8 kilogram ketamin, dua kilogram serbuk ecstasy, 970 biji pil ecstasy dan 740 biji pil Eramin 5 yang semuanya bernilai kira-kira RM713,000.
Tiga kenderaan termasuk dua buah bernombor pendaftaran negara jiran.
Penemuan beratus-ratus pil pelangsing jenis Atarax juga menimbulkan tanda tanya kerana pil itu dikategori ubat kawalan dan hanya boleh dikeluarkan dengan kebenaran doktor.

Tiga suspek ditahan

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dalam serbuan itu pihaknya menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 35 dan 39 tahun.
Polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan sindiket memproses dadah yang dibongkar pihak polis di tiga unit pangsapuri di Muar, minggu lalu.

“Rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta dan dadah ini dipercayai untuk pasaran sekitar bandar raya ini serta mencukupi untuk bekalan 23,640 penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Positif dadah

Semua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine, selain seorang daripada lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Mereka ditahan reman sehingga Khamis ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, dan Seksyen 32 akta sama (Perlucutan Harta) 1988.

Mengenai sindiket dadah yang ditumpaskan di Muar, Mokhtar berkata, polis sedang mengesan Lim Wen Long atau Siau Loong, memegang MyKad bernombor 760301-01-5807 dan beralamat di 189, Jalan Jaya 10, Taman Jaya, Jalan Bakri, Muar.

250 jemaah umrah ditipu sindiket



   
Kuala Lumpur: Sindiket tertentu didakwa memperdaya 250 jemaah umrah negara ini untuk tinggal melebihi tempoh di Arab Saudi kononnya sehingga tamat musim haji bagi mendapatkan untung mudah.

Pengarah Urusan Destinasia Travel Sdn Bhd, Aminuddin Ab Rahman, berkata syarikat yang menawarkan pakej umrah dan urusan visa jemaah berkenaan, mendakwa pemeriksaan pihaknya mendapati ada pihak yang menawarkan “pakej umrah serta haji” kepada jemaah terbabit dan menjanjikan tinggal di Arab Saudi selama empat bulan. Ubah maklumat penerbangan
“Mereka didapati mengubah maklumat penerbangan pada tiket tanpa memaklumkan kepada pihak kami.

"Malah, muasasah dilantik syarikat kami yang menunggu ketibaan jemaah di Jeddah gagal mengesan mereka kerana jemaah mengikut ahli sindiket ke lokasi lain,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Aminuddin berkata selepas tiba di Jeddah, jemaah terbabit juga tidak mendaftar masuk ke hotel yang disediakan dalam pakej umrah syarikatnya.

Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan kerajaan Arab Saudi menghantar pulang 250 jemaah umrah Malaysia selepas didapati tinggal melebihi tempoh.
Aminuddin berkata selain pakej umrah, syarikatnya bertanggungjawab menguruskan permohonan visa jemaah umrah berkenaan manakala pihak lain menguruskan tiket penerbangan.

Jemaah tak sedar langgar undang-undang

Katanya, ada antara jemaah umrah berkenaan yang tidak mengetahui mereka melanggar undang-undang Arab Saudi semata-mata kerana mahu menunaikan ibadat haji.

Mengikut laporan media, jemaah terbabit dipercayai memasuki Arab Saudi antara 10 Julai hingga 17 Julai secara berperingkat dan berdasarkan visa, mereka sepatutnya pulang ke Malaysia antara 24 hingga 27 Julai lalu, tetapi tidak berbuat demikian.

Seramai 300 jemaah memperoleh visa umrah melalui Destinasia dan daripada jumlah itu hanya 50 mematuhi pakej yang ditawarkan.

"Kami akan membuat laporan polis dan memberi maklumat mengenai individu dalam sindiket ini kepada Imigresen supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya.

Rumah teres dua tingkat jadi makmal dadah




MOHD. MOKHTAR (kiri) menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket memproses dadah yang beroperasi di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Harmoni di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan pukul 1.30 pagi itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Balai Polis Seri Alam merampas dadah jenis ketamin, serbuk ekstasi, eramin 5, peralatan memproses dadah serta tiga kereta jenis Mitsubishi, Honda Civic dan Perodua MyVi.
Katanya, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta.
"Mereka juga didapati menghasilkan pil ekstasi tiruan yang juga pil pelangsing dengan mencampurkan 1,950 aluminium antraks dengan serbuk ekstasi yang sangat berbahaya kepada tubuh," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Cubaan rompak kapal minyak gagal




KAPAL MT Scorpio (kanan) yang cuba ditawan sekumpulan perompak berlabuh bersebelahan kapal MT Sea Jade di Tanjung Piai kelmarin.


JOHOR BAHRU - Cubaan enam perompak yang datang dari perairan negara jiran dengan menaiki bot kayu untuk merompak sebuah kapal dagang di perairan Tanjung Piai, berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan petang kelmarin.
Menurut Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Adon Shalan, pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah bot kayu yang mencurigakan merapati sebuah kapal MT Scorpio yang didaftarkan di Republik Kiribati kira-kira pukul 2.15 petang.
"Kapal APMM kemudian bergegas ke lokasi kejadian iaitu 3.8 batu nautika di barat daya Tanjung Piai dan menghampiri kapal tersebut.
"Bagaimanapun, bot kayu berkenaan dalam keadaan mencurigakan tergesa-gesa dipecut meninggalkan kapal dan menuju ke perairan negara jiran," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Pemandu lori maut tertimbus tanah runtuh




LOKASI kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa Mohd. Azharulnizam di Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU – Seorang pemandu lori maut manakala rakannya patah tangan selepas mereka ditimbus tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Kuala Ping dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.50 petang ketika mangsa, Mohd. Azharulnizam Daud, 24, dan rakannya, Muhammad Hanifah Mohd. Nawi, 19, berada berhampiran sebuah jentolak yang sedang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan itu.
Jentolak berkenaan dikendalikan oleh adik Mohd. Azharulnizam iaitu Muhamad Zuraime, 17.
Difahamkan, ketika kejadian kebanyakan pekerja sudah meninggalkan kawasan itu kerana waktu bekerja hampir tamat.
Bagaimanapun, mangsa yang masih bujang menunggu tanah dipunggah ke dalam lorinya bagi trip terakhir untuk dihantar ke sebuah projek perumahan tidak jauh dari situ.

Anak tok dalang mati terbenam




KEADAAN sebuah traktor yang menghempap Nor Azman di Kampung Palas, Jitra semalam.


JITRA – Anak lelaki kepada tok dalang wayang kulit terkenal di negeri ini maut akibat dihempap traktor yang digunakan untuk membersihkan sebuah kebun getah di Kampung Palas, Jalan Lahar di sini petang kelmarin.
Mangsa, Nor Azman Abdul Majid, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman termasuk patah pinggang.
Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa cuba menaikkan semula traktor seberat enam tan tersebut selepas ia tergelincir ke dalam sebuah parit.
Bagaimanapun, traktor milik bapa saudaranya itu terbalik ketika ia cuba naik ke tebing menyebabkan mangsa dihempap jentera tersebut.
Mangsa ditemui terbenam di dalam tanah lumpur di bawah jentera dengan stereng traktor itu menghempap dadanya.
Kejadian ngeri itu disaksikan sendiri adiknya, Shahzual Suhaili, 15, yang berada tidak jauh dari tempat kejadian. Shahzual kini trauma serta enggan menceritakan kejadian itu.
Menurut bapa mangsa, Abdul Majid Mohd. Noh, 62, dia bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan perkara itu oleh seorang saudaranya kira-kira pukul 8 malam.
“Saya pergi ke kebun getah itu dan nampak anak saya sudah tidak bernyawa di bawah traktor yang terbalik dengan empat tayarnya berada di atas.
“Usaha mengeluarkan arwah sukar dilakukan kerana traktor itu terlalu berat. Ia hanya dapat dialihkan dengan bantuan bomba yang menggunakan tiga jentolak kira-kira pukul 11 malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kunluang, Asun di sini semalam.

Empat renjer terbunuh di selatan Thai



BANGKOK – Empat renjer ditembak mati dan mayat mereka dibakar dalam satu serangan hendap oleh para pemberontak di Muang, Yala semalam.
Ketua Polis Muang, Kolonel Akharin Busaman berkata, semua anggota renjer itu dalam perjalanan ke pekan Yala dengan menaiki sebuah pikap apabila mereka diserang hendap lima pemberontak di Satengnok, Muang pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan.
Polis menemui 100 butir kelongsong peluru M16, AK47, senapang dan pistol di lokasi kejadian.
“Selepas kejadian tembak-menembak berakhir, pemberontak membakar pikap dan mayat keempat-empat mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, seorang individu yang disyaki pemberontak ditembak mati ketika terbabit dalam satu pertempuran bersenjata dengan pihak berkuasa di Kampung Bangtan, Bangkhao, Nongchik, Pattani pada pukul 7.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Nongchik, Kolonel Akom Bautong berkata, bertindak atas satu maklumat, sekumpulan askar mengepung sebuah rumah di kampung itu dan berlaku kejadian berbalas tembakan kira-kira 10 minit antara pihak berkuasa dengan individu tersebut yang turut mempunyai waran tangkap terhadapnya.
Beliau berkata, seorang anggota tentera cedera dalam kejadian itu.
Lebih 5,000 orang maut sejak puak yang disyaki kumpulan pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka bagi memperjuang kemerdekaan tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala sejak lapan tahun lepas. – Bernama