Search This Blog

Saturday, September 15, 2012

Penganggur tidak serik seks luar tabii dipenjara, sebat



KUALA LUMPUR 14 Sept. - Bagaikan tidak serik, seorang penganggur yang pernah dihukum penjara dan sebatan oleh mahkamah atas kesalahan meliwat lapan tahun lalu, hari ini sekali lagi dihukum bagi kesalahan melakukan seks oral terhadap seorang pelajar kolej, awal bulan ini.
Hamzani Mohd. Daud, 35, dihukum penjara 12 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid yang menjatuhkan hukuman tersebut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada hari kejadian.
Hamzani mengaku melakukan seks luar tabii dengan merangsang mangsa dengan melakukan seks oral kepada pelajar lelaki berusia 20 tahun itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini antara pukul 1.05 pagi dan 7 pagi, 2 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Lelaki tersebut juga mengaku bersalah memeras ugut mangsa antara pukul 6.30 pagi dan 7 pagi di tempat yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 384 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Bagi kesalahan itu, dia dihukum penjara lima tahun. Kedua-dua hukuman diperintah berjalan serentak.
Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon agar mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atasnya.

12 lori bawa lebih muatan disita



Lori-lori yang disyaki membawa muatan berlebihan ditahan untuk diperiksa oleh penguat kuasa SPAD dalam operasi bersama polis trafik dan MPKj di sekitar Batu 9, Hulu Langat semalam. - utusan/AZMAN ASMAYATIM
HULU LANGAT 13 Sept. - Sikap tamak segelintir pemandu lori di sini untuk meraih keuntungan lebih dengan membawa lebih muatan memakan diri apabila mereka ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah kuari di Batu 9, di sini hari ini.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Khas Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, sebanyak 12 pemandu lori ditahan kerana membawa lebih muatan tanah, pasir dan batu malah sehingga tiga kali ganda daripada had dibenarkan.
Turut terlibat dalam operasi bermula pukul 6 pagi itu adalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Bahagian Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Kesemua 12 buah lori itu dengan jumlah muatan sebanyak 70 tan telah disita.
Pengurus Besar Bahagian Penguat Kuasa SPAD, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, lori-lori berkenaan datang dari operator pengeluaran kuari yang berpusat di Batu 9 di sini dan kesemuanya dalam perjalanan ke ibu negara untuk menghantar batu-batu ke tapak-tapak pembinaan.
"Bagaimanapun, kesemua lori berkenaan dikesan membawa lebih muatan daripada sepatutnya dan kita terpaksa menyita kenderaan itu kerana boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
"Sebenarnya, tidak kurang daripada 15 operator pengeluaran kuari yang berpusat di Hulu Langat telah ditemui pihak SPAD untuk diberi nasihat dan amaran agar tidak mengulangi masalah itu, namun kerana mencari keuntungan mereka tetap berdegil.
"Oleh itu, kami tiada pilihan selain mengenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 57 bagi setiap kesalahan membawa muatan lebih kerana perbuatan sebegitu masih berleluasa di sini," katanya ketika ditemui di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Semenyih di sini hari ini.
Katanya, tahun ini, SPAD menahan lebih 450 buah lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan dan kebanyakan mereka dibawa ke mahkamah dengan denda yang tidak boleh dikompaun.
Mengulas lanjut, jelasnya, SPAD telah menggunakan alat timbang berat tanpa wayar dengan setiap lori akan terus ditimbang di situ dan jika melakukan kesalahan, denda akan dikenakan serta-merta.
Dalam perkembangan sama, seorang pemandu lori kuari yang enggan dikenali memberitahu, ekoran rampasan muatan kuari itu dia serta rakan-rakannya bakal menanggung kerugian sehingga dua bulan untuk balik modal.
"Setiap satu tan muatan kami dibayar RM8, tetapi jika mengikut peraturan yang hanya membenarkan 30 tan sahaja, kami akan menanggung kerugian. Ini kerana kami perlu membawa muatan bernilai sekurang-kurangnya RM20,000 sebulan bagi membolehkan kami membayar lori yang di sewa-beli ini.
"Pendapatan kami pula hanya sekitar RM2,000 sebulan dan jika kami ditahan seperti ini tentu sekali kami rugi besar dan kami sekeluarga perlu ikat perut untuk mendapat kembali modal. Itu tidak termasuk lagi dengan denda mahkamah," katanya.
Katanya, pihak syarikat kuari sememangnya tidak membenarkan pemandu lori membawa muatan lebih dan perkara itu dilakukan dengan inisiatif sendiri untuk sedikit keuntungan.

19 terkorban akibat tanah runtuh di India



DEHRADUN, India 14 Sept. - Sekurang-kurangnya 19 orang di utara India terkorban dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat akibat hujan monsun yang lebat semalaman dan lebih 300 lagi masih hilang, kata pegawai penyelamat.
Kejadian berlaku kawasan kumuh di daerah Rudprayag dan Bageshwar yang terletak di kaki pergunungan Himalaya,di negeri Uttarakhand. - AFP

Maritim Malaysia patah cubaan samun kapal MT Scorpio



JOHOR BAHRU 15 Sept. - Cubaan enam warga asing bersenjatakan sepucuk pistol dan parang untuk menawan 12 anak kapal tangki, MT Scorpio di perairan Tanjung Piai, Pontian semalam, berjaya digagalkan.
Penjenayah terbabit melarikan diri dengan sebuah bot kayu dalam kelajuan tinggi menuju ke perairan negara jiran sejurus bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tiba di tempat kejadian.
Seramai 12 anak kapal MT Scorpio yang didaftarkan di Tarawa, Kiribati terdiri daripada 10 rakyat Indonesia, seorang rakyat China dan seorang rakyat India yang telah diikat dengan tiga daripada mereka cedera akibat dipukul suspek, berjaya diselamatkan.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pada pukul 2.15 petang pihaknya menerima maklumat risikan mengenai sebuah bot kayu yang berada dalam keadaan mencurigakan sedang merapati MT Scorpio.
"Sejurus tiba, kita lihat sebuah bot kayu telah meninggalkan tempat itu dengan tergesa-gesa. Hasil pemeriksaan mendapati 12 anak kapal berusia dalam lingkungan 20 hingga 56 tahun telah diikat.
"Pemeriksaan lanjut menemui enam bilah parang yang ditinggalkan suspek dan seluruh ruang kapal telah digeledah dengan barangan milik peribadi seperti wang tunai dan telefon bimbit dirampas semasa ditawan suspek tengah malam semalam.
"Kita percaya selain menyasarkan rompakan ke atas barang milik peribadi, mereka juga menjual minyak serta merampas kapal untuk dijual ke negara lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

19 korban tanah runtuh, banjir kilat di Uttarakhand.



DEHRADUN 15 SEPT. - Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban di utara India hari ini dalam satu kejadian tanah runtuh dan banjir kilat selepas hujan lebat melanda kawasan itu.
Jurucakap jabatan bencana Negeri, Pisuh Rautela berkata, kejadian hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku awal pagi semalam itu melanda di daerah Bageshwar dan Rudraprayang di negeri Uttarakhand, dan menyebabkan kira-kira 30 orang yang lain masih hilang.
“14 mayat ditemui di empat buah kampung manakala lima lagi mayat ditemui di Bageshwar,’’ kata Rautela lagi. - AFP

Berhenti kerja lepas mencuri



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
SERDANG – Taktik seorang lelaki yang mencuri wang keuntungan tempatnya bekerja tumpas selepas polis berjaya menahannya di sebuah stesen minyak di Klang, Isnin lalu.

Suspek berusia 30-an itu, bekerja di stesen minyak selama sehari sebagai pembantu pam minyak dan berhenti kerja selepas mengaut keuntungan di tempat tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, suspek memperoleh RM3,000 dalam sehari bekerja selepas mencuri dan bertukar ke stesen minyak lain untuk melakukan kegiatan sama.

Menurutnya, kegiatan suspek yang sudah berkahwin itu disedari pengusaha pam minyak yang melihatnya mengambil wang keuntungan melalui kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek terlibat dalam 25 kes curi di sekitar Serdang, Kuala Lumpur dan Selangor yang melibatkan kerugian hampir RM70,000.

“Dipercayai suspek aktif sejak awal tahun ini dan melakukan secara berseorangan.

“Suspek juga orang dikehendaki polis dalam tiga kes di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya, semalam.

Beliau berkata, suspek disambung reman semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Tiga Ditahan, RM713,440 dadah dirampas




15 September 2012
JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga orang termasuk seorang wanita dan merampas dadah bernilai RM713,440 hasil serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal dadah di Taman Desa Harmoni di sini Khamis lalu.
 
Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam serbuan yang dijalankan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah dan anggota polis Seri Alam kira-kira pukul 1.30 pagi itu, pelbagai peralatan memproses dadah turut ditemui.
 
"Siasatan awal mendapati kumpulan ini memproses sendiri dadah dengan mencampurkan pil untuk kurus (atarax) dengan ekstasi dan kemudiannya diproses untuk dijual kepada penagih di negeri ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
  
Menurutnya dalam serbuan itu, polis merampas ketamin seberat 2.8 kilogram,serbuk ekstasi (dua kilogram), pil ekstasi (970 biji) dan pil disyaki eramin (740 biji) yang kesemuanya bernilai RM713,440.
  
Turut dirampas, katanya tiga buah kenderaan bernilai RM250,000 iaitu jenis Mitsubishi, Honda Civic serta Perodua Myvi yang mana dua daripadanya menggunakan nombor pendaftaran negara jiran.

Mohd Moktar tidak menafikan kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah terbesar yang berjaya ditumpaskan di Muar pada minggu lepas yang membabitkan nilai rampasan sebanyak RM68 juta.
 
Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka positif dadah dan siasatan turut mendapati salah seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau.
  
"Mereka kini ditahan reman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 32 (Perlucutan Harta) akta yang sama," katanya.
  
Sementara itu polis mencari dua lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah bernilai RM68 juta di Muar pada 9 September lepas.
  
Dua lelaki berkenaan ialah Lim Wen Long @ Siau Loong, 36, yang bernombor kad pengenalan 760301-01-5807 dan Wee Chong Sen @ Ah Weh, 44, bernombor kad pengenalan 681031-01-5499.
  
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali dua lelaki berkenaan diminta menghubungi polis di talian 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama

Tanah runtuh di Hulu Terengganu, seorang mangsa masih dicari



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
HULU TERENGGANU - Kejadian tanah runtuh dekat Menara Telekom di Kuala Ping, Hulu Terengganu petang ini, dua mangsa dipercayai tertimbus.
Bagaimanapun seorang berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih dicari.

Lelaki simbah asid ke atas kekasih bekas isteri




14 September 2012
KUALA LUMPUR - Polis sedang memburu lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden menyimbah asid terhadap seorang lelaki di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, Rabu lepas.
  
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal bersama teman wanitanya yang merupakan bekas isteri suspek dipercayai telah dirempuh dari belakang oleh suspek yang juga menunggang motosikal.
  
Selepas perlanggaran tersebut, kedua-dua pihak memberhentikan kenderaan masing-masing dan suspek yang berang telah mengeluarkan sebotol cecair yang mengandungi asid lalu menyimbah ke arah mangsa sebelum melarikan diri," katanya dalam sidang media di Balai Polis Kepong di sini, hari ini.
  
Zakaria berkata mangsa yang cedera pada bahagian muka, leher, dan mata kiri menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil.
  
Polis sedang menyiasat kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
  
Menurut Zakaria, suspek dipercayai cemburu terhadap mangsa kerana mengadakan hubungan dengan bekas isterinya. - Bernama

Penghantar surat digantung edar ganja



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
SHAH ALAM - Akibat mengedar ganja seberat 1.7 kilogram, seorang penghantar surat menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu, selepas mendapati Syamsul Akmal Shah Baki, 29, bersalah seperti pertuduhan.

Akhtar berkata mahkamah tidak percaya dengan keterangan Syamsul Akmal ketika dia membela diri.

Syamsul Akmal didapati bersalah mengedar Kanabis di tingkat 3, hadapan lif, Blok C1 Carlina Apartment, Jalan Sepah Puteh 5/1, Kota Damansara, Petaling Jaya, jam 10.30 malam, 18 Julai 2010.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis mendapat maklumat berhubung pengedaran dadah di tempat kejadian.

Hasil intipan itu, polis ternampak seorang lelaki membawa beg galas keluar dari kereta Honda Civic.

Syamsul Akmal cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditangkap dan pemeriksaan terhadap beg galas itu menemui satu  bungkusan ketulan yang mengandungi ganja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhani Mohd Azhar manakala peguam Afifuddin Mohd Afifi mewakili Syamsul Akmal.

Lagi cubaan rompak mesin ATM




15 September 2012
KUALA LUMPUR - Satu lagi cubaan merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilaporkan berlaku, kali ini di sebuah pasar raya di Cheras di sini awal pagi tadi.
  
Namun dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, penjenayahnya gagal memecah mesin tersebut yang terletak di tingkat bawah dan sekaligus gagal melarikan wang di dalamnya.
  
"Sebuah mesin ATM cuba dipecahkan dengan menggunakan alat kimpalan. Semasa polis tiba, terdapat dua tong gas dan peralatan kimpalan untuk membuka mesin tersebut yang ditinggalkan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
  
Polis meneruskan siasatan kes tersebut, katanya. - Bernama

Ahli perniagaan maut ditetak



NURUL RIDUAN NOR ASHAHA & NORAIZURA AHMAD
15 September 2012
Ahli perniagaan maut ditetak
Unit forensik melakukan siasatan selepas penemuan mayat dua ahli perniagaan, malam kelmarin.
SERDANG – Dua ahli perniagaan maut selepas ditetak di tangan dan leher dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Leong Kian Sheong, 37, dan rakan wanitanya, Vivien Wong, 20, ditemui berlumuran darah di dalam sebuah bilik yang dijadikan pejabat.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui oleh rakan yang sebelum itu gagal menghubungi telefon bimbit mereka.

Sepasukan polis yang bergegas ke lokasi mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai ditetak dengan parang.

Rumah tersebut juga berselerak selain beberapa barang berharga milik mangsa dilarikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dua kenderaan mewah milik mangsa, jenis BMW dan Toyota Vellfire dilarikan bersama jam tangan, barang kemas serta wang tunai.

"Kedua-dua mangsa ditemui berlumuran darah, dengan kesan tetak di tangan dan leher. Sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh penjenayah juga ditemui.

"Siasatan mendapati kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang penjenayah," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, semalam.

Beliau berkata, rumah itu dipasang kamera litar tertutup (CCTV), tetapi tidak berfungsi sewaktu kejadian tersebut berlaku.

"Kejadian ini tidak mempunyai kaitan dengan kes bunuh lain dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Mohd Adnan berkata, polis juga sedang menyiasat hubungan dua ahli perniagaan tersebut. "Maklumat itu boleh membantu siasatan, terutama dalam mengenal pasti suspek dan motif sebenar kejadian," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan

Warga emas dibunuh penyamun



NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
14 September 2012
Warga emas dibunuh penyamun
Mayat mangsa bunuh dibawa ke HTAR untuk bedah siasat, semalam. Gambar kecil: Peck Lan.
PELABUHAN KLANG – Seorang adik terkejut selepas menemui mayat kakaknya dalam keadaan mulut, tangan dan kaki terikat di rumahnya di Jalan Seroja, di sini kelmarin.

Mangsa, Lim Peck Lan, 65, sebelum itu gagal dihubungi sehingga memaksa adiknya mencari di rumahnya, kirakira jam 6.30 petang.

Sebaik tiba di rumah tersebut, dia mendapati keadaan rumah berselerak sebelum menemui mangsa di dalam bilik belakang.

Difahamkan, kali terakhir warga emas itu dilihat, kirakira jam 9 pagi. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan Perundangan) Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada adik mangsa.

“Pemeriksaan mendapati mulut, tangan dan kakinya diikat dengan pita pelekat selain mulutnya berdarah. Tiada kesan tikaman mahupun kecederaan lain ditemui.

“Mangsa dipercayai dibunuh oleh penjenayah yang menceroboh masuk melalui pintu belakang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada pintu belakang rumah. “Telefon bimbit dan dompet mangsa turut dilarikan penjenayah,” katanya.

Rusdi berkata, polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.   

Taktik baru curi kereta



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Taktik baru curi kereta
Engsel pagar rumah mangsa diumpil dan dialihkan penjenayah sebelum mereka membawa keluar kenderaan dari garaj.
BENTONG – Malang buat seorang penduduk Taman Bentong Makmur, dekat sini, apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux yang diletakkan di dalam garaj rumahnya, dicuri awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian itu disedari mangsa ketika dia ingin keluar bekerja kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat mangsa, dia tidak menyedari mengenai kejadian itu kerana kali terakhir kenderaan tersebut dilihatnya selepas balik kerja pada petang kelmarin.

“Kejadian dipercayai dilakukan penjenayah pada awal pagi. Berdasarkan siasatan, mereka menggunakan taktik baru dengan mengumpil engsel pagar sebelum mengeluarkan kenderaan daripada garaj.

“Sebelum ini, kebanyakan kes berlaku membabitkan kenderaan diletakkan di luar kawasan rumah. Namun kejadian ini cukup berbeza kerana pintu pagar rumah mangsa diumpil walaupun berada dalam keadaan berkunci,” katanya.

Abdul Aziz berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bentong.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan dan dalam masa sama memerlukan kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

“Pemilik kenderaan terutama pacuan empat roda dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana kenderaan jenis itu sering menjadi sasaran penjenayah.

“Dalam masa sama, penduduk terutama di kawasan perumahan diminta peka dengan kehadiran individu atau kumpulan tidak dikenali. Mereka perlu segera melaporkannya kepada polis untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Nyaris jadi mangsa sindiket gores dan menang



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Nyaris jadi mangsa sindiket gores dan menang
Mangsa sempat membuat laporan polis setelah menyedari sudah menjadi mangsa sindiket gores dan menang.
KUANTAN – Seorang Suri rumah lega setelah terselamat daripada terus menjadi mangsa bertuah sindiket gores dan menang yang telah menukar modus operandinya kepada ‘buka dan menang’ dalam satu kejadian di salah sebuah pusat membeli-belah dekat sini, 10 September lepas.

Mangsa hanya ingin dikenali sebagai Linda, 38, berkata, dia hampir kehilangan wang sebanyak RM8,900 hasil daripada pemberian kupon oleh seorang lelaki Cina yang memperkenalkan diri sebagai Jimmy hingga membolehkannya memperoleh sama ada kereta mewah, pakej pelancongan atau wang.

“Kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat membeli-belah kira-kira jam 4.30 petang apabila saya didatangi lelaki terbabit dan meminta saya membuka satu kupon.

" Walaupun sudah berulang kali menolak tetapi dia mendesak secara keterlaluan dan dia juga sanggup menyerahkan kad pengenalannya agar saya terus mempercayai kupon yang hendak diberikan, akhirnya saya akur.

“Apabila selesai membukanya, pada kupon tersebut terdapat warna kelabu membolehkan saya memenangi sama ada kereta jenis Toyota Camry atau beberapa jenama kereta mewah yang lain tetapi saya perlu ke pejabatnya untuk menentukan jenis kereta yang bakal dimiliki,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Linda, sebelum ini sudah mempunyai pengalaman ditipu dengan kupon gores dan menang yang datang dari rumah ke rumah menyebabkan dia sudah dapat mengagak perkara yang sama berlaku ke atas dirinya.

“Walaupun saya sudah dapat mengagak sesuatu yang tidak betul tetapi lelaki tersebut seakan memaksa dan memarahi saya sekiranya tidak pergi menuntut hadiah di pejabatnya.

“Disebabkan tiada sebarang bayaran dikenakan dan lelaki tersebut sanggup menemani saya ke pejabatnya terletak di Air Putih, sekali lagi saya mengikutnya.

“Setibanya di sana, saya diminta mengisi borang mengenai butir peribadi dan terus terkejut apabila diminta membayar terlebih dahulu wang sejumlah RM8,900 sebelum memberitahu kereta jenis apa yang akan dimenangi,” katanya.

Katanya, keadaan pada ketika itu sedikit tegang memandangkan dia sudah dijanjikan tidak mengeluarkan sebarang bayaran.

“Di dalam pejabat tersebut dipenuhi dengan lelaki berbadan tegap, sedikit garang dan pekerja yang menyuruh saya membayar wang tersebut turut memarahi dan memaki hamun disebabkan keengganan saya membayar.

“Kebetulan di dalam beg tangan saya baru sahaja mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM400 jadi demi menjaga keselamatan saya terus sahaja bersetuju untuk membayar pendahuluan sebanyak mana yang dimiliki.

“Mereka menerima wang tersebut dan mengarahkan untuk saya kembali ke premis itu keesokan harinya dengan membawa baki bayaran yang perlu dijelaskan dan mengarahkan untuk memakai pakaian cantik kerana mendakwa beberapa orang wartawan akan hadir untuk mengambil gambar saya bersama kereta yang kini sudah tersedia untuk diserahkan,” katanya.

Dia yang tidak mahu terus menjadi mangsa penipuan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang untuk mendapatkan semula wangnya.

“Berkat usaha saya dan bantuan daripada pihak polis dan beberapa pegawai KPDNKK, belum sempat saya menunggu giliran untuk ke mahkamah tribunal, dalam masa tidak sampai tiga hari syarikat tersebut sudi membayar semula namun saya meminta agar penyerahan tersebut dilakukan di Balai Polis Air Putih bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku.

“Walaupun nilainya RM400 dan dianggap kecil bagi sesetengah orang, namun bagi saya tidak berbaloi dengan membuka kupon yang hanya menunjukkan pelbagai warna perlu membayar sehingga beratus ringgit.

“Jadi  saya harap orang ramai perlu berhati-hati dengan sebarang kupon meragukan, ini kerana kemungkinan besar akan terus terpedaya dengan kata-kata pihak terbabit yang mengugut untuk kita menuruti kehendak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya ingin orang ramai menjadikan peristiwa dilaluinya sebagai satu panduan untuk tidak terperangkap memandangkan rata-rata mengeluarkan bayaran berikutan memikirkan soal keselamatan yang mungkin terjejas.

Mayat pelajar ditemui terapung di dalam sungai




15 September 2012
KUANTAN - Mayat seorang pelajar yang terjatuh ke dalam sungai Pahang dekat Jerantut petang semalam, ditemui pagi tadi.
 
Mayat Nor Izwan Mohd Noor, 15, ditemui di lokasi dia dilaporkan terjatuh, pada jam 10.43 pagi.
  
Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.
  
"Operasi mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam, bomba dan penduduk kampung menemui mayat mangsa yang timbul di permukaan sungai," katanya kepada Bernama.
   
Punca pelajar berkenaan terjatuh secara tiba-tiba masih disiasat, katanya. - Bernama

Dipanah petir ketika pegang telefon bimbit



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Aniq dipanah petir
Aniq Syazwan sambil diperhatikan bapanya (kanan) melakonkan semula bagaimana keadaan tangannya yang kaku selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan petir.
Aniq dipanah petir
Ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.
CHUKAI – “Waktu itu saya sedang caj telefon bimbit dan letakkannya atas paha sambil tangan diletakkan atas telefon itu namun tak semena-mena saya rasakan terkena renjatan elektrik lalu saya yang berada di atas katil dalam bilik tidur tercampak di tepi dinding dengan badan kaku serta kejang,” kata Aniq Syazwan Abu Bakar, 16.

Aniq Syazwan nyaris maut akibat panahan petir menyambar wayar elektrik hingga menyebabkan dia terkena renjatan dalam kejadian ketika hujan lebat dan kilat sambar menyambar kira-kira jam 8.12 malam di rumahnya di Taman Mawar 2, Jalan Tempurung, dekat sini, tiga hari lalu.

Pelajar tingkatan empat ini yang masih sedarkan diri sejurus renjatan itu hanya mampu membuka mata dan melihat kedua-dua tangannya bertukar menjadi biru kehitaman sebelum tidak sedarkan diri ketika kedua ibu bapanya memasuki bilik tidurnya.

“Semasa terkena renjatan itu saya lihat cahaya menyambar tangan lantas saya tercampak ke tepi dinding. Kejadian ini buatkan saya trauma dan serik untuk memegang telefon bimbit lagi semasa petir atau kilat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, bapa Aniq Syazwan yang juga kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, Abu Bakar Abdullah, 55, berkata, semasa kejadian dia sedang berwirid di ruang solat di rumahnya sebelum terdengar bunyi ‘prakkk’ lalu bekalan elektrik terpadam sebelum terdengar sayup-sayup anak bongsunya daripada lima beradik itu meraung kesakitan.

“Ketika itu terdetik di hati saya mungkin anak bongsu saya sudah meninggal. Lalu dalam keadaan gelap saya dapat capai telefon bimbit isteri sebagai sumber cahaya dan menuju ke bilik adik (nama panggilan untuk Aniq).

“Bila masuk ke biliknya, saya suruhnya mengucap kerana sangkakan keadaannya sudah tenat tapi Alhamdulillah waktu saya masuk ke dalam biliknya bersama isteri, Pasiah Hamzah, 51, dia masih sedarkan diri tetapi badannya kejang seperti robot sebelum kami menghantarnya ke Hospital Kemaman,” katanya sambil menganggap kejadian berkenaan satu keajaiban dan kebesaran Allah SWT kerana anaknya masih selamat.

Difahamkan akibat panahan petir itu, televisyen dan mentol di rumah dua jiran mereka turut meletup. Aniq Syazwan ditahan dalam wad selama dua hari kerana dikhuatiri kesan arus elektrik boleh memudaratkan otak dan jantungnya sebelum dibenarkan pulang petang kelmarin.

Pemandu tersepit rempuh lori papan



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
GOPENG – Kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 305 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, menyebabkan sorang pemandu lori tersepit lebih 30 minit dalam kenderaan yang dipandunya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soo memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 8 pagi dan kenderaan dipandu mangsa telah merempuh belakang sebuah lori lain yang membawa muatan papan siling.

Katanya, mangsa yang berusia sekitar 20 an terpaksa menahan sakit apabila kakinya tersepit di tempat duduk pemandu kerana dihimpit stereng dan papan pemuka lori berkenaan.

"Semasa kejadian, lori yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, manakala sebuah lori lagi juga datang dari arah sama.

"Tiba di tempat kejadian, lori yang dipandu mangsa dikatakan telah merempuh belakang lori membawa muatan papan itu secara tiba-tiba di lorong sebelah kiri lebuh raya berkenaan, menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mengeluarkan pemandu yang tersepit.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu sebuah lagi lori bersama kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Gadis pusat tahfiz jaja jus herba



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Gadis pusat tahfiz jaja jus herba
Norhafi zah terkejut ketika menyedari kegiatannya dirakamkan.
Gadis pusat tahfiz jaja jus herba
Noraini cuba mengelak ketika Sinar Harian mendekatinya.
BUKIT BERUNTUNG - Pengunjung stesen minyak sekitar kawasan ini mendakwa sering didatangi gadis bawah umur yang membawa jus herba dan resit tertera Pusat Tahfiz Amal yang berpusat di Yan, Kedah.

Dengan skrip sama, mereka yang berusia antara 13 hingga 17 tahun ini menjual jus RM10 setiap satu. Bagaimanapun, kegiatan mereka diragui sama ada benar untuk keperluan pusat tahfiz itu atau kepentingan sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat berkenaan.

Untuk itu, Sinar Harian membuat tinjauan bagi menyingkap kegiatan gadis pusat tahfiz dikatakan aktif menjual jus herba, terutama di beberapa stesen minyak. Seorang gadis mendakwa dari pusat tahfiz di utara itu, Noraini Nasri, 14, ketika didekati sedang menjual jus herba kepada pengunjung sebuah stesen minyak di sini.

“Saya cuma ikut sunnah Rasulullah yang berniaga dengan menemui orang satu persatu. Ini cara yang saya amalkan dan melatih saya berdikari,” katanya yang datang bersama seorang lagi rakan dan ditempatkan di stesen minyak bersebelahan.

Noraini mendakwa mereka melakukan secara sukarela dan dipersetujui ibu bapanya yang tinggal di Kedah. Menurutnya, bukan mudah untuk dia melakukan kerja yang didakwa sama seperti amalan Rasulullah SAW.

Ditanya mengapa perempuan yang berniaga dan ke mana perginya pelajar tahfiz lelaki, Noraini senyap seketika sebelum mengatakan dia hanya bercakap perkara wajib diperkatakan.

“Saya tak wajib cakap, jadi buat apa saya beritahu,” katanya.

Noraini juga pada awalnya merahsiakan lokasi dia diturunkan dan mengatakan lupa tempat itu kerana baru tiba di Bukit Beruntung dan dihantar ‘ustaz’ baru dikenali. Tetapi, setelah didesak dia memberitahu mereka datang menaiki van turun sebelah pasar raya sebelum berjalan ke stesen minyak ditetapkan.

Seorang lagi, Norhafizah Azri, 14, pula agak murung dengan pakaian kurang kemas mengatakan kerja itu dilakukan untuk melatihnya berniaga. Anak bongsu daripada enam beradik ini mengakui ibu bapa dan semua abang dan kakaknya melakukan kerja sama di tempat lain.

“Saya mula kerja begini sejak darjah lima sampai sekarang. Mak ayah dan adik beradik lain pun buat juga dan mereka lagi lama,” katanya.

Menurutnya, dia datang bersama 11 rakan lain dan diturunkan di tempat berasingan. Norhafizah berkata, walaupun Pusat Tahfiz Amal beroperasi di Kedah, tetapi mereka tinggal di Damansara dan hanya sesekali pulang ke negeri berkenaan.

"Kami akan datang pada petang hingga lewat malam kerana sebelah pagi akan menghafal al-Quran dan mengikuti kelas fardu ain," katanya.


Tidak pernah minta izin

Sinar Harian turut mendapatkan maklum balas pekerja stesen minyak berkenaan serta pengunjung dan agak terkejut apabila dimaklumkan  gadis terbabit datang hampir setiap hari sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, kumpulan gadis terbabit tidak pernah bersemuka atau meminta izin daripada pengurus stesen minyak untuk berniaga di kawasan itu. Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlan, 32, berkata, kumpulan gadis tahfiz itu datang berjalan dan pulang tanpa pernah melihat kenderaan yang menghantar mereka.

“Hampir lima tahun saya di sini, tak pernah tengok atau terserempak orang atau kenderaan yang hantar mereka. Mereka datang petang, malam mereka sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, pengurus stesen itu pernah  cuba mendapatkan maklumat mengenai gadis terbabit namun gagal.

"Gadis berkenaan tidak pernah mendedahkan maklumatdiri dipercayai khuatir sesuatu berlaku kepada mereka," katanya.


Hairan semua wanita

Sementara itu, seorang pengunjung stesen minyak yang enggan dikenali berkata, umumnya pelajar tahfiz adalah dalam kalangan lelaki dan jarang sekali wanita.

"Lagipun jika benar mereka ini pelajar tahfiz, mengapa mereka dibiarkan berkeliaran dan meminta-minta kepada orang ramai yang kebanyakan tidak senang kehadiran mereka.

“Kita tidak usah persoalkan barang dijual kerana hanya jus herba, tetapi tindakan membiarkan gadis bawah umur begini sangat bahaya dan memalukan," katanya.

Menurutnya, gadis bawah umur yang berkeliaran melakukan jualan jus herba atas nama pusat tahfiz tidak sepatutnya berlaku.

“Mereka sepatutnya berada di sekolah dan bukan berniaga pada usia muda begini. Kita pernah tanya mengapa mereka tidak disediakan tempat khusus untuk berniaga seperti membuka kiosk di pasar raya, tetapi dengan petah gadis berkenaan menjawab itu bukan cara Rasulullah," katanya.

Dalam pada itu, dia berharap pihak berkuasa memandang serius kegiatan  kumpulan gadis berkenaan kerana percaya ia didalangi sindiket dan bukan pusat tahfiz seperti didakwa.

Wartawan diserang lelaki berparang



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Wartawan diserang lelaki berparang
Faizah (kiri) melakonkan kembali bagaimana dia diserang lelaki berparang.
PENDANG – Wartawan Sinar Harian Pendang, Ku Noor Faizah Ku Mustafa atau mesra dipanggil Faizah bersyukur kerana terselamat daripada diserang seorang lelaki berusia 30-an yang bertindak membawa parang dalam keadaan marah ke arahnya di Kampung Sungai Rotan semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11.15 pagi apabila wartawan itu ke kampung terbabit bagi membuat liputan selepas menerima aduan melalui Pengerusi Majlis Ketua-Ketua Kampung (MKK) berkaitan masalah perparitan yang dihadapi beberapa penduduk di situ.

Faizah berkata, dia sempat melarikan diri dengan bertindak masuk segera ke dalam kereta lalu beredar selepas melihat lelaki terbabit meluru ke arahnya dengan memegang parang panjang sambil bercakap sesuatu yang kurang jelas.

Menurutnya, setibanya di hadapan dewan Umno Sungai Rotan, MKK terbabit yang telah menunggunya di situ dan memaklumkan liputan berkaitan masalah berkenaan terpaksa dibatalkan.
Kurang dua minit selepas itu tiba-tiba muncul sekali lagi lelaki terbabit dari rumah berhampiran membawa parang ke arahnya.

Sementara itu, MKK Sungai Rotan, Suraini Hamid berkata, beliau juga terkejut dan tidak faham dengan tindakan lelaki terbabit.

"Saya tak tahu apa motif lelaki itu berbuat demikian.

"Ini kerana keluarganya yang meminta saya membawa media melaporkan masalah perparitan di kawasan itu," katanya.

Kes itu telah dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang
Umar Ali menunjukkan gambar mangsa yang hilang sejak 21 Ogos lalu.
ALOR GAJAH  – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu menjejaki seorang gadis lembam, A Vantha, 16, yang dilaporkan hilang selepas tiga hari tinggal bersama ibu saudaranya di sebuah taman, di sini, 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bapa mangsa, K Annandan, 37, menghantar mangsa pada 18 Ogos lalu untuk tinggal bersama ibu saudaranya, R Sarida, 25, di taman berkenaan.

Difahamkan, kehilangan mangsa yang juga anak sulung daripada lapan beradik itu turut dikaitkan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Bulat.

“Mangsa dihantar ke rumah ibu saudaranya di sebuah taman di sini pada 18 Ogos lalu kerana mangsa bekerja di sebuah kedai di kawasan kilang solar di Rembia sebelum disedari hilang kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 Ogos.

“Kehilangan mangsa disedari ibu saudaranya yang ketika itu sibuk menguruskan bapanya yang terlantar sakit sebelum didatangi majikan mangsa yang menjemputnya di rumah setiap hari," katanya.

Menurutnya, ibu saudara mangsa terkejut kerana menyangka mangsa keluar awal dijemput majikannya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

"Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) masih menuntut di tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Jasin, keluar rumah sehelai sepinggang.

“Mangsa keluar dengan hanya membawa dompet berisi MyKad," katanya.

Umar Ali berkata, bapa mangsa cuba menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi dijawab seorang lelaki yang mendakwa mangsa ada bersamanya.

"Berdasarkan siasatan, nombor telefon bimbit mangsa masih digunakan dan dikesan di sekitar Kuala Sungai Baru," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat mangsa, diminta segera menghubungi Inspektor Shuhaida Mohd Idris menerusi talian 06-5562222.

Kereta tersadai tayar pancit



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Kereta tersadai tayar pancit
Sebahagian kereta ditunda ke Plaza Tol Bukit Beruntung untuk dibaiki.
BUKIT BERUNTUNG - Lebih 50 kenderaan tersadai di bahu jalan sepanjang lapan kilometer bermula di Kilometer 435 hingga Kilometer 427 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara malam kelmarin akibat tayar pancit.

Kesemua kenderaan ringan itu dikatakan terkena besi skru bertaburan di atas jalan dipercayai terjatuh daripada kenderaan membawa muatan tersebut.

Pengguna, Yeoh Seok Oo, 51, berkata, jadual perjalanannya daripada Johor ke Pulau Pinang lewat hampir empat jam apabila dua tayar belakang keretanya pancit terkena skru.

“Saya kena kira-kira jam 9.55 malam dan sekarang baru selesai.

“Saya sedar selepas dapat isyarat kereta dan keadaan ketika itu agak terkawal walaupun kereta sudah bergerak beralun-alun,” katanya yang menyambung semula perjalanannya jam 1.50 pagi semalam.

Menurutnya, walaupun dapat meneruskan perjalanan namun dia bimbang kerana terdapat lima kesan skru pada tayar digunakan selepas ditampal.

Katanya, tayar simpanan hanya ada satu dan dia terpaksa menggunakan semula tayar bertampal untuk meneruskan perjalanan.

Kejadian itu mula disedari antara jam 9.45 malam hingga 12 tengah malam di mana satu persatu kenderaan berhenti kerana tayar pancit.

Keadaan itu sangat jarang berlaku lebih-lebih lagi melibatkan jumlah kenderaan yang banyak dan  beberapa pengguna lain turut meluahkan rasa pelik dan kesal dengan kejadian tersebut.

Menurut mereka, keadaan itu amat berbahaya dan risiko kemalangan tinggi tambahan pula laluan tersebut pernah menjadi lokasi kemalangan.

Remaja mengaku rompak, cederakan wanita



WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
AYER KEROH – Seorang remaja yang mendakwa hidup sebatang kara, mengaku bersalah merompak dan mencederakan seorang wanita berusia 37 tahun di sebuah hotel bajet di  Taman Melaka Raya, 3 September lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif, semalam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan dan merompak Wong Shew Hong, 37, di dalam bilik sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, kira-kira jam 11.45 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dihukum penjara, denda dan sebat.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Juhari Haron, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ida Rahayu menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan serahan dokumen laporan akhlak tertuduh.

Sementara menanti tarikh berkenaan, Ida Rahayu memerintahkan tertuduh ditempatkan di Asrama Bukit Baru.

Mangsa penipuan jual tanah kerugian jutaan ringgit



MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
14 September 2012
Mangsa penipuan jual tanah kerugian jutaan ringgit
Abidin (kanan) dan Musa (dua, kiri) menunjukkan laporan polis dan dokumen pembelian tanah palsu oleh sindiket jual tanah.
ALOR SETAR - Hampir 10 pembeli mengalami kerugian ribuan ringgit setelah menjadi mangsa penipuan sindiket jual tanah di sekitar Kedah sejak beberapa tahun lalu.

Mangsa sindiket, Musa Abdullah, 74, berkata, dia tidak menyangka akan ditipu oleh sindiket ini kerana orang tersebut adalah kenalan rapatnya sejak dulu.

Katanya, ahli sindiket ini bijak berkata-kata dan pandai meyakinkan pembeli untuk membeli tanah yang ditawarkan dengan beberapa bukti dokumen pembelian.

“Ketika kejadian, ejen tanah yang juga kenalan rapat saya menawarkan sebidang tanah di Hutan Kampung untuk dijual dengan harga RM60,000. Bagaimanapun, sebelum membuat sebarang bayaran, saya dibawanya melawat ke sebuah tempat yang didakwa kawasan tanah yang akan dijual kepada saya.

“Setelah berpuas hati dengan lawatan dan dokumen geran yang diberikan, tanpa berfikir panjang saya terus bayar kepadanya RM60,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, tanah yang ditawarkan adalah bukan di tempat tersebut, sebaliknya di kawasan lain. Malahan pula, penama penjual tanah asal dalam dokumen tersebut juga adalah palsu.

“Saya mula sedar ditipu setelah proses penukaran nama di pejabat tanah ditolak kerana mendakwa dokumen yang diberikan adalah palsu.

“Tidak puas hati dengan penipuan ini, saya meminta ejen tanah itu supaya pulangkan wang tersebut kerana pembelian itu tidak sah. Bagaimanapun, dia enggan berbuat demikian.

“Atas faktor keselamatan, saya membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar. Namun tiada sebarang tindakan dan siasatan dikenakan terhadap dia sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, Abidin Ahmad, 38, berkata, dia didatangi kenalan rapatnya itu pada 3 Ogos lalu di rumahnya yang terletak di Taman Hidayah, Jalan Langgar, di sini untuk mengambil wang pendahuluan pembelian tanah dengan harga RM10,000.

Katanya, selang beberapa hari kemudian, dia pergi ke pejabat tanah untuk membuat semakan status pembelian tanah tersebut. Namun, jawapan yang diberikan oleh pejabat tanah bahawa semua dokumen yang diberikan oleh ejen itu adalah palsu.

“Tidak berpuas hati dengan penipuan ini, saya membuat laporan di IPD Kota Setar untuk tindakan pihak berkuasa,” katanya.

Abidin berkata, lebih memeranjatkan apabila penama dokumen yang tertera pada geran tanah tersebut adalah seorang lelaki yang telah meninggal dunia pada 30 April 1986, namun masih
terdapat tandatangannya pada surat pembelian yang bertarikh 21 Mac 2012.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar turut mengesahkan menerima laporan berhubung isu penipuan pembelian tanah daripada hampir 10 orang. Menurut jurucakap polis, kes tersebut masih dalam siasatan.

Rumah terbakar dua kali



NUR FARHANA ABDUL MANAN
15 September 2012
Rumah terbakar dua kali
Aminah (kanan) melihat sisa kebakaran rumah miliknya yang terbakar.
PUCHONG - Kelegaan dirasai seorang pemilik rumah sewa selepas dikatakan berjaya memadam kebakaran kecil di salah sebuah unit kediaman miliknya tidak berpanjangan apabila kedua-dua rumah itu musnah terbakar dalam kejadian kali kedua hanya beberapa jam selepas itu.

Kejadian di lorong 4, Kampung Tengah dekat sini tengah hari kelmarin menimbulkan kemusykilan kepada mangsa bagaimana api yang sudah dipastikan dipadamkan sepenuhnya kembali ‘hidup’ dan membakar kedua-dua unit rumah terbabit.

Pemilik, Siti Aminah Harun, 56, berkata, dia dikejutkan dengan tragedi itu oleh seorang penyewa rumahnya ketika baru pulang ke rumah selepas berkebun.

Katanya, penyewa memaklumkan gas terbakar di bahagian dapur sebelum dia dan suami bergegas mengambil tuala basah menutup api dan memadamkan kebakaran itu sendiri.

Menurutnya, ketika itu api tidak marak dan kerja pemadaman dilakukan bersama suami serta beberapa penduduk sehingga pasti tiada lagi api, asap atau bau kebakaran di rumah berkenaan.

Aminah berkata, beberapa jam selepas itu kira-kira jam 3.15 petang, dia sekali lagi terkejut apabila penyewa rumahnya memberitahu api marak di bahagian sama seperti sebelumnya.

“Situasi sekali lagi menjadi cemas, saya dan suami kelam kabut memadamkan api namun apabila mendengar beberapa bunyi letupan kami segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui, semalam.

Mangsa kebakaran, Nurul Syahida Zaini, 26, berkata, ketika kejadian yang menyebabkan dia sekeluarga kerugian hampir RM40,000 itu, hanya dia dan anak berusia 18 bulan berada di dalam rumah.

Katanya, kejadian kebakaran pertama disedari dan dimaklumkan kepada pemilik rumah apabila api gagal dipadamkan sendiri kira-kira jam 1.45 petang.

Syahida berkata, dia sekali lagi meminta pertolongan pemilik rumah apabila bahagian dapur rumah disewanya itu terbakar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jafri Amat berkata, beliau menerima maklumat kebakaran pertama berlaku di rumah itu tetapi tidak dimaklumkan kepada pihaknya.

Katanya, berkemungkinan ada bara api tertinggal di bahagian siling. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tangisan bayi beri petunjuk



SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
15 September 2012
Tangisan bayi beri petunjuk
Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh tempat mangsa mengajar. Gambar kecil: Normaya.
BAGAN DATOH – Tangisan berpanjangan seorang bayi berusia tujuh bulan menjadi petunjuk terhadap penemuan mayat seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di kuarters guru Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu, mangsa, Normaya Mokhtar, 33, tinggal di kuarters berkenaan bersama bayinya.

Bagaimanapun, tangisan bayi yang berlarutan sejak malam Rabu membuatkan jiran tetangga berasa ragu sebelum bertindak berusaha membuka rumah berkenaan dengan mencari kunci pendua yang diletakkan di luar rumah.

“Setelah dapat  mencari kunci tambahan, saya buka pintu rumah itu dan cuba memeriksa keadaan dalam rumah sebelum menemui mangsa terbaring dalam keadaan pucat di katil biliknya,

“Di sebelah mangsa adalah bayinya yang baru berusia tujuh bulan,” kata seorang saksi yang enggan dikenali kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Panik dengan keadaan itu, dia segera menghubungi pihak kesihatan untuk memeriksa mangsa.

Saksi berkenaan memaklumkan, sehari sebelum penemuan mangsa, dia ada mengirim pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), namun tidak berbalas.

“Saya pelik kerana dia tidak membalas SMS saya, ditambah pula dengan suara tangisan anaknya yang tidak berhenti menyebabkan saya nekad untuk mencari kunci tambahan untuk melihat keadaan mereka berdua,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohamad Zaki Harun ketika dihubungi berkata, mangsa yang berasal dari Batu Gajah seorang guru mata pelajaran Bahasa Jepun di sekolah berkenaan.

Katanya, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati, guru berkenaan meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

“Polis sedang menjalankan siasatan mendalam berhubung kes tersebut bagi mengetahui punca kejadian berlaku.

“Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut apabila tiada unsur jenayah dikesan terhadap mangsa,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan, ketika kejadian, suami mangsa tidak berada di rumah atas urusan tugasan luar negeri.