Search This Blog

Friday, September 14, 2012

Pemandu merangkak keluar kereta




         
GEORGETOWN: Akibat memandu terlalu laju, seorang lelaki nyaris maut apabila keretanya terbalik dalam satu kejadian di Jalan Burma, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an terpaksa merangkak keluar melalui cermin di bahagian pemandu yang dipecahkannya.


Dia kemudian diselamatkan beberapa pengguna jalan raya lain yang kebetulan berada berhampiran kawasan berkenaan sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta.

Menurut saksi mahu dikenali sebagai Lim, ketika itu dia berada di restoran berhampiran sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.


“Ketika itu, hujan baru reda dan saya bersama beberapa rakan sedang menjamu selera di restoran sebelum kami terdengar bunyi brek disusuli satu dentuman kuat.


“Kami keluar dari restoran untuk meninjau apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati sebuah kereta terbalik,” katanya.

Menurutnya, mereka melihat pemandu kereta berkenaan merangkak keluar daripada kenderaannya sebelum orang ramai memberikan bantuan kepadanya.


“Mujur dia selamat dan hanya cedera ringan. Dia juga bernasib baik kerana keretanya tidak merempuh pokok besar yang berada berhampiran lokasi kemalangan.

“Ketika itu juga mujur tiada sebarang kenderaan lain melalui jalan berkenaan kerana jika ada mungkin kereta mangsa akan merempuh dan keadaan akan menjadi lebih buruk,” katanya.

‘Tak sangka dia pergi secepat ini’




         
BUKIT MERTAJAM: “Dia (Elias) seorang anak yang baik. Ketika kali terakhir bertemu pada Aidilfitri baru-baru ini, dia tak tunjukkan sebarang perubahan, sama seperti biasa saja. Saya tak sangka dia pergi meninggalkan kami secepat ini,” kata Ahmad Man, 59, bapa kepada Elias Ahmad, 24, yang maut dalam kemalangan, di sini, pagi semalam.

Elias yang bekerja sebagai tukang rumah, meninggal dunia akibat parah di kepala selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Kepala Batas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Perahu.


Ahmad ketika ditemui berkata, dia yang bekerja di Perai terkejut apabila menerima panggilan menyatakan anaknya terbabit dalam kemalangan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anak keempat daripada lima beradik itu tidak tinggal bersamanya sebaliknya bersama nenek selepas kematian ibu yang juga isterinya beberapa tahun lalu.


Menurutnya, kehilangan Elias yang mesra dipanggil Yeh itu sangat dirasai, namun dia reda dengan ketentuan Allah Taala.


Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Elias dari Kampung Baru, Padang Menora, yang menunggang motosikal jenis EX5 terpelanting ke jalan raya selepas motosikalnya bertembung dengan motosikal lain yang keluar dari simpang sebuah sekolah.

Difahamkan, mangsa yang datang dari arah Jalan Kepala Batas menuju ke Kubang Semang itu tidak sempat membrek menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.


Akibatnya, mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian, sementara penunggang motosikal lain yang juga pengawal keselamatan sekolah cedera ringan dan dikatakan menghilangkan diri selepas kejadian.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Irwan Al-Muizz Mohd Daud, 37, berkata, ketika kejadian dia yang dalam perjalanan membeli barang niaga dengan menaiki kereta mengekori motosikal ditunggangi mangsa selepas mangsa memotongnya tidak jauh dari lokasi.


Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi, sebuah motosikal ditunggang seorang wanita tiba-tiba keluar dari arah sekolah untuk menyeberangi jalan lalu bertembung motosikal mangsa.


“Saya dapat lihat dengan jelas mangsa melambung ketika bertembung dengan motosikal ditunggang seorang wanita yang juga pengawal keselamatan di SK Guar Perahu. Mangsa masih bernyawa ketika itu tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.


Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat.


Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Wan Aziz Wan Husin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

‘Tak sanggup tengok’



Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my
         
MACHANG: “Saya lihat seorang wanita tercampak keluar dari kereta seperti anak patung. Terkejut melihat keadaan itu, saya terus berlari menyelamatkan mangsa, namun terpaksa berundur selepas tidak sanggup melihat keadaannya yang ketika itu ‘nyawa-nyawa ikan’ sebelum seorang rakan mengeluarkannya dari bawah kereta menggunakan pam hidraulik,” kata saksi kejadian nahas yang meragut dua nyawa penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang dalam kejadian di Kilometer 27.1, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Merbau Chondong, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Nor Fazreen Che Yusoh, 20, dari Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Machang, manakala Muhammad Syarafi Kamarul Shukri, 20, dari Gong Badak, Terengganu mati di tempat kejadian akibat parah di badan.


Dua rakan mereka, Muhammad Hazwan Wook Baharuddin, 20, dari Chemor, Perak dan Noor Zilla Ismail, 20, dari Kuala Lumpur yang juga rakan sekampus cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Machang.

Keempat-empat penuntut tahun akhir Diploma Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Machang itu dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke kampus mereka di Bukit Ilmu sebelum kereta Honda Accord milik Nor Fazreen yang dipandu Muhammad Hazwan terbabas lalu melanggar dua pokok.


Saksi yang enggan dikenali itu mendakwa, kemalangan berlaku di depan matanya ketika hendak melintas jalan bersama seorang rakan.


“Sehingga kini saya masih terbayang keadaan mangsa wanita yang tercampak keluar dari bahagian belakang kenderaan dan ‘terperangkap’ di bawah kereta. “Seorang lagi mangsa lelaki sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh penduduk kampung sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Muhammad Hazwan ketika ditemui pula berkata, walaupun dirinya dan Noor Zilla terselamat dalam kejadian itu, dia terkilan kerana dua rakan karibnya maut ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menukar wang di sebuah premis pengurup wang di Kota Bharu.


Katanya, mereka bersama 16 penuntut lain dalam jurusan sama sepatutnya bertolak ke Bangkok, Thailand, pada hari ini (semalam) sempena program lawatan sambil belajar di negara berkenaan selama empat hari.

“Ketika singgah minum di sebuah gerai sebaik selesai menukar wang, Nor Fazreen dan Muhammad Syarafi kelihatan sugul hingga menimbulkan kehairanan di hati saya, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa.


“Saya sedih kerana kehilangan dua rakan baik dalam sekelip mata,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Malik Bedot berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kereta dipandu Muhammad Hazwan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu melanggar dua pokok.


Katanya, akibat kemalangan itu, Muhammad Syarafi yang berada di sebelah pemandu mati di tempat kejadian manakala Nor Fazreen di tempat duduk belakang, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Machang.


“Muhammad Hazwan dan Noor Zilla kini dirawat di hospital berkenaan manakala mayat dua rakan mereka dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Rugi RM190,000 dapat 3 cek tendang




         
KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat kerugian hampir RM190,000 dipercayai ditipu selepas cek dibayar dua pelanggannya bagi urusan penjualan minyak pelincir adalah cek tendang.

Mangsa yang berusia 40-an dikatakan menerima tiga keping cek dari dua syarikat dipercayai milik pelanggannya itu masing-masing bernilai RM99,840, RM82,900 dan RM6,300.


Menurut sumber, cek itu diterima Jumaat dan Isnin lalu yang diposkan ke alamat pejabat mangsa di Jalan Dutamas sebagai bayaran baki hutang mereka.

Difahamkan, syarikat mangsa sebelum itu membuat urusan perniagaan berkaitan jual beli minyak pelincir dengan dua syarikat swasta terbabit pada Ogos lalu.


Sumber berkata, ketika urusan jual beli itu dibuat, mangsa hanya menerima bayaran tempahan daripada pelanggannya manakala baki pula sudah dijanjikan untuk dibayar melalui cek.


“Mangsa menerima tiga cek berkenaan iaitu dua daripada syarikat pertama manakala satu daripada syarikat kedua yang terbabit dalam urusan perniagaan itu.

“Ketiga-tiga cek berkenaan juga sudah didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat mangsa melalui cawangan bank di Segambut sehari selepas itu,” katanya.


Bagaimanapun, pihak bank menghubungi mangsa kelmarin dan memberitahu ketiga-tiga cek berkenaan gagal ditunaikan kerana akaun pembayar dikatakan mengalami masalah.

Sumber berkata, ekoran kejadian itu, pengurus syarikat berkenaan menghubungi pelanggannya melalui talian telefon bimbit yang diberikan tetapi gagal.

Rumah kedai 3 tingkat terbakar




         
KUALA LUMPUR: Sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Pahang, di sini yang menjual barangan logam musnah terbakar dalam kejadian lewat petang semalam dan mengakibatkan kerugian dianggarkan lebih RM2 juta.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dipercayai bermula dari bahagian belakang bilik pejabat kedai berkenaan di tingkat dua bangunan sebelum merebak ke stor di tingkat atas dan bawah.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.33 petang dan jentera bomba pertama sampai ke lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

“Api dipercayai bermula dari tingkat dua bangunan dan ketika kejadian pemilik kedai berada di premis terbabit bersama beberapa lagi pekerja, namun api marak dengan cepat serta merebak ke tingkat lain bangunan yang berusia lebih 30 tahun ini. “Kami juga mengalami sedikit kesukaran akibat kesesakan lalu lintas kerana kejadian berlaku pada waktu puncak orang ramai pulang bekerja, bagaimanapun api dapat dikawal dari merebak ke bangunan lain,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian semalam.

Polis buru lelaki warga Indonesia bantu siasatan




         
SHAH ALAM: Polis kini memburu seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Ahmad Syafi, 35, yang juga suami kepada Noviaryani, 34, yang ditemui mati dengan kesan tetakan menggunakan kapak dipercayai dilakukan lelaki terbabit, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan Perundangan), Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, polis percaya suspek masih berada di negara ini dan meminta orang ramai yang mengenali atau mengetahui lokasi suspek bersembunyi menghubungi polis.


Katanya, polis sudah mengambil keterangan daripada lima individu terdiri daripada tuan rumah, jiran, dan rakan serumah mangsa untuk membantu siasatan.

“Kita juga sudah mengenal pasti motosikal digunakan suspek milik seorang lelaki tempatan dan pemiliknya sudah diambil keterangan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan Noviaryani, 34, seorang warga Indonesia ditemui mati di rumah sewanya di Lorong Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini, kira-kira jam 9 malam dan polis turut menemui kapak yang dipercayai digunakan untuk menetak belakang kepala mangsa.


Sebelum kejadian, mangsa yang juga suri rumah bertengkar dengan suaminya dalam rumah mereka yang disewa bersama tiga pasangan lain sebelum suaminya dilihat meninggalkan rumah dengan motosikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

3 hari terapung di laut



Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my
         
MIRI: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang dialami dua nelayan yang bertarung nyawa selama tiga hari dengan berpaut pada bot mereka yang terbalik ketika menangkap ikan di perairan Beting Datuk Patinggi Ali, kira-kira 40 batu nautika dari sini pada Ahad lalu, sebelum mereka diselamatkan kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Jackson, 33, dan Fadzli, 21, dari Bakam, di sini, terpaksa bertahan dengan berpaut pada bot gentian kaca yang terbalik itu bagi mengelak diri mereka tenggelam sebelum diselamatkan oleh abang seorang daripada mangsa kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin.


Menurut sumber, nelayan terbabit dikatakan belayar ke perairan berkenaan kira-kira jam 6 pagi Ahad lalu untuk menangkap ikan dan merancang untuk balik ke pangkalan dua hari kemudian.

Bagaimanapun mereka dilanda angin kencang serta ombak besar menyebabkan bot terbalik dan kedua-dua mangsa tercampak ke dalam laut.


“Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri dengan berpaut dan bertahan pada bot gentian kaca yang terbalik itu.


“Meskipun cuba menarik perhatian menggunakan baju dengan melambai ke arah bot dan kapal yang melalui perairan itu, usaha mereka mendapatkan bantuan, gagal.

“Malah, mangsa turut terpaksa mengambil risiko dengan meminum air laut kerana terlalu dahaga dan lapar sepanjang tiga hari terapung di laut,” katanya.


Sumber berkata, kedua-dua nelayan berada dalam keadaan lemah ketika diselamatkan abang seorang daripada mangsa yang melakukan operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa rakannya, kelmarin.

Sementara itu, abang mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, bimbang sesuatu buruk berlaku selepas mendapati adik dan rakannya tidak pulang pagi kelmarin menyebabkan dia mengambil inisiatif untuk melakukan operasi mencari.


“Ketika itu, kami sekeluarga mula risau berikutan mangsa berjanji untuk balik selepas dua hari menangkap ikan, namun sehingga masuk hari keempat kelibat perahu mereka langsung tidak kelihatan menyebabkan saya tidak senang duduk.


“Justeru, saya mengambil inisiatif mengajak beberapa rakan melakukan operasi mencari. Saya bersyukur kerana menemui semula mereka yang berpaut pada bot walaupun dalam keadaan lemah,” katanya.


Kedua-dua nelayan itu mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Miri, kelmarin sebelum dibenarkan pulang selepas mendapati keadaan kesihatan mereka tidak membimbangkan.

Remaja dinodai dua abang angkat




         
KANGAR: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bertindak merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun sejak tahun lalu.

Mangsa ketika itu berusia 12 tahun dijadikan adik angkat oleh remaja lelaki terbabit sebelum melakukan hubungan seksual dengan mangsa di rumahnya, di sini.


Difahamkan, mangsa turut menyatakan pernah dirogol di atas motosikal termasuk di rumah abang angkatnya itu di Kampung Bakong, di sini dan berlanjutan sehingga mangsa berada di tingkatan satu sebelum mempunyai seorang lagi abang angkat seusia dengan suspek yang turut merogolnya.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, bagaimanapun kejadian yang menimpa pelajar itu hanya disedari bapanya kelmarin.


Menurutnya, selepas lebih setahun dibelenggu kejadian malang yang menimpa mangsa, bapanya menyedari perubahan terhadap pelajar berkenaan yang hidup dalam kemurungan.


“Bapa mangsa kemudian bertanyakan sesuatu kepada mangsa selepas dia tidak banyak bercakap dan kerap memencilkan diri.

“Selepas ditanya beberapa kali, mangsa kemudian menceritakan kejadian menimpanya termasuk dirogol dua abang angkatnya pada masa berlainan,” katanya di sini, semalam.


Mohd Nadzri berkata, susulan pengakuan berkenaan, bapa mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Arau, kelmarin.

Katanya, selepas beberapa jam laporan dibuat, pihaknya menahan suspek pertama pada jam 11.45 pagi kelmarin sebelum menahan suspek kedua beberapa jam selepas itu.


“Kedua-dua suspek berusia 16 tahun berkenaan mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa dan kini ditahan bagi tindakan susulan,” katanya.

Misteri 5 kereta terbiar



Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
         
KUCHING: Misteri lima kenderaan dibiarkan terlalu lama di tempat letak kereta berhampiran milik syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) terjawab apabila polis mendapati kenderaan itu sebanarnya dicuri.

Difahamkan, satu daripada kenderaan berkenaan milik bekas pegawai polis dilaporkan hilang Ahad lalu di Batu 4, Jalan Penrissen, ditemui bersama empat lain, jam 5 petang.


Sumber berkata, sepasukan anggota diketuai Ketua Balai Sekama, Inspektor Ahmad Naim Ayub memeriksa lokasi selepas intipan selain menerima maklumat awam.

“Polis mengambil masa empat hari membuat intipan bagi mengenal pasti pemilik semua kenderaan itu, tapi tiada siapa datang mengambilnya. Semua roda hadapan bengkok bagi menandakan kenderaan itu dicuri manakala kunci didapati rosak dicungkil,” katanya.


Katanya, kenderaan ditemui di lokasi ialah pacuan empat roda, Toyota Unser dan Proton Perdana.


“Kami dapati nombor pendaftaran sama seperti dilaporkan pemilik. Polis turut menghubungi pemilik memaklumkan penemuan kenderaan terbabit.” katanya.

Sementara itu, pemilik Proton Perdana berumur 35 tahun berkata, keretanya dilaporkan hilang jam 8 malam, di Jalan Hui Sing, Khamis lalu.

Juvana didakwa perkosa kakak




         
JERANTUT: Seorang juvana dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap kakak sulungnya, November tahun lalu.

Tertuduh berusia 14 tahun anak kepada bekas pemimpin politik di negeri ini.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik saja pertuduhan dibacakan di dalam kamar Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang juga kakaknya berusia 15 tahun di sebuah rumah beralamat Lot 2324, Kampung Bukit Kor, Batu Balai, dekat sini, pada jam 12 tengah malam, November tahun lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Arifin Saidun manakala tertuduh diwakili peguam, Ibrahim Kamaruddin.

Muhammad Iskandar membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kemudian menetapkan tarikh 18 Oktober ini untuk sebutan semula kes.


Terdahulu, tertuduh juvana terbabit yang berkemeja ungu tiba ke mahkamah pada jam 9 pagi ditemani beberapa ahli keluarga termasuk bapanya.

Tertuduh yang juga anak kesembilan daripada 12 beradik ditahan pada 22 Ogos lalu selepas seorang jururawat membuat laporan polis berhubung kes seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Kajang, Selangor.

Lori laju rempuh 9 kenderaan




         
SITIAWAN: Sebuah lori seberat enam tan yang dipandu laju merempuh enam kereta dan tiga motosikal berhampiran lampu isyarat Sungai Rumput, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, lori yang sarat muatan ikan itu gagal mengelak lalu melanggar kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.


Saksi kejadian, Mohd Hanif Isa, 28, berkata, nahas berlaku ketika semua kereta dan motosikal itu berhenti sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Menurutnya, lori itu yang dipandu laju itu, bagaimanapun gagal untuk berhenti sebelum merempuh kereta dan motosikal di hadapannya.


“Rempuhan kuat itu menyebabkan tiga penunggang motosikal itu terpelanting, manakala beberapa kereta rosak teruk pada bahagian sisi dan belakang. Beberapa kereta turut diseret lebih 10 meter oleh kenderaan itu.


“Orang ramai kemudian memberi bantuan kepada seorang penunggang motosikal dan dua pemandu kereta yang cedera dan tidak sedarkan diri akibat nahas itu,” katanya.

Dia berkata, pemandu empat kereta dan dua motosikal lain bagaimanapun hanya cedera ringan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Manjung untuk menerima rawatan kecemasan.

Menurutnya, pemandu lori itu berusia 40-an sudah ditahan polis untuk diambil keterangan berhubung kemalangan itu.

Rentung dalam kereta


RENTUNG...anggota pasukan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Selangor memeriksa lokasi kereta terbakar menyebabkan seorang lelaki maut di Banting, semalam.

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
       
RENTUNG...anggota pasukan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Selangor memeriksa lokasi kereta terbakar menyebabkan seorang lelaki maut di Banting, semalam.
BANTING: “Kami fikir gempa bumi apabila tiba-tiba terdengar letupan kuat di luar rumah, manakala rumah pula bergegar,” kata pelajar kolej swasta, Andy Lim, 22, saksi kebakaran membabitkan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback menyebabkan seorang lelaki rentung di Taman Baiduri, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia berkunjung ke rumah rakannya di taman perumahan berkenaan dan sedang berbual apabila berasa impak letupan daripada kereta yang terbakar itu kira-kira jam 2 petang.


“Saya dan rakan segera berlari keluar kerana bimbang rumah akan runtuh sebelum ternampak kereta sedang terbakar dari dalam.

“Kami tidak menyangka ada orang dalam kereta terbakar itu berikutan asap tebal menyelubungi ruang dalam kenderaan sehingga tidak nampak sesiapa,” katanya.


Katanya, penduduk mula memenuhi kawasan tempat kejadian itu sebelum seorang wanita warga emas muncul tiba-tiba sambil menangis.


“Ketika kebakaran berlaku, seorang wanita datang dan menjerit anaknya ada dalam kereta terbakar itu dan meminta orang ramai mengeluarkannya.

“Beberapa penduduk cuba membantu mengeluarkan anaknya, tetapi api semakin marak menyebabkan tiada sesiapa pun berani mendekati kereta itu sebelum berlaku satu lagi letupan,” katanya.


Andy berkata, dia segera menghubungi balai bomba kerana bimbang kebakaran melarat sehingga ke rumah penduduk berikutan kedudukan tempat kejadian hampir dengan kediaman.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, satu jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.02 petang.


“Pasukan diketuai Pegawai Bomba, Subakri Basran, tiba enam minit kemudian tetapi api sudah membakar 90 peratus kereta berkenaan.


“Api dapat dipadam sebelum anggota bomba dan penyelamat menemui mayat seorang lelaki berusia 40-an rentung di tempat duduk penumpang,” katanya.

Lumpuh lepas ke rumah urut




         
SINGAPURA: Seorang pegawai tinggi bank berusia 40 tahun diserang angin ahmar dan akhirnya lumpuh sebelah badan selepas mendapatkan urutan leher.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Lin berkata, doktor yang merawatnya mengesyaki urutan kuat telah memecahkan pembuluh darahnya dan mengakibatkan serangan angin ahmar. Lin kini pekak di sebelah telinga dan menjalani terapi untuk memulihkan semula pergerakan di bahagian kiri tubuhnya, lapor akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Wanbao. Menurut akhbar itu, Lin adalah Penolong Pengarah di sebuah bank dan berada di China baru-baru ini untuk menziarahi rakannya.


Ketika berada di sana, dia mengunjungi sebuah rumah urut untuk mendapatkan urutan kaki. Ekoran saranan seorang ahli terapi, dia sebaliknya, memutuskan untuk mencuba urutan leher. Selepas diurut, dia berasa sihat saja. Bagaimanapun, tiga hari kemudian, dia berasa amat sakit di bahagian kiri kepalanya. Ketika bangun pagi keesokan harinya, dia mendapati telinga kirinya sudah pekak. Dia juga tidak dapat menggerakkan bahagian kiri tubuhnya dan tidak dapat berjalan dengan stabil.

“Saya rasa sangat takut. Semuanya berlaku dengan pantas, ia seperti malang tidak berbau,” katanya.


Ekoran sukar untuk bergerak, Lin tidak dapat pulang segera ke Singapura untuk rawatan. Lin dihantar ke sebuah hospital di Hong Kong dan dirawat kira-kira dua minggu hingga doktor mendapati dia cukup sihat untuk terbang pulang.


Lin memberitahu Chinese Daily, doktor mengesyaki terapi urutan leher yang dijalaninya menyebabkan dinding pembuluh arterinya terkoyak tanpa sengaja. Kerosakan itu menyebabkan laluan arteri tertutup mengakibatkan pengaliran darah terganggu. - Lianhe Wanbao

Lif terhempas: 19 pekerja binaan maut




         
BEIJING: Sekurang-kurangnya 19 orang maut apabila lif di tapak pembinaan di tengah China terhempas ke tanah dari tingkat 30, kata pihak berkuasa, semalam.

Jurucakap Pengurusan Bandar berkata, kejadian itu berlaku di bandar Wuhan, wilayah Hubei di tapak pembinaan perumahan.
“Lif itu digunakan untuk kerja-kerja pembinaan,” katanya yang enggan namanya disiarkan dan mengesahkan 19 mati dalam kejadian itu.

Agensi berita Xinhua melaporkan, semua mangsa di dalam lif itu terbunuh. - AFP

Facebook kena saman




         
SAN FRANCISCO: Universiti California, pemegang lesen hak paten, yang sebelum ini menyaman beberapa syarikat besar di Amerika Syarikat, kini mengambil tindakan ke atas tiga syarikat gergasi lagi, Facebook Inc, Wal-Mart Stores Inc dan Walt Disney Co.

Eolas Technologies dan Regents dari Universiti California memfailkan saman semalam, untuk empat hak paten yang dipercayai dilanggar oleh syarikat berkenaan.
Hak paten untuk teknologi interaktif, termasuk paparan hipermedia dan interaksi, dikeluarkan kepada universiti itu dan dilesenkan kepada Eolas, syarikat dari Texas yang dipengerusikan oleh Michael Doyle.

Syarikat itu dibangunkan untuk membantu Universiti California mengkomersialkan teknologi hak paten, kata laman webnya, termasuk paten yang dibangunkan oleh Doyle dan pasukannya ketika bekerja dengan Universiti California, San Francisco.


Jurucakap Universiti California berkata, paten itu dianggap aset awam dan “perlu dibayar dengan nilai setimpal apabila ada orang ketiga yang mengeksploit aset universiti untuk keuntungan.”


Jurucakap Facebook pula berkata, syarikat itu akan berusaha sedaya upaya untuk menentang mereka.

Jurucakap Wal-Mart berkata, syarikat peruncit terbesar dunia itu menghormati hak intelek orang lain.

Katanya, “Kami mengambil serius dakwaan yang dibuat dan akan menyiasat perkara ini.”

Disney tidak memberi komen apabila diminta berbuat demikian.

Jurucakap dan beberapa peguam Eolas juga tidak memberi sebarang komen apabila diminta.

Dua paten yang disebut dalam saman itu diisytihar tidak sah Februari lalu oleh juri di Texas dalam fail saman berbeza. Saman itu dibuat terhadap Amazon Inc, Google Inc, Yahoo Inc dan lain-lain lagi. - Reuters

Pelakon filem china Islam didakwa ditipu




         
LOS ANGELES: Pembikinan filem menghina Islam yang mencetuskan bantahan di Mesir dan beberapa negara Islam lain mula terbongkar semalam.

Seorang aktres mendakwa dia ditipu dan tidak menyedari filem itu mengisahkan Nabi Muhammad (SAW).
Cindy Lee Garcia (gambar) dari Bakersfield, California yang muncul seketika dalam petikan filem itu yang disiarkan secara online berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem yang berjudul ‘Desert Warrior’ tahun lalu.

“Ia berbeza sama sekali. Ia tidak sama seperti yang kami lakonkan,” kata Cindy.


Menurutnya, penggambaran filem itu dilakukan pada musim panas 2011 di sebuah gereja berhampiran Los Angeles, bersama 50 pelakon lain. - Reuters

9 terbabit ceti haram dicekup




         
SINGAPURA: Polis semalam menahan enam lelaki dan tiga wanita kerana disyaki terbabit dengan kegiatan ceti haram.

Sembilan individu itu berusia antara 22 dan 52 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket ceti haram.


Polis melakukan serbuan serentak di Bedok, Bukit Panjang, Chai Chee, Jurong dan Pasir Ris. Hasil daripada serbuan, wang tunai Sg$9,000 (RM22,557), kad Mesin Teler Automatik (ATM), 15 telefon bimbit dan pelbagai peralatan komputer turut dirampas.

Tujuh daripada suspek akan didakwa di mahkamah esok (hari ini) di bawah akta Pinjaman Wang, manakala siasatan terhadap dua lagi suspek masih dijalankan. Mereka yang disabitkan bersalah boleh dihukum penjara hingga empat tahun dan denda hingga Sg$300,000 (RM751,916), selain enam sebatan. - Straits Times

2 anggota Abu Sayyaf culik 20 pelancong diberkas




         
MANILA: Dua anggota militan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda ditahan di Filipina ekoran penculikan sekumpulan pelancong pada 2001 di mana dua tebusan warga Amerika dibunuh, kata pegawai tentera semalam.

Anggota Abu Sayyaf itu ditahan di pulau selatan Mindanao kelmarin ekoran pemburuan selama 11 tahun terhadap pembunuhan pendakwah Kristian, Martin Burnham dan warga Amerika yang dilahirkan di Peru, Guillermo Sobero.


Komander tentera daerah, Mejar Jeneral Ricardo Rainier Cruz berkata, Jojo Imam Pai dan suspek kedua yang hanya dikenali sebagai “Aling” oleh tentera akan dibicarakan atas dua pembunuhan dan penculikan 20 pelancong. Anggota Abu Sayyaf menyerbu pulau peranginan Dos Palmas pada 2001 dan memaksa 201 pelancong asing dan tempatan, selain kakitangan tempatan di pusat pelancongan itu menaiki bot sebelum dibawa ke kubu mereka di Pulau Basilan. - MT

Raja dadah paling dikehendaki ditangkap


MEXICO CITY: Tentera Mexico semalam menahan seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai ketua kartel Teluk, Jorge Eduardo Costilla Sanhez, iaitu raja dadah paling dikehendaki di negara ini.
Kenyataan Tentera Laut berkata, mereka menahan seorang lelaki yang “memperkenalkan dirinya sebagai Jorge Eduardo Costilla Sanchez atau ‘El Coss,’ lelaki yang didakwa ketua kartel Teluk” di Tamaulipas.
Costilla Sanchez berada dalam senarai ketua paling dikehendaki dan tawaran hadiah AS$2.2 juta (RM6.8 juta) untuk menangkapnya. Sebelum penangkapannya, 22 daripada 37 orang paling dikehendaki berjaya dibunuh atau ditangkap.

Kenyataan ringkas Tentera Laut itu tidak menyebut di mana tangkapan itu dibuat tetapi Tamaulipas terletak di Teluk Mexico dan bersempadan negeri Texas, Amerika Syarikat. Kenyataan itu berkata, maklumat lanjut akan diberikan hari ini.


Dalam masa 24 jam sebelum ditahan, pihak berkuasa berkata, kumpulan bersenjata mencuri kenderaan dan meninggalkannya di tengah jalan di tiga bandar Tamaulipas untuk menghalang lalu lintas, menyebabkan kesesakan dan orang ramai ketakutan. - AFP

Pencuri sorok 20 telefon dalam seluar


LONDON: Seorang pencuri yang menyasarkan mangsanya di kalangan pengunjung festival diberkas bersama bahan bukti yang disembunyikan dalam seluarnya, lapor media semalam.
Ionut Guita, 23, disiasat polis di sebuah restoran McDonalds selepas seorang daripada mangsanya berjaya mengesan seunit iPhone yang dicuri sebelum itu.

Selepas mengesan lokasi Guita, pemilik iPhone itu menghubungi polis bagi membolehkan suspek diperiksa, Guita ditemui bersama 20 telefon yang disembunyikan dalam seluar dalamnya.

Dia disiasat ekoran kecurian pelbagai jenis telefon bimbit ketika Festival Sundown berlangsung di Norwich awal bulan ini.

Polis dimaklumkan mengenai kes kecurian berkenaan pada 2 September lalu. Berasal dari of Stratford, London Timur, Guita mengaku salah bagi semua 20 pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. - TS

Polis sahkan mayat dibakar warga asing



 
Nibong Tebal: Polis mengesahkan mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kepala, tangan dan kedua kaki dipotong serta dibakar di ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil di sini, bulan lalu adalah warga asing.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat (gambar), berkata ia berdasarkan laporan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Bahagian Rekod Jenayah Bukit Aman. “Kesan cap jari mangsa tidak ada dalam rekod JPN dan Bahagian Rekod Jenayah. Sehubungan itu, polis mengesahkan bahawa mangsa adalah warga asing.
“Kami masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan petunjuk baru dan meminta orang ramai untuk membantu memberikan maklumat berkaitan kes itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Kem Memperkasa Kepimpinan Pelajar 2012 di Pulau Aman, di sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 30-an itu yang masih terbakar ditemui orang awam pada 30 Ogos lalu. Bagaimanapun, tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Polis Marin rampas rokok seludup bernilai lebih RM269,000 di Tawau



 
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini, merampas 15,030 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai RM269,548 termasuk cukai yang cuba diseludup ke daerah itu, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Asisten Superintendan Mohamad Ismail, berkata rokok berkenaan dirampas di kawasan pesisir pantai Batu Payung, Tinagat kira-kira jam 7.30 malam. "Bertindak atas maklumat orang awam, empat anggota PPM pergi ke kawasan pinggir pantai Batu Payung dan melihat beberapa lelaki berkelakuan mencurigakan. Apabila bot ronda PPM menghampiri lelaki itu dan memperkenalkan diri, kesemua suspek melarikan diri ke dalam semak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, anggota PPM menjumpai beberapa longgokan bungkusan beg plastik hitam mengandungi pelbagai jenama rokok termasuk Mighty (hijau), Mighty (merah) dan Texas (merah) dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Mohamad, bagaimanapun berkata tiada suspek yang berjaya ditahan dalam kejadian berkenaan. - BERNAMA

Syarikat perkapalan didenda RM90,000 pindah minyak tanpa kebenaran



 
JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat perkapalan didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran, Januari tahun lalu.

Zone Artic Sdn Bhd, pemilik kapal MT Tioman Satu, didapati bersalah melakukan pemindahan minyak atau 'bunkering' bersama sebuah lagi kapal di perairan Tanjung Piai, Pontian pada kira-kira jam 1.45 tengah hari, 27 Januari tahun lalu. Syarikat itu gagal mendapatkan Permit Petroleum daripada Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti itu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 491B(3) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 491B(4) ordinan sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Nu’aman Mahmud Zuhudi memerintahkan Zone Artic dikenakan penjara tambahan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala syarikat itu diwakili peguam Aziz Shukor.

- BERNAMA

Penjenayah tembak mati 5 orang di Mexico



 
CIUDAD JUAREZ: Penjenayah menyerang hendap sebuah trak pikap di kawasan pergunungan wilayah Chihuahua dan menembak mati lima orang, malam semalam.

Jurucakap pendakwaraya wilayah Chihuahua, Carlos Gonzalez berkata, dua remaja lelaki adalah antara lima mangsa dalam serangan di bandar Guadalupe y Calvo. Beliau berkata, penyerang itu menunggu dalam sebuah kenderaan lain di tepi jalan dan melepaskan tembakan ke arah trak berkenaan dalam kejadian terbabit. - AP

Kes bunuh Nur Syaleza disebut semula 25 Oktober depan



 
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes bunuh eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9, Nur Syaleza Jaffar.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat. Suami mangsa, Norazman Bashah, 31, bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, didakwa membunuh Syaleza, 31, di kediamannya di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai lalu.
Norazman Bashah yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan dan Muhammad Fadhli Sutris, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

1 maut, 22 hilang feri karam di Kalimantan Timur



 
JAKARTA: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 22 lagi hilang apabila sebuah feri yang membawa 97 penumpang karam di wilayah Kalimantan Timur, Indonesia, kata pegawai agensi penyelamat tempatan hari ini.

Pegawai dari agensi menyelamat dan mencari, Chaka Ari Sanyono, berkata KM Surya Indah tenggelam di sungai Nibong lewat malam tadi. "Seorang terbunuh dan 22 lagi masih hilang, manakala 74 penumpang berjaya diselamatkan," katanya, sambil menambah bahawa unit tentera dan polis tempatan turut membantu dalam usaha menyelamat.
Feri berkenaan dalam perjalanan dari bandar Samarinda di Kalimantan Timur dan dijadual berlabuh di pelabuhan Melak di bahagian barat pulau. - AFP

Bas bertembung, 51 orang maut di Afghanistan



 
KABUL: Sekurang-kurangnya 51 orang maut apabila sebuah bas dan trak bertembung dalam kejadian di timur negara itu.

Ketua Polis Wilayah Ghanzi, Jeneral Zarawar Zahid berkata, kedua-dua kenderaan terbabit terbakar selepas bertembung pada pagi tadi di daerah Ab Band. Beliau berkata, 51 daripada 56 penumpas bas mati.
Polis dan tentera berusaha memindahkan mangsa termasuk kanak-kanak daripada kesan kenderaan yang terbakar itu.

Zahid berkata, ramai mangsa terbakar teruk dan tidak dapat dikenalpasti. - AP

2 individu mangsa rompak ditemui mati



 
KUALA LUMPUR: Dua individu dipercayai mangsa samun ditemui mati berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata Leong Kian Sheong, 37, seorang peniaga, dan rakan wanitanya, Vivien Wong, 20, ditemui terbaring dalam sebuah bilik pada kira-kira jam 10.30 malam, dalam keadaan berpakaian lengkap. "Pemeriksaan mendapati ada kesan selongkar di rumah itu. Dipercayai jam tangan, barang kemas dan wang tunai disamun.
"Turut dilarikan dua kenderaan jenis BMW dan Toyota Vellfire," kata Ab Rashid melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini.

Mangsa dipercayai dibunuh pagi semalam namun kejadian itu hanya disedari malam tadi. Difahamkan mangsa mengalami beberapa kecederaan pada badan, dan senjata turut ditemui di kediaman itu.

Polis sudah merakam keterangan beberapa kenalan rapat mangsa termasuk seorang pengawal peribadi Leong.

- BERNAMA

Peniaga maut,isteri parah ditikam perompak



 
TEMERLOH: Seorang peniaga maut manakala isterinya parah akibat ditikam dalam satu kejadian rompakan di Kampung Baru Simpang Songsang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi berlaku ketika mangsa, Abu Talib Yadin, 56, dan isterinya, Siti Rohani Salleh, 48, baru pulang daripada menjalankan perniagaan mereka di kawasan rawat dan rehat Temerloh. Katanya, kereta Perodua Kancil dinaiki pasangan itu dihalang kereta Proton Wira berwarna merah yang dinaiki tiga lelaki kira-kira 200 meter dari rumah pasangan itu.
"Perompak itu memecahkan cermin belakang dan depan kereta mangsa sebelum bertindak menarik keluar Abu Talib dari keretanya yang mengakibatkan berlakunya pergelutan di antara mereka.

"Dalam pergelutan itu mangsa ditikam sebanyak tiga kali dengan senjata tajam di bahagian kiri dan kanan rusuk menyebabkan dia mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sharifuddin berkata, isteri mangsa turut ditikam di bahagian rusuk kanan dan bahagian kiri perut dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini oleh jirannya dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menurutnya ketiga-tiga perombak itu melarikan wang tunai RM700, tiga telefon bimbit, seutas gelang tangan dan seutas gelang kaki dan kerugian dianggarkan RM4,000.
"Tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian dan pihak kita belum dapat memastikan motif sebenar kejadian, tetapi ia dipercayai rompakan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya segera menghubungi mana-mana balai polis.

- BERNAMA

Gempa kuat gegar selatan Sumatera



 
KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Ritcher melanda selatan Sumatera hari ini, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Gempa yang berlaku tepat jam 12.51 itu berpusat kira-kira 194 kilometer(km) barat laut Bengkulu, Indonesia dan 633km barat daya Pontian, Johor. Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

19 terbunuh, 30 hilang tanah runtuh di India



 
DEHRADUN (India): Sekurang-kurangnya 19 terbunuh manakala 30 yang lain masih hilang dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat semalaman susulan hujan monsun di utara India.

Pegawai Pengurusan Bencana Negeri, Piyush Rautela berkata, mangsa yang meninggal dunia dianggarkan pada sebelah awal sebaik saja hujan lebat di daerah Rudraprayag dan Bageshwar, wilayah Uttarakhand. Beliau berkata, angka mayat yang ditemui mencecah 14 iaitu di sekitar empat kawasan kampung di Rudraprayag dan lima mayat ditemui di Bageshwar. - AFP

Juruelektrik didakwa bunuh peniaga



 
PETALING JAYA: Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang peniaga di tepi sebuah tasik di Puchong Perdana, Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada M Uventhiran, 24, dari Puchong Indah, Puchong, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Surya Wati Shawal. Uventhiran yang memakai kemeja-T berkolar berwarna hitam hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa membunuh C Vinoth, 25, di tepi tasik, Puchong Perdana, Bukit Puchong, Selangor, di antara jam 6.15 petang pada 12 Mei hingga 5.25 petang, 13 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Nur Aifaa Che Abdullah.
- BERNAMA

5 pengunjung ke kawasan peranginan Lata Bayu sesat



 
BALING: Lima pengunjung ke kawasan peranginan Lata Bayu dekat sini, hilang dipercayai sesat dalam kawasan hutan itu, sejak petang semalam.

Gerakan mencari dan menyelamat dimulakan sejak 10 malam tadi membabitkan lebih 50 penduduk Kampung Banggol dan Asam Jawa serta kawasan sekitar, sebaik mendapat maklumat lima pengunjung ke Lata Bayu tersesat di kawasan itu. Usaha awal penduduk kampung malam tadi terpaksa dihentikan kerana keadaan hutan tebal serta tiada sebarang maklum balas daripada mangsa.
Pagi ini, gerakan mencari dan menyelamat diteruskan membabitkan lebih 100 orang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk tempatan.

Hingga petang ini, usaha mencari masih diteruskan dan tertumpu pada kawasan awal yang dimaklumkan di mana mangsa tersesat.

Pengerusi Biro Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Baling (KARIB), Zahir Saad, 32, yang ditemui Bernama berkata mangsa menghantar isyarat kepada anggota radio amatur itu kira-kira 3 petang semalam memaklumkan lima orang tersesat di kawasan Lata Bayu dan meminta bantuan.

Zahir berkata, pengirim maklumat melalui radio amatur itu mendakwa salah seorang rakan mereka dipatuk ular dan seorang rakan wanita meninggal dunia.
Beliau berkata, selepas menerima maklumat itu, pihaknya mengarahkan semua anggota kelab itu menjalankan usaha mencari dan menyelamat sebelum anggota pasukan penyelamat tiba.

"Hingga petang ini kami kehilangan petunjuk dan maklumat untuk mengesan mangsa kerana mangsa dipercayai gagal menghantar maklumat akibat kehabisan bateri pada radio mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Mohd Daud Mohd Hasan, berkata sehingga kini identiti kelima-lima mangsa yang didakwa sesat di kawasan itu masih belum diketahui dan usaha mencari serta menyelamat masih diteruskan.

- BERNAMA

Guru disiplin cedera dibelasah 10 pelajar



Mangsa diserang ala samseng selepas tegur pelajar buat bising


Alor Setar: Seorang guru disiplin cedera dibelasah sekumpulan 10 pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah menengah di Jalan Gunong, di sini, dipercayai kerana menegur pelajar berkenaan yang lambat menyertai perhimpunan, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, kumpulan pelajar terbabit cuba memprotes tindakan guru lelaki berkenaan dengan membuat bising dalam kelas sebelum mangsa bergegas naik untuk melihat apa yang berlaku. Tidak bermaya

Sumber berkata, guru berusia 40-an yang cuba meleraikan tindakan ala samseng kumpulan pelajar berkenaan, bagaimanapun dikasari apabila kepalanya ditolak sebelum dibelasah.

Pelajar lain dalam kelas hanya mampu melihat kejadian itu kerana tidak berdaya untuk membantu guru berkenaan.

Malah, rotan yang dibawa guru itu juga dipatahkan kumpulan pelajar terbabit kerana geram dengan teguran berkenaan.
Difahamkan, kekecohan itu hanya dileraikan guru lain selepas insiden berkenaan dimaklumkan pelajar.

“Saya tak pasti sama sejauh mana kecederaan guru itu, namun apa yang pasti guru itu kini bercuti dan berehat," kata sumber berkenaan.

Usaha untuk mendapatkan komen daripada mangsa tidak berjaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd
Jan, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Sumbang mahram kakak



 
Jerantut: Seorang remaja berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam, atas tuduhan sumbang mahram terhadap kakak kandungnya, hujung tahun lalu.

Pertuduhan dibuat dalam kamar Majistret Muhammad Iskandar Zainol, tetapi tiada pengakuan direkodkan daripada remaja terbabit. Dia didakwa melakukan sumbang mahram terhadap kakaknya berusia 15 tahun di sebuah rumah di sini kira-kira jam 12 tengah malam November lalu. Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Muhammad Iskandar kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 18 Oktober depan. Pendakwaan dilakukan Inspektor Arifin Saidun, manakala tertuduh diwakili peguam, Ibrahim Kamaruddin.

Terdahulu, juvana terbabit tiba di mahkamah ditemani beberapa ahli keluarga termasuk bapanya.

Anak kesembilan daripada 12 beradik itu ditahan 22 Ogos lalu, selepas seorang jururawat membuat laporan polis berhubung kes seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun melahirkan bayi lelaki di Hospital Kajang, Selangor.

Polis Marin rampas rokok seludup bernilai lebih RM269,000 di Tawau



 
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini, merampas 15,030 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai RM269,548 termasuk cukai yang cuba diseludup ke daerah itu, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Asisten Superintendan Mohamad Ismail, berkata rokok berkenaan dirampas di kawasan pesisir pantai Batu Payung, Tinagat kira-kira jam 7.30 malam. "Bertindak atas maklumat orang awam, empat anggota PPM pergi ke kawasan pinggir pantai Batu Payung dan melihat beberapa lelaki berkelakuan mencurigakan. Apabila bot ronda PPM menghampiri lelaki itu dan memperkenalkan diri, kesemua suspek melarikan diri ke dalam semak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, anggota PPM menjumpai beberapa longgokan bungkusan beg plastik hitam mengandungi pelbagai jenama rokok termasuk Mighty (hijau), Mighty (merah) dan Texas (merah) dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Mohamad, bagaimanapun berkata tiada suspek yang berjaya ditahan dalam kejadian berkenaan. - BERNAMA

5 pengunjung ke kawasan peranginan Lata Bayu sesat



 
BALING: Lima pengunjung ke kawasan peranginan Lata Bayu dekat sini, hilang dipercayai sesat dalam kawasan hutan itu, sejak petang semalam.

Gerakan mencari dan menyelamat dimulakan sejak 10 malam tadi membabitkan lebih 50 penduduk Kampung Banggol dan Asam Jawa serta kawasan sekitar, sebaik mendapat maklumat lima pengunjung ke Lata Bayu tersesat di kawasan itu. Usaha awal penduduk kampung malam tadi terpaksa dihentikan kerana keadaan hutan tebal serta tiada sebarang maklum balas daripada mangsa.
Pagi ini, gerakan mencari dan menyelamat diteruskan membabitkan lebih 100 orang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk tempatan.

Hingga petang ini, usaha mencari masih diteruskan dan tertumpu pada kawasan awal yang dimaklumkan di mana mangsa tersesat.

Pengerusi Biro Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Baling (KARIB), Zahir Saad, 32, yang ditemui Bernama berkata mangsa menghantar isyarat kepada anggota radio amatur itu kira-kira 3 petang semalam memaklumkan lima orang tersesat di kawasan Lata Bayu dan meminta bantuan.

Zahir berkata, pengirim maklumat melalui radio amatur itu mendakwa salah seorang rakan mereka dipatuk ular dan seorang rakan wanita meninggal dunia.
Beliau berkata, selepas menerima maklumat itu, pihaknya mengarahkan semua anggota kelab itu menjalankan usaha mencari dan menyelamat sebelum anggota pasukan penyelamat tiba.

"Hingga petang ini kami kehilangan petunjuk dan maklumat untuk mengesan mangsa kerana mangsa dipercayai gagal menghantar maklumat akibat kehabisan bateri pada radio mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Mohd Daud Mohd Hasan, berkata sehingga kini identiti kelima-lima mangsa yang didakwa sesat di kawasan itu masih belum diketahui dan usaha mencari serta menyelamat masih diteruskan.

- BERNAMA

Letupan bom, tembak menembak di pusat beli-belah Filipina



 
MANILA: Seorang terbunuh dan tujuh lagi mengalami kecederaan apabila sebutir bom tangan meletup dan tembak menembak tercetus di pusat membeli-belah di pinggir ibu negara Filipina, kata polis hari ini.

Letupan dan tembak menembak dipercayai sebahagian percubaan merompak kereta perisai yang membawa wang tunai di pusat membeli-belah Alabang Town Center. Pegawai polis Alabang, Ernesto Arroyo berkata, lelaki bersenjata pada mulanya membaling bom tangan yang mengakibatkan letupan di pintu depan bank menyebabkan lima pelanggan cedera. Mereka kemudiannya melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan.
Ketika berbalas tembakan, seorang suspek ditembak mati dan dua pengawal keselamatan mengalami kecederaan sebelum suspek lain melarikan diri. - AFP

Muka bernanah selepas rawatan di pusat kecantikan




PEAK CHENG menunjukkan gambar wajahnya yang dipenuhi bintik-bintik merah dan bernanah (kiri) pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pemilik kedai salun rambut terpaksa menanggung derita apabila mukanya bernanah selepas dia mendapat perkhidmatan mencuci muka di sebuah pusat kecantikan di Banting, Selangor pada bulan Januari lalu.
Mangsa, Hong Peak Cheng, 31, berkata, mukanya kini dipenuhi bintik merah dan jeragat serta bernanah sehingga dia tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana mukanya terasa sakit setiap kali disentuh.
"Seorang pakar kulit memberitahu bahawa muka saya telah dijangkiti kuman dan perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya enam bulan yang menelan belanja sebanyak RM8,000.
"Lebih malang lagi apabila pusat kecantikan itu enggan menanggung bayaran tersebut malah mencabar saya supaya melaporkan masalah itu kepada pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, wakil peguam MCA, P.Y Leong dan James Ee serta suami mangsa, Yao Chee Wee, 37.
Mengimbau kembali kejadian tersebut, Peak Cheng yang tinggal di Banting berkata, dia mendapatkan perkhidmatan di pusat kecantikan itu selepas disyorkan oleh adik iparnya.
"Bintik-bintik merah timbul selepas muka saya dicuci buat kali kedua. Seorang pekerja pusat berkenaan memberitahu bahawa ia perkara biasa malah meminta saya terus menggunakan produk mereka," jelasnya.
Ceritanya lagi, ekoran percaya dengan jaminan pekerja pusat berkenaan, dia terus mendapatkan perkhidmatan itu sehinggalah dia mengalami kesakitan serius pada muka walaupun telah membelanjakan sebanyak RM1,704 termasuk kos pembelian produk kecantikan.
"Apabila saya mengemukakan perkara itu kepada pusat kecantikan terbabit, mereka mendakwa saya mengalami masalah ketidakseimbangan hormon yang mereka dakwa sebagai satu fenomena biasa.
"Apabila masalah semakin serius, saya terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar kulit sekali setiap dua minggu," ujarnya yang telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Banting pada 10 September lalu.
Peak Cheng berkata, kehidupannya terjejas kerana dia mengalami tekanan emosi dan malu setiap kali berhadapan dengan orang ramai ekoran masalah pada mukanya itu.

Mayat rentung di dalam semak




ANGGOTA polis memeriksa satu mayat rentung yang ditemui di dalam semak di Jempol semalam.


JEMPOL - Hajat seorang lelaki Orang Asli untuk membuang air kecil di dalam semak terbantut selepas dia terkejut apabila menemui satu mayat rentung di pusat pembuangan sampah di Kilometer 9 Jalan Jelai-Rompin berhampiran Ladang Bukit Tinggi, Rompin di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, mayat itu ditemui pada pukul 8.30 pagi oleh penoreh getah berusia 21 tahun tersebut ketika dia hendak membuang air kecil.
"Sebaik sampai di tempat kejadian, dia hairan apabila melihat ada kesan lalang terbakar. Selepas diamatinya, dia terkejut apabila menemui mayat yang rentung lebih 50 peratus di kawasan tersebut.
"Dia kemudian bergegas memberitahu rakannya sebelum menghubungi polis. Pemeriksaan mendapati mayat lelaki itu rentung menyebabkan identiti dan jantinanya sukar dikenal pasti," katanya di sini semalam.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mayat mangsa kemungkinan telah dibakar di tempat kejadian dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui. Jarak mayat dijumpai dari jalan besar ialah kira-kira 30 meter.
Menurut Hamzah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat dan kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Mati diikat, dibunuh perompak




ANGGOTA polis mengangkat mayat Peck Lan yang ditemui mati dalam keadaan terikat di dalam bilik rumahnya di Pelabuhan Klang kelmarin.


PELABUHAN KLANG – Seorang adik yang pergi ke rumah kakaknya selepas risau mengenai wanita itu yang tidak menjawab panggilan telefon terkejut apabila mendapati mangsa dibunuh perompak dalam kejadian di sebuah rumah teres setingkat di Jalan Seroja di sini kelmarin.
Mayat Lim Peck Lan (gambar kecil), 65, ditemui pada pukul 6.30 petang dalam keadaan mulut, tangan dan kakinya diikat menggunakan pita pelekat di dalam bilik belakang rumahnya.
Difahamkan, adik perempuan mangsa yang tinggal berhampiran terus pergi ke rumah kakaknya yang menetap bersendirian selepas dua panggilan telefon yang dibuatnya pada pukul 2.30 dan 3.30 petang tidak dijawab mangsa. Kali terakhir mangsa dilihat ialah enam jam sebelum itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan Perundangan) Selangor, Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, selain diikat, mulut mangsa turut berdarah namun tiada kesan tikaman dan kecederaan lain ditemui.
“Siasatan percaya mangsa telah dibunuh oleh penjenayah yang menceroboh rumahnya melalui pintu belakang berdasarkan kesan umpil.
“Rumah mangsa berselerak dan pemeriksaan mendapati kad pengenalan dan telefon bimbitnya lesap,” katanya.
Tambahnya, mayat wanita terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, mangsa seorang yang baik dan pernah menyelamatkan nyawanya ketika dia diserang penjenayah baru-baru ini.
“Jeritan mangsa telah membuatkan lelaki yang tidak dikenali itu lari selepas menetak tangan dan kaki saya dengan parang,” ceritanya.
Difahamkan, mangsa ada memelihara dua ekor anjing dan ketika kejadian, kedua-dua ekor haiwan berkenaan dikatakan telah hilang.

Pemandu cemas terjun treler



RAMUN REDZUAN (kanan) dibantu rakannya mendaki tebing selepas
terjun dari treler yang terbabas ke dalam gaung.


SEREMBAN – Seorang lelaki melalui detik mencemaskan apabila terpaksa melompat keluar dari treler membawa muatan bongkah batu yang sedang dipandunya sebelum kenderaan berat itu terjunam ke dalam gaung dalam kejadian di Kilometer 21 Jalan Pantai-Jelebu berhampiran Bukit Tangga di sini kelmarin.
Kejadian mendebarkan itu berlaku pada pukul 5.30 petang apabila Ramun Redzuan Mohd. Hakim, 41, yang sedang memandu treler itu bersendirian gagal mengawal kenderaan berat tersebut.
Ramun Redzuan memberitahu, kejadian berlaku ketika dia yang dalam perjalanan dari Titi, Jelebu di sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang sedang menuruni Bukit Tangga.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Kelisa di hadapannya yang memperlahankan kenderaan selepas memotongnya.

BEGINILAH keadaan kereta Perodua Kelisa yang rosak akibat dirempuh sebuah treler dalam kemalangan di Seremban kelmarin.


“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana jarak antara lori dan kereta itu terlalu hampir selain bimbang jika bebanan yang saya bawa akan mengakibatkan kejadian lebih buruk.
“Dalam keadaan cemas itu, saya terus memaut stereng hingga masuk ke laluan bertentangan sebelum saya melompat keluar apabila mendapati treler menghala ke arah gaung sedalam lebih 10 meter,” ceritanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, dia bersyukur terselamat dalam kejadian itu walaupun mengalami cedera ringan di tangan dan kaki kanan ketika terjun dari trelernya.
Sementara itu, pemandu kereta, Nor Asmah Othman, 35, memberitahu, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pejabat Tanah dan Daerah Jelebu ke rumahnya di Senawang.
“Selepas memotong treler itu, saya terpaksa memperlahankan kenderaan kerana terdapat banyak kereta di hadapan saya sebelum dilanggar kenderaan berat tersebut yang meluru laju,” katanya yang cedera di dahi selepas terhantuk pada stereng.

15 orang maut, 24 cedera minum arak haram di Republik Czech



PRAGUE - Pihak berkuasa Republik Czech mengumumkan situasi darurat selepas sekurang-kurangnya 15 orang maut dan 24 lagi dimasukkan ke hospital selepas mereka meminum arak murah jenis vodka dan rum yang dicampurkan metanol.
Metanol merupakan bahan toksik yang digunakan untuk menguatkan lagi alkohol yang digunakan dalam pasaran gelap bagi membolehkan pengeluar arak haram mengaut keuntungan lebih tinggi.
Polis menyatakan, mereka telah menyerbu 410 kios dan pasar di seluruh negara dan mendapati sekitar 70 pekedai menjual arak haram.
Sebahagian mangsa menjadi buta manakala sebahagian lagi diletakkan dalam keadaan koma dengan harapan doktor-doktor dapat menyelamatkan mereka.
Perkembangan tersebut mendorong Perdana Menteri Petr Necas menggesa rakyat Republik Czech supaya tidak meminum arak yang tidak diketahui asal-usulnya. - AP