Search This Blog

Thursday, September 13, 2012

Empat Ah Long kantoi



DIANA SURYA ABD WAHAB
13 September 2012
Empat Ah Long kantoi
(Dua, kiri) Zamri dan Zaizul bersama kakitangan dan anggota masing-masing bersama iklan haram yang berjaya diturunkan di sekitar Indera Mahkota 2, dekat sini, semalam.
KUANTAN – Empat lelaki Cina lingkungan 20 dan 30 berjaya diberkas polis sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini membabitkan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, modus operandinya dengan menampalkan iklan di pokok, tiang dan pondok telefon dan menawarkan pinjaman wang dengan kadar bunga rendah untuk menarik pelanggan.

Menurutnya, pihak polis menerima tiga aduan melibatkan dua lelaki Cina dan seorang lelaki Melayu berhubung kegiatan tersebut.
“Mereka juga memperdaya mangsa dengan memberi jaminan mereka merupakan peminjam berlesen.

“Berbanding tahun lalu bagi tempoh sama, kita menerima dua aduan daripada mangsa terdiri daripada lelaki Cina,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung operasi bersepadu membanteras iklan pemberi wang pinjaman tanpa lesen oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Indera Mahkota 2.

Operasi tersebut yang bermula seawal jam 10 pagi sehingga 12.30 tengah hari melibatkan enam orang anggota polis dan lapan kakitangan MPK diketuai Ketua Bahagian Siasatan JSJK, ASP Zaizul Rizal Zakaria dan Penolong
Pegawai Kesihatan Persekitaran (Unit Iklan), Zamri Sarmini.

Katanya, sebanyak lebih kurang 480 iklan haram Ah Long berjaya diturunkan dalam operasi tersebut.

“Antara lokasi yang terlibat Kuantan Garden, Air Putih, Alor Akar, Indera Mahkota dan Bukit Setongkol.

“Sebelum ini, kita juga telah menurunkan sebanyak 1,466 iklan haram tersebut meliputi Air Putih, Indera Mahkota dan Kubang Buaya.

“Usaha membasmi iklan-iklan haram ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan diperluas sehingga pemberi pinjaman menghentikan kegiatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmani juga menasihatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang terutamanya Ah Long sama ada untuk tujuan perniagaan atau kesempitan.

“Meminjam daripada Ah Long hanya akan mengundang padah apabila peminjam dikenakan bayaran faedah yang terlalu tinggi dan kegagalan menjelaskan hutang bukan sahaja menyusahkan diri sendiri sebaliknya
membabitkan keluarga, anak dan isteri.

“Sebaik-baiknya peminjam perlu membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen sama ada untuk memulakan perniagaan atau sebagainya,” katanya.

Tiada maaf buat Koden



RUBIAH OMAR
13 September 2012
Tiada maaf buat Koden
Mahkamah Tinggi, semalam, mengarahkan hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan ke atas ‘Koden’ kerana kesalahan merogol murid tahun lima dikekalkan.
KUALA TERENGGANU - Kesalahan seorang pekerja kilang kelapa sawit yang dikenali dengan nama ‘Koden’ merogol seorang murid tahun lima dua tahun lalu di kawasan semak di Kampung Masjid Padang Kubu Ayer Putih, Kemaman, dipandang serius oleh Mahkamah Tinggi semalam.

Ini terbukti apabila Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kemaman ke atasnya tahun lalu, selepas didapati bersalah merogol mangsa yang juga anak kepada arwah rakan baiknya sendiri.
Sebelum ini, Koden, 33, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan iaitu merogol mangsa yang baru pulang dari mengaji al-Quran di kawasan semak di Kampung Masjid Padang Kubu Ayer Putih, Kemaman, kira-kira jam 8.30 malam, 5 Mei 2010.

Tertuduh telah mengumpan RM2 kepada mangsa yang masih mentah itu sebelum bertindak menanggalkan pakaian dan menyandarkan badan mangsa di batang pokok pisang lalu merogolnya.

Mangsa memaklumkan tertuduh sudah beberapa kali melakukan perbuatan terkutuk itu iaitu sejak dia dalam tahun tiga lagi, dan setiap kali melakukan perbuatan itu, tertuduh akan memberi sejumlah wang kepadanya.

Bagaimanapun, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada ibunya pada 23 Mei 2010 selepas ditanya sebelum bapa saudaranya membuat laporan di Balai Polis Ayer Puteh, 24 Mei 2010.

Susulan laporan dibuat, ‘Koden’ yang juga rakan baik kepada arwah ayah mangsa dan tinggal berhampiran rumah mangsa ditahan sepasukan polis di hadapan Pondok Polis Padang Kubu, Kemaman keesokan harinya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.

Peniaga shisa tak serik diserbu banyak kali



ROSALWANI CHE SOH
13 September 2012
Peniaga shisa tak serik diserbu banyak kali
Penguat kuasa MPKB-BRI, Mohamad Ali sedang memeriksa peralatan shisa yang dirampas.
KOTA BHARU- Degil! Walaupun pernah diserbu beberapa kali, beberapa premis di bandar ini tidak serik dan masih menjalankan perniagaan di premis jualan mereka dengan menyediakan shisa bagi menarik pelanggan.

Atas risikan dan maklumat awam, taktik peniaga di restoran terbabit berjaya dihidu pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MKPB-BRI) dan merampas sebanyak 83 botol shisa bernilai RM35,000.

Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa MPKB-BRI, Ramli Che Hussain berkata, dalam serbuan terbabit yang dijalankan sejak 6 September sehingga semalam, sebanyak empat lokasi dikenal pasti menjalankan perniagaan dengan menggunakan shisa termasuk di Jalan Sultanah Zainab, Jalan Pejabat Pos Lama, Taman Hijau dan di kawasan Berek 12, Kadir Adabi.

“Peniaga di premis makanan terbabit, masih tidak serik walaupun pernah dikenakan tindakan.

“Mereka melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pengawalan, Penyeliaan Establishment Makanan 1987 (Pindaan 2003) yang tidak membenarkan penggunaan dan penawaran alat di premis yang dilesenkan.

Ramli berkata, setakat tahun ini, jumlah rampasan terbabit merupakan yang terbesar sepanjang serbuan dijalankan di sekitar bandar ini.

“Walaupun MPKB tidak dapat menguatkuasakan larangan jualan peralatan shisa, namun peralatan itu dirampas kerana penjualan shisha menyalahi syarat lesen niaga dikeluarkan MPKB.

“Jadi sememangnya jelas, shisa tidak boleh dijual di mana-mana premis perniagaan di negeri ini dan seharusnya peniaga terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, diharapkan dengan rampasan yang dilakukan dapat menyedarkan para peniaga dan memberi amaran bahawa penjualan shisa tidak dibenarkan di Kelantan.

Kita harap selepas ini peniaga-peniaga di negeri ini mematuhi dan memahami peraturan yang ditetapkan supaya imej negeri ini terpelihara dan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Mangsa ditetak harap peragut terima balasan



ADILA SHARINNI WAHID DAN ROSALWANI CHE SOH
13 September 2012
Dua suspek
Dua suspek dibawa ke mahkamah untuk ditahan reman, semalam.
KOTA BHARU – Mangsa ragut, Rohairani Abdullah @ Ibrahim mengharapkan penjenayah terbabit mendapat balasan setimpal dengan kecederaan dialami.
Rohairani berkata demikian susulan penahan dua suspek yang dipercayai terlibat meragut beg tangannya di Jalan Sultanah Zainab, di sini, 30 Ogos lalu.
“Saya bersyukur suspek sudah ditahan polis. Saya harap mereka dapat balasan sama dengan kecederaan pada tangan saya ini. Jangan pula perkara sama berlaku kepada orang lain,” katanya.
Mangsa yang juga pembantu klinik hampir putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak menggunakan parang dalam kejadian itu.
Dia yang masih trauma berkata, selepas kejadian tersebut, dia sudah tidak lagi membawa beg tangan jika keluar ke mana-mana.
“Semasa lalu di tempat kejadian, saya masih lagi dapat merasai kejadian itu dan saya juga takut untuk berjalan sendirian,” katanya.
Rohairani bagaimanapun bersyukur sudah dapat mengerakkan bahagian depan jarinya walaupun masih berbalut dan berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital.
Dalam pada itu, Polis Kelantan berjaya menahan dua suspek bersama beberapa senjata yang digunakan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, setakat ini kedua-dua suspek masih dalam tahanan pihak polis.
“Saya percaya dalam masa terdekat, laporan akan dikemukakan kepada ketua polis negeri untuk tindakan selanjutnya. Kita percaya dapat menangkap orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah yang dilakukan itu dan mereka akan menerima hukuman setimpal,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ismail turut memuji kecekapan dan tindakan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berhubung kes terbabit, yang berjaya menahan suspek hanya dalam masa dua minggu.
“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Kelantan mengambil inisiatif berlanjutan untuk mengesan kalau ada kawan suspek yang juga terlibat dalam kes seumpama itu.
“Ini bagi menyelesaikan perkara seumpama itu dari terus menghantui masyarakat di Kota Bharu khususnya dan mengambil tindakan susulan bagi menambahkan kawalan di sekitar bandar,” katanya.
Beliau berharap, perkara ini dapat tangani dan mengharapkan kerjasama orang ramai supaya dapat mengawal jenayah setempat.
Sementara itu, belia turut memuji tindakan Kontinjen Polis Kelantan yang turut menempatkan anggota wanita di sekitar kawasan membeli belah bagi mengurangkan kadar jenayah ragut.
“Saya akan serah cadangan susulan berhubung perkara ini untuk dilaksanakan diperluaskan kepada daerah-daerah lain melalui ketua polis negeri dan ketua polis daerah untuk dinilai,” katanya.

28 maut nahas bas di Shimla



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
28 maut nahas bas di Shimla
.
SHIMLA - Sekurang-kurangnya 28 maut, manakala berpuluh lagi cedera serta dikhuatiri hilang, apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung ketika melalui laluan sempit di kawasan pergunungan Himachal Pradesh di utara India, kelmarin.

Bas berkenaan yang membawa lebih daripada 45 penumpang, dikatakan hilang kawalan lalu terhumban ke dalam sungai ketika melalui cerun berliku.

Penguasa polis daerah Diljeet Thakur berkata, bas itu membawa lebihan penumpang yang kebanyakan duduk di atas bas.

“Kami menemui 28 mayat setakat ini dan angka kematian akan meningkat kerana masih ramai penumpang yang masih hilang,” katanya.

Doktor palsu rawat lebih 2,000 pesakit di Jepun



TOKYO -  Seorang lelaki yang tidak mempunyai sebarang lesen perubatan atau kelayakan sebagai doktor dipercayai telah melakukan prosedur rawatan ke atas kira-kira 2,363 pesakit dalam tempoh dua tahun.

Menurut jurucakap di Hospital Besar Takashimadaira Chuo di Tokyo, doktor palsu berumur lingkungan 40-an itu mula berkhidmat secara sambilan di hospital itu sejak 2010.

Stesen penyiar TBS melaporkan penipuannya terbongkar selepas pihak sekolah perubatan yang pernah menggunakan perkhidmatannya bertindak menghubungi hospital.

Dalam satu kenyataan yang dipaparkan di dalam laman sesawang rasmi hospital, mereka turut memohon maaf berhubung insiden tersebut dan berjanji kecuaian seumpama itu tidak akan berulang.

16 mayat ditemui dalam trak di Mexico City



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
MEXICO CITY - Seramai 16 mayat dipenuhi luka bekas peluru ditemui dalam sebuah trak yang di parkir tepi lebuh raya Coyuca de Catalan, di wilayah selatan Tierra Caliente berhampiran bandar Guerrero, Mexico.

Pegawai polis tempatan Angel Aguirre berkata, semua mayat adalah lelaki dan yakin penemuaan ini mempunyai kaitan dengan pergaduhan antara kartel dadah terbesar yang berpusat di Michoacan, La Familia dan Knights Templar  minggu lalu.

“Kami menerima panggilan dari seseorang yang menyatakan terdapat 16 mayat dari Michoacan akan dibuang di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, identiti mayat masih belum dikenal pasti dan kebanyakan mangsa di bunuh dengan pelbagai senjata.

Bela harimau atas bumbung di Thai



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Bela harimau atas bumbung di Thai
Salah seekor harimau yang dibela di atas bumbung sebuah apartmen di wilayah Pathum Thani, kemarin.
BANGKOK - Pihak berkuasa menahan seorang lelaki yang didakwa membela enam ekor harimau secara tidak sah di kawasan bumbung sebuah apartmen empat tingkat di kawasan kejiranan Pathum Thai, pinggir Bangkok, kelmarin.

Menurut polis, kesemua haiwan mamalia pemakan daging itu termasuk dua anak harimau tersebut dikurung di dalam sebuah sangkar besar.

Pegawai polis, Adtapon Sudsai berkata, pemilik haiwan itu, Surasak Bunthienthong, 28, telah didakwa atas kesalahan memiliki haiwan liar yang dilindungi.

"Hasil siasatan awal kami mendapati, apartmen tersebut dijadikan tempat transit untuk urusan jual beli harimau secara haram di Thailand, di mana spesies tersebut diseludup untuk mendapatkan kulit dan organnya bagi menghasilkan ubat tradisional," katanya.

Baling batu kejut rakan tidur




         
JOHOR BAHRU: “Sebaik terkejut apabila mendapati rumah dihuni dua rakan setugas dijilat api, saya terus membaling batu ke arah rumah itu untuk mengejutkan mereka daripada tidur.

“Syukur kerana mereka berjaya menyelamatkan diri, namun dalam keadaan tergesa-gesa, saya melihat arwah pengsan selepas mengalihkan keretanya sebelum disahkan meninggal dunia.” Demikian kata rakan serumah Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor, Ahmad Hassan, 54, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rumah bersebelahannya di Taman Pelangi di sini, dibaling dengan bom petrol, kira-kira jam 4 pagi semalam.


Pegawai kastam yang enggan dikenali itu berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan tidak menyangka arwah akan pergi buat selama-lamanya.

“Saya dan Ahmad sama-sama keluar dari rumah sebelum dia mengalihkan kereta jenis Honda Civic miliknya mengelakkan daripada terbakar.


“Sejurus kemudian saya melihat dia terbaring di tepi keretanya dalam keadaan tidak bergerak. Petugas perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.


Sepupu mangsa yang mahu dikenali sebagai Pouzi, 44, pula berkata, selama ini dia hanya mengetahui arwah menghidap kencing manis tetapi tidak mengetahui arwah juga menghidap sakit jantung.

“Kali terakhir kami bertemu ketika Ramadan lalu dan ketika itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.


Sementara itu, Pengarah KDRM Johor, Datuk Ramli Johari berkata, Ahmad adalah pegawai yang berdedikasi dan berpengalaman berikutan sudah berkhidmat selama 30 tahun.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan masih bekerja seperti biasa kelmarin. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan pemergiannya satu kehilangan besar kepada KDRM,” katanya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, M Vijayan berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 4.11 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

Tiga pelajar ponteng ragut penumpang wanita

KUALA LUMPUR: Sekumpulan remaja ponteng sekolah dikesan meragut penumpang stesen transit aliran ringan (LRT) di sekitar ibu negara sebelum seorang daripadanya diberkas polis, kelmarin, ketika melakukan jenayah itu terhadap seorang pelajar perempuan kolej swasta di Stesen LRT Hang Tuah, di sini. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, sekumpulan remaja terbabit yang masih di bawah umur berkeliaran secara berkumpulan dengan memakai pakaian biasa pada waktu persekolahan. Menurutnya, dalam kes berkenaan mangsa berusia 21 tahun dihampiri tiga remaja terbabit di stesen LRT berkenaan jam 10.30 pagi sebelum ditolak sehingga jatuh. “Suspek bukan saja meragut telefon pintar milik mangsa, malah turut mencabulnya yang cedera di lutut. “Bagaimanapun, perlakuan suspek dilihat anggota polis yang meronda sebelum ketiga-tiganya cuba diberkas dan seorang daripada mereka ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam. Mohmad berkata, remaja yang ditahan berusia 15 tahun dan pemeriksaan lanjut menemui telefon pintar milik mangsa dan satu pisau berukuran kira-kira 20 sentimeter dalam poket seluarnya. “Soal siasat mendapati remaja terbabit mengaku melakukan samun terhadap seorang wanita di Desa Tasik, Mac lalu. “Remaja terbabit kini direman seminggu dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 354 kanun sama kerana mencabul,” katanya.

Wartawan giat lapor pembalakan haram ditemui mati dibunuh




         
PHNOM PENH: Seorang wartawan Kemboja yang mendedahkan aktiviti pembalakan haram ditemui mati dibunuh dan mayatnya ditinggalkan dalam but kereta, kata polis semalam.

Pegawai kanan polis, Song Bunthanorm, berkata mayat wartawan Vorakchun Khmer Daily, Hang Serei Oudom, ditemui dalam kenderaan mangsa yang ditinggalkan di sebuah ladang gajus di wilayah Ratanakiri, kelmarin “Ia bukan rompakan, tapi kes bunuh.


“Ada beberapa kesan kecederaan di kepala yang mungkin disebabkan penggunaan kapak,” katanya. Hang, 44, gagal dikesan sejak dia keluar dari rumahnya petang Ahad lalu. Ketua Pengarang Vorakchun Khmer Daily, Rin Ratanak, berkata Hang banyak menulis mengenai aktiviti pembalakan haram membabitkan ahli perniagaan serta pegawai kerajaan berpengaruh di wilayah berkenaan. “Kebanyakan berita Hang adalah mengenai kegiatan pembalakan haram membabitkan kayu bernilai tinggi,” katanya. - AFP

Pelarian dari Timur Tengah dalam perjalanan ke Australia terkandas di Sulawesi




         
JAKARTA: Perjalanan pelarian dari Timur Tengah ke Australia, berakhir di Sulawesi Selatan apabila pegawai dari balai polis Jeneponto menahan mereka, semalam.

Empat puluh lima lelaki dan empat wanita pelarian, serta seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun, dilaporkan membawa pasport dan visa untuk perjalanan itu.
Ketua Pemantauan dan Divisyen Penguatkuasa Undang-Undang di Pusat Imigresen Makassar, Muhammad Bakri berkata, “Mereka mempunyai sijil dari Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) yang mengatakan mereka pencari suaka, tetapi mereka tidak mempunyai dokumen atau permit untuk masuk ke wilayah Indonesia.”

Bakri berkata, pelarian yang kebanyakan dari negara Timur Tengah seperti Afghanistan, Pakistan dan Iran, menaiki bot mahu ke Australia melalui Nusa Tenggara Timur (NTT), tetapi bot kayu itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut di perairan Punagaya di daerah Bangkala, Jeneponto, kelmarin.


“Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan kerana enjin rosak dan angin kuat. Penduduk kampung Punagaya mengesahkan kejadian itu dan melaporkannya kepada polis,” kata Bakri.


Polis turut menahan dua warga Indonesia dari NTT yang bekerja di atas bot berkenaan.

Selepas menyoal siasat pelarian itu, polis Jeneponto kemudian menyerahkan mereka kepada pejabat imigresen di Makassar.

“Terdapat 52 orang di dalam bot itu tetapi dua daripada mereka berjaya melarikan diri ketika polis tiba di tempat kejadian. Anggota polis kini memburu dua lelaki itu,” kata Bakri.

Semua 50 pelarian itu ditempatkan sementara di Wisma Dirgantara milik Tentera Udara kerana pusat tahanan imigresen di Bollangi Gawa, penuh. - Jakarta Post

Mati lepas dua bulan dibakar

YUGAVINAYAGAR...dibakar suspek curi petrol
YUGAVINAYAGAR...dibakar suspek curi petrol
KLANG: Hanya kerana mahu menghalang sekumpulan individu cuba mencuri minyak petrol motosikal milik ibunya, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bertarung nyawa dan terlantar di hospital dua bulan selepas dibakar hidup-hidup individu terbabit di Desa Idaman, Taman Sentosa, di sini, 29 Julai lalu.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di Hospital Selayang (HS), di sini, jam 6.30 pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, P Yugavinayagar,15, ditemui jiran dalam keadaan terbaring dengan keseluruhan badannya melecur berhampiran motosikal di tempat meletak kenderaan pangsapuri.
Mangsa yang cedera serius di seluruh anggota badan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum dirujuk ke HS untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kecederaan akibat kebakaran yang dialami menyebabkan mangsa koma sepanjang ditempatkan di HS selain kaki kanannya dipotong kerana mengalami jangkitan kuman.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, mangsa dipercayai dibakar individu tidak dikenali gara-gara berang perlakuannya mencuri minyak dari motosikal disedari mangsa.
Katanya, polis masih menyiasat motif dan punca kejadian memandangkan tiada saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian.

“Polis mendapat laporan mengenai kejadian dua hari selepas insiden apabila ibu mangsa membuat laporan polis.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan terperinci terus dijalankan,” katanya.

Mohamad berkata, berdasarkan laporan awal mendapati mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman berfungsi selepas mengalami cedera serius akibat dibakar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 435 KK kerana khianat dengan menggunakan api.

Kempunan joli RM93,000



Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Hasrat empat lelaki warga Pakistan berjoli sakan dengan wang hasil tebusan RM93,000 selepas menculik rakan senegara dan mengurungnya sembilan hari di sebuah rumah setinggan di Taiping, Perak, tidak kesampaian apabila keluarga mangsa membuat laporan dan rumah itu diserbu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, mangsa berusia 20-an yang baru tiba di Malaysia untuk bekerja diperdaya empat rakannya dengan ditawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Taiping sebelum dikurung sejak 29 Ogos lalu.


Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang rakannya yang menawarkan pekerjaan dan dia yang tidak mengesyaki apa-apa menaiki bas dari Pudu Sentral ke Taiping.

“Sebaik tiba di Taiping, mangsa dibawa ke sebuah rumah setinggan di Kampung Dato Haji Hashim, Simpang, dengan teksi kononnya untuk berbincang mengenai bidang kerja ditawarkan dan gaji yang akan diterimanya.


“Namun, dalam rumah berkenaan mangsa dikurung dengan dikawal tiga lagi lelaki senegaranya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.


Mohmad berkata, kumpulan penculik terbabit kemudian menghubungi adik mangsa di Pakistan dan menghantar gambar mangsa menerusi e-mel serta meminta wang tebusan RM26,000. “Malah, suspek turut mengugut untuk membunuh mangsa jika keluarganya gagal menyediakan wang tebusan.

“Adik mangsa membuat laporan polis, namun dia yang bimbang berlaku perkara buruk terhadap abangnya turut membayar wang tebusan itu,” katanya.


Katanya, kumpulan penculik terbabit tamak apabila meminta wang lagi sebanyak RM67,000 daripada keluarga mangsa jika mahu mangsa dibebaskan walaupun pembayaran terdahulu sudah dibuat.

“Hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9), IPK Kuala Lumpur berjaya mengesan suspek berusia 22 hingga 28 tahun di rumah setinggan itu sebelum melakukan serbuan.


“Keempat-empat suspek bekerja di ladang dan tapak pembinaan serta memiliki permit kerja sah mengaku terbabit komplot menculik dan memeras wang tebusan daripada mangsa,” katanya.


Beliau berkata, suspek terbabit kini direman mulai 6 September lalu selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan boleh dihukum gantung mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terperosok bawah kereta



Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
         
ALOR GAJAH: “Abang, ada orang terperosok bawah kereta!,” jerit Aminah Abu Bakar, 46, sambil memandang ke arah suaminya, Sulaiman Maidin, 50, selepas kereta mereka terbabit kemalangan di Jalan Kemus-Alor Gajah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, penunggang motosikal yang belum dikenal pasti identitinya itu bernasib baik apabila hanya cedera ringan walaupun terperosok di bawah kereta berkenaan.


Difahamkan, mangsa berusia awal 40-an yang menunggang motosikal Honda EX-5 turut terseret kira-kira 10 meter sebelum kenderaan itu terhenti di bahu jalan.

Menurut Aminah, dia bersama suami dan anak lelaki mereka, Mohd Fazli Sulaiman, 16, ketika itu dari arah Simpang Ampat menuju Tampin, Negeri Sembilan kerana ada urusan perniagaan.


“Ketika dalam perjalanan, saya menyedari sebuah motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan membelok ke kiri jalan. “Kereta dipandu suami kemudian tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh motosikal itu lalu menyeret mangsa dan terbabas ke kiri jalan.


“Saya terkejut apabila mendapati mangsa dan motosikalnya turut terperosok di bawah kereta selepas merempuh tiang papan tanda,” katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata, dia menyedari motosikal mangsa cuba membelok ke kiri dalam jarak 25 meter.


“Saya terkejut melihat mangsa yang cedera dan masih sedar di bawah kereta sebelum orang ramai tiba untuk membantu mengangkat kereta dan mengeluarkan mangsa.

“Mangsa yang cedera ringan dapat dikeluarkan sebelum dihantarke Hospital Tampin untuk rawatan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Letupan tong gas berapi



Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
         
MELAKA: “Ketika sibuk memasak, saya terperanjat apabila terdengar letupan kuat tong gas sebelum mengeluarkan api seterusnya menyambar keseluruhan dapur.

“Saya bergegas untuk cuba menyelamatkan beberapa dokumen penting, tetapi gagal berikutan api terlalu marak dan mujur sempat menarik keluar anak lelaki yang turut berada di tempat kejadian,” kata Mariana Tau, 47, pemilik gerai makan di Medan Selera Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Sungai Udang di sini, yang musnah terbakar, semalam. Kejadian jam 9.30 pagi itu turut menyebabkan ibu anak empat itu cedera di tangan kanan akibat melecur ketika cuba menyelamatkan beberapa barangan dan dokumen penting dan sejumlah wang tunai. Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat membawa keluar beberapa tong gas dari dalam premis itu menghalang api daripada merebak ke empat premis lain.


Kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan bahagian dapur gerai berkenaan dan selain dokumen penting, mangsa turut kehilangan telefon bimbit dan wang tunai dengan kerugian dianggarkan RM40,000.

Mariana berkata, ketika kejadian, dia sibuk melakukan rutin hariannya sejak dua tahun lalu iaitu menyediakan masakan lauk-pauk untuk dijual kepada pelanggan.


“Namun, tiba-tiba saya terdengar letupan dan mendapati api menyambar dari tong gas yang digunakan.


“Tanpa berfikir panjang, saya cuba menyelamatkan dompet berisi dokumen penting terutama kad pengenalan selain wang tunai dan tiga telefon bimbit di dapur, tetapi tidak sempat kerana api semakin marak. “Dalam keadaan panik itu, saya membawa keluar anak (Muhammad Yusof Norazlan, 21) ke kawasan lebih selamat. Mujur saya hanya cedera ringan di tangan kanan akibat terkena api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Ahli Majlis MBMB, Abd Jameel Abd Jabbar hadir meninjau gerai berkenaan.

Katanya, walaupun kerugian ribuan ringgit, dia bersyukur kerana tiada kejadian lebih buruk berlaku dan tidak membabitkan premis lain. Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Rashid Becik berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.44 pagi. “Seramai 24 pegawai dan anggota bersama tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Masjid Tanah dan Ayer Keroh dikerah memadamkan kebakaran. “Pemeriksaan mendapati api sedang marak di dapur gerai itu dan segera membawa beberapa tong gas bagi mengelak ia meletup sekali gus merebak ke premis lain. Api bagaimanapun berjaya dikawal dalam tempoh tiga minit,” katanya yang turut menerima bantuan sebuah jentera dari Kem Terendak.


Menurutnya, siasatan mengenai punca sebenar kejadian dan nilai kerugian sedang dijalankan.

Dua suspek ragut dicekup




         
KOTA BHARU: Dua suspek lelaki berusia 25 dan 32 tahun yang dipercayai terbabit meragut dan menetak seorang pembantu klinik, Rohairani Abdullah@Ibrahim, 36, sehingga pergelangan tangan kirinya hampir putus di Jalan Che Su, di sini, 29 Ogos lalu, ditahan, kelmarin.

Kedua-dua suspek yang juga bersahabat itu ditahan jam 7.50 pagi dalam dua serbuan berasingan di belakang Masjid Pintu Geng dan Kampung Bunut Payong, di sini, dan polis turut merampas sebilah pisau dan pedang daripada mereka.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis percaya suspek yang ditahan itu individu yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman supaya melakukan siasatan lanjut jika ada rakan suspek yang mungkin terbabit jenayah itu.


“Kami percaya dapat menahan orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah yang dilakukan itu. Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Negeri untuk mengesan sekiranya ada rakan suspek yang terbabit. Kami tidak mahu jenayah ini terus menghantui masyarakat khususnya penduduk di Kota Bharu. “Polis turut mengambil tindakan susulan untuk menambah kawalan keselamatan. Kami juga berharap orang ramai jangan membuat spekulasi kerana perkara ini bukan tidak boleh ditangani,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan, di sini, semalam.


Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zain dan Jalaluddin.

Harian Metro pada 30 Ogos lalu melaporkan, Rohairani hampir putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak menggunakan parang ketika diragut dua lelaki di Jalan Che Su, di sini.

Perut hampir pecah



Oleh Pretty Licha
am@hmetro.com.my
         
MUKAH: “Hati saya sayu melihat perut budak lelaki itu hampir pecah,” kata saksi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa kanak-kanak berusia lapan tahun apabila lori dipandu bapanya merempuh sebuah lori lain di Sungai Selat, Jalan Bintulu-Tatau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Bryant Tiong Kung Yan, murid tahun dua sekolah rendah di bandar Sibu, mati di tempat kejadian akibat cedera di perut selepas lori membawa muatan gam dipandu bapanya, Tiong Ing Tung, 44, merempuh belakang lori baja.


Saksi berkenaan, Edward Banting, 21, berkata, ketika kejadian dia memandu keretanya mengekori lori berkenaan sebelum pemandu lori di depannya menekan brek secara tiba-tiba sambil mengelak sesuatu sebelum berhenti secara mengejut.

“Saya sendiri nyaris merempuh belakang lori dipandu mangsa, tetapi disebabkan berada pada jarak yang selamat, saya mengelak daripada terbabit dalam kemalangan itu.


“Sejurus kemudian saya melihat pemandu lori berkenaan turun dengan kepalanya berlumuran darah menuju ke arah tempat duduk sebelah pemandu,” katanya. Edward berkata, dia memberhentikan kereta dan terkejut apabila mendapati pemandu lori itu cuba mengeluarkan anak lelakinya yang tidak sedarkan diri, tersepit di tempat duduk penumpang.


“Ketika itu saya sempat melihat perut kanak-kanak itu cedera parah dan banyak darah keluar. Selepas 10 minit, kami mengeluarkan kanak-kanak itu, namun tubuhnya langsung tidak bergerak,” katanya.

Pemandu lori baja terbabit, Latip anak Kerani, 42, berkata ketika kemalangan, lalu lintas di jalan berkenaan sesak kerana ada kerja naik taraf jalan dilakukan menyebabkan kenderaan berderet menunggu giliran melepasi kawasan pembinaan.


“Tiba-tiba lori saya dirempuh kuat dari belakang. Saya turun dan mendapati lori lain melanggar bahagian belakang kenderaan saya.

“Ketika itu saya nampak pemandunya cedera di kepala manakala seorang kanak-kanak berlumuran darah tersepit di tempat duduk depan,” katanya.


Difahamkan, Bryant menemani bapanya menghantar muatan gam ke Bintulu berikutan cuti sekolah sempena Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung sekarang. Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian beberapa minit kemudian akibat cedera parah pada badan, manakala bapanya dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar.


Mayat kanak-kanak malang itu dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kemalangan berkenaan menyebabkan keadaan lalu lintas di situ sesak lebih tiga jam.

Sempat selamat kenderaan dari terbakar




         
JOHOR BAHRU: Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor, Ahmad Hassan, 54, sempat menyelamatkan kereta Honda Civic miliknya daripada terbakar sebelum meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, kira-kira jam 4 pagi semalam.

Timbalan Ketua Pengarah KDRM (Penguakuasaan/ Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, sebelum itu berlaku letupan dari rumah jiran yang dihuni dua rakan sekerjanya di Taman Pelangi di sini, selepas dilontar dengan bom petrol.


Menurutnya, sebaik terdengar bunyi letupan arwah bergegas keluar rumah dan sempat menyelamatkan kereta Honda Civic miliknya sebelum dia tiba-tiba terjatuh dan terus tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Savvy milik seorang pegawai KDRM musnah.


“Rumah dihuni dua pegawai KDRM dilempar dengan bom petrol menyebabkan bahagian depan kediaman itu terbakar.


“Kebetulan, Ahmad yang tinggal berjiran dengan dua pegawai berkenaan bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan keretanya daripada terbakar selepas melihat Proton Savvy itu hangus dijilat api,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Menurutnya, Ahmad yang masih bujang dan berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu sudah bertugas dengan KDRM sejak 30 tahun lalu.


“Kami menyerahkan siasatan kes ini kepada polis dan tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan khianat,” katanya.

Apek mati tinggal gigi



Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
         
ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga emas yang terbabit kemalangan di Jalan Padang Sebang-Alor Gajah, sempat mengeluarkan gigi palsu dipakainya dan diletakkan di sisinya sebelum meninggal dunia, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa, Chai Koh Mek, 74, yang menunggang Honda EX-5 bersendirian dikatakan datang dari arah bandar ini menuju Pulau Sebang.


Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tayar belakang basikal Muhamad Fazrul Ayman Fazri, 12, yang berada di laluan kiri jalan berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Muhamad Fazrul Ayman yang sedang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula bengkak di kaki kiri akibat terpelanting dari basikalnya.


Bapa murid itu, Fazri Duamit, 43, tersentak apabila menerima panggilan daripada isterinya, Mahanum Ahmad, 39, memaklumkan anak sulung mereka terbabit kemalangan.

“Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja di pekan Alor Gajah dan bergegas pulang untuk melihat keadaan anak. Ketika dalam perjalanan, saya ternampak sekujur tubuh manusia terbaring atas jalan dan menyangkakan lokasi itu tempat anak terbabit kemalangan.


“Sebaik tiba di rumah, saya mendapati Fazrul ada dan terus memeluknya. Dia kemudian memberitahu tayar basikalnya dirempuh sebuah motosikal,” katanya yang bekerja sebagai pemandu bas.

Menurutnya, dia difahamkan anaknya tercampak ke tepi longkang manakala mangsa tercampak di tengah jalan sebelum Fazrul yang ketakutan pulang ke rumah dengan basikal rakan.


Bagi Muhamad Fazrul yang ditemui di rumahnya di Padang Sebang, dia terkejut selepas basikalnya dirempuh motosikal mangsa sebelum tercampak.


“Ketika itu, dua rakan saya sudah melintas ke seberang jalan sebelum mereka datang semula dan meminjamkan basikal supaya dapat memaklumkan kejadian kepada ibu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

‘Macam kena tarik’



Oleh Siti A’syah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my
         
SEPANG: “Saya rasa panas, kaki terasa macam ada orang tarik dan tak boleh bergerak,” kata seorang pelajar tingkatan dua yang diserang histeria dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Kampong Datuk Abu Bakar Baginda di sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Nurul, 14, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 pagi iaitu selepas dia menghantar rakannya ke sebuah bilik rawatan kerana dikatakan lemah semangat akibat kejadian histeria di sekolah berkenaan. “Rakan saya itu memang seorang yang lemah semangat, sebab itu saya membantunya ke bilik rawatan di sekolah. Pada masa itu, di bilik berkenaan memang ada beberapa pelajar.


“Saya pun kemudian terus berjalan semula ke kelas, tetapi dalam perjalanan itu saya pula terkena gangguan.

“Saya rasa badan panas dan tak boleh bergerak sehinggakan saya terpaksa dibantu rakan dan guru untuk ke bilik rawatan.


“Waktu itu saya menjerit ‘panas, panas’. Beberapa orang guru dan pelajar cuba menenangkan saya dengan membacakan ayat suci al-Quran. Ada guru yang memegang saya, tetapi saya gigit tangan seorang daripada mereka dan minta dilepaskan,” katanya yang ditemui sebaik pulih daripada gangguan itu.


Sementara itu, menurut sumber, seramai kira-kira 50 pelajar diserang histeria bagi tempoh dua hari bermula kelmarin. “Kejadian dialami Nurul hampir sejam itu turut membabitkan pelajar lain, sehingga pembelajaran di sekolah berkenaan tergendala,” katanya. Katanya, berikutan itu pihak sekolah terpaksa mengarahkan semua pelajar pulang lebih awal daripada rutin harian persekolahan serta memberi mereka cuti rehat selama dua hari bermula hari ini dan esok. “Selepas kes itu, pihak sekolah tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa, malah meminta pelajar membaca surah Yasin sebelum mengeluarkan arahan supaya pulang ke rumah masing-masing,” katanya. Menurut sumber itu lagi, dia percaya gangguan berkenaan ada kaitan dengan beberapa tempat di dalam kawasan sekolah itu yang dikatakan agak ‘keras’.

“Pihak sekolah pernah mengeluarkan arahan supaya pelajar terutama yang lemah semangat menjauhkan diri dari tempat itu. “Antara tempat itu di belakang dewan serta blok dua yang menempatkan makmal, bilik muzik dan bilik kemahiran hidup,” katanya. Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati pihak sekolah menampal notis cuti rehat di pintu pagar sekolah.

Berperingkat keluar RM1.5j



Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, diberitahu bahawa melalui penyata akaun bank simpanan milik ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar) jelas menunjukkan beliau mengeluarkan RM1.5 juta melalui cek dan tunai dalam masa beberapa hari pada penghujung tahun lalu.

Perkara itu disahkan Penolong Pengurus Maybank, Maslina Mustafar, 40, yang turut memaklumkan bahawa kira-kira RM300,000 daripada jumlah itu digunakan untuk membuat pembayaran bagi pembelian kereta di FA Automobiles (Ipoh) Sdn Bhd.
Maslina memberi keterangan di dalam prosiding perbicaraan Shamsubahrin, 46, yang didakwa menipu bekas pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Dalam keterangannya di hadapan Hakim Rozilah Salleh, Maslina memberitahu melalui penyata itu menunjukkan tertuduh membuat dua cek masing-masing berjumlah RM167,042 dan RM138,042 bagi penghantaran wang kepada syarikat automobil itu pada 6 Disember 2011.


Maslina juga mengesahkan bahawa pada tarikh yang sama Shamsubahrin membuat pengeluaran tunai sebanyak RM200,000 dan RM180,000 daripada akaun simpanannya.


Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aslam Charles Fernandez, Maslina memberitahu Shamsubahrin ada membuat pemindahan wang sebanyak RM100,000 dan RM700,000 daripada akaun simpanan Maybank ke dalam akaun Bank RHB.

Ketika menjawab soalan Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, jumlah wang di dalam akaun simpanan Shamsubahrin sebelum cek dimasukkan hanyalah RM2.31 pada 21 November 2011.

Berdasarkan penyata akaun Maybank itu, jumlah wang yang ada pada 31 Disember 2011 ialah sebanyak RM1,153.48.

Sementara itu seorang lagi saksi, Penolong Pengurus Maybank, Mohd Hatta Hassan, mengesahkan sejumlah RM50,000 dimasukkan ke dalam akaun Suzana Abdul Aziz iaitu isteri kepada Shamsubahrin pada 25 November 2011.

Selain itu, Mohd Hatta juga mengesahkan bahawa Shamsubahrin memindahkan wang berjumlah RM200,000 daripada akaunnya kepada akaun Suzana pada 6 Disember 2011.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Sallehudin Saidin, Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Afifuddin Mohd Hafifi.

Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan perkhidmatan rundingan dan nasihat hingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya di restoran di Bukit Tunku, di sini, jam 6 petang, 20 November lalu.

Dia juga didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayakannya hingga mendorong menyerahkan cek RM1.755 juta di kawasan Solaris, Mont Kiara, di sini, antara 25 November dan 6 Disember lalu.

Shamsubahrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 5 November depan.

Kekal 20 tahun



Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
         
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kemaman ke atas seorang pekerja kilang kelapa sawit atas pertuduhan merogol murid tahun lima yang juga anak arwah rakannya kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas Mohd Zainuddin Awi (gambar), 33, dari Jalan Masjid Padang Kubu, Kemaman didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.


Terdahulu, Mohd Zainuddin dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya, namun Mohd Yazid mengekalkan hukuman yang dikenakan Mahkamah Sesyen sebelum ini kerana perbuatan tertuduh adalah tidak bermoral selain mengambil kira faktor usia mangsa yang masih muda dan juga anak kepada arwah rakan sendiri.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zainuddin didakwa merogol mangsa berusia 11 tahun di kawasan semak di Kampung Masjid Padang Kubu Ayer Puteh, Kemaman kira-kira jam 8.30 malam pada 5 Mei 2010.


Bagi kesalahan itu, Mohd Zainuddin yang masih bujang berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.

Mengikut fakta kes, mangsa baru pulang dari mengaji al-Quran di Masjid Padang Kubu, Kemaman kira-kira jam 8.30 malam pada 5 Mei 2010 dipanggil tertuduh sebelum membawanya ke tepi sebuah rumah yang terletak berhampiran kawasan masjid berkenaan.


Sebaik sampai di lokasi kejadian, tertuduh memberikan RM2 kepada mangsa sebelum menanggalkan pakaian dan merogol mangsa.

Mangsa memaklumkan Mohd Zainuddin sudah beberapa kali melakukan perbuatan terkutuk itu sejak mangsa bersekolah di tahun tiga dan memberikannya duit setiap kali kejadian itu berlaku.


Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sehingga ditanya ibunya pada 23 Mei 2010 sebelum bapa saudara mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Puteh pada 24 Mei 2010.


Susulan laporan, Mohd Zainuddin yang juga rakan baik kepada arwah bapa mangsa dan tinggal berhampiran rumah mangsa ditahan sepasukan polis di hadapan Pondok Polis Padang Kubu, Kemaman pada keesokan harinya.

Rampas dadah RM68 juta



Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
         
MUAR: Pelbagai jenis dadah bernilai RM68 juta yang dirampas dari lima rumah yang terletak di dua lokasi berbeza sekitar bandar ini, Sabtu lalu dipercayai cukup untuk bekalan kira-kira 2.25 juta penagih.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, jumlah rampasan dadah itu yang terbesar dilakukan di Johor tahun ini. “Serbuan dilakukan jam 6.30 pagi di tiga unit rumah di Apartmen Pemandang Tanjung, Jalan Junid serta dua rumah lain sekitar bandar ini.


“Hasilnya, polis menahan lima lelaki dan dua wanita berusia antara 24 dan 50 tahun serta menemui dadah mentah, peralatan memproses dadah serta sepucuk pistol jenis HK P7 bersama tujuh butir peluru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.


Selain itu, menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM9,268, barangan kemas bernilai RM6,704 dan dua kereta jenis Toyota Estima serta Peugeot bernilai RM459,268.


Beliau berkata, dadah dirampas itu termasuk syabu seberat 34 kilogram (kg) bernilai RM6.8 juta, 13.9kg heroin (RM417,450), 41.8kg ketamin (RM836,500), 392.5kg serbuk dan pil Ecstasy (RM58.8 juta), 30,500 pil Eramin 5 (RM610,000) dan 698.8kg kafein bernilai (RM19,600).

“Dadah itu boleh dibekalkan kepada 2.25 juta penagih dan berdasarkan anggaran, ia bernilai RM68 juta, tetapi polis yakin nilainya di pasaran sebenar jauh lebih tinggi.


“Dadah itu dipercayai untuk pasaran sekitar Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta luar negara,” katanya.

Sabtu lalu, sekumpulan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Muar menyerbu tiga premis di apartmen berkenaan serta dua rumah lain yang dipercayai dijadikan makmal untuk memproses dadah.


Sindiket dadah berkenaan sudah beroperasi sejak lebih setahun lalu dan bagi mengaburi jiran, penjenayah meletakkan lebih 100 akuarium dan ikan kelisa di tingkat bawah rumah konon mereka menjalankan perniagaan berkenaan.


Ketika diminta mengulas berkaitan suspek, Mohd Mokhtar berkata, kelima-lima suspek iaitu tiga lelaki serta dua wanita itu didapati positif dadah jenis syabu. “Dua lagi suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan direman hingga 16 September.


“Kami sedang mengesan saki baki anggota sindiket berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) ADB1952, Seksyen 32 ADB (Perlucutan Harta) 1988 dan Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya.

Dugaan hamil 9 bulan



Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mior Azlan Kamarulbaid
izawan@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: “Jika terpaksa menahan lapar atau kereta ditarik bank, saya masih mampu bertahan tetapi apa yang saya bimbangkan ialah kehilangan tempat berteduh ketika saya bakal melahirkan anak pada bila-bila masa,” kata seorang ibu yang sarat hamil sembilan bulan yang kini hidup terumbang-ambing selepas ditinggalkan suami sejak awal tahun lalu.

Bagi menyara kehidupannya, Rosnah Miasin, 30, yang menjaga seorang anak lelaki berusia tiga tahun terpaksa bekerja sebagai jurujual produk kesihatan dan bergerak dari satu restoran ke restoran lain untuk mencari pelanggan.


“Sebelum ini saya bekerja di sebuah spa tetapi disebabkan hamil, saya terpaksa berhenti dan sejak Ogos lalu menjadi jurujual. Saya dibayar komisen RM5 dan perlu menjual sekurang-kurangnya 20 unit mesin urut mini.

“Saya terpaksa melakukan kerja ini demi anak, jika mahu meminta bantuan keluarga di Sabah, macam-macam syarat mereka kenakan kerana masih sukar menerima saya selepas memeluk Islam,” katanya yang ditemui di kediamannya di Gombak, semalam.


Menurutnya, disebabkan pendapatan tidak menentu, dia gagal membayar sewa rumah sebanyak RM500 selain bil elektrik dan air manakala pinjaman kereta tertunggak.


“Tuan rumah meminta saya membayar tunggakan sewa, tetapi saya tidak mempunyai wang. Saya dijangka bersalin hujung bulan ini sedangkan inilah satu-satunya tempat saya dan anak berteduh,” katanya. Rosnah berkata, dia dan suami yang berasal dari Kudat berhijrah ke Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu untuk mencari rezeki dan tinggal berasingan selepas lelaki itu bekerja di Sepang manakala dia di Kuala Lumpur.

“Sejak awal tahun lalu dia semakin jarang pulang dan apabila saya mahu tinggal bersamanya di Nilai, pelbagai alasan diberikan. Disebabkan itu kami bergaduh menyebabkan suami tidak lagi pulang, malah panggilan telefon serta SMS tidak berjawab,” katanya yang hanya mempunyai surat perakuan memeluk Islam dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah ketika berusia 18 tahun. Menurutnya, dia memeluk Islam ketika di sekolah, tetapi merahsiakan sehinggalah berkahwin manakala majlis itu pula dilakukan secara tradisional di kampungnya di kawasan pedalaman di Kudat selain tidak pernah didaftarkan.


Sementara itu, menerusi satu pertemuan yang diatur Harian Metro antara Rosnah dengan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berjanji akan membantu wanita itu termasuk mendaftarkan perkahwinannya sehingga dia selamat melahirkan anak yang dijangka hujung bulan ini.

Dugaan hamil 9 bulan



Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mior Azlan Kamarulbaid
izawan@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: “Jika terpaksa menahan lapar atau kereta ditarik bank, saya masih mampu bertahan tetapi apa yang saya bimbangkan ialah kehilangan tempat berteduh ketika saya bakal melahirkan anak pada bila-bila masa,” kata seorang ibu yang sarat hamil sembilan bulan yang kini hidup terumbang-ambing selepas ditinggalkan suami sejak awal tahun lalu.

Bagi menyara kehidupannya, Rosnah Miasin, 30, yang menjaga seorang anak lelaki berusia tiga tahun terpaksa bekerja sebagai jurujual produk kesihatan dan bergerak dari satu restoran ke restoran lain untuk mencari pelanggan.


“Sebelum ini saya bekerja di sebuah spa tetapi disebabkan hamil, saya terpaksa berhenti dan sejak Ogos lalu menjadi jurujual. Saya dibayar komisen RM5 dan perlu menjual sekurang-kurangnya 20 unit mesin urut mini.

“Saya terpaksa melakukan kerja ini demi anak, jika mahu meminta bantuan keluarga di Sabah, macam-macam syarat mereka kenakan kerana masih sukar menerima saya selepas memeluk Islam,” katanya yang ditemui di kediamannya di Gombak, semalam.


Menurutnya, disebabkan pendapatan tidak menentu, dia gagal membayar sewa rumah sebanyak RM500 selain bil elektrik dan air manakala pinjaman kereta tertunggak.


“Tuan rumah meminta saya membayar tunggakan sewa, tetapi saya tidak mempunyai wang. Saya dijangka bersalin hujung bulan ini sedangkan inilah satu-satunya tempat saya dan anak berteduh,” katanya. Rosnah berkata, dia dan suami yang berasal dari Kudat berhijrah ke Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu untuk mencari rezeki dan tinggal berasingan selepas lelaki itu bekerja di Sepang manakala dia di Kuala Lumpur.

“Sejak awal tahun lalu dia semakin jarang pulang dan apabila saya mahu tinggal bersamanya di Nilai, pelbagai alasan diberikan. Disebabkan itu kami bergaduh menyebabkan suami tidak lagi pulang, malah panggilan telefon serta SMS tidak berjawab,” katanya yang hanya mempunyai surat perakuan memeluk Islam dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah ketika berusia 18 tahun. Menurutnya, dia memeluk Islam ketika di sekolah, tetapi merahsiakan sehinggalah berkahwin manakala majlis itu pula dilakukan secara tradisional di kampungnya di kawasan pedalaman di Kudat selain tidak pernah didaftarkan.


Sementara itu, menerusi satu pertemuan yang diatur Harian Metro antara Rosnah dengan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berjanji akan membantu wanita itu termasuk mendaftarkan perkahwinannya sehingga dia selamat melahirkan anak yang dijangka hujung bulan ini.

Isteri dibunuh angkara cemburu



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah tempat Novi dibunuh di Seksyen 26, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Perasaan cemburu yang meluap-luap oleh seorang lelaki sampai ke kemuncaknya apabila dia menetak kepala seorang wanita dipercayai isterinya dengan kapak hingga mati selepas hilang pertimbangan ketika bertengkar di rumah sewa mereka di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.15 malam itu mengakibatkan seorang suri rumah, Novi Aryani, 34, dari Jawa, Indonesia mati selepas ditetak sebanyak dua kali di belakang kepala selain dicekik.
Mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas lantai biliknya oleh seorang rakan penyewa rumah sama. Rumah setingkat yang memiliki lima bilik itu turut didiami oleh tujuh individu lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, pemeriksaan menemui sebilah kapak di sisi mayat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.
Katanya, siasatan mendapati, sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan telah bertengkar. Lelaki itu telah melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.
“Kita percaya motif kejadian akibat cemburu buta namun masih menyiasat punca sebenar. Lelaki itu dipercayai suami mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pasangan itu tidak mempunyai permit namun mereka sudah menyertai Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui di mana Ahmad Syafi, 35, berada supaya menghubungi pihaknya di talian 03-5510 2220 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, rakan serumah mangsa, Ahmad Noer Lukman, 33, mendakwa, dia melihat suami mangsa bergelar Mat itu membawa beg dan menyangkut sehelai baju di bahu sebelum memecut laju dengan motosikal.

Wanita cemas kereta terbakar



REAKSI Umi selepas melihat kenderaannya terbakar ketika melalui jejambat Jalan Tun Razak dekat bulatan Loke Yew semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita nyaris maut apabila kenderaan jenis Mitsubishi Storm yang dipandunya terbakar di atas jejambat Jalan Tun Razak berhampiran bulatan Loke Yew di sini semalam.
Kejadian mencemaskan pukul 11 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Umi memberhentikan kenderaan berkenaan selepas enjinnya terhenti secara tiba-tiba.
Pekerja di sebuah syarikat swasta itu kemudian cuba menghidupkan kenderaannya tetapi gagal sebelum anggota polis yang tiba selepas menerima aduan kesesakan jalan membantunya untuk menolak kenderaan itu ke tepi.
Tanpa disangka, kenderaan itu terus disambar api di bahagian enjin sebelum wanita itu bergegas keluar sebaik melihat api tersebut.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras yang menerima maklumat pada pukul 11.08 pagi bergegas ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.
Jurucakap bomba memberitahu, pihaknya mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk mengawal kebakaran itu namun kenderaan itu telah terbakar sepenuhnya ketika mereka tiba.

Salah pelajar, bukan sekolah




MAHADZIR memujuk Muhammad Faiz supaya tabah dalam pertemuan 
di rumah mereka di Bukit Beruntung semalam.


KUALA LUMPUR - Siasatan Jabatan Pelajaran Selangor mendapati dakwaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung, Rawang bahawa dia dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin sebagai tidak berasas.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, apa yang sebaliknya berlaku ialah pelajar itu, Muhammad Faiz Mahadzir tidak hadir ke sekolah pada hari pertama peperiksaan itu kelmarin.
Katanya, pelajar itu juga tidak hadir ke sekolah untuk beberapa hari sebelum itu.
"Pihak sekolah tidak menghalang pelajar itu menduduki peperiksaan.
"Rekod sekolah menunjukkan dia tidak hadir pada hari pertama peperiksaan walaupun Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SUP) telah memaklumkan kepada pelajar untuk hadir," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kenyataan bapa pelajar itu, Mahadzir Mokhtar, 42, yang mendakwa sewaktu Muhammad Faiz datang ke sekolah pada Isnin lalu, guru besar sekolah tersebut telah meminta anaknya itu supaya tidak menduduki UPSR atas alasan dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sekolah berkenaan.
Muhammad Faiz kemudian dikatakan merajuk sehingga tidak mahu ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Selasa lalu walaupun selepas puas dipujuk oleh bapanya.
Mahadzir kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa serta Pejabat Pelajaran daerah Hulu Selangor.
Abd. Ghafar menjelaskan, pihaknya setakat ini menerima sembilan aduan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan UPSR, namun siasatan mendapati kesemuanya tidak berasas.

Dadah untuk 2 juta penagih dirampas




MOHD. MOKHTAR (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan pistol dan sebahagian dadah yang dirampas daripada tujuh individu pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


MUAR - Polis semalam mendedahkan satu sindiket yang dikesan menjadikan tiga unit rumah di Pangsapuri Pemandang Tanjung di Jalan Junid di sini sebagai makmal dadah pada Sabtu lalu berselindung di sebalik perniagaan ikan kelisa bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan jiran-jiran.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, sindiket telah meletakkan lebih 100 buah akuarium mengandungi ikan tersebut di tingkat bawah apartmen dan menjalankan kegiatan haram tersebut di dalam rumah.
Lebih mengejutkan katanya, nilai sebenar dadah yang dirampas mencecah RM68 juta dan ia mungkin meningkat jika memasuki pasaran gelap. Dadah itu boleh menampung keperluan seramai 2,221,561 penagih.
"Selain apartmen itu, kita turut menyerbu dua buah rumah di sekitar bandar ini dan jumlah tangkapan seramai tujuh individu termasuk dua wanita berusia 24 hingga 50 tahun.
"Kita turut merampas bahan mentah dadah, peralatan memproses, sepucuk pistol jenis HK P7 dengan tujuh butir peluru, wang RM9,268, barang kemas bernilai RM6,704, sebuah kereta Toyota Estima serta Peugeot yang kedua-duanya bernilai RM459,268," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan, polis menyerbu tiga unit rumah di pangsapuri tersebut dan merampas pelbagai jenis dadah yang ketika itu dianggarkan bernilai lebih RM1 juta serta menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki warga emas pada pukul 6.30 pagi.
Menurut Mohd. Mokhtar, antara dadah yang dirampas ialah syabu, heroin, ketamin, serbuk dan pil ekstasi, pil eramin 5 dan kafein yang kesemuanya seberat lebih satu tan bernilai RM68 juta.

Lelaki tembak anak tiri bunuh diri



 
Ipoh: Kira-kira 18 jam selepas menembak anak tirinya, suspek berusia 44 tahun itu ditemui mati dipercayai membunuh diri dengan menembak kepalanya.

Mayat S Ravindran ditemui dengan kesan tembakan di bahagian kanan kepala oleh orang awam di kebun sayur berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Rapat di sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pasukan polis yang dihantar ke lokasi itu menemui mayat suspek, tetapi tidak menemui sebarang kad pengenalan diri.
Katanya, siasatan lanjut kemudian mengesahkan identitinya sebagai suspek yang menembak anak tirinya berusia 15 tahun di Laluan Panorama Rapat Indah di sini, jam 4.40 petang kelmarin.

Suspek yang juga bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan sudah menamatkan perkhidmatan sejak 10 tahun lalu, disahkan mati akibat membunuh diri.

"Ini kerana ada kesan tembakan bahagian kanan kepalanya sehingga menembusi tempurung sebelah kiri.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Norinco dan sebuah motosikal Yahama Novo dipercayai milik isteri suspek berhampiran mayat, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Isteri buat pengecaman

Shukri berkata, isteri suspek yang membuat pengecaman ke atas mayatnya turut mengesahkan identiti suaminya yang terbabit dalam pergaduhan dengan anak mereka.

Dalam kejadian petang kelmarin, suspek menembak kaki anak tirinya itu ketika mangsa cuba meleraikan pergaduhan suspek dengan ibunya di kediaman mereka.

Sejurus kejadian itu, suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal selepas mendapati anak tirinya rebah dalam berlumuran darah akibat terkena tembakan dilepaskannya.

Suspek ragut, tetak pembantu klinik dicekup



DUA suspek kes tetak dan ragut seorang pembantu klinik dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bahru untuk mendapat perintah reman semalam.


KOTA BHARU - Polis yakin dapat menyelesaikan kejadian seorang wanita yang diragut dan tangankirinya ditetak oleh dua penyamun pada 29 Ogos lalu apabila menahan dua lelaki di dua buah rumah di kawasan Pintu Geng dan Bunut Payong, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, suspek berusia 32 dan 25 tahun itu ditahan dalam operasi selama enam jam bermula pukul 7.50 pagi oleh sepasukan polis di sini.
"Selain tangkapan, kita turut merampas sebilah pisau, pedang, sehelai jaket dan dua topeng. Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg mengandungi rantai tangan dan lima bentuk cincin.
"Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dicuri di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar semalam.
Pada 30 Ogos lalu Kosmo! melaporkan, seorang pembantu klinik, Rohairani Abdullah (gambar kecil), 36, cedera parah selepas diragut dan ditetak ketika berjalan menuju ke sebuah kedai tudung di Jalan Sultanah Zainab, dekat sini.
Mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kiri selepas ditetak tujuh kali dengan parang oleh suspek.
Menurut Ismail, kedua-dua suspek juga positif dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah selain dipercayai terlibat dalam tiga lagi kes ragut di sekitar daerah ini.
Tambahnya, perancangan rapi Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman membolehkan anak buahnya menangkap suspek dalam tempoh dua minggu dan ia harus diberi pujian. Suspek kini direman selama tujuh hari.
Sementara itu, Rohairani ketika ditemui di rumahnya di Pintu Geng di sini berharap suspek dijatuhi hukuman setimpal jika terbukti bersalah.
"Saya masih trauma dengan kejadian itu walaupun saya sudah boleh menggerakkan jari-jari," luahnya.
Tambahnya, dia kini berteman jika hendak ke mana-mana dan tangannya mengambil masa beberapa bulan lagi untuk sembuh.