Search This Blog

Wednesday, September 12, 2012

Hilang RM2,500 ditipu 'ahli farmasi'



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Hilang RM2,500 ditipu 'ahli farmasi'
Edah menunjukkan mesin tidak berjenama bernilai RM2,500 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Tenai Air Gelugor, Baharuddin Rasid.
GEMENCHEH – Lagak seorang lelaki berbaju T berwarna biru tertera tulisan farmasi berjaya mengaburi mata seorang warga emas dan anaknya menyebabkan mereka kerugian sebanyak RM2,500.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, mangsa, Edah Ahmad, 74, dan anaknya, Norziah Abdul Rani, 48, yang menetap di Kampung Tenai Air Gelugor didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil farmasi hospital kerajaan.

Norziah berkata, pada mulanya mereka tidak mempercayai lelaki berkenaan, namun perwatakannya yang seolah-olah kakitangan hospital selain turut berhubung di telefon dengan seseorang dan mengetahui ibunya pernah ditahan di hospital susulan dipatuk ular beberapa tahun lalu menyebabkan mereka mempercayai lelaki berkenaan.

"Malah, dia juga mengatakan mak akak antara 30 nama yang telah disenaraikan dan harus membeli mesin penapis air susulan masalah kesihatan yang mak alami.

"Lelaki itu turut memberi jaminan supaya kami tidak risau kerana selepas pembelian pihak hospital akan membayar RM300 setiap bulan kerana membeli mesin penapis air bernilai RM2,500 itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tenai Air Gelugor, dekat sini semalam.

Menurutnya, setelah bersetuju untuk membeli mesin itu, dua rakan lelaki itu yang berada di dalam kereta jenis Proton Exora turun bagi membantu memasang mesin berkenaan.

"Kami juga dimaklumkan pada minggu hadapan mereka akan datang sekali lagi bagi memasang mesin air panas dan sejuk sebelum mengarahkan saya mengambil bil air lalu sementara ibu diminta mengambil kad pengenalan miliknya.

"Sebaik kami pergi mengambil dokumen yang diminta, kesemua lelaki itu melarikan diri dan kami percaya sudah tertipu serta segera membuat laporan di Balai Polis Gemencheh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes itu kini dalam siasatan mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, kita minta orang ramai untuk tidak mempercayai mana-mana individu yang menyatakan mereka wakil dari mana-mana agensi kerajaan atau sebaliknya dan sekiranya berlaku, diharap mangsa dapat meminta dahulu pengenalan diri individu berkenaan," katanya.

Manakala, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah melantik atau mengarahkan mana-mana kakitangan di bawah Jabatan Kesihatan mewakili jabatan berkenaan untuk menjual produk.

“Malah, kes ini baru pertama kali berlaku dan kita harap orang awam dapat lebih berhati-hati selepas ini.  "Sememangnya, ada kakitangan kita yang membuat lawatan rumah ke rumah bagi pesakit kronik tetapi menggunakan kenderaan rasmi jabatan," katanya.

Penoreh getah dijel 7 tahun



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Penoreh getah dijel 7 tahun
Indragunawan mengaku melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap remaja lembam.
KUALA TERENGGANU - Seorang penoreh getah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa, seorang pelajar kurang (OKU) kategori lembam.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Indragunawan Ibrahim, 24, mengaku melakukan perbuatan luar tabii itu dengan sengaja terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah rumah di Kampung Delong, Dungun, tanpa kerelaan.

Dia mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu kepada mangsa, yang juga anak kepada keluarga angkatnya pada 19 Ogos lalu, kira-kira jam 11 malam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Indragunawan merayu hukuman diringankan atas alasan dia ingin mencari ibu kandungnya di Indonesia manakala bapanya empat tahun sudah meninggal dunia, selain mendakwa dirinya tinggal sebatang kara di negeri ini.

Sebelum ini, Indragunawan yang tinggal di sebuah pondok di kebun getah berhampiran sering berulang alik ke rumah mangsa mengecas telefon bimbitnya sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa.

Pada hari kejadian, bapa tiri mangsa yang menyaksikan sendiri kejadian itu mengambil keputusan membawa mangsa membuat laporan polis sebelum dia ditangkap untuk disiasat.

KPN puji polis Kelantan selesai kes ragut, tetak wanita dalam dua minggu



12 September 2012
KOTA BAHARU - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memuji tindakan pantas polis Kelantan yang berjaya menyelesaikan kes ragut dan tetak membabitkan seorang wanita yang berlaku kira-kira dua minggu lepas.

Ismail berkata inisiatif yang diambil Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman serta Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman dengan menempatkan anggota wanita di kawasan panas sebagai langkah bijak bagi mengekang jenayah ragut di jalanan daripada terus berleluasa.

"Saya mengarahkan Ketua Polis Kelantan mengambil inisiatif berlanjutan bagi menentukan serta mengesan kalau ada sahabat kepada dua suspek itu kerana kita tidak mahu perkara ini terus menghantui masyarakat setempat terutamanya di Kota Baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Perancang Gerakan Kemanusiaan ke-66, di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, yang bertindak sebagai pengerusi bersama bagi membincangkan langkah kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Mesyuarat itu yang dihoskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia.

Sementara itu, Jalaluddin berkata dua penagih dadah yang disyaki terlibat dalam kes ragut dan tetak seorang wanita, Rohairani Abdullah @ Ibrahim, 36, pada 29 Ogos lepas, telah ditahan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Rohairani baru sahaja keluar dari keretanya dan ingin ke kedai pakaian membeli tudung sebelum ditetak seorang pembonceng motosikal selepas gagal meragut beg tangan mangsa.

Susulan kejadian itu, Polis Kelantan melancarkan Ops Sayang dengan menempatkan 157 anggota dan pegawai polis wanita beruniform di 20 kawasan pusat tumpuan beli-belah di sini, bagi menasihati orang ramai terutama wanita agar sentiasa berwaspada dengan kejadian ragut.

Jalaluddin berkata dua suspek tersebut ditahan dalam dua serbuan berbeza pada pukul 7.50 pagi dan 1.15 tengah hari semalam di sebuah rumah tanpa nombor di belakang Masjid Pintu Geng dan Batu 2, Jalan Kuala Krai.

"Dalam serbuan tersebut polis merampas sebilah pisau sepanjang 25 sentimeter (cm) dan sebilah pedang sepanjang 53cm selain satu beg berisi seutas rantai emas, tiga cincin emas dan empat cincin perak.

"Turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di Pulau Pinang. Dengan tertangkapnya dua suspek ini kami percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan ragut di Kota Baharu sejak Julai lepas," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata dan mendatangkan kecederaan.- Bernama

Bapa tertembak anak



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Bapa tertembak anak
Lokasi kejadian diawasi anggota polis.
Bapa tertembak anak
Hariharen ketika ditemui di Wad Kecemasan HRPB.
IPOH - Akibat perselisihan faham antara suami dan isteri, anaknya yang baru berusia 15 tahun menjadi mangsa apabila dipercayai terkena satu das tembakan dari pistol bapanya dalam satu kejadian di Laluan Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 4.30 petang itu, mangsa, Hariharen bersama ibu dan tiga adik beradiknya yang lain berada di rumah sebelum didatangi bapanya yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Menurutnya, bapanya datang ke rumah dan secara tiba-tiba bertekak dengan ibunya yang berusia 30-an.

“Bapa saya bertengkar dengan ibu dan kami adik-beradik cuba menghalang bapa daripada bertindak ganas ke atas ibu.

“Saya cuba meleraikan pergaduhan itu sebelum bergelut dengan suspek. Ketika itulah beberapa das tembakan dilepaskan sebelum mengenai kaki mangsa,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Akibat tembakan itu, pelajar Sekolah Menengah Ampang itu, cedera di bahagian kaki kiri namun dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan ketika mengesahkan kejadian memberitahu suspek menggunakan pistol jenis Browning dalam insiden berkenaan.

Katanya, pihak polis sedang menjejaki suspek yang melarikan diri menggunakan motosikal selepas kejadian berkenaan dan motif kejadian belum dapat dipastikan.

Lelaki maut dan cucu cedera dalam nahas jalan raya




12 September 2012
KINABATANGAN - Seorang lelaki maut, manakala cucunya cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggangi berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 7 Jalan Sukau-Kinabatangan semalam.
 
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata Bantok Ambok Tan, 60, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam sementara Mohd Akmal Aiman, 9, yang cedera parah di kepala dan tangan, masih menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan.
 
Menurutnya insiden berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi, ketika motosikal yang ditunggangi Bantok bersama cucunya keluar dari simpang dan dilanggar sebuah kereta yang menuju ke arah Sandakan.
 
Beliau berkata pemandu kereta itu telah membuat laporan polis mengenai insiden itu.
 
Rowell berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik di talian 089211222. - Bernama

Terkejut temui tiga peluru



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Terkejut temui tiga peluru
Zaquan menunjukkan kesan peluru yang terkena pada kereta yang diletakkan di hadapan rumah adiknya.
PONTIAN- Seorang suri rumah di Kampung Permatang Duku, di sini, terkejut apabila mendapati kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya berlubang di bahagian pintu dan cermin belakangnya pecah.

Roziwati Aspuri, 33, berkata, beliau turut menemui tiga butir peluru di dalam keretanya itu, selepas menyedari kejadian terbabit pada Ahad lalu.

“Saya amat terkejut apabila menemui peluru di dalam kereta dan cermin belakang yang pecah.

“Saya terus memanggil suami dan abang. Pada waktu itu kami mula bimbang jika ada sesuatu yang tidak elok berlaku” katanya.

Jelasnya, sebelum menyedari keretanya berlubang pada tengah hari itu, dia bersama tiga anaknya dan anak saudara sedang berada di dalam rumah.

“Saya ada dengar bunyi macam mercun dan mula berasa pelik apabila bunyi  itu terlalu lama. Namun saya tidak mengendahkannya kerana menganggap ia sebagai sesuatu yang biasa lebih-lebih lagi masih dalam bulan Syawal,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suami,  Zainol Akmal Md Akil, 35, dan abangnya, Zaquan Aspuri, 42, segera membuat laporan polis di Balai Polis Benut mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zahaliman Jamin mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis mendapati sebanyak enam lubang dan dua kesan lekuk ditemui pada pintu depan dan belakang serta cermin belakang kereta jenis Perodua Kenari milik mangsa akibat terkena peluru sesat terbabit.

“Siasatan turut dibantu anggota dari cawangan Amra (senjata api),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini, semalam.

Zahaliman berkata, pada sebelah petang hari kejadian, seorang lelaki telah menyerah diri di Balai Polis Benut untuk disiasat.

“Lelaki yang menyerah diri di Balai Polis Benut  itu membawa bersama senjata api yang digunakan iaitu senapang patah laras kembar," katanya.

Katanya lagi, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai lesen memiliki senjata itu dipercayai sedang cuba menembak anjing liar yang kebetulan lalu di kawasan rumah mangsa bersebelahan dengan kebun kelapa sawit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Senjata Api 1960 dan polis percaya kes tiada unsur jenayah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik senjata api berlesen menggunakan senjata api dengan betul dan berhati-hati.

Pemandu lori didakwa merompak berkumpulan



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
AYER KEROH - Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang, tahun lalu.

L Omkar Vijay, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Katar.

Omkar didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Chien Han Yuan, 30, bernilai RM6,000 dengan parang.

Kesalahan dilakukannya di sebuah rumah di Kampung Baru On Lok, Batang Melaka, Jasin kira-kira jam 8 malam pada 28 November 2011.

Tertuduh dari Petaling Jaya, Selangor didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 397 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak meminta mahkamah memberikan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menyara ibu yang sakit.

Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan sebutan semula kes pada 8 Oktober depan.

Dua maut kemalangan babit tiga kenderaan



ALAUDIN MA
12 September 2012
Dua maut kemalangan babit tiga kenderaan
Kereta sewa dipandu Abdullah remuk teruk.
GUA MUSANG - Dua pemandu maut dalam kemalangan jalan raya, membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kem Semor, dekat sini, pagi semalam.

Mangsa yang maut itu dikenali pemandu kereta sewa, Abdullah Abdul Ghani, 64, berasal dari Tanah Rancangan Fela Chiku 1 dan Che Zamri Che Long, 40, berasal dari Kampung Beta Pohon Buluh, Pasir Mas, manakala seorang lagi berusia 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi, ketika Abdullah dalam perjalanan dari rumahnya ke Bandar Gua Musang, manakala Che Zamri dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Kereta Proton Wira dipandu Che Zamri dipercayai pecah tayar depan, sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta sewa dipandu Abdullah.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, sebuah kereta lagi yang datang dari arah Gua Musang ke Kuala Krai merempuh belakang kereta Che Zamri menyebabkan kereta mangsa terputus dua.

Abdullah yang mengalami kecederaan parah dan tersepit dalam kereta sewanya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Che Zamri yang tercampak dalam longkang selepas kereta dipandunya terputus dua meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM).

Anak Abdullah, Haslan, 25, berkata, sebelum itu dia berhasrat untuk bersama ayahnya keluar ke bandar Gua Musang bagi membaiki mesin rumput yang rosak.

Dia berkata, bagaimanapun arwah ayah melarang ikut bersama ke bandar bagi tujuan itu, dan menyuruhnya menjaga ibu yang sakit di rumah selepas dibawa menerima rawatan di Pusat Kesihatan Besar Bandar Chiku.

“Saya tidak sangka larangan ayah agar dia  tidak ikut bersama ke bandar Gua Musang merupakan larangan terakhir sebelum kejadian itu dan saya sedih bila teringat kata-kata ayah itu.

“Bagaimanapun, saya terima takdir Tuhan kerana hilang orang tersayang,” katanya.

Haslan berkata, keadaan arwah juga berlainan sebelum bertolak ke bandar Gua Musang hingga tidak mahu lagi naik ke rumah, dan terus memandu kereta sewa bersendirian.

“Saya yang menerima panggilan mengenai kejadian itu terus bergegas ke tempat kejadian dan sedih melihat kenderaan yang dipandu arwah remuk teruk,” katanya.

Kes amuk JPM: Wanita mungkin perlu pemeriksaan mental



PUTRAJAYA 12 Sept. - Wanita yang didakwa melakukan ugutan jenayah dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), dua bulan lalu kemungkinan perlu menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan dia benar-benar layak dibicarakan atas tuduhan yang dihadapinya.
Peguam M. Visvanathan ketika membayangkan perkara itu berkata, pemeriksaan oleh pakar psikiatri bertujuan menentukan tahap keupayaan mental Muhdalena Ahmad, 28, selain memastikan motifnya terlibat dalam kejadian tersebut.
Peguam bela yang baru dilantik hari ini menyatakan demikian kepada pemberita selepas prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Terdahulu, mahkamah menetapkan 11 dan 12 Oktober depan bagi perbicaraan kes Muhdalena yang menghadapi dua tuduhan berasingan iaitu melakukan ugutan jenayah dan membawa pedang yang dikelaskan sebagai senjata berbahaya.
Hakim Mohd. Kamil Nizam turut menetapkan 28 September depan bagi sebutan untuk pengurusan kes terakhir bertujuan memastikan urusan penyerahan dokumen diselesaikan sebelum perbicaraan. - UTUSAN

Pemuda parah dihempap lori mati



SUNGAI PETANI 11 Sept. - Penunggang motosikal yang cedera parah selepas sebuah lori kerikil terbalik dan menghempapnya berhampiran pintu masuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kedah di Merbok dekat sini semalam, meninggal dunia malam tadi.
Mangsa Mohd. Haris Abu Hasan, 31, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia pukul 11.20 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Ibunya, Hasanah Bakar, 65, berkata, sebelum itu, anaknya dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini tetapi ekoran keadaannya yang makin serius, Mohd. Haris terpaksa dipindahkan ke HSB.
"Haris meninggal dunia pukul 11.20 malam selepas tidak sedarkan diri sejak tengah hari semalam. Dia cedera parah di bahagian muka dan juga otak," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Hasanah yang juga seorang suri rumah berkata, Mohd. Haris merupakan anak keenam daripada tujuh beradik.
Katanya, sebelum kejadian, anaknya menunjukkan perlakuan luar biasa apabila tidak banyak bercakap malah tidak bertegur sapa sebelum keluar dari rumah.
"Sejak seminggu lalu dia kurang bercakap malah semalam dia langsung tidak bertegur sapa dengan ahli keluarga. Tak sangka pula ia petanda dia akan 'pergi' selama-lamanya," katanya.
Dia memberitahu, anaknya itu sebelum ini bekerja sebagai pembantu am rendah di UiTM sehingga tamat kontrak tahun lalu dan selepas itu bekerja pula sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di Semeling tetapi berhenti beberapa minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam, Mohd. Haris cedera parah selepas sebuah lori hilang kawalan lalu terbalik menghempapnya di satu selekoh berhampiran pintu masuk UiTM.

2 murid ditemui lemas



Kakitangan hospital memeriksa mayat salah seorang mangsa lemas berhampiran Teluk Villa di Putatan, Sabah, kelmarin.
PUTATAN 11 Sept. - Kebimbangan seorang bapa setelah anaknya tidak berada di sekolah sewaktu dijemput petang semalam terjawab apabila anaknya itu ditemui mati lemas selepas mandi di laut berhampiran Teluk Villa di sini semalam.
Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 40-an berkata, anaknya, Mohammad Nurrabbiyel, 9, ditemui lemas bersama seorang rakan sebayanya, Sufian Sahide kira-kira pukul 6 petang.
"Saya pergi ke sekolah untuk menjemputnya tapi dia tiada di sana. Setelah puas mencari di sekitar taman saya diberitahu ada kes lemas di tepi laut.
"Naluri saya kuat menyatakan itu anak saya dan memang benar bila saya sampai mayat anak saya ditemui di sana," katanya sebak ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Mayat dua murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Putatan itu ditemui pukul 6 petang oleh penduduk setempat.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supritendan Ratan Kumar Singh, kanak-kanak itu dipercayai mandi di laut sebelum kedua-dua mereka lemas.
"Mayat kedua-dua mangsa ditemui terapung tidak jauh dari pantai dan laporan penemuan mayat itu dibuat oleh penduduk kira-kira pukul 7 malam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mayat mereka dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membenarkan anak-anak mereka bermain di laut tanpa sebarang pengawasan khususnya ketika cuaca buruk.

Lelaki dikehendaki polis kerana tembak anak tiri ditemui mati




IPOH 12 Sept. - Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana mencederakan dan menembak anak tirinya dengan pistol ditemui mati di tepi jalan di KM282 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ampang, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata lelaki yang dikenali sebagai S. Ravindran, 40, ditemui pada pukul 11.30 pagi tadi oleh orang awam. - BERNAMA

Lelaki dikehendaki polis kerana tembak anak tiri ditemui mati



IPOH 12 Sept. - Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana mencederakan dan menembak anak tirinya dengan pistol ditemui mati di tepi jalan di KM282 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ampang, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata lelaki yang dikenali sebagai S. Ravindran, 40, ditemui pada pukul 11.30 pagi tadi oleh orang awam. - BERNAMA

Kes amuk: Tuduhan Muhdalena Ahmad didengar 11 Okt



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Muhdalena Ahmad
Muhdalena Ahmad
PUTRAJAYA - Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan kes seorang wanita yang mengamuk di pekarangan Pejabat Perdana Menteri di sini, Julai lalu akan didengar 11 Oktober ini.

Muhdalena Ahmad, 28, sebagaimana muncul sebelum ini dengan mengenakan topeng, hari ini sekali lagi keluar dari kawasan mahkamah dengan memakai topeng, kali ini berwarna kuning.

Kereta Zed Zaidi hilang lagi



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Zed Zaidi Presiden Seniman
Zed Zaidi
PERNAH kehilangan kereta Toyota pada tahun 2007, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 32, berdepan perkara sama sekali lagi.

Zed yang dihubungi Zass mengakui, kereta kedua kesayangan itu dipercayai dicuri di kediamannya, Kondominium Perdana View, Damansara Perdana,  petang, 4 September lalu.

Jelas Zed, dia menyedari perkara itu selepas pulang dari membeli-belah bersama isteri, Natalia Mustafa Kamil, 29, dan anak mereka Ryan Ziqry yang baru berusia dua bulan.

"Isteri saya yang pakai kereta itu dan kami baru pakai dua tahun.

"Saya tak perasan bila lagi kereta itu hilang, sehinggalah semalam (Selasa).

Enggan mendedahkan jenis keretanya yang hilang itu, Zed bagaimanapun meluahkan rasa kecewa kerana alat pengesan yang dipasang pada kereta buatan tempatan itu gagal berfungsi.
"Mungkin penjenayah itu mempunyai kepakaran mencuri kenderaan.

“Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati agar kejadian seperti ini tidak berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, isterinya telah membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara.

Penangan sihir tak jadi kahwin



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Penangan sihir tak jadi kahwin
Aris dan Zainab menunjukkan gambar pertunangan Harun yang berlangsung pada 23 Jun lalu dan kad jemputan kahwin serta laporan polis.
Penangan sihir tak jadi kahwin
HARUN
KUALA PERLIS - “Dialah pengarang jantung kami, saban hari kami menunggu dan akan terus menunggu sampai bila-bila pun."

Begitulah luahan pasangan suami isteri apabila anak lelaki bongsu mereka tidak pulang ke rumah sejak sebulan lalu.

Harun Aris, 24, dipercayai terkena 'buatan' sebelum meninggalkan rumah bersama wanita berusia 40 tahun yang berasal dari Kuala Perlis.

Bapanya, Aris Md Noor, 59, berkata, sebelum ini anak bongsu daripada dua beradik itu belum pernah tidak pulang.

Katanya, Harun sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan gadis pili-han keluarga pada 1 September lalu. Namun bakal pengantin itu menghilangkan diri sebelum hari dia dan pasangannya diijabkabulkan.

“Memang gadis itu pilihan keluarga kerana sebelum ini dia minta supaya kami mencari pasangan untuknya dan setelah kami cari, dia bersetuju serta mesra dengan bakal isteri dan keluarga bakal mertua.

"Malah dia juga kelihatan gembira pada hari pertunangannya dengan gadis pilihan kami yang berusia 22 tahun.

“Namun, beberapa hari sebelum pernikahannya, ada penduduk kampung memaklumkan mereka ternampak anak saya di rumah wanita yang juga seorang janda. Saya pun ke sana dan bawa dia pulang," katanya.

Aris juga sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya dan sehingga kini masih tiada khabar berita.

Sementara itu, isterinya, Zainab Arop, 59, berkata, dia tidak menyangka permintaan anaknya supaya tidak mengedarkan kad jemputan kahwin sebelum raya terselit muslihat.

Pasangan itu juga mengaku Harun belum pernah hubungi mereka menerusi telefon mahupun mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak meninggalkan rumah.

"Lepas bawa Harun pulang dari rumah wanita itu, kami bercadang menghantarnya ke rumah kakaknya di Pulau Pinang kerana syak dia terkena sihir, namun ketika menunggu bapanya mengeluarkan kereta dari garaj, dia tiba-tiba melarikan diri sehelai sepinggang dan sekelip mata lesap," katanya.

Tambahnya, mereka terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan dan turut bersimpati dengan bakal menantu yang sanggup menunggu Harun.

“Sesiapa yang ada maklumat mengenai Harun boleh menghubungi suami saya di talian 012-4202791," katanya.

Penarik kereta didakwa tipu 'Tan Sri'




12 September 2012
 KUALA LUMPUR - Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan bergelar "Tan Sri", bulan lepas.

Ng Kiem Huat, 33, dari Klang, Selangor didakwa menipu Tan Sri Januar Yahya, 53, sehingga mendorong ahli perniagaan itu menyerahkan wang tunai RM600 dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung S3 sebagai wang deposit untuk tujuan pembayaran bagi pembelian sebuah telefon bimbit jenis Apple 4S.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Crossroad Coffee House di Hotel Concorde Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail di sini pada 11.05 malam 19 Ogos lepas.

Sementara itu, Ng turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang peniaga, Ng Kim Chuan sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM12,000 kepada tertuduh untuk tujuan pembayaran wang bagi pembelian 10 unit iPad3, yang merupakan barangan rampasan kastam.

Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kafe Starbucks di Tingkat 1, Time Square, Dang Wangi di sini pada 20 April lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norman Mohd Nasir menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius sehingga menyebabkan seorang mangsa mengalami kerugian RM12,000.

Ng, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan itu dikurangkan kerana dia hanya mempunyai pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan dan perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah serta ibu bapa yang tua.

Majistret Amal Razim Alias membenarkan Ng diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 28 Sept ini untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.- Bernama

Terkejut jumpa mayat isteri



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Ghuzlan Saleh
Mayat mangsa ditemui terbaring di atas lantai rumahnya.
KULIM - Seorang suri rumah warga Thailand ditemui mati di ruang tamu rumahnya dalam kejadian di Taman Kenari dekat sini kira-kira jam 11.15 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sebelum kejadian, suami mangsa sedang tidur bersama anak perempuan mereka berusia enam tahun di sebuah bilik di rumah berkenaan.
Menurutnya, menyedari mangsa tidak ada bersama mereka, suaminya bangun dan mencari mangsa yang berusia 32 tahun.
"Suaminya terkejut apabila menemui mangsa yang sudah tidak bernyawa di ruang tamu rumah mereka sebelum cuba memberi bantuan rawatan kecemasan kepada mangsa.
"Suami mangsa kemudiannya menghubungi Hospital Kulim untuk mendapatkan bantuan kecemasan bagaimanapun kakitangan ambulans yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian.
Ghuzlan berkata, ketika kakitangan ambulans tiba di tempat kejadian, suami mangsa sedang melakukan rawatan kecemasan terhadap mangsa.
Katanya, bagaimanapun rawatan kecemasan yang diberikan terhadap mangsa tidak berjaya dan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
"Memandangkan polis tidak menemui sebarang perlakuan jenayah terhadap mayat mangsa, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Polis buru dua suspek terlibat kes ragut sekitar OUG, Jalan Klang Lama




12 September 2012
KUALA LUMPUR - Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki terbabit dalam dua kes ragut berasingan di Taman Gembira dan Jalan Hujan Emas, Bukit OUG sepanjang dua minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata dalam kejadian 1.20 petang Isnin lepas, dua lelaki tempatan yang menaiki motosikal meragut seutas rantai leher seorang lelaki berusia 45 tahun yang ketika itu sedang berjalan kaki di kawasan sekitar Jalan Hujan Emas.

"Selepas meragut, suspek cuba melarikan diri menggunakan motosikal yang dinaiki namun gagal berikutan keadaan lalu-lintas yang sesak ketika itu. Mereka kemudian melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dan rantai yang diragut.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu, berjaya mengejar salah seorang suspek manakala seorang lagi berjaya melarikan diri," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata suspek berusia 27 tahun yang berjaya diberkas dan tidak bekerja itu, kini direman tujuh hari sehingga Sabtu ini.

Rakan suspek yang berjaya melarikan diri telah dikenali pasti iaitu lelaki berusia 31 tahun dengan alamat terakhir di Taman Medan Jaya, Petaling Jaya.

Wan Abd Bari berkata hasil siasatan mendapati kumpulan itu menjalankan kegiatan mereka sejak Mac tahun ini dan dipercayai terlibat dengan 30 kes ragut sekitar kawasan perumahan di Brickfields, Seri Petaling dan OUG.

Sementara itu, beg tangan seorang remaja berusia 19 tahun diragut dua lelaki bermotosikal berhampiran kawasan rumahnya di Taman Gembira, Jalan Klang Lama kira-kira pukul 9.45 pagi pada 5 Sept lepas.

Bagaimanapun, sehari kemudian salah seorang suspek berusia 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian ragut itu berjaya ditahan dalam serbuan pukul 11 malam di sekitar kawasan Kuchai Entrepreneurs Park.

Katanya siasatan lanjut mendapati suspek terlibat tidak kurang daripada lima kes samun dan ragut sekitar Brickfields dan kini direman sehingga esok.

Siasatan juga mendapati kegiatan mereka dipercayai aktif sejak Januari tahun ini.

Wan Abd Bari berkata polis kini memburu seorang lagi suspek yang masih bebas berusia 17 tahun dan beralamat di Desa Petaling di sini.- Bernama

Bekas guru cabul pelajar perempuan dipenjara 3 tahun




12 September 2012
PUTRAJAYA - Seorang bekas guru sekolah rendah, yang pada dua tahun lepas mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berumur lapan tahun, hari ini memulakan hukuman penjara tiga tahun selepas Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan sabitan dan tempoh hukuman penjaranya.

Panel tiga anggota terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Apandi Mohamed Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Mohtarudin Baki sebulat suara menolak rayuan akhir Anuar Shaari.

Anuar, 50, disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret pada 7 Feb tahun lepas kerana menggunakan paksaan untuk mencabul kehormatan pelajar Tahun Dua itu di bilik muzik Sekolah Kebangsaan Sungai Duri di Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang, antara 3 petang dan 4 petang 17 Nov, 2009.

Bagaimanapun, pada 6 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi George Town menambah tempoh hukuman penjaranya kepada tiga tahun.

Mahkamah Tinggi menolak rayuan Anuar terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang mensabit dan menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadapnya dan membenarkan rayuan balas oleh pendakwaan bagi tempoh hukuman penjara yang lebih berat.
 
Anuar memperoleh kebenaran penangguhan pelaksanaan hukuman dan jaminan RM4,000 beserta seorang penjamin daripada Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Fakta kes mendedahkan bahawa pada hari berkenaan, pelajar perempuan terbabit diarah membawa buku teks Bahasa Melayu ke dalam bilik muzik itu.

Apabila pelajar perempuan itu tiba di bilik muzik, tertuduh mengunci pintu, mengambil sebuah kerusi dan mengarahkan pelajar itu duduk. Selepas mencabul kehormatan pelajar itu, Anuar mengarahkannya supaya balik ke bilik darjah.

Pelajar perempuan itu memberitahu ibunya tentang kejadian itu apabila ditanya selepas ibunya melihat pelajar itu menangis ketika pulang dari sekolah.

Ibu pelajar itu kemudian membuat laporan polis.

Anuar diwakili peguam R.S.N Rayer manakala Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim pula mewakili pendakwaan.- Bernama

Kuarters Kastam Johor terbakar, timbalan pengarah meninggal dunia



MOHD FIRDAUS YON
12 September 2012
Keadaan kuarters Kastam Diraja Malaysia Johor selepas api berjaya dipadamkan.
Keadaan kuarters Kastam Diraja Malaysia Johor selepas api berjaya dipadamkan.
JOHOR BAHRU - Kediaman dua tingkat kuarters dua tingkat berkembar Kastam Diraja Malaysia Johor di Jalan Biru 2, Taman Pelangi di sini, musnah sebahagian dalam kejadian kebakaran, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Timbalan Pengarah Kastam Negeri Bahagian Pematuhan, Ahmad Hassan, Ahmad Hassan yang tinggal di kuarters bersebelahan meninggal dunia di luar kediaman dipercayai kerana mati mengejut, ketika cuba menyelamatkan diri.

Dalam kejadian jam kira-kira 4 pagi itu, bahagian depan rumah terbakar manakala sebuah kereta milik pegawai penguasa jabatan rosak teruk dijilat api dipercayai akibat perbuatan khianat.

Menurut sumber, kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat kumpulan sindiket yang didakwa melontarkan bom petrol di hadapan pintu kediaman terbabit selepas gagal membuat rundingan bersama pegawai penguasa.

Akibat daripada kebakaran itu, sebuah kereta musnah manakala bahagian depan rumah dijilat api, diikuti asap tebal memasuki kediaman sehingga menyukarkan dua pegawai menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, kehadiran bomba membolehkan salah seorang daripada dua pegawai terbabit menyelamatkan diri dan seorang lagi berjaya diselamatkan ketika usaha memadamkan api dilakukan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor Bahru, M Vijayan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 4.11 pagi sebelum sebuah jentera berserta tujuh anggota bersama pegawai tiba di lokasi sepuluh minit kemudian.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.35 pagi dan bomba menamatkan operasi sekitar jam 5 pagi. Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari kereta, kemudian marak ke bahagian depan kediaman dengan membakar struktur kayu pada rumah ini diikuti asap tebal mula memenuhi ruang dalaman.

"Ketika kejadian, ada dua pegawai di dalam rumah. Seorang daripadanya bertindak menyelamatkan diri sebaik sahaja kami tiba, manakala seorang lagi terperangkap tetapi berjaya diselamatkan. Keseluruhan bomba berjaya memadamkan api daripada terus marak," katanya.

Vijayan berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan oleh pihaknya, namun terdapat maklumat memberitahu kejadian disebabkan tindakan khianat.

"Tentang perbuatan khianat ini, bomba belum dapat pastikan dan ia cuma maklumat hasil daripada siasatan awal sahaja," katanya.

Polis Johor tahan 7, rampas dadah RM68 juta





12 September 2012
MUAR - Polis Johor menahan tujuh suspek dan merampas dadah seberat 1.17 tan metrik bernilai RM68 juta, iaitu rampasan terbesar di Johor setakat ini, menerusi beberapa operasi di sekitar bandar ini pada Ahad.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata operasi dilakukan di tiga unit pangsapuri di Pangsapuri Pemandang Tanjung, Jalan Junid dan dua rumah di sekitar kawasan itu pada pukul 6.30 pagi.

"Suspek lima lelaki dan dua wanita yang berumur 24 hingga 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam sindiket mengedar dadah dengan menjadikan dua unit rumah di pangsapuri itu sebagai makmal memproses barangan larangan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini hari ini.

Beliau berkata dadah yang dirampas ialah 34.045 kilogram syabu, heroin (13.915 kg), ketamin (41.825 kg), ecstasy (392.540 kg), Eramine 5 (30,500 biji) dan kafein (698.875 kg).

Selain pelbagai peralatan memproses dadah, polis turut merampas sepucuk pistol dan tujuh butir peluru, wang tunai RM9,268, barangan kemas bernilai RM6,704, sebuah Toyota Estima dan kereta jenis Peugeot, katanya.

Katanya dadah yang dipercayai untuk pasaran sekitar negeri ini, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan luar negara itu mampu menampung 2.2 juta penagih.

Menurut Mohd Mokhtar, sebuah daripada pangsapauri terbabit dijadikan tempat menternak ikan kelisa untuk jualan dengan dilengkapi lebih 100 akuarium untuk mengaburi mata jiran dan pihak berkuasa.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati tiga daripada lima lelaki serta dua wanita berkenaan positif dadah jenis metaphetamin.

"Semakan rekod mendapati dua daripada lima lelaki itu juga mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya semua yang ditahan itu direman sehingga Ahad ini dan polis menggiatkan usaha untuk mengesan saki-baki anggota sindiket itu yang masih bebas.- Bernama

4 beradik terbiar



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
         
SUNGAI SIPUT: Empat beradik ditemui hidup terbiar dan kelaparan selepas ditinggalkan ibu kandung mereka yang tidak pulang ke rumah di Taman Makmur, di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Lebih malang apabila tiga daripada empat beradik itu tidak bersekolah berikutan tidak diberikan wang saku selain dibiarkan hidup tanpa jagaan sempurna oleh bapa mereka yang ditahan polis selepas disyaki terbabit jenayah.


Nasib malang empat beradik itu mendapat perhatian Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, R Ganesan dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Siput yang melawat rumah mereka pagi semalam.

Ketika lawatan mengejut dilakukan, empat beradik itu, Nor Hidayah Abdullah, tiga tahun, Nor Iman Abdullah, lapan tahun, Nor Ain Abdullah, 10, dan Norr Effa Abdullah, 14, tidak bersekolah dan sekadar berkeliaran di sekeliling rumah.


Jiran mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, rata-rata penduduk di kawasan perumahan itu simpati nasib empat beradik itu.


Menurutnya, mereka mula menyedari ibu kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah sejak lebih tiga bulan lalu, manakala bapa mereka bersikap ‘lepas tangan’.

“Penduduk bergilir-gilir memberikan makanan dan bantuan bagi memastikan empat beradik itu tidak kelaparan.


“Saya memastikan kanak-kanak itu diberikan roti atau nasi setiap hari. Saya tidak sampai hati melihat mereka kelaparan,” katanya.

Menurutnya, penduduk di kawasan itu beberapa kali membawa Nor Hidayah mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sungai Siput selepas kanak-kanak malang itu diserang penyakit sawan.


“Ada penduduk memberikan wang saku kepada Norr Effa bagi memastikan kanak-kanak itu dapat ke sekolah,” katanya.


Seorang lagi jiran yang enggan namanya didedahkan mendakwa sering melihat Nor Hidayah merayau dan dihantar pulang orang ramai yang prihatin.


Sementara itu, Norr Effa yang disoal pegawai JKM gagal memberi maklumat jelas berhubung lokasi ibu dan bapanya berada.


“Ibu sudah lama tidak balik dan ayah ada di hospital kerana sakit,” katanya sambil menitis air mata.


Sementara itu, ibu kanak-kanak itu yang berjaya dihubungi Ganesan menggunakan telefon bimbit berjanji untuk pulang menziarahi anak-anaknya.


Bagaimanapun, pihak JKM meminta ibu kanak-kanak itu yang kini menetap di Sitiawan datang ke pejabat JKM bagi memberikan laporan sebelum tindakan susulan diambil.


Ganesan berkata, ibu kanak-kanak malang itu sebelum ini pernah bekerja di sebuah kedai judi di pekan Sungai Siput sebelum berhijrah ke lokasi lain.


“Walaupun berlainan agama, rata-rata jiran berbangsa India di kawasan ini amat simpati terhadap nasib empat beradik itu. Pihak JKM mungkin akan menempatkan empat beradik itu di rumah kebajikan sekiranya penjaga atau waris mereka gagal mengambil tindakan sewajarnya.


“Agak menyedihkan apabila semua kanak-kanak itu dibiarkan bersendirian di rumah selain tidak diambil tahu ibu bapa soal kesihatan, persekolahan dan kebajikan,” katanya.

‘Ini kali terakhir abang telefon’




         
KUALA KEDAH: “Ini kali terakhir abang telefon.” Itulah kata-kata terakhir Harun Aris, 24, sebelum dia menghilangkan diri dengan meninggalkan tunangnya, Nur Mazera Mansor, 22, tertanya-tanya, sekali gus melenyapkan impian mereka untuk disatukan pada 1 September lalu.

Difahamkan, pasangan Harun dan Nur Mazera dijangka dinikahkan pada 31 Ogos lalu, dengan majlis perkahwinan mereka dilangsungkan pada hari berikutnya dengan jumlah wang hantaran dan mas kahwin RM12,000.


Nur Mazera berkata, pada mulanya dia agak pelik apabila menerima panggilan daripada tunangnya itu pada 6 Ogos lalu kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian, namun lelaki berkenaan menegaskan mahu tidur sebaik pulang menunaikan solat sunat Tarawih Ramadan lalu.

“Tidak dinafikan saya memang pelik dengan kata-katanya itu, namun apabila bertanyakan kenapa berkata demikian, dia hanya menegaskan bahawa itu kali terakhir dia menelefon saya untuk hari berkenaan kerana terlalu penat dan ingin tidur.


“Selepas mendengar penjelasannya, saya langsung tidak mengesyaki apa-apa, tetapi sebaik dimaklumkan keluarga bakal mentua anak bongsu mereka sudah tiada di rumah dan melarikan diri, saya terkejut,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumah keluarganya di Kuala Kedah, di sini, semalam.

Air ketum ubat nyamuk



Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
         
BANDAR TUN ABDUL RAZAK: Lingkaran ubat nyamuk serta beberapa pil kuda gred A yang direbus bersama daun ketum dikesan menjadi ‘resipi’ pilihan utama bagi segelintir tukang masak air ketum konon didakwa mengeluarkan aroma harum selain didakwa tonik terbaik meningkatkan tenaga batin.

Kedua-dua bahan itu yang dikatakan luar biasa akan dicampur bersama timbunan daun ketum dalam periuk sebelum dikacau selama tiga jam hingga mendidih sebelum api dapur gas dikecilkan bagi menjaga kualiti air ketum berkenaan.


Difahamkan, bagi penggemar ‘air racun’ itu, mereka dikatakan lebih suka kepada daun ketum yang mempunyai urat merah berbanding urat putih, sekali gus mendapat permintaan tinggi di kalangan penagih tegar.

Bagaimanapun, kegiatan haram itu terbongkar apabila sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran menyerbu sebuah rumah yang turut dijadikan sebagai makmal memproses air daun ketum di Felda Jengka 17, dekat sini, semalam.


Dalam serbuan jam 9 pagi diketuai Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan IPK, Asisten Superintendan Azli Mohd Noor bersama anggotanya mendapati tukang masak air daun ketum itu dipercayai melarikan diri.


Azli berkata, ketika serbuan dilakukan, ibu kepada tukang masak terbabit berada di rumah sebelum polis menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berusia lingkungan 50-an itu dikatakan memberi alasan suspek pulang ke kampung di Kedah sejak tiga hari lalu bersama saudaranya kerana menyelesaikan urusan peribadi.


Katanya, hasil pemeriksaan di belakang rumah, polis menemui tiga batang pokok ketum sebesar pemeluk yang ditanam sejak beberapa tahun lalu menyebabkan sebatang daripadanya terpaksa diikat dengan tali kerana senget.

“Bagaimanapun, kita meragui dakwaan ibu suspek mengatakan anaknya berada di Kedah sejak tiga hari lalu sedangkan beberapa daun ketum ditemui di belakang rumah itu masih basah seperti baru selesai direbus.


“Siasatan turut mendapati suspek berusia lingkungan 30-an dipercayai menjalankan operasi merebus air daun ketum seawal jam 1 pagi dan berhenti sebelum Subuh,” katanya.


Beliau berkata, suspek kemudian akan membungkus mengikut sukatan sebelum menjualnya kepada pelanggan dengan harga RM5 untuk dua bungkus.


Menurutnya, suspek dipercayai penagih tegar menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak beberapa tahun lalu selepas dikatakan menanam anak pokok daun ketum dibawanya dari Kedah.


Katanya, polis sudah memotong sebelum membakar pokok ketum berkenaan dengan bantuan kakitangan Majlis Daerah Maran (MDM).

Diseksa kekasih




         
KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 30 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun diperlakukan seperti hamba oleh teman lelakinya yang bukan sahaja menyeksa secara fizikal dan batin sejak hujung tahun lalu, malah segala barangan berharga milik mangsa turut dirampas.

Sumber polis berkata, mangsa berpendapatan lebih RM5,000 sebulan itu tidak mampu merasai pendapatannya itu kerana teman lelakinya yang berusia 30-an menyimpan kad pengeluaran wang automatik (ATM), kad kredit dan barang kemas miliknya sejak perkenalan mereka.


Beliau berkata, pendapatan mangsa turut dijadikan modal lelaki itu untuk dipinjamkan kepada orang lain dan jika tidak memberikan wang pada masa ditetapkan, anaknya akan menjadi mangsa.

“Mangsa pernah dibelasah dengan kayu besbol dan tidak diberikan makanan serta minuman selama dua hari selepas wanita itu cuba membuat laporan polis.


“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini, kelmarin hasil bantuan rakannya,” katanya.

2 remaja curi bas dicekup



Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
         
KLANG: Dua remaja lelaki yang dipercayai hanya ‘suka-suka’ mencuri sebuah bas kilang ditahan polis ketika menunggu pesanan tomyam di gerai makanan di Taman Sentosa, Sabtu lalu.

Bas kilang berkenaan dilaporkan hilang oleh pemiliknya selepas diletakkan di hadapan stesen minyak di Jalan Kim Chuan, di sini, pagi, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Mohamad Mat Yusop berkata, suspek yang berusia 18 dan 19 tahun bekerja di sebuah kilang ditahan jam 11 malam selepas polis menerima maklumat bas dilaporkan hilang sebelum ini.

Sewaktu ditahan, seorang suspek sedang menunggu tomyam dipesannya manakala seorang lagi baru keluar dari tandas.

Lelaki masih dibicara rogol tiga lagi gadis


KLANG: Gara-gara tidak dapat menahan gelora nafsu, seorang lelaki yang sedang dalam proses perbicaraan membabitkan satu kes rogol, masih melakukan kesalahan sama terhadap tiga lagi mangsa sejak Mac lalu.

Difahamkan, tiga remaja perempuan yang menjadi mangsa kepada suspek adalah pelajar sekolah yang dikenali melalui laman sosial facebook sebelum menjalinkan hubungan dengannya.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, sebelum ini, suspek berusia 20 tahun pernah didakwa Mac lalu membabitkan satu kes merogol seorang gadis bawah umur pada 2011 namun dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 sementara menunggu perbicaraan.

Menurutnya, walaupun masih dalam tempoh jaminan, lelaki terbabit masih meneruskan aktiviti terkutuknya dengan merogol tiga lagi gadis masing-masing berusia 13 dan 15 tahun.


Kejadian terakhir dilaporkan berlaku dua minggu lalu dan polis menerima maklumat selepas semua mangsa bersama ahli keluarga membuat laporan polis.


“Semua mangsa adalah pelajar sekolah menengah di daerah ini dan berkenalan dengan suspek menggunakan facebook sebelum mereka berjumpa dan suspek mengajak mangsa untuk pergi ke rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Udang, di sini,” katanya.

Bagaimanapun, tembelang suspek pecah apabila ahli keluarga semua mangsa curiga kerana mangsa sering pulang lewat ke rumah dan memaksa mangsa menceritakan kejadian sebenar.

Simbah air panas



Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih nekad membawa kayu panjang dan sebaldi air panas sebelum menyerang serta menyamun seorang guru yang sedang mengajar puluhan anak muridnya di sebuah sekolah rendah di Petaling Jaya, di sini.

Dalam kejadian jam 8 malam Ahad lalu, mangsa, seorang wanita berusia 22 tahun sedang mengajar tuisyen sempena persediaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


Akibat serangan berkenaan, mangsa melecur di tangan dan sebelah kanan badan selepas disimbah air panas.

Menurut sumber, mangsa yang sedang mengajar didatangi seorang wanita dan seorang lelaki tidak dikenalinya dipercayai pasangan kekasih.


“Suspek (wanita) meluru masuk ke dalam bilik darjah sebelum memarahi mangsa. Mangsa yang tidak mengetahui punca sebenar kemudian mempersoalkan tindakan wanita terbabit.


“Belum sempat mangsa berkata apa-apa, lelaki yang menemani wanita itu terus meluru masuk dengan memegang kayu panjang dan sebaldi air panas,” katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit cuba menyimbah air panas dibawanya itu kepada mangsa.


“Tindakan guru berkenaan yang cuba menghalang perbuatan lelaki terbabit menyebabkan tercetusnya pergelutan antara mangsa dan suspek sambil disaksikan puluhan murid dalam bilik darjah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas bergelut mangsa sempat menolak kedua-dua pasangan terbabit keluar dari bilik darjah selain merampas baldi yang digunakan sebelum mengunci pintu.


“Bagaimanapun, mangsa melecur di badan dan tangan sebelah kanan akibat terkena air panas dibawa pasangan berusia 20-an itu,” katanya ketika ditemui.


Pasangan terbabit sempat melarikan telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000.


Sumber berkata, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.


Difahamkan, mangsa melecur lebih 30 peratus di badan dan tangan sebelah kanan namun keadaannya dilaporkan stabil.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK).


Menurut Arjunaidi, sehingga kini masih belum ada tangkapan dilakukan pihak polis, namun usaha mengesan dua suspek sedang giat dijalankan.

Serang guna pisau pencukur




         
GOMBAK: Keceriaan seorang penghantar surat menghadiri majlis perkahwinan rakannya bertukar tragedi apabila diserang dua lelaki dikenali menggunakan pisau pencukur gara-gara berlaku perselisihan faham antara mereka dalam kejadian di Batu Caves, di sini, Sabtu lalu.

Kejadian itu menyebabkan mangsa menerima beberapa jahitan di kepala.


Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 31 tahun terkejut apabila didatangi lelaki dikenalinya itu yang memarahi dan menghamburkan kata-kata kesat.

Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut mengeluar pisau pencukur dan menoreh kepala mangsa beberapa kali.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

Ahli perniagaan terselamat dua das tembakan




         
IPOH: Nyawa seorang ahli perniagaan masih panjang apabila dua das tembakan yang dilepaskan seorang suspek dipercayai ‘pembunuh upahan’ tidak mengena sebaik mangsa keluar dari sebuah pusat hiburan di Jalan Datuk Lau Phak Khuan, Ipoh Garden, di sini, awal pagi semalam, tersasar.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an terselamat apabila peluru itu hanya menembusi dinding kereta mangsa sebelum suspek melarikan diri.


Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan menuju ke tempat letak kenderaan berhampiran pusat hiburan berkenaan.

Menurutnya, seorang lelaki tiba-tiba muncul sebelum mengacu pistol dan melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah mangsa dari jarak dekat.


“Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu sempat lari dan berlindung di belakang kereta sejurus mendengar bunyi tembakan. “Difahamkan, suspek melarikan diri dari kawasan kejadian dengan menaiki motosikal selepas melepaskan tembakan. Pada masa sama, mangsa turut berlari masuk ke dalam pusat hiburan berhampiran untuk mendapatkan bantuan.


“Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian memeriksa keadaan keretanya dan mendapati ada kesan lubang tembakan pada bahagian sebelah kiri hadapan kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, di sini, beberapa jam selepas kejadian.

Pelatih guru jatuh tingkat 3




         
JOHOR BAHRU: Seorang pelatih perempuan Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPG-KTI) di sini, yang dikatakan tertekan akibat masalah peribadi ditemui parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asramanya, dalam kejadian malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, penuntut berusia 18 tahun dan baru mendaftar di institut pengajian berkenaan Jun lalu cedera parah di tulang belakangnya dan ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan di situ.


Pengawal keselamatan dan pengurusan IPG-KTI kemudiannya menghubungi ambulans dan polis sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk diberikan rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh ketika dihubungi berkata, kejadian disedari pengawal keselamatan sebelum menghubungi pihaknya.


“Berdasarkan laporan awal, mangsa dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asramanya menyebabkan dia mengalami kecederaan serius pada tulang belakang.


“Selain itu, keterangan seorang saksi pula mendakwa, mangsa dilihat berlegar-legar di tingkat berkenaan sebelum ditemui dalam keadaan terbaring di bahagian bawah bangunan terbabit,” katanya, semalam.

Menurutnya, sejurus ditemui, mangsa dibawa ke HSA dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

2 maut nahas dua kereta bertembung




         
GUA MUSANG: “Saya mahu mengikutnya bersama menaiki kereta ke Gua Musang membaiki mesin rumput tetapi dilarang ayah beberapa kali. Tidak sangka ayah sudah tiada,” kata Haslan Abdullah, 25, selepas bapanya, Abdullah Abdul Ghani, 62, maut dalam kemalangan di Kilometer 7.9, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, semalam.

Kejadian jam 10.30 pagi itu turut menyebabkan kematian seorang lagi mangsa, Che Zamri Che Long, 40, selepas Proton Wira dipandunya terputus dua sebelum tercampak dalam longkang berhampiran.


Sebelum kejadian, Che Zamri dikatakan memandu dari arah Gua Musang ke bandar Chiku, namun tiba-tiba tayarnya pecah menyebabkan kereta mangsa terus merempuh kereta sewa dipandu Abdullah dari arah bertentangan.

Kereta Che Zamri kemudian dirempuh sebuah Mercedes Benz dari arah sama di belakang dipandu seorang pemuda berusia 20an.


Bagaimanapun, pemandu kereta Mercedes Benz tidak mengalami sebarang kecederaan.


Menurut Haslan, arwah sebelum kejadian sempat menghantar ibunya ke Pusat Kesihatan Bandar Chiku untuk menerima rawatan.

Tiga dara gedik dicekup khalwat




         
MELAKA: Kehadiran tiga dara gedik yang hanya berseluar pendek dan bersinglet ke kediaman lelaki yang juga rakan sepengajian mereka di Taman Casa Height, Alor Gajah, dekat sini, hanya mengundang padah apabila dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari, tiga remaja perempuan dan enam lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun itu dicekup selepas didapati berkurung dalam rumah sewa berkenaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan tiga remaja perempuan berkenaan dikatakan masuk ke rumah lelaki terbabit dan didapati masih tidak keluar dari kediaman berkenaan selepas beberapa jam.

Wanita maut jatuh kondo




         
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai terjatuh dari tingkat 23 Kondominium PV13, Danau Kota, Setapak, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, mangsa yang berusia 24 tahun mengalami kemurungan selepas dipercayai putus cinta dengan kekasihnya yang baru dikenali melalui satu laman sosial.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian jam 4 pagi itu disedari penghuni blok berkenaan sebaik terdengar bunyi objek terjatuh.

“Penghuni itu cuba melihat keluar sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di kaki lima. Beliau kemudian menghubungi polis.


“Sepasukan polis dan unit forensik tiba di tempat kejadian jam 4.30 pagi untuk memeriksa mayat mangsa. Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah di seluruh badan,” katanya.

Jumpa mayat rentung dalam kereta dijilat api




         
KLANG: Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah terkejut apabila menemui mayat rentung dalam api marak yang membakar sebuah kereta di ladang kelapa sawit berhampiran Kem Bina Negara, Kampung Cherakah, di sini, petang kelmarin.

Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian disedari jam 6.30 petang sejurus didatangi seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan memberitahu ternampak kepulan asap hitam dan api marak dalam kawasan ladang sebelum bergegas ke tempat berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.


Setibanya di kawasan itu, beliau ternampak sebuah kereta hangus dijilat api dan lebih mengejutkan apabila terdapat tubuh manusia di tempat duduk belakang kereta berkenaan yang terbakar.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7 malam sebelum sepasukan polis dan forensik dikejarkan ke tempat kejadian.


Katanya, selepas diperiksa, pasukan forensik mengesahkan ia mayat manusia yang sudah hangus namun jantina mayat berkenaan belum dapat dikenal pasti. “Hasil siasatan awal polis mendapati kereta berkenaan adalah Proton Iswara yang dilaporkan hilang di Brickfields pada 10 Ogos lalu,” katanya.


Shukor berkata, pihaknya juga tidak menemui dokumen pengenalan diri dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Katanya, motif dan punca pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Dua rangka manusia ditemui di dasar empangan




         
TOKYO: Dua rangka manusia ditemui di dalam sebuah kereta di dasar sebuah empangan di Jepun, 17 tahun selepas dua adik beradik lelaki hilang ketika memandu dan bersiar-siar di kawasan itu, kata polis semalam.

Pekerja lebuh raya menemui rangka berkenaan di situ ketika mengeringkan air kawasan empangan untuk melakukan kerja ukur tanah di Koge, Kyushu.
Jurucakap polis tempatan berkata, “Kami masih cuba mengesahkan sekiranya kemalangan itu berkaitan dengan dua adik beradik lelaki yang hilang pada 1995.”

Pada Oktober tahun itu, lelaki berusia 20 tahun dan adiknya, 18 tahun, hilang ketika memandu dari rumah ibu bapa mereka menuju bandar Usa, yang terletak berdekatan. - AFP

Pencuri telan berlian palsu




         
COLOMBO: Polis Sri Lanka semalam berkata, berlian yang ditelan oleh lelaki China di pameran batu permata di Colombo baru-baru ini adalah tiruan dan mereka kini mencari batu yang asli.

Polis menahan Chou Wan, 32, minggu lalu selepas mendapat aduan dia menelan berlian 1.5 karat bernilai AS$13,000 (RM40,176). Imbasan X-ray mendapati sebutir berlian di dalam badan Chou dan dia kemudian diberi makan julap di hospital.
Jurucakap polis, berkata, berlian yang ditemui semula itu didapati tiruan dan tidak mempunyai nilai. Katanya, polis mengesyaki seorang lagi lelaki China yang dilihat bersama Chou, dipercayai rakan jenayahnya mungkin menyimpan berlian yang asli. - AP

Anggota polis perkosa anak dipenjara 18 tahun, 12 sebatan




         
BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang anggota polis berusia 33 tahun dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak perempuannya.

Defendan didapati bersalah melakukan perbuatan itu dalam tiga kejadian berasingan pada 2007, 2010 dan Ogos tahun lalu.


Mahkamah diberitahu insiden pertama terjadi di Berek Polis Seria di Kuala Belait ketika mangsa berusia tujuh tahun. Kejadian kedua di Berek Polis Lamunin di Tutong ketika mangsa berusia 10 tahun dan kejadian terbaru berlaku di sebuah kediaman di Kampung Penaga di Kuala Belait ketika mangsa berusia 11 tahun.

Kes itu dilaporkan kepada pihak berkuasa sekitar Ogos tahun lalu. Siasatan dilakukan Defendan pada awalnya menafikan semua tiga pertuduhan dikenakan ke atasnya, termasuk dakwaan liwat. Dalam perbicaraan itu, pendakwa raya memanggil lapan saksi. Pada 2 Jun lalu Mahkamah Sesyen memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap defendan atas semua tiga pertuduhan rogol, tetapi memutuskan tiada kes prima facie dibuktikan atas tuduhan liwat dikenakan ke atasnya. - Brunei Times

Menteri Jepun gantung diri



         
TOKYO: Menteri Perkhidmatan Kewangan Jepun, mati dipercayai membunuh diri dua hari sebelum sebuah majalah tabloid menyiarkan dakwaan lelaki berusia 73 tahun itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang perempuan, menurut laporan, semalam.

Tadahiro MaMenteri Jepun gantung diri

tsushita ditemui tergantung di rumahnya di Tokyo, kelmarin, lapor media Mainichi Shimbun. Menurut laporan itu, sepucuk surat dialamatkan kepada isterinya, Perdana Menteri Yoshihiko Noda dan anggota Kabinet lain, turut ditemui.
Seorang wanita dari majalah tabloid Shukan Shincho berkata, edisi Rabu (hari ini) akan melaporkan berita mengenai skandal yang melibatkan Matsushita yang “mempunyai hubungan dengan wanita lain” tetapi enggan menjelaskan dengan lebih lanjut.

Laporan media mengesyorkan majalah itu akan menyiarkan dakwaan Matsushita, yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam perubahan dalam perkhidmatan pos, menjalin hubungan dengan wanita lain.


Anggota Kabinet yang lain memberi penghormatan kepada Matsushita semalam dan Menteri Kewangan, Jun Azumi berkata, “Beliau seorang ahli politik veteran dan kualiti kerjanya adalah sangat tinggi.”


Azumi akan menggantikan Matsushita sebagai Menteri Perkhidmatan Kewangan dan Noda akan mengambil alih tugasnya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam menyelia penswastaan rangkaian pejabat pos, lapor Jiji Press. - AFP

6 dicekup bersama 690,000 tablet methamphetamine



         
BANGKOK: Polis semalam menahan lima penduduk suku kaum di kawasan bukit dan seorang wanita Thai serta merampas 690,000 tablet methamphetamine dengan nilai di jalanan melebihi 130 juta baht (RM12.9 juta).

Mereka turut merampas sebuah kenderaan sedan dan trak pikap dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Jalan Soi Bearingon Sukhumvit, tambon Samrong Nua, di wilayah Samut Prakan.


Suspek menghadapi dakwaan memiliki dadah secara haram.

Seorang daripada mereka, Somchai Lao Yipa memberitahu polis, dia membawa dadah dua kali sebelum ini dan dibayar sebanyak 10,000 baht-15,000 baht (RM994-RM1,492) untuk setiap perjalanan. Tugasnya adalah menghantar dadah ke alamat tertentu di mana ada individu lain yang akan mengambilnya.


Ketua Polis Nasional, Priewpan Damapong berkata, pihaknya mendapat tahu sejumlah besar dadah akan diseludup dari utara negara itu ke sebuah kawasan perumahan terpencil di Bangkok dan wilayah berhampiran.


Damapong berkata, dia mengerahkan anggotanya memantau sekumpulan penduduk, terutama suku kaum di kawasan bukit yang dilihat di sekitar Bangkok sebelum membuat tangkapan. - Bangkok Post