Search This Blog

Tuesday, September 11, 2012

Lelaki dipenjara, sebat kerana rogol pelajar



PUTRAJAYA 11 Sept. - Seorang lelaki berusia 35 tahun hari ini terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas dua kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan demikian terhadap Efandi Mashor selepas menolak rayuan akhirnya secara sebulat suara.
Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya, tidak berubah. Hukuman itu bermula hari ini kerana perayu sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan akhirnya dilupuskan.
Bagi setiap tuduhan, lelaki itu dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan. Hukuman berjalan serentak.
Dalam kes tersebut, kedua-duanya sepakat mengadakan pertemuan sulung pada hari kejadian pertama berlaku.
Mangsa dalam keterangannya menyatakan, perayu mengajaknya bersiar-siar di pantai sebelum membawanya ke pondok di sebuah kebun mempelam dan merogolnya.
Efandi diwakili oleh peguam G. Ravishankar manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa. - UTUSAN

Pembuat bom serah diri




         
JAKARTA: Jurucakap Polis Nasional, Brigadier Jeneral Boy Rafli Amar mendedahkan suspek pengganas Muhammad Thoriq (gambar), merancang meletupkan bom yang dibuat di Tambora, Jakarta Barat dan Depok, Jawa Barat untuk meletupkan beberapa serangan, semalam.

“Serangan disasarkan di pusat tahanan di Ibu Pejabat Briged Bergerak (Mako Brimob), Balai Polis Salemba, pejabat Densus 88 dan pusat Buddha yang berkaitan dengan Rohingya,” katanya kepada wartawan, semalam.
Boy berkata, suspek pembuat bom, Muhammad Thoriq yang menyerah diri kepada polis, kelmarin, mengaku merancang meletupkan bom itu sendiri.

“Memang benar, beliau seorang daripada “pengantin perempuan”,” katanya merujuk kepada penyerang berani mati.


Perkataan “pengantin perempuan” biasanya digunakan pengganas kerana percaya sekiranya mereka mati ketika menjalankan misi bunuh diri, mereka akan diangkat oleh bidadari di mana mereka akan berkahwin dan hidup bahagia selama-lamanya.


Boy berkata, Muhammad Thoriq adalah seorang daripada pengganas yang melarikan diri dari Depok selepas bom meletup secara tidak sengaja.

Selain daripada bahan letupan dan senjata, polis menemui surat yang dialamatkan kepada ibu, isteri dan anak Muhammad Thoriq di Depok.

“Suratnya mengatakan dia mencari Allah,” kata Boy. - Jakarta Post

Didakwa tipu RM200,000



Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
         
MELAKA: Seorang pelajar wanita tempatan bersama rakan lelakinya warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini, semalam, atas tiga pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan kerugian RM200,000 Jun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Siti Elfina Azyze Ezami Azyze, 23, dari Taman Melawati, Kuala Lumpur, dan Fred Ajiri Okpeva, 27, dari Selangor mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaharah Hussain.


Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama seorang yang masih bebas menipu Teresa Fernandez, 56, dengan memperdayakannya bagi menyerahkan wang RM19,000 dengan memasukkannya ke dalam akaun AmBank.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama seorang yang masih bebas menipu mangsa sama dengan memperdayakannya bagi menyerahkan wang RM77,227.96 dengan cara memasukkannya ke dalam akaun AmBank.


Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di RHB Bank, Jalan Melaka Raya, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi masing-masing pada 1 dan 5 Jun lalu.


Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama seorang yang masih bebas menipu mangsa sama dengan memperdayakannya bagi menyerahkan wang RM85,000 dengan cara memasukkannya ke dalam akaun AmBank di AmBank, Jalan Melaka Raya, pada jam 11.46 pagi, 7 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420/109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin, mencadangkan kepada mahkamah supaya Siti Elfina Azyze diikat jamin RM100,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada Fred.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mencadangkan ikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin warga Malaysia kepada Fred dengan syarat tambahan pasportnya disimpan mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.


Peguam M Tharuma Ratnam yang mewakili Siti Elfina Azyze memohon jaminan terhadap anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara.


Dalam pada itu, peguam Krishnan Papoo yang mewakili Fred memohon jaminan diringankan kerana anak guamnya juga menuntut di IPTS dan bapanya hanya bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Nigeria serta tidak mampu membayar jaminan yang terlalu tinggi.

Diikat, dibogel kawan lama



         
KUALA LUMPUR: Demi memperoleh RM4,000, seorang lelaki dibantu lima rakan jenayahnya berusia 30 tahun bukan saja sanggup memerangkap rakan baiknya sendiri yang bertemu semula selepas 10 tahun, sebaliknya turut menyeksa mangsa hampir tujuh jam selepas dikurung di sebuah flat di Chow Kit, di sini.

Dalam kejadian bermula pada jam 10 malam, 4 September lalu, mangsa berusia 32 tahun disebat dengan wayar elektrik selain dipukul dengan batang mop.
Malah, mangsa dibogelkan sebelum gambarnya dirakam menggunakan telefon bimbit.

Tambah keji, sepanjang ditawan, mangsa disuntik sejenis cecair dipercayai dadah sebelum suspek meminta RM4,000 sebagai syarat pembebasannya.


Mangsa bagaimanapun, berjaya melarikan diri pada jam 7 pagi keesokannya ketika dibawa dua suspek ke pejabatnya untuk mengambil wang yang dituntut.

Mayat lelaki misteri ditemui berkecai dekat Lapangan Terbang Heathrow




         
LONDON: Mayat misteri yang ditemui di kawasan meletak kereta berhampiran Lapangan Terbang Heathrow semalam mungkin seorang warga asing yang terjatuh dari pesawat yang melintas di ruang udara kawasan berkenaan, kata polis.

Mayat lelaki itu - dipercayai berusia 20-an dan dari Afrika Utara - ditemui orang awam di Mortlake kira-kira jam 7.55 pagi. Jurucakap polis berkata, mereka tidak menolak kemungkinan lelaki itu menyelinap masuk ke bahagian bawah pesawat tertentu dan terjatuh sejurus sebelum ia mendarat.


Menurut penduduk di situ, lelaki terbabit mengalami pelbagai kecederaan dan sebahagian daripada anggota badannya berkecai dan cebisannya ditemui kira-kira enam meter dari situ.

Seorang saksi berkata, kecederaan pada badan lelaki itu “seperti tembikai yang dipukul.” Mortlake terletak di selatan Sungai Thames berhampiran Barnes dan Kew Gardens, manakala Lapangan Terbang Heathrow terletak hanya kira-kira 16 kilometer dari situ.


Kawasan itu juga menjadi laluan kepada banyak pesawat antarabangsa. Billy Watson, 26, yang tinggal di kawasan itu berkata, mayat berkenaan “hancur” dan lelaki terbabit mungkin berketurunan Albania atau Maghribi. “Kepalanya berpusing ke satu arah dan kakinya seperti dipulas ke arah bertentangan.


“Punggungnya tercabut, manakala satu daripada tangannya berada dalam posisi tidak sepatutnya,” katanya. - DM

3 stesen minyak disamun geng bermotosikal

BUKTI...rakaman CCTV menunjukkan suspek memecah pintu stesen minyak.
BUKTI...rakaman CCTV menunjukkan suspek memecah pintu stesen minyak.
TANJUNG MALIM: Sekumpulan penjenayah Mat Rempit dikesan bermaharajalela melakukan kes samun bersiri di daerah ini dengan menjadikan tiga stesen minyak sebagai sasaran utama membabitkan kerugian RM142,000.
Dalam kejadian awal pagi Sabtu dan Ahad lalu, penjenayah berusia 20-an bertindak berani apabila terlebih dulu menghentam cermin pintu stesen minyak hingga pecah menggunakan tukul besi sebelum menyerang kaunter pembayaran.

Sumber polis berkata, kejadian pertama dilaporkan berlaku jam 5 pagi, Sabtu lalu apabila kumpulan suspek menyerang sebuah stesen minyak di pekan Tanjung Malim, di sini.

“Penjenayah mendapatkan wang RM2,000, komputer riba serta telefon bimbit milik pekerja di stesen minyak berkenaan. Suspek kemudian menuju stesen minyak di Behrang sebelum melakukan rompakan sama 20 minit kemudian.

“Bagaimanapun, penjenayah tidak sempat menyerbu masuk dalam stesen minyak kedua apabila loceng penggera di premis itu berbunyi sebaik pintu kaca dipecahkan suspek,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penjenayah sama dipercayai melakukan rompakan sama di stesen minyak di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Hulu Bernam di Lebuhraya Utara-Selatan jam 5.20 pagi kelmarin sebelum melarikan wang RM140,000.


Mangsa yang juga pekerja stesen minyak di Tanjung Malim, Devenlee Gopang, 30-an, berkata, rompakan berlaku ketika dia duduk di kaunter bayaran.

Menurutnya, enam motosikal ditunggang sekumpulan lelaki muncul namun tidak dihiraukan berikutan dia menyangka kumpulan lelaki terbabit berkonvoi dan berhenti rehat.

“Bagaimanapun, seorang daripada suspek memukul pintu stesen minyak menggunakan tukul besi hingga roboh. Empat lagi suspek lelaki masuk dalam premis dan memecahkan pintu pejabat.

“Suspek mengugut saya menyerahkan wang dalam laci. Saya terpaksa menyerahkan semua wang RM2,000 sebelum penjenayah turut melarikan komputer riba dan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nannyan mengesahkan pihaknya menerima laporan kes rompakan stesen minyak terbabit.

Menurutnya, polis kini meneliti rakaman kamera litar tersembunyi (CCTV) yang memaparkan adegan suspek merompak stesen minyak itu.

Ugut terjun cinta hampa



         
SANDAKAN: Gagal dalam percintaan dipercayai menjadi punca seorang wanita duduk sambil menangis di luar tingkap di tingkat enam sebuah hotel, dipercayai cuba membunuh diri sebelum berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba dalam kejadian di Jalan Labuk, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, perbuatan gadis terbabit disedari orang ramai sebelum menghubungi bomba bagi memaklumkan kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin berkata, mangsa berusia 32 tahun baru saja mendaftar masuk ke hotel itu bersama seorang rakannya.

“Bomba menerima panggilan kecemasan jam 9.40 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.


“Berdasar maklumat, seorang wanita memanjat keluar melalui tingkap hotel di tingkat enam, dipercayai untuk membunuh diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Penyerang dipenjara 26 bulan




         
JEMPOL: Seorang daripada empat lelaki yang menyerang tiga beradik menggunakan parang di Bahagian Kecemasan Hospital Jempol, minggu lalu, dijatuhi hukuman penjara 26 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini, semalam.

Majistret Ala’uddin Baharom, menjatuhkan hukuman itu terhadap B Ruben, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.


Ala’uddin turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti fakta kes, hujah Timbalan Pendakwa Raya dan rayuan tertuduh.


Mengikut pertuduhan, Ruben bersama-sama, C Ghopalan Nair, 26, yang juga tertuduh pertama, S Shangkar, 21, dan B Ragavan, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap B Sasithiran, 27; Partiban, 20, dan Ushah Nanthini, 18, dengan melibas parang pada kepala mereka.


Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Kecemasan Hospital Jempol kira-kira jam 8.55 malam, 2 September lalu.

Nenek rugi RM10,000 ditipu 2 ‘pekerja TNB’




         
ALOR GAJAH: Seorang warga emas kerugian kira-kira RM10,000 apabila diperdaya dua penyangak yang menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di rumahnya di sebuah kampung di Lubok Cina, di sini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi Selasa lalu, mangsa yang juga ibu tunggal berusia 79 tahun berada di rumahnya seorang diri.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, wanita itu didatangi dua lelaki menaiki Perodua Myvi berwarna putih dengan mendakwa dari TNB Alor Gajah dan memberitahu mahu melakukan pemeriksaan elektrik di setiap rumah. “Mangsa yang tidak mengetahui niat sebenar suspek membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumah untuk melakukan pemeriksaan pada peralatan elektrik.

“Seorang suspek berpura-pura melakukan pemeriksaan peralatan elektrik di dalam rumah, manakala rakannya mengambil gambar dalam dan luar rumah,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, seorang suspek kemudian menyuruh wanita itu mengambil kad pengenalan untuk direkodkan ke dalam buku catatan sebelum pemeriksaan selanjutnya dilakukan.


Katanya, tanpa berfikir panjang, mangsa masuk ke dalam bilik dan mengambil kad pengenalan dalam beg sebelum meletakkan semula beg itu di atas katil.

“Mangsa menyerahkan kad pengenalannya kepada seorang suspek yang bertindak mengisi butirannya. Selepas 15 minit di sekitar rumah mangsa, kedua-dua suspek menyatakan tugas mereka sudah selesai lalu meminta diri sebelum menghilangkan diri.


“Beberapa minit selepas suspek beredar, mangsa masuk ke dalam biliknya dan mendapati wang dalam sampul surat berjumlah RM750 hilang,” katanya.

Menurutnya, selain wang tunai, satu rantai leher, dua rantai tangan dan dua bentuk cincin emas disimpan dalam beg turut lesap.


Umar berkata, wanita itu mengalami kerugian dianggarkan RM10,000 selepas wang tunai dan barang kemasnya dilarikan dua lelaki terbabit.


“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkulit cerah, seorang daripadanya memiliki susuk tubuh kurus dan tinggi, manakala rakannya berbadan rendah.


“Polis menasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya didatangi individu berkenaan dan segera menghubungi balai polis berhampiran atau talian 06-5562222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kemboja tahan 114 warga Indonesia




         
PHNOM PENH: Pihak berkuasa Kemboja semalam berkata, mereka menahan 114 rakyat Indonesia dalam satu serbuan, disyaki terbabit dengan rangkaian judi bola sepak di Internet di bandar raya ini.

Kumpulan terdiri daripada 90 lelaki dan 24 wanita itu diberkas di dua kediaman di bandar raya ini, menurut Chhay Sinarith daripada Kementerian Dalam Negeri Kemboja.


“Mereka ditahan kerana menjalankan perjudian Internet secara haram. Mereka terbabit dengan pertaruhan bola sepak,” katanya kepada media. Dia berkata, kumpulan itu membuat petaruhan perlawanan bola sepak daripada masyarakat di Indonesia, menguruskan pertaruhan melalui akaun bank di Internet.

Pihak berkuasa sedang melakukan siasatan lanjut terhadap kegiatan rangkaian perjudian itu.


Hanya 25 daripada mereka yang ditahan mempunyai pasport.


Membuat pertaruhan dalam perlawanan bola sepak adalah haram di Kemboja dan rakyat tidak dibenarkan untuk berjudi.

Sempadan Kemboja dengan Vietnam dan Thailand, bagaimanapun, dipenuhi dengan puluhan kasino dan hotel yang menyediakan kemudahan sama untuk warga asing berjudi. - AFP

Penjenayah tinggal belanja pengebumian sebelum bunuh diri



         
MOSCOW: Seorang bapa menembak mati dua anak lelakinya yang masih kecil, isteri dan mertuanya di sebuah desa di Siberia semalam.

Suspek kemudian menyerahkan AS$6,000 (RM18,660) kepada jirannya untuk pengebumian mereka sebelum membunuh dirinya sendiri, kata pihak berkuasa semalam.


Lelaki itu membunuh dua anak lelakinya berusia empat dan sembilan tahun, isterinya, 38, dan mertuanya dengan senapang patah di sebuah desa di Podsinee, Khakasia di selatan Siberia, kata Jawatankuasa Siasatan dalam satu kenyataan. “Selepas insiden itu lelaki terbabit menyelitkan wang $5,000 (RM15,550) dan $1,200 (RM3,732) melalui pagar kediaman jirannya dengan nota meminta supaya mereka semua dikebumikan.

“Kemudian dia masuk ke dalam bilik dan menembak dirinya sendiri,” kata kenyataan itu.


Sementara itu, laman tabloid lifenews.ru, melaporkan, pembunuhan itu berpunca daripada perkelahian keluarga. - AFP

Kepala budak perempuan parah tersepit di eskalator




         
BANGKOK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera parah apabila kepalanya tersepit di antara eskalator bergerak dengan dinding di pusat beli-belah di Pathum Thani, semalam.

Pengawai polis penyiasat Pratunam Chulalongkorn, Leftenan Kolonel Chamnong Kongtapan, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1.20 petang di eskalator bergerak di antara tingkat dua dan tiga di Pusat Beli-Belah Future Park Rangsit.
Katanya, Nualprae Wasuthichaikul mungkin menghulurkan kepala untuk melihat ke bawah sebelum tersepit.

Kanak-kanak itu dihantar ke hospital berdekatan dan doktor berjaya memulihkan kembali denyutan jantung, tetapi keadaannya masih lemah kerana mengalami pendarahan dalam kepala. - Bangkok Post

Gelora nafsu songsang

PASANGAN SONGSANG...dua remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.
PASANGAN SONGSANG...dua remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.
KUANTAN: Aksi jijik dua lelaki homoseksual yang asyik melepaskan gelora nafsu songsang mereka di kawasan rekreasi Taman Gelora, di sini, terbantut apabila mereka dicekup penduduk tempatan yang melakukan rondaan bagi mencegah perlakuan itu, awal pagi kelmarin.
Seorang daripada penduduk terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Fairuz, 30, berkata, dua remaja lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu dicekup jam 2 pagi selepas intipan dilakukan 15 minit.
Menurutnya, penduduk kawasan perumahan berhampiran Taman Gelora kerap melakukan rondaan untuk mencekup pasangan homoseksual selepas tidak sanggup melihat taman rekreasi itu menjadi lubuk maksiat golongan terbabit.

Fairuz berkata, ketika dia dan seorang rakan melakukan rondaan awal pagi kelmarin, mereka mengesan aksi mencurigakan dua individu yang dilihat asyik memadu asmara.

‘Tak sempat brek’

REMUK...anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
REMUK...anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
SABAK BERNAM: “Ngeri saya melihat kepala seorang daripada mangsa pecah dan otaknya terkeluar,” kata S Kumar, 30, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta mengakibatkan lima maut termasuk tiga sekeluarga di Kilometer 70, Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Kampung Parit Tujuh, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Kumar yang memandu lori tiga tan bersama kelindannya dikenali sebagai Sivakumar, 25, dalam perjalanan ke Pantai Remis, Perak, selepas menghantar muatan telur ayam di Klang.

Tiga beranak yang terbunuh ialah Yeap Chin Hing, 52; anak lelakinya, Yeap Soon Keong, 19, dan anak perempuan, Yeap Chin Maei, 25. Turut maut dalam kejadian itu ialah dua wanita yang juga rakan Soon Keong iaitu Ling Siew Mooi, 26, dan Ling Lee Min, 26.

Empat daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Chin Maei meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang.

Kumar berkata, sebelum kemalangan dia melihat sebuah kereta Honda City dinaiki lima mangsa dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kereta lain.

“Ketika memotong, ia bergesel dengan sebuah Honda CRV dari arah bertentangan sebelum hilang kawalan dan menuju ke arah lori.


“Kejadian terlalu pantas dan saya tak sempat mengelak atau membrek. Kereta itu terus merempuh bahagian depan lori.

Kumar berkata, walaupun impak rempuhan itu kuat, dia dan kelindannya bersyukur tidak cedera.

“Sebaik turun dari lori saya lihat kelima-lima mangsa dalam kereta itu tidak bergerak. Saya tidak berani nak tolong kerana kecederaan mereka yang terlalu parah,” katanya yang kemudian menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, kejadian berlaku apabila kereta Honda City dari arah Sabak Bernam yang dipandu Chin Hing cuba memotong sebuah kereta lain sebelum bergesel dengan sebuah Honda CRV di laluan bertentangan.

“Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum ia merempuh lori berkenaan. Semua mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini, manakala seorang lagi mangsa iaitu Chin Maei yang parah dibawa ke Hospital Tanjung Karang. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan.

Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Maut hendak tolong mangsa kemalangan



 
Kuantan: Seorang peneroka yang berhasrat untuk menolong mangsa yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, maut akibat dirempuh kereta dalam kejadian langgar lari di Kilometer 74, Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran Karak, Bentong, malam kelmarin.

Ariffin Hamid, 63, dari FELDA Bukit Damar, Lanchang mati dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Karak akibat cedera parah di kepala. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata ketika kejadian 7.50 malam itu, mangsa keluar dari keretanya untuk membantu seorang pemandu sebuah kereta PROTON Saga yang terbabit dalam kemalangan.

Dilanggar ketika melintas


“Ketika melintas jalan, tiba-tiba sebuah kereta PROTON Wira yang dipercayai dipandu laju menuju arah Kuantan, hilang kawalan lalu merempuh mangsa sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.

“Namun, pemandu kereta PROTON Wira berwarna putih itu dan tidak diketahui nombor pendaftarannya, tidak memberhentikan kenderaannya. Tiada juga sebarang laporan dibuat,” katanya.

Mohamed Fauzi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan.
Pemandu kereta PROTON Saga berkenaan yang berusia sekitar 30-an hanya cedera ringan selepas keretanya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan. - BERNAMA

Cubaan rompak lagi gagal

Rakaman kamera litar tersembunyi (CCTV) menunjukkan  kumpulan suspek menggunakan tukul besi  ketika cuba memecah masuk stesen minyak.Rakaman kamera litar tersembunyi (CCTV) menunjukkan kumpulan suspek menggunakan tukul besi ketika cuba memecah masuk stesen minyak.
Kumpulan lelaki larikan RM142,000 dari stesen minyak



Tanjung Malim: Sekumpulan lelaki bermotosikal merompak RM142,000 dan pelbagai barangan di dua stesen minyak di sini dan Hulu Bernam, Selangor, pada awal pagi Sabtu dan Ahad lalu.
Bagaimanapun, cubaan kumpulan itu untuk merompak satu lagi stesen minyak gagal.


Guna tukul besi<>/b>


Dalam ketiga-tiga kes itu, kumpulan berkenaan menggunakan penukul besi untuk memecahkan pintu kaca stesen minyak berkenaan. 

Sumber berkata, dalam kejadian pertama di stesen minyak di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, jam 5 pagi Sabtu, kumpulan itu melarikan RM2,000 dari kaunter, satu komputer riba dan telefon bimbit milik pekerjanya. 

Kira-kira 20 minit kemudian kumpulan sama cuba merompak stesen minyak di Jalan Persekutuan di Behrang 2020, berdekatan bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim tetapi gagal dan melarikan diri apabila alat penggera berbunyi ketika cuba memecahkan pintunya. 

Rompak RM140,000


Dalam kes ketiga, awal pagi kelmarin, kumpulan lelaki sama merompak RM140,000 dari stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Hulu Bernam arah selatan," katanya di sini, semalam. 

Pekerja stesen minyak di Tanjung Malim, G Devenlee berkata, pada mulanya beliau menyangka kumpulan lelaki menaiki enam motosikal itu mahu mengisi minyak dan terkejut apabila seorang daripada mereka menggunakan penukul untuk memecahkan pintu kaca. 

“Seorang daripada suspek meluru masuk dan memecahkan pintu pejabat, manakala tiga lagi menuju ke arah saya dan mengugut supaya menyerahkan wang dalam laci. 

“Saya cuba melarikan diri melalui satu lagi pintu tetapi dihalang seorang suspek yang menunggu di pintu berkenaan. Mereka kemudian melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM2,000, komputer riba dan dua telefon bimbit saya,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan yang dihubungi mengesahkan menerima laporan rompakan di stesen minyak di Tanjung Malim dan cubaan merompak di stesen minyak di Behrang.

30 mak nyah bertempiaran lari


Sebahagian pondan yang menyertai pertandingan ratu cantik  di sebuah hotel di Taman Ria Jaya, Sungai Petani ditahan  malam kelmarin.
Sebahagian pondan yang menyertai pertandingan ratu cantik di sebuah
 hotel di Taman Ria Jaya, Sungai Petani ditahan malam kelmarin.

Pondan sertai ratu cantik diserbu penguat kuasa

Sungai Petani: Lebih 30 pondan bertempiaran lari selepas dewan hotel yang menjadi lokasi pertandingan ratu cantik mak nyah diserbu pihak berkuasa, malam kelmarin.

Kumpulan pondan yang masing-masing melaram dengan pelbagai fesyen itu bertempiaran lari menuju padang golf serta tasik berhampiran hotel di Taman Ria Jaya, di sini, ketika premis terbabit diserbu jam 8.30 malam.

Berpakaian ala ratu cantik

Ada di antara mereka yang berpakaian ala ratu cantik dilihat terjun dari anak tangga selepas menanggalkan kasut tumit tinggi untuk mengelak dicekup pihak berkuasa.

Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin, berkata dalam serbuan berkenaan lapan pondan ditahan selepas dikesan menyertai pertandingan ratu cantik mak nyah terbabit.

Katanya, tidak kurang 30 pondan dikesan berada dalam dewan berkenaan yang dipercayai disewa khas untuk Pertandingan Ratu Antarabangsa 2012.


Asyik peraga pakaian

Malah, ketika intipan dilakukan, semua peserta dilihat asyik memperagakan pakaian masing-masing untuk merebut juara bagi kategori Ratu Favourite, Rambut Tercantik, Pakaian Kebangsaan Terbaik, Badan Tercantik, Solekan Terbaik dan Catwalk.

Bagaimanapun, katanya serbuan itu dipercayai dibocorkan oleh pengawal keselamatan yang memaklumkan kepada peserta, menyebabkan semua mak nyah bertempiaran lari.

“Ada yang terjun tangga dengan memakai pakaian perempuan ketat, manakala ada lari berkaki ayam ke arah padang golf dan kolam, sebelum hilang.

“Lapan yang ditahan dibawa untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1948 kerana berpakaian perempuan.

“Jika sabit kesalahan semua mak nyah terbabit boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Zaiferi berkata pihaknya kesal dengan tindakan penganjur menganjurkan acara berkenaan kerana umum mengetahui Islam melarang lelaki berpakaian atau menyerupai wanita.

Tipu mangsa guna Facebook




HUI FHEN (duduk, kanan), Jia Wei (duduk, kiri) dan Michael (duduk, tengah) menunjukkan laman web yang memperdayakan pengguna Facebook di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar mendakwa akaun laman sosial Facebook miliknya digodam selepas menyertai peraduan menerusi satu pautan laman web dari sebuah syarikat pengurusan acara pada 4 September lalu.
Akibatnya, penggodam berkenaan telah menggunakan Facebook miliknya untuk meminta rakan-rakan pelajar terbabit membeli kad prabayar bernilai RM10 untuk diisikan kepada satu nombor telefon dipercayai milik penjenayah siber itu.
Menurut mangsa, Koh Hui Fhen, 19, beberapa orang rakannya telah terjerat dengan penipuan yang dilakukan penggodam yang menggunakan Facebook peribadinya.
“Kejadian ini berpunca daripada tindakan saya yang menekan butang ‘kongsi’ apabila diminta mengundi untuk sebuah syarikat, D-sire Se7en Sdn. Bhd. pada 4 September lalu untuk memenangi tawaran hadiah berupa kad prabayar bernilai RM30.
“Akibatnya, tindakan itu telah memberi peluang kepada penggodam untuk mencuri kata laluan saya sebelum menipu wang daripada rakan saya melalui Facebook,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Pengawal kerabat diraja ugut kontraktor didenda



AHMAD ASRI (kiri) didapati bersalah mengugut seorang kontraktor di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang pengawal peribadi kerabat diraja Johor didenda RM10,000 selain diarah membayar pampasan RM40,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah melakukan peras ugut terhadap seorang kontraktor dua tahun lepas.
Majistret Noor Aisyah Ahmad membuat keputusan tersebut selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.
Noor Aisyah turut memerintahkan tertuduh, Ahmad Asri Mohd. Redzuan, 35, dipenjara masing-masing 36 bulan dan lapan bulan sekiranya gagal membayar denda kepada mahkamah dan pampasan kepada mangsa.
Beliau mengguna pakai Seksyen 426 Kanun Acara Jenayah untuk mengarahkan Ahmad Asri membayar wang pampasan itu.
Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Asri yang masih bujang didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Zainal Awang, 53, di tempat letak kereta Perling Mall di sini antara pukul 3 hingga 4 petang 21 September 2010.

Pengawal hilang senapang patah



SHAH ALAM – Seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta yang menjaga pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Cawangan Sungai Buloh yang baru pulang daripada menunaikan solat Subuh, terkejut apabila mendapati senapang patah dan tiga butir peluru miliknya hilang pada Sabtu lalu.
Selain itu, ruang tamu pejabat yang turut menyimpan kutipan duit bayaran orang awam turut digeledah dalam kejadian yang hanya disedari kira-kira pukul 6.45 pagi itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, berikutan kejadian tersebut, pihaknya menahan tiga lelaki termasuk pengawal berkenaan yang berumur antara 32 hingga 56 tahun.
“Kita menahan tiga lelaki yang merupakan pengawal keselamatan syarikat swasta yang ditugaskan menjaga pejabat MBSA berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Kita juga sedang menjalankan siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di pejabat itu untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Wanita kecewa ugut mahu terjun hotel




ANGGOTA polis membawa wanita itu ke balai polis untuk membantu siasatan sebaik sahaja dia diselamatkan.


SANDAKAN – Kakitangan sebuah hotel di sini semalam gempar apabila seorang wanita yang gagal menagih cinta teman lelakinya bertindak nekad untuk terjun dari tingkat enam premis itu dalam kejadian di Bandar Labuk di sini semalam.
Drama hampir satu jam bermula pukul 9 pagi itu bukan sahaja mengejutkan kakitangan hotel malah orang ramai yang melalui kawasan tersebut turut tersentak dengan tindakan wanita berusia 33 tahun terbabit.
Difahamkan, wanita itu baru beberapa jam tiba dari Semenanjung sebelum mendaftar masuk di hotel berkenaan. Dia kemudian yang kecewa apabila teman lelakinya enggan datang dan menerima cintanya, bertindak berdiri di luar tingkap bilik.

Padah ragut wanita dalam lif



KESAN tompokan darah jelas kelihatan di tempat seorang peragut dibelasah oleh orang awam di Chow Kit semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah tegar bukan sahaja gagal melarikan barangan yang diragut malah dia cedera parah apabila dibelasah orang ramai yang geram dengan tindakannya menyamun seorang wanita di dalam lif flat Wisma Hock Ann, Jalan Haji Hussein, Chow Kit di sini semalam.
Kejadian pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika suspek berusia 30 tahun tersebut cuba melarikan diri selepas mencekik dan melarikan rantai leher, dua bentuk cincin emas, loket serta telefon bimbit milik wanita tersebut yang kesemuanya bernilai RM2,800.
Mangsa berusia 33 tahun dan merupakan pekerja salon.
Seorang saksi, Kamal Ngah, 57, berkata, orang ramai yang mendengar jeritan meminta bantuan kemudian ternampak suspek yang ketika itu cuba melarikan diri ke arah Masjid Jamek.
Katanya, peragut itu kemudian dapat diberkas ketika dia cuba menyelinap masuk ke lorong di belakang sebuah warung.
“Ketika kejadian, saya sedang minum dengan kawan-kawan di warung berhampiran dan melihat seorang lelaki telah diberkas dan dibelasah oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis,” ceritanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Tragedi ngeri ragut lima nyawa




SEORANG lelaki melihat keadaan kereta Honda City yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Sekinchan, Sabak Bernam semalam.


SABAK BERNAM – Hasrat tiga beranak dan dua beradik untuk pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dari Teluk Intan, Perak dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda City berkecai apabila kesemuanya maut dalam kemalangan ngeri semalam.
Kejadian pukul 2.30 petang di Kilometer 70, Jalan Teluk Intan-Klang, Sekinchan di sini itu mengakibatkan pemandu kereta, Yeap Chin Hong, 52; anak perempuannya, Yeap Chen Wee, 25; anak lelakinya, Yeap Soon Keong, 19, serta dua wanita yang dipercayai adik-beradik, Ling Siew Mooi, 26, dan Ling Li Min, 25, maut.
Kesemua mangsa mati di tempat kejadian kecuali Chen Wee yang menemui ajal ketika dirawat di Hospital Tanjong Karang.
Difahamkan, mereka hendak ke KLIA untuk menghantar Soon Keong yang mahu menyambung pelajaran ke Taiwan.

Bertaruh di Indonesia, beroperasi di Kemboja



KAKI judi gemar membuat pertaruhan judi melibatkan perlawanan bola sepak Liga Perdana England. - Gambar hiasan


PHNOM PENH - Pihak berkuasa Kemboja pada Isnin lalu telah menahan seramai 114 warga Indonesia dalam satu serbuan perjudian bola sepak secara online di sekitar bandar raya ini.
Menurut Chhay Sinarith dari Kementerian Dalam Negeri Kemboja, sekumpulan 90 lelaki dan 24 wanita itu ditahan di dua buah rumah kediaman di bandar tersebut.
"Mereka ditahan ketika sedang menjalankan operasi perjudian yang diharamkan di negara ini.
"Mereka terlibat dalam pertaruhan bola sepak," katanya kepada AFP.
Beliau berkata, kumpulan itu mengambil pertaruhan bola sepak daripada orang ramai di Indonesia dan semua urusan perjudian dibuat melalui akaun bank secara online.

Suspek pengebom menyerah diri




SEORANG anggota polis bersenjata mengawal rumah Toriq selepas pihak berkuasa menemui alat-alat membuat bom di dalam kediaman terbabit.


JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia menyatakan seorang suspek pembuat bom yang melarikan diri dari rumahnya telah menyerah diri kepada polis di sini.
Jurucakap polis Jakarta, Kolonel Rikwanto semalam memberitahu, Muhammad Toriq yang berusia 32 tahun menyerah diri pada lewat Ahad lalu.
Toriq dikatakan memakai seutas tali pinggang yang berisi alat letupan. Dia juga menyerahkan sepucuk pistol dan peluru.
Suspek melarikan diri selepas penduduk di kawasan perumahan pergi ke kediamannya apabila asap keluar dari rumahnya. Polis kemudian menemui alat-alat membuat bom di dalam rumah terbabit.
Toriq dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan militan yang merancang untuk menembak polis dan mengebom bangunan Parlimen Indonesia sebagai usaha mencetuskan 'perang suci' serta menubuhkan sebuah negara Islam. - Agensi