Search This Blog

Monday, September 10, 2012

Lelaki putus telinga diserang dua individu kerana teguran



NORMAWATI ADNAN
10 September 2012
Lelaki nyaris putus telinga diserang dua individu kerana teguran
Saraswathy pilu melihat keadaan suaminya yang kini dirawat di ICU, HRPB.
IPOH – Teguran berkenaan haiwan peliharaan membangkitkan rasa tidak puas hati jiran tetangga yang bertindak menyerang seorang buruh di Kampung Kobin, Mengelembu, di sini, menyebabkan mangsa hampir putus telinga akibat ditetak dengan parang.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, S Nagalingam, 41 cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Jurucakap polis memaklumkan, mangsa sedang berehat di perkarangan rumahnya pada masa kejadian dan telah didatangi dua individu berusia 30-an yang dipercayai jirannya.

Menurutnya, berlaku pertengkaran sebelum salah seorang daripada suspek bertindak menyerang mangsa bertalu-talu, menggunakan parang selepas berang dengan teguran daripada mangsa.

"Mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan pergelutan itu hanya terlerai selepas isteri mangsa melemparkan serbuk kari ke arah suspek.

"Menyedari perbuatan mereka diperhatikan jiran tetangga lain, kedua-dua suspek beredar dari rumah mangsa," katanya.

Isteri mangsa, G Saraswathy, 31 berkata, dia nekad membantu mangsa sungguhpun ketakutan melihat insiden berkenaan.

"Semasa kejadian, saya dengan bunyi bising di bahagian depan rumah, sebelum mendengar suami saya meraung minta tolong.

"Melihat keadaan suami saya yang parah ketika itu, saya bertindak nekad berlari ke dapur dan mengambil serbuk kari. Tidak disangka serbuk kari yang dilemparkan itu berjaya menakutkan mereka," katanya.

Mangsa yang merupakan bapa kepada lima orang anak, kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB dan masih belum sedarkan diri.

Sinar Harian dimaklumkan keadaannya semakin stabil dan menerima jahitan pada telinganya serta terdapat kesan luka pada bahagian dada.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan, siasatan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Kediaman pelajar kolej musnah



NORIZZAH BAHARUDDIN
10 September 2012
Kediaman pelajar kolej musnah
Anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran, semalam.
ALOR GAJAH - Sebuah bangunan persendirian dua tingkat yang disewakan kepada 135 pelajar Kolej Risda Ayer Paabas, dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 8 malam disedari sekumpulan pelajar di kolej yang terletak di Kampung Rantai Panjang, Masjid Tanah, dekat sini.

Ketika kejadian, sebahagian besar pelajar tiada di situ.

Pelajar, Irfan Mukri Abd Hamid, 18, berkata, ketika kejadian dia bersama dua rakannya sedang bersembang berdekatan bangunan berkenaan sebelum menyedari terdapat asap keluar dari tingkap bilik di tingkat atas bangunan.

Dalam keadaan panik, katanya, dia berlari naik ke atas bangunan berkenaan dan menjerit meminta rakan-rakan sekolejnya yang berada dalam bilik supaya keluar menyelamatkan diri.

“Panik melihat kejadian itu, kami berlari ke tandas untuk mengambil air. Tetapi, sebaik menjirus air, api terus menjulang ke siling dan api yang kian marak memaksa kami keluar dari bangunan itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Penghulu Blok, Mohd Sufian Sabtu, 21, berkata, ketika kejadian, dia berada dalam bilik bersebelahan dan menyedari kebakaran itu apabila terhidu asap kuat disusuli jeritan rakannya.

“Tidak sempat mencapai apa-apa, saya bergegas keluar bilik dan menghubungi warden kolej,” katanya.

Sementara itu, Pendaftar Kolej Risda, Zahariah Zainuddin yang turut berada di lokasi kejadian berkata, pihak kolej tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan pemilik bangunan berkenaan untuk dijadikan penempatan pelajar luar.

“Bangunan berkenaan merupakan bangunan persendirian dan tiada campur tangan dengan pihak kolej. Maka, segala kerugian yang ditanggung pelajar di bawah tanggungjawab pemilik bangunan itu,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Suhaimi Mohd Razali turut mengesahkan pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengesan lokasi berikutan bangunan itu tidak mendapat sijil layak menduduki (CF).

Penunggang gagal elak kereta



NUR FARHANA ABDUL MANAN
10 September 2012
Penunggang gagal elak kereta
Mangsa maut dalam keadaan mengerikan di jalan utama Serdang Raya, malam kelmarin.
SERDANG – Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hancur digilis sebuah lori di jalan utama Serdang Raya, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa warga Bangladesh, Md Rana, 30, dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bersendirian dari arah Seri Kembangan menghala ke Serdang Raya.

Ketika sampai di simpang Jalan SR 6/1, motosikal ditunggangi mangsa dikatakan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang membelok ke kanan menuju ke  arah Seri Kembangan.

Sumber berkata, mangsa dikatakan cuba mengelak kereta itu dan masuk ke jalan bertentangan dipercayai untuk mengelakkan rempuhan berlaku.

Menurutnya, akibat terbabas, mangsa tercampak ke atas jalan sebelum digilis sebuah lori yang datang dari arah Kuala Lumpur.

Kejadian malang itu menyebabkan tempurung kepala mangsa pecah manakala otaknya berselerak di atas jalan.

Katanya, menurut saksi, lori berkenaan terbabas sedikit ke bahu jalan, namun meneruskan perjalanan dan tidak berhenti melihat kejadian selepas itu.

Pemandu lori juga dikatakan masih belum membuat laporan polis sehingga jam 1 pagi, semalam.

“Motosikal mangsa berlanggar bahagian bucu kiri kereta Proton Saga  dinaiki sepasang suami isteri dan dua anak mereka.

“Akibat terbabas, motosikal mangsa masuk ke laluan bertentangan sebelum dia yang tercampak digilis sebuah lori yang dipercayai berwarna kuning,” katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pemandu kereta dan tiga penumpang tidak mengalami  kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055595.

Tikam kawan baik: Suspek direman tujuh hari



NOOR AZLIDA ALIMIN
10 September 2012
Tikam kawan baik: Suspek direman tujuh hari
Suspek (dua, kiri) ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pekerja lombong bijih, di Kampung Rahmat, Lubuk Stol, semalam.
PASIR MAS – Seorang lelaki berusia 37 tahun, ditahan reman selama tujuh hari, bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pekerja lombong bijih, bermula semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan di bawah perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik di Mahkamah Pasir Mas, jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, lelaki ini ditahan sehingga 15 September ini selepas menyerah diri di Balai Polis Lubok Stol, Rantau Panjang, satu jam setengah selepas kejadian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mengenai kematian Mohd Yusof Zakaria, 41, dipercayai ditikam oleh sahabatnya, antara jam 8 hingga 9 pagi kelmarin, di kantin lombong bijih Kampung Rahmat, Lubuk Stol.

Suspek dari Benut, Johor itu dikatakan membawa pisau dari rumahnya, yang terletak dua kilometer daripada kantin, sebelum menikam mangsa di dada.

Tikaman pertama dkatakan berjaya ditepis oleh mangsa dan terkena tangan kirinya, namun tikaman kedua terkena pada dada kirinya sehingga mengenai jantung.

Mangsa yang dilahirkan di Kedah dan menetap di Kelantan itu, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Rantau Panjang, kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Asrama tempatkan 25 pelajar tahfiz Kuala Ibai terbakar




9 September 2012
KUALA TERENGGANU - Tingkat dua sebuah bangunan yang menempatkan asrama dihuni 25 pelajar Maahad Tahfiz Assyifa di Kampung Kolam, Kuala Ibai di sini, terbakar dalam satu kejadian pada kira-kira 1.20 petang tadi.
  
Pengetua maahad tahfiz itu Ahmad Syarifuddin Ibrahim berkata ekoran insiden tersebut, semua peralatan pelajar seperti tilam dan katil gagal diselamatkan.
  
"Ketika kebakaran, saya sedang solat zohor bersama pelajar di surau berhampiran, tetapi saya dikejutkan dengan teriakan ibu saya Limah Awang, yang ketika itu berada di tingkat bawah menjerit ada api di tingkat dua bangunan.
  
"Mendengar teriakan itu, saya terus keluar dan melihat api sedang marak membakar bangunan tingkat dua. Saya bersama orang kampung serta pelajar cuba memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air terdekat bagi menggelakkan kebakaran merebak ke tingkat bawah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
  
Beliau berkata maahad tahfiz, yang menempatkan 50 pelajar tingkatan satu hingga lima, baharu diduduki tahun lepas setelah dibina semula hasil sumbangan orang ramai kerana terlibat dalam kebakaran pada awal tahun 2011.
 
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Md Ridzuan Hasan berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.25 petang dan tiga jentera bersama 28 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
  
"Kita mengambil masa kira-kira 11 minit bagi mengawal keseluruhan kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke tingkat bawah," katanya.
  
Beliau berkata tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat.
  
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Wan Kamal Wan Ismail berkata pihaknya akan memberi bantuan keperluan asas seperti tilam, selimut serta peralatan lain kepada pelajar terbabit dalam masa terdekat. - Bernama

Warga emas nyaris maut terperangkap dalam asap tebal



NORFARAHAH OTHMAN
10 September 2012
Warga emas nyaris maut terperangkap dalam asap tebal
Anggota bomba dan penyelamat bersama bomba sukarela sedang memadamkan sisa kebakaran.
BENTONG - Tidur sepasang suami isteri terganggu apabila rumah kosong di hadapan rumah mereka terbakar di Kampung Sungai Dua, dekat sini, dalam kejadian kira-kira jam 11.23 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, Chan, 77, dan isterinya Leong, 73, sedang lena tidur sebelum dikejutkan dengan kepulan asap tebal dan bahang api.

Chan berkata, dia segera bangun melihat apa yang berlaku dan mendapati rumah kosong dua tingkat di hadapan rumahnya sedang marak terbakar.

“Isteri terus menelefon anak yang berada di Bentong memaklumkan kejadian itu dan dalam masa sama cuba keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri, namun gagal kerana asap terlalu tebal.

“Jiran datang membantu kami berdua keluar dari rumah menggunakan pintu belakang kerana jarak rumah kosong yang terbakar dengan rumah kami begitu hampir,” katanya kepada Sinar Harian.

Chan berkata, jiran juga bertindak menghubungi bomba memaklumkan perkara itu dan akhirnya kebakaran berjaya dikawal.

Katanya, rumah terbabit pernah disewa pekerja Indonesia, namun sejak dua bulan lalu ia tidak berpenghuni.

“Kami bernasib baik kerana diselamatkan jiran, jika tidak mungkin kami akan lemas di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Mohd Fahmi Abdul Rahim berkata, seramai sembilan anggota bomba dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan.
Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira sembilan minit untuk mengawal kebakaran dengan bantuan 19 anggota pasukan bomba sukarela Kampung Perting.

“Rumah kosong dua tingkat ini diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan cepat, namun dapat dikawal dari merebak ke rumah berhampiran,” katanya.

Dua puting beliung melanda New York



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 September 2012
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan
Penduduk dapat melihat dengan jelas pusaran angin di Canarsie, Brooklyn.
NEW YORK - Dua puting beliung melanda di luar bandar New York, Amerika Syarikat kelmarin dengan membabitkan kejadian pertama di pesisir pantai, manakala yang kedua membawa angin lebih kuat dikesan pada jarak 16 kilometer dari lokasi pertama.
Angin kencang turut membawa serpihan runtuhan ke udara hingga mengakibatkan bekalan elektrik di beberapa kawasan terputus sekali gus mengejutkan penduduk dan menganggap kejadian itu sebagai fenomena Midwestern.
Sebuah video yang sempat dirakam oleh penduduk tempatan menunjukkan pusaran angin menyedut air laut bersama pasir dan menerbangkan kepingan bumbung bangunan lalu menuju ke Rockaway di Queens dan tujuh minit kemudian puting beliung kedua bergerak ke Canarsie di Brooklyn.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, kelajuan angin sehingga 177 kilometer sejam telah meranapkan kediaman termasuk puluhan pokok tumbang.
Laporan turut menyebut, tiada kecederaan teruk atau kematian dilaporkan setakat ini.

Pelajar belasah penceroboh asrama dibebas sebulan dengan jaminan polis



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 September 2012
Pencuri maut dibelasah pelajar
Mangsa maut dibelasah sekumpulan pelajar asrama di sebuah sekolah agama persendirian selepas pemeriksaan menemui beberapa barang dipercayai dicuri mangsa.
ALOR SETAR-Lapan pelajar lelaki sebuah sekolah agama persendirian yang ditahan reman hingga lima September lalu berhubung kes memukul seorang lelaki sehingga menyebabkan kematian dibebas dengan jaminan polis selama sebulan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, setakat ini mereka dijamin polis dan belum dituduh kerana pihak pendakwaan masih dalam proses melengkapkan siasatan dalam tempoh berkenaan.

Sebelum ini pelajar berkenaan ditahan reman selama tujuh hari mulai 30 Ogos lalu sehingga 5 September untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Pada 30 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dipukul sekumpulan pelajar apabila menyedari mangsa memecah masuk asrama sebuah sekolah agama persendirian di sini awal pagi hari sebelumnya.

Laporan itu menyebut, berlaku sedikit pertikaman lidah sehingga mangsa dibelasah kumpulan pelajar berkenaan menyebabkan mengalami beberapa kecederaan pada bahagian badan.

Adzaman berkata, mangsa mengalami kecederaan dalaman termasuk patah tulang rusuk kiri dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sekitar jam 2 petang.

“Berdasarkan rekod lampau, mangsa mempuyai empat kes jenayah pada tahun 2006 dengan satu kes dalam kediaman serta tidak dapat memberi keterangan,” katanya.

2 beradik berdepan hukuman penjara seumur hidup



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 September 2012
2 beradik berdepan hukuman penjara seumur hidup
Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka, semalam.
KOTA BHARU-Dua beradik berdepan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memiliki dua jenis dadah termasuk metamphetamine di sebuah kawasan di Tanah Merah, 27 Ogos lalu.
Tertuduh Hasniza Hashim , 32, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan terbabit di hadapan hakim, Irwan Suaibon semalam selepas pertuduhan dibacakan manakala adiknya, Hannaffi, 25, minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama-sama  didapati dalam kawalannya  memiliki 300 pil disyaki metamphetamine dengan anggaran berat kasar 30 gram di Jalan Taman Hiburan, di Tanah Merah kira-kira jam 5.15 pagi 27 Ogos lalu.

Oleh itu mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, tertuduh pasangan adik-beradik berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu berdepan hukuman penjara sehingga seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan.

Manakala, pada pertuduhan kedua, kedua-dua lelaki tersebut didakwa memiliki satu botol plastik cerah disyaki mengandungi heroin dengan anggaran berat kasar 3.2 gram masing-masing pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan tersebut mereka dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1), di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun sehingga lima tahun dan sebatan tiga sehingga sembilan rotan.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari bagaimanapun tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan kes bersambung 7 November depan sementara menunggu laporan kimia dadah berkenaan.

Mati terbaring tepi kereta



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 September 2012
Ab Rashid Ab Wahab
Bahagian forensik sedang menjalankan siasatan ke atas kereta mangsa yang ditemui di Jalan Mahkota 1, Batu 5 1/2 Bangi, Kajang, semalam
KAJANG - Seorang lelaki tempatan ditemui mati dalam keadaan terbaring di tepi jalan bersebelahan kereta miliknya di Jalan Mahkota 1, Batu 5 1/2 Bangi, di sini, awal pagi, semalam.
Mangsa, Won Sin Keong, 42, ditemui kira-kira jam 7.50 pagi oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut, selepas bersarapan bersama keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada kepala dan muka mangsa yang masih lengkap berpakaian.
Menurutnya, polis menemui kesan lebam di muka dan mata kanan mangsa, termasuk kesan hentakan di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
"Kita juga temui dompet beserta MyKad milik mangsa, manakala rantai dan jam tangan miliknya masih berada pada badan mangsa,"katanya.

Pemburu reptilia berbisa



MOHD AZLIM ZAINURY
10 September 2012
Pemburu reptilia berbisa
Sejak Ogos lalu sehingga hari ini, sebanyak 20 ekor ular sawa, 15 ekor ular tedung senduk dan seekor ‘king cobra’ berjaya ditangkap JPAM Marang.
MARANG - Tidak kira masa, walaupun dalam keheningan malam, sebuah van putih dengan logo Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergerak keluar dari ibu pejabat JPAM menuju ke lokasi tertentu bagi menghulurkan bantuan.

Baru-baru ini, kenderaan rasmi itu dilihat memasuki Jalan Kemboja di Kampung Kelulut di sini, dan sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 8.15 malam, tiga lelaki berumur awal 20-an dengan peralatan khas menangkap ular pantas keluar dari kenderaan.

Kehadiran lelaki beruniform biru itu disambut sebuah keluarga yang memerlukan pertolongan berikutan seekor tedung selar atau ‘king cobra’ sedang melingkar di bawah kabinet ruang dapur rumah berkenaan.
Anggota JPAM dengan pantas menangkap ular berbisa itu kerana ular tedung selar atau ‘king cobra’ adalah antara 13 spesies ular paling berbahaya di dunia sekali gus mengancam keselamatan keluarga terbabit.

Tak kisah hanya dibayar RM6 satu jam

TIDAK menunggu lama, iaitu selang 15 minit kemudian, reptilia berbisa sepanjang lebih lima meter itu akhirnya berjaya ditangkap.

Mohd Riduan Othman, 25, yang mengetuai operasi itu berkata, walaupun hanya dibayar elaun sebanyak RM6 bagi satu jam dan terpaksa berhadapan pelbagai bahaya, dia gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

“Daripada membuang masa  di kedai kopi, lebih baik saya menjadi anggota sukarela JPAM, sekurang-kurangnya dapat menyumbang tenaga kepada masyarakat,” katanya.

Mohd Riduan berkata demikian selepas Pegawai Pertahanan Awam Marang, Md Shubir Md Isa menyerahkan reptilia  itu kepada pihak pengurusan Taman Ular dan Reptilia Perlis diketuai Tengku Norriah Tengku Mahmud di pejabat JPAM di sini.

Kepuasan diperoleh tidak ternilai dengan wang

SEMENTARA itu, Pegawai Pertahanan Awam Marang, Md Shubir Md Isa berkata, Mohd Riduan adalah salah seorang daripada 50 anggota aktif di daerah itu yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam.

Malah, Md Shubir juga kagum  komitmen anak buahnya yang sanggup bertugas tanpa mengira masa. Justeru, beliau berharap lebih ramai belia menyertai pasukan JPAM kelak.

Setiap pengalaman berharga

TURUT berkongsi pengalaman ialah Wan Mohd Faizal Wan Ismail, 33, anggota paling senior bersama JPAM sejak 2003 sebelum bertugas sebagai anggota sukarelawan di JPAM Marang pada 2009.

Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatannya, dia sering mengendalikan kes kecemasan yang memerlukan bantuan sokongan termasuk menyelamatkan mangsa nahas jalan raya tanpa mengira waktu dan tempat sekitar daerah berkenaan.

Ribut bersulam hujan batu



AZIZAN INCHE HARUN
10 September 2012
Zulkifli Mohd Noh
Penduduk sedang membaik pulih keadaan bumbung yang diterbangkan ribut.
PASIR GUDANG – Lebih 600 penduduk di Jalan Bayan, Taman Kota Puteri di sini panik apabila kawasan perumahan mereka dilanda ribut dan hujan batu dalam kejadian jam 3 petang semalam.
Ribut yang berlaku secara tiba-tiba menimbulkan suasana kelam-kabut dalam kalangan penduduk yang terkejut dengan kejadian yang pertama kali berlaku itu.
Mangsa, Zulkifli Mohd Noh, 54, berkata, ketika hujan turun dengan lebat dia berada di tingkat atas rumah sebelum isteri mengajaknya melihat hujan air batu.
Menurutnya, bagaimanapun dalam sekelip mata hujan air batu disusuli ribut yang kuat sehingga sebahagian besar bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang berkenaan.
“Pada mulanya isteri saya memanggil-manggil supaya datang melihat hujan air batu, tapi tak sampai seminit ribut kuat melanda sehingga isteri saya menjerit dan menangis kerana terlalu terkejut.
“Saya lihat suasana di luar rumah begitu kelam-kabut dengan keadaan jiran yang panik melihat kejadian yang tak pernah lagi berlaku sepanjang 20 tahun saya menetap di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi mangsa, K Senthil, 34, berkata, dia bersama suami terpaksa membawa empat anaknya berlari keluar rumah selepas secara tiba-tiba bumbung rumah tercabut diterbangkan  angin kencang.
Menurutnya, ketika itu hujan turun dengan lebat berserta ribut dan petir yang amat menakutkan.
“Kami menjerit lari keluar rumah bersama jiran yang lain kerana bimbang rumah runtuh selepas melihat keadaan ribut yang terlalu kuat.
“Saya rasa masih trauma kerana sepanjang hidup saya tidak pernah melihat ribut sekuat ini,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, hasil bancian yang dibuat sebanyak 172 daripada keseluruhan 400 buah rumah di Taman Kota Puteri, di sini, mengalami kerosakan akibat dipukul ribut.
Menurutnya, bagaimanapun hanya 20 rumah yang kritikal selepas dua rumah, dua kereta dan sebuah van yang musnah di hempap pokok dalam kejadian ribut berkenaan.
“Kita bersimpati dengan mangsa yang terlibat dan mengeluarkan sedikit dana untuk membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.
“Selain itu, kita turut mengerahkan jentera kita untuk membantu membaik pulih bumbung rumah mangsa yang tercabut dan musnah dalam kejadian secara mengejut itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Cawangan Cenderai, M Sani Hashim berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk M Munusamy.
Menurutnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang untuk menghulurkan bantuan segera kepada mangsa yang terlibat.
“Datuk Munusamy akan turun melawat mangsa yang terlibat dalam masa terdekat.
“Kita bersyukur walaupun banyak pokok yang tumbang sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, tapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya.
Sinar Harian difahamkan lebih 30 pokok tumbang di sekitar kawasan itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk lebih 3 jam.

Jel tiga bulan curi 4 botol barangan bayi



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 September 2012
KUALA TERENGGANU - Gara-gara mencuri empat botol barangan bayi termasuk mandian dan krim pelembut bayi bernilai RM34.60 di sebuah kedai serbaneka, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Azli Daud, 29, mengaku salah mencuri empat botol barangan bayi di sebuah kedai serbaneka T-Shoppe, Kampung Durian Burung, Rabu lalu, yang didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan yang boleh dibaca bersama di bawah Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, perbuatan Mohd Azli memasukkan barang curi disedari dan diperhatikan pekerja kedai sebelum meminta pertolongan pelanggan untuk menangkapnya.

Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan Mohd Azli, berjaya menjumpai sebotol Johnson’s Baby Milk Bath dan sebotol Johnson’s Baby Bedtime Bath yang disorokkan di dalam kaki seluar di sebelah kiri dipakainya.

Pekerja kedai berkenaan kemudian terus menghubungi polis sebelum Mohd Azli yang memiliki tiga rekod jenayah lampau iaitu mencuri dalam bangunan itu cuba melarikan diri.

Di balai, hasil pemeriksaan lanjut turut menjumpai dua botol lagi barangan bayi yang disorokkan dalam kaki seluar sebelah kanan.

Kenderaan masuk cerun



NOOR HAYATI MAMAT
10 September 2012
Terjun dari treler
Orang ramai melihat treler membawa muatan habuk kayu yang terbalik ke dalam cerun dalam kejadian petang kelmarin, di Kampung Peroh.
HULU TERENGGANU - Seorang pemandu dan kelindan treler berdepan detik cemas apabila kenderaan membawa muatan habuk kayu seberat kira-kira 30 tan dinaiki mereka, terbabas sebelum terbalik ke dalam cerun, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang di Kilometer 44 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi itu, pemandu terbabit, Zainududdin Selamat, 44, dipercayai terjun ke dalam belukar untuk mengeluarkan rakannya, Salim Surip, 47, yang tersepit dengan dibantu orang awam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kenderaan itu dalam perjalanan dari Ajil ke Bukit Besi dan sebaik melalui satu selekoh, ia gagal dikawal lalu terbabas.

“Kedua-dua mangsa berasal dari Batu Pahat, Johor. Mereka memulakan perjalanan untuk ke Johor dari Kampung Bukit Diman setelah selesai mengisi habuk kayu di kampung berkenaan. Apabila sampai di satu selekoh ke kanan, treler itu gagal dikawal dan terbabas.

“Kemudian treler berkenaan terlanggar pengadang jalan di sebelah kiri lalu terbalik ke dalam satu cerun. Mangsa dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu, namun disahkan hanya cedera ringan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, penduduk, Asmadi Salleh, 42, berkata, dia antara orang awam yang sempat membantu mengeluarkan kelindan treler berkenaan yang tersepit, keluar dari tempat duduk kerana kebetulan melalui kawasan itu.

“Pemandu treler dipercayai terjun dari tempat duduk untuk keluar dari kenderaan, sekali gus membantu rakannya. Kelindan berkenaan didapati berlumuran darah ketika saya dan yang lain cuba mengeluarkannya. Lebih 15 minit, barulah kami berjaya," katanya.

Kehidupan mewah terbongkar



BEBERAPA anggota polis membawa dadah yang dirampas di sebuah apartmen yang dijadikan makmal dadah di Jalan Junid, Muar, Johor, semalam.
MUAR 9 Sept. - Misteri kehidupan mewah sepasang suami isteri yang tidak bekerja terbongkar selepas polis menemui makmal memproses dadah dan merampas bahan terlarang tersebut bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di sebuah apartmen mewah di Jalan Junid di sini awal pagi ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kira-kira 20 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri dan daerah menemui pelbagai jenis dadah antaranya syabu, heroin, ekstasi dan Eramin 5.
Menurut sumber polis, pihaknya menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun di tiga unit apartmen yang disewa oleh pasangan itu.

Kereta terhumban atas bilik air



MAHANI Kahar menunjukkan atap bilik air yang rosak selepas dirempuh sebuah kereta terhumban di rumahnya di Kampung Pelangai Hilir, Juasseh, Kuala Pilah, kelmarin.
KUALA PILAH 9 Sept. - Sepasang suami isteri warga emas yang sedang berehat di rumah tergamam apabila rumah mereka dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Bahau-Kuala Pilah petang semalam.
Penghuni rumah itu, Mahani Kahar, 68, berkata, kejadian berlaku pukul 5 petang ketika dia baru mengerjakan solat Asar, manakala suaminya, Alwi Amin, 69, berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen.
Katanya, kenderaan jenis Datsun yang dipercayai dipandu laju oleh seorang remaja bersama rakannya berusia lingkungan 20-an berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh rumahnya.
"Saya berada di dapur terperanjat apabila terdengar dentuman yang kuat di mana ketika itu hujan turun secara renyai.

Bocor skandal apabila mabuk

MALANG...mangsa menerima rawatan di Hospital Miri selepas diserang dengan kapak oleh rakan sekerjanya, kelmarin.
MALANG...mangsa menerima rawatan di Hospital
 Miri selepas diserang dengan kapak oleh rakan
sekerjanya, kelmarin.

MIRI: Perbualan dua rakan sambil minum arak di sebuah rumah sewa di Riam di sini, kelmarin, berakhir tragedi berdarah apabila seorang daripada mereka menerima lebih lima jahitan di kepala akibat ditetak dengan kapak.
Kejadian jam 10.30 malam itu dikatakan berlaku apabila seorang daripada mereka secara tidak sengaja mendedahkan dia menjalin hubungan dengan isteri rakannya itu.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa, seorang buruh binaan berusia 40-an, menjemput rakan sekerjanya ke rumah sewanya untuk minum bersama.

“Suspek yang juga berusia 40-an itu tiba di rumah rakannya itu seawal jam 9 malam, namun sejam selepas sesi meneguk arak, berlaku pertengkaran antara mereka apabila suspek secara tidak sengaja mendedahkan dia menjalin hubungan dengan isteri mangsa,” katanya.

Sumber itu berkata, pada mulanya hanya berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek, tetapi mangsa yang berang dengan pendedahan itu, memukul suspek.

Ali memang setan

LAPOR...Jamil menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
LAPOR...Jamil menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KHURAFAT...minyak wangi yang didakwa bomoh terbabit boleh menghalau syaitan.
KHURAFAT...minyak wangi yang didakwa bomoh terbabit boleh menghalau syaitan.
JOHOR BAHRU: Tertipu dengan dakyah karut bomoh yang kononnya boleh meramal kematian dan menebus dosa, seorang lelaki dan keluarganya membuat pinjaman bank untuk membayar wang pengeras sebanyak RM12,000.
Lebih mengaibkan, mangsa yang mahu dikenali sebagai Jamil, 25, berkata, ibarat dipukau, dia dan ibu bapa turut membenarkan adik perempuannya tinggal bersama bomoh itu selama seminggu.
Katanya, dia terpengaruh mendapat khidmat bomoh yang dikenali sebagai Ali, 40-an, selepas lelaki itu mengakui dirinya ustaz dan menjalankan rawatan secara tradisional mengikut cara Islam.

“Saya bersama ibu, ayah dan adik perempuan berusia 20 tahun berjumpa bomoh itu bagi merawat ibu yang menghidap penyakit lemah badan dan kemurungan,” katanya ketika ditemui.


Dia berkata, bomoh itu mendakwa boleh mengubat secara ghaib, termasuk berhubung terus dengan Allah menerusi jin yang menurun dalam badan pembantu peribadinya.

Pangsapuri jadi makmal proses dadah


 
Muar: Tiga unit pangsapuri mewah dekat Apartmen Pemandangan Tanjung di sini, dijadikan sebagai makmal memproses dadah dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Tiga premis diserbu Bagaimanapun, kegiatan yang didalangi satu sindiket itu berjaya ditumpaskan apabila ketiga-tiga premis itu diserbu polis awal pagi semalam.
Serbuan terhadap tiga unit kediaman yang terletak di tingkat bawah, satu dan dua, sebuah dari blok apartmen yang terletak di Jalan Junid itu dilakukan pada jam 6 pagi oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Muar.

Susulan serbuan itu, polis setakat ini menahan sekurang-kurangnya tiga suspek berusia antara 20 hingga 50an, untuk membantu siasatan lanjut berhubung operasi makmal dadah berkenaan.

Polis dikatakan menemui sejumlah besar pelbagai jenis dadah yang disembunyikan dalam tiga unit kediaman terbabit serta peralatan memproses dadah yang berpusat di situ.

Sindiket dadah itu dipercayai memanfaatkan sistem keselamatan ketat pada pangsapuri terbabit bagi mengelak operasi mereka dikesan polis kerana semua pengunjung ke situ perlu melalui tapisan pengawal keselamatan.
Sehingga lewat petang semalam, anggota Forensik Polis Johor masih berada di tiga kediaman terbabit bagi mengenal pasti nilai dan jumlah sebenar dadah di situ, dikatakan lebih besar daripada rampasan bernilai RM18 juta yang dibuat Polis Johor di Pontian pada Jun lalu.

Rumah anak yatim bengkel bom


Depok: Polis Indonesia semalam berkata tiga cedera selepas satu letupan berlaku di sebuah rumah dipercayai menjadi bengkel membuat bom.

Letupan berlaku lewat Sabtu dalam sebuah bangunan yang disenaraikan sebagai rumah anak yatim di bandar Depok, di pinggir Jakarta, kata jurucakap polis kebangsaan Indonesia, Anang Iskandar dalam satu teks mesej.

Tiga cedera
Tiga orang cedera seorang daripadanya serius dalam letupan itu, katanya sambil menambah mangsa yang cedera teruk mengalami patah tangan dan melecur hampir 50 hingga 70 peratus badannya.

Jurucakap polis Jakarta, Rikwanto berkata rumah anak yatim terbabit mungkin digunakan untuk menyembunyikan aktiviti pengganas mereka.

Dua suspek melarikan diri dari tempat kejadian, kata seorang saksi kepada polis. Antara bahan dirampas di situ termasuk bom tangan, alat peletup dan potassium klorida.

Rikwanto berkata, polis menyiasat jika letupan itu mempunyai kaitan dengan insiden yang dikaitkan dengan jenayah keganasan sebelum ini.
Minggu lalu, polis menemui bahan letupan di sebuah rumah yang terbakar di Jakarta Barat.

Buat bom di rumah

Kami percaya pengganas ini menyediakan bom di rumah. Kami menyiasat jika mereka dari kumpulan yang sama, katanya.

Bahan letupan ditemui dalam kejadian letupan terbaru adalah sama dengan yang ditemui di Jakarta Barat, katanya.

Berpuluh-puluh anggota pasukan keselamatan bersenjata termasuk polis anti pengganas dan skuad bom berkawal di rumah konkrit setingkat itu semalam dan menyekat jalan masuk dan keluar di tempat kejadian, kata jurugambar agensi berita.

Sebahagian bumbung rumah terbabit runtuh manakala tingkap pecah bertaburan, katanya.

Penduduk mengingati semula kejadian itu dengan menyifatkan bunyi seperti guruh dan melihat asap hidap dari rumah itu ketika letupan.

Bunyi letupan amat kuat, seperti guruh. Orang ramai menjerit bom, bom! dan kami semua lari secepat yang boleh. Saya takut dan terus lari, kata seorang penjual minuman yang dikenali sebagai Joko.

Saya harap polis akan tangkap penjenayah terbabit. Saya rasa tidak selamat tinggal di sini, kata lelaki berusia 62 tahun itu.

AFP

Mayat reput berseluar dalam



Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Md Fuzi Abd Lateh
am@hmetro.com.my
         
KUALA KUBU BHARU: Misteri penemuan cebisan pakaian, kasut dan jam tangan yang hangus terbakar di Bukit Belata, Sungai Sabai, Kalumpang petang kelmarin terjawab apabila polis yang menjalankan pemeriksaan menemui satu ‘kubur’ di lereng bukit hutan itu.

Difahamkan, hasil penemuan kubur sedalam 60 sentimeter itu menyebabkan pasukan polis yang menjalankan siasatan menggalinya sebelum menemui satu mayat reput hanya berseluar dalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mayat terbabit dipercayai milik seorang lelaki berketinggian kira-kira 175 sentimeter dan dipercayai ditanam lebih seminggu lalu.

Norel berkata, penemuan tulang itu dimaklumkan oleh pemilik tanah berkenaan kira-kira jam 3 petang kelmarin ketika membersihkan kawasan tanahnya.


Menurutnya, pengadu memberitahu menemui dua tulang tangan yang timbul di permukaan tanah setelah dipercayai dikorek binatang buas.

Suspek dera kanak-kanak ada 12 rekod jenayah




         
MELAKA: Polis masih memburu seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian kanak-kanak berusia enam tahun, Noor Sofia Syaqira Abdullah yang disyaki didera di Taman Seri Telok Emas, di sini, Ahad minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pihaknya percaya suspek dikenali sebagai Amiezul Al-Ikram Mohamed, 32, dari Gombak, Selangor yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau itu masih berada di dalam negara.


“Siasatan terhadap kes ini masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Bagaimanapun, kami percaya lelaki yang juga teman lelaki kepada ibu angkat kanak-kanak itu belum keluar dari negara ini,” katanya.


Akhbar ini pada 8 September lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menemui ajal dipercayai didera teman lelaki ibunya di Taman Seri Telok Emas, 2 September lalu.


Insiden itu terbongkar selepas pihak Hospital Melaka (HM) membuat laporan polis jam 7.55 pagi hari kejadian apabila mendapati mangsa, Noor Sofia Syaqira Abdullah dalam keadaan tidak bernyawa dan mempunyai kesan kecederaan di seluruh badannya.


Kanak-kanak terbabit dihantar keluarga kekasih ibu angkatnya berusia 35 tahun yang mengesyaki mangsa sudah meninggal dunia.


Dalam perkembangan lain, Raja Shahrom berkata, pihaknya juga masih mengesan Khairul Nordin, 41, suspek kes tikam abang ipar hingga maut di Kampung Serkam Pantai, dekat sini, bulan lalu.

“Suspek juga tidak menyerah diri meskipun rayuan dibuat oleh isteri dan anaknya melalui akhbar beberapa hari selepas kejadian yang berlaku pada 22 Ogos lalu.


“Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Khairul Nordin, 41, dan Amiezul Al-Ikram diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Siasat 5 jam



Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
         
MELAKA: Seorang pengawal peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan polis kerana dilaporkan mengacu senjata api kepada orang ramai pada majlis anjuran PKR di Kampung Baru Rim, petang kelmarin dibebaskan selepas ditahan kira-kira lima jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata, lelaki berusia 37 tahun yang juga ketua pengawal peribadi Anwar itu dibebaskan atas jaminan polis kira-kira jam 9 malam selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin.


Katanya, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah selepas pihaknya menerima lima laporan berhubung kes itu kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Menurutnya, bagaimanapun pistol jenis Taurus separa automatik digunakan ketika kejadian dirampas.


“Dia (pengawal peribadi) ditahan untuk siasatan dan pistolnya dirampas, siasatan juga mendapati dia mempunyai lesen membawa dan menggunakan senjata api.


“Pihak kami membebaskannya selepas berpuas hati (dengan keterangan), tindakannya tidak mengancam nyawa orang lain dan dia menjalankan tugas sebagai pengawal peribadi, siasatan lanjut dilakukan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam yang turut dihadiri timbalannya, Superintendan R Gunarajan.


Menurutnya, sehubungan itu pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat sama ada rakaman melalui telefon bimbit atau kamera berhubung kejadian tampil bagi membantu siasatan. “Siasatan dilakukan bagi mencari kebenaran apa sebenarnya berlaku di Jasin semalam (kelmarin) dan untuk tujuan itu kami memerlukan semua pihak, individu dan kumpulan tampil membantu kerana ramai yang mempunyai telefon bimbit dan kamera.

Akhbar semalam melaporkan polis menahan lelaki yang ditugaskan mengawal Anwar selepas mengacukan senjata api ke arah orang ramai pada majlis anjuran PKR di Kampung Baru Rim, Jasin petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, lelaki berusia 37 tahun yang menaiki Toyota Camry dipercayai berang sebelum mengacu pistol selepas sekumpulan lelaki cuba menghalang bas dinaiki Anwar ke majlis itu.

Bebas segera lelaki kudung




         
PORT DICKSON: Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Insan Malaysia merayu pihak berwajib membebaskan seorang lelaki kudung ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan kerana penahanan itu didakwa kesilapan pihak Jabatan Imigresen yang menyangka lelaki berkenaan warga asing.

Presidennya, T Kamalanathan berkata, pada Disember tahun lalu, dia bertanggungjawab menguruskan penghantaran pulang lima warga India yang menjadi tahanan di depoh itu.


Menurutnya, dia terkejut apabila lima warga tanpa izin berkenaan memaklumkan ada seorang lelaki kudung dan pertuturan tidak jelas akibat angin ahmar tidak diketahui kewarganegaraan turut berada di depoh terbabit selepas dipindahkan daripada Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan.

“Saya membuat susulan di Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah selepas dimaklumkan hal itu. “Di depoh berkenaan saya menemui lelaki dimaksudkan yang hanya dikenali sebagai Arumugam oleh pihak Imigresen. Saya dimaklumkan, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di Tampin sebelum dimasukkan di Depoh Tahanan Lenggeng sebab ditahan merayau tanpa sebarang dokumen.


“Kejadian 109 tahanan melarikan diri pada 4 April 2011 selepas membakar bangunan tahanan Blok A dan beramai-ramai merempuh pagar sehingga roboh di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng menyebabkan semua warga asing dipindahkan ke depoh-depoh lain. Arumugam juga menjadi mangsa pemindahan itu apabila dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah,” katanya.


Semalam, dia yang mewakili NGO berpusat di ibu negara itu menemui rakan dan keluarga Arumugam di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Lama, Kampung Chetty, di sini, untuk proses membawa keluar Arumugam dari depoh tahanan itu selepas sembilan bulan cuba mengesan mereka.

Menurutnya, dalam waktu terdekat dia akan membawa keluarga dan kenalan Arumugam ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di ibu negara.


Anak saudara Arumugam, D Shanti, 40, berkata, pada mulanya keluarga dan semua kenalan menyangka Arumugam sudah mati selepas dimaklumkan kehilangannya dari sebuah rumah kebajikan di Tampin, dekat sini, dua tahun lalu.

“Saya panggil dia ‘appa’ manakala kenalan dan sami di kuil di tempat Arumugam bekerja sebelum dihantar ke rumah kebajikan memanggilnya ‘pappa’.


“Dia hanya ada dua beradik iaitu abangnya yang juga mendiang ayah saya. Dia tidak berkahwin manakala ibu dan bapa Arumugam juga sudah meninggal dunia,” katanya.

Selidik latar belakang pengamal perubatan




         
JOHOR BAHRU: “Orang ramai mesti selidik latar belakang seseorang pengamal perubatan tradisional sebelum mendapatkan khidmat mereka,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Johor (JAJ), Yosree Ikhsan, mengenai aduan seorang lelaki dikenali sebagai Jamil, 25, yang kerugian sehingga RM12,000 untuk membayar pengeras kepada seseorang bomoh.

Yosree mengesahkan pihaknya menyiasat kes berkenaan selepas Jamil membuat aduan kepada Jabatan Mufti Negeri Johor.


“Kami akan menyiasat aduan itu secepat mungkin dan menjalankan siasatan sesuai. Kes seumpama ini biasa berlaku dan pernah dilaporkan beberapa mangsa,” katanya ketika dihubungi. Menurutnya, pengamal perubatan tradisional yang mengamalkan cara perubatan bercanggah hukum syarak boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk didenda dan penjara.

Dia berkata, tindakan itu boleh dikenakan mengikut Seksyen 3 (Pemujaan Salah), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, dengan sabit kesalahan seseorang itu boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.


“Hukuman itu boleh dikenakan kepada mana-mana orang yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan berkaitan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana manusia, haiwan, tempat atau benda dengan cara menyalahi hukum syarak,” katanya.


Malah, mengikut enakmen itu, katanya, mahkamah boleh memerintahkan sebarang peranti, barang atau peralatan digunakan dalam proses pemujaan dilucut hak dan dimusnahkan, walaupun tiada mana-mana individu disabitkan atas kesalahan itu.

Temui bayi beralas kain batik berdarah


     
YAN: “Hati saya tersentuh sebaik melihat bayi lelaki masih bertali pusat dalam dalam keadaan kesejukan ditemui hanya dialas kain batik yang penuh darah hampir kering dalam tandas lelaki di masjid ini.

“Bagaimanapun, bayi itu langsung tidak menangis walaupun bahagian mukanya dihurung semut, malah ada jemaah perempuan yang baik hati sempat menyusukan bayi itu yang kelaparan dan dibawa ke dalam masjid untuk diazankan,” kata Naharah Saad, 57.


Naharah antara individu awal yang menemui bayi lelaki itu dalam tandas Masjid Al Falah, Sungai Daun Atas, dekat sini, jam 6 petang pada 23 Ogos lalu iaitu pada hari raya ke-4 Aidilfitri yang dipercayai ditinggalkan sejurus selepas dilahirkan.

Ini berikutan bayi yang dilahirkan seberat 2.94 kilogram itu ditemui masih bertali pusat, manakalanya urinya dipotong tetapi ditinggalkan tanpa sebarang nota atau dokumen.


Naharah berkata, bayi itu ditemui seorang lelaki bersama keluarganya dipercayai dari Baling yang singgah di masjid berkenaan untuk menunaikan solat terkejut apabila melihat bayi itu berada di belakang pintu tandas ketika mengambil wuduk.


Menurutnya, dia yang ketika itu berbual dengan keluarga terkejut apabila menantunya, Nasir Ghani, 30-an yang ketika itu hendak keluar ke pekan berpatah balik memberitahu ada bayi ditemui di belakang pintu tandas lelaki masjid berkenaan yang terletak 200 meter dari rumahnya.


“Saya tidak sampai hati melihat bayi berkenaan dan anak perempuan saya memberikan kain lampin bayinya menyelimut tubuh bayi itu dan terus menghubungi polis memaklumkan kejadian.


“Ketika dibawa ke dalam masjid, bayi itu membuka matanya, tetapi tidak menangis menyebabkan saya sebak mengenangkan nasibnya yang ditinggalkan ibunya,” katanya.

Katanya, ini kali pertama penemuan bayi di kampung berkenaan, malah dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana sebelum ini hanya menonton di televisyen dan membacanya di akhbar.


Sementara itu, Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Yan, Norliza Azezool, berkata bayi lelaki berkenaan diberi nama Muhammad Fitri, 18 hari, diserahkan kepada Hospital Yan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mendapat rawatan.


Menurutnya, Muhammad Fitri dibenarkan keluar hospital, semalam dan diserahkan semula kepada pihak JKM bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk jagaan sementara.


Katanya, perintah jagaan sementara itu diberi selama sebulan bermula semalam sehingga 8 Oktober depan bagi memberi peluang kepada waris atau ibu bapa kandungnya menuntut semula bayi berkenaan untuk urusan dokumentasi.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-kanak 2001 dan pihak kami sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini pagi tadi (semalam) di Balai Polis Guar Chempedak.


“Justeru, keluarga atau waris bayi berkenaan boleh menghubungi JKM di talian 04-4619510 atau 04-4619512 untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Maut dirempuh lori ais




          
BAYAN LEPAS: Seorang remaja perempuan yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menemui rakannya di Bayan Lepas maut akibat tersepit selepas dirempuh sebuah lori ais di Jalan Bayan Lepas/Bukit Belah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa, Nur Syazana Azemi, 17, dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Desa Mutiara, Balik Pulau.


Jurucakap polis berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal mangsa, sebuah motosikal lain dan lori ais.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun cuba memotong sebuah kereta lain sebelum hilang kawalan dan melintang di tengah jalan.


Katanya, dua motosikal dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh pintu kiri kereta itu sebelum sebuah lori ais dari arah sama merempuh kedua-dua penunggang motosikal menyebabkan seorang terpelanting ke tepi jalan manakala Nur Syazana tersepit antara kereta dan lori.


“Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk dan terperosok di bawah lori dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala penunggang sebuah lagi motosikal parah dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HBP) untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk bedah siasat.


Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk dan mayat mangsa sudah dituntut keluarganya dan dibawa pulang ke rumahnya untuk urusan pengebumian.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan daripada semua yang terbabit kecuali penunggang motosikal yang parah dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Pengusaha pasar malam dinasihat akur notis tutup




         
KUALA LUMPUR: Pengusaha pasar malam Kerinchi yang masih menjalankan perniagaan pada setiap Isnin dan Jumaat dinasihatkan supaya akur pada notis arahan tutup dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, pihaknya dimaklumkan DBKL sudah memberi peluang penangguhan sehingga akhir Ramadan lalu, namun masih ada peniaga yang ingkar terhadap arahan tutup tujuh bulan lalu.


“Saya difahamkan penutupan pasar malam Kerinchi dibuat berdasarkan permintaan penduduk setempat. Mereka tidak mahu pasar malam ditambah daripada dua kepada empat hari berikutan berdepan masalah kesesakan serta tiada tempat letak kenderaan.

“Malah, notis dan peluang penangguhan juga sudah diberi kepada peniaga. Jadi, ada baiknya mereka akur demi keselesaan penduduk di sini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penduduk Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi, anjuran Suez Domain Sdn Bhd (Suez Domain), di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Suez Domain, Abdul Hadi Ahmad dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Empat Tingkat Kampung Kerinchi, Ahmad Rahmat.


Selain jamuan makan, Suez Domain menyerahkan sumbangan raya kepada anak penduduk flat berkenaan.


Menurut Raja Nong Chik, beliau percaya isu itu hanya sebahagian agenda pihak pembangkang untuk memporak-perandakan rancangan pembangunan kawasan berkenaan.

Padah lakonan kaku

DITAHAN...pendatang asing yang ditahan dalam Ops 6P di Pasar Besar Klang, semalam.
DITAHAN...pendatang asing yang ditahan dalam Ops 6P di Pasar Besar Klang, semalam.
KLANG: Tindakan seorang majikan mengarahkan seorang pekerja warga asingnya menyamar pelanggan warga tempatan di gerai menjual ikan miliknya di Pasar Besar Klang, Jalan Meru, di sini, semalam bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen gagal apabila lakonan lelaki Bangladesh itu tidak menjadi.
Padah memaparkan ‘lakonan’ kaku serta gerak-geri mencurigakan, warga Bangladesh berusia 39 tahun itu ditahan Jabatan Imigresen dalam Ops 6P selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

Turut ditahan majikannya yang juga penjual ikan atas kesalahan melindungi pekerja warga asing.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, lelaki Bangladesh itu antara 68 warga asing berusia 22 hingga 45 tahun yang ditahan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan.

“Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki pasport, melanggar syarat Imigresen dan menetap di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari itu terdiri daripada 24 warga Myanmar, Indonesia (21), Bangladesh dan Nepal masing-masing lapan serta empat warga India. Turut ditahan dua lelaki warga China dan seorang lelaki warga Thailand kerana mengemis di situ.


“Daripada jumlah itu, 10 wanita warga asing turut ditahan,” katanya. Othman berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk siasatan lanjut.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah bekerja dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 40-an yang juga majikan seorang daripada pekerja warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 55B akta sama kerana mengambil orang asing bekerja dengan memiliki pas pekerja sah.

Botak diburu



Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
         
SUBANG JAYA: Seorang lelaki dikenali sebagai Botak dikehendaki polis selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di SS19, di sini, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, Botak atau nama sebenar Hanizam Md Yufos, 37, dengan alamat terakhir Seksyen 18, Shah Alam, diburu selepas jiran mangsa mengecam wajahnya ketika melarikan diri dari tempat kejadian.


Yahaya berkata, dalam kejadian 19 Mac lalu kira-kira jam 4.35 petang Botak dilihat memasuki rumah berkenaan yang dihuni seorang pereka grafik berusia 29 tahun.

“Jiran mangsa curiga dengan lelaki terbabit yang tidak dikenali segera menghubungi polis memaklumkan kejadian sebelum suspek kemudian dilihat tergesa-gesa meninggalkan rumah mangsa dengan menaiki kereta.


“Sepasukan anggota polis peronda (MPV) yang tiba di tempat kejadian mendapati pintu pagar rumah berkenaan diumpil, manakala penghuninya tiada di rumah kerana keluar bekerja,” katanya pada sidang media di Balai Polis Subang Jaya, SS17, di sini, sempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, kelmarin.


Yahaya berkata, siasatan mendapati rumah berkenaan digeledah dan mangsa mengadu kehilangan dua kamera, wang tunai RM2,000 dan pakaian serta kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. “Polis turut memburu seorang lelaki lelaki dipercayai penjenayah berbahaya selepas terbabit dalam kes samun kafe siber bersenjatakan parang di Taman Sime UEP, di sini, akhir tahun lalu.


“Suspek terbabit dikenali sebagai Zakaria Mat Yunus, 42, dengan alamat terakhir di Taman Semenyih Jaya, Semenyih, menyerbu masuk ke premis berkenaan bersama seorang lagi rakan yang identitinya belum dikenal pasti,” katanya.


Beliau berkata, dalam kejadian 17 November 2011 kira-kira jam 9.30 malam sekumpulan dua lelaki masuk ke kafe siber itu dan terus menuju ke arah juruwang sambil mengacukan parang.

“Suspek mengugut untuk mencederakan mangsa jika gagal mengikut arahan dan mangsa yang ketakutan menyerahkan wang RM1,300 hasil perniagaan,” katanya.


Yahaya berkata, orang ramai mempunyai maklumat tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi IPD Subang Jaya di talian 03-56373722

2,000 pindah ekoran banjir




         
MANILA: Hampir 2,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di selatan Filipina selepas hujan lebat menyebabkan air sungai melimpah, kata kerajaan semalam.

Penduduk di wilayah Sarangani di pulau Minadanao melarikan diri ke tempat selamat sebelum waktu Subuh kelmarin untuk berlindung di khemah sementara, gimnasium kerajaan atau di kediaman saudara-mara, kata Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos. Menurutnya, pemindahan awal yang dibuat sebelum banjir menyelamatkan nyawa berbanding bah secara meluas yang berlaku bulan lalu di bahagian lain di negara itu yang mengorbankan 170 orang.


“Ia adalah pemindahan terlebih dulu: sebab itulah tiada kematian atau kecederaan,” katanya kepada media. Dia berkata, banjir semakin surut dan penduduk sudah mula pulang ke kediaman masing-masing.

Ribut dan banjir akibat hujan lebat menjejaskan lebih dua juta penduduk bulan lalu.


Filipina berdepan dengan kira-kira 20 ribut utama atau taufan setiap kali musim hujan. - Manila Times

250 dikerah tolak motosikal




SEBAHAGIAN daripada 250 pelesit rempit dikerah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer selepas ditahan dalam satu operasi di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Perbuatan 250 pelesit rempit termasuk 22 pelajar sekolah yang menjadikan jalan raya sebagai litar untuk melakukan aksi berbahaya dan berlumba haram berbalas apabila mereka ditahan polis sebelum dikerah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer.
Pelesit rempit berusia antara 16 hingga 30-an tersebut dipaksa menolak kenderaan itu dari Bukit Gambir ke Pengkalan Marin Batu Uban di sini sebagai ‘hukuman’ awal atas tindakan mereka yang bagaikan mencabar pihak berkuasa.
Daripada jumlah itu, 150 merupakan penunggang manakala 100 lagi pembonceng terdiri daripada lelaki dan wanita.
Selain polis, ‘Ops Samseng Jalanan’ yang bermula pukul 12 tengah malam itu turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Aziz Wan Husin berkata, operasi tersebut dianggap berjaya kerana perancangan rapi mereka untuk melakukan sekatan jalan di kedua-dua arah dapat memerangkap pelesit rempit tersebut.