Search This Blog

Sunday, September 9, 2012

Cermin bas sekolah kena baling





9 September 2012
TAIPING – Seorang pemandu bas sekolah terkejut apabila cermin belakang basnya pecah secara tiba-tiba ketika membawa 40 pelajar sekolah rendah di Taman Tupai Mas, Pokok Assam di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, murid-murid dalam bas berkenaan mendakwa ternampak seorang lelaki membaling topi keledar ketika bas itu bergerak perlahan melalui kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusuf Mat Diah berkata, pemandu bas berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Pokok Assam kerana bimbang dengan keselamatan penumpangnya.

“Ia merupakan kejadian kedua berlaku terhadap bas sekolah apabila kejadian hampir sama berlaku di Jalan Taman Sungai Mas, Rabu lalu namun, ia tidak melibatkan apa-apa kejadian.

“Kedua-dua kes berkenaan berkemungkinan perbuatan budak nakal. Bagaimanapun, motif kejadian masih disiasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan  perbuatan khianat.

Penyelia kualiti bijih mati ditikam


RANTAU PANJANG 8 Sept. - Tindakan seorang penyelia kualiti bijih menegur rakan serumahnya supaya berhenti menagih dadah dan tidak mengganggu keluarganya berakhir dengan tragedi apabila dia mati ditikam lelaki berkenaan pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi di hadapan sebuah kantin berhampiran tapak lombong bijih besi di Kampung Rahmat Lubok Stol di sini.
Mangsa, Mohd. Yusoff Zakaria, 41, disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang akibat kecederaan parah di dada.
Suspek yang berusia 37 tahun berasal dari Benut, Johor, dan positif mengambil dadah jenis ‘methamphetamine’ serta memiliki rekod jenayah lampau menyerah diri di Balai Polis Lubok Stol kira-kira satu setengah jam kemudian.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim memberitahu, kejadian berlaku apabila suspek meluru masuk ke kantin berkenaan dan menyerang mangsa dengan sebilah pisau dianggarkan sepanjang 15 sentimeter yang dipercayai dibawanya dari rumah.
Menurutnya, tikaman pertama terkena tangan kiri mangsa yang cuba mempertahankan diri namun, tikaman kedua tepat mengenai dada kiri menyebabkan mangsa rebah.
“Suspek dan mangsa dipercayai tinggal serumah di kawasan lombong berkenaan yang dibuka sejak Januari lalu.
“Motif pembunuhan dipercayai akibat suspek tidak puas hati dan marah apabila mangsa menegurnya supaya menghentikan tabiat menggunakan dadah selain tidak mengganggu keluarga mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.
“Polis menganggap kes ini selesai kerana suspek telah ditahan dan akan direman esok. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," ujarnya.
Sementara itu, seorang saksi yang juga pekerja lombong berkenaan, Mohd. Zulkarnain Mohd. Ariffin, 29, mendakwa, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek bertengkar di luar kantin selepas mereka bersarapan.
Dalam pada itu, pengurus syarikat lombong berkenaan yang juga adik mangsa, Mohd. Kamaruzaman Zakaria, 39, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adiknya berusia 24 tahun yang juga kerani di lombong berkenaan.
“Sebelum ini abang saya pernah memberitahu dia ada sedikit masalah dan berselisih faham dengan suspek kerana abang saya menegurnya supaya tidak melakukan aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi undang-undang," katanya.

Tukang kayu jadi mangsa ragut

KUCHING 6 Sept. - Seorang tukang kayu lelaki turut menjadi sasaran peragut apabila dompet berisi RM50 dan telefon bimbit miliknya dilarikan penjenayah itu di Jalan Taman Budaya di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, Saberi Sabli, 43, sedang menunggang motosikal ke tempat kerja apabila sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghimpitnya.
Mangsa gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya menyebabkan ia terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Sebaik sahaja terjatuh, dia terus dibelasah dua peragut terbabit dan dipaksa menyerahkan telefon bimbit serta dompetnya kepada mereka.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada pukul 8 pagi ini.
Jurucakap polis ketika dihubungi memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana jenayah ragut.

Mayat hampir hancur digilis kenderaan



KUANTAN 7 Sept. - Tindakan seorang pemandu pacuan empat roda memberhentikan kenderaannya setelah merasakan melanggar sesuatu objek di Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Raub malam kelmarin membawa kepada penemuan mayat mangsa langgar lari yang hampir hancur kerana digilis beberapa kenderaan lain sebelum itu.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mayat Che Mohamad Che Omar, 47, dari Ladang Bukit Putri Sungai Ular Kuala Lipis hampir separuh hancur akibat dilanggar beberapa kali oleh kenderaan yang melalui jalan itu.
Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mayat mangsa dipercayai telah lama berada di atas jalan tersebut dan keadaan cuaca yang gelap di kawasan berkenaan menyebabkan pemandu lain tidak menyedari mayat mangsa berada di atas jalan.
"Kejadian hanya diketahui selepas seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda memberhentikan kenderaannya kerana merasa terlanggar sesuatu objek sebelum mendapati ia adalah mayat seorang lelaki yang hampir hancur.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

47 keluarga mangsa ribut terima bantuan




ZAKARIA Edris (kiri) berbual bersama mangsa ribut di Kampung Kuala Gum-Gum, Sandakan, Sabah, semalam. - BERNAMA
SANDAKAN 4 Sept. - Nasib 47 keluarga di Kampung Kuala Gum-Gum dekat sini yang rumah mereka rosak teruk akibat ribut yang melanda pada hari keenam Hari Raya Aidilfitri lepas terus mendapat perhatian daripada kerajaan.
Hari ini, mereka menerima bantuan atap zink untuk memperbaiki bumbung rumah mereka dengan setiap keluarga menerima 60 keping zink.
Bantuan itu disampaikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris di kampung itu.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang 24 Ogos lepas, ribut yang melanda kampung itu menerbangkan bumbung rumah dengan enam buah rumah mengalami rosak teruk dengan hanya tinggal lantai rumah. Bagaimanapun kesemua penghuni rumah terbabit selamat.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan atap zink itu, Zakaria berkata untuk tindakan jangka panjang, mangsa yang terlibat akan ditempatkan di sebuah penempatan baru di kampung itu.
Rumah akan dibina di penempatan itu menerusi Program Bantuan Rumah, katanya.
Zakaria berharap pihak Majlis Keselamatan Negara dapat memberikan bantuan kepada mangsa terlibat daripada segi peralatan untuk membaiki rumah.
Beliau berkata, sebelum ini bantuan makanan dan sumbangan kewangan telah diagihkan kepada mangsa menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat DUN Gum-Gum dan Parlimen Libaran. - BERNAMA

Terdesak bayar ah long



9 September 2012
SEREMBAN – Kerana terdesak untuk melunaskan hutang ah long, seorang lelaki sanggup melakukan samun di sebuah restoran di Seremban Jaya, di sini dengam menggunakan pemetik api menyerupai pistol.

Lelaki berusia 30-an itu menyamun sebanyak RM1,200 daripada pengusaha restoran, bagaimanapun hanya sempat menikmati hasil samun kurang enam jam sebelum dia ditahan di rumahnya di Rahang, dekat sini.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 5.45 petang, Selasa lalu, suspek menyerbu sebuah restoran yang ketika itu pengusahanya sedang berkemas untuk menutup kedai.

“Suspek yang menggunakan kereta jenis Proton Saga Aeroback berwarna hitam dan memakai cermin mata gelap menyerbu masuk kedai menerusi pintu hadapan yang sudah ditutup separuh.

“Suspek kemudiannya mengacukan pemetik api menyerupai pistol kepada pengusaha restoran iaitu pasangan suami isteri berusia 38 tahun itu dan mengarahkan mereka menyerahkan wang.

“Mangsa yang takut kerana menyangka ia diacu pistol menyerahkan sejumlah wang, sebelum suspek melarikan diri dengan kereta yang diletakkan di luar premis,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sumber berkata, suspek bagaimanapun ditahan pada hari sama selepas polis dapat mengesan alamat suspek menerusi nombor pendaftaran kereta yang digunakan dalam kejadian samun itu.

“Polis menahan suspek kira-kira 11 malam di rumahnya di Taman Bunga Blossom, Rahang, di sini, di hadapan isteri dan anak-anaknya.

“Keluarganya turut terkejut dengan tindakan suspek. Ketika ditahan, suspek mendakwa dia terdesak melakukan samun bagi membayar hutang ah long," katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui senjata yang digunakan iaitu pemetik api yang mempunyai saiz dan reka bentuk yang sama dengan pistol sebenar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, menjadi satu kesalahan memiliki pistol tiruan dan suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) yang membawa hukuman maksimum penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Calon SPM maut dalam kemalangan di Bayan Lepas




9 September 2012
GEORGE TOWN - Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Bukit Belah, Bayan Lepas hari ini.
 
Nur Syazana Azeme, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala.
 
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md. Zin berkata kejadian pukul 7.30 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera parah.
 
Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu laju dari arah Balik Pulau cuba memotong sebuah lori, namun pemandu kereta itu gagal mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan dua motosikal dari arah bertentangan, katanya ketika dihubungi, di sini.
 
"Kemalangan itu menyebabkan motosikal yang dinaiki Nur Syazana terpelanting sementara sebuah lagi motosikal yang dinaiki lelaki berusia 40-an terbabas dan terperosok di bahagian hadapan lori berkenaan," katanya.
 
Beliau berkata lelaki itu dikejarkan ke Hospital Balik Pulau untuk mendapat rawatan.
 
Hatta berkata pemandu kereta itu kemudian menyerah diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. - Bernama

Mayat lelaki warga Indonesia ditemui tergantung di pokok durian




9 September 2012
GEORGE TOWN - Mayat lelaki warga Indonesia ditemui tergantung di sebatang pokok durian di Persiaran Bukit Jambul di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata mayat Stenya Priyanto, 35, ditemui tergantung 3.57 meter dari paras tanah oleh seorang penduduk yang melalui kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk menurunkan mayat itu," katanya kepada pemberita di sini hari.

Beliau berkata terdapat kesan calar dan luka yang masih baru ditemui pada mayat itu dipercayai terjadi ketika lelaki itu memanjat pokok.

Gan berkata polis menolak sebarang perlakuan jenayah dan sisasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

"Mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk siasatan lanjut," katanya. - Bernama

PLKN: Nama 3,892 pelatih ingkar diserah kepada polis




9 September 2012
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil
KOTA BAHARU - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah menyerahkan kepada polis 3,892 nama bakal pelatih yang gagal melaporkan diri untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKB) sejak 2010.

Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan sebelum tindakan diambil terhadap pelatih terbabit.

"Kami tidak ada pilihan selain menghantar nama mereka kepada pihak polis kerana sesiapa yang ingkar dan disahkan melanggar peraturan itu tidak diberi sebarang pengecualian atau penangguhan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pergerakan pelatih PLKN Kumpulan 3 Siri 9/2012 di Poly-Tech Mara, di sini hari ini.

Katanya JLKN mengambil masa untuk menyediakan senarai tersebut kerana perlu memastikan kesahihan setiap kes termasuk kegagalan pelatih memberi alasan kukuh untuk tidak menghadiri PLKN.

Abdul Hadi berkata mereka yang didapati bersalah akan didenda menjalani khidmat komuniti selama 240 jam.
 
Katanya walaupun sudah menjalani khidmat komuniti, mereka masih diwajibkan mengikuti PLKN.

Abdul Hadi menasihatkan mereka yang dipanggil mengikuti PLKN tampil membuat penjelasan jika tidak mahu menghadiri latihan, agar tidak disiasat polis dan dikenakan tindakan undang-undang.

Mengenai pengambilan kumpulan ke-3 yang menjalani latihan bermula hari ini hingga 29 Nov, beliau berkata pihaknya merangka program khas untuk mereka iaitu Program Tiga Dalam Satu, iaitu sambutan bulan Kemerdekaan, Sambutan Hari 1Malaysia dan Ramah Mesra Aidilfitri.

Katanya program itu penting untuk mempercepatkan proses suai kenal antara pelatih selain mendedahkan mereka kepada perkembangan terkini dalam negara.

Program itu turut menekankan semangat kenegaraan dan kerohanian, selain menyemarakkan lagi pembentukan negara bangsa, katanya.

Abdul Hadi berkata empat modul yang diperkenalkan sebelum ini iaitu fizikal, kenegaraan, khidmat komuniti dan pembangunan masyrakat tetap diteruskan.

"Ia adalah aktiviti yang telah diputuskan oleh kerajaan...tetapi dari segi pengisian ia akan diubah dari semasa ke semasa melalui jurulatih PLKN yang pakar bagi memastkan mereka ini tidak menjalani latihan dan pembelajaran yang sama dengan pelatih sebelum ini," katanya.- Bernama

Banjir di Vietnam, 29 maut



HANOI 8 Sept. - Kejadian tanah runtuh dan banjir mengorbankan 29 orang dalam tempoh beberapa hari lalu, selepas hujan lebat melanda wilayah utara dan tengah negara ini, lapor media tempatan.
Hujan lebat diramalkan terus berlaku dan menyebabkan banjir di wilayah Nghe An dan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya tidak keluar ke kawasan berbahaya.
Dalam satu kejadian semalam, 16 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh ketika mereka pergi ke lombong bijih timah di kawasan pergunungan utara wilayah Yen Bai.
Seorang lagi meninggal dunia di hospital, lapor akhbar milik Tentera Rakyat. - REUTERS

3 penagih curi barang tadika



BATU PAHAT 8 Sept. - Tiga penagih dadah ditahan kerana memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan bernilai RM30,000 termasuk sebuah periuk nasi dari sebuah tadika di Senggarang baru-baru ini, dipercayai untuk dijual sebagai modal melepaskan gian.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun ditahan pada 28 Ogos lalu di rumah masing-masing dan mereka dipercayai melakukan kegiatan tersebut selepas guru tadika tersebut menutup premis pada pukul 3 petang 23 Ogos.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, guru tadika mendapati premis itu dipecah masuk pada keesokan harinya dan hasil siasatan membawa kepada penangkapan ketiga-tiga suspek yang dikesan positif dadah dengan seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah.
"Antara barang yang hilang adalah televisyen, satu set komputer dan sebuah mesin pencetak, periuk nasi, basikal dan barangan elektrik yang juga dipercayai akan dijual untuk mendapatkan dadah," katanya di sini semalam.

162 premis judi sudah diserbu



SEREMBAN 7 Sept. - Sebanyak 162 premis perjudian telah diserbu di beberapa kawasan di daerah ini sejak Januari hingga Ogos lalu sebagai usaha memerangi kegiatan haram tersebut daripada terus berleluasa.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin (gambar) berkata, sepanjang tempoh itu juga seramai 141 individu yang terlibat dalam kegiatan judi ditahan bagi membantu siasatan.
"Sepanjang tempoh tersebut polis merampas sejumlah 2,228 set komputer dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan judi internet," katanya di sini hari ini.
Menurut Saiful Azly, sebanyak 22 serbuan dilakukan di Senawang dan polis menahan seramai 22 individu serta merampas 440 set komputer.
"Di kawasan Rahang pula, polis melakukan lapan serbuan dan menahan tujuh individu serta merampas 127 set komputer.
"Kita juga telah memohon kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar bertindak memotong belakang elektrik ke atas premis yang didapati menjalankan kegiatan judi haram ini," katanya.
Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.
Tegas beliau, polis akan memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil menjalankan aktiviti haram itu termasuk memotong bekalan elektrik dengan kerjasama TNB.

14 lelaki ditahan leka main judi



anggota-anggota polis mengangkat peralatan perjudian selepas menyerbu sebuah pusat hiburan di Lebuh Raya Darul Aman dan merampas 59 set komputer dan 38 simulator yang digunakan untuk aktiviti perjudian di Alor Setar, kelmarin. - UTUSAN/KAMAL BASIR
ALOR SETAR 7 Sept. - Polis merampas 59 set komputer dan 38 simulator yang digunakan untuk aktiviti perjudian di sebuah pusat hiburan di Lebuh Raya Darul Aman di sini semalam.
Menurut sumber polis, seramai 14 pelanggan lelaki berusia lingkungan 20-an yang sedang bermain judi dan dua pekerja wanita di pusat hiburan itu turut ditahan dalam operasi kira-kira pukul 3 petang itu.
"Ketua Polis Kedah iaitu Datuk Ahmad Ibrahim kini menubuhkan sebuah pasukan khas untuk membanteras aktiviti-aktiviti perjudian, pelacuran dan kes-kes yang melibatkan orang awam.
"Pihak kami mendapat maklumat daripada orang awam mengenai pusat ini dan terus menyerbu pusat ini yang menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen," katanya ketika ditemui di pusat hiburan itu di sini semalam.
Menurutnya, kesemua set komputer dan simulator yang digunakan untuk aktiviti perjudian itu disita polis.
"Kes ini disiasat di bawah Enakmen Hiburan Negeri Kedah dan pihak polis meminta orang ramai yang mengetahui mengenai aktiviti perjudian di mana-mana lokasi agar segera berhubung dengan polis," jelasnya.

Berlagak alim curi duit masjid



Suspek menggunakan dawai untuk mengambil duit dari dalam tabung di Masjid Sultan Ibrahim, Muar.
MUAR 8 Sept. - Taktik seorang pemuda berlagak alim dan kononnya sedang bermusafir di Masjid Sultan Ibrahim di sini tetapi sebenarnya mencuri duit tabung masjid terbongkar setelah dia diberkas seorang anggota polis yang menyamar sebagai jemaah pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek berusia 21 tahun berasal dari Batu Pahat ditangkap kira-kira pukul 3 pagi semasa mencuri duit dari salah satu tabung di masjid berkenaan.
"Modus operandi suspek adalah menggunakan satu dawai yang dilekatkan gam di bahagian hujungnya menjadi penyangkuk sebelum memasukkan ke dalam lubang tabung untuk menarik wang kertas.
"Ketika ditahan suspek sempat menarik keluar wang berjumlah sebanyak RM210. Cara ini dilakukan kerana tabung duit itu diperbuat daripada besi dan berat untuk ditarik atau dilarikan selain berkunci," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini semalam.

Dua beranak curi jengkaut RM160,000



KUALA PILAH 7 Sept. - Dengan hanya berbekalkan sebilah gunting, seorang bapa bersama anak lelakinya menghidupkan enjin sebuah jengkaut sebelum melarikan jentera berat itu dengan niat menjual komponennya sebagai alat ganti.
Jentolak jenis Kobelco bernilai RM160,000 itu dilarikan kedua-dua beranak kira-kira pukul 6 petang pada 25 Ogos lalu di Ladang Risda, Parit Tinggi di sini.
Pemiliknya meletakkan jentera itu di ladang tersebut untuk kerja-kerja meratakan tanah sebelum mendapati ia hilang lalu membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Azmi Abd. Rahim berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek iaitu bapa berumur 59 tahun dan anak sulung lelakinya berumur 23 tahun pada 28 Ogos lalu.
"Si bapa bekerja sebagai penoreh getah manakala anaknya bekerja sebagai pemandu lori," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Supritendan Normanshah Din.
Menurutnya, suspek amat teliti dan berkemahiran kerana dengan hanya menggunakan sebilah gunting, mereka berjaya menghidupkan enjin jengkaut sebelum melarikannya dengan sebuah lori yang disewa.
"Polis menahan kedua-dua suspek di rumah mereka di Simpang Durian, Jelebu manakala jengkaut tersebut disembunyikan di ladang kelapa sawit berhampiran rumah suspek," ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu lalu di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Azmi berkata, polis berharap para pemilik jengkaut lain akan berhati-hati memandangkan kes seperti ini jarang berlaku.

Dua wanita antara 26 kaki judi ditahan



SEBAHAGIAN daripada 26 pelanggan yang ditahan oleh polis dalam operasi judi haram di Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan, petang kelmarin.
RASAH 8 Sept. - Sudah beberapa kali diingatkan oleh pihak berkuasa mengenai larangan menjalankan judi berinternet, namun pemilik premis terbabit tidak mengendahkannya seolah-olah mereka lebih berkuasa daripada undang-undang.
Namun, sikap keras kepala mereka itu akhirnya berjaya ditundukkan apabila tiga buah premis di Taman Seremban Jaya dekat sini diserbu oleh pihak berkuasa di tiga premis berasingan di sini petang semalam.
Serbuan yang dilancarkan pukul 6.20 petang oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri menyaksikan 24 lelaki dan dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam perjudian.

Remaja 13 tahun antara 10 ditahan



Sebahagian daripada mereka yang ditahan dalam operasi mat rempit bersama trafik Bukit Aman dan Jabatan Pengangkutan Jalan di Tol UPM, Serdang pagi semalam.
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Gara-gara bertindak agresif dengan cuba melarikan diri daripada sekatan polis, seorang remaja berusia 13 tahun ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Serdang awal pagi ini.
Dalam operasi yang dijalankan di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) itu, remaja lelaki terbabit ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
Ketua Operasi Unit Khas tersebut, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, hasil pemeriksaan ke atas remaja lelaki terbabit mendapati, dia masih di bawah umur dan tidak memiliki lesen memandu.

Anggota TUDM maut dilanggar kereta




8 September 2012
KUANTAN - Seorang anggota wanita Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang berjalan kaki, maut selepas dilanggar sebuah kereta di Simpang 3, Jalan Tebuan 7, Kem Batu 10 di sini, malam tadi.

Mangsa, Jasmelia Jafari, 27, cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 9.40 malam itu, mangsa sedang berjalan sendirian di kawasan kem itu.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika kereta yang dipandu seorang lelaki telah terlanggar mangsa. Mangsa yang cedera teruk dibawa ke HTAA untuk rawatan bagaimanapun, dia disahkan mati pada 11.20 malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - Bernama

Seorang maut, tujuh cedera MPV bertembung lori



8 September 2012
PEKAN - Seorang wanita maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori di KM 58, Jalan Kuantan-Segamat semalam.
 
Noraini Mat Kamis, 33, yang merupakan penumpang hadapan MPV itu mati pada pukul 9.39 malam tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat kecederaan teruk di kepala.
 
Ketua Polis Daerah Pekan Yahya Othman berkata dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, MPV yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Segamat itu cuba memotong sebuah kenderaan dan masuk ke laluan lori berkenaan.
 
"Namun MPV itu tidak sempat masuk ke laluannya semula lalu bertembung dengan lori berkenaan yang dipercayai dalam perjalanan dari Felda Keratong 8 ke Felda Lepar Hilir 6," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
 
Beliau berkata pemandu MPV, Dewi Rohn Mohmed, 38, yang cedera akibat tersepit di tempat duduk dan enam penumpang lain dihantar ke HTAA untuk rawatan manakala pemandu dan dua penumpang lori hanya cedera ringan. - Bernama

Wanita maut terjatuh bangunan di Georgetown




8 September 2012
GEORGETOWN - Seorang wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah pangsapuri di Jalan Gangsa, Greenlane, di sini hari ini.
 
Sumber polis berkata wanita berusia 40 tahun itu tinggal bersendirian di sebuah unit pangsapuri berkenaan dan belum berkahwin.
 
"Pada kejadian pukul 4.30 petang itu bebeberapa orang saksi melihatnya mundar-mandir di balkoni kediamannya," katanya kepada pemberita.
   
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi, berkata setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berhubung kejadian terbabit.
 
Beliau berkata mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan awal mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut. - Bernama

Motor terjun dalam parit



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
9 September 2012
Polis mengangkat mayat mangsa untuk bedah siasat di Hospital Parit Buntar.
Polis mengangkat mayat mangsa untuk bedah siasat di Hospital Parit Buntar.
KERIAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terjunam ke dalam parit di Kilometer 122, Jalan Ipoh-Butterworth, Simpang Tiga di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Fauzi Mat Nayan berkata, mangsa, Ang Poon Kee, 33, menunggang motosikal bersama rakannya dalam perjalanan menuju ke rumah mereka di Tanjung Piandang.

“Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mengambil selekoh lalu terbabas sehingga tercampak ke dalam parit menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

“Mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala manakala rakannya berusia 33 tahun pula mengalami cedera parah di bahagian tangan kiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala rakannya mendapat rawatan di hospital sama.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tak tahan hidu bau busuk



DIANA SURYA ABD WAHAB
9 September 2012
Longgokan sampah yang mengandungi bulu dan bangkai ayam.
Longgokan sampah yang mengandungi bulu dan bangkai ayam.
KUANTAN - Peniaga di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Gambang, dekat sini, kesal dengan tindakan pengusaha sebuah pusat penyembelihan di kawasan itu yang didakwa tidak mengendahkan aspek kebersihan hingga menyebabkan pencemaran bau.

Seorang peniaga, Robert, 40, berkata, dia bersama beberapa peniaga lain di situ sudah lebih enam kali membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan berikutan tidak tahan dengan bau busuk yang dialami.

Menurutnya, pihak berkenaan ada datang membuat tinjauan, namun mereka sekadar mengambil gambar dan tiada sebarang tindakan lanjut memandangkan premis terbabit masih berada dalam keadaan sama.

“Sebelum ini pusat penyembelihan itu yang sudah beroperasi lebih kurang setahun tidak memberi sebarang masalah, namun kini mereka mula membiarkan sahaja sampah-sarap berlonggok di belakang kedai termasuk bangkai dan bulu ayam.

“Tidak cukup dengan itu, darah dan air kotor longgokan sampah yang terdapat di atas lantai mengalir ke dalam longkang,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, peniaga dan pekerja di kawasan perindustrian itu terpaksa menghidu bau busuk bangkai dan longgokan sampah tersebut sejak dua bulan lalu.

Robert berkata, bau busuk bukan sahaja dapat dihidu di belakang premisnya, malah sudah merebak ke bahagian hadapan.

“14 tahun saya berniaga di sini tidak ada sebarang masalah, tetapi sekarang takut untuk tarik nafas kerana rasa hendak muntah dan sakit kepala bila terpaksa hidu bangkai ayam.

"Paling teruk jika angin bertiup dari arah belakang, bau bertambah kuat dan boleh hilang selera makan,” katanya.

Menurutnya, walaupun masalah bau itu tidak menjejaskan perniagaannya, namun sebagai  peniaga dia malu dengan pelanggan dan rata-rata pekerja pula kurang selesa.

Katanya, seharusnya pihak berkuasa bertindak tegas dan memantau pusat penyembelihan yang beroperasi di kawasan rumah kedai.

“Sekiranya pengusaha hanya diberi notis atau saman, pastinya mereka tidak mengendahkannya kerana mereka mampu bayar kompaun. Jadi saya sangat berharap pihak berkuasa boleh mengawasi atau perlu menutup sementara premis bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan.

“Perniagaan seperti ini perlu mempunyai garis paduan yang ketat, termasuk lokasi yang lebih sesuai,” katanya.

Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan daripada pengurusan pusat memproses ayam tersebut, namun gagal.

Premis urut batin diserbu



NORAFIZA JAAFAR
9 September 2012
Anggota penguatkuasa MPS
Anggota penguatkuasa MPS menjalankan kerja penyitaan di rumah urut didakwa menyediakan khidmat urutan batin.
RAWANG - Sebuah rumah urut haram terletak di Bandar Baru di sini diserbu anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas menerima aduan terdapat aktiviti meragukan.

Ketua Operasi, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil berkata, siasatan awal mendapati premis itu tidak mempunyai Lesen 2012 bagi sesi tahun kedua.

Menurutnya, rumah urut itu juga dipercayai menyediakan khidmat urutan batin kepada pelanggannya menyebabkan MPS  menggantung pemberian lesen.

“Aduan dibuat oleh Bahagian Perubahan Tradisional dan Komplementari di bawah Unit Kementerian Kesihatan terdapat aktiviti meragukan di premis itu.

“Sewaktu serbuan mendapati pekerja yang juga merupakan warga Thailand sedang melayan seorang pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, premis didapati bersalah di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPS 2007 dan tindakan  sita barangan dilakukan membabitkan tilam sofa urut kaki.

Dalam operasi berasingan MPS turut merampas kusyen kereta (tempat duduk) di sebuah premis atas kesalahan tiada permit dan mengganggu kawasan pejalan kaki.

“Sebanyak 20 kusyen telah disita di bawah Seksyen 46 (1) d, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana tidak mempunyai kebenaran menjankan perniagaan tambahan di luar kedai.

“Tindakan peniaga itu menyebabkan orang awam sukar melalui bahagian luar kedai itu dan MPS turut menerima banyak aduan berhubung perkara itu,” katanya.

Jitra dilanda banjir teruk



MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
9 September 2012
Kalidas (kanan) bersama penduduk ketika air mula surut kira-kira jam 3.50 petang,
Kalidas (kanan) bersama penduduk ketika air mula surut kira-kira jam 3.50 petang,
Kalidas menunjukan air yang memasuki salah sebuah rumah penduduk.
Kalidas menunjukan air yang memasuki salah sebuah rumah penduduk.
JITRA – Seramai 68 keluarga Kampung Muhibah mula berasa resah setelah rumah mereka dinaiki air setinggi lebih satu meter dalam kejadian hujan lebat kira-kira 2.30 petang, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) Kampung Muhibah, Kalidas Munusami, 47 berkata, tidak sampai 30 minit hujan lebat, air sudah mula naik sehingga ke paras dada.

Katanya, kejadian banjir kilat hari ini (semalam) merupakan paling teruk dalam tahun ini dan boleh membahayakan nyawa kanak-kanak serta orang ramai.

“Kita minta Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan tampil tolong atasi masalah banjir ini seberapa cepat yang boleh.

“Kita percaya banjir ini adalah berpunca daripada sistem perparitan utama di jalan Jitra menghala Alor Setar di mana ia menempatkan lorong perparitan yang sempit sejak zaman jajahan Jepun.

“Sistem perparitan di Kampung Muhibah tiada masalah, cuma sistem perparitan di jalan utama sahaja yang menjadi punca utama banjir kerana saluran air lambat mengalir,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kalidas berkata, akibat kejadian itu, kebanyakan peralatan elektrik dan perabot dalam rumah mengalami kerosakanan. Bagaimanapun, nilai kerosakan belum diketahui.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, beberapa jalan utama di sekitar Jitra bergerak perlahan akibat air takungan dari sistem perparitan yang melimpah di atas jalan raya yang menyebabkan berlakunya banjir.

'Redha abang pergi dahulu'



HAZELEN LIANA KAMARUDIN
FOTO: AZURA MOHAMAD

9 September 2012
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Mohamad Awang (kanan)
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Mohamad Awang (kanan) melihat mayat mangsa di Hospital Pasir Mas, semalam.
RANTAU PANJANG - Adik mangsa bunuh di Kampung Rahmat pagi semalam, terkilan hasrat menghantar arwah Mohd Yusof Zakaria, 41, menunaikan umrah Mac depan tidak kesampaian.

Kamaruzaman Zakaria, 39, berkata, polisi syarikat di bawah jagaan beliau menggalakkan kira-kira 40 pekerja menabung.

Sebagai penghargaan untuk pekerja, syarikat akan turut membantu menghulurkan bantuan kepada kakitangan yang menjalankan kerja di Bukit Kwong itu.


Arwah seorang yang pendiam

Menurutnya, dia pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi abangnya pergi dahulu.

Katanya, mangsa anak  sulung daripada tiga beradik itu seorang yang pendiam, dan tidak menyuarakan sebarang masalah kepadanya.

“Sebenarnya kelmarin kami tiga beradik bersama arwah dan seorang lagi adik ke Mentakab atas urusan kerja.

“Ketika itu kami banyak bersembang tentang hal berkaitan keluarga, dan abang seperti biasa lebih banyak berdiam,” katanya.

Kamaruzaman berkata, sebaik sampai kira-kira jam 12 malam, dia terus menghantar mangsa ke rumah sewa terletak tidak jauh dari tempat kerja yang baru beroperasi kira-kira sebulan lalu.


Tak tahu punca abang ditikam
Menurutnya, dia dimaklumkan kejadian menimpa abangnya pagi semalam, dan terus ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang dan mendapati abangnya sudah meninggal dunia.

“Saya mengenali suspek dan mereka bekerja serta tinggal bersama-sama tidak jauh dari tempat kejadian.

“Saya tidak mengetahui punca yang menyebabkan abang ditikam,” katanya.

Kamaruzaman berkata, abangnya meninggalkan seorang isteri, Norfadilah Zainal, 21, yang baru dikahwininya, dan belum dikurniakan cahaya mata.

Bagi perkahwinan terdahulu arwah mempunyai empat anak yang masing-masing dua di Johor, dan seorang di Kemaman dan Pahang.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, sebaik selesai bedah siasat.

Rakan yang juga adik angkat mangsa, Abdullah Mohd Nor, 27, berkata, suspek dipercayai datang ke tempat kejadian mencari mangsa dalam keadaan marah dan mengeluarkan kata-kata kesat.


Lihat arwah tekup dada
Menurutnya, ketika itu mangsa bersama isterinya yang bekerja sebagai kerani di syarikat yang sama berada di kantin.

“Tidak lama selepas itu saya tengok arwah menekup dadanya yang berlumuran darah, dan meminta pertolongan daripada saya.

“Selepas itu saya segera mendapatkan kereta arwah dan membawanya ke klinik bersama rakan, ketika itu dia masih bernafas,” katanya.

Abdullah berkata, pagi kejadian dia tidak sempat menemui arwah kerana terus ke pejabat setelah sampai di tempat kerja.

Katanya, dia agak rapat dengan arwah sejak mengenalinya sekitar 2007 di kolam dekat Jeram Perdah.

Menurutnya, arwah pantang dicuit pada bahagian pinggang, tetapi dua hari lepas dia boleh berbuat demikian dan tidak menduga itu antara petanda dia akan kehilangan abang angkatnya itu.

Mayat bayi di surau



SYAIRI SHAARI
8 September 2012
Nurshafekah
Nota yang ditinggalkan bersama bayi, semalam.
KUALA LUMPUR - "Menggeletar seluruh tubuh badan saya apabila terjumpa bayi dibalut  kain dalam sebuah beg ketika hendak membersihkan kawasan surau,” kata Nurshafekah Mat Rajumi,19, ketika itu dia membersihkan kawasan Surau Al Falah di Danau Kota, pagi semalam.
Penemuan bayi itu turut disertakan nota yang meminta pihak surau menguruskan jenazah bayi dan dipercayai diletakkan di hujung penjuru pagar selepas subuh semalam.
Nurshafekah berkata,  dia terkejut dan tergamam apabila melihat bayi yang sudah tidak bernyawa dalam beg bersama nota yang meminta jenazah bayi itu diuruskan pihak surau.
Menurutnya, ketika ternampak beg tersebut, dia terlihat sesuatu yang berbulu dalam beg dan mula timbul takut dan curiga dengan objek di dalamnya.
“Ketika itu saya terlintas  mungkin bayi dalam beg kerana kebetulan  saya sedang siapkan satu tugasan berhubung tajuk penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi,” katanya kepada Sinar Harian menceritakan detik hingga terjumpa bayi tersebut, semalam.
Penemuan bayi berkenaan turut mengejutkan seramai 32 pelajar dari International Islamic College, Gombak yang mengadakan gotong-royong di Surau Al Falah.
Bayi yang tidak diketahui jantina dan usia itu dipercayai ditinggalkan beberapa jam sebelum ditemui dan disyaki bayi itu milik warga asing berdasarkan tulisan nota yang ditinggalkan.
Nurshafekah yang mengambil jurusan Pendidikan Awal Perkembangan Kanak-Kanak berkata, dia meminta tolong seorang lelaki berhampiran dan kariah surau supaya melihat kandungan sebenar dalam beg itu.
Sementara itu, kariah surau, Haris Hussain,53,  percaya mayat bayi diletakkan selepas jemaah pulangsolat Subuh dan ini kejadian pertama di surau itu.

Pegawai polis dicekup khalwat



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012
PADANG BESAR - Hasrat seorang pegawai kanan polis yang ingin bermadu kasih bersama kekasih gelapnya yang juga isteri seorang pegawai polis musnah selepas dia diserbu Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suspek juga disahkan positif mengambil dadah.

Suspek yang berpangkat Inspektor berusia 30 tahun itu dicekup ketika sedang berdua- duaan kira-kira jam 3 pagi dalam keadaan mencurigakan di rumah isteri rakan yang berusia 38 tahun di sebuah taman perumahan di sini.

Difahamkan, serbuan yang dilakukan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu juga mendapati suspek positif dadah selepas membuat saringan air kencing ke atasnya.

Ujian sama juga dilakukan kepada teman wanitanya itu, namun disahkan negatif dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek berpangkat Inspektor di Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar itu kini direman polis bagi tindakan selanjutnya.

Lagi artis kena rompak



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012
Julie Woon
Julie Woon
KISAH artis kena rompak, bukanlah perkara baru di negara ini. Terbaru, insiden ini berlaku ke atas pengacara dan juga personaliti TV, Julie Woon, selepas membeli belah di One Utama.
Ketika berhenti di lampu isyarat, dia didatangi seorang penunggang motosikal dan pembonceng yang bertindak memecahkan cermin tingkap di sebelahnya, lalu mengambil beg tangan yang mengandungi sebuah Ipad.
Menurutnya, kejadian berlaku dalam sekelip mata dan membuatkannya panik. Bagaimanapun, mujurlah telefon bimbitnya berada dengannya.
Selepas kejadian itu, Julie menerusi Twitternya mempersoalkan 'Siapakah yang seterusnya?'.
Bagi orang ramai di luar sana, sentiasalah berwaspada!

Penuntut UMT jerit api



FARAH SHAZWANI ALI
8 September 2012
Penuntut UMT
Pasukan bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
KUALA TERENGGANU - Dua penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dijadualkan mendaftar hari ini, turut menjadi mangsa dalam kebakaran apabila rumah sewa mereka di Taman Perumahan Wakaf Tengah, Batu Rakit, terbakar.
Nurfarahin Musanip, 21, yang berasal dari Johor berkata, ketika kejadian, dia dan ahli keluarganya yang datang, sedang berehat di rumah sebelum mendengar bunyi bising dari luar.
“Saya rasa pelik sebab bunyi bising dan seakan letupan. Saya kemudiannya keluar rumah dan melihat jiran-jiran bising sambil menyebut kebakaran. Saya secara spontan, menyebut api..api..api.. dan ahli keluarga lain keluar menyelamatkan diri.
“Saya sempat mencapai barangan penting sebelum menyelamatkan diri kerana bimbang jika leka, api marak dengan cepat. Mujurlah ada ahli keluarga yang datang, jika tidak tentu saya hilang punca,” katanya.
Dia yang merupakan penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di UMT berkata, turut menjadi mangsa ialah rakan serumahnya Fatin Zafirah Anuar, 20, penuntut Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam di tahun dua.
Menurut Nurfarahin, banyak barangannya seperti buku dan barangan keperluan yang terbakar dan rosak akibat kebakaran itu.
Adun kumpul maklumat
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh ketika ditemui berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat berkaitan bagi tindakan susulan.
“Saya difahamkan yang terlibat (mangsa) ada yang menyewa dan pemilik rumah. Mereka ini kita sedang ambil catatan kedudukan dan sebagainya. Kalau mereka ada tempat untuk tinggal sementara, itu lebih baik.
“Cuma kalau mereka tiada tempat tinggal, kita akan usahakan tempat tinggal sementara di pusat latihan jabatan agama yang terletak berhampiran,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Ramli berkata, Umno Bahagian Kuala Nerus akan membuat kutipan derma serta-merta bagi membantu keluarga terlibat.
“Kita merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa. Saya sudah hubungi pihak JKM untuk memberikan bantuan dan akan meneliti laporan bomba jika perlu untuk bantuan baik pulih rumah dan sebagainya. Cuma saya harap mereka bersabar dengan ujian ini,” katanya.
Tiga Adun bergegas ke lokasi kejadian
Kejadian kebakaran itu berlaku ketika berlangsungnya persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di kawasan berhampiran dan Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Mohamad Nasir Ibrahim Fikri serta tiga Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) lain bergegas ke tempat kejadian. 
Mohamad Nasir bersama tiga Adun tersebut, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir), Mohamad Ramli Nuh (Tepoh) dan Datuk Abdul Rahin Mohd Sains (Teluk Pasu) merupakan antara mereka yang terawal melawat kejadian. 
Ahmad Razif yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri menghulurkan bantuan segera RM1,000 kepada empat pelajar UMT yang terlibat.

Gara-gara tegur jangan terlibat dadah, lelaki mati ditikam




8 September 2012
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lati untuk proses bedah siasat, semalam.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lati untuk proses bedah siasat, semalam.
maut ditikam kawan baik
Isteri mangsa, Norfadilah Zainal (kiri) ditenangkan oleh saudaranya dan Adun Gual Periok, Mohamad Awang (dua kanan) semalam.
KOTA BHARU - Gara-gara menasihati rakan serumahnya agar tidak terbabit dengan gejala dadah, seorang lelaki maut akibat ditikam dalam kejadian di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Pasir Mas hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian antara pukul 8 dan 9 pagi itu, Mohd Yusof Zakaria, 41, ditikam dengan sebilah pisau yang mengenai jantungnya.
  
"Mangsa mati ketika dalam perjalanan ke klinik di Rantau Panjang," katanya pada sidang media, di sini.
  
Beliau berkata suspek yang berumur 37 tahun menyerah diri di Balai Polis Lubuk Setol, setengah jam selepas kejadian.
  
Katanya polis turut merampas sebilah pisau berukuran 12 sentimeter daripada lelaki itu yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
 
Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah dan mempunyai rekod membabitkan dadah pada 2002, katanya.
  
Mengulas lanjut kejadian itu, Mazlan berkata insiden berlaku di hadapan kantin di kawasan perlombongan bijih besi kampung berkenaan, selepas mangsa menegur suspek agar tidak terbabit dengan dadah dan berhenti daripada mengganggu  keluarga sendiri.
  
"Suspek baru bekerja di lombong itu dalam tempoh sembilan bulan dan berasal dari Benut, Johor manakala mangsa yang dilahirkan di Kedah kini menetap di Pasir Mas dan tinggal bersama suspek," katanya.
  
Mangsa katanya ditikam dua kali, namun tikaman pertama berjaya dielak sebelum ditikam kali kedua yang tepat ke jantung mangsa.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Gara-gara tegur jangan terlibat dadah, lelaki mati ditikam




8 September 2012
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lati untuk proses bedah siasat, semalam.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lati untuk proses bedah siasat, semalam.
maut ditikam kawan baik
Isteri mangsa, Norfadilah Zainal (kiri) ditenangkan oleh saudaranya dan Adun Gual Periok, Mohamad Awang (dua kanan) semalam.
KOTA BHARU - Gara-gara menasihati rakan serumahnya agar tidak terbabit dengan gejala dadah, seorang lelaki maut akibat ditikam dalam kejadian di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Pasir Mas hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian antara pukul 8 dan 9 pagi itu, Mohd Yusof Zakaria, 41, ditikam dengan sebilah pisau yang mengenai jantungnya.
  
"Mangsa mati ketika dalam perjalanan ke klinik di Rantau Panjang," katanya pada sidang media, di sini.
  
Beliau berkata suspek yang berumur 37 tahun menyerah diri di Balai Polis Lubuk Setol, setengah jam selepas kejadian.
  
Katanya polis turut merampas sebilah pisau berukuran 12 sentimeter daripada lelaki itu yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
 
Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah dan mempunyai rekod membabitkan dadah pada 2002, katanya.
  
Mengulas lanjut kejadian itu, Mazlan berkata insiden berlaku di hadapan kantin di kawasan perlombongan bijih besi kampung berkenaan, selepas mangsa menegur suspek agar tidak terbabit dengan dadah dan berhenti daripada mengganggu  keluarga sendiri.
  
"Suspek baru bekerja di lombong itu dalam tempoh sembilan bulan dan berasal dari Benut, Johor manakala mangsa yang dilahirkan di Kedah kini menetap di Pasir Mas dan tinggal bersama suspek," katanya.
  
Mangsa katanya ditikam dua kali, namun tikaman pertama berjaya dielak sebelum ditikam kali kedua yang tepat ke jantung mangsa.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Maut langgar konvoi pengantin

Berita Harian | Maut langgar konvoi pengantin:
Endau: Seorang maut, dua lagi parah apabila sebuah kereta hilang kawalan dan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki rombongan pengantin di Kilometer 13, Jalan MersingEndau di sini, malam kelmarin. 

Dalam kemalangan jam 7.15 malam itu, penumpang Proton Wira, Mohd Fadhil Ariffin, 18, mati di tempat kejadian akibat cedera di kepala, manakala dua rakannya termasuk pemandu, selamat. 
Dua penumpang Proton Exora, Abdul Fatah Idris, 84, serta isterinya, Indok Akok Dayang Sitakak, 78, cedera parah. Semua mangsa dirawat di Hospital Mersing. 



Masuk laluan bertentangan 

Ketua Polis Daerah Endau, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, berkata siasatan awal mendapati Proton Wira itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Proton Exora dinaiki rombongan pengantin dari Benut, Pontian. 

Penumpang Proton Exora, Zaiton Abdul Fatah, 44, berkata dalam keadaan hujan dia melihat Proton Wira dari arah Endau terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan MPV dipandu suaminya, Mohd Amin Masot, 48. 

“Sebaik berlanggar, kami terperosok ke bahagian depan kereta. Saya juga lihat seorang penumpang Proton Wira turut tercampak dari kenderaannya,” katanya.