Search This Blog

Saturday, September 8, 2012

Kedai jam diarah pulang wang



GARA-GARA kehilangan jam tangan kesayangan jenama Tissot model PRC100 awal tahun ini, A'zali Atan, 57, tekad untuk mencari semula model jam yang sama dengan 'menjelajah' setiap kedai jam di Johor Bahru, Johor.
Setelah hampir sebulan berusaha, beliau bersyukur kerana berjaya menemuinya di sebuah kedai jam, TCL Gold Time Enterprise (TCL) yang terletak di pusat beli-belah, Plaza Pelangi dengan harga RM1,100 pada 15 Mac lalu.
Malangnya, tidak lama selepas itu, beliau mendapati jam tangan tersebut adalah produk tiruan manakala sebuah lagi jam tulen, model Tissot PRS200 berharga RM1,400 tidak mempunyai kad jaminan yang sah daripada pembekal.
A'zali yang tidak berpuas hati dengan masalah itu kemudian mengadukan permasalahan itu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Johor Bahru bagi menuntut wangnya yang berjumlah RM2,500 dikembalikan.
Menurut pesara Petronas itu, status jam tersebut diketahui selepas secara kebetulan bertemu dengan bekas pekerja TCL yang mendakwa syarikat itu pernah dilucutkan kelayakan sebagai pengedar sah selepas didapati bersalah menjual produk tiruan hujung tahun lalu.
''Bekas pekerja kedai itu ditemui ketika saya mengunjungi sebuah lagi kedai jam tempat dia bekerja sekarang di pusat beli-belah AEON Tebrau, beberapa hari selepas membeli jam ini.
''Keesokannya, saya terus mendapatkan pengesahan daripada Swatch Group yang berpangkalan di Kuala Lumpur selaku pembekal jam berkenaan dan mereka mengesahkan bahawa dakwaan bekas pekerja itu adalah benar,'' kata pengumpul koleksi jam berjenama itu.
Semasa prosiding di hadapan Presiden TTPM, Quaik Chong Yu baru-baru ini, TCL diwakili oleh pemiliknya yang enggan dikenali.
Setelah diarahkan berbincang, akhirnya A'zali bersetuju memulangkan semula jam tiruan berkenaan dan mendapatkan kembali wangnya, manakala pemilik TCL berjanji untuk mendapatkan kad jaminan yang sah daripada pembekal untuk jam Tissot PRS200.
Chong Yu kemudian menetapkan satu tarikh lain supaya pemilik TCL membawa kad jaminan tersebut ke TTPM sebagai bukti penyelesaian kes terbabit atau memulangkan semula wang A'zali sekiranya gagal berbuat demikian.

Pisau lipat sambal tumis

Mohd Ridzuan Abdul Manaf
KULIM - Seorang pekerja industri, Mohd Ridzuan Abdul Manaf 31, terkejut apabila mendapati terdapat pisau lipat dalam sambal ikan bilis yang dihidangkan di kantin kilang tempat dia bekerja.

Katanya, dia kemudiannya memaklumkan kecuaian dilaporkan kepada pengusaha kantin, tetapi ia tidak diendahkan sebaliknya pekerja kantin hanya membuang pisau itu sahaja, manakala sambal ikan bilis itu dijual semula.

“Cuba bayangkan kalau ada dia ntara pekerja kilang ini yang tertelan atau tergigit pisau itu, mereka pastinya akan mengalami kecederaan parah. Saya kesal masalah seperti ini tidak diendahkan semata-mata kami hanya pekerja kilang dan berpangkat rendah.

"Saya bersama beberapa rakan sekerja memaklumkan kejadian itu kepada pihak Sumber Manusia kilang, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil.

"Kami kecewa kerana sebelum ini, pengusaha kantin tidak menitik berat tentang kebersihan ketika menyediakan makanan bagi pekerja kilang seperti kami,” katanya.

Mangsa ditemui di pejabat Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim.

Mohd Zailan berkata, beliau meminta persatuan pengguna mengambil tindakan terhadap pengusaha kantin terlibat, kerana ia membahayakan keselamatan dan kesihatan pekerja kilang.

Menurutnya, beliau sudah menghubungi Pejabat Sumber Manusia kilang terlibat dan meminta masalah itu disiasat.

Sekiranya enggan berbuat demikian, Persatuan Pengguna akan membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan dan membuat pemeriksaan mengejut terhadap penyediaan makanan di kilang itu.

“Pisau dalam makanan bukan satu perkara yang harus dipandang remeh. Kita tidak boleh mengetepikan keselamatan pekerja biasa yang bukan terdiri dalam kalangan kakitangan berjawatan tinggi,” katanya.~SH


Remaja 13 tahun tunggang motosikal tanpa lesen ditahan dalam operasi




8 September 2012
KUALA LUMPUR - Seorang remaja berusia 13 tahun yang cuba lari daripada sekatan polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen adalah antara 10 penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi cegah lumba haram yang dijalankan di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di sini malam tadi.
  
Ketua Operasi Unit Khas Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ACP Khuzir Abd Majit berkata turut ditahan seorang lelaki berusia 30-an kerana memiliki dadah dipercayai jenis syabu serta menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan atas sebuah kereta.
  
"Lapan lagi penunggang ditahan setelah ujian air kencing mendapati mereka postif dadah dan kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Seri Kembangan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini setelah operasi itu selesai.
  
Beliau berkata 200 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu 96 motosikal disita manakala 173 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  
Khuzir berkata operasi itu yang bermula 9 malam sehingga tengah malam turut disertai para pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.
  
"Operasi bertujuan menyekat kegiatan lumba haram yang sering menjadikan lebuh raya ini sebagai gelanggang terutama ketika hujung minggu," katanya. - Bernama

Adun Kuala Perlis ditumbuk lelaki kerana isu pasar



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Adun Kuala Perlis ditumbuk lelaki kerana isu pasar
Adun Kuala Perlis - Mat Hassan
KANGAR - Gara-gara tidak puas hati dengan isu pasar, seorang lelaki yang ada rekod ditahan polis, menumbuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pengadu, Mat Hassan, 52, bersama isterinya ketika kejadian telah ke Kampung Seberang Tok Pi untuk menziarahi kematian.

Katanya, semasa beliau mahu pulang, datang seorang lelaki berusia 36 tahun, memaklumkan bahawa peniaga-peniaga pasar di Kuala Perlis ada mengadu kepadanya mengenai jumlah pelanggan terjejas semenjak Pasar Burma dibuka.

Menurutnya, Mat Hassan kemudiannya memberitahu lelaki berkenaan agar memaklumkan peniaga-peniaga pasar terbabit supaya datang berbincang mengenai masalah itu denganya.

Walaupun pengadu meminta lelaki berkenaan memaklumkan masalah itu kepada para peniaga, lelaki terbabit masih bercakap mengenai masalah tersebut, tambah beliau.

“Semasa pengadu ingin bergerak pulang suspek masih bising-bising dan tiba-tiba meluru ke arah pengadu dan melepaskan satu tumbukan di muka sehingga menyebabkan pengadu mengalami luka dan sakit di bawah mata pipi kirinya.

“Semakan mendapati suspek, yang juga seorang nelayan, pernah lima kali ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya di negeri ini, lima kali tangkapan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas di Batu Gajah serta tangkapan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, katanya.

Bagaimanapun katanya, suspek buat masa ini tidak ditahan reman tetapi diambil keterangan untuk siasatan.

Difahamkan, kematian yang diziarahi pengadu dan isteri merupakan emak saudara kepada suspek  yang turut tinggal di kampung yang sama.

Sementara itu, Mat Hassan ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu mempebesarkan kes tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Pesawat ringan terbabas, juruterbang dan penumpang selamat




7 September 2012
KUANTAN - Seorang juruterbang dan penumpang sebuah pesawat ringan milik persendirian terselamat apabila pesawat jenis Piper 34200 terbabas di Lapangan Terbang Pulau Tioman di sini hari ini.
  
Jurucakap polis berkata juruterbang, Salem Ibrahim yang juga seorang peguam, dan Foo Shing Yng, kedua-duanya warga Singapura tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden yang berlaku pada 2.02 petang tadi.
  
"Pesawat terbabit dipercayai terbabas semasa juruterbang melakukan pendaratan akibat tayar hadapan yang tidak berfungsi dengan baik.
  
"Situasi itu menyebabkan pesawat berkenaan hilang kawalan dan terseret hingga ke tengah landasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat lapangan terbang itu bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan kecemasan.
  
"Kini pesawat berkenaan telah dialih dari tempat kejadian dan ditempatkan di kawasan lapangan terbang pulau peranginan berkenaan," katanya. - Bernama

Dirempuh lori ketika melintas



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Syila Aisyah Isa
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.
ALOR GAJAH - Seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Cheng meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas dirempuh sebuah lori di pekan Rembia menghala ke bandar Melaka berdekatan simpang tiga lampu isyarat di sini, pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa, Mohamad Fazede Ab Azes, 26, melintas jalan untuk pulang ke rumahnya selepas menghantar anak tunggal, Nurfarisyah yang baru berusia 11 bulan ke rumah ibu bapanya terletak di seberang jalan sebelum dirempuh sebuah lori lalu tercampak ke dalam lopak takungan air di tepi jalan.
Isteri mangsa, Syila Aisyah Isa, 26, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya di Rembia sebelum menerima panggilan daripada ahli keluarga memaklumkan suaminya terbabit dalam kemalangan.
“Ketika kejadian saya sudah berada di tempat kerja kerana keluar seawal 6 pagi sementara suami membantu menguruskan anak kami sebelum menghantar ke rumah mertua yang terletak di kampung seberang jalan besar,” katanya.
Menurutnya, menjadi kebiasaan setiap hari suaminya akan bersarapan di rumah ibu bapanya sekali gus menghantar anak mereka untuk dijaga kerana dia memulakan kerja pada jam 3 petang pada hari kejadian.
"Pada pagi kejadian suami saya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sehinggalah saya menerima berita buruk yang menimpanya.
"Saya hanya dimaklumkan suami terlibat dalam kemalangan sebelum mendapat tahu dia meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah," katanya ketika ditemui, semalam.
Syila berkata, kebiasaannya suaminya itu akan menggunakan jejantas untuk menyeberang jalan besar namun sejak kebelakangan ini dia memilih untuk melintas.
“Sehari sebelum kejadian arwah menawarkan diri membantu saya membelikan lampin pakai buang bayi kami yang hampir kehabisan dan menyatakan hendak menggunakan sedikit duit serta akan membayar semula,” katanya.
Bapa mangsa, Ab Azes Ab Talib, 64, berkata, anaknya itu sempat bersarapan di rumahnya malah isterinya, Faridah Baba, 40-an, sempat melambai ke arah anak kedua dari tiga beradik itu di pintu rumah hingga hilang dari pandangan.
“Pada pagi semalam, arwah datang seperti biasa menghantar anak tunggalnya itu dan sempat bersarapan di rumah saya bersama ibunya serta anak saudaranya sebelum pulang ke rumahnya di seberang jalan.
“Namun tak sampai 30 minit saya terima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan anak saya terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian yang membabitkan pejalan kaki berhampiran persimpangan lampu isyarat Rembia - Lendu, pagi semalam.
“Orang ramai atau pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah di talian 06-5563222 untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Geng curi kabel TM tumpas



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Abdul Halim Mohd Ishak
Abdul Halim (tengah) melihat sebahagian kabel milik TM yang berjaya dirampas susulan penangkapan suspek di kediamannya di Kampung Kubang Bujuk, Manir, Ahad lalu.
KUALA TERENGGANU – Seorang buruh yang dipercayai antara individu paling aktif melakukan kegiatan mencuri kabel milik syarikat Telekom Malaysia (TM) di sekitar kawasan Manir, di sini, akhirnya dicekup polis, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Mohd Ishak berkata, berikutan penahanan suspek yang berusia 32 tahun itu, sebanyak 13 kes kecurian kabel di sekitar kawasan Manir milik TM dapat diselesaikan yang melibatkan kerugian RM50,000.
Katanya, selain itu, dengan penangkapan suspek yang memiliki tiga rekod jenayah lampau itu, polis berjaya mengesan kedai barang lusuh yang menyediakan perkhidmatan membeli tembaga curi di sekitar kawasan berkenaan.
“Suspek yang berasal dari Kampung Kubang Bujuk, Manir, di sini telah membawa kami ke tempat pelupusan kabel yang dicuri dan berjaya merampas sebahagian daripada barang kes tersebut.
“Dia turut mendedahkan kesemua tembaga dicuri itu dijual di kedai barang lusuh di sekitar kawasan Manir, di sini dengan anggaran RM13 sekilogram dan suspek mengakui telah memperoleh keuntungan lebih kurang RM1,200 hasil penjualannya sepanjang tahun ini bermula Januari lalu,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media Ops Lusuh (kecurian kabel) kawasan Manir, Kuala Terengganu di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Abdul Halim berkata, modus operandi yang digunakan suspek bersama rakannya yang kini sedang diburu iaitu dengan membuat rondaan pada sebelah malam bagi mengenal pasti kawasan yang akan menjadi sasaran menggunakan motosikal.
“Mereka berdua akan melakukan kerja memotong kabel antara jam 3 atau 4 pagi yang mana ketika itu penduduk setempat sedang tidur.
“Setelah memotong kabel suspek dan rakannya menarik kabel ke dalam semak sebelum proses pengasingan tembaga dilakukan di situ dengan cara membakarnya.
“Selepas itu, kesemuanya akan dijual di kedai yang sudah menjadi pelanggan tetap bagi mereka,” katanya.
Susulan itu, Abdul Halim berkata, polis kini sedang mencari rakan suspek yang dikenali panggilan ‘Sirul’ dan dipercayai berada di sekitar daerah ini bagi melengkapkan siasatan.
“Kami meminta bantuan orang ramai yang sekiranya mengenali suspek ini atau mengetahui latar belakang ‘Sirul’ dapat menghubungi balai berhampiran atau di talian 09-6322222 untuk membantu siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Halim berkata, dalam tempoh lapan bulan tahun ini iaitu bermula Januari sehingga Ogos ini, sebanyak 45 kes kecurian kabel dilaporkan yang mana majoritinya adalah milik TM.

Hasrat murni makan diri



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Datuk Jamaludin Tot
Jamaludin menunjukkan laporan polis dibuatnya sebagai peringatan kepada masyarakat supaya tidak tertipu.
BENTONG – Hasrat murni sepasang suami isteri warga emas membantu tiga sekeluarga warga asing yang bertanyakan lokasi kedai makan India Muslim akhirnya memakan diri apabila sejumlah wang milik mereka lesap.
Pesara kerajaan, Datuk Jamaludin Tot, 71, berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, Datin Zaimah Dahuri, 68, baru pulang ke rumah selepas mengeluarkan wang di bank.
Menurutnya, setibanya di hadapan rumah mereka di Kampung Baru, dekat sini, ada sebuah kereta jenis Persona menghalang perjalanan masuk ke rumah mereka.
“Pada masa itu, seorang lelaki dipercayai dari Timur Tengah bersama isteri serta seorang anak lelaki keluar bertanyakan arah kedai makan itu dalam bahasa Inggeris.
“Atas dasar ingin membantu tanpa berfikir sesuatu yang buruk, kami sempat mempelawa pasangan itu dan anak mereka masuk ke halaman rumah serta menjamu mereka minuman,” katanya.
Jamaludin berkata, selain bertanyakan arah kedai, lelaki itu turut bertanyakan mata wang Malaysia dan dia sempat menerangkan kepada lelaki itu berkaitan duit RM5, RM10 dan RM50 yang kebetulan ada di dalam poket seluarnya.
Menurutnya, ketika berbual, isteri lelaki itu turut mengekori isterinya ke dapur dan sebelum pulang, lelaki itu sempat bertanyakan jarak Bentong ke Kuantan kerana mereka dipercayai bercadang ke sana.
“Sejurus mereka pulang, saya sempat memeriksa wang di dalam poket dan mendapati RM200 lesap, manakala wang di dalam beg tangan isteri yang diletakkan di ruang tamu sebanyak RM105 juga hilang.
“Kami mensyaki pasangan suami isteri itu mengambil wang tersebut ketika menunjukkan mereka contoh duit sebagaimana diminta. Kami berdua juga berasa seperti dipukau kerana tidak menyedari perlakuan mereka mengambil duit itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, kes tipu sebegitu pernah dilaporkan berlaku di tempat lain membabitkan modus operandi sama iaitu bertanyakan arah jalan atau tempat dan meminta bantuan menunjukkan mata wang Malaysia.
“Justeru, penduduk diminta berhati-hati dan bersikap curiga dengan kehadiran warga asing terutama dari Timur Tengah.
“Mereka yang pernah menjadi mangsa dan berdepan kes sebegini juga diminta membuat laporan polis segera untuk membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Timba tembaga antik dicuri



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Mohamad Husin
Seorang ahli Jawatankuasa Masjid Haji Ishak menunjukkan kepada Mamat (tengah) dan Mohamad (kanan) melihat tempat timba berusia 80 tahun itu disimpan.
KAMPUNG DENGIR- Sebuah timba tembaga berusia lebih 80 tahun, milik Masjid Haji Ishak, kampung ini didapati hilang dipercayai dicuri pihak tertentu.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Mohamad Husin berkata, timba tembaga antik seberat kira-kira 30 kilogram yang disimpan di dalam bilik imam masjid tersebut, disedari hilang oleh Imam Masjid, Mamat Taib pada jam 7 malam, minggu lalu.
Menurutnya, timba berkenaan sudah tidak digunakan lagi tetapi ia menjadi bahan sejarah kerana ia pernah digunakan untuk mengambil air perigi masjid lama puluhan tahun lalu.
“Tembaga itu memang berat dan mempunyai nilai sejarah tinggi buat masjid ini, apatah lagi pada zaman dahulu dikatakan hanya tiga buah masjid sahaja di daerah ini yang mempunyai timba seperti ini, antaranya Masjid Kuala Besut,” katanya.
Mohamad berkata, pencuri dipercayai masuk melalui pintu tingkap bilik tersebut, sebelum melarikan timba yang berada di atas meja di sudut penjuru bilik itu.
Menurutnya, sudah puluhan tahun timba berada di masjid itu tetapi tidak pernah menjadi sasaran pencuri sebelum ini.
“Kalau jual besi buruk memang harga timba itu tidak begitu bernilai tetapi sekiranya dijual sebagai barangan antik ia dianggarkan bernilai lebih RM5,000,” katanya.
Sementara itu menurut Mamat, dia menyedari kehilangan timba tersebut ketika masuk ke biliknya untuk berehat sebelum memaklumkan tentang kehilangan itu kepada Mohamad.
Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Besut dan Mohamad berharap sesiapa yang melihat timba tembaga bersaiz besar tersebut agar melaporkan segera kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Ibu tunggal terselamat rumah terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Nor’in@Norini Md Isa
Nor’in melihat pakaian bundle yang musnah dalam kebakaran rumahnya.
SUNGAI LALANG - Seorang ibu tunggal anak lima kerugian kira-kira RM150,000 apabila peralatan membuat biskut, stor pakaian terpakai dan komponen motosikal musnah dalam kebakaran di rumahnya dekat Kampung Pinang Luar di sini, awal pagi semalam.
Mangsa, peniaga barangan bundle, Nor’in@Norini Md Isa, 46, berkata, kejadian yang berlaku jam 4.15 pagi itu disedari adiknya, Nor Akram, 23, yang tidur di bilik bersebelahan.
“Api bermula dari bilik Nor Akram sebelum menyambar kira-kira 10 helai seluar jeans yang digantung di dinding bilik.
“Adik memberitahu tangannya terasa panas akibat bahang api menyebabkan dia terjaga dari tidur sebelum bergegas mengejutkan saya keluar menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor’in bagaimanapun lega kerana ketika kejadian hanya mereka berdua berada dalam rumah kerana kesemua lima anaknya pulang ke kampung bagi menghadiri majlis kenduri di rumah datuk yang diadakan  semalam.
Akibat kejadian, Nor’in dan Nor Akram tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting namun hanya berjaya mengalihkan tiga daripada lima motosikal pelanggan yang sedang dibaiki Nor Akram.
Menurutnya, sepanjang Ramadan lalu, dia sempat menjual biskut raya namun semua barangan membuat kuih termasuk beberapa ketuhar musnah dalam kebakaran.
“Selain peti sejuk, televisyen, perabot, almari, buku persekolahan anak-anak dan buku rujukan universiti anak kedua termasuk mesin basuh yang baru dibeli dua minggu lalu turut musnah,” katanya.
Nor’in yang kematian suami sejak 2006 memiliki lima anak berusia antara 11 hingga 22 tahun.
Bagaimanapun, laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian.
Jiran mangsa, Azizan Musa, 55, berkata, kebakaran di rumah jiran itu turut merebak dan mengenai sebahagian kecil rumahnya.
Sementara itu, pelbagai pihak hadir bagi menyatakan sokongan selain memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung.

Kegiatan lerai komponen motosikal curi terbongkar



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Mohamad Nasir Ramli
Mohamad Nasir menunjukkan komponen motosikal yang dirampas selepas menahan dua lelaki di sebuah bengkel di Parit Punggur, Jalan Abdul Rahman, 28 Ogos lalu.
MUAR - Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya membongkar kegiatan meleraikan komponen motosikal curi di sebuah bengkel di Parit Punggur, Jalan Abdul Rahman di sini, 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pembongkaran kegiatan tersebut diperoleh menerusi maklumat risikan anggotanya, beberapa hari sebelum tangkapan.
Menurutnya, polis berjaya mengesan dua suspek yang terlibat dan mereka ditahan kira-kira jam 1.30 pagi pada hari kejadian.
“Seorang suspek yang ditangkap berusia 21 tahun, manakala seorang lagi berusia 16 tahun dan tidak bersekolah serta merupakan penduduk kampung berkenaan.
“Ketika serbuan, suspek berada dalam stor kecil yang dijadikan bengkel untuk meleraikan komponen motosikal curi,” katanya pada sidang media di IPD Muar, semalam.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan di bengkel yang terletak kira-kira 15 meter di belakang rumah suspek berusia 16 tahun itu, turut ditemui dua motosikal curi termasuk komponen-komponen motosikal yang sudah dileraikan.
“Antara komponen yang dijumpai seperti enjin, ekzos, brek cakera dan kotak gear.
“Pondok ini dipercayai menjadi tempat meleraikan komponen motosikal sebelum dijual kepada rakan dan  kegunaan mereka sendiri untuk tujuan merempit,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, polis tidak dapat mengenal pasti tempoh motosikal itu dicuri kerana nombor casisnya telah dipadam.
“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek baru sahaja terlibat dalam kegiatan ini sejak beberapa bulan lalu dan ia merupakan sebagai pekerjaan utama mereka.
“Mereka ditahan reman selama seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Penganggur cederakan remaja ketika rompak beg



GOKINA MORGANAN
8 September 2012
Shekh Yusoff Sikh Abdullah
Shekh Yusoff dibawa keluar dari kamar mahkamah, semalam.
GEORGETOWN - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah mencederakan remaja 16 tahun dengan sebatang besi dalam satu kejadian rompakan beg milik mangsa, bulan lalu.
Shekh Yusoff Sikh Abdullah, 22, dari Tanjung Tokong, di sini,  membuat pengakuan itu di hadapan  Hakim Mahkamah Sesyen, Sitarun Nisa Abdul Aziz, selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Shekh Yusoff didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan dengan menggunakan sebatang besi dengan niat mencederakan remaja itu untuk merompak satu beg tangan kepunyaannya.
Dia yang tidak mewakili peguam didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh didenda atau disebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Sitarun Nisa membenarkan Shekh Yusoff dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan kes.

Dua maut kes langgar lari



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
KUANTAN - Seorang pemotong rumput maut selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 168.1 Lebuh raya Pantai Timur. Maran, kelmarin.
Mangsa, Abdul Kaddas Ali Late Ahmad Ali, 40, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maran.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri,  Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, mangsa sedang memotong rumput di pembahagi jalan di lokasi tersebut kira-kira jam 9 pagi.
Menurutnya, secara tiba-tiba, sebuah lori dalam perjalanan menghala ke Kuantan telah terbabas lalu melanggar besi pengadang jalan lalu merempuh mangsa.
“Akibat rempuhan itu, mangsa telah tercampak dan jatuh ke dalam longkang.
”Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan itu dibawa ke Klinik Kesihatan Maran sebelum disahkan meninggal dunia 40 minit kemudian.,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, Fauzi memberitahu, seorang lelaki turut terbunuh selepas menjadi mangsa langgar lari di Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu, dekat Raub malam kelmarin.
Beliau berkata, mayat mangsa, Che Mohamad Che Omar, 47, dari Ladang Bukit Putri Sungai Ular, Kuala Lipis hampir separuh hancur akibat dilanggar beberapa kali oleh kenderaan yang melalui jalan di lokasi tersebut/.
“Kejadian hanya diketahui selepas seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda, 30an, dalam perjalanan dari Negeri Sembilan hendak menuju ke Kampung Gali.
“Tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit tiba-tiba terlanggar sesuatu di atas jalan sebelum memberhentikan kenderaannya,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pemandu itu mendapati terdapat mayat seorang lelaki yang hampir hancur badannya sebelum melaporkan kepada polis berhampiran.
”Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mayat mangsa dipercayai telah lama berada di atas jalan terbabit dan telah dilanggar beberapa kali oleh kenderaan yang melalui jalan di situ.
”Keadaan cuaca yang gelap di kawasan berkenaan menyebabkan pemandu kenderaan yang melalui jalan terbabit tidak perasan mayat mangsa yang\ berada di atas jalan,” katanya..
Fauzi turut memberitahu, polis tidak menerima laporan berhubung kedua-dua kejadian langgar lari terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pelajar sekolah mati mengejut



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Nazrul Izaad Baseri,
Nazrul Izaad Baseri
Nazrul Izaad Baseri
Kakak arwah, Nora Afizah, 20, menyuap bubur kepada ayahnya yang lemah dan tidak bertenaga kerana masih terkejut dengan kejadian itu.
KUALA BERA – Seorang bapa pengsan sejurus melihat anaknya kaku dan ditutupi sehelai kain putih apabila tiba di bilik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, kelmarin.
Beliau, Baseri Abd Kadir, 58, dan isterinya, Hasmah Daik, 56, terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak sekolah mengatakan anaknya itu pengsan namun tidak mensyaki sebarang kemungkinan yang berlaku.
Menurut Hasmah, dia dan suami bergegas ke sekolah kerana bimbang dengan keadaan anaknya, Nazrul Izaad Baseri, 17, kerana keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Tetapi apabila kami tiba di sana, kami hanya melihat seluruh tubuh anak kami sudah ditutupi sehelai kain putih dan beberapa orang guru memaklumkan bahawa anak kami sudah meninggal dunia.
“Memang kami terkejut dengan berita ini kerana anak saya tidak sakit apa-apa, sementara suami pula pengsan apabila melihat keadaan ini,” katanya.
Difahamkan, Nazrul Izaad rebah secara tiba-tiba di anak tangga salah sebuah bangunan sekolah di hadapan rakan-rakannya kira-kira jam 10.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia 10 minit selepas itu.
Hasmah berkata, anaknya itu sempat menduduki kertas percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada sebelah pagi kejadian dan ke kantin bersama kawan-kawannya.
“Saya diberitahu kawan-kawannya, dia duduk sekejap di anak tangga dan termenung jauh. Apabila ditanya, tiada jawapan sebaliknya rebah secara tiba-tiba,” katanya.
Suasana rumah suram
Hasmah berkata, sejak kelmarin hingga sekarang, suasana di rumah masih suram lebih-lebih suaminya masih sugul dengan kejadian itu.
Katanya, suaminya tidak makan atau minum melainkan dipaksa dan asyik teringatkan arwah.
“Suami saya asyik memeluk erat baju sekolah yang dipakai arwah malah terjaga pada jam 3 pagi semalam dan duduk di atas motosikal milik arwah.
“Katanya, sekejap lagi arwah balik dan dia mahu menunggu arwah. Memang selalunya, kalau arwah balik lewat malam, dia yang menunggu arwah,” katanya.
Difahamkan, arwah yang mesra dengan panggilan Ijad adalah anak lelaki tunggal dan bongsu dari tujuh beradik.
Kehilangan arwah sangat dirasai semua ahli keluarga lebih-lebih lagi arwah dikatakan sangat rapat dengan anak buahnya.
Menurut kakak arwah, Norzizan Baseri, 29, arwah adalah seorang yang aktif, peramah dan sangat menghormati orang tua.
“Boleh dikatakan setiap aktiviti yang diadakan di kampung ini, arwah tidak pernah ketinggalan menyertainya.
“Memang itu cara dia berkhidmat dengan masyarakat tetapi tidak sangka, dia meninggalkan kami dalam keadaan ini,” katanya.
Katanya, semasa majlis pengebumian dilakukan selepas Maghrib kelmarin, ramai rakan sekampung dan sekolah turut menziarahi buat kali terakhir.
Ambil masa untuk pulih
Sementara itu, Baseri berkata, pemergian anaknya secara mengejut itu adalah sangat sukar diterima tetapi reda dengan dugaan ini.
Menurutnya, sebelum ini, arwah ada memberitahu kepadanya bahawa dia tidak mahu mengikuti Kursus PLKN apabila selesai SPM kelak.
Katanya, tidak sangka apa yang dikatakan itu menjadi kenyataan malah arwah tidak sempat untuk menduduki SPM.
“Dia tidak sakit apa-apa. Jadi, bila dia pergi, memang saya sukar menerima kenyataan pada awalnya. Agak terkilan juga apabila kami tidak berada di hadapannya semasa dia menghembuskan nafas terakhir.
“Saya masih lagi terbayang-bayang arwah masih ada. Tetapi saya tahu, saya kena reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada hari kejadian juga, Baseri dan Hasmah turut menerima berita gembira apabila anak kedua mereka selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Temerloh.
Menurut Norazian, pemergian arwah ini seolah-olah seperti diganti dengan kehadiran ahli keluarga baru apabila kakak arwah selamat melahirkan bayi lelaki seiras arwah pada hari yang sama.
Semalam, pihak sekolah yang diwakili Guru PJK Ko-Kurikulum, Zuhari Mohamad dan Guru Pengakap, M Juhari Abdullah turut menziarahi keluarga arwah selain menyampaikan sumbangan derma kilat daripada guru dan pelajar.

Pemandu teksi ditahan dera anak



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
SENAI - Seorang pemandu teksi ditahan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun di rumah mereka di Taman Sri Skudai, di sini semalam.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi selepas polis menerima maklumat orang ramai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, ketika pemeriksaan, kanak-kanak terbabit dilihat mempunyai kesan lebam baru dan lama di seluruh badan.
“Kami menahan bapa kandung kanak-kanak terbabit selepas dia mengaku memukul anaknya dengan menggunakan penyangkut baju dan dia akan direman esok pagi (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Pemandu teksi ditahan dera anak



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
SENAI - Seorang pemandu teksi ditahan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun di rumah mereka di Taman Sri Skudai, di sini semalam.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi selepas polis menerima maklumat orang ramai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, ketika pemeriksaan, kanak-kanak terbabit dilihat mempunyai kesan lebam baru dan lama di seluruh badan.
“Kami menahan bapa kandung kanak-kanak terbabit selepas dia mengaku memukul anaknya dengan menggunakan penyangkut baju dan dia akan direman esok pagi (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Suami isteri aktif edar ketum



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Ghuzlan Saleh
Air ketum yang ditemui dalam rumah sewa suspek.
MAHANG - Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim diketuai Inspektor Mohd Amin Mat Yassin menahan sepasang suami isteri berusia 30 tahun di Jalan Mahang kira-kira jam 2 petang kelmarin, kerana dipercayai menjual ketum.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihak polis meminta mereka menunjukkan di mana aktiviti memproses air daun ketum dijalankan.
Suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Bukit Kabu dipercayai disewa, bagi menjalankan kegiatan itu.
Ketika pemeriksaan dijalankan, polis menemui air daun ketum yang direbus ddalam periuk besar di bahagian dapur rumah itu.
“Polis sudah membuat pemantauan terhadap lokasi serbuan sejak beberapa hari lalu. Selain air daun ketum yang sedang dimasak, polis turut menemui air daun ketum yang sudah dibotolkan dan sedia dibungkus sebelum dijual kepada pelanggannya.
"Ketika ditahan, suspek mengaku segala peralatan memasak, daun ketum dan air daun ketum yang siap diproses adalah miliknya. Pasangan suami isteri itu kemudiannya dibawa ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dari ujian saringan air kencing dijalankan terhadap pasangan itu, suspek lelaki didapati positif dadah dan akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun dan seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Bahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan.
Menurutnya, polis akan terus membuat serbuan terhadap lokasi terlibat setiap hari untuk memastikan masalah penagihan dadah dan penjualan air daun ketum berkurangan.
“Saya meminta penduduk di Mahang untuk menyalurkan maklumat terus kepada saya menerusi 04-4916999 sekiranya terdapat sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah, penjualan air daun ketum atau sebarang perlakuan jenayah termasuk mencuri motosikal, samun atau perjudian di kawasan itu.” katanya.

Bayi terbakar meninggal dunia



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Abdul Rahman Ibrahim
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim
BUTTERWORTH - Selepas 23 hari bertarung nyawa di Hospital Pulau Pinang, bayi berusia enam bulan yang terbakar hampir 70 peratus badannya ketika ditinggalkan pengasuh dalam buaian meninggal dunia malam semalam.
Dalam kejadian pada 15 Ogos yang lalu, Y Meysshvin, anak tunggal pasangan, A Yogeshwaran dan Ranjita Kaur, masing-masing berusia 30-an, difahamkan gagal diselamatkan kerana mengalami kecederaan teruk hampir keseluruhan badannya.
Sepanjang berada di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu, dia bergantung kepada mesin sokongan hayat semata-mata dan tidak menunjukkan sebarang tindak balas biarpun diberikan pelbagai bantuan.
Mayat bayi berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Hindu di Jalan Siram di sini, pagi semalam.
Terdahulu, dalam kejadian jam 10 pagi 15 Ogos lalu itu, Meysshvin terbakar hampir keseluruhan badannya semasa ditinggalkan berseorangan tidur di dalam buaian di rumah pengasuhnya di tingkat empat, Flat Mak Mandin di sini. 
Semasa kejadian, pengasuhnya, G Sarojh, 48, dikatakan turun ke kedai membeli barangan dapur dan hanya menyedari rumahnya terbakar selepas dimaklumkan jirannya.
Biarpun api yang dikatakan berpunca dari tokong kecil di dalam rumah itu berjaya dikawal oleh jiran namun mangsa didapati mengalami kecederaan teruk dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Pengasuh itu kemudian direman selama dua hari sebelum dituduh di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas tuduhan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas bayi yang berada di bawah jagaannya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim yang dihubungi mengesahkan kematian itu namun pihaknya enggan mengulas lanjut kes berkenaan sementara menantikan siasatan susulan dilakukan selepas kematian bayi berkenaan.
“Apa-apa pun keputusannya sama ada untuk menukar pertuduhan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan hanya diketahui selepas perbincangan dengan Pejabat Pendakwa raya dilakukan.
“Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi dan biar pihak berkuasa menjalankan tugas bagi mencari keadilan yang sepatutnya,” katanya kepada Sinar Harian.