Search This Blog

Friday, September 7, 2012

Lelaki direman bantu siasatan kes tipu kad kredit




7 September 2012
Lelaki direman bantu siasatan kes tipu kad kredit
Seorang lelaki 27 tahun ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan polis berhubung kes memalsukan maklumat yang melibatkan sejumlah 29 kad kredit. - Foto Bernama
KUCHING - Seorang lelaki berusia 27 tahun hari ini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes memalsukan maklumat melibatkan 29 kad kredit, di sini.
  
Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Brian Bryan Mason yang bersidang sebagai Majistret selepas pegawai penyiasat, Insp Mohar Mustaqeem Ali Seman mengemukakan permohonan itu.
  
Suspek yang ditahan semalam dipercayai terlibat dalam sindiket memperoleh maklumat peribadi secara haram dan kemudian menggunakanya untuk permohonan kad kredit.
  
Operasi sindiket berkenaan terbongkar berikutan penahanan seorang wanita berusia 37 tahun yang memiliki kad kredit, pada 30 Ogos lepas.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Gadis didakwa bakar al-Quran diikat jamin




7 September 2012
ISLAMABAD - Seorang remaja Kristian yang dituduh membakar al-Quran bulan lalu telah mendapat kebenaran diikat jamin daripada mahkamah.

Remaja tersebut yang dikenali sebagai Rimsha, 14, ditahan sejak 16 Ogos lalu kerana disyaki menghina al-Quran - kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup di bawah undang-undang penghinaan Pakistan.

Dia ditangkap di Islamabad selepas beberapa kumpulan marah atas tindakan remaja itu dan menuntut agar hukuman dikenakan ke atasnya.

Minggu lalu, polis Pakistan telah menahan seorang imam kerana disyaki menjadi dalang dalam kes itu.

Imam tersebut, Khalid Chishti didakwa menyalakan api, sekali gus menyebabkan beg gadis tersebut, yang mengandungi al-Quran, terbakar.

Kes terbabit telah mencetuskan kecaman antarabangsa.

Hakim, Muhammad Azam Khan mengarahkan pembebasan dan menetapkan ikat jamin beliau sebanyak AS$10,500 (RM33,00).

Koresponden BBC, M Ilyas Khan melaporkan bahawa, Rimsha adalah orang pertama yang dituduh kufur dan diberi ikat jamin oleh mahkamah.

“Kekufuran tidak merupakan satu kesalahan yang boleh dijamin tetapi peguamnya menekankan bahawa dia adalah pesalah juvana dan keselamatan dia dikhuatiri,” katanya.

Sejak penahanannya, terdapat laporan bercanggah tentang umur Rimsha dan mengatakan remaja itu mempunyai masalah mental.

Doktor yang memeriksa remaja itu minggu lalu berkata, remaja berkenaan mengalami masalah mental, yang tidak sejajar dengan umurnya.

Sebelum ini, bapa Rimsha turut meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan anak perempuannya dan keselamatan keluarganya.

Dia turut meminta Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari agar mengampunkan anaknya.

Wanita Turki tembak alat sulit, penggal kepala perogol




7 September 2012
Wanita Turki tembak alat sulit, penggal kepala perogol
Nevin (gambar kanan, atas) menembak dan memeggal Nurettin yang merogolnya selama lapan bulan. Foto utama menunjukkan kepala Nurettin (dibulatkan). – Foto ihsan crimelibrary
SEORANG wanita Turki sedang menunggu perbicaraannya selepas dia ditahan kerana memenggal kepala seorang lelaki yang dikatakan merogolnya berulang kali selama lapan bulan.

Wanita berkenaan membunuh lelaki itu demi maruah diri, kata peguamnya.

Nevin Yildirim, 26, ibu kepada dua cahaya mata, tinggal di sebuah kampung kecil di barat daya Turki.

Menurut sumber yang dekat dengan kes, lelaki durjana itu, Nurettin Gider dikatakan mula menyerang wanita itu beberapa hari selepas suaminya meninggalkannya pada Januari lalu untuk bekerja di bandar lain.

Tambah sumber itu, Nurettin telah mengancam Nevin dengan pistol dan mengugut akan membunuh anak-anaknya yang berumur dua dan enam tahun jika dia bising.

“Selepas itu, itu adalah pertama kali Nevin dirogol dan kemudiannya perbuatan itu terus berulang selama lapan bulan.

“Pada satu ketika, Nevin berkata, Nurettin menyelinap ke dalam rumahnya ketika dia sedang tidur dan mengambil gambar dia dan salah sekeping gambar itu menunjukkan badannya yang sedang berbadan dua.

“Lebih kejam, Nurettin mengugut untuk menyiarkan gambar jika dia tidak taat kepadanya,” kata sumber itu lagi.

Di kampung-kampung kecil di negara itu, harga diri seorang wanita adalah segala-galanya dan penghormatan itu menjadi beban kepada keluarga mereka.

Sementara itu, gambaran buruk yang berlaku ke atas Nevin, boleh mendatangkan bahaya kepada keluarganya.

Pada 28 Ogos lalu, ketika sedang sarat mengandung lima bulan, Nevin akhirnya memutuskan untuk menghentikan tindakan lelaki itu dari terus merogolnya.

Ketika Nurettin memanjat dinding belakang rumahnya, "saya tahu dia akan rogol saya lagi," katanya pada pendengaran awal pada 30 Ogos lalu.

Nevin berkata, ketika itu, dia mengambil senapang bapa mertuanya yang tergantung di dinding dan menembaknya.

Nurettin bagaimanapun cuba merampas senapang itu tetapi gagal dan Nevin ‘menghadiahkan’ sedas lagi tembakan.

"Saya mengejar dia," katanya. "Dia jatuh di atas tanah dan mula mengerang kesakitan. Saya kemudiannya menembak organ seksualnya dan lelaki itu terus diam.

“Saya tahu dia telah mati dan kemudian memotong kepalanya," katanya.

Saksi kejadian berkata, Nevin berjalan ke sekeliling kampung membawa kepala lelaki itu sambil menggenggam rambutnya.

"Jangan bercakap di belakang saya, jangan bermain dengan penghormatan saya.

"Ini ialah kepala manusia yang bermain dengan penghormatan saya," katanya kepada seorang lelaki yang duduk di sebuah kedai kopi.

Nevin kemudiannya melemparkan kepala Nurettin ke tanah, kata saksi.

Tidak lama kemudian, jurukamera dari agensi penyiar Turki, DHA yang tiba di tempat kejadian sebelum pihak berkuasa, berjaya merakamkan kepala Nurettin di atas tanah.

Selepas kejadian itu, pihak berkuasa memanggil saksi untuk membantu siasatan dan wanita itu ditangkap.

Nurettin, 35, merupakan bapa kepada dua anak yang berusia sembilan dan 15 tahun. Dia telah berkahwin dengan ibu saudara suami Nevin.

Menurut sumber, ketika diadili, Nevin memberitahu dia menyesali apa yang berlaku.

"Pada mulanya saya ada terfikir untuk melaporkan kejadian yang menimpanya kepada pihak polis ataupun peguam daerah, tetapi saya tidak mahu dikatakan sebagai perempuan murahan.

"Daripada saya mendapat reputasi yang buruk, saya telah membuat keputusan untuk membersihkan maruah diri saya dan membunuhnya.

“Saya juga terfikir untuk membunuh diri tetapi saya tidak tergamak melakukannya,” kata Nevin yang bimbang orang ramai akan menghakimi anak-anaknya atas apa yang berlaku.

"Sekarang tiada siapa yang boleh memanggil anak-anak saya haram.

"Saya telah membersihkan penghormatan saya. Semua orang akan memanggil anak-anak saya sebagai ‘anak-anak wanita yang dibersihkan maruahnya,” katanya.

Tambah sumber itu lagi, Nevin telah pergi ke sebuah klinik kesihatan untuk melakukan pengguguran, tetapi jururawat memberitahunya adalah mustahil untuk meneruskan hasratnya itu kerana dia sudah 14 minggu hamil.

Pemerhati Hak Asasi Manusia berkata, di Turki, pengguguran dibenarkan hanya semasa 10 minggu pertama kehamilan dan selain itu pengguguran hanya dibenarkan untuk kes-kes untuk menyelamatkan nyawa atau kesihatan ibu atau dalam kes-kes kerosakan janin sahaja.

Sewaktu kes Nevin dibicarakan, dia mengakui tidak mahu menjaga bayi itu dan lebih rela mati.

Pejabat pendakwa raya telah mengarahkan pemeriksaan perubatan dijalankan ke atasnya untuk mematikan sama ada Nevin pernah membuat pengguguran yang mungkin mengganggu kestabilan mentalnya, kata sumber itu.

Bapa Nevin, Zekeriya Yildiz berkata, DNA anak perempuannya menunjukkan tidak ada elemen sumbang muhrim di kalangan keluarganya.

"Jika dia ada memberitahu kami, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga lain," katanya.

Sementara itu, Nevin kini ditempatkan di penjara tempatan sementara menanti hari perbicaraan.

Dalam satu laporan tahun lepas, kumpulan pemerhati Hak Asasi Manusia menjelaskan bahawa terdapat jurang dalam undang-undang Turki di mana gadis dan wanita tidak dilindungi daripada penderaan domestik.

Mereka mendapati, kira-kira 42 peratus wanita yang berusia lebih 15 tahun tinggal di bandar dan 47 peratus wanita berada di luar bandar dilaporkan mengalami keganasan fizikal atau seksual sama ada oleh suami atau pasangan mereka.

“Dia telah hidup dalam trauma yang sangat dahsyat.

“Dia mesti didakwa kerana mempertahankan diri," kata ahli sosiologi di Universiti Akdeniz dan ahli Organisasi Sokongan Wanita Antalya, Gursel Oztunali Kayir.


*Diterjemah dari laporan CNN

Dua individu bawa bendera `Sang Saka Malaya' serah diri hari ini



KUALA LUMPUR 7 Sept. - Dua lagi individu yang dikehendaki polis membawa bendera `Sang Saka Malaya' semasa Himpunan Janji Demokrasi pada malam Ambang Merdeka minggu lepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Aziz Zakaria berkata kedua-dua individu yang masing-masing berumur 24 tahun itu ditahan polis selepas menyerah diri pada 2.30 petang tadi.
Katanya, kedua-dua lelaki tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 9(1)(a) Akta Hasutan dan polis akan menyiasat tindakan susulan sewajarnya yang akan dikenakan berdasarkan hasil siasatan. - BERNAMA

Cedera ditetak



MUAR 6 Sept. - Seorang peniaga cedera parah di pergelangan tangan kanan setelah ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dipercayai ah long kerana gagal melunaskan hutang RM2,000 yang dipinjamnya setahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam itu, mangsa yang memandu kereta bersendirian dari pusat bandar dipintas di Jalan Sungai Abong berhampiran pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh kereta suspek.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek lelaki yang berusia 34 tahun itu menghampiri kenderaan mangsa sambil menunjukkan parang ke arahnya.
"Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek melarikan diri sejauh 30 meter, tetapi dihalang oleh suspek sebelum tangannya ditetak.
"Secara kebetulan, ada anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut lalu menahan suspek kira-kira 15 minit kemudian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini hari ini.
Mohamad Nasir berkata, suspek ditahan bersama sebilah parang yang digunakan ketika kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini untuk rawatan.
Menurutnya, suspek ditahan reman seminggu hingga 12 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, kata beliau, polis menahan empat lelaki berumur 15 hingga 21 tahun, pukul 5.35 petang Isnin lalu kerana terlibat dalam satu kes pecah sekolah di Parit Yusof, Sungai Balang dekat sini pada Mei 2011.
Dalam serbuan di rumah suspek di Batu Pahat, polis merampas komputer riba dan sebuah motosikal yang dicuri dari sekolah tersebut.
"Mereka ditahan terdiri daripada dua remaja yang tidak lagi bersekolah berusia 15 dan 17 tahun, manakala seorang lagi rakannya berumur 21 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan," katanya.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A (i) Kanun Keseksaan.

Polis tumpas sindiket 'Black Money' aktif di Cheras



Izany Abdul Ghany (tengah) menunjukkan mata wang dolar Amerika palsu dan cecair kimia yang dirampas daripada sindiket 'Black Money' pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Amir Syafiq
KUALA LUMPUR 5 Sept. - Polis menumpaskan satu sindiket 'Black Money' yang bergiat aktif di Cheras sejak enam bulan lalu dengan tertangkapnya empat lelaki warga Nigeria selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Brickfields di sini Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, suspek yang berumur 25 hingga 37 tahun tersebut ditahan hasil serbuan berasingan di tiga unit kediaman itu yang dipercayai menjadi lokasi mereka beroperasi, pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, dengan penahanan itu polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes penipuan di sekitar Cheras membabitkan kerugian lebih RM500,000.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan elektronik seperti lima buah komputer riba, 14 buah telefon bimbit, sebuah kamera digital dan satu jalur lebar bersama 32 bungkusan besar mata wang 'Black Money' dalam dolar Amerika Syarikat.
"Polis juga merampas dua botol cecair kimia, disyaki digunakan untuk mencuci wang 'Black Money' selain 80 kotak minyak pelincir kenderaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.
Menurut Izany, modus operandi sindiket itu adalah dengan memperdaya mangsa di laman sosial agar membeli mata wang tersebut dalam kuantiti yang banyak sebelum mengatur pertemuan bagi membuat demonstrasi mencuci wang palsu tersebut.
"Setelah mangsa berjaya dipengaruhi, sindiket terbabit akan memujuknya supaya membeli cecair khas itu yang dijual secara berasingan berserta wang tersebut," katanya lagi.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman empat hari.

Polis yakin 'Geng Kelisa' lumpuh



BATU PAHAT 6 Sept. - Polis yakin dapat melumpuhkan kumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Geng Kelisa' yang aktif mencuri ikan kelisa di kolam ternakan di empat daerah di negeri ini dan Pahang dengan tertangkapnya tiga ahlinya baru-baru ini.
Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai mencuri ikan itu di daerah ini, Kluang, Kota Tinggi dan Bentong, Pahang.
Dalam satu kejadian pukul 10.30 malam di Kampung Bindu, Tongkang Pechah di sini pada 11 Julai lalu, sebanyak 23 ekor ikan itu yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM320,000 dilarikan enam suspek bersenjatakan pemotong besi.
Dalam insiden itu, suspek mengugut memukul penjaga kolam tersebut yang merupakan pasangan suami isteri dengan pemotong besi sebelum mengikat tangan mereka.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, selepas menggeledah bilik pasangan itu dan mengambil dompet mangsa, tiga suspek keluar daripada bilik dan mengambil 23 ekor ikan kelisa di dalam kolam sebelum beredar.
"Mangsa yang ketakutan, mendiamkan diri bagi memastikan keselamatan mereka terjamin dan hanya keluar pada pukul 2.15 pagi setelah yakin kesemua suspek tiada.
"Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada pemilik kolam yang tidur di bahagian depan yang tidak menyedari berlaku kejadian tersebut," katanya.
Din berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan 12 individu di sebuah rumah di Peserai di sini awal bulan ini dan merampas semula 23 ekor ikan kelisa yang dicuri.
"Hasil sesi pengecaman yang dilakukan, mangsa dapat mengecam tiga suspek daripada 12 individu yang ditahan itu.
"Siasatan terperinci mendapati tiga suspek terbabit mengaku menyamun di kolam terbabit bersama tiga lagi rakan mereka yang masih bebas dan dikenali sebagai Kakas, Pendek dan Panjang," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
habis

Kabin krew mogok, Lufthansa batal 1,200 penerbanga​n




7 September 2012
Kabin krew mogok, Lufthansa batal 1,200 penerbanga​n
Pesawat milik syarikat penerbangan Lufthansa
BERLIN - Krew kabin Lufthansa memulakan mogok 24 jam di enam lapangan terbang di Jerman menyebabkan syarikat penerbangan itu membatalkan 1,200 penerbangan hari ini.

Jumlah itu merupakan dua pertiga daripada 1,800 penerbangan dijadualkan hari ini.

Pembatalan itu dijangka berlarutan sehingga akhir minggu ini.

Menjelang mogok hari ini, syarikat itu telah pun membatalkan 50 penerbangan semalam.

Anggota krew mengadakan mogok ekoran pertikaian berkaitan dengan gaji dan syarat-syarat perkhidmatan.

"Ada usaha untuk berhubung (ke arah penyelesaian) tetapi tidak ada perundingan," kata kesatuan krew kabin, Pertubuhan Pengiring Penerbangan (UFO).

UFO mahu mengadakan mogok di lapangan terbang di Frankfurt, Berlin, Hamburg, Munich, Duesseldorf dan Stuttgart, lapor AFP.

Dipenjara miliki wang palsu Rupee India



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2012
IPOH - Seorang warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 253 keping wang kertas rupee India palsu.

Zulfiqar Ali, 46, dari Lahore, Pakistan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Punjabi di hadapan Majistret Rabiatul Adawiyyah Che Khalid dalam prosiding yang dijalankan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, Zulfiqar didakwa memiliki 253 keping wang kertas rupee India, setiap satu dengan denominasi 1,000 yang disahkan palsu,

Kejadian berlaku berhampiran kedai serbaneka 7-Eleven Jalan Datuk Onn Jaafar, Pekan Baru, di sini, pada jam 5 petang, 23 Ogos lalu.

Dalam pertuduhan itu turut menyatakan tertuduh berniat untuk menggunakannya dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun jika sabit kesalahan.

Zulfiqar yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan.

Tertuduh menyatakan tidak tahu wang yang dibawanya adalah palsu sehinggalah pada hari dia ditangkap polis.

Selain itu, dia yang mempunyai tiga anak kecil serta isteri yang tidak bekerja di Pakistan memohon agar diberi peluang untuk membayar denda kerana dia adalah penyumbang utama keluarga.

Selepas mendengar permohonan itu, Rabiatul Adawiyyah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dari tarikh tangkap.

Sementara itu, rakannya, Hassan Zarrad, 32, yang berasal dari Beirut, Lubnan pula menghadapi dua pertuduhan iaitu memiliki wang palsu dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Jurubahasa mahkamah membacakan kedua-dua pertuduhan itu di dalam Bahasa Inggeris.

Namun tertuduh menggeleng kepala tidak faham akan pertuduhan yang dibacakan. Tertuduh memohon supaya jurubahasa Arab tampil untuk menterjemahkan pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Hassan didakwa memiliki 149 keping wang kertas rupee India, setiap satu dengan denominasi 1,000 yang disahkan palsu di CIMB Bank, Jalan Sultan Idris Shah, di sini, pada jam 5 petang, 23 Ogos lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua dia didakwa tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan dia warga asing.

Rabiatul Adawiyyah menetapkan 5 Oktober ini sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa Arab untuk memudahkan perjalanan kes.

Pendakwaan untuk kedua- dua tertuduh dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim.

Pengedar tunggu pelanggan diberkas dalam kebun kelapa sawit



SITI SAFA MOHD NOR
7 September 2012
PERAK TENGAH - Seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah sedang asyik menunggu pelanggan berjaya diberkas sekumpulan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dalam satu serbuan pada 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, serbuan itu dibuat di sebuah pondok di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kerang, Mukim Kota Setia.

Menurutnya, pondok berkenaan dipercayai digunakan sebagai tempat suspek menjual dan membungkus dadah untuk dijual kepada penagih kawasan sekitar Mukim Kota Setia.

“Semasa serbuan yang dibuat pada jam 4.20 petang itu suspek yang dipercayai pengedar dadah sedang menunggu pelanggan datang untuk membeli dadah daripadanya.

“Hasil siasatan kita telah menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kecil disyaki dadah jenis heroin dengan berat 60 gram, enam paket plastik mempunyai ketulan dadah yang dipercayai jenis heroin dengan berat 64 gram dan juga sembilan paket plastik kecil lut sinar yang mengandungi hablur Kristal disyaki syabu dengan berat 17 gram,” katanya dalam satu sidang media di sini semalam.

Mohamad Fakri berkata, dadah seberat 141 gram itu bernilai RM5,000 dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Daripada soal siasat yang kita jalankan, suspek mendapatkan bekalan dadah itu daripada Ipoh dan Bidor.

“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori,” katanya.

Katanya, suspek yang berusia 30 tahun itu adalah seorang penagih dan mempunyai rekod tangkapan sebagai penagih.

2 pengurus Felda maut kenderaan tembung jip Jabatan Perhutanan



WAN JUHAIDA WAN HASSAN
7 September 2012
2 pengurus Felda maut kenderaan tembung jip Jabatan Perhutanan
2 pengurus Felda maut kenderaan tembung jip Jabatan Perhutanan
RAUB – Dua pengurus Felda Gugusan Tersang meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan jip Jabatan Perhutanan di Kilometer 327 Jalan Raub-Tersang kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang setelah menghadiri majlis sempena meraikan bakal haji di samping sambutan Aidilfitri dekat Felda Lurah Bilut.

Pengurus Felda Tersang Dua, Abdul Rahim Mat Jabri, 50-an, mengalami kecederaan parah, tetapi sempat dibawa ke Klinik Kesihatan Tersang terlebih dahulu sebelum meninggal dunia di sana, sementara Pengurus Felda Tersang Tiga, Abd Jalil Jamaluddin, 40-an, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman  berkata, kenderaan dipandu Abdul Jalil bersama Abdul Rahim bertembung dengan jip dinaiki empat kakitangan Jabatan Perhutanan yang dalam perjalanan dari arah Tersang.

Menurutnya, pertembungan  dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa terbabas ke laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dong, Datuk Shahiruddin Ab Moin yang tiba di pekarangan Rumah Mayat Hospital Raub ketika ditemui berkata, baru sahaja beberapa hari lalu beliau menemui mangsa dalam majlis keraian.
Katanya, berita kematian diterimanya itu amat mengejutkan dan tidak diduga, tetapi beliau pasrah dengan ketentuan ALLAH.

“Saya dimaklumkan Abd Rahim akan menunaikan ibadah haji pada pertengahan bulan ini, tetapi hasratnya tidak kesampaian.

“Kedua-dua mangsa juga difahamkan baru pulang daripada majlis sempena meraikan bakal haji di samping Sambutan Aidilfitri dekat Felda Lurah Bilut,” katanya.

Beliau berharap keluarga kedua-dua mangsa tabah menghadapi dugaan itu dan dapat menempuhi hari mendatang dengan sabar.

Jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Johor sebaik sahaja selesai bedah siasat.
Sementara itu, Penyelia Felda Tersang Dua, Mohd Izmi Deraman berkata, Abd Rahim seorang ketua berdedikasi dan komited terhadap sebarang tanggungjawab dipikulnya.

Menurutnya, setiap program yang memerlukan kehadiran dan perhatiannya pasti akan cuba dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kami benar-benar kehilangan. Setiap ilmu serta pengalaman ketika bersamanya akan menjadi bekalan meneruskan amanah.

“Diharapkan roh kedua-dua ketua berdedikasi ini mendapat rahmat ALLAH dan bersama golongan mukmin,” katanya.
Mohd Izmi berkata, lazimnya Abd Rahim akan memintanya memeriksa jadual aktiviti setiap hari dan memaklumkan semula untuk tindakan lanjut.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan ketuanya itu untuk memaklumkan program yang perlu dihadiri dekat Lurah Bilut.

“Saya ada memeriksa jadual dan mengesahkan terdapat program pada hari ini (semalam), lalu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memaklumkannya.

“Selalunya dia akan balas SMS saya walaupun pada sebelah malam, tetapi tidak pada malam tadi (kelmarin). Dia hanya senyap sehingga saya mendapat tahu mengenai kemalangan menimpanya,” katanya.

Sinar Harian yang tiba di pekarangan rumah mayat Hospital Raub mendapati ramai tetamu terdiri daripada pemimpin setempat menziarahi jenazah termasuk Pegawai Daerah, Datuk Ismail Mohd Ali; Pengarah Hospital Raub, Dr Kamariah Ghazali dan Adun Batu Talam.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Jahya Janal; Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Amir Hamdan Yusof dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian, Jariah Hashim.

Empat perompak berpakaian serba hitam mati ditembak




7 September 2012
IPOH - Sekumpulan empat perompak berpakaian serba hitam dipercayai warganegara asing ditembak mati oleh sepasukan polis dalam satu kejadian di Taman Meru 2C, di sini awal hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kumpulan itu dipercayai melakukan 15 kes rompakan di Ipoh dan daerah lain antaranya Kuala Kangar, Sungai Siput dan Taiping dengan memecah masuk rumah dengan mengumpil pintu jeriji besi atau tingkap ketika penghuni nyenyak tidur di awal pagi, kemudian mengikat atau mengurung mangsa sebelum melarikan diri.
"Pada 30 Ogos lepas, terdapat satu kejadian samun di kawasan perumahan Puncak Meru di sini yang melibatkan kerugian RM9,000 dan semalam satu lagi kes serupa berlaku di sebuah rumah syarikat, di kawasan perumahan Meru Valley Golf di sini yang melibatkan seorang pelatih dan sepasang suami isteri yang merupakan perunding perniagaan yang kesemua dari Jepun serta mengalami kerugian RM200,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata polis meningkatkan rondaan di awal pagi dan berdasarkan maklumat orang awam, pada 2 pagi tadi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Perak, mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback dengan nombor pendaftaran palsu WJD 473 dinaiki empat orang lelaki yang mencurigakan di kawasan Meru, Jelapang.
Apabila diarahkan berhenti, pemandu berkenaan memecut ke arah Taman Meru 2C dengan dua buah kereta polis mengejar kumpulan itu antara 20 dan 30 minit, katanya.
Bagaimanapun, katanya, kereta berkenaan terbabas ke sebuah lorong kecil di pinggir taman perumahan itu dan semasa pasukan polis menghampiri kenderaan terbabit, tiba-tiba pemandu dan penumpang di bahagian hadapan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
Tembakan daripada penjenayah itu mengenai bahagian hadapan dan pintu kiri kenderaan polis dan pada masa yang sama, penumpang di bahagian belakang kereta itu juga keluar sambil memegang parang, katanya.
Mohd Shukri berkata polis membalas tembakan kumpulan itu bagi mempertahan diri dan dalam insiden itu keempat-empat lelaki terbabit mati ditembak.
Hasil pemeriksaan, polis mendapati kesemua penjenayah terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dianggarkan berumur antara 20 dan 30-an, katanya.
Beliau berkata polis menjumpai sepucuk revolver mengandungi empat kelongsong dan satu peluru hidup, sepucuk pistol tiada jenama bersama satu kelopak, tiga bilah parang, satu batang kuku kambing, satu pemotong, satu pemotong zink, tiga unit komputer riba, tiga unit kamera digital serta lima telefon bimbit.
Katanya polis juga menjumpai dua jam tangan, wang tunai berjumlah 569,000 Yen Jepun, wang tunai berjumlah 78,000 Rupiah Indonesia, wang tunai berjumlah RM285, dua loket jed dan dua buah gajet Em Word jenama Casio.
"Polis percaya kesemua barang yang dirampas adalah barang-barang yang telah disamun daripada rumah mangsa di kawasan Meru dan Jelapang.

Polis juga sedang menyiasat identiti sebenar kesemua penjenayah dan penglibatan mereka dalam kes-kes samun yang telah berlaku sebelum ini," katanya.
Sementara itu, perunding perniagaan Shimizu Akira, 33, yang tiba di sini tujuh hari lepas bersama-sama isterinya Manami Shimizu, berkata beliau gembira polis hampir menyelesaikan kes yang menimpanya. 
"Ini bukti polis negara ini cekap di mana mereka turut menjumpai barang kami yang hilang," katanya dengan bantuan penterjemah.
Pelatih, Oya Shintaro, 20, dari Tokyo Institute of Technology berkata beliau tiba di sini pada 17 Ogos lepas bagi tujuan menjalani latihan amali selama tiga bulan di sebuah kilang di sini.
"Saya sangat menghargai usaha pihak polis di sini yang mengambil tindakan segera berhubung kes-kes seperti itu," katanya.- Bernama

Buruh dipercayai dera anak angkat teman wanita sehingga mati diburu polis




7 September 2012
MELAKA - Seorang lelaki dipercayai mendera anak angkat teman wanitanya berumur enam tahun sehingga mati di Taman Telok Emas di sini.
Mangsa, Noor Sofia Syaqira disahkan meninggal dunia oleh doktor di Unit Kecemasan Hospital Melaka sebaik dihantar ke unit tersebut oleh ibu bapa lelaki terbabit untuk mendapatkan rawatan pada 7.55 pagi Ahad lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Supt P.R. Gunarajan berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa yang dijaga sejak berusia dua bulan oleh wanita tersebut mempunyai banyak kesan dera lama dan baru termasuk lebam di seluruh anggota badan.
Beliau berkata hasil bedah siasat kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan perut akibat dipukul dan ditumbuk.
Justeru katanya polis kini giat mengesan teman lelaki ibu angkat kanak-kanak terbabit, yang berusia 32 tahun, seorang buruh yang mempunyai alamat terakhir di Jalan Kampung Bandar Dalam, Gombak bagi membantu siasatan.
Gunarajan berkata lelaki terbabit juga dipercayai turut mendera anak perempuan teman wanitanya yang berusia 5 tahun.
Beliau berkata ibu mangsa yang merupakan seorang suri rumah dan tinggal bersama lelaki terbabit sejak berpindah ke Melaka pada April lepas kini ditahan reman bagi membantu siasatan sehingga 11 Sept depan.
Katanya siasatan awal mendapati suspek dibebaskan dari penjara Simpang Renggam pada 2008 dan mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk empat kes dikehendaki polis melibatkan dadah dan samun di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan lelaki terbabit dengan menghubungi talian 019-6905585 (ASP R. Kumares) atau balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.- Bernama

Buruh dituduh edar pil kuda



7 September 2012
KOTA BHARU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar pil kuda atau dadah jenis metamphetamine di sebuah rumah di Binjai Banggu, Ogos lalu.

Mohammad Hafiz Zakaria@ Mustapha, 26, dituduh mengedar 59.4 gram dadah berkenaan di rumahnya di Jalan Bukit Marak, Kampung Binjai Banggu di sini, 5.30 pagi, 28 Ogos.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, tidak pengakuan direkodkan.

Dalam pada itu, tertuduh juga didakwa memiliki 8 gram dadah jenis sama pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi tuduhan kedua itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya ADB 1952.

Kedua-dua tuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor.

Kes tersebut bersambung pada 21 Oktober depan.

Mekanik dituduh rogol gadis



7 September 2012
KOTA BHARU – Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang gadis yang juga kenalannya di sebuah hotel di Tok Bali, Pasir Puteh, Julai lalu.

Tuduhan terhadap Muhamad Syazwan Mat Yaccub, 23, dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 19 tahun 11 bulan di bilik hotel berkenaan pada jam 5.30 petang, 20 Julai.

Susulan tuduhan itu, pemuda yang berasal dari Kampung Bayam di sini itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Peguam bela, Ahmad Nuri Abd Rahman memohon jaminan dibenarkan, tetapi dibantahi Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari.

Bagaimanapun, Hakim Azman Mustapha membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh juga dikenakan syarat iaitu tidak boleh berkomunikasi dengan mangsa. Jika gagal dipatuhi, maka jaminan akan ditarik balik,” katanya.

Kes bersambung 1 November depan.

Korban nyawa demi adik ipar



ROHANA ISMAIL
7 September 2012
Korban nyawa demi adik ipar
Ismail (dua, kanan) yang dalam keletihan dipapah penduduk kampung untuk dibawa ke Hospital Tumpat bagi menerima rawatan, semalam.
KELANTAN – Seorang nelayan warga Thailand dikhuatiri lemas apabila bot enjin galah yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak besar berhampiran Kuala Tujuh, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira–kira jam 3 pagi, mangsa Che Seman Che Hassan, 54, menaiki bot tersebut bersama adik iparnya, Ismail Awang Seman, 54, untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.

Ismail selamat tetapi bertarung dengan maut selama dua jam terapung di tengah laut sebelum berjaya menyelamatkan diri berenang ke pantai sejauh hampir 300 meter selepas berpaut pada pelampung di sebatang kayu alat menangkap ikan.

Ismail berkata, dia bersyukur selamat daripada malapetaka itu walau pun ombak setinggi satu meter memukul botnya menyebabkan botnya terbalik dan karam.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan abang ipar saya, dia tidak pandai berenang.

“Masa terapung bersamanya, abang ipar saya sempat memegang kolar baju saya tetapi saya terpaksa menyuruhnya lepaskan kolar tersebut.

“Kalau abang terus pegang kolar baju saya, kita akan lemas bersama, saya sudah tiada tenaga untuk berenang mengapungkan diri di tengah laut ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Tujuh.

Ismail berkata, abang iparnya akur dan melepaskan pegangannya itu dan dia terus hilang dari pandangan.

“Sebelum dia tenggelam, dia sempat beritahu saya, aku mati dulu pada mu….

“Beberapa minit selepas itu, tiba-tiba ada kayu hanyut di pangkalnya ada pelampung (alat menangkap ikan) lalu di hadapan saya.

“Saya yang dalam keletihan berpaut pada pelampung itu dan cuba berenang sekuat hati ke pantai.

“Masa saya terdampar di pantai dalam samar-samar waktu subuh saya ternampak kelibat manusia lalu saya meminta tolong daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, nasib baik di pantai ini (Kuala Tujuh) ada penduduk kampung dan meminta pertolongan mereka membuat unggun api kerana badannya kebas kesejukan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Ahmed Mazdan Jusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.47 pagi dan bantuan terdiri daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai tujuh anggota PPDA dan empat anggota operasi bomba ke lokasi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas selepas botnya terbalik,” katanya.

Menurutnya, mangsa turun ke laut tidak bersendirian kerana ada dua bot lagi turun bersamanya dan setiap bot ada dua nelayan.

“Hanya bot mangsa selepas melepasi Kuala Tujuh terbalik, manakala dua lagi tidak apa-apa,” katanya.

Sehingga jam 5 petang semalam, operasi mencari Che Seman diteruskan bersama Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Murid tahun 3 lemas ketika mandi di tasik



7 September 2012
PASIR MAS - “Umi, esok (hari ni) sekolah adik cuti,” itu antara kata-kata terakhir kanak-kanak mati lemas di sebuah tasik, tidak jauh dari kediamannya di Gual To’ Deh, di sini, semalam.

Biarpun merasa pelik dengan kata-kata mangsa, Rabiatul Adawiyah Kamaruzaman, 9, murid Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Norizan Hamzah, 41, hanya memendamkannya dan tidak mengesyaki perkara buruk akan menimpa anaknya.

Ibu kepada lapan anak ini tidak menyangka dalam tempoh tiga tahun dia kehilangan tiga ahli keluarga.

Bagaimanapun, dia pasrah dengan ketentuan Ilahi dan sedar tuhan lebih menyayangi suami dan anak-anaknya.

Norizan berkata, berita kematian Rabiatul Adawiyah begitu berat diterimanya kerana sekali lagi diuji tuhan kehilangan orang tersayang.

Menurutnya, 26 Jun 2009 suami meninggal kerana pendarahan dalam otak, diikuti anak lelakinya pada 1 Ogos 2010 akibat masalah pada paru-parunya sejak kecil lagi.

“Saya reda kerana tuhan lebih sayangkan mereka, tetapi tidak menyangka cuti yang dimaksudkan rupa-rupanya dia tidak mahu ke sekolah.” katanya kepada Sinar Harian.

Norizan berkata, semalam dia ke Jeli kerana ada urusan di sana, selepas itu merancang ke Kota Bharu, bagaimanapun dia tidak sempat ke sana kerana dimaklumkan berita kematian anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Menurutnya, setelah diberitahu anaknya, Khaliman, 11, adiknya lemas barulah dia terkenang semula kata-kata itu.

“Sebelum ini arwah pernah mengikut abangnya mengail di tasik itu, dan kerap bercerita airnya cetek.

“Saya juga kerap berpesan supaya mereka berhati-hati jika ke tasik itu,” katanya.

Norizan berkata, anaknya ke tempat kejadian bersama abangnya Khaliman, 11, Firdaus, 13, dan adik bongsunya berusia lima tahun yang juga lelaki.

Menurutnya, dia dimaklumkan penduduk semalam air ditandak untuk menanam padi berbanding biasa agak cetek dan tidak terlalu risau anaknya ke sana.

“Sekarang hanya tinggal enam anak bersama saya tiga lelaki dan tiga perempuan,” katanya sedih mengenangkan kehilangan anak perempuannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian.

Penganggur dipenjara 2 tahun



7 September 2012
KOTA BHARU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin selepas mengaku bersalah memecah masuk ke sebuah rumah, Mac lalu.

Mohd Afzanizam Salleh@Junus mengaku memecah masuk ke rumah Jahari Abdullah, 56, dan mengambil beg tangan, gelang dan rantai perak bernilai RM200.

Kejadian di sebuah rumah di Kubang Kerian di sini, pada jam 10 pagi, 6 Mac.

Hukuman ke atas tertuduh diputuskan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pada hari kejadian, pemilik rumah berkenaan hanya menyedari rumah mereka dimasuki pencuri selepas mendapati beberapa barangan berharga miliknya lesap.

Nyaris ditetak perompak



7 September 2012

Mohd Fadhli menunjukkan kesan umpil pintu belakang di bahagian dapur rumahnya, dipercayai digunakan perompak untuk memasuki kediamannya , awal pagi semalam.
TERENGGANU - “Saya bingkas bangun lalu mengunci pintu bilik kerana mengesyaki sesuatu sebaik terjaga daripada tidur apabila terdengar emak menjerit.

“Kemudian, saya memanjat dinding bilik dari dalam untuk melihat keadaan dan ternampak seorang lelaki menaiki tangga.”

Demikian cerita pengusaha keropok Mohd Fadhli Salleh, 26 mengenai kejadian mencemaskan yang berlaku di rumahnya awal pagi semalam.

Kata Mohd Fadhli, ketika itu juga, lelaki bertopeng menuju ke arahnya dan cuba menetaknya menggunakan sebilah parang.

Dia bagaimanapun bernasib baik kerana tetakan itu tidak mengena kerana dinding biliknya agak tinggi.

“Tidak berapa lama kemudian, lelaki tersebut turun ke tingkat bawah,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.30 itu, pengusaha keropok, Asmah@Hindun Mohd, 64, mengalami kerugian kira-kira RM15,000 termasuk wang tunai, barang kemas dan tiga telefon bimbit, setelah rumahnya dimasuki empat perompak bersenjatakan parang.

Mohd Fahdli berkata, sebelum kejadian dia, isteri, Nor Azlina Yusof, 23, dan anak mereka, Aisyah Anani, berusia tiga bulan, sedang tidur di tingkat atas, manakala ibu dan ayahnya, Salleh Abdullah, 76, seorang pemandu teksi, berada dalam sebuah bilik di tingkat bawah.

“Bimbang keselamatan diri, isteri dan anak, saya ambil keputusan mengunci pintu bilik sebelum memanjat dinding untuk meninjau keadaan.

“Gerak hati saya mengandaikan sesuatu yang buruk terjadi kerana terdengar emak menjerit kerana ketika itu seorang lelaki menaiki tangga.

“Selepas sekali percubaannya menetak saya gagal sambil mengarahkan saya membuka kunci pintu gagal, lelaki tersebut bergegas turun ke tingkat bawah,” katanya.

Setelah dirasakan keadaan agak selamat, Mohd Fadhli nekad turun dan melihat ibunya berada dalam ketakutan di ruang tamu.

Kata Mohd Fadhli, ketika kejadian ayahnya berada di luar rumah dan dia bergegas mendapatkan ayahnya itu dan menceritakan kejadian yang berlaku.

“Saya memberitahu ayah arah empat perompak yang bercakap dalam loghat Indonesia itu melarikan diri. Ketika itulah, baru saya tahu cerita sebenar kejadian rompakan ini dan syukurlah kerana ibu bapa saya selamat dan tidak diapa-apakan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, berlaku sedikit pergelutan antara ibunya dan salah seorang perompak ketika cuba merentap rantai leher hingga menyebabkan barang kemas tersebut terputus dua.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dua rakan didenda RM3,000



7 September 2012
AYER KEROH – Dua rakan didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah mencuri hampir lima ribu kilogram minyak milik Petronas Sdn Bhd, tahun lalu.

Hukuman itu diperintahkan Majistret Syajaratudur Abd Rahman terhadap Cheoh Boon Liong, 45, dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan Khasrool Arsad, 27, dari Batang Tiga.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama mencuri 4,710 kilogram minyak milik Petronas Sdn Bhd bernilai RM14,400 tanpa kebenaran.

Mereka melakukan kesalahan itu di Lube Blending Plant, Loji Penapisan Petronas, Sungai Udang kira-kira jam 10 pagi pada 3 Ogos 2011.

Bagi kesalahan itu, Boon Liong dan Khasrool didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Hazri Hanafi dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan minyak itu masih belum dikeluarkan dari lokasi dan dipulangkan kepada Petronas serta tiada kerugian dicatatkan.

“Tertuduh pertama (Boon Liong) sukar mendapatkan pekerjaan selepas kejadian, manakala tertuduh kedua (Khasrool) baru berkahwin dan isteri hamil enam bulan serta baru bekerja di sebuah syarikat swasta,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Rosli Rasi meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Bayi perempuan sehari ditemui di tepi kedai keropok




7 September 2012
KUANTAN - Seorang bayi perempuan yang sihat dipercayai berusia sehari ditemui di tepi sebuah kedai menjual keropok di Chendor, Cherating, dekat sini pagi ini.
 
Bayi seberat 2.2 kilogram itu ditemui orang awam pada 7.30 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak polis, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff.
 
"Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan sihat dan dipercayai baharu sehari dilahirkan berdasarkan terdapat kesan darah pada tali pusatnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Katanya bayi berkenaan dihantar ke Hospital Kemaman, Terengganu dan pihak hospital memaklumkan tidak terdapat sebarang tanda lebam atau cedera pada bayi itu.
 
"Pihak polis sedang mengesan pihak yang bertanggungjawab, bayi itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Kuantan," katanya.
 
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Tak sempat selamat kereta



7 September 2012
SEREMBAN – “Saya dan ahli keluarga cuba membantu memadam kebakaran dan menyelamatkan kereta di garaj tapi api terlalu marak,” kata Nor Syazwani Zainuddin, 25.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 1.55 pagi semalam, sebuah rumah di Bukit Jong, Temiang dekat sini, musnah dalam kebakaran.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan rumah terbabit tidak berpenghuni.

Nor Syazwani berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarganya yang menetap di rumah bersebelahan nyenyak tidur, namun dikejutkan dengan jeritan kakak iparnya yang memaklumkan rumah abangnya terbakar.

“Kakak ipar saya ingatkan ada jiran kami yang bergaduh kerana bunyi cermin pecah tapi terkejut selepas melihat melalui tingkap, rumah abang saya terbakar.

“Saya bergegas bangun dan hanya terfikir mahu menyelamatkan kereta yang diletakkan di garaj rumah berkenaan malangnya api terlalu marak,” katanya.

Menurutnya, rumah abangnya itu sudah beberapa tahun tidak berpenghuni selepas abangnya berpindah ke Taman Sri Pulai, Sikamat.

Namun kata Nor Syazwani, ia tidak disewakan dan disebabkan rumah mereka bersebelahan, dia akan meletakkan kenderaannya di situ.

“Kejadian ini amat mengejutkan dan saya sedih kerana kereta Proton Saga yang dibeli dua tahun lalu rosak teruk akibat kebakaran ini,” katanya.

Sementara itu jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.55 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebuah jentera berserta lima pegawai dan anggota penyelamat dikerah memadam kebakaran.

“Rumah terbabit adalah rumah kosong tetapi ada sebuah kereta diletakkan di garaj.

“Hampir keseluruhan rumah berkenaan musnah dan bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran,” katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, sementara punca kebakaran dan kos kerugian masih lagi disiasat.

Rumah lama keluarga berusia 55 tahun terbakar bersama kenangan



7 September 2012
KUANTAN - “Walaupun tidak lagi tinggal di rumah ini, tetapi kebakaran yang berlaku itu telah meragut segala kenangan kami sekeluarga di sini. Tiada yang dapat dikenang lagi mengenai kehidupan kami dahulu kerana semuanya hangus terbakar,” kata Normala Mohamad, 26.

Rumah yang terbakar 27 Ogos lalu menyebabkan abangnya Mohd Zaki Abdullah, 32 hilang tempat tinggal.

Menurutnya, rumah tersebut berusia 55 tahun di mana ayahnya, Abdullah Mohamed, 72, yang merupakan seorang OKU membesarkan mereka adik beradik dengan hasil membuat rotan dan turut mempunyai bengkel membuat rotan berhadapan dengan rumah yang terbakar ini.

“Segala suka duka berlaku di sini dan banyak kenangan yang boleh dikenang setiap kali terpandangkan rumah ini.

Saya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri di Kuala Pahang dan turut membawa ayah tinggal bersama kami di sana untuk menjaganya yang sudah uzur.

“Ayah juga sedih apabila menerima berita yang rumah ini terbakar. Walaupun dia tidak boleh nampak, tetapi hatinya juga dapat rasakan tiada kenangan lagi yang boleh dikenang.

“Kami akan datang ke sini melihat rumah lama ini memandangkan abang saya tinggal di sini, bagaimanapun sudah tiada tempat untuk pulang lagi,” katanya.

Normala berkata, abangnya yang bekerja kampung juga sudah tidak mempunyai tempat tinggal dan mengharap bantuan rakan-rakan untuk tumpang berteduh.

Menurutnya, ketika kejadian tiada siapa di rumah tersebut dan kebakaran hanya disedari oleh jiran namun tidak boleh berbuat apa-apa dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang lama yang masih tinggal di dalamnya.

“Memang tiada barang yang berharga pun di dalam rumah ini.Tetapi bagi saya apa yang ada di sini adalah harta yang tidak ternilai yang mengingatkan kami pada zaman kecil- kecil dahulu.

“Kami bukan orang yang senang dan setiap kali dapat sesuatu barangan akan disimpan dengan baik dan semua itu sudah terbakar menyebabkan saya sedih,” katanya yang terkenangkan akan perhiasan rumah yang lama disimpan dalam rumah ini.

Sementara itu, nasib keluarga ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar, Mohd Shohaimi Jusoh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sumbangan yang diserahkan hari ini walaupun tidak seberapa diharap dapat membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Manan juga berharap agar penduduk mengamalkan sikap berhati-hati setiap kali ingin keluar dari rumah dan pastikan segala barang di dalamnya selamat yang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini seperti ini berlaku.

Lima diberkas berjudi di kandang lembu




7 September 2012
TEMERLOH - Polis memberkas lima daripada 10 lelaki yang sedang berjudi di sebuah kandang lembu di Felda Lakum, dekat Lanchang di sini, dalam satu serbuan semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, sepuluh lelaki yang sedang berjudi melarikan diri selepas diserbu sepasukan polis diketuai Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Temerloh ASP Saharudin Abdul Wahab.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, sebelum serbuan, polis membuat intipan dan mengepung kandang lembu berkenaan.

"Semua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

Lima berjaya melepaskan diri, manakala lima lagi yang berusia 40 hingga 50 tahun berjaya diberkas," katanya di sini, hari ini.

Katanya, polis turut merampas peralatan perjudian serta wang tunai sejumlah RM2,000.

Zundin berkata polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 4 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menganjurkan aktiviti perjudian haram di sini," katanya.- Bernama

Enam ditahan selepas kebakaran kilang mercun ragut 40 nyawa




         
SIVAKASI (India): Polis di selatan negara ini berkata, mereka menahan enam pekerja kilang mercun ekoran kebakaran besar yang membunuh 40 pekerja dan mencederakan 60 yang lain.

Penahanan atas dakwaan pembunuhan akibat kecuaian itu dibuat ketika saudara-mara mangsa membakar mayat yang rentung. Polis memburu pemilik kilang itu yang melarikan diri ke bandar Sivakasi selepas kejadian kebakaran kelmarin meletupkan sejumlah besar mercun dan bahan mentah yang disimpan di situ. Polis berkata, kilang itu beroperasi secara haram selepas pihak berkuasa menggantung lesennya kerana mendapati ia melanggar ciri-ciri utama keselamatan. Bandar Sivakasi di negeri Tamil Nadu adalah hab pengeluaran mercun di India, di mana ia digunakan dalam festival keagamaan dan perkahwinan di seluruh negara itu. - AFP

Penganggur curi 900 buku




         
TOKYO: Polis Jepun menahan seorang lelaki yang dituduh mencuri hampir 900 buku daripada beberapa perpustakaan, kata jurucakap polis, semalam.

Penganggur, Mitsuka Suizu, 61, dilaporkan memberitahu polis: “Saya ingin menyimpan buku yang saya baca” selepas mereka menemui 896 buku di kediamannya di Ube, barat Jepun.


Jurucakap polis berkata, Suizu pada awalnya ditahan kerana mencuri 12 buku sepanjang tempoh enam bulan, tetapi pemeriksaan di rumahnya mendapati sejumlah besar buku disorokkan, di mana akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan semuanya bernilai dua juta yen (RM77,921). Di bawah kanun keseksaan Jepun, kesalahan mencuri dihukum hingga 10 tahun penjara atau denda hingga 500,000 yen (RM19,840). - AFP

‘Saya sesal pukul dia’



         
IPOH: “Saya pelik apabila dia mampu membeli pakaian mahal dan tiba-tiba mempunyai banyak wang. Saya syak dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk,” kata seorang pengurus pemasaran, Calven Chik Foo Keong, 26, yang terbabit dalam kes memukul isterinya, Amanda Fong, 19, sebelum kejadian itu menjadi topik hangat di laman sesawang YouTube.

Dia yang menjadi cemuhan puluhan ribu pengguna Internet sejak tiga hari lalu menyedari kesilapan dilakukan dan tidak mahu mencari sebarang alasan bagi menutupi kesalahannya itu.
Menurutnya, dia menyesal kerana memukul isterinya hingga cedera selepas berlaku pertengkaran mulut dengan wanita berkenaan.

“Saya tidak mahu bercerita panjang atau menyalahkan sesiapa, namun perkara ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk campur tangan ibu mertua saya,” katanya yang dipetik dari sebuah portal berita.


Calven berkata, dia juga mengesahkan isterinya itu pernah menghadapi tekanan perasaan sehingga dikatakan pernah menggugut untuk membunuh diri.

Dua peragut lembik dipukul


JOHOR BAHRU: Dua peragut dibelasah hingga lembik oleh sekumpulan individu sejurus ditahan dalam cubaan meloloskan diri selepas meragut rantai emas milik seorang wanita menyebabkan seorang daripadanya dirawat di hospital manakala rakannya ditahan polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian berhampiran jejantas di Pasar Borong Pandan di sini, jam 4.40 petang, Selasa lalu, mangsa dikatakan ditolak seorang daripada suspek sebelum rantai emasnya diragut.


Mangsa menjerit meminta tolong dan orang ramai segera membantu.

Kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan sebelum dibelasah hingga lembik oleh beberapa individu yang berang dengan tindakan suspek sebelum diserahkan kepada polis.


Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Abdul Samad Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.


“Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dihubungi orang awam yang berjaya memberkas kedua-dua suspek.

“Ketika tiba di situ, kedua-dua suspek dalam keadaan tidak bermaya manakala tangan mereka diikat oleh orang awam,” katanya, semalam.


Menurut Samad, kedua-dua suspek dihantar ke hospital dan seorang daripada mereka masih menerima rawatan di wad manakala rakannya dirawat sebagai pesakit luar.

Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek berjaya menemui semula rantai emas didakwa diragut daripada mangsa.


Samad berkata, pihaknya memuji tindakan orang ramai bekerjasama untuk memberkas kedua-dua suspek, sekali gus menunjukkan sikap prihatin masyarakat dalam membantu pihaknya membanteras jenayah jalanan.


“Bagaimanapun, orang ramai dinasihati supaya tidak bertindak melulu dengan memukul suspek sesuka hati kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan yang kami akan jalankan.


“Terima kasih kepada individu yang membantu menahan suspek, tetapi saya harap, pada masa depan, jangan belasah suspek sebaliknya tahan mereka dan tunggu hingga kami tiba,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Atuk Zali diberkas lepas cabul budak tiga tahun




         
SEGAMAT: Aduan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mengalami kesakitan di bahagian kemaluan ketika membuang air besar mendedahkan rahsia dia dicabul oleh seorang lelaki pada Ogos lalu.

Mangsa sebelum itu dihantar ibunya yang berusia 31 tahun untuk dijaga lelaki terbabit selama seminggu kerana wanita berkenaan mahu menguruskan beberapa perkara.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanafi Daud berkata, pada jam 10 malam, 31 Ogos lalu, mangsa mengadu sakit di bahagian terbabit kepada ibunya.

“Mangsa yang petah bercakap kemudiannya memaklumkan kepada ibunya bahawa seorang lelaki dikenali Atuk Zali memasukkan jari ke dalam kemaluannya menggunakan bedak ibunya itu.


“Wanita berkenaan membawa anaknya itu ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan sebelum dimaklumkan mangsa berkemungkinan dicabul selain terkena jangkitan kuman di bahagian terbabit,” katanya.


Menurut Hanafi, ibu mangsa menganggap Atuk Zali sebagai bapa angkat dan lelaki terbabit bekerja sebagai pencuci kereta serta berasal dari pantai timur.

Hanafi berkata, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan berkaitan kejadian kelmarin sebelum suspek ditahan bagi membantu siasatan.


“Siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan curi dalam bangunan di Jalan Tun Razak serta Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 1993 serta 1997.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul dan suspek masih direman,” katanya.

Bot peserta kuiz matematik terbalik: Tiga mati, dua hilang




         
MANILA: Tiga mati lemas dan dua lagi hilang apabila bot membawa kanak-kanak sekolah untuk pergi ke pertandingan matematik peringkat sekolah, terbalik dalam gelap, di selatan Filipina, kata pegawai.

Timbalan Ketua Operasi Pertahanan Awam, Jerome Barranco berkata, peserta berusia sembilan tahun dan dua orang dewasa terbunuh manakala kanak-kanak berusia 11 tahun adalah antara mereka yang hilang sehari selepas kejadian yang berlaku di Sungai Pulangui, Pulau Mindanao. - Manila Times

8 jam bawah mayat ibu



         
CHEVALINE (Perancis): Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terselamat dalam insiden tembakan selepas mengerekot di bawah mayat ibunya selama beberapa jam.

Serangan itu yang membunuh bapa dan neneknya turut mencederakan kakaknya, kata pihak berkuasa semalam. Kanak-kanak itu bersembunyi selama lapan jam antara mayat ibu dan neneknya yang penuh dengan kesan peluru di bahagian belakang kereta keluarga mereka yang didaftar di Britain dalam insiden tembakan misteri di pinggir sebuah desa di Alps Perancis. Seorang lagi lelaki dipercayai penduduk tempatan yang berbasikal berhampiran tempat kejadian turut ditemui ditembak mati di parkir tengah hari kelmarin.


Kakak kanak-kanak itu yang ditemui ditembak bersebelahan kereta, kini dalam keadaan serius, tetapi stabil selepas diterbangkan dengan helikopter ke hospital bandar raya Grenoble.

Pendakwa raya yang bertanggungjawab dalam siasatan kes itu, Eric Maillaud berkata, kanak-kanak terbabit tidak cedera.


“Dia mengerekot di bawah mayat selama lapan jam dan tidak bergerak sepanjang tempoh itu,” katanya. Polis pertama tiba di tempat kejadian tidak nampak kanak-kanak itu dan kereta berkenaan ditinggalkan tanpa disentuh. Kawasan itu ditutup sementara menunggu ketibaan pakar forensik.


“Hanya selepas memasuki tempat kejadian pada tengah malamnya, baru kami menemuinya,” katanya. - AFP

Wajah bayi tukar biru




         
GEORGETOWN: Luluh hati seorang ibu apabila bayi lelakinya yang baru berusia 17 hari maut akibat tersedak susu dalam satu kejadian di Desa Indah Relau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, ibu mangsa yang bangun dari tidur terkejut melihat bayinya, Ng Kian Weng dalam keadaan muka bertukar kebiruan dan sudah tidak bergerak.


Wanita terbabit kemudian mengejutkan suaminya dan mereka yang bimbang keselamatan bayi berkenaan terus membawanya ke sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri terbabit kecewa apabila doktor yang melakukan pemeriksaan memberitahu bayi mereka sudah meninggal dunia dan mereka dinasihatkan membawa mayat bayi terbabit ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.


Menurut sumber, dua jam sebelum itu, ibu mangsa membancuh susu dan memberikan bayinya itu minum selepas anaknya itu dikatakan kelaparan.


“Wanita terbabit kemudian menidurkan bayinya dan dia turut tertidur sebelum terjaga beberapa jam kemudian.

“Bagaimanapun, wanita terbabit terkejut melihat anaknya itu sudah tidak bergerak dan mukanya bertukar menjadi biru sebelum dia mengejutkan suaminya,” katanya.


Sementara itu, usaha untuk menemu bual pasangan suami isteri berusia 30-an itu gagal kerana mereka terlalu sedih dengan kematian bayi mereka.

Beberapa ahli keluarga termasuk datuk dan nenek mangsa dilihat berada di pekarangan rumah mayat HPP dan pasangan warga emas terbabit hanya menangis kerana tidak dapat menerima hakikat cucu mereka meninggal dunia.


Selepas bedah siasat dilakukan, seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa dilihat membawa satu keranda kecil dan dia kemudian membawa mayat mangsa dengan menunggang motosikal untuk urusan pengebumian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kejadian berkenaan.

Suami isteri ‘taiko’ dadah



BATU PAHAT – “Jika dianggarkan jumlah dadah jenis ketamin yang kami rampas ini cukup untuk dibekalkan kepada 400 penagih di daerah ini,” kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad.

Menurutnya, seorang wanita yang menjadikan aktiviti pengedaran dadah bersama suaminya sebagai kerjaya tetap bagi menampung hidup mereka dan tiga anaknya diberkas polis dalam satu serbuan di Taman Pantai, di sini, malam kelmarin.

Katanya, lebih mengejutkan lagi pasangan terbabit menjalankan aktiviti haram itu secara terang-terangan apabila melakukan urusan jual beli di rumah miliknya itu tanpa ada rasa bimbang.

“Dalam operasi dijalankan polis cawangan narkotik Batu Pahat, wanita berusia 31 tahun dari daerah ini ditahan bersama suaminya berusia 44 tahun di rumahnya kira-kira jam 4.30 pagi.

“Melalui siasatan awal, wanita itu bersama suaminya menjalankan perniagaan mereka sekitar Batu Pahat dan menyasarkan pelanggan tetap yang akan datang sendiri ke rumahnya untuk mengambil dadah berkenaan.

“Ketika ditahan, polis menemui 75 paket dadah jenis ketamin yang sedia dipasarkan seberat 236.81 gram bernilai RM18,650.

“Pasangan itu yang mempunyai tiga orang anak berusia antara tiga hingga lima tahun menjadikan rumah mereka sebagai markas untuk urusan jual beli dadah bagi mengaburi polis.

“Bagaimanapun, kecekapan anggota dan pegawai berjaya menggagalkan aktiviti haram itu daripada terus berleluasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini, semalam. Din berkata, pihaknya juga turut merampas kenderaan milik suspek iaitu dua buah kereta dan dua buah motosikal.

“Pihak kami juga merampas wang tunai dari pelbagai negara dan dianggarkan jumlah keseluruhan barang yang dirampas bernilai RM150,000.

“Kami juga akan menyita rumah yang dijadikan tempat urusan jual beli terbabit.

“Pasangan itu kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat bagi siasatan lanjut,” katanya

Berikutan itu, pasangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kongsi minat curi motor




         
KUALA LUMPUR: Dua beradik bukan saja berkongsi pekerjaan sama sebagai pengawal keselamatan, malah mereka turut berkongsi minat sama iaitu mencuri motosikal di sekitar Setapak dan Hulu Klang sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, tabiat mencuri kenderaan pasangan adik-beradik itu terbantut kelmarin selepas mereka dicekup di Medan Aneka, Jalan Genting Klang bersama sebuah motosikal yang baru dicuri pada 29 Ogos lalu di Wangsa Maju.


Sumber polis berkata, anggota Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) mengesan motosikal Yamaha Lagenda berwarna hitam yang digunakan dua beradik itu di Jalan Genting Klang namun mereka melarikan diri ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, intipan berterusan ke atas kedua-dua suspek itu berjaya menemui mereka semula jam 8.35 malam dan ketika hendak menahan mereka, adik-beradik itu menyedari kehadiran polis sebelum menaiki motosikal untuk beredar.


“Anggota U3K bersama dua anggota tentera dari Cawangan Siasatan Jenayah yang cuba menahan mereka dirempuh sebelum seorang daripada mereka diheret lebih 500 meter.


“Namun hasil kekuatan pihak berkuasa, kedua-dua suspek itu ditahan selepas bergelut dan soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku mencuri motosikal berkenaan di Jalan AU 1A/1B, Wangsa Maju milik seorang pelajar pada 29 Ogos lalu,” katanya semalam.

Sementara itu, Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 26 tahun yang dipercayai adik-beradik itu berasal dari Batu 8, Hulu Klang.


“Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan sebelum diserahkan ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Wartawan diserang ketika rakam gambar menteri




         
LAGOS: Seorang wartawan akhbar harian Nigeria diserang polis dan dikasari anggota keselamatan negara itu selepas dia mengambil gambar rombongan seorang menteri Kabinet tersangkut dalam lumpur, semalam.

Bertugas di akhbar harian The Guardian, Terhemba Daka berkata, dia mengikuti lawatan Menteri Negara Kenya, Olajumoke Akinjide, bersama wartawan lain di pinggir Abuja.


Katanya, menteri terbabit dibawa melawat ladang jagung di Kuchibunyi.

“Apabila konvoi menteri itu tersangkut, saya menggunakan telefon bimbit BlackBerry untuk merakamkan gambar berkenaan,” katanya.


Sejurus kemudian, kata Daka, dia diserang polis dan anggota Perkhidmatan Keselamatan Negara. “Polis kemudian memadamkan gambar berkenaan dari telefon bimbit saya,” katanya. Menurut laporan pertubuhan Committee to Protect Journalists, selain mendapat gaji murah, wartawan di Nigeria sering dikasari dan diserang anggota keselamatan, manakala sesetengah mereka juga dibunuh. - AP

Tanah premis diceroboh



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2012
KERIAN - Seorang peniaga terkejut apabila mendapati sebahagian tanah premis perniagaan miliknya di pekan baru, di sini diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Malah pihak tersebut turut membina pagar di atas tanah berkenaan tanpa kebenarannya dan kelulusan Majlis Daerah Kerian (MDK).

Peniaga, Khor Choon Kooi, 77, berkata, pada 1986, MDK mengeluarkan satu permit kelulusan berniaga kepadanya selain membenarkan dia membina premis bangunan kedai dua pintu.

Menurutnya, pelan pembangunan asal yang diluluskan MDK masih disimpannya sehingga kini.

“Pada mulanya saya berniaga makanan bersama anak dan menyewa premis satu lagi kepada seorang peniaga Melayu sehinggalah 10 tahun kemudian apabila kami memutuskan menyewa premis kepada orang lain.

"Sejak itu, penyewa berkenaan berniaga di premis kami sehingga tiga bulan lalu apabila mereka memutuskan untuk berhenti menyewa, manakala premis kedai disewa peniaga Melayu turut dipulangkan semula," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata Choon Koi, apabila dia mengambil alih semula kedua-dua premis berkenaan, barulah Choon Koi mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab mencerobohi sebahagian tanah kedai miliknya.

Jelasnya, tanah miliknya seluas 100 meter persegi diceroboh pihak tersebut malah mereka turut membina pagar di kawasan itu.

"Berikutan kejadian itu, saya membuat dua laporan polis di Balai Polis Tanjung Piandang bertarikh 15 dan 26 Ogos lalu selain mengemukakan aduan kepada MDK baru-baru ini.

"Tindakan penceroboh itu seolah-olah mencabuli hak saya sebagai pemilik premis selain melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan," katanya.

Oleh itu, dia meminta jasa baik MDK untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan mengambil tindakan terhadap penceroboh tersebut.

Choon Kooi berkata, beberapa pegawai MDK telah hadir meninjau keadaan tanah premisnya yang diceroboh untuk mengesahkan aduan itu.

“Saya juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan kerana menceroboh tanah saya tanpa kebenaran,” katanya.