Search This Blog

Wednesday, September 5, 2012

Warga emas mati disamun, bunuh





ANGGOTA polis mengusung mayat Wan Kelthom yang ditemui mati di rumahnya di Kampung Jeram, Pasir Puteh semalam.



PASIR PUTEH - Tanda tanya seorang anak mengenai ibunya yang tidak kembali semula ke majlis rumah terbukanya setelah pulang mengambil senduk dan sudip di rumahnya terjawab apabila warga emas itu ditemui mati dibunuh dengan kesan kecederaan di kepala di rumahnya di Kampung Jeram di sini petang semalam.
Mayat mangsa, Wan Kelthom Wan Husin (gambar kecil), 68, ditemui cucunya, Nik Mohamad Irham Razali, 13, kira-kira pukul 1 petang selepas diarahkan oleh ibunya, Raja Zailah Raja Hussin, 40, supaya ke rumah mangsa setelah warga emas itu pulang ke rumahnya pada pukul 10 pagi. Jarak antara rumah Raja Zailah dari rumah mangsa kira-kira 100 meter.
Mangsa, guru al-Quran yang tinggal berseorangan dipercayai mati dipukul dengan objek keras di kepala dan turut disamun apabila gelang bernilai RM4,000 yang dipakai mangsa dilarikan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa sebelum itu menghadiri majlis rumah terbuka di rumah Raja Zailah sebelum pulang ke rumahnya kira-kira pukul 10 pagi.
Menurutnya, kejadian tersebut disedari keluarga mangsa setelah Raja Zailah menyuruh cucunya, Nik Mohamad Irham mencari neneknya.
"Nik Mohamad Irham bergegas ke rumah neneknya tetapi mendapati tingkap serta pintu depan rumah neneknya itu berkunci.
"Bagaimanapun, pintu belakang rumah dalam keadaan terbuka lalu dia menuju ke bilik neneknya.
"Sebaik membuka pintu bilik, Irham mendapati neneknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas lantai dengan kepalanya berlumuran darah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.

Ibu tuntut keadilan kes anak ditampar guru


Norhayati menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Changkat Jering.
Norhayati menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Changkat Jering.
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Ogos lalu.
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Ogos lalu.
AIR KUNING – Sebuah keluarga di sini menuntut pembelaan berhubung kes seorang pelajar tingkatan tiga yang mengalami masalah pendengaran setelah ditampar seorang guru disiplin penghujung Mei lalu.

Ibu mangsa, Norhayati Mansor, 40, berkata, sejak berita keadaan anaknya disiarkan, tiada pihak terlibat yang tampil berbincang bagi menyelesaikan kes itu.

Menurutnya, dia dan keluarga agak kesal apabila kes anaknya itu tidak diberi perhatian serius jabatan berkaitan.

“Setiap kali kami menghubungi mereka, pelbagai alasan diberikan, kami hanya mahu duduk berbincang mengenai kes ini, jika mereka bersalah, mereka harus bertanggungjawab,” katanya.

Dalam laporan 1 Ogos lalu, Syed Hafiz Al Raimi Syed Mohamad Amin, 15, ditampar dengan kuat dibahagian telinga kiri oleh guru disiplinnya pada hari terakhir persekolahan.

Insiden yang berlaku hanya kerana kesalahan gaya rambut itu menyebabkan pendengaran mangsa terjejas.

Norhayati berkata, buat masa ini, pihaknya sudah mengeluarkan kos lebih RM500 bagi pembiayaan rawatan anaknya di sebuah hospital swasta.

Katanya, dia dan keluarga menaruh harapan tinggi agar keadaan pendengaran anaknya kembali pulih.

“Saya harap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dapat membantu kami dengan segera mengatur satu pertemuan antara guru yang terbabit bagi menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya.

Mayat tersangkut celah pokok



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Jenazah Amran diusung ahli keluarga
Jenazah Amran diusung ahli keluarga untuk dibawa pulang sebaik selesai bedah siasat di Hospital Kepala Batas selepas ditemui lemas ketika mencari kepah di Kuala Muda, Penaga.
PENAGA - Seorang pekerja kilang yang hilang ketika mencari kepah di pantai Kuala Muda, di sini tengah hari kelmarin ditemui mati lemas, pagi semalam.

Amran Mohd Yusuf, 28, anak kedua pasangan Mohd Yusuf Ahmad, 54, kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim dan suri rumah, Rojiha Sabar, 52, ditemui jam 7.50 pagi.

Mangsa yang tinggal di Taman Mahsuri, Padang Serai, Kulim dikhuatiri lemas pada jam 11 pagi kelmarin ketika bersama kembarnya, Amir, rakannya Shahrulnizam A Rani, 39, dan Azly Firdaus, 13, mencari kepah.

Pegawai Operasi Bomba yang juga Komandan Gerakan Mencari dan Menyelamat Kuala Muda, Pegawai Kanan Bomba Zahinur Hamzah berkata, Amran ditemui tersangkut di celah pokok kayu oleh nelayan yang meneruskan gerakan mencari selepas ia dihentikan petang kelmarin.

“Mangsa ditemui terapung lebih kurang 200 meter dari tempat dia dipercayai hilang, di muara sungai Kuala Muda berdekatan Kampung Pulau Mertajam di sini.
“Semasa ditemui, bahagian mukanya dipenuhi lumpur. Mayatnya dihantar untuk bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Kepala Batas sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, suasana di Unit Forensik hospital berkenaan sepi dan sayu biarpun dipenuhi waris terdekat, sanak saudara dan rakan mangsa yang datang menantikan jenazahnya.

Malah ibunya, Rojiha beberapa kali pengsan dan terpaksa ditenteramkan oleh ahli keluarga terdekat semasa diberi peluang melihat anak keduanya itu sebelum dikapankan dan dibawa keluar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek, Padang Serai, Kulim sejurus selepas itu.

Taktik 'abang saudara' gagal perdaya penguat kuasa



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Pasangan kekasih itu disoal siasat oleh anggota penguat kuasa JAJ daerah Kluang.
Pasangan kekasih itu disoal siasat oleh anggota penguat kuasa JAJ daerah Kluang.
KLUANG - Seorang lelaki bertindak nekad melarikan diri dari dicekup anggota bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) Kluang di sebuah hotel bajet di sekitar bandar Kluang, Sabtu lalu.

Pemuda yang berusia 23 tahun itu dipercayai mahu melarikan diri apabila mengetahui JAJ Kluang mengadakan operasi di situ yang secara kebetulannya dia menyewa bilik hotel bersama kekasihnya berusia 18 tahun.

Berikutan kejadian itu, berlaku adegan kejarmengejar kira-kira 10 minit dan akhirnya lelaki berkenaan berjaya ditangkap untuk disoal siasat.

Difahamkan, lelaki berkenaan melarikan diri kerana takut ditangkap berkhalwat bersama pasangannya yang pada mulanya dikatakan ‘abang saudara’.

Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, setelah didesak oleh pegawai bertugas, pasangan itu mengakui singgah di hotel itu untuk bermalam dan kebetulan keluarga perempuan tiada di rumah, kerana ke Negeri Sembilan.

“Malah, remaja perempuan yang tinggal Taman Sri Kluang itu memberi alasan tiada kunci rumah untuk memasuki rumahnya menyebabkan dia dan pasangannya menyewa di bilik hotel bajet.

“Namun JAJ tidak terperangkap dengan alasan-alasan sedemikian,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pasangan itu ditahan oleh penguatkuasa JAJ lebih kurang jam 4.20 pagi dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk membuat laporan.

Hasil soal siasat mendapati perempuan itu masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Melaka, manakala lelaki berkenaan bekerja di sebuah kilang di Kluang.

“Bagaimanapun, pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 27 (1) (a) & (b) Enakmen Jenayah Syariah Johor 1997 yang mana boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Operasi yang dijalankan itu diketuai Ketua Unit Penguat kuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin dan melibatkan lapan anggota Penguatkuasa JAJ daerah Kluang serta empat  anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jurumekap artis sambilan didakwa cederakan jurumekap




4 September 2012
PETALING JAYA - Seorang jurumekap artis sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seorang jurumekap menggunakan sebilah pisau, lima hari lepas.
  
Mohd Fadzil Aripin, 28, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan luka di paha dan tapak tangan Jalani Mat, 40, di hadapan restoran McDonald, Jalan PJS 8/4, Sunway Mentari di sini pada 4.45 pagi, 30 Ogos lepas.
  
Tertuduh yang berambut panjang sehingga paras dada itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.
  
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Okt sebagai tarikh sebutan.
  
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh. - Bernama

Tukar siaran televisyen, pemuda maut ditikam abang




5 September 2012
KUALA TERENGGANU - Gara-gara perselisihan faham menukar siaran televisyen, seorang pemuda maut dipercayai ditikam abangnya di Kampung Telaga Papan di Kemaman di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam itu kedua-dua beradik itu dikatakan bergaduh dan bergelut kerana salah faham tersebut.
"Semasa bergelut suspek mencapai objek tajam dan menikam perut mangsa.
Sebelum itu pada hari yang sama kedua beradik ini juga bergaduh kerana berebut motosikal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya mangsa, berusia 23 tahun, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kerteh, Kemaman sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
"Selepas pergelutan itu suspek yang berusia 37 tahun terus melarikan diri.
Mangsa dipercayai meninggal dunia setelah terkena tikaman tajam pada bahagian badan," katanya.
Manoharan berkata suspek berjaya ditangkap kira-kira 4.15 pagi tadi di Kampung Telaga Papan, Kemaman.
Katanya hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Bernama

Peragut gempal dibelasah



PERAGUT gempal ditahan setelah dibelasah oleh orang ramai di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Seksyen 5, Wangsa Maju, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Niat tiga lelaki untuk meragut seorang wanita ketika berhenti di tiang lampu isyarat ternyata tidak berjaya apabila salah seorang daripada mereka dicekup dan dibelasah oleh orang ramai di Seksyen 5, Wangsa Maju, di sini hari ini.
Dalam kejadian berhadapan Sekolah Menengah Seksyen 5, Wangsa Maju itu, tiga lelaki yang menaiki dua motosikal Yamaha 125z difahamkan cuba memecah cermin kereta jenis Honda Insight yang dipandu seorang wanita berusia 30 an, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Percubaan suspek untuk menarik beg tangan milik wanita itu tidak berjaya setelah seorang lelaki yang ketika itu memandu sebuah van jenis Nissan Vannete dan berada di belakang kereta mangsa telah melihat kejadian.
Menurut sumber, van terbabit secara tiba-tiba merempuh suspek yang ketika itu sedang cuba menarik beg tangan mangsa hingga menyebabkan dua daripada mereka yang menunggang motosikal berwarna hitam terjatuh.
"Dua daripada jatuh ke atas jalan raya manakala seorang lagi yang menunggang motosikal berwarna biru sempat melarikan diri.
"Salah seorang daripada penjenayah yang terjatuh itu juga melarikan diri tetapi rakannya yang berbadan gempal sempat dicekup orang ramai yang mengepungnya," katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, lelaki berbadan gempal berusia awal 20 an itu mempunyai dua rekod kesalahan dan baru sahaja dilepaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam, baru-baru ini.
"Dua rakan suspek yang berjaya melarikan diri juga telah dikenal pasti dan polis akan berusaha menahan mereka dalam masa terdekat," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, suspek kini dalam keadaan separa kritikal akibat dipukul orang ramai dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

13 kali kena rogol abang ipar



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah
KUALA KETIL - Ibarat jatuh ditimpa tangga, itulah terjadi kepada dua beradik berusia 23 dan 24 tahun mendakwa dirogol abang ipar mereka di rumah abang iparnya dan di kediaman mereka di sebuah kampung di sini.

Salah seorang dari dua beradik itu dirogol sebanyak 13 kali sejak 2007-2010, manakala seorang lagi dirogol sebanyak sembilan kali sejak 2005 sehingga 2010.

Lebih malang, salah seorang dari dua beradik itu turut dirogol sebanyak dua kali oleh seorang bomoh yang kononnya bertujuan merawat masalah gadis malang itu.

Kejadian terkutuk itu diceritakan sendiri oleh kedua-dua mangsa kepada ibu saudara mereka seterusnya bertindak membuat laporan di Balai Polis Kuala Ketil.

Keadaan itu mengakibatkan lelaki  berusia 40-an dan mempunyai tiga cahaya mata itu menyerah diri kepada polis pada jam 10 pagi, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu disiasat mengikut  seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol, sabit kesalahan dikenakan hukuman penjara selama tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Pasangan edar dadah ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Mohd Mokhtar (tiga, kiri) melihat antara eksibit yang dirampas.
Mohd Mokhtar (tiga, kiri) melihat antara eksibit yang dirampas.
JOHOR BAHRU - Polis menahan dua individu selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM428,900 bersama peralatan dan bahan memproses dadah serta dua buah kereta dalam serbuan berasingan di dua lokasi di sekitar bandar raya ini, 31 Ogos lalu.

Serbuan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu dibuat di sebuah pangsapuri di Taman Desa Tebrau dan Taman Desa Cemerlang, dekat sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki dan wanita warga tempatan berusia 44 dan 23 tahun yang kini ditangkap dipercayai mempunyai hubungan rapat seterusnya disyaki menjalankan aktiviti memproses serta mengedar dadah di sekitar Johor Bahru.

Menurutnya, lokasi atau rumah berkenaan dipercayai bukanlah makmal mini memproses dadah, sebaliknya tempat menyimpan peralatan dan bahan memproses dadah.

“Terdapat kekurangan peralatan dan bahan kimia bagi memproses dadah ketika polis menyerbu dua lokasi ini. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan lain-lain sindiket dan suspek terlibat.

“Di Taman Desa Tebrau, polis merampas dadah disyaki ketamin anggaran berat 14.984 kilogram (Kg) dengan harga pasaran RM374,000, 22.3 gram dadah disyaki syabu bernilai RM5,500 selain 22.3 gram dadah disyaki heroin (RM1,000), pil ekstasi sebanyak 14 biji (RM700),
40 biji pil eramin 5 bernilai RM800, bahan dan peralatan memproses dadah, wang tunai RM5,000 serta dua buah kereta bernilai RM100,000.

“Manakala pemeriksaan di Taman Desa Cemerlang membawa kepada penemuan pil ekstasi sebanyak 380 biji dengan harga pasaran RM19,000 diikuti 650 biji pil eramin 5 (RM13,000), dadah disyaki ketamin seberat 52 gram (RM1,000) serta dadah disyaki syabu seberat 33.2 gram (RM8,300),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menganggarkan kesemua dadah itu dibekalkan kepada 76,653 penagih dan keseluruhan nilai rampasan merangkumi dadah serta harta adalah RM528,900.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 12(2), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Suspek lelaki mempunyai empat rekod kesalahan lampau, tiga daripadanya di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Teman wanitanya mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Wanita 19 tahun dipukul suami di butik


Video dari CCTV
Video dari CCTV menunjukkan wanita hamil dua bulan itu dipukul oleh suaminya dalam butik milik mereka di Ipoh.
Fah Chong (dua, kanan) bersama ahli MCA lain
Fah Chong (dua, kanan) bersama ahli MCA lain menunjukkan gambar kesan kecederaan mangsa yang didera oleh suaminya pada 23 Ogos lalu.
IPOH – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 20 minit menunjukkan seorang wanita dipukul seorang lelaki dipercayai suaminya di sebuah butik, di sini, menjadi bualan hangat pengguna laman sosial facebook sejak kelmarin.

Rakaman CCTV bertarikh 23 Ogos 2012 itu telah dimuat naik ke laman facebook oleh mangsa sendiri dan menunjukkan pasangan berkenaan bertikam lidah terlebih dahulu sebelum insiden berkenaan berlaku.

Ketika mangsa cuba keluar dari kedai tersebut, lelaki berkenaan telah bertindak mencekik leher, menampar dan menarik rambut mangsa.

Wanita berusia 19 tahun itu juga dipukul menggunakan telefon bimbit yang dirampas lelaki berusia 26 tahun, dipercayai suaminya ketika mangsa cuba menghubungi ibunya.

Mangsa dapat diselamatkan apabila ibunya tiba di butik berkenaan dan kemudiannya dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta, di sini, untuk menerima rawatan.

Turut dimuat naik oleh mangsa ke laman facebooknya adalah foto yang menunjukkan kesan lebam di kedua-dua lengannya.

Rentetan daripada peristiwa itu, Ketua MCA Bahagian Ipoh Timur, Datuk Thong Fah Chong tampil untuk menawarkan khidmat nasihat dan guaman kepada mangsa yang dipercayai sedang hamil dua bulan.

Beliau memaklumkan, MCA Bahagian Ipoh Timur akan melakukan yang terbaik bagi membantu mangsa menyelesaikan masalah keluarga serta suaminya.

“Kami harap wanita berkenaan dapat menghubungi MCA Bahagian Ipoh Timur untuk mendapatkan bantuan berhubung kejadian itu setelah laporan polis dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa telah membuat laporan polis berhubung perlakuan suaminya itu, kelmarin.

Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kejadian berkenaan dipercayai berpunca dari masalah dalam kalangan ahli keluarga.

“Sebelum itu, kita menerima laporan polis daripada bapa mangsa berhubung perlakuan menantunya dan selepas itu, mangsa membuat laporan serta mahu tindakan segera diambil ke atas suaminya.
“Pergaduhan dipercayai berlaku apabila keluarga mangsa campur tangan dalam urusan perniagaan dan kehidupan suspek dan mangsa sendiri,” katanya.

Pencuri tersilap rumah



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Kanamah menunjukkan tingkap di mana tempat dia melihat lelaki yang mengumpil pintu gril rumahnya.
Kanamah menunjukkan tingkap di mana tempat dia melihat lelaki yang mengumpil pintu gril rumahnya.
LUKUT – Niat jahat dua lelaki yang dipercayai ingin memecah masuk sebuah rumah di Taman Negeri, di sini terbantut apabila mereka tersilap rumah selepas kediaman yang menjadi sasaran sebenarnya berpenghuni.

Penghuni rumah berkenaan, P Kanamah, 47, berkata, dia menyedari pintu hadapan rumahnya sedang cuba diumpil dari luar menggunakan parang oleh seorang lelaki yang lengkap memakai penutup muka.

Menurutnya,  ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 10.45 pagi itu, dia berada di dalam bilik untuk mengambil tuala kerana mahu ke bilik air.

“Saya terdengar bunyi yang mencurigakan dari pintu utama rumah dan saya kemudian menyelak kain langsir tingkap berhampiran dengan pintu sebelum terlihat seorang lelaki sedang mengumpil pintu geril rumah saya.

“Secara spontan, saya terus menjerit sekuat hati dan lelaki itu lari sementara ada seorang lagi rakannya sedang menunggu di atas motosikal jenis EX5 yang enjinnya belum dimatikan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Kanamah berkata, semasa kejadian saya hanya tinggal berdua  dengan ibu.

"Ketika itu, saya sangat terperanjat dan hanya duduk ketakutan di dalam rumah. Namun kira-kira dua jam kemudian, saya memberanikan diri untuk keluar dari rumah dan terlihat dua lelaki tadi menunggu di persimpangan jalan.

“Saya terus memberitahu seorang jiran berkenaan hal itu dan dia cuba mendekati dua lelaki berkenaan, namun mereka melarikan diri,” katanya.

Katanya, mujur dia menyedari kegiatan lelaki itu yang cuba memecah masuk rumahnya, jika tidak pasti sesuatu kejadian buruk akan berlaku.

Mati terminum racun serangga



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Macha (kiri) ditemani Josephin di pekarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka
Macha (kiri) ditemani Josephin di pekarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka. Gambar kecil: Raman
ALOR GAJAH - Selepas kurang 48 jam bertahan, seorang lelaki maut selepas dipercayai terminum racun serangga ketika berada dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol di rumahnya di Rembia, dekat sini kira-kira jam 5 pagi semalam.

Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari Ahad lalu itu, mangsa, C K Raman, 42, baru pulang ke rumah dalam keadaan separuh sedar dan terhuyung-hayang sebelum meneguk racun serangga dalam sebuah bekas.

Isteri mangsa, N Macha, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak dan menyedari kepulangan mangsa.

"Saya sedar kepulangan suami yang berada di bawah pengaruh alkohol dan membiarkan sahaja sehingga dia sedar semula.

"Namun saya tidak menyangka suami mencapai bekas berisi racun serangga yang memang disimpan di rumah," katanya.

Menurutnya, dia tidak menyedari mangsa sudah  keluar semula dari rumah dan terkejut apabila jiran, Josephin, 30, menjerit memanggilnya serta memaklumkan mangsa akan dihantar ke hospital selepas mengadu loya dan hendak muntah.

“Melihat keadaan suami yang lemah, jiran menghantarnya ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka namun sehari kemudian saya dimaklumkan suami dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan kondisinya yang kritikal," katanya.

Macha berkata, sejak dua minggu lepas suaminya itu yang bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian ada menunjukkan perubahan sikap apabila sering memintanya membuatkan air susu sahaja selepas mengadu perutnya rasa tidak selesa.

Sementara Josephin, 30, berkata, dia yang berada di luar rumah menyedari keadaan mangsa yang terhuyung-hayang dan kelihatan lemah sambil berjalan di luar rumah sebelum mangsa mengadu tekaknya berasa loya.

"Saya kemudiannya bergegas memanggil suami di dalam rumah dan membantu memapah mangsa masuk ke dalam kereta sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan berhubung laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

'Pelanggan' kebas hasil jualan



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
'Pelanggan' kebas hasil jualan
Keadaan dalam kedai mangsa yang terbuka memudahkan pasangan terbabit melakukan perbuatan jenayah mereka tanpa disedari.
BANDAR TUN RAZAK - Sebuah kedai menjual produk kesihatan, di sini, kerugian RM6,000 setelah pekerja kedai terbabit terpedaya dengan taktik licik seorang lelaki dan wanita yang kononnya datang membeli barang di premis itu, 28 Ogos lalu.

Pemilik kedai berkenaan, Burhan Mahmud, 41,  berkata, semasa kejadian, hanya seorang pekerja berada di kedainya yang terletak di Bangunan Pusat Komersial, Bandar Tun Razak.

Menurutnya, pasangan terbabit datang ke kedainya sekitar jam 2.30 petang, menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna keemasan.

“Secara kebetulan seorang sahaja yang bekerja ketika itu, manakala dua lagi tiada di kedai.

“Wanita berkenaan memakai tudung, berkulit gelap dan berusia lingkungan 30-an. Dia menarik pekerja saya ke bahagian hadapan kedai dan bertanyakan pelbagai soalan berkaitan produk yang dijual,” katanya kepada Sinar Harian.

Burhan berkata, ketika pekerjanya sibuk melayan wanita terbabit, pasangannya mengambil kesempatan menuju ke bahagian yang menempatkan wang hasil jualan kedai.

“Kebetulan pekerja saya mengira wang hasil perniagaan pada hari tersebut.

“Lelaki berkulit cerah, juga berusia lingkungan 30-an itu mengambil yang sudah siap dikira dan diasingkan berjumlah RM6,000,” katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit bagaimanapun tidak mengambil barangan lain di dalam kedainya.

“Mereka tidak membeli apa-apa barang, sebaliknya keluar secara tergesa-gesa.

"Namun wanita itu sempat menyampaikan pesanan kepada pekerja saya mengatakan seseorang mahu berjumpa saya,” katanya.

Burhan berkata, dia sudah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Jengka dan turut menasihatkan peniaga lain supaya berhati-hati dengan taktik licik pasangan tersebut.

"Saya rasa tidak mustahil mereka akan lakukan perkara sama lagi, mungkin bukan sahaja di Jengka, malah daerah-daerah lain.

"Saya merancang untuk pasang kamera litar tertutup di kedai ini sebagai langkah berjaga-jaga supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan menerima laporan.

Ops tapis bersepadu: 114 berjaya ditahan


Penagih
Penagih warga emas (kanan) yang turut berjaya ditahan pegawai dan anggota IPD dan IPK, dalam Ops tapis bersepadu pagi semalam.
Sebahagian penagih
Sebahagian penagih yang ditahan dibawa ke IPD Pengkalan Chepa, sebelum menjalani tahanan reman.
KOTA BHARU- Seorang lelaki separuh abad, lengkap berkopiah dan berpakaian kemas, merupakan antara 114 yang ditahan dalam ops tapis bersepadu yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota
Bharu (IPD) bahagian Siasatan Narkotik dan Jenayah, di kawasan sekitar Kok Lanas dan Ketereh, di sini, awal pagi semalam.

Daripada 114 orang itu, tiga merupakan wanita dan selebihnya merupakan lelaki yang berusia antara 15 hingga  35 tahun. Dalam operasi sekitar jam 1 hingga 11 pagi itu, polis turut berjaya merampas 75 biji pil kuda jenis Yaba.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, serbuan dijalankan, hasil maklumat serta risikan anggota dan pegawai di kawasan yang dikenal pasti.

“Ia diketuai Inspektor Suhadi Saedon, dengan 84 anggota termasuk 12 pegawai yang menyertai operasi itu. Dengan kejayaan terbabit, Polis Kelantan berjaya melakukan tangkapan terbesar setakat tahun ini," katanya pada sidang media di IPD semalam.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan akan dibawa ke hadapan majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi menyambung siasatan di bawah seksyen 15 (1) dan 12 (2) kerana kesalahan menagih dan memiliki dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Azham berkata, pihaknya juga turut merampas dua buah kereta jenis Proton Saga baru serta Perodua Viva dalam operasi itu, yang dilaporkan hilang di kawasan Ulu Klang, Ampang di Kuala Lumpur dan di Ketereh.

“Operasi ini dilakukan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penagihan dadah. Kita akan meneruskan operasi seumpama ini bagi mengesan kawasan yang menjadi sarang penagih dadah di sekitar Kota Bharu bagi membanteras gejala ini,” katanya.

Polis masih tunggu laporan cap jari mangsa bunuh, bakar


NIBONG TEBAL - Polis masih menunggu laporan cap jari bagi mengenal pasti identiti seorang lelaki yang ditemui mati dalam keadaan ngeri apabila kedua belah tangan dan kaki dikerat serta kepalanya dipenggal sebelum dibakar di ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata cap jari mangsa telah dihantar ke Jabatan Pendaftaraan Negara (JPN) dan unit rekod jenayah polis di Bukit Aman.
"Identiti mangsa masih belum dikenal pasti, bagaimanapun kita telah hantar laporan cap jari itu pada Jumaat lepas dan saya percaya keputusan akan diketahui dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Mayat lelaki dianggarkan berusia 30-an dan hanya berseluar dalam itu ditemui orang awam pada 9.45 pagi yang curiga selepas melihat kepulan asap dekat ladang kelapa sawit.
Mangsa dipercayai dibunuh dengan kejam di tempat lain sebelum dibakar untuk melupuskan bukti.- Bernama

Pelajar maut dalam perlumbaan motosikal




5 September 2012
KUANTAN - Seorang pelajar yang dipercayai berlumba dengan beberapa rakannya maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Semantan Felda Keratong 4, Bandar Baru Tun Razak, Rompin semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 12.30 malam itu mangsa, Muhammad Khalil Qusyairi Abdul Halim, 15, dipercayai sedang berlumba dengan beberapa rakannya.
"Perlumbaan yang bermula dari Masjid Felda Keratong 4 itu telah menyebabkan motosikal yang ditunggangi mangsa terbabas ke kiri jalan kira-kira 100 meter sebelum garisan penamat di Simpang Jalan Utama Felda Keratong 4.
"Ekoran kejadian itu motosikal mangsa telah merempuh tiang elektrik manakala mangsa jatuh terlentang di atas jalan sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Komuniti berhampiran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai lesen dan tidak memakai topi keledar meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lagi penunggang motosikal maut apabila kenderaannya dilanggar sebuah kereta di Jalan Kuantan Bypass dekat Pelabuhan Kuantan berhadapan stesen minyak Shell Balok pada 8.15 pagi semalam.

Katanya mangsa, Ngadinam Panjan, 54, seorang suri rumah dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kemaman.

Fauzi berkata sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai telah mengubah laluan dari kiri ke kanan jalan untuk membuat pusingan U.
Namun katanya motosikal yang ditunggangi mangsa telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang berada dilorong kanan laluan sama.
Beliau berkata mangsa yang terjatuh di atas jalan meninggal dunia di tempat kejadian.- Bernama

Pelajar ditahan



         
KUALA LUMPUR: Dirakam melakukan tindakan biadab menunjukkan punggung di khalayak ramai ketika perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos lalu, seorang pelajar kolej swasta kini berdepan tindakan undang-undang dan ditahan polis pagi semalam bagi membantu siasatan.

Pelajar tahun dua Diploma Multimedia Kreatif berusia 19 tahun itu, ditahan sepasukan polis diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan di kolejnya di Taman Maluri, Cheras, di sini, kira-kira jam 11 pagi.
Difahamkan, pelajar lelaki terbabit sebelum ditahan pulang ke kediaman ibu bapanya di Taman Murni, Batu Pahat, Johor dan semalam dihantar semula oleh keluarganya untuk berjumpa pihak pengurusan kolej.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, ketika mengesahkan penahanan itu berkata, remaja berkenaan ditahan kerana dipercayai terbabit dengan insiden membuka seluar sambil menunjukkan punggung pada gambar pemimpin negara di khalayak ramai ketika perhimpunan berkenaan diadakan.


“Remaja itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakamkan keterangannya dan dia memberi kerjasama yang baik setakat ini.

Selain itu, ibu bapa serta tiga rakannya tu rut diambil keterangan pada hari ini (semalam) bagi membantu siasatan.

5 parah melecur

TAWAU: Lima pekerja parah apabila loji dandang wap yang digunakan untuk memasak buah kelapa sawit meletup, menyebabkan semua mangsa seperti ‘dimasak’ dalam kejadian di sebuah kilang pemprosesan di Kunak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa ialah Lediuss Samuil, 18, Awie Azweer Ahmad, 20, Jamri Lumadan, 27, Razif Kamsah, 20, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Mubin, 19.
Semua mereka melecur hampir keseluruhan badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tawau (HT).

Sumber berkata, kejadian berlaku apabila api dalam dandang tidak bernyala menyebabkan penyelia kilang mengarahkan lima pekerja terbabit masuk ke dalamnya untuk membuat pemeriksaan.


“Tiba-tiba berlaku letupan dan semua pekerja terbabit yang ketika itu berada di dalam dandang berkenaan gagal menyelamatkan diri.

Terminum racun serangga



         
ALOR GAJAH: Seorang pekerja kilang maut apabila terminum racun serangga yang disangkakan minuman keras di rumahnya di taman perumahan Rembia, pagi semalam.

Mangsa, C K Raman, 42, yang terminum racun berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu, mati ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka, jam 5 pagi semalam.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang berada dalam keadaan mabuk pulang ke rumahnya dan tersilap mengambil bekas berisi racun serangga kerana menyangkakan ia adalah minuman keras.

Selepas meminum racun berkenaan, Raman keluar ke halaman rumah untuk mengambil angin sebelum tekaknya berasa loya dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.


Isteri mangsa, N Macha, 38, berkata, dia yang sedang memasak di dapur menyedari suaminya pulang dalam keadaan mabuk, namun hanya membiarkan saja hingga suaminya pulih sedia kala.

Dua suspek dikenal pasti




         
KOTA BHARU: Dua suspek yang dipercayai terbabit meragut dan menetak seorang wanita, Rohairani Abdullah@Ibrahim, 36, menyebabkan pergelangan tangan kiri mangsa hampir putus di Jalan Che Su, di sini, Rabu lalu, sudah dikenal pasti dan kini diburu polis.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek lelaki itu berusia lingkungan 20-an dan polis mengharapkan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu mengesan mereka.


“Usaha mengesan mereka giat dijalankan dan kita mengharapkan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa di Kampung Kota, di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kelvin Yeap. Harian Metro Khamis lalu melaporkan, Rohairani yang bekerja sebagai pembantu klinik swasta baru keluar dari kereta yang diletakkan berhampiran tempat kejadian dan berjalan bersendirian ke kedai untuk membeli kain tudung sebelum diragut dua lelaki di Jalan Che Su, di sini.


Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa hampir putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak menggunakan parang dan pengsan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) di sini, akibat kecederaan parah dialami.


Mazlan berkata, selepas mengadakan ‘Ops Sayang’ membabitkan pegawai dan anggota polis wanita yang memberi nasihat berkaitan jenayah ragut membabitkan 20 kawasan termasuk sekitar Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian, pihaknya bercadang menyediakan pondok bit polis di kawasan mangsa diragut.

Lerai ikatan



Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Empat lelaki bertindak nekad memecah masuk ke bilik simpanan wang sebuah pasar raya di Taman Wahyu, di sini, dan mengikat pengurus keselamatan sebelum melarikan hasil jualan pasar raya itu yang bernilai lebih RM500,000, tengah malam semalam.

Bagaimanapun, malang tidak berbau buat dua daripada empat suspek itu apabila mereka dicekup semula dalam kawasan pasar raya itu dalam tempoh dua jam kemudian.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menceroboh masuk ke dalam bilik simpanan wang sebelum menolak pengurus keselamatan ke lantai dan mengikatnya.

Menurutnya, empat lelaki itu bertindak pantas dengan memasukkan wang jualan untuk hari Sabtu, Ahad dan Isnin bernilai lebih RM500,000 ke dalam sebuah beg plastik selain mengambil beberapa kotak rokok yang disimpan dalam bilik berkenaan.


“Berdasarkan pertuturan mereka, seorang lagi suspek sudah sedia menunggu di luar premis berkenaan dan sebaik mereka keluar, pengurus keselamatan itu berjaya meleraikan ikatannya dan keluar untuk meminta pertolongan.


“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang menerima maklumat kemudiannya menghantar sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah yang bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika meninjau kawasan berkenaan mereka nampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah bilik di tingkat bawah dan menahan kedua-dua suspek sebelum membawa mereka ke IPD Sentul untuk siasatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 34 tahun yang berasal dari Batu Caves itu berjaya ditahan di lokasi kejadian manakala rakan suspek melarikan diri bersama wang tunai yang dirompak di pasar raya terbabit dan usaha mencari masih lagi dijalankan.


“Kedua-dua suspek ditahan reman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Belasah, cekik isteri dituduh curang




         
KAJANG: Bukan saja dituduh curang, seorang wanita turut menjadi mangsa amuk suaminya yang membelasah wanita itu hingga cedera termasuk mencekik dan menghantuk kepala wanita itu di dinding rumah mereka di Sungai Chua, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 28 tahun itu berehat dan menonton televisyen di rumah sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.


Menurut sumber, pertengkaran itu bermula selepas suaminya menuduh wanita itu menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain hingga meminta cerai daripadanya.

Ekoran kejadian itu, mangsa yang tidak tahan dengan kelakuan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Kajang selain mendapatkan rawatan di hospital.

2 suspek serah diri





         
JEMPOL: Dua lagi suspek yang terbabit dalam serangan nekad di Hospital Jempol (HJ) pada malam Ahad lalu hingga menyebabkan seorang mangsa cedera, sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (Jempol), di sini, malam kelmarin, manakala seorang lagi suspek masih diburu polis.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, susulan serah diri itu menjadikan empat suspek ditahan bagi membantu siasatan.


Menurutnya, hasil pemeriksaan urin terhadap semua suspek berusia 20-an ditahan itu mendapati negatif iaitu tiada sebarang pengaruh dadah atau alkohol ditemui.

“Semua suspek serta mangsa yang terbabit dalam kejadian didapati mengenali antara satu sama lain dan siasatan awal mendapati ia berlaku akibat salah faham hingga timbul rasa tak puas hati,” katanya mengulas berita kes itu yang disiarkan di muka depan Harian Metro semalam.

RM60,000 harga putus cinta




         
KUALA LUMPUR: “Serahkan RM60,000 atau banyak lagi gambar bogel awak akan disebarkan!,” begitu ugutan diterima seorang wanita selepas dia memutuskan hubungan dengan teman lelakinya sejak seminggu lalu sehingga hidup ketakutan.

Ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chow, 29, menerima ugutan berkenaan menerusi kiriman mesej di laman sosial, facebook miliknya daripada seorang lelaki berserta gambar bogel yang dirakam secara curi ketika dia keluar dari bilik air di rumahnya di Sentul, di sini, tidak lama dulu.


“Saya mengesyaki ia perbuatan bekas teman lelaki yang tidak puas hati kerana saya memutuskan hubungan selepas tidak tahan melayan kehendak nafsunya sejak menjalin hubungan dua bulan lalu,” katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. Dia yang menemui jalan buntu mendapatkan khidmat nasihat pengerusi biro, Datuk Seri Micheal Chong sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Dalam kes berasingan, seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Jenny, 30, menerima nasib sama apabila gambar bogelnya disebarkan menerusi facebook sejak April lalu.


Menurut Jenny, dia memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya berikutan perbuatan ganas suspek yang selalu memukulnya sejak menjalin hubungan intim tahun lalu.


Sebaik saja memutuskan hubungan, Jenny menerima SMS daripada suspek mengatakan dia akan menjadi ‘terkenal’ kerana meninggalkannya, bagaimanapun dia tidak mengendahkan ugutan itu sehingga dihubungi rakannya pada April lalu mengatakan terdapat akaun facebook menggunakan nama berserta beberapa gambar bogel miliknya.

Sementara itu, Chong berkata, kedua-dua mangsa tidak menyedari gambar bogel mereka dirakam bekas teman lelaki masing-masing.


“Satu pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah diadakan pagi tadi (semalam) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan polis akan menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.

Lelaki datang membantu rupanya penyamun




         
KUALA LUMPUR: Malang bagi seorang lelaki yang mahu menukar tayar keretanya yang pancit apabila dia disamun dalam kejadian di Bandar Bukit Mahkota, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 24 tahun dari Puchong dikatakan dalam perjalanan pulang dari Seremban dan mengalami kerugian sebanyak RM8,000 kerana disamun.


Sumber berkata, sebaik tiba di persimpangan jalan berkenaan berhampiran Nilai, Negeri Sembilan mangsa terpaksa berhenti di tepi jalan untuk menukar tayar keretanya yang pancit.

“Ketika dia sedang menukar tayar belakang keretanya, seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Saga secara tiba-tiba berhenti di depan keretanya seakan cuba untuk menghulurkan bantuan.


“Mangsa yang menyangkakan lelaki itu mahu membantu hanya melihat dan terkejut sebaik melihat suspek terus membuka pintu kereta di bahagian tempat duduk depan sebelum membawa lari beg sandang miliknya,” katanya.


Katanya, mangsa kemudiannya cuba untuk mengejar kereta suspek sebelum menumbuk cermin bahagian penumpang depan untuk menggagalkan tindakan lelaki terbabit namun usahanya itu tidak membuahkan hasil.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya memecut kereta dan melarikan diri manakala mangsa mengalami luka di lengan kanan akibat terkena serpihan cermin.


“Sebaik selesai menukar tayar keretanya, mangsa cuba menjejaki kereta lelaki berkenaan berpandukan Sistem Posisi Global (GPS) iPad miliknya yang tersimpan di dalam beg sandang,” katanya.

Menurut sumber, usaha mangsa itu tidak berjaya dan petunjuk GPS gagal dikesan menyebabkan dia tampil membuat laporan polis Balai Polis Pudu awal pagi semalam.


Katanya, mangsa kerugian RM8,000 termasuk komputer riba, iPad, pelbagai peralatan komputer, dokumen peribadi dan wang tunai RM200.

Api terputus kereta rempuh tiang elektrik




         
ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kereta Proton Satria yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang elektrik di Jalan Kampung Londang-Masjid Tanah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, kereta dipandu Lee Yok Peng, 34, bersama suaminya, Yong Chow Ting, 38, dari Pengkalan Balak menghala pekan Masjid Tanah selepas menghantar empat anak mereka berusia 10 dan 14 tahun ke sebuah sekolah di sini.


Difahamkan, kereta dinaiki mangsa dihimpit sebuah motosikal hingga memasuki laluan bertentangan lalu hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di hadapan rumah seorang penduduk kampung berkenaan.

Harian Metro difahamkan, pasangan berkenaan cedera ringan.


Jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, akibat kemalangan itu, beberapa rumah di kawasan berdekatan terputus bekalan elektrik dan kerja baik pulih segera di lakukan di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

350 rumah tenggelam


TERKANDAS...anggota bomba dan penyelamat serta penduduk sekitar membantu mengeluarkan kanak-kanak sekolah yang terperangkap.
TERKANDAS...anggota bomba dan penyelamat serta penduduk sekitar membantu mengeluarkan kanak-kanak sekolah yang terperangkap.
TERPERANGKAP...kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan.
TERPERANGKAP...kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan. KUALA LUMPUR: Lebih 350 buah rumah dan 100 kenderaan ditenggelami air sedalam satu meter dalam kejadian banjir kilat di Taman Sri Serdang dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata hujan lebat selama dua jam bermula 4.30 petang itu menyebabkan air dari longkang besar di kawasan berkenaan melimpah dan menenggelamkan rumah serta kenderaan penduduk sekitar.
“Turut terperangkap kira-kira 300 pelajar dan 23 guru dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Serdang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Indah, namun berjaya diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat kira-kira jam 9.30 malam tadi,” katanya ketika meninjau keadaan banjir di sini semalam.

Abdul Razak berkata pihaknya menyediakan pusat pemindahan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) namun tiada penduduk yang dipindahkan.


“Air mula surut sejak pukul 7 malam, dan saya dimaklumkan oleh penduduk kali terakhir berlaku banjir kilat di kawasan ini adalah 27 tahun lalu,” katanya
.

Supercop dituduh bantu penjenayah edar dadah




         
PARIS: Seorang anggota polis Supercop Perancis dihadapkan ke Majlis Disiplin Polis atas tuduhan membantu penjenayah dan terbabit dalam pengedaran dadah.

Michel Neyret, 56, bekas Timbalan Ketua Polis Lyon, pernah dipuji kerana berjaya menumpaskan jenayah dadah dan rompakan barang kemas sehinggalah dia ditahan pada September, tahun lalu.
Neyret dilucutkan jawatan dan mungkin tidak berhak menerima pencen oleh jawatankuasa itu.

Tuduhan jenayah terhadapnya masih belum selesai.


Pegawai polis yang berkarisma itu ditahan selama lapan bulan sebelum dibebaskan Mei lalu. Sejak itu dia tidak muncuk di khalayak ramai dan tinggal di timur Perancis di mana dia perlu kerap melaporkan diri di balai polis.


Neyret dituduh menerima hadiah dan permintaan daripada anggota kumpulan jenayah di Lyon. - AFP

Komponen bom ditemui dalam bilik hotel bajet




         
MANILA: Polis Filipina menemui komponen bom dalam sebuah hotel bajet di daerah pelancongan di bandar raya ini semalam, mendorong keselamatan lebih ketat dikenakan di tempat awam dan rondaan lebih kerap di jalan raya.

Polis berkata, seorang penjaga bangunan menemui lebih 100 kelongsong peluru raifal dan senapang patah yang kebanyakan sudah kosong, bersama dua paip logam, alat letupan kecil dan komponen telefon bimbit dalam sebuah bilik di hotel murah di Manila, di mana seorang lelaki bermalam sebelum kendaftar keluar pada waktu Subuh semalam. Lelaki terbabit meninggalkan hotel itu dengan beg galas dan sebuah beg.


Inspektor polis, Arnold Santos daripada Divisyen Ordnans dan Bahan Letupan Polis Manila berkata, mungkin lelaki itu sudah membuat bom, mendorong pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Ketua Polis Manila, Alan Purisima berkata, dia telah mengarahkan anggotanya meningkatkan rondaan di jalan raya dan memperketat keselamatan di pusat beli-belah dan tempat awam lain. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan lelaki itu serta menentukan sama ada dia sudah membuat bom. Polis telah membuat lakaran mengenai wajah lelaki itu berdasarkan keterangan pekerja hotel. - Manila Times

Mercun ragut nyawa remaja


BANGKOK: seorang remaja berusia 17 tahun maut dan abangnya, cedera apabila mercun gergasi yang dibakar meletup dalam bilik tidur mereka di wilayah Phitsanulok, kata polis, semalam.

Polis menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 malam kelmarin. Thitiwut Yuma ditemui mati terbaring di atas lantai dalam bilik tidurnya. Terdapat luka besar di perutnya dan jarinya ditemui bersepah di atas lantai.


Abangnya, Jarukitti Yuma, 20, mengalami kecederaan di kaki.

Jarukitti memberitahu polis, adiknya berkeras untuk bermain mercun gergasi yang dibeli mereka. Thitiwut tidak mengendahkan nasihat abangnya agar tidak membakar mercun dalam bilik.


Jarukitti berkata, dia kemudian keluar dari bilik beberapa minit. Ketika kembali, Thitiwut sudah menyalakan sumbu mercun di atas ribanya.


“Dia hanya bermain dengannya. Dia menyalakannya dan memadamkan ia semula, tetapi akhirnya tidak dapat memadamkannya hingga ia meletup,” katanya. - Bangkok Post

Mayat pencari kepah yang dikhuatiri lemas ditemui




4 September 2012
KEPALA BATAS -  Mayat seorang pekerja kilang yang dikhuatiri lemas ketika mencari kepah di pantai Kuala Muda semalam ditemui pagi tadi.
Mayat Amran Mohd Yusuf, 28, dari Taman Mahsuri, Padang Serai, Kedah ditemui pada pukul 7.50 pagi, kira-kira 200 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata mayat mangsa ditemui oleh sekumpulan nelayan yang terlihat sesuatu objek tersangkut di tebing pasir di situ.

Mayat yang diseliputi lumpur itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas, katanya kepada pemberita.
Kejadian berlaku ketika mangsa bersama kembarnya dan dua rakan mereka mencari kepah di pantai berkenaan. Mangsa dipercayai dihanyut ombak besar.
Kembarnya beserta dua rakan mereka sempat diselamat oleh para nelayan dalam kejadian 11 pagi itu.
Bapa mangsa Mohd Yusuf Ahmad, 54, berkata walaupun sedih dengan kehilangan anak keduanya itu, beliau tetap bersyukur kerana mayat Amran berjaya ditemui.-Bernama

Pukau, sihir memang wujud



NURUL ZAILA MOHD TAHIR
5 September 2012
Laporan muka depan Sinar Harian
Laporan muka depan Sinar Harian semalam mengenai kejadian pukau yang dilakukan dua lelaki warga asing.
KUANTAN –  Umat Islam perlu percaya kepada kewujudan syaitan dan jin yang mempunyai kaitan dengan kejadian pukau atau sihir.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zuridan Mohd Daud berkata, pukau boleh dikategorikan sebagai sihir dan sebagai Islam mengharamkan umatnya dengannya.

“Bila kita sebut pukau ia bersangkutan dengan syaitan dan boleh dikategorikan sebagai sihir termasuk menggunakan jin jahat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian pukau di beberapa premis perniagaan dalam pusat membeli belah di sini, dua hari lalu.

Beliau berkata,  kejadian pukau banyak dilaporkan berlaku sama ada dalam kalangan umat Islam atau sebaliknya.

“Sebagai Muslin, kita perlu mempercayai perkara seperti itu selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam atau membawa mudarat,” katanya.

Zuridan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Sinar Harian semalam mengenai geng pukau warga Pakistan yang berjaya diberkas oleh pengawal keselamatan ketika cuba memperdayakan peniaga di sebuah pusat membeli belah, di sini.

Katanya, masyarakat boleh mengetahui mengenai pukau atau sihir tetapi haram beramal dengannya kerana antara amalan syirik dan  ada yang melakukannya untuk tujuan jahat,” katanya.

Zuridan berkata, pukau membabitkan penguasaan fikiran dan sebagai pendinding daripada terkena pukau ialah menggunakan doa serta ayat-ayat al-Quran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya ayat al-Quran bagi mengelakkan santau yang boleh mengganggu tidur, sentiasa berkhayal dan tidak sedarkan diri.

Guru al-Quran mati dibunuh



NORHASRAM MOHAMAD DAN ROSALWANI CHE SOH
5 September 2012
Wan Kalthom Wan Husin
Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat. Gambar kecil: Wan Kalthom
PASIR PUTEH - Guru al-Quran yang membantu kerja memasak untuk majlis hari raya di rumah anaknya di Kampung Jebak, Jeram, dekat sini ditemui maut dibunuh dengan sudip.
Ketika kejadian, mangsa, Wan Kalthom Wan Husin, 68, balik ke rumah yang terletak hanya 100 meter dari rumah anaknya kira-kira jam 10 pagi untuk mengambil sudip.
Selepas tiga jam tidak muncul, anak mangsa, Raja Zailah Raja Hussin, 40, menyuruh anaknya, Nik Mohd Irham Razali, 13, menjenguk ibunya kira-kira jam 1 petang.
Nik Mohd Irham berkata, ketika dia sampai, pintu depan dan tengah berkunci dari dalam dan dia memasuki rumah untuk mencari neneknya melalui pintu belakang yang terbuka.
“Saya terkejut melihat nenek tertiarap di lantai dengan kepalanya berdarah,” katanya.
Raja Zailah berkata, dia yang tergamam melihat ibunya terbaring kaku bergegas memberitahu penduduk dan saudara mara.
“Ibu saya baik orangnya, tidak memusuhi sesiapa pun di kampung ini tetapi saya kesal kerana ada orang yang mengkhianatinya.
“Dia tinggal bersendirian di rumah itu pada siang hari sahaja kerana dia tidur di rumah saya pada sebelah malam,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati, ada kesan luka sepanjang lapan sentimeter (cm) dan tiga cm lebar di belakang kepala mangsa, selain luka di pipi kiri sepanjang dua cm panjang dan satu cm lebar.
“Kami percaya penjenayah tersebut menggunakan sudip yang dipegang mangsa berikutan menemui peralatan memasak itu yang terbelah dua,” katanya.
Mazlan berkata, siasatan juga mendapati suspek melakukan jenayah tersebut dengan tergesa-gesa kerana tidak menggeledah rumah tersebut dan hanya mengambil seutas gelang tangan yang bernilai kira-kira RM4,000 dan tidak mengambil cincin serta subang yang dipakai mangsa.
“Kami percaya suspek mengekori mangsa ketika Wan Kalsom pulang ke rumahnya dan dipercayai mengenali suspek berikutan tiada kesan pergelutan di dalam rumah tersebut.
“Suspek juga dipercayai berasal daripada kampung sama dan kami meminta orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut kepada Bilik Gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999 bagi membantu polis untuk mengesan suspek,” katanya.