Search This Blog

Tuesday, September 4, 2012

Warga Kanada ditemui mati tergantung di balkoni



NUR FARHANA ABDUL MANAN
4 September 2012
SUBANG JAYA - Penduduk sebuah kondominium di kawasan SS12 di sini gempar apabila seorang lelaki, warga asing, ditemui mati tergantung di luar bahagian balkoni tingkat 5, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa yang juga seorang pensyarah sebuah kolej swasta di Subang Jaya sebelum itu dikatakan merayau-rayau di tingkat bawah kondominium sebelum mayatnya ditemui.
Mangsa, warga Kanada berusia 48 tahun juga dikatakan meninggalkan sekeping nota di rumahnya.

SS Saint Pancras mangsa kecurian dasar laut



Penemuan rangka kapal di Permatang Semarang, Perairan Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.
SEREMBAN 3 Sept. - Perairan Wilayah Persekutuan Labuan yang kaya dengan tapak kapal karam kini menjadi lokasi pemburu harta karun dasar laut untuk mendapatkan isi kargo dan bahagian kapal bagi dijual di pasaran gelap dengan nilaian mencecah jutaan ringgit.
Ini kerana, selain empat tapak popular kapal karam bagi aktiviti skuba iaitu di Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck, terdapat beberapa lagi lokasi iaitu Terusan Kuraman, Pulau Burong, Jeti Terminal Antarabangsa, Pulat Daat dan Terusan Timur yang belum didokumentasi.
Apa yang menariknya, dalam kajian oleh pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Baszley Bee Basrah Bee dalam Laporan Identifikasi Awal Tapak Kapal Karam 'Semarang Wreck' di kawasan perairan Permatang Semarang, Wilayah Persekutuan Labuan serta Justifikasi Projek Salvaj Penyelamat, SS Saint Pancras menunjukkan kesemua tapak kapal karam itu adalah dari pertengahan abad ke-20 masihi.

Kecurian seramik, logam kapal karam berleluasa







PELBAGAI seramik zaman lampau yang banyak ditemui di dasar laut perairan Wilayah Persekutuan Labuan kini aktif dijual di pasaran gelap.



SEREMBAN 3 Sept. - Pengarah Urusan Hati Emas Enterprise, Fatharullah Amin Abd. Wahab mendakwa, pelbagai seramik dari zaman lampau yang banyak ditemui di dasar laut perairan Wilayah Persekutuan Labuan kini aktif dijual di pasaran gelap.


Kata beliau, bagi membuktikan penemuan seramik yang didakwa nelayan di perairan berkenaan, penyelam syarikatnya telah membawa bukti penemuan seramik itu untuk diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara sebagai usaha menyelamatkan khazanah tersebut.


"Hari ini, terlalu ramai yang melakukan aktiviti mencari harta kapal karam, sama ada dari dalam dan luar negara. Ada antara mereka melakukan aktiviti secara haram dan ini menyebabkan banyak khazanah artifak hilang dan dijual sewenang-wenangnya.

Hasrat mahu melancong terkubur



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
Wan Rohaini Wan Ishak,
Mayat mangsa yang terbaring ditutupi kain putih sebelum dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat. Gambar kecil: Wan Rohaini.
KUANTAN - Hasrat seorang pekerja am rendah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk melancong ke Indonesia bersama rakan setugas  tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan KuantanPelabuhan, berhampiran Sungai Karang Darat, dekat sini, pagi semalam.
Dalam nahas kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Wan Rohaini Wan Ishak, 54, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Indera Mahkota 1 ke tempat kerja di Balok disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.
Motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai  bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda lalu terjatuh menyebabkan dia tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Adik tiri mangsa, Norizan Mamat, 43, berkata, dia mendengar arwah bercakap tentang rancangannya untuk melancong ke Indonesia bersama rakan sekerja sebelum turun dari rumah untuk ke tempat kerja, pagi semalam.
Menurutnya, dia dimaklumkan bahawa mangsa sepatutnya berangkat ke Indonesia pada 9 September ini bagi mengikuti kunjungan bersama kakitangan MPK melalui inisiatif Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dan difahamkan tiket penerbangan ke sana juga sudah dibeli pihak berkenaan.
“Sebelum arwah keluar ke tempat kerja pagi tadi (semalam), saya ada mendengar dia bercakap dengan suami di luar rumah meminta kami mengeluarkan wangnya dalam akaun sebanyak RM1,000 untuk dibawa ke Indonesia namun saya tidak sempat menemuinya ketika itu,” katanya ketika ditemui Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, semalam.
Norizan berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas diberitahu oleh seorang rakan sekerja kakaknya itu yang datang rumah namun tidak  dimaklumkan mengenai keadaan mangsa ketika itu.
“Saya terkejut apabila diberitahu bahawa arwah sudah tiada sejurus tiba di rumah mayat HTAA. Walaupun terkilan dengan kejadian yang menimpanya namun kami tetap reda.
“Arwah seorang yang sangat ramah dan periang justeru disenangi semua ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd jasmani Yusoff ketika dihubungi pemberita petang semalam mengesahkan menerima laporan berhubung nahas tersebut.
Menurutnya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.

Pulangkan segera anak saya



NOOR AZIANTY NORMAN
4 September 2012
Jun Han.
Jun Han.
KUANTAN – “Setiap malam saya tidak dapat melelapkan mata, saya terlalu rindukan anak saya. Pulangkan anak saya!”
Begitulah rintihan seorang ibu yang kehilangan anaknya sejak 17 Ogos lalu, dipercayai dibawa lari oleh kakak iparnya yang dikenali sebagai Yoke Ken yang tinggal di Ampang, Selangor.
Siew Lai Yee, 29, berkata, pada 17 Ogos lalu, anaknya Pan Jun Han, 6, dibawa bercuti oleh adik iparnya ke Genting Highlands bersama kakak iparnya itu.
Namun, ketika adik iparnya itu pulang ke Kuantan, dia memberitahu Lai Yee bahawa anaknya itu dibawa pulang ke Ampang bersama Yoke Ken untuk menghabiskan cuti sekolah di sana.
“Pada mulanya saya tidak kisah serta tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum ini pun dia (Jun Han) sudah biasa tinggal bersama ibu saudaranya. Tetapi kali ini, lain pula jadinya. 
“Saya telah menghubungi kakak ipar supaya dia menghantar Jun Han pulang berikutan sesi persekolahan akan bermula, tetapi dia enggan berbuat demikian dengan alasan dia mahu menjaga anak saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, semalam.
Tambahnya, dia cuba untuk mencari anaknya di Ampang pada 28 Ogos lalu, namun apabila menghubungi kakak iparnya itu, dia memberitahu Jun Han bukan di bawah jagaannya lagi.
“Saya tidak tahu alamat tempat tinggal kakak ipar, yang saya tahu dia tinggal di Ampang. Bila dia memberitahu bahawa Jun Han sudah tiada di rumahnya, saya bertindak membuat laporan polis.
“Sudah banyak kali saya tanya di mana mereka sorokkan anak saya, namun tidak pernah mendapat kerjasama. Demi keselamatan anak saya, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.
Ibu kepada tiga anak ini berkata, sejak kehilangan Jun Han, dia tidak lena tidur serta tidak henti berusaha untuk mendapatkan semula anaknya itu.
“Anak saya seorang yang manja dan saya memang rapat dengannya. Sejak ayahnya terpaksa ditukarkan ke Australia atas tuntutan kerja empat bulan lalu, dia banyak menghabiskan masa dengan saya.
“Jadi, bila dia tidak ada, saya rasa sunyi kerana setiap malam saya tidur bersamanya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, beliau pernah cuba menghubungi Yoke Ken, namun panggilannya itu dijawab dengan kasar.
“Dia (Yoke Ken) enggan memulangkan Jun Han apabila saya meminta dia berbuat demikian dan pernah memberitahu ingin menukar sekolah Jun Han di Ampang.
“Bagaimanpun, kami tidak pasti di mana Jun Han berada sekarang. Justeru, saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kanak-kanak ini menghubungi talian 09-5138300,” katanya.

Jual ubat perangsang tidak berdaftar



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
KOTA BHARU – Seorang peniaga terpaksa bermalam dua hari di penjara selepas Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman itu kerana kesalahan memiliki ubat perangsang seks tidak berdaftar, 14 Mac lalu.
Sidi Nik, 68, didapati bersalah memiliki 21 ubat perangsang seks untuk dijual itu di gerai depan kedai emas di Jalan Hilir Pasar di sini, pada jam 11.20 pagi.
Dia didakwa memiliki ubat termasuk Vial Impotence, Cialis, Maxman Best dan Maxman Three Effectiveness ketika gerainya diserbu Penguat kuasa Farmasi Kelantan.
Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku salah menyebabkan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor turut mengenakan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara sekiranya dia gagal jelas denda. Pendakwaan dikendalikan
Pegawai Pendakwa, Ahmad Fadli Mohamad Dahlan.

Kerani didakwa cabul



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
AYER KEROH - Seorang kerani didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga bekas rakan sekerjanya, Jun lalu.
Hanafiah Idris, 29, dari Bukit Beruang bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan didakwa ke atasnya di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.
Berdasarkan pertuduhan, Hanafiah didakwa sengaja memegang buah dada seorang wanita berusia 24 tahun dengan niat untuk menjatuhkan kehormatan wanita terbabit.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya pada jam 12.39 pada 28 Jun 2012.
Hanafiah didakwa mengikut Seksyen 355 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Hanafiah tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan baru mendapat pekerjaan  selepas dibuang kerja dan menyara ibu yang uzur, selain perlu membayar semula pinjaman wang ketika belajar.
Syajaratudur kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Oktober depan.

Lemas ketika mencari kepah



OTHMAN YAHAYA
4 September 2012
Amran
Mohd Yusuf (kiri) menenangkan isterinya, Rojiha semasa menunggu gerakan mencari dan menyelamat anak mereka yang dikhuatiri lemas dijalankan di pantai Kuala Muda di sini semalam.
KEPALA BATAS - Seorang pekerja kilang dipercayai lemas ketika sedang mencari kepah bersama kembar dan dua rakannya di perairan Kuala Muda di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Amran Mohd Yusuf, 28, bersama kembarnya, Amir, rakannya, Shahrulnizam A Rani, 39, dan Azly Firdaus, 13, dari Taman Mahsuri, Padang Serai, Kulim mula mencari kepah di kawasan kejadian.
Amran anak kedua pasangan Mohd Yusuf Ahmad, 54, kakitangan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Kulim dan Rojiha Sabar, 52, suri rumah, difahamkan tidak pandai berenang hilang ditelan ombak selepas gagal diselamatkan dalam kejadian itu.
Mangsa maut dipercayai lemas selepas selepas tidak menyedari air laut mula pasang.
Bagaimanapun kembar dan dua rakannya bernasib baik selepas kesemua mereka diselamatkan oleh sekumpulan nelayan yang menyedari kejadian itu semasa pulang dari laut menuju ke jeti pendaratan ikan berdekatan kawasan berkenaan.
Mangsa dan kembarnya dikatakan kali pertama mencari kepah di kawasan berkenaan dan kehadiran mereka ke situ hanya diketahui oleh ibu bapa mereka selepas menerima berita malang itu dari polis sejurus kejadian itu berlaku.
Gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba Kuala Muda, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta nelayan tempatan dijalankan sebaik kejadian itu diketahui umum.
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Yusuf yang ditemui di lokasi kejadian berkata, anak kembarnya itu tidak memaklumkan hasrat mencari kepah kepada dia dan isterinya sehinggalah berita malang itu dimaklumkan polis.
“Anak kembar saya ini memang meminati aktiviti memancing dan ini merupakan kali pertama mereka berdua mengikuti rakan mencari kepah.
“Tak sangka aktiviti ini merupakan insiden hitam buat kami sekeluarga,” katanya.
Ibu mangsa yang turut berada di lokasi kejadian gagal ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.
Difahamkan dia telah beberapa kali pengsan hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarganya yang berada di lokasi kejadian. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim yang ditemui mengesahkan kejadian dan berkata gerakan mencari dan menyelamat mangsa giat dilaksanakan.

Padah curi baju kanak-kanak untuk adik



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
AYER KEROH - Padah mencuri pakaian untuk diberikan kepada adiknya, seorang jurujual dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
V Rajesvari, 20, dijatuhi hukuman itu selepas mengekalkan pengakuan bersalah atas tuduhan mencuri di sebuah pasar raya, dua minggu lalu, di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman, semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Rajesvari sebagai jurujual di sebuah pasar raya mencuri dua helai baju dan sehelai seluar kanak-kanak berjenama bernilai RM327 di pasar raya terbabit.
Tertuduh melakukan kesalahan itu antara jam 10 pagi dan 1.50 petang pada 21 Ogos 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh meminta hukuman denda minima kerana perlu menanggung  adik-beradiknya dan akan bertunang bulan depan.
“Saya duduk di dalam lokap empat hari dan ia membuatkan saya benar-benar insaf. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Syajaratudur kemudian menjatuhkan hukuman sehari penjara dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Waspada penyamar TNB



SARINAH MAT KASIM
4 September 2012
Waspada penyamar TNB
penyamar TNB
SEREMBAN - Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dengan individu yang menyamar sebagai pasukan kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan masing-masing.
Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat) TNB, Adelina Iskandar berkata, ia berikutan kes kecurian yang berlaku di Rembau, baru-baru ini.
Menurutnya, setiap petugas yang diarahkan ke mana-mana premis, mereka hanya membuat pemeriksaan sehingga ke meter elektrik sahaja, bukannya di dalam rumah.
“Bagi pasukan kerja TNB yang ditugaskan ke premis pengguna, mereka dibenarkan membuat pemeriksaan setakat meter elektrik sahaja.
“Pasukan kerja ini tidak dibenarkan sama sekali membuat pemeriksaan dan pembaikan pendawaian di dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa TNB,” katanya, semalam.
Adelina berkata, pasukan kerja berkenaan hanya memasuki halaman rumah pengguna dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad kerja atau kad pengenalan diri yang dibekalkan TNB.
“Selain itu, semua petugas ini juga mewajibkan memakai pakaian seragam syarikat, berupa baju T berwarna merah dengan logo TNB, berserta jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama pekerja," katanya.
Menurutnya, sekiranya didatangi pihak mencurigakan yang mendakwa sebagai pasukan kerja TNB, mereka diminta segera menghubungi mana-mana pejabat TNB berdekatan, seperti  tertera di dalam bil elektrik atau menghubungi polis.

Kedai emas dirompak



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
4 September 2012
Azman Salim
Kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput dirompak dan barang kemas dilarikan dalam kejadian itu.
SUNGAI SIPUT – Sekumpulan perompak bertindak menebuk dinding sebuah kedai dan tiga peti besi sebelum melarikan sejumlah barang kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Besar di sini, awal pagi semalam.
Kejadian yang berlaku di antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi semalam hanya disedari oleh anak pemilik kedai emas tersebut ketika dia membuka perniagaan kira-kira jam 9 pagi semalam.
Mangsa berusia 30-an itu kemudian membuat laporan polis selepas mendapati lubang yang boleh memuatkan seorang pada sesuatu masa bahagian atas bilik kebal tersebut.
Difahamkan, bilik kebal berkenaan menempatkan empat peti besi yang digunakan untuk menyimpan barang-barang kemas sebelum dipamerkan di kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azman Salim berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya perompak terbabit merancang jenayah mereka dengan teliti.
Menurutnya, penjenayah dipercayai memasuki pintu belakang sebuah kedai yang telah kosong sejak 12 tahun lalu yang terletak bersebelahan kedai emas tersebut selepas tengah malam.
“Dengan menggunakan alat dipercayai gerudi, mereka membuat lubang di dinding pejabat kedai emas terbabit sebelum mematikan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera. Mereka menggunakan tangga untuk menebuk lubang seluas 0.5 meter di bahagian atas bilik kebal sebelum masuk dan membuka tiga dari empat peti besi.
“Mereka mungkin tidak sempat menebuk peti keempat kerana kekangan masa. Bagaimanapun kerugian masih belum diketahui kerana pemilik berada di Sabah,” katanya kepada Sinar Harian.
Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang melancarkan gerakan memburu penjenayah terlibat.

Rumah musnah terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
M Maniam
Perabot di dalam rumah mangsa yang hangus.
ULU BERANANG - Hasrat sepasang suami isteri yang mahu pulang ke rumah selepas berkunjung ke rumah anak mereka di Mantin berkecai apabila mendapat tahu kediaman mereka di No 7, Rumah Rakyat Ulu Beranang, dekat sini, musnah dijilat api, 30 Ogos lalu.
Mangsa, M Maniam, 58, berkata, ketika kejadian yang berlaku lebih kurang jam 12 tengah malam itu tiada sesiapa berada di rumah.
Menurutnya, dia mengetahui rumahnya terbakar selepas dihubungi jirannya.
"Sejurus menerima panggilan itu, saya bersama isteri, K Devani, 56, bergegas pulang dan ketika kami tiba, api dipadamkan dan rumah sudah terbakar sepenuhnya.
“Kami tidak sempat dapat menyelamatkan apa-apa barang kerana semuanya sudah musnah terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.
Maniam berkata, kerugian yang dialaminya sekitar RM30,000 membabitkan  harta bendanya.
"Kini saya bersama isteri menumpang di rumah salah seorang anak di Mantin," katanya.
Maniam dan Devani dikurniakan lima anak. Kedua-dua mereka tidak bekerja dan hanya bergantung kepada anak-anak.
Maniam berkata, dia bercadang untuk meminta bantuan bagi membaiki rumahnya, malah laporan polis sudah dibuat pada hari kejadian.
“Manakala laporan bomba pula dijangka diterima dalam tempoh dua minggu setelah siasatan siap dijalankan.
“Kedua-dua laporan ini akan kami serahkan kepada wakil rakyat kawasan Lenggeng, Mustafa Salim untuk memohon bantuan,” katanya.
Sementara itu, Mustafa berkata, pihaknya sudah menyampaikan bantuan kilat kepada mangsa sejurus kejadian berlaku.
“Selain Pejabat Dewan Undangan Negeri Lenggeng, MIC Seremban turut menyampaikan bantuan wang ringgit kepada mangsa.
“Malah Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyampaikan bantuan seperti tilam, bantal kepada mangsa kerana semua perabotnya musnah," katanya.
Katanya, selain itu, pihaknya bercadang memohon bantuan Kerajaan Negeri di bawah Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana ia merupakan rumah rakyat.
"Struktur rumah berkenaan masih berkeadaan baik dan boleh dibaiki meskipun hangus terbakar," katanya.

Kemalangan lima kenderaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
Muhd Taib Ahmad
Lima kenderaan termasuk sebuah motosikal terlibat dalam kejadian kemalangan di KM55.5 Jalan Klang-Teluk Intan.
SUNGAI TERAP - Kegembiraan sekeluarga yang dalam perjalanan pulang dari Taman Tema Genting Highland berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan melibatkan  lima kenderaan di KM55.5 Jalan Klang-Teluk Intan, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, seorang pemandu dan anaknya maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandu dari arah Kuala Selangor menuju ke Tanjong Karang cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan melalui garisan pembahagi jalan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad, pemandu, Gan Han Siong, 28, dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian kanan belakang kereta jenis Proton Satria di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda City melalui jalan itu pada masa sama.
“Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu Han Siong berpusing dan kemudiannya melanggar sebuah motosikal yang ditunggang bekas kakitangan Agrobank, Mohd Amir Sarif, 65, yang ketika itu dalam perjalanan dari Tanjong Karang menghala ke Kuala Selangor," katanya.
Muhd Taib berkata, akibat kejadian itu, mangsa tercampak tidak jauh dari kenderaannya yang terhumban ke dalam parit berhampiran manakala anaknya, Gan Chui Yin, 11, melambung kira-kira tujuh meter ke dalam kebun kelapa sawit dari tempat kejadian.
Menurutnya, mangsa dan anaknya yang beralamat di No 13, Jalan Wawasan 1, Taman Wawasan Tanjong Karang itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, Mohd Amir yang beralamat di Blok S, Sawah Sempadan itu turut terkorban dalam nahas terbabit.
“Akibat pelanggaran itu, isteri dan anak kepada mendiang Han Siong mengalami kecederaan teruk dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh manakala pemandu kereta jenis Honda City dan dua penumpang mengalami kecederaan ringan serta patah bahu kanan.
“Dalam masa sama, sebuah lagi pemandu kereta jenis Perodua Viva yang melihat pelanggaran itu cuba menggelakkan lalu terjunam masuk ke dalam kawasan parit. Pemandu dan seorang penumpang terbabit dilaporkan cedera ringan,” katanya.
Muhd Taib berkata, ketiga-tiga mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing manakala isteri dan anak kepada mendiang Han Siong sehingga semalam dilaporkan sudah sedarkan diri dan stabil di Hospital Sungai Buloh.

Buruh tipu duit pesara



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
Shee Fook
Tertuduh diiringi anggota penjara keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU - Seorang buruh dihukum 15 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah menipu RM40,000 duit pesara juru ukur tanah, tahun lalu.
Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor mengarahkan tertuduh, Shee Fook,64, menjalani hukuman itu, semalam.
Dia mengaku memperdaya dan mendorong Mohd Nor Mat Hassan, 86, pada jam 3.15 petang, 7 Ogos 2011.
Penipuan itu sebagai cara mengelak pengenaan cukai pendapatan bersama bayaran keseluruhan lima tahun penyewaan tanah.
Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukuman terhadapnya diringankan.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam bagaimanapun, memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Bangkai bergelimpangan



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
Bangkai bergelimpangan
Bangkai biri-biri di hadapan sekolah agama, malam kelmarin.
RANTAU PANJANG - Sebanyak 10 bangkai biri-biri bergelimpangan di bahu kiri dan kanan jalan di hadapan sekolah agama di sini, malam kelmarin, dipercayai dilanggar kenderaan berat.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam ketika hujan lebat dan keadaan di situ agak gelap.
Haiwan tersebut dipercayai dilanggar kenderaan berat berdasarkan jarak yang jauh antara satu sama lain.
Perkara ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat memandangkan kemalangan disebabkan haiwan ternakan begitu kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.
Seorang penduduk dikenali Mat, 48, berkata, masalah ternakan berkeliaran di sekitar Rantau Panjang bukan lagi perkara baru.
Dia sendiri sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab supaya turun padang seterusnya menangkap haiwan tersebut.
Menurutnya pihak terbabit patut lebih kerap membuat operasi supaya pemilik lebih berhati-hati.
“Pemilik ternakan kebanyakan hanya membiarkan ternakan berkeliaran di merata tempat.
“’Keadaan ini membahayakan pengguna jalan,” katanya.
Mat berkata, pekan Rantau Panjang sendiri turut menjadi tumpuan ternakan sehingga mengganggu pengunjung membeli belah.
Menurutnya, keadaan ini cukup memalukan masyarakat setempat kerana pekan ini sentiasa dikunjungi pengunjung sama ada dari dalam atau luar Kelantan.
“Justeru, saya mengharapkan pihak berkuasa lebih kerap membuat operasi menangkap ternakan berkeliaran di atas jalan.
“Saya yakin jika operasi berterusan, pemilik tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan ternakan mereka,” katanya.

Ketua sindiket dadah miliki harta luar biasa di Malaysia, Nigeria



NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
4 September 2012
Ketua sindiket dadah miliki harta luar biasa di Malaysia, Nigeria
Noor Rashid (dua,kanan) menunjukkan rampasan bagasi yang menempatkan dadah jenis syabu dan heroin selepas polis menahan ketua sindiket, teman wanita serta rakan mereka, baru-bar
KUALA LUMPUR – Ketua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang ditahan Sabtu lalu memiliki harta kekayaan luar biasa di sini dan negara asalnya, Nigeria.

Dengan hanya memperoleh wang hasil aktiviti haram tersebut, dia mampu membeli sebuah banglo di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan dan mempunyai dua buah kereta mewah jenis BMW serta Toyota Camry.

Lebih mengejutkan, lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai sebuah hotel di negara asalnya, selain turut menghantar pulang wang penjualan dadah dipercayai untuk kegunaan keluarga dan konco-konconya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, rahsia kekayaannya terbongkar selepas polis menahan suspek bersama teman wanitanya, warga tempatan, berusia 31 tahun, di banglo tersebut.

“Suspek merupakan ketua salah sebuah sindiket penyeludupan dadah. Dia merupakan perancang yang mengaturkan kemasukan dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Dia juga akan menentukan modus operandi untuk membawa masuk dadah bagi mengaburi mata penguat kuasa,” katanya di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati teman wanita yang tinggal bersamanya itu mengetahui penglibatan suspek dalam kegiatan penyeludupan dadah.
Noor Rashid berkata, polis mula mengesan suspek sejak enam bulan lalu selepas mendapat maklumat berhubung kegiatannya.
“Kita masih menyiasat sejak bila suspek mula terlibat dan menjadikan negara sebagai transit dadah. Konco-konco dan rangkaian sindiket juga sedang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua harta kekayaan suspek di dalam negara ini disita.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan rahsia pasangan kekasih itu terbongkar selepas polis menahan rakan lelaki mereka, warga Nigeria, berusia 35 tahun di sebuah apartmen di Taman Sri Hartamas, Jumaat lalu.
Polis merampas 19 bagasi mengandungi 26 bungkusan plastik dadah jenis syabu seberat 26.8 kilogram (kg) dan 17 bungkusan plastik dadah heroin seberat 16.9kg yang semuanya bernilai lebih RM5.6 juta.

Dadah itu dibawa masuk melalui KLIA oleh keldai dadah, baru-baru ini.

Tumbuk adik kerana periuk



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
Mustafa Said
Mustafa mengaku memukul adik perempuannya selepas mangsa enggan menyerahkan periuk yang dihadiahkan sempena perkahwinan 15 tahun lalu.
KUALA TERENGGANU  – Seorang abang bukan sahaja tergamak meminta semula periuk yang pernah dihadiahkan kepada adik perempuannya sempena hari perkahwinan 15 tahun lalu, namun lebih menyedihkan dia sanggup bertindak menggunakan kekerasan apabila adiknya enggan memulangkan semula hadiah berkenaan.
Dia yang bekerja sebagai tukang besi itu mencederakan mangsa dengan menumbuk dahi, badan dan dada selepas naik angin apabila mangsa berdegil tidak mahu memulangkan periuk tersebut atas alasan tertentu.
Mustafa Said, 40, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM500 atau seminggu penjara jika gagal menjelaskan denda itu oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman tersebut selepas bapa kepada dua anak itu mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya, Fadilah, 35, di halaman rumah di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, di sini, kira-kira jam 7 petang, 29 Ogos lalu.
Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa.
Terdahulu dalam rayuannya, Mustafa merayu mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan perlu menanggung ahli keluarga, termasuk dua anak yang masih kecil serta seorang ibu yang sedang sakit dan mendakwa telah insaf atas perbuatannya itu.
Berdasarkan fakta kes, Mustafa naik angin lalu menumbuk dahi, badan dan dada adiknya selepas mangsa tidak mengendahkan permintaannya supaya adiknya itu memulangkan semula periuk yang dihadiahkannya, ketika perkahwinan mangsa kira-kira 15 tahun lalu.
Selepas mencederakan adiknya, Mustafa kemudian meninggalkan rumah berkenaan dan mangsa yang bimbang kejadian sama berulang, membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit, di sini.

Pengantin berputih mata kereta dipecah masuk



WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
Pengantin berputih mata kereta dipecah masuk
Bahagian cermin sisi kereta milik pengantin yang dipecahkan oleh pencuri di Surau Taman Semarak.
PARIT BUNTAR - Sepasang pengantin baru tidak menyangka hari bersejarah mereka berakhir dengan tragedi apabila kereta milik pasangan itu dipecah masuk di Taman Semarak, di sini, petang kelmarin.
Kejadian itu menyebabkan mereka mengalami kerugian hampir RM3,000.
Pengantin lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azril, 27, berkata, sebelum kejadian berlaku, kereta jenis Myvi yang dipecah masuk itu digunakan oleh keluarga pengantin perempuan untuk menghadiri majlis resepsi perkahwinan dianjurkan pengantin lelaki.
Menurutnya, kereta itu diletakkan bersama-sama dua kenderaan milik jurugambar di tempat parkir berhadapan Surau Taman Semarak.
"Kejadian kereta saya dipecah masuk hanya disedari kira-kira jam 4 petang apabila adik saya yang hendak mengambil barang di dalam kereta berkenaan terkejut melihat cermin sisi bahagian kiri pecah dan  kaca bertaburan di atas tempat duduk penumpang.
“Saya dan isteri yang ketika itu hendak ke lokasi penggambaran untuk sesi fotografi terkejut dengan kejadian itu dan bergegas memeriksa barang-barang yang disimpan di dalam kenderaan itu," katanya.
Tambahnya, setelah memeriksa di dalam kereta, dia  mendapati dompet, beg tangan isteri dan tiga telefon bimbit jenis Samsung, Sony Ericsson dan Nokia yang disimpan di dalam beg tangan telah dicuri bersama-sama sebuah beg berisi baju persalinan untuk sesi fotografi.
“Saya rasa terkejut dan sedih apabila perkara malang sebegini berlaku pada hari berbahagia kami dan kami menganggarkan kerugian keseluruhan hampir RM3,000 termasuk wang tunai dan kos membaiki cermin,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di pekarangan Balai Polis Parit Buntar, di sini lewat petang kelmarin.
Azril berkata, berikutan kejadian itu, beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan cuba menjejaki ketiga-tiga telefon bimbit yang  hilang di kedai menjual alat komunikasi sekitar pekan baru Parit Buntar.
Menurutnya, salah sebuah telefon bimbit itu berjaya dikesan dan ia telah dijual di sebuah premis kira-kira dua jam selepas kejadian itu, manakala dua lagi telefon bimbit gagal dikenal pasti.
“Berikutan penemuan itu, saya bersama isteri terus membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar pada jam 5 petang dan berharap pihak berkuasa dapat menjejaki individu tidak bertanggungjawab yang sanggup membuat onar pada hari bersejarah kami.
“Bagi kami, peristiwa ini pasti tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Saya juga berharap polis dapat meningkatkan pemantauan di kawasan perumahan kami kerana  kejadian samun dan pecah masuk kenderaan penduduk semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian terbabit dan menjelaskan kes itu masih dalam siasatan polis.

GRO meringkuk dalam kabinet

CUBA SOROK... seorang GRO ditemui dalam kabinet dalam serbuan Unit ATIP Bukit Aman di pusat karaoke di Seri Kembangan.
CUBA SOROK... seorang GRO ditemui dalam kabinet dalam serbuan Unit ATIP Bukit Aman di pusat karaoke di Seri Kembangan.
SERI KEMBANGAN: Seorang pelayan pelanggan (GRO) sebuah pusat karaoke di Taman Pinggiran Putra, di sini, cuba bersembunyi dalam kabinet sebelum ditemui dalam keadaan meringkuk ketika pusat hiburan itu diserbu Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman, malam kelmarin.
Dalam serbuan jam 10.55 malam, 23 wanita warga Thailand, China dan Vietnam berusia 19 hingga 30 tahun ditahan selepas didapati menyalahguna pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO di pusat karaoke yang beroperasi sejak Januari tahun ini.
Ketua Unit ATIP Bukit Aman, Deputi Superintendan Nor Omar Sappi berkata, wanita terbabit yang bertubuh kecil cuba mengambil kesempatan menyorok dalam kabinet menempatkan pemain set karaoke ketika anggota unit berkenaan sibuk memeriksa premis itu.

Menurutnya, pusat karaoke itu didapati berselindung atas nama hiburan keluarga tetapi disyaki turut menawarkan khidmat seks pada kadar RM160.


“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang mendakwa wujud aktiviti eksploitasi seks membabitkan wanita warga asing.

“Malah, ketika serbuan, dua pelanggan lelaki tempatan sedang melakukan hubungan seks di bilik yang disediakan khas di premis lain, 50 meter dari pusat karaoke,” katanya.

Nor Omar berkata, pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks akan membuat rundingan di kaunter bagi memilih wanita diingini sebelum dibawa ke premis lain yang menempatkan enam ranjang dan dijaga seorang pekerja.

“Pekerja terbabit akan memberi kunci bilik ranjang itu kepada pelanggan terbabit apabila dimaklumkan pihak kaunter selepas bayaran dibuat.

“Pelanggan karaoke juga disediakan khidmat GRO warga asing yang akan melayan mereka mulai jam 8 malam hingga 4 pagi untuk setiap bilik mengikut pakej tertentu pada harga antara RM500 hingga RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pusat karaoke terbabit turut beroperasi tanpa lesen dan pernah dua kali diserbu sebelum ini, tetapi pengusahanya masih tidak serik apabila meneruskan aktiviti persundalan di sebalik pusat hiburan.

“Oleh itu, kami turut menahan 14 pelanggan dan lima pekerja untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Dua GRO yang ditahan ketika melakukan seks dengan pelanggan pula akan didakwa mengikut Seksyen 12, Akta ATIP 2007,” katanya.

2 pelajar Malaysia maut kemalangan jalan raya di Rusia




3 September 2012
Zainol Abidin Omar
Zainol Abidin Omar
VLADIVOSTOK, Rusia - Dua pelajar Malaysia terbunuh dan lima yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya di Rusia lewat malam tadi, demikian menurut duta besar Malaysia, Datuk Zainol Abidin Omar, hari ini.
  
Beliau berkata, pelajar itu dikenalpasti sebagai Hanisah Muhd Shah, pelajar tajaan Mara dari Dungun, Terengganu; dan Adzreen Binyati, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dari Putrajaya.
  
Penuntut itu, kedua-duanya pelajar tahun lima dari Akademi Perubatan Negeri Nishny Novgorod, sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van dengan lima rakan lain universiti itu dari lapangan terbang Moscow ke Vladimirskaya bila kemalangan berlaku, kata beliau.
  
Beliau berkata, pelajar itu baru saja pulang dari Malaysia selepas cuti Hari Raya untuk memulakan semester baru.
  
Zainol Abidin berkata Hanisah mati di tempat kejadian sementara Adzreen dalam perjalanan ke hospital.

Beliau berkata van yang dinaiki pelajar itu berlanggar secara berdepan dengan sebuah van lain. 
  
Zainal Abidin berkata lima lagi pelajar itu kini dirawat di sebuah hospital di Vladimirskaya.
  
Beliau mengenalpasti mereka sebagai Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza.
  
Ketika memberikan butir-butir kepada wartawan Malaysia yang meliputi sidang APEC 2012, Zainal Abidin berkata bantuan segera telah ditawarkan kepada pelajar berkenaan berikutan laporan daripada seorang daripada mereka mengenai kemalangan itu. 
  
"Segala bantuan akan diberikan kepada pelajar di hospital sementara persiapan sedang dibuat segera untuk membawa pulang mayat kedua-dua pelajar itu," kata beliau.

"Ini tragedi dahsyat dan yang pertama di sini," kata beliau.
  
Beliau juga berkata keluarga semua pelajar berkenaan telah diberitahu mengenai kemalangan itu.
  
"Mereka begitu terkejut, kerana baru saja beberapa jam sebelumnya pelajar itu meninggalkan Kuala Lumpur," kata beliau.  - Bernama