Search This Blog

Sunday, September 2, 2012

Kanak-kanak tiga tahun maut jatuh sungai



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Kanak-kanak tiga tahun maut jatuh sungai
Kanak-kanak tiga tahun maut jatuh sungai
KERIAN - Seorang bapa tidak menyangka keputusannya meninggalkan anak perempuannya berusia tiga tahun berseorangan sebentar di luar rumah berakhir dengan tragedi apabila mangsa maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuala Kurau di sini, dalam kejadian petang kelmarin.

Bapa mangsa, Ong Keng Yaw, 35, berkata, ketika kejadian jam 6 petang, mangsa, Ong Xin Tong yang berusia tiga tahun ditinggalkan sebentar di pekarangan kawasan rumahnya untuk mandi sebentar.

Bagaimanapun, selepas selesai siapkan diri, dia tidak nampak kelibat anak perempuannya itu malah ahli keluarga lain yang berada di dalam rumah juga tidak menyedari kehilangan mangsa.

“Sedang kami berusaha mencari di seluruh kawasan rumah, tiba-tiba salah seorang anak jiran yang berusia enam tahun memberitahu kami yang dia ada ternampak mangsa terjatuh ke dalam sungai di hadapan rumah kami kira-kira 15 minit sebelum itu.

“Saya bergegas terjun ke dalam Sungai Kuala Kurau dan berjaya menemui anak saya dalam keadaan lemas.

“Bagaimanapun, saya kecewa kerana usaha menyelamatkan nyawanya gagal dan dia meninggal ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini, semalam.

Keng Yaw berkata, mangsa sebelum ini tidak pernah merayau-rayau keluar dari kawasan rumah secara bersendirian dan terkilan tindakan mangsa pertama kali keluar bersendirian berakhir dengan tragedi menyayat hati.

“Kami sekeluarga berasa amat sedih dengan pemergian mendiang anak perempuan saya. Bagaimanapun, saya menganggap apa yang berlaku adalah suratan takdir yang perlu kami hadapi dengan tabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Warga emas hilang ditemui mati



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
BATU PAHAT - Misteri kehilangan seorang wanita, Fatimah Omar, 99, sejak 26 Ramadan lalu terungkai apabila mayatnya ditemui di kawasan semak di kebun kelapa sawit, hanya kira-kira 300 meter dari rumah didiaminya di Sri Gading di sini, semalam.

Fatimah yang mengalami masalah nyanyuk ditemui kira-kira 11 pagi oleh seorang pemuda yang sedang meracun rumput di kebun itu di Lorong 3 Kampung Baru, Sri Gading manakala arwah sebelum ini tinggal bersama anaknya Saliman Podo, 55, di Lorong 2 kampung sama.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, warga emas itu ditemui dalam keadaan berkemban dan mayatnya telah reput.

“Seorang pekerja di kebun kelapa sawit yang sedang meracun rumput terhidu bau busuk sebelum menemui mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sinar Harian  baru-baru ini melaporkan, Fatimah disedari hilang oleh keluarganya ketika hampir waktu berbuka puasa dan pelbagai gerakan mencari telah dilakukan namun tidak berjaya menemuinya.

Pada hari tersebut, keluarganya memanggil arwah untuk berbuka puasa bersama-sama namun panggilan itu tidak dijawab dan disangkakan warga emas itu tidur di dalam bilik tetapi setelah melihatnya tiada ahli keluarga terus mencari di kawasan sekeliling rumah namun usaha mereka menemui jalan buntu.

Din berkata, polis telah melakukan pelbagai usaha mencari sebelum ini termasuk dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan mengedarkan gambar arwah di tempat awam di sini sehingga ke Johor Bahru.

“Sebelum ini, arwah beberapa kali merayau dan hilang akibat masalah nyanyuk tetapi dapat dilihat oleh jiran-jiran yang kemudiannya menghantarnya pulang semula ke rumah.

“Bagaimanapun, pada hari itu, dia hilang pada waktu berbuka puasa jadi tiada sesiapa yang nampak kerana semua orang sibuk nak berbuka dan lebih malang dia hilang di kawasan semak dalam kebun kelapa sawit,” katanya.

Beliau turut menyatakan siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah dalam kes itu dan keluarga arwah mengenalinya menerusi kain dipakai, susuk badan dan rambut arwah.

Nyaris maut dilanda ribut



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Nyaris maut dilanda ribut
Pokok durian berusia lebih 30 tahun tumbang menghempap rumah Khairu Azlan menyebabkan lebih 80 peratus rosak.
Nyaris maut dilanda ribut
Saravanan (kiri) meninjau rumah yang terjejas teruk akibat ribut malam kelmarin.
BATANG PADANG - Lima beranak nyaris maut apabila sebatang pokok durian berusia lebih 30 tahun tumbang sebelum menimpa rumah mereka sehingga merosakkan sebahagian besar kediaman, di Kampung  Petalin Baru, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam kelmarin itu, menyebabkan tujuh buah rumah di Kampung Petalin Baru dan Kampung Padang di sini rosak dalam kejadian ribut itu.

Salah seorang mangsa, Khairul Azlan Ahmad, 43,berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam bermula dengan hujan lebat diselangi angin kencang.


Bunyi dentuman kuat

“NAMUN begitu, tidak lama kemudian, kami sekeluarga ketika berehat di ruang tamu terdengar bunyi seakan-akan ranting pokok patah tetapi tidak diendahkannya kerana beranggapan ia adalah perkara biasa setiap kali hujan.

“Secara tiba-tiba, kami terdengar dentuman yang kuat di bahagian belakang rumah dan menyebabkan kami lari lintang-pukang menyelamatkan diri.

"Saya tidak menyangka rumah yang dibina sejak tahun 1996 musnah apabila ditimpa sebatang pokok durian yang tumbang akibat angin kencang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Khairul Azlan berkata, keluarganya  bernasib baik anak serta isterinya selamat kerana berada di ruang tamu walaupun lebih 80 peratus  kediamannya rosak teruk.

Katanya, pokok durian iu juga mengakibatkan dua buah rumah jirannya rosak di bahagian dapur dan bumbung rumah.


Zink terbang ditiup angin

BAGI Mohammad Mahathir, 29, kejadian ribut itu memang mencemaskan apabila beberapa  keping zink rumah pusaka milik rakannya turut diterbangkan.

Katanya, dia dan rakan yang baru pulang dari kerja di Bidor pada jam 8.45 malam terkejut apabila melihat beberapa keping zink rumahnya telah 'hilang'.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ruang rumahnya dibasahi dengan air hujan dalam kejadian itu.

“Walaupun keadaan rumah dibasahi hujan dan beberapa keping zink telah diterbangkan angin, kami tetap bersyukur kepaa ALLAH kerana tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku,” katanya.


Mohon bantuan YBU-  Saravanan

AHLI Parlimen Tapah, Datuk M.Saravanan ketika melawat mangsa di dua buah kampung berkata, pihaknya akan memohon bantuan Yayasan Bina Upaya (YBU) bagi membina sebuah rumah buat Khairul Azlan kerana rumahnya rosak teruk.

“Selain itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tapah akan membantu memberikan bantuan untuk baik pulih rumah penduduk lain yang rosak akibat kejadian ribut malam kelmarin.

“Saya melahirkan rasa simpati kepada mangsa ribut dan berharap agar mereka dapat menghadapi dugaan ini dengan sabar,” katanya.

Lembu 'lepak' di jalan, penunggang motosikal cedera



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Lembu 'lepak' di jalan, penunggang motosikal cedera
Sukarelawan JPAM memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang, kelmarin.
RANTAU PANJANG – Dua penunggang motosikal cedera setelah merempuh seekor lembu yang berkeliaran di jalan dalam satu kejadian berhampiran Simpang Empat Salam di sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian, seorang mangsa, Razahan Hamid, 23, yang menunggang sendirian, dalam perjalanan dari Taman Bakti ke rumahnya di Gual Periok.

Setibanya di tempat kejadian, mangsa tidak dapat mengelak haiwan berkenaan dan merempuhnya hingga terjatuh.

Berikutan kejadian, tangan serta siku mangsa cedera dan dihantar sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Manakala mangsa kedua, mengalami cedera ringan.

Adik Razahan, Safuan, 20, berkata, abangnya dalam perjalanan pulang menghantar motosikal ke rumahnya.

Menurutnya, keadaan di tempat kejadian gelap menyebabkan abangnya tidak dapat mengelak haiwan ternakan di laluan itu.

"Pihak terbabit patut menyediakan kemudahan lampu di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian berulang.

“Pemilik lembu pula tidak seharusnya membiarkan ternakan berada atas jalan terutama pada waktu malam kerana bakal mengundang musibah kepada pengguna jalan.

“Manakala, pihak berkuasa juga patut memantau haiwan yang tidak dikurung,” katanya.

Penunggang motosikal kuasa tinggi maut kemalangan



AHMAD ISMADI ISMAIL
2 September 2012
SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menghala ke Subang Jaya maut selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 31.6 Lebuhraya Persekutuan, awal pagi tadi.
Difahamkan dalam kejadian jam 3 pagi itu, tangan mangsa, Fuad Wadduddin, 23, yang menunggang motosikal bersendirian juga hampir putus.
Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintenden Azmi Mansor berkata, mangsa berkemungkinan gagal mengawal motosikalnya jenis Yahama R6, lalu terbabas di tengah jalan sebelum merempuh penghadang jalan.
“Mangsa tercampak ke arah bertentangan jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Insiden ngeri itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di kaki dan tangannya hampir putus," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa tidak ikut laluan motosikal di lebuh raya berkenaan dan pihaknya meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Mayat reput ditemui tersangkut



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Mayat reput ditemui tersangkut
Polis dan Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri melakukan siasatan berhubung penemuan mayat berkenaan.
PORT DICKSON – Niat orang awam untuk berekreasi di pantai Port Dickson, di sini, membawa kepada penemuan satu mayat dewasa yang masih belum dikenal pasti identitinya yang ditemui tersangkut pada batu di Pantai 3 ½ Bagan Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira pada jam 4.20 petang.

“Keadaan mayat ketika dijumpai tidak berpakaian dan beberapa anggota badan telah rosak sehingga menyukarkan polis untuk mengenal pasti identiti mangsa.

“Mayat terbabit tersangkut pada batu susulan air pantai surut dan polis percaya mangsa meninggal lebih dari tiga hari. Pasukan Bomba dan Penyelamat Port Dickson kemudiannya membantu membawa mayat berkenaan ke darat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati anggota badan mangsa tidak mempunyai sebarang kesan luka ataupun tikaman.

“Mayat berkenaan dibawa ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian,” katanya.

Sementara itu, Abd Wahab berkata, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau sanak saudara diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Port Dickson di talian 06-6472222 bagi membantu siasatan.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Pelajar tingkatan empat maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Pelajar tingkatan empat maut
Anggota JPAM memeriksa Muhammad Yusri dan didapati dia sudah meninggal dunia di Kampung Jawek. Gambar kecil: Muhammad Yusri Asyraf.
JERTIH -  Seorang pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Vokasional Besut meninggal dunia apabila motosikal yang di boncengnya merempuh belakang sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Jawek dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, mangsa Muhammad Yusri Asyraf Ali, 16, dari Alor Lintang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, penunggang motosikal itu yang juga rakan sebaya mangsa mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, sebelum kejadian sebuah kereta Kancil yang dipandu seorang wanita datang dari arah Jertih kemudian ingin memasuki lorong sebelah kanan jalan.

“Pada masa sama motosikal yang dinaiki mangsa datang dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta menyebabkan kedua-dua mangsa menghentam kereta tersebut dan terpelanting di atas jalan,” katanya.

Kamaruddin berkata, akibat kemalangan itu mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala rakannya Mohd Ikhwan Kaswadi yang belajar di sekolah sama mengalami patah kaki kanan.

Mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Besut manakala rakannya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, bagaimanapun wanita yang memandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan.

Mereka difahamkan dari Jertih dan ingin pulang ke rumah mangsa yang terletak di Rumah Awam (Tangki Air) Alor Lintang dekat Kampung Raja.

Hadang pintu bilik, taktik bersama kekasih hamil 7 bulan



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Hadang pintu bilik, taktik bersama kekasih hamil 7 bulan
Pegawai Penguatkuasa JAJ menenangkan bekas tentera itu ketika pemeriksaan dilakukan.
KLUANG - Panik apabila pintu bilik hotel yang ditumpangi diketuk penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang, seorang lelaki sanggup mengadang pintu biliknya dengan sebuah meja bagi menyelamatkan diri bersama pasangan kekasihnya daripada ditahan dalam Ops Maksiat, awal pagi kelmarin.

Selepas hampir 10 minit mendiamkan diri tanpa memberi tindak balas, pintu bilik berkenaan dipecahkan pihak penguatkuasa.

Menurut Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor, pemeriksaan penguatkuasa mendapati, seorang lelaki berusia 33 tahun bersama pasangannya berusia 19 tahun yang sedang mengandung tujuh bulan berada di dalam bilik hotel itu.

“Pihak kita juga menghadapi sedikit masalah apabila lelaki itu yang juga bekas tentera tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pegawai penguatkuasa JAJ kepadanya,” katanya.

Mohd Khalil berkata, hasil soal siasat, lelaki tersebut telah diberhentikan daripada perkhidmatan tentera kerana kesalahan tatatertib dan sudah mempunyai isteri serta empat anak yang tinggal di Taman Sri Impian.

“Manakala pasangannya itu tidak bekerja setelah menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut memberitahu yang dia mahu bernikah apabila mengetahui kekasihnya mengandung, tetapi hasratnya terbantut apabila mendapat tentangan daripada isteri.

“Bagaimanapun, pasangan tersebut dibebaskan setelah diikat jamin oleh keluarga masing-masing dan akan didakwa di bawah Seksyen 23(1) (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

“Pasangan  itu adalah antara tujuh pasangan yang telah berjaya ditahan dalam Ops Maksiat sempena Hari Merdeka awal pagi kelmarin,” katanya.

Operasi yang dijalankan itu juga telah diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin dan melibatkan lapan anggota Penguatkuasa JAJ daerah Kluang serta empat anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Eksekutif pelantar minyak dicekup



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Eksekutif pelantar minyak dicekup
Lima penagih termasuk seorang eksekutif di pelantar minyak ditahan dalam serbuan di port penagih dekat Alor Mak Bah.
DUNGUN – Tindakan licik sekumpulan penagih menjadikan bangsal memotong kayu di satu kawasan terpencil dalam semak di Kampung Alor Mak Bah, dekat sini sebagai port untuk melepaskan gian akhirnya berjaya dihidu pihak berkuasa.

Hasil risikan, port yang dijadikan tumpuan penagih di kawasan sekitar itu diserbu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dan berjaya menahan lima suspek.

Dalam serbuan diketuai Inspektor Wahid Sujani itu, salah seorang suspek ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, merupakan seorang eksekutif di pelantar minyak.

Suspek terbabit dikatakan mengambil kesempatan sempena cuti dua minggu untuk menemui rakannya sebelum berkongsi dadah di dalam port yang letaknya agak terpencil dari rumah penduduk itu.

Suspek, 30an dari Pulau Serai Dungun difahamkan berpendapatan RM11,000 sebulan itu dikatakan sudah dua tahun terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan perbuatannya itu tidak diketahui isterinya yang dinikahi sejak lebih dua tahun lalu yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana.

Ujian saringan air kencing mendapati lima suspek termasuk kakitangan di pelantar minyak itu didapati positif dadah methampethamine.

Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah berdekatan, polis terpaksa berhempas pulas apabila dua suspek yang terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa bertindak meloloskan diri dengan memanjat pagar selain meredah semak sebelum berjaya ditahan.

Dua daripadanya dikatakan rakan kepada lima suspek yang ditahan dalam serbuan di bangsal memotong kayu turut disahkan positif dadah.


Dapat ribuan ringgit jual dadah kepada pelajar

Sementara itu, usaha polis untuk menjejaki saki baki penagih serta dalang yang membekal bahan terlarang itu terus membuahkan hasil, apabila 10 lagi ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Bukit Bauk, Batu Tujuh, Dungun.

Hasil siasatan, seorang daripada suspek berusia 21 itu dikatakan sudah dua tahun terjebak dengan aktiviti pengedaran dadah dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan dengan menjual dadah kepada pelajar kolej.

Pelajar semester akhir jurusan kejuruteraan itu turut mengakui terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah kerana menghadapi masalah kewangan dan ia merupakan satu cara untuk mendapatkan wang cara mudah.

Pelajar yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu ditahan reman kerana disyaki memiliki dadah apabila polis berjaya menemui kira-kira 90 biji pil kuda dipercayai dalam kawalannya ketika serbuan di rumah sewa diduduki bersama sahabatnya yang belajar di kolej sama itu.

Sembilan lagi yang lain berusia 19 hingga 22 tahun, masing-masing berasal dari Kota Bharu, Kelantan; Jertih, Besut; Manir, Marang dan Permaisuri kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.

Enam daripadanya selepas menjalani ujian saringan air kencing disahkan positif dadah jenis methampethamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua daripada enam pelajar direman itu turut disiasat mengikut Seksyen 12( 2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki bahan yang dilarang itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan tangkapan tersebut menasihatkan remaja agar tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat segelintir individu yang menjanjikan pendapatan lumayan melalui pekerjaan yang tidak diketahui menyalahi undang-undang.

“Sesiapa yang terbabit dalam aktiviti seperti ini bakal menerima natijahnya apabila mereka dihadapkan ke mahkamah nanti,” katanya.

Didalangi kongsi gelap

KUALA LUMPUR: Penggunaan senjata api secara tidak sah di negara ini masih didominasi sindiket atau kongsi gelap tertentu bagi melindungi kegiatan haram mereka seperti pengedaran dadah, perjudian, pemerasan atau pusat hiburan yang dijalankan secara haram.
Ia biasanya digunakan untuk memastikan aktiviti golongan itu tidak diganggu pihak berkuasa atau dicabar pihak lain, sekali gus mendedahkan setiap anggota penguat kuasa, khususnya polis, dengan pelbagai ancaman ketika menjalankan tugas.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya sentiasa mengawasi perkembangan itu dan menyifatkan ia masih terkawal dengan adanya pencegahan dan penguatkuasaan berterusan.

“Kita sentiasa pantau dan peka dengan perkara berkenaan, namun kita juga harus sedar kawasan sempadan kita sangat luas dan sukar mengintip setiap inci ruang yang ada.

“Yang boleh saya katakan, kegiatan jenayah membabitkan senjata api di negara ini tidak membimbangkan dan orang ramai tidak perlu risau,” katanya ketika ditanya mengenai tiga kes kematian membabitkan senjata api dilaporkan dalam masa seminggu.

Beliau berkata, tidak adil jika menyatakan kes membabitkan senjata api menjadi-jadi kerana beberapa kes yang dilaporkan hanya membabitkan di kawasan tertentu, malah ia pasti mempunyai motif yang kini masih dalam siasatan.


“Seperti saya katakan, senjata api biasanya digunakan kongsi gelap atau sindiket tertentu untuk melindungi kepentingan atau aktiviti sulit mereka dan kita sentiasa berusaha mengesan kewujudannya serta mengalu-alukan maklumat orang ramai,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sejak 2009 polis merampas pelbagai senjata api daripada pengedar yang ditahan dalam beberapa siri serbuan di seluruh negara.

Menurutnya, senjata itu biasanya digunakan untuk melindungi kegiatan mereka daripada diganggu, namun pihaknya ada pendekatan sendiri untuk melumpuhkan aktiviti itu.

Setakat ini, katanya, pihaknya belum menerima maklumat mengenai tawaran atau pakej yang menawarkan senjata api secara percuma kepada pengedar tempatan oleh pembekal dadah dari negara jiran.

“Walaupun ada tangkapan membabitkan rampasan senjata api, saya tidak menerima maklumat mengenai perkara itu, tetapi yang pasti kebanyakan dadah berkenaan sememangnya masuk melalui pintu sempadan negara.

“Walaupun mustahil mengawasi segenap ruang sempadan, kita tidak pernah membuka peluang kepada penyeludup, terutama pengedar dadah, membolosi sempadan negara dengan mudah,” katanya.

‘Memang sah jenazah ibu’

BATU PAHAT: “Berdasarkan kain batik ditemui pada rangka berkenaan, memang sah ia jenazah ibu mentua yang menghilangkan diri sejak 17 hari lalu,” kata Ramnah Masran, 49, selepas penemuan rangka manusia di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Baru, Sri Gading, di sini, semalam.
Rangka itu ditemui jam 11.30 pagi oleh penduduk kampung sebelum disahkan milik warga emas berusia 99 tahun, Fatimah Omar.
Ramnah berkata, keluarganya berusaha mengesan Fatimah sejak menghilangkan diri dengan bertanyakan saudara serta kenalan selain mencarinya di beberapa lokasi.

“Kehilangannya kini terjawab. Sebak apabila mengenangkan penantian kami sejak kehilangannya berakhir dengan tragedi. Bagaimanapun, kami reda,” katanya.


Menurut Ramnah, pada mulanya mereka sekeluarga tidak yakin rangka berkenaan adalah jenazah Fatimah.

Penyelamat redah hutan 10 jam

GERIK: Seramai 38 anggota penyelamat membabitkan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta anggota bomba dan penyelamat mengharungi perjalanan sukar hampir 10 jam bagi meredah kawasan Puncak Titiwangsa untuk mengeluarkan tiga mangsa serangan seladang di Hulu Air Pasir, Banding, dekat Hutan Simpan Royal Belum, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 8.45 malam, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang maut dan cedera.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa meredah keadaan bentuk muka bumi berbukit-bukau dan hutan tebal sebelum tiba di lokasi kejadian, jam 1 pagi semalam.

“Semua mangsa diusung keluar dari hutan sebelum tiba di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB), jam 7.30 pagi tadi (semalam) sebelum dibawa ke Hospital Gerik.

“Mangsa, Musa Ismail, 55, maut akibat serangan seladang, manakala Mohd Saripuddin Abdul Manas, 34, dan adiknya, Isa, 24, hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, orang ramai dinasihat tidak menceroboh hutan simpan berkenaan sewenang-wenangnya meskipun untuk memancing ikan atau mencari herba hutan kerana ia kawasan larangan serta berisiko tinggi.


“Mereka yang mahu masuk ke hutan itu perlu mendapatkan permit daripada Taman Negeri Royal Belum,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Abdul Kadir Abu Hashim ketika dihubungi berkata, dalam keadaan normal, seladang akan melarikan diri sebaik terserempak dengan manusia di hutan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman pihaknya, haiwan liar itu akan bertindak ganas dan agresif dalam dua keadaan iaitu ketika melindungi anaknya atau ia berasa terancam serta tercedera.

“Kami akan menyiasat lebih lanjut kejadian itu, termasuk menyoal siasat dua mangsa yang terselamat dalam serangan itu. “Kami juga ingin mendapatkan kepastian daripada mangsa kenapa serangan berlaku dan apa dilakukan mangsa di dalam hutan.

“Seladang antara spesies haiwan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Gerik ketika dihubungi berkata, insiden serangan seladang itu adalah kejadian kedua direkodkan di daerah ini sejak 10 tahun lalu.

“Dalam kejadian sama beberapa tahun lalu, seorang lelaki maut selepas diserang haiwan liar itu,” katanya.

Mudah diperoleh di negara jiran

“HADIAH pistol perkara biasa di negara jiran, malah ketika bergiat di dalam kerjaya berbahaya seperti menyeludup dadah, pistol sentiasa menjadi pendamping orang seperti saya.
Sewaktu masih aktif menjadi orang tengah bagi menyeludup ganja menggunakan jalan laut ke negara ini, saya dibekalkan dengan pistol.

Saya dibekalkan revolver .38 bagi menjaga dadah yang diseludup, selain keselamatan diri daripada ancaman sindiket dadah lain.

Ia satu kemestian apabila terpaksa membawa berpuluh-puluh kilogram ganja di dalam bot serta meredah lautan sebelum sampai ke negara ini.

Kerjaya seperti ini sungguh bahaya bukan saja daripada hukuman, malah ancaman saudagar ganja lain. Pistol memang terlalu mudah diperoleh di negara jiran, malah dengan bayaran RM300, seseorang itu boleh mendapatkannya dan jika bekerja sebagai saudagar ganja, pistol boleh diperoleh dengan percuma.

Saya pernah menerima pistol daripada bos saya di Thailand dan ia bukan dipinjamkan, malah diberi terus kepada saya. Namun itu cerita dulu. Selepas berkahwin empat tahun lalu dan mempunyai anak, saya membuang pistol itu ke laut.


Ketika masih aktif mengedar ‘barang’, saya menggunakan bot bagi mendapatkan bekalan dadah dan jika membawa bot besar, jumlah ganja diperoleh juga besar, dan begitulah sebaliknya.

Ketika membawa bahan terlarang seperti pistol yang dibekalkan, ia disembunyikan di dalam kotak ikan atau dibalut dulu sebelum dicampak ke dalam kotak ais yang digunakan bagi menyejukkan ikan.

Untuk lebih selamat, pistol itu juga disembunyikan di dalam perut ikan yang besar dan tidak akan disedari sesiapapun.

Bekalan ganja diperoleh dari sebuah kepulauan di barat Thailand. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih dua jam dari sempadan laut negara ini melalui Kuala Perlis dan di situlah syurga ganja.

Kawasan berkenaan ditanam dengan ganja macam padi huma. Bayangkan, ia ditanam di kawasan bukit-bukau dengan tiga kawasan, tidak ubah seperti tanaman padi di negara ini.

Musim pertama menuai tanaman ganja ialah dari November sehingga Februari dan ada tiga musim menanam ganja di pulau berkenaan bagi membolehkan ia diperoleh setiap masa.

Kawasan tanaman ganja diusahakan golongan pribumi laut Thailand yang tinggal di pulau itu, malah bahasa digunakan mereka juga tidak difahami sesiapa.

Bagi mengelak operasi ladang ganja di sana dihidu pihak berkuasa, mereka hanya melayan beberapa orang yang dikenali mereka, termasuk saya.

Sebenarnya, bukan hanya saudagar ganja dari Malaysia mendapatkan bekalan di sana, malah mereka yang datang dari negara lain juga mendapatkannya di situ.

Apapun, kini saya insaf mengenangkan nasib isteri dan anak saya jika dipenjarakan dan biarlah apa yang saya lakukan itu dijadikan pengalaman hidup.”

Untung jual senjata 5 kali ganda

“SAYA terbabit dalam kegiatan menyeludup senjata pada 2009 kerana terpengaruh dengan rakan selepas menganggotai satu kumpulan kongsi gelap. Lagipun, upah diterima memang lumayan, malah keuntungan yang kumpulan kami peroleh hampir tiga hingga lima kali ganda berbanding harga belian di negara jiran.
Sebagai contoh, pistol buatan sendiri boleh dibeli dengan harga RM300 di negara jiran dan dijual di Malaysia antara RM900 hingga RM1,500 bergantung kepada kualiti, manakala harga senjata tulen seperti dari Itali atau Jerman jauh lebih mahal dan mencecah ribuan ringgit.

Sebab itu mereka yang melakukan kerja ini boleh hidup mewah. Bayangkan jika sepucuk pistol berharga RM900, keuntungan sekurang-kurangnya tiga kali ganda.

Saya mula terjebak dalam kegiatan itu selepas mengenali beberapa orang yang menjadi ‘kepala’ dalam urusan berkenaan sebelum mengikut mereka melakukan perkara sama.

Berdasarkan pengalaman saya, senjata api perlu disorokkan di bahagian rahsia dalam kenderaan sebelum melalui pemeriksaan di sempadan dan kemudian berlagak seperti pelancong tanpa perlu risau. Jadi, pihak berkuasa tidak akan mengesyaki apa-apa.

Biasanya, jika jumlahnya sedikit dan mudah disembunyikan, kami membawa masuk pistol itu melalui jalan sah iaitu melalui pemeriksaan polis.


Bagaimanapun, kalau permintaannya banyak, kami membawa masuk mengikut ‘lorong tikus’ atau ‘jalan haram’ sekitar Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Jika tahu caranya, kerja haram ini senang dilakukan. Lagipun, disebabkan permintaannya tinggi dan memberi pulangan lumayan, ramai sanggup melakukannya.

Bagaimanapun, risiko menjual barang haram ini sangat tinggi. Ketika melakukan kerja ini, selain pihak berkuasa, kami juga berdepan risiko dicari anggota kongsi gelap lain. Jadi, jangan sesekali cuba melakukan kerja ini.

Malah, saya dan rakan juga menerima pengajarannya apabila ditangkap kerana menjual pistol di Lembah Klang. Kini, saya tidak lagi melakukan kerja haram terbabit. Cukuplah dengan pengalaman yang ada. Tidak mungkin saya akan melakukannya lagi memandangkan hukuman diterima sungguh berat.”

Rumah sewa ‘port’ maksiat

KEBEBASAN menginap di rumah sewa rumah berbanding menetap di asrama membuka peluang lebih luas kepada pelajar perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dengan gejala sosial, termasuk seks sebelum nikah hingga mengandung dan si lelaki pula menghilangkan diri.
Menyedihkan apabila siswi terbabit bukan hanya terlanjur sekali, sebaliknya melakukannya berulang kali dengan teman lelaki berbeza.

Biarpun pada kali pertama tercetus perasaan takut dan dibelenggu dosa, perasaan itu hanya bersifat sementara sebelum mengulangi maksiat acap kali bertemu sama ada di rumah sewa sendiri mahupun pasangan.

Penghuni Kem Modal Insan Kewaja (Kewaja) di Gombak dikenali sebagai Irah, 23, mengakui kehidupannya selepas tamat persekolahan agak sosial.

Apabila tinggal bersama kakak di Shah Alam selepas mendapat tempat di sebuah IPT di Selangor, perangai liarnya makin menjadi-jadi kerana ibu bapa yang selama ini memantau kegiatannya sudah jauh di mata.

Acap kali menjejakkan kaki ke kelab malam setiap hujung minggu dengan air kencing setan menjadi penghilang dahaga bersama teman, kehidupannya makin liar tanpa pengawasan ibu bapa.


Mahu mengharapkan kakak untuk memberi nasihat, perangai saudaranya itu pula jauh lebih liar, malah enggan mengendahkan hal peribadi Irah.

Tinggal di rumah sewa bersama kakak dianggap peluang keemasan kepadanya kerana tidak terikat dengan peraturan asrama universiti.

“Sebelum ini, saya hanya bersosial dengan minum arak dan kelab malam, tak terfikir pun bakal terjerumus dengan seks luar nikah. Mungkin faktor ingin mencuba, pujukan pasangan dan pengaruh kakak membuatkan saya lalai menjaga maruah diri.

“Rumah sewa bukan hanya dikongsi kami dua beradik, sebaliknya bersama teman lelaki kawan kakak serta pasangan masing-masing. Kakak sendiri melakukan maksiat, jadi dia tiada ‘suara’ untuk menasihati saya.

“Sebelum ini, saya kerap mengajak bekas teman lelaki ke rumah sewa untuk lepak dan bersembang, tapi bukan hanya kami berdua tetapi turut disertai teman lain. Malah, kami pernah ditangkap berkhalwat oleh jabatan agama negeri dan naik turun mahkamah, dua tahun lalu.

“Walaupun dikenakan denda mencecah RM3,000, ia gagal menghentikan aktiviti maksiat. Ibu bapa yang kecewa memberi amaran supaya kami dua beradik berpindah sebelum menetap di ibu kota.

“Sebenarnya pada usia 18 tahun, saya berzina dengan teman lelaki pertama tetapi tidak pernah mengandung. “Memegang konsep, ‘pandai makan, pandai simpan’, kami tidak pernah mengambil tahu hal masing-masing jika mengandung, melainkan mencari klinik menjalankan pengguguran haram.

“Apabila kes (mengandung luar nikah) berlaku, saya antara individu dijadikan rujukan untuk mengenal pasti klinik yang mengenakan kadar bayaran antara RM2,000,” katanya.

Siswa patah cubaan 6 lelaki curi motosikal

KANGAR: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pauh berdepan detik mencemaskan apabila dikepung enam lelaki bermotosikal tidak dikenali dipercayai ingin menyamun dan melarikan motosikal jenis 125z miliknya di Jalan Mergong, Alor Setar, Rabu lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Along, 21, berkata, dia yang dalam perjalanan ke Alor Setar bagi menemui rakannya, memberhentikan motosikal di jalan berkenaan jam 9 malam bagi menghubungi rakannya untuk mengetahui lokasinya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

“Dua lelaki itu berhenti di depan motosikal saya sebelum seorang datang lalu menendang saya, menyebabkan saya terjatuh sebelum kami bergelut.

“Tidak lama kemudian, datang dua motosikal jenis Yamaha 125z dan RX-Z bersama empat lelaki tidak dikenali untuk membantu rakan mereka sebelum mengacukan pisau terhadap saya.

“Bagaimanapun, saya melawan serta berjaya melarikan diri bersama motosikal saya,” katanya ketika di Hospital Tunku Fauziah (HTF), dekat sini, semalam.

Along berkata, selepas yakin tiga motosikal terbabit gagal mengesannya, dia berhenti di sebuah stesen minyak ketika dalam perjalanan pulang ke Kangar sebelum ditegur seorang pelanggan di situ yang melihat belakang tubuhnya dipenuhi darah.


“Selepas ditegur, baru saya sedar belakang tubuh saya cedera, mungkin terkena pisau yang diacukan seorang daripada mereka ketika bergelut.

“Saya menggagahkan diri menunggang motosikal untuk pulang ke rumah sewa di Arau dan memberitahu rakan sebelum dibawa ke HTF bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan mangsa dan menjalankan siasatan.

Budak tiga tahun lemas

KUALA KURAU: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuala Kurau ketika bermain berseorangan berhampiran sungai itu, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa dikenali sebagai Ong Xin Tong ditemui lemas oleh bapanya, Ong Keng Yaw, 35, di sungai, 15 minit kemudian.

Difahamkan, bapa mangsa meninggalkan mangsa bermain seorang diri di luar rumah sebelum masuk ke dalam rumah untuk mandi.

Keng Yaw ketika ditemui berkata, selepas selesai mandi, dia keluar mencari anaknya namun gagal ditemui sebelum menuju ke arah sungai yang terletak beberapa meter dari rumahnya untuk mengesan Xin Tong.

“Sebelum itu, saya berusaha mencari mangsa di sekitar rumah sebelum dimaklumkan oleh seorang anak jiran yang melihat Xin Tong terjatuh ke dalam sungai.

“Saya bergegas turun ke sungai sebelum menemui mangsa di dasar sungai,” katanya.


Katanya, ketika dibawa ke tebing sungai, anaknya masih bernafas, namun menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan menuju ke klinik berhampiran.

Keng Yaw berkata, anaknya tidak pernah merayau-rayau dari kawasan rumah secara bersendirian.

“Kami sekeluarga sedih dengan pemergian mendiang. Namun, kami menganggap ia suratan takdir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

2 beranak lemas

KENINGAU: Perjalanan tujuh sekeluarga dengan bot bagi menghadiri majlis perkahwinan keluarga di Kampung Inaka Pagalungan, dekat sini, mengundang tragedi apabila dua beranak dihanyutkan arus deras di Sungai Logongon, di sini, malam Khamis lalu.
Mayat mangsa wanita dikenali sebagai Pangayou Linaas, 37, ditemui jam 5 petang kelmarin. Bagaimanapun, anak Pangayou, Frefobian Anam, 5, belum ditemui dan usaha mencari giat dijalankan pihak berkuasa.
Dalam kejadian jam 8.20 malam, mangsa dan anaknya serta lima ahli keluarga lain dalam perjalanan dari Kampung Salung menuju ke Kampung Inaka Pegalungan, dekat sini.

Bagaimanapun, apabila tiba di Sungai Logongon, bot dinaiki mereka sekeluarga merempuh sebuah batu besar, menyebabkannya pecah dan karam.


Lima ahli keluarga yang berada di dalam bot berjaya menyelamatkan diri selepas berenang ke tebing sungai.

Terlanjur pada malam raya di ruang tamu

BAGI mahasiswa yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, 20, sifat ingin mencuba yang meluap-luap dalam dirinya dan teman lelaki membuatkan dia tewas kepada hasutan syaitan.
Daripada sekadar suka-suka, dia menjadi ketagih. Semuanya berlaku seperti kilat dan tanpa dirancang. Episod hitam hidup Wati bermula ketika umat Islam menyambut Aidilfitri tahun lalu.

“Saya tak menjangka perkara sebegini boleh berlaku kepada diri sendiri sebab selama ini saya hanya membaca kisah remaja terlanjur di akhbar dan majalah.

“Namun, apabila kena pada diri sendiri, baru saya tahu bagaimana perasaannya dan keperitan yang perlu ditanggung wanita terlanjur,” katanya yang terpaksa menangguhkan pengajian satu semester di sebuah IPTA di Melaka.

Menceritakan pengalaman kali pertama terlanjur, Wati berkata, ketika kejadian dia menunggu kekasihnya yang dikenali sebagai Kamal, 21, bersiap untuk beraya di ruang tamu rumah lelaki berkenaan.

Benarlah seperti dinyatakan dalam al-Quran, apabila berdua-duaan, wujudlah pihak ketiga iaitu syaitan.


Ketiadaan ahli keluarga Kamal seolah-olah membuka ruang kepada mereka melakukan zina. Meskipun pada awalnya dia takut, namun akhirnya mereka tewas dengan gelora nafsu.

“Selepas melampiaskan nafsu, tiba-tiba wujud rasa bersalah dan berdosa terhadap ibu bapa. Pulang ke rumah, saya hanya mendiamkan diri. Pun begitu, masih belum timbul keinsafan apabila kami melakukan perbuatan itu untuk kali kedua seminggu selepas itu di rumah keluarga teman lelaki.

“Selepas perbuatan kali kedua itulah, saya mengandung. Itu pun hanya disedari selepas kandungan mencecah usia tiga bulan kerana saya tidak mengalami alahan atau komplikasi seperti wanita mengandung lain,” katanya.

Semakin hari kandungan Wati makin membesar dan tidak mampu disorok lagi. Dia mengalami kemurungan dan mahu menggugurkan kandungan itu, namun dihalang teman lelakinya yang mahu bertanggungjawab ke atas bayi itu.

“Menyedari kesilapan dan keterlanjuran dilakukan, saya kemudian menyuarakan hasrat mahu bernikah segera kepada ibu. Sebelum mengikuti kursus perkahwinan, ibu panggil saya lalu bertanya mengapa mahu bernikah secara tiba-tiba.

“Saya menceritakan apa berlaku dan mengaku hamil lima bulan. Ibu sedih lalu menangis dan kecewa kerana keluarga kami bukan daripada golongan bermasalah.

“Saya dibesarkan penuh kasih sayang dan menerima pendidikan agama yang cukup, apatah lagi saya selalu mengingatkan rakan supaya menjauhi perkara yang dilarang agama,” katanya.

Tanpa membuang masa, si ibu memberitahu ayah dan anak sulung mereka. Meskipun kecewa dan marah, mereka masih menerima Wati sebagai ahli keluarga.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana sedar lebih awal dan tidak mengulanginya semula. Lebih bersyukur apabila teman lelaki mahu bertanggungjawab dan mengahwini saya selepas tamat belajar kelak,” katanya yang melahirkan bayi perempuan pada bulan lalu.

Terjun tingkat satu

KLUANG: Bimbang diketahui keluarga, seorang lelaki berusia 20 tahun nekad merempuh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) sebelum terjun dari tingkat satu sebuah hotel bajet di sini, untuk mengelak ditahan, pagi semalam.
Lelaki terbabit kemudian melarikan diri sejauh 300 meter dari hotel terbabit sebelum berjaya ditahan selepas kepenatan.

Ketika mendedahkan perkara itu, Pegawai Tadbir Agama Islam JAJ Daerah Kluang, Khalil Mohd Noor berkata, serbuan dijalankan jam 5 pagi.

“Kami mengetuk pintu bilik sebuah hotel bajet sebelum ia dibuka. Kami kemudian mendapati penyewa bilik yang juga seorang lelaki serta remaja perempuan berusia 18 tahun tidak mempunyai hubungan mahram.

“Ketika pemeriksaan, lelaki terbabit tiba-tiba merempuh beberapa penguat kuasa sebelum nekad terjun dari tingkat satu hotel berkenaan,” katanya di lokasi kejadian.

Menurut Khalil, ketika kejadian, beberapa penguat kuasa menunggu di bawah hotel itu sebagai langkah berjaga-jaga.


Penguat kuasa bagaimanapun gagal menahan lelaki terbabit yang terus melarikan diri sejurus terjun.

“Kami mengejarnya yang melarikan diri di jalan raya. Ketika itu, keadaan sekitar sunyi dan dia berjaya ditahan 300 meter dari hotel.

“Lelaki terbabit tidak cedera akibat terjun, malah berpakaian lengkap ketika melarikan diri,” katanya.

Menurut Khalil, pemeriksaan mendapati pasangan terbabit belum bekerja, malah remaja perempuan itu tinggal dua kilometer dari hotel berkenaan.

“Pasangan terbabit mendakwa tidak melakukan apa-apa di bilik itu, malah hanya berada di situ semata-mata untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan.

“Kedua-duanya kemudian dibebaskan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui, semalam.

Api menjulang 10 meter

KUALA TERENGGANU: Anggota Bomba dan Penyelamat mengerah keringat hampir tujuh jam bagi memadam kebakaran Pejabat Mara di Jalan Masjid Abidin, di sini, semalam, dengan kerugian dianggarkan lebih RM2.5 juta.
Kejadian jam 3.25 pagi itu dipercayai berpunca daripada kebakaran sebuah rumah kedai tinggal bersebelahan bangunan menyebabkan seluruh ruang di tingkat dua bangunan itu yang menempatkan Pejabat Mara Negeri dan Daerah Kuala Terengganu musnah.

Pengawal keselamatan bangunan Mara, Jamal Mohamad, 39, dari Bukit Besar, di sini, berkata dia menyedari kebakaran rumah kedai itu ketika membuat rondaan di bahagian belakang bangunan, jam 3.20 pagi.

“Saya terus menghubungi bomba namun api marak dengan cepat, menyebabkan seluruh kedai ranap sebelum merebak ke tingkat dua bangunan,” katanya.

Dia yang bekerja sejak dua tahun lalu berkata, kebakaran itu menyebabkan api menjulang 10 meter iaitu melebihi ketinggian bangunan yang dalam proses pengubahsuaian di tingkat bawah dan satu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Md Riduan Hassan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian.


Bagaimanapun, pihaknya terpaksa meminta bantuan jentera dan keanggotaan sebaik mendapati api yang berpunca daripada rumah kedai terbabit merebak ke tingkat dua.

“Lima jentera, termasuk satu skylift, bersama 58 anggota dari tiga balai iaitu Balai Bomba Kuala Terengganu, Jalan Kota dan Wakaf Tapai dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran,” katanya yang mengetuai operasi.

“Pihak kami mengambil masa 45 minit bagi mengawal api daripada merebak dan operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya jam 3.21 petang.

“Struktur bangunan yang banyak menggunakan kayu selain bahan mudah terbakar seperti kertas dan fail menyebabkan kita mengambil masa lama bagi memastikan keseluruhan api di tingkat berkenaan padam, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Harta RM2.5j hangus

KUALA TERENGGANU: Pengarah Mara Negeri, Abdullah Muhamad mendakwa kebakaran membabitkan tingkat dua bangunan itu dipercayai berpunca daripada aktiviti tidak sihat remaja.
“Pada petang sebelum kejadian, saya lihat beberapa remaja keluar masuk di sebuah rumah kedai berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan aktiviti remaja terbabit yang dipercayai menjadikan kawasan itu sebagai port menghisap dadah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdullah berkata, pihaknya tidak dapat memastikan jumlah sebenar kerugian tetapi dimaklumkan ia dianggarkan lebih RM2.5 juta memandangkan semua dokumen dan fail serta peralatan pejabat seperti komputer dan peralatan lain musnah.

Katanya, bangunan dalam proses pengubahsuaian pada tingkat bawah dan satu membabitkan kos sebanyak RM3 juta yang bermula Oktober tahun lalu dan dijangka siap November depan.

Sementara itu, lebih 50 penghuni yang menyewa bilik di tingkat tiga dan empat bangunan bersebelahan Bangunan Mara panik apabila diarahkan keluar selepas asap memenuhi ruang bangunan.

Penghuni, Hamzah Che Mat, 55, dari Jasin, Melaka berkata, dia menyedari kebakaran bangunan itu selepas dikejutkan isterinya yang terhidu bau asap yang kemudian memenuhi ruang bilik yang disewa bersama dua anak.


“Saya masuk ke bilik ini awal pagi kelmarin dan datang ke negeri ini untuk mendaftarkan anak yang bakal memulakan sesi pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Ketika kejadian itu kami tidur, mujur isteri terbau asap sebelum kami segera keluar daripada bilik bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Korban selamat rakan

SAKIT... Mohd Saripudin (kanan) menunjukkan kecederaan dialami adiknya, Isa akibat dipijak seladang di Hutan Royal Belum, Banding, Gerik semalam.
SAKIT... Mohd Saripudin (kanan) menunjukkan kecederaan dialami adiknya, Isa akibat dipijak seladang di Hutan Royal Belum, Banding, Gerik semalam.
GERIK: “Kami sempat melihat seladang itu menanduk rusuk kiri Musa, menyebabkan dia melambung lima meter ke udara sebelum tersangkut pada pohon buluh,” kata Isa Abdul Manas, 24, rakan kepada Musa Ismail, 55, yang maut diserang seekor seladang di Hulu Air Pasir, Banding, berdekatan Hutan Simpan Royal Belum, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang, Musa bersama Isa serta abangnya, Mohd Saripudin Abdul Manas, 34, berkunjung ke kawasan itu untuk memancing sebelum berdepan saat mencemaskan diserang haiwan liar berkenaan.

Musa yang juga penebang balak berasal dari Felda Bersia, di sini, menderita kesakitan hampir dua jam akibat cedera parah di rusuk kiri akibat rodokan binatang itu sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 8.45 malam.

Isa yang ditemui di rumahnya di Kampung Kenayat, di sini, semalam berkata, mereka memasuki hutan untuk memancing ikan dengan berjalan kaki hampir tiga jam menerusi ‘lorong tikus’ di Kilometer 68.4 di Jalan Raya Timur Barat berdekatan Banding, di sini.

Beliau berkata, pada mulanya, seladang itu menyerang dia dan abangnya, manakala arwah berada lima meter dari situ.

“Panik melihat kami berdua diserang seladang, arwah menuju ke arah haiwan itu untuk mengacah selain menjerkah supaya ia beredar.


“Bagaimanapun, haiwan itu bertindak agresif sebelum meluru ke arah arwah dan menanduknya, menyebabkan arwah melambung dan tersangkut pada pohon buluh,” katanya.

Katanya, abangnya turut cedera dipijak seladang itu dan terpaksa meriba Musa sebelum menghubungi isteri arwah untuk memaklumkan kejadian.

Isa berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir dua jam kemudian akibat pendarahan teruk di rusuk kiri sebelum pasukan penyelamat tiba awal pagi semalam bagi mengeluarkan mereka bertiga.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana hanya cedera ringan di betis, paha dan tengkuk ketika bergelut dengan seladang berkenaan, manakala abangnya cedera ringan di kaki.

“Ketika pergelutan, saya hampir dipijak binatang itu selain nyaris ditanduk di perut. Malah, beg galas yang dipakai juga terkoyak akibat dirodok binatang itu.

“Saya tidak menduga kejadian itu boleh berlaku dan serik ke sana lagi,” katanya.

Sementara itu, isteri arwah, Siti Ghatna Che Ahmad, 61, berkata, suaminya tidak banyak bercakap sebelum bertolak ke Hutan Belum, petang kelmarin.

“Arwah memang suka mencari ikan sungai dan akan ke hutan berkenaan, terutama pada hari cuti. Bagaimanapun, saya dan tiga anak menganggap kejadian ini sebagai takdir,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik, Hospital Gerik (HG), di sini, semalam.

Jenazah Musa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bersia selepas solat Zuhur semalam.

Remaja maut kepala terlanggar jejantas lebuh raya

FORT LEE (New Jersey): Polis berkata, seorang remaja lelaki terbunuh ketika dia bergembira dalam perjalanan ke sebuah pesta, semalam.
Remaja terbabit berusia 16 tahun mengeluarkan kepalanya melalui lubang kecemasan bas dua tingkat sebelum ia terlanggar jejantas lebuh raya.

Jurucakap polis tempatan, Al Della Fave, berkata remaja itu adalah seorang daripada 65 remaja dalam bas berkenaan yang menuju satu pesta di New Jersey.

Katanya, bas itu melintasi Jambatan George Washington dari New York apabila kemalangan berlaku di jejantas Fletcher Avenue kira-kira jam 6.30 petang (waktu tempatan).

“Mangsa disahkan mati di hospital,” katanya. - AP

Cermin gelap: 19 disaman

Cermin gelap: 19 disaman:

JASIN 1 Sept. - Seramai 19 pemandu yang menggunakan cermin gelap melebihi kadar dibenarkan disaman pihak berkuasa dalam operasi bersepadu sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 yang diadakan di sekitar daerah ini awal pagi semalam.
Operasi yang bermula pukul 12.30 tengah malam itu dijalankan oleh Polis Trafik Kontinjen Melaka di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) bermula pukul 12.30 tengah malam.
Operasi itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan ia diketuai oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Ahmad Adnan Basri.
Menurut beliau, selain cermin gelap pihaknya turut memfokuskan kepada kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Bagi mengelak berlakunya kemalangan, polis mensasarkan pemandu yang berada dalam keadaan mabuk terutama pada malam kemerdekaan kerana dikhuatiri memandu laju sehingga mengundang bahaya kepada pengguna lain.

'via Blog this'

2 penunggang motosikal maut

2 penunggang motosikal maut:


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Dua penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di ibu negara hari ini.
Kejadian pertama membabitkan mangsa, Muhammad Syahir Akmal Mohd. Nor, 23, yang dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya di Puchong ke Sentul dengan menunggang motosikal.
Jurucakap polis berkata, ketika tiba di Jalan Perhentian dari susur Sentul Link, motosikal yang ditunggang Muhammad Syahir dipercayai terbabas sebelum bergesel dengan tembok pembahagi jalan.
"Akibatnya, mangsa terjatuh dan mendapat kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa berhasrat menghadiri majlis pertunangan kakaknya di Serendah yang dijadual berlangsung pada sebelah petang.
Sementara itu, kemalangan kedua membabitkan seorang mangsa warga emas di persimpangan Jalan Sultan Hishamuddin dan Jalan Sultan Ismail.

'via Blog this'

Syarikat diarah bayar ganti rugi



PEMANDANGAN menarik yang menjadi tumpuan para pelancong terutama dari Malaysia ketika berkunjung ke Surabaya, Indonesia. - GAMBAR HIASAN
BAGAIKAN jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib yang menimpa seorang pemandu lori tangki apabila bukan sahaja tidak dapat bercuti ke luar negara bersama keluarga, malah tidak menerima bayaran balik bagi tiket penerbangan yang dibeli.
Shamsuddin Ariffin, 42, berkata, memang menjadi impiannya untuk membawa isteri dan anak-anaknya pergi bercuti ke luar negara tetapi ia kini hanya tinggal impian apabila penerbangan mereka ke Surabaya, Indonesia pada penghujung tahun lalu dibatalkan akibat masalah teknikal.
Menurutnya, masalah sebenar timbul bukan kerana pembatalan itu tetapi berpunca daripada keengganan syarikat pelancongan, Ezz Travel Sdn. Bhd. (Ezz Travel) memulangkan semula bayaran sebanyak RM2,086 bagi tiket penerbangan itu.
Dia memberitahu, tiket penerbangan pergi dan balik itu dibelinya pada 24 Jun tahun lalu bagi jadual penerbangan pada 28 November tahun yang sama.
Bagaimanapun pada Septembertahun lalu, Shamsuddin berkata, syarikat penerbangan Firefly menghubunginya bagi menyatakan penerbangan tersebut terpaksa dibatalkan dan bayaran balik tiket boleh diperoleh daripada ejen tiket penerbangan.
''Pada Oktober lalu, saya menghubungi pihak Ezz Travel untuk mendapatkan semula bayaran yang sudah dibuat tetapi mereka memberikan alasan Firefly masih belum membuat bayaran balik,'' katanya.
Shamsuddin berkata, dia terus menghubungi syarikat tersebut sehingga Mac lalu bagi menuntut semula bayaran itu tetapi tetap menerima jawapan yang sama.
''Tidak puas hati dengan keadaan itu, saya kemudian melakukan semakan dengan Firefly dan ternyata mereka sudah membuat bayaran balik kepada syarikat Ezz Travel,'' katanya.
Kecewa dengan masalah tersebut, Shamsuddin kemudian memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Johor Bahru bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya.
Selepas mendengar kes berkenaan baru-baru ini, Presiden tribunal, M. Suppiah mengarahkan Ezz Travel memulangkan semula bayaran tiket RM2,086 kepada penuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu dikeluarkan.
Bagaimanapun, tiada wakil syarikat EZZ Travel yang hadir ketika keputusan itu dibuat.

Syiling RM36,800 bertaburan



AMRULLAH ABDUL KARIM
1 September 2012
kejadian kemalangan lebuh raya utara selatan
kejadian kemalangan lebuh raya utara selatan.
Petugas lebuh raya mengumpul duit syiling yang bertaburan di atas jalan.
Petugas lebuh raya mengumpul duit syiling yang bertaburan di atas jalan.
Bukit Beruntung - Tiga pengawal keselamatan cedera apabila sebuah van syarikat kawalan keselamatan yang membawa wang syiling terlibat kemalangan sebelum terbalik di Kilometer 426 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 12.10 pagi itu berpunca daripada masalah tayar belakang van sebelah kiri yang pecah sehingga mengakibatkan pemandunya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terbalik.

Salah seorang mangsa, yang duduk di belakang van berkenaan, Ibrahim Jailani, 54, berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Pejabat Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) di Ipoh, namun van gagal dikawal kenderaan sebaik tayar belakang sebelah kanan pecah di lorong tengah lebuh raya.

“Tayar belakang meletup dan merempuh besi penghadang di bahu jalan.

“Rempuhan mengakibatkan van berpusing-pusing dan terbalik sebelum menggelongsor merintangi jalan di lorong kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan bahagian hadapan van remuk manakala pintu belakang terbuka.

Ibrahim yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun sebagai pengawal keselamatan berkata, keadaan itu menyebabkan sebahagian wang syiling bernilai lebih RM30,000 tercampak keluar dan bertaburan di atas jalan.

Katanya, kejadian tersebut turut menyebabkan sebuah treler yang mengekori di belakang turut terbabas kira-kira satu kilometer dari van terbabit ketika cuba mengelak daripada terlanggar van mereka.

"Treler terbabit telah merempuh besi pembahagi lebuh raya dan berpusing ke arah bertentangan," katanya.


Selamat diri ikut pintu kecemasan van

Sementara itu, menurut Ibrahim, sebaik kemalangan berlaku, dia berusaha membantu dua lagi rakannya yang cedera untuk keluar dari van yang terbalik.

Dia berjaya membuka lubang kecemasan di bahagian bumbung van untuk keluar.

Bagaimanapun, ketika mereka cuba keluar menyelamatkan diri, pengguna jalan raya yang melalui kawasan kejadian tanpa rasa bersalah mengambil wang syiling yang bertaburan.

“Dalam tempoh lima minit saja orang yang melalui kawasan ini mengambil kesempatan berebut mengutip duit syiling yang bertaburan di jalan.

“Saya tak boleh buat apa-apa,” katanya yang akan bersara tahun depan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira lima kilometer dan mengambil masa lebih dua jam sebelum kembali terkawal.


Wang milik Plus, pasar raya

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, van terbabit membawa muatan wang syiling lama kepunyaan sebuah pasar raya dan Plus.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pemandu van berkenaan, Khairul Zani, 38, mereka dalam perjalanan ke Ipoh, Perak sebelum tayar belakang sebelah kiri pancit.

“Kenderaan telah hilang kawalan lalu terbalik. Dalam van ada pemandu dan dua orang pengiring. Pemandunya dirawat di Hospital Sungai Buloh sebagai pesakit luar.

“Jumlah wang dibawa lebih kurang RM36,800,” katanya.

Bil air cecah ratusan ringgit



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 September 2012
Bil air cecah ratusan ringgit
Penduduk menunjukkan bil air yang diterima mencecah sehingga RM200.
KOTA TINGGI – Sebahagian penduduk di Taman Desa Sejahtera, dekat sini gempar apabila dikenakan cas bil air sehingga mencecah ratusan ringgit.

Salah seorang penduduk, Abd Karim Ahmad, 64, berkata, dia benar-benar terkejut apabila menerima bil air terbaru untuk bulan Julai iaitu sebanyak RM208.

“Kami baru sahaja mendiami rumah ini, malah tidak sampai untuk tempoh sebulan apabila terima bil tersebut. Melihat angkanya yang mencecah ratusan ringgit kami amat terkejut.

“Jika di rumah lama di Kampung Tembioh, bil air yang paling tinggi pernah kami terima pun adalah tidak lebih RM80. Namun bil yang diterima ini sangat mengejutkan. Kami di sini tinggal berenam sahaja,” katanya.

Sementara itu rakannya, Md Jamri Ngadmin, 40, yang mengalami nasib sama berkata, sepanjang hidupnya itulah pertama kali dia menerima bil air sehingga mencecah ratusan ringgit.

“Pernah juga satu masa dulu di rumah lama anak saya terlupa untuk mematikan air semalaman, namun bilnya tidaklah sampai mencecah ratusan ringgit seperti ini, sebaliknya RM60 sahaja.

“Kami merasa amat pelik bagaimana kami boleh dikenakan cas yang tinggi, malah kami anak-beranak menggunakan air untuk kegunaan harian sahaja,” katanya.

Menurut Md Jamri, keadaan itu turut dialami oleh sebilangan penduduk di taman tersebut dan telah pun membuat rujukan ke Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) cawangan Kota Tinggi.

Dalam pada itu, wakil SAJ cawangan Kota Tinggi ketika dihubungi berkata, SAJ telah menghantar anggota untuk melakukan siasatan dan mendapati masalah tersebut adalah berpunca daripada kebocoran paip dalam.

Katanya, masalah itu bukan di bawah tanggungjawab SAJ sebaliknya pemaju perumahan.

Polis buru dua perompak



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 September 2012
MANJUNG - Sebuah premis pinjaman wang berlesen di Lumut mengalami kerugian hampir RM17,000 dalam satu kejadian samun, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, kejadian itu melibatkan dua suspek lelaki bersenjata parang.

“Ketika kejadian, dua pekerja premis berkenaan, iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan telah diacukan parang oleh suspek bagi memaksa mereka menyerahkan wang.

“Mangsa memberi kerjasama bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, selepas mendapat wang kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu melarikan diri.

“Kita dapat mengesan suspek melarikan diri ke arah Pasir Panjang dan meninggalkan kereta di luar tokong yang berada di situ.

“Kedua-dua suspek belum berjaya ditangkap dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Bapa sanggup lacurkan anak kerana rokok



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 September 2012
Bapa sanggup lacurkan anak kerana rokok
Salah seorang anak perempuan suspek (kanan) yang menjadi mangsa lacur oleh bapa sendiri.
BATU PAHAT – Akibat ketagihan merokok, seorang bapa tergamak melacurkan anak sendiri semata-mata untuk mendapatkan bekalan rokok.

Kegiatan itu terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Daerah Batu Pahat menyerbu rumah suspek di Kampung Parit Gantung, dekat sini, sempena Ops Ambang Merdeka, malam semalam.

Timbalan Penguat kuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang memaklumkan mengenai kegiatan tidak bermoral yang sudah lama dilakukan di rumah tersebut oleh si bapa untuk mendapatkan bekalan rokoknya.

“Susulan maklumat yang diterima itu, kami lakukan serbuan ke rumah berkenaan.

“Keadaan pintu yang tidak berkunci dipercayai bagi memudahkan aktiviti keluar masuk ke rumah itu menyenangkan serbuan dibuat.

“Apabila masuk ke rumah itu, kami dapati anak bongsu suspek yang masih bersekolah di tingkatan lima di sebuah sekolah menengah dekat sini, sedang tidur bersama lelaki di ruang tamu rumah,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit adalah kenalan suspek.

Saiful Ariffin berkata, suspek dipercayai menggunakan empat anaknya yang berusia 17 hingga 25 tahun untuk memperoleh bekalan rokok.

“Berdasarkan aduan dan siasatan, kebanyakan lelaki yang mengunjungi rumahnya itu adalah pekerja ladang dan warga Indonesia.

“Semasa serbuan dilakukan, tiga lagi anaknya bersama isteri keluar menyambut Hari Kemerdekaan di sekitar bandar ini,” katanya.

Katanya, pasangan itu akan didakwa di bawah seksyen 27(1) a b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bapa remaja berkenaan turut didakwa dan akan diberi sesi kaunseling,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful Ariffin berkata, dalam ops sama, seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan dekat sini.

Katanya, wanita berusia 49 tahun yang juga ibu kepada tiga anak itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati terdapat dadah jenis syabu di dalam biliknya menginap.

Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila menemui 'dapur' dan syabu di atas meja ketika melakukan pemeriksaan di dalam bilik wanita terbabit.

Menurutnya, ketika siasatan dilakukan, wanita terbabit memberi alasan baru pulang dari Melaka atas urusan kerja dan terpaksa menginap di rumah tumpangan tersebut kerana sudah lewat untuk pulang ke rumahnya di Senggarang.

“Pada mulanya dia tidak mengaku dadah itu kepunyaannya, namun segalanya terbongkar selepas pasukan polis narkotik menjalankan pemeriksaan ke atasnya dan mendapati dia positif dadah,” katanya.

Ops bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam 5 pagi itu turut disertai pegawai polis dari Narkotik Batu Pahat yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Superintendan Zainal Murad.