Search This Blog

Saturday, September 1, 2012

Penjaga tempat letak kereta dibunuh

Penjaga tempat letak kereta dibunuh:


BESUT 31 Ogos - Seorang penjaga tempat letak kereta persendirian ditemui mati dibunuh di satu kawasan terpencil di hujung Kampung Gong Manok, dekat Kuala Besut di sini, petang semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Faiza Jaafar (gambar), 27, berasal dari Kampung Beris Lampu, Kuala Besut dekat sini dipercayai diseksa sebelum dibunuh berdasarkan kesan tetakan senjata tajam serta kelaran di bahagian kaki dan belakang pinggang mangsa.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamaruddin Zakaria berkata, mayat mangsa yang merupakan duda beranak satu, ditemui salah seorang ahli keluarganya pada 2.40 petang selepas hampir dua jam kehilangannya.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di satu kawasan sawah padi.
"Mangsa dipercayai mati akibat tetakan di bahagian lutut kirinya hingga hampir putus, betis kiri dan di belakang bahagian pinggang," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Polis percaya mangsa dibunuh antara 5 petang hingga 9 malam Rabu lalu, katanya.
Menurutnya pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci dan kini sedang memburu beberapa suspek berdasarkan barang-barang kes yang dijumpai.
Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Rozaimi Abd Rahim di talian 09-6956222 untuk sebarang maklumat.
Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, siasatan terhadap kejadian pecah masuk Kedai Emas Sri Kelantan di Kuala Besut kelmarin dipercayai membabitkan suspek warga asing selepas cap jari dikesan di pintu dan peti besi.
Dalam kejadian itu tuan punya kedai dilaporkan kerugian RM250,000 apabila barang kemas yang disimpan dalam peti besi itu lesap dilarikan penjenayah.

'via Blog this'

Penyamun lapor polis dicekup



         
SUBANG JAYA: Tindakan dua daripada tiga lelaki membuat laporan polis menyatakan mereka diekori sekumpulan penyamun memakan diri apabila ditahan, Rabu lalu.

Kumpulan yang dipercayai menyamar anggota polis serta pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum memeras ugut dan menyamun mangsa di Bandar Sunway dan Subang Jaya itu membuat laporan polis bagi mengelakkan dicekup mangsa samun yang mengejar mereka. Bagaimanapun, perbuatan semua lelaki berusia 26 dan 43 tahun itu gagal mengaburi mata Ketua Balai Polis Subang Jaya, Inspektor Sulaiman Baputty yang segera menahan kumpulan terbabit selepas mendapati laporan dibuat itu palsu.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian berlaku jam 12.15 tengah hari ketika mangsa, seorang pemandu lori berusia 30-an ditahan dua lelaki dari kumpulan terbabit yang mengaku polis sebelum menunjukkan sepucuk pistol dan gari di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di SS15, di sini.

Katanya, lelaki terbabit mengarahkan mangsa membayar RM3,000 bagi menyelesaikan kes kononnya membabitkan pemandu lori itu.


“Mangsa bernasib baik apabila rakannya yang melalui jalan berkenaan terlihat kejadian itu sebelum mengejar lelaki terbabit dan menghalang kenderaan dinaiki mereka.


“Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri sebelum datang ke Balai Polis Sunway dan membuat laporan mengatakan sekumpulan enam lelaki mengejar mereka dengan bersenjatakan kayu dan besi,” katanya.

Menurut Yahaya, polis mendapati laporan dibuat lelaki itu mencurigakan dan pada masa sama, pihaknya menerima laporan kejadian mangsa sebelum membuat tangkapan kedua-dua lelaki terbabit.


“Susulan tangkapan itu, polis membuat siasatan lanjut sehingga menangkap seorang lagi suspek berusia 28 tahun di sebuah rumah di SS14, di sini, kerana dipercayai menyamar pegawai KPDNKK dan menyamun mangsa sama sebanyak RM500, dua minggu lalu,” katanya.

Tubuh tanpa kepala ditemui di hilir Air Terjun Niagara




         
MONTREAL: Bahagian tubuh seorang wanita tanpa kepala ditemui di hilir Air Terjun Niagara, kata polis Kanada semalam, mengetepikan sebarang kaitan dengan kes sama anggota tubuh di Toronto.

Orang ramai menyedari bahagian tubuh itu hanyut di kawasan hilir Sungai Niagara, dekat Jambatan Rainbow Rabu lalu, menurut polis. Tangan, kaki dan kepalanya telah putus. Bahagian tubuh itu dibawa ke hospital berdekatan, di mana bedah siasat awal mendapati, mangsa adalah wanita kulit putih berusia “pertengahan tahun” dengan pusat bertindik. Dia juga menjalani sekurang-kurangnya satu sesi pembedahan caesarean dan prosedur mengikat rahim.


Pihak berkuasa berkata, jenayah itu tidak ada kaitan dengan pembunuhan wanita Kanada keturunan China yang bahagian tubuhnya ditemui berselerak di sekitar Toronto oleh bekas teman lelakinya. - AFP

‘Emak, jangan pergi ke KL’

FAIZA...dibunuh
FAIZA...dibunuh
JERTIH: “Emak tak payah ke Kuala Lumpur. Nanti tak sempat jumpa Faiza kerana ini perjumpaan terakhir antara kita.” demikian kata-kata terakhir Faiza Jaafar, 27, yang ditemui mati dibunuh kepada ibunya, yang bertolak ke ibu negara, Selasa lalu.
Permintaan Faiza kepada ibunya, Rohani Sulaiman, 48, itu dibuat beberapa kali sebelum wanita berkenaan meninggalkannya bersama empat lagi adik-beradik lain yang tinggal di sebuah rumah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin di Taman Perwira, Tok Saboh, Kuala Besut, dekat sini.
Bagaimanapun, Rohani terpaksa meninggalkan Faiza bersama empat lagi anaknya kerana mengikuti suaminya bekerja di ibu negara selepas tiga hari berhari raya bersama keluarga di kampung.

Rohani yang pulang malam kelmarin terkejut selepas dimaklumkan ahli keluarga, Faiza dijumpai mati dibunuh di kawasan sawah padi di Kampung Gong Manak, Kuala Besut.

Berebut syiling atas lebuh raya

BUKIT BERUNTUNG: “Orang ramai yang berhenti bukan membantu kami, sebaliknya mengutip RM30,000 duit syiling yang bertaburan,” kata Ibrahim Jailani, 54, yang cedera ringan selepas van syarikat keselamatan dinaiki bersama dua rakannya terbalik menyebabkan wang syiling RM30,000 yang dibawa di dalam kenderaan itu bertaburan atas jalan, malam kelmarin.
Menurutnya, dia mengalami luka ringan berusaha membantu dua lagi rakan yang parah keluar dari tempat duduk.

“Saya kesal tiada siapa membantu kerana masing-masing sibuk mengutip syiling. Kami hanya diberi bantuan oleh kakitangan peronda lebuh raya dan polis yang tiba setengah jam kemudian.

“Mereka juga membantu mengutip syiling 10 sen dan 20 sen berkenaan bersama-sama pasukan bantuan daripada syarikat kami,” katanya.

Katanya, dua rakannya yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Dalam kejadian jam 12.10 malam di Kilometer 426.7 Lebuhraya Utara-Selatan, van dinaiki tiga kakitangan syarikat kawalan keselamatan itu dalam perjalanan dari ibu negara ke Ipoh dipercayai hilang kawalan sebaik tayar belakang kenderaan itu meletup.


Ibrahim berkata, kejadian itu menyebabkan van berkenaan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik beberapa kali sebelum merintangi laluan paling kiri lebuh raya.

“Sebuah treler yang mengekori tidak sempat mengelak lalu merempuh van kami menyebabkan ia terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, dalam tempoh lima minit kemudian, dia melihat orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berkerumun mengutip wang syiling yang bertaburan di atas jalan.

Berikutan kejadian itu, lebuh raya berkenaan sesak teruk sepanjang lima kilometer selama dua jam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

‘Mak Datin’ kebas RM30,000




         
BATU KURAU: Sekumpulan empat wanita dikesan terbabit kegiatan mencuri barang kemas di beberapa majlis perkahwinan membabitkan nilai kerugian hampir RM100,000.

Suspek wanita berusia 40-an yang tampil persis ‘mak datin’ memakai cermin mata hitam itu dikesan melakukan jenayah terbabit di beberapa rumah pengantin di Teluk Intan, Ipoh dan Batu Kurau, di sini, sejak seminggu lalu dengan taktik menyamar ahli keluarga mangsa.


Dalam kes terbaru Sabtu lalu, suspek melarikan empat beg tangan milik pengantin dan tiga ahli keluarga pengantin berkenaan di Kampung Sungai Ara, di sini.

Saksi kejadian, Salina Shamsudin, 21, berkata, kecurian berlaku ketika sepupunya, Nur Shuhada Zaman Zahari, 22, melangsungkan majlis persandingan di rumah keluarga mereka di sini.


Menurutnya, empat suspek wanita terbabit yang memakai baju kurung muncul sebaik pasangan pengantin diarak untuk disandingkan dalam rumah jam 12 tengah hari.


“Suspek bersikap pelik apabila tidak bercakap dengan tetamu lain sebaliknya hanya memerhatikan keadaan sekeliling penuh curiga. Ada antara saudara-mara yang menegur kumpulan wanita terbabit namun suspek hanya berdiam diri,” katanya.

Menurutnya, dua dari penjenayah kemudian masuk dalam kamar pengantin bersama ahli keluarga lain yang sibuk memindahkan barang hantaran perkahwinan.


Menurutnya, wanita terbabit memberi alasan mahu menggunakan tandas sebelum masuk dalam bilik berkenaan.

“Suspek mengambil empat beg tangan milik pengantin, kawan dan kakak pengantin serta kakak ipar pengantin perempuan.


“Beberapa saudara pengantin perempuan yang melihat tindakan suspek mengambil semua beg tangan itu seolah-olah dipukau apabila gagal menjerit dan membiarkan suspek melarikan semua barangan berharga itu,” katanya.


Menurutnya, suspek memasukkan semua beg tangan dicuri dalam satu beg tangan besar sebelum meninggalkan rumah pengantin.


“Keempat-empat beg tangan itu mengandungi lapan telefon bimbit, wang tunai dan barang kemas yang semuanya dianggarkan RM30,000,” katanya.


Dia berkata, Shuhada bagaimanapun terkejut apabila seorang pegawai bank menghubungi dan meminta pengesahan berhubung tindakan dua wanita mahu membeli dua telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Taiping menggunakan kad kredit miliknya.


Urusan pembelian itu, bagaimanapun dihalang pihak bank berikutan identiti suspek yang mencurigakan selain berjaya dirakam kamera litar tersembunyi (CCTV).


Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa dan giat memburu penjenayah terbabit.

Pelajar jatuh motosikal maut digilis kereta




         
KUALA PILAH: Seorang pelajar kolej perubatan maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dia terjatuh dan digilis sebuah kereta di Kilometer 18, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, Muaz Hasan Shaari, 21, dari Temerloh, Pahang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC dari arah Seremban menuju Kuala Pilah gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum hilang kawalan dan terjatuh ke laluan bertentangan. “Bagaimanapun, sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan gagal mengelak lalu menggilis mangsa menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian. “Kami masih menyiasat lanjut punca kemalangan dan pemandu kereta terbabit sudah diambil keterangan sejurus selepas kemalangan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Pilah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gengster proses dadah

KUALA LUMPUR: Sebuah makmal memproses dadah di Johor Bahru dipercayai milik sebuah kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Renggam Boy 21 diserbu polis, awal pagi semalam.
Serbuan pada jam 3 pagi itu dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman dengan bantuan polis Johor turut merampas pelbagai dadah jenis ketamin, heroin, syabu, ecstasy, erimin 5 dan peralatan memproses dadah di sebuah pangsapuri di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru.

Harian Metro difahamkan, serbuan dilakukan hasil risikan D7 Bukit Aman selepas mendapati kumpulan samseng diketuai seorang lelaki dikenali Renggam Boy terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Difahamkan juga, kebanyakan kumpulan samseng juga sudah beralih kepada kegiatan memproses dan mengedar dadah bagi mendapat keuntungan segera.

Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis menahan sepasang kekasih berusia 44 dan 23 tahun di pangsapuri itu yang dijadikan makmal memproses dadah.

Katanya, bagaimanapun, dalang kumpulan samseng berkenaan masih diburu polis dan pihaknya yakin dapat menahan suspek.


“Kami masih mengesan saki baki anggota kumpulan berkenaan yang dipercayai beralih kepada kegiatan memproses dan mengedar dadah,” katanya. Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan dadah diproses di makmal berkenaan untuk pasaran Lembah Klang dan Johor.

“Dalam serbuan ini, kami merampas RM5,300 dan dua kereta suspek,” katanya. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

“Serbuan dilakukan selepas hasil risikan kami mendapati kumpulan itu terbabit dalam kegiatan dadah.

“Ini adalah kes pertama yang membuktikan kumpulan kongsi gelap terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah,” katanya.

‘Jual’ anak untuk rokok



         
BATU PAHAT: Bagi memastikan bekalan rokoknya sentiasa cukup serta tidak perlu dibeli, seorang bapa menawarkan empat anak perempuannya berusia 17 hingga 25 tahun tidur bersama lelaki hidung belang sebagai tukaran.

Lebih menjijikkan, kegiatan itu dilakukan di rumahnya di sebuah kampung di daerah ini, malah ketika anaknya tidur bersama lelaki, bapa durjana berusia 53 tahun terbabit berada di situ sambil merokok.

Kegiatan itu yang berlarutan sejak dua bulan lalu itu, bagaimanapun hanya membabitkan rakan bapa durjana itu, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada keempat-empat anaknya akur perkara itu atau terpaksa melakukannya.

Bagaimanapun, kegiatan keji itu berakhir malam kelmarin, selepas rumah lelaki terbabit diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Daerah Batu Pahat sempena Ops Ambang Merdeka.

Cuba pukul pengawal

TAHAN...dua lelaki warga Nigeria dibawa ke balai polis selepas membuat kekecohan dan cuba memukul pengawal di Apartmen Lagoon Perdana, kelmarin.
TAHAN...dua lelaki warga Nigeria dibawa ke balai polis selepas membuat kekecohan dan cuba memukul pengawal di Apartmen Lagoon Perdana, kelmarin.

PETALING JAYA: Dua lelaki warga Nigeria nyaris dibelasah penduduk Apartmen Lagoon Perdana, Bandar Sunway apabila mereka cuba memukul pengawal keselamatan selepas tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman itu kerana enggan mendaftar nama sebagai pelawat, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lelaki warga Nigeria terbabit berusia 20-an dikepung penduduk yang berang apabila kedua-duanya enggan beralah daripada mematuhi peraturan apartmen berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit bernasib baik apabila penduduk yang marah dengan tindakan mereka menimbulkan kekecohan dapat ditenteramkan anggota peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Pengerusi Rukun Tetangga (RT) dan SRS apartmen itu, Mohd Zuki Mohd Akhir berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua lelaki warga Nigeria itu datang dengan menaiki kereta kononnya mahu menemui rakan mereka yang menetap di apartmen berkenaan.

“Pengawal kemudian meminta mereka mendaftar nama dalam buku pelawat, tetapi arahan itu tidak diendahkan, sebaliknya mereka memaki-hamun pengawal berkenaan termasuk mengeluarkan perkataan kesat.

“Malah, kedua-dua lelaki warga Nigeria itu juga bertindak nekad masuk ke dalam kawasan apartmen dengan merempuh pagar palang automatik,” katanya.


Menurutnya, ini mencetuskan perang mulut antara kedua-dua pihak hingga berlaku tolak-menolak dan keadaan terus menjadi tegang apabila kekecohan itu turut menarik perhatian penduduk.

Beliau berkata, penduduk mula menghampiri kedua-dua lelaki warga Nigeria itu dan mempersoalkan tindakan mereka yang tidak menghormati peraturan.

“Kedua-dua lelaki warga Nigeria ini semakin bersikap biadab apabila melakukan provokasi lisan menyebabkan penduduk naik berang dan mengepung mereka.

“Mujur ada anggota SRS di tempat kejadian menenangkan keadaan dan menasihatkan penduduk supaya menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, sepasukan anggota peronda polis dari Balai Polis Sunway tiba selepas dihubungi dan menahan kedua-dua lelaki warga Nigeria itu untuk tindakan lanjut.

Kamera pantau sampah dari tempat tinggi

 Imej kamera litar tertutup menunjukkan seorang penduduk pangsapuri di Singapura membuang objek melalui tingkap kediamannya.
Imej kamera litar tertutup menunjukkan seorang penduduk
pangsapuri di Singapura membuang objek melalui tingkap kediamannya.

Singapura: Bandar raya ini bakal menyaksikan pemasangan kamera pemantau di 110 tempat dalam masa tiga bulan akan datang bertujuan membanteras masalah pembuangan sampah dari tempat tinggi.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata, kamera berkenaan akan dipasang di beberapa kawasan perumahan di Bukit Panjang, Pasir Ris, West Coast, Hong Kah dan Sembawang kerana disifatkan mempunyai masalah pembuangan sampah serius yang membabitkan bukan hanya sisa makanan tetapi membabitkan kotoran seperti najis dan air kencing.
Didakwa di mahkamah

NEA memberi amaran mereka yang ditangkap melakukan kesalahan itu menerusi kamera pemantau akan didakwa di mahkamah dan kes mereka akan disiarkan kepada umum.

NEA berkata kamera terbabit menggunakan perisian menganalisis video didapati amat berkesan untuk mengesan pembuangan sampah walaupun puntung rokok.

“Ketika kajian perintis dilakukan tahun lalu, kamera pemantau ‘menangkap’ dua orang yang membuang puntung rokok dari tingkap mereka pada waktu malam,” kata seorang pegawai NEA. Kedua-dua pesalah terbabit didakwa di mahkamah dan didenda masing-masing S$800 (RM2010) dan S$1000 (RM2512).

Di bawah undang-undang mereka boleh didenda maksimum sehingga S$1,000, dikenakan Perintah Kerja Pemulihan (CWO) tidak melebihi 12 jam atau kedua-duanya sekali.
Bagi kes pembuangan sampah, NEA berkata kamera dipasang selepas membuat penilaian keadaannya dan selepas usaha pendidikan dibuat bersama majlis perbandaran. - Agensi

Malaysia sasaran penipu warga asing

Selepas sekian lama pelbagai perlakuan tidak senonoh rakyat asing yang mengakui mereka kononnya pelajar di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, dilaporkan ekoran operasi besar-besaran sejak kebelakangan ini, barulah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedar ada ramai antara mereka itu sebenarnya bukanlah pelajar. Penulis sendiri sudah beberapa kali menimbulkan perkara ini tetapi tidak mendapat perhatian kementerian kerana pihak IPT swasta berterusan mengeluarkan visa pelajar kepada warga asing yang kononnya mahu belajar tetapi tidak pernah pun menjenguk muka di institusi terbabit. Malah seorang pelajar asing pernah memberitahu penulis dia ditawarkan visa pelajar tanpa sebarang kerenah kiranya sanggup membayar RM4,000 kepada ejen yang mempunyai kaitan dengan agensi penguat kuasa. Bayangkan keadaan sesiapa saja yang sanggup mengeluarkan bayaran sedemikian boleh dengan mudah mendapatkan visa itu berbanding dengan pelajar sahih yang bercita-cita untuk belajar di negara ini tetapi terpaksa menghadapi pelbagai kerenah tidak munasabah sebelum boleh memasuki ke IPTA di sini. Tidak dinafikan ada IPTS yang hanya mementingkan bayaran yuran oleh orang asing ini tanpa mahu menentukan apakah mereka mempunyai kelayakan melanjutkan pelajaran dan tidak akan melakukan perkara lain. Syor agensi ditutup Malah Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Swasta (MAPSU), Datuk Dr Parmjit Singh yang menyokong penubuhan agensi itu, berkata masalah itu sudah lama boleh diatasi sekiranya institusi yang berterusan mengeluarkan visa pelajar kepada mereka ditutup saja seperti pernah disarankan penulis. Walaupun sudah terlambat, ia masih dialu-alukan supaya tidak akan berlaku lagi penyalahgunaan visa pelajar oleh penjenayah dan penipu yang berterusan ke negara ini menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat tempatan, terutama dari Afrika dan Timur Tengah yang sering melakukan pelbagai kerenah yang menyinggung perasaan penduduk. Mengikut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kementerian sedang berusaha menubuhkan Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) yang akan menjadi pusat sehenti menguruskan kemasukan semua pelajar asing ke negara ini. Diharapkan agensi itu akan benar-benar melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya dengan terbaik. Kita tidak mahu ada penjawat awam yang menyalahgunakan peraturan untuk kepentingan sendiri dan dengan itu berlaku pula masalah sampingan lain yang memberi gambaran betapa tidak cekapnya pegawai yang mengendali dan melaksanakan pelbagai peraturan yang diwujudkan. Berita mengenai beberapa ketua beberapa jabatan kerajaan amat liat hendak mengambil tindakan terhadap kakitangan mereka yang didapati bersalah melakukan perkara yang tidak sepatutnya amat dikesali. Penyalahgunaan visa pelajar Sebenarnya pelaku penyelewengan dan penyalahgunaan visa pelajar oleh pihak tertentu yang dikatakan direstui pihak berkuasa bukan saja patut dikenakan tindakan jabatan, malah perlu dikenakan tindakan polis supaya boleh didakwa di mahkamah. Sekiranya mahkamah juga menganggap perlakuan mereka boleh menjejas keselamatan negara dan dengan itu menjatuhkan hukuman penjara, pastinya beberapa kerat di antara mereka itu merengkok dalam penjara, barulah akan menakutkan puak ini daripada melakukan apa yang sudah mereka buat selama ini. Diketahui kita suka sangat mengadakan peraturan kononnya untuk menangani sesuatu masalah. Malangnya, pelaksanaan peraturan itu diselewengkan oleh mereka yang tidak bermaruah hanya kerana kepentingan diri sehingga menimbulkan masalah lain pula. Aneh juga sebelum peraturan baru ini diwujudkan, tidakkah pernah terfikir oleh pegawai Kementerian Pengajian Tinggi kenapa Malaysia saja antara negara ASEAN yang menjadi sasaran warga asing khususnya dari Afrika yang berterusan ke negara ini kononnya untuk belajar tetapi terbabit dalam kegiatan jenayah dan penipuan. Tidak pula kedengaran wujud kelompok ini di Indonesia, Filipina atau Thailand, jauh sekali di Singapura yang mana peraturan mengenai pelajar asing di republik itu yang walaupun menggalakkan kemasukan pelajar asing tetapi mempunyai peraturan dan penguatkuasaan amat ketat. Tidak menghairankan kenapa kelompok penipu warga asing ini menjadikan negara ini pusat kegiatan mereka. Sebab mereka tahu penguatkuasaan kita amat lesu dan tidak tegas sehingga mengundang mereka ke negara ini untuk melakukan kegiatan tidak bermaruah dengan sewenang-wenangnya. Penulis ialah Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ugutan bunuh pemimpin di Facebook



Kuala Lumpur: Satu ugutan untuk membunuh pemimpin negara dikesan dalam laman sosial Facebook sejak tiga hari lalu.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom, ketika mendedahkan perkara itu, berkata pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini bagi mengesan mereka yang cuba mencetuskan suasana takut dan bahaya itu. “Ini bukan bahan gurauan atau jenaka, sebaliknya ugutan terhadap pemimpin nombor satu negara yang mendatangkan kemarahan seluruh rakyat. Kami turut mengesan tindakan individu sama memaparkan gambar bendera yang digelar Republik Malaysia, kononnya bakal menggantikan Jalur Gemilang.
“Perbuatan ini tindakan orang yang tidak mempunyai akal serta tidak tahu mengenai perjuangan,” katanya ketika dihubungi semalam sambil menambah laporan mengenai perkara sama juga diserahkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan dibuat PVTM, petang semalam dan akan menjalankan siasatan mengikut Akta Jenayah Siber dan Multimedia.

Warga tua elak rentung mati



Kuala Lumpur: Warga tua berusia 72 tahun nekad terjun dari tingkat tiga rumah kedai untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran di Jalan Tun HS Lee petang kelmarin, meninggal dunia.

Khong Kau Choon, disahkan meninggal dunia pada jam 8 malam kelmarin, kira-kira empat jam selepas terjun dari bangunan itu. Mangsa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana kelemasan akibat terlalu banyak menghidu asap.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, ketika dihubungi mangsa dibawa ke HKL sejurus selepas menyelamatkan diri dengan terjun dari bangunan namun tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu asap tebal.

Anak warga tua terbabit berusia 40 tahun kritikal selepas patah tulang punggung, juga akibat terjun dari bangunan itu.

Samseng kampung belasah polis



Jerantut: Seorang anggota polis cedera dibelasah sekumpulan 'samseng kampung' dalam kejadian di Sri Cheka, di sini, minggu lalu.

Kejadian menimpa Lans Koperal Ammar Rusli, 25, yang bertugas di Pondok Polis Damak itu berlaku jam 11.15 malam 23 Ogos lalu ketika beliau cuba menyuraikan sekumpulan individu, kebanyakannya remaja yang mengganggu ketenteraman awam dengan membuat bising termasuk berlumba haram. Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kasim, berkata mangsa ke tempat kejadian selepas menerima maklumat penduduk Taman Sri Damak, mendapati sekumpulan remaja membuat bising, berlumba haram serta mengganggu ketenteraman awam.
“Sebahagian beredar sebaik menyedari kehadiran mangsa, namun ada yang berdegil. Dia terus menasihatkan mereka, namun seorang dalam kumpulan itu menumbuknya dan kemudian disertai yang lain ketika mangsa terbaring,” katanya.
Mangsa diselamatkan anggota lain yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Katanya, polis menahan 10 suspek bagi membantu siasatan dan tiga daripada mereka sudah dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan.

Hampir 10,000 pengunjung Yosemite National Park mungkin terdedah virus tikus



FRESNO (Calif): Kira-kira 10,000 pengunjung kabin penginapan di Yosemite National Park di sini mungkin terdedah kepada virus tikus yang boleh membawa maut, kata pegawai taman negara hari ini.

Pengurusan Yosemite National Park minggu ini menghantar surat dan emel kepada hampir 3,000 pengunjung yang menempah kabin penginapan di antara Jun dan Ogos, dengan memberi amaran bahawa mereka mungkin terdedah kepada virus bahaya itu. Setiap kabin mampu memuatkan sehingga empat orang. Sementara itu, jurucakap taman negara, Scott Gediman, berkata jumlah sebenar pengunjung yang terdedah kepada virus itu mungkin meningkat kepada 7,000 pengunjung, yang sehingga kini sudah membunuh dua orang dan menyebabkan empat yang lain terlantar di hospital. - REUTERS

Lelaki bersenjata bunuh 2 pekerja pasaraya, diri sendiri di New Jersey

OLD BRIDGE (New Jersey): Seorang pekerja di sebuah pasar raya pinggir bandar New Jersey melancarkan tembakan di kedai berkenaan awal pagi tadi, membunuh dua rakan sekerja sebelum nekad membunuh dirinya sendiri, kata pendakwa.

Menurut sumber pihak polis, suspek, berusia 23 tahun dikenal pasti sebagai Terence S Tyler yang bekerja pada syif malam di kedai runcit Pathmark apabila beliau meninggalkan kedai berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi.
Beliau kemudian kembali dengan senapang automatik AK-47, kata pendakwaraya wilayah Middlesex, Bruce Kaplan hari ini.

Tembakan itu kedengaran dari dalam pasar raya di Old Bridge, kira-kira 35 kilometer dari New York City, ketika pekerja lain bersedia untuk memulakan tugas.

Kedua-dua mangsa, yang dikenal pasti sebagai perempuan berusia 18 tahun dan seorang lelaki berusia 24 tahun, adalah pekerja Pathmark dan antara berpuluh pekerja yang berada di kedai berkenaan ketika kejadian, kata Kaplan. - REUTERS

Duda mati dibunuh kejam




KAKITANGAN Hospital Besut dan anggota polis mengusung mayat Faiza yang ditemui mati dibunuh dalam keadaan lututnya hampir putus dipercayai ditetak dengan senjata tajam dalam kejadian di Kampung Gong Manok, Kuala Besut, Besut kelmarin.


BESUT – Misteri kehilangan seorang duda anak satu sejak Rabu lalu terjawab kelmarin apabila dia ditemui mati dibunuh secara kejam dengan kedua-dua lututnya hampir putus ditetak manakala betis dan pinggangnya turut dilibas senjata tajam.
Mayat Faiza Jaafar, (gambar kecil) 27, ditemui dalam keadaan terduduk pada pukul 2.40 petang di kawasan sawah Kampung Gong Manok, Kuala Besut, dekat sini oleh bapa saudaranya yang keluar mencari mangsa.
Difahamkan, mangsa tidak pulang ke rumah sehari sebelum mayatnya ditemui hingga menimbulkan kerisauan kepada ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, siasatan awal mangsa dipercayai dibunuh oleh lebih daripada seorang suspek antara pukul 5 petang hingga 9 malam Rabu lalu menggunakan senjata tajam seperti kelewang atau pedang.
“Kita sedang menyiasat motif sebenar pembunuhan dan polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai boleh membantu siasatan,” katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kuala Besut dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Normala Sulaiman, 55, memberitahu, mangsa yang tinggal di Kampung Beris Lampu, tidak jauh dari tempat kejadian, menunjukkan perubahan beberapa hari lalu.
“Dua hari sebelum itu, mangsa menunjukkan rasa berat hati apabila ibunya, Rohani Sulaiman, 48, menyatakan hasratnya untuk ke ibu negara dengan memberitahu mereka tidak akan berjumpa lagi,” ceritanya ketika ditemui.
Tambah Normala, mangsa menetap bersamanya sejak kecil dan membantunya menguruskan kawasan tempat letak kereta dan perkhidmatan bot bagi pelancong yang ingin ke Pulau Perhentian.
“Mangsa pernah berkahwin dengan gadis sekampung dan dikurniakan seorang anak yang kini berusia tujuh tahun tetapi bercerai pada 2008,” katanya lagi.

Pura-pura pengsan elak dibunuh



SITI FATIMAH menunjukkan kesan luka pada tangannya.


KANGAR - Seorang peniaga yang tidak mampu untuk melawan dua perompak bersenjatakan parang terpaksa berpura-pura pengsan sebelum mendapati pelbagai barangan berharga bernilai RM50,000 termasuk wang dilarikan penjenayah tersebut kelmarin.
Kejadian pukul 3 pagi di sebuah rumah Lorong Haji Teh, Pengkalan Asam, di sini itu berlaku ketika Siti Fatimah Ahmad, 45, bersama dua anak, ibu dan adiknya sedang tidur di dalam bilik masing-masing.
Mengimbau semula kejadian itu, Siti Fatimah memberitahu, dia terus terjaga apabila menyedari lehernya dicekik selain hidung serta mulutnya ditekup dengan kain yang telah dilumur sejenis cecair dipercayai klorofom.
Katanya, pada mulanya dia sangka sedang bermimpi tetapi ketika hendak mencapai telefon bimbit untuk melihat waktu, dua individu yang memakai topeng dan baju sejuk terus menyerangnya.
"Saya enggan menyerah dan cuba melawan. Salah seorang daripada mereka kemudian cuba menekup sekali lagi mulut dan hidung saya dengan kain itu manakala seorang lagi memukul dan mengacukan parang hingga mencederakan jari serta tangan saya.
"Apabila mendapati kudrat saya tidak mampu untuk melawan mereka, saya mendapat ilham untuk berpura-pura pengsan bagi mengelak daripada dibunuh," ceritanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, pada masa sama dia hanya membuka sedikit mata dan nampak dua perompak itu menggeledah biliknya selama 20 minit selepas mengikat tangan dan kakinya menggunakan kain tudung miliknya.
Menurut Siti Fatimah, penjenayah kemudian cuba masuk ke dalam bilik anak, ibu dan adiknya tetapi gagal apabila pintu itu dikunci dari dalam sebelum kedua-duanya melarikan diri melalui dapur.

Warga emas kampung jadi hero




SEORANG jiran mendukung Amirah Suhaili yang dapat diselamatkan 
dalam kebakaran.


KEMAMAN - Tindakan pantas seorang lelaki sebaik melihat rumah jirannya dijilat api dapat menyelamatkan nyawa seorang gadis orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia empat tahun dalam kejadian di Rumah Murah Kampung Fikri di sini semalam.
Kejadian pukul 11 pagi itu berlaku ketika gadis OKU, Amirah Suhaili Said, 19, dan anak saudaranya, Nurul Adawiah Zabli, 4, berada di dalam rumah tersebut. Amirah Suhaili tidak mampu berjalan.
Ketika kejadian, ibu gadis OKU itu, Rahani Harun, 43, yang terkejut melihat api membakar bahagian depan rumahnya tidak terdaya berbuat apa-apa selain berdiri di depan rumah.
Rahani merupakan penjual apam balik dan api dipercayai berpunca dari gerai di hadapan rumah mangsa.
Kedua-dua mangsa bernasib baik apabila jiran mereka, Mohamad Yusof, (gambar kecil) 64, yang menyedari kejadian itu bertindak pantas menyelamatkan mereka.
Mengimbau semula kejadian itu, Mohamad memberitahu, dia nekad terus meredah api yang marak sebaik Rahani memaklumkannya yang anak gadis dan cucunya masih terperangkap di bilik tidur.
"Tanpa berfikir panjang, saya terus redah api dan mengangkat kedua-dua mangsa. Saya sempat mencapai beg barangan kemas mangsa namun wang gagal diselamatkan kerana ketika itu suasana di dalam rumah terlalu bahang.
"Rumah itu musnah tidak sampai setengah jam. Saya tahu mengenai kejadian itu daripada isteri yang mengejutkan saya yang sedang tidur," ceritanya ketika ditemui semalam.
Difahamkan, kebakaran itu mengakibatkan mangsa kerugian kira-kira RM150,000 apabila kesemua perabot, peti sejuk, mesin basuh dan televisyen musnah dijilat api.

Syiling RM36,800 bertabur atas jalan




BEGINILAH keadaan sebuah van keselamatan yang terbalik selepas tayar belakang sebelah kirinya pecah.


HULU SELANGOR - Sebuah van keselamatan yang membawa duit syiling dianggarkan berjumlah RM36,800 terbabas dan terbalik di Kilometer 426.7 Lebuh Raya Utara-Selatan selepas susur keluar Bukit Beruntung di sini semalam.
Kejadian pada pukul 12 tengah malam itu mengakibatkan pelbagai duit syiling milik sebuah pasar raya dan sebuah syarikat konsesi lebuh raya di dalam kenderaan itu bertaburan di atas lebuh raya.
Wang itu hendak dihantar ke satu lokasi di Ipoh, Perak dari Petaling Jaya, Selangor.
Ketika kejadian, terdapat tiga kakitangan syarikat keselamatan di dalamnya termasuk seorang pemandu yang berusia 38 tahun. Ketiga-tiga pekerja itu bagaimanapun mengalami kecederaan ringan.
Difahamkan, sebahagian besar wang itu dapat dipungut semula oleh kakitangan syarikat keselamatan dan pekerja lebuh raya itu menggunakan penyodok namun terdapat juga orang awam yang dilihat cuba mengutipnya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, tayar belakang sebelah kiri van itu dikatakan pecah menyebabkan ia hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya.
"Ekoran rempuhan itu, van tersebut terbalik di atas lebuh raya dan rosak teruk.
"Pemandu van dan dua rakannya yang cedera itu menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi Kosmo!.