KUANTAN: “Nanti cakap kat Nessa dan Nazmi jangan tinggal solat dan belajar rajin-rajin...terima kasih hantar Boy tadi daddy (ayah).”
Demikian khidmat pesanan ringkas (SMS) dikirim pelajar semester dua Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas), Muhammad Nor Nashriq Muhammad Azzim, 19, yang kini masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, selepas terbabit dalam kemalangan ketika melintas jalan untuk masuk ke kolej di Batu 5 Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini, Isnin lalu.
SMS itu dikirim kepada bapanya, Muhammad Azzim Tamothiran Abdullah, 48, supaya disampaikan kepada dua adiknya, Muhammad Nor Nazmi serta Manessa Aqila masing-masing berusia 16 dan 12 tahun selepas menaiki bas pulang ke Kipsas dari Shah Alam, Selangor pada jam 4 petang.
Dalam kejadian pada jam 8.50 malam itu, Muhammad Nor Nashriq yang lebih mesra dipanggil Boy dikatakan turun dari bas ekspres dinaikinya sebelum melintas jalan untuk ke Kipsas, namun dilanggar seorang penunggang motosikal yang menghala ke Kuantan.
Akibat perlanggaran itu, mangsa rebah di tengah jalan sebelum lelaki itu cuba membantunya mengangkat ke tepi, namun malang bertimpa apabila mereka berdua dipercayai dirempuh pula sebuah kereta.
Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mereka cedera parah dengan Muhammad Nor Nashriq mengalami dua pendarahan di kepala dan tulang belakang serta rusuknya patah sehingga masih koma dan dirawat di ICU HTAA.
Penunggang motosikal, Mohd Nur Azhar Mazli, 26, dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang semalam ketika dirawat di ICU hospital sama. Menceritakan kejadian itu, Muhammad Azzim berkata, dia menghantar Muhammad Nor Nashriq ke stesen bas di Shah Alam untuk pulang ke Kipsas selepas bercuti seminggu sempena Aidilfitri pada Isnin lalu.
Katanya, anak kedua daripada lima beradik itu sepatutnya pulang ke Kipsas pada Sabtu atau Ahad lalu memandangkan kelasnya sudah bermula pada Isnin.
“Tapi tiket bas pada hari berkenaan sudah habis dan Boy terpaksa balik pada malam Isnin lalu,” katanya yang menetap di Petaling Jaya, Selangor.
Bapa lima anak itu berkata, Muhammad Nor Nashriq yang juga pelajar Diploma Teknologi Maklumat (IT) di kolej itu dilihat keberatan menaiki bas.
“Apabila saya tanya kenapa tak naik lagi, dia memaklumkan panas lalu saya berkata kat dalam bas kan ada penghawa dingin, namun dia mendiamkan diri,” katanya.
Muhammad Azzim berkata, selepas bas berlepas, anaknya itu melambai ke arahnya dan 15 minit selepas itu, dia mengirim SMS kepada adik-adiknya.
“Dia minta saya pesan kepada adik-adiknya supaya tidak meninggalkan solat dan belajar rajin-rajin.
“Itu SMS terakhir saya terima sebelum dihubungi pihak HTAA pada jam 11 malam memaklumkan dia terbabit kemalangan,” katanya.
Ibu mangsa, Hanim Hashim, 46, berkata, dia sebak melihat keadaan anaknya yang kini sudah lima hari tidak sedarkan diri di ICU.
“Apabila saya dan suami bercakap kepadanya ‘mummy (ibu) dan daddy ada sebelah Boy ni’...dia seakan mendengar dan mengalirkan air mata.
“Apabila tangannya disentuh, dia seolah menggenggam tangan kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal dari arah Gambang melanggar pejalan kaki melintas dari kiri ke kanan jalan.
Katanya, selang beberapa minit kemudian sebuah kereta dari arah sama cuba mengelak kemalangan itu dengan mengubah ke lorong kanan.
“Pada masa sama, datang pula sebuah kereta melanggar bahagian belakang kereta pertama tadi. Kedua-dua pemandu kereta ini adalah wanita dan polis sudah merekodkan keterangan mereka berhubung kejadian,” katanya.