Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

Stesen minyak rugi RM9,500 disamun



KUALA LUMPUR 28 Ogos - Sebuah stesen minyak di Taman Puncak Jalil di sini kerugian lebih RM9,500 apabila disamun enam individu bersenjatakan dua bilah parang awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4.20 pagi itu, suspek-suspek terbabit bertindak menendang pintu kaca premis itu sehingga tumbang sebelum meluru ke arah kaunter wang dan mengacu parang ke leher juruwang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek menaiki empat buah motosikal iaitu tiga jenis Yamaha 125z dan sebuah Modenas Kriss.
"Ketika kejadian, hanya terdapat seorang pekerja yang menjaga kaunter wang. Turut diambil penyamun terbabit adalah telefon bimbit dan kamera milik pekerja itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ekoran kejadian itu, pihak pengurusan stesen minyak terbabit membuat laporan di Balai Polis Bandar Kinrara pada pukul 8.25 pagi.
Menurut Abdul Razak, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu.

Barang lusuh dicuri ditemui



KUALA TERENGGANU 29 Ogos - Polis membongkar kegiatan membeli dan menjual barangan lusuh jenis tembaga yang dicuri dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Jambatan Sultan Mahmud dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang, sebanyak 18 guni dan dua tong besar plastik ditemui mengandungi pelbagai jenis barangan seperti kepala paip, kabel, meter air dan 180 biji kelongsong peluru bersaiz 5.56 milimeter.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, serbuan yang dijalankan bersama beberapa pegawai syarikat telekomunikasi Celcom itu turut menemui tiga daripada empat bateri pencawang telekomunikasi milik syarikat berkenaan.
Katanya, hasil serbuan itu, seorang lelaki yang juga pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan.
"Ketika ditahan, pemilik berusia 45 tahun itu juga gagal menunjukkan lesen perniagaan. Polis masih menyiasat nilai keseluruhan barang yang ditemui dan tidak menolak ia bernilai tinggi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelasnya, pemilik premis itu direman bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 kerana mencuri dan Seksyen 29 kerana memiliki barang yang dipercayai curi.
"Kita juga akan lihat jika pemilik ini akan disabitkan dengan Akta Senjata Api memandangkan kelongsong peluru dipercayai jenis M16 turut ditemui di premisnya.
"Kita akan siasat bagaimana dia memperoleh kelongsong peluru sebanyak itu dengan mudah," katanya.
Bagaimanapun, Manoharan menolak kes itu ada kaitan dengan kegiatan sebuah kumpulan mencuri bateri sokongan beberapa pencawang syarikat telekomunikasi sekitar daerah ini yang berjaya ditumpaskan polis negeri itu.

Penduduk bimbang banjir besar



Che Bakar Che Deraman (kanan) bersama penduduk menunjukkan tempat yang didakwa bakal dibangunkan dikhuatiri akan mengakibatkan banjir teruk di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan, sermalam.
TUMPAT 27 Ogos - Penduduk Kampung Laut di sini bimbang akan menghadapi bencana banjir yang lebih besar sekiranya rancangan untuk membangunkan pulau-pulau kecil di antara Kampung Cina dan Kampung Kijang di Sungai Kelantan diteruskan.
Pulau-pulau yang berada dalam jajahan Tumpat itu menjadi tempat untuk penduduk kampung bercucuk tanam sejak sekian lama.
Seorang penduduk, Che Bakar Che Deraman, 62, mendakwa pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri membayar pampasan kepada pemilik tanah di pulau berkenaan sebelum dijual kepada pihak ketiga untuk membangunkannya.
"Kami tidak menolak pembangunan, tetapi apa yang membimbangkan sekiranya pembangunan dilakukan di kawasan tersebut, air Sungai Kelantan akan berubah haluan.
"Jika kawasan tersebut lebih tinggi, sudah tentu air yang sepatutnya keluar ke muara akan menghala ke kampung kami yang kedudukannya lebih rendah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Che Bakar berkata, sekiranya keadaan itu berlaku, penduduk khuatir bencana yang lebih teruk berlaku di kampung mereka biarpun pada setiap tahun kawasan itu dinaiki air.
"Banjir yang biasa pun kami sudah takut dan risau, inikan pula kemungkinan ia menjadi lebih teruk daripada biasa. Kami memohon kepada kerajaan negeri supaya prihatin dengan masalah penduduk dan melihat segala kemungkinan sekiranya pembangunan diteruskan," katanya.
Sementara itu, Wan Mohammad Wan Hasan, 30, berkata, bapanya adalah antara salah seorang pemilik tanah di pulau tersebut.
"Sebelum ini bapa saya mengusahakan tanah tersebut dengan menanam tembikai, tetapi pada 2004 bapa saya diberi pampasan sebanyak RM35,000 bagi tanah seluas lebih satu ekar.
"Saya berharap pihak berkuasa mengkaji semula pembangunan di kawasan ini supaya ia tidak merosakkan alam sekitar," katanya.

Wang, rokok hampir RM40,000 dilari perompak



Kamaruddin Zakaria (kanan) dan Kamsani Hassan menunjukkan gambar empat lelaki yang ingin dihubungi bagi membantu siasatan kes samun van rokok di Besut, Terengganu, semalam.
BESUT 27 Ogos - Sekumpulan penjenayah bertindak mengikat seorang pemandu van syarikat rokok sebelum melarikan 500 karton rokok dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai hampir RM40,000 di Kampung Paya Rawa di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu, mangsa baharu keluar dari sebuah kedai runcit untuk menghantar rokok yang dipesan pelanggan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, tiba-tiba suspek yang dipercayai bersenjatakan parang muncul dari belakang lalu menolaknya ke dalam kenderaan dan terus mengikat tangan mangsa.
Katanya, pada masa sama, seorang rakan suspek bertindak memandu van tersebut ke satu kawasan sunyi di belakang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut yang terletak berdekatan.
Menurutnya, sebuah kereta Proton Perdana dan Proton Waja dipercayai milik rakan suspek mengekori van tersebut ke tempat tersorok itu.
"Suspek kemudian memunggah semua rokok dalam van tersebut ke dalam kenderaan mereka dan turut melarikan wang tunai berjumlah RM4,000 sebelum meninggalkan mangsa di dalam van," katanya di sini hari ini.
Kamarudin berkata, polis memburu suspek yang berusia 20 hingga 40-an dan tidak menolak kumpulan itu turut terlibat dalam kejadian samun van rokok di kawasan lain sebelum ini.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata," katanya.
Beliau turut meminta orang awam yang mengetahui mengenai empat lelaki seperti di dalam gambar agar menghubungi polis.
"Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Asisten Supritendan Kamsani Hassan di talian 013-3612080," katanya.

1,292 biji pil kuda dirampas dalam dua tangkapan



Abdul Aziz Mahmud (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan wang yang dirampas di Tanah Merah, Kelantan, semalam.
TANAH MERAH 27 Ogos - Polis merampas 1,292 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000 dalam dua tangkapan berasingan ketika Ops Bersepadu di Jalan Taman Hiburan, semalam.
Tangkapan pertama dibuat pada pukul 2.50 pagi selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Satria yang dinaiki tiga lelaki.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, hasil pemeriksaan, pihak polis menemui dua biji pil kuda yang diletakkan dalam kotak rokok pada salah seorang pemuda terbabit.
"Hasil siasatan lanjut, polis menjumpai satu beg silang berwarna coklat yang diletakkan dalam ruang simpanan barang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.
"Polis kemudian menjumpai enam paket plastik warna biru mengandungi 992 biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda serta satu plastik lutsinar dipercayai berisi ganja dan turut dijumpai wang tunai RM4,450," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, suspek yang berumur 23 hingga 32 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kesemua mereka didapati positif dadah
Tambahnya, kes disiasat mengikut sekyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk pil kuda dan bagi ganja di bawah Seksyen 6 1952.
Sementara itu, bagi tangkapan kedua, di tempat yang sama pihak polis telah menahan kereta jenis Proton Putra yang dinaiki dua lelaki dan menemui satu beg sandang di bawah tempat duduk pemandu bahagian depan berisi 300 pil kuda.
Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek ditahan dan disiasat di bawah 39A (2) ADB 1952 turut dijumpai satu botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki ganja serta wang tunai RM1,760.
"Jumlah keseluruhan tangkapan kes ini RM8,300, dalam pada itu polis turut menyita dua kereta, wang tunai dan telefon bimbit dan siasat bawah seksyen Akta Pelucuthakkan Harta ADB 1988 A," katanya.

Wanita didakwa bunuh anak



T. PARIMALA menutup muka ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Ipoh, Perak, semalam. - BERNAMA
IPOH 29 Ogos - Seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuan wanita itu yang berusia empat tahun tujuh bulan, pada pertengahan bulan ini.
T. Parimala, 33, dan S. Kupertasan, 27, didakwa secara bersama membunuh J. Pavitra antara pukul 8 malam, 7 Ogos lalu dan pukul 5.20 petang, 14 Ogos lalu di rumah No. 152, Lorong Tawas 9, Kampung Tawas di sini.
Pavitra meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia berhampiran Kampung Tawas pada 14 Ogos lalu.
Laporan bedah siasat menunjukkan kematian kanak-kanak itu berpunca daripada pendarahan dalaman terutama di kepala.
Pada prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh itu hanya mengangguk tanda faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Shamshol Azwa Martadza.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.
Parimala yang memakai baju lokap oren dan Kupertasan memakai baju lokap ungu sebelum itu dilihat gelisah dan saling memandang antara satu sama lain.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K. Kavitha mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Shamshol Azwa menetapkan sebutan kes pada 1 November depan untuk mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.
Terdahulu, Kupertasan yang bekerja di sebuah syarikat keranda memohon supaya dia dipindahkan ke Penjara Alor Setar kerana semua ahli keluarganya tinggal di sana.
Bagaimanapun, mahkamah meminta permohonan itu dikemukakan kepada pihak Penjara Tapah iaitu penjara yang menempatkannya ketika ini.
Mengikut laporan akhbar, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat didera berdasarkan laporan bedah siasat yang menunjukkan terdapat kesan kecederaan lama dan baru di tubuhnya.

Kelucahan lampau: Bekas ketua polis balai dihukum penjara


KANGAR - Bekas ketua Balai Polis Arau, Sub-Inspektor Zaini Ahmad hari ini dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap dua pemuda, lima tahun lalu.
 
Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Zaini, 54, selepas membenarkan rayuan kali kedua oleh pihak pendakwaan.
 
Bagaimanapun, Mohd Zaki mengarahkan hukuman itu berjalan serentak.
 
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kangar membenarkan rayuan kali kedua pihak pendakwa terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kangar yang membebaskan tertuduh pada 21 Oktober 2011.

Kali pertama pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap kes itu ialah setelah Mahkamah Majistret membebaskan tertuduh pada 2 Jun 2010 dan mengekalkan keputusannya selepas rayuan dibuat apabila membebaskan tertuduh pada 21 Oktober 2011.
 
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah pondok di tepi bangunan Balai Polis Arau antara pukul 1 pagi dan 4.30 pagi 6 Januari, 2007.

Bagi pertuduhan kedua, Zaini didakwa melakukan kesalahan serupa dengan lelaki yang sama antara 4.30 pagi dan 5.30 pagi tarikh sama di dalam bilik maklumat, bangunan Balai Polis Arau.
 
Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki berumur 18 tahun antara 11.30 pagi dan 3 petang di
pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Arau, pada tarikh yang sama.
 
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendren. - Bernama

Lelaki didakwa jual ijazah palsu USM RM540


Lelaki didakwa jual ijazah palsu USM RM540
Lim Chuan Soon dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen.
GEOGETOWN - Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada hujung Jun lalu berhubung kes pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM), dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menjual ijazah palsu pada harga RM540.

Lim Chuan Soon, 26, bekas pemilik perniagaan permainan dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut  pertuduhan, Chuan Soon itu didakwa menipu Tang Yong Peng, 23,  dengan mengambil RM540 sebagai bayaran bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dari USM sedangkan sijil itu tidak sah laku.

Chuan Soon dari Taman Tokai Jaya,  Alor Setar, Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank, I- Avenue Bayan Baru, di sini  pada 25 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon, kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.

Chuan Soon yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah itu dikurangkan.

“Saya minta jaminan dikurangkan. Saya daripada keluarga miskin. Kedua ibu-bapa saya meninggal sejak saya kecil lagi. Disebabkan inisiden ini, saya kehilangan kerja, kawan-kawan dan saya tidak ada wang simpanan untuk membayar jaminan tinggi.

“Puan hakim, saya bertanggungjawab ke atas semua pertuduhan dihadapi di mahkamah. Saya bersumpah tidak akan melarikan diri daripada menghadiri prosiding mahkamah. Saya bersedia memberi sepenuh kerjasama sepanjang kes ini dibicarakan. Dengan ini, saya memohon wang jaminan dikurangkan," katanya.

Mengambil kira rayuan itu, Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 September ini.

Sementara itu, difahamkan  Chuan Soon menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan yang sama iaitu menipu Wan Noorhafiza Wan Hussin, 23, dengan mengambil RM14,500 sebagai bayaran mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perakaunan (Kepujian) USM sedangkan ia tidak sah laku.

JKM Daerah Timur Laut cari waris bayi lelaki

CARI WARIS...bayi berusia hampir dua bulan kini di bawah jagaan JKM. 
FOTO Bernama
CARI WARIS...bayi berusia hampir dua bulan
 kini di bawah jagaan JKM. FOTO Bernama
 

GEORGETOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari ibu bapa atau waris seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah rumah kosong di Lorong Kulit dekat sini, 12 Julai lalu.
Pegawai Pelindung Kanak-kanak JKM Daerah Timur Laut Rossilawati Aminuddin berkata bayi berusia hampir dua bulan itu, kini di bawah jagaan JKM.
"Semasa ditemui, bayi lelaki itu ditinggalkan tanpa dokumen pengenalan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Waris yang ingin menuntut bayi berkenaan diminta menghubungi Rossilawati di talian 04-2264531 atau 04-2277413. - Bernama

Pengemis ditemui mati telentang

KULIM: Seorang pengemis warga emas ditemui mati dalam sebuah rumah tinggal di Kampung Kilang Sagu, dekat sini petang kelmarin.
Mayat lelaki yang tidak diketahui identitinya, ditemui telentang, dipercayai mati dua jam sebelum dijumpai orang ramai.

Ketua Balai Polis Kulim, Asisten Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan dan dipercayai diabaikan keluarga kerana menagih dadah.

Menurutnya, seorang kenalan mangsa memaklumkan polis mangsa sering mengadu tidak sihat sejak beberapa minggu lalu.

Difahamkan, mangsa sempat memberikan nombor telefon waris terdekat kepada rakannya itu dan meminta menghubungi keluarganya jika sesuatu berlaku.

“Siasatan tidak menemui sebarang tanda pergelutan dan kami percaya mangsa mati akibat penyakit dihidapi.


“Difahamkan dia tinggal di rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu dan sering dilihat mengemis di sekitar pekan Kulim,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Suspek kes bunuh diminta serah diri

DIKEHENDAKI...Gunarajan menunjukkan gambar Khairul.
DIKEHENDAKI...Gunarajan menunjukkan gambar Khairul.
MELAKA: “Kita sudah menggunakan saluran yang ada termasuk menerusi majikan namun masih gagal mengesannya sehingga kini,” kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) negeri, Superintendan P R Gunarajan.
Beliau mengulas usaha pihaknya memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes jurukimpal mati ditikam di Kampung Serkam Pantai, Jasin, dekat sini, minggu lalu.

Lelaki yang bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya itu dikenali sebagai Khairul Nordin, 41, dan beralamat terakhir di No 21, Jalan Kayu Manis 3, Taman Kayu Manis, Jalan Jelebu, Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Gunarajan, pihaknya meminta kerjasama lelaki itu menyerah diri bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. “Berdasarkan maklumat diperoleh, lelaki berkenaan setakat ini didapati masih tidak datang bekerja atau pulang ke rumahnya. “Kita sedang berusaha mengesan dan meminta lelaki itu menyerah diri di balai polis berdekatan untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, orang ramai mempunyai maklumat mengenai individu itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Inspektor Amir Kaskon di talian 017-7868810 atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Akhbar ini melaporkan seorang lelaki maut akibat ditikam adik iparnya sendiri di Kampung Serkam Pantai, dekat sini, malam Rabu, minggu lalu.


Rashid Ahmad, 46, mati pada jam 1.40 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka kerana cedera di pinggang kiri akibat ditikam dengan pisau.

Sebelum itu, berlaku pertengkaran antara jurukimpal berkenaan dengan iparnya di halaman rumah ibunya jam 7.30 malam sebelum dia ditikam.

Kejadian berlaku selepas mangsa, anak kelapan daripada 10 beradik, menegur adik iparnya itu yang sering memukul isterinya berusia 36 tahun.

Teguran itu mengakibatkan berlaku perang mulut dan pergelutan antara mereka sebelum suspek yang berang mengeluarkan pisau lalu menikam mangsa.

Penganggur dihukum gantung kerana bunuh bapa mertua

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh bapa mertuanya dengan menikam menggunakan pisau rambo, dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Samsudin Hassan menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Azuwa Talib, 25, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohd Azuwa, yang memiliki seorang anak lelaki berusia tiga tahun, dituduh membunuh Armen Suardi, 55, yang merupakan peniaga runcit di rumah bernombor 51, Jalan Bendahara 3, Bandar Tenggara, dekat Kota Tinggi, antara pukul 2.30 petang dan 5.20 pagi, 8 Nov dan 9 Nov 2010.

Kesalahan yang dilakukan di rumah bapa mertuanya itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.


Dalam penghakimannya, Samsudin berkata dua tikaman di badan dan satu lagi di kepala yang menembusi tengkorak serta otak Armen jelas membuktikan kejadian itu disengajakan tertuduh.

"Pergaduhan antara tertuduh dan si mati juga bukan pertama kali. Terdapat dendam antara tertuduh dan si mati sejak tertuduh berkahwin dengan anak perempuan si mati. Ini bukan rekaan kerana terdapat kata kesat dan sikap dingin tertuduh terhadap si mati.

"Keterangan tertuduh yang mengatakan dia hanya mempertahankan diri juga tidak menepati nas undang-undang. Jadi, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhi hukuman mati terhadap tertuduh mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu gantung di leher sampai mati," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Johor Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala Mohd Azuwa diwakili peguam Ruhaizamin Johari dan Ummu Aiman Azizan. - Bernama

Pemandu bas ekspres maut, empat parah dalam kemalangan di Slim River

IPOH: Seorang pemandu bas maut manakala 12 yang lain cedera termasuk empat parah apabila bas express yang mereka naiki merempuh treler di Km 362.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River, malam tadi.
Hussein Jaafar, 29, berasal dari Baling, Kedah yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.
Mereka yang parah ialah pemandu kedua MOhd Fazli Khamis, 40, berasal dari Taman Sri Pinang, Tikam Batu, Kedah; Che Yusoff Che Ani, 39, berasal dari Alor Setar, Kedah; Mohamad Hafizul Zuljabli, 24, dari Kampung Seberang Alor, Alor Setar, Kedah; dan Khuhan a/l Dharmaraj, 21, dari Taman Aman, Anak Bukit Alor Setar, Kedah.

Mereka yang cedera kini dirawat di Hospital Slim River, kata Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Othman Nayan.


Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 10.45 malam tadi, bas yang dalam perjalanan dari Klang ke Butterworth itu dikatakan merempuh belakang treler membawa muatan besi konkrit menyebabkan bahagian hadapan bas remuk.

Beliau berkata sembilan penumpang yang tidak cedera meneruskan perjalanan dengan bas gantian. - Bernama

Terkejut ‘beg’ menangis

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kedai menjual akhbar tidak menyangka beg yang dialihkannya dari tepi pintu kedai ke atas bangku perhentian bas berisi bayi perempuan sehinggalah dia menyedari tangisan dari dalam beg berkenaan kira-kira 10 minit selepas itu.
Bayi yang cukup sifat itu dibalut dengan tuala berwarna biru dan hanya memakai lampin itu diletakkan dalam sebuah beg pakaian dan ditinggalkan di hadapan pintu kedai kedai menjual akhbar di Jalan Sultan Omar di sini, semalam.

Rozlan Shahril Hamzani, 31, berkata ketika hendak memulakan perniagaan pada jam 6 pagi, dia terdengar rengekan seperti bayi menangis, tetapi tidak menghiraukannya apabila bunyi tangisan itu hilang tidak lama kemudian.

“Ketika hendak membuka kedai, saya ternampak satu beg di depan pintu dan terus mengalih dengan meletakkannya di atas bangku.

“Saya kemudian memulakan kerja dengan menyusun akhbar di perhentian bas sebelah kedai itu sebelum sekali lagi terdengar bunyi tangisan bayi.

“Ketika itu baru saya cuba memeriksa beg itu yang tidak tertutup rapat dan terkejut apabila nampak ada bayi dalam beg itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, selepas itu dia segera meminta seorang pelanggannya membuat laporan polis sebelum beberapa anggota tiba beberapa minit kemudian dan membawanya ke hospital.

Dia yang menetap di Jalan Tekukur, di sini berkata, bayi yang ditemui cukup sifat itu dipercayai dilahirkan beberapa hari lalu berdasarkan keadaannya yang bersih dan tali pusat yang dipotong dan ia pengalaman pertama sejak majikannya membuka kedai menjual akhbar di situ 30 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian disedari seorang pembantu kedai menjual akhbar apabila melihat sebuah beg berada di hadapan kedai tempat dia bekerja.

“Pengadu menyedari terdapat bayi di dalamnya apabila terdengar tangisan dan ketika diperiksa mendapati di dalam beg ditemui itu terdapat seorang bayi perempuan.

“Keadaan bayi itu ketika ditemui memakai lampin pakai buang dan dibaluti tuala biru sebelum pengadu memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Menurutnya, bayi yang belum dikenal pasti keturunannya itu kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, bayi berkenaan kini dalam keadaan sihat dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya ke balai polis berhampiran.

Pemandu Proton Wira Aeroback BGE 6660 dicari

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Proton Wira Aeroback antara yang dicari bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan menyebabkan dua lelaki mati ditembak di depan sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain pemandu itu, polis turut memburu dua lelaki yang dikenal pasti mencetuskan provokasi hingga tercetus pergaduhan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Pemandu Wira Aeroback bernombor pendaftaran BGE 6660 itu dipercayai menghantar salah seorang mangsa yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Dua lelaki berkenaan pula terbabit dalam pergaduhan dan antara suspek yang dilihat mula mencetuskan provokasi hingga keadaan bertukar ganas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Menurut Ku, setakat ini, pihaknya masih menyiasat sama ada dua mangsa yang parah serta dirawat di hospital itu adalah individu yang melepaskan tembakan dalam kejadian itu.

“Kami belum kenal pasti status mereka berdua kerana kedua-duanya masih belum sedarkan diri dan koma.


“Keadaan mangsa yang berusia 37 dan 39 tahun itu masih kritikal,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati empat das tembakan dilepaskan dalam pergaduhan itu menyebabkan dua kematian manakala enam individu lain cedera termasuk dua parah.

“Setakat ini, 12 individu berusia 21 hingga 40 tahun daripada kedua-dua kumpulan yang bergaduh sudah ditahan. Siasatan awal mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil memberi kerjasama dengan menghubungi bilik gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur di talian 03-21460685 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, beliau berkata, polis masih memburu suspek yang terbabit dalam kejadian cubaan samun hingga menyebabkan seorang pekerja kafe siber ditembak mati di Taman Jinjang Baru, di sini, Isnin lalu.

Katanya, polis ada petunjuk dan yakin dapat memberkas suspek yang sudah dikenal pasti itu dalam masa terdekat.

Maut tertiarap bawah meja

NILAI: Seorang wanita ditemui mati tertiarap di bawah meja makan oleh jirannya yang berkunjung ke rumah mangsa selepas pelik melihat kediaman warga emas terbabit bergelap dalam kejadian di Kampung Abdullah, Mantin, di sini, semalam.
Jirannya, Halijah Jamin, 63, yang tinggal berhadapan rumah mangsa, Siti Rohani Alias, 75, ketika ditemui berkata, kejadian itu disedari ketika pulang dari rumah saudaranya malam kelmarin.

Menurutnya, semalam kira-kira jam 10.30 pagi dia musykil apabila Siti Rohani yang mesra dipanggil penduduk kampung sebagai Kak Endut tidak menyahut panggilannya.

“Saya rasa tak sedap hati sebelum memanggil seorang rakan yang juga saudara mangsa untuk melihat keadaan di dalam rumahnya.

“Kami cuba memangil, namun tidak berjawab sebelum bertindak menendang pintu rumah.

“Arwah ditemui tertiarap di bawah meja makan berdekatan dapur. Rakan saya ingatkan mangsa pengsan sebelum saya nampak ada darah lalu kami menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusoff Awang yang turut berada di lokasi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, pihak polis pada mulanya mengesyaki kematian mangsa mungkin berpunca dipukul atau dipijak berdasarkan kesan calar di bahagian kaki serta tangan selain kesan lebam di bahagian dada.

Katanya, mayat terbabit juga ditemui dengan kesan darah di bahagian mata dan hidung.

“Bagaimanapun, doktor pakar patologi dari Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) yang datang ke tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah. Mangsa sudah meninggal dunia lebih 24 jam.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

‘Saudara pengantin’ kebas barang kemas RM20,000

IPOH: Seorang wanita yang menyamar sebagai saudara pengantin, menyelinap dan melarikan jongkong emas serta pelbagai barang berharga ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung di Kampung Sungai Chapah, Manjoi, di sini.
Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari Ahad lalu, wanita berusia 20-an itu menyusup masuk ke rumah bapa pengantin yang juga penceramah bebas, Ustaz Hashim Sulaiman dengan berlakon kononnya mahu menunaikan solat dan ke tandas.

Ustaz Hashim yang juga ahli jawatankuasa Pertubuhan Zikir Munajat Darul Ridzuan (Kuzidar) mendakwa wanita itu melarikan satu jongkong emas, barangan kemas serta wang tunai yang nilai keseluruhan hampir RM20,000 milik anak lelakinya yang berkahwin.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika majlis perkahwinan sibuk berlangsung di rumahnya dan wanita itu yang menyamar sebagai ahli keluarga, kelihatan mesra dengan semua tetamu.

“Dia masuk ke dalam rumah dengan alasan mahu membuang air kecil. Saya percaya kesempatan itu diambilnya untuk melarikan beg berisi barangan berharga itu,” katanya.

Menurut Ustaz Hashim, dia mula menyedari kehilangan barangan kemas itu selepas bank menghubungi anak lelakinya memaklumkan seorang wanita cuba membuat bayaran pembelian tiga telefon bimbit menggunakan kad kredit anaknya setengah jam kemudian.


Dia bersama anak lelakinya bergegas ke kedai telefon bimbit itu sebelum dimaklumkan pemilik premis mengenai wanita berkenaan.

“Kami dimaklumkan wanita itu gagal membuat bayaran bagi telefon bimbit itu selepas diminta menyerahkan MyKad untuk proses pembayaran.

“Wanita itu kemudian beredar dari premis selepas tindakannya menggunakan kad kredit curi itu disedari pemilik premis itu,” katanya.

Dia kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan mengenal pasti wanita berkenaan menghadiri majlis perkahwinan anaknya.

“Wanita itu bukan saudara kami. Seorang cucu mendakwa melihat dia memasuki bilik menempatkan barangan kemas dengan alasan mahu menunaikan solat,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia berharap wanita itu dapat menghubunginya segera bagi menyelesaikan perkara itu dengan cara baik.

Ustaz Hashim berkata, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang malah sudah menyerahkan gambar wanita itu kepada polis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, dia juga membuat solat hajat bagi melembutkan hati wanita berkenaan seterusnya membuka pintu hatinya untuk menghubunginya bagi menyelesaikan perkara itu.

“Berdasarkan gambar yang dirakam, wanita berkenaan bertubuh sedikit gempal serta memakai baju kurung dan tudung biru.

“Hubungi saya segera, kita boleh bincang cara baik. Malah, saya akan tarik balik laporan polis jika dia serahkan barangan yang dilarikan. Saya juga berharap sesiapa yang mengenali wanita berkenaan supaya menghubungi saya di talian 013-5288647 atau 05-5288045,” katanya.

Ambil keterangan remaja kes sumbang mahram

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan anak perempuan seorang pemimpin parti pembangkang yang berusia 56 tahun terbabit dalam kes sumbang mahram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, siasatan terperinci dijalankan untuk mengetahui pembabitan lelaki itu dalam kes berkenaan selepas anak perempuannya yang berusia 15 tahun melahirkan anak.

Katanya, polis juga menyiasat sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kes sumbang mahram itu.

Keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) diambil daripada kedua-dua suspek akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang pemimpin sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram sehingga remaja perempuan itu melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur empat hari lalu.

Pemimpin bersama anak lelakinya berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lalu bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan bayi lelaki sebelum dibebaskan Isnin lalu.

Wanita licik 29 nama

KUCHING: Kelicikan seorang wanita menggunakan maklumat individu lain bagi memohon dan menggunakan kad kredit terbongkar apabila dia ditahan bersama 29 kad kredit membabitkan nilai kredit lebih RM100,000 di rumahnya, petang kelmarin.
Penahanan wanita berusia 37 tahun dilakukan sepasukan polis diketuai Inspektor Maharmustaqeem Ali Seman daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, pada jam 4.35 petang.
Ketua JSJK negeri, Superintendan Mohd Firdaus Abdullah berkata, siasatan awal suspek yang juga pemilik taska di Petra Jaya, di sini, memperoleh kad kredit itu menggunakan saluran sah ditetapkan institusi kewangan berkaitan.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek mengisi borang permohonan kad kredit yang dikepilkan dokumen diperlukan dan sebaik diluluskan, kad berkenaan dihantar pihak institusi kewangan ke rumah suspek.

Tersembam dihentam ribut

DUNGUN: Saya tersembam dan pitam beberapa minit sebaik penutup tangki air singgah di kepala saya,” kata Sharifah Salbiah Embong, 20, menceritakan detik cemas kejadian ribut yang melanda Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Bukit Besi, di sini, petang kelmarin.
Ribut dan hujan lebat selama lima minit itu menyebabkan atap lima kedai di situ rosak dan beberapa kedai milik Pejabat Daerah Dungun yang disewa peniaga turut rosak dalam kejadian jam 4.30 petang.

Selain itu, beberapa bangsal burger, kerusi dan meja milik peniaga di situ diterbangkan angin ke atas jalan manakala beberapa pokok tumbang serta menghempap khemah peniaga.

Sharifah Salbiah berkata, gerai kakaknya Sharifah Sabariah, 25, menjual barangan permainan kanak-kanak dan kasut di bawah tiga khemah di kawasan lapang di situ rosak teruk akibat ribut.

“Saya dan kakak ketika itu mengemas barangan jualan apabila secara tiba-tiba angin kencang dan saya keluar khemah sebelum ternampak pusaran angin itu semakin menghampiri tempat berniaga,” katanya.

Menurutnya, dia dan kakaknya memegang kuat tiang khemah agar tidak terbang namun tidak berdaya sebelum dia meminta kakaknya itu bertindak menyelamatkan diri ke dalam sebuah kedai makan berhampiran.


“Ketika berlari masuk ke kedai itu secara tiba-tiba kepala saya terkena tudung tangki air yang berada di situ selepas diterbangkan ribut dan keadaan itu menyebabkan saya pitam serta tersembam di dalam kedai,” katanya.

Sharifah Salbiah berkata, berikutan kejadian itu dia menganggarkan kerugian lebih daripada RM10,000.

Seorang pengunjung, Norakaswati Abdullah, 57, berkata, dia bersama empat anaknya dalam perjalanan dari rumahnya di Besut untuk ke Kuantan singgah di hentian terbabit sebaik kereta Proton Wira dipandunya rosak.

“Saya berhenti di situ sementara menunggu mekanik membaiki kereta dan tiba-tiba pusaran angin melanda di kawasan itu menyebabkan sebuah khemah peniaga diterbangkan angin terkena kereta,” katanya.

Katanya, nasib baik dia empat beranak sempat berlindung di sebuah bangunan di situ biarpun lampu depan keretanya pecah termasuk beberapa bahagian keretanya kemek dirempuh khemah terbabit.

“Pusaran angin itu amat menakutkan, ia bagaikan dalam filem. Sebaik selesai kereta dibaiki saya tak mahu lagi ke Kuantan sebaliknya akan meneruskan perjalanan balik ke Besut,” katanya.

Peniaga sebuah kedai makan, Zeniwati Talib, 51, dan suaminya Mohd Bali Muda, 58, berkata, dia sedih sebaik mendapati kedai makan yang baru disambung ruang makan musnah.

“Saya ketika itu dalam perjalanan pulang membayar sewa kedai di Pejabat Daerah Dungun dan menerima panggilan telefon daripada anak yang melaporkan kedai rosak teruk sebelum saya bergegas ke situ,” katanya.

Pelbagai barangan haram dirampas selepas penjara digeledah polis

SAMUT SAKHON: Seramai 200 anggota polis, pegawai narkotik dan pegawai penjara semalam bekerjasama menyerbu penjara Samut Sakhon sebelum merampas pelbagai barangan haram.
Polis berkata, pemeriksaan dibuat terhadap 2,900 tahanan lelaki dan persekitaran sel. Pihak berkuasa menemui tujuh telefon bimbit, dua kad SIM, tiga pengecaj telefon, lima fon kepala dan 0.33 gram methamphetamine ketika serbuan.

Polis berkata, serbuan itu dibuat ekoran soal siasat suspek dadah yang ditahan baru-baru ini. - BP

Pemandu angkot dibelasah sebelum dicampak ke sungai

JAKARTA: Empat lelaki yang menaiki kenderaan Toyota Fortuner hitam memukul pemandu van mini (angkot) berusia 40 tahun di Kalimalang, Jakarta Timur, lapor kompas.com, semalam.
Pemandu terbabit, Dasriwandi sedang memandu van mininya apabila Toyota Fortuner itu berhenti di sebelah kenderaannya, kata isteri mangsa, Widhya yang turut berada dalam van mini itu.

Seorang daripada lelaki berkenaan menurunkan cermin tingkap kenderaan sebelum meludah ke arah Dasriwandi.

Dasriwandi memberhentikan kenderaannya dan bertanya mengapa lelaki itu meludah ke arahnya.

Semua lelaki berkenaan yang memakai jaket hitam dan topi enggan menjawab lalu membelasah Dasriwandi. Mereka menumbuk mukanya sebelum mencampakkan mangsa ke dalam Sungai Kalimalang. Mereka melarikan diri selepas orang yang lalu lalang datang untuk membantu Dasriwandi. Widhya kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis di Duren Sawit. Dasriwandi kini dirawat di hospital. - kompas.com

Seorang lagi penyelam rakyat asing mati di Bali

BALI: Seorang lagi penyelam warga asing maut selepas menyelam di Teluk Crystal, Nusa Penida, di wilayah Klungkung di sini semalam, sehari selepas pelancong Jepun ditemui mati di kawasan sama, kata polis.
Seorang ahli perniagaan Denmark, Hendrik Kent Jensen, 43, tidak timbul selepas menyelam selama kira-kira sejam bersama dua rakannya, dikenali sebagai Susana dan Thillo.

Menurut Ketua Polis Nusa Penida, Komisioner I Wayan Sarjana, Jensen ditemui oleh rakannya di dasar laut selepas dia pengsan. “Apabila mereka memeriksanya di atas bot, dia sudah tidak bernafas. Mereka kemudian mengejarkannya ke pusat kesihatan awam, katanya di Hospital Sanglah sebagaimana dipetik daripada agensi berita Antara.

Bagaimanapun, Jensen mati dalam perjalanan ke Hospital Sanglah.

Menurut saksi, Jensen adalah penyelam yang cekap.

Polis belum dapat menentukan punca kematiannya.


Sehari sebelum itu, pelancong Jepun, Ai Tanaka, 34, ditemui mati pada kedalaman 43 meter selepas dia diisytiharkan hilang sehari sebelumnya. Dia gagal untuk timbul bersama 13 rakyat Malaysia yang menyelam bersamanya. - Antara

Janda angau godaan Dr Clinton



Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
RAMPAS...Soh menunjukkan foto  lucah yang digunakan suspek untuk menggoda mangsa.
RAMPAS...Soh menunjukkan foto lucah yang digunakan suspek untuk menggoda mangsa.
MELAKA: Cair dengan pujukan ‘Dr Michael Clinton’ kononnya dari Switzerland dan mahu membuka klinik di Malaysia, seorang janda beranak satu menjadi mangsa terbaru sindiket penipuan Internet lelaki Nigeria membabitkan kerugian RM233,000.
Mangsa berusia 56 tahun mengenali lelaki itu menerusi satu laman sosial, awal Mei lalu yang memaparkan gambarnya sebagai lelaki kulit putih yang bekerja di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, untuk meyakinkan mangsa suspek memberitahu dia akan mengirimkan wang AS$380,000 (RM1,186,38) kepada mangsa untuk disimpan bagi membuka klinik yang dirancang.

Menurutnya, selepas satu tempoh, suspek mendakwa wang itu sudah dikirim dan berada di Kuching, Sarawak, namun untuk mendapatkannya mangsa terlebih dulu perlu membuat beberapa pembayaran kononnya sebagai yuran pengubahan wang dan servis serta cukai kerajaan.

Ditetak enggan mengalah



Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my
PARAH...Rohairani pengsan apabila pergelangan tangan kirinya ditetak peragut dan dipapah orang ramai selepas sedar ke HRPZ II dalam kejadian di Jalan Che Su, petang semalam.
PARAH...Rohairani pengsan apabila pergelangan tangan kirinya ditetak peragut dan dipapah orang ramai selepas sedar ke HRPZ II dalam kejadian di Jalan Che Su, petang semalam.
KOTA BHARU: Seorang pembantu klinik hampir putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak menggunakan parang ketika diragut dua lelaki di Jalan Che Su, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Rohairani Abdullah @ Ibrahim, 36, pengsan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, akibat kecederaan parah yang dialami.

Dia sebelum itu dikatakan baru keluar dari kereta yang diparkir berhampiran tempat kejadian dan berjalan bersendirian ke kedai untuk membeli kain tudung.

Menurut saksi, Hidayah Daud, 21, dia mendengar suara wanita menjerit meminta tolong sebelum ternampak mangsa bergelut dengan seorang daripada peragut.

Katanya, mangsa cuba melawan sebelum suspek melibas parang dan menetak pergelangan tangannya namun gagal melarikan beg tangan mangsa.

“Saya lihat wanita itu ditetak berkali-kali namun mangsa masih tidak melepaskan beg tangan. Disebabkan itu, peragut bertindak melibas parang dan menetak tangannya.


“Bagaimanapun, peragut itu melarikan diri dengan membonceng motosikal rakannya yang menunggu tidak jauh dari tempat kejadian sebelum orang ramai memberikan bantuan,” katanya.

Difahamkan, ibu kepada dua anak itu kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di HRPZ II. Adik mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira jam 2.30 petang sebelum bergegas ke HRPZ II bersama ibu saudaranya dan untuk melihat keadaan kakaknya itu.

Katanya, dia terkejut melihat tangan kakaknya yang terbelah dan hampir putus akibat ditetak peragut terbabit.

“Saya terima panggilan daripada pihak hospital namun tidak menyangka kecederaannya begitu teruk malah saya terkejut apabila melihat tangannya yang hampir putus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Katanya, setakat ini polis masih belum mendapat maklumat tepat berhubung suspek dan akan menjalankan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan kami minta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Enam das jarak dekat



Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MANGSA...polis mengusung mayat Archuthan yang ditembak lelaki bermotosikal di hadapan Sekolah Menengah Darul Ehsan, Selayang Baru, semalam.
MANGSA...polis mengusung mayat Archuthan yang ditembak lelaki bermotosikal di hadapan Sekolah Menengah Darul Ehsan, Selayang Baru, semalam.
TEMBUS...kesan tembakan enam das jarak dekat.
TEMBUS...kesan tembakan enam das jarak dekat.
GOMBAK: Seorang lelaki bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) maut manakala isterinya cedera parah selepas ditembak dua lelaki dari jarak dekat ketika kedua-duanya sedang menunggu anak lelaki mereka pulang di depan Sekolah Menengah Darul Ehsan, Selayang Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, K Archuthan, 41, yang dikenakan tindakan buang daerah ke Perlis sebelum dibebaskan Jun lalu, maut di tempat kejadian selepas ditembak dua lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Suspek melepaskan enam das tembakan dari jarak dekat ketika mangsa berada di dalam Toyota Camry berwarna perak.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Yen, 28, berkata ketika kejadian, dia berada di dalam kedai berhampiran terdengar bunyi beberapa das tembakan.