Search This Blog

Tuesday, August 28, 2012

Dadah: Warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung



MOSES Chinedu Nwosu diiringi anggota polis setelah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR 26 Ogos - Seorang lelaki warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar 14 kilogram (kg) dadah jenis kanabis pada tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Moses Chinedu Nwosu, 50, yang juga pemilik restoran di Bangkok, Thailand.
Tertuduh yang juga seorang penuntut di sebuah universiti di Bangkok dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan ruang legar Terminal Bas Shahab Perdana di sini pada pukul 10.35 malam, 25 Mac 2011.
Nwosu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar kanabis seberat 14.302.6 kg yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Mohd. Zaki dalam penghakimannya menyebut, tertuduh diarah memberi keterangan bela diri pada akhir kes pendakwaan dan memilih untuk memberi keterangan dalam kandang tertuduh.
Katanya, pembelaan tertuduh didapati bersifat penafian dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap dakwaan pemilikan sebuah beg berwarna hitam mengandungi dadah.
"Keterangan saksi yang melihat tertuduh mengheret beg dari tempat parkir ke ruang menunggu di terminal bas menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kawalan ke atas beg tersebut.
"Penemuan kunci dalam poket seluar dipakai tertuduh juga boleh diterima dan dipercayai oleh mahkamah," katanya.
Tambahnya, keterangan pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dan tertuduh didapati bersalah serta disabit dengan kesalahan.
"Hanya satu hukuman diperuntukan di bawah seksyen ini iaitu hukuman mati mandatori. Saya tiada alternatif selain menjatuhkan hukuman gantung pada leher sehingga mati terhadap tertuduh," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd. Yatim manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Dua lelaki didakwa ugut isteri, pukul kakak



KOTA BHARU 27 Ogos - Ketibaan Syawal seharusnya diambil keberkatannya dengan saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain tetapi bagi dua lelaki di bandar ini, lain pula ceritanya.
Seorang penghantar surat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut isterinya Khamis lalu manakala seorang penganggur pula didakwa menendang kakak tirinya di pagi 1 Syawal.
Dalam kes pertama, Mohd. Fadzli Ibrahim, 24, dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,000 setelah mengaku bersalah mengugut membunuh isterinya, Wan Nor Aishah Wan Hassan, 24, dengan mengacukan sebilah pisau.
Lelaki itu bertindak demikian selepas menuduh isterinya keluar dengan lelaki lain pada pukul 8 pagi, 23 Ogos lalu di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab di sini.
Majistret Muhamad Safuan Azhar memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini dan tempoh pemenjaraan ditambah tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Suri rumah terima lima jahitan



MARANG 27 Ogos - Seorang suri rumah menerima lima jahitan di tangannya selepas terkena pisau pemotong sayur ketika bergelut dengan seorang lelaki yang disyaki penagih dadah yang cuba membunuh diri di rumah wanita itu di Kampung Tengah Kijal, Kemaman pagi semalan.
Dalam kejadian pukul 8.15 pagi, lelaki berusia 30-an itu yang dikenali mangsa meluru masuk ke dalam rumah tersebut melalui pintu dapur lalu mengambil pisau dan mengelar tangan kirinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, wanita itu yang juga berusia 30-an cuba menghalang lelaki tersebut lalu berlaku pergelutan dan mangsa tercedera.
"Wanita itu kemudian menghubungi suaminya dan mendapatkan pertolongan jiran sebelum lelaki terbabit ditahan polis. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini semalam.

1,292 biji pil kuda dirampas dalam dua tangkapan



Abdul Aziz Mahmud (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan wang yang dirampas di Tanah Merah, Kelantan, semalam.
TANAH MERAH 27 Ogos - Polis merampas 1,292 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000 dalam dua tangkapan berasingan ketika Ops Bersepadu di Jalan Taman Hiburan, semalam.
Tangkapan pertama dibuat pada pukul 2.50 pagi selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Satria yang dinaiki tiga lelaki.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, hasil pemeriksaan, pihak polis menemui dua biji pil kuda yang diletakkan dalam kotak rokok pada salah seorang pemuda terbabit.
"Hasil siasatan lanjut, polis menjumpai satu beg silang berwarna coklat yang diletakkan dalam ruang simpanan barang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.
"Polis kemudian menjumpai enam paket plastik warna biru mengandungi 992 biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda serta satu plastik lutsinar dipercayai berisi ganja dan turut dijumpai wang tunai RM4,450," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, suspek yang berumur 23 hingga 32 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kesemua mereka didapati positif dadah
Tambahnya, kes disiasat mengikut sekyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk pil kuda dan bagi ganja di bawah Seksyen 6 1952.
Sementara itu, bagi tangkapan kedua, di tempat yang sama pihak polis telah menahan kereta jenis Proton Putra yang dinaiki dua lelaki dan menemui satu beg sandang di bawah tempat duduk pemandu bahagian depan berisi 300 pil kuda.
Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek ditahan dan disiasat di bawah 39A (2) ADB 1952 turut dijumpai satu botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki ganja serta wang tunai RM1,760.
"Jumlah keseluruhan tangkapan kes ini RM8,300, dalam pada itu polis turut menyita dua kereta, wang tunai dan telefon bimbit dan siasat bawah seksyen Akta Pelucuthakkan Harta ADB 1988 A," katanya.

Wang, rokok hampir RM40,000 dilari perompak



Kamaruddin Zakaria (kanan) dan Kamsani Hassan menunjukkan gambar empat lelaki yang ingin dihubungi bagi membantu siasatan kes samun van rokok di Besut, Terengganu, semalam.
BESUT 27 Ogos - Sekumpulan penjenayah bertindak mengikat seorang pemandu van syarikat rokok sebelum melarikan 500 karton rokok dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai hampir RM40,000 di Kampung Paya Rawa di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu, mangsa baharu keluar dari sebuah kedai runcit untuk menghantar rokok yang dipesan pelanggan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, tiba-tiba suspek yang dipercayai bersenjatakan parang muncul dari belakang lalu menolaknya ke dalam kenderaan dan terus mengikat tangan mangsa.
Katanya, pada masa sama, seorang rakan suspek bertindak memandu van tersebut ke satu kawasan sunyi di belakang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut yang terletak berdekatan.
Menurutnya, sebuah kereta Proton Perdana dan Proton Waja dipercayai milik rakan suspek mengekori van tersebut ke tempat tersorok itu.
"Suspek kemudian memunggah semua rokok dalam van tersebut ke dalam kenderaan mereka dan turut melarikan wang tunai berjumlah RM4,000 sebelum meninggalkan mangsa di dalam van," katanya di sini hari ini.
Kamarudin berkata, polis memburu suspek yang berusia 20 hingga 40-an dan tidak menolak kumpulan itu turut terlibat dalam kejadian samun van rokok di kawasan lain sebelum ini.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata," katanya.
Beliau turut meminta orang awam yang mengetahui mengenai empat lelaki seperti di dalam gambar agar menghubungi polis.
"Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Asisten Supritendan Kamsani Hassan di talian 013-3612080," katanya.

Gadis maut nahas di LPT



KUANTAN 27 Ogos - Seorang gadis maut selepas kereta yang dinaiki bersama dua rakannya terbabas di Kilometer 145 Lebuh Raya Pantai Timur arah Kuantan ke Kuala Lumpur dekat Maran, semalam.
Mangsa, Norhafzza Baharudin, 26, dari Taman Sri Kantan, Kajang, Selangor mati di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala rakannya itu cedera ringan.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari Terengganu menuju ke Kajang.
"Sampai di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi yang dinaiki terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing bukit. Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya di sini hari ini.

Samun: Tiga warga asing ditahan



PULAU PINANG 27 Ogos - Tiga warga asing berputih mata apabila mereka ditahan oleh pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) selepas menyamun dua buah kedai di Sungai Bakap di sini Sabtu lalu.
Ketiga-tiga suspek, seorang warga Turki dan dua warga Iran sebelum itu berpura-pura mahu membeli barang di sebuah kedai peliharaan haiwan.
Semasa di kaunter pembayaran, mereka berpura-pura tidak mempunyai wang Malaysia dan hanya memiliki mata wang asing.
Mereka kemudian meminta pemilik kedai menunjukkan contoh mata wang tempatan sebelum menyamunnya.
Ketiga-tiga suspek kemudian menggunakan taktik sama di sebuah kedai komputer yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.
Bagaimanapun, kepantasan pasukan SRS bertindak selepas menerima maklumat membolehkan ketiga-tiganya ditahan tidak lama selepas itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, anggota-anggota SRS berjaya menahan kesemua suspek yang cuba melarikan diri dengan menaiki kereta kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian pertama.
''Pelbagai mata wang tempatan dan asing bernilai RM4,000 dirampas,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zulkifli Noordin saman Syed Husin



KUALA LUMPUR 27 Ogos - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin menyaman ahli veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr. Syed Husin Ali kerana didakwa memfitnah beliau dalam bukunya yang bertajuk 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali'.
Writ saman dan pernyataan tuntutan Zulkifli difailkan menerusi firma guaman, Tetuan The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua di Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat lalu.
Peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Zulkifli bagaimanapun memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera hari ini, saman baharu yang difailkan itu, masih belum ditetapkan untuk didengar di mahkamah tertentu.
Pada 27 Januari lalu, Syed Husin telah menyaman Zulkifli dan syarikat akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan Melayu) serta Ketua Pengarang Kumpulan akhbar itu, Datuk Abdul Aziz Ishak untuk menuntut ganti rugi RM10 juta atas dakwaan memfitnah.
Zulkifli dalam pernyataan tuntutan menyatakan, Syed Husin secara palsu dan dengan niat jahat telah menerbitkan perkataan-perkataan fitnah terhadap beliau dalam buku yang ditulisnya bertajuk 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali'.
Katanya, ia dalam bab tujuh buku tersebut yang bertajuk 'Keadilan Menghadapi Cabaran' di bawah sub artikel 'PR Kecil Permatang Pauh'.
Menurut Zulkifli, buku tersebut dicetak oleh Vinlin Press Sdn. Bhd. dan diterbitkan melalui Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
Ia dijual di semua kedai buku utama yang boleh dibeli oleh orang ramai namun jumlah pembacanya tidak dapat ditentukan.
Menurut Zulkifli, perkataan-perkataan tersebut dalam maksud semulajadi menggambarkan beliau telah menawarkan kepada PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sekitar April 2008 selepas Pilihan Raya Umum ke-12, untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil.
Kata-kata itu juga menggambarkan, Zulkifli telah bersubahat dengan UMNO untuk membuat tuduhan dan tohmahan terhadap PKR dan Anwar.
Bagi Zulkifli, perkataan tersebut turut menggambarkan diri beliau dipergunakan untuk mencapai agenda politik UMNO.
Beliau dengan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan daripada Syed Husin selain perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan perkataan tersebut.
Pada 27 Januari lalu, Syed Husin memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Zulkifli dan Utusan Melayu berhubung satu artikel bertajuk "Zul Noordin nafi dakwaan Syed Husin" di akhbar Utusan Malaysia pada 20 November tahun lalu yang didakwanya mengandungi perkataan berbaur fitnah.
Pada prosiding hari ini, Hasnal turut memohon untuk menyatukan kedua-dua saman yang sebelum ini difailkan di mahkamah berlainan untuk didengar oleh seorang hakim.
Peguam itu berkata, kedua-dua saman pada dasarnya melibatkan isu dan fakta, pihak serta saksi-saksi yang sama.
Vazeer bagaimanapun menetapkan Khamis ini untuk mendengar perbicaraan kes saman Syed Husin terhadap Zulkifli dan Utusan Melayu.

Peniaga maut ditembak jarak dekat di hadapan kedai makan miliknya



MARANG 27 Ogos - Seorang peniaga kedai makan yang asyik bermain dam bersama rakan mati ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di depan kedainya di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, dekat sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, ditembak dua das di bahagian rusuk sebelum meninggal dunia 15 minit kemudian ketika dalam perjalanan ke hospital.
Menurut isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, semasa kejadian, dia membuat kuih di dapur kedainya dan sempat melihat suaminya bergelak ketawa bersama rakan berusia 51 tahun ketika bermain dam sebelum terdengar bunyi dua das tembakan.
Pada mulanya, dia menyangka bunyi mercun tetapi rupa-rupanya suaminya yang dikenali dengan panggilan Pok Ya Bulan terkena tembakan dan rebah dengan berlumuran darah.
"Mulanya saya ingat bunyi mercun tapi bila nampak suami saya rebah, saya terus berlari ke arahnya dan ketika itu juga saya nampak sebuah kereta terus memecut.
"Apabila didapati suami saya dah tidak sedarkan diri, saya terus minta tolong sebelum suami saya segera dibawa oleh dua anak ke Hospital Hulu Terengganu," jelasnya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Jelas Sepiah, ketika kejadian, ada dua pelanggan menonton televisyen di dalam kedainya dan suaminya berada di bahagian depan premis itu bersama seorang rakan manakala dua anak mereka berada di dalam rumah di situ.
Dia tidak mengetahui motif sebenar suaminya dibunuh sedemikian rupa kerana setahunya, mangsa tidak mempunyai musuh atau berhutang dengan sesiapa.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, suspek muncul bersama dua rakannya menaiki sebuah kereta sebelum bertanya tentang mangsa.
"Sejurus disapa suspek, mangsa menjawab bahawa dialah individu yang dicari sebelum mempelawa suspek turun dari kenderaan untuk minum di kedainya.
"Pada ketika itulah, suspek bertindak melepaskan dua das tembakan dari jarak tiga meter ke arah mangsa sebelum melarikan diri," jelasnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek yang dipercayai rakyat tempatan sedang diburu.

Imuda kerugian RM7,000 rumah dipecah masuk



KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pelawak terkenal tanah air, Ab. Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda kerugian RM7,000 apabila kediamannya di Taman Datuk Ahmad Razali di sini dipecah masuk baru-baru ini.
Namun Imuda, 52, hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 3 petang semalam selepas beliau bersama keluarganya baru pulang setelah bercuti raya selama 10 hari di Pulau Pinang.
"Bila sampai di rumah, saya lihat kesemua bilik saya berselerak dan mendapati komputer riba milik isteri, tiga buah telefon bimbit, wang tunai RM300 serta koleksi jam tangan saya hilang," katanya kepada pemberita di kediamannya hari ini. - BERNAMA

Sindiket tukar wang palsu tumpas, tiga ditahan



IPOH 27 Ogos - Polis menumpaskan satu sindiket penukaran wang palsu menggunakan mata wang India dengan tertangkapnya dua lelaki Pakistan dan seorang rakyat Lebanon dalam serbuan di sebuah premis penukaran wang berlesen di sini dan Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Dalam tangkapan itu, polis telah menemui 402 keping wang kertas 1,000 rupee (RM55) dimiliki oleh ketiga-tiga suspek yang berusia 22 hingga 42 tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis turut menjumpai tiga buah telefon, sebuah beg berwarna hitam serta dua pasport negara Pakistan.
"Suspek akan ke premis wang berlesen dan menukar wang palsu mata wang India tersebut kepada Ringgit Malaysia. Siasatan mendapati wang yang digunakan adalah sangat berkualiti tinggi sehingga sukar untuk dibezakan dengan yang asli.
"Kesemua suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap dan salah seorang daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 489 C Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu.
Dalam kes berlainan, Mohd. Shukri berkata, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes penipuan melibatkan perniagaan jual beli barangan pakaian Islam membabitkan kerugian sebanyak RM31,292 di sekitar negeri ini dengan tertangkapnya seorang lelaki India Muslim berusia 46 tahun di sini pada 17 Ogos lalu.
Beliau berkata, dalam serbuan yang dilakukan di Gerbang Malam di sini, polis turut merampas rambut palsu yang dipercayai digunakan untuk penipuan, plat kenderaan, kain sarung dan telekung serta sebuah kereta Perodua Viva berwarna hitam.
"Suspek pergi ke kedai-kedai menjual kain untuk membeli dalam kuantiti yang banyak sebelum meminta mangsa mengikutinya ke bank bagi mendapatkan wang.
"Namun, suspek akan melarikan diri dengan barangan yang telah dimasukkan ke dalam keretanya sebaik sahaja menurunkan mangsa di hadapan bank," katanya.
Mohd. Shukri berkata, suspek turut menggunakan beberapa kenderaan pelbagai model untuk menjalankan modus operandinya termasuk jenis Hyundai, Perodua Kancil berwarna merah dan Proton Iswara berwarna biru selain menggunakan kaca mata putih semasa berurusan dengan mangsa.
"Suspek berkenaan merupakan individu yang dikehendaki oleh polis kontinjen Pulau Pinang kerana mempunyai rekod kesalahan lampau atas kesalahan penipuan jenayah.
"Polis turut menahan seorang rakan suspek iaitu seorang lelaki berumur 70 tahun yang berperanan sebagai pembeli melalui telefon," jelas beliau.
Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta disebat sekiranya sabit kesalahan.

Taufan Bolaven landa Okinawa



Sebuah bot nelayan China dihempas ombak kuat di selatan Pulau Jeju, Korea Selatan, semalam. - AFP
TOKYO 27 Ogos - Lebih 75,000 kediaman terputus bekalan elektrik selepas taufan ganas Bolaven melanda pulau selatan Okinawa hari ini, menyebabkan empat penduduk cedera, sebelum ia bergerak ke arah laut.
Jabatan Meteorologi Jepun memberi amaran taufan tersebut antara yang terkuat melanda negara ini dalam tempoh beberapa tahun ini, namun ia tidak sekuat yang diramalkan.
Pihak berkuasa bencana melaporkan tiada kerosakan besar berlaku setakat awal pagi ini, selain daripada masalah terputus bekalan elektrik di Pulau Amami.
Kebanyakan sekolah dan bangunan kerajaan ditutup ekoran terputusnya bekalan elektrik, manakala sistem pengangkutan awam termasuk bas, kapal dan pengangkutan udara juga masih tergendala.
Pusat ribut tersebut melepasi Okinawa lewat malam tadi sebelum menuju ke arah barat laut dan Laut China Selatan, hari ini.
Taufan Bolaven diramal bergerak ke utara dari Pulau Okinawa dan dijangka mendarat di Korea Selatan malam ini.
Sementara itu di Myanmar, hujan monsun memaksa 36,000 penduduk mendapatkan perlindungan di 308 khemah penempatan sementara yang didirikan di seluruh negara.
Menurut Kementerian Penempatan Semula, Bantuan dan Kebajikan, bantuan makanan dan ubat-ubatan diberi kepada mangsa dan sesetengahnya sudah pulang ke kediaman masing-masing selepas paras air menunjukkan penurunan.
Di Amerika Syarikat pula, negeri-negeri di Pantai Teluk, semalam mengeluarkan perintah darurat ekoran Ribut Tropika Isaac menghala ke Louisiana.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) yang berpangkalan di Miami berkata, Isaac melanda kawasan perairan Florida bersama angin kencang berkelajuan sehingga 105 kilometer sejam dan diramalkan membentuk taufan dalam tempoh 24 jam. - AGENSI

37 rakyat China terlibat jenayah di Angola dibawa pulang



Gambar bertarikh 25 Ogos lalu merakamkan dua suspek China yang ditahan kerana melakukan jenayah di Angola, tiba di Beijing dengan dikawal ketat polis. - AFP
BEIJING 27 Ogos - Sebanyak 37 rakyat China yang disyaki terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah di Angola, tiba di China pada Sabtu lalu sebagai usaha Beijing untuk membanteras kegiatan jenayah di kalangan rakyatnya di luar negara.
Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Ketua Bahagian Jenayah Kementerian Keselamatan Awam, Liu Ancheng melaporkan, kesemua suspek terbabit disyaki terlibat dalam kegiatan menculik, merompak, mengugut, menyeludup manusia dan pelacuran.
Stesen televisyen CCTV merakamkan beberapa suspek yang digari tangan dan ditutup muka mereka, turun dari sebuah pesawat di lapangan terbang Beijing sebelum dibawa menaiki sebuah bas.
Menurut Ancheng, beberapa pasukan khas polis dikerah ke Angola untuk menumpaskan 12 kumpulan penjenayah dan bekerjasama dengan polis negara Afrika Barat itu bagi menyelesaikan 48 kes jenayah lain.
Katanya, seramai 14 orang mangsa penjenayah-penjenayah itu berjaya diselamatkan dalam kerjasama polis kedua-dua negara tersebut.
Katanya, kerjasama sedemikian merupakan kali pertama dilakukan oleh polis China secara besar-besaran di Afrika.
"Beberapa suspek dilaporkan bertindak ganas semasa melakukan jenayah termasuk membakar dan menanam mangsa culik secara hidup-hidup untuk mendapatkan wang tebusan," katanya. - AFP

Letupan di kilang simen, 7 orang terbunuh

BEIJING 28 Ogos - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh apabila satu letupan berlaku di sebuah kilang simen di selatan China, semalam.

Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan pegawai kerajaan tempatan melaporkan, letupan itu berlaku di kilang simen Hailuolongshan di bandar Yingde dekat wilayah Guangdong.

"Punca kejadian masih lagi disiasat," kata pegawai terbabit yang tidak disebutkan namanya. - AFP

Abhisit disiasat tindakan keras tentera



Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, semalam berdepan siasatan baru berhubung tindakan keras tentera ke atas bantahan pembangkang di ibu kota negara itu pada tahun 2010.

Abhisit, kini ketua pembangkang, hadir di Jabatan Siasatan Khas (DSI) Kementerian Kehakiman bersama-sama bekas timbalannya, Suthep Thaugsuban, selama beberapa jam untuk disoal mengenai kejadian itu, yang menyebabkan 90 maut dan ramai lagi cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota bersenjata. “Saya memberitahu yang benar dan penyiasat DSI tiada soalan lanjut,” katanya kepada wartawan selepas itu.
Pemerhati percaya, kedua-dua mereka, yang disoal siasatan buat kali pertama oleh polis sebagai saksi pada Disember 2011 - akan berdepan pendakwaan.

Lebih 90 orang, kebanyakan penduduk awam, maut dan hampir 1,900 cedera ketika perhimpunan pada April dan Mei 2010, yang menarik kira-kira 100,000 penunjuk perasaan Baju Merah pada kemuncak bantahan. - AFP

Tiga pekerja PBB kena hukum penjara



Yangon: Mahkamah Myanmar menjatuhkan hukuman penjara ke atas tiga kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana dakwaan pembabitan mereka dalam keganasan perkauman di barat negara itu Jun lalu, kata jurucakap badan dunia itu.

“Mahkamah di bandar Maungdaw di negeri Rakhine menjatuhkan hukuman itu kelmarin,” kata jurucakap Aye Win. Dua pekerja agensi pelarian PBB dipenjarakan enam dan tiga tahun manakala seorang kakitangan Program Makanan Sedunia dikenakan penjara dua tahun, katanya. Aye Win tidak memberi sebarang kenyataan mengenai berita itu dan badan dunia berkenaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Kakitangan PBB itu didakwa dengan pelbagai jenayah, termasuk meningkatkan kebencian antara penduduk Buddha dan Islam serta terbabit dalam kes kebakaran. Semuanya dipercayai warga tempatan dari wilayah komuniti Islam itu.

Keganasan antara penduduk Buddha Rakhine dan Muslim Rohingya memuncak Jun lalu, menyebabkan 80 maut dan beribu rumah lagi dibakar. Kumpulan hak asasi manusia berkata, kira-kira 100,000 kehilangan tempat tinggal ketika konflik.

Mereka menuduh kerajaan bertindak keras terhadap penduduk Islam, dakwaan yang dinafikan kerajaan. - AP

Pekerja am DBKL, bapa saudara didakwa bunuh rakan sekerja



PETALING JAYA: Seorang pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama bapa saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang rakan sekerja, pada pagi Hari Raya kedua.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Majzani Abd Mansor, 33, dan Azmi Abdul Aziz, 51, seorang pengedar risalah, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid. Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa bersama-sama membunuh Mohamad Khairul Anuar Osman, 28, seorang pengedar risalah, dengan menggunakan kayu, di rumah No.57C-2, Tingkat 3 Jalan Puchong Utama 2/1, Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong, di sini pada 4.30 pagi, pada 20 Ogos lalu.
Mereka yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 September untuk sebutan kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi. - BERNAMA

Mahkamah batal saman MB Terengganu terhadap ADUN PAS



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman Menteri Besar Terengganu terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dari PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain berkaitan artikel berhubung pembelian uniform sekolah oleh kerajaan negeri.

Hakim Datin Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu dalam kamarnya. Peguam Abdullah Omar Bawadi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan dua orang yang lain manakala Azhana Mohd Khairudin bertindak bagi pihak Syed Azman dan tiga defendan yang lain.
Azhana memberitahu pemberita bahawa hakim mendapati Menteri Besar tidak dapat mengekalkan tindakan saman malunya terhadap keempat-empat defendan berkenaan kerana beliau menyaman mereka berdasarkan kedudukan rasminya.

"Hakim juga mengarahkan plaintif kedua (Menteri Besar) membayar kos RM5,000 kepada semua defendan dalam tempoh 14 hari," katanya dan menambah kata bahawa mahkamah menetapkan 10 September bagi pengurusan kes untuk mengetahui sama ada dua plaintif yang lain yang kekal sebagai pihak dalam tuntutan itu mahu meneruskan atau menarik diri daripada tindakan berkenaan.

Pada 15 Disember tahun lalu, kerajaan Terengganu, Menteri Besar Terengganu dan Mek Hawa Abdul Rahman serta Hamie Azreen Ami Nordin, yang diberikan kontrak membekalkan uniform dan alat tulis, mengemukakan saman terhadap keempat-empat defendan berkenaan.

Mereka menamakan Dr Syed Azman, pemilik permit Harakah, Datuk Mustafa Ali, ketua editornya Ahmad Lutfi Othman dan pencetak, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, sebagai defendan.
Pada 23 Julai, mahkamah membatalkan kerajaan Terengganu sebagai pihak dalam tuntutan setelah membenarkan bantahan awal pihak defendan dan memutuskan bahawa ia tidak mempunyai locus standi untuk meneruskan saman itu.

Dalam penyataan tuntutan mereka, pihak plaintif menyatakan bahawa Syed Azman memalukan mereka melalui satu artikel bertajuk 'Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?' yang disiarkan oleh Harakah sebagai organ rasmi PAS, dalam keluaran pada 11-13 November.

Mereka mendakwa kesemua defendan telah dengan niat jahat mencetak dan menyiarkan artikel berkenaan yang menurut mereka (pihak plaintif) merujuk kepada mereka.

Pihak plaintif juga mendakwa artikel berkenaan memberi pengertian bahawa kerajaan negeri dan menteri besar tidak telus dalam memberi kontrak di bawah program bantuan uniform negeri itu.

Mereka memohon ganti rugi am, khas, teruk dan contoh, kos serta injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menyiarkan artikel yang dikatakan memalukan itu. - BERNAMA

Pasangan dituduh edar dadah, miliki bom




         
KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mengedar dadah jenis ketamin seberat 88.4 gram, dua minggu lalu.

Tertuduh, Kwok Pin Hwee, 31, warga Singapura; Le Thi Thuy Nga, 28, warga Vietnam; Tan Meng Kiat, 39 (Singapura) dan Meng Beibei, 25 (China), hanya mengangguk faham terhadap tuduhan dihadapi mereka.


Tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya itu di sebuah rumah beralamat Blok 10-9-3A, Jalan 1C/149, Petaling Indah Condominium, Sungai Besi, Cheras di sini, jam 4.30 petang, 13 Ogos lalu.


Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1), Akta Dadah berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Keempat-empat tertuduh yang tidak bekerja itu berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Kwok turut menghadapi satu lagi tuduhan mengikut seksyen sama iaitu mengedar dadah jenis methampetamine seberat 611.5 gram. Le pula menghadapi satu tuduhan lain memiliki empat bilah pisau termasuk satu pedang samurai berukuran 78 sentimeter dan didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, selepas tuduhan dibacakan, Le tidak faham akan tuduhan berkenaan menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan untuk tertuduh melantik jurubahasa.

Mahkamah kemudian menetapkan kesemua kes itu disebut semula pada 1 November depan.


Di Mahkamah Sesyen pula, pasangan suami isteri, Tan dan Meng didakwa terhadap dua tuduhan mengikut Seksyen 8, Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Bagi tuduhan itu, mereka yang mengaku tidak bersalah memiliki sepucuk pistol berisi tujuh butir peluru serta satu bom, menyalahi undang-undang itu berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan jika sabit kesalahan.


Mereka turut mengaku tidak bersalah memiliki 59 butir peluru pelbagai jenis tanpa lesen sah dan didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.


Selain itu, mereka menghadapi tuduhan memiliki pisau kerambit, buku lima, ‘bearing scrapper’ serta satu pedang samurai berukuran 105 sentimeter dan didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a), Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.


Hakim Mohamad Sekeri Mamat menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Hussin manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Samun dalam hujan lebat



Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my
         
KUALA SELANGOR: Sekumpulan penyamun mengambil kesempatan hujan lebat sepanjang awal pagi semalam untuk menyamun sebuah kilang barangan besi keluli, di sini, dengan mengugut beberapa pekerja kilang menggunakan parang sebelum melarikan pelbagai barangan dianggarkan bernilai hampir RM14,000.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, empat pekerja yang sedang tidur di asrama pekerja di belakang kilang dikejutkan bunyi bising dan apabila mereka menjalankan pemeriksaan, tiga lelaki bersenjatakan parang meluru ke arah mereka serta mengarahkan supaya berdiam diri saja.


Pemilik kilang, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, berkata, pekerjanya yang takut dicederakan hanya mampu melihat kumpulan penyamun berkenaan mengangkut pelbagai barangan besi keluli termasuk enam kabinet dan lima meja besi.

Menurutnya, kumpulan dipercayai lebih daripada tiga orang itu memasuki kilangnya dengan memecahkan pagar besi serta zink sebelum mencampak barang ke luar pagar untuk diangkut dengan lori.


“Kawasan sekitar kilang memang agak sunyi dan terpencil. Ketika kejadian hujan lebat menyebabkan pekerja yang sedang tidur tidak sedar penyamun berkenaan memecahkan pagar kilang untuk masuk.


“Seminggu lalu, ada beberapa individu cuba memecah masuk kilang, namun disedari pekerja yang menjerit hingga mereka melarikan diri dan saya yakin kejadian kali ini turut dilakukan orang yang sama,” katanya. Jamhuri berkata, kecurian barang besi di kilangnya bukan perkara baru, tetapi sebelum ini hanya besi kecil dicuri dan kejadian semalam menyebabkan kerugian terbesar setakat ini.

“Laporan polis sudah dibuat dan saya harap pihak berkuasa membuat rondaan serta pemantauan lebih kerap di kawasan kilang yang agak terpencil,” katanya.

Susilo arah siasat




         
JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam memanggil beberapa anggota Kabinet ke pejabatnya secara mengejut untuk membincangkan pergaduhan yang berlaku di Sampang, Jawa Timur yang menyebabkan dua penganut fahaman Syiah terbunuh.

Antara yang dipanggil itu ialah Ketua Polis Nasional, Jeneral Timur Pradopo, Komander Tentera Indonesia Laksamana Agus Suhartono, Ketua Peguam Negara, Basrief Arief, Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Amir Syamsuddin serta Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi.
“Pagi ini, saya mahu mendengar laporan anda supaya kerajaan boleh membuat keputusan tindakan yang perlu diambil berhubung keganasan dan perbuatan ganas di Sampang.
“Ini adalah kejadian kedua sejak dua tahun lalu,” kata Susilo sebelum meneruskan perbincangan secara tertutup.
Menurutnya, beliau menerima laporan daripada gabenor Jawa Timur dan berharap tindakan pantas dan berkesan diambil oleh pihak berkuasa bagi menghalang kejadian daripada berulang, khususnya di kawasan sama.

Dua penduduk Syiah dibunuh dan sekurang-kurangnya tujuh lagi cedera dalam kejadian yang melibatkan penduduk Syiah dengan kumpulan antiSyiah di Sampang, kelmarin.

Kulsum, isteri ketua Syiah yang dipenjara, Tajul Muluk, berkata, seorang daripada yang terbunuh itu, Hamamah, 39, ditikam hingga mati.
Menurut laporan aktivis hak asasi manusia di tempat kejadian, seorang lagi lelaki, dikenali sebagai Tohir, juga dibunuh.

Menurut Kulsum, sekurang-kurangnya 10 rumah, dibakar oleh kumpulan antiSyiah itu.

“Saya tidak tahu di mana anggota yang lain. Kami ada kira-kira 500 anggota. Apabila kami dikejar, kami terus lari menyelamatkan diri,” katanya. - Jakarta Post

Ugut bunuh isteri



Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
         
KOTA BHARU: Seorang penghantar surat dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mengugut bunuh isterinya menggunakan pisau selepas berang wanita itu dikatakan keluar dengan lelaki lain, Khamis lalu.

Majistret Muhamad Safuan Azhar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Fadzli Ibrahim, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.


Beliau turut memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mohd Fadzli yang berada di kandang tertuduh hanya mampu menundukkan wajahnya.


Berdasarkan pertuduhan, Mohd Fadzli didakwa mengugut Wan Nor Aishah Wan Hassan, 24, dengan mengacukan pisau dan mengugut bunuh mangsa di rumahnya di Jalan Sultanah Zainab, di sini, jam 8 pagi, pada 23 Ogos 2012.


Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada jam 3 pagi, ketika mangsa sedang berada di rumah, tertuduh memukul mangsa dengan menarik rambut dan menendang belakang mangsa selepas wanita itu dikatakan keluar dengan lelaki lain.


Pada jam 8 pagi, mangsa diugut bunuh dengan sebilah pisau selain tangannya dipulas dan lehernya dicekik oleh tertuduh.

Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum tertuduh ditahan pada hari yang sama.


Mohd Fadzli yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman paling minimum dengan alasan dia sudah insaf dengan kesalahannya itu.


“Saya merayu dikenakan hukuman ringan kerana sudah benar-benar insaf dengan kesalahan itu,” katanya Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Terpedaya helah loteri RM1.2j

GEORGETOWN: Terpengaruh dengan tipu helah seorang lelaki kononnya dia memenangi loteri RM1.2 juta, seorang suami tergamak mengkhianati isterinya dengan mencuri pelbagai jenis deposit tetap serta barang kemas bernilai hampir RM900,000 bagi membayar wang pengurusan, derma serta membeli beras dan kertas azimat sebelum boleh menerima hadiah loteri berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, seorang wanita dari Balik Pulau berusia 60-an membuat laporan polis pada 19 Ogos lalu, mengenai kehilangan lapan keping dokumen deposit tetap CIMB Bank dan Maybank bernilai RM800,000 serta barang kemasnya bernilai RM100,000.
   
    Menurutnya, siasatan kemudian mendapati suami mangsa yang berusia 60-an, disyaki mengambil dokumen serta barang kemas berkenaan tanpa pengetahuan isterinya.

    Katanya, polis menahan suami wanita itu dan selepas disoal siasat, dia mengaku mengambil semua barangan berkenaan.

    4 berputih mata

    Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@hmetro.com.my SHAH ALAM: Malang berganda bagi empat lelaki apabila mereka bukan saja gagal menyamun seorang wanita di Taman Paling Jaya, Semenyih, di sini, malah mereka kemudian ditahan polis kurang dua jam selepas kejadian itu di Plaza Tol Sungai Ramal di sini, awal pagi kelmarin. Semua mereka yang menaiki kereta Perodua Myvi kelabu ditahan di kawasan plaza tol berkenaan kira-kira jam 2 pagi oleh sepasukan polis selepas menerima laporan daripada mangsa berusia 45 tahun yang juga peniaga sebuah kedai makanan. Menceritakan semula kejadian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketika mangsa ingin bersiap untuk pulang selepas selesai berniaga, dia didatangi sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat lelaki kira-kira jam 12.30 tengah malam. Katanya, dua daripada suspek kemudian keluar darikereta dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dipercayai untuk menyamun barangan berharga miliknya. Beliau berkata, terkejut dengan tindakan itu dan bimbang akan dicederakan suspek, mangsa kemudian segera memecut keretanya ke arah jalan utama untuk menyelamatkan diri. Difahamkan, ketika kejadian beberapa orang ahli keluarga mangsa juga berada di dalam kereta berkenaan. Beliau berkata, sebaik berjaya melarikan diri, mangsa segera membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa. Mangsa dan ahli keluarganya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan barangan berharga dan wang tunai tidak berjaya dilarikan suspek. “Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis kemudian menjalankan operasi mengesan suspek sebelum terserempak dengan sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di Plaza Tol Sungai Ramal kira-kira jam 2 pagi. “Sebaik berjaya memintas kereta berkenaan, polis kemudian berjaya menahan kesemua suspek dan hasil pemeriksaan polis menemui dua bilah parang, pisau dan besi kuku kambing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam. Menurutnya, polis percaya suspek yang berusia antara 19 dan 26 tahun yang berasal dari Shah Alam dan Klang itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes samun yang dilaporkan sebelum ini namun siasatan lanjut sedang dijalankan. Siasatan awal polis juga mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi.

    Dengar jeritan drebar minta tolong

    ALOR GAJAH: “Saya dengar jeritan pemandu lori meminta tolong supaya dikeluarkan namun saya tidak berani berbuat apa-apa berikutan kenderaan terbabit melintang di tengah lebuh raya,” kata Mohd Farhan Mohd Asri, 23, saksi kemalangan maut di Kilometer 197.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, dua terbunuh selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan membabitkan lima kenderaan. Muhammad Farid Mazlan, 27, yang memandu Perodua Myvi bersendirian menuju Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandu merempuh belakang sebuah lori tiga tan. Tidak lama kemudian, motosikal Kawasaki Versys ditunggang Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, merempuh sebelah kiri lori berkenaan hingga menyebabkannya tercampak dan meninggal dunia. Sebuah Proton Saga dinaiki empat sekeluarga dipandu Ahmad Faisal Azizan, 29, bersama isteri, Putri Hasmiza, 29, serta dua anak mereka, Muhammad Faiz Irfan, 4, dan Nur Farzanah Irdina, 1 tahun, juga merempuh tepi kanan lori dipandu Rosli Md Nor, 37, berkenaan. Menurut Farhan, dia yang panik selepas melihat kemalangan itu segera memberhentikan keretanya dan cuba mengeluarkan pemandu Myvi namun gagal kerana tersepit. “Ketika itu, saya hanya menjerit sekuat hati meminta pemandu lori berkenaan bertenang sambil melihat empat sekeluarga menaiki Proton Saga keluar menyelamatkan diri ke tebing. “Ketika menghampiri pemandu Myvi itu, dia dalam keadaan nazak dan kepalanya terkulai ke belakang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Melihat keadaan itu, dia menghubungi bantuan kecemasan sebelum sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah tiba untuk mengeluarkan mangsa. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian mengakibatkan dua daripada enam mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. “Pemandu lori yang parah di kaki kanan akibat tersepit dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan manakala empat sekeluarga cedera ringan. “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut ahli keluarga masing-masing,” katanya. Menurut beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Malang bertimpa

    MANGSA...Kamal menunjukkan laporan polis dibuat.
    MANGSA...Kamal menunjukkan laporan polis dibuat.

    JOHOR BAHRU: “Ia bagaikan 15 minit paling malang dalam hidup saya. Saya bukan saja ditikam dan kereta dilarikan, malah tiga lelaki yang menawarkan diri untuk membantu sebenarnya mahu menyamun, menyebabkan saya nekad terjun semasa kereta bergerak,” kata mangsa samun, M Kamal, 30, semalam.
    Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi Sabtu lalu, dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura sebelum singgah di sebuah stesen minyak di Jalan Tebrau, di sini.
    Katanya, ketika mahu mengisi petrol pada Proton Waja miliknya, seorang lelaki berjaket hitam menghampiri dan bertanya sama ada dia berasal dari Melaka, memandangkan keretanya menggunakan nombor pendaftaran negeri itu.

    Selepas menjawab dia adalah penduduk Johor, katanya, dia cuba memasuki kereta kerana bimbangkan keselamatannya.

    10 terbabit gaduh di pusat hiburan ditahan




             
    KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 orang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di depan sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy, di sini, awal pagi kelmarin bagi membantu siasatan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semua mereka yang berusia antara 21 dan 37 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang.


    “Mereka ditahan berperingkat sejak awal pagi semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih disiasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin, dua lelaki berusia 21 tahun mati ditembak manakala dua lagi cedera akibat terkena serpihan peluru serta sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


    Seorang daripada mangsa mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan manakala seorang lagi mati di hospital.


    Mangsa dikenali sebagai Mohd Akhmal Jemain, 21, dan Muhammad Noor Firdaus Rashid, 21.

    Dua wanita Filipina ditemui mati di Kelombong, Sabah




             
    KOTA KINABALU: Dua wanita Filipina ditemui mati di sebuah rumah tidak bernombor di Kolombong dekat sini, semalam.

    Mayat kedua-dua wanita itu ditemui di Kampung Cenderakasih, Kolombong kira-kira pukul 7 malam, manakala terdapat tiga lelaki cedera parah.
    Ketika dihubungi, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.

    Katanya kes itu sedang disiasat dan polis akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. - Bernama

    RM5,000 kena kebas


    Oleh Na’imah Mohamed
    naimah@hmetro.com.my
             
    KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan kosmetik online kerugian lebih RM5,000 selepas hasil jualan produk kecantikannya itu dikebas individu tidak bertanggungjawab dengan menggunakan namanya di sebuah syarikat perkhidmatan pemindahan wang antarabangsa, di Rawang, Selangor, 27 Julai lalu.

    Mangsa Ch’ng Pik Yen, 32, berkata, dia menjalankan perniagaan produk kecantikan menerusi online sejak tiga tahun lalu dan mendapat pelanggan dari serata dunia.


    “Kejadian itu berlaku selepas saya menerima kiriman wang daripada seorang pelanggan dari Australia sebanyak RM5,782.50 pada 26 Julai lalu dan ketika mahu mengeluarkan wang berkenaan keesokan harinya, mereka mendakwa saya sudah mengeluarkannya.

    “Tidak berpuas hati dengan kenyataan mereka, saya meminta mereka menunjukkan resit yang diisi pengeluar wang berkenaan, bagaimanapun pihak berkenaan enggan bekerjasama dan mengatakan hanya pengirim mempunyai hak untuk membuat tuntutan itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.


    Ch’ng berkata, dia terpaksa menghubungi pelanggannya dan menyuruh membuat laporan polis semata-mata mahu mendapatkan salinan resit yang kemudian didapati nama dan maklumat lain selain jantina penerima wang berkenaan sudah dipadam kononnya maklumat sulit.


    Katanya, apa yang menghairankan bagaimana individu itu dengan mudah dapat mengeluarkan wang itu sedangkan Nombor Kawalan Pindahan Wang (MTCN) yang perlu disertakan setiap kali mahu menuntut wang tidak pernah didedahkan.

    Menurutnya, selain MTCN, dokumen pengenalan diri juga perlu ditunjukkan setiap kali mahu membuat tuntutan, oleh itu, amat mustahil sekiranya suspek terbabit mempunyai nama yang sama dengannya kerana tertulis di resit pengeluaran, jantina suspek adalah lelaki.


    “Saya amat keliru dengan perkara yang terjadi dan mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat nasihat Biro Pengaduan Awam MCA bagi mendapatkan semula wang saya serta mengelakkan perkara seperti ini berulang.

    “Selain itu, laporan polis juga sudah saya buat di Balai Polis Rawang, di Gombak pada 30 Julai lalu,” katanya.


    Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada syarikat pemindahan wang bertaraf antarabangsa itu dalam masa terdekat.


    Katanya, perkara itu berlaku di negara ini dan bukan di negara pengirim wang berkenaan.


    “Tindakan syarikat itu yang seperti mahu lepas tangan dan enggan memberikan kerjasama untuk mengesan individu yang mengeluarkan wang berkenaan boleh menyukarkan proses siasatan polis,” katanya.

    Dua dihanyut arus



    Oleh Junaidi Ladjana
    djuns@hmetro.com.my
             
    RANAU: Seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dikhuatiri lemas apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bersama tujuh penumpang lain dihanyutkan arus deras ketika menyeberang sungai dalam kejadian di Sungai Kaigaran, di sini, kelmarin.

    Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa yang masih hilang dikenali Marudin Limboy, 40, dan Elsey Charles, 3, manakala tujuh penumpang lain membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berjaya menyelamatkan diri.


    Mereka yang terselamat dikenali Limon, 60; Yutin, 46; Mencis Limon, 33, Micheal, 24, dan tiga penumpang wanita iaitu Renimulok, 50; Salmah, 38, dan Justinah, 15.

    Sebelum kejadian, pacuan empat roda Toyota Land Cruiser itu dikatakan dalam perjalanan dari pekan ini menuju Kampung Kawiyan yang terletak di seberang sungai berkenaan.


    Sumber berkata, sebaik meredah sungai itu, pemandu pacuan empat roda terbabit dikatakan memberhentikan kenderaan di tengah sungai bagi memberi laluan kepada sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan.


    Bagaimanapun, katanya, arus deras yang melanda sungai itu secara tiba-tiba menyebabkan kenderaan terbabit hanyut dan mula tenggelam.

    “Beberapa penumpang bergegas menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing, manakala dua lagi mangsa gagal berbuat demikian sehingga tenggelam dibawa arus.


    “Penumpang yang terselamat berjaya menghubungi polis sebelum memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menggerakkan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

    Namun, lokasi kejadian yang terletak jauh di pedalaman selain ketiadaan jalan berturap dan laluan berbukit sejauh 60 kilometer menyebabkan anggota bomba dan penyelamat hanya boleh memulakan kerja mencari dan menyelamat pada awal pagi semalam.

    Pemuda lembam sesat, kebulur



    Oleh DJ Dolasoh
    am@hmetro.com.my
             
    GERIK: Penduduk di Pengkalan Hulu di sini, terkejut apabila mendapati pemuda yang ditangkap mereka kerana menceroboh masuk rumah seorang penduduk, sebenarnya terencat akal yang sesat serta kebuluran dan memasuki rumah berkenaan bagi mencari makanan, malam Khamis lalu.

    Malah, lebih mengejutkan penduduk apabila pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) itu berasal dari Kluang, Johor, iaitu kira-kira 700 kilometer (km) dari lokasi dia ditemui merayau.


    Pemuda berusia 20-an yang tidak boleh bercakap dengan jelas serta lembam itu ditangkap penduduk kampung kira-kira jam 11 malam yang menyangka dia cuba melakukan jenayah pecah rumah, berhampiran kediaman kakitangan Klinik Kesihatan Pengkalan Hulu di sini, sebelum diserah kepada polis.

    Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Perak, Kamizar Bah Kajang berkata, pemuda bertubuh gempal dengan berat kira-kira 100 kilogram (kg) dan tinggi 170 sentimeter (sm) itu dipercayai merayau-rayau dan cuba memecah masuk rumah penduduk.


    Menurutnya, lelaki itu yang ditemui dalam keadaan kelaparan, bagaimanapun mendapat simpati penduduk yang memberinya layanan baik serta makanan sebelum dihantar ke Balai Polis Pengkalan Hulu. “Lelaki tanpa memiliki dokumen pengenalan diri itu hanya boleh menulis namanya di atas kertas sebagai Shahrum Nizam. Berdasarkan soal jawab, dia mendakwa berasal dari Paloh, Kluang, Johor.


    “Dia mendakwa bapanya anggota tentera yang bertugas di kem tentera di Kluang, Johor, manakala ibunya bernama Mi’ah,” katanya ketika ditemui.

    Menurutnya, JKM cuba mengesan warisnya itu di Johor namun gagal kerana lelaki malang itu sering memberi fakta berbeza.


    “Dia kini ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Hulu Kinta selama 30 hari sebelum diserah kepada warisnya,” katanya.

    Kamizar meminta orang ramai yang mengenali keluarga lelaki itu supaya menghubungi JKM Daerah Hulu Perak di Gerik di talian 05-7912314.

    Awas pencuri lagak staf TNB




             
    KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai supaya berhati-hati berikutan satu kes samun di Johor Baharu oleh dua lelaki menyamar sebagai pekerja TNB baru-baru ini.

    Menurut TNB, pasukan kerjanya akan hanya memasuki halaman rumah dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad pekerja atau kad pengenalan diri dibekalkan TNB.


    “Bagi anggota kerja TNB yang menjalankan tugas di premis pengguna, mereka diwajibkan memakai pakaian seragam syarikat berupa kemeja-T merah berlogo TNB beserta jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama anggota kerja itu,” menurut kenyataan TNB, semalam.

    Pengguna diminta segera menghubungi TNB sekiranya didatangi pihak mencurigakan yang mendakwa sebagai pasukan kerja TNB.- Bernama

    Gantung diri kerana hutang along




             
    KUALA LUMPUR: Seorang warga emas ditemui tergantung dalam tandas sebuah hotel bajet di Jalan Tun HS Lee, di sini petang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Chow Lee Ping, 57, yang bekerja sebagai penjaga kaunter pendaftaran hotel itu difahamkan menggantung dirinya akibat tidak mampu untuk melunaskan hutang dengan along.


    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa ditemui rakannya selepas pelik warga emas itu begitu lama di dalam tandas ketika menjaga kaunter pendaftaran hotel.

    “Mangsa menggunakan tali rafia untuk menggantung diri,” katanya kepada Harian Metro, semalam.


    Beliau berkata, pihaknya turut menemui khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbit mangsa yang meminta dia melangsaikan hutangnya dengan segera.


    Katanya, mangsa mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

    Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Kereta bawa duta Jepun di Beijing kena serang




             
    TOKYO: Seorang lelaki menyerang kereta yang membawa duta Jepun di Beijing semalam serta mencabut bendera negara itu yang dikibarkan pada kenderaan berkenaan.

    Kejadian berlaku ketika ketegangan dalam hubungan antara kedua-dua negara semakin meningkat hingga mendorong kepada tunjuk perasaan anti-Jepun paling besar dalam masa beberapa tahun.


    Agensi berita Kyodo memetik laporan pegawai kedutaan Jepun di Beijing tetapi tidak memberi butiran lanjut mengenai kejadian itu.

    Bagaimanapun, duta terbabit, Uichiro Niwa, tidak cedera.


    Menurut laporan berkenaan, kedutaan Jepun mengemukakan bantahan keras kepada Kementerian Luar China.


    Serangan berlaku selepas ketegangan meletus mengenai pulau yang dikenali di China sebagai Diaoyu dan Senkaku di Jepun minggu lalu selepas pihak berkuasa Jepun menahan seorang aktivis China yang belayar dari Hong Kong dan mendarat di pulau berkenaan. - Reuters

    Rempuh lori melintang

    ROSAK...anggota polis trafik memeriksa motosikal Mohamad Fakhrulrazi yang terbabit kemalangan, semalam.

    ROSAK...anggota polis trafik memeriksa motosikal Mohamad Fakhrulrazi yang terbabit kemalangan, semalam.

    MELAKA: Seorang guru yang juga jurulatih hoki di Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 197.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Ayer Keroh, dekat sini, semalam.
    Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, dalam perjalanan pulang ke SSBP selepas menyambut hari raya bersama isteri dan mentuanya di Cheras, Kuala Lumpur.
    Turut terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu Perodua Myvi, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang parah di kepala, manakala pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, patah kaki kanan kerana tersepit dalam kenderaannya, sementara empat sekeluarga yang menaiki Proton Iswara cedera ringan.

    Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu Rosli merempuh bahagian belakang sebuah treler sebelum lori berkenaan dirempuh Perodua Myvi dipandu Muhammad Farid.

    Suami tanam isteri dalam bilik




             
    MALANG: Penduduk di Kampung Roggowuna terkejut apabila mendapati seorang warga tua, Samijah, 75, mati dan ditanam oleh suaminya, Kaseri, di dalam bilik.

    Mangsa selama ini hanya tinggal bersama suaminya dan meneruskan hidup dengan memperoleh bantuan makanan daripada jiran.
    Penduduk mendapat tahu Samijah sudah meninggal dunia apabila seorang jiran, Siti, 50, yang biasa menghantar makanan kepada pasangan itu setiap pagi, dilarang oleh Kaseri.

    Curiga dengan perbuatan Kaseri, Siti meminta bantuan penduduk lain.


    Ketua Kampung, Budi Santoso berkata, orang kampung tiba di rumah pasangan itu dan meminta Kaseri, yang kebelakangan ini kerap mengalami gangguan jiwa supaya membuka pintu yang dikunci.


    “Ketika kami masuk, kami dapati mayat Samijah ditanam dalam timbunan tanah di bawah meja,” katanya. - Jakarta Post

    Doktor palsu rawat 500 pesakit




             
    AUSTELL (Georgia): Seorang lelaki mencuri identiti rakannya dan menyamar sebagai doktor selama enam bulan, merawat hingga 500 warga emas di seluruh Columbia, Carolina Selatan.

    Ernest Addo, 48, dari Austell, Georgia, ditahan Jumaat lalu dan didakwa kerana mempraktikkan bidang perubatan secara haram.


    Pusat Jagaan Orang Tua Agape, mengambilnya bekerja Februari lalu menerusi dokumen sokongan dan dia merawat pesakit hingga Rabu lalu sebelum berhenti kerja.

    Timbalan polis daerah Lexington kini berada di Georgia untuk menyoal siasat suspek dan memulakan proses ekstradisi, kata Sheriff James Metts. Addo menggunakan dokumen milik rakannya, doktor di Orangeburg untuk meyakinkan Pusat Jagaan Orang Tua Agape bahawa dia doktor berkelayakan.


    Polis cuba untuk memastikan sama ada Addo mempunyai sebarang latihan perubatan dan masih menyiasat jenis rawatan yang diberikan kepada pesakit di pusat Agape di Columbia Barat, Irmo dan Columbia.


    Hari dia berhenti kerja adalah hari sama rakannya menyedari Addo mendaftar kad kredit menggunakan namanya dan segera menghubungi polis. Pihak pentadbiran Agape berkata, semua kelayakan dan nama rujukan yang diberikan Addo adalah sokongan daripada majikan sebelumnya. - Agensi

    Polis jejaki singa muncul di padang




             
    LONDON: Polis Britain semalam berkata, mereka masih menyiasat laporan seekor singa dilihat di sebuah padang dekat bandar tepi pantai di wilayah timur Essex.

    Polis yang bersenjata membuat rondaan pada waktu malam di kawasan itu, manakala polis yang berhelikopter dikerah bagi membantu mengesan haiwan itu bersama-sama dengan pakar yang dilengkapi pistol ubat penenang.


    Polis dihubungi sejurus sebelum jam 7 malam kelmarin oleh pelancong yang melihat haiwan itu duduk di padang rumput di desa St Oysth dekat Clacton-on-Sea.

    Polis Essex berkata, mereka bekerjasama dengan pakar daripada zoo berhampiran yang percaya laporan itu benar selepas ditunjukkan gambar haiwan itu oleh orang awam. - AP

    Murid tahun empat diburu kerana curi motosikal



    WARTAWAN SINAR HARIAN
    28 Ogos 2012
    Murid tahun empat diburu kerana curi motosikal
    Polis (kanan) bersama Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) berada di lokasi motosikal ditemui.
    KULIM - Polis sedang memburu murid tahun empat dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di rumahnya di Taman Tungku Putra kira-kira jam 12.30 malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek dipercayai masuk ke dalam pagar rumah remaja lelaki itu untuk mengambil motosikal.

    “Dia yang menyedari kejadian itu bagaimanapun gagal menahan suspek kerana sukar membuka pintu gerigi rumahnya.

    “Setelah berjaya membuka pintu, dia cuba mengejar suspek bagaimanapun gagal berbuat demikian,” katanya.

    Menurutnya, remaja lelaki terbabit kemudiannya berjumpa anggota trafik yang sedang menjalankan tugas rondaan dan meminta bantuan.

    “Kira-kira jam 12.45 petang, kakitangan pos laju menemui motosikal curi itu disorok belakang pokok dalam taman permainan berhampiran sekolah agama.

    “Daripada pemeriksaan nombor pendaftaran dibuat, polis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang tengah malam, semalam.

    “Suspek mungkin menunggang motosikal itu untuk pergi ke sekolah tetapi meletakkannya di taman permainan untuk mengelak daripada  diketahui orang lain,” katanya.

    Ghuzlan berkata, sehingga kini kes curi motosikal merupakan antara jenayah yang kerap berlaku di Kulim.

    “Sebelum ini, polis menahan seorang pelajar berusia 16 tahun dari Kuala Ketil kerana mencuri motosikal di surau.

    “Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek di Taman Cengal ketika cuba melarikan motosikal itu ke Gurun untuk dijual,” katanya.

    1,292 pil kuda dirampas, 2 beradik antara yang ditahan



    WARTAWAN SINAR HARIAN
    28 Ogos 2012
    1,292 pil kuda dirampas
    Abdul Aziz (dua, kanan) dan pegawai penyiasatnya menunjukkan barangan dan dadah yang dirampas.
    TANAH MERAH – Dua beradik antara yang ditahan ketika pemeriksaan jalan Ops Bersepadu yang berjaya merampas 1,292 pil kuda dalam dua tangkapan berasingan dekat Jalan Taman Hiburan, awal pagi semalam.

    Dalam tangkapan jam 2.50 dan 5.15 pagi itu, polis berjaya mematahkan sindiket penjualan dadah sekitar daerah Tanah Merah, Jeli serta Kuala Lipis dengan nilai keseluruhan dadah dan wang tunai yang dirampas berjumlah RM33,000.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, bagi kes pertama bermula polis menahan sebuah kereta Satria yang dinaiki tiga lelaki.

    Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh badan salah seorang suspek, polis menemui dua biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda dalam poket yang diletakkan dalam kotak rokok.

    “Dalam kenderaan tersebut juga, polis turut menjumpai satu beg silang berwarna coklat yang diletakan dalam ‘dashboard’ depan penumpang hadapan.

    “Ia membawa kepada penemuan enam paket plastik warna biru mengandungi 992 biji pil kuda serta satu plastik lutsinar berisi daun kering yang disyaki dadah jenis ganja dan wang tunai RM4,450,” katanya kepada pemberita dekat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, semalam.

    Abdul Aziz berkata, suspek yang berumur 23, 31 dan 32 tahun yang beralamat di Tanah Merah itu, ditahan reman tujuh hari bermula semalam, di mana kes disiasat di bawah Sekyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk pil kuda dan bagi ganja di bawah Seksyen 6 1952 di mana anggaran nilai rampasan RM24,750.

    Bagi kes kedua, dua beradik yang berasal dari Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang berjaya ditahan dil okasi yang sama ekoran memandu Proton Putra dalam keadaan mencurigakan.

    “Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, 300 pil kuda yang disorok dalam beg silang di bawah tempat duduk pemandu berjaya dijumpai.

    “Turut ditemui satu botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki ganja serta wang tunai RM1,760.

    “Kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 32 tahun itu, kini ditahan dan siasat di bawah 39A (2) ADB 1952 di mana nilai rampasan berjumlah RM8,300,” katanya.

    Abdul Aziz berkata, polis turut menyita dua kereta tersebut, wang tunai dan telefon bimbit dan siasat bawah seksyen Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) ADB 1988 A.

    Sementara itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek kes pertama kesemuanya positif Methamphetamine dan suspek kes kedua juga positif dadah jenis sama dan Opiate.

    “Urusan pembelian dadah tersebut dilakukan dekat Bandar Pasir Mas dipercayai dalang utamanya adalah lelaki tempatan.

    “Hasil siasatan awal ke atas dua beradik itu, mendapati mereka sudah tiga kali membeli barangan terlarang itu di negeri ini dan tiada rekod polis sebelum ini, namun bagi ketiga-ketiga suspek kes pertama pernah ditahan atas kesalahan dadah hujung 2011 yang lalu,” katanya.

    Sehubungan itu, pihaknya akan teruskan operasi sekatan jalan Ops Bersepadu untuk membanteras kesalah trafik, dadah walaupun kadar jenayah terkawal.

    Ikan eksotik dirampas



    ZAIMATULJUWITA ABDULLAH
    28 Ogos 2012
    Ikan eksotik dirampas
    Mohamad (dua kiri) bersama kakitangannya menunjukkan antara anak ikan yang dirampas oleh pihak PGA di Rantau Panjang, dua hari lalu.
    BACHOK - Sejumlah 17 jenis ikan hiasan eksotik termasuk spesies Phirana dirampas dalam serbuan Pasukan Gerak Am  (PGA) di sebuah rumah di Taman Rantau Jaya, Rantau Panjang, jam 7 malam, Sabtu lalu.
    Hasil rampasan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

    Pengarah Jabatan Negeri Perikanan Kelantan, Datuk Mohamad Mat Saman berkata, berdasarkan intipan yang dilakukan pihak PGA mendapati penyeludup membawa masuk ikan hiasan itu dari selatan Thailand melalui pengkalan haram Syed Agil, Rantau Panjang.

    Ikan tersebut kemudiannya disimpan di sebuah rumah sebelum menunggu pengangkutan yang akan membawanya kepada pembeli atau pengedar.

    “Kebanyakan spesies ikan ini adalah dari spesies eksotik yang jarang ditemui seperti barb, silver shark, betta, pacu, clarias, keli albino dan ikan larangan seperti Phirana yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM12,000.

    “Kes ini diserahkan kepada kami di bawah Seksyen 61, Akta Perikanan 1985, mengikut Peraturan Perikanan (Larangan Import Eksport 1990), kerana membawa masuk ikan tanpa permit dan ikan larangan import eksport, “ katanya semalam dalam sidang media di Pengkalan Perlindungan Sumber Perikanan, Tawang, di sini.

    Beliau berkata, dalam serbuan tersebut sebuah lori yang disyaki sebagai pengangkutan untuk memuatkan ikan tersebut turut dirampas.

    “Ikan ini akan dilupuskan terutamanya Phirana yang menjadi ancaman dan perosak ekosistem perikanan  memandangkan ia adalah spesies pemakan daging.

    “Beberapa ikan yang bersesuaian akan digunakan untuk penyelidikan di Pusat Pengembangan Komuniti dan Akuakultur di Machang,” katanya.

    Mohamad berkata, kes penyeludupan ikan hiasan eksotik ini sering berlaku berikutan permintaan dari pembekal dan peminat ikan hiasan.

    “Semua ikan ini tidak diperolehi di Malaysia dan mempunyai nilai tinggi di pasaran. Kami tidak menolak kemungkinan laluan negeri ini adalah transit sebelum diedarkan ke negeri lain,” katanya.

    Dua rakan sehidup semati



    WARTAWAN SINAR HARIAN
    28 Ogos 2012
    Dua rakan sehidup semati
    Zaharah yang tidak dapat menahan sebaik atas pemergian cucu tersayang, Nur Azman ditenangkan saudara.
    Dua rakan sehidup semati
    Lokasi kejadian yang meragut nyawa dua sahabat itu dan merupakan kawasan sering berlakunya kemalangan.
    MARAN - Perubahan luar jangkaan dengan sering mengungkap kata ‘ini yang terakhir’ rupa-rupanya menjadi petanda seorang remaja berusia 17 tahun pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

    Adik mangsa, Siti Zarina Wahab, 15, berkata, kali terakhir arwah abangnya, Muhammad Redzuan berkata  sedemikian ketika mahu keluar selepas Maghrib pada malam kejadian.

    Menurutnya, arwah yang mahu bermain badminton bersama rakan lain di dewan berdekatan meminta RM2 bagi belanja minum.

    “Arwah abang cakap ini adalah kali terakhir dia minta duit dengan saya dan selepas ini, dia tidak akan minta lagi.

    “Sejak dari hari raya lagi dia asyik cakap benda sama termasuk sewaktu makan bersama adik-beradik lain.

    “Arwah mesti akan cakap ini yang terakhir ketika meminta sesuatu tapi kami tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap dia hanya bergurau,” katanya kepada Sinar Harian.

    Bapa mangsa yang menetap di Rumah Orang Buta Kampung Teras dan cacat penglihatan, Wahab Ibrahim, 60, berkata, pada malam kejadian, arwah tidak meminta wang daripadanya seperti kebiasaan.

    Mahu berhenti sekolah

    Menurutnya, sebelum Ramadan lalu, arwah menyatakan hasrat untuk berhenti sekolah tanpa memberikan sebarang sebab atau alasan.

    “Saya nasihatkan agar arwah teruskan sekolah sehingga tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

    “Namun saya tidak dapat menghalang kerana itu keinginan arwah walaupun ditegah,” katanya.

    Muhammad Redzuan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Kampung Luit, kira-kira jam 12.20 tengah malam, semalam.

    Seorang lagi remaja juga rakan mangsa, Nur Azman Radzuan, 15, yang menunggang motosikal berasingan turut terkorban sementara dua rakan lain parah dalam nahas tersebut.

    Dua motosikal yang ditunggani keempat-empat rakan itu dipercayai bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan.

    Pertembungan dipercayai berlaku selepas salah satu motosikal tersebut yang berada di hadapan berpatah balik setelah mendapati kedai makan yang dituju tutup.

    Gurauan terakhir

    Bapa kepada Nur Azman yang beralamat di Kampung Luit iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, Radzuan Abdul Rahman, 54, berkata, arwah  tidak menunjukkan sebarang perubahan dan berkelakuan seperti biasa.

    Menurutnya, dia sempat berpesan kepada arwah yang berada di tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran 2 supaya pulang awal ketika mahu keluar bermain badminton, kira-kira jam 9 malam.

    Kakak mangsa, Noraini, 21, berkata, arwah pernah bergurau dengannya ketika mereka makan nasi bersama kelmarin.

    “Dia bawa dua pinggan dengan satu untuk isi tulang ayam namun arwah meletakkan dua tulang ayam yang dimakan ke dalam pinggan saya seakan mahu bergurau.

    “Arwah memang periang dan ceria malah mesra dengan saya maka tidak pula merasa sebarang kelainan sehingga malam kejadian,” katanya.

    Nenek mangsa, Zaharah Kadir, 77, berkata, dia masih rasa terkilan kerana sejak hari pertama Aidilfiri, arwah tidak menegurnya walaupun sering bertemu memandangkan mereka tinggal di rumah bersebelahan.

    Menurutnya, arwah adalah cucu kesayangan dan rapat namun dia tidak memahami perubahan sikap arwah sejak kebelakangan ini.

    “Mak cik tak tahu kenapa dia tak nak tegur sedangkan sebelum ini arwah ringan mulut,” katanya.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, ASP Sulaiman A Hamid berkata, mangsa Muhammad Redzuan yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia di Klinik
    Kesihatan Maran manakala pemboncengnya, Muhammad Firdaus parah.

    Menurutnya, kematian kedua membabitkan pembonceng motosikal jenis Honda Wave, Nur Azman meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggang motosikal itu, Mohd Azhar Kamarudin, 17, parah.

    “Kematian disebabkan kecederaan parah di kepala akibat pertembungan kuat dari arah depan secara bertentangan dan mayat dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

    “Dua rakan yang parah menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh,” katanya.