Search This Blog

Sunday, August 26, 2012

Budak hilang dua jari



MOH ROSYAM di samping anaknya, Wan Muhammad Anas yang sedang dirawat akibat cedera bermain mercun bola di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI - Keinginan seorang budak lelaki untuk bermain mercun membawa padah apabila dua jari kirinya terpaksa dipotong akibat terkena letupan mercun bola dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dekat sini Rabu lalu.
Kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku ketika Wan Muhammad Anas Amar Rosyam, 10, menyalakan api pada sumbu sebiji mercun bola yang ditemui tidak jauh dari rumah sebelum ia meletup di tangan.
Menurut Moh Rosyam Hanafiah, 39, ketika kejadian, dia menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah jiran dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh penduduk perumahan terbabit.
"Saya terus bergegas pulang ke rumah dan melihat muka anak sulung saya berlumuran darah manakala beberapa jari tangan kiri hancur," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.

Tiga rumah musnah


Tiga rumah musnah
Orang ramai membantu mengeluarkan peralatan dan perkakas dari rumah mangsa.
TAIPING - Letupan kuat menjadi penyelamat nyawa dua keluarga, apabila mereka sempat melarikan diri daripada kebakaran yang memusnahkan tiga rumah di Jalan Elizabeth, Pokok Assam, di sini, semalam.

Bunyi letupan yang datang dari salah sebuah rumah terbabit serta percikan api turut menarik perhatian beberapa penduduk berhampiran yang kemudiannya membantu mangsa kebakaran menyelamatkan beberapa barangan berharga.

Seorang daripada mangsa terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Sarah memaklumkan, kejadian berlaku pada kira-kira jam 11 pagi dan sebuah daripada rumah terbabit dikatakan tiada penghuni ketika itu.

"Sebaik sahaja mendengar letupan, saya segera mencari anak saudara saya untuk menyelamatkan mereka dan diri sendiri. Saya sempat capai telefon bimbit ketika itu.

"Saya tidak sangka kejadian ini boleh berlaku dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri dan semua perkakas elektrik yang baru dibeli, termasuk televisyen musnah dalam kebakaran," katanya.

"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya serta jiran terdekat selamat dalam kejadian berkenaan.

Seorang lagi mangsa, Ismarudin Mohamad Nor, 29 berkata, kelibat orang ramai yang berkerumun di hadapan rumahnya selepas mendengar bunyi letupan dan melihat percikan api membolehkan dia menyedari kejadian berkenaan serta menyelamatkan diri.

Menurutnya, dia memang tidak menyedari api sudah marah di bahagian belakang dan dapur rumahnya pada ketika itu serta bersyukur kerana sempat keluar menyelamatkan diri.

"Saya juga bernasib baik kerana orang ramai turut membantu untuk menyelamatkan beberapa barang berharga. Semua ahli keluarga saya terselamat," katanya.

Katanya, semasa kejadian, dia berada di rumah berkenaan bersama seorang bapa saudara dan neneknya yang berjaya ditarik keluar oleh orang ramai semasa api sedang marak.

"Saat paling mencemaskan adalah ketika api menjulang tinggi, ditambah keadaan angin kencang. Nasib baik pasukan bomba bertindak pantas untuk mengawal api daripada terus merebak ke kawasan lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, seramai 13 anggota bersama enam jentera termasuk tiga jentera bomba bantuan dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja panggilan berhubung kejadian diterima.

Beliau memaklumkan, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit membolehkan operasi memadam tamat sepenuhnya sekitar jam 12.52 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tidak serik walau pernah ditahan


Tidak serik walau pernah ditahan
Dua anggota penguatkuasa BKF KDN sedang mengira DVD yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Tanjung Tualang, Batu Gajah, malam kelmarin.
IPOH - Sikap degil seorang lelaki berusia 49 tahun, menyebabkan dia ditangkap untuk kali kedua kerana kesalahan menjual cakera padat digital (DVD) cetak rompak di sebuah premis jualan DVD di Tanjung Tualang, Batu Gajah, dekat sini, malam kelmarin.

Lelaki berkenaan pernah ditangkap kerana melakukan kesalahan sama di sebuah pasar pagi beberapa bulan lalu.

Serbuan oleh Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) di premis berkenaan pada kira-kira jam 8.15 malam turut mendapati ia telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Zaki Mohamed memaklumkan, ketika beliau bersama dua anggota penguat kuasa menjalankan serbuan, beberapa pelanggan bergegas keluar meninggalkan premis itu.

"Seorang lelaki dipercayai penjaga premis tidak sempat melarikan diri dan hanya mampu melihat semua DVD cetak rompak dirampas, sementara dia ditahan untuk siasatan serta diambil keterangan.

"Kita juga telah merampas 243 DVD cetak rompak membabitkan filem pelbagai tajuk dan tidak mempunyai Sijil Penapisan Filem (Perakuan B) bernilai RM1,215 dan pemilik premis berkenaan didapati telah melanggar peruntukan Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002," katanya. Belia menambah, jika sabit kesalahan pemilik premis berkenaan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Orang ramai membantu mengeluarkan peralatan dan perkakas dari rumah mangsa.