Search This Blog

Saturday, August 25, 2012

Dua kedai bersebelahan kerugian

Dua kedai bersebelahan kerugian
Kedai perabot dan aksesori kereta yang dipecah masuk penjenayah dalam kejadian samun yang berlaku di dua rumah kedai berhampiran Taman Perdana, Jalan Kuala Kangsar
IPOH - Sebuah kedai perabot dan sebuah kedai aksesori kereta berhampiran Taman Perdana, Jalan Kuala Kangsar, di sini, di pecah masuk dalam kejadian samun yang dipercayai dilakukan sekumpulan penjenayah, awal pagi semalam.

Pekerja kedai perabot, Mohammad Hasan, 29 ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila mendapati pintu pagar besi kedai majikannya terkopak pada jam 9 pagi, sewaktu hendak membuka kedai.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3 pagi, berikutan dia mendengar ada bunyi bising ketika sedang tidur bersama rakannya di tingkat atas bangunan rumah kedai terbabit.

"Lebih kurang jam 1 pagi saya terdengar bunyi bising di tingkat bawah kedai, namun kerana terlalu letih dan mengantuk, saya menyambung tidur.

"Ketika mahu membuka kedai saya terkejut kerana melihat pintu pagar besi kedai telah terkopak dan wang tunai berjumlah RM600 dalam almari pejabat lesap," katanya.

Katanya, dia memaklumkan pengurus kedai berkenaan kejadian berkenaan dengan segera dan telah membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

Dalam perkembangan berkaitan, kedai aksesori kereta yang terletak bersebelahan dengan kedai perabot terbabit turut mengalami kerugian apabila wang tunai berjumlah RM2,500 lesap dan kejadian dipercayai dilakukan oleh penjenayah sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian, serta siasatan sedang dijalankan dan setakat ini, tiada tangkapan dibuat.

Suami isteri disamun


Suami isteri disamun
Raja Shahrom
BUKIT BERUANG - Sepasang suami isteri yang nyenyak tidur berdepan detik mencemaskan apabila rumah mereka dipecah masuk tiga penyamun bersenjatakan parang dan pisau pemotong sayur di Taman Bertam Jaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi kelmarin, semua penyamun termasuk seorang wanita,  berjaya melarikan seutas rantai emas dan sebentuk cincin serta wang tunai RM30.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, mangsa berusia 47 tahun dan isterinya nyenyak tidur apabila tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi cermin pecah.

"Semua penyamun memasuki rumah terbabit selepas memecahkan tingkap di bahagian pintu belakang rumah mangsa.

"Penjenayah terbabit kemudiannya mengikat mangsa dan isterinya, sebelum mengugut pasangan berkenaan dengan meletakkan parang ke leher mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka merentap rantai dan cincin yang dipakai isteri mangsa, selain mengambil wang dari dompet mangsa.

"Sebelum melarikan diri, mereka memutuskan talian telefon di rumah terbabit.

"Siasatan awal mendapati, semua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah van," katanya.

Bayi 10 bulan nyaris maut


Bayi 10 bulan nyaris maut
Orang ramai bertanyakan keadaan bayi yang terselamat dalam kejadian tersebut.
UKAY PERDANA - Seorang bayi berusia 10 bulan terselamat daripada maut dalam nahas jalan raya apabila kereta dinaiki bersama ibu bapanya terbalik dua kali ketika menuruni bukit dari Ukay Perdana berhampiran Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang semalam itu menyebabkan kecederaan ringan kepada bayi tersebut dan kedua-dua ibu bapanya.

Bapa mangsa dan juga pemandu, Azrami Aris berkata, keretanya menghadapi masalah ketika membelok di selekoh dan melanggar pembahagi jalan.

Menurutnya, semasa melepasi selekoh terbabit, stereng keretanya didapati menghadapi masalah, menyebabkan dia tidak dapat mengawal kenderaannya lalu berpusing beberapa kali.

“Alhamdulillah, saya bersyukur isteri dan bayi saya selamat dalam insiden ini serta dua anak lain bernasib baik kerana menaiki kereta lain bersama saudara yang ketika itu berada di belakang kereta saya,” katanya.

Akibat insiden tersebut, Azrami mengalami kecederaan di kakinya.

Bayi dan isterinya dihantar ke Hospital Ampang Puteri untuk mendapatkan rawatan.

Azrami berkata, dia amat bersyukur apabila dua lagi anaknya tidak menaiki kereta terbabit bersamanya ketika itu kerana mungkin kejadian lebih teruk boleh berlaku.

Menurutnya, kereta jenis Avanza yang dipandunya itu adalah milik keluarganya di Kedah.

Sinar Harian difahamkan mangsa dan keluarganya ingin pergi bersiar-siar sebelum kejadian malang tersebut berlaku selepas hujan berhenti.

Kemaruk memadu kasih, sanggup panjat tingkap


Superintendan-Wooi-Kooi-Cheang
$entry.content.caption.value
TAMPIN – Hanya kerana mahu memadu kasih, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di bandar ini ponteng sekolah.

Tujuannya hanya kerana mahu menemui kekasihnya berusia 17 tahun di Kampung Keru, dekat sini, 13 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pelajar perempuan itu sanggup memanjat tingkap rumah kekasihnya bagi melampiaskan nafsu ketika   umat Islam lain berpuasa.

Menurut sumber, ketika kejadian ibu remaja lelaki terbabit sedang tidur selepas bersahur dan langsung tidak menyedari kehadiran remaja perempuan itu yang masuk secara sembunyi melalui tingkap.

“Namun, perbuatan terkutuk remaja berkenaan disedari jiran tetangga setelah dia keluar dari rumah kekasihnya dari tingkap sama sekitar jam 1.30 petang.

“Susulan kejadian tersebut, ibu remaja perempuan berkenaan yang dimaklumkan mengenai perbuatan terkutuk anaknya itu mendesak anaknya menceritakan perkara sebenar sebelum akhirnya remaja perempuan itu menyatakan dirinya telah dirogol tetapi atas dasar suka sama suka,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan  ibu mangsa membuat laporan polis pagi 23 Ogos lalu.

Katanya, siasatan polis telah membawa kepada penahanan suspek lelaki di rumahnya di Kampung Keru.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 13 Ogos lalu antara jam 7 pagi hingga 1.30 petang di rumah suspek dan mangsa pula dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk menjalani pemeriksaan.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam (kelmarin). Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

“Oleh itu, saya tegaskan kepada mana-mana individu yang melakukan persetubuhan dengan remaja bawah umur walaupun atas dasar suka sama suka atau dengan kerelaan ia adalah satu kesalahan," katanya.

Samsung diperintah bayar Apple RM3.15 bilion


Produk Apple iPad dan Galaxy Tab
Produk Apple iPad dan Galaxy Tab keluaran Samsung. - Foto ihsan Business Week
LOS ANGELES - Mahkamah Amerika Syarikat (AS) memutuskan Samsung perlu membayar syarikat gergasi telekomunikasi Apple pampasan berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.15 bilion) dalam kes saman harta intelektual.

Mahkamah mendapati beberapa produk keluaran Samsung telah melanggar aspek paten reka bentuk dan perisian iPhone Apple.

Bagaimanapun juri California memutuskan Samsung tidak perlu diberi sebarang pampasan dalam tuntutan balasnya bahawa Apple juga telah melanggar beberapa aspek paten.

"Ini kemenangan besar bagi Apple," kata profesor undang-undang Stanford, Mark Lemley yang dipetik CNN.

Susulan keputusan itu, nilai saham Apple meningkat kepada AS$12 sesaham.

Samsung pula menyifatkan keputusan itu satu kerugian besar kepada pengguna Amerika Syarikat (AS).

"Ia akan membawa kepada pilihan yang terbatas, inovasi (akan) merosot," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ia menambah, adalah sesuatu yang malang apabila undang-undang paten dimanipulasi untuk memberi sesebuah syarikat hak monopoli.

Appel menuntut pampasan AS$2.7 bilion (RM8.1 bilion) daripada Samsung atas alasan telah menciplak reka bentuk iPad dan iPhone.

Samsung pula membuat tuntutan balas dengan menuntut AS$519 juta (RM1.56 bilion).

9 wanita dihalang masuk New Zealand


9 wanita dihalang masuk New Zealand
Kohilan (empat, kanan) dan Chong (dua, kiri) bersama mangsa menunjukkan nama mereka yang telah disenarai hitam.
KUALA LUMPUR - Sembilan wanita yang dihalang memasuki New Zealand, Mei lalu, dalam dilema dan meminta pihak berkenaan segera membantu supaya nama mereka dikeluarkan daripada senarai hitam oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Ng Koay Yew, 36, berkata, dia bersama lapan rakannya dihalang mendaftar masuk untuk menaiki penerbangan dari terminal penerbangan kos rendah ke Christchurch, 11 Mei lalu.

Menurutnya, mereka ke negara itu untuk lawatan tujuh hari, tetapi terkejut didakwa dikaitkan aktiviti penyeludupan manusia di sana.

“Kami juga didakwa ke sana untuk tinggal dan bekerja, sebaliknya kami hanya mahu melancong ke negara berkenaan.

“Kami mahu nama dibersihkan daripada senarai hitam kerana ini kali pertama kunjungan ke New Zealand,” katanya pada sidang media di pejabat MCA, Ampang di sini, semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan rakan di New Zealand mengenai kejadian yang menimpa mereka sejurus dipaparkan dalam media negara itu.

Menurutnya, berikutan insiden itu pada Jun lalu, mereka membuat aduan di pejabat MCA dan seterusnya bertemu dengan Timbalan Menteri Luar Negeri, A Kohilan Pillay, minggu lalu, bagi mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam untuk ke luar negara.

“Beliau (Kohilan) kecewa dengan kejadian yang menimpa kami dan akan membantu membersihkan nama daripada senarai hitam,” katanya.

Koay Yew berkata, pakej pelancongan yang disertai mereka adalah melalui seorang ejen.

Menurutnya, akibat kejadian itu, setiap mereka kerugian RM5,000 dan hidup dalam tanda tanya akibat nama yang disenaraihitamkan tanpa sebab.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong turut menasihatkan orang ramai untuk memilih ejen pelancongan yang berkualiti bagi mengelakkan daripada ditipu.

Dua perompak larikan sembilan dulang barang kemas

SEREMBAN - Dua perompak bersenjatakan pistol hanya mengambil masa lima minit untuk melarikan sembilan dulang barang kemas dari sebuah kedai di Jalan Dato Bandar Tunggal, di sini semalam.
   
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Supt Lim Kim Fook berkata kejadian berlaku pukul 5.10 petang di kedai yang turut menjual jam tangan itu.
   
Dua penjenayah terbabit yang memakai topi keledar bertutup penuh, menyerbu masuk ke bahagian menjual barangan kemas dan mengarahkan pekerja memasukkan barangan terbabit ke dalam beg yang dibawa mereka, sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.
  
Ketika kejadian terdapat lapan pekerja termasuk seorang pengawal keselamatan tidak bersenjata dalam premis itu, namun tiada tembakan dilepaskan, katanya kepada pemberita, di sini.
  
"Kita percaya mereka menggunakan dua pucuk pistol automatik, bagaimanapun kita tidak pasti sama ada ia pistol sebenar atau palsu," katanya.
   
Katanya jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

18 menyamar wartawan seludup RM21 juta ke Nicaragua


Polis Nicaragua
Polis Nicaragua menunjukkan kepada media 18 orang, dipercayai rakyat Mexico, yang menyeludup RM21 juta dengan menyamar sebagai wartawan, semalam. - Foto ihsan boston.com/AP
MANAGUA - Polis Nicaragua menemui wang tunai AS$7 juta (RM21 juta) yang diseludup dalam beberapa van oleh sekumpulan 18 orang, dipercayai rakyat Mexico, yang menyamar sebagai wartawan membuat liputan kes bunuh.

Mereka membawa wang tunai itu dalam van-van yang menggunakan nama rangkaian televisyen Mexico, Televisa.

Seorang yang ditahan merupakan pegawai polis dari negeri Durango.

Ketua Polis Nicaragua, Aminta Granera berkata, wang itu ditemui di tiga daripada enam van dinaiki mereka.

Laporan Associated Press menyebut bahawa suspek itu mahu menyeludup wang tunai itu ke Costa Rica melalui Nicaragua.

Kumpulan itu ditahan di Honduras, utara Nicaragua ketika mereka mendakwa berada di lokasi kejadian untuk membuat liputan perbicaraan pembunuhan penyanyi Facundo Cabral tahun lalu.

Perbicaraan itu melibatkan penggubahan wang secara besar-besaran.

Sejurus selepas ditahan, rangkaian Televisa menafikan pihaknya ada menghantar wartawannya ke Nicaragua untuk membuat liputan.

Kedutaan Mexico di sini mengesahkan bahawa 18 suspek yang ditahan merupakan warganegaranya.

Pesawat hilang di Kalimantan Timur belum dapat dikesan

JAKARTA - Pasukan mencari dan menyelamat sehingga petang ini belum berhasil menemui pesawat milik syarikat PT Intan Angkasa yang dilaporkan hilang di Kalimantan Timur sejak petang Jumaat.

Pihak berkuasa berkata pesawat jenis PA31 Piper Navajo Chieftain itu dipercayai jatuh di Gunung Pilar Sangatta, di Kutai Timur, Kalimantan Timur. 

"Pasukan mencari dan menyelamat yang berjalan kaki dari Sangatta-Bontang sejak semalam sudah berada di lokasi yang dipercayai tempat jatuhnya pesawat itu," kata Ketua Perhubungan Udara, Jabatan Perhubungan Kalimantan Timur, Hasbi. 

Sementara itu, helikopter milik PT Intan Angkasa turut melakukan pencarian dari udara di atas kawasan Taman Nasional Kutai. 

Ketua Polis Samarinda, Pesuruhjaya Kanan Arief Prapto berkata dua buah helikopter masing-masing milik Badan SAR Nasional (Basarnas) dan PT Intan Angkasa melakukan pencarian dari udara. 

Pada masa yang sama di darat, pasukan mencari dan menyelamat menyisir di sekitar titik koordinat di mana pesawat itu kali terahir dikesan oleh satelit milik Singapura, katanya. 

Pesawat berkenaan, yang sedang dalam penerbangan dari Samarinda ke Bontang, Kalimantan Timur pada pagi semalam untuk kerja pemetaan, dilaporkan hilang pada pukul 2 petang semalam setelah ia didapati tidak mendarat di destinasinya. - Bernama

Anak hilang selepas keluar beraya


Mariam tidak pulang selepas beraya
Rusly bersama isterinya menunjukkan laporan polis dan gambar Mariam yang hilang sejak 2 Syawal lalu.
KUALA LANGAT - Seorang ibu tidak sangka kain yang dihadiahkan kepada anak perempuannya untuk belajar menjahit baju merupakan pakaian terakhir yang dilihat dipakai sebelum anak gadisnya  menghilangkan diri sejak lima hari lalu.

Mariam Aainaa Rusly, 13, dari Kampung Bukit Changgang dilaporkan menghilangkan diri pada 20 Ogos lalu ketika umat Islam sibuk menyambut hari raya kedua.
Ibunya, Asmawati Amat Jiman, 43, berkata, anaknya keluar rumah jam 10 pagi dengan memaklumkan dia mahu beraya ke rumah rakan.

Menurutnya, dia  yang tidak mengesyaki apa-apa dan hanya membenarkan anak kelima daripada enam beradik itu keluar bersama rakannya yang turut beraya di rumah.

“Saya bimbang kerana dia tidak mempunyai telefon bimbit malah duit raya bernilai RM50 yang diberikan oleh ayahnya ditinggalkan di dalam bilik tetapi hanya berpakaian baju kurung bercorak bunga biru tua yang dijahit sendiri.

“Apabila malam, saya mula risau apabila Mariam masih belum pulang selain percayai dia langsung tidak membawa wang bersamanya dan tiada siapa mengetahui ke mana dia pergi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pekan Banting, semalam.

Bapanya, Rusli Abdullah, 47, berkata, dia turut menghubungi dua lagi rakannya yang dimaklumkan turut bersama Mariam ketika keluar dari rumah namun nombor telefon bimbit mereka tidak berjawab.

Katanya, dia bertambah runsing apabila salah seorang rakan Mariam turut memaklumkan anaknya keluar dengan seorang lelaki selepas berjumpa dua rakan perempuannya.

“Sehingga hari ini, telefon rakan-rakan Mariam masih gagal dihubungi dan tidak menerima sebarang jawapan termasuk di peti simpanan pesanan suara,” katanya yang turut membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis KLIA dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Rusly  berkata, dia sudah mencari anaknya di beberapa kawasan berhampiran termasuk Nilai, Putrajaya, Banting, Bagan Lalang tetapi masih gagal ditemui.

Dia yang bekerja sebagai juruelektrik bimbang keselamatan Mariam kerana sebelum ini anaknya tidak menunjukkan perubahan dan semasa hari raya pertama, dia nampak ceria seperti biasa.

“Kami tidak pernah berselisih faham dan saya juga tidak mengetahui sama ada dia mempunyai teman lelaki atau tidak.

“Malah Mariam tidak pernah keluar rumah bersendirian tanpa ditemani ibu atau bapanya,” katanya.

Rusly turut meminta siapa yang terjumpa anaknya segera menghubunginya di talian 017- 6945855 atau datang balai polis berhampiran.

Jurucakap polis IPD Kuala Langat, ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan laporan polis turut dibuat berhubung kes berkenaan.

Murid Tahun Empat putus dua jari akibat mercun bola


Murid Tahun Empat putus dua jari akibat mercun bola
Wan Muhammad Anas Amar Moh Rosyam, 10, putus ibu jari, jari telunjuk dan patah pergelangan tangan kiri serta mengalami kecederaan. - Foto Bernama
SUNGAI PETANI - Seorang murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil dekat sini putus dua jari tangan kiri setelah mercun bola yang dibakarnya meletup sebelum dia sempat membalingnya.

Dalam kejadian 5 petang Rabu lepas, Wan Muhammad Anas Amar Moh Rosyam, 10, putus ibu jari, jari telunjuk, patah pergelangan tangan kiri selain cedera pada tapak tangan kanan serta kedua-dua mata dan muka.

Bapanya, Moh Rosyam Hanafiah, 39, berkata akibat kejadian itu juga penglihatannya anaknya kini kurang jelas.

"Saya selalu nasihatkan Anas jangan bermain mercun dan dia sememangnya tidak pernah bermain mercun. Tak sangka pula kejadian ini boleh berlaku ke atasnya," kata Moh Rosyam ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Abdul Halim Shah, di sini hari ini.

Katanya beliau difahamkan anaknya terjumpa mercun tersebut ketika bermain seorang diri.

"Saya berada di rumah jiran ketika kejadian dan dimaklumkan oleh rakan Anas menyebabkan saya meluru dan mendapati dia terbaring dengan tangan berlumuran darah," katanya. - Bernama

Serbu markas penyamun jumpa makmal proses dadah


KUALA LUMPUR: Serbuan polis ke sebuah unit kondominium mewah yang dipercayai dihuni kumpulan samun bersenjata api, membawa polis kepada satu lagi kejayaan apabila turut membongkar makmal syabu.

Kediaman yang terletak di tingkat 22 kondominium berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak, di sini itu diserbu polis kira-kira jam 1 tengah hari semalam.


Dalam serbuan itu polis menemui tiga pucuk pistol, syabu dalam bentuk kristal dan cecair serta pelbagai bahan memproses dadah yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM5 juta.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur bagi mengesan suspek beberapa kes samun bersenjata api di sekitar Johor.


Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika mengesahkan kejayaan itu, berkata empat suspek warga tempatan, masing-masing dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20-an dan 30-an turut ditahan semasa serbuan.


“Maklumat awal yang diterima suspek dipercayai terbabit dalam kes samun dan mempunyai senjata api, namun hasil pemeriksaan di kondominium itu kita menemui sejumlah dadah yang banyak selain makmal pemprosesan.



“Kita masih lagi menjalankan siasatan di lokasi serbuan dan Jabatan Kimia turut akan menjalankan pemeriksaan Isnin ini, untuk mengenal pasti tahap bahaya makmal yang diubahsuai selain kandungan bahan berkenaan,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati unit kondominium berkenaan disewa oleh salah seorang suspek wanita yang ditahan dan buat masa ini unit kondominium itu diletakkan sebagai kawasan larangan selepas mendapati terdapat bahan mudah meletup dan terbakar pada bahagian yang diubahsuai untuk dijadikan makmal dadah.

Difahamkan, ketika serbuan dilakukan, polis terpaksa memecah masuk ke unit kondominium itu selepas suspek enggan membuka pintu sebaik menyedari kehadiran polis.


Semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Senjata Api dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedai penyanyi dibakar


KUALA LUMPUR: “Saya hampir pengsan melihat api menjulang memusnahkan kedai makan yang saya usahakan selama 10 tahun,” kata bekas anggota kumpulan 2 By 2, A Halim Mamat, 37, menceritakan detik cemas kebakaran kedai makan miliknya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian jam 1 pagi itu menyebabkan kedai makanan Thai yang diusahakan Halim bersama isteri yang juga bekas penyanyi kumpulan Genuine, Norsalawati Karman, 35, musnah.

Menurut Halim, ketika kejadian dia sedang tidur apabila tiba-tiba dikejutkan Norsalawati dan memaklumkan mengenai kebakaran itu.
“Isteri saya dihubungi sepupunya yang tinggal berhampiran kedai makan kami dan memberitahu mengenai kejadian. Kami sangat terkejut kerana hanya sejam sebelum itu kami baru saja pulang selepas memeriksa kedai yang ditutup seminggu sempena Aidilfitri,” katanya.

Halim berkata, dia segera ke tempat kejadian, manakala Norsalawati terpaksa tinggal di rumah kerana menjaga empat anak mereka.

“Tubuh saya lemah sejurus tiba dan melihat api marak membakar kedai makan ini yang juga satu-satunya sumber utama pendapatan selepas saya dan isteri berhenti menyanyi. “Kedai makan ini saya usahakan ketika masih lagi aktif dalam nyanyian sebagai bekalan selepas tidak lagi berkecimpung dalam bidang seni,” katanya.
Katanya, akibat kejadian itu, dia dan enam pekerjanya kini hilang sumber pendapatan.

“Api dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setapak dan kebakaran sebenar masih disiasat,” katanya yang mengesyaki kebakaran itu disebabkan perbuatan khianat dan menganggar kerugian RM60,000.
Nasib malang menimpa pasangan itu yang popular sekitar 1990 turut mendapat perhatian rakan artis lain apabila seorang lagi bekas anggota 2 By 2, Zul dan isteri, Isma, yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) datang melawat.

Turut melawat tempat kejadian, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wangsa Maju, Mohd Rasyid Abdul Samah dan Naib Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Hamdan Mohd Yusuf.

Halim berkata, dia dan isteri berharap dapat membina semula kedai makan itu dan berharap ada pihak bersimpati dan menghulur sumbangan.

Lapan bulan dikurung rakan senegara tuntut tebusan


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Sri Lanka bukan saja dikurung rakan senegaranya selama lapan bulan dalam sebuah rumah di Serendah, Selangor, malah hanya diberi makan roti sepanjang menempuhi pengalaman menakutkan itu.
Mangsa yang berusia 26 tahun diculik 10 lelaki pada 26 Januari lalu ketika baru sampai di negara ini dan melawat Dataran Merdeka.

Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai polis di Sri Lanka bagaimanapun berjaya melarikan diri pada 18 Ogos lalu selepas bergelut dengan dua daripada 10 suspek yang berusia 20-an. “Ketika dikurung, penculik meminta wang tebusan sebanyak RM50,000 daripada isteri mangsa di Sri Lanka. Selain dipukul hampir setiap hari, mangsa hanya diberi makan roti dan air sejuk sepanjang dikurung,” katanya.
Menurutnya, mangsa akhirnya melarikan diri selepas puas bergelut dengan dua penculik serta meminta bantuan beberapa orang awam sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Lorong rahsia bolos diri


KUALA LUMPUR: Rumah yang dihuni suspek utama disyaki membakar Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang diserbu polis awal pagi kelmarin, didapati memiliki lorong rahsia di bahagian belakang yang dihadang zink dan dahan pokok serta ditaburi paku.
Rumah itu terletak di bahagian paling hujung dalam satu deretan mengandungi lima unit kediaman di kawasan rumah panjang di Setapak Jaya, di sini, diserbu polis jam 3.30 pagi kelmarin. Semalam, wartawan dan jurugambar Harian Metro berkesempatan meninjau rumah itu yang menjadi tempat persembunyian suspek berusia 18 tahun yang juga teman lelaki Nurul Firzanah sebelum dicekup bersama lima rakan berusia 18 hingga 20 tahun, empat daripadanya perempuan. Tinjauan mendapati lorong rahsia itu hanya selebar dua meter selain dibina zink sebagai penghadang, dipercayai untuk memudahkan mereka bersembunyi dan melarikan diri sekiranya diserbu polis.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Lee, 72, yang tinggal berhampiran rumah persembunyian itu berkata dia tidak mengenali suspek, namun menyedari lelaki itu sering datang ke rumah terbabit sejak dua bulan lalu.
“Setahu saya rumah itu dihuni seorang wanita bersama tiga anaknya kira-kira empat tahun lalu. Bagaimanapun, saya tidak rapat dengan mereka dan hanya bertegur sapa jika terserempak.

“Saya selalu lihat rumah itu sering didatangi ramai orang tak kira masa dan saya juga tak pasti apa pekerjaan wanita itu,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan polis awal pagi kelmarin, dia mendengar bunyi bising dan melihat banyak kereta polis namun dia tidak mengetahui apa sebab mereka ditahan.
“Saya cemas dan terkejut dengan bunyi bising. Apabila membuka pintu saya beberapa lelaki memberitahu mereka polis dan minta saya tidak takut. Saya kembali tenang dan masuk semula ke bilik untuk tidur,” katanya.

‘Pelancong penyamun’


KOTA KINABALU: Dengan hanya berbekalkan peta laluan yang diperoleh di pusat pelancongan, sekumpulan lima ‘pelancong penyamun’ dari Semenanjung memecah masuk beberapa unit kediaman sekitar bandar raya ini untuk mengaut barangan samun bernilai ratusan ribu ringgit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, kelicikan tiga lelaki dan dua wanita termasuk seorang warga China itu berakhir apabila mereka dicekup dalam satu serbuan khas di sebuah hotel, di sini, Rabu lalu.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia antara 34 dan 54 tahun dan tiba di negeri ini sejak 14 Julai lalu kononnya sebagai pelancong dan mereka turut menyewa kenderaan yang digunakan untuk mencari rumah yang ingin disamun.
“Kumpulan itu bergerak dengan hanya berdasarkan peta diperoleh dari pusat pelancongan sebelum menyasarkan pangsapuri dan kondominium mewah sekitar bandar raya ini.

“Hasil siasatan, polis menyerbu dua bilik di sebuah hotel dan menemui sebahagian besar barangan dilaporkan hilang oleh pemilik rumah berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Jauteh berkata, antara barangan dirampas termasuk wang tunai berjumlah RM847, beberapa beg tangan wanita, barangan kecantikan, pelbagai mata wang asing selain peralatan pertukangan yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah.
“Mereka memulakan ‘operasi’ sehari selepas tiba di negeri ini dan sebelum memecah masuk pangsapuri atau kondominium mewah, mereka terlebih dulu mengetuk pintu rumah. “Jika tiada maklum balas, barulah mereka memecah masuk kediaman itu. Sekiranya rumah itu berpenghuni, mereka akan berpura-pura bertanyakan sesuatu sebelum beredar,” katanya.

Menurutnya, kumpulan ‘pelancong penyamun’ itu dipercayai terbabit dalam 14 kes pecah rumah membabitkan kerugian RM440,000 di sekitar bandar raya ini.
Katanya, semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Putus nyawa lepas 15 hari


JERTIH: “Saya sudah melarang arwah supaya tidak bermain basikal berhampiran periuk mengandungi air soya panas yang baru dimasak, tetapi tidak dihiraukannya,” kata Normeliza Mohamad, 29, ibu kepada Wan Mohd Fariss Mirza Wan Faizol, 21 bulan, yang melecur teruk akibat termasuk ke dalam periuk berisi air soya panas di rumahnya di Taman Setia, Balakong, Kajang, pada 9 Ogos lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Wan Mohd Fariss terjatuh ke dalam periuk berkenaan selepas basikal ditolaknya tersangkut di hujung tikar ketika bermain berhampiran periuk itu di ruang tamu rumah. 
Bagaimanapun kanak-kanak itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika menjalani rawatan selepas kesan lecurnya dijangkiti kuman, kelmarin.

Normeliza yang ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Jabi, dekat sini, semalam berkata, sebelum kejadian dia yang berniaga di bazar Ramadan memasak air soya di luar rumah sebelum membawanya masuk ke ruang tamu sebaik selesai.

Duit raya hangus bersama rumah


BATU PAHAT: Lima sekeluarga kerugian lebih RM30,000 termasuk RM3,000 duit raya apabila rumah mereka di Kampung Seri Dalam, Parit Raja di sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, semua empat penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri, manakala ketua keluarga berada di gerainya di kampung berhampiran. Mangsa, Rahman Masri, 48, berkata, ketika kejadian dia berada di warungnya di Kampung Lapis Baru, di sini, sebelum jirannya menelefon dan memberitahu rumahnya terbakar.

“Saya hanya mampu fikirkan keselamatan ibu dan tiga anak yang berada di rumah.
“Saya bergegas pulang untuk mengetahui keadaan mereka.

“Alhamdulillah, sebaik tiba di pekarangan rumah, saya dapati tiga anak dan ibu selamat namun sedih melihat rumah kami hangus,” katanya.

Menurutnya, dia difahamkan ketika kejadian anak bongsunya mengulang kaji pelajaran di ruang tamu sebelum terhidu bau asap dari dapur.
Katanya, sebaik melihat api itu, anaknya memberitahu keluarga lain sebelum mereka bergegas keluar menyelamatkan diri.

“Kami sekeluarga tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk duit raya ibu dan anak-anak kira-kira RM3,000.
“Kami sedih kerana ia berlaku ketika kami menyambut Aidilfitri namun reda dan syukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Ketika ini, kami menumpang di rumah saudara terdekat dan berharap ada pihak menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami,” katanya.

Nasib malang keluarga Rahman mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Raja, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menghulurkan bantuan.

Rumah hakim dipecah masuk


KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Tinggi kerugian lebih RM100,000 apabila rumahnya di Bukit Setiawangsa dipecah masuk ketika mangsa sekeluarga bercuti sempena Aidilfitri di kampung.
Kejadian disedari keluarga hakim wanita berusia 50-an yang bergelar Datuk itu, yang tiba di rumahnya dari utara jam 5 petang kelmarin.

Menurut seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui di rumahnya semalam, mereka sekeluarga pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri pada Sabtu lalu dan sebaik pulang ke rumah mendapati pintu pagar automatik sudah terbuka, manakala pintu depan rumahnya mempunyai kesan diumpil.
Pelbagai perkakas elektrik, barangan berharga seperti jam, barang kemas dan komputer serta sebuah kereta Perodua Myvi dilarikan perompak, namun beliau enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

‘Monyet Ceria’ bawa bencana


JUDI...permainan Funky Monkey atau Monyet Ceria.
JUDI...permainan Funky Monkey atau Monyet Ceria.
KUALA LUMPUR: Permainan judi mesin slot ‘Funky Monkey’ atau lebih dikenali sebagai ‘Monyet Ceria’ kini antara yang menjadi kegilaan kebanyakan kaki judi di sekitar ibu kota untuk bertaruh bagi memenangi wang tekaan.
Berselindung di sebalik kafe siber dan pusat komputer, pihak yang menjalankan perjudian itu kini mempertaruhkan permainan Monyet Ceria sebagai permainan utama kepada pelanggan sebelum mereka tewas ribuan ringgit.

Tinjauan di beberapa pusat siber di Kepong, Cheras, Bangsar dan pusat bandar raya mendapati permainan itu menjadi pilihan utama pelanggan dengan tekaan hanya bermodal RM1, mereka layak memenangi sehingga RM800.
Bukan hanya dikunjungi pelanggan dewasa, malah permainan terbabit turut disukai pelajar dan remaja yang terjebak gejala sosial itu selepas diajak rakan.

Wartawan yang memasuki pusat judi di Kepong dan pusat bandar selama enam jam difahamkan premis terbabit dibuka 24 jam sehari dengan menawarkan pelbagai permainan judi untuk dipertaruh.

Selain Funky Monkey antara menjadi pilihan ialah Rockin Roller, Nepiunes Kingdom, Safari, Haunted House, Magic Scots dan Real Classic.
Melalui perbualan bersama penjaga premis judi di Kepong, difahamkan pemilik perniagaan itu meraih hampir ratusan ribu ringgit sehari selepas pusat judi terbabit dikunjungi ramai pelanggan.

“Sekarang ini, ramai bertaruh Funky Monkey, ada yang menang dan ada yang kalah. Kalau beli seringgit boleh menang RM800, kalau RM2 dapat RM1,600, kalau beli banyak, puluhan ribu boleh menang,” katanya.
Funky Monkey adalah permainan judi memerlukan setiap barisan slot menyamai urutan objek dikehendaki antaranya 1Bar, 2Bar, 3Bar, objek pisang, cermin mata, kelapa muda, pokok dan gendang.

Bagi hadiah terbesar, sekiranya semua gendang menyamai garisan slot, tekaan RM1 mampu memenangi RM800 dan seterusnya. Namun, kebanyakan pelanggan ditemui dan bertaruh hanya menggelengkan kepala selepas kalah ribuan ringgit.

Pelanggan dikenali sebagai Pak Kadir, 52, yang juga pemandu bas berkata, setiap hari dia mengunjungi pusat judi dan bermain Funky Monkey selepas ketagih sejak setahun lalu.

“Kalau diikutkan bermain judi komputer ini, puluhan ribu saya kalah, tetapi apakan daya sukar meninggalkan tabiat buruk ini. Setiap hari mesti bertaruh walau sekali,” katanya.

Pak Kadir ketika ditemui di sebuah premis di Kepong berkata, sepanjang berjudi, dia banyak kalah berbanding menang.

Lelaki dipecat mengamuk


Anggota polis  New York  menjalankan siasatan di tempat kejadian selepas seorang lelaki menembak mati bekas rakan sekerjanya berhampiran bangunan Empire State, semalam. 
[foto REUTERS]Anggota polis New York menjalankan siasatan di tempat kejadian selepas seorang lelaki menembak mati bekas rakan sekerjanya berhampiran bangunan Empire State, semalam. [foto REUTERS]
Dua termasuk suspek maut, 8 cedera dalam insiden tembak rambang 

New York: Sekurang-kurangnya dua terbunuh dan lapan yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan di luar bangunan Empire State, kata sumber polis semalam. 
Kejadian itu mencetuskan kejutan kepada pelancong dan orang ramai yang menyaksikan insiden berdarah di luar mercu tanda terkemuka itu. 

Seorang pereka aksesori fesyen berusia 53 tahun yang tidak berpuas hati selepas dipecat setahun lalu dilaporkan menembak sebanyak tiga kali dan membunuh seorang bekas rakan sekerjanya berusia 41 tahun menggunakan sepucuk .45 kaliber di laluan tepi jalan berhampiran bangunan terkemuka itu, kata pihak berkuasa. 

Polis balas tembakan 

Polis membalas tembakan yang membunuh penembak terbabit dan dipercayai turut mencederakan beberapa orang awam menurut Datuk Bandar, Michael Bloomberg pada satu sidang media. 

Pesuruhjaya polis, Raymond Kelly mengenal pasti penembak sebagai Jeffrey Johnson dari Manhattan, yang bekerja di Hazan Import di seberang jalan bangunan pencakar langit berkenaan. 
Kejadian berlaku ketika kemuncak musim pelancongan di satu daripada kawasan paling popular di New York. 

Mayat Johnson dilihat dilitupi kanvas putih di hadapan pintu masuk bangunan pejabat terbabit. 

Bloomberg bagaimanapun menolak kejadian itu ada kaitan dengan keganasan. 

Kejadian kali ketiga 

Ia adalah kejadian tembakan ketiga berlaku di Amerika Syarikat ketika musim panas ini selepas kejadian tembakan di panggung wayang Colorado dan serangan di kuil Sikh di Wisconsin yang mencetuskan debat mengenai kawalan senjata di negara terbabit. 

“Kita tidak kebal terhadap masalah senjata api ganas,” kata Bloomberg, yang juga penyokong kepada kempen kawalan senjata serta pengasas kepada ‘Datuk Bandar Menentang Senjata Api Haram’. 

“Saya dengar bunyi tembakan. Ia seperti pop, pop, pop. Ia berturutan,” kata Dahlia Anister, 33 yang bekerja di sebuah pejabat berhampiran Bangunan Empire State setinggi 102 tingkat itu. 

Kejadian tembakan berlaku kira-kira jam 9 pagi di laluan tepi jalan yang sibuk di Fifth Avenue di luar bangunan Midtown Manhattan. - Reuters

Operasi JPJ di Seremban: 19 kenderaan disita



24/08/2012 5:47pm

SEREMBAN — Sebanyak empat kereta dan 15 motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi di Persiaran Senawang, di sini malam tadi.
Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, kesemua kenderaan tersebut disita selepas didapati tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh dan pemandu atau penunggang kenderaan berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, dalam operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, sebanyak 203 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sebanyak 109 saman dikeluarkan kepada pemandu kereta manakala 94 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan seperti cukai, tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan kesalahan teknikal seperti memasang cermin gelap," katanya di sini semalam.— BERNAMA

Penganggur tawar khidmat seks dipenjara



24/08/2012 5:32pm

KUALA LUMPUR — Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis, Rabu lepas.
Majistret Azmil Muntapha Abas memerintahkan Thung Siew Wan, 47, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap 22 Ogos lepas.
Siew Wan didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud persundalan kepada Koperal Abd. Rashid Jamaludin, 30, dari cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di hadapan RHB Bank, Jalan Bukit Bintang, Dang Wangi di sini pada 10 malam 22 Ogos lepas.— BERNAMA

"Geng Bumper" aktif samun kenderaan tumpas



24/08/2012 4:39pm

KUALA LUMPUR — Polis menumpaskan "Geng Bumper" yang aktif melakukan jenayah samun kenderaan sekitar ibu negara berikutan tertangkapnya empat lelaki di Jalan Gajus, di sini, 8 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, dalam kejadian 9.30 malam itu polis menahan empat lelaki berusia 21 hingga 31 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Camry dipercayai disamun di Taman Connaught pada hari yang sama.
"Hasil siasatan ke atas keempat-empat suspek ini membawa kita kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berumur 31 tahun di sebuah rumah di Klang pada hari yang sama," katanya.
Turut dirampas bersama suspek ialah sebuah kereta jenis Toyota Harrier yang disamun di Mont Kiara,” katanya.— BERNAMA

Dadah: Pasangan Iran, lelaki tempatan didakwa



24/08/2012 3:55pm

KUALA LUMPUR — Sepasang suami isteri warga Iran dan seorang rakyat tempatan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis Methampetamine dengan anggaran berat 1.6 kilogram, dua minggu lepas.
Mohammad Nazari Fathollah, 26, dan isterinya Sahar Akbari Gholam Mohammad, 22, serta Lim Kok Keong, 46, seorang penganggur rakyat tempatan, bersama-sama didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methampetamine anggaran berat 1.6 kilogram (1,600 gram) di B-15-7, Kondominium Kiara 3, Jalan Kiara 3, Segambut, Brickfields di sini pada 9 pagi, 9 Ogos lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Majistret Azmil Muntapha Abas menetapkan 19 September depan untuk sebutan kes itu.— BERNAMA

5 lelaki samun penghantar surat RM50,000



24/08/2012 7:45pm

KUALA LUMPUR –- Seorang penghantar surat warga asing mengalami detik cemas apabila diacukan pistol oleh seorang daripada lima lelaki yang menyamunnya di kawasan Jalan Bukit Bintang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohamed Riyas, 26, ketika itu membawa sejumlah RM50,000 wang tunai untuk dihantar ke sebuah premis pengurup wang di kawasan berkenaan sebelum didatangi kumpulan penjenayah tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad, ketika kejadian Mohamed Riyas menunggang sebuah motosikal dikepung kelima-lima lelaki itu berumur antara 20 dan 27 tahun, yang menaiki tiga buah motosikal.
“Salah seorang daripada suspek mengacu pistol ke arah mangsa dan memintanya menyerahkan duit. Dua daripada suspek kemudian mengambil telefon bimbit dan wang tunai RM50,000 daripada poket seluar mangsa sebelum melarikan diri,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas.— BERNAMA

Op Selamat: JPJ P. Pinang keluarkan 1,016 saman



24/08/2012 3:32pm

BUTTERWORTH — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 1,016 saman kepada pengguna jalan raya di negeri itu sepanjang Op Selamat sejak 12 Ogos lepas hingga 12 tengah malam tadi.
Pengarah JPJ negeri, Datuk Hassan Yaacob berkata, jumlah itu menurun hampir 50 peratus berbanding bilangan saman yang dikeluarkan pada musim perayaan lepas.
Kebanyakan kesalahan membabitkan pemandu melanggar lampu isyarat, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri dan lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh, katanya kepada pemberita selepas operasi khas motosikal di Plaza Tol Sungai Nyior, di sini malam tadi.
Sebanyak 3,702 kenderaan diperiksa secara rambang di kawasan panas di seluruh negeri sepanjang tempoh berkenaan.— BERNAMA

JPJ Kedah saman 580 penunggang motosikal



24/08/2012 3:02pm

ALOR SETAR — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan saman kepada 580 penunggang dan menyita 64 motosikal sepanjang operasi sempena musim perayaan sejak 5 Ogos lepas hingga semalam.
Pengarah JPJ Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, kesalahan tertinggi yang dilakukan penunggang ialah tidak memiliki lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh iaitu sebanyak 166 saman dikeluarkan.
Bilangan kes cukai jalan tamat tempoh juga tinggi sebanyak 94 kes dan JPJ menyita motosikal yang penunggangnya tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh, katanya kepada pemberita selepas operasi terakhir di Lebuhraya Darul Aman, di sini malam tadi.
Katanya, rata-rata penunggang yang ditahan dan didapati melanggar pelbagai peraturan jalan raya memberi alasan mahu mengunjungi rumah saudara-mara sempena Aidilfitri.— BERNAMA

Warga emas, remaja maut dalam kemalangan



24/08/2012 2:36pm

KUANTAN — Seorang wanita warga emas dan seorang pelajar tingkatan empat maut dalam dua kemalangan jalan raya di Pahang, semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pertama di Km 45, Jalan Simpang Kerayong-Mayam, dekat Bera, Khadijah Tan, 60, mati selepas motosikal yang dibonceng melanggar seekor lembu.
Kejadian berlaku pukul 3.20 petang ketika mangsa dalam perjalanan ke arah Jalan Kumai menuju ke Simpang Kerayong, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Kejadian kedua berlaku pukul 4 petang di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Balok di sini, membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.
Motosikal yang ditunggang Ahmad Raziman Ab. Razak, 16, dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan itu menyebabkan remaja berkenaan tercampak ke atas jalan mengalami cedera parah pada bahagian badan.— BERNAMA

Rakyat Malaysia diculik di Nigeria dibebaskan



24/08/2012 2:33pm

KUALA LUMPUR — Rakyat Malaysia yang diculik bersama tiga lagi di Teluk Guinea, Nigeria pada 4 Ogos lepas telah dibebaskan dalam keadaan selamat.
Kementerian Luar dalam kenyataan di sini hari ini, berkata, George Lipih Ambo, 42, dan tiga rakannya, masing-masing dari Indonesia, Iran dan Thailand dibebaskan pada lewat malam 22 Ogos (waktu tempatan).
"Mereka telah dibawa ke hospital di Port Harcourt, Lagos untuk pemeriksaan kesihatan yang dijangka akan mengambil masa beberapa hari sebelum mereka dibenarkan pulang ke negara masing-masing,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, berita pembebasan George yang berasal dari Sri Aman, Serawak, telah dimaklumkan kepada keluarganya oleh pihak syarikat Sea Trucks Group dan dijangka pulang ke Malaysia setelah urusan pemeriksaan kesihatan selesai.—BERNAMA

Pengasuh didakwa abai bayi sehingga cedera



24/08/2012 2:29pm

BUTTERWORTH — Seorang pengasuh kanak-kanak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mengabaikan seorang bayi lelaki berusia enam bulan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
G. Sarojaha, 48, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Y. Meysshvin di Blok 6, Tingkat 4, Flat Mak Mandin, Seberang Perai Utara, di sini, antara pukul 10 pagi hingga 10.30 pagi, 15 Ogos lepas.
Dalam kejadian 10 pagi itu, Meysshvin yang melecur 70 peratus di muka dan badan sedang tidur apabila api dipercayai dari tempat sembahyang di rumah Sarojaha terjatuh lalu terbakar dan merebak ke seluruh rumah.
Ketika kejadian tertuduh dipercayai tiada di rumah kerana pergi ke pasar yang terletak di bawah rumahnya. Bagaimanapun bayi itu diselamatkan oleh jiran yang terdengar tangisan bayi dari rumah terbabit.— BERNAMA

Kelindan lori dikhuatiri lemas ketika mandi laut



24/08/2012 2:26pm

KUALA TERENGGANU — Seorang kelindan lori dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Kampung Tanjung Batu Satu di sini, petang semalam.
Dalam kejadian 3.30 petang di belakang sebuah hotel di sini, mangsa Suhaimi Abdullah, 36, bersama abang, Shaifuddin Abdullah, 38, dan tiga sepupunya mandi di pantai berkenaan sebaik mereka pulang memancing.
Menurut Shaifuddin ketika sedang mandi, mangsa mengajak tiga sepupunya untuk berlumba ke sebuah bot terletak 50 meter dari daratan, bagaimanapun sepupunya enggan kerana tidak tahu berenang.
"Ketika mangsa sedang berenang ke bot kami terkejut melihat mangsa terkapai-kapai meminta tolong,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.— BERNAMA

Bot karam: Tiga nelayan tempatan diselamatkan



24/08/2012 4:04am

LANGKAWI — Tiga nelayan tempatan dari Kuala Kedah diselamatkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) apabila bot yang mereka naiki tenggelam di perairan Pulau Segantang di sini.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, ketiga-tiga mangsa ditemui 5.5 batu nautika dari selatan Pulau Paya kira-kira 2.55 petang tadi.
Ketiga-tiga mangsa iaitu Abu Saman Awang, 48, Mohd Shamizi Adnan, 29, dan Sollahudin Said, 20, yang memakai jaket keselamatan berjaya diselamatkan selepas ditemui terapung.
"Mereka dibawa ke jeti Perikanan Bukit Malut dan diserahkan kepada pihak Hospital Daerah Langkawi untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Katanya, pihak APMM menerima laporan dari Balai Polis Kuala Kedah yang menyatakan sebuah bot nelayan dari Kuala Kedah disyaki tenggelam di perairan Pulau Segantang pada 9.30 malam tadi.
Beliau berkata, sebaik sahaja menerima laporan itu gerakan mencari dan menyelamat dilakukan, bagaimanapun ia terpaksa dihentikan kerana keadaan laut bergelora dan cuaca buruk.
Menurutnya, gerakan mencari diteruskan pagi ini dengan bantuan bot-bot peronda dan pesawat APMM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi. — BERNAMA

Lelaki tunggang motosikal curi rempuh sekatan



24/08/2012 2:23pm

KUALA LUMPUR — Seorang penunggang motosikal bertindak merempuh sekatan polis trafik Kuala Lumpur dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Genting Klang di sini malam tadi untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa setelah kenderaan yang ditunggangi disyaki motosikal curi.
Ekoran insiden itu, polis mengejar suspek sejauh tiga kilometer sehingga ke sekitar kawasan Zoo Negara dekat sini sebelum lelaki itu bertindak meninggalkan motosikal jenis Honda Wave itu di tepi jalan.
Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, ASP Azmi Wahid berkata, motosikal itu dilaporkan dicuri di Wangsa Maju ekoran satu laporan berhubung kehilangannya dibuat pada 11 April lalu.
Lelaki itu kini sedang diburu, kata Azmi kepada pemberita yang menyertai operasi bersepadu khas motosikal sempena Aidilfitri di Jalan Genting Klang.— BERNAMA

Kelindan lori dikhuatiri lemas ketika mandi laut



24/08/2012 2:26pm

KUALA TERENGGANU — Seorang kelindan lori dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Kampung Tanjung Batu Satu di sini, petang semalam.
Dalam kejadian 3.30 petang di belakang sebuah hotel di sini, mangsa Suhaimi Abdullah, 36, bersama abang, Shaifuddin Abdullah, 38, dan tiga sepupunya mandi di pantai berkenaan sebaik mereka pulang memancing.
Menurut Shaifuddin ketika sedang mandi, mangsa mengajak tiga sepupunya untuk berlumba ke sebuah bot terletak 50 meter dari daratan, bagaimanapun sepupunya enggan kerana tidak tahu berenang.
"Ketika mangsa sedang berenang ke bot kami terkejut melihat mangsa terkapai-kapai meminta tolong,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.— BERNAMA