Search This Blog

Friday, August 24, 2012

Kes tembak di New York, 9 cedera


Kes tembak di New York, 9 cedera
Anggota bomba dan polis membantu mangsa yang tercedera dalam kejadian tembakan dekat Empire State Building, New York. - Foto ihsan ABC news
NEW YORK - Sehingga sembilan orang cedera dalam kejadian menembak dekat Empire State Building di sini, pagi ini.

Lelaki yang melepaskan tembakan telah ditembak mati oleh polis kira-kira jam 9 pagi ini (9 malam waktu Malaysia).

Laporan media yang diterima tidak pasti punca kejadian, yang berlaku di 34th Street dan Fifth Avenue.

Bagaimanapun menurut polis, siasatan awal menunjukkan ia tidak ada kaitan dengan keganasan.

Remaja maut digilis kereta


Remaja maut digilis kereta
Mangsa berjaya dikeluarkan sepasukan bomba setelah digilis dan terperosok dalam sebuah kereta.
Remaja maut digilis kereta
Orang ramai melihat keadaan motosikal dinaiki mangsa tercampak di tengah jalan setelah bergesel dengan sebuah motosikal lain.
BAGAN SERAI - Hasrat seorang remaja untuk pulang ke rumah selepas beraya di kampung bertukar tragedi apabila mangsa maut digilis sebuah kereta dalam satu kejadian di Jalan Bagan Serai-Kuala Kurau, di sini, Selasa lalu
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa Abdul Hamid Yusof, 22, dari Kuala Kurau sedang menunggang motosikal di Jalan Bagan Serai-Kuala Kurau sebelum bergesel dengan sebuah motosikal lain dari arah sama.
Menurutnya, mangsa terjatuh ke atas jalan arah bertentangan sebelum digilis sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.
“Mangsa kemudiannya terperosok di bawah kereta terbabit dan kami terpaksa mendapatkan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai untuk mengeluarkan mangsa daripada tersepit di bawah kenderaan terbabit.
“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.
Mat Fauzi berkata, mangsa difahamkan baru sahaja pulang dari beraya bersama rakan-rakan di sekitar kawasan Bagan Serai.
Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal yang bergesel dengan mangsa turut mengalami kecederaan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Parit Buntar.
“Penunggang terbabit yang dikenali sebagai S Amachy, 65, dari Taman Seri Kurau mengalami kecederaan di muka dan tangan setelah turut terjatuh dari motosikal akibat pergeselan dengan motosikal mangsa.
“Manakala seorang lagi pembonceng yang masih belum dikenal pasti identitinya cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Aishah derita mata ditusuk wau




MOHD. SHAHIMIN melihat mata Siti Aishah yang mengalami masalah penglihatan di Tanah Merah Dalam, Jitra baru-baru ini.


JITRA - Biarpun sudah empat tahun berlalu, kejadian mata kanan tertusuk bilah wau masih menjadi igauan buruk buat Siti Aishah Shahimin, 11, apabila dia kini menghadapi masalah penglihatan sehingga menjejaskan pembelajarannya.
Siti Aishah yang mengikuti program pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin di sini masih tidak dapat membaca dengan lancar selain sukar mengingati apa yang diajar.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila kecederaan mata itu turut mengakibatkan gangguan pada sistem saraf dan menyebabkannya kerap diserang sawan pada tahun lalu. Bagaimanapun ia pulih selepas menerima rawatan hospital.
Bapa Siti Aishah, Mohd. Shahimin Mat Khir, 44, memberitahu, akibat diserang sawan, hampir setiap hari dalam tempoh sebulan pada tahun lalu, anaknya juga menghadapi masalah pertuturan.
"Tragedi pada 10 Mei 2008 itu menyebabkan masa depan anak saya kabur dan hanya satu harapan saya iaitu matanya dapat dipulihkan semula untuk dia teruskan pembelajaran," katanya ketika ditemuiKosmo! di rumahnya di Tanah Merah Dalam di sini semalam.
Kejadian empat tahun lalu itu berlaku ketika Siti Aishah yang baru berusia tujuh tahun bermain di hadapan rumahnya sebelum wau secara tiba-tiba jatuh di hadapan mukanya dengan bilah menusuk mata kanan.
Akibat kejadian, mata anak keempat daripada enam beradik tersebut berdarah kerana korneanya terkoyak.
Katanya, kornea anaknya digantikan dengan kornea baharu berbentuk gel, bagaimanapun penglihatan anaknya tidak kembali seperti asal.

4 perompak bersenjata kempunan




JAUTEH (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada empat perompak pada sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Hajat empat perompak yang sedang menikmati keindahan pantai di waktu pagi tidak kesampaian selepas ditahan di tepi jalan Tanjung Lipat dekat sini baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu diberkas ketika berehat di dalam sebuah kereta sewa jenis Proton Waja pada 17 Ogos lalu hasil maklumat orang awam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikon berkata, mereka dikehendaki selepas terlibat dalam lima rompakan bersenjata di sekitar bandar raya ini pada 13 hingga 15 Ogos lalu.
Menurutnya, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi memburu kumpulan lelaki tersebut yang dipercayai baru ditubuhkan seminggu lalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap kereta tersebut, polis menemui enam telefon bimbit, alat-alat untuk merompak termasuk dua bilah parang dan pisau rambo, sebilah keris dan dua cincin.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM6,000,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Penculik diberkas, mangsa selamat




KERETA Porsche milik mangsa culik yang ditinggalkan di Kampung Portugis, Bandar Hilir, Melaka semalam.


MELAKA - Drama penculikan selama hampir lapan jam membabitkan seorang ahli perniagaan di Kampung Portugis, Bandar Hilir di sini kelmarin, berakhir selepas sepasukan anggota polis berjaya menahan lima lelaki di Ayer Keroh awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kelima-lima suspek berusia 36 hingga 51 tahun itu dipercayai telah melarikan mangsa dengan menaiki sebuah MPV jenis Toyota Alphard berwarna hitam ke Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.
Sebelum diculik, mangsa dipercayai telah meletakkan kereta mewah jenis Porsche miliknya berharga kira-kira RM1 juta di tempat letak kereta berdekatan sebuah medan selera makanan laut di Kampung Portugis, Bandar Hilir untuk minum bersama rakannya.
"Bagaimanapun, belum sempat rakan mangsa datang, kesemua suspek terlebih dahulu datang ke tempat tersebut lalu terus menculik mangsa menaiki sebuah Toyota Alphard.
"Mangsa diculik sejurus selepas turun dari keretanya," kata beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini semalam.
Raja Shahrom memberitahu, sebelum kejadian kesemua suspek dipercayai telah mengekori mangsa dari awal sehingga mangsa meletakkan keretanya.
Beliau berkata, kejadian hanya diketahui selepas rakan mangsa yang tiba di lokasi berkenaan kira-kira 10 minit kemudian diberitahu oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu bahawa mangsa telah dibawa lari.
"Ekoran maklumat itu, rakan mangsa kemudian terus membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir," tambahnya.

Diculik, dibelasah angkara Botak




Kumanan yang cedera ditetak dan dibelasah kumpulan samseng dirawat di Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Angkara seorang pelesit rempit bergelar Botak yang menjadi buruan sekumpulan samseng, seorang remaja diculik, dibelasah dan ditetak kumpulan tersebut dalam kejadian di Bandar Menjalara di Kepong dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, A. Kumanan, 17. yang dalam perjalanan pulang selepas selesai mencuci motosikal tiba-tiba dikejar sebuah kereta Proton Perdana yang dinaiki tiga lelaki sehingga sampai ke rumahnya.
Setibanya di rumahnya, ketiga-tiga lelaki bersenjatakan parang itu meluru masuk ke dalam rumah mangsa dan menyerangnya dengan disaksikan oleh ibu dan nenek mangsa.
Mangsa yang lemah akibat serangan itu, kemudian ditarik memasuki kereta oleh kumpulan lelaki berkenaan sebelum pelajar tersebut terus dipukul.
Lima jam kemudian, mangsa yang patah tangan kiri dan kaki kiri serta beberapa kesan kecederaan di badan ditemui ditinggalkan berhampiran Taman Tasik Titiwangsa di sini.
Mangsa yang ditemui oleh oleh orang awam pada pukul 7.30 malam kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sementara itu, Kumanan berkata, dia benar-benar tidak tahu kenapa dia menjadi mangsa culik dan dibelasah sehingga cedera oleh tiga lelaki terbabit sedangkan kumpulan tersebut sebenarnya mencari seorang pelesit rempit bernama Botak.
“Dalam kejadian tersebut saya sudah dijadi umpan bagi menjerat Botak tetapi Botak sebenarnya bukan kawan rapat saya,” dakwanya ketika ditemui di HKL semalam.
Selepas menjadi mangsa culik, cerita Kumanan lagi, kumpulan lelaki berkenaan menghubungi keluarganya dan mengugut akan mencederakannya jika rakan mangsa yang bernama Botak tidak datang berjumpa mereka.

Awas geng langgar, samun kereta




PEMANDU kereta dinasihat tidak berhenti jika kenderaan mereka dilanggar dari belakang kerana dikhuatiri ia dilakukan oleh kumpulan penjenayah. - Gambar hiasan


KAJANG - Hati-hati jika kenderaan anda dilanggar dari belakang ketika memandu seorang diri melalui beberapa laluan utama di daerah ini ekoran sudah terdapat 10 kes kenderaan disamun pada tahun ini selepas perlanggaran itu.
Berdasarkan aduan, lokasi sasaran kenderaan banyak dilarikan penjenayah selepas dirempuh dari belakang ialah semua persimpangan menuju ke Lebuh Raya Silk, susur ke Lebuh Raya Utara-Selatan, jalan menuju ke Besraya dan semua susur masuk ke Lebuh Raya Grand Saga.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab (gambar kecil) berkata, kumpulan penyamun yang terdiri daripada dua hingga empat suspek tersebut dikesan aktif di daerah ini sejak setahun lalu dan memilih lokasi-lokasi tersebut sebagai lokasi menyamun kerana kawasan tersebut sunyi dan kenderaan yang disamun pula mudah dilarikan.
"Kumpulan penjenayah ini akan melakukan kegiatan tersebut mengikut peluang seperti jika ada kenderaan yang melalui kawasan tersebut memandu seorang diri tanpa mengira jantina, penjenayah terbabit akan bertindak," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, semasa melakukan jenayah itu, suspek membawa parang untuk mengugut mangsa supaya menyerahkan barang berharga mereka dan keluar dari kenderaan selepas diarahkan.
"Modus operandi penjenayah ini senang iaitu suspek-suspek menaiki sebuah kereta dan melanggar kereta sasaran mereka dari arah belakang.
"Sebaik mangsa berhenti dan turun untuk melihat kes perlanggaran tersebut, kumpulan suspek terbabit terus menyamun mangsa dan melarikan kenderaan tersebut," kata beliau.
Kata beliau, terdapat beberapa kes mangsa dicederakan oleh suspek yang cuba melawan.
Polis telah menahan beberapa suspek yang disyaki terbabit dengan kegiatan itu tetapi saki-baki ahli kumpulan yang masih bebas meneruskan aktiviti jenayah berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemandu kereta yang memandu seorang diri supaya tidak memberhentikan kenderaan sekiranya kereta mereka dilanggar dari belakang.
"Mangsa sepatutnya memandu terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan mengenai kejadian itu," nasihat beliau.

Keluarga Pak Tam rayu bantuan



OMAR dan isterinya membaca kad Selamat Hari Raya daripada Pak Tam ketika ditemui di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, Pontian semalam.


PONTIAN - Keluarga kepada Sheikh Faeizan Omar, 23, (gambar kecil) atau Pak Tam yang kini ditahan di penjara Taiwan kerana disyaki membawa dadah, merayu badan-badan bukan kerajaan membantu membebaskan anak mereka itu.
Ibunya, Hadiah Gondet, 53, berkata, dalam surat yang dikirimkan dua minggu sebelum Ramadan, Pak Tam memberitahu, rayuan yang dibuatnya di Mahkamah Taiwan sebanyak tiga kali telah ditolak.
"Dia juga mengulangi permintaan supaya membantu membebaskannya," katanya ketika ditemui di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas di sini semalam.
Kisah Pak Tam pernah menggemparkan negara apabila dia ditahan oleh pihak berkuasa Taiwan di Taipei pada 24 Mac 2008 selepas menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi menghantar barangan kristal ke Taiwan.
Remaja itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana didapati membawa keluar heroin seberat 2.1 gram di dalam begnya.
Mengulas mengenai perkembangan Pak Tam sekarang, Hadiah memberitahu, pada Ramadan lalu, dia hanya berpeluang bercakap selama enam minit bersama anaknya melalui telefon.
"Dia asyik bertanya tentang kami berbanding cerita tentang keadaan dirinya di sana.
"Saya tidak tahu bagaimana keadaan dia tetapi yang pasti, percakapannya lebih kepada telo Cina," ujarnya sebak.

Bahana tegur adik ipar



INILAH rumah di Kampung Serkam Pantai, Merlimau tempat Rashid ditikam adik iparnya kelmarin.


MELAKA – Niat murni seorang lelaki yang menegur adik iparnya yang didakwa kerap memukul isteri berakhir dengan mangsa mati ditikam oleh pemuda itu di sebuah rumah di Kampung Serkam Pantai di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam, mangsa, Rashid Ahmad, 46, meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 1.40 pagi semalam selepas mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang kiri akibat ditikam adik iparnya yang berusia 41 tahun.
Amat menyedihkan apabila tragedi berdarah tersebut berlaku di rumah ibu Rashid pada hari raya keempat ketika suspek, mangsa bersama sanak saudara berkumpul di rumah tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan polis mendapati sebelum kejadian mangsa yang bekerja sebagai jurukimpal di Muar, Johor dikatakan menegur sikap adik iparnya itu ekoran suspek didakwa kerap memukul isterinya yang merupakan adik perempuan mangsa.
“Teguran mangsa menyebabkan suspek marah lalu berlaku pergaduhan dan pergelutan.
“Semasa pergelutan suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam mangsa,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Melaka di sini.
Menurut beliau, selepas ditikam mangsa yang masih bernyawa dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan tetapi dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.40 pagi.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kata beliau, polis belum menahan suspek kerana lelaki itu menghilangkan diri dengan memandu sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam selepas kejadian tersebut.
Sementara itu, isteri Rashid, Siti Hawa Ibrahim, 44, berkata, dia tidak sangka teguran suaminya terhadap adik iparnya boleh mencetuskan pergaduhan sehingga meragut nyawanya.
“Ketika kejadian saya dan sanak saudara berada di dalam rumah manakala suami dan adik ipar berada di luar rumah selepas suami selesai menunaikan solat Maghrib.
“Saya hanya mengetahui suami saya ditikam selepas terdengar jeritan kuat ‘sakit’, ‘sakit’,” ceritanya ketika ditemui di Kampung Serkam Pantai di sini.
Siti Hawa memberitahu, dia yang keluar melihat apa yang berlaku nampak adik iparnya memegang sebilah pisau manakala suaminya terbaring berlumuran darah.
Kata wanita itu lagi, suspek kemudian menghantar suaminya ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan sebelum menghilangkan diri sebaik menurunkan mangsa di Wad Kecemasan Hospital Melaka.
Jenazah Rashid yang merupakan bapa kepada tiga orang anak berusia antara sembilan hingga 14 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri Muar, Johor semalam.