Search This Blog

Wednesday, August 22, 2012

'Tolong mak, aku nak pulang...'


'Tolong mak, aku nak pulang...'
Gambar Ida bersama anaknya yang dikirim kepada Mariam.
PASIR GUDANG – “Saya selalu berdoa dan yakin ‘esok’ ada hari kami boleh berkumpul bersama semula seperti hari raya tiga tahun lepas,” demikian luah seorang ibu, Mariam Sarian, 47, yang mendakwa anak perempuannya dihantar Imigresen ke Indonesia.

Mariam berkata, hanya tangisan yang tertumpah setiap kali anaknya, Faizada Aldam, 23, menghubungi sambil meratap meminta dia dibawa pulang untuk berhari raya bersama keluarga.

Menurutnya, hatinya bertambah sayu apabila Faizada yang mesra dipanggil Ida menceritakan kesusahan hidup bersama anaknya di Lombok, Indonesia.

“Bulan puasa banyak kali Ida hubungi saya sambil menangis nak balik beraya bersama kami, tapi saya cakap, mak tak mampu buat apa-apa selain turun naik berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak kerana kita tak ada kuasa.

“Hati saya sayu setiap kali membaca sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar berbunyi: Aku hidup di sini sengsara dan selalu menangis.. hidup aku macam neraka.. tolong aku mak, aku dah tak boleh hidup di sini.. aku nak pulang..,” katanya kepada Sinar Harian.

Mariam berkata, sudah dua tahun juga dia menyediakan rendang dan ketupat untuk mengubat rindu kepada Ida kerana masakan itu adalah kegemaran anaknya setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Biasanya dia yang paling sibuk menolong saya memasak di dapur pada malam raya, tapi sudah dua kali Aidilfitri, kegembiraan kami semakin beransur hilang,” katanya.

Katanya, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga ada memintanya ke Indonesia mengambil cap jari Ida untuk menguruskan MyKad anaknya itu.

Bagaimanapun katanya, untuk ke Indonesia memerlukan kos yang tinggi sedangkan beribu-ribu wangnya habis digunakan untuk berulang-alik ke Sabah sebelum ini bagi menguruskan MyKad anaknya.

“Saya tak mampu nak ke sana walaupun Ida ada memberikan saya alamat. Saya mohon pihak berkuasa yang menghantar anak saya ke sana yang bertanggungjawab membawanya pulang ke sini.

“Saya bukan sahaja ada bukti sijil lahir asli Ida, tapi hasil semakan juga menunjukkan nombor MyKad Ida sudah ada, cuma menunggu cap jarinya sahaja,” katanya.

Sinar Harian April lepas menyiarkan hasrat seorang ibu merayu anaknya dibawa pulang selepas didakwa dihantar Imigresen ke Indonesia setelah salinan sijil lahir yang ditunjukkan dikatakan palsu.

Menurut Mariam, pertemuannya dengan bekas pekerjanya yang juga warga Indonesia di stesen bas Masai awal tahun ini membongkar misteri kehilangan Ida.

Menurutnya, lelaki yang dikenali sebagai Roslan itu ada menemui Ida di Tanjung Pinang, Indonesia, dan diminta menyerahkan nombor telefonnya jika bertemu ibunya.

Melalui perbualan telefon katanya, Ida mendakwa dia ditahan Imigresen dan dihantar ke Indonesia kerana salinan sijil kelahiran yang dimiliki dikatakan palsu.

“Ketika menumpang di Masjid Tanjung Pinang, seorang wanita warga emas telah membawanya pulang ke Lombok dan mengahwinkan Ida dengan anak lelakinya,” katanya.

Mariam berkata, sembilan anaknya yang berumur 11 sehingga 25 tahun memiliki sijil kelahiran dan MyKad, tetapi hanya Ida berdepan masalah walaupun sudah tujuh kali berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.

Rumah terbakar: Pasangan warga emas hilang segalanya


Rumah terbakar: Pasangan warga emas hilang segalanya
Pegawai dan anggota bomba sedang lakukan siasatan.
PARIT - Di saat umat Islam sibuk membuat persiapan sempena menyambut Aidilfitri, kesedihan terpaksa dilalui sepasang suami isteri, di sini.

Maimun Husin, 73, dan isterinya, Hamidah Uda, 76, terpaksa menerima hakikat persiapan raya yang dibuat musnah sekelip mata apabila kediaman mereka di Kampung Layang-layang Kanan hangus dalam satu kebakaran, awal pagi, semalam.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 2.45 pagi itu, hanya disedari pasangan warga emas berkenaan ketika mereka mahu bersahur.

Maimun berkata, ketika kejadian, isterinya ternampak api berhampiran bilik air rumah mereka sebelum menjerit meminta bantuan.

“Pada masa itu kami bangun untuk memasak bagi menyediakan makanan sahur, tetapi isteri saya berasa hairan melihat api yang tiba-tiba keluar berhampiran bilik air.

“Dia bertanya kenapa ada api dan sepantas kilat juga api berkenaan merebak ke bahagian lain,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian.

Menurut Maimun, api merebak terlalu pantas dan membakar semuanya tidak sampai tempoh 10 minit. Dalam keadaan itu mereka hanya sempat lari menyelamatkan diri.

“Baju, kuih dan duit raya semuanya hangus, saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang melainkan dokumen penting iaitu Mykad dan geran tanah sahaja berjaya dibawa keluar.

“Kami berdua hanya mahu menyelamatkan diri sahaja dan memang tidak memikirkan perkara lain pada masa itu,” ceritanya mengenangkan detik cemas ketika kejadian berlaku.

Meskipun sedih dengan kejadian itu, Maimun berkata, dia tetap bersyukur kerana mereka berdua selamat.

Sinar Harian dimaklumkan, buat sementara waktu ini, Maimun dan isterinya menumpang di kediaman adik mereka yang terletak bersebelahan kediaman mereka sementara menunggu kepulangan anak-anak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.53 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 3.06 pagi.

“Semasa tiba di tempat kejadian rumah berkenaan telah seratus peratus terbakar.
“Kami mengambil masa 14 minit untuk mengawal kebakaran dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.59 pagi,” katanya.

Menurut Amir, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Misteri: Dibakar atau terbakar

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri menerima 36 kes kebakaran membabitkan kenderaan yang berlaku secara ‘mengejut’ di sekitar negeri ini.

Kebakaran kereta yang berlaku secara ‘misteri’ itu dikatakan terjadi hampir setiap hari terutamanya sejak awal Ramadan lalu.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Yahaya Madis berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat memastikan sama ada kebakaran itu berpunca dari perbuatan khianat, masalah teknikal atau faktor lain.

“Tahun ini banyak kes direkodkan membabitkan kebakaran kenderaan sepanjang Ramadan ini berbanding tahun sebelumnya dan antara kenderaan yang terbabit termasuklah motosikal, kereta dan lori.

“Justeru, masih mengkaji kenapa banyak kejadian kebakaran kenderaan berlaku ketika bulan puasa.

“Orang awam boleh mendapatkan alat pemadam kebakaran bagi langkah persediaan malah, alat itu juga boleh membantu jika terserempak dengan kebakaran membabitkan pemandu lain di sepanjang perjalanan,” katanya.

Terdahulu, Yahaya menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Gred KB26 dan Penyerahan Kuih Raya di Balai Bomba dan Penyelamat Negeri di sini.

Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, hampir 80 peratus anggota membabitkan 1,200 anggota jabatan itu akan bertugas sepanjang kempen keselamatan jalan raya menjelang Aidilfitri ini.

Menurutnya,  pihaknya menumpukan beberapa laluan penting di seluruh negeri selain menempatkan pos kawalan bomba di empat susur keluar tol iaitu di Tapah, Slim River, Kuala Kangsar dan Kamunting.

Setiap pos kawalan akan disediakan kereta bomba bertangki air, motosikal bomba dan kenderaan penyeamat bagi bersiap sedia memberi bantuan segera kepada mangsa kemalangan.

“Selain itu, kami juga sudah membuat pemeriksaan bangunan di kawasan tumpuan awam termasuk pasar raya dan kemudahan awam lain bagi memastikan ia selamat di kunjungi,” katanya.

5 mayat Pati ditemui


Lima mayat Pati ditemui
Anggota keselamatan mengangkat salah satu mayat yang ditemui .
JOHOR BAHRU - Lima mayat pendatang asing tanpa izin (Pati) bot pancung yang karam berdekatan sempadan perairan Tanjung Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi dan Singapura dalam kejadian 16 Ogos lalu, ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pihaknya menemui kesemua mayat terbabit pada 17, 18 dan 19 Ogos lalu di lokasi terbabit menerusi operasi cari dan menyelamat yang diadakan.
Menurutnya, seorang tekong dan seorang Pati yang ditemui masih hidup selepas berjaya diselamatkan dalam kejadian 16 Ogos lalu, kini dalam tahanan polis bagi membantu siasatan serta pengecaman kesemua mayat terbabit.
“Kita percaya bot pancung ini cuba menyeludup keluar enam Pati dari Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang untuk ke Batam, Indonesia. Bagaimanapun, bot ini terbalik dan karam dipukul ombak besar berdekatan perairan Tanjung Pengelih bersempadan dengan Singapura.
“Lima daripada enam Pati ditemui mati. Seorang Pati dan tekong ditemui masih hidup selepas didapati sempat berpaut pada tong-tong kecil dan boya sebelum diselamatkan.
“Oleh itu, hasil daripada operasi cari dan menyelamat melibatkan 96 anggota dan pegawai dari Maritim, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) dan Singapore Police Coast Guard (SPCG). Kesemua Pati berjumlah enam orang bersama seorang tekong ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Adon berkata, kesemua Pati yang ditemui tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Mayat Pati yang ditemui diserahkan polis seterusnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan susulan.
“Operasi cari dan menyelamat oleh Maritim menerusi Maritim Rescue Sub Centre Johor Bahru bersama pihak berkuasa lain yang bermula dari jam 8.25 malam pada 16 Ogos lalu dihentikan pada jam 6.37 petang, 19 Ogos lalu, sebaik sahaja kesemua mangsa ditemui,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, pada 16 Ogos lalu, sebuah bot pancung membawa enam Pati cuba untuk dibawa keluar secara haram dari kampung Pasir Putih, Pasir Gudang ke Batam, Indonesia.
Akibat daripada dipukul ombak, bot pancung terbabit terbalik dan karam

Hampir 200 rumah ditenggelami banjir

KAPAR- Hampir 200 keluarga di Kampung Sungai Pinang Bandar di sini terpaksa menyambut Aidilfitri dalam suasana muram selepas rumah mereka ditenggelami air lebih setengah meter dalam kejadian banjir semalam.
   
Penduduk kampung itu terpaksa membersihkan sisa kotoran dan bergotong-royong mencuci peralatan rumah yang rosak teruk akibat banjir selepas hujan lebat berlarutan kira-kira tiga jam dari 3 petang semalam.
   
Ramai juga penghuni yang beraya di kampung halaman tidak dapat dihubungi untuk dimaklumkan mengenai kejadian itu.
   
Seorang penduduk kampung itu, Kartini@Hawa Kamarudin, 59, berkata hujan lebat tanpa henti menyebabkan air naik dengan cepat dan pihaknya tidak sempat mengalihkan peralatan dan kelengkapan rumah ke tempat lebih tinggi.
   
"Peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh rosak, begitu juga dengan almari, permaidani dan kelengkapan rumah.

Sementara itu, Abd Rahman Mustapa, 55, berkata beliau dimaklumkan jirannya mengenai banjir itu ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
   
"Saya dapat panggilan telefon kira-kira 4.30 petang dan apabila sampai di rumah setengah jam selepas itu, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana air sudah memasuki rumah menyebabkan banyak perabot rosak," katanya.
   
Bagi Adnan Rahmat, 42, berkata walaupun terpaksa membersihkan rumah selepas dilanda banjir, beliau bersyukur kerana sempat menyelamatkan peralatan elektrik di rumahnya kerana ketika kejadian dia berada di rumah.
   
Sementara itu, anggota Majlis Perbandaran Klang, Lee Sack Chuan ketika dihubungi berkata beliau telah mengambil laporan berhubung keadaan banjir itu dan akan memaklumkan perkara itu kepada pejabat daerah terlibat agar sumbangan dapat diberikan. -Bernama

Hampir 200 rumah ditenggelami banjir

KAPAR- Hampir 200 keluarga di Kampung Sungai Pinang Bandar di sini terpaksa menyambut Aidilfitri dalam suasana muram selepas rumah mereka ditenggelami air lebih setengah meter dalam kejadian banjir semalam.
   
Penduduk kampung itu terpaksa membersihkan sisa kotoran dan bergotong-royong mencuci peralatan rumah yang rosak teruk akibat banjir selepas hujan lebat berlarutan kira-kira tiga jam dari 3 petang semalam.
   
Ramai juga penghuni yang beraya di kampung halaman tidak dapat dihubungi untuk dimaklumkan mengenai kejadian itu.
   
Seorang penduduk kampung itu, Kartini@Hawa Kamarudin, 59, berkata hujan lebat tanpa henti menyebabkan air naik dengan cepat dan pihaknya tidak sempat mengalihkan peralatan dan kelengkapan rumah ke tempat lebih tinggi.
   
"Peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh rosak, begitu juga dengan almari, permaidani dan kelengkapan rumah.

Sementara itu, Abd Rahman Mustapa, 55, berkata beliau dimaklumkan jirannya mengenai banjir itu ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
   
"Saya dapat panggilan telefon kira-kira 4.30 petang dan apabila sampai di rumah setengah jam selepas itu, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana air sudah memasuki rumah menyebabkan banyak perabot rosak," katanya.
   
Bagi Adnan Rahmat, 42, berkata walaupun terpaksa membersihkan rumah selepas dilanda banjir, beliau bersyukur kerana sempat menyelamatkan peralatan elektrik di rumahnya kerana ketika kejadian dia berada di rumah.
   
Sementara itu, anggota Majlis Perbandaran Klang, Lee Sack Chuan ketika dihubungi berkata beliau telah mengambil laporan berhubung keadaan banjir itu dan akan memaklumkan perkara itu kepada pejabat daerah terlibat agar sumbangan dapat diberikan. -Bernama

Terlantar selepas kemalangan


Terlantar selepas kemalangan
Mohamad Zin (kanan) melihat keadaan Mohd Arshad sambil ditunjuk ibunya, Azmoon bahagian belakang anaknya yang luka akibat lama terlantar.
IPOH – Kemalangan lebih setahun lalu menjadi mimpi ngeri buat seorang ibu tunggal apabila anaknya kini hanya terlantar dan bergantung penuh kepadanya untuk keperluan harian.
Azmoon Muhidin, 39, berkata, anak keduanya, Mohd Arshad Yusuf yang kini berusia 18 tahun terlibat dengan kemalangan tahun lalu apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan lori.
Menurutnya, ketika kejadian, Mohd Arshad tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun disebabkan hentakan kuat di kepala otaknya terjejas menyebabkan dia separuh sedar.
“Mohd Arshad tidak sempat mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia ) kerana ketika itu dia masih menuntut di tingkatan 5. Selepas kemalangan dia masih boleh bercakap dengan saya tetapi sejak akhir-akhir ini dia tidak bercakap lagi,” katanya.
Beliau berkata, Mohd Arshad hanya bergantung susu yang diberikan setiap empat jam melalui tiub dan masih mendapatkan rawatan susulan di hospital untuk melihat perkembangan kesihatannya.
Katanya, dengan keadaan anaknya yang tidak mampu bergerak, dia terpaksa berhenti kerja di kilang untuk menjaga sepenuhnya keperluan anaknya.
“Buat masa ini, saya menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300. Dengan wang itu, saya membeli barangan keperluan untuk empat anak yang masih bersekolah, sewa rumah selain membeli lampin pakai buang dan susu untuk Mohd Arshad.
“Selepas berhenti kerja tiga bulan lalu, saya buat kuih sikit-sikit untuk dijual. Saya juga berterima kasih kepada Akademi Bomba dan Penyelamat Ipoh kerana prihatin dengan keadaan saya dan anak-anak sambil membawa banyak barangan keperluan harian,” katanya.
Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamad Zin Salleh dan Ketua Kampung Che Zainal Tambahan 1, Osman Mohd Nazis hadir menjenguk keadaan Mohd Arshad.

Padah lumba haram, seorang pelajar maut


Padah lumba haram, seorang pelajar maut
Nik Mohd Razali
PENDANG - Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggung di sini, maut apabila motosikal yang ditunggang mangsa terbabas selepas bergeser dengan dua motosikal rakannya lalu melanggar belakang sebuah kereta Proton Saga, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10.20 malam di Jalan Air Puteh Luar itu, Mangsa, Mohd Rafizal Mahammad, 15, tinggal di Kampung Paya Saga Mukim Air Puteh meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar ketika mendapatkan rawatan bersama dua lagi rakannya yang turut mengalami cedera parah.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Pendang, Asisten Superintendan Nik Mohd Razali Husin berkata, mengikut laporan yang diterima, mangsa dipercayai berlumba bersama 10 motosikal di laluan itu.
“Tiga dari 10 motosikal yang sedang berlumba dari arah Tempoyak itu tiba-tiba bergeser sesama mereka.
" Keadaan itu menyebabkan salah satu motosikal iaitu yang ditunggang mangsa seorang diri terbabas lalu melanggar belakang sebuah kereta Proton Saga dari arah Batu Menunggul yang dipandu Rusdi Osman, 38, juga berasal dari kampung yang sama dengan mangsa.
“Tiga penunggang motosikal yang terbabit dengan kemalangan itu dibawa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah Pendang ke HSB untuk mendapatkan rawatan setelah mengalami cedera parah, " katanya
Bagaimanapun menurutnya, kira-kira jam 12 malam salah seorang mangsa meninggal dunia setelah disahkan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Pemuda nyaris maut kereta terhumban

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandu jenis Mitsubishi Lancer terbabas di sebuah laluan susur bertingkat di Jalan Sungai Besi menghala ke Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi, apabila mangsa Hong Chee How, 21, merempuh pengadang susur bertingkat, sebelum terjatuh ke bawah dengan ketinggian kira-kira enam meter.

Menurut saksi, mangsa terperangkap dalam keretanya selepas kejadian dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai yang bimbang kenderaan itu meletup.

“Beberapa kenderaan lain yang melalui jalan raya bawah jejambat itu, nyaris dihempap kereta mangsa yang terjatuh," katanya.

Hilang enam ahli keluarga


Hilang enam ahli keluarga
Sambutan Aidilfitri keluarga Mansor tiada seri lagi setelah mereka kehilangan enam ahli keluarga serentak dua tahun lalu.
Hilang enam ahli keluarga
Enam sekeluarga dikebumikan dalam satu liang lahad selepas kesemua mereka maut dalam kemalangan jalan raya.
KERATONG - Sepasang suami isteri di Felda Keratong 2, di sini, masih tidak dapat melupakan kesedihan kehilangan dua anak dan empat cucu serentak selepas kesemua mereka terlibat dalam kemalangan dua tahun lalu.

Mansor Hamid, 57, berkata, Aidilfitri sudah tidak bermakna lagi selepas anak sulungnya, Norfaizah Mansor dan anak kesembilan, Mohd Saiful Anuar terbunuh bersama empat lagi cucu kesayangannya.

Menurutnya, meskipun peristiwa berdarah itu sudah dua tahun berlalu, namun pemergian dua anak dan empat cucunya adalah satu kehilangan yang sangat dirasai apatah lagi hanya tinggal esok umat Islam akan menyambut lebaran.

“Biasanya Norfaizah dan anaknya pulang ke kampung untuk bersama kami meraikan Hari Raya. Dia selalunya akan membantu membakar sate dan membuat ketupat di halaman rumah, tapi kemeriahan itu tidak dapat lagi dirasai,” katanya.

Mansor berkata, bagi menghilangkan rasa rindu terhadap arwah anak dan cucunya, dia akan meluangkan masa menziarahi kubur mereka yang dikebumikan dalam satu liang lahad setiap minggu.

“Setiap Jumaat saya akan ke kubur untuk sedekahkan Al-Fatihah atau membaca surah Yasin kerana hanya dengan melawat kubur mereka, saya dapat hilangkan rasa rindu,” katanya.

Isterinya, Arpah Sulong, 56, berkata, setiap kali mengenang arwah anak dan cucunya, dia berasa hiba kerana anak yang di kandungnya pergi dahulu sebelumnya.

“Ingatkan saya yang akan pergi dahulu sebelum mereka, tapi takdir sudah menentukan kerana saya sendiri yang terpaksa melihat anak dan cucu dikasihi pergi menghadap Ilahi dengan keadaan penuh tragis,” katanya.

Arpah berkata, dia masih mengingati saat terakhir melihat arwah anaknya yang lebih banyak berdiam diri berbanding biasa.

“Norfaizah tidak banyak bercakap dengan saya. Terdetik juga di hati mungkin arwah ada terasa hati dengan saya. Tapi mungkin itu petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Sikap arwah pelik

Menurutnya, sikap Mohd Saiful juga pelik kerana biasanya anaknya itu tidak suka berjalan, tetapi pada hari kejadian dia beria-ria mahu menemani Norfaizah pulang ke rumah kakaknya itu di Pekan.

“Peniaga kedai ada memberitahu saya sebelum malam kejadian, Mohd Saiful ada membeli roti dalam kuantiti yang banyak dan apabila ditanya peniaga, Mohd Saiful memberitahu dia mahu makan sepuas-puasnya.

“Tak sangka itu petanda arwah akan pergi bersama kakak dan anak saudaranya buat selama-lamanya,” katanya.

Sinar Harian pada 8 Jun 2010 melaporkan, enam sekeluarga maut apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer 78 Jalan Kuantan–Muadzam Shah.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, Norfaizah Mansor, 35, yang memandu kereta bersama adiknya, Mohd Saiful, 14, dan empat anaknya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Anak-anak Norfaizah yang terbunuh ialah Nur Sahera Atikah Saudi, 13; Nor Safiana Atikah, 10; Nor Suhaila Asirah, 7; dan Md Sahrul Amir, 3.

Raya di rumah tanpa bumbung


Raya di rumah tanpa bumbung
Ghani beraya di rumah tanpa bumbung di Kampung Tasek Cina, Rantau Panjang.
RANTAU PANJANG – Sambutan Aidilfitri tahun ini kurang bermakna buat seorang penarik beca dari Kampung Tasek Cina, di sini, kerana terpaksa meraikan lebaran dalam keadaan rumah yang belum dibaiki setelah ditimpa bencana 3 Ogos lalu.

Ghani Awang Kechik, 68, bagaimanapun pasrah dengan ujian itu seterusnya beraya di rumah hanya berbumbung langit setelah dihempap pokok kebatu dan buluh dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu.

Baginya ,itu satu ujian dari Tuhan untuk dirinya dan harus dilaluinya dengan sabar.

Persiapan hari rayanya juga ala kadar sahaja kerana semangat untuk beraya hilang sebaik rumahnya ditimpa pokok sehingga menyebabkan dia terpaksa bermalam di beranda.

Semua itu agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana dia turut teruja menyediakan segala keperluan menyambut hari raya biarpun tinggal sendirian.

Sungguh pun hampir tiga minggu kejadian itu berlaku, warga emas ini masih terkejut dengan bencana tidak diduganya itu.

Menurutnya, sebelum kejadian ada juga penduduk datang menjenguk bertanya khabar, tetapi keadaan berubah setela ditimpa bencana hampir tiga minggu lalu.

“Sungguh pun begitu, saya bangga dengan menantu tiri yang tetap datang menjenguk dan turut mengerah keringat membersihkan dahan serta kayu dari pokok yang menghempap rumah.

“Dia juga mengajak saya tinggal bersamanya tetapi menolaknya kerana selesa tinggal di rumah sendiri walaupun terpaksa bermalam di beranda yang agak sempit,” katanya.

Ghani berkata, sebelum ini dia pernah terfikir untuk menebang pokok yang terletak bersebelahan rumahnya, bagaimanapun menangguhkannya untuk seketika.

Menurutnya, ada juga pihak  tampil menghulurkan bantuan setelah kisahnya disiarkan Sinar Harian baru-baru ini.

“Wang yang disumbangkan saya akan kumpul untuk membeli zink dan keperluan lain bagi membaik pulih rumah.
“Saya berterima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan,” katanya.

Kejadian rebut kencang diikuti hujan lebat pada petang Jumaat, 3 Ogos lalu menyebabkan warga emas ini terpaksa tidur di beranda bersaiz 1.5 x 1 meter kerana keseluruhan bumbung rosak dalam kejadian itu.

Reda dugaan hilang rumah


Reda dugaan hilang rumah
Soama (dua kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika melihat rumah yang dibina 40 tahun lalu musnah dijilat api.
Reda dugaan hilang rumah
Anggota bomba cuba memadam api dan mengawal kebakaran daripada merebak 8 ogos lalu.
TEMERLOH – Lapan beranak yang kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak musnah dalam kebakaran 8 Ogos lalu kini terpaksa beraya dalam keadaan serba kekurangan.

Mohd Adam Abdul Latif, 34, dan isteri Nor Rashidah Mohd Abdul,33, serta enam anaknya kini terpaksa menumpang di rumah kakak Nor Rashidah di Taman Temerloh Jaya sejak lebih seminggu lalu.

Mohd Adam berkata, persiapan menyambut hari raya juga terpaksa bergantung kepada simpati rakan-rakan dan penduduk kampung yang menghulurkan bantuan pakaian kepada anak-anaknya.

“Mujur majikan saya, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memahami keadaan saya sekarang dan mereka banyak membantu dari pelbagai sudut,” katanya semalam.

Mohd Adam berkata, sehingga kini bantuan yang diterima hanya cukup untuk digunakan bagi kerja-kerja membaiki pulih kerosakan akibat bencana itu.

“Bantuan daripada kerajaan perlu mengikut prosedur tertentu dan sudah tentu mengambil sedikit masa, tetapi akan dapat juga nanti.

“Bantuan yang banyak diterima setakat ini adalah dalam kalangan orang perseorangan yang menyumbang hasil kutipan derma dan sumbangan peribadi,” katanya.

Mohd Adam berkata, dia juga bersyukur kerana pihak MPT memberi kemudahan jentera berat untuk digunakan bagi kerja menyodok dan membersihkan tapak rumah lamanya.

Menurutnya, ibunya Soama Mat Akil 72, yang juga tinggal bersamanya sebelum ini kini terpaksa tinggal bersama kakaknya di kampung yang sama buat sementara waktu.

Mohd Adam berkata, kejadian yang berlaku 8 Ogos lalu begitu kuat menguji kehidupan keluarganya dan menganggapnya dugaan paling berat untuk dia sekeluarga.

Ini kerana katanya, persiapan menyambut hari raya anak-anaknya seminggu sebelum kejadian musnah sekelip mata.

“Saya sudah siap belikan mereka baju sepasang seorang, memang niat saya untuk beli awal supaya tidak terlalu sibuk di hujung Ramadan,” katanya.

Kejadian 8 Ogos lalu berlaku ketika pemilik rumah, Soama Mat Akil 72, bersama empat cucu iaitu anak Mohd Adam dan menantunya Nor Rashidah Mohd Abdul 33, berada dalam rumah.

Ketika kejadian, dua lagi cucu Soama masih belum pulang dari sekolah manakala anaknya Mohd Adam, sedang bertugas MPT.

Soama berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mencabut rumput di halaman rumah dikejutkan dengan teriakan menantunya dari dalam rumah.

“Saya dengar menantu jerit api dalam rumah, dia kemudian mendukung dua anak dalam bilik air dan dua lagi anak kembarnya keluar dari rumah.

“Masa dia cuba masuk semula untuk selamatkan beberapa barang, api sudah mula marak bermula di bahagian tengah rumah,” katanya,

Sementara itu menantu Soama, Hamidin Mat Isa berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi letupan kecil dari arah rumah ibu mentuanya.

“Selang beberapa saat kemudian saya nampak asap, saya masuk ke dalam rumah ambil tiga baldi air siram tetapi api semakin marak, saya cari emak dan kemudian keluar menyelamatkan diri.

“Ketika melarikan diri dari api yang marak, saya lihat anak saudara dan kaum keluarga yang lain dah berkumpul di halaman rumah,” katanya.

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga Saoma dan Mohd Adam boleh terus menyalurkan bantuan kewangan melalui akaun bank BSN Soama di 06400-29-00012419-2 atau berhubung dengan Mohd Adam di talian 014-8128507.

Air mata Syawal


Air mata Syawal
Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU - Ketika umat Islam lain begitu teruja membuat persiapan menyambut 1 Syawal bersama ahli keluarga, sepasang suami isteri hanya mampu mengalirkan air mata melihat segala persiapan Aidilfitri mereka musnah sama sekali dalam satu kejadian kebakaran rumah di Kampung Banggol Karah, Serada, di sini, petang Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu bukan sahaja kelengkapan hari raya pasangan Abdul Aziz Embong, 52, dan isterinya Noraini Salleh, 54, hangus, tetapi lebih menyedihkan kediaman dua tingkat mereka turut musnah sepenuhnya.

Menceritakan semula kejadian, Abdul Aziz berkata, sebelum itu, dia sedang duduk berehat di ruang tamu rumah sementara menunggu waktu berbuka puasa sebelum ternampak percikan api dari ruang atas rumah.

“Ketika itu, saya, isteri bersama empat anak dan seorang menantu yang baru pulang semata-mata ingin menyambut Aidilfitri, berada di rumah.

“Kami tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk persiapan hari raya serta dokumen-dokumen penting kerana api merebak terlalu cepat,” katanya sebak.

Bagaimanapun, Abdul Aziz bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Kanan Bomba 11, Badrul Hisham Othman berkata, sebanyak dua jentera dengan kekuatan 14 anggota berjaya mengawal keadaan dalam tempoh 10 minit walaupun sebelum itu terpaksa berdepan masalah kesesakan lalu lintas melampau.

Katanya, punca kejadian dipercayai akibat masalah lintas pintas dan kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000.
Jalan sesak akibat kemalangan

SEMENTARA ITU, seorang maut manakala dua cedera parah dalam satu kemalangan melibatkan pertembungan tiga buah kereta di KM17 Jalan Terengganu/ Kelantan di Tepoh, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Naza Citra, sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback serta sebuah kereta Perdana.

“Mangsa yang berasal dari Bukit Payung, Marang yang merupakan pemandu kereta Naza Citra maut di lokasi kejadian kerana dipercayai luka parah di kepala, manakala empat lagi ahli keluarganya hanya mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), disini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut Zamri, dua mangsa yang cedera parah berasal dari Alor Jambu, merupakan penumpang kereta Proton Perdana, manakala dua lagi penumpang lain hanya cedera ringan dan kesemua mereka menerima rawatan di HSNZ.

“Kedua-dua mangsa melibatkan seorang bapa dan seorang anak dan kini kedua-dua beranak itu sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSNZ.

“Bagaimanapun penumpang Proton Wira Aeroback tidak cedera,” katanya. Punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu menurut Zamri, keadaan lalu lintas agak sesak di lokasi kejadian berpunca daripada sikap kurang prihatin pemandu lain yang memperlahankan kenderaan semata-mata ingin melihat kejadian itu.

“Namun lalu lintas berjaya dikawal selepas ketiga-tiga kenderaan terbabit dialihkan,” katanya.

Anak minta baca Yasin


Anak minta baca Yasin
Sebahagian keluarga mangsa yang menunggu
 untuk menuntut mayat di Hospital Pasir Mas.

RANTAU PANJANG - Seorang kanak-kanak maut setelah dilanggar pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kampung Bukit Lata, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Muhammad Dini Harith Nahiran,6, dikatakan sedang menyeberangi jalan untuk pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, sebuah pacuan empat roda dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang melanggar mangsa.

Berikutan kejadian, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan bahagian belakang sebelah kiri.

“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk dapatkan rawatan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa ditahan untuk siasatan,” katanya.

Haliluddin berkata,, kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa dipercayai  dipandu warga negara Thailand.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa mangsa, Nahiran Mat Amin,35, berkata, mangsa anak kedua daripada tiga beradik yang semuanya lelaki merengek minta dibelikan 'walkman' pada malam kejadian.

Menurutnya, dia memaklumkan kepada mangsa tidak dapat membelikannya lagi ketika itu dan berjanji untuk memenuhi permintaan mangsa pada hari kejadian.

“ Arwah turut berkali-kali meminta saya bacakan surah Yasin untuknya. Saya sempat bacakan Yasin untuk arwah walaupun ketika itu kami dalam perjalanan ke Kota Bharu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu tentang kejadian sehingga dimaklumkan keluarganya kerana ketika itu dia sedang tidur.

“Saya tidak tahu macam mana kejadian boleh berlaku, sebelum kejadian dia (arwah) meminta izin keluar dengan bapa saudaranya untuk ke sungai,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Pasir Mas.

Nahiran berkata, hari-hari terakhirnya arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan agak terkejut dengan kejadian menimpa anaknya lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang meraikan Aidilfitri.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gual Periok.

Sesak dengan warga asing




         
KUALA LUMPUR: Ramai warga asing termasuk warga kota menghabiskan masa lapang di Menara Berkembar Petronas di KLCC, semalam, disebabkan cuti umum sehingga menyebabkan kawasan terbabit sesak.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan pengunjung bersiar di Taman Rekreasi KLCC terdiri warga asing dari Bangladesh dan Indonesia.


Orang ramai yang ditemui menyifatkan kebanjiran pekerja asing di tempat rekreasi seperti itu boleh membawa imej tidak baik sekiranya tidak dikawal dan mereka menyambut baik usaha memelihara ketenteraman kawasan itu.

Kakitangan swasta, Suhaimi Othman, 42, berkata imej KLCC berprestij itu akan tercemar pada pandangan pelancong asing sekiranya mereka melihat pekerja asing melepak, makan, buang sampah dan membuat bising di kawasan berkenaan.


“Oleh itu, pihak pengurusan KLCC dan pihak berkuasa seharusnya memastikan keadaan terkawal dan tidak membiarkan imej KLCC tercemar.


“Ini kerana ada pekerja asing yang datang dari luar ibu kota untuk menghabiskan cuti Aidilfitri mereka kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.



Pelajar kolej, Ismirazili Nordin, 23; pula berkata keadaan pada hari raya ketiga semakin terkawal berbanding hari raya pertama.


“Ini kali pertama saya terpaksa beraya di ibu kota dan melihat sendiri keadaan pekerja asing yang terlalu ramai melepak di kawasan rekreasi.

“Kadang-kadang, perasaan untuk membeli-belah juga boleh hilang melihatkan keadaan pekerja asing yang terlalu ramai dan tidak terkawal,” katanya.

Isteri nafi Scott alami kanser kronik




         
LOS ANGELES: Sejurus selepas media melaporkan Tony Scott mengalami kanser yang serius sehingga mendorong dia membunuh diri kelmarin, ahli keluarganya tampil menafikan dakwaan berkenaan.

Akhbar Los Angeles Times mengesahkan waris Scott memberitahu pejabat koroner bahawa pengarah berusia 68 tahun itu tidak menghidap kanser otak atau sebarang penyakit kronik lain.


Ketua Pejabat Koroner Los Angeles, Craig Harver, berkata ahli keluarga Scott menafikan laporan awam mendakwa pengarah itu menghidap masalah kesihatan. Sebuah laman sesawang hiburan pula melaporkan, isteri Scott, Donna, mengesahkan kesihatannya berada di tahap memuaskan dan dakwaan mengenai kanser itu “palsu sepenuhnya.” Semalam, ABC News melaporkan, Scott membunuh diri dengan melompat dari Jambatan Vincent Thomas bagi mengelak ahli keluarganya terseksa melihat detik kematiannya. Beberapa jam kemudian, ABC News menarik balik laporan berkenaan. Sumber berkata, laporan awal bedah siasat juga tidak mengesan sebarang kewujudan kanser pada mayat Scott, walaupun ujian lanjut masih diperlukan bagi mengesahkan keputusan itu. Sementara itu, abang pengarah terbabit, Ridley Scott, menangguhkan penggambaran filem terbarunya dan segera terbang dari London ke Los Angeles untuk bersama keluarga adiknya. Kematian Scott berlaku beberapa minggu selepas dia dilihat menahan kesakitan ketika meninggalkan restoran di Beverly Hills.

Dia pernah menghidap kanser sebelum ini. - DM

Terbayang kematian, 6 anak...



         
KUALA LUMPUR: “Ketika itu saya hanya terbayang kematian dan wajah enam orang anak selepas ‘diculik’ sebelum dibelasah sekumpulan 10 lelaki pekerja kelab malam gara-gara berlaku kemalangan jalan raya dengan salah seorang daripada mereka ketika saya ke tempat kerja pada 25 Mei lalu,” kata mangsa yang ingin dikenali sebagai Zam, 38, yang terpaksa menerima 25 jahitan di telinga akibat kejadian itu.

Dia yang bekerja sebagai pemandu teksi, sehingga kini masih trauma dengan kejadian itu, tambahan pula sebahagian mereka yang membelasahnya masih bebas.


Menceritakan semula kejadian itu, Zam berkata, pada hari kejadian, dia sedang memandu teksi untuk ke tempat kerja apabila terlanggar sebuah motosikal ditunggangi pekerja sebuah kelab malam di Jalan Ampang, kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, ketika itu, dia cuba membantu lelaki terbabit dan mahu menghantarnya ke hospital, namun ditolak, malah dia yang ketakutan selepas ramai rakan lelaki terbabit datang.


“Saya kemudian menghubungi rakan untuk meminta bantuan menyelesaikan masalah itu dan berjumpa dengannya di pusat snuker berdekatan.


“Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, saya terkejut apabila didatangi lebih 10 lelaki dipercayai rakan lelaki yang saya langgar itu yang kemudian memarahi dan memukul saya dengan kerusi dan kayu snuker,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan lemah selepas dibelasah, dia ditarik masuk ke dalam kereta sebelum dibawa ke hadapan sebuah kelab malam yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian sebelum sekali lagi dibelasah mereka.


“Dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah, saya merayu supaya dilepaskan, namun tidak diendahkan sebaliknya mereka terus memukul saya dengan kayu dan kerusi besi.

“Puas saya meminta mereka melepaskan saya, malah memberitahu saya mempunyai enam orang anak yang perlu ditanggung selepas saya mula terfikir akan mati, namun tidak dihiraukan mereka sebaliknya terus dibelasah hampir 10 minit,” katanya.


Menurutnya, sebaik selesai memukulnya, datang pekerja lain yang kemudian menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan akibat kejadian itu dia cedera di kepala, badan serta menerima 25 jahitan di telinga.


“Bimbang kejadian sama berulang, saya membuat laporan di Balai Polis Jalan Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya malah dua orang yang memukul saya juga sudah ditahan sejak kejadian itu.


“Bagaimanapun, rakan mereka masih bebas menyebabkan saya kini trauma dan bimbang kejadian sama akan berulang,” katanya.

Pinjam bank untuk judi



         
SHAH ALAM: “Saya hanya fikir nak bunuh diri saja,” kata Hashim, 48, (bukan nama sebenar) yang kini mengalami tekanan hidup selepas berhutang hampir RM160,000 termasuk dengan along selepas ketagih bermain judi dengan mesin slot sejak dua tahun lalu.

Hashim ketika ditemui berkata, dia mula ketagih dengan aktiviti itu selepas mengikut beberapa rakannya sebelum mula menghabiskan masa di pusat perjudian haram di sekitar Kuala Lumpur, Damansara, Cheras dan Kuala Selangor.
Malah, bapa kepada seorang anak ini pernah menghabiskan RM8,000 sehari dengan bermain mesin slot.

“Judi ini memang ‘berhantu’. Kita akan terus main selagi tak menang. Bila kalah nak menang, bila menang pula, nak menang lagi banyak,” katanya.

Dua lelaki parah tembung dua kereta




         
PERMAISURI: Dua lelaki cedera parah apabila Perodua Kancil yang mereka naiki bertembung dengan dua kereta lain selepas terbabas memasuki laluan bertentangan di Kilometer 39, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Ladang Fikri, Desa Jaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, kereta dipandu Mohamad Shakirin Safiin, 22, bersama rakannya, Nor Azahar Mat Kila, 22, dari arah Telemong, Hulu Terengganu untuk pulang ke rumahnya di Jertih, Besut dipercayai terbabas selepas melalui selekoh berbukit ketika hujan.


Mohamad Shakirin yang gagal mengawal kenderaan kemudian memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Hyundai Matrix sebelum terputus dua dan bahagian belakang kenderaan itu melanggar pula sebuah Proton Satria yang datang dari arah Kota Bharu menuju Kuala Terengganu.

Akibat kemalangan itu, Mohamad Shakirin cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk patah tangan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut manakala Nor Azahar pula dalam keadaan kritikal dan masih tidak sedarkan diri.

myMetro | Maut rempuh kereta


Maut rempuh kereta

         
JELI: Seorang penyelenggara lif yang dalam perjalanan melawat neneknya di Parit Buntar, Perak, terbunuh selepas motosikal Yamaha LC ditungganginya berlanggar dengan sebuah Perodua Viva di Kilometer 98.2, Jalan Kota Bharu-Machang-Grik berhadapan sebuah stesen minyak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Saiful Izuan Mokhtar, 26, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan pada jam 8.26 malam hari kejadian di Hospital Jeli ketika baru dimasukkan ke dalam ambulans untuk dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.


Jenazah mangsa dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya pada jam 11 malam kelmarin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Gading, Bukit Abal, Pasir Puteh.

Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat di Kuala Lumpur pulang beraya di rumah keluarganya di Kampung Permatang Gading sebelum bertolak ke Parit Buntar, Perak bersama abangnya menaiki dua motosikal untuk melawat neneknya, Sabariah Dahaman, 72, kelmarin.


Ketika dalam perjalanan, motosikal mangsa berlanggar dengan kereta berkenaan dari Batu Melintang menuu Jeli yang mahu membelok ke sebuah stesen minyak.

Tragedi pulang beraya



         
GUA MUSANG: Kegembiraan seorang remaja lelaki berusia 21 tahun yang baru pulang beraya bersama tujuh rakan berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal Honda EX5 ditungganginya dirempuh sebuah kereta menyebabkan mangsa tercampak lebih 10 meter ke tebing konkrit sungai dalam kejadian di Kilometer 40, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Mohd Hafiz Che Ngah, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 2.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru selesai beraya di rumah rakan dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Chiku 2, dekat sini sebelum dirempuh sebuah kereta yang dari arah Kuala Krai menuju Gua Musang yang dipercayai terbabas.


Kereta berkenaan rosak teruk, namun enam sekeluarga yang menaiki kereta itu tidak cedera.


Akibat kemalangan itu, Jalan Gua Musang-Kuala Krai sesak teruk sebelum keadaan trafik pulih semula tiga jam kemudian.

Bapa mangsa, Che Ngah Dollah, 61, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan tiga lagi anak menziarahi keluarganya di Kampung Sungai Petani, Thailand.


Menurutnya, hanya arwah berseorangan di rumah dan menjaga rumah daripada dipecah masuk pencuri berikutan kejadian itu sering berlaku kebelakangan ini.

“Saya berkunjung ke rumah mentua di Thailand pada petang 1 Syawal dan sempat beraya bersama arwah. Dia secara sukarela sanggup tinggal di rumah seorang diri menjaga rumah. “Tak sangka pula arwah keluar menunggang motosikal bersama rakan-rakan hingga maut akibat kemalangan,” katanya.


Katanya, dia dimaklumkan kejadian itu pada jam 7.30 malam kelmarin selepas menerima panggilan telefon daripada sepupunya, seorang guru sebuah sekolah di tanah rancangan berkenaan.


“Selepas menerima berita menyedihkan itu, saya bersama isteri dan anak bergegas pulang ke Gua Musang dan terus ke HGM menguruskan jenazah arwah.


“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Nyaris maut ditembak



         
IPOH: Seorang anggota polis nyaris maut apabila ditembak dari jarak dekat oleh sekumpulan penjenayah yang cuba merompak seorang ahli perniagaan di kawasan industri IGB, Kampung Tawas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, satu das tembakan dilepaskan terhadap anggota terbabit, tetapi tersasar sebelum tiga penjenayah lelaki termasuk seorang wanita melarikan diri menaiki Proton Waja.


Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis itu cuba membantu mangsa wanita berusia 39 tahun yang dirompak kumpulan penjenayah.

Menurutnya, kejadian berlaku sejurus ahli perniagaan itu selesai mengutip wang sewa lori dari pemiutang di kawasan industri itu.


“Mangsa yang berada berhampiran sebuah restoran kemudian diserbu tiga lelaki bertopeng sebelum memaksa mangsa menyerahkan wang RM5,000 dimiliki.


“Mangsa yang ketakutan kemudian menyerahkan wang itu kepada suspek yang dipercayai mengekori gerak geri mangsa,” katanya. Ahmad Termizi berkata, semua suspek yang dipercayai berusia lingkungan 20-an melarikan diri menaiki sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Ahli perniagaan itu menjadi sasaran penjenayah selepas mangsa mengutip duit sewaan lori di kawasan pada masa sama setiap hari.


“Seorang anggota polis yang kebetulan berada di restoran itu dikatakan cuba menangkap seorang penjenayah.

“Bagaimanapun, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan bagi menghalang anggota polis terbabit,” katanya.


Menurutnya, kumpulan penjenayah itu turut dianggotai seorang wanita berada dalam kereta berkenaan.


“Polis sedang memburu semua suspek berdasarkan fizikal dan keterangan mangsa. Polis percaya suspek terbabit dalam pelbagai kes samun sekitar bandar raya ini.


“Kes rompakan itu disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.


Justeru, katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian hotline 05-2542222.

Awang Hitam baling ‘bom’




         
KUALA LUMPUR: “Ketika itu, saya dan lima rakan hendak melintas jalan sebelum seorang lelaki warga Afrika tiba-tiba membaling beg plastik hitam mengandungi molotov koktel ke arah kami,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Shirlie.

Wanita berusia 27 tahun itu cedera kedua-dua kakinya selepas molotov koktel dilempar lelaki itu meletup di hadapannya di Jalan Tun Razak, di sini, jam 5 petang kelmarin.


Shirlie berkata, ketika kejadian dia bersama lima rakannya ingin ke restoran bertentangan dengan Menara Icon di selepas menghadiri satu persembahan hiburan.

Menurutnya, ketika itu mereka nampak seorang lelaki Afrika memegang bungkusan makanan di tangannya yang berjalan di belakang mereka dan pakaian suspek yang kemas membuatkan mereka tidak mengesyaki apa-apa.


“Ketika melintas jalan, tiba-tiba lelaki itu berlari ke arah kami dari arah belakang dan membaling bungkusan berkenaan sebelum ia meletup di depan saya.


“Kemudian, lelaki itu yang juga cedera pada kaki melarikan diri ke dalam hotel berdekatan,” katanya.

Menurutnya, akibat jalan itu sunyi tiada sesiapa menyaksikan kejadian berkenaan dan mereka juga tidak mampu mengejar suspek.


Katanya, akibat kejadian itu, dia cedera di kedua-dua kakinya manakala dua lagi rakannya terkena kaca di lengan kanan mereka.

“Saya yang tidak mampu berjalan terpaksa dipapah rakan menaiki teksi sebelum kami mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


“Selepas itu saya membuat laporan di Pondok Polis HKL untuk tindakan lanjut,” katanya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan menerima laporan daripada mangsa sehari selepas kejadian.


Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 bagi mengenal pasti punca kejadian.

Nyaris maut kereta rempuh pasu gergasi




         
SEREMBAN: Dua lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Persona dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang lampu dan pasu gergasi hiasan di pembahagi jalan di Jalan Dato Muda Linggi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kedua-dua mangsa parah selepas tersepit di dalam kenderaan berkenaan sehingga anggota penyelamat terpaksa menggunakan alat khas bagi mengeluarkan mereka.


Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa berusia 20-an itu dipercayai dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Ampangan, di sini, dalam keadaan hujan lebat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan sebelum melanggar pasu bunga gergasi dan terlajak hingga melanggar tiang lampu.


“Kereta itu yang remuk teruk kemudian terbabas hingga melambung di laluan bertentangan sebelum berhenti, manakala pasu yang dilanggar pecah dan tiang lampu berkenaan tumbang menghadang jalan.


“Kami terpaksa meminta bantuan bomba bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk,” katanya.



Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, katanya, kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain kerana ketika kejadian laluan berkenaan lengang.


“Punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak kemungkinan kenderaan dipandu laju selain faktor laluan licin,” katanya.

Tasik busuk!


BANYAK...Yee (kanan) bersama penduduk menunjukkan kehadiran alga hijau yang didakwa turut menyumbang pencemaran.
BANYAK...Yee (kanan) bersama penduduk menunjukkan kehadiran alga hijau yang didakwa turut menyumbang pencemaran.
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang beriadah di Taman Metropolitan Kepong di sini mahu pihak berkuasa mengatasi beberapa masalah seperti bau busuk, vandalisme dan jenayah yang semakin mengganggu aktiviti harian mereka di kawasan itu.
William Wong, 60, berkata, sejak lima tahun lalu hampir setiap hari beliau dan rakan-rakan menjalani senaman taici di kawasan tasik itu dan terpaksa menghidu bau busuk.

“Bagaimanapun bau busuk itu semakin teruk sejak dua minggu lalu dan ia seperti bau bahan kimia terutama apabila melalui kawasan jambatan di sini.
“Kami hairan bagaimana bau tersebut boleh wujud di situ sedangkan ia merupakan kawasan hijau untuk orang ramai beriadah,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Pencemaran bau itu cukup mengganggu semua pengunjung sehingga ada sebahagian daripadanya terpaksa berkunjung ke taman riadah yang berhampiran dan enggan datang ke situ lagi.

Tambahnya keadaan bertambah teruk apabila tasik dicemari dengan kehadiran alga hijau yang membentuk lapisan di permukaan air.

“Keadaan ini boleh menyebabkan air tasik tercemar seterusnya boleh mengancam hidupan dalam tasik seperti ikan,” katanya.

Selain itu, Lee Fook Seng, 53, berkata, sering berlaku kejadian jenayah di kawasan taman berkenaan menyebabkannya tidak lagi mahu berkunjung ke situ.
“Sudah tiga tahun saya tidak datang ke sini kerana sering mendengar mengenai kejadian jenayah. Biasanya penjenayah akan menaiki motosikal sebelum menyamun orang ramai yang sedang berjoging di sini.

“Kejadian itu kerap berlaku terutama awal pagi selain keadaan yang gelap,” katanya.

Tinjauan juga mendapati terdapat aktiviti pembuangan sampah dilakukan di kawasan semak berhampiran tasik tersebut. Ini berdasarkan longgokan sampah sarap, batu-bata serta simen menunjukkan ia dilakukan individu yang melakukan kerja pembinaan.

Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, dia banyak menerima aduan orang ramai mengenai ketidakselesaan ketika beriadah di taman tersebut.

“Tasik ini menerima air dari tiga kawasan sejak sembilan tahun lalu iaitu Taman Indah Baiduri, Kepong Indah serta PPR Intan Baiduri yang bertujuan mengelakkan banjir di kawasan berkenaan.

“Mungkin disebabkan air di sini tidak disalirkan ke kawasan lain, ditambah dengan tiada rawatan air dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyebabkan air tasik mula tercemar sehingga menyebabkan bau busuk.

“Berdasarkan keadaan tasik yang tercemar ini, saya rasa ia tidak lagi sesuai digunakan untuk sebarang aktiviti sukan air.

“Sepatutnya DBKL melakukan rawatan air tasik bagi memelihara keadaan alam semula jadi tanpa perlu menunggu sehingga masalah pencemaran bau,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai juga sering melihat pekerja pembersihan membakar sampah-sarap khususnya daun di kawasan taman tersebut pada setiap Sabtu.

“Mungkin mereka sukar untuk membuang daun berkenaan ke tempat lain menyebabkan mereka membakarnya. Bagaimanapun, keadaan itu menghasilkan asap yang banyak dan mengganggu orang ramai yang hendak berjoging di situ.

“Selain itu, kejadian mencuri tiang lampu serta peralatan elektrik didalamnya turut kerap terjadi di sini. Kita boleh lihat sendiri beberapa kesan tiang yang sudah dipotong dan hilang.

“Saya berharap agar DBKL sedar akan masalah ini dan mengadakan rondaan keselamatan selama 24 jam di kawasan taman riadah seperti yang pernah saya cadangkan sebelum ini.

“Ia bertujuan mengekang kejadian merosakkan harta benda awam seperti tiang lampu, sekali gus mengurangkan kos kerugian yang terpaksa ditanggung oleh DBKL,” katanya.

Ikan dekat Fukushima dicemari radioaktif tertinggi




         
TOKYO: Sepasang ikan yang ditangkap kira-kira 20 kilometer dari loji nuklear Fukushima menunjukkan kehadiran radioaktif tertinggi, lapor Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (Tepco), semalam.

Menurut Tepco, ikan itu dikesan mempunyai kandungan caesium sebanyak 25,800 becquerel bagi setiap kilogram atau 258 kali ganda lebih tinggi daripada had selamat disahkan kerajaan. Rekod kandungan radioaktif yang pernah dicatatkan selepas tragedi tsunami yang merosakkan loji nuklear di Fukushima itu ialah 18,700 becquerel bagi setiap kilogram. Kata Tepco, ikan itu mungkin mencari makan di kawasan utama radioaktif. Bagaimanapun, Tepco berkata, mereka akan menjalankan ujian lanjutan bagi mendapatkan keputusan tambahan. - AFP

Tinggal pekerja sakit tepi jalan: Majikan dijel




         
SINGAPURA: Majikan yang meninggalkan seorang pekerja asing yang sakit tenat di tepi jalan dua tahun lalu dihukum penjara tiga bulan, semalam.

Tay Kok Eng, 56, dipenjara enam bulan lagi kerana mengambil mangsa bekerja secara haram dari Ogos 2009 hingga Mac 2010.


Dia juga didenda SG$12,000 (RM 29,910) kerana gagal memastikan keselamatan pekerjanya.

Chelladurai Lenin, 47, sedang menukar lampu siling di lobi sebuah kondominium di Jalan Seraya kira-kira jam 6 petang pada 30 Mac 2010 apabila terjatuh ddan cedera di kepala dan kakinya. - Straits Times

2 maut, 3 cedera dalam tiga serangan berasingan




         
BANGKOK: Seorang anggota tentera dan sukarelawan pertahanan terbunuh dan tiga lagi cedera dalam tiga serangan berasingan di daerah Rangae di wilayah Narathiwat, semalam.

Dalam serangan pertama, sebuah trak pikap yang dipandu Bang-ern Phanyu bersama dua orang awam diserang hendap ketika melalui kawasan sekolah.


Bang-ern dan seorang lagi maut dalam serangan itu. Kira-kira 10 minit kemudian, pembantu ketua pentadbir di Rangae dan enam yang lain terbabit dengan letupan periuk api yang ditanam di jalan menuju ke sekolah itu.

Semua mangsa hanya mengalami kecederaan. Serangan ketiga membabitkan dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah penolong penghulu, Mahama Chewa, 41, dan sukarelawan, Adunan Salae, 34, yang berada di jalan raya di Ban Lubo Kaya.


Adunan mati di tempat kejadian, manakala Mahama cedera. - Bangkok Post

Mayat ahli politik Filipina ditemui di laut




         
MANILA: Anggota penyelam menemui mayat seorang daripada ahli politik paling berpengaruh di Filipina semalam, tiga hari selepas pesawat yang dinaikinya bersama tiga yang lain terhempas ke laut, kata pegawai kerajaan.

Mayat Setiausaha Dalam Negeri, Jesse Robredo ditemui 55 meter di bawah air dekat pantai Pulau Masbate, di mana pesawat itu terhempas Sabtu lalu, kata Setiausaha Pengangkutan, Manuel Mar Roxas. Roxas berkata, pasukan penyelam berdepan arus kuat untuk merapati pesawat dua enjin Piper Seneca yang terjunam ke laut kira-kira 800 meter dari pantai.


Mereka masih mencari mayat tiga yang lain, termasuk juruterbang warga tempatan, Jessup Bahinting dan pembantu juruterbang rakyat Nepal, Kshitiz Chand.

Presiden Benigno Aquino turut terbang ke tempat kejadian untuk menyaksikan sendiri operasi menyelamat dilakukan.


Timbalan jurucakap Istana Presiden, Abigail Valte menyifatkan kematian Robredo adalah satu kehilangan besar kepada negara itu. “Pemergian Robredo adalah satu kehilangan besar kepada seluruh negara,” katanya. Menurutnya, Robredo amat disenangi ramai dan mudah mesra dengan sesiapa saja walaupun kepada pekerja peringkat bawahan dalam kerajaan. Sementara itu, Naib Datuk Bandar di daerah pinggir bandar raya Manila dan teman rapat Robredo, Jose Fabian Cadiz berkata, penduduk di tempat kelahirannya di Naga bersedih dengan pemergian ahli politik ternama itu. Robredo dilaporkan dalam lawatan rasmi dari Naga ke wilayah tengah di Filipina apabila pesawat dinaikinya mengalami masalah enjin sebelum terjatuh ke laut. - Manila Times

Gu disyaki upah wanita lain hadapi keputusan kes bunuh




         
BEIJING: Perbezaan wajah yang ketara menimbulkan khabar angin mendakwa Gu Kailai mengupah seseorang bagi mengambil tempatnya di mahkamah ketika hakim membacakan keputusan kes bunuhnya, kelmarin.

Melalui paparan gambar di kamar mahkamah, orang ramai dapat melihat perubahan ketara pada wajah Gu berbanding sebelum dia ditahan dulu. Pemerhati mempertikaikan bagaimana Gu yang ada di mahkamah kelmarin lebih berisi berbanding kebanyakan banduan yang kehilangan berat badan ketika di penjara China. Sesetengah pihak mendakwa, perubahan itu berlaku akibat pengambilan ubat mental, tetapi masih ramai meraguinya. Gu - isteri kepada bekas Datuk Bandar Chongqing - didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan Britain, Neil Heywood.


Gu dihukum mati tetapi pelaksanaannya digantung, membolehkan dia menjalani penjara seumur hidup. Beberapa pihak mengesyaki Gu sebenarnya diletakkan dalam tahanan rumah berbanding penjara selepas mencapai persetujuan dengan pegawai kanan Parti Komunis China. - TS

Tikam bapa hingga mati



       
JAKARTA: Polis Jakarta Timur berkata, mereka menahan dua beradik yang disyaki menikam mati bapa mereka dalam satu pergaduhan di Pondok Kopi, semalam.

Ketua polis Jakarta Timur, Dian Perri, berkata pihaknya menahan Ahmad Zaenuri, 35, dan adik lelakinya, Welly, 30, di Cipinang.


Dua beradik itu mengaku menikam bapa mereka, Tarwasdi ketika disoal siasat.

Tarwasdi ditikam ketika dia menemui dua anak lelakinya yang terbabit dengan pergaduhan antara dua kumpulan malam Khamis lalu. Ahmad Zaenuri dan Welly yang menjadi anggota kepada satu daripada kumpulan terbabit menyangka bapa mereka berpihak kepada kumpulan musuh. Tidak puas hati dengan bapa mereka, kedua-duanya lalu menikam Tarwasdi hingga mati. Polis masih mencari objek tajam yang digunakan dua beradik itu untuk membunuh bapa mereka.


Selain dua beradik itu, tiga lagi anggota kumpulan yang terbabit dengan pergaduhan itu turut ditahan. - Kompas.com

Banjir kilat jejas Aidilfitri

Banjir kilat berlaku menyebabkan beberapa kenderaan tenggelam di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof
Banjir kilat berlaku menyebabkan beberapa kenderaan
tenggelam di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof
 
Tampin: Kemeriahan sambutan Aidilfitri beberapa keluarga di sini terjejas apabila banjir kilat melanda enam kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Batu Satu, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, tembok konkrit memisahkan perumahan itu dengan tapak perkuburan Kristian yang terletak di kawasan lebih tinggi runtuh, mengakibatkan air dari kawasan itu melimpah ke PPRT terbabit. Pemilik rumah, Mohd Zul Ahmad, berkata dia dan isteri sedang melayan tetamu sebelum terdengar bunyi dentuman di belakang kediaman itu.

Sementara itu di Klang, beberapa kawasan di sekitar bandar ini ditenggelami air lebih setengah meter berikutan hujan lebat, petang kelmarin. 

Hujan lebat yang bermula jam 3 petang diikuti angin kencang, turut menyebabkan bumbung beberapa rumah dan sebuah surau diterbangkan angin, selain berpuluh-puluh kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. 

Kawasan terjejas akibat banjir kilat itu termasuk Jalan Kebun, Bukit Rimau, Kota Kemuning, Taman Berjaya dan Taman Kandis turut menyebabkan ak banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas walaupun air surut kira-kira jam 7 malam. 

Di Kuala Lumpur, hujan lebat lebih dua jam di ibu negara petang semalam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat dan berlaku kesesakan lalu lintas, selain beberapa kenderaan ditenggelami banjir. 
Antara kawasan lain dilanda banjir ialah Segambut, Taman Kolam Air dan Kampung Kasipillay di Sentul serta Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh dan Jalan Sultan Ismail, di ibu negara. 

Banjir kilat di Segambut turut menyebabkan menjejaskan sambutan Aidilfitri penduduk di beberapa kampung di situ apabila rumah mereka digenangi air. 

Hujan lebat yang bermula jam 3 hingga 5 petang itu, bagaimanapun tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dan keadaan kembali pulih kira-kira jam 6 petang.