KUANTAN - Seorang lelaki warga emas maut apabila tercampak ke atas jalan raya selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah kereta di Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang di sini, semalam.
Mat Lazim Abdullah, 74, dari Kampung Bukit Beirut, Jalan Bukit Setongkol di sini meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan
(HTAA) Kuantan pada 8.32 malam tadi.
Pegawai Penguat Kuasa Tadbir Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, lelaki itu dipercayai secara tiba-tiba mengubah
laluan ke kanan yang mengakibatkan motosikalnya bergesel dan melanggar sebuah kereta di lorong kanan dari arah yang sama.
Beliau berkata mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan dihantar ke HTAA sebelum disahkan meninggal dunia lima jam
selepas kejadian.
Zainalabidin berkata seorang lagi lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan di KM10, Jalan
Jerantut-Temerloh, awal pagi ini.
Katanya, akibat rempuhan itu, Zulkefli Pin, 38, dari Kampung Bukit Mat Daling, Ulu Tembeling  terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah
di kepala dan badan.
Dia meninggal dunia pada kira-kira 3.53 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Jerantut, katanya. - Bernama