Search This Blog

Friday, August 17, 2012

Gadis Malaysia ramai di Lombok

Gadis Malaysia ramai di Lombok
Nur Shahira (kanan) bersyukur dapat kembali semula ke tanah air.
SEPANG - Masih terdapat ramai gadis negara ini berada di Lombok, Indonesia berdasarkan siasatan yang dijalankan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bagaimana pun tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar gadis Malaysia yang berada di sana kerana dalam proses mengumpulkan maklumat.

Menurutnya, kesemua mereka jatuh cinta dengan lelaki Lombok sewaktu bekerja di negara ini dan mengikut mereka pulang.

“Perkara ini amat menyedihkan kerana gadis yang mengikut lelaki Lombok itu, berpotensi untuk memajukan diri dalam bidang pelajaran.

“KP1M akan memulakan kempen kesedaran terhadap wanita tempatan dalam semua sektor pekerjaan terutama pertanian dan perladangan, agar tidak terpedaya dengan pujukan lelaki asing yang bekerja di negara ini dan mengikut mereka ke negara asal mereka,” katanya.

Abdul Azeez berkata, setakat ini KP1M telah berjaya membawa pulang seramai 50 gadis rakyat negara ini atas permintaan keluarga.

Sementara itu, Nur Shahira Samsuri, 22, berkata, dia menyesal dengan apa yang dilakukan dengan mengikut jejaka Lombok.

Menurutnya, dia ingin melupakan kisah yang menimpa dirinya dan memulakan hidup baru.

“Saya menyesal. Saya mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran dan akan melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara, di Johor.

“Perkara ini telah selesai dan tidak perlu diungkitkan lagi, biarlah ia menjadi sejarah,” katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik.

Ayahnya, Samsuri Husin, 51, amat berterima kasih dengan  KP1M yang membawa  pulang anaknya itu.

“Saya amat bersyukur kerana kami dapat bersatu kembali di Aidilfitri ini.

“Kami sekeluarga amat berharap agar beliau memberikan tumpuan dalam pelajarannya kerana ia penting demi masa depanya,” katanya dengan linangan air mata kegembiraan.

Pemilik salun disamun RM2,000





         
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik sebuah salun kecantikan dan pekerjanya bukan saja kerugian lebih RM2,000 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan parang sebaliknya turut diikat dalam kejadian di Taman Miharja, Cheras, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia lewat 30-an dan pekerjanya berusia awal 20-an terpedaya selepas kumpulan penjenayah itu menyamar sebagai pelanggan.


Menurut sumber, ketika kejadian mangsa dan pekerjanya mengemaskan barang di premis itu sebelum mendengar loceng dibunyikan.

“Pekerja mangsa kemudian membuka pintu sebelum seorang daripada lelaki itu mendakwa mahu membeli barangan yang dijual di premis berkenaan,” katanya.

Anak bongsu maut nahas



         
PADANG BESAR: Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana suram buat satu keluarga apabila kehilangan anak bongsu daripada dua beradik selepas remaja terbabit menemui ajal akibat kemalangan, semalam.

Kejadian berlaku jam 11 pagi di Kilometer 12, Jalan Kangar-Padang Besar, di sini, ketika mangsa, Muhamad Hazwa Faiz Saad, 17, dari Kampung Semadong, Beseri, di sini, yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.


Difahamkan, kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai cuba memotong sebuah motosikal ditunggang seorang pelajar perempuan yang tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki ke taman perumahan berhampiran.

Mangsa yang gagal mengelak terus merempuh motosikal berkenaan lalu jatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah motosikal lain yang ditunggangi warga emas dari arah Padang Besar.


Rakan mangsa, Mohd Syafik Mohd Zuki, 17, berkata kali terakhir dia bertemu dengan Muhamad Hazwa malam kelmarin dan arwah bersikap seperti biasa.


“Pada minggu lalu, kami ada keluar bersama membeli pakaian baru untuk berhari raya kerana arwah akan pulang beraya di kampung ibunya di Kelantan, tetapi nampaknya dia tidak sempat memakai pakaian itu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.

Rakan sekelas mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, Mohd Azrul Aziz, 17, berkata arwah seorang yang gemar bercakap, tetapi dia tidak melihat sebarang perubahan pada arwah ketika mereka berbual-bual di dalam kelas sebelum kejadian.


“Arwah seorang yang peramah dan memberitahu akan pulang ke kampung di Kelantan hari raya nanti,” katanya.

Wanita dibelasah jiran ketika jemur pakaian




         
GOMBAK: Seorang wanita dibelasah jiran lelakinya ketika sedang menjemur pakaian apabila lelaki itu tiba-tiba datang dan membuang baju di ampaian menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka di sebuah pangsapuri di Bukit Idaman, Batu Caves, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun sedang menjemur baju di luar rumahnya sebelum jirannya yang tinggal di blok sama datang dan menghamburkan kata-kata kesat dan memarahinya.


Kedua-dua keluarga terbabit sebelum ini sering bertengkar akibat perselisihan faham dan dalam kejadian terbaru, lelaki itu bertindak lebih kejam apabila menyerang dan memukul mangsa.

Menurut sumber, lelaki itu gagal mengawal kemarahannya bertindak membuang pakaian mangsa yang masih basah ke lantai menyebabkan mangsa geram dan terus menolak lelaki itu.


“Lelaki itu balas dengan menumbuk muka mangsa beberapa kali selain menarik rambut menyebabkan wanita terbabit menjerit kesakitan,” katanya.

Padah tegur mentua



         
GOMBAK: Seorang bapa mentua sanggup membelasah menantu hanya kerana wanita berkenaan mempersoalkan tindakannya yang tidak membenarkan anaknya menggunakan pili air untuk mencuci longkang di kediaman mereka di Rawang, di sini, kelmarin.

Lebih malang, mangsa berusia 37 tahun itu bukan sahaja menerima sepak terajang bapa mentuanya berusia 50-an malah adik iparnya turut cuba menyerangnya dengan parang selain mengugut ingin melanggarnya dengan kereta hingga mati.


Bimbang dengan tindakan terbabit, mangsa yang tidak bekerja membuat laporan di Balai Polis Rawang.

Sumber berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang sedang menonton televisyen kira-kira jam 2 petang terdengar bapa mentua menengking anaknya yang sedang mencuci longkang di luar rumah.


“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa kemudian keluar dan bertanya punca bapa mentuanya bertindak sedemikian, namun turut dimarahi konon anaknya itu membazir air kerana mencuci longkang.


“Mangsa yang tidak berpuas hati cuba menegur secara baik, namun tidak diendahkan sebaliknya lelaki itu bertambah marah kerana mangsa cuba mempersoalkan tindakannya menyebabkan dia terus menyerang dengan menumbuk perut dan menendang mangsa,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan namun tidak diendahkan menyebabkan dia bertindak berani menolak lelaki terbabit sebelum berlari masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu.


“Sangkaan mangsa bapa mentuanya akan berhenti memukulnya ternyata meleset apabila lelaki itu bagaikan dirasuk terus menendang pintu bilik sehingga pecah dan membaling mangkuk kaca ke arahnya namun sempat mengelak.

“Tidak cukup dengan itu, adik iparnya turut datang dengan membawa sebilah parang dan cuba menetak mangsa, namun tidak sempat apabila ibu mentuanya sempat menghalang meleraikan pergaduhan terbabit,” katanya.


Sumber berkata, adik ipar mangsa turut mengugut akan melanggar mangsa dengan kereta hingga mati selepas ini gara-gara tidak berpuas hati mangsa menegur perbuatan bapanya itu.

‘Buaya terkam bapa’



         
TAWAU: Hasrat seorang bapa dan anaknya mencari pendapatan lebih dengan menangkap ikan dan udang bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri, berakhir tragedi apabila lelaki itu dibaham buaya ketika memasang pukat di Sungai Udin, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, mangsa dikenali sebagai Jailani Indersaya, 54, sedang menangkap udang di sungai 13 kilometer dari rumahnya di Kampung Jagung dekat sini, apabila buaya dianggarkan sepanjang hampir enam meter itu membaham pinggangnya.
Menurut Azwan, ketika kejadian dia berada beberapa meter dari bapanya apabila seekor buaya muncul lalu menerkam serta mengheret bapanya ke dalam sungai.

“Ketika itu, saya sedang memancing dengan joran manakala ayah sedang memasang pukat untuk menangkap ikan dan udang. Tiba-tiba seekor buaya datang dan menerkamnya.


“Saya tidak dapat berbuat apa-apa, kerana kejadian berlaku pantas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Cerita detik tercampak keluar




         
KUALA KRAI: “Saya hanya sedar berada di luar bas selepas tercampak keluar ketika bas berpusing beberapa kali,” kata pemandu bas, Raja Mohd Adli Raja Ibrahim (gambar), 38, selepas bas dipandu dipercayai terbabas dan terhumban dalam gaung sedalam enam meter dalam kejadian di Kilometer (km) 57, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kampung Batu Lakit, di sini, pagi semalam.

Kejadian jam 7.30 pagi itu menyebabkan 10 penumpang bas sewa khas terdiri kakitangan agensi kerajaan cedera ringan di muka, kaki dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.


Kejadian berlaku apabila bas itu cuba mengelak sebuah pacuan empat roda yang masuk ke laluan bertentangan dari arah Gua Musang sebelum cuba memotong kenderaan lain di hadapannya menyebabkan pemandu bas gagal mengawal kenderaan hingga berpusing beberapa kali dan terhumban ke dalam gaung.

Raja Mohd Adli mengalami kecederaan di pinggang, manakala pemandu keduanya, Zak Mat Hussein, 37, cedera ringan muka dan tangan.


Menceritakan kejadian itu, dia dalam perjalanan menuju ke Gua Musang selepas mengambil penumpang yang tinggal di Kota Bharu.


Katanya, ketika menuruni bukit dengan kelajuan sederhana, sebuah kenderaan pacuan empat roda secara tiba-tiba datang dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan di hadapannya sehingga memasuki laluannya.

“Saya tiada pilihan lain selain terpaksa membelok ke kiri sebelum terbabas dan memasuki gaung yang berada di bahu kiri jalan.


“Kejadian berlaku terlalu pantas sehingga saya tidak tahu bagaimana saya sendiri boleh tercampak keluar. “Saya juga tidak mampu bangun sendiri akibat cedera di pinggang dan terpaksa dipapah naik oleh orang awam,” katanya.

Salah seorang penumpang yang juga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohd Suhaimi Abdullah, 54, berkata, kejadian itu menyebabkan dia patah paha kanan.


“Saya berpaut pada kerusi hadapan supaya tidak tercampak sebelum menggelungsur ke belakang bas bersama penumpang lain.


“Ketika bas berpusing, saya terpaksa menahan kesakitan selepas paha kanan terhentak beberapa kali pada kerusi penumpang,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ariff Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.55 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan 10 anggota dan dua jentera.

Nahas lepas beberapa jam pemandu dinasihat





         
KOTA KINABALU: Kemalangan bas ekspres menyebabkan tiga maut di Kilometer 121, Jalan Sandakan-Lahad Datu, awal pagi semalam, berlaku hanya beberapa jam selepas pengusaha dan pemandu bas ekspres itu dinasihatkan meningkatkan tahap keselamatan pemanduan.

Nasihat itu disampaikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, ketika Kempen Pemeriksaan Kenderaan Perkhidmatan Awam sempena musim balik kampung menjelang Aidilfitri di Terminal Bas Bandaraya Utara, Inanam, di sini, petang kelmarin.


Pemandu bas malang membawa 38 penumpang termasuk 31 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah itu antara pemandu dan pengusaha bas yang ditemui ketika kempen itu bagi mengingatkan mereka mengenai pemanduan berhemah.

Bas milik syarikat Ali Topan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau bertolak dari terminal berkenaan jam 8 malam kelmarin dan dijadualkan tiba di Tawau jam 7 pagi semalam tetapi terbabas di Kilometer 121 Jalan Sandakan-Lahad Datu, kira-kira jam 2.50 pagi.


Presiden Majlis Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC), Datuk Donald Hanafi berkata, kemalangan itu yang pertama membabitkan bas ekspres membawa penumpang balik kampung sempena musim perayaan di Sabah sekali gus melenyapkan rekod sifar kemalangan sebelum ini.

Bas huyung-hayang ragut tiga nyawa



         
KINABATANGAN: Tiga penumpang terbunuh selepas bas mereka naiki bersama 35 penumpang lain terbabas sebelum terbalik beberapa kali di Kilometer 121, Jalan Sandakan-Lahad Datu berdekatan Kampung Paris 2, dekat sini, awal pagi semalam.

Penumpang bas itu termasuk 31 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah yang pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.
Tiga lagi penumpang cedera parah dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.50 pagi, hampir tujuh jam selepas bas itu bertolak dari Terminal Bas Bandaraya Utara, Inanam, ke Tawau.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Jabar Maidin, 54, dipercayai bekerja di Melaka dan pulang bercuti sempena Aidilfitri di Tawau, manakala dua lagi mangsa ialah anak beranak dikenali sebagai Usman Sulaiman, 46, dan anaknya Pian Ardian Shah, berasal dari Kampung Sungai Tongkong, Tawau.


Tiga penumpang yang cedera parah dirawat di Hospital Kinabatangan dan Lahad Datu sebelum dipindahkan ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut, dikenali sebagai Fridde Manggaus, 20, Beneditus Roga, 27, dan Rahamiati Nurdin, 35.

Waris diminta tuntut 2 mayat




         
KLANG: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, meminta waris dua mayat yang tidak dituntut sejak dua hingga tiga bulan lalu segera tampil bagi menuntut mayat keluarga masing-masing.

Pengarah HTAR, Dr M Sukumar dalam kenyataannya di sini berkata, mayat terbabit seorang wanita bernama Tiw Ah Kim, 77, meninggal dunia pada 13 Mei lalu manakala seorang lagi dikenali sebagai Subramaniam, 31, meninggal dunia pada 15 Jun lalu.


“Kedua-duanya warga tempatan dan masih berada di Jabatan Forensik HTAR dan belum dituntut sesiapa,” katanya. Beliau berkata, waris mayat terbabit boleh menghubungi Penolong Pegawai Perubatan Kanan, Jabatan Forensik HTAR, Mohd Radzai Mohd Illias di talian 03-33757000 sambungan 1305 atau 1306.

Wanita penghibur ditahan polis

Antara yang ditahan oleh anggota polis dalam Operasi Pelacur di Dataran Mentari, Petaling Jaya.
Antara yang ditahan oleh anggota polis dalam Operasi Pelacur di Dataran Mentari, Petaling Jaya.
PETALING JAYA: Seramai 12 wanita penghibur warga China ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari di sini, tengah malam tadi.
Serbuan oleh Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu turut menahan 20 lelaki tempatan yang sedang berhibur.
Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, ketika serbuan 12 wanita yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun itu sedang menghiburkan pelanggan.

Katanya, dua wanita yang ditahan tidak mempunyai pasport dan sepuluh lagi menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Mereka tidak mengikut peraturan pas lawatan dan kesemua mereka dibawa ke IPK Selangor untuk siasatan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, 20 pelanggan yang ditahan turut dibawa ke IPK untuk siasatan lanjut sama ada premis berkenaan menawarkan khidmat pelacuran atau tidak.

Menurutnya, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tiada pas lawatan yang sah dan Seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen kerana langgar syarat.

17 korban virus West Nile

Leftenan Carol Calix  memeriksa nyamuk menerusi mikroskop  di Pusat Promosi Kesihatan dan Perubatan Pencegahan Amerika Syarikat di Maryland.
Leftenan Carol Calix memeriksa nyamuk menerusi mikroskop di Pusat Promosi Kesihatan dan Perubatan Pencegahan Amerika Syarikat di Maryland.
Dallas: Negeri barat daya Amerika Syarikat bertungkus-lumus memerangi wabak virus West Nile, selepas 17 kematian dipersalahkan atas penyakit berpunca daripada nyamuk itu, kata pihak berkuasa kelmarin.

Di seluruh Texas, 465 penduduk jatuh sakit sejak awal tahun ini, sekali gus mencatat kes terbanyak sejak penyakit itu kali pertama muncul sedekad lalu, kata Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Negeri.



Isytihar darurat
Datuk Bandar Dallas, Michael Rawlings pula mengisytiharkan darurat di bandar raya itu dalam usahanya untuk mencegah wabak berkenaan.

Daerah ini, bandar kesembilan terbesar di Amerika, paling teruk terjejas, menyebabkan datuk bandar mengisytiharkan bencana tempatan.

“Bandar Dallas mengalami penyebaran wabak West Nile berpunca daripada nyamuk yang menyebabkan jangkitan teruk dan meluas serta kehilangan nyawa secara berterusan,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan berkata virus itu meragut 10 nyawa di daerah itu setakat ini.
Virus West Nile kali pertama ditemui di Uganda pada 1937, dibawa oleh burung sebelum disebarkan kepada manusia menerusi nyamuk.



Demam panas

Tanda teruk virus termasuk demam panas, kehilangan penglihatan dan lumpuh, sementara tanda sederhana terdiri termasuk sakit kepala sehingga ruam pada kulit.

Sekurang-kurangnya 693 kes jangkitan akibat virus itu dilaporkan di Amerika tahun ini, termasuk 26 kematian, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Texas mencatatkan kematian tertinggi penyakit itu setakat ini. - AFP

5 maut, 7 cedera askar Peru diserang gerila



LIMA: Sekurang-kurangnya lima askar terbunuh dan tujuh lagi cedera selepas pertempuran tercetus di antara pihak tentera dan kumpulan yang dipercayai gerila Shining Path Maoist.

Pihak tentera Peru berkata, serangan itu berlaku di wilayah pergunungan, di mana gerila berkenaan menjalankan operasi bersama kumpulan pengedar dadah.

Serangan pada lewat malam itu berlaku ketika askar sedang melakukan rondaan di wilayah timur Junin, Lima.
Pihak tentera dan polis kini sedang mempergiatkan operasi bagi memburu penjenayah yang mempunyai kaitan dengan kegiatan dadah itu. - AFP

Janda, kekasih direman kes anak mati didera



 
Ipoh: Seorang ibu tunggal bersama teman lelakinya direman tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes kematian anaknya berusia empat tahun yang dipercayai didera, petang Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata reman terhadap wanita berusia 33 tahun dan lelaki itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh itu.

“Siasatan masih berjalan dan kita sedang meneliti kes berkenaan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya di sini, semalam.

Kanak-kanak itu dibawa oleh ibunya ke sebuah klinik di Kampung Tawas di sini, pada kira-kira jam 5 petang Selasa lalu, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba di situ.

Pihak klinik memaklumkan kematian itu kepada polis sejam kemudian yang kemudian merujuk mayat kanak-kanak itu ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat kecederaan dalaman dipercayai didera.

Jual makanan luput tarikh


Kuala Lumpur: Pemeriksaan di tiga pasar raya besar di sekitar Lembah Klang sepanjang Ramadan mendapati lebih 100 produk makanan dijual melepasi tarikh luput.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya, produk makanan terbabit dikesan melepasi tarikh luput antara tiga hingga empat bulan lalu.

Katanya selain menjual produk tamat tempoh, ada juga pasar raya memasarkan produk tidak mempamerkan sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, kurang kesedaran dalam kalangan pengusaha menjadi punca mereka ingkar dengan tanggungjawab untuk membekalkan produk baik dan berkualiti.

“Perkara ini perlu dipandang serius pihak berkuasa dan pengusaha kerana ia ancaman yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan pengguna.



Minta agensi pantau

“Kita juga minta semua agensi kerajaan seperti Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (UKKM), JAKIM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya kerap turun padang membuat pemantauan berkala di semua pasar raya, disamping keprihatinan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan dan pemeriksaan harga kawalan sempena musim perayaan bersama UKKM dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sebuah pasar raya besar di Ampang. Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.



Rampas produk

Pada pemeriksaan itu, UKKM merampas kira-kira 50 produk bernilai lebih RM1,000 yang tarikh luputnya sudah tamat tempoh berdasarkan peruntukan Seksyen 4 (1)(f) Akta Makanan 1983.

Kebanyakan produk makanan dijual juga masih mempamerkan logo halal swasta yang melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 (APD) dan persijilan halal yang sudah berkuat kuasa sejak Januari lalu.

Limpa rosak akibat ditendang

Radin (kanan) menunjukkan luka pembedahan anaknya kepada Michael Chong dan Muhd Khairun di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.
Radin (kanan) menunjukkan luka pembedahan anaknya kepada Michael Chong dan Muhd Khairun di Wisma MCA, Kuala Lumpur, se

Kuala Lumpur: Akibat melewatkan solat Asar, seorang pelajar Tingkatan Dua ditendang beberapa kali di perut oleh lima rakannya di dalam bilik air asrama sekolahnya.

Berikutan kejadian itu, Muhammad Ridwan Radin, 14, pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat Maahad Al-Islah, Parit Sungai Lampan, Teluk Intan, terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang limpanya kerana koyak akibat hentakan kuat.



Terpaksa ambil antibiotik hingga umur 21 tahun
Lebih malang, anak sulung daripada tiga beradik itu terpaksa mengambil antibiotik sehingga berusia 21 tahun.

Dalam kejadian 29 Jun lalu, mangsa berada dalam tandas asrama apabila didatangi lima rakannya yang bertanyakan sama ada sudah menunaikan solat Asar.

Mangsa yang menjawab belum kerana mahu mandi dulu terus disepak salah seorang rakannya sebelum mangsa berlari ke biliknya. Namun, mereka mengikutnya ke bilik dan terus menyerangnya.

“Saya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada rakan, namun tidak menceritakan kepada keluarga atau guru kerana takut dimarahi. Akibat terlalu sakit di perut, saya meminta guru supaya menghubungi bapa,” katanya ketika di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusinya, Datuk Seri Micheal Chong dan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh.

Bapa mangsa, Radin Mohd Nor Ashikin Osman, 38, berkata beliau dihubungi guru sekolah meminta mengambil anaknya yang mengadu sakit perut.

Beliau yang tinggal di Setapak, kemudian membawa anaknya ke Klinik Teluk Intan, namun kesakitan dialami anak sulungnya semakin teruk sebelum merujuknya ke Hospital Kuala Lumpur. (HKL).

‘Datuk Seri’, anak dicari bantu kes bunuh peniaga


Shah Alam: Polis mencari seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ dan anak lelakinya bagi membantu siasatan kes seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah tapak perniagaan di kawasan Downtown, The Mines, Seri Kembangan awal pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata ahli perniagaan itu ialah Jaafar Shaari, 50, alamat terakhir di No 3, Jalan P11 K/12, Presint 11, Putrajaya dan anaknya, Ahmad Jiwari @ Wari, 23, alamat terakhir di Lot 141, Kampung Pedas Hilir, Jalan Kundur, Pedas, Negeri Sembilan.

Difahamkan kejadian kira-kira 2 pagi itu berlaku selepas mangsa, Azhari Sidek, 44, mengambil sebuah meja usang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian sebelum diletakkan berhampiran gerai miliknya.


Panggil rakan bantu belasah mangsa

Bagaimanapun, tindakan mangsa tidak disenangi seorang lelaki yang berniaga di kawasan sama yang mendakwa meja berkenaan miliknya hingga berlaku pergaduhan.

Adik angkat mangsa yang enggan dikenali memberitahu lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya untuk membelasah abangnya berikutan rasa tidak puas hati itu.

Sementara itu, Tun Hisan berkata, seorang suspek lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang pekerja kilang perempuan berusia 19 tahun di flet di Jalan Taming 2, Taming Jaya, Balakong Isnin lalu.
Beliau berkata, suspek berusia 26 tahun, ada ikatan kekeluargaan dengan mangsa ditahan jam 2 petang semalam di Jalan Semenyih, Kajang.



Suspek kerja di kilang sama

“Siasatan mendapati suspek bekerja di kilang sama dengan mangsa,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu mayat Sabturiah Faisal, 19, yang berasal dari Kampung Merotai Besar, Tawau, Sabah dijumpai dalam keadaan terlentang dalam bilik tidurnya oleh abang ipar mangsa pada jam 7 malam.

Polis menemui kesan lebam pada leher, perut dan tangan kanan anak ketujuh daripada 12 beradik itu.

Difahamkan, polis turut menemui kesan tompokan air mani di bilik mangsa dan mengesyaki gadis itu menjadi mangsa rogol oleh individu dikenalinya itu. - BERNAMA

Abang ipar Sabturiah ditahan





SHAH ALAM - Polis menahan seorang pemuda yang merupakan abang ipar kepada Sabturiah Faisal, 19, bagi membantu siasatan kes bunuh dan rogol gadis itu di sebuah rumah di Taming Jaya, Balakong pada Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang kelmarin di sebuah kilang di Jalan Semenyih, Kajang tempat suspek bekerja.
"Siasatan awal mendapati suspek bekerja di sebuah kilang sama dengan adik iparnya yang menjadi mangsa bunuh dan isteri suspek sendiri.
"Setakat ini, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kematian Sabturiah," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.
Menurut beliau, abang ipar mangsa ditahan dan direman sehingga 21 Ogos lalu selepas lelaki itu dipercayai memberi keterangan meragukan kepada polis berhubung kejadian yang menimpa anak ketujuh daripada 12 adik-beradik itu.
Difahamkan, pada hari kejadian, abang ipar Sabturiah dikatakan 'hilang' dari tempat kerjanya selama satu jam pada waktu tengah hari sebelum kembali menyambung tugas pada sebelah petang.
Akhbar pada Rabu lalu melaporkan, mayat Sabturiah yang berasal dari Kampung Merotai Besar dekat Tawau, Sabah dijumpai dalam keadaan terlentang di dalam bilik tidurnya oleh abang ipar mangsa pada pukul 7 malam Isnin lalu.
Laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh pakar patologi dari Hospital Serdang menunjukkan hampir semua organ dalaman mangsa yang masih bujang lebam manakala hati mangsa pecah.
Pemeriksaan juga mendapati mangsa dirogol selepas kematiannya dipercayai pada waktu tengah hari sebelum mayatnya dijumpai pada sebelah petang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Dalam kes berasingan, Tun Hisan memberitahu, pihaknya mengesan seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dan anak lelakinya bagi membantu siasatan kes seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah tapak perniagaan di kawasan Downtown, Seri Kembangan Isnin lalu.

Mati serentak menjelang Aidifitri




ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Sundar-Terusan, Lawas kelmarin.


LAWAS – Hari Raya Aidifitri yang dijangka disambut pada Ahad ini memberi makna yang memilukan buat sebuah keluarga apabila lima ahlinya menemui ajal selepas van yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 5, Jalan Sundar-Terusan di sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.50 petang itu mengakibatkan Mohd. Tafia, 45; Nur Khairunisa Nazwa Omar, 17; Zaimah Mohd. Taib, 12; dan Nurul Husna Izzati Imbran, 17, maut di tempat kejadian manakala ibu Nur Khairunisa Nazwa, Mariah Awang, 37, meninggal dunia di Hospital Lawas.
Kesemua mereka menaiki sebuah van jenis Toyota Hiace bersama tujuh ahli keluarga lagi yang dipandu Mohd. Tafia.
Kemalangan berlaku apabila van itu terbabas lalu merempuh sebuah pembetung air yang terletak di bahu jalan.
Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Awat-Awat di sini selepas membeli kelengkapan raya di pekan Sipitang. Jarak antara dua tempat itu kira-kira 50 kilometer.
Difahamkan, sebelum membeli-belah, Mariah bersama suami, Omar Abdul Rahman, 40-an, pergi ke pekan Sipitang untuk menjemput Nur Khairunisa Nazwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gadis itu menuntut di Politeknik Kuching, Sarawak.

Mangsa dibaham ketika memukat udang untuk menambah pendapatan menjelang raya Lelaki disambar buaya depan anak




AZWAN menunjukkan lokasi bapanya disambar buaya di Sungai Udin, Tawau pada Rabu lalu dan sehingga sekarang nasibnya belum diketahui.


TAWAU – Hajat seorang ayah bagi mencari pendapatan menjelang Aidilfitri berakhir dengan tragedi apabila dia dikhuatiri maut selepas disambar seekor buaya sebelum ditarik ke dalam sungai ketika memukat udang di Sungai Udin kira-kira 50 kilometer dari sini kelmarin.
Kejadian menakutkan pada pukul 4.30 petang itu disaksikan anak mangsa, Azwan Jailani, 16, yang berdiri hanya beberapa meter daripada ayahnya, Jailani Indersaya, 54.
Cerita Azwan, sebelum kejadian, dia sedang memancing di tepi sungai manakala ayahnya pula memukat udang.
“Tiba-tiba saya nampak seekor buaya warna hitam menerkam ke arah ayah sebelum menarik ayah masuk ke dalam sungai. Saya tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun, menurut Azwan, selepas kelibat ayahnya hilang, dia cuba mengejar jejak buaya itu dari atas tebing sungai berdasarkan kocakan air dari tebing sungai.
“Saya takut dan sedih tapi saya cuba cari juga buaya tersebut tetapi tidak menemui ayah,” kata remaja itu.
Paling menyedihkan, Azman memberitahu, kejadian menimpa ayah berlaku hanya tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
“Buaya yang sambar ayah sangat besar dan reptilia itu hanya mengambil masa beberapa saat untuk membawa ayah ke dalam sungai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, gerakan mencari dilancarkan bagi mengesan mangsa yang hilang.
Bagaimanapun, menurut beliau, sehingga petang semalam pasukan mencari dengan bantuan orang kampung belum menemui mangsa.
Kata beliau, selain Sungai Udin, kes manusia disambar buaya pernah berlaku di Sungai Kalumpang dan Sungai Serudong.