Search This Blog

Thursday, August 16, 2012

Kemalangan tempat sama, tempoh sejam


Kemalangan tempat sama, tempoh sejam
Keadaan lori dan kereta yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Taman Seri Telok Datok.
TELOK DATOK - Dua kemalangan berlaku di lokasi sama tidak sampai tempoh satu jam berhampiran perumahan Taman Seri TeloK Datok, kelmarin sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir 30 minit.

Pengguna, Mohd Faris Hisham, 45, berkata, kesesakan yang berlaku menyebabkan ada pengguna berpatah balik dan mengambil alternatif menggunakan jalan lain.

"Kemalangan itu berlaku kemungkinan kerana sikap pemanduan tidak berhemah pengguna yang ingin cepat sampai ke destinasi.

"Dengan keadaan jalan yang sibuk, pengguna seharusnya mengamalkan pemanduan berhemah dan memandu dengan kelajuan yang sesuai untuk mengelakkan kemalangan," katanya.

Menurutnya, laluan dari Banting ke Dengkil perlu diberikan perhatian dan tindakan pihak bertanggungjawab bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya selain daripada sikap pengguna itu sendiri.

"Antara cadangan yang perlu dipertimbangkan adalah meletakkan papan tanda amaran mengurangkan kelajuan kerana jalan di situ kerap kali sibuk.

"Jalan itu bertambah sibuk ketika pengguna pergi dan pulang dari tempat kerja. Adakalanya ia mengalami kesesakan yang tidak terkawal ada kemungkinan masalah yang sama berlaku ketika musim perayaan ini," katanya.

Sementara itu, menurut sumber polis, dalam kejadian 1.30 petang itu, sebuah lori hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta sebelum terbabas ke bahu jalan.

"Pertembungan dua kenderaan itu menyebabkan seorang wanita tersepit dan dengan kecekapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), mangsa berjaya dikeluarkan dan di bawa ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan.

"Tidak sampai satu jam, sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh sebuah lori yang sedang melalui kawasan sama, bagaimanapun, penunggang berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Sekolah tergantung, berlaku mendapan tanah


Sekolah tergantung, berlaku mendapan tanah
Mendapan yang berlalu membuatkan bahagian bawah bangunan boleh dilihat dengan jelas.
MARANG – Sekolah tergantung pertama di Malaysia. Demikianlah keadaan sebuah bangunan sekolah yang dibina di sebuah kawasan agak terpencil di Kampung Alor Limbat di sini, yang mula menjadi buah mulut penduduk di sekitar kampung berkenaan.

Isu pembinaan sekolah itu juga dikatakan mendapat bantahan sejak awal pembinaannya lagi kerana ia dibina di kawasan yang tidak sesuai dan berair. Kini kebimbangan mereka terjawab apabila berlakunya mendapan tanah sedalam lebih kurang 0.3 meter.

Malah, mereka juga mendakwa bangunan yang dikatakan berharga jutaan ringgit itu bakal runtuh bila-bila masa dan menerima nasib sama dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak yang bumbungnya runtuh pada tiga tahun lalu.

Setiausaha Pas Negeri Terengganu, Yahaya Ali yang mewakili penduduk berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Limbat yang sedang dalam pembinaan itu sepatutnya dibuka dua tahun lalu namun sehingga kini masih belum dapat digunakan.

Ini sebab, katanya bangunan tersebut disahkan tidak selamat untuk digunakan oleh pihak Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) akibat berlakunya mendapan tanah di bawah bangunan.


Tapak bangunan kawasan hutan berair

“Setakat yang saya tahu, sekolah (SMK Alor Limbat) ini patut telah dibuka tahun 2010 lagi. Harga kos pengambilan tanah RM1,608,177,00 dan kos pembinaan sekolah pula menelan belanja jutaan ringgit tapi sampai sekarang masih belum dapat digunakan.

“Isunya dari pemilihan tapak lagi sebab asal kawasan berkenaan adalah kawasan hutan berair (tasik) sedangkan pilihan untuk pengambilan balik tanah lebih sesuai boleh dilakukan di tempat lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Yahaya berkata, pada peringkat awal perancangan pembinaannya sebahagian dari kawasan pembinaan sekolah tersebut juga bertindih dengan kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Penjara Beruk pada zaman kerajaan Pas iaitu pada 1999 hingga 2004.

Sehubungan itu, katanya, tapak kawasan projek itu terpaksa ditambun selain turut membabitkan soal kurang teliti pihak berkenaan hingga tanah sekeliling bangunan sekolah berkenaan mendap lebih kurang 0.3 meter dan menyebabkan bangunan sekolah menjadi tergantung.

Persoalannya, kata Yahaya yang merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, apakah pemilihan tapak projek sekolah itu kerana mengambil kira kepentingan projek itu sendiri atau mempunyai agenda tersembunyi seperti mengeluarkan kayu balak dari kawasan tersebut.

Dalam pada itu, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu 13 Ogos lalu kerajaan mengesahkan dalam jawapan bertulis kos pengambilan tanah sekolah itu berharga RM1,608,177 dan pengoperasian tidak dapat diteruskan kerana berlaku mendapan tanah.

Sayu kenangkan nasib anak


Sayu kenangkan nasib anak
JUNAIDAH
MANJUNG - Sayu hati seorang ibu apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang keluar mencari kerja sejak 6 Ogos lalu tidak pulang ke rumah sehingga kini.

Junaidah Ramlee, 18, atau mesra dipanggil Jun merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keluar dari rumah di Batu 14, Lekir, pada jam 11 pagi.

Ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Paridah, 50, berkata, ketika anaknya keluar dari rumah dia tidak mengesyaki apa-apa sehingga selepas jam 5 petang Jun masih belum pulang dan gagal dihubungi.

“Ketika kali pertama makcik hubungi Jun pada jam 11.30 pagi dia hanya memberitahu berada di Sitiawan bersama kawan namun, tidak menyatakan siapa kawannya itu tetapi selepas jam 5 petang apabila dihubungi lagi telefon bimbitnya sudah dimatikan,” katanya ketika dihubungi.

Kata Paridah, setelah menyedari kehilangan anaknya itu, dia membuat laporan polis di Balai polis Sitiawan pada keesokan harinya.

Jelasnya, sebelum kejadian Jun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap kerana Jun seorang yang pendiam dan kuat berahsia sehinggakan makcik sendiri tidak tahu sama ada dia mempunyai teman lelaki atau tidak.

“Tetapi yang pasti dia seorang anak yang manja, menghormati ibu bapa dan tidak pernah terlibat dalam masalah sosial,” katanya.

Paridah berkata, semasa anaknya keluar dari rumah, dia memakai seluar jeans, baju-T dan bertudung.

“Saya merayu supaya dia pulang kerana kami amat merinduinya ditambah pula hari raya semakin hampir.

“Kami sekeluarga menunggunya untuk menyambut hari raya bersama dan segala kesalahannya kami telah maafkan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Junaidah boleh menghubungi Inspektor Fadflishah 017-4604598 atau 013-4370085.

Cubaan keluar negara gagal


Cubaan keluar negara gagal
Lima Pati yang ditahan termasuk seorang kanak-kanak.
JOHOR BAHRU – Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor menahan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba menyeludup keluar dari negara ini secara haram menerusi Ops Serkap, 13 Ogos lalu.

Kesemua Pati berusia antara lima hingga 31 tahun itu ditahan dalam Ops 6P yang diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (II) negeri, Amzari A Jalil itu disertai oleh 10 anggota dan lokasi tumpuan adalah di persisiran Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini.

Kelima-lima Pati terbabit merupakan antara 300 warga asing yang cuba meninggalkan negara melalui ‘lorong tikus’ menggunakan tiga buah bot.

Amzari berkata, rondaan pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Selatan ketika menuju ke muara Sungai Tiram menemui tiga buat bot dalam keadaan mencurigakan sedang berlabuh sementara menanti air pasang penuh untuk bergerak ke arah Batam, Indonesia bersama Pati.

Menurutnya, ketika menghampiri bot terbabit dengan menyalakan lampu suluh dan memperkenalkan diri sebagai anggota Imigresen, sebuah daripada tiga bot berkenaan menerpa laju ke arah bot Maritim, manakala dua yang lain menghala ke arah kiri masuk ke Sungai Tiram.

“Bot Maritim sempat mengelak seterusnya berjaya mengejar dan memintas ketiga-tiga bot terbabit. Ketika kejadian, ketiga-tiga bot ini sarat dengan penumpang disyaki warga Indonesia.

“Ketiga-tiga bot ini berpatah balik masuk ke Sungai Tiram. Bagaimanapun tindakan mereka menyebabkan bot dinaiki tersangkut di lumpur kerana keadaan air yang cetek ketika kejadian.

“Tekong segera melarikan diri dengan terjun ke sungai bersama penumpang. Ketika itu, kedengaran suara riuh rendah Pati dan kanak-kanak menjerit serta menangis. Kesemua mereka terjun ke sungai yang berlumpur menghala ke tebing dan bersembunyi di semak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Amzari berkata, hasil daripada pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas ketiga-tiga bot terbabit menemui 120 beg yang dibungkus menggunakan plastik hitam disusun secara rapi dipercayai kepunyaan penumpang.

“Oleh kerana air cetek pada ketika itu, anggota perondaan terpaksa memanggil sebuah bot kecil nelayan yang kebetulan lalu untuk menghantar anggota lain ke arah bot yang tersangkut.

“Selepas diperiksa, terdapat banyak beg dipercayai kepunyaan penumpang bot. Ketiga-tiga bot ini disita untuk tindakan jabatan dan dianggarkan jumlah keseluruhan penumpang adalah 300 orang tanpa jaket keselamatan,” katanya.

Katanya, kelima-lima dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut

Terjaga dengar bunyi siren


Terjaga dengar bunyi siren
Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang padi tinggal di Jalan Terusan, Parit Buntar lewat petang kelmarin.
PARIT BUNTAR - Sebuah bangunan lama yang pernah dijadikan kilang padi di Jalan Terusan, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat petang kelmarin.

Pemilik bangunan yang ingin dikenali sebagai Ng, 70, berkata, dia tinggal kira-kira 10 meter dari kilang itu dan terjaga kira-kira jam 4.30 petang kelmarin setelah terdengar bunyi siren bomba.

Menurutnya, dia sedang  tidur sewaktu api mula marak membakar bangunan lama kilang tersebut.

“Ketika saya dengar bunyi siren bomba, anak saya terus keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.

“Mula-mula kami hanya nampak percikan api sahaja tapi semakin lama api itu semakin marak dan kawasan sekeliling kilang ini mula dipenuhi penduduk kampung untuk melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Ng berkata, dia amat bimbang api itu merebak kerana jarak kedai runcitnya dan kilang itu terlalu hampir.

“Kejadian kebakaran itu amat mengejutkan saya kerana bangunan itu sudah lama tidak digunakan dan kini hanya disewakan untuk tujuan mengumpul hasil padi.

“Saya bimbang jika api merebak ke rumah pula, berikutan itu saya dan anak hanya keluar sehelai sepinggang dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kebakaran  ituw kira-kira jam 4 petang.

Dua jentera bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit Buntar dan Kuala Kurau dikerahkan ke tempat kejadian bersama lima bomba sukarela dari Bagan Tiang, Kuala Kurau, Parit Buntar serta Bagan Serai.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira lima minit kemudian dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira lima belas kemudian.

"Punca kejadian dan anggaran kerugian masih disiasat,” katanya.

Warga emas ditahan jual mercun bola


Warga emas ditahan jual mercun bola
Sebahagian daripada mercun yang dirampas.
PETALING JAYA – Kegiatan  sebuah kedai runcit menjual bunga api dan mercun secara haram membawa padah apabila barangan  yang dijual secara sembunyi-sembunyi sejak dua minggu yang lalu itu  berjaya dikesan polis.

Dalam operasi diketuai oleh Ketua Balai Polis Damansara Utama Chif Inspektor Zul Azri Abdul Rashid, pihak polis berjaya merampas sejumlah bunga api dan mercun yang disorokkan di dalam stor kedai runcit itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata,  mercun yang dirampas adalah dari jenis mercun bola.

Menurutnya, pemeriksaan  kemudiannya menemui 77 kartun  rokok seludup yang disembunyikan dalam beberapa buah kotak di dalam stor yang sama.

“Polis turut menahan pemilik kedai  berusia 60 tahun  untuk siasatan lanjut kerana menjual barangan terlarang,” katanya.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam yang tidak berpuas hati dengan tindakan kedai runcit berkenaan menjual mercun kepada kanak-kanak.

“Kita juga harap agar orang ramai yang mempunyai maklumat tentang penjualan mercun  menyalurkan maklumat  kepada polis agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Jelasnya,  diambil di bawah Seksyen 8 Akta bahan letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan didenda maksimun RM 10,000.

Lari lintang pukang


Lari lintang pukang
Beberapa pegawai dan anggota unit forensik polis menjalankan siasatan.
ALOR SETAR - Bunyi penggera keselamatan sebuah bank di Pekan Simpang Kuala, awal pagi semalam, berjaya mematahkan cubaan sekumpulan perompak melarikan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Dalam kejadian antara jam 3.56 pagi hingga 3.59 pagi,  tiga lelaki memakai topeng muka, menebuk lubang pada salah satu daripada empat mesin ATM yang ada di situ, namun gagal melarikan wang yang terdapat di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank terbabit, ketiga-tiga lelaki itu dilihat menaiki kereta jenis Proton Iswara berwarna putih.

“Mereka meletakkan kenderaan itu secara melintang di hadapan bank sebelum masuk ke dalam bank dan menebuk salah satu mesin ATM di situ.

“Bagaimanapun, mereka bergegas keluar melarikan diri dengan kereta apabila penggera keselamatan berbunyi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kelakuan ketiga-tiga lelaki itu dirakam oleh CCTV dan kejadian berlaku dalam tempoh yang sangat cepat.

“Proses tiga minit itu sangat cepat hingga tiada orang yang nampak (perasan kejadian itu). Polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan mereka yang disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan mencuri,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati, terdapat lapan mesin di bank berkenaan termasuk dua mesin deposit tunai dan dua mesin deposit cek.

Malah, terdapat salah satu daripadanya di pintu bank, diletakkan kunci dari luar

Pengasuh dera kanak-kanak

Pengasuh dera kanak-kanak
Saroja dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.
AYER KEROH - Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana mendera seorang kanak-kanak berusia 3 tahun lapan bulan, Mei dan Jun lalu.

R G Saroja, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap dua pertuduhan didakwa ke atasnya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Saroja yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak berusia 3 tahun lapan bulan telah mengabaikan dan mendedahkan kanak-kanak tersebut dengan menyebabkan kecederaan terhadapnya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Tasik, Jalan Seremban, Pulau Sebang kira-kira jam 5.30 petang, pada Mei 2012.

Bagi pertuduhan kedua, dia juga didakwa melakukan kesalahan sama, kira-kira jam 6 petang, Jun 2012 di alamat yang sama.

Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksima 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Safri Mohammed Na’aim meminta memberikan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, selain memohon Saroja melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, Saroja memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tiada suami, tidak bekerja dan perlu menanggung anak, selain menerima bantuan kebajikan.

Harmi Thamri membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan menetapkan sebutan pra perbicaraan pada 14 September depan.

Beliau turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Pulau Sebang pada hari pertama setiap bulan.

Bapa 2 anak didakwa rogol gadis bawah umur


Bapa 2 anak didakwa rogol gadis bawah umur
Kedua-dua tertuduh menutup muka dengan baju mereka ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, semalam.
KOTA BHARU - Bapa kepada dua anak dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di sebuah kampung di Pasir Puteh.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Rosdi Abdullah, 29, bersama seorang rakannya, Mohd. Jazlee Abd. Wahab, 28, mengaku tidak bersalah dihadapkan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mohd. Rosdi yang berasal dari Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh dihadapkan di depan Ahmad Bazli terlebih dan diikuti Mohd. Jazlee dari Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh.

Mohd. Rosdi didakwa melakukan perbuatan itu, pada jam 2 pagi, pertengahan Julai lalu dengan merogol mangsa berusia 15 tahun tiga bulan itu di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh.

Dia didakwa boleh dikenakan penjara antara lima hingga 30 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan. Manakala Mohd. Jazlee didakwa merogol mangsa yang sama  jam 4.30 pagi, 8 Ogos lalu di tempat yang sama.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hafiz Abd. Rahman manakala Mohd. Rosdi tidak diwakili peguam sementara Mohd. Jazlee diwakili peguam Wan Abd. Razak Wan Dollah.

Mohamad Hafiz tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh namun Wan Abd. Razak memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin.

“Ini kes pertama tertuduh, tertuduh hanya bekerja sebagai seorang buruh yang berpendapatan RM40 sehari manakala isterinya tidak bekerja dan mereka mempunyai dua orang anak,” katanya.

Mahkamah membenarkan Mohd. Jazlee dijamin sebanyak RM10,000 manakala Mohd. Rosdi tidak dibenarkan jaminan. Kedua-dua kes akan disebut pada 8 Oktober ini.

Dicekup berjudi di kubur


Warga emas dicekup ketika berjudi di kubur
Kelima-lima tertuduh dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terenganu, semalam selepas mengaku berjudi di tanah perkuburan Cina di Jalan Pusara.
KUALA TERENGGANU - Memalukan! Tiga warga emas antara lima ditahan ketika asyik bermain judi daun terup di  tanah perkuburan Cina, Jalan Pusara, di sini, petang kelmarin.

Namun, perbuatan mereka tidak menghormati Ramadan itu menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan selepas kesemua tertuduh, Ibrahim Embong, 69; Ghazali Embong, 60; Mohd Zaid Ibrahim, 56; Wan Ahmad Wan Sembak, 60; dan Abu Bakar Embong, 66, dari Kuala Terengganu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kesemua mereka mengaku bermain judi daun terup dengan bertaruh wang tunai di pondok rehat kawasan tanah perkuburan Cina, Jalan Pusara, di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Dengan itu, mereka mengaku melakukan kesalahan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis daerah Kuala Terengganu yang sedang melakukan rondaan di kawasan tanah perkuburan itu melihat lima lelaki duduk bersila di atas lantai kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Ketika itu, mereka sedang menghadap sekeping kad manila berwarna oren dipercayai leka bermain judi daun terup dan cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran polis.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dan polis turut merampas sekeping kad manila, 52 keping daun terup, dua kotak daun terup yang belum digunakan dan tunai RM330 yang digunakan mereka untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

Kempunan beraya kereta baru


Kempunan beraya kereta baru
Saiful (kiri) dan Muhammad Hanif melihat keadaan kereta Iswara yang mereka naiki
HULU SELANGOR - Hasrat seorang penuntut sebuah kolej dekat sini untuk pulang beraya dengan kenderaan yang baru  diambil dari keluarganya tidak kesampaian setelah terbabit dengan kemalangan awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.25 pagi itu, kereta Proton Iswara dinaiki Saiful Amirul Abdul Rahim, 19, bersama rakannya, Muhammad Hanif Ismail, 19, terbabas setelah cuba mengelak kereta yang secara tiba-tiba membrek di hadapannya.

Menurut Saiful, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah sewa di Sungai Behrang selepas bermain futsal di Tanjung Malim.

“Ketika tiba dekat persimpangan Plaza Tol Behrang, sebuah kereta Suzuki Swift dipandu seorang wanita mengekori rapat di belakang kami tetapi setelah kereta itu memintas secara tiba-tiba dia membrek.

“Saya cuba mengelak melanggarnya tetapi gagal dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar besi pengadang jalan dan berpusing sebelum terhenti di bahagian tengah pembahagi jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saiful berkata, dia mengalami kecederaan bibir kanan akibat terhantuk pada stereng sementara rakannya tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Muhammad Hanif berkata, Saiful baru saja mengambil kereta tersebut dari kampung di Pulau Pinang pada Ahad lalu dan bercadang menggunakannya untuk balik bercuti menyambut Aidilfitri.

Katanya yang mengambil jurusan Mekatronik Semester 3, kejadian itu cukup mencemaskan dan jika Saiful gagal mengelak berkemungkinan mereka jatuh ke gaung.

“Saiful bertindak memutar stereng ke kanan selepas melanggar besi pengadang jalan kerana menyedari terdapat gaung di bawah.

“Nasib baik dia bertindak pantas jika tidak tak tahulah bagaimana nasib kami,” katanya yang berasal dari Johor.
 

Sanggup sewa bilik, lakukan seks songsang


Sanggup sewa bilik, lakukan seks songsang
Dua remaja lelaki bernafsu songsang dicekup dalam keadaan bogel berpelukan atas katil di sebuah tempat penginapan, dekat Pantai Sura, petang semalam.
PANTAI SURA (DUNGUN) – Menjijikkan! Itu gambaran yang boleh diberikan buat dua remaja lelaki yang bernafsu songsang apabila sanggup menodai kesucian bulan Ramadan dengan menyewa bilik penginapan bagi melakukan hubungan sejenis.

Perbuatan tidak bermoral dua remaja lelaki termasuk seorang daripadanya penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) ini, terbongkar hasil serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah di sebuah tempat penginapan dekat sini, kira-kira jam 2.00 petang semalam.

Serbuan tersebut dilakukan setelah maklumat diterima mengatakan salah seorang suspek yang berasal dari Berek Kastam, Dungun itu dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ketika serbuan di lakukan, dua remaja lelaki itu difahamkan berada dalam keadaan bogel, berpelukan antara satu sama lain atas katil dalam sebuah bilik yang disewa dengan kadar RM60 semalaman itu.

Salah seorang suspek, pelajar semester enam jurusan perhotelan itu ketika ditemui, turut mengaku tidak berpuasa dan datang ke situ bersama rakan lelaki berusia 29 tahun itu untuk melakukan adegan asmara.

Hasil serbuan berkenaan, sehelai coli hitam dipercayai milik pelajar IPTA yang berasal dari Sungai Buaya itu turut dirampas polis.

Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut sebelum diarahkan menjalani ujian saringan air kencing untuk mengesahkan pembabitan mereka dengan penyalahgunaan dadah.

OIC gantung Syria


Presiden Bashar al-Assad
Presiden Syria, Bashar al-Assad
[DIKEMAS KINI] MAKKAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah mengambil keputusan drastik dengan menggantung keahlian Syria, negara yang berhadapan dengan konflik lebih 17 bulan.
Perkara itu diputuskan pada sidang khas OIC yang berlangsung di sini dan diumumkan awal pagi ini.
"Wujud kebimbangan yang mendalam berkenaan dengan pembunuhan (orang ramai) dan tindakan tidak perikemanusiaan ke atas rakyat Syria," kata Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Nizar Obaid Madani.
Bagaimanapun keputusan itu dikatakan dibantah oleh Iran. OIC dianggotai negara yang mewakili 1.5 bilion umat Islam.
Pada sidang khas ini, Malaysia diwakili oleh Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak yang semalam menyatakan pendirian menyokong keputusan OIC ke atas Syria.
Pada sidang media, Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu pula berkata, keputusan itu menyampaikan "mesej keras" kepada Damsyik.
"Keputusan sidang menyampaikan satu mesej yang tegas daripada dunia Islam kepada rejim Syria," kata beliau.
"Dunia ini sudah tidak boleh lagi menerima sebuah rejim yang membunuh rakyatnya menggunakan pesawat, kereta kebal dan senjata berat," kata beliau lagi.
Kenyataan yang dikeluarkan menyebut bahawa negara-negara yang menyertai sidang khas telah bersetuju dengan keperluan mengambil tindakan segera bagi menghentikan penindasan di Syria dan "menggantung negara itu dari OIC."
Perkembangan terbaru ini dijangka akan mengenakan tekanan baru ke atas kepimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Bagaimanapun kesannya, menurut pemerhati, hanya dilihat satu simbolik.

Fitnah Rais: Mahkamah benarkan hukuman penjara terhadap blogger ditangguh


rais yatim
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim .
KUALA LUMPUR - Blogger Amizudin Mamat yang diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah hari ini berjaya mendapatkan penggantungan sementara sehingga 28 Ogos ini.

Amizudin sebelum ini didapati bersalah melanggar perintah mahkamah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam laman blognya.

Beliau memfailkan permohonan penggantungan pada hari yang sama dijatuhi hukuman iaitu pada 10 Ogos lalu.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan permohonan tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam R. Sivarasa dan Latheefa Koya yang mewakili Amizudin serta peguam Datuk Seri Shafee Abdullah bagi pihak Rais.

Latheefa memberitahu pemberita bahawa pihaknya memohon penggantungan sementara memandangkan hari raya semakin hampir dan Hakim Zabariah membenarkan permohonan itu sehingga pendengaran penuh pada 28 Ogos.
 
Amizudin didapati bersalah menghina mahkamah apabila menerbitkan 11 lagi artikel memfitnah Rais iaitu selepas Rais memenangi saman beliau terhadap blogger itu pada 19 Julai tahun lepas.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Azimudin membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos kepada menteri itu.

Rais memfailkan saman itu pada 31 Jan 2011, terhadap Amizudin, 42, yang merupakan anggota Jawatankuasa Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), bagi memfitnah berhubung artikel yang diterbitkan dalam laman blog blogger itu, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Dis, 2010.- Bernama

10 cedera, bas masuk gaung

GUA MUSANG - Sepuluh penumpang bas cedera apabila kenderaan yang dinaiki itu terbabas dan masuk ke gaung di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu pagi ini.

Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan

Polis Bachok rampas mercun disembunyi dalam kandang kambing

BACHOK - Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM4,500 daripada seorang lelaki yang disembunyikan dalam kandang kambing dekat rumahnya di Kampung Kuchelong di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Abdul Rahim Che Ghani berkata mercun dan bunga api itu dipercayai untuk diedarkan kepada pekedai sekitar daerah ini sempena Aidilfitri.

"Dalam serbuan pukul 1.25 pagi itu, pelbagai jenis mercun dan bunga api yang berbahaya kepada pengguna dan melanggar undang-undang dirampas," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata serbuan melibatkan sepasukan tujuh anggota polis itu pada mulanya gagal menemui bahan berkenaan di rumah lelaki tersebut sebelum ia dijumpai disembunyikan di kandang kambing berdekatan.

Abdul Rahim berkata lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957 kerana memiliki mercun tanpa permit yang sah, yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya.- Bernama

Rasuah: Inspektor, konstabel polis dipenjara dan denda

SHAH ALAM - Seorang inspektor polis dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah bersetuju menerima suapan RM4,000 sebagai doronganuntuk melepaskan dua wanita warga Thailand, dua tahun lepas.
   
Hakim M.Bakri Abdul Majid juga memerintahkan inspektor Mohd Azrul Azza MatJubin, 27, dipenjara sembilan bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.   
   
Selain itu, M.Bakri turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM20,000 ke atas konstabel sokongan Mohd Fitri Hayat Ahmad, 24, selepas dia didapati bersalah melakukan kesalahan yang sama.
   
Anggota polis itu boleh dipenjarakan enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.
   
M.Bakri membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan permohonan mereka untuk penangguhan
pembayaran denda.
   
Ketika menjatuhkan hukuman, M.Bakri berkata hukuman penjara ke atas Mohd Azrul Azza lebih tinggi berikutan dia adalah pegawai atasan kepada Mohd Fitri Hayat dan merupakan perancang dalam kes itu.
   
Mohd Fitri Hayat dan Mohd Azrul Azza didakwa menyetuju terima suapan wang tunai RM4,000 daripada peniaga Chin Chen Seng sebagai dorongan untuk melepaskan dua wanita warga negara Thailand yang ditangkap polis pada 18 Disember 2010.
   
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Balai Polis Seri Kembangan dekat sini, pada 24 Disember 2010.
   
Seramai 17 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
   
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Wan Ahmad Nidzam Wan Omar. - Bernama

Lagi nahas mercun di Kelantan, kanak-kanak hampir putus jari


Lagi nahas mercun di Kelantan, kanak-kanak hampir putus jari
Mohd Iskandar Azaki Mat Rudin, 9, yang hancur jari manis akibat bermain mercun di rumahnya sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.- Foto Bernama
KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki hampir kehilangan jari manis tangan kanannya akibat terkena letupan mercun bola di Kampung Kemasin, Bachok, hari ini.
  
Mohd Iskandar Azaki Mat Rudin, 9, cedera apabila mercun yang dinyalakannya meletup sebelum sempat dibuang, kira-kira 3 petang tadi.
  
Ibunya Siti Aishah Mat, 31, berkata ketika kejadian, anak kedua dari tiga beradik itu sedang bermain dalam bilik tidur seorang diri.
  
"Masa kejadian itu, saya sedang menonton televisyen di ruang tamu dan saya hanya tahu kejadian itu setelah mendengar letupan yang kuat dari biliknya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.
  
Siti Aishah berkata beliau bergegas ke dalam bilik itu dan menemui mangsa yang terkejut selain tangannya dibasahi darah.
  
Ketika kejadian ayah mangsa, Mat Rudin Ibrahim, 38, sedang menampal simen di tangga rumah mereka.
  
Sejurus kejadian itu, Siti Aishah berkata beliau membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Daerah Bachok sebelum beliau dihantar ke HRPZ II.
  
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II Zaid Ahmad berkata setakat ini, pihak hospital menerima 16 kes kecederaan akibat mercun sejak awal Ramadan.
  
"Tahun ini mencatatkan peningkatan kes yang tinggi berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 13 kes," katanya.
  
Zaid turut menasihati ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka daripada bermain mercun terutama ketika menjelangnya Aidilfitri ini. - Bernama

Dua sepupu maut disambar petir


Dua sepupu maut disambar petir
Jenazah Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim yang maut dipanah petir di bawa pulang selepas dibedah siasat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.- Foto Bernama
Dua sepupu maut disambar petir
Jenazah Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman yang maut dipanah petir di bawa pulang selepas dibedah siasat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.- Foto Bernama
MARANG - Dua sepupu maut disambar petir di Kampung Pengkalan Berangan, di sini hari ini. Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman, 9, mati di tempat kejadian.
  
Kedua-dua murid Sekolah Rendah Kebangsaan Pengkalan Berangan itu dikatakan disambar petir ketika mereka mengikut bapa Ahmad Salihin ke ladang ternakan di Kampung Felda Cadur, kira-kira lima kilometer dari rumah mereka untuk menangkap lembu dan kerbau.
  
Menurut ibu Ahmad Salihin, Noor Hayati Mohd Noor, 37, suaminya keluar dari rumah kira-kira pukul 1 tengah hari diikuti anak dan anak saudaranya yang baru pulang dari sekolah.
  
Noor Hayati berkata anaknya dan Mohd Azhar memang rapat dan sentiasa mengikut suaminya Tan Ibrahim Tan Senik, 51, ke ladang untuk menangkap haiwan ternakan itu.

"Semasa mereka keluar rumah cuaca agak baik tapi selepas itu hujan turun dengan lebat beserta ribut dan kilat," katanya.
  
Sementara itu ibu Tuan Mohd Azhar, Tengku Rosmawati Raja Ibrahim, 38, berkata anak keempat dari tujuh beradik itu agak manja kebelakangan ini dan rajin berbanding sebelum ini.
  
"Walaupun sedih namun saya reda dengan pemergian dua sepupu ini di saat beberapa hari lagi kita nak sambut Hari Raya," katanya yang terkilan kerana anaknya tidak sempat memakai baju Melayu yang dipilihnya sendiri.
  
Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
  
Mayat kedua-dua sepupu itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat. - Bernama

Polis jejaki lelaki bantu siasatan kes bakar gadis

KUALA LUMPUR - Polis memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes gadis berusia 16 tahun disimbah petrol dan dibakar, dalam kejadian berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, di sini kelmarin.
    
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh meminta mereka yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Mohd Amir Mohd Anuar, beralamat di No 16, Blok Q, Pangsapuri Taman Keramat agar menghubungi balai polis berdekatan.
   
Mengulas kejadian 3 pagi di kawasan semak berhampiran PPR itu kepada pemberita hari ini, Mohmad berkata gadis terbabit dipercayai dibakar oleh teman lelakinya yang berusia 18 tahun.
   
Bahagian badan termasuk muka remaja terbabit terbakar 25 peratus dan dia kini berada dalam keadaan koma di Hospital Kuala Lumpur, katanya.
   
Mohmad berkata polis masih menyiasat motif kejadian namun tidak menolak berpunca daripada perasaan cemburu.
   
"...kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.
   
Selain itu, Polis Kuala Lumpur juga sedang menjejaki Zulkarnain Othman, 36, beralamat di K-09-10, Desa Rejang, Persiaran Rejang, Setapak Jaya berhubung kes bunuh warga Myanmar pada malam Sabtu lepas.
   
Mangsa ditemui dengan kesan kelar pada leher berhampiran kafe siber di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dipercayai diserang dari arah belakang menggunakan pisau pemotong kertas, kata Mohmad. - Bernama

Pejabat Ikhlas diceroboh, bahan bukti isu bazar Ramadan hilang


Pejabat Ikhlas diceroboh, bahan bukti isu bazar Ramadan hilang
Pejabat Ikhlas diceroboh, bahan bukti isu bazar Ramadan hilang
KUALA LUMPUR - Kejadian pecah masuk pejabat Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) tidak mematahkan semangat pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan nasib peniaga dan penjaja yang tertindas.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, kelantangan beliau bersama Ikhlas tidak akan sesekali luntur untuk membongkar setiap penyelewengan yang berlaku setelah beberapa dokumen penting berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan isu peniaga warga asing dan tapak bazar Ramadan dicuri.

Menurutnya, kehilangan beberapa bukti penting ini sedikit sebanyak menjelaskan betapa pentingnya isu yang dibawa oleh Ikhlas memberi impak yang mendalam sehinggakan ada pihak bertindak mecurinya.

“Saya percaya kejadian ini mempunyai unsur-unsur tidak baik dan cuba melupuskan bahan bukti yang disimpan oleh Ikhlas.

“Ini berikutan setelah SPRM  mengesahkan terdapat individu dan kakitangan awam yang menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa di atas kes yang dibawa oleh Ikhlas baru-baru ini,” katanya pada sidang media berhubung kejadian pecah masuk pejabat Ikhlas yang berlaku baru-baru ini, semalam.

Dalam kejadian itu, dianggarkan Ikhlas mengalami kerugian sebanyak RM10,000 selain bahan salinan bukti isu pekerja warga asing dan tapak bazar Ramadan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mengulas kejadian pecah masuk pejabat Ikhlas, kejadian dipercayai berlaku antara 7 Ogos sehingga 14 Ogos 2012 apabila pejabat tersebut kosong berikutan ahli jawatankuasa (AJK) Ikhlas bekerja di luar kawasan.

Katanya, kejadian ini disedari seorang AJK Ikhlas yang ingin membuka pejabat pada 14 Ogos 2012 dan mendapati pintu pejabat terbuka setelah ia diumpil.

Dalam perkembangan lain, Ridzuan berkata, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula kemasukan pekerja asing yang semakin berleluasa mendapat tempat berniaga sehingga menutup punca rezeki warga tempatan.

Ketua, anggota geng Koo Looi diburu


Ketua, anggota geng Koo Looi diburu
Amiruddin (kanan) bersama komponen kereta curi yang ditemui di bengkel haram dalam serbuan, baru-baru ini.
AMPANG - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat sindiket curi dan lerai komponen kereta dalam serbuan di sebuah bengkel di Kampung Melayu Ampang, baru-baru ini.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika sedang membaiki sebuah kereta, kira-kira jam 9.30 malam, pada 8 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam serbuan itu, polis menemui lima kereta, komponen kenderaan dan enjin yang dileraikan.

“Bengkel haram ini menjadi tempat sindiket dikenali geng Koo Looi menyimpan dan meleraikan komponen kereta sebelum dijual semula pada harga murah.

“Kumpulan ini aktif sejak 2009 dan terlibat sekurang-kurangnya 20 kes curi kereta di sekitar Ampang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, semalam.

Amiruddin berkata, lima buah kereta yang ditemui di bengkel tersebut iaitu Proton Waja, Satria, Wira dan Perdana itu dilaporkan curi antaranya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Melaka.

Katanya, siasatan mendapati suspek yang ditahan itu bekerja sebagai peniaga makanan di siang hari dan mempunyai kepakaran dalam membaiki serta meleraikan kereta.

“Kita sedang mengesan pemilik bengkel dan dua lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket ini,” katanya.

Suspek ditahan reman sehingga hari ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan sindiket diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk bantu siasatan.

Empat warga asing miliki bom tangan, pistol ditahan


Empat warga asing miliki bom tangan, pistol ditahan
Mohmad (dua, kanan) bersama Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh menunjukkan senjata api yang dirampas.
KUALA LUMPUR - Polis menahan empat warga asing yang dipercayai terlibat kumpulan kongsi gelap di sebuah unit kondominium di Salak Selatan, Isnin lalu.

Semua suspek ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, polis menemui 1,941 biji pil ekstasi dan dadah jenis ketamin serta pelbagai jenis senjata tajam dan sebiji bom tangan ketika serbuan di kediaman berkenaan pada jam 4.30 petang.

"Ketika serbuan empat suspek terdiri daripada dua lelaki warga Singapura, seorang wanita warga China dan seorang wanita warga Vietnam berusia dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun itu sedang tidur," katanya.

Menurutnya, keempat-empat suspek terbabit dipercayai menyewa di kondominium berkenaan sejak awal tahun ini.

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Colt Magnum berserta 59 butir peluru hidup pelbagai jenis, beberapa peralatan komputer, telefon bimbit dan dua buah kenderaan jenis Chevrolet Optra dan Volvo S80 dipercayai milik warga asing terbabit," katanya.

Menurutnya, semua jenis dadah yang dirampas bernilai RM100,000. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu berkenaan terlibat dengan kes jenayah lain.

Polis cari 'Datuk Seri' bantu siasatan kes bunuh peniaga minuman

SHAH ALAM - Polis sedang mencari seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dan anak lelakinya bagi membantu siasatan kes seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah tapak perniagaan di kawasan Downtown, The Mines, Seri Kembangan awal pagi Isnin lepas.
   
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata ahli perniagaan itu ialah Jaafar Shaari, 50, alamat terakhir di No 3, Jalan P11 K/12, Presint 11, Putrajaya dan anaknya Ahmad Jiwari @ Wari, 23, alamat terakhir di Lot 141, Kampung Pedas Hilir, Jalan Kundur, Pedas, Negeri Sembilan.
   
Polis meminta kedua-dua mereka tampil untuk membantu siasatan, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
   
Difahamkan kejadian kira-kira 2 pagi itu berlaku selepas mangsa Azhari Sidek, 44, mengambil sebuah meja usang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian sebelum diletakkan berhampiran gerai miliknya.
   
Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi seorang lelaki dikatakan menjalankan  perniagaan di kawasan sama yang mendakwa meja berkenaan miliknya hingga berlaku pergaduhan.
  
Menurut adik angkat mangsa yang enggan mahu dikenali, lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya untuk membelasah abangnya akibat rasa tidak puas hati itu.
   
Sementara itu, Tun Hisan berkata seorang suspek lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang pekerja kilang perempuan berusia 19 tahun di sebuah unit flat di Jalan Taming 2, Taming Jaya dekat Balakong Isnin lepas.
   
Beliau berkata suspek berusia 26 tahun yang ada ikatan kekeluargaan dengan mangsa ditahan pada pukul 2 petang berdekatan Jalan Semenyih, Kajang, semalam.
   
"Siasatan mendapati suspek bekerja di kilang yang sama dengan mangsa," katanya.
   
Dalam kejadian Isnin lepas, mayat Sabturiah Faisal, 19, yang berasal dari Kampung Merotai Besar dekat Tawau, Sabah dijumpai dalam keadaan terlentang di dalam bilik tidurnya oleh abang ipar mangsa pada pukul 7 malam.
   
Mengikut laporan media, polis yang menyiasat mayat mangsa mendapati ada kesan lebam pada leher, perut, dan tangan kanan anak ketujuh daripada 12 beradik itu.
   
Difahamkan, polis turut menemui kesan tompokan air mani di bilik mangsa dan mengesyaki gadis itu menjadi mangsa rogol oleh individu yang dikenalinya. - Bernama

Buruh bebas tuduhan dadah, anggap 'hadiah Aidilfitri'


Azhar (kanan) bersalaman dengan peguamnya, Naran
Azhar (kanan) bersalaman dengan peguamnya, Naran selepas dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memiliki dan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
IPOH - "Pembebasan hari ini adalah hadiah Hari Raya paling bermakna buat saya."

Demikian reaksi Azhar Mohd Hassan, 42, yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memiliki dan mengedar dadah kira-kira lima tahun lalu.

"Syukur kepada ALLAH SWT dan terima kasih kepada peguam yang bertungkus-lumus mengendalikan kes sehingga keputusan Mahkamah Tinggi memihak pada saya," katanya lagi.

Azhar seterusnya berkata: "Tahun ini saya akan beraya di kampung, di Batu Feringgi, Pulau Pinang."

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Zainal Adzam Abd Ghani membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang ditemui itu pada tahap keraguan munasabah.

Dalam keputusan yang dibacakan, Zainal Adzam berkata, keterangan daripada saksi pendakwaan turut bercanggah antara satu sama lain.

Justeru, bekas pekerja ladang kelapa sawit itu dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pertama, kedua dan keempat.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan ketiga, Zainal Adzam menjatuhi hukuman penjara empat tahun dari tarikh tangkap ke atas Azhar kerana mendapati dia bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat enam gram yang ditemui di poket kanan seluar jeansnya.

Namun, hukuman penjara itu 'selesai' memandangkan Azhar sudah ditahan selama empat tahun sembilan bulan sejak tarikh tangkap 14 November 2007.

Mengikut pertuduhan pertama, 14 November 2007 jam 1.30 petang di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Selamat, Simpang Empat, Semanggol didapati mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 475 gram.

Di bawah tuduhan kedua, dia dituduh mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines masing-masing seberat 213.6 gram pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Di bawah tuduhan ketiga, Azhar didapati memiliki dadah jenis Kanabis seberat enam gram dan didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh, tempat dan masa yang sama di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah sekysen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan keempat Azhar didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 14.74 gram juga pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Aiza Khairuddin manakala Azhar diwakili peguam Datuk Naran Singh.

Kenderaan cermin gelap sasaran JPJ Kelantan

KOTA BAHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan tingkatkan pemeriksaan kenderaan menggunakan cermin gelap dalam 'Ops Raya' sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Pengarahnya, Abdul Ghani Che Kassim berkata dalam operasi permulaan yang dijalankan dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam tadi, pihaknya mengeluarkan 36 notis melalui borang 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan supaya menanggalkan lapisan filem yang tidak mematuhi peraturan pemasangan cermin gelap.

"Mereka diarahkan membuat pemeriksaan semula di pejabat JPJ dalam tempoh 10 hari bagi memastikan mereka mematuhi arahan itu," katanya kepada Bernama selepas melancarkan 'Ops Raya' di Kampung Chicha, Jalan Pasir Puteh-Kota Baharu di sini malam tadi.

Abdul Ghani berkata jika gagal berbuat demikian, saman akan dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan terbabit, dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM300.

Operasi bersepadu yang diketuai Abdul Ghani turut melibatkan 13 kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan masing-masing enam daripada Jabatan Alam Sekitar dan JPJ.

Abdul Ghani berkata dalam operasi itu pihaknya turut memeriksa 358 motosikal dan mengenakan saman terhadap 25 penunggang kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan dan tidak memakai topi keledar.

Dua motosikal diarah dibawa ke pejabat JPJ kerana pemiliknya mengubah suai ekzos.- Bernama

Sindiket tukar laluan, syabu RM1 juta dirampas di LTAB Pulau Pinang

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas empat kilogram dadah syabu yang disembunyikan dalam beg lelaki itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas  (LTAB) di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi berkata, lelaki berumur 34 tahun itu ditahan kira-kira 5.40 petang semalam manakala nilai pasaran dadah itu ialah RM1 juta.

Suspek dalam perjalanan dari Mali (Afrika Barat), Singapura dan Pulau Pinang dan telah empat kali masuk ke negara ini dalam tempoh setahun, katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

"Selepas kawalan ketat yang diambil di LTAB Kuala Lumpur, sindiket pengedaran dadah telah mengalihkan laluan masuk dengan menggunakan LTAB yang lain seperti Pulau Pinang," kata Abd Rahim.

Katanya suspek ditahan reman sehingga 22 Ogos untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Abd Rahim menyaksikan majlis serah terima tugas ketua jabatan siasatan jenayah Pulau Pinang daripada SAC Zahruddin Abdullah kepada SAC Mazlan Kesah.

Zahruddin dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Agama dan Kaunseling) di ibu pejabat polis Bukit Aman.- Bernama

Terima arahan makhluk asing untuk merompak

LONDON - Seorang pencuri dihukum penjara, 12 bulan selepas mengaku bersalah merompak kediaman ibunya sendiri selepas diarahkan makhluk asing atau alien.

John Michael Kirby, memberitahu di dalam Mahkamah Crown Teesside bahawa makhluk asing itu menyuruhnya memecah masuk rumah mangsa dan mencuri makanan untuk diedarkan kepada gelandangan.

Apabila hakim Recorder William Lowe bertanya sama ada Kirky, 29, mahu mengatakan sesuatu mengenai pertuduhannya itu, dia menjawab, "tidak, terima kasih."

Bangkai helikopter ditemui

NAIROBI - Bangkai helikopter Burnt 2 milik Tentera Udara Uganda ditemui di Kenya, semalam.

Jurucakap tentera Kenya, Bongita Ongeri berkata, dua bangkai pesawat itu ditemui pagi kelmarin oleh kumpulan mencari dan menyelamat, namun pesawat bantuan itu tidak dapat mendarat kerana cuaca buruk.

“Operasi menyelamat terus dilakukan bagi mencari tujuh anggota yang masih hilang,” katanya.

Menurutnya, mereka adalah sebahagian daripada 28 tentera yang dalam perjalanan dari Entebbe, Uganda ke Mogadishu, Somalia.