Rumah bekas pengasas Apple Steve Jobs disamun
Peminat-peminat Steve Jobs meletakkan bunga di pekarangan rumahnya pada Oktober lalu di Palo Alto, California bagi memberi penghormatan terakhir kepadanya. - Foto ihsan CNN
PALO ALTO, California - Komputer dan barangan bernilai lebih AS$60,000 (lebih RM180,000) telah dilarikan dari rumah pengasas Apple, mendiang Steve Jobs, di sini.

Susulan kejadian itu, Kariem McFarlin, 35, dari Alameda didakwa mencuri dan menjual barang-barang yang dicuri dari rumah Jobs.

McFarlin kini ditahan di penjara Santa Clara County sementara menunggu perbicaraan Isnin ini.

Kejadian itu dilaporkan berlaku 17 Julai lalu, tetapi butiran mengenai kejadian hanya dikeluarkan sekarang, lapor CNN.

Pendakwa raya berkata, tertuduh kemungkinan tidak sedar tentang soal 'signifikan' rumah yang dia jadikan sasaran.

"Ia kelihatan satu perbuatan secara rambang. Kami tidak ada apa-apa bukti mengatakan rumah Steve dijadikan sasaran," katanya lagi.

Jobs, yang telah lama memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, meninggal dunia Oktober ketika berusia 56 tahun disebabkan masalah kanser.

Rumah dua tingkatnya didiami oleh isteri beliau, Laurene Powell dan tiga anak mereka.