Search This Blog

Tuesday, August 14, 2012

Samun bawa maut



Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
   
SUNGAI PETANI: “Saya tergamam melihat mangsa dihimpit empat lelaki yang menunggang dua motosikal dan seorang daripada mereka dilihat menarik beg pinggang dipakai mangsa sebelum seorang lelaki itu jatuh bersama mangsa dan motosikalnya.
“Kami tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya melihat tiga suspek segera melarikan diri selepas merampas beg pinggang berisi wang tunai dan meninggalkan rakan mereka yang terbaring di tengah jalan,” kata saksi yang enggan dikenali menceritakan detik seorang daripada empat penyamun maut selepas terjatuh dari motosikal ketika menyamun seorang lelaki di Taman Orkid Jaya, Sungai Layar, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 10.45 pagi, empat lelaki menaiki dua motosikal dikatakan mengekori mangsa, seorang lelaki berusia 50-an dari sebuah bank selepas mengeluarkan wang RM20,000.

Sebaik tiba di tempat kejadian, suspek menghampiri lelaki menaiki motosikal model SYM sebelum seorang daripada mereka cuba merampas beg berisi wang berkenaan yang diikat di pinggang mangsa.



Bagaimanapun, mangsa nekad melawan menyebabkan mereka terjatuh dari motosikal masing-masing.

4 wanita pecah rumah



Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
   
IPOH: Dua kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Sari dan Geng Kalmit mengejutkan pihak polis apabila dikesan menggunakan khidmat empat wanita untuk melakukan jenayah pecah rumah di sekitar bandar raya ini.
Kegiatan kumpulan itu terbongkar apabila suspek diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dalam dua serbuan berasingan di sekitar Pasir Puteh, di sini, malam kelmarin. Kumpulan penjenayah wanita berusia 31 hingga 46 tahun dikesan bertindak licik memperdayakan mangsa dengan pelbagai tipu helah selain dipercayai mempunyai kepakaran tersendiri dalam kumpulan masing-masing. Dua daripada wanita berkenaan dipercayai menganggotai Geng Sari dengan menjadikan kawasan kaki lima kedai serta perhentian bas sebagai sasaran melakukan jenayah terancang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, suspek wanita ‘Geng Sari’ dikesan kerap memperdayakan mangsa dengan berpura-pura mahu menghantar mangsa pulang selain menjual alatan sembahyang.

Menurutnya, suspek menggunakan kesempatan itu menceroboh rumah mangsa sebelum melakukan rompakan bersenjatakan pisau.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari unit tindakan khas Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh diketuai Inspektor Murphy Marti melakukan serbuan di restoran nasi kandar di Pasir Puteh, di sini, jam 12.15 pagi, kelmarin.

“Hasil serbuan itu, polis memberkas seorang wanita berusia 46 tahun bersama seorang lelaki berusia 32 tahun. Susulan tangkapan pertama itu, polis menahan seorang lagi wanita berusia 34 tahun dan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah, di sini,” katanya.



Beliau berkata, polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Kampung Rapat, di sini, yang menjadi markas persembunyian ketua Geng Sari berusia 56 tahun.

“Polis mendapati rumah dalang utama itu digunakan sebagai stor menyimpan hasil rompakan. Polis turut merampas Proton Wira menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kumpulan itu dipercayai melakukan jenayah sejak enam bulan lalu selain terbabit 11 kes samun sekitar Ipoh dan Kampar. Semua suspek mempunyai rekod jenayah direman sehingga 16 Ogos depan,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang gagal melarikan diri selepas memecah masuk rumah di Taman Lindungan Bulan di sini, jam 9.45 pagi kelmarin.

Menurut Azisman, suspek wanita menganggotai ‘Geng Kalmit’ itu melakukan kes pecah rumah siang hari bersama beberapa rakan lain.

“Susulan itu polis memberkas dua lagi lelaki berusia 24 dan 28 tahun serta seorang wanita, 34, di Pengkalan Gate, Ipoh, di sini,” katanya.

Suspek guna pelbagai nama




   
JOHOR BAHRU: Polis masih cuba mengesan seorang wanita yang dipercayai melesapkan wang milik pelanggannya selepas menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional di Kampung Sungai Nyior, Pulai Sebatang, Ayer Baloi, Pontian, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, wanita berusia 40-an itu menggunakan beberapa nama samaran termasuk Aminah Daros dan Zainab ketika berurusan dengan mangsanya. Menurutnya, seorang pelanggan membuat laporan di Balai Polis Benut pada 4 Ogos lalu, mendakwa kerugian RM6,450 kerana menjadi mangsa wanita yang tinggal di Kampung Parit Asam Kumbang Laut di Benut, Pontian, itu.

Katanya, berikutan itu polis meminta wanita terbabit tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

“Wanita itu yang juga warga tempatan tidak dapat dihubungi. Kami mengesan dia di rumah sewanya, tetapi gagal,” katanya.

Zahaliman berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan risalah diedarkan wanita itu yang mendakwa menyediakan rawatan berasaskan al-Quran dan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.

“Sebelum mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal perubatan tradisional, seseorang itu seharusnya lebih berhati-hati dan mengenal pasti sama ada rawatan ditawarkan itu benar.



“Malah, kami meminta kerjasama orang ramai mengenali atau mengetahui tempat tinggal wanita itu menghubungi talian 07-6871222,” katanya.

Bebas tuduhan bunuh datuk




   
ALOR SETAR: “Saya tak percaya dibebaskan,” kata seorang lelaki berusia 23 tahun di luar kamar perbicaraan Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, selepas dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan membunuh datuknya di Kampung Seberang Terus, Kota Kuala Muda, dekat sini, Januari tahun lalu.
Muhamad Azlizan Abdullah memberi reaksi itu kepada peguamnya. Sebelum itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab membebaskan dan melepaskan Muhamad Azlizan daripada tuduhan membunuh datuknya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie mensabitkan kesalahan itu.

Muhamad Azlizan didakwa melakukan pembunuhan dengan mengakibatkan kematian datuknya, Md Saad Man, 70, di rumahnya di Kampung Seberang Terus, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, antara 11 hingga 13 Januari 2011.

Samun ibu sendiri




   
PETALING JAYA: Anak setan. Itulah gelaran layak diberikan kepada seorang remaja berusia 18 tahun apabila bukan saja mengugut untuk membakar rumahnya sendiri sebaliknya memecah masuk bilik ibunya sebelum ‘menyamun’ barang kemas dan wang tunai dianggarkan lebih RM2,000 dalam kejadian di rumah mereka di Seksyen 6, di sini Sabtu lalu.
Remaja terbabit bertindak demikian selepas keengganan ibunya berusia 53 tahun memberikan wang kepadanya yang mahu digunakannya untuk berjoli bersama rakan-rakannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, remaja terbabit masuk ke bilik ibunya bagi meminta wang.

Menurut sumber, remaja terbabit memberitahu mahu keluar dan pergi membeli baju raya, namun ibunya mengesyaki anaknya itu mahu berjoli bersama rakannya.

“Disebabkan itu, wanita terbabit tidak memberikan wang kepada anaknya itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan.

Maut kerana meja usang


TRAGIS...jenazah Azhari (gambar kecil) dibawa keluar dari Bilik Mayat Hospital Serdang.
TRAGIS...jenazah Azhari (gambar kecil) dibawa keluar dari Bilik Mayat Hospital Serdang.
SERDANG: Hanya kerana meja usang, seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah tapak perniagaan di Seri Kembangan, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa, Azhari Sidek, 44, mengambil sebuah meja usang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian sebelum diletakkan berhampiran gerai miliknya.

Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi seorang lelaki yang mendakwa meja berkenaan miliknya hingga berlaku pergaduhan kira-kira jam 2 pagi.

Lelaki terbabit dikatakan menjalankan perniagaan di kawasan sama.

Adik angkat mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui Harian Metro di pekarangan Bilik Mayat Hospital Serdang, di sini, berkata akibat rasa tidak puas hati itu, lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya untuk membelasah abangnya.

“Abang saya dibelasah lebih 12 lelaki. Ketika itu, ramai peniaga dan pengunjung menyaksikan kejadian itu namun tiada sesiapa yang berani membantu.

“Melihat keadaan abang yang sudah longlai dan tidak sedarkan diri, semua mereka melarikan diri. Orang ramai kemudian menghubungi ambulans sebelum abang dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.

Bagaimanapun, abangnya meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Adik mangsa, Hamizi Sidek, 40, berkata dia menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan abangnya sudah meninggal dunia dan memintanya datang ke hospital.

“Saya tidak tahu apa berlaku tetapi mengikut laporan polis abang saya dipukul sekumpulan lelaki. Abang saya sudah menjalankan perniagaan di tapak perniagaan itu sejak lima tahun lalu.

“Hasil bedah siasat, abang saya dimaklum meninggal kerana serangan jantung akibat dipukul dengan teruk. Saya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menahan mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Bekas isteri mangsa dan tiga anak lelakinya masing-masing berusia 15 tahun dan kembar mereka berusia 12 tahun kelihatan tiba di bilik mayat hospital itu kira-kira jam 5 petang selepas dimaklumkan kematian mangsa.

Tiga anak lelaki arwah hanya mampu menitiskan air mata sebaik menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir sebelum dikafankan dan dibawa menaiki van jenazah.

Difahamkan, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman di Mengkarak, dekat Temerloh, Pahang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan malah pihaknya sedang berusaha mengesan suspek.

Siling Hospital Serdang runtuh




   
SERDANG: Seorang doktor dan tiga jururawat Hospital Serdang (HS), di sini, yang sedang bertugas di kaunter jururawat wad kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu cedera selepas siling di kaunter berkenaan runtuh, awal pagi semalam.
Runtuhan 15 keping siling berkenaan menghempap kepala dan belakang badan keempat-empat kakitangan terbabit menyebabkan seorang daripada mereka menerima jahitan di tangan manakala tiga yang lain hanya cedera ringan.

Pengarahnya, Datuk Dr Ardi Awang berkata, dalam kejadian jam 2.45 pagi di kaunter jururawat wad kecemasan itu mencederakan empat kakitangan hospital yang sedang bertugas di kaunter manakala terdapat beberapa pesakit dalam bilik rawatan.

“Kejadian menyebabkan seorang pegawai perubatan dan tiga jururawat berusia 20-an terkena runtuhan dan mengalami cedera ringan. “Siasatan awal mendapati kejadian runtuhan siling itu berpunca daripada satu skru yang mengikat lantai bumbung tercabut menyebabkan satu lagi skru patah hingga gagal menampung berat siling dan runtuh,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Katanya, hanya satu peralatan dilaporkan mengalami kerosakan kecil iaitu alat untuk melihat salinan imbasan sinaran-X manakala beberapa peralatan lain termasuk komputer tidak rosak.

Dr Ardi berkata, kerja pembersihan dan baik pulih sudah dijalankan seawal jam 8 pagi dan urusan pentadbiran berjalan seperti biasa.



“Kejadian runtuhan siling yang menghempap kakitangan hospital ini kali pertama berlaku. Kami juga sudah menjalankan pemantauan di semua kawasan dan setakat ini, tiada kesan akan berlaku runtuhan sama.

“Malah, pemeriksaan terperinci juga sudah dijalankan dan tiada tanda akan berlaku kejadian seperti itu,”
katanya.

Skim pelaburan palsu sempena Aidilfitri ditumpas





   
JAKARTA: Hanya beberapa hari selepas polis berkata, mereka sedang menyiasat kes penipuan pelaburan di Internet yang digelar “Al Amanah” (percaya dalam bahasa Arab) oleh pelabur, satu lagi skim Ponzi ditumpas Jumaat lalu kerana memperdaya 1,300 pelanggan dengan kerugian 600 juta rupiah (RM198,463).
Jurucakap polis Jakarta, Komisioner Kanan Rikwanto berkata, satu daripada program ditawarkan ialah “Tabungan Aidilfitri”, di mana pelanggan dipengaruhi supaya percaya mereka boleh mengeluarkan wang bersama keuntungan besar dua minggu sebelum cuti hari raya Aidilfitri. Sepasang suami isteri yang menjadi dalang di sebalik jenayah itu telah ditahan dan dinamakan sebagai suspek dalam kes itu. - JP

Senator dakwa tertembak setiausaha di restoran





   
BANGKOK: Seorang senator memberitahu polis dia secara tidak sengaja tertembak dan membunuh setiausaha peribadinya dengan sub mesin-gan di sebuah restoran di wilayah Phrae, kata pegawai bertugas di balai polis Wang Chin, semalam.
Kejadian tembakan itu berlaku di restoran di daerah Wang Chin di utara negara itu malam Sabtu lalu, kata Leftenan Choosak Poonsawat.

Boonsong Kowawisarat, 55, dan pembantu peribadinya, Chanakarn Detkard, 46, pergi ke Bangkok menaiki kereta senator itu dan berhenti untuk makan malam di restoran berkenaan di Mae Keng, Phrae. Ketika menunggu pesanan makanan sampai, Kowawisarat mengeluarkan sub mesin-gan Uzi 9mm miliknya. Dia memberitahu polis, senjata itu secara tidak sengaja meledak dan setiausahanya terkena tembakan di perut. - Bangkok Post

Pelancong rakam polis tembak suspek bersenjata pisau




   
NEW YORK: Orang ramai semalam menggunakan telefon bimbit masing-masing untuk merakam kejadian menembak oleh anggota polis terhadap seorang lelaki yang mengancam mereka dengan pisau di Times Square, kawasan tumpuan pelancong di bandar raya ini.
Kejadian Sabtu lalu dirakam sepenuhnya oleh orang ramai, yang meskipun kelihatan ketakutan, melarikan diri untuk melihat peristiwa itu dari kedudukan yang lebih baik sehingga ia berakhir dengan tembakan polis.

Satu rakaman kejadian itu yang disiarkan menerusi laman web stesen televisyen NBC menunjukkan suspek, berbaju putih, berundur dari sekumpulan anggota polis, sebelum beberapa das tembakan membunuh lelaki itu. Polis berkata, lelaki itu mengancam mereka dan enggan menyerah diri. Penggunaan semburan lada putih juga gagal melemahkannya. - Reuters

Kes ugut seks siber meningkat





   
SINGAPURA: Polis negara ini semalam melaporkan peningkatan tiga kali ganda kes peras ugut siber membabitkan suspek wanita warga asing tahun ini.
Sehingga bulan lalu, terdapat sekurang-kurangnya 32 kes dilaporkan di mana suspek cuba memeras ugut wang dengan mengancam untuk mengedarkan foto atau video mangsa melakukan aksi seks.

Terdapat 11 kes dilaporkan tahun lalu.

Suspek wanita warga asing mengenali mangsa melalui platform rangkaian sosial seperti Tagged.com atau Facebook. Mereka kemudian mengumpan aksi seks melalui perbualan di webcam dengan menanggalkan pakaian sebelum mendorong mangsa supaya tampil berbogel atau melakukan aksi seks di depan webcam. Tanpa disedari mangsa, aksi mereka dirakam ketika sesi seks siber. Kemudian suspek mengancam untuk mengedarkan rakaman video dan foto mangsa dengan memeras ugut meminta wang daripada mangsa. - AsiaOne

Bakal suami ditikam mati

LEHIGH COUNTY: Seorang bakal pengantin perempuan dituduh membunuh selepas didakwa menikam tunangnya beberapa jam sebelum perkahwinan mereka di Whitehall, Philadhelpia, Amerika Syarikat. Na Cola Darcel Franklin, 31, dan tunangnya, Billy Rafael Brewster, 36, merancang berkahwin pada jam 10 pagi Sabtu lalu. Mereka dilapor bergaduh malam sebelumnya, kata Timbalan Pendakwa Raya Daerah Lehigh County, Steve Luksa kepada wartawan, semalam. Dalam pertengkaran itu, Na Cola didakwa menikam Brewster dua kali dengan pisau. “Satu tikaman itu terkena jantung mangsa.” kata Luksa. Apabila polis tiba di tempat kejadian sejurus jam 2 pagi, mereka menemui Brewster dengan kecederaan di dada. Dia dihantar ke Pusat Trauma Lehigh County dan disahkan mati pada jam 3.24 pagi, kurang tujuh jam sebelum majlis perkahwinan mereka berlangsung. - Agensi

4 remaja AS antara ditangkap di Hong Kong




   
HONG KONG: Polis menahan hampir 90 orang, termasuk empat remaja Amerika Syarikat dalam operasi kedua bulan ini yang menyasarkan kumpulan kongsi gelap di selatan bandar raya ini.
Pegawai menyerbu beberapa lokasi, termasuk sebuah kasino haram yang menyebabkan 86 orang ditangkap dan memberi tamparan kepada rangkaian kumpulan penjenayah.

“Tujuh puluh lelaki dan 16 wanita berusia antara 14 dan 73 tahun ditangkap,” kata Superintendan Kwok Ho-fai.

Suspek berkenaan menghadapi tuduhan jenayah, termasuk menguruskan kongsi gelap, kasino haram, mengedar dadah dan menjual arak tanpa lesen.

Empat remaja Amerika, tiga daripada mereka berusia 16 tahun dan seorang 14 tahun, adalah antara yang ditahan dalam serbuan di sebuah bar tanpa lesen.

Polis turut menemui sejumlah dadah jenis ketamin dan lebih 600 botol wain tiruan, - Reuters

Lelaki paling bahaya diburu




   
BEIJING: China semalam melancarkan gerakan memburu besar-besaran terhadap seorang perompak bersenjata yang dituduh membunuh sembilan orang dengan mangsa terbarunya anggota polis.
Suspek berusia 42 tahun itu yang digelar ‘orang paling berbahaya di China’ oleh media kerajaan, menyasarkan mangsa yang mengeluarkan wang dari bank sejak 2004.

Menurut laporan akhbar China Daily, dia menembak mati seorang wanita di luar sebuah bank di bandar Chongqing, di barat daya negara itu Jumaat lalu, mencederakan dua yang lain sebelum menembak mati anggota polis pada hari yang sama.

“Sejumlah besar anggota polis mengepung sebuah gunung di Chongqing tempat suspek, Zhou Kehua, dipercayai bersembunyi selepas pembunuhan itu,” lapor akhbar berkenaan.

Pegawai polis di Chongqing yang dikenali sebagai Zhan memberitahu AFP menerusi telefon: “Kami masih memburu Zhou Kehua. Saya tidak boleh memberi maklumat lain.” Jenayah Zhou bermula apabila dia menembak dan membunuh seorang wanita dalam rompakan 70,000 yuan (RM33,000) di sebuah bank Chongqing pada 2004, lapor agensi berita rasmi, Xinhua.

Polis percaya dia juga bertanggungjawab dalam kejadian di Changsha, di wilayah Hunan, tengah China dan di Nanjing di timur negara itu.



Pihak berkuasa Chongqing menawarkan hadian 500,000 yuan kepada mereka yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya Zhou. Mereka juga memberi amaran kepada penduduk supaya tidak cuba menangkap suspek memandangan dia ‘amat kejam dan berbahaya, lapor Xinhua. - AFP

Polis cari individu serang pegawai DBKL

Beberapa suspek berlagak samseng dikenal pasti

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan individu yang mengganggu dan mencederakan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjalankan tugas kawalan di Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini sejak kelmarin. 
Setakat ini, polis sudah mengenal pasti beberapa individu bertanggungjawab mencederakan penguat kuasa DBKL yang cuba menghalang penjualan mercun, malam kelmarin serta insiden kekecohan ketika DBKL cuba menyita jualan barangan tanpa lesen malam semalam. 


Hasil siasatan dijalankan kita mengenalpasti seorang individu dikenali Mat Juta, melakukan provokasi”. - Ku Chin Wah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata pihaknya memandang serius tindakan beberapa individu yang berlagak samseng dengan cuba menghalang penjawat awam melakukan tugas.

“Hasil siasatan dijalankan kita mengenalpasti seorang individu dikenali Mat Juta, melakukan provokasi ke atas penguat kuasa DBKL yang menjalankan tugas merampas penjualan tanpa lesen dan permit, namun dia menghilangkan diri selepas kejadian.

Operasi banteras mercun 

“Kita juga sedang mengesan individu yang mencederakan empat penguat kuasa ketika operasi membanteras penjualan mercun di lokasi itu,” katanya ketika dihubungi semalam. 
Beliau berkata, susulan itu, polis Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi akan mempertingkatkan rondaan di kawasan tertentu di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan TAR bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ganggu penjawat awam

Sehingga kini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara itu, peniaga Ahmad Adris, 48, yang berniaga di Jalan TAR sejak 20 tahun lalu mendakwa anak dan adiknya dicederakan penguat kuasa DBKL ketika menyerbu serta merampas barang yang dijual seperti gerai menjual air dan keropok lekor.

“Saya turut membuat laporan polis kerana pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL bertindak ganas ketika mereka melakukan serbuan ke atas empat premis makanan milik keluarga saya.

“Apa yang saya kesalkan ketika saya memohon permit, pihak pelesenan DBKL tidak mengendahkan permintaan saya, meskipun mereka mengetahui saya mempunyai gerai makan berhampiran Plaza Semua House. Sebaliknya, mereka memberikan permit kepada peniaga warganegara asing,” katanya.

Staf dan tetamu gempar apabila Holiday Villa Hotel & Resort terbakar

SUBANG: Sebahagian besar kakitangan dan pengunjung Holiday Villa Hotel & Resort gempar apabila bahagian penyelenggaraan dan dobi hotel itu terbakar sebentar tadi. 

Bagaimanapun sehingga jam 11.45 malam tadi tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan. 
Bomba kini sedang menjalankan usaha membawa semua kakitangan hotel dan kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran dari tempat kebakaran.

Ibu buaya Sungai Telaga Air diburu




MOHD. SAIFUL menunjukkan mata kail yang akan digunakan untuk menangkap buaya di Sungai Telaga Air, Kuching semalam.


KUCHING - Keluarga nelayan yang berjaya menangkap seekor buaya yang hampir memasuki rumah mereka malam kelmarin, bertekad untuk menangkap seekor lagi reptilia tersebut yang kerap dilihat muncul di Sungai Telaga Air dekat sini.
Mohd. Saiful Sulaihi, 35, berkata, dia bersama rakannya kini merancang untuk memburu buaya yang dipercayai ibu kepada reptilia yang ditangkap malam kelmarin meskipun terpaksa mempertaruhkan nyawa bagi memastikan keselamatan anak-anaknya terjamin.
Menurutnya, mereka merancang untuk memasang empat mata kail dengan menggunakan umpan ayam selain tali sepanjang 18 meter pada setiap kali waktu air pasang bagi menangkap haiwan ganas berkenaan.
"Pada ketika air pasang adalah masa terbaik untuk menangkap ibu buaya tersebut memandangkan masa tersebut haiwan ganas itu gemar muncul ke permukaan air.
"Buaya yang difahamkan sepanjang 4.8 meter itu dipercayai bertelur di kawasan tepi Sungai Telaga Air ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Saiful memberitahu, lokasi yang dekat dengan sungai dan sentiasa dinaiki air pada waktu air pasang menjadi tempat buaya bertelur.
Menurutnya, beberapa penduduk kampung sering ternampak tapak kaki buaya berhampiran dengan kediaman masing-masing.

Lelaki 'warak' jadi pencuri




RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan suspek sedang mencuri wang dari sebuah stesen minyak di Puchong, Selangor baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Para pengusaha stesen minyak kini berdepan dengan jenayah licik seorang penganggur yang bertindak mencuri wang dari stesen berkenaan beberapa jam selepas diambil bekerja.
Kosmo! difahamkan sekurang-kurangnya tiga stesen minyak di Lembah Klang telah mengalami kerugian beribu-ribu ringgit akibat dipedayakan oleh lelaki berusia 20-an itu.
Terbaharu, lelaki terbabit berjaya mempedayakan pengusaha sebuah stesen minyak di Puchong, Selangor untuk mengambilnya bekerja pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, lelaki yang menggunakan identiti palsu semasa memohon kerja itu mencuri RM4,268 dari stesen minyak itu.
Penyelia stesen minyak tersebut, Noorzieanna Naim berkata, dia tidak menyangka pemuda yang kelihatan warak itu didapati bertanggungjawab mencuri wang di stesen minyak berkenaan.
"Semasa dia minta kerja, kami lihat dia begitu baik dan jujur serta mempunyai pengetahuan dalam urusan stesen minyak.
"Mujur kami berjaya merakam perbuatannya mencuri melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Mati selepas samun warga emas




ANGGOTA polis memeriksa keadaan mayat seorang penjenayah yang mati mengejut selepas menyamun di Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI - Seorang penyamun tidak sempat menikmati hasil rompakan sebanyak RM20,000 apabila dia tiba-tiba diserang sakit jantung sebaik melakukan jenayah itu bersama tiga lagi rakannya dalam kejadian di Taman Orkid, Sungai Layar di sini semalam.
Kejadian pukul 10.15 pagi itu berlaku selepas suspek berusia 46 tahun tersebut menyamun seorang warga emas, Yeoh Ah Seng, 66, yang baharu mengeluarkan wang daripada sebuah bank di Taman Pekan Baru, di sini.
Mengimbau semula kejadian itu, Ah Seng memberitahu, kejadian berlaku apabila dia dalam perjalanan pulang dengan menaiki sebuah motosikal dengan wang itu dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
Katanya, tanpa diduga, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal kemudian menghalangnya manakala dua lagi suspek mengacukan parang memaksanya berhenti.
"Suspek kemudian mengoyakkan poket seluar saya dan merampas wang tersebut. Saya kemudian lari ke sebuah rumah untuk bersembunyi.
"Ketika itulah saya ternampak salah seorang suspek terjatuh dari motosikal dan tidak lagi bergerak," ceritanya ketika ditemui semalam.

Penipu wanita sunyi dicekup




HOCK SING (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar lelaki kacak yang digunakan Awang Hitam untuk menyamar pada sidang akhbar di Melaka semalam.


MELAKA - Warga Afrika seperti tidak pernah serik dengan kegiatan menipu wanita kesunyian walaupun banyak tangkapan telah dilakukan dan yang terbaru tiga Awang Hitam itu dan seorang wanita tempatan berketurunan Portugis diberkas atas kesalahan sama di sini kelmarin.
Suspek-suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun tersebut diberkas dalam serbuan di sebuah apartmen di Batu Berendam di sini pada pukul 12 tengah hari selepas polis melakukan risikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, sindiket tersebut menyasarkan wanita sunyi yang gemar melayari laman sosial untuk mencari teman berbicara.
Katanya, suspek menggunakan gambar lelaki kacak untuk menyamar dan memerangkap mangsa supaya jatuh cinta sebelum mula memperdaya wanita-wanita itu.
"Suspek kemudian menunjukkan beberapa sijil palsu menggunakan logo kerajaan Malaysia kononnya mereka diberikan projek bernilai jutaan ringgit termasuk pernah menerima cek berjumlah AS$1.8 juta (RM5.6 juta).
"Kesemua dokumen itu dihantar melalui e-mel dan mangsa yang sudi membantu suspek mengendalikan projek itu kemudian diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun kononnya untuk membayar cukai, komisen dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar semalam.

Siling runtuh, empat cedera




BEBERAPA pekerja sedang membaiki siling yang runtuh hingga mencederakan empat kakitangan Hospital Serdang semalam.



SERDANG – Seorang pegawai perubatan dan tiga jururawat cedera apabila dihempap 15 keping siling yang runtuh ketika sedang bertugas di kaunter jururawat wad kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Serdang di sini semalam.
Kejadian pukul 2.45 pagi itu berlaku apabila siling-siling yang runtuh itu menghempap kepala dan belakang badan keempat-empat kakitangan berkenaan yang berada di kaunter tersebut. Beberapa pesakit yang berada di dalam bilik rawatan berhampiran tidak cedera.
Ekoran itu, seorang jururawat terpaksa menerima jahitan di tangan manakala tiga yang lain cedera ringan.
Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr. Ardi Awang (gambar kecil) berkata, siasatan awal pihaknya mendapati runtuhan berlaku apabila salah satu skru yang digunakan untuk mengikat dua penyokong lantai bumbung tercabut hingga menyebabkan satu lagi penyokong patah.
“Runtuhan itu kemudian telah menimpa seorang pegawai perubatan dan tiga jururawat berusia lingkungan 20-an. Mereka kemudian diberi rawatan segera dan tidak melibatkan kecederaan serius.
“Hanya seorang jururawat menerima jahitan di tangan akibat terkena serpihan runtuhan. Mereka kemudian meneruskan tugas seperti biasa hari ini (semalam),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.