Search This Blog

Monday, August 13, 2012

Padah ajak suami beli juadah di bazar

         
KAJANG: Padah menimpa seorang wanita yang mahu mengajak suaminya keluar membeli juadah berbuka di bazar Ramadan apabila dia bukan saja dimaki hamun, malah turut dipukul lelaki terbabit.

Wanita berusia 25 tahun itu difahamkan mengalami kecederaan akibat tindakan panas baran suaminya itu menyebabkan dia membuat laporan polis kelmarin kerana bimbang dicederakan lagi.


Sumber berkata, dalam kejadian jam 5 petang Rabu lalu, mangsa mengajak suaminya keluar membeli juadah berbuka sebaik lelaki berusia lewat 20-an itu pulang ke rumah mereka di Taman Taming Jaya, di sini.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak menghiraukan permintaan itu. Mangsa yang tidak berputus asa terus mengajak suaminya itu menyebabkan lelaki terbabit naik berang,” katanya.

Mangsa kelar sempat lari 100 meter sebelum mati



KUALA LUMPUR 12 Ogos - Seorang pemuda warga Myanmar sempat melarikan diri kira-kira 100 meter bagi menyelamatkan diri sebelum dia ditemui mati akibat dikelar dalam satu pergaduhan di sebuah kafe Internet di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini malam tadi.
Mangsa yang berusia 27 tahun ditemui dengan kesan kelar di leher dipercayai menggunakan senjata tajam pada pukul 8.15 malam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa yang memakai baju T kelabu dan berseluar pendek dikelar dengan menggunakan senjata tajam.
“Bagaimanapun, polis tidak menemui senjata yang digunakan untuk menyerang mangsa di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi malam tadi.
Difahamkan, mangsa memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) bergaduh dengan suspek di sebuah pusat snuker yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat mayatnya ditemui.

Operasi 6P: Lelaki Afrika gagal lolos diri melalui siling



Mohd. Zamberi Abdul Aziz (tengah) bersama Timbalan Penolong Pengarah Imigresen II, Mohd. Izzat Mohd. Jamil memeriksa sebahagian warga asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu 6P di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 12 Ogos - Seorang lelaki warga Nigeria nyaris maut apabila percubaannya untuk melarikan diri menerusi bumbung pangsapuri kediamannya di tingkat atas sekali gagal lalu terjatuh.
Dalam program membanteras pendatang tanpa izin (PATI) menerusi Operasi Bersepadu 6P itu, lelaki tersebut bernasib baik apabila jatuh di balkoni rumahnya yang hanya kurang semeter daripada tebing.
Menurut Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya, Mohd. Zamberi Abdul Aziz berkata, lelaki tersebut itu merupakan seorang daripada 11 lelaki Nigeria yang ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Lapangan terbang disambar petir, 25 penerbangan tergendala



TAIPEI 13 Ogos - Sebanyak 25 penerbangan terpaksa ditangguhkan apabila Lapangan Terbang Songshan di sini, ditutup buat selama dua jam selepas landasan penerbangannya disambar petir.
Menurut pegawai Pentadbiran Awam Aeronautik semalam, kejadian yang berlaku tengah hari kelmarin menyebabkan lubang sepanjang 70 sentimeter dan lebar 50 sentimter terbentuk di landasan lapangan terbang terbabit.
"Perkara itu turut menyebabkan 3,500 penumpang terjejas," katanya. - AFP

Gempa bumi 6.3 skala Richter landa China



BEIJING 13 Ogos - Satu gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter menggegarkan sempadan wilayah Xinjiang dan Tibet, semalam.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa tersebut dikesan pada kedalaman sembilan kilometer, kira-kira 280 kilometer ke timur pekan Hotan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kerosakan atau kecederaan dilaporkan setakat ini. - AFP

Air sungai berubah kehitaman



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Ogos 2012
Air sungai berubah kehitaman
Zubir menunjukkan keadaan air sungai yang tercemar.
REMBAU – Penduduk di beberapa perkampungan berdekatan Kundur bimbang dengan keadaan air sungai yang dipercayai tercemar dan berwarna kehitaman sejak beberapa tahun lalu.

Salah seorang penduduk, Bahadin Md Seh, 73, berkata, dia menyedari keadaan sungai berkenaan mulai berubah warna sejak beberapa tahun lalu dan dipercayai berpunca dari sebuah kilang kelapa sawit berdekatan lokasi perkampungan berkenaan.

“Susulan keadaan air sungai yang berubah warna dan kotor selama beberapa tahun itu, ternakan seperti lembu serta kerbau juga tidak mahu minum air sungai yang mana ia menguatkan lagi keyakinan penduduk sungai di lokasi ini semakin tercemar," katanya.

Bagi Ramlan Darmin, 47, dia sebagai penduduk bimbang sekiranya air sungai kotor dan tercemar berkenaan akan mengundang penyakit kepada penduduk terutamanya yang sememangnya gemar mandi di situ.

“Anak-anak pun dah takut nak mandi air sungai, takut dapat penyakit dan lebih ketara lagi, jika dahulu penduduk boleh menangkap pelbagai jenis ikan kini aktiviti berkenaan tidak dapat dilakukan lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kundur Hulu, Zubir Jamal berkata, dia ada menerima aduan daripada penduduk yang bimbang dengan masalah sungai tercemar berkenaan.

Menurutnya, perkara berkenaan sudah berlanjutan agak lama, bagaimanapun tiada aduan yang diketengahkan penduduk ke pihak Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan berharap agar ia dapat disiasat oleh pihak berkaitan.

“Sungai yang tercemar ini melibatkan sungai kundur sepanjang lima ke enam kilometer dan seterusnya mengalir ke sungai Kundur Tengah, Kundur Hilir terus sampai ke Lubok China,” katanya.

Kecam keganasan terhadap umat Islam Rohingya



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Kecam keganasan terhadap umat Islam Rohingya
Rahman (kiri) bersama ahli PPPMM membakar bendera Myanmar tanda mengecam tindakan yang dilakukan negara itu terhadap umat Islam Rohingya.
JOHOR BAHRU – Seramai 50 ahli Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) termasuk umat Islam warga Myanmar berkumpul di Stadium Larkin, di sini, semalam, mengadakan bantahan mengecam tindakan dan layanan buruk kerajaan junta Myanmar terhadap umat Islam Rohingya.

Presiden PPPMM, A Rahman Mahadi berkata, tindakan yang dilakukan oleh junta tentera Myanmar terhadap umat Islam Rohingya itu adalah tidak selaras dengan tanggungjawab sebagai kerajaan di mana-mana negara sekalipun.

Menurutnya, mereka turut mendesak pejuang demokrasi di Myanmar, Aung San Suu Kyi supaya turut mengangkat isu Rohingya sebagai agenda perjuangannya dan tidak berdiam diri ketika umat Islam Rohingya dibunuh beramai-ramai oleh penganut agama Buddha termasuk tentera Myanmar itu sendiri.

“Kami berasa amat kecewa dengan sikap berdiam dirinya dalam isu ini, sedangkan beliau banyak bercakap tentang isu kemanusiaan dan hak kebebasan. Tetapi dalam isu ini, beliau banyak menunjukkan sikap yang tidak tepat sebagai seorang pejuang demokrasi.

“Kami berharap Malaysia sebagai sebuah negara Asia dapat menunjukkan sikap proaktif dan tegas serta inisiatif yang jelas dan isu ini mesti diangkat ke peringkat antarabangsa. Bagi negara Asia yang lain alasan tidak boleh campur tangan dalam negara Asean adalah tidak logik.

“Justeru, umat Islam Rohingya mesti diselamatkan daripada pembersihan etnik. Tidak ada pilihan kecuali seluruh dunia dan masyarakat Islam mesti bertegas terhadap junta tentera Myanmar. Kami juga mendesak agar Kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik bersama negara itu,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Dalam program bantahan berkenaan, kesemua mereka yang terlibat bersemangat memegang sepanduk tanda tidak bersetuju atas tindakan kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya selain bendera negara Myanmar dibakar melambangkan rasa tidak puas hati mereka atas kekejaman yang masih berterusan.

Polis kenal pasti penyamun



NOOR AZLIDA ALIMIN
13 Ogos 2012
Lai Yong Heng
Lai (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, menunjukkan wajah suspek kepada wartawan.
PASIR MAS – Seorang kerani tidak menyangka tindakannya untuk membantu seorang lelaki yang berlumuran darah membawa padah apabila menyebabkan dirinya disamun, semalam.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Noor, 27 berkata, dia memberhentikan kereta setelah ternampak seorang lelaki dalam keadaan kesakitan.
Menurutnya, dia yang dalam perjalanan pulang ke Tendong selepas menghantar isterinya di Panji beranggapan, lelaki tersebut terlibat dalam kemalangan, kerana terdapat sebuah motosikal yang terbalik, berdekatan suspek.
Pada masa yang sama katanya, terdapat dua lelaki yang tidak dikenali sedang memerhatikan gerak-gerinya dan lelaki berkenaan.
“Suspek lalu letakkan parang di leher dan menyuruh saya memecut lalu meninggalkan dua lelaki itu. Sejurus tiba di bandar Pasir Mas, saya cuba larikan diri dengan membuka pintu kereta, tapi gagal kerana suspek sedari tindakan saya itu,” katanya, semalam.
Disebabkan itu katanya, suspek menumbuknya di pinggang sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk bertindak.
Noor berkata, suspek lalu tinggalkannya di Kampung Beta Hulu, selepas ambil telefon bimbit, cincin dan wang RM500 yang akan digunakan Aidilfitri di dalam dompet.
Menurutnya, dia turut mengalami kerugian RM45,000 selepas kereta Perodua Viva miliknya dilarikan penyamun tersebut.
“Saya terus minta bantuan penduduk kampung untuk ke balai polis kemudian membuat laporan berhubung kejadian yang menimpa,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek.
Menurutnya, suspek dikenali sebagai Dillah atau Ubaidillah Abd Mutalib, berasal dari Kampung Sireh Bawah Lembah, Kota Bharu.
“Kejadian bermula apabila suspek bersama seorang lagi rakannya, meragut gelang tangan seorang peniaga kedai runcit di Kampung Kenak, Bunut Susu, Pasir Mas pada jam 2.30 petang.
“Penduduk menyedari kejadian itu dan mengejar mereka, dan berjaya menahan rakannya,” katanya, semalam.
Beliau berkata, Ubaidillah melarikan diri dengan mengguna Proton Persona namun, kereta yang dinaiki terbabas, lalu menggertak pemilik kenderaan tersebut.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu, suspek sekali lagi mencuri motosikal Yamaha untuk melarikan diri, sebelum menyamun seorang lagi mangsa yang memandu Perodua Viva di Jambatan Sultan Ismail Petra.
Orang ramai yang maklumat supaya menghubungi balai polis terdekat atau bilik gerakan Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999.

Pesara polis tertembak jiran



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang
Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang
GEMENCHEH – Seorang pesara polis berpangkat sarjan ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Tampin, susulan disyaki melepaskan tembakan rambang menggunakan senapang patah dan mengenai jirannya, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek dikatakan melepaskan tembakan rambang sehingga sebutir peluru penabur mengenai seorang jiran yang sedang mengupas kulit tebu di perkarangan rumahnya di Kampung Dua, dekat sini.

Menurut sumber, mangsa yang berasa pedih di bahagian tengah belakang badannya, tidak menunggu lama lalu bergegas ke rumah suspek bagi bertanyakan tindakan suspek yang mengundang bahaya kepadanya.

“Bagaimanapun, sebaik bertemu, secara tiba-tiba suspek melepaskan satu lagi tembakan ke udara dengan memberikan alasan mahu menembak burung,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

“Bagi tujuan keselamatan, mangsa akhirnya nekad membuat satu laporan polis selepas menunaikan solat Jumaat, kira-kira jam 2.30 petang di Balai Polis Air Kuning Selatan bagi tindakan pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

Menurutnya, polis telah menahan suspek dan kini direman selama tiga hari bagi siasatan lanjut. Selaras senapang patah dan beberapa butir peluru juga dirampas bagi membantu siasatan.

“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 37, Akta Senjata Api 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Maut di air terjun



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Maut di air terjun
Anggota polis mengangkat mangsa untuk dibawa ke Hospital Taiping.
TAIPING – Cubaan memanjat cerun licin dan berair menyebabkan seorang pemuda, Lee Soon Huat, 28 maut selepas dia tergelincir dan jatuh dari tingkat atas air terjun di kawasan perkelahan kaki Bukit Larut sekitar jam 2.48, semalam.
Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasna Rashid berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan kepalanya dipercayai terhentak pada batu tajam di kawasan air terjun itu selepas terjatuh.

Menurutnya, mangsa berasal dari Jalan Toi, Pantai Remis, Perak dan kini menetap di Trong serta bekerja di sebuah kilang membuat pau di Changkat Jering.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat Taiping menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 2.48 petang dan seramai sembilan anggota telah bergegas ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, kami dapati mangsa telah meninggal dunia dan anggota telah membantu menurunkan mayatnya dari tingkat atas air terjun dengan bantuan pasukan petugas perubatan dari Taiping," katanya, semalam.

Hasna turut memaklumkan, hujan turun dengan lebat secara tiba-tiba sebelum kejadian menyebabkan arus air deras di kawasan perkelahan itu.

"Mangsa dipercayai datang ke lokasi kejadian bersama lima rakannya dan mayatnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat," tambahnya.

Tergamam ketika ditangkap



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Ogos 2012
Tergamam ketika ditangkap
Anggota keselamatan (tengah) dan pasangannya (kiri) ditahan kerana berdua-duaan di dalam sebuah bilik hotel.
JERTIH – Seorang anggota pasukan keselamatan tergamam apabila ditangkap dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita oleh pihak berkuasa dalam bilik sebuah hotel di bandar Jertih dalam Operasi Bersepadu awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi, lelaki berumur 20 tahun yang bertugas Miri, Sarawak itu mengambil masa lebih lima minit untuk membuka pintu bilik sewa ketika diketuk pihak berkuasa.

Operasi yang diketuai Ketua Polis Balai Jertih, Inspektor Zuraidi Semail itu turut membabitkan anggota Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah dan Penguat kuasa Majlis Daerah Besut (MDB).

Selepas menunggu beberapa ketika, akhirnya pintu bilik tersebut dibuka oleh lelaki terbabit yang lengkap berpakaian manakala pasangannya berumur 24 tahun dari Kuala Terengganu bersembunyi di dalam bilik air.

Pasangan akan didakwa

ANGGOTA Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah kemudiannya meminta wanita yang bekerja sebagai kerani itu keluar dan dia juga berpakaian lengkap.

Siasatan lanjut mendapati mereka bukan pasangan suami isteri malah pihak berkuasa menemui kondom yang sudah digunakan di dalam plastik bakul sampah di bilik itu.

Bagaimanapun, difahamkan kondom tersebut didakwa milik lelaki itu tetapi ia hasil hubungan seksnya dengan wanita lain dari Pasir Putih, Kelantan yang datang ke biliknya pada siang hari manakala wanita yang ditangkap bersamanya datang pada waktu malam.

Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Jertih sebelum dirujuk ke Pejabat Agama Daerah untuk diambil keterangan lanjut dan pasangan terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 319(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syarie (Takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Operasi babit pelbagai agensi

SEMENTARA itu, dalam operasi di Kuala Besut yang dilakukan pada waktu sama, turut berjaya menahan pasangan bukan muhrim di sebuah chalet bajet dekat Kuala Besut.

Pasangan lelaki berumur 36 tahun sudah beristeri manakala pasangannya berumur 26 tahun didapati berdua-duaan.

Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan oleh waris masing-masing yang dihubungi Pejabat Agama Daerah sejurus selepas ditangkap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, tangkapan tersebut sebahagian daripada Operasi Bersepadu seluruh daerah membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) awal pagi semalam.

Menurutnya, Operasi Pencegahan Jenayah dan Dadah di Pulau Perhentian pada jam 1 pagi membawa kepada penangkapan 14 lelaki kerana melakukan pelbagai kesalahan dan seorang pemilik premis hiburan kerana gagal menunjukkan lesen hiburan.

“Polis dan agensi berkaitan turut merampas peralatan muzik daripada pemilik premis hiburan itu untuk tindakan lanjut dan operasi seperti ini akan dilakukan berterusan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen,” katanya.

Turut jalankan operasi penyalahgunaan dadah

KAMARUDDIN berkata, pemeriksaan rambang akan diadakan dari masa ke masa terhadap mana-mana individu bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah terutama membabitkan operator bot teksi.

Kata beliau lagi, Polis Trafik Daerah bersama JPJ pula telah mengadakan Operasi Rentap dan Rantau dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi terutamanya di jalan utama dekat Kampung Pada Luas.

“Operasi bertujuan mengesan suspek yang berkemungkinan pulang ke kampung pada musim perayaan dan mengesan pemandu kenderaan berat yang mengambil dadah,” katanya.

Katanya, hasilnya sebanyak 170 kenderaan dan 180 individu diperiksa membabitkan 53 saman polis dan enam saman JPJ.

Manakala, notis dikeluarkan JPJ sebanyak 13 selain 189 individu diberi nasihat dan teguran.

Menurutnya, operasi seperti ini akan diteruskan seminggu selepas hari raya untuk memerangi jenayah dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Dua beranak maut digilis lori



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Dua beranak maut digilis lori
Adnan Abdullah
BALIK PULAU - Dua beranak maut selepas motosikal ditunggangi mereka bergesel dengan sebuah lori dalam kemalangan berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat antara jalan Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, semalam.

Dalam kejadian berlaku kira- kira jam 9.10 pagi itu, mangsa, Adnan Abdullah, 59, dan anak tunggalnya, Mohd Adri Adnan, 7, menunggang motosikal jenis Honda yang baru dibeli menuju ke sebuah pusat tuisyen di Teluk Kumbar.

Motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan lori tersebut selepas cubaan memotong gagal disebabkan oleh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kedua-duanya terjatuh di jalan.

Mohd Adri dikatakan tercampak sebelum digilis tayar belakang lori berkenaan menyebabkan dia maut di tempat kejadian, manakala ayahnya yang parah meninggal dunia kira-kira sejam kemudian di sebuah hospital swasta di Bayan Baru.

Kedua-dua mangsa itu dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Datuk Keramat selepas dituntut keluarga petang semalam.

Bapa mertua mangsa, Mohd Ismail Abu Kassim, 59, berkata, memang menjadi rutin mingguan menantunya yang juga pesara di Bahagian Keselamatan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menghantar Mohd Adri ke pusat tuisyen tersebut.

“Baru semalam (kelmarin) saya berbual dengan Mohd Adri di telefon dan dia yang rindukan saya dan neneknya ada mengajak kami bermalam di rumahnya.

“Cucu saya itu yang bersekolah di pusat tahfiz di Teluk Kumbar menyatakan hasratnya untuk bergambar bersama dengan berpakaian sedondon warna merah hati pagi raya nanti dan kami telahpun siapkan apa yang dimintanya.

“Saya amat sebak dan terkilan dengan kejadian yang berlaku namun kami reda,” katanya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Hasil bedah siasat mendapati, Adnan cedera parah di badan manakala anaknya di bahagian kepala akibat dilanggar lori terbabit.

“Kegagalan mangsa memotong kenderaan di hadapannya menyebabkan kedua-duanya terjatuh di jalan raya,” katanya.

Pemandu lori dituduh miliki mercun



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
W Sukeri
W Sukeri (kanan) tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU-  Padah memiliki pelbagai jenis mercun seorang pemandu lori dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Bagaimanapun, W Sukeri W Ismail, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Mohd Hafiz Mohd Noor selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Khamis lalu pada jam 7.15 pagi di Lot 105 Kampung Landak, dia didapati memiliki lima paket mercun bola, 60 kotak mercun 8826s dan satu paket mercun ketupat tanpa tujuan yang sah di sisi undang-undang.
Lelaki dari Kampung Landak Pengkalan Chepa itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam yang mengendalikan kes berkenaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM5,000.
Dalam prosiding tersebut peguam tertuduh, Firdaus Shamsudin meminta mahkamah supaya wang itu dikurangkan dengan mengambil anak guamnya adalah penjaga tunggal kepada keluarganya.
“Saya mohon wang jaminan tidak terlalu tinggi kerana W Sukeri hanya pemadu lori dengan gaji RM800 sebulan dan mempunyai dua anak yang masih dalam tanggungannya,” katanya.
Selepas mendengar rayuan itu mahkamah tetapkan wang jaminan dikurangkan kepada RM3,500 dan 23 September untuk sebutan semula kes.

Dijel 30 bulan, mengaku salah curi tayar dan rim kereta



ROSMIZA KASIM
13 Ogos 2012
Afnan Salleh@Junus
Tertuduh tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah selepas hukuman dijatuhkan.
KOTA BHARU - Gara-gara cuba mencuri tayar dan rim kereta seorang remaja menerima padah apabila terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 30 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Selepas pertuduhan dibacakan, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memutuskan hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkap, iaitu pada 26 Mei lalu terhadap Afnan Salleh@Junus, 25, dari Kampung Chicha, Kubang Kerian.
Mengikut pertuduhan, Afnan dituduh cuba mencuri satu tayar dan rim kereta milik Binacond Service tanpa kebenaran pemiliknya kira-kira jam 2 petang pada 26 Mei lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.
Sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya dan  bagi kesalahan yang kedua atau kemudiannya boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat. Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Awang K bapa degil, tidak serik edar dadah



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Miky Dunstan Muda
Awang K dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam atas dakwaan memiliki 1 gram dadah jenis heroin di kediamannya di sebuah rumah di Flat Desa Keluarga, Kampung
KUALA TERENGGANU- Seorang bapa kepada dua anak yang dikenal sebagai ‘Awang K’ dalam kalangan geng dadah nyata tidak pernah serik walaupun sebelum ini memiliki hampir 12 rekod lampau berhubung jenayah dadah.
Malah, Awang K juga pernah dua kali ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Awang K atau nama sebenarnya Awang Jusoh, 47, dari Flat Desa Keluarga, Kampung Bijangga, Dungun, juga merupakan individu yang paling dikehendaki di Kuala Terengganu sebelum ini kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah secara aktif.
Bagaimanapun, dia yang dipercayai hampir 10 tahun berkecimpung dalam jenayah terbabit, cuba beralih arah ‘berhijrah’ ke Dungun bagi meneruskan urus niaga tersebut, namun taktiknya itu tidak berjaya kerana akhirnya dihidu polis.
Dalam serbuan di kediaman barunya di Flat Desa Keluarga, Kampung Bijangga Dungun, 8 Ogos lalu, polis berjaya menemui satu pasu kecil yang di dalamnya mengandungi sebotol plastik cerah bertudung kuning berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.
Bagaimanapun, Awang K yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan memiliki dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 1.00 gram di kediamannya kira-kira jam 1.30 tengah hari, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan berkenaan.
Dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala Awang K tidak diwakili peguam bela.
Sejurus pengakuan tidak bersalah Awang K direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan RM3,000.

Sindiket curi motosikal tumpas



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Lai Yong Heng
Yong Heng menunjukkan 13 rangka motosikal yang membawa kepada penahanan 15 suspek termasuk tujuh pelajar sekolah menengah, di Ibu Pejabat Daerah Pasir Mas.
PASIR MAS – Seramai 15 remaja termasuk tujuh pelajar sekolah menengah ditahan kerana terlibat dalam sindiket curi motosikal, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, pihak polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri motosikal di sini, dengan penahanan suspek berusia 16 hingga 25 tahun itu.
Menurutnya, hasil Ops Lejang yang bermula pertengahan Julai lalu, polis merampas empat motosikal, dua enjin serta sebuah kulit enjin motosikal.
Katanya, 13 rangka (casis) motosikal ditemui yang mana 10 daripadanya berada dalam tali air di Kampung Kubang Bemban.
“Operasi ini bermula selepas kita menangkap seorang lelaki di Meranti pada 14 Julai lalu, jam 9.30 malam.
“Sehari selepas itu, kita menangkap seorang lagi lelaki di Bakong, jam 12.30 tengah hari dan merampas satu rangka motosikal,” katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat, membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di kawasan sama, manakala dua lagi di Kubang Bemban.
Katanya, penahanan ini membawa kepada penemuan motosikal Honda EX5, dua Honda C70, rangka motosikal Yamaha 125z dan satu enjin yang dileraikan.
Menurutnya, Ops Lejang diteruskan pada 3 Ogos lalu, dan polis berjaya menahan empat suspek.
“Sehingga 7 Ogos lalu, jumlah kesemua penahanan adalah 15 remaja, untuk pendakwaan.
“Soal siasat turut membawa kepada penahanan tiga lagi pelajar sekolah berusia 16 tahun yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya.
Katanya, dua suspek dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barangan curi manakala selebihnya, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut.

Penuntut Politeknik maut dalam kemalangan




12 Ogos 2012
KANGAR - Seorang penuntut wanita maut manakala dua lagi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pokok di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Ainun Izzaty Mat Jamil, 19, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, kata polis.

Pemandu kenderaan itu, Siti Nur Amalina Mohd Rashid, 19, dan penumpang hadapan Azwani M. Saad, 19, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Jurucakap polis berkata penuntut politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh itu bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Perlis pada pukul 8 pagi.

Mereka dikatakan menuju ke Kuala Perlis untuk menghantar kenderaan yang mereka sewa itu, katanya. - Bernama

Rompak dalam 15 minit, peniaga rugi RM20,000



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Rompak dalam 15 minit, peniaga rugi RM20,000
Chen Ming menunjukkan pintu belakang rumahnya yang diumpil pencuri.
KUANTAN – Sepasang suami isteri di Kampung Tengah dekat sini masih trauma dan buntu selepas rumah mereka dimasuki pencuri menyebabkan kerugian kira-kira RM20,000.

Thong Chen Ming, 38 dan isteri, Teo Lee Ping, 34 kehilangan beberapa barang penting  kesayangan mereka termasuk cincin perkahwinan dan beberapa barang kemas, lima komputer riba, jam tangan serta lima telefon bimbit.

Chen Ming berkata, kejadian disedari berlaku ketika dia pulang ke rumah pada jam 1.50 tengah hari untuk mengambil barang dan mendapati  pintu rumah termasuk pagar terbuka.

“Saya menghubungi isteri yang ketika itu menghantar dua anaknya ke sekolah dan dimaklumkan mereka keluar rumah kira-kira 15 minit sahaja,” katanya.

Ketika menanti isterinya pulang, Chen Ming berkata, dia memeriksa kawasan rumah dan mendapati pintu depan rumah rosak manakala pintu belakang juga terbuka sekali gus mengesyaki pencuri terbabit keluar melalui pintu belakang.

Dia mengesyaki pencuri terbabit mungkin menggunakan besi untuk mengumpil pintu depan dan belakang rumah kerana terdapat kesan bengkok dan rosak teruk pada bahagian selaknya.

Tidak berpuas hati dengan situasi rumah, dia cuba memeriksa di bahagian tingkat atas dan mendapati semua empat bilik diselongkar dan pembantu rumahnya turut kehilangan wang tunai sebanyak RM300.

Sementara itu, Lee Ping berkata, beberapa hari sebelum kejadian, dia mendengar ada bunyi loceng rumah.

“Mungkin mereka cuba memeriksa sama ada rumah kami ada penghuni atau tidak sebelum bertindak kerana sebelah kiri rumah tidak berpenghuni dan memudahkan mereka mencuri,” katanya.

Bagaimanapun, Lee Ping mengesyaki pencuri terbabit sudah mengenal pasti rumahnya dan berani bertindak selepas kematian anjingnya dua hari sebelum kejadian.

Pasangan suami isteri itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan kira-kira jam 2 petang pada hari kejadian dan bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera bunyi bagi mengelakkan kejadian kali kedua berlaku.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Hong Seong melawat pasangan keluarga mangsa curi itu menasihatkan orang ramai supaya memasang lebih berhati-hati dengan kejadian itu terutama ketika musim perayaan.

Katanya, langkah paling baik ialah menghubungi polis untuk melakukan rondaan dan memasang CCTV bagi memudahkan siasatan.

Pasangan beri alasan penat, elak dicekup



AHMAD ISMADI ISMAIL
13 Ogos 2012
Pasangan beri alasan penat, elak dicekup
Wanita berkemban dengan tuala dicekup bersama pasangannya yang menyorok dalam tandas.
KUALA LUMPUR - Pasangan kekasih memberi alasan menyewa di sebuah hotel selepas penat membeli-belah pakaian dan barangan sempena Aidilfitri ketika dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), awal pagi semalam.

Wanita yang hanya berkemban dengan tuala itu dicekup bersama pasangannya yang hanya memakai seluar pendek di hotel berkenaan pada jam 1 pagi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, wanita berusia 24 tahun itu membuka pintu bilik selepas pintu bilik diketuk.

“Wanita itu memberi alasan hanya dia seorang diri tidur di dalam bilik berkenaan, namun pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki menyorok di tandas,” katanya.

Menurutnya, lelaki berusia 24 tahun itu memberi alasan dia tertidur di dalam bilik selepas membeli-belah.

“Difahamkan lelaki terbabit tidak bekerja, manakala pasangannya bekerja di sebuah syarikat swasta,” katanya.

Dalam operasi yang berasingan yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, sepasang kekasih yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dicekup khalwat di sebuah hotel berasingan.

Beliau berkata, lelaki berusia 42 tahun itu sudah berkahwin, manakala pasangannya berusia 18 tahun tidak mempunyai pekerjaan.

“Pasangan berkenaan juga memberi alasan membeli-belah sempena Aidilfitri. Pada awalnya lelaki berkenaan memberi alasan gadis terbabit merupakan tunangnya,” katanya.

Kedua-dua pasangan terbabit antara 23 individu yang dicekup khalwat di lima hotel bajet sekitar ibu kota.

Beliau menasihati ibu bapa memantau anak mereka kerana kebanyakannya yang dicekup khalwat memberi alasan membeli-belah bersama pasangan di sini.

“Ibu bapa harus bertanggungjawab, jangan memberi kelonggaran dan kebebasan terhadap anak mereka kerana khuatir mereka akan terlanjur di hotel bajet,” katanya.

Operasi selama empat jam itu dijalankan mengikut Seksyen 27 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

Rayu keluarga mertua serahkan Syazmil Daniel



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Rayu keluarga mertua serahkan Syazmil Daniel
Rasyidah menunjukkan gambar anaknya yang tidak ditemui sejak Mac lalu dikatakan bersama keluarga bekas suaminya.
BATAK RABIT (HILIR PERAK) - “Hati ibu mana tidak rindukan anak sendiri apatah lagi tidak tahu ke mana hilangnya Syazmil Daniel Thevar sejak bulan Mac lalu, lebih-lebih lagi Syawal akan tiba tidak lama lagi,” kata Rasyidah Radzi.

Rasyidah, 23, berkata, dia mengharapkan anaknya dapat dipulangkan kepadanya yang kini dipercayai dalam jagaan keluarga arwah bekas suaminya.

Menurutnya, anaknya  yang baru berusia dua tahun telah diambil bekas suaminya, Alif Ramadan Devar Abdullah pada Mac lalu setelah mereka berdua sudah tidak bersefahaman dan dalam proses perceraian.

Katanya, pada Julai lalu, dia dikejutkan dengan berita mengatakan bekas suaminya meninggal dunia dan hanya mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan rakannya.

"Bimbang akan keadaan Syazmil, saya terus mencarinya ke rumah ibu mertua di Batu 3 1/2 Jalan Changkat Jong namun kediaman itu kosong tanpa penghuni.

"Saya  kemudiannya cuba menghubungi keluarga bekas suami dan adik ipar memberitahu anak saya bersama ibu mertua ada di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di rumahnya, Lorong Kalat, Batak Rabit, di sini, semalam.

Hadir sama, peguamnya, Saiful Adli Mohd Arshad dan ibu bapanya, Radzi Sudin, 70, serta Masnah Awang, 52.

Rasyidah berkata, apa yang membimbangkan, keluarga mertua bukan penganut agama Islam.

“Malahan, menerusi peguam syarie, Saiful Adli, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada Rabu lepas telah mengeluarkan perintah yang mengatakan saya diberikan hak penjagaan penuh ke atas Syazmil.

"Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh turut memerintahkan Syazmil dipulangkan kepada saya dan memerintahkan mana-mana pihak berkuasa termasuk polis untuk membantu mencari anak saya," katanya.

Katanya, Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak juga diperintahkan oleh pihak Mahkamah Tinggi Syariah untuk membantu memastikan Syazmil dipulangkan ke pangkuannya serta-merta.

"Diharap agar pihak polis dan pihak Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak dapat membantu mencari anak saya yang kini berada di pangkuan keluarga bekas suaminya," katanya.

Sementara itu, Rasyidah turut membuat laporan polis bagi memudahkan urusan pencarian Syazmil, agar anaknya itu dapat kembali berada di bawah penjagaannya.

“Pada Syawal kali ini, saya benar-benar mengharapkan agar Syazmil dapat dipulangkan kepada kami apatah lagi hampir lima bulan tidak bertemu sejak Mac lalu,” katanya.

Tragedi ketika jemput tunang



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Tragedi ketika jemput tunang
Mangsa yang patah kaki dan tangan kanan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan.
ALOR GAJAH - Seorang pengusaha syarikat pelancongan cedera parah selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 221 Lebuhraya Utara - Selatan, berdekatan susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, kereta jenis Toyota Vios yang dipandu mangsa, Ahmad Norman Hafiz Jannet Hussain, 35, seorang warga Pakistan dari Kuala Lumpur, menuju ke Tampin untuk menjemput tunangnya.

Kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang treler yang membawa muatan makanan ayam untuk dihantar ke Kluang, Johor.

Difahamkan, treler terbabit berada di laluan tengah ketika mangsa cuba memotongnya.

Akibat kemalangan itu, Ahmad Norman Hafiz patah kaki dan tangan kanan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2, Chee Hong Chuan berkata, dua jentera membabitkan enam anggota Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Rembau bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima maklumat awam.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati masih lagi tersepit di tempat duduk pemandu. Bagaimanapun, anggota bomba mengambil masa kurang 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang parah di kaki dan tangannya," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, tunang mangsa, Zuraidah Jamaludin, 24, berkata, dia bimbang apabila cuba menghubungi Ahmad Norman Hafiz, namun tidak berjawab.

“Kemudian saya dihubungi seseorang yang mengatakan tunang saya terbabit kemalangan di lebuhraya. Fikiran saya bercelaru memikirkan keadaannya selepas mendapat tahu kereta dipandu remuk dan melekat di belakang treler. Namun, syukur kerana dia selamat," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Alor Gajah, semalam.

Zuraidah dan Ahmad Norman Hafiz dijadualkan akan melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

Mencari jalan keluar kemelut Rohingya



Oleh Muhd Izawan Baharin
         
HARIAN Metro selama enam hari bermula 23 Julai lalu menyiarkan laporan eksklusif mengenai konflik berdarah antara etnik Rakhine dengan penduduk Islam Rohingya di Arakan, Myanmar.

Menerusi laporan itu, sedikit sebanyak kita memahami apa yang berlaku sejak tercetusnya keganasan etnik pada 10 Jun lalu, apatah lagi ketika waktu pihak berkuasa Myanmar menutup pintu daripada menerima kehadiran media antarabangsa dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu melaksanakan misi kemanusiaan.


Beberapa hari lalu, penulis menemubual Pengarah Eksekutif Malaysian Relief Agency (MRA), Mohd Shahrulazilan Said dan Pengurus Operasi MRA, Mohd Iqbal Abu Bakar mengenai isu Rohingya dan Rakhine.

MRA sudah lama bekerjasama dengan masyarakat Rohingya di Malaysia, malah mengendalikan sekolah untuk anak etnik itu di Cheras Baru.


Shahrulazilan berkata, berdasarkan kajiannya, kebencian penduduk Rakhine sudah lama dan diwarisi daripada datuk nenek mereka yang mendakwa Rohingya bangsa pendatang yang mendiami daerah itu selepas dibawa masuk penjajah British sebagai tentera upahan (Anglo-Burmese War) bagi menakluki Burma.


Jumlah kemasukan mereka yang besar kemudian menguruskan tanah pertanian menyebabkan wujudnya persaingan penduduk setempat, sekali gus memaksa Rakhine berkongsi sumber yang ada, termasuk mengenai pemilikan tanah, penguasaan ekonomi dan kuasa politik tempatan.

“Isu Rohingya sukar difahami jika tidak diikuti dengan teliti. Sesetengah pihak, mendakwa mereka tentera upahan dibawa masuk British ketika kempen pengembangan British di Indo-China dalam kurun ke-16. “Dakwa mereka, Rohingya baru muncul dalam penulisan sejarah pada abad ke-18. Setengah pihak pula, terutama penduduk Rohingya sendiri, mengaku mereka keturunan Arab yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di kawasan itu sejak kurun ke-8 lagi. Mereka juga mempunyai bukti kewujudan empayar Muslim-Rohingya dengan salasilah kesultanan berserta bukti pemerintahan yang agak kukuh,” katanya.


Apapun, kata beliau, jika dilihat daripada pengalaman Malaysia, jika boleh dikongsikan, rakyat tempatan turut menerima kedatangan masyarakat Cina dan India untuk bekerja dalam sektor tertentu di Tanah Melayu ketika itu.

“Kita juga berhadapan dengan kehadiran tentera upahan dibawa British untuk mematahkan perjuangan rakyat tempatan namun selepas proses sejarah panjang dan negara kita dimerdekakan, penduduk tempatan, terutama Melayu bersedia menerima orang Cina, India dan lain-lain lagi sebagai warga negara Malaysia.


“Orang Melayu dan penduduk pribumi lain kekal diiktiraf sebagai Bumiputera manakala kaum lain dialu-alukan untuk memulakan kehidupan di bumi bertuah ini. Justeru, saya mencadangkan agar Malaysia, sebagai negara pengasas Asean dapat menggalakkan Myanmar untuk mengambil kira pelaksanaan dan pendekatan yang diguna pakai ini bagi membantu mereka mencari jalan keluar kepada kemelut isu Rohingya,” katanya.


Menyentuh mengenai latar belakang bumi Myanmar, Shahrulazilan menjelaskan semua penduduk minoriti dan selain bangsa Burma di Myanmar sebenarnya berdepan tekanan berterusan dan desakan hidup yang melampau akibat pemerintahan kuku besi rejim tentera.


Rakhine bernasib baik kerana dikategorikan sebagai satu daripada 136 etnik yang membentuk negara Myanmar manakala Rohingya sehingga ke hari ini tidak diiktiraf kerajaan junta tentera sebagai etnik diperakui sebagai bangsa asal Myanmar. Beberapa etnik lain yang jauh lebih kecil jumlahnya daripada kaum Rohingya turut menerima nasib sama seperti etnik Panthay, Gurkha dan Anglo-Burma.


“Pihak tertentu mengambil kesempatan daripada kelompongan pengiktirafan ke atas bangsa Rohingya ini dengan meniupkan semangat nasionalisme kepada penduduk Rakhine bahawa jika mereka tidak berbuat sesuatu, mereka akan terlepas hak pegangan dan pemilikan ke atas bumi Arakan, semuanya akan jatuh menjadi milik Rohingya yang dianggap sebagai bangsa pendatang. “Mereka juga khuatir proses pendemokrasian Myanmar yang berjalan rancak sekarang, jika berjalan secara teratur dan telus, boleh menjurus kepada kemungkinan kepada penerimaan bangsa Rohingya sebagai salah satu etnik Myanmar.


“Penduduk Rohingya digelar sebagai 'kalar' oleh penduduk Rakhine kerana bentuk fizikal, warna kulit dan wajah mereka yang lebih mirip kepada penduduk dari Teluk Benggal berbanding mereka yang berasal dari tanah Arakan. Perkataan 'kalar' ini membawa maksud penghinaan yang sama seperti ungkapan 'nigger' yang diucapkan oleh penduduk berkulit putih Amerika kepada penduduk berkulit hitam suatu masa dulu,” katanya.


Selain itu, peraturan keterlaluan turut dikenakan sewenang-wenangnya ke atas penduduk Rohingya antaranya undang-undang mengenai perkahwinan. Myanmar sedang menguatkuasakan pendaftaran perkahwinan, bagi pasangan ingin berkahwin, mereka dikehendaki mendaftar dan membayar yuran perkahwinan KYAT72,000 (RM260). Mana-mana perkahwinan yang tidak melalui pendaftaran diiktiraf kerajaan akan dikira sebagai perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir daripada perkahwinan ini dikira sebagai anak luar nikah dan tidak boleh didaftarkan.


“Setiap pasangan juga hanya dibenarkan memiliki dua anak dan sekiranya mereka memiliki lebih dua anak, mereka terpaksa membayar denda bagi anak yang ketiga dan seterusnya.


“Malah bagi mengelakkan status anak tidak sah, ada yang terpaksa mendaftarkan anak dilahirkan dengan berbapakan bapa mereka sendiri, ini bermakna cucu ‘dibinkan’ datuknya sekali gus menimbulkan kecelaruan dalam susun atur keluarga bagi masyarakat itu. “Mereka boleh menyelamatkan diri daripada didenda dengan membayar wang ‘bawah meja’ kepada pihak berkuasa tempatan agar mereka terlepas sebarang serbuan, malah pihak berkuasa tempatan juga diberitakan amat maklum mengenai perkara ini dan mempunyai beberapa senarai nama berlainan, senarai nama anak sah, senarai nama anak tidak sah dan sebagainya,” katanya.


Penduduk Rohingya juga tidak dibenarkan bergerak sesuka hati walaupun di dalam kawasan Arakan. Untuk bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain, mereka perlu mendapatkan kelulusan polis tempatan dan kebiasaannya kebenaran itu bukan secara percuma. Mereka akan diminta membayar sejumlah wang bagi membolehkan kelulusan diberikan kepada mereka tetapi walaupun kebenaran diberikan, mereka belum tentu lepas dan bergerak dengan mudah jika ditahan di dalam sekatan jalan atau mana-mana pusat pemeriksaan. Mereka perlu membayar macam-macam bayaran, termasuk dirampas wang dan harta benda sekiranya diperlukan. Kehidupan mereka tidak ubah seperti pendatang haram di negara orang, malangnya ini berlaku di tanah tumpah darah sendiri.


Pada 2014, Myanmar akan menjadi negara Pengerusi Asean, sehubungan itu, satu penyelesaian mengenai isu itu perlu dilakukan segera kerana jika tidak, apa gunanya formula penggiliran dilaksanakan secara demokratik tetapi konflik dalaman gagal tangani.


Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi juga dilihat tidak mahu memperjudikan masa depan partinya dalam mempertahankan isu Rohingya.


Shahrulazilan berkata, sehingga hari ini, tiada kenyataan daripada Suu Kyi yang boleh merujuk kepada pembelaan Rohingya, kenyataan beliau mengenai hak minoriti ditujukan kepada perjuangan puak Karen dan Kachin, tidak Rohingya. Penulis wartawan Harian Metro

Saudi bina bandar khusus untuk wanita




         
RIYADH: Arab Saudi merancang membina sebuah bandar baru, khusus untuk wanita dalam usaha menggabungkan undang-undang syariah dengan wanita yang cenderung untuk berkerja.

Lembaga Hartanah Perindustrian Saudi (Modon) diminta membangunkan bandar kontroversi itu, menjadikan negara itu selari dengan dunia moden yang lain.
Bandar berkenaan kini direka dan pembinaan akan dimulakan tahun depan.

Ia diharap akan membolehkan wanita bekerja tanpa melanggar undang-undang Islam negara itu.


Bandar yang dirancang dibina di Hafuf, wilayah timur Arab Saudi itu dijangka menarik pelaburan sebanyak 500 juta riyal (RM410 juta) dan mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam industri tekstil, farmasi dan industri memproses makanan.


Meskipun undang-undang syariah Arab Saudi tidak melarang wanita bekerja, angka menunjukkan mereka hanya mewakili 15 peratus tenaga kerja negara itu.

Rancangan berkenaan selari dengan hasrat kerajaan untuk memberi peluang kepada wanita memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negara.

Antara matlamatnya ialah mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya untuk golongan wanita muda.

Bandar perindustrian yang sedia ada di negara itu sudahpun mempunyai kilang yang dimiliki wanita serta syarikat yang mengambil sebahagian kecil pekerja wanita.

“Kami kini berusaha untuk mewujudkan bandar perindustrian kedua untuk wanita.
Kami mempunyai rancangan untuk membina beberapa industri untuk wanita saja,” kata Timbalan Ketua Pengarah Modon, Saleh Al-Rasheed. - TG

Masjid, pusat Islam ditembak




         
CHICAGO: Dua tembakan raifal angin mengenai dinding luar sebuah masjid dan pusat pendidikan Islam di luar bandar raya ini, kata Majlis mengenai Perhubungan Umat Islam Amerika, semalam.

Tembakan itu didengari umat Islam yang berada di luar masjid dan cukup untuk merosakkan dinding batu bangunan itu.


Tembakan itu didakwa dilepaskan oleh seorang jiran yang dikatakan menentang pembinaan masjid itu, kata kumpulan sokongan dan hak awam umat Islam terbesar di negara itu, CAIR. Polis Morton Grove, agensi Biro Penyiasatan Persekutuan dan pejabat pendakwa raya AS sedang menyiasat insiden itu. “Jelas sekali, ini adalah situasi membimbangkan yang dianggap serius semua pihak,” kata Pengarah Eksekutif CAIR Chicago, Ahmed Rehab. - AFP

Isteri henyak kepala suami



Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Enggan membeli baju raya, seorang lelaki berusia 40-an cedera di kepala selepas dihentak dengan anak lesung batu oleh isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, wanita berusia lewat 20-an terbabit dilaporkan hilang pertimbangan sebelum menyerang suaminya selepas pasangan itu bertengkar lebih 10 minit.
Menurut sumber, semuanya bermula apabila wanita berkenaan mengajak suaminya untuk membeli baju raya.

“Bagaimanapun, suaminya meminta wanita itu supaya berjimat dan memakai pakaian sedia ada kerana tidak mahu membazir,” katanya.


Sumber berkata, wanita itu tidak berputus asa sebaliknya terus memujuk suaminya itu untuk membawanya ke pusat beli-belah.

Nyaris maut dek cinta terlarang




         
SUBANG JAYA: Padah menjalin hubungan sulit dengan isteri orang, seorang lelaki nyaris maut selepas dibelasah suami teman wanitanya bersama lapan rakan dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Bukit Puchong, di sini.

Lelaki berusia 33 tahun dan mempunyai empat anak itu bagaimanapun melepaskan diri dengan berlari meredah ladang kelapa sawit lebih 40 minit sebelum mendapatkan bantuan untuk menghubungi polis.


Menurut sumber, dalam kejadian jam 3 pagi, 5 Ogos lalu, mangsa tidur di rumahnya di Bukit Puchong ketika menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dikenali mengarahkannya keluar kerana dia menunggu di luar pagar rumah teresnya.

Katanya, sebaik saja mangsa membuka pintu pagar, lelaki itu dan rakan-rakannya membelasah mangsa sebelum diangkat masuk dalam kereta.


“Dalam keadaan separuh sedar, mangsa dibawa ke beberapa tempat sebelum tiba di satu kawasan tapak pembinaan yang dikelilingi kelapa sawit jam 12.30 tengah hari dan ditinggalkan dalam kereta bersama seorang daripada lelaki terbabit untuk menjaganya.


“Mangsa melarikan diri ketika lelaki yang menjaganya leka bercakap dengan rakan lain,” katanya.

Sumber berkata, mangsa berlari tanpa henti selama 40 minit sebelum menemui jalan raya dan menahan kenderaan yang melalui jalan berkenaan untuk mendapatkan bantuan.


Menurutnya, sebuah kereta peronda polis kemudian tiba untuk membawa mangsa ke Balai Polis Salak Tinggi, sebelum dibawa ke Hospital Serdang (HS) untuk mendapatkan rawatan.

Terjun kendong anak



         
KUCHING: Seorang warga Indonesia sanggup terjun dari tingkat satu rumahnya dengan menggendong anak lelaki berusia lima tahun melarikan diri daripada menjadi mangsa belasahan suami di pusat komersial di Batu Kawa, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 36 tahun hanya pengsan manakala anak lelakinya tidak cedera sebaik terjun daripada ketinggian lima meter itu.
Mangsa yang dikenali sebagai Tanti berkata, dia sering menjadi tempat suami melepaskan geram dan marah hingga cedera di beberapa bahagian badan.

Katanya, dia dan lelaki warga tempatan itu mendirikan rumah tangga enam tahun lalu dan bekerja di restoran sama berhampiran rumah.


Tanpa berselindung, Tanti berkata, perkahwinan itu menyebabkan hidupnya sengsara kerana sering dibelasah suami berusia 41 tahun itu walaupun hanya melakukan kesalahan kecil dan lebih teruk lagi ketika suami mabuk.

Wanita gigit jari



Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
         
PETALING JAYA: Akibat ghairah menukar suka sama suka gajet elektronik dengan pengguna lain dalam laman web tempatan yang terkenal memasarkan barangan terpakai, seorang wanita kerugian telefon pintar miliknya apabila dia memperoleh telefon mainan sebagai tukaran.

Mangsa dikenali sebagai Maya, 28, berkata, dia kerugian RM1,500 dalam kejadian akhir bulan lalu selepas ditipu seorang lelaki yang menukar telefon pintar jenama BlackBerry miliknya dengan iPhone palsu.


Maya berkata, dia berhasrat menukar telefonnya dengan jenama lain sebelum memasukkan iklan menukar gajet elektronik dalam laman web berkenaan pada Jun lalu.

Katanya, aktiviti tukar suka sama suka telefon pintar sudah lama dalam Internet sebagai satu cara memperoleh barangan tanpa mengeluarkan wang.


“Ia seperti sistem barter yang menukar barang dengan barang lain yang sama nilainya manakala kedua-dua pihak mempunyai kemahuan sama.


“Ini menjimatkan kerana tidak perlu membeli barangan lain menyebabkan saya mahu menukar telefon BlackBerry dengan iPhone,” katanya.

Menurutnya, selepas lebih sebulan memasukkan iklan menukar telefon pintar itu, dia dihubungi seorang lelaki yang berminat menukar iPhone miliknya sebelum mereka membuat temu janji.


“Saya menemuinya di depan satu restoran untuk menukar telefon masing-masing. “Saya ditunjukkan satu iPhone hitam dan lelaki terbabit turut membuat pemeriksaan telefon bagi membuktikan ia masih berkeadaan baik.

“Selepas berpuas hati dengan keadaan iPhone itu yang masih elok dan asli, saya bersetuju menukarnya dengan telefon BlackBerry milik saya,” katanya.


Katanya, selepas telefon bertukar tangan dan lelaki terbabit beredar, dia segera mahu mengaktifkan iPhone itu namun ia tidak berfungsi.


“Hairan dengan keadaan iPhone itu menyebabkan saya meneliti lebih lanjut sebelum terkejut apabila mendapati ia sebenarnya telefon mainan yang biasa digunakan di kaunter pameran premis menjual telefon bimbit.


“Saya cuba menghubungi lelaki terbabit bagi mendapatkan penjelasan, tetapi gagal.


“Malah, saya juga tidak mengambil maklumat lain mengenai lelaki terbabit menyebabkan dia gagal dikesan,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan menerima laporan.

Meninggal 11 hari nahas

         
PUTRAJAYA: Akibat ketakutan, beberapa warga Afrika sanggup meninggalkan barangan berharga termasuk komputer riba dan ‘komputer tablet’ dan berjenama yang masih terpasang untuk menyelamatkan diri dalam satu operasi di dua pangsapuri di Puchong, Selangor, malam kelmarin.

Malah, ketika serbuan ada di antara mereka yang sanggup memperjudikan nyawa sendiri dengan memanjat siling untuk menyembunyikan diri, selain ada yang lari lintang pukang selepas melihat pihak berkuasa.


Selain itu, pihak penguat kuasa juga terpaksa memotong jeriji beberapa rumah, selepas penghuninya enggan membuka pintu walaupun sudah mengetuk dan menunggu kira-kira 15 minit bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.

Operasi bersepadu kira-kira dua jam bermula 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi di Apartment Kekwa dan Apartment Zest, dekat sini membabitkan aggota Jabatan Imigresen, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahahan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Seramai 180 anggota terbabit dalam operasi yang diketuai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen, Mohd Zamberi Abdul Aziz.


Mohd Zamberi berkata, sepanjang operasi itu, pihaknya memeriksa 116 warga asing dan 49 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan ketika pemeriksaan dijalankan serta menggunakan pasport atau pas tamat tempoh. “Mereka yang ditahan membabitkan warga Nigeria (19), Myanmar (19), India (empat), Indonesia (tiga), Bangladesh (dua) dan Kemboja dan Tanzania (masing-masing satu). “Semua yang ditahan akan ditempatkan di bilik tahan di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan kita memperuntukkan masa selama 14 hari untuk menyiasat kes ini,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan berikutan aduan daripada orang awam mengenai kebanjiran warga asing di kawasan masing-masing, sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk.


“Secara purata, Ibu Pejabat Imigresen, di sini, menerima antara 50 hingga 100 aduan setiap hari dan jumlah aduan itu tidak termasuk dari negeri lain. Jadi, dalam tempoh setahun kira-kira 1,000 aduan diterima di seluruh negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zamberi berkata, majikan yang menyimpan pasport pekerja asing boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 berikutan ia boleh menyebabkan penganiayaan kepada warga asing terbabit.


Menurutnya, mengikut undang-undang pasport perlu berada dalam simpanan warga asing dan ejen atau majikan tidak boleh menyimpan pasport itu.


“Sekiranya ada di kalangan majikan atau ejen memegang pasport warga asing, kita melihat sebab apa ia dilakukan. Misalnya, jika majikan menyimpan pasport dalam tempoh tertentu bagi urusan mendapatkan pas yang sah, ia adalah bidang tugas mereka. “Bagaimanapun, jika majikan atau ejen menyimpannya tanpa alasan munasabah, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan. “Kami pernah menerima alasan warga asing ketika pemeriksaan memberitahu pasport berada pada ejen atau berada di Jabatan Imigresen. Kalau ada alasan sedemikian, kita melakukan siasatan terhadap alasan yang dikemukakan,” katanya.