Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Lelaki rentung, BMW dipandu terbakar



SHAH ALAM 10 Ogos - Seorang lelaki rentung setelah kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbakar di Kilometer 7.9 Lebuh Raya Lembah Klang (NKVE), di sini pagi ini.
Menurut jurucakap polis, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu mangsa yang memandu kereta jenis BMW dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di laluan berkenaan.
“Kereta itu terus terbakar bersama mangsa di dalamnya. Ketika bomba tiba, mayat mangsa sudah tidak dapat dikenal pasti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan tidak menolak mangsa adalah lelaki.
“Doktor mengesahkan mangsa merupakan seorang lelaki berdasarkan penemuan jam tangannya. Bagaimanapun, identiti mangsa masih tidak dapat dipastikan berikutan semua barangan peribadinya musnah," jelasnya.
Dalam pada itu, polis turut menemui cebisan nombor pendaftaran kenderaan terbabit iaitu "WVW".
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mengetahui nombor pendaftaran kereta terbabit dan mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Inspektor Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051 untuk membantu siasatan. - UTUSAN

Sindiket dadah tumpas



NOOR Rashid Ibrahim (kanan) menunjukkan salah satu bahan pemprosesan dadah pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat satu lagi kejayaan besar apabila menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa dengan penahanan 20 warga asing dan seorang rakyat tempatan serta merampas sejumlah dadah bernilai RM6 juta, semalam.
Operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di lima buah kondominium mewah di Jalan Mount Kiara, Jalan Ipoh, Petaling Jaya dan Cyberjaya, kira-kira pukul 3 pagi.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, operasi bermula dengan tertangkapnya empat lelaki warga Iran di sebuah kondominium di Mount Kiara bersama dadah jenis syabu yang ditemui di dalam 218 unit silinder besi kecil.
"Susulan penahanan suspek berkenaan, polis menahan 11 lagi warga Iran, Uzbekistan (3), Filipina (2) serta seorang rakyat tempatan yang dipercayai penyelaras sindiket tersebut.
"Dalam keseluruhan operasi itu, polis merampas 20 kilogram dadah jenis syabu (serbuk), 65 liter syabu (cecair), 630 gram dadah jenis heroin dan 1,600 biji pil yang mengandungi pseudoephederine bernilai RM6 juta," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Tambahnya, polis turut merampas dua botol aceton, sebotol methanol, 2.5 liter asid sulfurik serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.
"Lapan kenderaan jenis Hyundai, Honda, Volvo , Land Rover, Mitsubishi dan Mercedes-Benz, dua utas jam tangan, sebuah komputer riba, wang tunai kira-kira RM50,000 dan sejumlah barangan kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2 juta turut disita," katanya.
Noor Rashid berkata, siasatan awal mendapati dadah yang diseludup masuk melalui pelabuhan itu dibungkus dengan kepingan aluminium sebelum disorokkan ke dalam silinder besi bersaiz kecil dan ditutup dengan ketat.
"Kesemua suspek berusia antara 22 dan 54 tahun itu ditahan reman sehingga 16 Ogos dan disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Lumba kereta haram, tujuh maut di Romania



BUCHAREST, Romania 11 Ogos - Satu perlumbaan kereta haram menyebabkan kemalangan kereta bertindih, selain tujuh orang maut dan sembilan cedera, di Tulcea semalam.
Agensi berita Mediafax melaporkan, kejadian itu berlaku selepas kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun serta tidak mempunyai lesen hilang kawalan dan melanggar kereta dari arah bertentangan.
Lima daripada sembilan mangsa yang cedera berada dalam keadaan koma. - dpa

Padah jual mercun, bunga api

Padah jual mercun, bunga api
Abdullah (kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas
di sebuah rumah di Kampung Haji Dollah, Ayer Kuning, petang kelmarin.

TAPAH - Tindakan seorang lelaki berusia 51 tahun menjual mercun dan bunga api secara terbuka kepada penduduk mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan, Abdullah Arshad berkata, serbuan yang dibuat kira-kira jam 4.15 petang itu adalah hasil maklumat orang awam mengatakan lelaki berkenaan menjual mercun dan bunga api terlarang di kediamannya di Kampung Haji Dahlan, Ayer Kuning.
"Ketika serbuan, lelaki terbabit sedang berehat di dalam rumah manakala mercun dan bunga api terlarang diletakkan di hadapan rumahnya untuk dijual kepada pelanggan yang berminat.
"Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut menjumpai 139 kotak mercun dan bunga api dipercayai untuk dijual,” katanya kepada pemberita di IPD Tapah, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah, Asisten Superintendan Md Nasri Fadzir. Abdullah berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 51 tahun itu untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil soal siasat, lelaki ini mengaku memiliki dan menjual mercun serta bunga api tersebut.
“Lelaki ini juga mendapatkan bekalan mercun dan bunga api di daerah Kampar sebelum menjual barangan terlarang ini kepada kepada orang awam di rumahnya," katanya.
Abdullah berkata, nilai rampas mercun dan bunga api terlarang dianggarkan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000.
"Kes ini adalah tangkapan pertama melibatkan bahan letupan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
"Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika di dapati bersalah," katanya.
Katanya, lelaki terbabit ditahan reman semalam empat hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan.
“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan penjualan mercun dan bunga api tanpa lesen serta  kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh berhubung terus di hotline IPD Tapah 05-401 5222 atau SMS rakan Cops 32728 ataupun balai-balai polis berdekatan,” katanya.

Ribut, hujan batu rosakkan enam rumah



Ribut, hujan batu rosakkan enam rumah
Syed Hamid menunjukkan bumbung rumah ibunya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut, Rabu lalu.
SUNGAI SIPUT - Kurang 10 hari umat Islam di negara ini bakal menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri, ketenangan petang di Kampung Tok Bayas, dekat sini, bertukar cemas apabila enam rumah termasuk sebuah bangunan ternakan burung walit rosak dipukul ribut, Rabu lalu.

Saksi kejadian, Mat Jaman Mat Noor,  29 menceritakan, kejadian berlaku pada jam 4.30 petang dan dia berada di rumah ketika mendengar dentuman kuat dari arah rumah bertentangan dan segera keluar untuk mencari punca bunyi berkenaan.

Mat Jaman berkata, dia terkejut melihat atap rumah berterbangan dengan beberapa pokok di sekeliling kawasan berkenaan tumbang selepas hujan renyai-renyai disusuli hujan batu selama beberapa minit.

"Bagaimanapun, hujan kembali lebat selepas itu diikuti angin bertiup kencang menyebabkan beberapa bumbung rumah termasuk bangunan ternakan burung walit beterbangan hingga ke tengah jalan," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid Syed Abdullah, 53 memaklumkan, rumah ibunya turut mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku sepuluh minit sebelum dilanda angin kencang bersama hujan lebat selama sejam.

Menurutnya, kejadian berkenaan hanya diketahui selepas jiran terdekat menghubunginya dan ibunya tiada di rumah kerana berada di Kuala Lumpur untuk melawat adiknya.

"Saya anggarkan kerugian yang dialami mencecah RM3,000 dan ini merupakan insiden kedua yang berlaku di kampung ini. Kali pertama adalah pada awal tahun lalu," jelasnya.

Suri rumah, Noraini  Zainuddin, 57 berkata, dia tinggal bersendirian di rumahnya dan terpaksa lari menyembunyikan diri di sudut rumah untuk menyelamatkan diri dari terkena atap rumah yang jatuh ketika kejadian.

"Saya ketakutan ketika itu, lantas melaungkan Azan beberapa kali sambil berdoa untuk keselamatan diri. Syukur semuanya selamat dan saya anggarkan kerugian yang dialami sekitar RM2,000.

"Harap semua kerosakan yang berlaku dapat dibaiki dalam kadar segera dan siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.

55 saman dalam masa dua jam

55 saman dalam masa dua jam
Antara penunggang yang diperiksa dalam Ops Khas
Motosikal di Kilometer 1, Jalan Kamunting, semalam.

TAIPING – Hanya dalam tempoh dua jam, 55 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh  anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Taiping dalam satu operasi khas di Kilometer 1, jalan Kamunting, semalam.
Ketua Unit Operasi JPJ Cawangan Taiping, Kamarulzaman Zamry berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 303 motosikal diperiksa dan mengenakan saman kepada mereka yang membuat kesalahan malah turut menyita sebuah motosikal.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak mempunyai cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, nombor pendaftaran yang diubah suai, nombor pendaftaran motosikal yang ditukar serta tiada nombor pendaftaran enjin.
"Ops ini adalah Operasi Pra Perayaan menjelang musim perayaan Aidilfitri dan setakat ini, kita menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal di setiap kawasan panas yang dikenal pasti.
"Ia selaras dengan Operasi Khas Aidilfitri yang akan bermula di seluruh negara secara serentak pada 12 hingga 26 Ogos ini,” katanya ketika ditemui, di sini.
Beliau berkata, pihaknya mensasarkan penunggang motosikal kerana mendapati statistik kadar kemalangan menunjukkan melibatkan penunggang dan pembonceng merupakan yang tertinggi.
Apabila ditanya mengapa sering terdapat kes di mana ramai penunggang dan pemandu tidak mempunyai lesen disaman, beliau menegaskan ini kerana mereka tidak peka terhadap lesen yang telah lama tamat tempoh.
"Jika kadar masa tamat tempoh lesen CDL (Competent Driver’s License) terlalu panjang, akan menyebabkan pengguna tidak berani  untuk membaharui lesen berkenaan.
“Bagaimanapun, JPJ telah pun melonggarkan syarat iaitu tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun bagi pemilik lesen CDL dan jika melebihi tempoh itu lesen perlu dibaharui semula selain perlu mengikuti khusus seperti mula-mula mahu mendapatkan lesen memandu P,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 29 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987 mana-mana lesen yang sudah melebihi tiga tahun tamat tempoh tidak boleh diterima rayuannya.
Manakala, bagi pemegang Lesen P yang sudah habis tempohnya dua tahun, harus ditukarkan kepada Lesen CDL dalam masa setahun.
“Gagal menukarnya ke jenis lesen CDL akan mengakibatkan lesen tersebut dibatalkan secara langsung, namun jika pesalah trafik itu gagal menjelaskan saman JPJ nama mereka akan disenaraihitamkan selagi saman tidak dijelaskan dan tidak boleh memperbaharui lesen memandu.
“Justeru, saya mengingatkan agar setiap kali lesen memandu anda tamat tempoh segeralah memperbaharuinya supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya.

Taktik tipu polis tak menjadi



NORMAWATI ADNAN
10 Ogos 2012
Taktik tipu polis tak menjadi
Anggota polis memeriksa kandungan daun ketum yang berjaya dirampas dalam satu pemeriksaan, di sini.
Taktik tipu polis tak menjadi
"Salah seorang daripada mereka memberi alasan kononnya but kereta tidak boleh dibuka kerana mengalami kerosakan.” Abdul Manab
GERIK – Helah dua lelaki mengatakan bonet kereta rosak bagi mengelak dikesan membawa daun ketum tidak menjadi apabila kelibat mereka berjaya dihidu polis dalam satu pemeriksaan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 37 dan 28 tahun ditahan di kilometer 4.2 Jalan Gerik-Kupang bersama sembilan guni yang dipenuhi daun ketum seberat 70 kilogram.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrum berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, anggota polis bertugas meminta dua lelaki berkenaan membuka but kereta Honda Civic yang dinaiki mereka.
Bagaimanapun menurutnya, salah seorang daripada mereka memberi alasan kononnya but kereta tidak boleh dibuka kerana mengalami kerosakan.
“Curiga dengan tindakan lelaki itu, anggota kita bertindak membuka sendiri bonet kenderaan sebelum mendapati terdapat tujuh guni mengandungi daun ketum diletakkan di dalam but berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, dua lagi guni daun ketum ditemui berada di tempat duduk belakang,” katanya.
Abdul Manab berkata, hasil pemeriksaan awal yang dibuat, dipercayai semua bekalan daun ketum itu diambil dari sebuah kawasan di Kedah sebelum di bawa ke Kelantan untuk diproses dan dijual.
Katanya, dua lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara empat tahun atau denda.
Mengulas lanjut, Abdul Manab berkata, Jalan Gerik-Kupang menjadi laluan utama pembekal daun ketum yang dibawa masuk dari luar negeri ini untuk tujuan pasaran.

Lelaki rentung bersama kereta

SHAH ALAM – Seorang lelaki rentung setelah kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Kilometer 7.9 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, kereta dipandu mangsa jenis BMW warna putih, hilang kawalan dan langgar pengadang jalan.

Jurucakap polis berkata, kereta itu kemudiannya terbabas dan melanggar lereng bukit di bahagian kiri jalan.

“Kereta itu terbakar bersama mangsa di dalamnya. Ketika bomba tiba, mayat mangsa tidak dapat dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

“Doktor mengesahkan mangsa seorang lelaki berdasarkan penemuan jam tangannya. Bagaimanapun, identiti mangsa masih tidak dapat dipastikan,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, polis menemui cebisan nombor pendaftaran kenderaan terbabit, iaitu WVW.

Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta hubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Abdul Hafiz Sariee 014-8905051 untuk membantu siasatan.

Polis serbu kondominium mewah lumpuhkan rangkaian dadah antarabangsa

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah didalangi warga Iran lumpuh setelah tertangkapnya 21 anggota sindiket itu bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM6 juta dalam lima serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan pertama di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, polis menahan empat lelaki warga Iran.
Katanya polis merampas dadah jenis syabu seberat 20kg dalam bentuk serbuk, heroin 630g, 65.07 liter cecair syabu yang dipercayai untuk diproses menjadi dadah jenis syabu ketulan kristal serta beberapa bahan kimia untuk tujuan membuat syabu.
Beliau berkata susulan itu polis menahan 17 lagi anggota sindiket berkenaan hasil serbuan ke beberapa buah kediaman mewah lain di Cyberjaya, Mont Kiara, Petaling Jaya, Jalan Ipoh dan Bandar Manjalara di Kepong.
"Serbuan semalam membawa kita kepada penahanan 21 anggota sindiket itu, berumur antara 22 dan 54 tahun membabitkan 15 warga Iran iaitu 14 lelaki dan seorang wanita, seorang lelaki Uzbekistan dan dua wanita Uzbekistan, dua wanita
Filipina dan seorang lelaki tempatan. Polis percaya dapat melumpuhkan rangkaian sindiket dadah antarabangsa membabitkan warga asing," katanya di sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Noor Rashid berkata ketika serbuan dijalankan dadah jenis syabu itu disembunyikan di dalam 218 bekas tin kecil (canister) yang telah dikimpal bagi mengaburi mata pihak berkuasa, malah percaya kediaman mewah itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan pemprosesan dadah sebelum dijual di dalam dan luar negara.
Katanya serbuk syabu yang disembunyikan di dalam tin canister tersebut dipercayai dibawa masuk menerusi pelabuhan menggunakan kapal kargo.
Beliau berkata beberapa barangan lain turut dirampas dalam serbuan itu antaranya tiga kereta Honda, sebuah Hyundai, Volvo, Land Rover, Mitsubishi dan Mercedez, dua utas jam tangan berjenama, satu komputer riba, sejumlah barang kemas serta wang tunai bernilai RM44,000.
Noor Rashid berkata risikan polis mendapati rata-rata anggota sindiket itu telah berada di negara ini sejak beberapa bulan lalu dan menjalankan perniagaan haram untuk sumber pendapatan.
"Kesemua suspek kini direman sehingga 16 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman mati mandatori," katanya.- Bernama

Suami didakwa bunuh eksektutif TV9




10 Ogos 2012
Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat syarikat gas dan minyak Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31,
Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat syarikat gas dan minyak Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya.
PETALING JAYA - Suami eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Nur Syaleza Jaffar, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya itu, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna ungu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Norazman Bashah, didakwa membunuh Syaleza, 31, di kediamannya di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai lepas.

Norazman Bashah yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 Sept untuk tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Akhbar sebelum ini melaporkan  seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 ditemui mati di kediamannya di Damansara Damai.- Bernama

30 tahun hadap banjir kilat



30 tahun hadap banjir kilat
Keadaan dalam rumah Abdullah selepas air disedut keluar
30 tahun hadap banjir kilat
Abdullah menunjukkan paras air yang naik dalam kejadian banjir kilat yang menjejaskan rumahnya, Isnin lalu.
30 tahun hadap banjir kilat
Abdullah menunjukkan keadaan biliknya yang ditakungi air banjir.
SRI LALANG (KLUANG) - Penduduk empat rumah di  kawasan Jalan Hujung 1, Rumah Murah, Sri Lalang, di sini, seng- sara  kerap berhadapan masalah banjir  kilat sejak 30 tahun lalu.
Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 12.30 tengah hari Isnin lalu, kawasan berkenaan mengalami banjir kilat selepas sejam hujan tanpa henti sehingga menyebabkan salah sebuah rumah terjejas teruk dimasuki air.
Pemilik rumah, Abdullah Mohd Yatim, 52, berkata, air yang masuk ke dalam rumah sangat laju sehingga paras satu kaki menyebabkan segala perabot dan barang elektrik tidak  dapat diselamatkan.
“Kami sekeluarga tidak menyangka banjir kilat pada kali ini sangat dahsyat,” katanya kepada  Sinar Harian.
Menurutnya, dalam kejadian itu, dia kerugian kira-kira RM10,000 dan kebanyakan barang rumah tidak boleh digunakan lagi selain sedih mengenangkan Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.
Abdullah berkata, fenomena banjir kilat ini terus berlaku disebabkan masalah sistem saliran longkang yang tidak sistematik.
“Saya amat berharap pihak berkenaan dapat  bertindak lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.

15 tahun dihurung lalat



15 tahun dihurung lalat
Normala menunjukkan kuih rayanya yang dihurung lalat dan terpaksa disimpan dalam bekas berpenutup dengan cepat.
BATU PAHAT – “Bukan setakat puluhan ekor, malah ribuan lalat menyerang rumah saya setiap kali menyediakan makanan,” kata salah seorang penduduk Kampung Desa Jaya, Ayer Hitam, dekat sini, Normala Ngadanan, 47.

Menurutnya, sudah 15 tahun masalah lalat ini dihadapi penduduk di situ.

“Bagaikan menanti bulan jatuh ke riba, atau menunggu sesuatu tak kunjung tiba...hanya itu sahaja yang boleh kami katakan berkaitan masalah lalat ini.

“Kami sudah tidak tahu lagi cara untuk menghalau serangga berkenaan, bermacam-macam cara telah kami lakukan termasuklah membeli perangkap lalat dan racun serangga,” katanya.

Normala berkata, bilangan lalat ini bukan semakin berkurang, tetapi semakin bertambah dari sehari ke sehari.

“Kami sudah tidak tahan dengan masalah ini, kami malu dengan sanak saudara setiap kali mereka mengunjungi rumah kami dengan keadaan tidak selesa terutamanya di musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

“Mana tidaknya, duduk sahaja akan dihurung lalat. Itu belum lagi apabila makanan dan minuman yang kami sediakan, pastinya akan mnearik minta lalat menghurunginya.

Sudah tentu mereka akan berasa geli untuk menjamahnya.

“Bagi bulan puasa ini pula, hidangan yang kami sediakan untuk berbuka dan juga bersahur turut dihurung lalat.

"Lalat yang ada di kawasan kampung ini sudah tidak kira siang atau malam, seolah-olah mereka ini kerja ‘overtime’, waktu malam pun ada,” katanya.

Menurut Normala, dia mengharapkan pihak yang berkenaan dapat membantu agar masalah yang dihadapi penduduk kampung berkenaan dapat diatasi dengan seberapa segera.

Perkara tersebut pernah diutarakan sebelum ini namun permasalahan ini dilihat masih berterusan sehingga penduduk hidup dalam kesulitan.

12 laluan maut dipantau



12 laluan maut dipantau
Johari menunjukkan 12 lokasi laluan maut sepanjang operasi Penguatkuasaan Aidilfi tri.
JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri memberi tumpuan terhadap 12 lokasi laluan maut di seluruh negeri ini sepanjang operasi Penguatkuasaan Aidilfitri bermula Ahad ini hingga 26 Ogos ini.
Pengarahnya, Johari Yusof berkata, operasi berkenaan akan dihentikan buat sementara waktu pada cuti hari raya pertama dan kedua seterusnya akan bermula semula pada hari raya ketiga.

Katanya, 12 kawasan berkenaan adalah Kilometer (KM) 20 Jalan Johor Bahru- Air Hitam, KM 21 Jalan Johor Bahru- Pontian, KM 20 Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling, KM 21 Jalan Muar-Pagoh, KM 140 Jalan Johor Bahru- Melaka, KM 10 Jalan Kesang-Muar dan KM 15 Jalan Segamat-Kuantan.
Turut terlibat, KM 18 Simpang Lima-Parit Sulong, KM 10 Jalan Kluang-Jalan Air Hitam- Batu Pahat, KM 49 Jalan Johor Bahru- Air Hitam, KM71 Jalan Johor Bahru-Mersing dan KM2 Jalan Johor Bahru- Kota Tinggi.

“Anggota JPJ turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik melalui penguatkuasaan secara penyamaran dengan mengambil gambar kenderaan atau pemandu yang melakukan tujuh kesalahan seperti kesalahan dimandatori sebagai punca kemalangan.

“Tiada sekatan jalan raya di adakan di kawasan berkenaan, hanya penguatkuasaan secara rondaan sahaja dilakukan oleh pasukan pemantauan JPJ,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat JPJ negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, JPJ juga telah mengeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan Barangan semasa berkuat kuasa pada 17, 18, 25 dan 26 Ogos ini iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas Hari Raya membabitkan tiga kategori Larangan Penggunaan Kenderaan Barangan  mengikut jenis kenderaan berat.

Katanya, pihaknya turut menjalankan penguatkuasaan terhadap bas ekspres dan bas tambahan ekspres di depoh  bermula 5 Ogos hingga 11 Ogos ini termasuk penguatkuasaan di terminal bas utama di Terminal Bas Larkin, di sini dan Terminal Bentayan, Muar.

“Pemeriksaan air kencing ke atas pemandu bas ekspres di terminal juga dijalankan sepanjang penguatkuasaan Aidilfitri membabitkan kerjasama daripada pihak polis dan Agensi Anti
Dadah Kebangsaan,” katanya.
Johari berkata, operasi khas motosikal bersepadu turut dijalankan pada 5, 15 dan 23 Ogos di laluan tumpuan utama bersama beberapa agensi penguatkuasaan berkaitan memandangkan lebih 60 peratus kemalangan maut adalah membabitkan kenderaan itu.

Wartawan diugut tepi jalan



Wartawan diugut tepi jalan
Gambar suspek menaiki motosikal yang sempat dirakamkan mangsa.
IPOH - Wartawan China Press, Poon Wei Kuen, 31 berdepan detik cemas apabila kereta jenis Proton Waja yang dipandu ditahan seorang lelaki menaiki motosikal, yang telah mengugut serta meminta wang daripadanya dengan alasan telah dilanggar oleh Wei Kuen di Jalan Panglima Bukit Gantang, Rabu lalu.

Wei Kun memaklumkan, kejadian itu berlaku pada jam 6 petang, dan dia dalam perjalanan dari Jalan Tun Abdul Razak ke Bulatan Bahagia pada ketika itu sebelum mendengar dentuman kuat di belakang kereta yang dipandunya.

Wei Kun berkata, dia sudah melihat seorang lelaki menaiki motosikal di belakang kenderaannya waktu itu namun terpaksa meneruskan perjalanan kerana keadaan lalu lintas sesak, dan ketika sampai di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, lelaki berkenaan telah bertindak menghalang perjalanannya.

"Lelaki itu turun dari motosikal dan datang ke arah kereta saya lalu mendakwa dia telah dilanggar lari oleh saya, menyebabkan tangan kirinya cedera.

"Pelik dengan tindakan lelaki itu, saya mengajaknya ke balai polis berhampiran untuk menyelesaikan masalah itu, namun dia enggan. Lelaki itu mencari alasan dan menyuruh saya meminta maaf atas insiden berkenaan," katanya.

Wei Kun menambah, selepas dia meminta maaf, lelaki terbabit masih menunggu seperti mengharap sesuatu dan kerana bimbang, Wei Kun memaklumkan lelaki terbabit yang dia akan membuat laporan polis.

Lelaki terbabit kemudiannya melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru gelap, dengan nombor pendaftaran kenderaan AGU 8246.

"Saya juga sempat mengambil gambar kelibat lelaki itu dan kerana bimbang keselamatan saya  serta orang lain turut terancam dengan kejadian seperti ini, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam (kelmarin)," katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias menasihatkan orang ramai yang memandu berseorangan, terutama wanita agar lebih berhati-hati serta jangan mudah terpedaya dengan taktik penjenayah.

"Jangan panik bila berdepan dengan situasi seperti itu dan cuba dapatkan butiran kenderaan seperti jenis, warna, nombor plat, serta keadaan fizikal suspek. Kita syorkan mangsa membuat laporan polis supaya kami dapat mengesan penjenayah" katanya.

Risiko 151 premis internet jika terbabit judi



Risiko 151 premis internet jika terbabit judi
Mohd Jasmani bersama pegawainya menunjukkan lambakan set komputer yang dirampas.
KUANTAN -  Polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengenal pasti 151 premis pusat internet yang bakal berdepan tindakan pemotongan bekalan elektrik kerana disyaki terlibat menjalankan kegiatan perjudian internet.

Setakat ini sebanyak 70 premis di sekitar Kuantan sudah dikenakan tindakan dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff  berkata, beberapa siri kejayaan pihaknya menumpaskan kegiatan di sini tidak bermakna tugas mereka sudah berakhir sebaliknya usaha menjejaki dan menyerbu premis judi internet yang berdegil akan tetap diteruskan.

Menurutnya, operasi menggempur premis yang disyaki terlibat dengan kegiatan itu dijalankan setiap hari dan rampasan demi rampasan set komputer terus dilakukan.

“Kita menghadapi masalah untuk menempatkan set komputer yang dirampas memandangkan stor sedia ada tidak mampu lagi untuk menampung jumlah rampasan besar setiap kali serbuan dijalankan.

“Set komputer yang dirampas kini terpaksa diletakkan di merata tempat," katanya dalam satu sidang media di sini, petang semalam.

Mohd Jasmani berkata, lambakan komputer itu menunjukkan pihaknya sentiasa mengambil tindakan  tegas dan berkesan dalam usaha membanteras gejala itu daripada terus berleluasa  bukan mendiamkan diri seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 288 operasi dan serbuan dijalankan melibatkan polis serta beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Hasil operasi tersebut, kita berjaya menahan 1,269 individu dan merampas 3,032 set komputer dianggarkan bernilai lebih RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan ini akan diperangi habis-habisan malah mekanisme bersama turut dipersetujui beberapa agensi termasuk Polis, MPK, SPRM, SKMM dan TNB untuk membanteras kegiatan merosakkan masyarakat itu.

“Kita mengalu-alukan maklumat awam berhubung sebarang kegiatan jenayah termasuk perjudian internet di daerah ini.

“Maklumat tepat dan cepat memudahkan pihak polis bertindak dan segala rungutan masyarakat berhubung kegiatan itu dapat diatasi segera,” katanya.

Peniaga cedera ditetak parang



Peniaga cedera ditetak parang
Khairil Ezzuan ketika menerima rawatan di HSB.
ALOR SETAR - “Ini merupakan tahun pertama kami meniaga ayam panggang di sini, tidak mungkin kami ada musuh dalam perniagaan,” kata seorang bapa kepada mangsa kejadian samun yang mengakibatkan anaknya ditetak, kelmarin.

Bapa mangsa, Nasidan Idris, 49, berkata, dia terkejut ketika menerima panggilan mengenai kejadian yang melibatkan anaknya, Khairil Ezzuan Nasidan, 26, di gerai ayam panggang terletak di Jalan Tun Razak.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika Khairil Ezzuan baru tiba di tapak perniagaan itu bagi memulakan perniagaan dan kemudiannya didatangi dua lelaki tidak dikenali dengan menunggang motosikal.

Dia yang tidak tahu punca kejadian itu berlaku sehingga anaknya cedera akibat ditetak dengan parang oleh dua lelaki turut berasa hairan kerana anaknya tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.

“Setiap kali dia (Khairil Ezzuan) ada masalah, dia akan cerita dengan saya, namun sebelum kejadian ini dia langsung tidak pernah menceritakannya. Saya sendiri tidak tahu apa punca kejadian ini dan me-ngapa mereka sanggup cederakan anak saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mangsa mengalami kecederaan dan telah menerima jahitan pada lengan kiri dan telinga kanan.

Beliau berkata, mangsa juga mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat dilibas dengan parang. Menurutnya, kedua-dua suspek telah melarikan diri dengan menunggang motosikal setelah mereka gagal menyamun mangsa.

“Salah seorang suspek telah berjaya ditahan oleh orang awam manakala seorang lagi telah melarikan diri. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kita masih memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri,” katanya.

Adzaman berkata, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) telah dibenarkan keluar dari wad.

Dua lelaki Nigeria sorok dadah dicekup polis



Dua lelaki Nigeria sorok dadah dicekup polis
Yahaya (tengah) menunjukkan peket berisi kristal disyaki syabu yang dirampas.
SUBANG JAYA - Dua lelaki warga Nigeria yang sudah berada di negara ini tanpa dokumen sah dicekup bersama 1,971.5 gram kristal disyaki dadah jenis syabu oleh anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Isnin lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit masing-masing berusia 30 dan 32 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Puchong Utama bersama dadah dengan nilai pasaran hampir RM260,000 itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota mendekati kereta jenis Proton Saga yang diletakkan di tepi jalan.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang berada dalam kereta cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

“Kami menemui sebuah beg komputer riba berwarna hitam di antara kerusi tempat duduk depan mengandungi dua beg plastik berisi kristal disyaki syabu.

“Salah satu plastik mengandungi 1.97 kilogram syabu manakala terdapat satu lagi peket kecil berisi 1.5 gram juga dipercayai dadah jenis syabu yang ditemui dalam sehelai sarung kaki,” katanya kelmarin.

Peniaga miliki rokok seludup, didenda RM17,000



Peniaga miliki rokok seludup, didenda RM17,000
Tertuduh (kiri) diiringi anggota dari Cawangan Penguatkuasaan Kastam Kota Bharu, Mohd Jamri Mamat untuk membayar denda.
KOTA BHARU – Seorang peniaga didenda RM17,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku salah memiliki 68 karton rokok seludup, tahun lalu.

Hukuman terhadap W Mohd Azam W Hassan, 49, dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.

Berdasarkan tuduhan, bapa tiga anak itu didakwa memiliki pelbagai jenis rokok yang dilarang import bernilai RM1,465 di kedai runcit Kampung Padang Dermit, Jalan Raja Perempuan Zainab II di sini, pada jam 2.50 petang, 11 Julai.

Tertuduh mengaku bersalah menyebabkan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly turut menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara jika gagal lunas denda. Dia bagaimanapun membayar denda itu sebelum meninggalkan mahkamah.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kastam, Koh Joo Kai.

Terdahulu, tertuduh melalui peguam belanya memohon hukuman diringankan berikutan masih mempunyai tanggungan anak yang bersekolah.

“Tertuduh sudah 10 tahun berniaga dan inilah kesalahan pertama yang dilakukan serta dia berjanji tidak akan mengulanginya pada masa depan,” katanya.

4 sekawan dicekup, terlibat kes samun



4 sekawan dicekup, terlibat kes samun
Semua suspek ditahan selepas dipercayai terlibat menyamun seorang pengawal keselamatan di Kota Damansara.
PETALING JAYA – Empat suspek dipercayai terlibat dalam kes samun seorang pengawal keselamatan di Seksyen 5, 28 Julai lalu berjaya diberkas anggota polis Kota Damansara di sebuah kawasan rekreasi di sini, semalam.

Hasil maklumat awam ke semua suspek yang menaiki kereta Proton Waja ditahan ketika mereka sedang melepak di sebuah kawasan rekreasi dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, tangkapan dibuat berdasarkan rakaman yang diperoleh kamera litar tertutup (CCTV) pondok pengawal itu.

Menurutnya, video berdurasi seminit 46 saat yang turut tersebar di laman YouTube itu menunjukkan tiga suspek bertindak menyerang mangsa menggunakan parang  menyebabkan mangsa cedera di lengan kanan dan leher.

“Kereta  dinaiki suspek juga adalah kereta sama dirakam oleh kamera  pondok pengawal itu,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1 pagi itu,  suspek turut melarikan barangan termasuk telefon bimbit milik mangsa.

Difahamkan, salah seorang suspek baru selesai hukuman buang daerah dan pernah dipenjarakan di penjara Simpang Renggam.

Semua suspek ditahan berusia 21, 30, 27 dan 16 tahun dan kes disiasat di bawah kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 kerana samun berkawan bersenjata api.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya  dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek untuk tindakan selanjutnya.

Ingin tidur lama petanda ajal



Ingin tidur lama petanda ajal
Hamzah (kiri) melihat motosikal mangsa yang digunakan suspek untuk mengheret mangsa daripada lokasi kejadian ke rumah mangsa di Kampung Tajin.
KAMPUNG TAJIN - "Hanya linangan air mata mengiringi sebaik sahaja melihat anak saya terbaring di hadapan rumah. Tambah memilukan apabila dia pergi menghadap ILAHI kerana dibunuh di saat kita semua bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi."

Itu luahan Rohana Muda, 47, yang tidak menyangka sikap rajin anak sulungnya, Ahmad Tarmimi Johari, 25, atau lebih mesra dengan panggilan Abang, Selasa lalu mengemas katil dan memberitahu ingin tidur lama tanpa ada sesiapa mengejutkannya menjadi petanda dia akan pergi selamanya.

"Hanya ALLAH tahu perasaan saya ketika itu apabila melihat dia pengsan dengan keadaan hidung berdarah dan cedera di kaki sebaik sahaja diberitahu anak bongsu saya, Fathanatul Huda, 13 yang keluar rumah untuk ke sekolah.

“Sejak suami meninggal lebih 10 tahun lalu, dialah banyak membantu terutamanya melibatkan kerja-kerja berat memandangkan dia anak tunggal lelaki serta anak sulung daripada lima beradik. Dia juga sering membantu saya berniaga kuih akok di kedai, depan rumah ini.

“Selasa lalu, dia bukan sahaja bergurau dengan saya mengatakan ingin tidur lama tanpa ada orang akan mengejutkannya. Ketika itu dia mengemas katilnya, malah turut menyatakan perkara sama pada rakannya yang membantunya mengubah kedudukan katil dalam biliknya untuk dikemas," katanya.

Menurut Rohana, sikap anaknya itu berbeza sejak akhir-akhir ini kerana begitu ringan tulang, tidak seperti biasa kerana selalu berdalih sekiranya melakukan sesuatu perkara disuruh.

"Sikapnya sungguh berbeza malah dia langsung tidak menunjukkan semangat menyambut Aidilfitri tahun ini dan memberitahu tidak akan membeli baju raya ataupun mengadakan sebarang persiapan berkaitan hari raya.

"Rupanya itu semua petanda yang dia benar-benar tidak akan berhari raya kali ini,” katanya.

Kata Rohana, kali terakhir dia bertemu anaknya itu malam Rabu lalu kira-kira jam 12 tengah malam apabila arwah pulang ke rumah seketika mengambil rokok selepas keluar dari rumah selepas berbuka puasa.

“Dia pulang tidak sampai lima minit, selepas mengambil rokok dia terus keluar semula. Pastinya saya benar-benar terkejut dan sedih keesokan paginya melihat dia terbaring atas simen di hadapan rumah, sedangkan malam itu saya melihatnya masih sihat.

“Walaupun masih bersedih dengan pemergiannya, namun saya reda kerana ini semua dugaan-Nya untuk saya. Jenazahnya juga telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tajin selepas solat Asar semalam (kelmarin),” katanya.


Mangsa dipercayai dihentak dengan objek keras

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hulu Terengganu memberitahu, mangsa meninggal dunia kerana kecederaan di bahagian kepala dipercayai dihentak dengan objek keras setelah terlibat dalam satu pergaduhan.

Menurutnya, terdahulu kira-kira jam 9.45 malam, Selasa lalu (7 Ogos), mangsa dipercayai berselisih faham dengan salah seorang suspek di satu lokasi di Kampung Tajin dan bertindak menampar suspek.

“Oleh kerana rasa tidak puas hati, suspek berkenaan telah mengajak dua rakannya dipercayai untuk membalas dendam. Sewaktu pergaduhan kira-kira jam 1.30 pagi, mangsa dipercayai dihentak dengan objek keras.

“Hentakan itu menyebabkan mangsa pengsan lalu diseret atas sebuah motosikal sejauh kira-kira 700 meter ke hadapan rumahnya sebelum ditemui salah seorang ahli keluarganya kira-kira jam 6.30 pagi hari sama," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi. Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat dihentak objek keras di bahagian kepala,” katanya.

Hamzah berkata, dalam masa dua jam lebih, pihaknya berjaya menangkap ketiga-tiga suspek berumur 20, 21 dan 23 tahun yang bekerja sebagai buruh di rumah masing-masing di Kampung Tajin serta Kampung Bukit Gemuruh.

“Kesemua suspek ditangkap ini mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan dan direman bermula hari ini (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Polis percaya motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham serta dendam,” katanya.

Lembu berkeliaran ancam nyawa



Lembu berkeliaran ancam nyawa
Keadaan sebuah kereta selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan dua lembu di simpang masuk ke Taman Daskoh, dekat Kuala Krai, Selasa lalu.
KUALA KRAI - Seorang pemimpin masyarakat, di sini, kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik lembu apabila masih membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya hingga mengundang bahaya kepada orang lain.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Guchil, Zulkifli Ya’cob berkata, biar pun sedar perbuatan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya dan akibat buruknya kerap disiarkan media, pemilik lembu terbabit nampaknya masih tidak insaf.

Katanya, jika pemilik lembu berkeliaran itu beragama Islam, mereka sebenarnya masih tidak faham erti dan tanggungjawab sebagai seorang muslim apabila terus berdegil melakukan perbuatan haram tersebut.

“Jangan ingat tinggal puasa sahaja haram bahkan, hukumnya sama iaitu haram dan berdosa kalau lembu peliharaan kita sebabkan orang lain hilang nyawa dan rugi harta benda.

“Saya pun sudah kerap dengar rungutan orang ramai tentang masalah ini hingga ada buat perumpamaan, pemilik lembu berkeliaran ini tidak ada beza dengan haiwan ternakan mereka, sama sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkifli berkata, pada kejadian terbaru nahas jalan raya membabitkan lembu berkeliaran di simpang masuk ke Taman Daskoh, dekat sini, Selasa lalu, tiga pemilik kereta menanggung kerugian teruk akibat kemalangan itu.

“Seorang mangsa baru sebulan beli kereta untuk ulang alik dari Bachok ke tempat kerja di Gua Musang tetapi bila berlaku kejadian ini, pemilik lembu terbabit tak terfikir ke betapa kasihannya nasib dia (mangsa).

“Tidak ada masalah kalau nak pelihara lembu tetapi biarlah ditambat. Kalau nak lepaskan berkeliaran hingga rosakkan tanaman dan bahayakan nyawa orang lain, baik tak payah pelihara lembu,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memandang serius dan mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah haiwan ternakan berkeliaran di daerah ini termasuk di Guchil.

“Saya minta tolong sangat dengan pihak berkuasa terbabit supaya pandang serius masalah ini dan ambil tindakan tegas kerana ia melibatkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

“Kita tidak boleh lagi biarkan pemilik haiwan berkeliaran ini tidur lena di rumah tanpa rasa bersalah sedangkan orang lain terpaksa tanggung sengsara dan hilang nyawa akibat haiwan ternakan mereka,” katanya.

Kantoi guna alat ganti curi

KULIM - Kemungkinan takut ditahan berikutan pelbagai kesalahan, beberapa pemandu  kenderaan dan penunggang motosikal terutamanya sanggup menongkah arus apabila menyedari polis mengadakan sekatan jalan raya.

Ketua Balai Polis Kulim, Asisten Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, bagaimanapun mereka yang berbuat demikian berjaya ditahan dan tindakan saman dikenakan terhadap pesalah berkenaan.

"Ada antara mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan, ia adalah satu kesalahan. Selain itu polis turut menahan motosikal yang menggunakan alat ganti dipercayai dicuri.

“Polis tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang menggunakan alat ganti motosikal curi. Jika ditahan, kita akan mendakwa mereka terlibat kerana memiliki barangan curi.

Saya nasihatkan kepada golongan remaja dan belia terutamanya supaya memastikan motosikal mereka dalam keadaan baik sekiranya tidak mahu berhadapan dengan sebarang masalah,” katanya selepas Ops Lejang dilancarkannya di sini, kelmarin.

Operasi yang turut disertai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan ahli Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) itu adalah untuk memastikan kadar kecurian motosikal di kawasan Kulim terus dibendung.

Dalam operasi itu, lebih 50 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya kerana pelbagai kesalahan.

Dalam pada itu, Azlan turut berharap ibu bapa memantau pergerakan anak mereka terutama mereka yang mempunyai motosikal.

“Daripada saman dikeluarkan, didapati kebanyakan penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sudah tamat tempoh. Ini menunjukkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap kepentingan dokumen itu masih rendah.

"Sekiranya berlaku kemalangan, mangsa tidak memiliki lesen memandu dan kenderaan mereka tamat cukai jalan tidak boleh membuat sebarang tuntutan insurans. Selain itu kebanyakan pesalah remaja ditahan menyatakan motosikal dinaiki mereka dimiliki oleh ibu dan bapa mereka,” katanya.

Terdahulu, Ops Lejang dijalankan bermula jam 2.30 petang dan berhenti kira-kira jam 6 petang bagi membolehkan anggota terlibat yang beragama Islam berbuka puasa.

Operasi diteruskan semula jam 12 pagi dan berakhir kira-kira jam 4.30 pagi.

Kesemua anggota terlibat telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk membuat pemeriksaan terhadap semua jenis kenderaan.

Dua jam dikurung ah long



WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Ogos 2012
IPOH – Polis berjaya menyelamatkan dua beranak yang dikurung selama dua jam di sebuah kedai besi buruk di Sungai Buloh, Selangor selepas dilarikan empat lelaki dipercayai ah long dari Simpang Pulai di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, pengadu menerima panggilan dari adik lelakinya yang menyatakan dia bersama ayahnya di bawa ke Kuala Lumpur kerana hutang berjumlah RM30,000 tidak dibayar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) , Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, kedua-dua mangsa berusia 60 tahun dan 24 tahun itu diselamatkan selepas polis menerima maklumat daripada pengadu.

“Bertindak atas maklumat, pihak JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan dibantu Polis IPD Gombak membuat serbuan jam 6 pagi pada hari sama di premis berkenaan dan berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Hasil siasatan mendapati mangsa ada membuat pinjaman wang sebanyak RM30,000 tahun lalu dengan RM29,400 telah dilangsaikan. Perbincangan bersama suspek bulan lalu untuk membayar bakinya tidak dipersetujui apabila suspek memaksa membayar jumlah wang yang meningkat kepada RM42,200,” katanya.

Menurutnya, empat suspek berusia 31 hingga 35 tahun ditangkap dalam serbuan itu direman selama empat hari bermula kelmarin.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan salah bagi memeras harta atau memaksa supaya melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Warga emas kutip derma, bantu pusat tahfiz


Warga emas kutip derma, bantu pusat tahfiz
Seorang warga emas (kanan) dilihat sedang merayu derma
 daripada pelanggan di sebuah stesen minyak.
PEKAN – Kehadiran warga emas mengutip derma dengan dakwaan bagi membantu kebajikan pelajar di sebuah pusat tahfiz di Yan, Kedah mendapat perhatian daripada anggota masyarakat yang gemar menghulur derma, di sini.

Bagaimanapun, kelibat warga emas itu hanya dapat dilihat sekali-sekala seperti bermusim di tempat awam seperti stesen minyak, sekitar bandar serta kawasan perumahan penduduk di daerah ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, jika dahulu kanak-kanak menjadi peminta derma, namun kini si tua pula ‘bertugas’ dan kelihatan di sekitar bandar dan kawasan yang selalu menjadi persinggahan.

Seorang guru, Suriani Ibrahim berkata, kehadiran warga emas mengutip derma itu hanya tertumpu di lokasi tertentu sahaja terutama di kawasan bandar.

Menurutnya, keadaan tersebut mungkin disebabkan faktor penduduk yang lebih ramai serta kesibukan kota menyebabkan kehadiran mereka tidak disedari menyebabkan orang ramai menghulurkan derma tanpa banyak soal.

“Selalunya mereka membawa kalendar, minyak urut serta buku keagamaan untuk dijual dan wang yang diterima disifatkan sebagai kebajikan seperti yang tertera pada sekeping surat yang sering dibawa mereka.

“Apabila disoal, mereka mendakwa melakukan tugas itu secara sukarela bagi mengumpul dana sekolah namun alasan itu tidak masuk akal ekoran keadaan dan kemampuan diri mereka yang sudah tua dan tidak seharusnya dijadikan bahan eksploitasi,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Mohd Farish Daud, 34, berkata, terbit rasa simpati apabila melihat kelibat warga emas berkeliaran meraih simpati orang ramai yang mana ada di antaraya tidak mempedulikan kehadiran mereka.

“Ada dalam kalangan mereka menjual buku, kalendar atau minyak urut dengan harga RM10 atau meminta orang ramai menderma mengikut kemampuan kerana enggan pulang dengan tangan kosong.

“Ada juga dalam kalangan mereka datang dari jauh seperti Kedah dan Kelantan semata-mata untuk mengutip derma sekaligus ‘menjual’ nama pusat tahfiz berkaitan,” katanya yang bersimpati dengan warga emas terbabit.

Isteri pemimpin politik China mengaku bunuh warga UK




11 Ogos 2012
Isteri Bo Xilai
$entry.content.caption.value
BEIJING - Isteri seorang bekas pemimpin politik China yang meningkat naik, Gu Kailai mengaku bersalah membunuh ahli perniagaan dari Britain, Neil Heywood November lalu.
Bagaimanapun Kailai mendakwa dia berhadapan dengan masalah mental.
Agensi berita Xinhuamelaporkan bahawa Kailai, isteri kepada Bo Xilai yang dilucutkan jawatan kanan dalam parti awal tahun ini, bersedia menerima apa sahaja hukuman yang bakal dijatuhkan.
Dia dituduh secara rasmi ketika perbicaraan semalam.
Laporan media menyebut Heywood ditemui mati di Chongging November lalu.
Awal hari ini, empat pegawai polis kanan mengaku bersalah menutup kes pembunuhan Heywood, lapor Xinhua.

Lelaki parah dibelasah dalam kes samun

KUANTAN - Seorang lelaki cedera parah dipercayai dibelasah sekumpulan lelaki dalam satu kes samun di kawasan perumahan di Bandar Indera Mahkota, awal pagi tadi.
   
Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa, 32, seorang pekerja kilang di kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini ditemui orang awam di tepi jalan di kawasan perumahan berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.
   
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa dibelasah seramai empat lelaki yang menaiki dua kereta.
   
"Mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan dihimpit dua kereta terbabit sebelum empat suspek berusia 20-an bertindak menyerang mangsa menggunakan kayu hoki serta batang besi.
   
"Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
   
Beliau berkata motosikal yang dinaiki mangsa turut dilarikan suspek terbabit.
   
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa tidak mengenali suspek terbabit, bagaimanapun polis masih menyiasat kes berkenaan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama