
Zaaba Zakaria (dua dari kiri) bersama pegawai penguatkuasa JAIS merampas barang-barang yang digunakan untuk meminta derma pada Operasi Pengemis di Seksyen 9, Petaling, Jaya, Selangor, semalam. - BERNAMA
SHAH ALAM 9 Ogos - Kegiatan sindiket pengutip derma dengan berlindung di sebalik aktiviti jualan pelbagai produk sehingga sanggup menggunakan kanak-kanak dan gadis belasan tahun amat dikesalkan.
Malah dalam operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di beberapa daerah di negeri ini hari ini menemui seorang gadis berumur 16 tahun yang diarahkan untuk menjual 'ubat kuat' bagi pasangan suami-isteri di sebuah stesen minyak di sini.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JAIS, Hardi Mohamad Sadali, terdapat juga pengutip derma yang berselindung di sebalik penjualan buku agama dan ubat tradisional termasuk membabitkan warga asing dari Thailand dan Indonesia.
''Selain diminta menjual ubat tradisional, gadis berumur 16 tahun tersebut juga diminta menjual cakera padat karaoke. Sebenarnya kalau mengikut undang-undang adalah salah untuk mengutip derma di tempat awam dan ia ternyata telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
''Dalam operasi hari ini, kita juga menahan pengutip derma yang telah melanggar syarat MAIS kerana mengutip derma di tempat awam iaitu di hadapan premis kewangan," katanya kepada pemberita selepas operasi pengemis sempena bulan Ramadan di sini hari ini.
Hardi berkata, peminta derma yang diberi kelulusan hanya dibenarkan mengutip derma di pejabat dan premis persendirian dan dilarang sama sekali mengutip di tempat awam seperti bazar Ramadan, restoran, bank dan lain-lain tempat tumpuan ramai.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memberi wang kepada pengutip derma kerana surat kebenaran yang diberi hanya menghadkan kawasan kutipan di tempat tertentu sahaja.
Sementara itu, beliau berkata, dalam operasi selama empat jam di sekitar bandar raya ini, Klang dan Petaling, seramai tiga orang pengutip derma warga asing telah ditahan.
"Berdasarkan barang-barang yang kita sita daripada pengutip derma tanpa kebenaran, kita dapati ada tiga pasport, ini menunjukkan pengutip derma yang ditahan merupakan warga asing.
"Selain dua warga Indonesia dan seorang warga Thailand, lima lagi yang ditahan adalah warga tempatan yang datang dari Pahang, Kuala Lumpur dan Kedah," katanya.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor iaitu memungut khairat atau derma tanpa surat kebenaran MAIS.