Search This Blog

Thursday, August 9, 2012

Rasuah: ASP dipenjara lima tahun, denda RM20,000



SHAH ALAM 9 Ogos - Seorang pegawai polis berpangkat ASP dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM4,000 bagi meringankan pertuduhan terhadap seorang wanita yang ditahan kerana memiliki dadah, dua tahun lepas.
Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhi hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
ASP Azmi Abdullah, 54, yang kini digantung tugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang juga boleh dipenjarakan 10 bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.
Mat Ghani bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi mengarahkan Azmi membayar denda itu.
Beliau turut mengekalkan wang jaminan RM8,000 yang ditetapkan sebelum ini.
Pegawai polis itu membayar denda. - BERNAMA

Polis rampas dadah 19kg



PULAU PINANG 8 Ogos - Sebuah makmal memproses dadah yang beroperasi di sebuah kondominium mewah di pulau ini diserbu oleh polis kelmarin selepas intipan dijalankan selama dua bulan.
Dalam serbuan di lokasi tumpuan pelancong Batu Feringghi itu, polis merampas 19.05 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM571,500.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Star serta empat butir peluru yang disorokkan di bahagian bawah bateri kereta milik salah seorang suspek.
"Selain itu, polis turut menyita enam buah kenderaan, barang kemas, jet ski, enjin bot serta 'beach buggy' milik kesemua suspek yang bernilai keseluruhan RM213,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Menurut Noor Rashid, sembilan suspek yang merupakan pengusaha sukan air berusia antara 19 hingga 45 tahun termasuk dua wanita juga berjaya ditahan.
Kesemua tangkapan dibuat di beberapa lokasi sekitar Batu Feringghi dan Bukit Mertajam dalam tempoh tiga hari.
Mereka direman sehingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan
"Kita harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berhubung kegiatan memproses mahupun pengedaran dadah
"Saya juga menasihati pemilik kondominium agar lebih berhati-hati ketika menyewakan premis mereka kepada orang luar memandangkan trend terkini yang menjadikan kediaman mewah sebagai tempat memproses dadah bagi mengelak daripada dikesan," jelas Noor Rashid.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 50 tahun dan merampas dadah jenis ganja seberat 4.4 kilogram dan 456 gram dadah jenis heroin yang bernilai RM26,000 daripadanya.
Katanya, serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi di sebuah bilik di Kompleks Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
"Serbuan dijalankan hasil maklumat orang ramai dan suspek kini ditahan reman sehingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan," katanya.

Tipu: pengurut kaki dipenjara setahun dan denda RM300,000



SHAH ALAM 8 Ogos - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM300,000 atau penjara lima tahun ke atas seorang pengurut kaki setelah didapati bersalah menipu seorang peniaga RM392,000.
Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Yap Ah Bian, 63, setelah pihak pembelaan gagal membuktikan kes pendakwaan melampaui keraguan munasabah.
Ah Bian didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya Lim Lea Moi, 46, supaya menyertai pelaburan restoran yang menawarkan pulangan lumayan sehingga mendorong peniaga itu menyerahkan kepada beliau wang itu di hadapan Standard Chartered Bank, Meru Klang di antara 29 Mei 2009 dan 27 Jan 2010.

Persiapan raya enam beradik musnah




TEMERLOH 8 Ogos - Persiapan menyambut hari raya enam beradik musnah sekelip mata apabila rumah mereka di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Kebakaran pukul 12.45 tengah hari itu berlaku ketika pemilik rumah yang juga nenek kepada enam beradik berkenaan, Soama Mat Akil, 72, berada di halaman rumah.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana insiden itu tidak menyebabkan sebarang kehilangan nyawa walaupun empat cucu dan menantu Saoma, Nor Rashidah Mohd. Abdul, 33, berada dalam rumah ketika kejadian.

Anak Saoma iaitu Mohd. Adam Abdul Latif, 34, pula sedang bertugas di pejabatnya di Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) manakala dua lagi cucunya belum pulang dari sekolah.

Soama berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mencabut rumput di halaman rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan oleh menantunya dari dalam rumah.

"Saya dengar menantu jerit api dalam rumah, dia kemudian mendukung dua anak dalam bilik air dan keluar bersama dua lagi anak kembarnya.

"Masa dia cuba masuk semula untuk selamatkan beberapa barang, api sudah mula marak bermula di bahagian tengah rumah," katanya,

Sementara itu, Mohd. Adam berkata, dia dimaklumkan isterinya mengenai kejadian itu ketika bertugas di bandar Temerloh.

"Saya balik tengok rumah dah rentung, semua persiapan raya anak-anak yang baru seminggu lalu kami beli musnah termasuk kasut, baju dan pakaian seorang sepasang," katanya.

Mohd. Adam berkata, nasib baik isteri dan anak serta ibunya sempat menyelamatkan diri dan dalam keadaan kelam kabut itu, Nor Rashidah mengalami cedera ringan di tangan terkena api ketika menyelamatkan anak-anak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Hashnuddin Hussain ketika ditemui memaklumkan pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira pukul 12.49 tengah hari.

Menurutnya, dua jentera tiba di lokasi kira-kira pukul 1 petang dengan kekuatan 13 anggota dan pegawai berjaya mengawal api daripada merebak.

"Secara keseluruhan, 90 peratus rumah ini musnah terbakar, pihak kami juga masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa, Penerangan, Teknologi, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin mengumumkan bantuan segera RM5,000 kepada keluarga Soama atas bencana yang berlaku.

Jais kesan sindiket guna pelajar sekolah kutip derma hingga pukul 3 pagi




9 Ogos 2012
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim serta menggunakan pelajar sekolah untuk mengutip derma sehingga ke pukul 3 pagi setiap hari.
 
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jais Hardi Mohamad Sadali berkata aktiviti sindiket mengutip derma itu terbongkar selepas lapan individu termasuk tiga rakyat asing ditahan dalam operasi kutipan derma tanpa kebenaran di Seksyen 9, 11, 17, 18 dan 19 di sini, hari ini.
 
Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 50 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran Jais dan di kawasan yang tidak dibenarkan.
 
"Siasatan kami mendapati ada yang berselindung di sebalik sindiket yang menggunakan pelajar sekolah yang dihantar sejak awal pagi hingga ke pukul 3 pagi keesokannya malah ada yang dipercayai dipergunakan oleh sebuah ajaran yang meragukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
 
Hardi berkata operasi yang diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais Zaaba Zakaria itu turut merampas beberapa barangan yang dijual oleh mereka yang ditahan seperti cakera padat karaoke, madu dan ubat-ubatan tradisional.

Beliau berkata turut dirampas ialah resit, tabung derma dan surat kebenaran kutipan yang tidak sah.
 
"Kesemua yang ditahan akan diambil kenyataan untuk tujuan siasatan sebelum tindakan selanjutnya dan dibebaskan," katanya.
 
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
Beliau berkata Jais memang ada mengeluarkan kebenaran untuk mengutip derma tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak dibuat di tempat awam seperti di restoran dan bank.
 
Ditanya mengenai pembabitan kumpulan ajaran dipercayai sesat dalam sindiket itu, Hardi tidak menolak kemungkinan itu dan berkata perkara itu masih di peringkat siasatan.
 
"Kami masih menyiasat malah ada mereka yang ditahan memaklumkan mereka mengutip derma untuk aktiviti kumpulan berkenaan dengan menjual produk mereka," katanya. - Bernama

Taktik perbaharui dokumen pelacur asing guna 'pas pusingan U'

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Sindiket pelacuran membabitkan warga asing di negara ini kini dikesan menggunakan taktik 'pas pusingan U' iaitu memperbaharui dokumen perjalanan yang telah tamat tempoh tanpa memerlukan kehadiran mereka.
Modus operandi sindiket tersebut adalah membawa dokumen yang sudah tamat tempoh itu ke kawasan sempadan seperti di Bukit Kayu Hitam, Kedah bagi proses pengesahan keluar dari negara ini.
Ahli sindiket yang membawa dokumen itu kemudian akan menetap di negara jiran Thailand selama tiga hari atau 72 jam sebelum membuat pengesahan masuk semula ke negara ini buat kali kedua.
Kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan pemilik premis hiburan dan pusat urut yang memerlukan khidmat pelacur untuk tinggal lebih masa ekoran permintaan tinggi pelanggan.
Perkara tersebut didedahkan Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan (gambar) berdasarkan hasil siasatan terhadap tangkapan wanita asing dipercayai pelacur dalam operasi cegah maksiat di premis hiburan dan pusat urut di seluruh negara.
"Sindiket 'pas pusingan U' itu akan membawa dokumen perjalanan semua wanita berkenaan yang tamat tempoh ke sempadan negara untuk mendapatkan pengesahan keluar tanpa kehadiran mereka.
"Kebiasaannya sindiket ini memilih negara jiran terdekat iaitu Thailand untuk penempatan sementara kerana lebih dekat dan murah dari segi kos berbanding negara lain,'' ujarnya.
Menurut beliau, kegiatan tersebut telah dikesan sejak beberapa tahun lalu namun pihak berkuasa sukar mengesan pergerakan sindiket berkenaan kerana dipercayai mendapat bantuan petugas di sempadan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket tersebut kerana terdapat tangkapan warga asing yang keluar masuk ke negara ini lebih tiga kali menggunakan laluan yang sama.
"Kegiatan mereka sangat licik dan melibatkan rangkaian sindiket antarabangsa dan tempatan.
"Bagaimanapun Jabatan Imigresen sentiasa membuat pemeriksaan rapi di setiap pintu masuk negara. Tangkapan akan dibuat ke atas warga asing yang masuk kali ketiga menggunakan laluan yang sama sebelum siasatan dibuat.
"Selain taktik 'pas pusingan U', pihak berkuasa juga mendapati wujud sindiket memalsukan gambar pasport atau menukar identiti yang difahamkan mudah dilakukan di negara jiran," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Alias, pihak Imigresen hanya berkuasa membuat tangkapan atas kesalahan seperti salah guna pas, pas tamat tempoh dan tindakan yang menyalahi Akta Imigresen.
Katanya, seramai 29,351 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antara Januari hingga Julai lalu.

Sukarelawan dipenjara 5 tahun cuba bunuh majikan wanita




9 Ogos 2012
PETALING JAYA - Seorang sukarelawan rumah kebajikan hari ini dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah cuba membunuh majikannya tiga bulan lepas.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan Mohd Nashurdin Hassan, 39, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 Mei lepas.

Mohd Nashurdin, dari Kelantan, didakwa cuba membunuh pengurus Pertubuhan Kebajikan Baltul Fiqh Subang Jaya, Haliza Abdullah, 51, dengan cara menikam
mangsa menggunakan sebilah pisau hingga menyebabkan kecederaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di asrama pusat tersebut di No 158, Jalan SS 14, Subang Jaya, pada 12.01 tengah malam, 12 Mei lepas.

Mohd Nashurdin yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh memasuki bilik pengurus tersebut dengan menendang pintu lalu menindih mangsa serta menikamnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana tindakannya boleh membawa kematian kepada mangsa. - Bernama

Wanita berpengaruh Indonesia suspek kes rasuah


 Siti Hartati Murdaya
Siti Hartati Murdaya
JAKARTA - Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK) pada Rabu menetapkan Siti Hartati Murdaya, seorang ahli perniagaan dan wanita yang sangat berpengaruh di Indonesia, sebagai suspek dalam satu skandal rasuah berprofil tinggi.

 Media tempatan melaporkan wanita yang dikatakan mempunyai kaitan kuat dengan semua presiden Indonesia kecuali Soekarno itu, didakwa memberi rasuah kepada Pegawai Daerah Boul, Sulawesi Tengah, Amran Batalipu Rp3 bilion (RM985,000).

"Jumlah suapan yang didakwa diberikan itu ada kaitan dengan penerbitan permit perniagaan kepada PT Cipta Cakra Murdaya dan PT Hartati Inti Plantation.

"Wang itu diberikan dalam dua peringkat iaitu Rp1 bilion pada 18 Jun dan Rp2 bilion pada 26 Jun," kata Pengerusi KPK Abraham Samad.

 Penetapan wanita itu sebagai suspek disifatkan banyak pihak sebagai kejayaan besar suruhanjaya pembenterasan rasuah Indonesia kerana berani menyentuh lingkaran kekuasaan.

Siti Hartati, 65, dilaporkan mempunyai kekayaan terkumpul berjumlah AS$1 bilion menerusi penguasaan dalam lebih 50 syarikat dan beliau dinamakan orang ke-14 terkaya di Indonesia oleh majalah Forbes pada 2011. - Bernama

Sindiket guna murid sekolah kutip derma



SHAH ALAM 9 Ogos - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesan terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim serta menggunakan pelajar sekolah untuk mengutip derma sehingga ke pukul 3 pagi setiap hari.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JAIS, Hardi Mohamad Sadali berkata aktiviti sindiket mengutip derma itu terbongkar selepas lapan individu termasuk tiga rakyat asing ditahan dalam operasi kutipan derma tanpa kebenaran di Seksyen 9, 11, 17, 18 dan 19 di sini, hari ini.
Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 50 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran Jais dan di kawasan yang tidak dibenarkan.
"Siasatan kami mendapati ada yang berselindung di sebalik sindiket yang menggunakan pelajar sekolah yang dihantar sejak awal pagi hingga ke pukul 3 pagi keesokannya malah ada yang dipercayai dipergunakan oleh sebuah ajaran yang meragukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hardi berkata operasi yang diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais Zaaba Zakaria itu turut merampas beberapa barangan yang dijual oleh mereka yang ditahan seperti cakera padat karaoke, madu dan ubat-ubatan tradisional.
Beliau berkata turut dirampas ialah resit, tabung derma dan surat kebenaran kutipan yang tidak sah.
"Kesemua yang ditahan akan diambil kenyataan untuk tujuan siasatan sebelum tindakan selanjutnya dan dibebaskan," katanya. - BERNAMA

Penganggur halang polis didenda RM3,000




9 Ogos 2012
NIBONG TEBAL - Seorang penganggur didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menghalang tugas penjawat awam pada 5 Ogos lepas.

Majistret Mohamed Aznin Mohamed Ariff menjatuhi hukuman itu terhadap M. Moganadass, 19, yang mengaku salah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dia dituduh membaling topi keledar ke arah cermin hadapan kereta peronda polis dengan niat menghalang tugas seorang anggota polis, Murat Muhamad Yusof
yang sedang melakukan rondaan.
Kesalahan itu dilakukan 5 Ogos lepas pada pukul 1.15 pagi di Jalan Jawi Jaya 7, Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi, Nibong Tebal.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Rasuah: Pegawai polis dipenjara 5 tahun, denda RM20,000




9 Ogos 2012
SHAH ALAM - Seorang pegawai polis berpangkat ASP dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM4,000 bagi meringankan pertuduhan terhadap seorang wanita yang ditahan kerana memiliki dadah, dua tahun lepas.
Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhi hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
ASP Azmi Abdullah, 54, yang kini digantung tugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang juga boleh dipenjarakan 10 bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.
Mat Ghani bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi mengarahkan Azmi membayar denda itu.
Beliau turut mengekalkan wang jaminan RM8,000 yang ditetapkan sebelum ini.
Pegawai polis itu membayar denda.

Azmi didakwa menerima suapan wang tunai itu daripada Ng Zho Wei sebagai dorongan untuk menukar pertuduhan kepada lebih ringan ke atas rakannya, Mong Lin Chi.
Mong ditangkap kerana memiliki satu tiub straw berisi dadah jenis ketamin mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tertuduh diminta menukar keputusan ujian saringan air kencing daripada positif dadah kepada negatif menurut seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Azmi didakwa melakukan perbuatan itu di bilik pejabatnya di Bahagian Siasatan Narkotik, IPD Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada 7.05 malam, 26 Nov 2010.
Dia didakwa mengikut seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, atau mana yang lebih tinggi.
Seramai 12 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Nik Haslinie Hashim manakala Azmi diwakili peguam Salim Bashir. - Bernama

Lelaki Palestin ditemui mati di Sepang




9 Ogos 2012
SHAH ALAM - Seorang lelaki Palestin yang bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur ditemui mati di tepi jalan berdekatan Jeti Nelayan Kampung Tanjung Rhu, Sungai Pelek, Sepang.
Mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan pada pukul 8 pagi Isnin lepas.
"Terdapat kesan luka dan lebam pada badan mayat lelaki itu dan polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di situ," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati lelaki itu menetap di sini sejak setahun lepas.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Lagi ditahan kes tayangan Batman



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
WASHINGTON - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan seorang lagi lelaki yang mencurigakan di Ohio sebelum tayangan filem The Dark Knight Rises, kelmarin.

Jurucakap polis Westlake berkata, suspek, Scott Smith, 37, ditahan oleh anggota preman sebelum memasuki panggung wayang tersebut.

"Ketika pemeriksaan kami mendapati suspek turut membawa sebuah beg mengandungi sepucuk pistol jenis Glock bersama dua magazin penuh peluru dan tiga bilah pisau," katanya.

Beliau berkata, sejak kejadian serangan rambang di panggung wayang Colorado semasa tayangan perdana filem Batman bulan lalu, anggota polis sentiasa ditempatkan di beberapa panggung wayang utama sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Bingung tayar kereta dikunci



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Bingung tayar kereta dikunci
Sri Jamal menunjukkan keadaan tayar kereta jenis Naza Ria yang dikunci oleh MDJL.
BAHAU - Sudahlah tayar keretanya dikunci, seorang peniaga di sini bertambah bingung apabila  dia didakwa mempunyai kompaun bagi kesalahan lampau yang tidak diketahui sebanyak RM580.
Peniaga itu, Sri Jamal Khir Jaliludin, 45, berkata, dia menyedari hal itu ketika dia ingin mengambil kereta jenis Naza Ria di Jalan Mewah, dekat sini dan mendapati terdapat satu notis kesalahan di cermin keretanya sementara tayar keretanya sudah dikunci.
Menurutnya, ketika dia ingin menjelaskan kompaun itu, seorang penguat kuasa Majlis Daerah Jempol (MDJL) memaklumkan bahaya dia mempunyai kompaun atas kesalahan lampau.
"Jika saya mahukan kunci pada kereta dibuka, saya perlu menjelaskan kesemua kompaun termasuklah kesalahan lampau yang tidak diketahui.
"Disebabkan tidak berpuas hati, saya nekad membuat laporan di Balai Polis Bahau pada 6 Ogos lepas agar ia dapat diadili dengan sempurna," katanya di sini, semalam.
Sri Jamal berkata, dia ada memaklumkan kepada Yang Dipertua MDJL bahawa notis itu adalah kompaun yang membawa maksud pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan meletakkan kenderaan mempunyai pilihan sama ada menerima tawaran bayaran kompaun atau kes dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.
Sementara itu, Yang Dipertua MDJL, Wan Razali Wan Awang menjelaskan, pihaknya terpaksa mengunci tayar peniaga itu kerana gagal menjelaskan tunggakan lampau.
“Atas nombor pendaftaran kenderaan itu sahaja terdapat 18 kompaun telah dikeluarkan sepanjang tempoh melebihi satu tahun.
"Memang dia ada menjelaskan kompaun, tetapi masih terdapat 18 kompaun yang masih belum dibayar," katanya.
Menurutnya, MDJL juga pernah menghantar notis peringatan kepadanya sebanyak dua kali iaitu pada 20 Oktober 2011 dan 15 November 2011.
“Kita telah bagi peluang tempoh masa lama untuk membayar kompaun, jadi pada 6 Ogos lalu baru kita ambil tindakan mengunci tayar dan ketika itu peniaga berkenaan mengulangi kesalahan iaitu mempamerkan kupon melebihi waktu yang ditetapkan,” katanya.
Wan Razali berkata, MDJL boleh bertolak ansur bagi mengurangkan kadar kompaun itu, namun peniaga berkenaan mahu membawa kes tersebut ke mahkamah dan kita tidak mampu menghalangnya.
“Namun, agak mengecewakan apabila kita dapati kunci tayar pada kenderaan itu telah dipecahkan pada malam tadi (kelmarin). Jadi pihak kami juga telah membuat satu laporan polis berhubung kes itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Tak sayang nyawa



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Tak sayang nyawa
Sebuah lori treler tidak menghiraukan keselamatan awam walaupun anggota polis berada di lokasi berkenaan.
BANTING - Pengguna jalan raya di simpang masuk dari arah Klang ke Teluk Bunut tidak serik apabila bebas membuat pusingan U tanpa mengira keselamatan pengguna lain.
Pengguna jalan raya didakwa sanggup menggadai nyawa apabila cuba melintas biarpun laluan itu sedang sibuk.
Akibatnya, beberapa kemalangan maut dan cedera parah pernah berlaku di situ akibat kecuaian pengguna jalan raya sendiri.
Peniaga, Ng Siew Peng, 45, berkata, laluan simpang masuk itu sepatutnya di bina pembahagi jalan bagi mengelakkan pengguna jalan raya sesuka hati membuat pusingan U.
"Dalam tempoh seminggu ada sahaja kemalangan yang berlaku sehingga menyebabkan kematian.
"Cadangan membina pembahagi jalan di situ di lihat sedikit sebanyak dapat menyekat kebebasan mereka (pengguna jalan raya) membuat pusingan U.
Pengguna jalan raya, M Samy, 39, berkata, dia yang bekerja di sebuah premis berhampiran simpang berkenaan sering kali melihat sikap pemandu yang tidak sabar untuk melintas.
Katanya, pelbagai jenis kenderaan termasuk lori treler sewenang-wenangnya membuat pusingan U di situ sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.
“Jika pihak bertanggungjawab mempunyai alternatif lain untuk membanteras penggunaan laluan ke simpang berkenaan, ianya perlu dipraktikkan segera bagi mengelakkan kemalangan berlaku, “ katanya.

Pesalah juvanil diserang sawan



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Pesalah juvanil diserang sawan
Remaja berkenaan diusung turun dari tingkat dua oleh pembantu perubatan dan polis.
KOTA BHARU – Terkejut diperintah menjalani pemulihan di Henry Gurney kerana memiliki dadah, seorang remaja berusia 17 tahun sesak nafas dipercayai diserang sawan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Keadaan remaja itu menyebabkan prosiding di mahkamah tergendala serta merta sebelum dia dibawa menaiki ambulans ke hospital.
Sebelum itu, Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor memerintahkan pesalah juvanil berkenaan menjalani pemulihan selama tiga tahun di Sekolah Tahanan Henry Teluk Mas, Melaka.
Sejurus hukuman diperintahkan, remaja yang sepatutnya meraikan hari lahirnya semalam itu, sesak nafas sebelum rebah ke lantai dalam keadaan menggigil dengan mulut berbuih.
Dia kemudiannya dibantu kakitangan mahkamah dan polis sebelum bertindak menghubungi ambulans.
Remaja yang sudah tidak bersekolah itu didakwa memiliki 0.6 gram dadah metamphetamine di sebuah rumah di Kampung Wakaf Stan Kubang Kerian di sini, pada jam 5.30 pagi, 6 Februari lalu.
Pada prosiding semalam, dia mengaku bersalah dan turut dikenakan perintah jagaan Pegawai Akhlak selama setahun selepas selesai pemulihan pada usia 21 tahun.
Seorang wanita dipercayai ahli keluarganya turut dilihat menangis melihat keadaan remaja itu. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.

Curi kabel: Telekom rugi RM4 juta




9 Ogos 2012
 ALOR SETAR - Telekom Malaysia (TM) mengalami kerugian hampir RM4 juta sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, akibat kecurian kabel milik syarikat telekomunikasi itu di Perlis dan Kedah.
Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Noor Lela Baba berkata sepanjang tempoh itu lebih 800 kes direkodkan dengan sebanyak 167 kes direkodkan sepanjang bulan Julai sahaja.
"Kes kecurian meningkat sejak Julai tahun ini mungkin disebabkan musim perayaan," katanya kepada pemberita pada program Bubur Lambuk Ihya Ramadan TM, di sini hari ini.
Noor Lela berkata pihak TM telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah ini antaranya yang terbaru memasang alat pengesan kecurian kabel.
"Isyarat kecurian akan diterima terus di ibu sawat TM sejurus selepas wayar kabel itu dipotong," katanya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan kes kecurian kabel kepada pihak TM di talian 04-7202999 yang beroperasi 24 jam.
"Pihak kami juga menyediakan ganjaran kepada sesiapa yang memberi laporan tentang kes kecurian kabel" katanya. - Bernama

Polis: Pengurus bank diserang seorang penceroboh




15 Jun 2012
SIBU - Pihak polis percaya seorang penceroboh telah membunuh pengurus cawangan sebuah bank asing di sini dalam pergelutan di bilik tidurnya ketika cubaan merompak di rumahnya di Ulu Sungai Merah, di sini kira-kira 1.30 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu DSP Delly Beng berkata ini berdasarkan kenyataan yang diberi oleh balu si mati, Stephen Wong King Kui, 31.

Beliau berkata kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Sri Wong Soon Koh dan anggota Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King berhubung kes itu di ibu pejabat polis divisyen sini hari ini.
 
"Siasatan kami menunjukkan penceroboh memasuki rumah melalui pintu dapur yang tidak berkunci di tingkat bawah sebelum menuju ke bilik tidur di mana dia secara tidak sengaja bertemu mangsa, Stephen Wong King Kui, 31.

Pergelutan berlaku di dalam bilik yang tidak dinyalakan lampu. Isteri mangsa melihat penceroboh itu.

Katanya polis tiba di tempat kejadian sebelum 2 pagi selepas mendapat panggilan.

"Kami telah memeriksa rumah dan kawasan sekitar taman perumahan itu tetapi gagal menemui apa-apa atau senjata yang digunakan. Tetapi kita mempunyai petunjuk dan akan jalankan siasatan," katanya.

Delly bagaimanapun menolak motif rompakan kerana siasatan menunjukkan tiada barang yang dilaporkan hilang dan menambah penceroboh datang menaiki motosikal melalui lorong belakang.

Katanya sebaik polis tiba, mangsa masih bernafas tetapi darah masih mengalir akibat kecederaan sekurang-kurangnya lima tikaman di bahagian kepala dan  beliau meninggal tidak lama kemudian.

Soon Koh berkata beliau terima banyak panggilan daripada orang awam berhubung insiden itu yang melahirkan kebimbangan berhubung aspek keselamatan di bandar itu.

"Saya merayu kepada orang ramai agar tidak bimbang dan tidak membuat spekulasi tentang kes itu. Pihak polis bekerja keras dan mereka telah melakukan tugas dengan baik untuk menjaga keselamatan kita," katanya. - Bernama

Warga emas dijumpai mati bersama senapang



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Warga emas dijumpai mati bersama senapang
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam
AIR PUTIH – Misteri kehilangan seorang warga emas lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk menghalau babi hutan yang menceroboh kebun di belakang rumahnya terjawab, apabila isterinya menemui suaminya itu terbaring bersama senapang di tangan kira-kira jam 5.15 petang kelmarin, di Kampung Air Putih, dekat jambatan Jerangau-Jabor di sini.
Difahamkan, si mati yang berusia lingkungan 60-an keluar rumah bersama senapang kira-kira jam 4.30 pagi bagi memeriksa bunyi bising di kebun kecil di belakang rumahnya yang disyaki dilakukan babi hutan.
Bagaimanapun, selepas lebih 12 jam keluar rumah, si suami masih tidak pulang ke rumah menyebabkan isterinya yang berusia lingkungan 50-an mengambil keputusan untuk mencari di kebun ibu kayu dan tebu di belakang rumah mereka.
Sejurus dijumpai, si mati dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman dan hasil pemeriksaan tiada kesan tembakan di badan di mati.
Hasil bedah siasat yang dilakukan kira-kira jam 10 malam mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung serta berlaku jangkitan kuman pada jantung dan paru-parunya sebelum mayat dituntut ahli keluarga dan segera dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan berkata kes diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.

Pengurus bank dibunuh dalam rompakan




14 Jun 2012
SIBU - Pengurus cawangan sebuah bank asing di sini ditemui mati, dipercayai dibunuh dalam satu cubaan merompak di rumahnya di Ulu Sungai Merah, di sini kira-kira 1.30 pagi semalam.
 
Polis mengenal pasti mangsa sebagai Stephen Wong, 31, pengurus cawangan HSBC Bank di sini.
  
Isteri mangsa memberitahu pemberita hari ini, ketika kejadian, dia melihat suaminya bergelut dengan seseorang di dalam bilik tidur mereka.
  
Apabila suaminya meminta dia menyalakan lampu, wanita itu berkata dia nampak suaminya terbaring berhampiran katil dengan kecederaan di seluruh badan yang dipercayai akibat objek tajam.
  
Wong kemudian meminta isterinya menelefon bapa saudaranya untuk mendapatkan bantuan dan sebaik tiba, bapa saudaranya itu segera menghubungi polis namun Wong telahpun meninggal dunia.
 
Polis diketuai pegawai penyiasat kanan ASP Yeoh Chun Shyan tiba sebelum 2 pagi dan membawa mayat mangsa ke bilik mayat Hospital Sibu pada 5 pagi ini.
  
T'iada sebarang tanda rumah itu dipecah masuk dan penyerang dipercayai masuk ke rumah menerusi pintu dapur.

Mangsa yang tinggal di kawasan perumahan itu sejak dua tahun lepas, sudah bberkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berumur tiga tahun.
  
Hari ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Sri Wong Soon Koh dan seorang pemimpin komuniti, Temenggong Vincent Lau Lee Ming datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada anggota keluarga mendiang tetapi mereka tiada di rumah. - Bernama

Tangan hancur tersepit mesin tebu



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Tangan hancur tersepit mesin tebu
Siti Aishah sentiasa di samping anaknya, Mohd Hafiz yang masih dalam keadaan lemah akibat kejadian itu.
BALING - “Saya hampir pengsan melihat tangan kanan anak hampir hancur selepas tersepit mesin air tebu. Lebih membuatkan saya buntu apabila mesin itu tidak dapat dimatikan malah terus bergerak,” kata Siti Aishah Mohd Siddiq, 33, ibu kepada Mohd Hafiz Haikal Shaharuddin, 5, yang tangannya hampir putus tersepit mesin air tebu, minggu lalu. Mohd Hafiz yang baru mendapat pendidikan di Tabika Perpaduan Kuala Pegang, kudung pergelangan tangan kanannya kerana hancur dan kini masih dalam proses pemulihan.

Siti Aishah yang berasal dari Kampung Banggol Asam Jawa berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama dua anaknya termasuk Mohd Hafiz singgah ke sebuah gerai air tebu di Sungai Limau selepas pulang membeli barangan dapur di sebuah pasar raya di sini 31 Julai lalu.

“Pada hari itu, Mohd Hafiz begitu beria-ria untuk minum air tebu kerana memang gemarkannya. Malah dia nampak seakan tidak sabar untuk minum. Perangainya amat menghairankan, seolah-olah saya tidak pernah membelikannya air tebu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika singgah di gerai untuk membeli air tebu, hanya dia yang keluar dari kenderaan, manakala Mohd Hafiz dan kakaknya, Nurul Intan Safira, 9, berada di dalam kereta.

"Secara tiba-tiba, Hafiz keluar dari kenderaan dan terus meluru serta mencapai mesin tebu yang sedang berfungsi.

“Saya tergamam melihat mesin tebu itu terus menyepit tangannya. Saya lihat depan mata cebisan daging jatuh ke atas tanah.

“Saya hanya mampu mengucap panjang sementara menunggu pemilik mesin itu mengeluarkan tangan anak saya,” katanya.

Siti Aishah berkata, anaknya itu langsung tidak menangis mahupun mengerang kesakitan walaupun mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan tangannya dari mesin berkenaan.

“Hafiz masih lagi dapat melihat tangannya dimamah mesin sedangkan kakaknya pengsan akibat kejadian itu,” katanya.

Mohd Hafiz yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu terus dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan.

Siti Aishah berkata, tangan anaknya tidak dapat disambung semula akibat cebisan tangannya hancur dan kini masih lagi mendapatkan rawatan susulan di Hospital Baling.

Setengah jam tahan sakit



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Setengah jam tahan sakit
Anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Setengah jam tahan sakit
Keadaan mangsa sebelum dikeluarkan.
ALOR GAJAH - Seorang lelaki terpaksa menahan sakit lebih setengah jam apabila kaki kanannya tersepit dalam kenderaan remuk selepas terbabit kemalangan di Lebuh Alor Gajah - Melaka - Jasin (AMJ) Sungai Petai, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.20 pagi itu, mangsa, Chua Yew Yong, 30, memandu kereta jenis Honda dari arah bandar Melaka menuju ke Alor Gajah, sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik sehingga patah.
Kemalangan itu turut menyebabkan tiang elektrik dirempuh mangsa terseret sejauh kira-kira 25 meter.
Saksi kejadian, Abdul Faiq Abd Rahim, 18, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah bersama abangnya, Abd Rashdan, 20, dan rakannya, Mohd Asyraf, 21.
"Sebaik melihat kemalangan, kami segera turun dari kereta untuk membantu mangsa yang kelihatan hampir pengsan setelah gagal keluar berikutan kakinya tersepit pada pedal minyak.
“Dalam keadaan mengerang kesakitan, mangsa sempat bertanyakan keadaan keretanya kerana bimbang mungkin akan dimarahi bapanya akibat kemalangan itu," katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.
Menurutnya, mangsa yang tersepit dalam kereta cuba menghubungi rakannya menerusi telefon bimbit tetapi gagal.
“Orang awam yang berada di situ juga tidak berani menyentuh mangsa kerana takut tersilap memberi bantuan.
“Panik melihat keadaan mangsa yang merintih dan meraung, abang saya segera menghubungi bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah untuk mengeluarkan mangsa," katanya.
Sementara menunggu bantuan kecemasan tiba, katanya, mereka berbual dengan mangsa.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2 Chee Hong Chuan berkata, bomba menerima panggilan dari orang awam berhubung kejadian itu pada kira-kira 1.30 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Sebuah jentera membabitkan enam anggota membantu mengeluarkan mangsa di tempat kejadian.
"Bomba terpaksa memotong beberapa komponen kereta selepas mendapati kaki kanannya patah dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.
Mangsa yang patah kaki kanan dan luka ringan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Persiapan raya suami isteri musnah dalam kebakaran



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Persiapan raya suami isteri musnah dalam kebakaran
Azura dan Amran tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya terbakar di Kampung Ketil.
TUMPAT – Persiapan Aidilfitri bagi sepasang suami isteri musnah apabila rumah mereka terbakar dalam kebakaran di Kampung Ketil di sini, semalam.
Dalam kejadian kira–kira jam 12 malam, pasangan terbabit, Azura Aziz, 38, bersama suaminya, Amran Che Ibrahim, 42, tiada di rumah kerana berniaga aneka colek di kedai yang terletak beberapa meter dari rumahnya itu.
Azura berkata, dia menyedari rumahnya terbakar apabila seorang jiran datang memberitahunya.
“Tanpa berlengah, saya bergegas pulang walaupun ketika itu masih ada pelanggan di kedai saya ini,” katanya.
Menurutnya, dia amat terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan apa–apa kerana ketika dia sampai di rumah itu, api sudah marak.
“Saya sedih kerana tiga ekor anak kucing tidak sempat diselamatkan apabila mati terbakar ketika kejadian,” katanya.
Menurutnya, dia tinggal sehelai sepinggang kerana semua harta bendanya hangus terbakar.
“Dua motosikal saya turut terbakar namun agak bernasib baik kerana Proton Wira diparkir di kedai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Mohd Bustam Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada jam 12.32 malam.
“Lapan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 12.59 malam,” katanya.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan kira–kira RM40,000.

Dipenjara 30 tahun bunuh rakan



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
IPOH – Seorang pekerja kontrak warga Myanmar yang membunuh tanpa niat dua rakan senegaranya dua tahun lalu kerana tidak tahan dibuli, dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu ke atas Aung berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Ogos 2010.

Aung yang berusia 25 tahun ketika kejadian mengaku salah atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian ke atas Aung Than Lin, 27, dan Khaing Tun, 26, antara jam 11.30 malam hingga 12.30 malam, 6 Ogos 2010 di sebuah rumah di Menglembu, di sini.

Dalam penghakiman ringkas, Zainal Adzam menyifatkan dua pembunuhan itu merupakan serangan kejam dan tidak masuk akal berikutan tiada provokasi daripada mangsa.

“Cara pembunuhan mangsa pertama yang sedang tidur dengan 17 kesan tikaman dan terdapat kesan potongan panjang di perut menyebabkan usus dan hati pecah dan terdapat kecederaan pada bahagian tengkorak si mati.

“Mangsa kedua dibunuh sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah. Terdapat 19 kesan kecederaan pada mati selain beberapa kesan pada tengkorak mangsa,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, kedua- dua pembunuhan dilakukan dengan menggunakan kapak  dalam keadaan mabuk.

Dua penjual mercun ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Dua penjual mercun ditahan
Mohamad Fakri menunjukkan mercun yang dirampas dalam dua serbuan yang dilakukan ke atas penjual mercun.
SERI ISKANDAR, Perak Tengah - Sepasukan Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah berjaya merampas mercun dalam dua kes berasingan, bulan ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, serbuan pertama dibuat pada 3 Ogos lalu di Bazar Ramadan Titi Gantong.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan kerana menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api.

“Serbuan ini adalah hasil maklumat orang awam yang diberikan kepada pihak polis mengenai penjualan mercun berkenaan.

“Lelaki tersebut didapati menjual mercun jenis bola dan pelbagai jenis bunga api di bazar berkenaan,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Kata beliau, bagi kes kedua pula serbuan dibuat di sebuah rumah di Changkat Sodang pada jam 9.50 malam.

Jelasnya, dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita dipercayai menjual mercun dari rumahnya.

“Kita juga turut menjumpai mercun di tepi dinding di bahagian pintu masuk rumah ketika pemeriksaan dijalankan.

"Serbuan dibuat apabila menerima aduan orang awam yang memaklumkan wanita berkenaan dipercayai menjual mercun kepada budak-budak di kawasan berkenaan," katanya.

Mohamad Fakri berkata, nilai rampasan bagi kedua-kedua kes berkenaan ialah RM300 dan RM1000 dan kedua- duanya akan didakwa di bawah seksyen 8 akta bahan letupan dan jika sabit kesalahan boleh di penjara tujuh tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjual atau membakar mercun kerana boleh mengancam keselamatan.

“Operasi dan serbuan akan sentiasa dilakukan bagi memastikan masalah mercun dapat diatasi,” katanya.

Lagi mangsa gores dan menang



Lagi mangsa gores dan menang
Lagi mangsa gores dan menang
JOHOR BAHRU – Tidak sampai empat bulan barangan dibeli, seorang penghantar kurier kecewa apabila alat pembersih udara miliknya rosak, malah penjual pula cuba bersikap lepas tangan biarpun telah dimaklumkan beberapa kali.

Pihak yang menuntut, Mohd Fauzi Abdul Rahim berkata, dia dan isterinya bersetuju untuk membeli perkakas elektrik itu selepas dipujuk oleh seorang jurujual yang dikenali sebagai Roy ketika berkunjung ke sebuah ekspo jualan barangan.

Menurutnya, dia ditawarkan untuk menggores kad dan memenangi hadiah sebuah alat penapis air, namun untuk menuntut barangan itu dia perlu membeli sebuah alat pembersih udara berharga RM2,699 terlebih dahulu.

“Saya bersetuju untuk membelinya dan membayar secara ansuran melalui Aeon Kredit sebanyak RM151 selama 24 bulan. Roy juga memaklumkan terdapat jaminan tiga tahun wang dikembalikan sekiranya barangan dibeli rosak.

“Barangan ini juga mempunyai jaminan kerosakan selama dua tahun, namun baru empat bulan dibeli ia telah rosak sedangkan kami tidak kerap menggunakannya. Isteri saya, Norliza Badri, 21, kemudian menghubungi pihak syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk menemui wakil jualan di bandaraya ini juga tidak berhasil apabila pejabat syarikat itu yang terletak di Taman Impian, di sini telah ditutup.

“Isteri saya menghubungi talian khidmat pelanggan mereka dan memaklumkan mengenai kerosakan berkenaan pada Mei lalu. Mereka berjanji akan menghantar wakil.

Sehinggalah 11 Jun lalu kami menghubungi mereka sekali lagi dan tiada sebarang respons selepas itu,” katanya.

Bengang dengan sikap pihak syarikat, beliau memfailkan tuntutan di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam, menuntut pihak penentang memulangkan semula bayaran RM2,699.

Sementara itu, Presiden TTPM, Maznah Haron dalam penghakimannya memerintahkan pihak penentang memulangkan semula bayaran RM2,699 kepada Mohd Fauzi dalam masa 14 hari selepas award dikeluarkan.

Bekas guru seludup mercun, rokok



Bekas guru seludup mercun, rokok
Sebanyak 15 bungkusan mercun bola dirampas daripada suspek.
GERIK – Seorang bekas guru sanggup memandu kereta sejauh kira-kira 300 kilometer menyeludup 15 bungkus mercun bola dan 90 karton rokok untuk dijual di pasar malam di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 4.2, Jalan Gerik-Kupang dekat sini pada jam 8.45 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, suspek menyumbat penuh but keretanya dengan mercun bola yang dibungkus plastik hitam supaya tidak mudah dikesan pihak berkuasa.

“Suspek ditahan dalam operasi mencegah kegiatan menyalahi undang-undang dan anggota kami mudah mengesan kesalahan lelaki itu kerana tidak membungkus kotak rokok dalam kereta.

“Pemeriksaan di but belakang keretanya pula mendapati sejumlah 15 bungkusan mercun bila pula disimpan. Hasil rampasan bernilai lebih RM5,000,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan membawa rokok seludup yang diambil melalui Rantau Panjang, Kelantan manakala, mercun bola pula diambil dari Kota Bharu.

“Suspek menjual rokok berkenaan dengan harga RM30 se-karton dan sebungkus mercun bola dijual dengan harga RM25 sebungkus berikutan ada permintaan tinggi di sana.

“Suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan akan dikenakan dua tuduhan kes,” katanya.

Abdul Manab berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi kes mercun dan kes rokok pula di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang-barang belum cukai.

Persiapan raya musnah, nenek bersama empat cucu nyaris rentung



Persiapan raya musnah, nenek bersama empat cucu nyaris rentung
Anggota bomba cuba memadam api dan mengawal kebakaran daripada merebak. 90 peratus rumah milik warga emas, Soama Mat Akil musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Jaya.
Persiapan raya musnah, nenek bersama empat cucu nyaris rentung
Pilu, kaum keluarga Soama terdiri daripada menantu dan cucunya sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran, semalam.
TEMERLOH - Persiapan menyambut hari raya enam beradik sejak seminggu lalu musnah apabila rumah didiami di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak, Bandar Temerloh, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari,  semalam.

Kejadian berlaku ketika pemilik rumah, Soama Mat Akil, 72, bersama empat cucu dan menantunya, Nor Rashidah Mohd Abdul, 33, berada di rumah.

Ketika kejadian, dua lagi cucu Soama masih belum pulang dari sekolah, manakala anaknya, Mohd Adam Abdul Latif, 34, keluar bekerja. Soama berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mencabut rumput di halaman rumah, sebelum  dikejutkan dengan teriakan menantunya.

“Saya dengar menantu jerit api dalam rumah, dia kemudian mendukung dua anaknya dalam bilik air dan dua lagi anak kembarnya keluar dari rumah.

“Masa dia cuba masuk semula untuk selamatkan beberapa barang, api sudah marak bermula di bahagian tengah rumah,” katanya,

Sementara itu, menantu Soama, Hamidin Mat Isa berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi letupan kecil dari arah rumah ibu mentuanya.

“Selang beberapa saat kemudian saya nampak asap. Saya masuk ke dalam rumah ambil tiga baldi air siram, tetapi api semakin marak. Saya cari emak dan kemudian keluar menyelamatkan diri.

“Ketika melarikan diri, saya lihat anak saudara dan kaum keluarga lain dah berkumpul di halaman rumah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Adam berkata, dia dimaklumkan isterinya mengenai kejadian itu ketika sedang bertugas di bandar Temerloh.

“Saya balik tengok rumah dah rentung, semua persiapan raya anak-anak yang baru seminggu lalu kami beli musnah. Kasut, baju pakaian anak-anak sepasang seorang saya beli semua musnah.

“Biasanya saya ke tempat kerja naik motosikal, tetapi hari ini (semalam) saya bawa van. Motosikal yang saya tinggalkan di garaj rumah turut musnah,” katanya.

Mohd Adam berkata, isteri, anak dan ibunya bernasib baik kerana sempat keluar menyelamatkan diri, namun isterinya mengalami cedera ringan di tangan akibat terkena api ketika menyelamatkan anak-anak.

Menurutnya, dia bersama isteri dan enam anak baru sahaja berpindah ke rumah ibunya kira-kira tiga bulan lalu.

"Sebelum ini saya menyewa sebuah rumah berhampiran sebelum mengambil keputusan tinggal bersama ibu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Hashnuddin Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 12.49 tengah hari, semalam.

Menurutnya, dua jentera tiba di lokasi kira-kira jam 1 tengah hari dengan kekuatan 13 anggota dan pegawai untuk mengawal kebakaran daripada merebak.

“Secara keseluruhan, 90 peratus rumah ini musnah terbakar. Pihak kami masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran,” katanya semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri melalui Exconya, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada keluarga mangsa.