Search This Blog

Wednesday, August 8, 2012

Aussie Reserve Bank didakwa tutup rasuah




8 Ogos 2012
Reserve Bank of Australia (RBA)
Reserve Bank of Australia (RBA)
MELBOURNE - Badan pencegah rasuah mendakwa Reserve Bank of Australia (RBA) menyembunyikan bukti rasuah oleh anak syarikat pencetak wangnya.

Tujuh bekas pekerja Securency International and Note Printing Australia (NPA) dan syarikat itu sendiri, didakwa merasuah pegawai asing untuk memperoleh kontrak mencetak wang bank, lapor Associated Press Australia.

Walaupun tiga pegawai RBA atau petugasnya sudahpun didakwa, bank pusat itu didakwa menyembunyikan bukti bayaran komisyen yang dibayar kepada orang tengah yang diupah oleh anak syarikat untuk memperoleh kontrak wang bank di Malaysia dan Nepal.

Pengarah Eksekutif Transparency International Australia Michael Ahrens berkata perbuatan RBA dalam kes ini dianggap "seolah-olah menutup perbuatan".

"Kami percaya mereka sepatutnya melaporkan sebarang bukti yang diperoleh," katanya pada siasatan parlimen di Canberra pada Rabu.

RBA dikritik kerana merujuk dakwaan itu kepada firma guaman sebelum polis.

Ahrens berkata kegagalan RBA merujuk kepada isu itu dengan segera kepada polis menambah buruk reputasi antarabangsa Australia.

"Kes-kes yang muncul di Australia bukan terpencil. Ia disebabkan kegagalan sistem (dan) kegagalan mengawal," katanya.- Bernama

Gabenor: Aceh lokasi strategik pengganas




8 Ogos 2012
JAKARTA - Aceh termasuk dalam lintasan strategik yang berpotensi menjadi tempat persembunyian pengganas, kata Gebenor provinsi itu Zaini Abdullah.

Dalam situasi itu, katanya pembongkaran kegiatan pengganas dan penangkapan pelakunya oleh pihak berkuasa bukan jaminan kepada penyelesaian masalah itu.

Zaini dalam kenyataannya pada Forum Komunikasi Pencegahan Keganasan (FKPT) di Banda Aceh, telah meminta FKPT berperanan sebagai pemangkin untuk mengukuhkan kerjasama antara masyarakat bagi membebaskan Indonesia daripada kegiatan pengganas, media tempatan melaporkan, Rabu.

"Melalui FKPT kita juga dapat melahirkan kearifan masyarakat setempat dalam usaha menangani radikalisme, misalnya melalui pendekatan tokoh masyarakat, menguatkan pendidikan agama dan budaya serta menjalankan program pembangunan ekonomi," katanya.

Pada Mac 2010, sekumpulan pengganas pernah menjadikan Aceh sebagai pangkalan latihan ketenteraan mereka di kawasan pegunungan di Aceh Besar.- Bernama

Geng samun tumpas



SYAMILAH ZULKIFLI
8 Ogos 2012
Geng samun tumpas
Hamdan (dua, kanan) menunjukkan barang kes yang berjaya dirampas.
SEREMBAN– Kegiatan geng samun dua lelaki bersama seorang gadis berusia 15 tahun di negeri ini tumpas apabila mereka berjaya diberkas polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, kumpulan itu mula dikesan aktif menyamun di negeri ini sejak 24 Julai lalu, melibatkan empat kes  dalam tempoh lapan hari.
"Kegiatan mereka mula dikesan apabila menyamun dan melarikan kereta milik seorang wanita di Mantin, Nilai, di sini, pada 24 Julai lalu.
“Malah kita mendapati kumpulan ini turut terlibat dalam dua lagi kes samun bersenjata di Kuala Pilah dan Bahau pada 26 serta 27 Julai lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.
Bagaimanapun katanya, kegiatan kumpulan itu tumpas apabila salah seorang daripada mereka berjaya ditahan selepas cuba menyamun seorang wanita di bandar ini pada 31 Julai lalu.
Hamdan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, suspek dikesan cuba menyamun seorang wanita dengan menggunakan sebilah pisau selepas mangsa menghantar anaknya ke sebuah sekolah di Jalan Lee Sam, di sini.
“Sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan terserempak dengan suspek yang cuba melarikan kereta milik mangsa.
"Suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan,” katanya.
Menurutnya, pada 5 Ogos lalu, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Flat Lobak di sini, kira-kira jam 9 pagi.
"Hasil soal siasat, kita berjaya merampas sebuah kereta yang dilaporkan hilang di sebuah Tadika Perpaduan di Mantin pada 24 Julai lalu, sebilah pisau rambo, parang panjang, sarung tangan, rambut palsu dan seutas rantai serta gelang, dipercayai hasil samun.
“Manakala gadis terbabit berjaya ditahan polis semalam, kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah kawasan di Ipoh, Perak,” katanya.
Hamdan berkata, semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen395/397 Kanun Keseksaan.

Rumah Adun Ajil musnah dalam kebakaran




8 Ogos 2012
Rumah Adun Ajil musnah dalam kebakaran
Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan sisa-sisa kebakaran rumah milik Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid yang musnah terbakar di Kampung Batu 23.
HULU TERENGGANU - Rumah kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Datuk Rosol Wahid musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, di sini, malam tadi.
  
Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah berkenaan.
  
Rosol berkata ketika kejadian, kesemua anggota keluarganya tiada di rumah kerana berbuka puasa dan bertarawih di luar.
  
Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya Toh Puan Halipah Ahmad yang pulang daripada berbuka puasa di rumah kakaknya di Kampung Baung, di sini.
  
"Sebaik dia membuka pintu rumah isteri melihat kepulan asap dan api marak dari bahagian dapur rumah lantas menelefon saya memaklumkan insiden itu," katanya ketika ditemui malam tadi.

"Ketika kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yayasan Pembangunan Usahawan di Kuala Terengganu. Saya minta isteri supaya tenang dan jangan masuk ke dalam rumah, bimbang kejadian lebih buruk akan berlaku," katanya.
  
Menurutnya, beliau reda dengan kejadian yang berlaku namun terkilan kerana lebih 2,000 buah buku yang dikumpulkan sejak 10 tahun lalu turut hangus dijilat api.
  
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zazuli Badru berkata ketika pasukan bomba tiba di lokasi, api sedang marak dan mereka mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran.
  
Dua jentera bomba dari Balai Bomba Kuala Berang dan Balai Bomba Wakaf Tapai dihantar ke tempat kejadian bersama 14 anggota dan pegawai.
  
Turut ke lokasi kejadian selepas mendapat berita kebakaran itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam. - Bernama

Polis selesaikan kes ragut sekitar Brickfields, tangkap remaja 16 tahun




8 Ogos 2012
KUALA LUMPUR- Polis percaya telah menyelesaikan beberapa kes ragut yang berlaku di sekitar Brickfileds sejak awal tahun ini selepas tertangkapnya seorang remaja berusia 16 tahun, Isnin lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata remaja lelaki dan tidak bersekolah itu ditahan di sebuah pusat komersil di Jalan Klang Lama oleh anggota polis peronda ekoran perlakuannya yang mencurigakan.
  
"Bila diperiksa, kami menemui tiga buah telefon bimbit serta enam keping kad 'Touch n Go' di dalam beg suspek dan siasatan susulan membawa kepada pengakuan yang dia terbabit melakukan ragut di sekitar Brickfields," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
  
Ku berkata remaja itu juga mengaku melakukan ragut terhadap seorang wanita berusia 64 tahun di Taman Desa, Sabtu lepas bersama seorang rakan.
  
"Mengikut laporan, wanita tersebut telah didatangi sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki sebelum bertindak meragut beg tangan miliknya," katanya.
   
Beliau berkata polis kini sedang mengesan rakan-rakan jenayah remaja itu yang masih bebas. -Bernama

Remaja mengaku salah pecah masuk sekolah, curi komputer riba




8 Ogos 2012
PETALING JAYA - Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memecah masuk sebuah sekolah agama dan mencuri komputer riba serta wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM3,000 tahun lepas.

Mohd Shah Rezzan Asmara, 19, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu tetapi menukar pengakuannya ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Surya Wati Shawal, hari ini.

Mohd Shah Rezzan didakwa bersama seorang lagi rakannya memasuki pejabat guru di Sekolah Agama KAFA, Jalan SS 15/2E Subang Jaya antara 6 petang pada 17 Januari 2011 dan 7.30 pagi, keesokan hari.

Bagaimanapun, rakannya itu, Muhamad Aizat Arizan, 22, mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya. Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Shah Rezzan yang diwakili peguam Azry Ahmad memohon mahkamah mempertimbang pengakuan bersalah dan usia muda anak guamnya itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Mahkamah menetapkan 21 September untuk menjatuhkan hukuman serta sebut semula kes Muhamad Aizat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala Muhamad Aizat diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin. - Bernama

Mahkamah kekal perintah berkelakuan baik ke atas Noor Afizal




8 Ogos 2012
Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan
Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan.
PUTRAJAYA - Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan terselamat daripada hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya bagi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskannya dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis bawah umur.

Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif sebulat suara mengetepikan tempoh penjara lima tahun yang dikenakan ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi Melaka kerana membenarkan rayuan pendakwaan bagi meningkatkan hukuman.

Dalam keputusannya, Raus bersetuju dengan peguam Noor Afizal, Hisyam Teh Poh Teik bahawa kepentingan awam tidak akan dilaksanakan jika Noor Afizal dihantar ke penjara memandangkan dia mempunyai masa depan yang baik.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk K.N.Segara dan Datuk Azhar Ma'ah adalah dua lagi hakim yang bersidang sebagai panel.

Pada 5 Julai tahun lepas, Mahkamah Sesyen Melaka melepaskan Noor Afizal dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara 12.30 pagi dan 5 pagi pada 5 Jun 2009.

Mahkamah Sesyen dalam perintahnya itu menimbang beberapa faktor termasuk ia adalah hubungan seksual tanpa paksaaan antara dia dan gadis itu.

Dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 20 September tahun lepas yang membenarkan rayuan dibuat oleh pihak pendakwaan yang tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen untuk mengikat jaminnya.

Dia dibenar ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sehingga rayuannya kepada Mahkamah Rayuan.

Noor Afizal mewakili negeri Sembilan antara 2004-2010 dan pada masa sama mewakili Malaysia dalam kategori remaja selama lima tahun antara 2004-2008. Dia juga bertanding dalam kejohanan terbuka antarabangsa Thailand, April lalu.

Dia dijangka meakili Kedah dalam beberapa kejohanan akan datang seperti kejohanan terbuka antarabangsa Kuala Lumpur 2012.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin.- Bernama

Jiran ceroboh tanah



NORAFIZA JAAFAR
8 Ogos 2012
Jiran ceroboh tanah
Tembok pengadang di buat betul-betul berhampiran pintu utama dua rumah penduduk.
RAWANG – Tiada garisan sempadan keluasan sesebuah tanah menyebabkan terdapat pihak mengambil kesempatan dengan menganjakkan keluasan tanah miliknya hingga memberikan kesan kepada jiran berhampiran.
Situasi itu berlaku di kawasan Batu Arang di sini apabila seorang penduduk mengambil keputusan untuk membina tembok pengadang menggunakan ukurannya sendiri selepas sebahagian tanah miliknya digunakan pihak lain untuk projek naik taraf jalan.
Tindakan itu menyebabkan dua jiran berhampiran terkena tempiasnya apabila pintu hadapan tidak lagi boleh digunakan kerana disekat melalui pembinaan tembok pengadang itu memaksa mereka menggunakan pintu belakang.
Mangsa, Chin Wee Khon, 72, berkata, tindakan jirannya itu adalah tidak wajar kerana memberikan kesan kepada dia sekeluarga dan apabila bertanyakan kelulusan yang diperoleh untuk membuat tembok pengadang, jiran berkenaan menjelaskan mengikut struktur pelan.
“Tahun lalu dia membuat tembok pengadang dan baru-baru ini sekali lagi dia bertindak demikian untuk memagar kawasannya termasuk tumbuhan dan juga tiang elektrik berhampiran rumahnya.
“Malahan pengadangnya juga terletak terlalu hampir dengan rumah saya dan kerana bimbang akan dikenakan tindakan maka dia bertindak cepat cuba menyiapkan tembok itu dalam masa singkat dengan harapan tidak diarahkan untuk dirobohkan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya telah membawa perkara itu untuk pemerhatian Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan juga Pejabat Tanah Gombak namun jirannya itu tidak mengikuti arahan yang dikeluarkan dan tetap dengan pendirian.
“William pernah mengarahkan supaya dia menghentikan kerja memasang tembok pengadang dan mencadangkan supaya tanah kawasan rumahnya itu diambil oleh kerajaan serta menggantikan tanahnya di kawasan lain mengikut keluasan ditetapkan.
“Cadangan itu dikemukakan oleh William sebagai mengatasi masalahnya yang mendakwa tanahnya diambil untuk tujuan pembinaan jalan menyebabkan perlu menganjakkan keluasan tanah ke belakang dan jiran lain turut diarahkan bertindak demikian,” katanya.
Wee Khon berkata, beberapa pihak berwajib telah datang selepas menerima aduan tetapi hanya untuk tujuan membuat laporan dan tiada sebarang tindakan diambil.
Justeru, dia meminta pihak berkaitan iaitu pejabat tanah untuk menyelesaikan masalah ini segera dan membuat ukuran semula keluasan tanah penduduk disertakan dengan sempadan supaya tiada lagi pihak mengambil kesempatan membuat sempadan sendiri.
Sementara itu William berkata, perkara itu sudah dalam perhatiannya dan akan membincangkan perkara itu bersama pejabat tanah untuk menyelesaikan masalah perebutan tanah itu.
“Kita telah mengarahkan kepada pemilik tanah terbabit supaya tidak memasang tembok pengadang itu sejak tahun lalu dan arahan itu diikut tetapi pada tahun ini dia bertegas untuk membuat sempadan tanah selepas sebahagian tanahnya diambil.
“Kesemua penduduk di situ telah diberikan pemilikan tanah tetapi disebabkan faktor tiada sempadan menimbulkan kekeliruan dan perkara berkenaan akan diteliti untuk mengelakkan masalah sama tidak berulang,” katanya.

Letupan mercun disangka tong gas



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2012
Letupan mercun disangka tong gas
Sebahagian orang ramai yang hadir melihat punca letupan kuat berlaku di sebuah premis sarang burung di Jalan Siakap, Bagan Serai.
BAGAN SERAI - Sekumpulan pelanggan dan pekerja di sebuah restoran mamak di Jalan Siakap, di sini gempar seketika dengan bunyi letupan yang disangka letupan tong gas di premis bersebelahan, malam kelmarin.
Seorang pekerja restoran yang hanya dikenali sebagai Ahmadi berkata, kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu berlaku secara tiba-tiba apabila dia bersama beberapa pekerja lain pada mulanya mendengar satu bunyi letupan kuat yang datang dari arah premis sarang burung bersebelahan restoran itu.
Menurutnya, bunyi letupan itu pada mulanya tidak diendahkannya dan beberapa pekerja lain, bagaimanapun dia lantas menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai setelah letupan kedua yang lebih kuat kedengaran.
“Letupan kedua itu sangat kuat sehingga mengejutkan sebahagian besar pelanggan yang berada di restoran dan kami segera menghubungi pihak bomba kerana menyangka bunyi letupan tong gas.
“Bagaimanapun, pihak bomba dan polis yang datang sepuluh minit kemudian mengesahkan bunyi letupan disebabkan mercun dan menyebabkan bahagian bumbung premis itu mengalami sedikit kebakaran,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian semalam.
Pemilik premis sarang burung yang enggan dikenali mengesahkan hanya kejadian kebakaran kecil di bahagian bumbung premis disebabkan terkena letupan mercun.
Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba mengawal kebakaran kecil itu amat melegakannya kerana bimbang ia mampu menjadi lebih marak.
“Saya bergegas ke sini setelah dimaklumkan berlaku letupan tong gas di premis saya dan lega kerana tiada perkara buruk berlaku ke atas premis saya,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyifatkan kebakaran kecil berpunca daripada kesan letupan mercun.
“Secara keseluruhan, tiada perkara buruk berlaku kerana risiko kebakaran merebak amat kurang dan setelah pemeriksaan dilakukan, ia tidak menjejaskan bahagian dalaman premis itu,” katanya.

Sandiwara tauke mercun



ASWANY OMAR
8 Ogos 2012
Sandiwara tauke mercun
Azmi (dua, kiri) bersama pegawai dan anggotanta menunjukkan mercun yang berjaya dirampas
KUANTAN – Sandiwara seorang peniaga mainan kanak-kanak terbongkar selepas helahnya berjaya dihidu pihak berkuasa dan merampas mercun bernilai kira-kira RM50,000 membabitkan 1,775 kotak.
Lelaki berusia 44 tahun itu dikatakan menyusun permainan kanak-kanak di bahagian hadapan kedainya tetapi menjual mercun haram yang disembunyikan kepada pelanggan yang dikenali.
Lebih licik, lelaki terbabit mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan katalog bagi memudahkan pelanggan memilih mercun.
Komander Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuantan, Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, hasil maklumat orang ramai ketika Ops Landai, polis membuat serbuan ke atas premis itu kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu.
Beliau berkata, polis percaya lelaki itu bertindak sendirian namun masih menyiasat sama ada kegiatan itu dilakukan secara berkumpulan.
“Bagi mengelakkan kegiatannya dikesan, lelaki itu membungkus setiap kotak mercun dengan menggunakan kertas surat khabar,” katanya ketika sidang media di Markas Pasukan Polis Marin, dekat sini, semalam.
Katanya, kebanyakan produk itu diseludup dari China dan Thailand tetapi polis berjaya mengesan satu jenama mercun terbaru yang diimport dari Thailand.
“Suspek kini ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 kerana menjual mercun dan bunga api,” katanya.
Azmi berkata, rampasan mercun dan bunga api itu adalah kali ketujuh dilakukan dan terbesar bagi markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Kuantan tahun ini.
Menurutnya, sebelum ini, empat kes berjaya dilakukan di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kelantan dengan nilai lebih RM16,700 manakala tiga lagi rampasan di Kuantan membabitkan nilai lebih RM99,000.
Selain itu, katanya, polis marin turut menangkap dan membuat rampasan sebanyak 322 kes di bawah pelbagai akta dengan nilai lebih RM1.6 juta.
“Justeru, kita memerlukan kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan seperti ini yang dilakukan di kawasan pesisir pantai, muara sungai, tasik dan pelabuhan,” katanya.

Sanggup baring bawah tilam elak ditangkap



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2012
SERDANG – Seorang lelaki sanggup bersembunyi di bawah tilam dengan keadaan teman wanitanya duduk di atas tilam itu bagi mengelakkan dirinya ditangkap dalam serbuan cegah maksiat pihak berkuasa, di Serdang Raya malam Ahad lalu.
Bagaimanapun, taktik itu gagal apabila anggota penguat kuasa yang menyerbu bilik itu menyedari tilam berkenaan bergerak-gerak.
Difahamkan, lelaki terbabit dipercayai tidak dapat menahan nafas kerana lemas berada di bawah tilam.
Lelaki itu bersama pasangannya antara 10 yang ditahan kerana berada berdua-duaan dan disyaki berkhalwat dalam bilik bajet hotel yang disewa mereka di Serdang Raya.
Dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu, satu lagi pasangan dicekup dalam keadaan berbogel dan masing-masing hanya sempat membalut tubuh dengan kain selimut.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, pihaknya menyerbu lima  premis hotel bajet di Taman Serdang Raya.
“Kesemua yang ditahan beragama Islam diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut. Mereka bakal didakwa di bawah Seksyen 29(1)(a)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana cubaan berkhalwat.
“Manakala pihak majlis mengambil tindakan kompaun kepada pengusaha hotel kerana jalankan operasi perniagaan dan mempamerkan iklan tanpa lesen MPSJ,” katanya.

Dipukul rakan tanpa sebab



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2012
Dipukul rakan tanpa sebab
Mangsa parah di kepala akibat dipukul dengan sebatang kayu.
ALOR GAJAH - Seorang lelaki warga Nepal cedera parah di muka selepas dipukul dengan sebatang kayu oleh rakannya di asrama penginapan pekerja, kawasan perindustrian Kelemak, di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, B Bahadul Tama, 30, sedang tidur di dalam bilik bersama seorang lagi rakan, Y Kumar Godom, 28.
Menurut Kumar, dia yang sedang tidur ketika itu terus terjaga sebaik dikejutkan bunyi pukulan kuat suspek yang berusia 35 tahun di muka mangsa.
“Mangsa dipukul berkali-kali hingga menyebabkan mukanya berdarah dan tidak sempat menjerit meminta tolong. Kemudian, kawan kami itu melarikan diri dan saya bergegas ke bilik rakan lain bagi mendapat pertolongan,” katanya, semalam.
Katanya, dia dan beberapa rakan lain segera mengelap muka mangsa yang dipenuhi darah sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada penyelia.
“Saya cuba memanggil dan menggoncangkan badan mangsa namun dia masih tidak sedarkan diri. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah,” katanya.
Sementara itu menurutnya, dia difahamkan, mangsa yang bekerja di bahagian pengeluaran kilang makanan di sini sejak tiga tahun lalu tidak mempunyai sebarang masalah dengan suspek.
Jurucakap Hospital Alor Gajah berkata, mangsa yang cedera parah di muka turut mengalami retak pada kepala dan kini dirujuk di Hospital Melaka.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abdul Rahman Jid berkata, mangsa atau majikannya masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

71,778 kotak mercun dirampas



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2012
71,778 kotak mercun dirampas
Abdul Majid (tiga, kiri) menunjukkan mercun yang berjaya dirampas.
KLUANG - Polis Daerah Kluang berjaya merampas sebanyak 71,778 kotak mercun dalam serbuan dibuat di sebuah rumah di Kluang Baru, dekat sini, Ahad lalu.
Serbuan tersebut dilakukan kira-kira jam 5.20 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hasil aduan orang ramai dan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterima.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan  yang dijalankan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang terlibat dengan kegiatan penjualan mercun dan bunga api.
“Turut dirampas mercun pelbagai jenis dipercayai baru sahaja diambil dari Johor Bahru.
“Hasil soal siasat mendapati mercun pelbagai jenis itu akan diedarkan ke bazar-bazar yang ada di sekitar daerah Kluang dan dipercayai suspek merupakan orang tengah dalam aktiviti penjualan mercun dan bunga api itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Kluang, di sini, semalam.
Abdul Majid berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau tujuh tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, pada masa ini pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penjualan mercun dan bunga api tersebut dari terus berleluasa di daerah Kluang.
“Malah, rampasan mercun dan bunga api yang diperoleh itu adalah kejayaan IPD Kluang yang kelima sejak Ops Mercun dilancarkan pada awal Ramadan lalu.
“Polis akan meneruskan operasi mercun dan bunga api sehingga Aidilfitri.
“Saya juga mahu minta kerjasama orang awam sekiranya terdapat maklumat mengenai aktiviti penjualan mercun dan bunga api boleh memaklumkan terus ke bilik gerakan IPD Kluang,” katanya.

Wanita hilang dicari



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2012
SENAI - Seorang wanita berumur 29 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Rinting, Masai sejak 9 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, mangsa, Harmiza Hamdan dilaporkan tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sehingga kini selepas
keluar dari rumah untuk menghadiri temu duga kerja di Senai pada tarikh berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.
“Pada keesokan harinya, satu laporan polis telah diterima daripada bapa mangsa mengatakan anak perempuannya itu masih belum pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi Ketua Polis Balai Masai, Inspektor H Ramatasan di talian 019-9201020 atau 07-2511222 atau balai polis berhampiran.

Gara-gara lalai kereta disamun



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2012
Gara-gara lalai kereta disamun
Kereta pacuan empat roda yang disamun dijumpai terbabas di Jalan Kampung Bali.
SERI ISKANDAR - Gara-gara lalai ketika mahu mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP), dua kontraktor ikan berputih mata apabila kenderaan mereka dilarikan pada 30 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi apabila pemandu kereta bersama seorang rakannya yang juga kontraktor ikan dalam perjalanan dari Manjung menuju ke Ipoh dan berhenti di stesen itu untuk mengisi minyak.
Menurutnya, pemandu terbabit kemudiannya keluar untuk membayar minyak di kaunter, manakala rakannya keluar sebentar untuk merehatkan badan.
"Secara tiba-tiba seorang lelaki meluru masuk ke  dalam kereta sebelum bertindak melarikan kereta berkenaan.
"Sementara seorang lagi rakan lelaki ini yang menunggang motosikal mengikut dari belakang kenderaan curi terbabit dan disyaki turut serta dalam kejadian ini," katanya.
Mohamad Fakri berkata, rakan pemandu cuba menghalang namun, tidak berjaya kerana kejadian itu berlaku terlalu pantas.
“Suspek bertindak nekad dengan melarikan kereta itu pada waktu siang tanpa menutup muka dipercayai terdesak untuk mendapatkan wang.
“Bertindak atas maklumat orang awam, kereta berkenaan ditemui terbabas di Jalan Kampung Bali pada jam 3 petang pada hari kejadian,” katanya.
Menurutnya, suspek yang berusia lingkungan umur 24 tahun berjaya ditahan dan siasatan lanjut akan dijalankan.
“Kedua-dua suspek dipercayai penagih dadah dan terdesak untuk mendapatkan wang menyebabkan mereka bertindak berani menyamun kereta itu.
“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.
Katanya, itu adalah kes kedua berlaku di daerah Perak Tengah selepas kes pertama di Kampung Padang Gertak, Kampung Gajah.
“Kita ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya lebih peka apabila mengisi minyak dengan mematikan enjin kereta dan jika ada rakan atau ahli keluarga bersama, beritahu kepada mereka supaya turut sama berjaga-jaga.
“Kes kecurian kereta pacuan empat roda ini semakin meningkat disebabkan kenderaan berkenaan yang sesuai untuk aktiviti lasak,” katanya.

Pasar raya musnah terbakar



SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
8 Ogos 2012
Pasar raya musnah terbakar
Anggota bomba dan penyelamat bertungkus-lumus mengawal kebakaran.
Pasar raya musnah terbakar
Api marak dengan cepat menyebabkan pasar raya terbabit musnah sama sekali.
Pasar raya musnah terbakar
Mohd Ali turut turun padang meninjau lokasi kejadian.
BANDARAYA MELAKA - Ribuan helai pakaian untuk pelbagai peringkat usia di Pasaraya Khelass musnah dalam kebakaran di Jalan Kee Ann, Kampung Jawa, di sini, tengah malam kelmarin.
Turut musnah adalah 14 gerai menjual makanan dan buah-buahan di hadapan pasar raya terbabit yang telah beroperasi sejak 14 tahun lalu dalam kejadian jam 11.58 malam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim Sulaiman berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada bahagian hadapan pasar raya terbabit.
“Pihak kami menerima panggilan pada jam 11.58 malam sebelum tiba di lokasi enam minit kemudian.
"Ketika itu, api marak memusnahkan keseluruhan isi bangunan namun dapat dikawal pada jam 1.26 pagi," katanya.
Menurutnya, operasi yang tamat jam 3.15 pagi itu itu disertai 47 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Bukit Katil dan Ayer keroh membabitkan lapan jentera.
Lokman Hakim berkata, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Kebakaran ini juga tidak membabitkan kehilangan nyawa walaupun terdapat runtuhan batu-bata pada awalnya, dipercayai akibat tekanan panas dari dalam bangunan dan tujahan air dari luar bangunan oleh pihak bomba yang berusaha memadamkan api,” katanya.
Kerajaan Negeri beri bantuan

Sementara itu, pemilik pasar raya yang menjalankan perniagaan dalam bangunan berusia hampir 100 tahun yang pernah menjadi Pawagam Lido terkenal di Melaka sejak 1920-an ketika ditemui bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memberikan bantuan kepada peniaga gerai yang turut mengalami kerugian akibat kebakaran itu.
“Pihak MBMB akan menjalankan siasatan jumlah peniaga terlibat, selain mengenal pasti  kerugian dialami mereka.
"Apabila laporan sepenuhnya siap, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan berdasarkan laporan dalam tempoh terdekat," katanya yang turut meninjau lokasi kebakaran, malam kelmarin.
Menurutnya, buat sementara waktu, peniaga terbabit dibenarkan berniaga di Jalan Pasar Baru beberapa meter dari lokasi kebakaran.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian sehingga jam 11 pagi mendapati, operasi perniagaan membabitkan beberapa premis di Jalan Kee Ann lumpuh berikutan laluan itu terpaksa ditutup sementara siasatan dijalankan pihak forensik JBPM.
Penutupan jalan itu juga berikutan jalan raya dipenuhi batu-bata akibat runtuhan bangunan pasar raya tersebut.
Peniaga rugi RM10,000

Dalam pada itu, seorang penyewa gerai buah, Ramlah Yusop, 47, berkata, dia kerugian hampir RM10,000 apabila semua buah-buahan termasuk peralatan lain musnah.
“Saya tidak dapat selamatkan apa-apa kerana sebaik tiba di lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kebakaran, api telah marak,” katanya.
Peniaga buah, Serena Tan, 20-an berkata, ia adalah kejadian pertama kali menimpanya.
"Saya berniaga di gerai turun temurun milik keluarga yang diusahakan sejak 40 tahun lalu," katanya.
Tak sempat buat apa-apa
 
Pengawal keselamatan Pasaraya Khelass terkejut selepas dia mendakwa dimarahi orang ramai kerana melarikan diri sejurus pasar raya itu terbakar.
Mohd Murilah Abdullah, 81, berkata, dia sebenarnya bukan melarikan diri, sebaliknya mencari telefon awam untuk menghubungi penyelianya selepas melihat api mulai marak membakar pasar raya tersebut.
“Sebelum kejadian, saya sedang bersahur di hadapan pasar raya, tiba-tiba saya terlihat api dan tidak sempat berbuat apa-apa kerana api begitu cepat marak.
“Saya tiada telefon bimbit dan cuba mencari telefon awam untuk hubungi penyelia kerana dia selalu pesan, hubunginya jika berlaku apa-apa," katanya.
Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut kerana sebaik sahaja kembali ke pasar raya, orang ramai memarahinya kerana menyangka dia cuba melarikan diri.
Sementara itu, pekerja hotel di hadapan pasar raya terbabit, Mohd Isa Abd Latiff, 34, berkata, dia yang melihat api kira-kira jam 12 tengah malam segera menghubungi bomba.
“Mula-mula saya nampak api kecil di gerai buah yang terletak berhadapan pasar raya berkenaan, namun tidak sampai lima minit api merebak ke dalam pasar raya.
“Banyak kali saya cuba hubungi talian bomba namun tidak dapat disambungkan, namun beberapa minit kemudian bomba datang. Mungkin orang lain dapat menghubungi bomba,” katanya.
Menurutnya, dia turut meminta 13 pelanggan hotel supaya segera mengalihkan kenderaan masing-masing di tempat lebih selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ugut bapa dengan parang



RUBIAH OMAR
8 Ogos 2012
Ugut bapa dengan parang
Abdul Halim dipenjara sebulan selepas mengaku salah mengugut bapanya yang juga seorang warga emas di kediaman mereka di Kampung Bukit Kandis, di sini.
KUALA TERENGGANU – Seorang anak bukan sahaja berlagak samseng dengan mengamuk membaling sebahagian peralatan rumah di kediaman mereka, malah lebih melampau dia tergamak menghunuskan parang ke muka bapanya yang juga seorang warga emas dalam satu kejadian amuk di Kampung Bukit Kandis, di sini, 30 Julai lalu.
Bagaimanapun, sikap kurang ajar tertuduh, Abdul Halim Abdul Razak, 40, menerima pembalasan apabila dia terpaksa menyambut hari raya di balik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan kepada bapanya, Abdul Razak Che Ghani, 81, dengan niat menyebabkannya berasa cemas.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Bukit Kandis, di sini, pada 30 Julai lalu kira-kira jam 10 pagi.
Abdul Halim mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan terhadap bapanya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, warga emas malang itu telah mengadu kepada salah seorang anak perempuannya yang Abdul Halim telah mengamuk di rumah dan merosakkan sebahagian peralatan di dalam rumah.
Bukan itu sahaja, Abdul Halim turut mengacukan parang kepadanya semasa berlaku pertengkaran di antara mereka berdua.
Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa ditemani anak perempuannya itu mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak di sini, pada hari kejadian dan susulan laporan dibuat, Abdul Halim ditangkap dikediamannya.

3 suspek terlibat samun ditahan






HAMDAN Majid (dua dari kiri) bersama tiga pegawai menunjukkan peralatan yang digunakan kumpulan penjenayah yang menyamun empat mangsa dalam tempoh lapan hari di Seremban di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Seremban, semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN



SEREMBAN 7 Ogos - Polis menumpaskan satu kumpulan samun yang terlibat dalam empat kes di sekitar negeri ini berikutan penangkapan dua lelaki dan seorang remaja perempuan dipercayai ahli kumpulan itu sejak penghujung bulan lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai terlibat dalam empat kes samun yang berlaku antara 24 hingga 31 Julai lalu.


"Remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam jenayah itu ditahan di Ipoh, Perak pada pukul 12.45 tengah hari ini.


Sanggup ugut kelar tangan





Seorang gelandangan cuba bertindak kasar terhadap pegawai penguat kuasa ketika operasi bersepadu membendung gelandangan dan kutu rayau di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN



KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pelbagai cara digunakan kalau sudah terdesak.


Inilah yang berlaku ketika Ops Gelandangan, operasi yang digerakkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membendung jumlah kutu rayau itu di ibu negara baru-baru ini.


Dalam operasi itu, seorang gelandangan sanggup mencederakan diri dengan mengelar tangannya bagi mengelak daripada ditahan oleh pihak berkuasa.


Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail yang mengetuai operasi tersebut berkata, dalam operasi terbaru, sebanyak 54 gelandangan termasuk 11 daripadanya warga asing telah ditahan oleh penguat kuasa DBKL.


Sembunyi transaksi Iran RM750b, saham Standard Chartered junam


Standard Chartered
Standard Chartered


LONDON - Saham bank gergasi Britain, Standard Chartered menjunam 23 peratus di Bursa Saham London hari ini ekoran laporan penganalisis bahawa bank itu kemungkinan berhadapan kos AS$5.5 bilion (RM17 bilion) kerana didakwa menguruskan transaksi dilarang melibatkan Iran demi mengelak sekatan antarabangsa.


Semalam, pengawal selia di New York mendakwa Standard Chartered menyembunyikan transaksi bernilai AS$250 bilion (lebih RM750 bilion) sepanjang 10 tahun lalu.


Jabatan Perkhidmatan Kewangan New York mendakwa bank yang berpangkalan di London itu menyembunyikan 60,000 transaksi membabitkan pelanggan di Iran termasuk Bank Pusat Iran dari 2001 hingga 2010.


Tambahan kepada anggaran kos, penganalisis Liberum Capital, Cormac Leech hari ini berkata, tidak jelas sama ada pengurusan kanan bank akan meletakkan jawatan sebagai tanda memikul tanggungjawab.


Standard & Poor's mengeluarkan nota bahawa penafaran bank itu tidak terjejas disebabkan siasatan pihak berkuasa.


Semalam, saham bank itu di tiga kaunter bursa saham AS jatuh lebih 10 peratus.


AS dan sekutnya telah meningkatkan sekatan ekonomi ke atas Iran sejak beberapa tahun lalu berhubung program nuklear, lapor CNN.


Negara Islam itu mempertahankan program nuklear sambil berkata, ia bertujuan menghasilkan tenaga, bukannya senjata sebagaimana didakwa oleh Barat.

Tiga pegawai PBNP bakal didakwa - Sukan - Sinar Harian

Tiga pegawai PBNP bakal didakwa - Sukan - Sinar Harian: "TIGA pegawai Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), bakal menerima surat pertuduhan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di bawah kesalahan 3.1 Kod Tatatertib Edisi 2011.

Ketiga mereka ialah pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh; penolong pengurus pasukan, Zainal Abidin Hassan dan ahli fisioterapi yang dikesan melakukan kesalahan ketika perlawanan play off, Pahang menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, 19 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abd Razak berkata, pertuduhan dibuat selepas pihaknya meneliti rakaman video perlawanan berkenaan.

"Kami telahpun menghantar surat pertuduhan itu hari ini (semalam).

"Tindakan ini dilakukan bagi memastikan pegawai juga tidak terlepas dari sebarang kesalahan yang melanggar peraturan FAM," katanya."

'via Blog this'