Search This Blog

Monday, August 6, 2012

Georgetown dilanda banjir kilat




6 Ogos 2012
Georgetown dilanda banjir kilat
Seorang penduduk mendukung anaknya mengharungi banjir kilat berikutan hujan lebat yang berlaku di Jalan P.Ramlee di sini, awal pagi tadi- Foto Bernama
GEORGETOWN - Hujan lebat berterusan lebih empat jam sejak pukul tiga pagi ini mengakibatkan hubungan beberapa batang jalan utama di bandaraya George Town terputus akibat banjir kilat.

Tinjauan Bernama mendapati antara jalan terlibat termasuk Jalan P. Ramlee, sebahagian Jalan Perak, sebahagian Jalan Masjid Negeri, sebahagian Jalan Logan, Jalan Makloom, Kampung Makam, Jalan Sungai Pinang, Jalan Anson dan Jalan Patani.

Pegawai Bencana dan Operasi Jabatan Pertahanan Awam Daerah Timur Laut Noor Mohd Saidi Noor Lajis berkata pihaknya sedang memantau keadaan banjir itu dan air dilaporkan semakin surut.

Beliau berkata di sesetengah kawasan, air naik sehingga 2.9 meter, mengakibatkan ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan selama hampir tiga jam.

"Lebih 300 keluarga terjejas namun tiada arahan berpindah dikeluarkan kerana keadaan masih terkawal dan banjir juga telah surut," katanya Bernama di sini hari ini. Seorang daripada penduduk di Jalan P. Ramlee, Mohd Sophian Mohd Zain, 38, meluahkan rasa kesal terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang gagal menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.

"Dalam tempoh dua bulan ini sudah dua kali tempat ini dilanda banjir. Sekali bah datang memang teruk... habis barang rosak rumah pun kotor. Mereka (kerajaan negeri) perlu buat sesuatu," katanya.

Mangsa banjir di Jalan P. Ramlee pula, Rahmatullah Abdul Majid, 41, berkata persiapan Aidilfitri keluarganya terjejas akibat kejadian itu.

"Beberapa balang kuih raya dihanyutkan air dan almari kain yang turut menempatkan baju raya kami sekeluarga habis dimasuki air," katanya.

Suri rumah, Norjan Mohd Sabdin, 55, berkata banyak peralatan rumahnya rosak apabila banjir kilat itu turut membawa lumpur dan memasuki rumahnya hingga paras pinggang.

"Bangun sahur sahaja pukul 4.30 pagi tadi air sudah penuh masuk ke dalam rumah... peti ais, dapur gas, kerusi meja dan motosikal habis tenggelam," katanya. - Bernama

Pemandu teksi tidak sangka mayat nahas kemalangan adalah anak sendiri




6 Ogos 2012
MELAKA - Seorang pemandu teksi tidak menyangka mayat yang dilihat terbaring di atas jalan adalah anaknya yang meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) Cheng Height di sini, hari ini.

Ishak Mohd Amin, 60, berkata dia yang dalam perjalanan mengambil penumpang dari Peringgit ke Bukit Rambai melalui kawasan kemalangan tersebut kira-kira 6.30 pagi.

"Saya nampak seseorang terbaring di atas jalan tapi tidak sangka ia adalah mayat anak saya, Mohd Nasiruddin Shah kerana waktu itu keadaan agak gelap.

"Saya sempat berhenti sekejap dan menyuruh pihak polis menutup mayat tersebut atau segera menghantarnya ke hospital sebelum meneruskan perjalanan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, hari ini.

Beliau yang merupakan bekas anggota polis itu berkata dia hanya mendapat khabar tentang kemalangan yang menimpa anaknya beberapa minit selepas itu apabila dimaklumkan anak perempuannya. 

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, mangsa yang merupakan pekerja landskap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meninggal dunia di tempat kejadian ketika hendak ke tempat kerja di Sungai Putat di sini selepas motosikal yang ditunggangnya dari arah Pulau Gadong dirempuh sebelah kiri oleh sebuah kereta Mitsubishi yang dipandu pelajar sekolah dan rakannya dari arah Alor Gajah.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan patah kaki kanan sementara dua pelajar yang menaiki kereta Mitsubishi tersebut cedera ringan.

Dalam kejadian lain, seorang pekerja kontrak, Mohd Azrul Aziz, 27, meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan di Lebuh Ayer Keroh berhampiran Peringgit Point di sini dalam kejadian 12.30 tengah malam tadi.

Mangsa yang tinggal bersama kakaknya di Bukit Lintang di sini terseret sejauh 27 meter sebelum tercampak dari motosikalnya. Mohd Azrul yang datang dari arah lampu isyarat Pengkalan Batu menghala ke pusat bandar, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Turut cedera parah ialah rakan mangsa, Muhammad Rasyidi Arman, 20 yang membonceng motosikal tersebut dan dirawat di Hospital Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kedua-dua kejadian tersebut. - Bernama

Rumah penyanyi Alleycats mendiang Loga terbakar




6 Ogos 2012
Rumah penyanyi Alleycats mendiang Loga terbakar
Pasukan Bomba dan Penyelamat mengawal kebakaran rumah bekas penyanyi kumpulan Alleycats mendiang Datuk A.Loganathan dalam kebakaran Tanjung Bungah di sini hari ini- Foto Bernama
GEORGE TOWN - Tingkat atas rumah dua tingkat penyanyi Alleycats, mendiang Datuk A. Loganathan di Jalan Azyze Tanjung Bungah di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Balu mendiang, Datin Susan Loganathan, 56, berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu,  beliau dan adik lelakinya sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan dan melihat kepulan asap di tingkat atas kediamannya.
"Saya hanya tinggal berdua dengan adik saya, Kevin Jonathan Boudville, 46, dan  sebaik sahaja melihat asap itu itu kami segera mencapai dokumen penting dan terus keluar dari rumah," katanya kepada pemberita.
Beliau yang mengalami kecederaan ringan pada tangan dan sedikit rambutnya terbakar, berkata tingkat atas kediamannya yang menempatkan koleksi piring hitam  nyanyian mendiang suaminya sejak tahun 1980-an dan pelbagai barangan berharga seperti barang  kemas serta wang tunai hangus dijilat api.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana kenangan bersama suaminya seperti gambar kenangan,  trofi dan pelbagai anugerah mendiang yang diletak di tingkat bawah tidak terjejas.
Abang mendiang, Datuk A. David yang turut melawat lokasi kejadian berkata kali  terakhir beliau berkunjung ke rumah adiknya pada tahun lepas.
"Sudah 12 tahun mereka menyewa di sini dan rumah itu menyimpan pelbagai kenangan berharga adik saya," katanya sebak.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bagan, Jermal, A. Ravi, berkata sebanyak 29 anggota  bomba dan enam jentera dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima laporan pada pukul 11.18  pagi.
"Bomba turut menyelamatkan tiga ekor anjing yang terperangkap dalam kebakaran dan api merebak sedikit ke rumah jiran namun dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh 15 minit,"  katanya.
Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

Pekerja warga Myanmar mati dibunuh



AHMAD ISMADI ISMAIL
6 Ogos 2012
Mayat pekerja warga Myanmar dihantar ke HUKM untuk dibedah siasat.
Mayat pekerja warga Myanmar dihantar ke HUKM untuk dibedah siasat.
AMPANG - Seorang pekerja penyelenggara penghawa dingin kereta ditemui mati dibunuh dengan kesan lehernya disembelih di hadapan sebuah bengkel membaiki penghawa dingin di Jalan Ampang, malam tadi.
Mangsa warga Myanmar berusia 30 tahun yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui pada jam 7.30 malam oleh orang awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Md Nazri Zawawi berkata, saksi kejadian menyatakan nampak seorang lelaki dipercayai warga myanmar berusia 30-an, berkulit gelap telah datang dari belakang terus melibas parang ke arah leher mangsa pada jam 7. 10 malam.
"Mangsa ketika itu sedang membongkok terus rebah dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Suspek terus melarikan diri ke belakang sebuah klinik berhampiran lalu membuang senjata yang digunakan ke dalam longkang," katanya.
Menurutnya, terdapat beberapa saksi kejadian antaranya dua pekerja warga Myanmar berusia 38 dan 30 tahun serta seorang pemilik tempat cuci kereta, 23, dan seorang pemilik kedai jual kereta terpakai berusia 51tahun.

"Polis akan meneliti beberapa kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian, Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh," katanya.

Tiga anggota kumpulan samun mati ditembak



GEORGETOWN 5 Ogos - Tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan "Lima" yang aktif merompak di beberapa daerah di negeri ini, maut ditembak polis ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Jesselton, Pulau Tikus hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Abd Rahim Hanafi berkata polis terpaksa melepaskan tembakan apabila tiga suspek yang bersenjatakan parang bertindak agresif, cuba menyerang anggota pasukan keselamatan itu.
"Pada kejadian 3.30 pagi tadi itu, kita menerima laporan orang awam yang mengatakan tiga lelaki terbabit sedang dalam percubaan memecah masuk sebuah rumah di situ.
"Polis yang tiba di lokasi mengarahkan suspek menyerah diri namun mereka bertindak agresif menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah mereka," katanya kepada pemberita di sini. - BERNAMA

Edar dadah: 2 sahabat ditahan



Abd. Razak Md. Zin (kiri) menunjukkan ganja mampat yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Alor Setar, semalam.
ALOR SETAR 5 Ogos - Dua sahabat ditahan bersama ganja mampat seberat 14.3 kilogram bernilai RM36,000 dalam satu operasi di Jalan Ladang Victoria, Padang Serai, Kulim dekat sini Rabu lalu.
Dalam serbuan polis kira-kira pukul 9.30 malam itu, polis menemui 15 ketulan mampat ganja di tempat duduk belakang sebuah Perodua Kancil yang mereka naiki.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Supritendan Abd. Razak Md. Zin berkata, suspek pertama berumur 34 tahun bekerja sebagai penjual ikan di pasar malam manakala suspek kedua berumur 33 tahun pula berniaga di gerai pasar malam.
"Kedua-dua suspek mempunyai lebih daripada lima rekod kesalahan lampau yang melibatkan dadah.
"Pihak kami percaya kedua-dua suspek mengedar dadah di sekitar Kulim dan Sungai Petani sejak lebih tiga bulan lalu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan meninggalkan kereta, namun mereka dapat ditahan.
"Dadah itu dipercayai diperoleh daripada negara jiran dan kedua-dua suspek ini positif dadah jenis ganja.
"Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Banjir kilat landa Uttarakhan, 34 terkorban.



DEHRADUN 6 Ogos - Banjir kilat yang melanda pergunungan di utara India semalam mengakibatkan 34 orang terkorban dan beratus-ratus lagi penganut hindu terkandas semasa perjalanan ke rumah suci.
Menurut Menteri Pengurusan Bencana Negeri, Yashpal Arya, seramai 23 orang pekerja loji hidroelektrik di Uttarakhan terkorban selepas air melimpah ke kawasan tersebut.
Arya berkata, pasukan-pasukan penyelamat telah dihantar untuk membantu mereka yang terjejas, banjir turut memusnahkan 90 buah rumah dan 50 rumah tumpangan . - AFP

Tiga lelaki didakwa sembunyi wang curi



DARI kiri, T. Ahilan, S. Subramaniam dan M. Murugan mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan berasingan membabitkan penipuan sindiket penyamaran sebagai pegawai polis pada Jun lalu di Mahkamah Sesyen, Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 3 Ogos - Tiga lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan menyembunyikan harta curi membabitkan wang berjumlah RM20,000, pada Jun lalu.
S. Subramaniam, 41, M. Murugan, 28, dan T. Ahilan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Shamshol Azwa Martadza.
Mengikut pertuduhan, Subramaniam didakwa dengan sengaja menolong menyembunyikan harta curi iaitu membenarkan akaun Public Bank Bhd. miliknya digunakan untuk kemasukan wang RM10,000 yang diperoleh melalui penipuan.
Dia yang bekerja sebagai tukang sapu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Public Bank, Jalan Datuk Maharajalela dekat sini pada pukul 2.30 petang, 18 Jun lalu.
Dia turut berdepan pertuduhan kedua iaitu membenarkan akaun CIMB Bank miliknya digunakan untuk kemasukan wang RM10,000 yang diperoleh melalui penipuan di CIMB Bank cawangan Jalan Sultan Idris Shah pada pukul 4.15 petang hari yang sama.
Sementara Murugan dan Ahilan masing-masing bekerja sebagai tukang pam minyak dan penjaga stor pula didakwa bersubahat menyembunyikan wang curi berjumlah RM10,000 ke dalam akaun Public Bank pada hari dan waktu yang sama.
Kedua-dua lelaki itu turut didakwa bersubahat menyembunyikan harta curi iaitu wang RM10,000 ke dalam akaun CIMB Bank pada hari dan waktu yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Shamshol Azwa membenarkan Subramanian dibebaskan dengan ikat jamin RM9,600 bagi dua pertuduhan tersebut manakala kedua-dua tertuduh lagi masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nor Abdurrahim itu akan disebut semula pada 7 September depan.

Dua beranak didakwa pecah amanah RM11 juta



IPOH 3 Ogos - Seorang Pengarah Perak Industrial Corporation Sdn. Bhd. bersama anaknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat tersebut berjumlah lebih RM11 juta, tiga tahun lalu.
Tan Boon Huat, 59, dan Tan Kang Wei, 33, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Boon Huat didakwa melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM11,110,678.20 di syarikat itu di Lot 5608, Jalan Ipoh, Mukim Sungai Siput (U) di sini antara 28 September dan 22 Disember 2009.
Kang Wei yang juga pengarah di syarikat tersebut didakwa bersubahat dengan bapanya melakukan perbuatan tersebut pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh atas alasan ia adalah kesalahan serius dan melibatkan jumlah wang yang sangat besar.
Bagaimanapun, peguam bela Datuk Jerald Gomez yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin masing-masing antara RM25,000 dan RM50,000.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 September depan.

Dua beranak didakwa pecah amanah RM11 juta



IPOH 3 Ogos - Seorang Pengarah Perak Industrial Corporation Sdn. Bhd. bersama anaknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat tersebut berjumlah lebih RM11 juta, tiga tahun lalu.
Tan Boon Huat, 59, dan Tan Kang Wei, 33, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Boon Huat didakwa melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM11,110,678.20 di syarikat itu di Lot 5608, Jalan Ipoh, Mukim Sungai Siput (U) di sini antara 28 September dan 22 Disember 2009.
Kang Wei yang juga pengarah di syarikat tersebut didakwa bersubahat dengan bapanya melakukan perbuatan tersebut pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh atas alasan ia adalah kesalahan serius dan melibatkan jumlah wang yang sangat besar.
Bagaimanapun, peguam bela Datuk Jerald Gomez yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin masing-masing antara RM25,000 dan RM50,000.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 September depan.

Edar heroin: pelarian Myanmar berdepan hukuman gantung



KUANTAN 3 Ogos - Seorang pelarian warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar 31 gram heroin Ahad lalu.
Tertuduh, Khine Win, 36, yang fasih berbahasa Melayu dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1953. Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Khine Win, pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dituduh melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Haji Ahmad di sini pada 2.40 petang 29 Julai lalu.
Majistret Rini Triani Mohamad Ali tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan sebutan bagi laporan kimia kes itu pada 10 September ini. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Ahmad Nazari.

Cederakan teman wanita: mekanik dipenjara sehari



KUANTAN 3 Ogos - Gara-gara hilang sabar, seorang mekanik dihukum penjara sehari dan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membelasah teman wanitanya seorang pelajar kolej di sini Ahad lalu.
Majistret Nurulnaim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizullah Abdullah, 24, dari Kampung Baru Pandan 2, Batu 5, Jalan Gambang dekat sini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 2 pagi di sebuah rumah di Lorong Alor Akar 30, 29 Julai lalu.
Dia didakwa membelasah teman wanitanya itu menggunakan batang penyapu dan kayu cotar hingga cedera di pipi, lebam di tangan, kaki dan belakang badan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang dikatakan menemui teman wanitanya pada malam kejadian itu mula memukul akibat berang dengan sikap cemburu teman wanitanya. - BERNAMA

Bekas setiausaha syarikat dipenjara 12 bulan



KUALA LUMPUR 6 Ogos - Seorang bekas setiausaha syarikat pelaburan dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas 13 tuduhan menyalahgunakan cek bernilai RM16,989.10 milik bekas majikannya, tahun lalu.
Suzana Zainuddin, 39, ibu kepada lima anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Hawa Holdings Sdn. Bhd., Banglo No. 6, Jalan Taman U-Thant, Taman U-Thant, Cheras antara Mac dan September tahun lalu.
Wanita berasal dari Taman Song Choon, Ipoh, Perak itu sebelum ini memohon untuk dibicarakan namun hari ini dia menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Azmil Muntapha Abas.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Februari lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah diamanahkan untuk membuat pembayaran semua perbelanjaan syarikat antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan bayaran peribadi majikannya, Datin Maslinda Nezri.
Setelah membuat semakan, Maslinda mendapati tertuduh telah menyalahgunakan beberapa keping cek milik syarikat dan miliknya dengan melunaskan cek-cek berkenaan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh. - UTUSAN

Polis buru pesalah trafik



JERANTUT 4 Ogos - Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Demikian perumpamaan yang sesuai dirujuk kepada seorang pemuda yang diburu polis trafik sejak empat tahun lalu kerana mempunyai sembilan kesalahan jalan raya sejak 2008.
M. Murages Kaunder, 24, turut dikenakan sembilan waran tangkap setelah gagal hadir perbicaraan kes saman trafik yang dikeluarkan oleh Polis Trafik Jerantut antara 1 Mei 2008 dan 10 Disember 2008.
Sembilan kesalahan trafik yang dilakukan oleh Murages ialah tidak mempunyai lesen memandu, mengubah suai ekzos motosikal, tidak memakai topi keledar, motosikal tidak mempunyai cermin sisi dan tidak memiliki insurans sah.
Dia yang beralamat di No.3, Taman Raub Utama, Jalan Tras Raub kemudiannya ditahan pada 31 Julai lepas.
Semalam dia mengaku bersalah ke atas semua sembilan kesalahan itu mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.
Dengan pengakuan tersebut, Murages dikenakan denda berjumlah RM550 atau penjara sembilan hari. Lelaki itu dibebaskan selepas membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ariffin Saidin.

Dipecah masuk dua kali tidak sampai dua bulan



KOTA TINGGI 3 Ogos - Sebuah keluarga trauma selepas rumah mereka dipecah masuk penjenayah sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM60,000.
Faridah Hussin, 47, berkata, kegiatan pecah rumah sering dilaporkan berlaku di kawasan kejiranan Permata Saujana dan Taman Sri Saujana dekat sini.
Katanya, kejadian pertama menimpa keluarganya pada 19 Mei lalu menyebabkan kehilangan wang tunai, barang kemas, komputer riba serta telefon bimbit.
"Tidak sampai dua bulan, rumah saya telah dipecah masuk sekali lagi pada tengah malam 31 Julai lalu dan ia berlaku ketika kami hendak masuk tidur selepas selesai solat tarawih di masjid berdekatan sehingga berlaku pergelutan antara suami, Zamri Zakarian dan penjenayah tersebut.
"Sebaik sahaja menutup lampu dapur, suami terkejut apabila ternampak suspek yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju bersembunyi di sebalik meja makan. Suami saya terus mencapai sebatang kayu golf sebelum lelaki itu membaling kerusi dan bergelut dengan suami," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia yang bekerja sebagai eksekutif syarikat swasta berkata, penjenayah bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan wang tunai RM500 yang diletakkan di meja ruang tamu dan suaminya mengalami cedera ringan di pergelangan tangan dalam kejadian itu.
Jirannya, Mustaffa Suratman, 60, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai dan bergegas balik ke rumah sebaik sahaja menerima panggilan namun tidak berani untuk masuk ke rumah Faridah atas faktor usia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi berkata, rondaan di kawasan kejiranan tersebut dibuat secara berkala dan juga oleh anggota yang tidak berpakaian seragam.
Katanya, sempena cuti perayaan kelak, polis akan melancarkan Kempen Rumah Selamat dan pemilik rumah yang akan pulang ke kampung halaman boleh memaklumkan kepada polis alamat rumah, nombor untuk dihubungi dan tempoh ia ditinggalkan.

28 GRO Vietnam ditangkap



SEBAHAGIAN daripada 28 orang wanita pelayan pelanggan warga Vietnam ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Wisma Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Seramai 28 wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu operasi cegah maksiat di sebuah pusat hiburan Bandar Manjalara, Kepong, di sini awal pagi ini.
Serbuan dijalankan kira-kira pukul 1.30 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul hasil risikan dan maklumat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika serbuan dilakukan sebahagian wanita tersebut bertindak agresif dengan cuba melarikan diri melalui pintu rahsia yang disediakan.
“Pihak polis bagaimanapun bertindak pantas menahan wanita warga Vietnam yang berusia 20 hingga 30 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 25 wanita itu mempunyai pasport manakala tiga lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua wanita itu menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja secara haram di premis berkenaan.
“Turut ditahan, seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis itu," katanya.
Zakaria memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada premis itu turut menawarkan khidmat seks.
Katanya, premis yang tidak memiliki lesen hiburan itu telah dua kali diserbu sejak mula beroperasi tiga bulan lalu dan kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Sentul untuk proses dokumentasi.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah dua kesalahan iaitu beroperasi tanpa lesen hiburan dan menggaji warga asing.

Kuil Sikh di Wisconsin diserang, 7 maut



Kuil SIkh
Keadaan di lokasi kejadian selepas kuil masyarakat Sikh diserang. - Foto ihsan CNN
OAK CREEK - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh termasuk seorang lelaki yang melepaskan tembakan dan anggota polis dalam satu kejadian di kuil masyarakat Sikh di Milwaukee, pinggir bandar Oak Creek, Wisconsin, semalam.
Empat orang terbunuh dalam gurdwara dalam kejadian itu, yang dilaporkan berlaku sebelah pagi semalam waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia). Tiga lagi dilaporkan kritikal.
Pihak berkuasa menyifatkan serangan itu sebagai satu bentuk tindakan ala keganasan 'setempat'.
Perkembangan ini sememangnya mengejutkan banyak pihak selepas AS masih belum pulih daripada kejutan serangan seorang lelaki ke arah sekumpulan penonton filem Batman bulan lalu.
Laporan media dari Wisconsin menyebut bahawa penyerang terbabit kemudian menyerbu seorang anggota polis di lokasi kejadian, melepaskan tembakan beberapa kali sebelum dia ditembak oleh seorang lagi anggota polis.
"Maklumat yang ada sekarang menunjukkan serangan dilakukan oleh seorang," kata Ketua Polis Oak Creek, John Edwards.
Oak Creek merupakan sebuah bandar yang terdiri daripada 30,000 orang.
Edwards dipetik CNN berkata, kes itu, yang kali pertama disaksikan oleh kuil berkenaan, akan disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Anggota keluarga mangsa yang berkumpul di kawasan gurdwara memberitahu stesen WTMJbahawa mangsa-mangsa yang terselamat dibawa ke pusat boling untuk diambil keterangan.
Amardeep Kaleka berkata, bapanya Satwant Kaleka, presiden kuil, cedera ketika cuba menghalang penyerang daripada melepaskan tembakan.
Ibunya juga berada di lokasi kejadian ketika serangan dan mengalami tekanan susulan insiden tersebut.
Seorang lagi pemimpin kuil, Darshan Dhaliwal tidak pasti berapa ramai cedera dalam insiden tersebut.
"Kami sedang cuba untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku," katanya.
Seorang lagi memberitahu stesen itu bahawa "tiada siapa yang marah di sini."
"Kami hanya keliru. Adakah ini tindakan rambang? Adakah (tindakan ini) dituju ke arah kami disebabkan rupa kami?" katanya lagi.
AS mempunyai 700,000 masyarakat Sikh pada masa sekarang.

Pesawat Cessna terhempas, dua juruterbang pelatih selamat




5 Ogos 2012
JAKARTA - Sebuah pesawat latihan jenis Cessna terhempas di sebuah kawasan perumahan ketika sedang mendarat di Lapangan Terbang Letkol Wisnu, daerah Buleleng, Bali, petang Ahad namun kedua-dua juruterbang pelatih pesawat itu selamat dan hanya mengalami kecederaan.
 
Juruterbang yang dikenali sebagai Rizky dan pembantu juruterbang bernama Budi dibawa ke Hospital Daerah Bulelang untuk rawatan sejurus selepas kemalangan pada pukul 2 petang itu.
 
Pesawat milik sekolah penerbangan Bali International Flight Academy (Bifa) terhempas di belakang rumah seorang penduduk di Pengametan, Desa Sumberkima dekat lapangan terbang itu.
 
"Ketika hendak mendarat, pesawat malang tu terbang terlalu rendah lalu melanggar pokok dan jatuh di belakang rumah milik Putu Tulis," kata seorang anggota Polis Gerokgak. - Bernama

Empat buruh asing selamat dalam kebakaran




5 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Empat buruh warga asing dapat diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat petang tadi setelah terperangkap kira-kira dua jam dalam kebakaran di sebuah bangunan dalam pembinaan di Bandar Puteri Puchong dekat sini.
 
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd SaniHarul berkata dua warga Indonesia dan dua warga Myanmar itu, yang berusia dalam lingkungan 30-an, dapat diselamatkan di tingkat dua dalam kejadian 2 petang itu.
 
Beliau berkata bomba menerima panggilan orang awam kira-kira 2.05 minit mengenai kebakaran di bangunan 19 tingkat itu dan menghantar lima jentera dari Puchong, Subang, Cyberjaya, Petaling Jaya dan Shah Alam dengan kekuatan 31 anggota ke tempat kejadian.
 
"Bomba tiba 20 minit kemudian dan dapat mengawal kebakaran setengah jam kemudian. Namun, kebakaran dapat dipadamkan secara keseluruhannya kira-kira 4 petang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, hari ini.
 
Mohd Sani berkata kesemua mangsa dibawa turun selepas kebakaran dipadamkan dan bomba masih menyiasat punca kebakaran. - Bernama

Kanak-kanak putus dua jari kena letupan mercun bola



Kanak-kanak putus dua jari kena letupan mercun bola
Hujung dua jari kiri Mohd Shafiq Afandi putus akibat mercun meletup di tangannya.
GUA MUSANG - Sikap seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terlalu gembira dapat pegang mercun bola menerima padah apabila mercun itu meletup sebaik dicucuh rakannya mengakibatkan hujung dua jari kirinya terputus, pagi kelmarin.

Berikutan kejadian itu, mangsa Mohd Shafiq Afandi Ramlee, yang dalam keadaan berlumuran darah bukan sahaja putus hujung dua jari, tiga jari lagi turut hangus terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.

Kejadian tersebut berlaku di rumah jiran tidak jauh dari rumah mangsa di Kampung Kolam Emas, dekat sini, kirakira jam 9.30 pagi, ketika Mohd Shafiq Afandi bersama seorang lagi kakaknya, Nor Atirah, 9, pergi ke rumah jiran untuk bermain mercun.

Sebaik tiba di rumah tersebut, mangsa yang memegang mercun bola itu didatangi seorang rakan sebaya dengannya membawa mancis dan cucuh sumbu mercu berkenaan menyebabkan terus meletup.

Ketika ditemui di rumahnya, Mohd Shafiq Afandi berkata, dia sedar sumbu mercun itu dicucuh, tetapi tidak sempat untuk melontarnya lalu meletup dengan kuat di tangan sendiri.

“Adik pergi ke rumah jiran itu hanya untuk main-main bersama rakan sambil membawa sebiji mercun bola, tetapi rakan minta untuk dicucuh sumbunya menyebabkan terus meletup,” katanya.

JPJ tahan lelaki guna 'lesen terbang' sejak 7 tahun




6 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal yang menggunakan lesen palsu sejak tujuh tahun lalu adalah antara yang ditahan dalam operasi pra perayaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, malam tadi.
 
Lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Man mendakwa bahawa dia sama sekali tidak menyedari bahawa lesen yang dipegangnya sejak 2005 itu adalah palsu kerana lesen itu diperoleh daripada sekolah belajar memandu.
 
"Saya memang tidak tahu itu lesen palsu sebab saya dapat daripada pihak pusat belajar memandu tempat saya ambil lesen. Kalau saya tahu itu lesen palsu buat apa saya biarkan.
 
"Lagi pun sejak saya dapat lesen tu, sudah tiga kali saya perbaharui tempoh sah di pejabat pos dan tidak timbul masalah semasa proses pembaharuan," katanya yang turut didapati memegang kad pengenalan palsu.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah JPJ Malaysia Datuk Ismail Ahmad berkata operasi hampir dua jam membabitkan 70 anggota JPJ Wilayah Persekutuan dan Unit Kuatkuasa Trafik Kuala Lumpur itu memeriksa lebih 500 kenderaan dengan 50 buah motosikal disita.
 
Beliau berkata turut ditahan ialah seorang lelaki berumur 25 tahun yang tidak memiliki lesen memandu selain dikenal pasti sebagai individu yang dikehendaki bersabit kes dadah.
 
Ismail berkata operasi itu memberi tumpuan kepada penunggang motosikal sempena Hari Raya memandangkan penunggang motosikal merupakan penyumbang utama dalam statistik kemalangan maut pada 2011.
 
"Daripada 6877 kes kemalangan maut tahun lepas, 60 peratus daripadanya membabitkan pengguna motosikal. Atas faktor itu, operasi untuk tahun kita bagi tumpuan kepada pengguna motosikal yang mana operasinya akan dijalankan secara berterusan sehingga selepas perayaan," katanya.
 
Beliau berkata sebanyak 79 saman JPJ dan 50 saman trafik dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 9 malam itu.
 
"Antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat temph dan nombor pendaftaran tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan," katanya. - Bernama

Seorang maut, 8 cedera dalam nahas Bukit Putus




5 Ogos 2012
Seorang maut, 8 cedera dalam nahas Bukit Putus
Anggota bomba dan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan pemandu kereta Proton Waja yang terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga keretadi Bukit Putus. - Foto Bernama
SEREMBAN - Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 14.3 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus hari ini.
  
Jurucakap polis berkata mangsa, Rohani Saidin, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
  
"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga, Proton Waja serta Honda CRV dan mangsa yang maut adalah penumpang kereta Proton Waja yang dinaiki bersama empat anggota keluarganya yang lain.
   
"Selain itu, semua mangsa yang cedera iaitu pemandu kereta Honda CRV, empat penumpang Proton Waja dan tiga sekeluarga yang menaiki Proton Saga dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan," katanya.
  
Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata punca kemalangan masih disiasat.
 
Seorang saksi, Syed Azril Syed Zamri, 33, berkata ketika kejadian, beliau dan isteri serta seorang anaknya sedang melalui jalan itu dari arah Kuala Pilah menuju Seremban.
  
"Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba saya nampak sebuah kereta jenis Honda CRV dari arah bertentangan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Waja di hadapan saya.

"Saya terkejut apabila mendengar bunyi letupan yang kuat sebelum kereta Proton Waja itu dirempuh kereta Proton Saga pula dari arah belakang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
  
Syed Azril berkata beliau bernasib baik kerana sempat memberhentikan kenderaan dan mengelak daripada bertembung dengan kenderaan di depannya.
  
"Apabila keluar dari kenderaan, saya melihat seorang lelaki yang tersepit di tempat pemandu kereta Proton Waja, merayu meminta tolong manakala penumpang yang lain sedang mengerang kesakitan.
  
"Saya juga melihat seorang wanita berlumuran darah berada di bawah tempat duduk belakang, dihimpit seorang lagi wanita, dan seorang kanak-kanak berusia setahun yang sedang menangis," katanya yang kemudian menghubungi polis. - Bernama

Lembu lintas lebuh raya, dua beranak maut



NORIZZAH BAHARUDIN
5 Ogos 2012
Lembu lintas lebuh raya, dua beranak maut
Ilustrasi bagaimana kemalangan tersebut berlaku.
Lembu lintas lebuh raya, dua beranak maut
Anggota trafik memeriksa Perodua Kancil dinaiki empat sekeluarga berkenaan yang remuk, di samping Proton Persona.
Lembu lintas lebuh raya, dua beranak maut
Jenazah Ngatinah dibawa keluar dari bilik mayat untuk dibawa pulang ke Kluang, Johor, semalam.
ALOR GAJAH - Berpunca seekor lembu melintas di tengah lebuh raya, empat kenderaan terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa seorang wanita dan anaknya, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi di Kilometer 213 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, apabila sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki empat sekeluarga terbabas selepas gagal mengelak lembu tersebut, lalu melanggar pengadang tepi jalan.

Ia menyebabkan mangsa, Ngatinah Kemin, 47, dan anak bongsu, Muhammad Habib Firdaus, 10, maut di tempat kejadian.

Sebuah lagi kereta Proton Persona dinaiki dua lelaki turut terbabas, berpusing beberapa kali, diikuti dua lagi kereta Proton Persona dan BMW, semuanya gagal mengelak lembu yang sama.

Kemalangan itu juga menyebabkan lembu itu mati di tempat kejadian. Ngatinah dikatakan dalam perjalanan ke Kluang, Johor, selepas mengambil anak keduanya, Siti Nasuha Mokhtar, 21, yang belajar di Jepun baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk sambut Aidilfitri di tanah air.

Siti Nasuha yang turut berada dalam kereta bersama bapanya yang memandu Kancil, Mokhtar Abu Bakar, 50, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kereta dinaiki keluarga berkenaan merempuh seekor lembu yang tiba-tiba melintas sebelum terbabas dan terbalik beberapa kali.

“Akibatnya, kereta berkenaan tersangkut pada besi pengadang lebuh raya itu. Dua Proton Persona dan sebuah BMW mengalami nasib sama,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala Mokhtar patah rusuk kiri dan luka kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

“Sementara Siti Nasuha dilaporkan stabil dan ditempatkan di wad biasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, adik ipar Ngatinah, Fazilah Abu Bakar, 48, berkata, arwah kakak iparnya itu bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Simpang Renggam, Johor.

“Saya dimaklumkan, ketika kejadian, Siti Nasuha sempat memangku ibunya yang tidak sedarkan diri. Jenazah Ngatinah dibawa keluar dari bilik mayat untuk dibawa pulang ke Kluang, Johor, semalam.

Ketika Siti Nasuha dan bapanya itu dihantar ke Hospital Melaka, dia masih tidak tahu ibu dan adiknya itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, kehilangan arwah juga menyebabkan hasrat mereka untuk berkumpul 10 keluarga di Alor Setar, Kedah, sempena meraikan majlis perkahwinan seorang anak saudara berkecai.

Warga Vietnam maut, isteri parah ditetak




6 Ogos 2012
KUALA LUMPUR -  Seorang lelaki warga Vietnam maut manakala isterinya parah selepas ditetak dipercayai akibat pergaduhan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata kejadian kira-kira 6.30 petang di rumah teres dua tingkat di Jalan Dayang 52/8 itu mula disedari jiran yang terdengar bunyi bising dari rumah berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis.

Mangsa maut dipercayai akibat ditetak di kepala dan telinga kanan dengan beberapa kesan kelar serta tikaman di leher, dada dan bahu kanan manakala isterinya cedera parah akibat empat tetakan di kepala.
 
"Siasatan awal mendapati mangsa lelaki yang berseluar pendek itu ditemui mati di bilik tidur utama rumah itu manakala isterinya dalam keadaan duduk dan berlumuran darah di ruang tamu.
 
"Berdasarkan keadaan rumah yang berselerak, polis tidak menolak kemungkinan kejadian berlaku akibat pergaduhan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam tadi.

Abdul Rashid berkata polis turut menemui sebilah parang masih bersarung di bilik tidur utama dan sebilah lagi di bilik air dengan kesan darah.
 
Suspek dipercayai masuk melalui pintu hadapan sebelum menyerang isteri mangsa yang berada di ruang tamu dan menyerang si mati di bilik tidur, katanya.
 
Beliau berkata polis mendapati rumah itu disewakan seorang lelaki kepada pasangan itu yang tinggal bersama dua adik lelaki si mati sejak bulan lepas.
 
Identiti pasangan itu masih belum dikenal pasti, katanya sambil menambah mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat manakala isterinya dirawat di hospital sama. - Bernama

28 GRO warga asing ditahan



28 GRO warga asing ditahan
Sebahagian daripada 28 GRO warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR – Sebuah premis hiburan di Bandar Manjalara, Kepong di sini, menawarkan khidmat pelayan wanita berkulit putih dan gebu untuk menarik minat pelanggan.

Pelayan itu berpakaian seksi menemani pengunjung menari serta minum. Bagaimanapun, premis yang baru beroperasi tiga bulan itu diserbu polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Sentul, kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam serbuan itu, polis menahan 28 wanita warga Vietnam, berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun, yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Katanya, seorang lelaki dipercayai penjaga premis, berusia lingkungan 30-an, turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Ketika serbuan, sebahagian daripada mereka bertindak agresif dan cuba melarikan diri melalui pintu rahsia yang disediakan oleh pemilik premis berkenaan.

“Bagaimanapun, kita bertindak pantas dan dapat menghalang mereka daripada meloloskan diri,” katanya ketika ditemui, semalam.

Zakaria berkata, premis ini beroperasi tanpa lesan dan pemilik masih berdegil walaupun pernah dua kali diserbu sebelum ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati, 25 wanita menyalahgunakan pas lawatan manakala selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mereka masuk ke negara dengan menggunakan pas lawatan sosial dan bekerja secara haram di premis ini,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan wanita yang ditahan ini turut menawarkan perkhidmatan seks di luar premis.

Semua yang ditahan dibawa ke IPD Sentul untuk proses dokumentasi dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. 

Dua kanak-kanak dikesan minta sedekah



Dua kanak-kanak dikesan minta sedekah
Dua kanak-kanak yang dilihat berkeliaran di kawasan terbabit baru-baru ini.
KOTA BHARU-Tidak serik! Walaupun pihak berkuasa pernah melakukan serbuan di hadapan sebuah pasar raya di sini, namun dua kanak-kanak yang menggunakan nama sebuah pondok tahfiz di Kedah masih melakukan kegiatan meminta derma di kawasan itu.
Kelibat dua kanak-kanak lelaki dan perempuan itu dilihat sering dilihat berkeliaran di kawasan terbabit.
Seorang pelanggan, Mohd Aiman Haziq, 25, berkata, kehadiran pengutip derma terbabit  yang menggunakan nama sebuah pondok tahfiz amat meragukan.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat memantau keadaan terbabit supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mereka yang hendak membeli belah di kawasan itu.
“Memang ramai masyarakat yang prihatin menghulurkan bantuan kepada merekan tetapi mereka seolah-olah menyalah gunakan tenaga kanak-kanak itu yang sepatutnya belajar,” katanya kepada Sinar Harian.
Sehubungan itu, dia berharap pihak terbabit dapat menjalankan pemantauan berkala di kawasan terbabit.

Jual mercun nak beli baju raya



Jual mercun nak beli baju raya
Mohd Fadli merayu hukuman diringankan kerana mendakwa terpaksa menjual mercun dan bunga api untuk membeli baju raya anak-anak.
KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan merayu mahkamah mengurangkan hukuman terhadapnya dengan alasan dia terpaksa menjual mercun dan bunga api untuk membeli baju raya anak-anak.
Terdahulu, Mohd Fadli Awi, 31, dari Kampung Kubang Parit, di sini, merayu di Mahkamah Majistret, semalam, selepas mengaku salah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api di kediamannya di Kampung Kubang Parit awal pagi semalam.
Dia kemudiannya dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Sebelum ini, Mohd Fadli mengaku salah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api kira-kira jam 1.30 pagi iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Mohd Fadli tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu membuat serbuan di kediaman Mohd Fadli selepas menerima maklumat mengenai penjualan pelbagai jenis mercun dan bunga api.
Sebaik tiba di kediaman itu, polis yang menjalankan pemeriksaan menemui pelbagai jenis bahan terlarang seperti satu kotak mercun jenis Enlarge Thunder Claps; dua kotak mercun Happy Boom dan enam kotak bunga api Fire
Rose sebelum Mohd Fadli serta barang kes ditahan untuk siasatan lanjut.

RM50,000 tembakau kering dirampas



BACHOK -  Sebanyak 59 bungkusan tembakau kering bernilai RM50,000 berjaya dirampas semalam oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor.

Serbuan jam 11.30 pagi dilakukan di Kampung Teluk, Pengkalan Chegal selepas tiga hari intipan dijalankan.

Komandernya Rosli Karim berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu utama premis berkenaan yang dikunci bagi menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam premis tersebut, anggota kami menemui sebanyak 59 bungkusan daun tembakau kering seberat 3.3 tan yang bernilai RM50,000.

“Kami percaya tembakau ini dibawa masuk dari Thailand dan Kemboja berdasarkan kepada cara ikatan yang dibuat. Ini kerana ia menggunakan teknik suntikan dan bukannya ikatan seperti yang digunakan oleh penduduk di negeri ini,” katanya.

Semua barangan rampasan tersebut diserahkan kepada Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi untuk mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan ini daripada terus berleluasa.

Bakal pengantin maut



Bakal pengantin maut
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
PUCHONG - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 28.9 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Hentian Sebelah Puchong Selatan, awal pagi semalam.
Mangsa, Mohd Tajuddin Mahmud, 27, berasal dari Bachok, Kelantan, maut di tempat kejadian.
Difahamkan mangsa baru bertunang kira-kira dua bulan lalu dan akan berkahwin hujung tahun ini.
Sebelum kejadian mangsa bersahur bersama beberapa rakannya dan membeli keperluan untuk menyambut Aidilfitri.
Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Subang Jaya sebelum terbabit dalam nahas ngeri itu.
Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansur berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza merempuh belakang motosikal mangsa.
"Mangsa yang menunggang bersendirian tercampak atas cermin depan kereta itu.
"Motosikalnya terseret kira-kira 100 meter, kemudian kereta itu terbabas ke pembahagi lebuh raya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.
Saksi kejadian diminta hubungi polis bagi membantu siasatan.

Cemas sejam terperangkap



Cemas sejam terperangkap
Keadaan di luar lif ketika anggota bomba dan penyelamat datang untuk menyelamatkan mangsa.
SEREMBAN – “Saya terpaksa menenangkan anak saya yang ketakutan," kata Salimin Ali, 42, mangsa yang terperangkap dalam lif di Terminal 2, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa bersama dua anaknya berusia 6 dan 9 tahun terperangkap hampir satu jam selepas lif di bangunan pasar raya berkenaan terhenti tiba-tiba.
Menurut Salimin, dia bersama anaknya pergi ke pasar raya itu untuk membeli barangan keperluan rumah.
"Kami naik lif bermula tingkat tiga. Ketika ingin turun ke tingkat bawah, secara tiba-tiba lif terhenti di tingkat dua.
“Ketika itu, saya memang berasa amat cemas bersama dua anak saya. Tetapi nasib baik dalam lif itu ada tingkap besar di belakang,  membolehkan saya melambai kepada orang ramai untuk meminta pertolongan," katanya.
Menurutnya, dia terpaksa meyakinkan anaknya yang ketakutan dengan berbual-bual memberitahu mereka akan diselamatkan tidak lama lagi.
"Apabila melihat kehadiran anggota bomba yang datang untuk menyelamat kami, barulah anak saya mula berasa lega.
“Ini adalah kali pertama kejadian sebegini berlaku kepada. Selepas ini, mungkin saya dan anak-anak akan gunakan tangga sahaja kerana trauma,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Ehsan Sukardi berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Seremban dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Pelajar rugi RM3,000



SUBANG JAYA – Seorang pelajar kerugian RM3,000 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai pekerja bank ketika ingin mendaftar sistem perbankan online di sebuah bank di SS15, di sini.

Difahamkan, mangsa berusia 18 tahun sebelum itu dikatakan menghadapi kesulitan melakukan urusan berkenaan di mesin juruwang automatik (ATM) sebelum didekati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Melihat mangsa seolah-olah menghadapi masalah di mesin itu, lelaki berpakaian kemas dan memakai tag nama seperti pekerja bank merapatinya dan menawarkan bantuan.

Lelaki berkenaan kemudian memberitahu mangsa perlu mengeluarkan wang tunai sebanyak RM3,000 dan mendepositkan semula ke dalam akaun untuk memudahkan urusan pendaftaran.

Tanpa mengetahui niat jahat suspek, mangsa menuruti arahannya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek menyuruh mangsa masuk ke satu ruang pejabat dan memintanya mengisi satu borang dan pada masa sama kononnya mendepositkan duit mangsa.

Katanya, suspek mengeluarkan semula wang itu daripada mesin ketika mangsa leka mengisi borang.

“Mangsa hanya sedar dirinya ditipu apabila wang berkenaan didapati tidak dimasukkan ke dalam akaun dan suspek menghilangkan diri serta gagal dikesan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek bukan pekerja di institusi kewangan itu. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan hari ini.

Dua maut dalam kemalangan berasingan



RAUB - Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan di sini malam tadi.
   
Kejadian pertama berlaku di Km355 Jalan Raub-Bentong yang melibatkan tiga kenderaan iaitu msing-masing sebuah motosikal, kereta dan pacuan empat roda.
 
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Shamsudin Wan Osman, dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa S. Thajahiralan, 49, mati di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.
 
"Kejadian berlaku ketika mangsa dari Taman Indah dalam perjalanan dari arah Bentong menuju ke bandar Raub. Sampai tempat kejadian, sebuah kereta dari arah Raub telah memotong sebuah pacuan empat roda di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal mangsa," katanya.
 
Beliau berkata mangsa tercampak ke kanan jalan lalu dirempuh pacuan empat roda berkenaan dan meninggal di lokasi kejadian.
 
Sementara itu seorang warga emas, Mohamad Razalli Khalid, 65, turut maut 10 minit selepas kejadian pertama.
 
Wan Shamsudin berkata kejadian berlaku di Km363 Jalan Raub-Bentong, iaitu kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian pertama.
 
"Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor dalam perjalanan dari arah Raub menuju Bentong. Tiba di tempat kejadian, tiba-tiba
sebuah kereta dari arah Bentong cuba memotong kenderaan lain lalu masuk ke laluan mangsa dan bertembung secara bertentangan dengan mangsa," katanya.
 
Beliau berkata mangsa mati di lokasi kejadian.
 
Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Maut selepas hantar rakan



Maut selepas hantar rakan
Anggota Bomba berusaha untuk mengeluarkan mangsa.
KAMPAR – Seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran RTC Gopeng, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi dan mangsa, P Srinivasan, 26 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Timur, di sini, selepas menghantar rakannya di Ipoh.
Menurut beliau, kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum tiba di tempat kejadian.
"Kemalangan telah membabitkan kereta yang dipandu mangsa dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan tilam.
"Ketika sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori terbabit," katanya, semalam.
Beliau berkata, pertembungan itu telah menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar dan mangsa tersepit dalam kereta pada ketika itu.
"Mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori, Mohd Nordan Enoh, 50 bersama kelindannya sempat menyelamatkan diri.
"Sepasukan bomba dan penyelamat dari balai Gopeng dan Simpang Pulau telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan api berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi.
Kong Soon menambah, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat oleh pasukan bomba dan telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menyedari anak tunggalnya itu keluar dari rumah untuk menghantar rakannya ke Ipoh, sebelum kejadian berlaku.
"Saya hanya mengetahui kejadian ini setelah menerima panggilan telefon dariapda polis pada jam 2.30 pagi dan bergegas ke hospital," katanya.