Search This Blog

Sunday, August 5, 2012

Empat kanak-kanak Haiti maut dirawat bomoh



PORT-AU-PRINCE 4 Ogos - Empat kanak-kanak daripada keluarga yang sama ditemui mati di Haiti semalam selepas dirawat oleh seorang bomoh yang mendakwa mampu merawat penyakit misteri kesemua mangsa.
Pegawai kerajaan pekan Marbial, Wilfrid Brisson berkata, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak lelaki yang berusia antara 15 bulan hingga tujuh tahun, dirawat dengan kaedah yang salah oleh bomoh terbabit.
"Bomoh tersebut dan abangnya memukul keempat-empat kanak-kanak tersebut berulang kali dengan tujuan menghalau makhluk halus yang dipercayai telah merasuk kesemua mangsa," katanya. - AFP

Letupan bongkar kegiatan pindah gas haram



Seorang pegawai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech Park memeriksa kesan letupan tong gas mengakibatkan kebakaran di Taman Cengal, Kulim, semalam. - BERNAMA
KULIM 4 Ogos — Letupan berpuluh tong gas dalam sebuah premis di Taman Cengal yang mencederakan tiga pekerja di sini awal hari ini membongkar satu kegiatan haram dipercayai memindah gas dari tong subsidi domestik kepada tong gas industri.
Ketua Zon Pasukan Bomba dan Penyelamat Kulim, Mohd. Firdaus Daud berkata, pihaknya mengesyaki wujud kegiatan haram di situ kerana tiada bekalan eletrik di bangunan itu dan hasil maklumat beberapa pekerja mengatakan bangunan ditutup pada waktu siang tetapi terdapat operasi di sebelah malam.
"Lagi pun terdapat kesan-kesan peralatan digunakan untuk memindahkan gas berkenaan di samping terdapat juga pelbagai ukuran silinder tong gas dalam premis tersebut. Sehingga kini, pemilik premis belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi di sini.
Letupan kira-kira pukul 3 pagi itu turut menggegarkan ratusan rumah di beberapa taman perumahan berdekatan termasuk Taman Kempas, Taman Desa Impian dan kawasan sekitar.
Mohd. Firdaus berkata, tiga warga asing dipercayai pekerja premis berkenaan melecur seluruh badan akibat terkena api gas berkenaan.
Katanya, mereka dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas dimasukkan ke Hospital Kulim awal hari ini. - BERNAMA

Anggota polis bantu lerai pergaduhan dipukul



MELAKA 3 Ogos - Niat murni seorang anggota polis berpangkat konstabel membantu meleraikan satu pergaduhan menyebabkan dia akhirnya cedera akibat ditumbuk di sebuah pusat hiburan di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, mangsa berusia 20-an itu cedera di tangan kiri selepas diserang salah seorang daripada dua kumpulan yang bergaduh itu.
Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi itu, anggota terbabit serta rakannya menjalankan rondaan di kawasan tersebut.
"Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota terbabit dan rakannya terlihat satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan, lalu cuba meleraikannya.
"Bagaimanapun, anggota itu pula dipukul salah seorang daripada mereka yang dipercayai mabuk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Justeru kata Raja Shahrom, anggota terbabit yang bertugas di Balai Polis Batu Berendam menghubungi balai untuk mendapatkan bantuan.
"Polis kemudian menahan empat lelaki berusia 24 hingga 34 tahun bagi membantu siasatan. Ahli-ahli kumpulan yang lain telah melarikan diri," ujarnya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Beliau berkata, anggota berkenaan yang mengalami kecederaan ringan kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Rugi RM2,900 beli beg tiruan di laman web



KUALA LUMPUR 3 Ogos - Seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tempatan mendakwa kerugian RM2,900 selepas terbeli sebuah beg tangan berjenama tiruan daripada satu laman web yang dikatakan menjual pelbagai barangan berjenama asli.
Wanita yang ingin dikenali sebagai Leong, 22, itu mendakwa membeli beg berjenama Prada tersebut secara atas talian selepas melihat laman web berkenaan pada 3 Julai lalu.
Menurutnya, perniagaan milik sepasang suami isteri itu menawarkan beg pelbagai jenama yang didakwa asli seperti yang terdapat di pusat beli-belah.
Katanya, pemilik perniagaan itu turut mendakwa beg yang ditawarkan juga lebih murah berbanding di butik kerana ia diperolehi terus dari kilang beg berkenaan.
"Mereka memberi jaminan beg berkenaan adalah 100 peratus asli di samping menyertakan kad jaminan sama seperti diberikan oleh butik kepada pelanggan yang membeli beg berjenama itu," katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan MCA, di sini hari ini.
Katanya, pembayaran dibuat menerusi bank dan beg berkenaan diperoleh pada Selasa lalu.
Dia bagaimanapun kecewa apabila mendapati beg tersebut tidak seperti yang digambarkan malah, kualiti produk itu turut diragui.
"Apabila meneliti beg tersebut, saya dapati ia bukan diperbuat daripada kulit kerana fabrik dan bau material itu menunjukkan ia dihasilkan menggunakan bahan Polyvinil Cloride (PVC)," katanya.
Dia turut membuat pemeriksaan di sebuah butik Prada dan mendapati beg yang dibelinya itu adalah tiruan.
"Terdapat perbezaan ketara setelah membuat perbandingan di antara beg jenama sama yang dijual oleh butik berkenaan dan beg yang dibeli menerusi laman web tersebut," katanya.
Katanya, walaupun telah memaklumkan kepada pemilik laman web tersebut bahawa beg yang dibelinya tiruan, mereka tetap berdegil mempertahankan beg itu adalah asli.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya sering menerima aduan mengenai kes penipuan yang melibatkan urusan membeli produk secara talian.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk membeli barangan tersebut kerana ia melibatkan wang yang banyak.

Mayat dibakar di tanah perkuburan ditemui



ANGGOTA polis melihat mayat yang dibakar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Jawa, Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 3 Ogos - Mayat seorang lelaki yang dipercayai mangsa pembunuhan ditemui hampir hangus selepas dibakar bersama timbunan ranting dan kayu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa di sini hari ini.
Mayat mangsa yang dipercayai berusia awal 20-an dan masih belum diketahui identitinya ditemui oleh sekumpulan penduduk yang datang untuk membersihkan kubur pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritendan Mazlan Othman berkata, pihaknya pergi ke tempat kejadian selepas menerima maklumat kira-kira pukul 11.10 pagi ini.
Beliau berkata, siasatan awal percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibakar di tanah perkuburan tersebut.
"Semasa ditemui mayat mangsa yang dalam keadaan terlentang dan memakai jeans biru hampir hangus di bawah timbunan ranting serta kayu yang terbakar.
"Pemeriksaan pada bahagian belakang badan mangsa yang tidak terkena api menemui pelbagai gambar tatu," katanya ketika dihubungi pemberita di sini petang ini.
Menurut Mazlan, identiti mangsa sedang disiasat kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayatnya.
Tambah beliau, pihaknya yang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan menunggu laporan bedah siasat pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi membantu siasatan kes.

Bouncer kelab malam maut ditembak



KUALA LUMPUR 4 Ogos - Seorang bouncer sebuah kelab malam mati ditembak tiga das dari jarak dekat yang dipercayai berpunca akibat dendam di Serdang Perdana, dekat sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa, K. Silvan, 27, minum bersama dua lagi rakannya di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang menaiki motosikal Yamaha LC dan memakai topi keledar bertutup penuh merapati mereka.
"Dengan pantas, seorang daripada suspek turun dari motosikal lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa sementara seorang lagi rakannya menunggu di motosikal.
"Dua daripada tembakan itu mengenai bahagian belakang mangsa manakala satu lagi di kepala," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, dua lagi rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Abd Razak memberitahu, motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam.
Beliau berkata, mangsa yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Katanya, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali memberitahu, mangsa bekerja di sebuah kelab malam sekitar Serdang dan tinggal di sebuah flat di Taman Universiti, Seri Kembangan.

Sindiket curi kuota pekerja asing



Faizal Fazri Othman (tengah) menunjukkan dokumen palsu serta pasport yang berjaya dirampas daripada sindiket pemalsuan dokumen ketika mengadakan sidang media di Wisma Persekutuan, Seremban, semalam.
SEREMBAN 3 Ogos - Satu sindiket mencuri kuota yang diberikan kepada syarikat pengambilan pekerja asing terbongkar selepas Jabatan Imigresen negeri ini menahan lima lelaki dalam beberapa serbuan baru-baru ini.
Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, kesemua lelaki termasuk dua warga asing itu ditahan pada Rabu dan Khamis lalu dalam serbuan di bandar ini dan Kuala Lumpur.
"Kesemua suspek yang ditahan itu berusia 25 hingga 40-an, dipercayai aktif sejak lima bulan lalu, sebelum kita dapat menjejaki modus operandi mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Faizal, sindiket itu turut didapati memalsukan surat milik pelbagai syarikat yang telah pun terlebih dahulu membayar levi untuk membawa masuk pekerja asing, selain menggunakan dokumen berkenaan untuk mendapatkan visa daripada pihak Imigresen.
"Kita dapati sindiket ini bertindak berani apabila memalsukan pelbagai dokumen termasuk resit bayaran jabatan ini," ujarnya.
Tegas Faizal lagi, modus operandinya cekap kerana selepas memperoleh visa berkenaan, sindiket itu menjual pula pekerja asing kepada mana-mana majikan dengan bayaran levi sehingga RM1,500 berbanding levi yang perlu dibayar majikan kepada kerajaan berjumlah RM1,800 setiap pekerja.
Sindiket berkenaan menjadi ejen kepada mana-mana majikan yang mahu mengambil pekerja asing secara ekspres yang tidak mahu membayar levi kepada kerajaan.
"Dalam serbuan yang sama, pihak Imigresen turut merampas sebanyak 86 pasport pelbagai negara, sejumlah dokumen, resit, cop palsu serta dua buah kereta," jelasnya.
Katanya, kesemua lelaki yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 56 (1)k Akta Imigresen dan Seksyen 56 (1) A C akta yang sama yang mana mempunyai dalam pemilikan apa-apa permit masuk, pas dokumen atau perakuan palsu atau dipinda.

Tiga anggota kumpulan samun mati ditembak



GEORGETOWN 5 Ogos - Tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan "Lima" yang aktif merompak di beberapa daerah di negeri ini, maut ditembak polis ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Jesselton, Pulau Tikus hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Abd Rahim Hanafi berkata polis terpaksa melepaskan tembakan apabila tiga suspek yang bersenjatakan parang bertindak agresif, cuba menyerang anggota pasukan keselamatan itu.
"Pada kejadian 3.30 pagi tadi itu, kita menerima laporan orang awam yang mengatakan tiga lelaki terbabit sedang dalam percubaan memecah masuk sebuah rumah di situ.
"Polis yang tiba di lokasi mengarahkan suspek menyerah diri namun mereka bertindak agresif menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah mereka," katanya kepada pemberita di sini. - BERNAMA

Bouncer kelab malam maut ditembak



KUALA LUMPUR 4 Ogos - Seorang bouncer sebuah kelab malam mati ditembak tiga das dari jarak dekat yang dipercayai berpunca akibat dendam di Serdang Perdana, dekat sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa, K. Silvan, 27, minum bersama dua lagi rakannya di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang menaiki motosikal Yamaha LC dan memakai topi keledar bertutup penuh merapati mereka.
"Dengan pantas, seorang daripada suspek turun dari motosikal lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa sementara seorang lagi rakannya menunggu di motosikal.
"Dua daripada tembakan itu mengenai bahagian belakang mangsa manakala satu lagi di kepala," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, dua lagi rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Abd Razak memberitahu, motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam.
Beliau berkata, mangsa yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Katanya, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali memberitahu, mangsa bekerja di sebuah kelab malam sekitar Serdang dan tinggal di sebuah flat di Taman Universiti, Seri Kembangan.

350 biji pil kuda ditemui dalam peti besi


Sheik Azhar Sheik Omar menunjukkan pil kuda yang dirampas sambil diperhatikan oleh Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Jeli, Noor Hatikah Hassan di Jeli, kelmarin.
JELI 3 Ogos - Polis merampas sejumlah 350 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM7,000 yang disembunyikan dalam peti besi di sebuah rumah di Kampung Ayer Lanas Blok Tanah Merah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, dadah itu ditemui berikutan penahanan seorang duda berusia lingkungan 30-an dipercayai pengedar di sebuah stesen minyak dekat sini kira-kira pukul 6.20 petang.
Beliau berkata, suspek membawa pasukan polis ke rumahnya di Kampung Ayer Lanas Blok Tanah Merah dekat sini dan hasil pemeriksaan berjaya menemui dadah tersebut.
Katanya, dadah tersebut ditemui disorokkan dalam sebuah peti besi kecil yang dilekatkan pada dinding bilik tidurnya.
"Suspek telah memberitahu kod rahsia peti tersebut dan setelah peti itu dibuka polis menemui sebanyak 350 biji pil kuda yang dimuat dalam beberapa batang straw dalam sebuah beg kecil," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Sheik Azhar, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, suspek dipercayai mengedar pil kuda berkenaan di sekitar kawasan Ayer Lanas dekat sini.
Katanya, rampasan dadah itu merupakan yang terbesar di daerah ini pada tahun ini.

4 pelacur warga China ditahan


ANGGOTA polis membawa keluar GRO warga China dari sebuah hotel di Jalan Song Thian Cheok untuk siasatan lanjut di IPK Sarawak, Kuching, kelmarin.
KUCHING 3 Ogos - Polis menahan empat gadis warga China berusia antara 22 hingga 26 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran menerusi Ops Noda di sebuah hotel terkemuka di Jalan Song Thian Cheok di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri itu, turut ditahan ialah lima lelaki tempatan dipercayai pelanggan kepada gadis terbabit.
Pegawai Turus D7, Deputi Supritendan Ahmad Asri Jamaluddin berkata, serbuan dilancarkan selepas pihaknya membuat risikan selama dua hari di premis berkenaan menerusi maklumat daripada orang awam.
"Ketika serbuan dibuat ke atas empat bilik berasingan, seorang pelanggan didapati sedang melakukan hubungan seks dengan salah seorang pelacur manakala empat pelanggan lagi dalam proses tawar menawar.
"Bagaimanapun, lima pelanggan terbabit dibebaskan setelah diambil keterangan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Ahmad Asri, pihaknya turut merampas 54 keping kondom dengan empat daripadanya telah digunakan, dua botol cecair pelincir, sejumlah wang RM8,800 serta sekeping kertas catatan jumlah wang dipercayai hasil aktiviti pelacuran.
"Empat suspek terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan," katanya sambil memberitahu polis pernah menyerbu hotel sama dan menahan dua gadis warga China pada 13 Julai tahun lalu.

‘Dia rayu nak ikut pak cik’




         
ALOR GAJAH: “Dia merayu mahu mengikut pak ciknya pergi ke klinik dan saya mengizinkannya tetapi berpesan supaya tidak nakal,” kata Alexius Julianos, 29, bapa kepada Jacqzent Cena Alexius, 5, yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Jalan Baru Solok-Tanjung Bidara di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kanak-kanak lelaki berkenaan bersama bapa saudaranya, Suliano Gagarin, 28, yang menaiki kereta Proton Wira dalam perjalanan dari sebuah klinik di pekan ini ke Rumah Awam Tanjung Bidara.


Sejurus tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Suliano dikatakan terbabas lalu merempuh pokok sena yang berada di bahu jalan.

Kemalangan menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa saudaranya patah kaki kiri. Menurut Alexius, ketika kejadian, dia berada di rumah sepupunya bagi melawatnya yang baharu melahirkan anak.


“Saya mengizinkan anak saya mengikut bapa saudaranya ke klinik dan terkejut apabila dimaklumkan mereka terbabit kemalangan “Pada waktu itu, saya dimaklumkan anak saya hanya tidak sedarkan diri sebelum mengetahuinya sudah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, kelmarin.


Saksi kejadian, Mohd Nizam Man, 16, berkata dia yang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan terkejut selepas terdengar dentuman objek dirempuh.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya pergi ke tempat kejadian dan melihat sebuah Proton Wira tersadai di bahu jalan dengan enjin berasap sebelum menyedari pemandunya tersepit di tempat duduk pemandu.


“Selepas menyuluh menggunakan lampu, saya terkejut melihat sekujur tubuh kanak-kanak turut tersepit di dalam kereta itu,” katanya yang kemudian cuba membuka pintu kereta untuk mengeluarkan anaknya itu namun gagal.

“Pada waktu sama, orang ramai yang berada di tempat kejadian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah bagi mendapatkan bantuan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Joned berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 7.41 petang.


Lima anggota bersama sebuah jentera dikerah dalam operasi yang mengambil masa 20 minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit.


“Kami mendapati kaki pemandu kereta itu tersepit di pedal minyak dan kami terpaksa merenggangkan komponen kereta untuk mengeluarkannya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Warga emas maut selepas motosikal terbabas, langgar pokok



PONTIAN - Seorang warga emas terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Parit Getah dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi di Jalan Benut - Simpang Renggan, mangsa, Tumiran Sapuan, 62, beralamat di Kampung Parit Mansor, dikatakan dalam  erjalanan pulang dari Pekan Benut ke rumahnya secara bersendirian.

Dia dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sepertimana yang disahkan oleh anak bongsunya Sakirin Tumiran, 21 yang tiba di tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

Polis masih menyiasat kes tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pontian bedah siasat Sementara itu, Sakirin berkata, dia tidak menyangka ayahnya itu menunggang motosikal ke Benut bagi membeli barangan keperluan walaupun mengalami masalah kesihatan sejak dua minggu lalu ayahnya itu bagi membeli minyak diesel untuk keperluan mereka di Kampung Parit Mansor.

“Saya tidak sangka pagi ini dia pergi bersendirian dan terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Ayah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sempat berbuka dan bertarawih di masjid bersama kami sekeluarga,” katanya. Sakirin bagaimanapun reda dengan pemergian ayahnya meskipun tidak sempat meraikan Aidilfitri  bersama-sama pada tahun ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak yang mana dua daripadanya sudah berkahwin.

Kilang perabot berjenama musnah dalam kebakaran



Kilang perabot berjenama musnah dalam kebakaran
Bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang berlaku di kilang perabot di kawasan Perindustrian Rima, Lahat, di sini, awal pagi semalam.
IPOH - Sebuah kilang menempatkan empat blok bangunan yang menyimpan dan menghasilkan pelbagai jenis perabot berjenama terkenal musnah dalam kebakaran yang berlaku di kawasan Perindustrian Rima, Lahat, di sini, awal  pagi semalam.

Jurucakap kilang berkenaan yang enggan dikenali berkata, sepanjang 30 tahun kilang itu beroperasi kejadian ini adalah yang pertama kali berlaku dan membabitkan jumlah kerugian yang besar.

Menurutnya, dia dimaklumkan berhubung kejadian itu menerusi salah seorang pekerja pada jam 5 pagi.

“Selepas menerima panggilan tersebut, saya bergegas menuju ke kilang dan melihat sekumpulan pekerja sedang sibuk memadamkan api daripada terus merebak. Saya juga terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Menurut beliau, setakat ini kerugian yang dianggarkan akibat kebakaran itu mencecah RM1 juta.

Difahamkan kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas yang bermula di bangunan kedua kilang berkenaan turut menyebabkan perabot ruang tamu yang ditempah khas oleh pelanggan bernilai ribuan ringgit turut hangus.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pegawai Bomba Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.30 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh tiba di lokasi  kirakira enam minit kemudian.

Menurutnya, sebanyak lima jentera bomba dari BBP Ipoh, BBP Simpang Pulai dan BBP Pasir Puteh dengan 62 anggota dan pegawai kanan bomba diketuai Penolong Penguasa Bomba Pasir Puteh, Zainasrie Zainal bertugas  memadamkan kebakaran berkenaan.

“Bagaimanapun, terdapat kesukaran ketika cuba memadamkan api kerana kami menghadapi masalah tekanan air rendah.

“Namun berbekalkan peralatan yang ada selain pengalaman anggota bomba dan bantuan pihak Lembaga Air Perak (LAP) masalah itu berjaya diatasi.

“Kebakaran dapat dipadamkan lapan minit kemudian,” katanya. Katanya, kebakaran itu turut mengakibatkan sebuah bengkel lori berhampiran nyaris hangus namun anggotanya bertindak pantas dan sempat mengawal keadaan.

Ujarnya, usaha memadam kebakaran sukar memandangkan api marak begitu cepat sehingga memusnahkan kebanyakan perabot di dalam kilang berkenaan. Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan  jumlah kerugian. 

Vietnam, Myanmar paling ramai



Vietnam, Myanmar paling ramai
Gelandangan yang ditahan dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Jalan Tun Razak selepas Ops Gelandangan berakhir awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Warganegara Vietnam dan Myanmar berumur 30 hingga 77 tahun antara paling ramai diberkas melalui Ops Gelandangan yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak Januari lalu.
Penolong Pesuruhjaya Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, kajian hasil enam operasi yang dibuat sebelum ini.
Menurutnya, masyarakat terlalu pemurah termasuk pihak NGO yang mengagihkan makanan percuma menggalakkan lambakan gelandangan kembali ke ibu negara walaupun sudah dihantar pulang.
“Mereka akan kembali berpelesiran di ibu kota dengan alasan kesempitan hidup di negara masing-masing.
“Masyarakat kita perlu main peranan, sama ada warganegara atau bukan warganegara, bila masyarakat berhenti memberi bantuan jadi sumber itu tiada.
"Apabila tiada, golongan ini tahu mereka susah untuk perolehnya melainkan perlu bekerja,” katanya selepas Ops Bersepadu Membanteras gelandangan sekitar ibu negara, awal pagi semalam.
Operasi turut disertai pelbagai agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Osman berkata, hasil operasi kelmarin, seramai 54 gelandangan yang terdiri daripada 43 rakyat tempatan dan 11 warga asing ditahan.
Katanya, operasi selama lima jam bermula jam 10 malam itu disertai 105 pegawai penguatkuasa yang dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjalankan tinjauan dan tangkapan di Jalan Pudu, Pasar Seni, Kotaraya dan Bulatan Sultan Muhamad.
“Selepas saringan, empat orang diambil di bawah JKM, manakala enam orang positif dadah dan tindakan seterusnya diambil AADK,” katanya.

Curi kuih di surau kerana terlalu lapar



Curi kuih di surau kerana terlalu lapar
Eng Khim ketika melihat keadaan lelaki terbabit.
KULIM - Tiada siapa di antara manusia yang mahu hidup tanpa tempat berlindung. Kepada yang berfikiran waras tentu sekali tidak mahu memilih jalan hidup sebegitu.

Namun, ramai antara kita terpaksa hidup bergelandangan akibat masalah peribadi masing-masing. Begitulah yang terjadi kepada seorang lelaki berusia 50-an yang ditemui Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM)  sebaik saja mendapat aduan daripada orang awam yang mendakwa lelaki itu mencuri makanan di surau.

Pengerusinya, Khor Eng Khim berkata, pihaknya menemui lelaki itu yang sedang tidur di tepi parit bersebelahan Stadium Mini Keladi kira-kira jam 12.30 pagi semalam.

Menurutnya, lelaki itu mengaku kerana terlalu lapar dia terpaksa mengambil sisa kuih dalam surau sebaik solat Terawih dijalankan lalu melarikan diri.

"Dia juga memaklumkan tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan hidup gelandangan sejak lima tahun lalu," katanya.

Sementara itu, lelaki berkenaan berkata, dia tidak suka dituduh sebagai pencuri. “Aku ada minta pada mereka sedikit kuih tetapi mereka halau aku kerana aku kotor. "Orang selalu tuduh aku mencuri. Itu semua tidak betul.

Aku cuma mahu makan saja," katanya. Dia berkata, sehingga kini tidak ada sesiapa atau pihak bertanggungjawab yang datang membantu.

Dalam pada itu, Eng Khim berkata, masalah itu dapat diselesaikan sekiranya pihak terlibat turun padang dan mendekati nasib mereka yang hidup di jalanan.

“Orang awam yang menemui lelaki ini memaklumkan kepada saya dia mencuri dan harus diserahkan kepada polis. Pada pendapat saya, dia tak bersalah.

"Dia sudah meminta kebenaran untuk mendapatkan beberapa kuih untuk dimakan tetapi tidak diberikan sebaliknya dia dihalau.

"Dia tidak ada pilihan melainkan mencuri kuih itu. Dia mencuri kerana dia lapar dan bukan kerana dia mahu melakukan jenayah. Dalam soal ini di manakah peranan orang ramai serta badan yang bertanggungjawab?," katanya.

Katanya, dia meminta jasa baik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat rondaan atau operasi bagi mengenal pasti orang gelandangan di sekitar Kulim.

Sehingga kini sudah ramai dalam kalangan pengemis yang meninggal dunia di kaki lima.

Dihempap dahan pokok patah



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Ogos 2012
Dihempap dahan pokok patah
Zainol yang terbaring diberikan rawatan dalam ambulans selepas dihempap dahan pokok patah ketika menunggang motosikal di Jalan Gelung Bubu,Permatang Tok Gelam malam semalam.
SEBERANG PERAI- Seorang penunggang motosikal nyaris maut dihempap dahan pokok yang tiba-tiba patah semasa melalui Jalan Gelung Bubu, Permatang Tok Gelam di sini, malam semalam.
Kejadian jam 9.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Zainol Ismail, 49, mengalami kecederaan parah di muka dan leher selepas dihempap dahan sebesar paha orang dewasa yang tiba-tiba patah dan menimpanya.
Anak mangsa, Mohd Malek, 18, yang membonceng motosikal ditunggang bapanya berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Permatang Kuang selepas menziarahi neneknya di pekan Maklom, tidak jauh dari tempat kejadian.
“Ketika itu keadaan cuaca elok, tiada ribut mahupun hujan dan sebaik sampai di kawasan berkenaan, tiba-tiba sebatang dahan pokok itu patah dan menimpa bapa.
“Akibat dihempap dahan pokok itu, bapa gagal mengawal motosikal menyebabkannya terbalik sebelum kami berdua terjatuh,” katanya yang hanya mengalami kecederaan kecil kerana terjatuh motosikal.
Menurutnya, kejadian itu mendapat perhatian segera beberapa penduduk kampung berkenaan yang kebetulan sedang beristirahat di hadapan rumah masing-masing yang segera memberikan bantuan kecemasan termasuk bertindak menghubungi ambulans.
Saksi kejadian, Mohamad Shukri Che Wang, 27, berkata, ketika kejadian dia sedang memandu keretanya di belakang motosikal ditunggang Zainol di kawasan berkenaan.
“Saya turut terkejut apabila tiba-tiba mendapati sebatang dahan patah dan menghempap mangsa, menyebabkan saya turut memberhentikan kereta secara mengejut.
“Kejadian itu menyebabkan laluan terbabit mengalami kesesakan hampir sejam, kerana ia menjadi laluan utama pengguna kenderaan ke arah Kepala Batas dan pekan Maklom dan Sungai Dua,” katanya.
Mohamad Shukri yang merupakan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat Pulau Pinang dan tinggal di kawasan berdekatan berkata, dia sebelum itu pernah beberapa kali memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya memotong dahan pokok yang ditanam sepanjang jalan itu, kerana ia membahayakan pengguna jalan raya.
Mangsa kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas, manakala lalu lintas di kawasan berkenaan kembali lancar selepas beberapa penduduk mengalihkan dahan yang merintang jalan berkenaan.

Gaduh pakai parang



Gaduh pakai parang
Mangsa menerima rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Kulim.
Gaduh pakai parang
Parang panjang yang ditemui dalam longkang
KULIM - Dua remaja berusia 20-an cedera di bahagian badan dan kepala dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkumpulan di Taman Selasih kelmarin.
Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, pertengkaran berlaku kira-kira jam 12 tengah malam.
Tidak berpuas hati dengan pertengkaran itu beberapa remaja lain bersikap agresif dan berlaku pergaduhan.
"Beberapa ahli kumpulan terlibat dilihat bergaduh hingga terjatuh ke dalam parit sedalam dua meter. Ia semakin serius apabila ahli kumpulan itu bersenjatakan parang.
"Dua remaja itu yang ketakutan kemudiannya melarikan diri ke sebuah bank berhampiran sebuah pasaraya di sini bagaimanapun kumpulan terlibat terus mengekori dan memukul mereka," katanya.
Menurutnya, selain dipukul, motosikal mereka turut dirosakkan.
"Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya melarikan diri ke rumah mereka di Taman Kemuning.
"Melihat keadaan mangsa serius waris menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut," katanya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika di tempat kejadian pihaknya menemui parang panjang dipercayai dicampak oleh suspek ketika pergaduhan.
Ghuzlan berkata, kedua-dua mangsa yang mendapat rawatan kini berada dalam keadaan stabil.
"Sehingga kini mangsa belum membuat sebarang laporan di mana-mana balai polis berkaitan kejadian itu.
“Kami harap remaja terbabit tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Dua parah nahas libat lori



Dua parah nahas libat lori
Keadaan salah sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
RAUB – Dua parah manakala seorang cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah  lori di Kilometer 349 Jalan Raub – Lipis dekat Pusat Perindustrian Ringan Batu Tiga pada jam 10.45 malam, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk rawatan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, difahamkan sebuah lori yang penuh dengan muatan sayur dari arah Raub cuba memotong kenderaan di hadapannya.
“Pada masa sama sebuah lori Radicare dari arah bertentangan berada pada jarak terlalu hampir dan kedua kenderaan berat itu bertembung.
“Orang awam yang melihat kejadian ini boleh tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau hubungi talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Samsudin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub menjadi tuan rumah bagi Majlis Berbuka Puasa bagi kawasan Pahang Barat bersama Ketua Polis Pahang, kelmarin.
Katanya, majlis yang dijayakan di Surau Al-Amin IPD Raub itu turut dihadiri pemimpin setempat sebagai tanda jalinan muhibah polis bersama komuniti yang sedia terjalin di daerah ini.
“Alhamdulillah, majlis ini mencapai matlamat penganjuran dengan kehadiran tetamu jemputan dan lebih utama kerjasama warga IPD Raub dalam menjayakannya sehingga tamat Solat Terawih serta moreh,” kata Wan Mohd Samsudin.

Dituduh perdaya warga emas



Dituduh perdaya warga emas
Dua lagi tertuduh dihadapkan ke mahkamah berasingan dengan Zuraidah, baru-baru ini.
Dituduh perdaya warga emas
Zuraidah dibawa masuk ke mahkamah untuk berdepan tuduhan.
KOTA BHARU - Tiga wanita termasuk seorang janda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, baru-baru ini atas tuduhan menipu seorang warga emas di Kampung Stan Beta di sini, bulan lalu.
Tuduhan dibuat berasingan terhadap Zuraidah Jusoh, 41, Hasnah Mohamad,50, dan Sarifah Salleh,50,  dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mereka dituduh mendorong dan memperdaya Embong Mamat, 75, supaya mangsa menyerahkan wang tunai RM100, gelang, cincin dan subang emas.
Penyerahan barangan berharga itu dijadikan syarat untuk membolehkan mangsa mendapatkan bantuan RM50,000 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sedangkan tertuduh-tertuduh tahu bahawa ia hanya tipu daya mereka.
Prosiding dibuat di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan Mohd Hafiz Mohd Noor.
Susulan tuduhan itu, ketiga-tiga mereka berdepan penjara antara setahun dan 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika bersalah.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Dua mereka dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin kecuali Zuraidah, RM10,000.
Kes bersambung hari ini dan 2 Oktober depan.

Suami isteri nyaris rentung



Suami isteri nyaris rentung
Seorang anggota unit Plus Ronda melihat keadaan kereta Honda Odyssey yang terbakar.
BUKIT BERUNTUNG - Sepasang suami isteri nyaris rentung apabila kereta Honda Odyssey dinaiki terbabit dalam kemalangan dan terbakar di Kilometer 426 arah Kuala Lumpur berdekatan susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung di sini petang semalam.

Saksi kejadian, Lye Soon Wen berkata, kedua-dua mangsa yang cedera ringan sempat keluar daripada kereta dan menyelamatkan diri.

“Kereta mangsa dipercayai dipandu laju dan jalan yang basah mengakibatkan kereta terbabas ke longkang dan melanggar tebing jalan.

“Kesan rempuhan kuat menyebabkan kereta mangsa terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.15 petang dan pada ketika itu hujan lebat.

Menurutnya, pasangan suami isteri berusia lingkungan awal 40-an itu telah dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Tinjauan mendapati laluan mula sesak berikutan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian itu.

Dalam kejadian berasingan, sebuah kereta jenis Toyota Vios remuk di bahagian belakang dipercayai dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 428.3.

Kejadian kedua berkenaan hanya dua kilometer dari lokasi kemalangan awal itu.

Menurut Soon Wen, keadaan pemandunya tidak diketahui namun dipercayai selamat berdasarkan keadaan kereta mangsa.

3 ahli Geng Rimba ditembak mati



3 ahli Geng Rimba ditembak mati
Ketiga-tiga suspek ditembak mati ketika cuba melakukan jenayah pecah rumah.
3 ahli Geng Rimba ditembak mati
Pasukan forensik melakukan siasatan di tempat kejadian.
3 ahli Geng Rimba ditembak mati
Abdul Rahim
GEORGETOWN -Tiga lelaki warga asing yang dipercayai ahli kumpulan Geng Rimba ditembak mati ketika cuba melakukan pecah rumah dan samun di kawasan perumahan di Taman Jesselton di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan apabila ketiga-tiga suspek warga Indonesia yang bersentajakan parang panjang bertindak agresif dan cuba menyerang anggotanya.

Beliau berkata, semua suspek yang mati di tempat kejadian itu menjadi buruan polis sejak beberapa bulan lalu dan dipercayai terlibat dengan beberapa kejadian pecah rumah yang dilaporkan di kawasan Waterfall, Jelutong, Taman Jesselton dan Tanjung Tokong.

"Pada jam 3.30 pagi itu, kita menerima laporan dari orang awam yang mengatakan tiga lelaki terbabit sedang dalam percubaan memecah masuk salah sebuah rumah di situ.

"Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri setelah mereka bertindak agresif dan enggan menyerah diri," katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdul Rahim berkata, kumpulan terbabit didapati bergiat aktif sejak Januari lalu dengan melakukan jenayah samun dan pecah rumah pada awal pagi menggunakan senjata tajam.

Menurutnya, modus operandi kumpulan terbabit ialah mereka akan berjalan kaki di kawasan denai dan hutan serta menjadikan rumah di pinggir hutan sebagai sasaran untuk melakukan kegiatan jenayah.

Beliau berkata, kesemua yang ditembak berusia awal 30-an dan polis menemui tiga bilah parang panjang, satu pemotong besi dan sebatang pemutar skru.

"Dengan tumpasnya penjenayah terbabit, kita percaya dapat menyelesaikan 18 kes pecah rumah yang melibatkan kerugian kira-kira RM527,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Kita juga masih memburu saki baki ahli kumpulan terbabit yang masih bebas," katanya.

Abdul Rahim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

2 beranak termasuk anak pulang dari Jepun maut kemalangan



ALOR GAJAH - Dua beranak maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki terbabas setelah gagal mengelak seekor lembu yang tiba-tiba melintas di KM213 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan dekat sini, kira kira 1.30 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Ngatinah Kemin, 47, dan anak bongsunya, Mohd Habib Firdaus, 10.

Ngatinah terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Kluang, Johor selepas mengambil anak keduanya, yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, dari Jepun.

Letupan tong gas bongkar kegiatan pindah gas haram, 3 pekerja cedera



Letupan tong gas bongkar kegiatan pindah gas haram, 3 pekerja cedera
Letupan berpuluh tong gas dalam sebuah bangunan premis membongkarkan satu kegiatan haram dipercayai memindah gas daripada tong subsidi domestik kepada tong gas industri.
KULIM - Letupan berpuluh tong gas dalam sebuah premis, di Taman Cengal, yang mencederakan tiga pekerja di sini awal hari ini membongkar satu kegiatan haram dipercayai memindah gas daripada tong subsidi domestik kepada tong gas industri.

Ketua Zon Pasukan Bomba dan Penyelamat Kulim, Mohd Firdaus Daud berkata pihaknya mengesyaki wujud kegiatan haram di situ kerana tiada bekalan eletrik di bangunan itu dan hasil maklumat daripada beberapa pekerja mengatakan bangunan ditutup pada waktu siang tetapi terdapat operasi di sebelah malam.

"Lagi pun terdapat kesan-kesan peralatan digunakan untuk memindahkan gas berkenaan di samping terdapat juga pelbagai ukuran silinder tong gas dalam premis tersebut. Sehingga kini pemilik premis belum dikenal pasti," katanya ketkka dihubungi Bernama di sini.

Letupan kira-kira pukul 3 pagi itu turut menggegarkan ratusan buah rumah di beberapa taman perumahan berdekatan termasuk Taman Kempas, Taman Desa Impian dan kawasan sekitar.

Mohd Firdaus berkata tiga warga asing dipercayai pekerja premis berkenaan melecur seluruh badan akibat api gas berkenaan.

Katanya, mereka dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas dimasukkan ke Hospital Kulim awal hari ini.

"Seramai 33 orang anggota termasuk 18 daripada bomba Kulim dan Hi-Tech Park dibantu 15 anggota bomba sukarela mengambil masa hampir sejam mengawal api," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohd Firdaus, selepas mendapat panggilan pada 3.17 pagi, bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati bangunan batu berbumbung zink itu terbakar sepenuhnya.

Katanya anggota bomba terpaksa mengambil tindakan lebih berhati-hati ketika kerja-kerja memadam api kerana dikatakan terdapat banyak tong yang masih mengandungi gas dalam bangunan itu. -Bernama

Lelaki ditembak ketika minum bersama rakan

Lelaki ditembak ketika minum bersama rakan
ABD RAZAK
SERDANG – Seorang lelaki maut ditembak dari jarak dekat ketika sedang minum bersama dua rakannya di bahu jalan pada kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Dalam kejadian berdekatan Seksyen 5, Persiaran Serdang Perdana itu, mangsa yang dikenali sebagai S Kesavan, 27, ditembak dengan tiga das tembakan menyebabkan dia tersungkur dan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, satu tembakan mengenai kepala mangsa, manakala dua lagi kena badannya.

Menurutnya, dua lelaki yang menaiki motosikal memberhentikan kenderaan berhampiran tempat mangsa bersama dua rakannya menikmati minuman.

Katanya, pembonceng motosikal kemudian meluru ke arah mangsa yang berasal dari Seri Kembangan dan menembak tepat ke arahnya sebelum melarikan diri menaiki motosikal sama bersama seorang rakan.

“Pembonceng turun dari motosikal, terus menuju ke arah mangsa yang bersantai di bahu jalan dan melepaskan tiga das tembakan.

“Menurut saksi, penjenayah menggunakan motosikal jenis Yamaha LC, memakai baju lengan panjang dan topi keledar berpenutup penuh,” katanya.

Katanya, pihaknya percaya, suspek memang menyasarkan mangsa sebagai sasaran. Dua rakannya tidak cedera.

“Motif dipercayai berunsur dendam dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

5 Cedera dalam kemalangan babitkan 4 kenderaan



5 Cedera dalam kemalangan babitkan 4 kenderaan
Sebuah kereta remuk selepas terlibat sama dalam
kemalangan sebuah kereta terbabas di Jalan Tun Razak. 
 
Lima mangsa cedera akibat kemalangan tersebut.
KUALA LUMPUR - Lima orang cedera apabila tiga buah kereta dan sebuah motosikal terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.
 
Menurut saksi kemalangan, kejadian itu berlaku berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 10 pagi ini apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara yang dinaiki dua orang lelaki yang sedang menghala ke Bulatan Pahang terbabas lalu memasuki arah bertentangan.
 
Menurut pemandu sebuah daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan itu, Tam Sui Chim, 51, kereta Perodua Kembara itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan dua lagi kereta yang cuba mengelak terbabit dalam kemalangan.
 
Penunggang motosikal yang berada di belakang kereta itu hilang kawalan lalu melanggar belakang kenderaan itu.
 
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan.
 
Menurut jurucakap Hospital Kuala Lumpur, lima orang yang cedera dalam satu kemalangan, tanpa menyebut lokasi kejadian, dihantar ke hospital itu hari ini tanpa memberikan butiran lain.

Identiti mereka masih belum dikenal pasti. - Bernama

Tetakan dahi punca kematian



Tetakan dahi punca kematian
Laporan Sinar Harian, semalam
SHAH ALAM – Polis mendapati terdapat kesan tetakan kuat pada dahi yang menjadi punca kematian seorang lelaki yang ditemui hangus di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Jawa, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang juga mendapati kesan luka belakang kepala.

“Mangsa dipercayai ditetak benda tajam. Itu punca kematian sebelum mayatnya dibakar dipercayai untuk menghapuskan bukti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mazlan berkata, siasatan mendapati mangsa, seorang warga asing, dibunuh di tempat lain sebelum dibakar dengan petrol bersama timbunan kayu di kawasan perkuburan tersebut.

“Mangsa bukan orang tempatan kerana hasil pemeriksaan tiada kesan suntikan bacillus calmette-guerin (BCG) pada tangan kiri,” katanya.

Menurutnya, punca sebenar kejadian tersebut masih lagi disiasat dan beliau tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, sebuah keluarga ketakutan selepas menemui mayat berasap atas kubur, kira-kira jam 9 pagi. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan memakai seluar jean biru yang hampir hangus.

Terdapat juga pelbagai gambar tatu di belakang badan mangsa.

OKU ditemui rentung dalam kebakaran awal pagi



OKU ditemui rentung dalam kebakaran awal pagi
Anggota bomba memeriksa kawasan mayat Kean
Meng ditemui rentung dalam rumah di Jelutong
 
GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam satu kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Jelutong awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, Lee Kean Meng, 60, yang tinggal berseorangan dipercayai terperangkap dalam asap tebal ketika cuba membuka jeriji pintu hadapan rumahnya.

Jirannya, Chin Siew Yong, 50, mendengar jeritan mangsa dan melihatnya melambai tangan meminta pertolongan dari tingkap namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak.

Beliau menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi bising di luar rumah dan terkejut apabila melihat api merebak pantas menjilat rumah kayu jirannya itu.

"Kean Meng yang mengalami masalah bisu dan pekak sejak dari kecil dilihat menjerit dan meronta meminta pertolongan namun disebabkan api terlalu marak menyebabkan tiada sesiapa yang berani untuk membantunya sehingga ketibaan pasukan bomba beberapa minit kemudian.

"Saya cukup sedih apabila dimaklumkan pasukan bomba menemui mayat Kean Meng yang rentung di hadapan pintu rumahnya," katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yamin Tekor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.22 pagi dan tiba dilokasi kejadian kira-kira dua minit kemudian.

Yamin berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati keadaan rumah hangus dijilat api.

"Seramai 23 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Jalan Perak dan dibantu sepasukan anggota bomba sukarela tiba dilokasi kejadian dan api berjaya dikawal kira-kira jam 3.33 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 3.45 pagi.

"Kita dimaklumkan ada mangsa bisu terperangkap didalam rumah dan hasil pemeriksaan menemui mangsa did alam keadaan terlentang di ruang tamu rumah. Kita percaya mangsa cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah tetapi gagal kerana terperangkap," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas kerana terperangkap namun punca kejadian sebenar masih dalam siasatan.

"Punca kebakaran dan nilai kerugian yang sebenar masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat," katanya

Paksa pasangan berarak bogel, polis Pakistan digantung

Paksa pasangan kekasih berarak bogel, polis Pakistan digantung
Warga Pakistan, Shahnaz Bibi memberitahu BBC bahawa dia juga pernah dipaksa berbogol di kampungnya tahun lalu. - Foto ihsan BBC
KARACHI - Beberapa pegawai polis Pakistan digantung tugas ekoran tindakan mereka mengenakan hukuman dengan memaksa satu pasangan berarak dalam keadaan bogel di khalayak.

NDTV melaporkan bahawa insiden mengejutkan itu berlaku di wilayah Sindh, selatan Pakistan pada 27 Julai lalu.

Menurut laporan BBC, beberapa saksi mendakwa polis di bandar Gambat mengarahkan seorang lelaki dan wanita, yang belum berkahwin, berjalan ke balai polis dalam keadaan berbogel sebagai hukuman atas alasan cuba mengadakan hubungan seks

Rakaman telefon bimbit menunjukkan seorang lelaki dipikul oleh polis manakala seorang wanita pula merayu agar dia dibenar mengenakan pakaiannya.

Laporan itu menambah, pegawai-pegawai polis digantung tugas berikutan kecaman dan protes orang ramai.

Lelaki itu, seorang peniaga, dikenali sebagai Mumtaz Mirbahar manakala nama pasangannya tidak disiarkan.

BBC Urdu pula melaporkan bahawa polis dan penduduk tempatan merakamkan kejadian itu.
Laporan BBC juga berkata, insiden-insiden mengaibkan orang awam di khalayak adalah perkembangan biasa di Pakistan.
Bagaimanapun menurutnya, kejadian terbaru ini mengejutkan ramai sebab ia diarah oleh polis dan dirakamkan menggunakan telefon bimbit.
Tahun lalu, beberapa lelaki ditahan kerana membogelkan seorang wanita pertengahan usia dan memaksannya berarak di kampungnya sebagai hukuman atas kesalahan anaknya mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita dalam keluarganya.
Ketika itu, Shahnaz Bibi memberitahu BBC bahawa kehidupannya terganggu dan tidak dapat kembali ke rumahnya.
Laporan media lain memetik Mirbahar berkata, dia menjadi mangsa konspirasi.
Katanya, wanita berkenaan dibawa oleh anggota polis dan kedua-duanya dipaksa berjalan kira-kira satu kilometer.
Laporan juga menyebut Mirbahar telah memperoleh jaminan daripada mahkamah manakala wanita terbabit masih ditahan di penjara.
Dia telah memfailkan satu petisyen di Mahkamah Tinggi Sindh dan akan didengar Rabu ini.
BBC melaporkan, penduduk tempatan telah meminta polis agar tidak meneruskan tindakan mereka tetapi tidak didengar.
Seorang lagi wanita dilaporkan ditahan bersama Mirbahar tetapi tidak diarah berarak dalam keadaan berbogel.
Polis mendakwa mereka menerima aduan bahawa Mirbahar telah menjemput kedua-dua wanita itu ke rumahnya untuk mengadakan hubungan seks.

Pesawat 'diserang'




5 Ogos 2012
Pesawat 'diserang'
Beribu lebah mengerumuni sayap pesawat Delta.
PENNSYLVANIA - Penerbangan pesawat Delta dari Pittsburgh ke New York terpaksa ditangguh 20 minit akibat dikerumuni beribu-ribu lebah di atas sayap pesawat tersebut.

Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Pittsburgh berkata, penjaga lebah profesional terpaksa dipanggil untuk menyuraikan spesies terbabit tanpa membunuhnya.

Sementara itu, penjaga lebah profesional, Stephen Repasky berkata, beribu-ribu lebah itu tidak boleh dibunuh kerana ia adalah spesies terlindung di bawah undang-undang.

Beliau berkata, ini adalah kejadian keempat sepanjang tahun ini dan dipercayai terdapat koloni lebah di sekitar kawasan itu.

Pada kejadian tersebut, beberapa penumpang mengambil kesempatan merakam gambar spesies itu, yang dilihat sebagai suatu keajaiban yang menakjubkan.

Modus operasi jual sijil palsu



Modus operasi jual sijil palsu
Tun Hisan (kiri) bersama gambar yang dirampas dalam serbuan baru-baru ini menunjukkan penerima ijazah palsu yang kononnya diraikan dalam satu majlis konvokesyen di sebuah hotel
Isu pemalsuan sijil palsu membabitkan ijazah, sarjana serta doktor falsafah bukanlah satu fenomena baru. Kes sebegini dikesan berlaku bukan sahaja di negara ini, malah sudah berleluasa sejak dahulu lagi di luar negara.  Bagaimanapun sehingga kini, kegiatan sindiket tidak bertanggungjawab memalsukan sijil untuk dijual kepada individu tertentu masih berterusan berikutan permintaan yang tinggi.

Kebanyakan individu terlibat membeli sijil terbabit mengetahui bahawa sijil bakal diperoleh adalah tidak sah dan salah, tetapi tetap mahu memilikinya atas tujuan tertentu. Bagaimanapun ada juga yang membeli kerana ditipu oleh sindiket yang mendakwa sijil terbabit diiktiraf kerajaan serta badan bertauliah. Dalam kes ini, ramai majikan yang menggaji pekerja memiliki ‘sijil segera’ turut menjadi mangsa, sekali gus menjejaskan reputasi syarikat kerana kredibiliti pekerja itu hanya dizahirkan di atas sekeping kertas tetapi tidak pada fizikal sebenar. Ikuti kupasan Modus Operandi minggu ini.


Pelaku

- Berkumpulan
- Syarikat

Mangsa/pembeli

- Warga tempatan
- Warga asing
- Terdiri daripada orang biasa, ahli politik, orang kenamaan

Modus Operandi

- Guna ejen yang direkrut untuk cari pelanggan (pembeli)
- Cari pelanggan secara atas talian
- Tawarkan sijil palsu pelbagai jurusan untuk ijazah, sarjana dan doktor falsafah pada harga tertentu
- Pembayaran hanya dibuat secara tunai dan cek
- Dakwa semua sijil diiktiraf oleh universiti luar negara dan diperoleh dalam tempoh singkat
- Pembeli sijil tidak perlu belajar, hadir ke kelas, menjalani peperiksaan atau menghantar tugasan
- Kad pelajar untuk pelanggan/pembeli sijil disediakan
- Pembeli diraikan dalam majlis konvokesyen di hotel terkemuka dan istiadat dijalankan sama seperti majlis istiadat konvokesyen yang diiktiraf

Punca

- Ingin kaut keuntungan segera dalam tempoh singkat
- Pembeli terdesak untuk dapatkan sijil segera tanpa perlu belajar
- Ingin dapatkan jawatan tertentu dengan cara mudah
- Sikap malas dan tidak bertanggungjawab
- Untuk tujuan bermegah-megah

Kesan

- Melahirkan graduan tidak berkualiti kerana memiliki ijazah tidak diiktiraf
- Penyalahgunaan sijil dalam pelbagai bidang
- Melahirkan individu tidak beretika kerana menipu untuk mendapatkan pekerjaan
- Majikan/syarikat kerugian kerana mempunyai pekerja yang tidak cekap serta berpengalaman

Hukuman

- Jika didapati bersalah mereka yang terlibat boleh dikenakan
- tindakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tips

- Pihak syarikat perlu lebih telus meneliti kesahihan latar belakang pendidikan seseorang individu sebelum mengambil mereka bekerja
- Jika latar belakang pendidikan pekerja diragui, sila rujuk pihak berkaitan untuk pengesahan lanjut
- Jika pihak syarikat mengenal pasti wujud unsur penipuan, segera lapor pada polis dan pihak yang berkaitan
- Bagi mangsa yang mungkin terpedaya dengan helah suspek yang menjanjikan sijil kononnya diiktiraf daripada badan-badan bertauliah, segera lapor pada polis
- Orang awam juga perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan menggunakan saluran yang betul untuk memiliki ijazah diiktiraf

Contoh kes

28 Jun 2012
- Seorang bekas pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) bersama dua yang lain ditahan di sebuah rumah di Kampar, Perak kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan ijazah institusi pengajian tinggi awam itu.
- Suspek turut membina laman sesawang yang tawarkan bukan sahaja perkhidmatan membuat ijazah palsu, tetapi lengkap dengan ‘jaminan’ bahawa segala data yang terkandung dalam sijil palsu itu akan turut berada dalam sistem pentadbiran universiti berkenaan.

25 Julai 2012
- Sepasang suami isteri ditahan di Subang Jaya dan Chera kerana disyaki terlibat dalam kes penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5 juta yang kononnya diiktiraf daripada lima universiti luar negara.
- Penahanan turut mendedahkan sijil palsu itu dijual kepada ‘graduan’ tempatan dan asing termasuk ahli politik serta individu bergelar Tan Sri.

Sumber: Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, www.yahoo.com